Search This Blog

Tuesday, October 12, 2010

Berbelas-belas kesan tembakan, sebilah parang dirakam



12/10/2010 4:45pm

SHAH ALAM 12 Okt. – Seorang jurufoto polis memberitahu Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini bahawa berbelas-belas kesan tembakan dirakam pada belakang kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak semasa dikejar oleh kereta peronda polis pada April lalu.
Detektif Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab yang bertugas di Cawangan Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berkata, dia turut merakamkan gambar sebilah parang yang ditemui di bawah tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta tersebut pada hari kejadian.
Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April lalu. – Utusan

Dijel 20 tahun

MIRI: Tindakan seorang anggota polis merogol anak gadis rakan setugasnya tahun lalu, menyaksikan dia menerima ‘habuan’ lumayan apabila Mahkamah Sesyen Miri semalam menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun serta enam sebatan selepas didapati bersalah melakukan perbuatan keji itu.


MALU...Razid menutup mukanya ketika dibawa keluar selepas dijatuhi hukuman.
MALU...Razid menutup mukanya ketika dibawa keluar selepas dijatuhi hukuman.

Konstabel Razid Jumat, 25, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi yang tidak diwakili peguam sekadar menundukkan kepala ketika Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud membacakan hukuman ke atasnya.

Awang Krisnada dalam penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh amat jijik terutamanya bagi seorang polis.

Beliau juga berpuas hati selepas mendengar hujah dan fakta pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah.

“Perbuatan terkutuk kamu itu cukup tidak bertanggungjawab kerana kamu merosakkan masa depan mangsa. Hukuman ini memang wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada anggota keselamatan lain, mahupun orang awam,” katanya.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah meringankan hukumannya dengan alasan sudah bertaubat.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 30 Oktober tahun lalu di sebuah kediaman kuarters IPD Marudi kira-kira jam 4.30 pagi ketika mangsa yang berusia 20 tahun itu nyenyak tidur.

Dia didakwa menceroboh bilik mangsa menerusi tingkap sambil mengacukan pisau kepada mangsa dan mengarahkannya membuka seluar sebelum merogolnya.

Bayi lelaki dilahirkan dibuang dalam semak

BALING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dibungkus dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak Kanak (Taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini hari ini.
Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik Taska berkenaan jam 10 pagi ini dan kemudian membuat laporan polis.
Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.

Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan turut ditemui bersama bayi itu adalah urinya yang diletakkan berdekatan bayi itu.

Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui dalam jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan Taska terbabit, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.

Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling Amelia Shatirah Dorahim berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik Taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mohd Daut Md Hasan mengesahkan polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terbabit.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman.-Bernama

Lelaki dipenjara 10 tahun bunuh remaja


12/10/2010 6:35pm

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki yang mengaku salah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dan kematian seorang remaja lelaki tahun lepas.
Selain Azlan Affendy Abdul Samat, 23, tiga lagi tertuduh Roslan Rashid, 23; Mohd. Johari Abu Samah, 27; dan Mohd. Hamdan Zainal, 23, dipenjara empat tahun selepas mereka turut mengaku salah terhadap tuduhan yang sama.
Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Oktober 2009.
Sementara itu, seorang lagi yang dituduh iaitu adik kepada Azlan Affendy, akan ditentukan hukumannya pada 26 Oktober ini bagi membolehkan mahkamah meneliti laporan akhlak memandangkan semasa kejadian, dia masih berusia 19 tahun.
Dia ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak Sungai Petani kerana usianya masih di bawah 21 tahun.
Kesemua tertuduh pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati sebelum Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad, meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada Azlan Affendy dan Seksyen 304(b) kanun yang sama kepada keempat-empat tertuduh.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat yang dilakukan secara berkumpulan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, Andrew Chow Kin Mun, 18, kira-kira pukul 12.30 pagi, 14 Oktober 2009 di Simpang Tiga Lebuh Meru Indah, Gerbang Meru Indah, di sini. – Bernama

Detik cemas pegawai perhutanan ditahan


12/10/2010 6:58pm

SHAH ALAM – Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Selangor melalui 30 minit detik mencemaskan apabila ditahan dua lelaki, dipercayai anggota sindiket penyeludupan kayu bakau, di perairan Pelabuhan Klang Khamis lepas.
Norizan Manan, 28, berkata, ketika kejadian, beliau menunggu pegawai perhutanan lain untuk membawa keluar kayu bakau yang disita selepas ditemui di sebuah anak sungai di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini, dipercayai disorok pihak tertentu.
"Saya ketika itu sedang memantau kayu bakau yang dirampas bersama seorang pemandu bot laju yang disewa untuk membawa keluar muatan kayu yang disita sementara menunggu pegawai lain tiba.
"Tiba-tiba dua lelaki menaiki bot kecil meluru ke arah saya, dan dalam masa yang singkat, seorang daripada mereka melompat ke arah saya sambil mengacukan parang di leher,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu bot laju yang berada bersamanya, terus memecut bot bagi mendapatkan bantuan, manakala dua lelaki yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI), mengarahkannya naik ke atas bot mereka.
Norizan yang ketakutan dan gugup ketika itu, hanya mampu berserah kepada tuhan serta menurut arahan dua lelaki terbabit, yang kemudian membawanya berlegar-legar hampir 30 minit di tengah lautan. – Bernama

Mayat dipercayai jururawat hilang dijumpai


12/10/2010 7:02pm

KOTA KINABALU - Mayat seorang wanita separuh bogel, dipercayai jururawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas, dijumpai dihumban ke dalam sebuah longkang hari ini.
Mayat itu sudah mula menjadi busuk ketika dijumpai oleh beberapa penduduk Taman Kingfisher kira-kira 11 pagi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Tan Kok Liang berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa mengalami kecederaan di kepala.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mayat itu adalah jururawat dari Kudat yang sebelum ini dilaporkan hilang.
"(Bagaimanapun) masih terlalu awal untuk menentukan sebab kematian,” katanya sambil menambah bedah siasat akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Sabtu lepas, jururawat Annie John Dismas, 39, dilaporkan hilang selepas dia berbual menerusi telefon dengan tunangnya kira-kira 3 petang. – Bernama

Felda Simpang Waha dilanda ribut




KOTA TINGGI – Kira-kira 150 rumah penduduk rosak dalam sekelip mata akibat dipukul ribut dalam kejadian di Felda Simpang Waha di sini, petang semalam. 

ira-kira jam 3.50 petang itu, puluhan batang pokok tumbang dipukul ribut menyebabkan banyak rumah mengalami kerosakan teruk. Kejadian itu berlaku dalam tempoh lima minit dengan disertai kilat serta angin pusing. 

Bencana alam ini disifatkan sebagai kejadian paling teruk pernah berlaku dalam tempoh 25 tahun sejak tanah rancangan berkenaan diduduki. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang terkejut dengan kejadian itu turut berkesempatan melawat mangsa. 

Rasman berkata, kejadian tragis itu merupakan satu bencana paling buruk dialami penduduk di tanah rancangan itu kerana ia melibatkan beratus-ratus rumah peneroka yang kebanyakannya rosak teruk. 

Bagaimanapun Rasman bersyukur kerana kejadian dahsyat itu tidak melibatkan kehilangan nyawa serta kecederaan, tetapi hanya melibatkan kerosakan pada bahagian bumbung, dapur dan sebahagian kenderaan rosak. 

Menurutnya, selepas diberitahu mengenai kejadian itu, beliau melaporkan kepada Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebut untuk mengerahkan anggota dan pegawainya ke pondok polis berhampiran. 

Rasman menasihati penduduk supaya bersabar dengan kejadian itu dan ketua-ketua blok diminta untuk mengambil keterangan terhadap rumah mangsa ribut di setiap blok. 

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) juga akan meninjau rumah mangsa dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban penduduk.

Bas tiba-tiba melambung



SEREMBAN – Walaupun terselamat dalam kemala- ngan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, dekat Rembau petang kelmarin, kebanyakan mangsa masih dalam trauma dan terkejut. 

Salah seorang penumpang bas Ekspres Delima, Shahnor Amer Ahmad, 18, berkata, ketika kejadian, dia berada di belakang pemandu bas menyedari kenderaan itu terhoyong-hayang sebelum melanggar pembahagi lebuh raya dan melambung ke laluan bertentangan. 

Ketika ditemui semalam, Shahnor yang juga penuntut sebuah kolej swasta di Petaling Jaya itu ditemani kakaknya, Zurina Ahmad, 30, tidak banyak bercakap kesan kecederaan pada bahagian mukanya. 

"Shahnor menaiki bas tersebut ke Kuala Lumpur. Sebelum itu dia tidak boleh tidur. Kemudian dia merasakan bas tiba-tiba melambung. Kejadian berlaku begitu pantas. Bila dia buka mata sahaja, dia tidak dapat melihat apa-apa, hanya hitam sahaja,” katanya. 

Kejadian itu berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah van dan menghempap tiga kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Seorang lagi mangsa, Nurnajla Aqilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata, dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terho-yong-hayang. 

“Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah. 

“Saya menangis apabila melihat darah banyak me- ngalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku,” kata pelajar Universiti Malaya itu. 

Dalam pada itu, bapa Nurnajla, Mohd Ghazali Anuar, 45, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kemalangan ngeri membabitkan anaknya melalui berita, pagi semalam. 

“Bila lihat nama dia ada, kami terus hubungi telefon bimbitnya dan ternyat ia benar sebelum bergegas ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS),” katanya. 

Sementara itu, Tew Chi Ling, 18, pelajar kolej swasta di Petaling Jaya berkata, dia kini trauma kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku. 

“Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.

RPS Air Banun diserang gajah liar




GERIK – Serangan gajah liar ke kawasan kediaman penduduk terus berlaku dan kali ini melibatkan beberapa kemudahan di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Hulu Perak di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun. 

Pegawai Hal Ehwal Orang Asli Hulu Perak, Nordin Me berkata, Pusat Pentadbiran JHEOA RPS Air Banun diserang gajah liar pada 22 September lalu, jam 2.30 pagi. 

Menurutnya, sekumpulan lima ekor gajah liar pada awalnya memasuki kawasan tabika RPS Air Banun sebelum ke kawasan Pusat Pentadbiran JHEOA RPS Air Banun. 

“Sekitar jam 4.30 pagi, kumpulan gajah liar itu masuk ke kawasan Pusat Pentadbiran JHEOA dan merosakkan dinding di tiga rumah kediaman kakitangan. 

“Salah sebuah rumah mengalami kerosakan teruk terutama di bahagian dapur,” Katanya ketika ditemui di Pejabat JHEOA Daerah Hulu Perak, semalam. 

Nordin berkata, serangan itu juga menyebabkan kerosakan menyeluruh ke atas bekalan makanan kakitangan JHEOA sedia ada. 

Katanya, ini bukan kali pertama serangan gajah liar berlaku di kawasan itu malah sudah berulang kali dialami mereka, namun kali ini melibatkan kerosakan infrastruktur yang paling teruk. 

"Namun, kini kami sudah menyediakan kertas kerja untuk memohon peruntukan hampir RM1 juta bagi membina kompleks pentadbiran baru JHEOA di RPS Air Banun. 

“Kompleks pentadbiran itu akan merangkumi enam unit bangunan baru, rumah kediaman kakitangan JHEOA, sebuah rumah masak, sebuah dewan makan untuk pelajar dan dua unit wakaf untuk kegunaan ibu bapa menunggu anak-anak pulang dari sekolah,” katanya. 

Beliau berkata, permohonan itu dibuat memandangkan kawasan ini sering kali terdedah kepada ancaman gajah liar. 

“Permohonan untuk mendapatkan enam unit bangunan baru rumah kakitangan JHEOA ini juga dibuat berikutan kawasan itu mula menjadi tempat tumpuan ramai pelajar institusi pengajian tinggi dan penyelidik untuk menjalankan pelbagai kajian serta program berfaedah. 

“Keadaan rumah kediaman kakitangan sedia ada daripada kayu yang begitu lama dan usang dilihat sedikit sebanyak akan mencalarkan imej JHEOA sebagai sebuah jabatan kerajaan,” katanya. 

Katanya, setakat ini, JHEOA Daerah Hulu Perak masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berhubung permohonan itu. 



Kejadian paling teruk 

Manakala, pembantu tabika RPS Air Banun, Sarimah Adik, 38, berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku, namun dua serangan terkini adalah yang paling teruk. 

Menurutnya, setiap kali serangan gajah liar berlaku, sasaran utama pastinya bahagian dapur tabika di mana ia turut menyebabkan kerosakan teruk pada gril pintu depan dan belakang. 

“Gril pintu dapur tabika ini sebenarnya baru sahaja diganti baru dan tidak sampai seminggu, ia dirosakkan,” katanya ketika ditemui di tabika RPS Air Banun, semalam. 

Sarimah berkata, gril pintu hadapan tabika dan stok simpanan bekalan makanan untuk 39 kanak-kanak di sini turut rosak. 

“Selain itu, cermin tingkap, pinggang, mangkuk dan kelengkapan dapur turut pecah. 

“Sebahagian kecil carta dan alat bantu mengajar mengalami kerosakan apabila dikoyakkan oleh gajah liar itu,” katanya. 



Kediaman penduduk selamat 

Sementara itu, tukang masak untuk pelajar yang berulang-alik dari Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun, Kaning Chuweh, 34, berkata, kawasan kediaman penduduk di kampung berhampiran kawasan Pusat Pentadbiran JHEOA selamat daripada serangan gajah liar. 

Menurutnya, dalam kejadian itu, Sekolah TBK RPS Air Banun menerima kesan kerosakan paling teruk dan penduduk di situ bernasib baik kerana gajah liar tidak tertumpu ke kawasan kediaman mereka. 

“Hanya dua rumah kosong di kawasan hujung kampung dirosakkan dalam kejadian itu. 

“Memang selalu gajah liar masuk ke kawasan ini dan kini kumpulan itu sentiasa berkeliaran di kawasan hutan belakang kampung,” katanya ketika ditemui di kawasan Pusat Pentadbiran JHEOA RPS Air Banun, semalam. 

Kaning berkata, terdapat tiga kumpulan gajah liar di sekitar RPS Air Banun yang mendiami beberapa kawasan hutan berhampiran beberapa kampung di sini. 

“Kumpulan yang mendiami hutan di kawasan Sungai Chadak terdiri daripada 10 ekor gajah, sementara lapan ekor mendiami kawasan hutan berhampiran Kampung Sungai Raba dan lebih kurang 15 ekor gajah liar pula di kawasan hutan berhampiran Kampung Semelor. 

“Gajah liar yang menyerang kawasan ini mungkin daripada kumpulan gajah yang mendiami kawasan Sungai Raba dan sekitar September lalu sudah tiga kali gajah sama memasuki kawasan ini,” katanya. 

Katanya, setakat ini, kejadian itu jarang berlaku kerana terdapat ramai penduduk di kawasan itu dan keadaan cuaca tidak hujan kerana kebiasaannya gajah liar ini akan memasuki selepas hujan. 

Terdapat 43 rumah di kampung yang berhampiran dengan kawasan pentadbiran JHEOA RPS Air Banun dan lapan buah rumah kakitangan.

Di mana Mohd Eizzat



KULIM - Usaha mencari mangsa hanyut di Lubuk Siku, Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim, dekat sini, malam Sabtu lalu masih tidak membuahkan sebarang hasil sehingga lewat petang semalam. 

Mohd Eizzat Abd Halim, 27, dari Pondok Pengkalan Sanga, Tasek Gelugor, dilaporkan terjatuh ketika mengambil wuduk untuk bersolat Maghrib di tebing sungai berkenaan. 

Operasi mencari mangsa melibatkan sembilan penyelam Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, lima anggota Unit Pengesan bersama tiga anjing dari Unit K9 Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur , Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan selain penduduk kampung berhampiran. 

Pada kira-kira jam 10 pagi semalam, anjing pengesan berjaya menghidu kawasan yang dipercayai lokasi mangsa namun usaha untuk memasuki kawasan itu agak sukar berikutan arus terlalu deras. 

Berikutan itu, beberapa batang pokok ditebang dan dijadikan sekatan bagi memperlahankan arus sungai. Pada jam dua petang, anjing pengesan sekali lagi dibawa masuk ke kawasan operasi untuk mengenal pasti lokasi mangsa namun operasi terpaksa dihentikan sejam setengah kemudian berikutan hujan lebat.

Setelah hujan semakin reda, Unit Skuba bersama penduduk kampung menyelam untuk mencari mangsa di sekitar kawasan Lubuk Siku yang kedalamannya mencecah 6.5 meter.

Imam Masjid Haji Yasin, Kampung Sungai Buloh, Sedim, Yusuff Ibrahim bersama beberapa penduduk menjalankan upacara membantu mengesan mangsa menggunakan doa dan kaedah tradisional Islam.

Selain itu, beberapa rakan serta waris mangsa dilihat melaungkan azan ketika operasi mencari dijalankan.

Sehingga jam 5.30 petang, mayat mangsa masih gagal ditemui dan operasi akan disambung semula jam lapan pagi hari ini. 

Sinar Harian mendapati, kebanyakan petugas turut dibekalkan dengan ubat pencegah jangkitan wabak kencing tikus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Md Zuki Yusof ketika ditemui di lokasi kejadian, meminta pihak berkuasa memagar kawasan yang berisiko seperti itu, bukan hanya dengan meletakkan papan tanda.

“Kawasan ini berisiko dan pihak berkenaan seharusnya memagar kawasan terlibat. Papan tanda tidak mencukupi,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegur sikap orang ramai yang tidak mematuhi larangan papan tanda. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, usaha mencari akan diteruskan sehingga mangsa ditemui. 
Sinar Harian difahamkan, operasi yang masuk hari ketiga hari ini akan memberi tumpuan terhadap keseluruhan laluan air termasuk tebing sungai bermula dari Lubuk Jong sehingga Lubuk Siku.

Laluan ini merangkumi laluan berjarak melebihi lima kilometer.

Setiap lubuk akan diselam oleh Unit Skuba Bomba untuk memastikan mayat tidak tersangkut atau tertimbus manakala kesemua pihak terlibat termasuk penduduk kampung akan melalui jalan air dan darat untuk mengesan mangsa. 

Hari ini tiga penyelam Unit Skuba Bomba dari Langkawi akan turut serta dalam usaha mencari mangsa yang hanyut.

Terbabas elak lembu



MASJID TANAH - Sebuah lori yang membawa muatan bekalan daging babi beku terbabas di satu selekoh jalan Kampung Air Hitam Pantai, dekat sini, gara-gara mengelak daripada melanggar dua ekor lembu yang didapati menghalang laluan jalan raya berkenaan. 

Bagaimanapun pemandu lori terbabit yang berbangsa Cina dikenali sebagai Cheng, berumur lingkungan 60-an hanya mengalami kecederaan ringan, sementara kelindannya, Hee Li, 50-an mengalami luka kecil. 

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, lori yang dipandu dari Paya Mengkuang menuju ke Johor Bahru itu hilang kawalan berikutan dua ekor lembu yang melintasi jalan raya, tambahan pula keadaan gelap. 

Hee Li berkata, lori yang dinaikinya terseret kira-kira lima kilometer sebelum tersadai di laluan bertentangan

Pemandu lori lemas ketika menjala



TEMERLOH – Seorang pemandu lori ditemui lemas selepas keluar menjala ikan di Sungai Pahang dekat pam pasir Kampung Buntut Pulau di sini, jam 10 pagi semalam. 

Mangsa Arman Hamir Hassan, 38, lemas selepas cuba meranduk air untuk pulang selepas selesai menjala ikan di atas paip besi pam pasir terbabit kira-kira jam 6.30 petang kelmarin. 

Bapa mangsa Hamir Hassan Ramli, 61, berkata, selepas selesai menjala mangsa cuba meranduk air sungai sedalam kira-kira 1.2 meter dengan melilitkan jala di leher. 

Menurutnya, mangsa bagaimanapun melalui kawasan air dalam dan pada masa sama jala yang dibawa terbelit pada kepalanya menyebabkannya sukar untuk berenang ke tebing sungai. 

“Ada saksi nampak mangsa ketika mula lemas dan cuba menyelamatkannya tetapi mangsa hilang serta tenggelam ke dasar sungai,” katanya sewaktu ditemui di tempat kejadian pagi, semalam. 

Sementara itu bapa saudara sepupu mangsa Hamdan Sulaiman 52 berkata, pada kebiasaannya mangsa akan ke rumahnya meminjam bot untuk pergi menjala. 

Menurutnya, kebetulan semalam bot dipinjam orang lain menyebabkan mangsa keluar memancing dengan berjalan kaki menyusuri tebing sungai. 

“Memang dia biasa dengan persekitaran dan keadaan sungai di sini kerana akan menjala ikan setiap kali cuti. Tapi semalam nasib dia tidak baik,” katanya. 

Turut kelihatan di lokasi kejadian semalam ahli keluarga mangsa termasuk anak bongsunya Mohd Epi Hidaya, 11, manakala anak sulung mangsa Mohd Arafat, 15, sedang menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Cermin. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin turut meninjau gerakan mencari mangsa pagi semalam. 

Menurutnya, beliau menerima berita kejadian malam kelmarin dan hadir bersama Pegawai Daerah Datuk Dr Sallehuddin Ishak pagi semalam. 

“Polis menerima laporan daripada orang awam petang semalam dan gerakan awal mencari dimulakan malam, semalam. 

“Bagaimanapun selepas cuaca gelap gerakan mencari dihentikan dan disambung kira-kira jam 8 pagi ini (semalam). 

“Selepas dua jam mayat mangsa berjaya ditemui orang kampung kira-kira 20 meter dari tempat dia mula jatuh,” katanya. 

Mohd Sharkar berkata, gerakan mencari semalam disertai lebih 20 penyelamat terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung. 

Sementara itu bapa mangsa, Hami Hassan berkata, mangsa duda anak dua pernah bekerja di Johor sebelum bercerai dengan isterinya dan pindah bersama anak-anaknya dan menetap di Taman Bukit Cermin, Mentakab. 

Menurutnya, dia biasanya dengan tempat kejadian yang juga kampung asalnya dan sering kali pergi menjala seorang diri. Mayat mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Buntut Pulau. 

Awas taktik baru curi wang



KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan syarikat cari gali petroleum di Kerteh, Dungun keru-gian lebih RM2,000 apabila diperdaya individu tidak dikenali melalui panggilan telefon, Khamis lalu. 

Menggunakan taktik kononnya ingin membuat pengesahan permoho-nan tambah had kad kredit, suspek turut mengumpan mangsa dengan mendakwa berlaku transaksi RM7,550 di Indonesia melalui kad kreditnya. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superinten-dan Azmi Adam berkata, mangsa bagaimanapun menafikan ada membuat permohonan tambah had itu dan menggunakan kad kreditnya di Indonesia. 

Menurutnya, berikutan pengakuan mangsa, individu yang mendakwa dirinya wakil bank itu memberikan nombor telefon kononnya Bank Negara bagi membatalkan kad kreditnya.

Hajat baiki rumah berkecai



KOTA BHARU - Hasrat seorang lelaki ingin membaiki rumahnya yang usang tidak kesampaian apabila dia ditemui mati berhampiran tapak stor membeli barangan lusuh di Simpang Tiga Tiong dekat sini, pagi semalam 

Mayat Hanafi Mohamad, 42, bekerja sendiri, ditemui beberapa penduduk kampung selepas ternampak mangsa dalam keadaan tertiarap dengan berpakaian lengkap berhampiran motosikalnya di tapak stor berkenaan kira-kira jam 7 pagi, semalam. 

Lebih menyedihkan penantian seorang isteri yang mengharapkan kepulangan suami tercinta dalam keadaan selamat tetapi disambut dengan berita buruk selepas dia dimaklumkan berhubung penemuan mayat insan tersayang itu pagi semalam. 

Isteri mangsa, Suzana Ismail, 32, berkata, pada malam sebelum suami keluar dia memberitahu hasratnya untuk membaik pulih rumah yang tidak selesa untuk didiami dan dia sangat beria-ia mahu mengutip kayu di tapak kedai membeli barangan lusuh yang sudah dirobohkan itu walaupun sudah lewat malam. 

“Suami saya memberitahu dia mahu keluar mengutip dan menyusun kayu terbuang itu untuk membaiki rumah kami kerana katanya ini adalah peluang dia mendapatkan kayu dengan banyak supaya rumah kami dapat dibaiki dengan segera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Suzana berkata, dia mendapat tahu insiden yang menimpa suaminya itu kira-kira jam 8 pagi semalam selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya ketika dia berada di rumah. 

“Sejak dari malam lagi saya tidak sedap hati dan tidak dapat tidur lena kerana saya mendapati sehingga tengah malam tadi (semalam) suami masih belum pulang, lagipun sebelum ini dia tidak pernah tidak balik. 

“Gerak hati saya mengatakan ada sesuatu yang buruk menimpa suami saya kerana sehingga pagi dia masih belum pulang tetapi apakan daya saya kerana saya tidak dapat menghubunginya kerana dia tidak menggunakan telefon bimbit sehinggalah saya sendiri bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh anak saudara dan sah mayat itu adalah suami saya,” katanya. 

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan difahamkan salah seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Awang di tahan oleh pihak polis bagi mendapat keterangan lanjut berhubung kejadian itu. 

Sementara itu, seorang penduduk, Wan Kahar Wan Mahmud, 42, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu oleh seorang penduduk kampung sebaik pulang dari bertugas. 

Dia yang juga seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, selepas dimaklumkan, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira 20 meter dari rumahnya dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia, kemudiannya menghubungi pihak polis. 

Kejadian itu menyebabkan lalu lintas di kawasan berkenaan menjadi perlahan hampir satu jam dan seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam, Raden Mohd Jasmin Abdul Manaf membantu melancarkan pergerakan. 

Dalam pada itu, abang mangsa Ramli, 54, berkata, dia mengesyaki adiknya terlibat dalam satu pergaduhan ketika mengumpul kayu di kawasan terbabit kerana sebelum kejadian adiknya ada menceritakan masalah kepadanya. 

Dia yang juga seorang kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata, kira-kira jam 3 petang semalam, adiknya ada memberitahu ada seorang penduduk marah kepadanya kerana mencari kayu di kawasan berkenaan. 

”Saya syak dia bergaduh dengan seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan Awang, 40-an, kerana petang semalam dia ada memberitahu tidak puas hati dengan tindakan Awang yang menghalangnya untuk mencari kayu di sini. 

”Saya juga dimaklumkan oleh penduduk, kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam), ada melihat adik saya bersama Awang berada di kawasan berkenaan mengutip kayu,” katanya. 

Bagaimanapun, dia meminta agar polis menjalankan siasatan dengan adil berhubung kejadian terbabit.

Selebriti dituduh rogol remaja




2010/10/12

JAKARTA: Polis di Jakarta Utara menahan seorang bekas finalis ‘Indonesian Idol’ kerana didakwa merogol seorang remaja 19 tahun. 

Ketua Polis Jakarta Utara, Susatyo Purnomo Condro, berkata kelmarin bahawa suspek, dikenali sebagai WSM atau Wilson Simon Maiseka, 21, ditahan di bilik hotelnya dan sedang disoal siasat.“Dia ditahan atas dakwaan merogol seorang gadis dikenali sebagai AG,” katanya.Katanya, kedua-dua mereka pada mulanya mahu bertemu untuk makan malam jam 11 malam Sabtu lalu di Kemang, Jakarta Selatan. 

“Mereka membatalkan rancangan itu, sebaliknya ke Ancol di Jakarta Utara. Dalam perjalanan ke Ancol, Wilson memandu ke sebuah hotel dan pada jam 2 pagi, dia menempah sebuah bilik hotel,” kata Susatyo. – Agensi