Search This Blog

Monday, October 11, 2010

Polis periksa kotak hitam bas ekspres terbabit nahas ngeri




2010/10/11

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti peralatan kotak hitam yang dipasang di dalam bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Rembau, petang semalam. 

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata siasatan dari semua sudut termasuk pemeriksaan kotak hitam sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar berlakunya kemalangan maut terburuk untuk tahun ini.

"Kita akan melaksanakan segala proses siasatan termasuk dari semua sudut bagi memastikan bagaimana tragedi itu boleh berlaku...setakat ini kita sendiri belum dapat pastikan bagaimana sebenarnya kejadian itu berlaku.
"Buat masa ini yang kita tahu, bas itu terbabas di jalan bersebelahan sebelum melanggar beberapa kenderaan...justeru saya minta semua pihak agar jangan membuat sebarang andaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Derma Kurnia Motosikal dan Motokar oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kepada PDRM di Bukit Aman di sini. 

Beliau berkata, hasil semakan dan siasatan awal mendapati bas, syarikat bas serta pemandu bas terbabit yang turut maut dalam kemalangan itu, memiliki rekod bersih dan tiada rekod saman tertunggak. 

Katanya, berdasarkan rekod, syarikat bas tersebut juga tidak pernah terbabit dalam kemalangan serius sebelum ini dan usia pemandu lori tersebut iaitu 52 tahun disifatkan sebagai cukup berpengalaman. 

"Buat masa ini kita jangan tuding jari pada sesiapa...kita tengok pada hasil siasatan nanti, siapa dan apa punca kejadian itu," katanya. 
Abdul Aziz berkata, menurut rekod juga, pernah beberapa kali kenderaan mengalami kemalangan di lokasi sama kerana kawasan tersebut agak gelap. 

"Kalau kita tengok rekod, kemalangan itu tidaklah dikatakan kerap atau lokasi kemalangan maut walaupun kawasan itu agak gelap...tetapi kemalangan ini berlaku pada waktu petang iaitu kira-kira 6.47 petang dan keadaan pada masa itu masih terang," katanya. 

Beliau berkata, bas ekspres berkenaan bertolak pada jam 6 petang dengan 40 penumpang dari Melaka sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira 45 minit kemudian. 

Katanya, sehingga ini seramai 12 individu disahkan terbunuh manakala 38 yang lain cedera termasuk 10 parah dalam kemalangan yang membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta itu. 

Dalam kejadian semalam, bas ekspres Delima tersebut dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas serta melanggar pembahagi lebuh raya lalu melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van serta menghempap dua buah kereta. - BERNAMA 

Tiga mangsa nahas ngeri masih dirawat di Hospital Melaka




2010/10/11

MELAKA: Tiga mangsa kemalangan ngeri di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Rembau, semalam masih dirawat di Hospital Melaka di sini. 

Mereka yang dalam keadaan stabil ialah pemandu bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Omar Yusop, 31, dan R Rajeswari, 22, dirawat di wad biasa manakala Sharifah Nor Asmira, 20, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.

Mangsa yang dibenarkan keluar wad hari ini ialah penumpang bas JKM, Rohana Che Ya, 42, yang mengandung empat bulan setengah.
Mangsa lain ialah Khoo Ai Wah,39, Nur Atiqa A. Rahim, 18, dan Nurshila Abdullah, 25. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Melaka, Datuk Norpipah Abdol, mengesahkan perkembangan tersebut ketika dihubungi di sini. 

Dalam kejadian 6.40 petang itu, dua belas orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah van dan tiga kereta. 

Nahas berlaku apabila bas ekspres itu yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal pemandunya lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas JKM yang menuju ke selatan. - BERNAMA 

Muka hancur ditoreh

KAJANG: Mengerikan apabila muka seorang duda ditoreh hingga sukar dikenali, manakala tangan kanannya putus dipercayai ditetak sebelum mayatnya ditemui orang ramai di satu kawasan lapang di Taman Kajang Utama, di sini, pagi semalam.


NGERI...anggota polis  mengangkat mayat yang ditemui berlumuran darah.
NGERI...anggota polis mengangkat mayat yang ditemui berlumuran darah.

Keadaan mayat yang ngeri menunjukkan pelakunya berdendam dengan mangsa.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Rashid Abdullah, 31, dijumpai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di sebuah kawasan lapang di taman berkenaan pada kira-kira jam 9 pagi oleh orang awam yang kebetulan beriadah di situ.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, dia tidak menolak kemungkinan angkara dendam penyebab kematian mangsa.

“Kejadian ini bukan kerana samun berikutan dompet milik mangsa masih berisi wang RM320 dan dalam keadaan baik, malah tidak dikeluarkan dari poket mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Mangsa yang juga penyelia syarikat keselamatan di sini dipercayai ditetak dan mukanya ditoreh menggunakan senjata tajam berdasarkan keadaan mayatnya yang cedera teruk.
“Dia yang berasal dari Perak juga dikenali penduduk di situ.

“Malah, kami juga mengesan bekas isterinya yang dicerai tiga tahun lalu untuk membantu siasatan,” katanya. Katanya, polis masih menyiasat kenapa mangsa berada di kawasan perumahan itu kerana tinggal di sebuah apartmen di daerah ini.
“Dianggarkan masa kematian mangsa adalah kira-kira jam 3 pagi ketika penduduk kawasan perumahan berkenaan sedang nyenyak tidur.

“Kami kini giat mengesan senjata pembunuhan dan mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya.

Katanya, berdasarkan kecederaan mangsa, polis tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang suspek terbabit dalam kes itu.

Katanya, melihatkan muka mangsa hancur dipercayai ditoreh menggunakan senjata tajam, polis hanya dapat mengenal pasti identiti mangsa menggunakan pengenalan diri di dalam dompetnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Menyayat hati

DAHSYAT...keadaan kereta yang dihempap bas ekspres.
DAHSYAT...keadaan kereta yang dihempap bas ekspres
REMBAU: “Saya melihat ada mayat tanpa kepala dan ada yang putus tangan sebaik turun dari bas selepas kemalangan. Keadaan begitu tragis kerana banyak mayat bergelimpangan,” kata Bohari Saikon, 48, saksi kemalangan ngeri menyebabkan 12 kematian membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Pedas, petang semalam..




TAKDIR...mayat mangsa nahas di tepi jalan.




TAKDIR...mayat mangsa nahas di tepi jalan.
Ketika kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, Bohari dan 43 rakannya yang juga bekas tentera menaiki bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perhimpunan raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Bukit Jalil, jam 2.30 petang.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bas ekspres dari Melaka tiba-tiba terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum merempuh tiga kereta, sebuah van dari arah bertentangan termasuk bas dinaikinya.

“Bas ekspres itu terbalik merentangi jalan. Pemandu bas yang saya naiki juga parah akibat rempuhan bas terbabit yang mengenai bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, sebaik kejadian, dia dan rakannya turun dari bas untuk membantu menyelamatkan penumpang yang selamat.

“Keadaan begitu menyayat hati apabila saya lihat banyak mayat bergelimpangan. Saya tidak dapat pastikan mangsa yang terbunuh itu menaiki kenderaan apa kerana keadaan bas ekspres, tiga kereta dan van itu remuk.
“Kami hanya membantu mereka yang cedera dan mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang selamat dan berjaya dikeluarkan dibawa ke tepi lebuh raya sebelum kami meminta bantuan kereta yang lalu untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka.

“Kami tidak berani mengangkat mayat kerana keadaan kecederaan pada mayat yang mengerikan. Setakat yang saya tahu, kebanyakan mangsa lelaki. Mungkin mereka ini penumpang bas ekspres berkenaan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini, sembilan mangsa dikenal pasti lelaki manakala selebihnya wanita.

Katanya, polis belum dapat mengenal pasti identiti semua mangsa dan jenis kenderaan yang mereka naiki ketika kemalangan. Ini kerana mayat berkenaan bergelimpangan di atas jalan dipercayai tercampak sejurus selepas kejadian.

“Semua mayat dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Kuala Lumpur,” katanya.

Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Yusof Samad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.07 malam sebelum menghantar satu jentera ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di tempat kejadian walaupun terletak kira-kira 20 kilometer berikutan kesesakan teruk lalu lintas sepanjang tiga kilometer,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin.

MAUT: Kemalangan membabitkan dua bas ekspres, satu van dan tiga kereta di KM223 Lebuhraya PLUS berhampiran tol Simpang Ampat, malam tadi dipercayai meragut 12 nyawa dan lebih 40 cedera. - Foto Jaafar Mulup 

Umur persaraan wajib tidak dinaikkan ke 60 tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan umur persaraan perlu dikaji termasuklah kesan terhadap peluang kerja untuk golongan lepasan sekolah, kolej dan universiti serta keperluan sumber manusia dalam sektor tertentu dalam perkhidmatan awam. "Ketiga (ialah) kesan ke atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar.
Kalaupun tidak kecilkan perkhidmatan awam, (kita perlu) mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa jejas perkhidmatan untuk rakyat.

"Keempat (ialah) tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutamanya menjelang umur persaraan 58, adakah mereka mampu terus bekerja atau tidak," katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Menjawab soalan sama ada langkah meningkatkan umur persaraan dapat mengelak tenaga muda yang kini bekerja di sektor awam daripada berhijrah ke sektor swasta, Mohamed Nazri berkata perkara itu dapat diatasi melalui semakan gaji oleh kerajaan dari semasa ke semasa serta pelbagai kelebihan lain bagi memastikan gaji sektor awam terus kompetitif. Contohnya, gaji yang diterima pegawai berkelulusan ijazah pada masa ini lebih baik daripada gaji yang ditawarkan oleh sektor swasta. Kedua, kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan seperti untuk golongan pendidik, dan ketiga, kenaikan pangkat ikut kepakaran seperti dilakukan kepada pensyarah, pegawai perubatan dan penyelidik," katanya. Bulan lalu, Presiden Cuepacs Omar Osman meminta kerajaan menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Menurutnya Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia yang umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Umur persaraan kakitangan kerajaan mengalami perubahan dua kali setakat ini. Pertama, pada 2001 apabila usia persaraan kakitangan sektor awam dinaikkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun, kemudian dilanjutkan kepada 58 tahun pada 2008. -Bernama

Curi motosikal: 12 termasuk sembilan pelajar sekolah ditahan polis

YAN: Dua belas orang termasuk sembilan pelajar sebuah sekolah di sini berumur antara 15 dan 21 tahun ditahan polis dalam dua operasi berasingan pada 4 Oktober dan semalam kerana mencuri motosikal.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, dalam operasi Ops Lejang Bersepadu semalam, polis menahan lima suspek, termasuk tiga pelajar sekolah, iaitu dua ditahan di sekolah dan tiga lagi di rumah masing-masing di Singkir Badung di sini.
"Polis merampas tiga motosikal curi dan sebuah motosikal yang menggunakan komponen yang dicuri manakala polis juga turut merampas empat rangka motosikal dan beberapa komponen yang lain yang telah dibuang ke dalam sungai," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas kelima-lima suspek itu ditahan, mereka membawa pasukan polis ke Sungai Segantang Garam dan menunjukkan tempat rangka dan komponen motosikal itu dibuang.

"Semua suspek ini mempunyai pertalian persaudaraan dan rumah mereka juga berdekatan," katanya.

Ismail berkata, dalam operasi berasingan iaitu pada 4 Oktober lalu, polis menahan tujuh suspek termasuk enam masih bersekolah kerana melakukan kes yang sama.

"Mereka juga berasal dari kampung dan sekolah yang sama dengan kes semalam tetapi mereka itu adalah kumpulan yang berbeza.

"Suspek membawa pihak polis ke hutan paya bakau Sungai Pial dan polis menjumpai sebuah rangka motosikal di situ," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya dua kumpulan ini, kita menyelesaikan banyak kes kecurian di sekitar daerah ini dan Sungai Petani," katanya.-Bernama

Imigresen Kedah tahan 31 pekerja warga asing


11/10/2010 12:36pm

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 31 pekerja ladang warga asing yang didapati tiada dokumen sah, menyalahgunakan pas dan tinggal melebihi tempoh dalam satu operasi di Felda Lubok Merbau, Padang Terap semalam.
Pengarah Imigresen Kedah, Muhammad Hatta Kassim berkata, Ops Hijau bermula pukul 12 tengah hari hingga 6 petang itu melibatkan 17 orang pegawai yang diketuai oleh Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Saiful Rizam Hamzah dan turut mendapat bantuan kira-kira 40 penduduk kampung.
Katanya, tangkapan itu melibatkan empat lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, empat lelaki warga Indonesia, 19 lelaki Myanmar, seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Kemboja.
"Mereka berumur antara 16 dan 34 tahun. 29 orang ditahan atas kesalahan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tiada dokumen sah.
“Seorang lagi, lelaki warga Pakistan ditahan kerana kesalahan di bawah Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi mana-mana syarat pas, permit atau pas sempadan.
"Lelaki Pakistan itu sepatut melakukan kerja-kerja ladang tetapi turut menjual kain. Seorang lagi, lelaki warga Kemboja pula tinggal lebih masa dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)© Akta Imigresen,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini. - Bernama

Warga emas maut dirempuh ETS ketika lintas landasan


11/10/2010 1:01pm

BATU GAJAH 0 Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas dirempuh sebuah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ketika mangsa melintas di landasan kereta api berhampiran stesen kereta api Batu Gajah di sini hari ini.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 10.50 pagi tadi hanya dikenali sebagai Mani, 71 berasal dari sini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad berkata, mangsa melintas landasan itu sambil mengheret basikalnya dan gagal menyelamatkan diri apabila dirempuh ETS yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Mangsa tercampak sejauh 10 meter dari tempat kejadian dan cedera parah dari muka hingga ke pinggang dan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya kepada pemberita. - Bernama

Bas dipandu laju terbabas

PILU: Talib bersama isteri dan anak-anak tidak dapat menahan kesedihan selepas mengecam mayat anaknya, Muhammad Farizuddin Talib, 19, yang menjadi mangsa korban dalam tragedi kemalangan maut bas ekspres di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan) menenangkan keluarga mangsa ketika meluangkan masa melawat di Hospital Melaka, hari ini. - Foto NSTP


SEREMBAN: Bas ekspres dari Melaka ke Kuala Lumpur yang terbabit kemalangan meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), petang semalam dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan.
Penumpang bas itu, Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata, sebelum kejadian dia tidur, namun terjaga apabila terasa terhoyung-hayang akibat bas dipandu laju sebelum hilang kawalan.
“Dalam sekelip mata, bas berpusing, terbalik dan menghempap sebuah kereta Perodua Myvi. Sejurus kemudian kami dilanggar pula oleh sebuah bas lain dari arah belakang,” katanya yang ditemui di wad kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HJTS) di sini, malam tadi.

Nur Najlaa yang cedera ringan di kepala dan tangan, berkata selepas itu dia tidak sedarkan diri dan hanya sedar semula apabila berada di wad kecemasan HTJS.

Sementara itu, seorang jurucakap HTJS berkata sehingga jam 11.30 malam tadi, seramai 24 mangsa yang cedera dibawa ke hospital itu, termasuk seorang pelancong lelaki dari Jepun.

‘Pinjam sekejap’




AYER KEROH - “Saya mahu pinjam sekejap, nanti lepas guna saya pulangkan semula,” kata seorang pencuri bateri bas selepas dicekup sendiri oleh pemilik bas terbabit di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di sini, pagi semalam. 

Misteri kehilangan sembilan buah bateri yang terdapat pada lima buah bas milik seorang pengusaha bas sejak Julai lalu akhirnya terjawab selepas pemiliknya, Hau Hun Kow, 47, itu sendiri dapat menangkap seorang lelaki yang ketika itu berusaha membawa lari sebuah bateri, kira-kira jam 10.30 pagi, semalam. 

Menurutnya, sebelum kejadian, dia dan isteri datang untuk mengambil salah sebuah bas yang diletakkan di bahu jalan kawasan perindustrian itu tetapi berasa curiga selepas melihat sebuah motosikal berada di belakang salah sebuah bas terbabit. 

“Saya dan isteri bergegas turun daripada van yang dinaiki, kemudian menuju ke arah pencuri yang sibuk mengangkat sebuah bateri ke atas raga motosikal,” katanya. 

Pasangan suami isteri itu bertindak menolak lelaki berumur lewat 30-an itu sehingga menyebabkan dia terjatuh ditimpa motosikal dan gagal melarikan diri.

“Orang ramai mula mengerumuni kami dan ada yang mencadangkan supaya lelaki berbangsa India ini diikat dengan tali untuk me­ngelakkan daripada melarikan diri serta mencederakan saya dan isteri.

“Selepas itu, saya membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh dan serahkan suspek kepada pihak polis,” katanya.

Hun Kow bersyukur kerana pencuri itu berjaya ditangkap dan mengesyaki orang sama mencuri sembilan buah bateri miliknya sebelum ini.

“Bisanya, bas sekolah ini memang tidak digunakan pada Ahad tetapi disebabkan saya perlu membawa satu keluarga Cina ke tanah perkuburan di Telok Mas kerana ada kematian, maka saya datang untuk mengambil bas ini.

“Saya bernasib baik dapat menangkap pencuri terbabit. Jika tidak sampai bila-bila pun saya akan menanggung kerugian,” katanya yang tidak pernah membuat laporan polis sebelum ini.

Menurutnya, kejadian berlaku sejak awal Julai lalu dengan purata dua minggu sekali bateri bas hilang.

"Sejak itu juga, reputasi perkhidmatan saya terjejas apabila ada ibu bapa dan pihak kilang yang mengadu mengatakan kami sering lewat mengambil, menghantar anak serta pekerja kilang.

“Malah, ada juga pelanggan kami tidak percaya apabila saya mengatakan bateri bas hilang punca kelewatan perkhidmatan,” katanya.
Hun Kow yang menjalankan perniagaan selama lebih 20 tahun itu mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas setiap dua bateri yang terdapat pada empat buah bas 44 penumpang dan sebuah bateri pada sebuah bas 30 penumpang lesap.

Menurutnya, kali terakhir kecurian yang sama berlaku sebelum pencuri yang mendakwa berasal dari Simpang Ampat itu ditangkap adalah pada 29 September lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Tengah, Deputi Suprintendan Gan Chip Pho ketika dihubungi mengesahkan laporan Hun Kow.

Dihanyut arus lubuk



SEDIM - Hasrat seorang pemuda, Mohd Eizzat Abd Halim, 27, dari Pondok Pengkalan Sanga, Tasek Gelugor untuk mengambil wuduk bertukar menjadi tragedi apabila dia terjatuh dan kemudiannya hanyut dibawa arus deras di Lubuk Siku kira-kira jam 7.30 malam kelmarin. 

Rakan mangsa, Intan Mohd Yussuf, 30, berkata, ketika kejadian dia berdiri kira-kira enam meter dari mangsa. Dia dan mangsa pergi ke tempat kejadian untuk memancing, namun berhenti seketika untuk menunaikan solat. 

“Saya sering memancing dengan mangsa. Kami memancing dan kemudiannya mangsa pergi ke tempat kejadian kerana mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib kira-kira 7.30 malam. 

"Ketika dia hendak melangkah batu yang ada di sekitar arus deras di Lubuk Siku, dia terjatuh dan hanyut. Saya hanya sempat mendengar mangsa memanggil pak cik sebelum hilang dari pandangan. Saya segera maklumkan kejadian kepada penduduk kampung. 

"Saya sudah mengenali mangsa lebih setahun apabila kami sama-sama belajar di Pondok Pengkalan Sanga Tasek Gelugor. Dia merupakan seorang yang tinggi akhlaknya dan mudah untuk berbincang," katanya. 

Kali terakhir mangsa dilihat pada jam 7.30 petang sebelum dihanyutkan arus. Usaha mencari mangsa dijalankan pada jam 8 malam oleh polis, Pasukan Geran Am (PGA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA), bomba dan penduduk kampung. 

Bagaimanapun, sehingga jam 1.30 pagi, mangsa masih tidak dapat dikesan dan polis mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mencari. 

Operasi diteruskan semalam bermula jam 9 pagi. Kira-kira jam 2 petang semua yang terlibat berhenti berehat dan operasi mencari diteruskan pada jam 3 petang. Kira-kira jam 3.30 petang, pasukan penyelamat menemui seluar dan dompet mangsa yang tersangkut di batu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian. 

Sehingga jam 6.10 petang semalam, mangsa masih belum dapat dikesan dan pihak terlibat mengambil keputusan untuk menyambung operasi mencari mangsa hari ini jam 8 pagi. 

Sehingga kini, mangsa dilaporkan hilang lebih 24 jam dan masih belum dapat dikesan. 

Difahamkan, ini adalah kejadian keenam sejak 2005. Walaupun terdapat papan tanda menegah orang ramai melakukan aktiviti perkelahan di tempat kejadian tetapi larangan ini tidak diendahkan. 

Penduduk tempatan mengingatkan orang ramai ada beberapa kawasan di arus deras Sedim yang tidak sesuai untuk diadakan aktiviti perkelahan.

Senarai nama mangsa terbunuh dalam kemalangan ngeri


MELAKA - Berikut adalah nama 12 mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Polis melaporkan mereka terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar.

Mangsa tersebut ialah pemandu bas ekspres R. Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar; penumpang bas ekspres Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim; Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas; Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar; Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana; dan Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga di sini.

Tiga lelaki warga Myanmar itu ialah Pau Khan Tual, 21; Kam Khaw Tual, 28; dan Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui, kenderaan yang mereka naiki belum disahkan).

Pemandu van Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat, Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52 (belum disahkan kenderaan yang dinaiki).

Ops Samseng Jalan, 77 saman dikeluarkan



IPOH – Sebanyak 77 saman dikeluarkan dan 257 pemilik motosikal diberi surat amaran atas pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalan di dua lokasi berasingan sekitar bandar raya ini, malam kelmarin. 

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintenden Mohd Rodzi Rejab berkata, operasi itu dibahagikan kepada dua lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan utama pengguna jalan raya. 

“Fasa pertama, operasi selama tiga jam dijalankan di Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Raja Dihilir bermula 9 malam. 

“Operasi diketuai seorang pegawai dan 18 anggota trafik serta 23 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) ,” katanya. 

Menurutnya, pada operasi pertama, polis mengeluarkan 66 saman dan 257 surat amaran pelbagai kesalahan termasuk 31 kesalahan memandu tanpa lesen, 17 kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan empat kesalahan gagal pamerkan pelekat ‘P’. 

“Selain 61 kesalahan motosikal yang dikesan, polis turut menyaman beberapa kereta atas lima kesalahan sepanjang operasi fasa pertama yang berakhir pada jam 11.59 malam,” katanya. 

Mohd Rodzi berkata, fasa kedua pula, sebanyak 16 saman dikeluarkan termasuk menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh dengan empat kesalahan, tiga kesalahan gagal pamerkan pelekat ‘P’ dan tiga kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. 

“Operasi kedua di Jalan Tun Abdul Razak membabitkan seorang pegawai dan 12 anggota trafik Ipu Pejabat Polis Daerah Ipoh dibantu 23 anggota Rela,” katanya. 

Katanya, keseluruhan pesalah trafik adalah remaja berusia antara 15 hingga 20 tahun dan masih menuntut 

“Semua motosikal disaman dilepaskan kecuali satu motosikal dibawa balik ke IPD kerana penunggangnya melarikan diri ketika ditahan dalam operasi itu,” katanya.

DVD lucah dirampas




JOHOR BAHRU – Sebanyak 25,000 cakera padat digital (DVD) lucah, pelbagai filem tempatan serta antarabangsa cetak rompak bernilai RM150,000 dirampas di Tampoi, di sini, semalam. 

Serbuan dijalankan jam 4.30 petang itu disertai sepasukan 20 pegawai dan anggota Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Johor yang diketuai Stephen Bakum. 

Serbuan selama setengah jam ke empat premis itu turut menahan empat lelaki kerana menjual DVD haram tanpa perakuan B. 

Ketua Cawangan, Bahagian Kawalan Filem Johor, Mohd Nashuddin Daud berkata, DVD berkenaan dijumpai disimpan di atas siling kedai tersebut yang dianggap sebagai bilik rahsia. 

“Selain rampasan DVD, kami juga menahan empat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun disyaki sebagai pekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan. 

“Pemilik juga menyediakan bilik khas iaitu siling sebagai lokasi meletakkan DVD lucah sebagai taktik untuk mengelirukan dan mengelakkan kegiatan itu daripada dihidu dengan mudah oleh pihak berkuasa,” katanya. 

Mohd Nashuddin berkata, serbuan itu dijalankan hasil intipan dua hari yang diterima daripada orang awam. 

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjual DVD tanpa perakuan B dan Seksyen 5 Akta sama kerana menjual DVD lucah. 

“Jika didapati bersalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 18, individu berkenaan boleh didenda hingga RM30,000 atau tiga tahun penjara, manakala kesalahan mengikut Seksyen 5 boleh didenda hingga RM50,000 atau tiga tahun penjara,” katanya.

Polis buru wanita kebas RM1 juta

KUALA LUMPUR: Hanya dengan meniru dan memalsukan tandatangan, seorang wanita berjaya melesapkan wang tunai hampir RM1 juta daripada beberapa pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan dari sebuah firma guaman di sini.

Difahamkan, suspek kerap mengambil kesempatan menggelapkan wang dibayar pelanggan kepada syarikat guaman tempat dia bekerja sebelum melarikan diri.

Sumber polis Kuala Lumpur berkata, dalam kes pertama, sebuah firma guaman di Jalan Yap Ah Shak di sini, kerugian selepas seorang kakitangannya mengambil wang RM9,640 dengan meniru tandatangan pada cek sehingga meyakinkan pihak bank untuk menunaikan cek berkenan.

Katanya, suspek pernah melakukan jenayah sama dan melesapkan wang syarikat RM15,989 sewaktu bekerja di sebuah firma guaman di Plaza Damas, Jalan Hartamas, di sini.

“Berdasarkan siasatan, suspek sering berpindah randah dan bertukar tempat kerja membabitkan beberapa firma guaman sekitar Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu.

“Ketika bekerja di sebuah lagi firma guaman juga di Plaza Damas, suspek cuba menunaikan tiga cek milik syarikat berkenaan dengan memalsukan tandatangan, namun gagal kerana ia dikesan majikannya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah itu membabitkan sebuah firma guaman di Tingkat 3, The Amwalk, 218 Jalan Ampang, di sini. Suspek menunaikan dua cek berjumlah RM600,000 dan RM379,847.56.

“Susulan kes itu polis mencari seorang wanita, Noor Hafizah, 27, dengan nombor kad pengenalan 830610-10-5022 yang dipercayai boleh membantu siasatan empat kes penipuan berkenaan.

“Orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Noor Hafizah berada boleh menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany di talian 012-2834134 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Brickfields, Asisten Superintendan Nazri Mohd. Noor (03-22742222),” katanya.

Selain Noor Hafizah, polis juga mencari seorang lelaki, Leow Han Sing, 31, pemegang kad pengenalan bernombor 791201-10-5217 yang beralamat terakhir 408, Tingkat 3, Blok 76, Seksyen 24, Shah Alam, Selangor.

Han Sing dicari bagi membantu siasatan kes penipuan gaji pekerja sebuah syarikat meletak kenderaan yang beralamat di 708, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara 1, No.9, Jalan 16/11 Off Jalan Damansara, Petaling Jaya di sini.

Lelaki berkenaan dipercayai boleh membantu siasatan kes seorang Eksekutif Sumber Manusia di syarikat terbabit yang memalsukan tandatangan surat pembayaran gaji pekerja.

Dalam kes itu, suspek turut memalsukan tandatangan dalam surat pembayaran gaji pekerja dan memasukkan wang gaji itu ke akaun dua individu dan 18 pekerja yang tidak dibenarkan oleh syarikat masing-masing berjumlah RM167,850, RM183,450 dan RM1,000.

Suspek dikesan turut melakukan perbuatan sama dan melesapkan wang syarikat RM70,456 sebelum itu.

Sesiapa mempunyai maklumat mengenai Han Sing boleh menghubungi KBSJD Dang Wangi, Asisten Superintanden Mazlan Udin atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Redduan Ali di talian 03-23022222.

Pinjam ah long RM2.9j masuk MLM



SEORANG anggota polis melalui kawasan telefon awam yang dipenuhi iklan ah long haram menawarkan pinjaman wang. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Membimbangkan! Percaya atau tidak, wanita bujang dan berkahwin menjadi golongan yang kian terhimpit apabila statistik Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menunjukkan mereka semakin galak meminjam dengan ah long melibatkan hutang mencecah RM2.9 juta sejak 2009 sehingga Ogos tahun ini.
Dalam tempoh dua tahun itu, sebanyak 51 aduan yang diterima biro itu melibatkan wanita berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an mengatakan hidup mereka diselubungi kebimbangan lantaran menjadi buruan lintah darat tersebut kerana gagal melunaskan hutang.
Bagi tahun 2009, sebanyak 51 wanita Melayu Lembah Klang telah meminjam dengan ah long membabitkan hutang RM2.2 juta manakala tahun ini sehingga Ogos pula seramai 16 peminjam berbuat demikian membabitkan hutang berjumlah RM784,000.
Difahamkan, rata-rata jumlah pinjaman berjumlah di antara RM1,000 dan RM300,000 itu dibuat oleh golongan tersebut ialah untuk memulakan perniagaan dan menyertai program pemasaran pelbagai peringkat (MLM).
Ketika mendedahkan perkara tersebut, ketua jabatan itu, Datuk Michael Chong berkata, walaupun jumlah pengadu melibatkan wanita Melayu masih rendah berbanding wanita kaum lain, ia tidak boleh dipandang ringan.

Pekikan cemas lepas berhimpun



SALAH seorang mangsa histeria di SMKA Sheikh Abdul Malek cuba 
ditenteramkan oleh rakan-rakannya semalam.


KUALA TERENGGANU – Warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini diselubungi suasana kelam-kabut serta cemas apabila enam pelajar perempuan sekolah itu menjerit-jerit diserang histeria semalam.
Kejadian pukul 8 pagi itu berlaku sebaik semua pelajar kembali ke kelas masing-masing selepas menghadiri perhimpunan harian.
Difahamkan, mangsa pertama kejadian histeria semalam adalah seorang pelajar tingkatan dua yang dikatakan turut mengalami histeria pada kejadian yang sama Khamis lalu.
Sementara lima yang lain ialah pelajar tingkatan lima yang sedang mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sumber yang enggan dikenali memberitahu, ini merupakan kejadian kedua pelajar sekolah tersebut diserang histeria dalam tempoh seminggu selepas kejadian pertama pada Khamis lalu.
“Sebelum kejadian kebanyakan pelajar telah kembali ke kelas masing-masing selepas selesai perhimpunan dan keadaan bertukar cemas serta kelam-kabut apabila seorang pelajar perempuan tiba-tiba meraung-raung,” katanya

Kemalangan ngeri 10.10.10



PASUKAN penyelamat mengusung seorang mangsa kemalangan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah semalam.


MELAKA – Tarikh 10.10.10 yang dinanti-nanti kebanyakan orang ‘meragut’ 12 nyawa manakala lebih 40 orang cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah semalam.
Dalam tragedi ngeri pada pukul 6.40 petang, kesemua mangsa yang terkorban terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita.
Setakat tengah malam tadi identiti semua mangsa belum dikenal pasti.
Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah bas ekspres Delima, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga buah kereta, sebuah van dan sebuah motosikal.
Seorang jurucakap syarikat Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) ketika dihubungi berkata, kemalangan itu didakwa berpunca daripada bas ekspres Delima yang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke ibu negara. Bas itu didakwa terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.
“Selepas melanggar pembahagi jalan bas tersebut berpusing-pusing memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah van yang dalam perjalanan ke selatan.
“Bas Delima itu kemudian merempuh sebuah Perodua MyVi, bas JKM dan tiga buah kenderaan lain,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Difahamkan 12 mangsa yang terkorban membabitkan sepuluh penumpang bas Delima, seorang penumpang van dan seorang penunggang motosikal lelaki.