Search This Blog

Saturday, October 9, 2010

20 maut letupan dalam masjid





2010/10/09

KABUL: Satu letupan kuat berlaku di sebuah masjid, mengakibatkan 20 orang terkorban termasuk gabenor wilayah di utara Afghanistan semalam. 

Lebih 35 orang cedera dalam letupan ketika solat Jumaat di masjid Shirkat di wilayah Takhar, kata ketua polis wilayah, Jeneral Shah Jahan Noori.Gabenor wilayah Kunduz yang terletak bersebelahan wilayah berkenaan, Mohammad Omar, terbunuh dalam letupan itu, kata Shah Jahan.
Gabenor Takhar, Abdul Jabar Taqwa berkata, Omar mungkin sasaran mereka. “Kami percaya sebutir bom dipasang di masjid berkenaan untuk membunuh gabenor berkenaan,” katanya. 

Utara Takhar menyaksikan keganasan meningkat ketika pasukan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Afghanistan memperhebatkan lagi operasi sejak beberapa minggu lalu.

Mayat 3 mangsa terakhir pelanggaran bot ditemui




2010/10/09


LUMUT: Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui tiga mayat nelayan terakhir yang hilang dalam nahas apabila bot pukat jerut
mereka dilanggar sebuah kapal dagang di Kuala Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam,Selangor, Khamis lalu. Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan, berkata mayat tekong bot yang dikenali sebagai Kee Teck Huat, 47, dari Sungai Lang, Sabak Bernam, ditemui pada 7.20 pagi tadi kira-kira 12.2 batu nautika dari
pantai Sungai Besar, Selangor.

"Kira-kira 8.40 pagi pula, anggota PGM telah mengesan mayat kelima dikenali
sebagai Lim Lian Sy, 28, berasal dari Bagan Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar,
Sabak Bernam kira-kira 12.5 batu nautika dari pantai Bagan Nakhoda Omar,"
katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa terakhir ditemui pada 9.55 pagi kira-lira 13.95
batu nautika dari pantai sama, yang dikenali sebagai Kee Cheng Chong, 59, dari
Taman Cemerlang Tiga, Hutan Melintang, Hilir Perak dekat sini.

"Kesemua mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku
Ampuan Jemaah, Sabak Bernam untuk menjalani bedah siasat," katanya yang telah
mengarahkan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada 12.30 tengah hari. - BERNAMA

Angkara rasuah RM1,000, anggota polis bakal dijel



KUALA LUMPUR - Dua anggota polis peronda bukan saja kehilangan kerja malah terpaksa meringkuk dalam penjara jika didapati bersalah menerima rasuah RM1,000. 

Mohd Nawi Awang, 49, dan Suhaimi Sulaiman, 38, masing-masing berpangkat Lans Koperal mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozillah Salleh, di sini, semalam. 

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang kini digantung tugas didakwa memperoleh rasuah RM1,000 untuk diri sendiri kira-kira jam 11.50 malam di Jalan Sempurna, Setapak, pada 5 Oktober 2006, daripada seorang buruh kasar warga asing, Dalini Basar supaya melepaskan seorang rakannya yang berada dalam tahanan polis. 

Bagi pertuduhan ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee mendakwa mereka mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan rasuah 1997. Jika sabit kesalahan, dua anggota yang sebelum ini bertugas di Balai Polis Setapak boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan. 

Mahkamah menetapkan 19 November ini sebagai tarikh sebutan bagi membolehkan mereka melantik peguam selepas membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Akibat air pasang




TELUK INTAN - Banjir kilat akibat fenomena air pasang besar melanda Teluk Intan sehingga menyebabkan beberapa kawasan di sini ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter termasuk bandar Teluk Intan dan beberapa kampung berhampiran, awal pagi kelmarin. 

Salah seorang penduduk, Khomijah Mat Tiridy, 52, berkata, kejadian banjir yang berlaku kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh tiga tahun. 

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan dia tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang daripada ditenggelami air. 

“Inilah banjir yang paling buruk pernah kami hadapi sejak tinggal dan membesar di sini kerana banjir yang berlaku sebelum ini tidaklah seteruk ini. 

“Sekurang-kurangnya tiga hari perlu untuk memastikan air keluar dari dalam rumah, namun bergantung kepada keadaan air pasang itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebun Limau, Kampung Bahagia, di sini, kelmarin. 

Khomijah berkata, tidak sampai setengah jam, air memenuhi bahagian dalam dan luar rumah kira-kira jam 6 pagi, kelmarin. 

“Banyak barang-barang dan peralatan elektrik rosak kerana tidak sempat untuk dialihkan ke tempat yang lebih tinggi,” katanya. 

Dia berkata, kerugian yang dialami dianggarkan RM10,000 dan kini tiada tempat lain untuk menumpang sementara menunggu keadaan kembali seperti sedia kala. 

Katanya, ketika kejadian enam orang berada di dalam rumah termasuk bapanya yang juga warga emas dan sudah pun uzur. 

“Tak tahu ke mana kami hendak tinggal kerana dalam keadaan air yang memenuhi ruang rumah, tiada tempat untuk kami tidur. 

“Kalau boleh tidur pun kami tidak berani kerana bimbang keselamatan jika air tiba-tiba naik,” katanya yang sedih dengan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga. 

Seorang bakal pengantin, Faridatul Aini Abdul Hamid, 31, yang melangsungkan perkahwinan hari ini kerugian RM13,000 kerana 90 peratus persiapan majlisnya musnah. Bagaimanapun majlis berkenaan tetap diteruskan.

Gadai kedai kopi, rumah, bayar hutang anak



KUALA LUMPUR – Seorang bapa sanggup gadai kedai kopi dan rumah untuk membayar hutang anak lelakinya kepada ah long, sejak tujuh tahun lalu. 

Bukan itu saja, malah keluarga lelaki, dikenali sebagai David Chan See Hang, 34, juga membelanjakan kira-kira RM400,000 untuk melangsaikan hutangnya dalam tempoh berkenaan. 

Chan Kwai Keong, 69, berkata, anaknya gemar berjudi hingga sanggup meminjam wang keluarga, saudara dan rakan selain ah long untuk memenuhi keinginannya. 

Bagaimanapun, katanya, David enggan membayar hutang terbabit, malah mengharapkan keluarga membayarnya. 

“Dia (David) jarang balik ke rumah, apabila dia wang dan perlindungan, barulah dia balik rumah. 

“Baru-baru ini, kami dapat notis menyatakan dia berhutang RM30,000 kepada ah long dan David mencabar kami sekeluarga untuk membayarnya. Jika tidak berbuat demikian, dia mengugut tidak akan keluar daripada rumah itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, semalam.Turut hadir ialah Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong. 

Chan, seorang pesara berkata, dia dan isteri serta adik David menjadi mangsa ah long apabila kerap diganggu sindiket itu dengan simbahan cat merah di sekitar rumah, menerima notis supaya membayar hutang dan kediaman dibaling dengan botol minuman keras beberapa kali. 

Katanya, pintu pagar rumahnya juga pernah dikunci menggunakan rantai besi sehingga terpaksa memanggil polis untuk memotong rantai berkenaan dan sudah beberapa kali membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields. 

“Saya dan isteri tidak larat lagi untuk melangsaikan hutangnya, kami sudah tua, sudah tiada duit dan kami minta kalau mahu wang itu, cari David, saya mahu memutuskan hubungan dengannya (David), jangan bebankan kami lagi. 

“Saya kecewa dengan sikap David yang masih tidak berubah dengan tabiatnya hanya tahu meminjam tetapi enggan membayar,” katanya. 

Ditanya mengenai pekerjaan David, Chan pernah mendengar anaknya bekerja sebagai jurujual, namun tidak diketahui lokasinya.

Ribut landa taman perumahan



SEREMBAN - Hujan lebat menyebabkan lebih 50 rumah teres di Taman Satria, Senawang dekat sini rosak selepas dilanda ribut, petang semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, sebahagian besar di taman perumahan itu rosak teruk di bahagian bumbung selepas diterbangkan ribut, selain beberapa kerosakan kecil pada bahagian lain. 

Tidak terkecuali, pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT), pusat Internet, surau serta khemah untuk mengadakan kenduri turut mengalami kerosakan. 

Bekalan elektrik di sebahagian besar taman perumahan itu juga terputus. 

Penduduk mendakwa, kejadian ribut itu yang terburuk dalam sejarah taman perumahan berkenaan. 

Seorang penduduk, Rohana Yahya, 28, berkata kejadian itu begitu menggemparkan penduduk di taman perumahan berkenaan. 

Ketika kejadian, katanya, dia sedang tidur sebelum tersedar semasa ribut berlaku. 

Menurutnya, dia bertindak keluar rumah untuk melihat dan mendapati beberapa keping bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang. 

“Bumbung rumah saya sedang diperbaiki untuk diganti baru. Tetapi, saya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini terutama kepada anak-anak saya yang semasa itu berada dalam rumah,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Nora Samsudin, 42, berkata, dia dimaklumkan anaknya melalui telefon bahawa bumbung rumahnya diterbangkan angin dan keseluruhan rumahnya dimasuki air hujan. 

“Ketika kejadian, saya masih di tempat kerja. Selepas dimaklumkan, saya terus balik ke rumah dan melihat suasana kecoh di taman perumahan itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan, semalam. 

Bagi Mohamad Hasan, 67, ini kali pertama dia melihat lebih 50 rumah rosak akibat ribut yang dianggapnya sebagai paling buruk dalam sejarahnya. 

“Ini pertama kali berlaku dan saya tengok banyak yang rosak dengan keadaan dalam rumah dipenuhi air. Setakat ini, tak pasti lagi kos kerugian yang perlu ditanggung penduduk,” katanya. 

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Taman Satria, Mohd Ghazali Wahid berkata, taman perumahan sebelum ini pernah beberapa kali dilanda ribut. 

“Bagaimanapun, kali ini paling buruk kerana rumah yang terlibat lebih daripada 50 buah selain bangunan kemudahan taman. Barangkali kawasan taman ini agak tinggi menyebabkan ribut mudah berlaku apabila hujan lebat," katanya.

Kalendar berahi untuk Putin



MOSCOW - Kebanyakan orang membawa hadiah sempena hari lahir Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin yang ke-58, tetapi sekumpulan pelajar universiti memilih untuk beraksi ghairah. 

Beberapa pelajar perempuan: bidang kewartawanan dari universiti terkemuka di Rusia melakukan penggambaran dengan memakai baju dalam seksi untuk menghasilkan kalendar dipenuhi dengan ucapan hari jadi kepada Putin. 

Penerbitan kalendar itu adalah publisiti terbaru untuk Putin, yang terkenal dengan usaha berterusannya mengekalkan imej lelaki macho melalui gambar menunjukkan beliau berkuda tanpa baju dan mengintip harimau di hutan Siberia. 

Kalendar yang dihasilkan secara terhad itu menunjukkan gambar pelajar perempuan berlainan bagi setiap bulan dalam tahun 2011 yang dihiasi dengan kata-kata ditujukan kepada Putin. 

Kata-kata seperti "Anda hanya bertambah baik setiap tahun", dan "Api sudah padam, tetapi saya masih terbakar" - merujuk kepada kebakaran hutan di Rusia beberapa bulan lalu, di mana Pu:tin membantu memadamkan kebakaran dengan menyimbah air dari kapal terbang - boleh didapati dalam kalendar itu. 

Bagaimanapun, tindakan pelajar itu dikutuk oleh sekumpulan pelajar kewartawanan lain dari Universiti Moscow State yang membalasnya dengan menerbitkan kalendar mengkritik kepimpinan Putin. 

Salah satu gambar di dalam kalendar itu menyoal "Siapa yang bunuh Anna Politkovskaya?” iaitu wartawan Rusia yang mati dibunuh selepas mendedahkan pencabulan hak asasi manusia di negara bekas Soviet itu.

Polis serbu premis judi komputer di Langkawi


LANGKAWI - Polis menyerbu sebuah premis perniagaan di pekan lama Padang Matsirat di sini dan merampas wang tunai RM3,255 daripada kegiatan permainan judi komputer dalam satu operasi malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Ishak Hasan berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Langkawi menyerbu premis perniagaan tiada bernombor itu kira-kira pukul 10.30 malam kerana disyaki menjalankan kegiatan permainan judi komputer tanpa lesen.

"Hasil pemeriksaan polis mendapati premis itu tiada mempunyai lesen perniagaan dan merampas beberapa peralatan judi," katanya hari ini.

Katanya, turut dirampas ialah 19 unit komputer pelbagai jenama.

Beliau berkata, terdapat 11 pelanggan dan seorang penjaga premis semasa serbuan itu. Bagaimanapun tiada penahanan dibuat.

Kes itu disiasat dibawah kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

Bilik khas pilih DVD lucah



JOHOR BAHRU – Lebih 23,000 cakera padat digital (DVD) lucah selain pelbagai filem tempatan dan antarabangsa cetak rompak bernilai kira-kira RM130,000 dirampas di Pasar Borong Pandan, di sini, kelmarin.

Serbuan khas yang dijalankan pada jam 8.30 malam itu disertai sepasukan 34 pegawai dan anggota Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Johor bersama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) Wilayah Selatan. 

Serbuan itu turut menahan pemilik tujuh premis dianggap sebagai lubuk menjual DVD haram tanpa perakuan B yang berdegil meneruskan perniagaan walaupun sudah empat kali diserbu kerana melakukan kesalahan sama. 

Ketua Cawangan, Bahagian Kawalan Filem Johor, Mohd Nashuddin Daud berkata, ketika serbuan dijalankan penjual yang sedang leka melayan pelanggan sekali gus tidak sempat untuk melarikan diri. 

Menurutnya, serbuan itu dijalankan hasil maklumat orang awam yang diterima oleh pihaknya diikuti risikan sejak beberapa hari lalu untuk memastikan dakwaan berkenaan benar.

“Selain rampasan DVD kami juga menahan tujuh individu berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun disyaki sebagai pekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan.

“Pemilik juga menyediakan bilik khas kepada pelanggan yang ingin mencari DVD lucah sebagai taktik untuk mengeliru dan mengelakkan kegiatan itu daripada dihidu dengan mudah oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat KDN Cawangan Johor, Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini, semalam.

Mohd Nashuddin berkata, serbuan sama juga akan diteruskan dari masa ke semasa selaras de ngan perancangan KDN Cawa ngan Johor untuk membersihkan Johor Bahru daripada penjualan bahan lucah dan cetak rompak.

“Serbuan ini adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk menjalankan penguatkuasaan secara habis-habisan bagi membanteras kegiatan yang merugikan negara.

“Kami juga sudah mengenal pasti beberapa lagi lokasi di sekitar bandar raya menjadi pusat penjualan DVD lucah serta pelbagai lagi filem tanpa perakuan B,” katanya.

Selain itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjual DVD tanpa perakuan B dan Seksyen 5 Akta sama kerana menjual DVD lucah lucah.

“Jika didapati bersalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 18, individu berkenaan boleh didenda hingga RM30,000 atau tiga tahun penjara, manakala kesalahan me ngikut Seksyen 5 boleh didenda hingga RM50,000 atau tiga tahun penjara,” katanya.

Justeru, Mohd Nashuddin berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan menghubungi talian 07-2269642 atau 07-2269643 bagi membantu membasmi penjualan cetak rompak haram.

Kemalangan misteri




MERU - Mayat seorang lelaki warga Myammar yang lengkap memakai topi keledar ditemui terbaring berhampiran jalan kecil di ladang kelapa sawit, Jalan Haji Salleh di sini petang kelmarin. 

Difahamkan orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 6 petang ternampak kelibat sekujur tubuh lelaki lalu mendekatinya dan terkejut mendapati mangsa sudah tidak bergerak. 

Orang awam tersebut kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu. 

Polis yang tiba di tempat kejadian kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa Zin Myo Min, berusia 22 tahun. 

Pada awalnya polis mengesyaki mangsa dibunuh bagaimanapun tidak terdapat kesan serangan atau tikaman pada badan mangsa. 

Malah sebarang senjata juga tidak ditemui berhampiran tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, berdasarkan kesan calar yang terdapat pada jalan bertar tidak jauh daripada mayat mangsa, polis percaya kemungkinan sebelum kejadian, mangsa menunggang motosikal. 

“Dia dipercayai gagal mengelak lalu terbabas dan tercampak ke tepi jalan. 

“Kesan hentakan badan mangsa pada batu besar yang terdapat berhampiran mayat mangsa dipercayai menjadi punca mangsa mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia. 

“Menjadi kemusykilan apabila motosikal yang dipercayai ditunggang atau dibonceng mangsa turut tiada di tempat kejadian,” katanya. 

Menurutnya, polis yang tiba di lokasi kejadian membawa mayat mangsa ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Polis meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi membantu siasatan. 

“Dalam pada itu, saya minta waris atau rakan yang mengenali mangsa agar hadir ke Bilik Mayat HTAR untuk menuntut mayat mangsa,” katanya kepada Sinar Harian semalam. 

Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)

Gempar mayat terapung




MARANG - Pengunjung Pulau Gemia, Marang, di sini, gempar seketika apabila sekujur tubuh manusia yang sudah tidak bernyawa ditemui dalam keadaan terapung di kawasan perairan pulau peranginan berkenaan, kira-kira jam 7.50 pagi semalam. 

Berdasarkan pakaian ditemui, mayat tersebut yang masih lengkap sifatnya, dipercayai seorang nelayan warga negara asing. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya (gambar) ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, sebaik mendapat maklumat daripada orang awam, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Marang terus bergegas ke tempat kejadian. 

Menurut beliau, usaha mencari mayat tersebut turut disertai Pasukan Gerakan Marin Wilayah Timur yang berpangkalan di Kuala Terengganu. 

“Mayat itu ditemui pada jam 10.25 pagi oleh pasukan Marin dan ketika ditemui, ia masih lagi cukup sifatnya dan berpakaian, bagaimanapun mayatnya kelihatan sudah menggelembung.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya ia adalah mayat warga negara asing, terdapat tatu pada badannya, manakala pakaiannya pula menunjukkan kemungkinan ia seorang nelayan.

“Bagaimanapun, kita ma sih lagi meneruskan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai fizikal mayat tersebut, Ah mad Mazlan berkata, ia dipercayai seorang lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an dan mempunyai ketinggian lebih lima kaki serta berkulit cerah.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempu nyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Panik rumah terbakar



TUMPAT - Seorang anak hampir pengsan dan terpaksa ditenangkan jiran kerana menyangka ibunya terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah berusia 50 tahun, pagi semalam. 

Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 7 pagi di kampung Kutan Hulu, Kalsom Yaakob, 65, yang disangka terperangkap dalam kebakaran itu selamat kerana ketika kejadian dia bermalam di rumah anaknya, Mohd Rozi Yaakob, 50, di Kampung Tendong Pasir Mas. 

Anak mangsa, Nor Zihan, 39, yang hampir pengsan itu berkata, dia panik melihat rumah ibunya terbakar dan bergegas turun dari rumahnya ke rumah ibunya untuk mengejutkan ibunya itu. 

“Saya panggil nama ibu sekuat hati, walau pun api semakin marak membakar, saya tidak peduli itu semua kerana saya sangka ibu terperangkap di dalam rumah tersebut. 

“Walau pun ditenangkan oleh jiran-jiran, saya tetap melaung memanggil nama ibu sehinggalah saya melihat kelibat ibu saya di tempat kejadian tersebut,” katanya yang bersyukur rupanya ketika kebakaran rumah itu, ibunya belum pulang lagi dari rumah abangnya di Tendong. 

Kalsom sudah 10 hari berulang-alik ke rumah anaknya di Tendong dan bermalam di sana, serta rutinnya akan pulang ke rumah di Kutan Hulu pada sebelah pagi sekitar jam 7 pagi. 

Nor Zihan berkata, ibunya tinggal bersama abangnya kerana dia dan suami tidak dapat menemaninya pada sebelah malam kerana berniaga di tapak pasar malam sekitar Tumpat. 

Katanya, ketika kebakaran berlaku dia bersama lima anak serta suami sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan anak lelakinya, Danial Azri Mat Zawawi, 16, mengenai kejadian yang menimpa rumah ibunya itu dan bergegas cuba menyelamatkan. 

“Saya dan ibu hanya mampu melihat rumah peninggalan arwah terbakar. 

Tidak sampai 10 minit, rumah ibu musnah kerana api merebak dengan pantas, namun bersyukur kerana api dapat dikawal sebelum merebak ke rumah saya dan jiran,” katanya yang memaklumkan ibunya mengalami kerugian hampir RM50,000 apabila semua perabot, dua buah motosikal dan pakaian musnah. 

Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Tumpat, Mohd Nasir Che Othman berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dan Darul Naim dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.08 pagi. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, keadaan api masih marak sebelum berusaha memadamnya. 

“Api dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya

Empat lagi anggota imigresen ditahan


Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/10/09

SPRM lakukan operasi di Jeti Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Empat lagi anggota imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, termasuk seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah sehingga menyebabkan pintu keluar masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin.Mereka ditahan dalam operasi khas antara jam 10 pagi dan 6 petang. Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini 11 orang, selain lapan orang awam.
Sembilan daripada mereka bekerja di Jeti Penumpang Pulau Ketam, mana dua lagi adalah pegawai di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua anggota yang ditahan semalam bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, sejak kira-kira setahun lalu.

“Empat anggota terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan ketika bertugas dan juga di kediaman masing-masing sekitar Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berita Harian pada 27 Ogos lalu dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia. 
Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa dipercayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan. 

Susulan pembongkaran itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman menukarkan 20 anggota dan pegawainya di Pelabuhan Klang ke cawangan lain.

Kegiatan sindiket itu mula dikesan apabila pendatang tanpa izin yang memulakan perjalanan keluar atau masuk ke negara ini dikehendaki memberi sejumlah wang suapan dikenali ‘duit gerenti’ kepada kapten kapal. 

Ketika menahan dua pegawai imigresen di Jeti Port Dickson, SPRM turut menemui wang transaksi sebanyak RM26,000, manakala penahanan seorang anggotanya di Jeti Penumpang Pulau Ketam pula menemui wang tunai RM30,000 di rumah anggota terbabit.

Sumber memberitahu Berita Harian, penahanan empat anggota semalam adalah hasil maklumat yang diperoleh daripada anggota sindiket yang ditahan berhubung kegiatan sama sebelum ini.