2010/10/08
BENCANA: Sisa balak dan kayu terapung memenuhi laluan di Sungai Rajang terutama di Sibu dan Kapit sejauh 50km sejak semalam mengakibatkannya tidak boleh dilalui oleh semua bot. Kejadian dipercayai berlaku akibat tanah runtuh besar-besaran di Putai dan Nungun - kawasan konsesi pembalakan di Balleh di pedalaman Bahagian Kapit berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu. - Foto Sin Chew Daily
SIBU: Kerajaan Sarawak akan mengadakan siasatan menyeluruh berhubung keadaan yang membimbangkan apabila sisa kayu terapung memenuhi laluan di Sungai Rajang, mengakibatkannya tidak dapat digunakan oleh semua bot.
"Kami perlu mengenal pasti puncanya, tetapi jika ada bukti yang menunjukkan bahawa ia diakibatkan oleh faktor manusia, tindakan tegas akan diambil terhadap pelakunya," kata Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Sungai Rajang, sungai terpanjang di negara ini iaitu 563 kilometer dari puncanya, tidak boleh dilalui oleh semua bot, sama ada besar atau kecil, sejak tengah hari ini.
Sungai itu bagaikan tali sawat penyampai di kilang papan tetapi bukannya mengangkut papan yang telah pun digergaji, sebaliknya terus menerus membawa pokok yang tercabut, balak yang dibuang dan segala bentuk sisa pepohon dari Kapit, kira-kira 176km dari sini.
Kapit mengalami keadaan mencemaskan itu kira-kira 2 petang semalam.
Wong yang melihat keadaan itu dari Terminal Bot Ekspres Kapit, manggambarkannya sebagai "bencana alam semula jadi secara besar-besaran."
"Saya dimaklumkan di Kapit semalam bahawa sisa-sisa itu terapung sejauh kira-kira 50km.
"Keadaan ini masih berterusan di Kapit hari ini sungguhpun berlaku dalam bahagian dan ukuran yang lebih kecil," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Wong berkata beliau dimaklumkan bahawa terdapat tanah runtuh besar-besaran di Putai dan Nungun, iaitu kawasan konsesi pembalakan di Balleh di pedalaman Bahagian Kapit ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih menunggu laporan terperinci daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri.
Wong berkata keadaan itu belum pernah dilihat atau dialami sebelum ini dan ia agak menakutkan. - BERNAMA