Search This Blog

Thursday, October 7, 2010

Kes Sosilawati: Jesyntha yang diburu polis serah diri



07/10/2010 9:06pm

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Jesyntha Clarene Isreal yang diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.
Menurut laman sosial Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jesyntha menyerah diri dengan ditemani peguamnya kira-kira pukul 5 petang sebelum ditahan oleh polis.
Baru-baru ini, PDRM melalui laman Facebooknya itu mendedahkan maklumat mengenai wanita tersebut yang berusia 27 tahun kepada umum kerana dipercayai mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.
Media tempatan turut melaporkan bahawa Jesyntha difahamkan merupakan isteri kedua kepada seorang suspek kes pembunuhan kejam tersebut yang dikatakan mengetahui perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan jual beli tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu. – Bernama

3 suspek samun berjaya loloskan diri



KUALA LUMPUR 6 Okt. - Walaupun tugas polis trafik mengawal lalu-lintas, namun ia tidak menghalang anggota polis dari cawangan terbabit melaksanakan tugas menangkap penjenayah.
Ini dibuktikan oleh seorang anggota polis trafik di Balai Polis Tun H.S Lee, Lans Koperal Mohd. Said Abd. Rahman yang terserempak dengan dua pelancong lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang menjadi mangsa samun sekumpulan penjenayah menaiki sebuah kereta di Jalan Panggung di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, anggota polis terbabit sedang menaiki motosikal untuk ke pergi tempat kerja apabila ditahan oleh mangsa yang kemudian memaklumkan insiden jenayah tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, Mohd. Said bertindak segera mengejar kereta Proton Wira dinaiki oleh tiga penjenayah terbabit termasuk seorang wanita.
Katanya, suspek sebelum itu menyamun dan merampas sebuah komputer riba milik mangsa sebelum melarikan diri ke arah Jalan Syed Putra menghala ke Taman Connaught, Cheras dekat sini.
"Kereta berwarna merah hati dan bernombor pendaftaran AGB 5547 itu bagaimanapun hilang kawalan dan berpusing-pusing sebelum berhenti di tengah-tengah jalan di Jalan Jalan Syed Putra menghala ke Taman Connaught," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa majlis perasmian Balai Polis Travers di sini hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun yang pernah bertugas sebagai Ketua Polis Balai di situ.
Menurut Mohammad Sabtu, kereta suspek yang berhenti dan berpusing semula ke arah pusat bandar menghadap kenderaan-kenderaan lain secara bertentangan telah membimbangkan Mohd. Said.
"Dia segera turun daripada motosikalnya untuk menghalang kenderaan lain daripada melanggar kereta suspek dan pada masa sama mengarahkan suspek keluar menyerah diri.
"Suspek bagaimanapun enggan bekerjasama sebaliknya cuba melanggar Mohd. Said sebelum membuat pusingan U dan memecut melarikan diri ke arah Alam Damai, Cheras," katanya.
Beliau berkata, melihat keadaan itu, Mohd. Said melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta suspek namun tersasar menyebabkan dia mengambil keputusan kembali mengejar penjenayah terbabit.
Dalam masa sama, katanya, dua kereta peronda dari Balai Polis Alam Damai turut membantu mengejar suspek namun keadaan kawasan Alam Damai yang terlalu banyak persimpangan telah membantu suspek menghilangkan diri.
Tambahnya, usaha mengesan penjenayah terbabit masih diteruskan dan orang ramai yang melihat kereta atau mengenali suspek boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

UPP rampas 13,000kg beras seludup bernilai RM39,000



MAZLAN Che Hamid (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan beras Siam seludup yang dirampas di Pengkalan Kubor, Tumpat, kelmarin.


TUMPAT 6 Okt. - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri merampas 13,000 kilogram beras Siam bernilai RM39,000 yang cuba diseludup ke negara ini dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Pangkal Meleret, Machang, semalam.
Komandernya, Mazlan Che Hamid berkata, premis itu dipercayai dijadikan pusat pengumpulan beras seludup yang dibawa masuk secara kecil-kecilan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan itu sebelum sepasukan lima anggota UPP Pengkalan Kubor membuat intipan di Machang, kira-kira pukul 10 malam.
Beliau berkata, kira-kira enam jam kemudian, anggota terbabit yang turut dibantu oleh UPP Rantau Panjang dan dua anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia membuat serbuan di kawasan tersebut selepas mengesan beberapa lelaki sedang memunggah beras dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik sahaja diserbu, kesemua suspek berjaya melarikan diri, bagaimanapun pemeriksaan yang dilakukan telah menemui satu longgokan beras sebanyak 260 kampit dengan setiap satunya seberat 50 kilogram dianggarkan bernilai RM39,000.
"Kita juga dapati rumah tersebut dijadikan transit beras yang diseludup dari negara jiran sebelum diangkut menggunakan lori ke destinasi-destinasi tertentu di seluruh negara," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, beras tersebut telah diisi dalam guni yang menggunakan label Beras Nasional (Bernas) bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Katanya, siasatan awal mendapati, beras-beras tersebut dibawa masuk untuk pasaran luar Kelantan dan kilang-kilang beras berlesan juga disyaki bersekongkol dengan penyeludup untuk mendapat keuntungan yang lebih.
"Kita percaya dengan jumlah penyeludupan yang besar ini, beras-beras ini akan dihantar ke kilang-kilang beras berlesen di luar dari negeri ini untuk dipek semula dengan pelbagai jenama sebelum dijual di pasaran.
"Dengan cara ini, pemilik-pemilik kilang berlesen akan memperolehi keuntungan berlipat kali ganda kerana beras tersebut dibeli pada harga yang rendah sebelum dijenamakan semula dan dijual mengikut harga pasaran," ujarnya.

Tikam rakan akibat ejekan dalam Facebook





2010/10/07

MUAR: Dua rakan baik yang membuat komen ejek-mengejek dalam laman sosial Facebook, berakhir dengan pergaduhan menyebabkan seorang daripada mereka parah ditikam di sebuah kafe di Jalan Meriam, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Neo Boon Chi, 24, parah di rusuk kanan dan tangan selepas dipercayai ditikam berulang kali dengan pisau pelbagai guna.
Mangsa dihantar mendapat rawatan awal di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan keadaannya stabil.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata dua rakan itu bertemu di sebuah kafe di Jalan Meriam untuk menyelesaikan perselisihan faham itu tetapi ia berakhir dengan pertengkaran menyebabkan seorang daripada mereka mengeluarkan pisau dan menikam mangsa. 

“Pergaduhan itu menyebabkan suspek yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai jurujual di kedai bahan binaan menikam mangsa yang juga pekerja kedai peralatan logam menggunakan pisau pelbagai guna yang dibawanya,” katanya. 

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek 5.45 petang pada hari yang sama dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut kes berkenaan. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Ustazah hampir dicabul bomoh





2010/10/07

KANGAR: Seorang ustazah berusia 35 tahun nyaris menjadi habuan kerakusan nafsu seorang bomoh selepas dikatakan dipukau lelaki terbabit sebelum dicabul ketika mendapatkan khidmat rawatan tradisional di rumah baru miliknya, di Bintong, di sini, petang semalam. 

Ustazah itu bagaimanapun bernasib baik kerana tersedar ketika bomoh berusia 51 tahun itu sedang asyik meraba alat sulitnya, sebelum terus bangkit dan berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Selepas mendapati bomoh berkenaan berlalu meninggalkan kediaman terbabit, mangsa kemudian keluar daripada tempat persembunyiannya sebelum terus ke Balai Polis Kangar untuk membuat laporan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 4.30 petang semalam. 

Berdasarkan laporan itu, katanya, polis kemudian menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum bomoh berkenaan berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian. 

Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang selepas mangsa mendapatkan khidmat bomoh berkenaan yang berasal dari Kodiang, Kedah untuk memulihkan masalah kedinginan rumah tangga yang dialami.

Musa Hassan, Mohd Bakri diperintah hadir ke mahkamah 28 Oktober





2010/10/07

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin untuk hadir di mahkamah pada 28 Oktober, pada hari keputusan prosiding menghina mahkamah yang dibuat dua lelaki berhubung penahanan semula mereka mengikut Ordinan Darurat 1967. 

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak bersetuju dengan peguam bela, Datuk N Sivananthan bahawa Musa dan Mohd Bakri perlu hadir di mahkamah seperti responden yang lain.

Kerabat Arab Saudi dituduh lakukan penderaan seksual



LONDON 6 Okt. - Sebuah mahkamah di Britain semalam mendengar satu kes terhadap seorang kerabat diraja Arab Saudi yang didakwa mencekik dan memukul seorang pembantu lelakinya sampai mati dalam satu penderaan seksual di sebuah bilik hotel mewah di London.
Saud Bin Abdulaziz Bin Nasir al Saud, 34, adalah cucu lelaki kepada Raja Abdullah didakwa membunuh Bandar Abdullah Abdulaziz pada 15 Februari lalu selepas menyeksanya beberapa minggu.
Menurut pendakwa raya, mangsa berumur 32 tahun itu ditemui di atas katil dengan kesan kecederaan teruk termasuk kesan gigitan di pipi dan kesan darah di bilik Hotel Landmark, di mana putera itu berkongsi bilik tersebut dengan mangsa.
Pendakwa raya, Jonathan Laidlaw memberitahu juri di Mahkamah Jenayah England di Old Bailey di tengah London bahawa Saud mengaku melakukan pembunuhan tanpa niat tetapi menafikan tuduhan membunuh dan melakukan kecederaan yang teruk.
Laindlaw berkata, kedua-dua lelaki itu tinggal bersama di hotel tersebut hampir sebulan sebahagian daripada percutian panjang dan mereka juga dikatakan turut melancong ke Itali, Hungary, Republik Czech dan Maghribi.
Saud mengaku mangsa adalah kawannya dan juga seorang heteroseksual, namun mahkamah mendapati putera itu memesan teman sosial homoseksual di London dan selalu mengunjungi laman web dan rumah urut homoseksual serta agensi teman sosial.
Saud memberitahu polis bahawa mereka mabuk pada awal pagi di bar hotel tersebut pada 15 Februari lalu sebelum kembali ke bilik dan setelah bangun dari tidur pada sebelah tengah hari, putera itu mendakwa tidak dapat mengejutkan mangsa. - AFP

NATO terus diserang



Api marak dengan asap tebal memenuhi ruang udara di bandar Quetta selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang lalu membakar 10 tangki minyak NATO di Quetta, semalam. – AFP


QUETTA 6 Okt. – Seorang terbunuh apabila sekurang-kurangnya 10 lori tangki minyak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dibakar di bandar Quetta, barat daya Pakistan hari ini, serangan keempat seumpamanya dalam masa enam hari.
Pegawai kanan polis, Hamid Shakeel berkata, sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang terminal di mana 40 lori tangki diletakkan dan melepaskan tembakan.
“Terdapat sekurang-kurangnya 10 lori tangki terbakar. Seorang daripada kakitangan terminal maut akibat terkena tembakan,” katanya.
Seorang lagi pegawai kanan polis, Shah Nawaz, mengesahkan insiden yang berlaku di pinggir sebelah barat bandar berkenaan.
Laluan utama bekalan NATO merentasi sempadan Pakistan ke Afghanistan ditutup untuk hari ketujuh berturut-turut, selepas serangan helikopter NATO membunuh tiga askar Pakistan.
NATO menyatakan bahawa tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri.
Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen mendesak Pakistan membuka semula laluan penting itu secepat mungkin.
Sejak laluan berkenaan ditutup, anggota Taliban tempatan mengaku bertanggungjawab terhadap dua serangan yang menyebabkan hampir 60 trak dibakar, malah mereka bertekad melakukan lebih banyak serangan.
Dalam satu insiden sebelum ini, tiga terbunuh apabila kira-kira 20 lori tangki NATO dibakar dengan koktel Molotov dekat Islamabad.
Insiden serupa berlaku di selatan bandar itu Jumaat lalu apabila kumpulan lelaki bersenjata berat membakar lebih 20 trak dan lori tangki membawa bahan api untuk pasukan tentera asing yang menentang pemberontakan Taliban di Afghanistan.
Dua trak NATO turut dibakar oleh penyerang tidak dikenali di daerah Qalat, Baluchistan dua hari lalu.
Serang hendap ke atas konvoi NATO bukan perkara luar biasa, namun kerap berlaku di kubu kuat militan di barat laut Pakistan.
Taliban berkata, serangan dibuat sebagai balas dendam terhadap bedilan pesawat tanpa juruterbang Amerika Syarikat di sempadan negara ini bagi memburu militan al-Qaeda dan Taliban. – AFP

Misteri bau busuk terurai

MELAKA: Pencarian punca bau busuk yang disangka bangkai tikus oleh seorang penduduk di Kampung Batu 4, Solok Pantai, Batu Berendam, dekat sini, semalam membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas dalam keadaan dibungkus dengan plastik sampah.


ANGKAT...mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
ANGKAT...mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Lebih mengejutkan, mayat mangsa, Abdul Halim Manan, 70, yang juga seorang pembantu kedai makan di Taman Melaka Baru itu, ditemui kira-kira jam 7.30 pagi di kawasan pokok pisang di tepi longkang yang ditutup dengan pelepah kelapa dipercayai diletakkan di situ sejak malam Sabtu lalu.
Penduduk, Mohd Azahari Mohd Zin, 13, berkata dia terkejut dengan penemuan mayat lelaki warga emas berkenaan, tetapi mendakwa ada melihat seseorang meletakkan plastik sampah terbabit di kawasan itu tanpa mengesyaki sesuatu.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di dapur rumahnya dan mendengar bunyi orang berjalan di belakang rumah.

“Saya dengar bunyi orang berjalan di belakang rumah dan mengintai dari belakang pintu. Saya nampak seorang perempuan sedang mengheret satu bungkusan plastik hitam dan meletakkannya di pangkal pokok pisang di tepi longkang.

“Berikutan itu, saya menegurnya dan orang itu hanya jawab dia mahu buang sampah sebelum beredar,” katanya.

Menurutnya, disebabkan rasa ingin tahu, selepas hujan lebat keesokan harinya dia pergi melihat ke tempat wanita itu membuang sampah berkenaan dan melihat ada satu bungkusan plastik hitam ditutupi dengan pelepah kelapa.

“Pagi Ahad lalu saya pergi ke tempat itu dan melihat terdapat satu bungkusan hitam. Saya tidak syak apa-apa ataupun mengusik plastik berkenaan yang kelihatan seperti sampah biasa.

“Pagi tadi (semalam), saya dan datuk (Hamzah Baba, 60) tercium bau yang amat busuk. Datuk arahkan saya mencari sama ada bangkai tikus atau haiwan mati. Saya beritahu datuk bau busuk itu mungkin datang dari bungkusan sampah itu.

“Datuk memeriksa bungkusan plastik itu sebelum mengoyak sebahagiannya menggunakan sabit sebelum dia terperanjat melihat benda seperti kepala manusia,” katanya.

Katanya, datuknya kemudian memberitahu penemuan itu kepada beberapa penduduk kampung sebelum memeriksa dan mendapati ada mayat manusia di dalam plastik terbabit sebelum seorang jiran menghubungi polis.
Sementara itu, Hamzah berkata, beberapa hari sebelum ini dia tidak perasan perkara pelik ataupun terhidu bau busuk mayat mangsa yang dipercayai sudah mati.

“Pagi tadi (semalam) masa keluar rumah kira-kira jam 7.15 pagi untuk menghantar cucu ke sekolah, saya tercium bau amat busuk dan menyangkakan bangkai tikus tetapi tidak sempat mencarinya.

“Sebaik pulang, saya menyuruh cucu pergi mencari dari mana datangnya bau busuk itu sebelum memeriksa bungkusan plastik sampah di kawasan kebun di belakang rumah saya dan mendapati ada mayat di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, suasana di kampung terbabit gempar dengan berita penemuan mayat lelaki itu yang tersebar menyebabkan kawasan tempat kejadian dipenuhi orang ramai.
Beberapa jiran mangsa termasuk pemilik rumah sewa nyata terkejut dengan penemuan mayat lelaki itu.

Peniaga kedai runcit, Norlin Alias, 31, berkata tiga hari sebelum penemuan mayat itu, isteri mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kelihatan pelik apabila dilihat mundar-mandir di kawasan tempat kejadian.

Empat ahli lembaga pengarah didakwa jalankan koperasi tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Empat ahli lembaga pengarah koperasi, termasuk seorang bergelar Datuk hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menjalankan koperasi tanpa lesen serta menjalankan perniagaan skim cepat kaya, dua tahun lalu.
Mereka ialah Datuk Nabil Abdul Kadir, 47, Saiful Bakhri Abdullah, 28, Md
Sarip Salleh, 49, dan Lee Wei Onn, 43, dari Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerima pinjaman daripada bakal ahli koperasi itu sebanyak RM2 juta (RM500,000 setiap tertuduh) sebelum koperasi
itu didaftarkan secara sah di tingkat bawah, 1 dan 2, Blok A, Setiawangsa
Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa di sini antara 22 Mac
2008 dan 9 Jun 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 10A (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan
boleh dihukum denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima
tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menjalankan kutipan pelaburan skim
cepat kaya atas nama Units@Neocyber dengan menjanjikan bayaran dividen sehingga
16 peratus setahun kepada ahli koperasi walaupun koperasi itu masih belum
mempunyai aktiviti yang mampu menjana pendapatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama dari 13 Ogos 2008 hingga
Mac 2009, mengikut Seksyen 45(1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang
memperuntukkan denda tidak melebihi RM200,000.

Untuk pertuduhan ketiga, mereka didakwa menjalankan kutipan pelaburan "Gold
Members" dengan menjanjikan bayaran dividen sehingga 15 peratus setahun kepada
ahli koperasi itu walaupun koperasi tersebut masih belum mempunyai aktiviti yang
mampu menjana pendapatan.

Sementara itu, Nabil dan Saiful Bakhri turut mengaku tidak bersalah atas
tuduhan tidak mengisytiharkan diri mereka sebagai Pengarah Syarikat CFIS Sdn
Bhd, sebuah syarikat ejen yang dilantik oleh koperasi tersebut di lokasi sama
pada 14 Jun 2008.

Nabil juga mengaku tidak bersalah bagi tuduhan menguruskan kewangan koperasi
berkenaan dengan menerima elaun sebanyak RM441,030 selama setahun empat bulan
walaupun koperasi tersebut masih belum mempunyai aktiviti yang mampu menjana
pendapatan di lokasi sama dari April 2008 hingga Julai 2009.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Nabil dan Saiful Bakhri diikat jamin
RM40,000 dengan seorang penjamin manakala Md Sarip dan Lee diikat jamin sebanyak
RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 8 November depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Koperasi
Malaysia Kamarulzaman Mohamad Buhari manakala tertuduh diwakili oleh peguam
Mohamed Noor Mahmud.-Bernama

Tiga termasuk seorang peguam ditahan semula

KUALA LUMPUR: Tiga suspek termasuk seorang peguam dan adiknya ditahan semula hari ini bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Bukit Aman di sini berkata, "sama ada mereka akan direman lanjut bergantung kepada keperluan siasatan".
Dipercayai polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilapor hilang bersama rakan niaganya, April lalu.

Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, dilaporkan sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.

Kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya dipercayai hilang di bandar raya ini dan difahamkan ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap balai polis Petaling bagi membantu siasatan kes itu.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman yang berakhir hari ini berhubung kes kehilangan hartawan warga India A Muthuraja di negara ini.

Muthuraja, 34, dilapor hilang selepas dipercayai dijemput oleh dua peguam rakyat tempatan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lalu.

Sebelum berita kehilangan Muthuraja dan Syafiq dilaporkan, negara digemparkan dengan pembuhuhan kejam seorang jutawan kosmetik dan tiga yang lain, di mana tiga suspek ini dan lima yang lain dipercayai terbabit.

Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Sementara itu, peguam suspek, Ravi Neeko berkata, beliau dihubungi seorang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memaklumkan penahanan semula anak guamnya dan adiknya itu.

"Pagi tadi saya dihubungi seorang pegawai polis dan memaklumkan anak guam saya dan adiknya ditahan semula dan mereka kini berada di dalam lokap di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur untuk bantu siasatan sehingga esok.
"Dijangka kedua-dua mereka (suspek utama dan adiknya) akan disambung reman esok atau lusa bersama enam yang lain di bandar raya ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.-Bernama

Empat lelaki ditahan, 49 kes curi motosikal dijangka selesai

KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood melihat komponen enjin dan motosikal yang dirampas selepas menahan 4 lelaki termasuk pemilik bengkel motosikal. Polis percaya tangkapan itu  selesaikan 49 kes kecurian motosikal di daerah Kajang. (07/10/10)
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood melihat komponen enjin dan motosikal yang dirampas selepas menahan 4 lelaki termasuk pemilik bengkel motosikal. Polis percaya tangkapan itu selesaikan 49 kes kecurian motosikal di daerah Kajang. (07/10/10)


KAJANG: Sebanyak 49 kes kecurian motosikal yang berlaku di sekitar daerah Kajang tahun ini dijangka selesai setelah polis menahan empat lelaki termasuk seorang pemilik bengkel motosikal dalam tangkapan berasingan di Batu 18, Hulu Langat, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, keempat-empat lelaki berumur 20 hingga 23 tahun itu dibekas selepas polis merampas sembilan motosikal dan 14 komponen enjin motosikal yang dileraikan bagi tujuan untuk dijual.
"Kita menahan lelaki pertama iaitu pemilik sebuah bengkel motosikal di bengkelnya di Kampung Jawa, Hulu Langat pada 6.30 pagi 1 Oktober lalu sebelum tiga yang lain ditahan hari berikutnya.

"Selepas disiasat, mereka didapati menjual enjin motosikal kepada pelanggan dengan harga yang tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shakaruddin berkata, dengan tangkapan terbaru ini, polis dapat mengurangkan kadar kecurian motosikal di daerah Hulu Langat.-Bernama

Dua beranakditahan bantu siasatan kes bunuh

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan anaknya bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang penjaga tempat letak kereta di Jalan Panggung Wayang, Bidor 85 kilometer dari sini dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad berkata, lelaki berusia 37 itu dan anak lelakinya berusia 16 tahun ditahan 5 pagi di rumah mereka di pekan Bidor.
Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, M. Chandran, 37, ditemui berlumuran darah di bahagian muka dan dibawa ke Hospital Tapah tetapi meninggal dunia dua jam kemudian.

"Siasatan mendapati mangsa berkemungkinan dipukul dengan batu," kata Roslan.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis.-Bernama

Lelaki ditahan seludup kretek bernilai RM40,000



ALOR SETAR 6 Okt. - Biarpun cuba menyembunyikan rokok kretek seludup dalam segulung kain, seorang lelaki akhirnya ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah setelah menyeludup barangan itu masuk ke negara ini semalam.
Rokok kretek jenis Gudang Garam Surya yang bernilai lebih RM40,000 itu disorokkan di tempat duduk belakang kereta Proton Iswara milik lelaki tersebut.
Komander UPP Kedah, Mohd. Jasri Othman berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan suspek yang berusia lingkungan 50-an cuba menyeludup masuk rokok seludup.
Katanya, tiga anggota UPP Kuala Kedah yang diketuai Wan Mazlan Endut mengekori kenderaan dinaiki lelaki tersebut.
"Sebaik sahaja menyedari dia diekori, lelaki tersebut cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan di sebuah taman perumahan di sini kira-kira pukul 2.30 petang setelah dikejar hampir empat kilometer," katanya di sini, semalam.
Menurutnya, setelah diperiksa, pihaknya menemui 560 karton rokok keretek yang diletakkan di tempat duduk belakang dan bonet keretanya.
"Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM9,408 manakala nilai cukai yang cuba dielak adalah RM32,081.
"Ini merupakan kes rampasan pertama bagi UPP Kedah sejak harga rokok dinaikkan mulai Jumaat lalu," ujarnya.
Menurut Mohd. Jasri, intipan ke atas lelaki itu dibuat sejak beberapa bulan lalu berikutan pihaknya percaya dia mengedarkan rokok-rokok itu yang merupakan barang larangan Kastam kepada peniaga di sekitar bandar raya ini,
"Kita percaya rokok ini dibawa masuk dari negeri di selatan tanah air dan dijual pada harga RM50 untuk setiap karton," katanya.
Beliau memberitahu, lelaki terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mengikut seksyen itu, setiap pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang jika sabit kesalahan, katanya.

Kepala Batas dilanda ribut kencang



KEPALA BATAS 6 Okt. - Ribut kencang diikuti pusaran angin yang disifatkan paling buruk pernah berlaku, melanda beberapa buah kampung sekitar sini semalam.
Ribut hampir lima minit mulai pukul 7.15 malam itu merosakkan kira-kira 20 buah rumah di sekitar Kampung Permatang Janggus, Permatang Tok Berahim, Lahar Minyak dan Kampung Lembah.
Di Kampung Lahar Minyak, penduduk menjadi cemas dan bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin sehingga ada yang tersangkut di pokok.
Selain itu, ribut yang disusuli hujan lebat turut menyebabkan penduduk mengalami kerugian harta benda apabila siling yang rosak menyebabkan air hujan mencurah masuk ke dalam rumah mereka.
Penduduk Kampung Lahar Minyak, Norashikin Mohd. Zamzuri, 36, berkata, kejadian dahsyat itu adalah yang paling teruk pernah dialaminya sepanjang lebih 15 tahun menetap di kampung tersebut.
''Angin bertiup cukup kencang sehingga bunyi daun dan dahan pokok yang bergoyang sangat jelas kedengaran, hanya sekelip mata sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Nurashikin berkata, dia mula berasa panik sebaik sahaja bumbung rumahnya diterbangkan manakala keadaan di luar pula hingar-bingar dengan orang kampung bergegas keluar dari rumah masing-masing.
Mohd. Fairus Ahmad, 31, pula memberitahu, dia bergegas pulang sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian tersebut memandangkan ibunya, Fauziah Nordin, 56, dan tiga anaknya berada di rumah ketika kejadian.
''Apabila sampai, saya melihat hampir semua bumbung rumah sudah diterbangkan dan mujur ibu, isteri dan anak-anak selamat dan berteduh di rumah ibu saudara yang terletak berhampiran," katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Permatang Janggus, Ismail Talib berkata, UMNO Bahagian Kepala Batas turun padang menghulurkan bantuan kilat sebanyak RM300 kepada mangsa ribut terbabit.
Selain itu katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim turut menyumbang RM300 kepada setiap keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
''Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah datang membuat taksiran dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya termasuk untuk membaiki rumah-rumah yang rosak akibat kejadian tersebut," tambahnya.

Raja Azura suami berpisah

Raja Azura suami berpisah
KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, disahkan bercerai talak satu dengan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 37, pada 28 September lalu.
Sumber memberitahu Harian Metro semalam, Raja Azura atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Engku (KE) bercerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada tarikh berkenaan dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan itu.

“Raja Azura mahupun Adzmin tidak mahu kecoh-kecoh dengan perceraian mereka. Rumah tangga mereka sudah gagal diselamatkan selepas masing-masing cuba mendapatkan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan kemelut yang melanda sejak beberapa lama itu. Namun, mereka bercerai secara baik dan menerima hakikat tiada lagi jodoh,” kata sumber itu.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu.

Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti yang hangat diperkatakan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Raja Azura berkahwin dengan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada 10 Mac 2001. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.
Sumber itu berkata, walaupun Raja Azura amat bersedih dengan perceraian itu, dia masih meneruskan tugas rutinnya seperti biasa iaitu sebagai penyampai radio Sinar FM dan pengacara beberapa program TV serta majlis rasmi.

Ketika ditanya sama ada punca perceraian itu disebabkan orang ketiga, sumber itu enggan mengesahkannya.
“Itu tidak dapat dipastikan dan biar perkara itu wartawan bertanya kepada Raja Azura. Hakikat ini kerana selama ini dia tidak pernah bercakap mengenai hal rumah tangga mahupun suaminya kepada orang lain. Dia (Raja Azura) tidak akan sekali-kali mendedahkan aib sesiapa termasuk suaminya,” katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan komen Raja Azura berhubung perceraian itu semalam, namun difahamkan dia berada di Genting Highlands, Pahang, kerana terbabit rakaman program Kedek-Kedek Drypers, sekali gus menutup talian telefon bimbitnya.

Raja Azura dalam kenyataan sebelum ini mengaku dia dan Adzmin berkahwin atas dasar cinta sama cinta. Kali terakhir mereka dilihat bersama ialah ketika pulang beraya di Alor Setar, Kedah, pada 10 September lalu.

Cheryl diburu pembunuh

LONDON: Cheryl Cole kini dibayangi ketakutan selepas menerima ancaman bunuh, semalam, hanya kerana menyingkirkan seorang peserta popular daripada program televisyen realiti X Factor.
Satu daripada ancaman disebarkan melalui mesej pesanan ringkas (SMS) itu berbunyi: “Semua orang menyimpan sebutir peluru untuk anda”.
Cheryl - pernah menganggotai kumpulan Girls Aloud dan bersuamikan pemain skuad bola sepak England, Ashley Cole - menjadi sasaran kemarahan apabila dia mengetepikan peserta X Factor kegemaran ramai, Gamu Nhengu.

Menurut pengirim SMS itu, Cheryl, 27, ‘melakukan kesilapan terbesar dalam hidupnya’ kerana menyingkirkan Gamu, 18.

Dia juga dituduh bersikap rasis apabila membuat keputusan itu.

Lebih mengejutkan, pengirim SMS itu berjanji akan ‘menembak’ mana-mana wanita yang mempunyai nama sama seperti Cheryl jika dia gagal menjejak penyanyi berkenaan.

Disebabkan kandungan SMS itu keterlaluan, media Britain enggan menyiarkan ancaman itu sepenuhnya.

Antara ancaman dihantar pengirim SMS itu menyatakan, Cheryl bersandiwara di depan kamera kononnya dia bertindak adil ketika mengetepikan Gamu.

“Tapi kami semua tahu betapa kuatnya perkauman anda,” katanya.

Dikesan dihantar dari Tottenham di London Utara menggunakan nama Supa Capone, pengirim SMS itu juga mengingatkan Cheryl supaya jangan sekali-kali menjejakkan kaki ke bandar itu.

“Anda berhati busuk. Anda takkan mampu menyelamatkan nyawa dengan menyanyi. Untuk menggembirakan hati, anda menyingkirkan semua penyanyi yang baik kerana mereka akan memalukan anda,” kata pengirim itu. - Agensi

Video Ariel, Cut tersebar luas

JAKARTA: Siasatan terhadap kes merakam dan mengedar video porno membabitkan penyanyi kumpulan Peterpan dan selebriti, Cut Tari belum berakhir.
Rakaman sepanjang lapan minit 46 saat itu kini bagaimanapun sudah dimuat turun ke satu laman web antarabangsa membolehkan sesiapa saja menontonton tanpa perlu berdaftar diri.
Mereka juga boleh memuat turunkannya semula.

Dalam laman berkenaan, video itu diberi judul ‘Ariel Peterpan Sex Tape’'. Sehingga semalam, kira-kira 44,000 pengunjung sudah menonton adegan memalukan membabitkan dua selebriti Indonesia berkenaan.

Menurut maklumat yang diterima akhbar digital Indonesia, detikhot, video itu berada di laman berkenaan sejak tiga hari lalu. Video Ariel-Tari itu juga sempat berada di muka depan laman berkenaan, secara langsung membolehkannya menjadi pilihan setiap pengunjung yang melayari laman itu.

Dalam pada itu, berpuluh-puluh pengunjung turut memberikan rating pada video terbabit.

Dari lima bintang, video Ariel-Tari mendapat 4.2 dan pengunjung turut boleh memuatturun video itu untuk dijadikan koleksi peribadi.

Sementara itu, Ariel masih menjadi tahanan polis sementara menunggu perbicaraan. Dia, Cut dan seorang lagi selebriti yang juga kekasih penyanyi itu, Luna Maya sudah ditetapkan sebagai suspek dalam kes video lucah mereka.

Bagaimanpun, Cut dan Luna Maya dibebaskan sementara menanti untuk dibicarakan. - Agensi

Jerat kenalan Facebook

KUALA LUMPUR: Tiga beranak, seorang rakannya dan dua anggota polis yang cuba meleraikan satu pergaduhan dibelasah sekumpulan 50 lelaki di sebuah medan selera di Bandar Tun Razak, awal pagi kelmarin


MANGSA...Mohd Nazren  cedera  dibelasah  kumpulan samseng.
MANGSA...Mohd Nazren cedera dibelasah kumpulan samseng.


Kejadian dipercayai bermula apabila seorang jurujual, Mohd Farhan Othman, 20, meminta rakannya, Mohd Nazren Akmar Nazlan, 20, menemaninya untuk bertemu seorang wanita yang baru dikenali melalui laman sosial Facebook, kira-kira jam 2 pagi.
Mohd Farhan berkata, dia hanya beberapa kali berhubung dengan wanita berkenaan dan tidak pernah bertemu muka atau bercakap di telefon.

“Seperti dijanjikan, saya dan Nazren berjumpa dengan wanita terbabit yang dikenali sebagai Linda berusia 20-an. Saya yang memandu kereta kemudian mengarahkan Linda masuk ke dalam kereta tetapi wanita itu enggan sebaliknya mengajak kami minum di gerai berhampiran.

“Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki diketuai teman lelaki Linda yang bertindak mengepung medan selera berkenaan. Melihat perbuatan itu, Nazren cuba bertanya apa sebenarnya yang berlaku.

“Teman lelaki Linda kemudian menuduh kami menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepada teman wanitanya sedangkan saya tidak tahu pun nombor telefon bimbit wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, dia meminta teman lelaki wanita terbabit menunjukkan bukti dan SMS lucah berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka gagal menunjukkan bukti itu sebelum bertindak membelasah Nazren. Saya sempat mengelak sebelum bapa Nazren dan abangnya yang dimaklumkan kemungkinan berlaku pergaduhan tiba sebaik dihubungi,” katanya. Katanya, sebaik bapa Nazren dan abangnya tiba untuk membantu, mereka turut dibelasah kumpulan itu. Kali ini jumlah mereka yang terbabit membelasah mereka bertambah ramai kerana pekerja gerai makan di medan selera itu turut mengambil kesempatan.

“Pada masa sama dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan jenayah di kawasan itu cuba masuk campur untuk meleraikan pergaduhan itu sebaliknya mereka turut dibelasah.

“Bagaimanapun, anggota terbabit hanya cedera ringan. Semua lelaki terbabit sempat melarikan diri sebaik sebuah kereta peronda polis muncul untuk memberi bantuan,” katanya.

Sebaik semua lelaki itu melarikan diri, Nazren didapati mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai dihentak dengan objek keras dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Dia terpaksa menerima 20 jahitan di kepala manakala ibu jari kakinya hampir hancur manakala abangnya turut dirawat di hospital sama akibat kecederaan di dagu. Bapanya, Farhan dan dua anggota polis pula hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mohd Nazren berkata, dia yang ketika itu sudah lemah dibelasah teruk kumpulan terbabit tiba-tiba melihat dua daripada mereka mengambil sebatang besi dan menghentak kepalanya hingga pengsan.

“Apa yang dikesalkan, saya dapat melihat orang awam di sekitar medan selera itu turut membelasah kami, malah ada antara mereka yang memakai ‘apron’ dapur semata-mata untuk menyertai ‘pesta’ berkenaan. Mereka sepatutnya membantu kami, bukannya menyokong kumpulan samseng berkenaan.

“Saya hanya sedar apabila berada di wad kecemasan dengan kepala berlumuran darah dan tidak dapat mengingati apa yang berlaku, saya sedih kerana abang turut dimasukkan ke wad hanya kerana ingin membantu saya,” katanya.
Nazren turut membuat laporan polis di PPUKM kerana tidak berpuas hati dipukul tanpa sebab. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pembunuh bersiri dihukum penjara seumur hidup

JAKARTA: Sebuah mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang pembunuh bersiri yang membunuh empat kanak-kanak lelaki.
Seorang mangsanya diperkosa sebelum dibunuh dan mayatnya dicincang.
Mahkamah daerah di Jakarta mendapati Baekuni, 49, yang dipanggil ‘Babeh’ atau bapa oleh kanak-kanak jalanan, bersalah melakukan pembunuhan itu antara Julai 2007 hingga Januari tahun ini.

Ketua Hakim, Mahfud Saefullah menyifatkan Baekuni, penjaja rokok yang miskin, sebagai pembunuh kejam yang menjalinkan hubungan dengan kanak-kanak jalanan sebelum memperkosa dan membunuh mereka di rumahnya di Jakarta Timur.

“Tertuduh terbukti bersalah melakukan pembunuhan yang dirancang dan dihukum penjara seumur hidup.

“Perbuatannya sungguh kejam dan menyebabkan ibu bapa mangsa tertekan,” kata Mahfud.

Baekuni hanya menunduk ketika keputusan itu dibaca.

“Saya terima keputusan itu. Saya rasa lega,” katanya kepada wartawan sebelum dibawa keluar dari kawasan mahkamah.

Selepas ditangkap Januari lalu, Baekuni dilapor mengaku membunuh dengan kejam 14 kanak-kanak jalanan, kebanyakannya lelaki. - AFP

Seludup ganja dalam kolej

KUALA LUMPUR: Kian ramai pelajar warga Afrika yang menuntut di negara ini dikesan terbabit mengedar dadah jenis ganja di kolej tempatan.
Aktiviti terbabit didedahkan selepas polis memberkas 33 lelaki warga Afrika sejak awal Januari lalu dengan majoritinya pelajar yang melanjutkan pelajaran ke negara ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata siasatan mendapati kebanyakan pengedar dadah yang diberkas menyalahgunakan pas pelajar untuk mengedar ganja terutama kepada pelajar tempatan atau luar negara. Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 96 kilogram ganja yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000 dirampas daripada pengedar dadah warga Afrika terbabit.

“Berdasarkan siasatan, golongan ini akan menyeludup ganja melalui sempadan utara tanah air termasuk lapangan terbang di Pulau Pinang.

“Jika dahulu mereka menumpukan aktiviti kepada merekrut dan memperdaya gadis tempatan untuk dijadikan ‘keldai dadah’, namun kini mereka mengubah modus operandi dengan mengedar ganja di dalam negara ini.

“Mungkin kerana mereka semakin sukar mencari ‘makan’ di negara ini sehinggakan terpaksa menyeludup ganja yang harganya lebih murah berbanding heroin dan kokain,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, pagi semalam.

Menurutnya, kumpulan sindiket terpaksa beralih arah kepada ganja kerana pengedaran heroin dan kokain mengakibatkan mereka menanggung kerugian besar setiap kali polis membuat tangkapan dan rampasan.

Beliau berkata, sejak 2008 sehingga kini, seramai 103 warga Afrika ditangkap kerana kesalahan mengedar dadah di negara ini.

“Menyedari permasalahan yang serius ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menubuhkan Pasukan Khas untuk menghapuskan kegiatan dan aktiviti sindiket warga Afrika pada awal 2008.

“Usaha gigih dan konsisten itu membuahkan hasil amat positif dan terbukti apabila 24 warga Afrika ditangkap pada 2008, diikuti 2009 (49 orang) dan sejak Januari sehingga Ogos lalu seramai 33 orang,” katanya.

Eksekutif warga China jadi GRO ditahan




SEBAHAGIAN daripada wanita warga China yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Dia masuk ke negara ini secara sah dan mempunyai permit kerja sebagai eksekutif pemasaran di Sarawak.
Namun wanita warga China itu tidak pergi ke Bumi Kenyalang, sebaliknya terus ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO).
Bagaimanapun, kegiatan gadis berusia 20-an itu terbongkar apabila dia ditahan bersama 47 GRO lain dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini pukul 11.30 malam kelmarin.
Daripada jumlah tersebut, 31 wanita merupakan warga China manakala bakinya dari Vietnam termasuk dua wanita tempatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata, serbuan Ops Noda oleh Cawangan Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu dilakukan hasil maklumat awam.

Bekas pengacara TV3 dicerai



NADIA


KUALA LUMPUR – Setelah turun naik mahkamah hampir setahun, kemelut rumah tangga bekas pengacara TV3, Nadia Shahrul Annuar, 26, terlerai semalam apabila suaminya, Sulaiman @ Mohd. Helmi Mohd. Ilyas melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Sulaiman, 29, selaku plaintif membuat lafaz tersebut secara tertutup di dalam kamar Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perceraian tersebut secara baik.
Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili plaintif ketika ditemui selepas prosiding berkata, anak guamnya telah lafazkan cerai talak satu terhadap Nadia dan mahkamah membenarkan cerai tersebut.
“Melalui perjanjian penyelesaian yang dipersetujui bersama, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik dakwaan masing-masing yang telah difailkan di mahkamah.
“Ini melibatkan permohonan nusyuz oleh plaintif, permohonan perceraian oleh defendan (Nadia) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan hak jagaan anak yang akan dijaga oleh bapanya,” kata Mohd. Zaidi.

Jayanthy ragu status syarikat suami




JAYANTHY (kanan) bersama Manikavasagam berjalan masuk
ke pejabat JSJK Selangor untuk meminta nasihat semalam.


SHAH ALAM – S. Jayanthy, isteri ahli perniagaan S. Anpalagan yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2009 hadir ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor di sini semalam bagi meminta nasihat dan bantuan berkaitan dakwaan penyelewengan syarikat milik suaminya itu.
Jayanthy, 34, yang memakai baju berwarna merah jambu dan berseluar hitam hadir bersama Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada pukul 11.55 pagi sebelum keluar sejam kemudian.
Jayanthy berkata, dia diarahkan oleh polis Bukit Aman berbuat demikian selepas mendakwa terdapat pertukaran status syarikat milik Anpalagan, 43, iaitu Swiss Krishma Sdn. Bhd. kepada Beruntung Cattle Farm.
Menurutnya, beberapa penipuan juga dikesan termasuk jawatan pengarah syarikat terbabit yang didakwa telah ditukar tanpa sebarang notis pada Disember tahun lalu.
“Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati beberapa perubahan berlaku dalam pegangan saham pada 24 Disember 2009,” kata beliau di sini semalam.

JKM gempur taska haram




KAKITANGAN JKM menyita sebuah Taska di Precint 18, Putrajaya semalam selepas arahan ia dikosongkan berikutan satu kes kematian kanak-kanak di situ baru-baru ini.


PUTRAJAYA - Satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan tegas terhadap 2,077 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negara ini yang beroperasi secara haram.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid berkata, pasukan itu akan menjalankan pemeriksaan ke atas kesemua Taska dan memberikan notis amaran jika ia belum berdaftar.
"Jika pengusahanya terus berdegil, kita akan ambil tindakan undang-undang,'' tegas beliau ketika mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai banyak pusat asuhan atau taska di negara ini beroperasi secara haram.
Meme berkata, jika didapati bersalah, pengusaha taska haram boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Bagi kesalahan berulang, denda meningkat sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,'' katanya.
Dalam urusan pendaftaran, Meme berkata, setiap pengusaha Taska perlu mendapatkan kelulusan tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

Empat terbunuh, AS membedil kubu kumpulan militan



07/10/2010 9:43am

MIRANSHAH (Pakistan) 7 Okt. - Sebuah jet pejuang tentera Amerika Syarikat (AS), menyerang kawasan kabilah di barat laut negara ini hingga menyebabkan empat orang terbunuh.
Seorang pengawai keselamatan berkata, jet pejuang berkenaan menggunakan dua peluru berpandu untuk membedil sebuah kawasan yang dikatakan sebagai kubu kumpulan militan itu.
“Laporan awal yang kami terima mendapati empat anggota kumpulan pemberontak terbunuh akibat insiden itu,” katanya. - AFP

Juruelektrik dituduh bunuh pemilik bersama kafe siber



07/10/2010 11:14am

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemilik bersama dan pekerja kafe siber pada Ogos lalu.
Mohd. Khayry Ismail, 45, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah 2-12-4 Apartmen Desa Tun Razak, Cheras di sini antara pukul 8 pagi dan 830 pagi, 29 Ogos lalu. – Utusan

Penjenayah ada kaitan kes dadah RM3j ditembak mati



07/10/2010 1:59pm

BUKIT MERTAJAM 7 Okt. – Seorang penjenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah bernilai RM3 juta dan enam senjata api di Teluk Bahang baru-baru ini, mati dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis di Taman Rozhan, Alma di sini, malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata, lelaki berusia 37 tahun dan berasal dari Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah itu mati dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu.
"Kejadian tembak-menembak itu berlaku sebaik sepasukan anggota polis dari cawangan jenayah berat (D9) Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang yang diketuai ASP Khairil Sofian yang mendapat maklumat mengenai lelaki terbabit, cuba menahannya di Taman Rozhan.
"Bagaimanapun lelaki yang sedang memandu kereta jenis BMW warna putih itu bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum anggota kita membalas dan mengenai mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, tembakan yang dilepaskan polis mengenai lelaki itu menyebabkan dia gagal mengawal keretanya dan merempuh pagar simen sebuah rumah di Taman Rozhan, sebelum mati akibat kecederaan parah. – Bernama

10 terselamat, 6 hilang bot nelayan dilanggar kapal


PASUKAN Gerakan Marin menjalankan usaha menyelamat kan enam nelayan yang dilaporkan hilang, 11 lagi selamat selepas kapal mereka karam dipercayai  dilanggar sebuah kapal dagang, kira-kira 10 batu nautika dari pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, awal pagi ini.Foto ihsan Pasukan Gerakan Marin. (07/10/10)

PASUKAN Gerakan Marin menjalankan usaha menyelamat kan enam nelayan yang dilaporkan hilang, 11 lagi selamat selepas kapal mereka karam dipercayai dilanggar sebuah kapal dagang, kira-kira 10 batu nautika dari pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, awal pagi ini.Foto ihsan Pasukan Gerakan Marin. (07/10/10)
07/10/2010 2:18pm


SABAK BERNAM 7 Okt. – Seramai 10 orang terselamat, manakala enam lagi masih hilang apabila sebuah bot nelayan tempatan bertembung dengan sebuah kapal dagang, kira-kira 10 batu nautika (18 kilometer) dari Pantai Bagan Nakhoda Omar di sini awal pagi tadi.
Ketua polis daerah, Supritendan Nor Mushar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu. – Utusan

Rasuah RM100,000: Tiga beranak dihadapkan ke mahkamah



07/10/2010 2:10pm

SHAH ALAM 7 Okt. – Tiga beranak di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan bersubahat dan memberi rasuah RM100,000 kepada seorang pegawai polis bagi menyembunyikan kegiatan membabitkan pengedaran pil kuda.
Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 22, didakwa menawar dan memberi rasuah, manakala bapa saudaranya, Mohd. Kamal Mohd. Zin, 39, dan adiknya, Wan Muhammad Azim Wan Mahamod, 20, didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di Balai Polis Bukit Puchong, Bandar Utama Puchong dekat sini pada 27 dan 28 September lalu.
Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.
Wan Muhammad Azlan dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM60,000, manakala Mohd. Kamal dan Wan Muhammad Azim masing-masing RM30,000 dengan seorang penjamin.
Kes itu akan disebut semula pada 15 November ini. – Utusan

Dua lori bertembung



KARAI – Dua pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan berat yang dipandu mereka bertembung dalam satu kemalangan jalan raya, kira-kira jam 8.30 malam, di Karai, di sini, kelmarin. 

Anggota bomba terpaksa dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit di bahagian hadapan lorinya. 

Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.30 dan terus bergegas ke tempat kejadian yang dimaksudkan. 

Menurutnya, beliau bersama 13 lagi anggota bomba mengambil masa selama 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit . 

“Enam anggota bomba dari Sungai Siput, manakala lapan dari Balai bomba Kuala Kangsar membantu dalam operasi menyelamat ini. 

“Memandangkan lori sudah remuk akibat hentaman kuat, kami mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa dari tempat duduknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kejadian berlaku di kilometer 42 Jalan Kuala Kangsar menuju ke Ipoh, melibatkan lori membawa muatan cecair kimia dengan sebuah lagi lori yang membawa beberapa bahagian badan lori. 

“Keadaan keduamangsa parah dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

“Dipercayai, punca kemalangan disebabkan oleh salah seorang pemandu gagal mengawal kenderaan dan masuk ke haluan bertentangan sebelum merempuh lori di hadapannya,” katanya. 

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Misteri bau busuk terjawab




GEORGETOWN - Misteri bau busuk yang menyelubungi sebuah kawasan perumahan di Padang Tembak di sini sejak tiga hari lalu terjawab apabila polis menemui mayat seorang wanita warga emas terbaring dengan kesan darah di rumahnya, malam semalam. 

Kematian Chin Yin Peng, 71, yang telah tinggal lebih lima tahun seorang diri di situ, disedari jirannya apabila tidak melihatnya keluar rumah sejak lima hari lalu selain terhidu bau kurang menyenangkan dari rumahnya sejak tiga hari lalu. 

Jiran mangsa yang enggan dikenali itu berkata, mangsa kurang bercampur dengan masyarakat setempat dan jarang keluar dari rumah. 

“Saya sendiri tidak tahu sama ada dia mempunyai ahli keluarga atau tidak, dia kurang mesra dengan orang di sini dan hanya melakukan urusannya sendiri.

“Sebelum ini, saya tidak mengesyaki apa-apa yang terjadi tetapi apabila timbul bau busuk sejak tiga hari lalu membuatkan saya curiga dan menghubungi pasukan sukarela untuk memaklumkan mengenai bau itu,”katanya.

Menurutnya, setelah memaklumkan perkara itu kepada pasukan sukarela, mereka datang ke rumah mangsa untuk melakukan pemeriksaan namun pintu rumah mangsa berkunci dari dalam.

“Pasukan sukarela menghubungi polis dan pihak polis tiba ke rumah mangsa tidak lama kemudian. Saya percaya dia (mangsa) telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari berikutan keadaan mayat yang sudah mula membengkak dan berair,”katanya.

Mayat Yin Peng dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan meminta kerjasama orang ramai yang mengenali mangsa agar tampil menuntut mayatnya di hospital selepas selesai dibedah siasat.

Mahkamah Belanda tolak tahan Susilo





2010/10/07

Presiden Indonesia didakwa cabul hak asasi 

THE HAGUE: Mahkamah di Belanda semalam mengetepikan permohonan sebuah kumpulan hak asasi Indonesia untuk menahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono jika pemimpin republik itu menjejak kaki di negara bekas penjajahnya itu.
Permohonan berkenaan sebelum ini menyebabkan Susilo membatalkan pada saat-saat akhir lawatannya ke Belanda.
“Permohonan itu ditolak,” kata jurucakap mahkamah daerah The Hague, Saskia Panchoe, merujuk kepada permohonan wakil Republik Selatan Maluku (RMS) yang berpangkalan di Belanda. 

Jakarta menghancurkan pergerakan RMS sejurus selepas kumpulan itu mengisytiharkan kemerdekaan wilayah berkenaan pada 1950, bagaimanapun RMS dihi-dupkan semula selepas kejatuhan pemerintahan presiden Suharto pada 1998. 

RMS kelmarin memohon kepada mahkamah di The Hague untuk menahan Susilo kerana didakwa terbabit dalam pencabulan hak asasi manusia sejak 1950. 

Permohonan itu menyebabkan Susilo membatalkan lawatan tiga harinya ke Belanda yang sepatutnya brmula kelmarin. 
Sementara itu, Kerajaan Belanda menyesali keputusan Susilo menangguhkan kunjungannya itu. 

“Kerajaan Belanda menyesali bahawa Presiden Indonesia berasa wajar untuk menangguhkan kunjungannya,” katanya dalam satu kenyataan, menambah ba- 
hawa ia sudah memaklumkan ketua negara itu beliau akan menerima imuniti daripada pendakwaan jenayah. – AFP