Search This Blog

Tuesday, October 5, 2010

Tuan rumah terkejut kediamannya jadi makmal dadah



Kang Chez Chiang (tengah) memegang salah satu peralatan dan bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis methamphetamine sambil diperhatikan, Pegawai Penyiasat, ASP Zainal Abidin Saad, dan ASP Chandra Segaran (kanan) pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Seorang pemilik rumah sewa terkejut apabila mendapati kediamannya dijadikan sebuah makmal ketika dia ke rumah itu di Taman Megah, Kepong di sini Selasa lepas untuk mengutip sewa bulanan yang tertangguh sejak Ogos lalu.
Curiga melihat keadaan rumahnya yang bersepah dan busuk, pemilik rumah tersebut membuat laporan polis terhadap tindakan warga Iran yang menyewa rumahnya sejak Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, berikutan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul pergi ke rumah tersebut untuk mendapatkan kepastian mengenai kewujudan makmal berkenaan.
"Hasil siasatan, polis mendapati rumah itu dijadikan sebuah makmal untuk menghasilkan dadah jenis syabu berdasarkan penemuan sejumlah bahan kimia.
"Selain bekas plastik dan kaca, turut ditemui 45,000 liter minyak yang mampu menghasilkan kira-kira 27 kilogram dadah syabu yang bernilai RM4.6 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau menambah, berdasarkan bahan kimia yang digunakan, polis menganggarkan keseluruhan rampasan yang dibuat bernilai RM300,000.
Bagaimanapun jelasnya, tiada tangkapan dilakukan kerana rumah itu telah ditinggalkan sejak penghujung Julai lalu.
Chez Chiang memberitahu, polis juga mengesyaki sindiket yang mengendalikan makmal tersebut mempunyai kaitan dengan makmal yang diserbu polis di Sri Hartamas, Bukit Kiara pada Julai lalu.
"Ini kerana, selain suspek dari negara sama, rumah tersebut juga ditinggalkan selepas kita menyerbu makmal di Sri Hartamas.
"Namun kita akan membuat siasatan tentang kaitan antara kedua-dua makmal berkenaan terhadap dua suspek yang ditahan di Sri Hartamas," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kejiranan di kawasan perumahan dan pemilik rumah sewa supaya memantau aktiviti warga asing yang mencurigakan.
Menurutnya, makmal dadah yang dihasilkan bukan sahaja mengeluarkan bau busuk tetapi mampu menyebabkan satu letupan besar akibat penggunaan bahan kimia yang berbahaya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Chez Chiang berkata, pihaknya menahan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) warga Nigeria dan seorang pengawal keselamatan kerana memiliki ketulan mampat ganja seberat 1.1 kilogram di Bukit Bintang di sini semalam.
"Warga asing berusia 27 tahun dan pengawal keselamatan yang merupakan warga tempatan berumur 34 tahun itu ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Alor di sini.
"Dengan penahanan itu polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket dadah yang didalangi warga asing di sekitar Lembah Klang," jelasnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek telah direman selama lima hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga lagi kejadian ragut di RTP Bukit Goh



KUANTAN 4 Okt. - Selepas kejadian ragut yang menimpa seorang kerani, Wan Noresah Mat Isa, 24, pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan mangsa parah di kepala, tiga lagi kes berlaku tidak jauh dari lokasi yang sama di Taman Impian di sini kelmarin.
Salah seorang mangsa, Sarina Abdul Basid, 31, dari Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di sini berkata, dia turut menjadi mangsa ragut sehari selepas kejadian yang berlaku kepada Wan Noresah.
"Ketika kejadian pada pukul 5.30 petang, saya sedang menunggang motosikal dari Taman Impian melalui jalan kebun menuju ke rumah bersama anak ketiga saya yang baru berusia 11 bulan.
"Kira-kira dua kilometer dari rumah, sebuah motosikal jenis Yamaha Sport berwarna merah yang dinaiki dua lelaki cuba menghampiri saya.
"Sebaik sahaja diarahkan supaya memberhentikan motosikal, saya segera mengikut kerana bimbang dilanggar atau ditendang," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Tambahnya, dia yang merupakan seorang ibu tunggal merayu kepada dua lelaki berkenaan sambil memeluk anaknya agar tidak diapa-apakan.
Namun, katanya, dua peragut itu merampas dompet yang diletakkan di bawah baju sejuk dalam bakul motosikal sebelum melarikan diri.
"Ekoran kejadian itu, saya segera membuat laporan polis kerana kehilangan kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai RM40," jelasnya.
Sehari sebelum itu, Wan Noresah dari Kampung Sungai Pinang di sini parah selepas dihentak dengan topi keledar sebelum diragut dalam kejadian pada pukul 9 malam Jumaat lalu selepas pulang dari tempat kerjanya.
Sementara itu, Nor Emylia Niza Zahid, 21, dari Taman Impian di sini turut mengalami kejadian yang sama ketika sedang menunggang motosikal bersama anak dan adiknya.
"Saya percaya penjenayah yang cuba meragut beg saya merupakan lelaki yang sama meragut Sarina. Ini kerana kejadian berlaku di tempat yang sama kira-kira sejam kemudian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menjerit dan adik saya, Nor Zuriati, 19, memeluk erat anak saya, Wan Mazrizan Hakim Wan Mazran, 10 bulan ketika peragut itu menarik beg yang berada dalam bakul motosikal.
"Akibat jeritan saya, peragut itu melepaskan tali beg tersebut kerana bimbang dipukul penduduk yang mendengar jeritan saya," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Norhasmida Abdul Kadir, 20, dari kawasan perumahan yang sama turut menjadi mangsa apabila rantai emas yang dipakainya turut diragut ketika menunggang motosikal.
"Selain merentap rantai, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Legenda turut mengambil beg duit yang diletakkan di dalam bakul kira-kira pukul 12 tengah hari di tempat dan hari sama," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan.

Beckham heret pelacur ke mahkamah



LONDON 4 Okt. – Selepas pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods berhadapan skandal seks yang menghancurkan rumah tangganya, kini giliran bekas kapten pasukan England, David Beckham pula berhadapan skandal hampir serupa.
Pemain itu yang kini bermain untuk kelab LA Galaxy tidak mampu berdiam diri lagi apabila dia dilaporkan akan mengheret seorang pelacur Irma Nici ke mahkamah, selepas wanita itu mendakwa kononnya mereka pernah tidur bersama.
“Beckham akan meneruskan usaha untuk mengheret pelacur itu ke muka pengadilan. Beckham yakin dia mempunyai pasukan peguam yang paling kuat dan akan memastikan perkara tersebut berlaku.
“Dia juga tetap tenang dengan membiarkan pasukan peguamnya menjalankan tugas mereka, ketika dia terus memberikan tumpuan bermain untuk LA Galaxy,” jelas laporan The Sun yang memetik satu sumber.
Bintang bola sepak itu menyaman Nici sebanyak 16 juta pound (RM78 juta) berhubung dakwaan wanita itu dia pernah tidur bersama Beckham di London dan New York pada 2007.
Menurut satu lagi sumber, peguam pelacur kelahiran Bosnia itu hari ini mendedahkan bahawa Nici turut mengemukakan saman balas terhadap Beckham kerana menyekat haknya untuk bersuara.
Satu sumber kepada pemain bola sepak itu memberitahu bahawa sebarang tindakan undang-undang oleh Nici merupakan satu kelebihan buat pasukan peguam Beckham kerana ia akan memaksa pelacur itu memberikan keterangan di mahkamah.
Sementara itu, ketika skandal seks menyelubungi Beckham, isterinya Victoria dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles semalam, untuk ke London.
Dengan cermin mata hitam, pakaian formal berwarna kelabu, beg tangan serta beg pakaian sedondon, ibu kepada tiga anak itu kelihatan tabah ketika dia berjalan menuju terminal untuk perjalanan antarabangsa.
Di saat dia pastinya kecewa dengan kecurangan yang didakwa dilakukan suaminya, Victoria membuat dirinya sibuk dengan melengkapkan jenama fesyen barunya bagi musim bunga dan musim panas akan datang yang bakal diperagakan pada Minggu Fesyen New York. – Agensi

Isteri ahli perniagaan serah memorandum minta cepatkan siasatan

Jayanthi menyerahkan memorandum kepada Mohd. Zaki Abu Bakar
bagi mempercepatkan siasatan kehilangan suaminya
 di Bukit aman, kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Isteri seorang ahli perniagaan dari Banting hari ini menghantar memorandum meminta polis menyegerakan siasatan berhubung kehilangan suaminya yang didakwa mungkin ada kaitan dengan suspek pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
S. Jayanthy, 33, tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira 11 pagi dan menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman Cif Inspektor Mohd. Zaki Abu Bakar.
Jayanthy ketika ditemui berkata, beliau telah membuat dua laporan polis selepas suaminya S. Anpalagan, 43, tidak pulang ke rumah, bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas mengenai perkembangan kes itu.
"Laporan pertama dibuat pada 4 Ogos tahun lalu di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang manakala laporan kedua dibuat di Balai Polis Kuala Kubu Bharu pada 25 Februari lalu.
"Lebih setahun saya belum menerima sebarang berita mengenai suami saya," katanya.
Kelmarin, Jayanthy mengadakan sidang akhbar di Kapar, Klang memaklumkan mengenai kehilangan suaminya yang dipercayai berkait dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati bersama tiga lelaki.
Selain usahawan wanita itu yang hilang bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu, dua ahli perniagaan termasuk seorang warga India turut dilaporkan hilang selepas berurusan di Banting.
Menurut Jayanthy lagi, selepas kehilangan suaminya, seorang individu yang mendakwa sebagai pembantu Anpalagan telah memintanya supaya menandatangani beberapa dokumen.
"Lelaki tersebut yang menamakan dirinya Rajasekaran mengatakan tanda tangan saya diperlukan atas kehendak suami saya.
"Dia memberi jaminan bahawa suami saya masih hidup namun saya terkejut apabila mendapati syarikat milik saya bertukar daripada Swiss Krishma Sdn. Bhd. kepada Beruntung Cattle Farm," ujarnya.
Katanya, Rajasekaran bersama dua rakannya telah membayar RM10,000 sebagai elaun kepadanya dalam tempoh tiga bulan selepas memperoleh tandatangannya.
Bagaimanapun, selepas kali terakhir menerima wang tersebut pada Mac lalu dia telah diminta supaya meninggalkan pejabat suaminya.
"Saya percaya Rajasekaran serta rakan-rakannya mengetahui keadaan sebenar suami saya memandangkan mereka memberitahu suami masih hidup.
"Saya mohon pihak polis agar menyiasat pemilikan semua harta benda suami saya yang dianggarkan mencecah sehingga RM2 juta," katanya.
Tambahnya, kemungkinan dokumen tersebut disediakan oleh seorang peguam yang mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan Sosilawati.
"Sebelum suami saya hilang ada penduduk dari Banting juga pernah melihat suspek pembunuhan Sosilawati bersamanya," katanya.
Anpalagan dikatakan memiliki tanah seluas empat ekar serta rumah banglo di pekan Banting selain mempunyai perniagaan gunting rambut atas nama IDEES Enterprise selain mengusahakan sebidang tanah yang dipajak seluas 430 hektar di Bukit Beruntung atas nama SKC Cattle.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis telah meminta wanita itu hadir di mana-mana balai polis bagi membolehkan pihak berkuasa merakamkan percakapan dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kehilangan suaminya.utusan

Tuduhan tambahan Saudagar Maut ditolak

BOUT tiba di bilik tahanan sementara dengan kawalan ketat unit khas
 polis sebelum dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Bangkok, semalam. - AFP

BANGKOK 4 Okt. - Sebuah Mahkamah Thailand hari ini menolak untuk menggugurkan tuduhan tambahan ke atas peniaga senjata Rusia, Viktor Bout yang dikenali sebagai "Saudagar Maut", satu keputusan yang boleh merumitkan lagi permintaan Amerika Syarikat (AS) supaya Thailand mengekstradisi lelaki itu.
Sebuah Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lalu mengeluarkan perintah untuk membenarkan Bout diekstradisi ke AS. Namun, sebelum keputusan itu dibuat, AS telah memfailkan tuduhan baru yang perlu digugurkan sebelum dia boleh diekstradisi.
Di bawah undang-undang Thailand, seorang defendan mempunyai hak untuk membantah pengguguran tuduhan yang dikenakan ke atas dirinya, seperti yang dibuat oleh Bout untuk melengah-lengahkan proses ekstradisi.
Bout tiba di mahkamah dengan mengenakan baju kalis peluru ketika dia menentang usaha Amerika Syarikat(AS) untuk mengekstradisinya.
Dengan dikawal sepasukan polis komando, Bout dibawa keluar dari sebuah penjara yang mempunyai tahap keselamatan tinggi di sini ke Mahkamah Jenayah untuk menjalani perbicaraan yang akhirnya mungkin membolehkan dia diserahkan kepada AS atas tuduhan keganasan.
Ketika ditanya wartawan di mahkamah sama ada dia akan mendapat perbicaraan yang adil di AS, bekas juruterbang tentera udara Kesatuan Soviet yang berusia 43 tahun itu menjawab, sudah tentu dia tidak akan memperolehinya.
Bout dijangka dihantar pulang pada Ogos lalu berdasarkan perintah oleh sebuah Mahkamah Rayuan Thailand, namun proses itu yang telah meletakkan negara ini dalam kedudukan sukar antara AS dan Rusia, ditangguhkan pada saat-saat akhir.
Tuduhan baru melibatkan penggubahan wang haram dan penipuan yang dikemukakan oleh pendakwa raya AS awal tahun ini dalam percubaan jelas untuk memperkukuhkan kes ekstradisi itu perlu diselesaikan sebelum dia boleh diusir dari Thailand.
Namun, pendakwa raya Thailand sebelum perbicaraan berkata, mereka percaya mahkamah mungkin membenarkan tuduhan itu digugurkan, dari segi teorinya membuka jalan kepada Bout untuk diserahkan kepada Washington.
"Berdasarkan pemahaman saya, berkemungkinan mahkamah akan membenarkan tuduhan kedua itu digugurkan, tiada sebarang halangan," kata Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa, Sirisak Tiyapan di Pejabat Peguam Negara. - REUTERS/AFP, utusan

Dadah: 2 dihukum gantung


E. BERNARD Louga bersama isterinya yang tidak dapat menahan
 kesedihan selepas suaminya itu dijatuhkan hukuman mati
di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.



PULAU PINANG 4 Okt. – Suasana tenang dalam Mahkamah Tinggi di sini bertukar hiba apabila beberapa ahli keluarga dua tertuduh tidak mampu menahan kesedihan setelah mereka dihukum gantung selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim menjatuhkan hukuman ke atas P. Pathmanathan, 28, tukang kimpal dan E. Bernard Louga, 29, penternak kambing.
Ahli keluarga tertuduh yang mulanya dilihat tenang di galeri awam tiba-tiba menangis dan meraung sambil memeluk tertuduh yang turut menangis sebaik sahaja prosiding selesai.
Pathmanathan dan Bernard yang berkemeja putih dan berseluar jean biru juga dilihat mencium dan memeluk isteri dan anak mereka beberapa kali.
Seorang wanita yang dipercayai ibu Pathmanathan pula hampir pengsan ketika mengekori anaknya yang dikawal oleh beberapa anggota polis untuk dihantar semula ke penjara selepas prosiding berakhir.
Dia bagaimanapun ditenangkan oleh beberapa anggota keluarga yang lain sebelum diletakkan di atas kerusi roda.
Sebelum itu seorang lelaki dipercayai bapa salah seorang tertuduh juga pengsan sebaik sahaja hukuman diputuskan.
Terdahulu, dalam keputusannya, Nurmala berkata, keterangan tertuduh ketika membela diri hanyalah penafian semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Menurut Nurmala, mereka juga semasa memberi keterangan, nampak telah mereka-reka cerita agar selari dengan fakta kes.
‘‘Saya lihat, kamu berdua memang mempunyai niat bersama dan merancang bertemu di tempat kejadian. Begitu juga keterangan isteri kamu dan rakannya. Terlalu banyak perkara yang tidak selari. Ini jelas menunjukkan mereka bukan saksi yang boleh dipercayai.
‘‘Justeru, mahkamah tiada pilihan lain selain memerintahkan kamu berdua dihukum gantung sampai mati,’’ kata Nurmala.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar 50.3 gram heroin dan 7.4 gram Monoacetylmorphines pada pukul 11.30 malam, 26 Februari 2007, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, di Seberang Perai Tengah di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim dan G. Jaya Prem mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Pathamanathan diwakili peguam Datuk Haniff Hashim manakala peguam R.S.N Rayer mewakili Bernard Louga.
Bagaimanapun kedua-dua peguam tidak hadir di mahkamah hari ini.utusan

Pemuda maut motosikal rempuh bas



MELAKA 4 Okt. - Seorang pemuda yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah bas sekolah di Jalan Taman Merdeka, Batu Berendam di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, Erewanshah Hussin, 20, yang bekerja di sebuah kilang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Supritendan Poonam A. E. Kling berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggangi mangsa datang dari arah bulatan Angkasanuri menuju arah persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah pasar borong.
''Sebaik sahaja Erewanshah tiba di tempat kejadian, sebuah bas sekolah datang dari arah bertentangan terus membelok ke kanan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh di sisi kiri bas tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau lagi, pemandu bas sekolah itu tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, rakan mangsa, Syed Ahmad Aidil Sheikh Nor, 20, memberitahu dia tidak sangka malam tadi merupakan kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa.
''Baru semalam arwah datang dan meluangkan masa bersama kami sehingga pukul 1 pagi. Saya tidak nampak apa-apa perubahan pada dirinya dan dia seperti biasa suka membuat lawak apabila berjumpa,'' katanya.
Kata Ahmad Aidil, dia bagaikan hendak pengsan apabila mendapat tahu, kawannya itu meninggal dunia dalam kemalangan.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Gangsa, Durian Tunggal itu merupakan anak sulung daripada lima beradik dan mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya.

Gudang barang plastik terbakar, rugi RM1j

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam api yang memusnahkan
 sebuah gudang menyimpan barangan plastik
 di Jalan Changkat, Nibong Tebal, kelmarin.

NIBONG TEBAL 4 Okt. - Sebuah gudang menyimpan barangan plastik musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM1 juta di Jalan Changkat di sini malam tadi.
Dalam kebakaran kira-kira pukul 11 malam itu, dua blok menyimpan barangan plastik dan sebuah bangunan pejabat musnah dengan asap tebal dapat dilihat dari jarak 10 kilometer.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Ramlan Mohd. Arif berkata, tiga jentera bersama 15 anggota dari balai Nibong Tebal, Sungai Bakap dan Parit Buntar bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira pukul 11.01 malam.
Menurutnya, bomba yang tiba kira-kira 10 minit kemudian mendapati api sedang marak dan sudah memusnahkan sebahagian besar struktur gudang berkenaan.
"Api merebak dengan pantas memandangkan gudang tersebut sarat dengan bahan plastik yang mudah terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ramlan berkata, tindakan pantas bomba yang dibantu lebih 15 pasukan bomba sukarela berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan perumahan bersebelahan.
"Kita sudah mendapatkan beberapa maklumat serta keterangan daripada pemilik gudang dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan jumlah sebenar kerugian ekoran kejadian ini," jelasnya.
Sementara itu, ibu kepada pemilik gudang berkenaan, Kang Nooi Yang, 56, memberitahu, dia menyedari kejadian tersebut sebaik sahaja tiba di pekarangan rumah selepas keluar membeli makanan untuk ahli keluarganya.
"Rumah kami hanya bersebelahan dengan gudang. Sebaik sahaja sampai dan meletakkan kenderaan, saya nampak cahaya dari dalam gudang dan sedar ia adalah api yang sedang marak.
"Saya bergegas meminta ahli keluarga keluar dari rumah dan sempat menyelamatkan beberapa barangan termasuk dokumen penting seperti kad pengenalan dan barangan kemas," katanya.
Nooi Yang memberitahu, gudang berusia lebih 15 tahun itu merupakan peninggalan suaminya sebelum diambil alih oleh tiga orang anaknya beberapa tahun lalu.utusan

Polis cari Jesyntha

KUALA LUMPUR – Polis mengesan seorang wanita dipercayai saksi yang dapat membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, serta tiga rakan yang lain.

Saksi yang dicari adalah Jesyntha Clarene Isreal, 27, beralamat terakhir di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai saksi diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis atau menghubungi terus Deputi Superintendan, Khoo Leng Huat di talian 010- 4203791.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shamsuddin, 44, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mereka kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan ladang berkenaan.

Polis kemudian menahan lapan orang suspek termasuk seorang peguam dan adiknya bagi membantu siasatan.

Beberapa bahan bukti milik mangsa antaranya jam, tulang, gelang emas, pisau serta zink yang dijadikan alasan bagi membakar mangsa ditemui di sungai berhampiran lading berkenaan.

Dua sahabat ke tali gantung

GEORGETOWN - Suasana dalam Mahkamah Tinggi semalam bertukar hiba apabila beberapa ahli keluarga dua tertuduh kes dadah tidak dapat menahan perasaan sedih setelah disabitkan salah mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines seberat 57.7 gram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim, memerintahkan kedua-dua tertuduh P Pathmanathan, 28, seorang juru kimpal dan E Bernard Louga, 29, penternak kambing, dihukum gantung sampai mati.

Ahli keluarga tertuduh yang pada mulanya tenang berada di galeri awam dilihat amat sedih serta dilihat saling menangis dan meraung. Seorang wanita yang dipercayai ibu Pathamanathan juga pengsan sewaktu mengekori anaknya yang diiringi beberapa anggota polis untuk dihantar ke penjara selepas kes selesai.

Dalam keputusannya, Nurmala berkata, pembelaan dikemukakan kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Menurutnya, ketika memberi keterangan, kedua-duanya nampak mereka-reka cerita supaya setiap yang dikatakan mereka selari dengan apa yang terkandung dalam fakta kes.

“Saya lihat, kamu berdua memang mempunyai niat bersama dan merancang bertemu di tempat kejadian. Begitu juga keterangan isteri kamu dan rakannya. Terlalu banyak perkara yang tidak selari," katanya.

Ubah taktik seludup dadah selepas KLIA dikawal ketat

SHAH ALAM – Taktik baru sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dikesan dengan menjadikan lapangan terbang tambang murah (LCCT) sebagai laluan masuk utama ke negara ini.

Ini berikutan penjenayah mengandaikan tahap kawalan keselamatan di LCCT longgar berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semuanya terbongkar apabila seorang lelaki warga India ditahan bersama dadah jenis ketamin, yang ketika itu baru tiba dari Tawau, Sabah, kira-kira jam 1.30 petang, 30 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, sebelum itu, suspek berumur 41 tahun, melakukan transit dari Chenai, India ke KLIA, dan seterusnya menuju ke Tawau.

Katanya, selepas beberapa hari di situ, suspek yang merupakan seorang tukang jahit, menaiki pesawat tambang murah dan turun di LCCT.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di dalam begnya itu menemui sembilan bingkai bergambar dan setiap bingkai terbabit tersembunyi dadah seberat 4.5 kilogram, bernilai hampir RM135,000.

“Mereka (sindiket) anggap polis kurang melakukan kawalan di LCCT, tetapi kawalan polis tetap ketat di semua pintu masuk, tidak kiralah melalui udara, air mahupun darat,” katanya.

Wanita mengandung teraniaya

KUALA LUMPUR – Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah haki:kat yang terpaksa dihadapi oleh seorang kerani akaun apabila bukan sahaja dituduh mencuri sehingga ditahan di lokap, bahkan kandungan yang berusia dua bulan terpaksa digugurkan gara-gara dikesan mengidap sejenis penyakit.

Ong Siew Peng, 28, mendakwa dituduh oleh majikannya menggelapkan duit syarikat sebanyak RM400,000 serta mencuri dua utas jam tangan Rolex.

Bekas majikannya tergamak membuat laporan polis palsu mendakwa mangsa mencuri.

Mangsa berhenti kerja Ogos lalu kerana tidak sependapat dengan majikannya dan diarahkan ke pejabat 13 September lalu untuk mengambil gaji.

Bagaimanapun, semua itu helah semata-mata, kerana sejurus mangsa tiba di pejabat, polis menahannya dan disebabkan laporan palsu yang dibuat, dia terpaksa bermalam lima hari di lokap.

“Semasa dalam tahanan, saya demam dan muka digigit serangga dengan teruk menye�babkan kulit berbintik-bintik merah serta beruam.

“Saya ingin berjumpa doktor tetapi permintaan tersebut ditolak,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini semalam.

Mangsa yang dibebaskan dengan jaminan polis berjumpa doktor Rabu lalu dan membuat laporan polis pada hari yang sama.

Lebih mengejutkan apabila dia dikesan menghidap sejenis penyakit dan dinasihatkan doktor untuk menggugurkan kandungannya atas faktor-faktor keselamatan.

Keesokannya dia menggugurkan kandungannya di sebuah klinik di Setapak.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, memang terdapat kes melibatkan pekerja dianiaya oleh majikan, antaranya disebabkan tidak mahu membayar gaji.

Menurutnya, biro itu akan terus memantau kes seumpama itu bagi membela nasib pekerja yang dianiayai kerana terdapat segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab membuat laporan palsu kepada polis.

Kita tak mampu halang majikan yang membuat laporan tetapi kita boleh memantau kes berkaitan,” katanya.

Katanya, wanita tersebut sepatutnya mendapat pengecualian dan diberikan rawatan perubatan semasa dalam tahanan berdasarkan keadaan kesihatannya ketika itu selain mengandung dua bulan.

Kanak-kanak dijadikan perisai tentera

BAITULMAQDIS - Mahkamah Tentera menjatuhi hukuman terhadap dua tentera Israel yang menggunakan kanak-kanak sebagai perisai semasa Operation Cast Lead di Gaza pada akhir 2008 dan awal 2009.

Kedua-dua tentera itu didapati antara lain memaksa seorang kanak-kanak Palestin berumur 11 tahun memeriksa beg-beg yang disyaki dipasang bahan letupan.

Pendedahan mengenai kekejaman ini dilakukan oleh Richard Goldstone dalam laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai jenayah perang yang dilakukan tentera Israel ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

Menurut laporan Goldstone, insiden kanak-kanak dipaksa memeriksa beg yang dipercayai dipasang bahan letupan berlaku di Bandar Gaza pada Januari 2009.

Mati tiada siapa tahu

KULIM - Amat menyedihkan. Seorang warga emas dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum mayatnya dijumpai duduk di kerusi di rumahnya di Taman Selasih di sini.

Kematian lelaki berusia 71 tahun yang sudah 10 tahun tinggal seorang diri itu hanya disedari setelah jirannya terhidu bau busuk dari rumahnya.

Kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam, jiran berkenaan menghubungi Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) setelah berasa curiga apabila terhidu bau busuk dari rumah warga emas itu.

“Difahamkan, mangsa mempunyai isteri tetapi tinggal bersendirian apabila isterinya berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama anak mereka,” kata jurucakap PPKM yang bergegas ke tempat kejadian setelah mendapat maklumat itu.

Menurutnya, sebelum itu, ada jiran mangsa yang cuba memanggilnya setelah tidak melihatnya keluar rumah sejak tiga hari lalu, namun panggilan mereka tidak berjawab.

Polis yang dihubungi PPKM dan tiba di lokasi tidak lama kemudian, percaya lelaki itu sudah meninggal dunia lebih daripada dua hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah mulai membengkak dan berair.

Ketika mayat itu ditemui, radio miliknya masih lagi terpasang manakala keadaan dalam rumah serta semua barangan masih teratur tidak berusik, sekali gus membuktikan kematian warga emas itu tiada kaitan unsur jenayah.

Difahamkan, mangsa adalah pesakit darah tinggi dan mayatnya dibawa ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan meminta ahli keluarga warga emas itu datang menuntut mayatnya setelah selesai dibedah siasat.

Remaja tidak serik



BANDA HILIR - Tidak pernah serik! Itulah kata-kata yang tepat bagi menggambarkan seorang remaja perempuan yang ditangkap khalwat semalam, walaupun masih menanti tarikh perbicaraan kes hamil luar nikah membabitkan dirinya.

Remaja berumur 19 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berumur 22 tahun di dalam sebuah bilik hotel bajet, di sini.

Ketika serbuan dilakukan, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terpaksa mengambil tindakan mengumpil pintu bilik berkenaan dengan bantuan seorang pekerja hotel selepas ketukan bertalu-talu mereka tidak diendahkan.

Selepas mengumpil sebahagian pintu, anggota penguat kuasa terus mengarahkan remaja terbabit membuka pintu.

Remaja yang lengkap berpakaian itu terus membuka pintu, sambil mendakwa dia bersendirian di dalam bilik berkenaan.

Tidak berpuas hati dengan dakwaannya itu, anggota penguat kuasa terus menjalankan pemeriksaan dan menemui seorang lelaki yang hanya bertuala, bersembunyi di sebalik pintu tandas.

Sementara itu, dalam serbuan sama, anggota penguat kuasa JAIM turut menahan tiga wanita, yang juga pe�nuntut sebuah institusi pengajian tinggi kerana didakwa berkhalwat dengan dua lelaki di sebuah bilik bersebelahan.

Apabila pintu bilik diketuk, kedua-dua lelaki terbabit bertindak memanjat tingkap bilik sebelum turun ke lobi hotel dan berpura-pura duduk seperti pelancong.

Bagaimanapun, tembelang mereka pecah apabila ketiga-tiga wanita berkenaan mengecam mereka.

Difahamkan, semua wanita terbabit datang dari Segamat, Johor, semata-mata untuk bertemu dan memadu kasih dengan dua lelaki berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya akan memanggil keluarga mereka yang ditahan bagi memaklumkan mengenai salah laku anak masing-masing.

Menurutnya, dalam usaha menutup kesalahan mereka, ada antara pesalah yang cuba berdalih atau sanggup menipu dengan mengatakan keluarga mereka berada di luar negara.

“Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan didakwa di bawah Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

Gerai FAMA diserbu



SELAYANG - Jabatan Imigresen Selangor menahan 17 warga asing dalam satu operasi di Gerai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Pasar Borong Selayang di sini, semalam. 

Penolong Pengarahnya, Tarmizi Talib Ali berkata warga asing terbabit ditahan kerana melanggar peraturan Imigresen seperti visa dan pasport yang tamat tempoh, tiada permit kerja, dan menjalankan kerja yang lain daripada yang dinyatakan dalam permit. 

Beliau berkata, semua yang ditahan dalam operasi bermula jam dua petang itu merupakan warganegara Indonesia berumur antara 18 dan 45 tahun. 

“Seramai 14 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan berdasarkan aduan awam dan pihak Fama sendiri. 

“Kesemua mereka akan dihantar dan ditahan di Pusat Tahanan Lengging, Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas operasi berakhir. 

Pada operasi berkenaan, sebanyak 12 gerai turut diperiksa. 

Tarmizi berkata, hasil pemeriksaan mendapati ada di antara lesen gerai tersebut di alibabakan kepada warga asing. 

“Kehadiran anggota Imigresen yang membuat pemeriksaan secara mengejut di pasar ini menyebabkan ada warga asing bertempiaran melarikan diri. 

“Bagaimanapun, operasi yang melibatkan 31 pegawai itu berjalan lancar tanpa melibatkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya

Maut angkara langgar lari



TUMPAT- Hasrat seorang pembantu kedai perabot untuk ke tempat kerja tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 3 Berangan-Meranti dekat Kampung Chabang Empat, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa, Chang Sau Wai, 36, yang menunggang motosikalnya dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasir Mas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti menyebabkan dia terjatuh ke kanan jalan.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa ditemui seorang penduduk kampung ketika pulang dari masjid berdekatan yang segera memaklumkan kepada pihak polis.

Ayah mangsa, Chang Koh Kong, 62, berkata, anaknya itu dari rumah keluarga isterinya, Tin Ai Fei, 30, di Kampung Terbak dan tidur di sana kelmarin kerana mahu menguruskan urusan kematian keluarga mertuanya yang genap 100 hari semalam. 

Menurutnya, dia jarang berjumpa mangsa kerana anaknya itu tinggal di Pasir Mas manakala dia menetap di kampung Chabang Empat.

“Saya memang terkejut apabila menerima berita kematiannya. Jumaat lepas saya ada berjumpa dengannya, tetapi ketika itu dia tidak menunjukkan sebarang kelakuan yang pelik.

“Walau pun jarang berjumpa, tetapi sekiranya saya ada masalah, dia yang paling awal sampai di rumah saya berbanding anak lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sau Wai meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia empat tahun, Chang Swee Hong. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah 09-7257222 atau 09-7257223 bagi membantu siasatan kemalangan tersebut.

1,000 warga emas dijangka pulangkan wang ihsan

GEORGETOWN 5 Okt. - Seramai 1,000 lagi warga emas di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ihsan RM100 yang diterima dari kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berkata, kebanyakan daripada warga emas berkenaan kecewa kerana wang ihsan yang diperolehi itu datang daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.
Menurutnya, pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri sebelum ini telah menyebabkan lebih ramai lagi warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat kerana mereka tidak sanggup menggunakan wang dari sumber haram.
"Kami menjangkakan lebih kurang 1,000 warga emas lagi akan memulangkan wang ihsan tersebut kepada UMNO Bahagian masing-masing," katanya.
Beliau berkata, UMNO tidak memaksa mereka untuk memulangkan wang ihsan tersebut sebaliknya warga emas berkenaan bertindak atas kerelaan hati. - Bernama

Kemalangan maut: Penunggang, pembonceng 15 - 26 tahun

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebanyak 71.6 peratus kes kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan muda dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.
Beliau berkata, mangsa kemalangan tersebut tidak mempunyai kemahiran yang cukup dalam mengendalikan motosikal dan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
"Ini adalah antara hasil kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, fokus tentang kepentingan mengendalikan motosikal dengan selamat akan diutamakan kepada golongan muda dalam lingkungan umur tersebut selama dua tahun di seluruh Malaysia.
"Kita nak wujudkan sikap utamakan keselamatan dan berharap ia dapat dipraktikkan secara berterusan dalam jangka masa beberapa tahun akan datang,” katanya. - Bernama

Banjir akibat empangan pecah di selatan Hungary

BUDAPEST 5 Okt. - Seorang maut hari ini setelah satu empangan yang menakung air sungai di sebelah selatan Hungary pecah menyebabkan banjir besar berlaku di dua buah perkampungan.
Menurut laporan daripada agensi berita MTI, tiga orang penduduk dilaporkan hilang dan 10 lagi penduduk dibawa ke hospital, dua daripadanya dikatakan mengalami kecederaan serius.
Pihak hospital berkata, pihaknya telah merawat 60 orang mangsa, 10 orang mengalami kecederaan yang serius dan mengesahkan seorang daripadanya maut. - REUTERS

Pencarian 2 pengembara belon udara hilang ditamatkan

ROM 5 Okt. - Pengawal pantai Itali berkata, pihaknya menamatkan pencarian pasangan pengembara belon udara dari Amerika yang hilang minggu lepas di Laut Adriatik.
Jurucakap pengawal pantai, Leftenan Massimo Maccheroni berkata, pencarian ditamatkan pada pukul 3.30 petang (9.30 pagi waktu Malaysia) hari ini selepas lokasi terakhir pasangan Richard Abruzzo dan Carol Rymer Davis gagal dikesan.
Pihak pencari dan penyelamat menggunakan kenderaan robotik bagi mengesan kedudukan pasangan tersebut di Laut Adriatik. - AP

11 maut bas bawa kumpulan pemuzik kemalangan

TEGUCIGALPA 5 Okt. - Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 11 lagi cedera setelah sebuah bas yang membawa kumpulan muzik “Chicas Sambas” terbabit dalam satu kemalangan hari ini.
“Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital dan kami sekarang sedang berusaha mengeluarkan 11 mayat dari bas tersebut untuk mengenalpasti identiti mereka sama ada dari kumpulan Chicas Sambas,” kata Jurucakap bomba tempatan, Erick Mejia kepada radio HRN.
Kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.15 pagi waktu tempatan (7.15 malam waktu Malaysia) lebih 220 kilometer sebelah utara pusat bandar raya setelah sebuah kereta melanggar bas tersebut, sebelum terbakar. - AFP

Bunuh kanak-kanak: Bekas konstabel ke tali gantung

SHAH ALAM 5 0kt. - Bekas konstabel polis, Mohd. Nahar Abu bakar, 33, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh anak bekas Setiausaha UMNO Klang dan pengasuhnya tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.
Mohd. Nahar didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, 3 dan Siti Rohana Baharom, 34, di rumah No. 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang dekat sini pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003. -Utusan

Kes bunuh Sosilawati: Polis ambil keterangan Ketua AMK

SHAH ALAM 5 Okt. - Polis hari ini mengambil keterangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin berhubung kenyataannya yang didakwa mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Shamsul Iskandar dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi peguamnya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan seorang peguam dari Majlis Peguam, Fadiah Najwa Fiqri.
Shamsul Iskandar keluar semula bersama peguamnya pada kira-kira pukul 1 petang.

Yusmadi ketika ditemui media berkata, Shamsul Iskandar memberikan kerjasama dan keterangan kepada pegawai penyiasat terbabit dan ia merupakan proses siasatan biasa.

"Pihak kami sentiasa bersedia sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah, dan kami akan terus memberikan kerjasama," katanya.
Laporan sebelum ini menyebut, Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 September lepas mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis dalam pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga rakannya. - Bernama

Tipu: Bekas pengarah urusan syarikat didenda RM2j

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Bekas pengarah urusan syarikat kontraktor, Ngu Tieng Ung dihukum penjara sehari dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas 2 tuduhan menipu Pancaran Ikrab bhd. membabitkan transaksi wang RM37 juta 13 tahun lalu.
Mahkamah turut benarkan denda dibayar secara ansuran sebanyak 12 kali. - Utusan

Eropah dibayangi keganasan

Britain, Amerika beri amaran serangan al-Qaeda ala Mumbai di kota utama

LONDON: Kebimbangan mengenai serangan pengganas di Eropah dipertingkatkan lagi semalam apabila Washington dan London mengeluarkan amaran perjalanan, manakala Jabatan Negara Amerika Syarikat memberi amaran bahawa sistem pengangkutan awam dan pusat tarikan pelancong mungkin sasaran.

Britain pula menambah tahap ancaman yang mungkin dihadapi bagi perjalanan ke Jerman dan Perancis.
Amaran Amerika tidak pula menyatakan secara khusus negara Eropah yang akan diserang tetapi menuding jari kepada al-Qaeda dan kumpulan berkaitannya serta menjangka bahawa kemudahan rasmi dan persendirian mungkin jadi sasaran mereka.
Langkah itu menyusuli spekulasi bahawa al-Qaeda sedang merancang untuk melancarkan serangan ala komando mirip pertumpahan darah di Mumbai pada 2008 lalu apabila 166 orang terbunuh.

Kementerian Luar Britain menyenaraikan Perancis dan Jerman sebagai antara negara menghadapi ancaman keganasan tertinggi. Ia menyatakan penyerang menyasarkan tempat yang sering dikunjungi pelancong.

Namun, ada sumber tertinggi Britain menyifatkan maklumat perisikan mengenai serangan ala komando itu sebagai ‘tidak tepat.’

Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Dalam Negeri, Theresa May, berkata tahap ancaman bagi Britain kekal teruk yang bermakna serangan “boleh berlaku bila-bila”.
Katanya, United Kingdom dan Amerika sudah mencapai persetujuan mengenai perkembangan itu. “Saya menggesa orang awam supaya melaporkan apa juga kegiatan yang disyaki kepada polis bagi membantu pihak berkuasa mengesan, mengambil tindakan lanjut dan menggagalkan kegiatan pengganas,” katanya.

Amaran yang dikeluarkan semula itu dibuat ketika wujud petanda di seluruh Eropah berhubung serangan yang dirancang. Di Paris, Menara Eiffel ditutup dua kali dalam tempoh dua minggu, kali terakhir Selasa minggu lalu apabila ada panggilan bom daripada pondok telefon.

Bangunan berkenaan digeledah, tetapi tiada apa-apa ditemui. Sweden juga meningkatkan tahap ancaman Jumaat lalu.

Namun, Jerman pula berkata semalam, ia tidak mengubah penilaian risiko kerana ‘belum ada petanda kuat mengenai ancaman serangan’ walaupun laporan CNN menyatakan beribu-ribu askar Amerika di Pangkalan Udara Ramstein diarah tidak keluar rumah malam Jumaat lalu berikutan kebimbangan kemungkinan berlaku serangan.

Pegawai di Eropah berkata, setakat ini mereka tidak menerima apa-apa laporan perisikan bahawa akan berlaku serangan, dan memberi amaran agar tidak dikaitkan serangan terhadap pangkalan AS di Pakistan baru-baru ini dengan kemungkinan berlaku serangan ala komando di Eropah.– Agensi

Peguam akui ramai rakan terbabit rasuah

BEIJING: Peguam di kebanyakan negara menggangap rasuah menjejaskan profesion mereka, menurut tinjauan pendapat terbaru membabitkan 95 negara yang disiarkan semalam.

Persatuan Peguam Antarabangsa yang berpejabat di London, berkata hampir separuh daripada 642 peguam yang ditinjau pendapat awal tahun ini menyatakan rasuah menjejaskan profesion guaman di negara mereka termasuk semua responden di Pakistan, China dan Guatemala.
Keputusan kaji selidik itu dilancarkan pada sidang tahunan persatuan itu di Vancouver, Kanada. Di Australia dan New Zealand, hanya 16 peratus peguam menganggap amalan rasuah sebagai isu, berbanding lebih 70 peratus di Afrika, Amerika Latin dan Eropah Timur, kata persatuan itu.
Seorang daripada peguam yang ditanya berkata, operasi mereka terjejas di tangan firma guaman yang mengamalkan rasuah atau individu.

Laporan itu menarik perhatian bahawa keputusan kaji selidik pada 15 Jun hingga 5 Julai tidak boleh dianggap keadaan sebenar di negara diliputi kerana sampel saiznya kecil. – AP

Wilders dakwa hakim perbicaraan tak adil

AMSTERDAM: Ahli politik anti-Islam Belanda, Geert Wilders yang mencetuskan kontroversi dalam pembentukan kerajaan baru Belanda dihadapkan ke mahkamah semalam kerana menghasut kebencian terhadap masyarakat Islam.

Bagaimanapun hakim menangguhkan perbicaraan hingga hari ini selepas peguam bela mempersoal sama ada hakim berlaku adil kepada mereka.
Wilders sekali lagi enggan bercakap menyebabkan ketua hakim menuduhnya cuba mengelak membincangkan pandangan mengenai Islam.
Wilders didakwa mencetuskan kebencian dan diskriminasi menerusi komen dalam media dan menghina masyarakat Muslim dengan membandingkan Islam dengan ideologi Nazi.

“Dia memecah-belahkan masyarakat, mencetuskan kebencian, konflik antara penduduk. Ada rakyat yang tidak dapat menerima perkara ini,” kata Mohammed Rabbae daripada Majlis Kebangsaan keturunan Maghribi.

Pemimpin Parti Kebebasan (PVV) yang turut diancam bunuh atas pandangannya itu turut menghasilkan filem Fitna pada 2008 yang menuduh kitab suci al-Quran mencetuskan keganasan dan menggunakan imej keganasan dengan memetik ayat dalam kitab suci terbabit.

Seorang peguam terkenal, Gerard Spong memberitahu radio Belanda BNR: “Ini kali pertama berlaku seorang ahli Parlimen kanan perlu menjawab tuduhan di mahkamah jenayah atas dakwaan menghasut kebencian.”
Mengulas perbicaraannya, Wilders berkata, semalam adalah hari yang teruk. Jika didapati bersalah, beliau berhadapan hukuman penjara setahun atau denda.

Perbicaraan berlangsung ketika Wilders cuba mendapatkan kuasa memerintah negara itu melalui sokongan kerajaan minoriti membabitkan parti Liberals (VVD) dan Kristian Demokrat (CDA).

Kongres CDA mengundi untuk memasuki kerajaan minoriti dengan sokongan PVV, Sabtu ini, tetapi masih tidak sependapat kerana bergantung kepada sokongan PVV.

Berikutan pilihan raya Jun lalu, VVD dan CDA memiliki 52 kerusi daripada 150 kerusi Parlimen. Dengan sokongan Wilders, mereka mampu mendapat majoriti minimum 76 kerusi. – AP

Tiga koperasi, 12 pegawai babit skim cepat kaya didakwa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mendakwa tiga koperasi dan 12 pegawainya di mahkamah dalam jangka masa terdekat kerana terbabit dalam aktiviti pelaburan bercirikan skim cepat kaya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SKM sejak 2008 sudah mengenal pasti 14 koperasi terbabit dalam aktiviti seumpama itu termasuk Koperasi Dinamik Malaysia (KOPEDIK) yang didakwa di mahkamah pada 28 Januari lalu.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan semua koperasi itu termasuk menjalankan aktiviti pelaburan terhadap perniagaan yang tidak wujud seperti industri cacing, lintah, rumpai laut dan emas.
“Mereka kutip duit pelanggan supaya melabur dalam perniagaan dijalankan tetapi ia tidak wujud. Contohnya, bagi perniagaan rumpai laut, pelanggan ditunjukkan kawasan laut kononnya milik mereka sedangkan ia tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran SKM di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, tindakan menggantung operasi koperasi akan diambil sebaik saja SKM menerima laporan penyelewengan atau penipuan yang dilakukan, sebelum tindakan membatal dan mendakwa ahli lembaga pengarah diambil.

“Jika siasatan mendapati koperasi berkenaan bersih daripada penyelewengan, penggantungan itu akan ditarik semula dan mereka bebas menjalankan aktiviti seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SKM sudah mengambil alih 15 koperasi untuk memulihkan pengurusan dan aktiviti mereka yang berdepan pelbagai masalah.
Bagaimanapun, katanya, semua koperasi berkenaan tidak terbabit dalam sebarang kesalahan, sebaliknya menghadapi masalah pengurusan dan kewangan.

Rumah sewa jadi makmal proses syabu

Pemilik terkejut temui peralatan ketika tuntut tunggakan

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah rumah di Kepong di sini, terkejut apabila mendapati rumah disewakan kepada seorang lelaki warga Iran dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.6 juta.

Lelaki itu menemui pelbagai peralatan dan cecair kimia dipercayai untuk memproses dadah apabila ke rumah teres dua tingkatnya di Taman Megah, Jumaat lalu, bagi mengutip tunggakan sewa tiga bulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata selepas menerima aduan daripada lelaki berusia 40-an itu, polis menyerbu rumah berkenaan dan menemui pelbagai peralatan dan cecair kimia.
“Antara peralatan ditemui ialah empat tong plastik berisi cecair hitam disyaki minyak syabu seberat 45,000 liter yang boleh menghasilkan 27 kilogram dadah syabu bernilai RM4.6 juta,” katanya di sini, semalam.

Turut dirampas balang kaca seperti silinder, bikar, tiub, kondensor dan termos selain cecair seperti asid Sulfuric, Toluene, Xylene, Methanol, Acetone, Hydrochloride, Phospherous Red dan Iodin.

Polis juga menjumpai dapur elektrik, mesin pengisar, penimbang digital, cerek dan pelbagai bekas plastik serta kaca kosong dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Berikutan penemuan itu, polis sedang mencari seorang lelaki warga Iran berusia lingkungan 30-an yang juga penyewa rumah terbabit dipercayai menghilangkan diri sejak Julai lalu.
“Kita percaya kes ini ada kaitan dengan kes makmal dadah yang ditumpaskan di Sri Hartamas di sini, Julai lalu dan dipercayai lebih dua individu terbabit dalam aktiviti memproses dadah ini,” katanya.

Beliau percaya suspek kemudian melarikan diri selepas pendedahan media berhubung penahanan sepasang suami isteri warga Iran yang terbabit dengan makmal memproses dadah di Sri Hartamas.

Kang yakin suspek itu masih berada di dalam negara ini dan dadah yang diproses itu dipercayai untuk pasaran antarabangsa terutama ke negara jiran.

Pada 22 Julai lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas yang dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1 juta serta merampas sembilan tong plastik cecair disyaki minyak syabu seberat 72 gelen.

Ekoran itu, seorang lelaki warga Iran berusia 39 tahun ditahan berdekatan sebuah restoran segera di Jalan Prima Kepong, manakala isterinya berusia 34 tahun ditahan pada keesokan harinya di mereka di Sunway SPK Damansara.

Gaji tentera, polis Ecuador dinaikkan selepas pemberontakan

QUITO (Ecuador): Presiden Ecuador, Rafael Correa menaikkan gaji polis dan angkatan tentera negara itu, hari ini, selepas beberapa hari pemberontakan polis negara itu susulan pemansuhan undang-undang terhadap bonus mereka.

Correa mengumumkan kenaikan gaji itu pada hari sama undang-undang pembayaran bonus pekerja awam dihentikan; termasuk pemotongan bonus yang tidak mendapat sokongan iaitu membabitkan pegawai kanan.
Presiden negara itu, menurut Menteri Pertahanan, Javier Ponce berkata, hari ini, menaikkan gaji bagi pihak tentera dan polis yang terdiri daripada empat pangkat, bermula AS$400 hingga AS$570 sebulan. - AFP

13 maut banjir di Vietnam





2010/10/05

HANOI: Sekurang-kurangnya 13 terbunuh manakala lima yang lain dilaporkan hilang susulan banjir yang melanda Vietnam, kata badan kerajaan negara itu, hari ini. 

Jabatan kawalan banjir dan ribut kebangsaan, berkata ramai mangsa yang dibawa arus adalah daripada sembilan wilayah.
Sejak Jumaat lalu, katanya hujan dicatatkan setinggi 129 sentimeter, dengan jumlah rumah yang terjejas mencecah 62,000 antara wilayah utara Thanh Hoa dan di tengah-tengah bandar Danang.
Lebih 900 angkatan tentera dan ahli militia sudah dikerahkan bagi membantu memindahkan 34,500 penduduk ke tempat selamat. - AFP

Maut sebelum sempat temu duga naik pangkat





2010/10/05

JITRA: Seorang anggota tentera yang dalam perjalanan untuk menghadiri temuduga kenaikan pangkat terbunuh apabila motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori, di Kampung Jerlun, Jalan Kangar-Alor Setar, dekat sini, pagi semalam. 

Mangsa, Mohd Luqman Khadir, 30, dari Felda Chuping, Perlis meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala, muka dan kaki kiri dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi itu.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak yang masih kecil.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berpakaian seragam tentera menunggang motosikal seorang diri dan dikatakan cuba memotong sebuah kereta. 

Bagaimanapun, katanya, mangsa dipercayai gagal memotong menyebabkan motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan baja dari arah bertentangan. 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

'Saudagar Maut' tentang ekstradisi




VIKTOR BOUT (tengah) yang dikawal anggota polis keluar dari Mahkamah Jenayah di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pedagang senjata Rusia, Viktor Bout, yang digelar 'Saudagar Maut' tiba di sebuah mahkamah di Thailand semalam dengan memakai baju kalis peluru bagi mendengar perbicaraan kes ektradisinya ke Amerika Syarikat (AS).
Bout yang dikawal pasukan komando polis dibawa dari sebuah penjara kawalan ketat di sini ke Mahkamah Jenayah Thailand bagi menghadiri perbicaraan untuk menyerahkannya kepada AS atas beberapa dakwaan keganasan.
Ditanya wartawan di mahkamah sama ada dia akan dibicarakan secara adil di AS, bekas juruterbang tentera udara Soviet Union berusia 43 tahun itu memberitahu: "Perkara tersebut tidak akan berlaku".
Bout sepatutnya dihantar ke AS pada Ogos lepas atas arahan sebuah mahkamah rayuan Thailand tetapi proses ekstradisi itu ditangguhkan bagi mendengar dakwaan terbaru AS terhadapnya yang melibatkan kes penggubahan wang haram dan penipuan.
"Setakat yang saya maklum, mahkamah tersebut berkemungkinan besar akan menggugurkan dua tuduhan itu bagi memudahkan Bout diekstradisi," kata Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa Pejabat Peguam Negara, Sirisak Tiyapan.
Namun, keputusan muktamad sama ada proses ekstradisi berkenaan akan dibenarkan terletak di tangan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.
Warga Rusia itu yang dipercayai boleh bertutur dalam enam bahasa ditangkap pada Mac 2008 dalam satu operasi pihak berkuasa Thailand.
Dia didakwa bersetuju untuk membekalkan senjata berharga jutaan dolar AS kepada ejen-ejen AS di Thailand yang menyamar sebagai gerila komunis FARC Colombia. - AFP

Pengerusi DAP NS kena samun



SIEW FOOK melihat bilik yang diselongkar dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Yoon Chan, Seremban semalam.


SEREMBAN – Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila disamun sekumpulan lelaki tidak dikenali di kediamannya di Taman Yoon Chan di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Rasah sedang tidur sebelum terjaga ekoran kehadiran empat orang lelaki bertopeng bersenjatakan parang berada di depan bilik tidurnya di tingkat atas.
Kata Siew Fook, suspek kemudian bertindak mengikat tangannya dengan wayar telefon sebelum menyumbatkan kain ke dalam mulutnya bagi mengelak dia daripada menjerit.
“Ibu dan bapa saya yang berusia 70-an dikejutkan daripada tidur. Mereka turut diikat sebelum dibawa turun ke tingkat bawah.
“Suspek mengambil masa lebih kurang 30 minit sebelum melarikan diri. Beberapa minit selepas itu, saya dapat melepaskan diri daripada ikatan dan terus menghubungi polis,” ujarnya.

Ramai guru wanita cari kerja baru

MANAMA: Berpuluh-puluh guru wanita di Qatar yang memohon untuk bertukar kerja mendakwa kurang yakin dengan masa hadapan mereka, selain tidak tahan dengan bebanan kerja.
Keadaan itu tercetus ekoran pengumuman kerajaan minggu lalu supaya pendidik digalak memohon pekerjaan di sektor awam lain, lapor akhbar harian Al Arab.
“Tiga tingkat di bangunan sumber manusia dipenuhi puluhan guru yang ingin memohon pekerjaan baru yang dapat menjamin masa depan mereka,” lapor akhbar itu.

Lebih ramai lagi guru dijangka meninggalkan jawatan mereka menyebabkan sekolah menghadapi masalah untuk mencari pengganti tenaga pengajar.

Tindakan guru berkenaan didorong rasa bimbang terhadap masa depan profesyen mereka. Waktu persekolahan yang panjang dan tanggungjawab untuk menghadiri bengkel serta aktiviti di luar waktu persekolahan antara penyebab utama guru berkenaan mencari pekerjaan baru.

“Janji kerajaan untuk memberi ganjaran kepada guru seperti anugerah berbentuk kewangan dan kenaikan gaji sejak tahun lalu belum lagi ditunaikan,” kata seorang guru.

Terdapat juga guru yang tidak puas hati kerana ditukarkan secara drastik hingga memaksa mereka mengajar di sekolah yang jauh dari kediaman. Bagaimanapun, akhbar Al Arab melaporkan kerajaan menolak permohonan guru Matematik, Fizik, Sains dan bahasa Inggeris berikutan kebanyakan sekolah menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar dalam subjek berkenaan. “Guru terbabit perlu terus mengajar atau meletakkan jawatan,” lapor akhbar itu lagi. - Agensi

Kes cerai makin tinggi di Kuwait

MANAMA: Angka perceraian di Kuwait dilaporkan semakin meningkat apabila pihak berkuasa mengesahkan 3,153 kes direkodkan dalam enam bulan pertama tahun ini.
Pada 2009 jumlah kes perceraian mencatat 5,965. Pihak berkuasa melaporkan jumlah perkahwinan pula menunjukkan penurunan dengan 6,914 perkahwinan direkodkan dalam enam bulan pertama sepanjang tahun ini berbanding 14,155 pada 2009.
“Kadar kes perceraian mencatat 42 peratus dan antara angka paling tinggi di dunia,” kata kementerian bertanggungjawab pada tahun lalu. Bagaimanapun, menurut ketua mahkamah syariah, Waleed Al Mawash, berdasarkan rekod perkahwinan enam bulan pertama tahun ini, hanya lima peratus kes perceraian dilaporkan.

“Kes perceraian lebih kerap berlaku dalam usia perkahwinan yang matang,” katanya. Pada Mei lalu, beberapa peguam dan ahli sosiologi menggesa kerajaan menggubal semula undang-undang perceraian selepas 42 peratus perkahwinan berakhir degan perceraian pada 2009.

Menurut mereka, walaupun terdapat beberapa alaasan yang meningkatkan kadar perceraian, namun undang-undang di Kuwait menjadi penyebab utama keadaan itu berlaku.

“Mengikut undang-undang, wanita yang diceraikan berhak mendapat bayaran, rumah, kereta dan pembantu rumah sementara bebas daripada komitmen perkahwinan,” kata seorang peguam sebagaimana dilaporkan akhbar Al Seyassah. - Agensi

Hakim baru kerja maut ditembak di kepala

MANILA: Dua lelaki bersenjata menembak mati seorang hakim dalam serangan disyaki polis ada kaitan dengan tugasan mangsa, semalam.
Reynaldo Lacasandile diserang dua lelaki bermotosikal pada subuh semalam di utara bandar Tagudin.
Jurucakap polis berkata, mangsa ditembak dua kali di kepala.

“Polis sedang mengenal pasti kes yang dikendali mangsa ketika ini,” katanya.

Lacasandile baru saja memulakan tugasnya selepas bertugas sebagai pendakwa kanan sebelum ini. - AFP

Dua pengutip hutang didakwa

KUALA LUMPUR: Dua pengutip hutang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam, atas dua tuduhan melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang akauntan dan seorang model dari Denmark pada Ogos lalu.
Yusshafry Erwandy Mohammad Yusof, 20, dan Shazrul Nazlie Shamsul Bahrin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama dua orang yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menyamun sebuah kereta jenis Mazda 6 warna putih, lesen memandu, kad kredit Citibank, kad kredit HSBC Bank, wang tunai RM200, telefon bimbit jenis iPhone, sepasang kasut Asic dan seutas jam tangan jenama Amani dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh mendatangkan kematian terhadap milik Mark Saw Ting Fung, 30.

Didakwa perkosa remaja lari rumah

GEORGETOWN: Selepas seorang pengawal keselamatan dari Kampung Gajah, Perak, didakwa atas kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang gadis berusia 14 tahun pada 28 September lalu, seorang lagi rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas kesalahan merogol.
Dua pengawal keselamatan itu adalah suspek yang ditemui bersama pasangan kembar serta seorang lagi remaja perempuan iaitu teman sebaya mereka yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar beraya pada 11 September di pekan Kampar, Perak dan mereka ditemui, di sini pada 21 September lalu.
Kedua-dua suspek ditemui bersama mangsa di sebuah rumah pangsa di Taman Green Garden, Paya Terubong kira-kira jam 8 pagi.

Tertuduh, Shahrizan Zakaria, 19, dari Sungai Nibong Setia, Kota Setia Perak didakwa atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada masa berlainan iaitu pertuduhan pertama mangsa dirogol antara jam 5 petang hingga 6 petang di dalam bilik bernombor 14, Mallog Budget Hotel, Lorong Muda pada 17 September lalu.

Pengacara disoal Jais

KAJANG: Pengacara program komedi, Ahmad Azahari Mohamad Ali yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) minggu lalu selepas disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita di sebuah apartmen di Ampang, hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, di sini, semalam.
Ahmad Azahari adalah pengacara program Bang Bang Boom hadir ke pejabat agama ditemani seorang rakannya selepas dipanggil untuk disoal siasat berhubung dakwaan yang dikenakan terhadapnya itu.
Dia tiba pada jam 10 pagi sebelum beredar pada jam 12 tengah hari.

Sabtu lalu, Harian Metro menyiarkan laporan berhubung seorang pengacara rancangan televisyen berusia 27 tahun ditahan Jais kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita berusia 27 tahun serta masih berstatus isteri orang.

Dalam laporan itu, pengacara itu mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar hukum agama sebaliknya hanya membantu wanita itu mengemas barang kerana mahu ke Kota Kinabalu, Sabah.

Buruan baru

KUALA LUMPUR: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.


KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.
KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis,” katanya.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.
Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.
Kedua-dua suspek yang diiringi beberapa anggota polis berpakaian preman memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 3 petang sebelum meninggalkan kawasan itu dua jam kemudian.

Bagaimanapun, kenderaan Unit Forensik tidak dilihat memasuki kawasan itu dan hanya sebuah kenderaan Volvo dipercayai membawa pegawai penyiasat mengekori kenderaan membawa suspek bagi mendapatkan seberapa banyak bukti kejadian itu.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kes terbaru membabitkan kehilangan ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Anpalagan yang mempunyai modus operandi sama dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Selain itu, kes itu hampir sama dengan kejadian kehilangan saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja pada Januari lalu.

Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Hasil siasatan, Unit Forensik menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut dipercayai milik beberapa mangsa. Bahan bukti kes pembunuhan itu diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Sehingga ini, polis menahan lapan suspek, termasuk dua peguam adik-beradik bagi membantu siasatan.

Tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 7 Oktober dan lima yang lain sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan.

Di Bukit Aman pula, isteri S Anpalagan, S Jayanty menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) bagi meminta mempercepatkan siasatan kehilangan suaminya pada Ogos tahun lalu.

Wanita itu berkata, memorandum yang diserahkan mengandungi kronologi kehilangan suaminya dan butir pemilikan harta sebelum dilaporkan hilang.

Michael tak dapat layanan istimewa

LONDON: Penyanyi George Michael yang menjalani hukuman penjara lapan minggu mendakwa dia tidak mendapat layanan istimewa dalam sel tahanan.
MICHAEL dibebaskan dua minggu lagi.
MICHAEL dibebaskan dua minggu lagi.
Bekas penyanyi kumpulan Wham itu berkata, dia mahu memastikan keluarga, rakan dan peminatnya tahu yang dia dilayan dengan ‘baik’ di penjara.
Michael dihukum penjara bulan lalu selepas didapati bersalah memandu di bawah pengaruh ganja apabila kenderaan Range Rover dipandunya merempuh kedai Snappy Snaps di utara London pada Julai lalu.

Dia dikatakan akan dibebaskan dua minggu lagi.

Dalam kenyataannya, Michael berkata, dia mahu memperbetulkan pendedahan pihak media mengenai layanan yang diterimanya sepanjang menjalani hukuman di Penjara Highpoint di Suffolk.

“Saya mahu memperbetulkan maklumat yang salah yang saya baca di akhbar sepanjang menjalani hukuman penjara. Dengan cara itu saya dapat berlaku adil kepada peminat, keluarga dan rakan walaupun saya akan dibebaskan dalam tempoh terdekat,” katanya. “Tolong percaya bila saya katakan dalam tiga minggu terakhir ini, tiada tangisan, penderaan dan tiada rasa bimbang, malah, saya dapat tidur lena,” tambah Michael. Penyanyi itu berkata, dia menghabiskan waktu di penjara dengan membaca beribu-ribu surat dan poskad daripada pemintanya dari serata dunia yang memberi sokongan padu kepadanya. Menurutnya, dia dilayan seperti penghuni penjara yang lain, namun ada kalanya penghuni di situ memberinya peluang untuk menang dalam permainan snuker. Kenyataan itu ditanda tangani dengan ucapan sayang selalu daripada George Michael.

Penyanyi berusia 47 tahun itu ditemui tersembam dalam keretanya selepas merempuh kedai dan pernah disabitkan dengan kesalahan sama, sebelum ini. Michael turut dilarang memandu selama lima tahun dan diperintahkan membayar denda £1,250 (RM6,250), kos ganti rugi £100 (RM500) dan £15 (RM75) kepada mangsa. - Agensi

Tutup pusat asuhan cuai

PUTRAJAYA: Membiarkan sebuah pusat asuhan haram atau tidak berdaftar, di sini, beroperasi sewenang-wenangnya sehingga ada kanak-kanak yang dijaga maut akibat tersedak susu, boleh dianggap satu perbuatan tidak bertanggungjawab.
Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKKM), Tan Sri Zaleha Ismail yang kesal dengan kejadian dua bayi tersedak susu dilaporkan di pusat asuhan terbabit pada Julai tahun lalu dan September tahun ini, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pusat terbabit.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak mereka di muka pintu saja dan tidak dibenarkan masuk ke dalam pusat itu.

“Ia sesuatu yang pelik dan sudah pasti ada sesuatu tidak kena di tempat ini yang menuntut pihak berkuasa bertegas menyiasat dan bertindak terhadap pengusaha pusat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menutup segera pusat berkenaan jika ia beroperasi secara haram.

"Kita sudah ada undang-undang, tetapi hairan mengapa pusat asuhan yang tidak berdaftar ini tidak diarahkan tutup sehingga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya, pihak berkuasa terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak segera terhadap pusat berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang

Bukan salah Watie

KUALA LUMPUR: “Talak sudah jatuh. Saya sudah melafazkan cerai di depannya dan saksi, cuma sedang menanti tarikh memfailkannya ke mahkamah. Hentikanlah spekulasi dan usah babitkan Watie dalam masalah ini kerana dia tiada kena-mengena langsung,” kata penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey), 37, menjawab semula dakwaan bekas isterinya, Noraini Nasir, 44.
Harian Metro semalam memaparkan kenyataan Noraini kononnya Joey lupa tanggungjawabnya terhadap anak tunggal mereka yang berusia empat tahun, Zidani Zulkifli dan tidak menghormatinya kerana mengaku sudah bercerai sedangkan tiada hitam putih serta keputusan mahkamah untuk mengesahkan perkara tersebut.

Malah, nama dramatis terkenal, Norwati Sadali (Watie), 34, turut dikaitkan kerana dikatakan punca pergolakan rumah tangga mereka.

Noraini yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang juga vokalis kumpulan Exists itu pada 4 Mei 2005 turut menyifatkan Joey tidak pernah takut bermain dengan sumpah kerana menafikan tindakannya yang pernah merujuk selepas tiga hari menceraikannya di ruang meletak kereta.

Bagaimanapun Joey yang popular menerusi drama bersiri Blues Pasar Tani, Ejen 2x5 dan filem Crayon itu ketika dihubungi menegaskan kemelut rumah tangganya ini memberikan tekanan kepadanya serta mengundang persepsi negatif masyarakat semata-mata.

“Jujurnya saya tertekan kerana kenyataan dia (Noraini) seperti meludah ke langit. Lambat-laun, ia akan memakan diri sendiri. Saya melihat tiada gunanya kita mengaibkan mana-mana pihak kerana tindakan itu tiada penghujung dan penyelesaian sebaliknya hanya memberi ruang untuk orang sekeliling menepuk tangan. Kenyataan itu bukan saja memalukan pihak saya dan dia, malah tidak semena-mena nama Watie pula dikaitkan sedangkan punca itu tidak pernah wujud sejak awal lagi.
“Kenyataannya lebih bersifat peribadi dan tidak mampu menerima kenyataan sebenar. Hakikatnya talak itu sudah jatuh di depannya sendiri. Saya bukan jahil soal agama dan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah. Itu adalah sewajarnya dan sebagai lelaki, saya perlu bertanggungjawab atas keputusan saya sendiri.

“Apabila emosi sudah menguasai diri lengkap dengan perasaan marah, semua cerita boleh keluar. Apa yang menyedihkan dan sangat memalukan, tindakan itu ibarat membuka pekung di dada sendiri. Mungkin apa yang tersirat di sebalik semua fakta yang diberi hanyalah perasaan seseorang yang tidak mampu menerima hakikat perpisahan,” katanya.

Jawi tetap dakwa artis

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah me lengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pendakwa Syarie Jawi bagi mendakwa seorang penyanyi dan pelakon veteran era 1980-an dan awal 1990-an yang dicekup berkhalwat dengan janda beranak dua di kuarters kerajaan di Presint 15, pada 26 September lalu.
Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, artis itu tetap akan didakwa di mahkamah syariah walaupun lebih seminggu dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan.
Menurutnya, persediaan rapi sudah dilakukan untuk menghadapkan artis terbabit termasuk bersedia kemungkinan berdepan peguam dilantik artis terbabit.