Search This Blog

Monday, October 4, 2010

Dua askar, guru maut kereta bertembung bas


KEMALANGAN ngeri  membabitkan  kereta Perodua Kancil dan bas berhampiran Kampung Empila, Asajaya, awal pagi semalam menyebabkan  dua tentera dan seorang guru meninggal dunia di tempat kejadian.
KEMALANGAN ngeri membabitkan kereta Perodua Kancil dan bas berhampiran Kampung Empila, Asajaya, awal pagi semalam menyebabkan dua tentera dan seorang guru meninggal dunia di tempat kejadian.


Jalan licin akibat hujan punca nahas di selekoh tajam

KOTA SAMARAHAN: Tiga rakan karib termasuk dua anggota tentera maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas sekolah dalam kemalangan ngeri berhampiran Kampung Empila, Asajaya, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, kepala dua daripada mangsa terbabit hampir terputus menyebabkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Mahdi Akun, Sabdi Kamri dan Mohd Zoolneezam Alon, semuanya berusia 25 tahun maut apabila Perodua Kancil itu merempuh dan terperosok di bawah bas sekolah ketika melalui satu selekoh tajam. Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuching menuju ke kampung mereka di Asajaya, manakala bas sekolah tanpa penumpang itu dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Abdul Rahman Ibrahim, berkata pemandu bas itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

“Keadaan jalan raya ketika itu agak licin kerana hujan dan kejadian berpunca daripada bas sekolah terbabit memasuki laluan bertentangan ketika mengambil selekoh di jalan sempit itu.

“Pemandu bas itu gagal mengelak kereta mangsa menyebabkan mereka bertembung lalu terperosok di bawah bas,” katanya.
Abdul Rahman berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, kedua-dua anggota tentera yang bertugas di Semenanjung itu juga adalah sepupu yang menetap di Kampung Sepang Laut, Asajaya dan ketika kejadian mereka sedang bercuti, manakala rakan mereka seorang guru sekolah menengah berasal dari Kampung Asajaya Laut.

Gempa bumi 6.4skala ritcher landa Kepulauan Ryukyu

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda barat daya Kepulauan Ryukyu pada 9.28 malam ini.
Kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini menyebut gempa itu berpusat di 398km tenggara Taipei, Taiwan, 2,119km timur laut Kudat, Sabah.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.-Bernama

Ahli Parlimen Rasah, keluarga diikat perompak

SEREMBAN: Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, dan keluarga dirompak empat lelaki bersenjata parang yang memasuki rumah mereka di sini jam 4 pagi tadi.

Perompak terbabit mengikat mangsa sebelum melarikan wang tunai dan barang berharga.

Pekedai runcit didenda RM6,810 jual rokok seludup


KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai runcit hari ini didenda sebanyak RM6,810 oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah menjual rokok seludup.

Fatimah Abdul Baki, 50, yang berniaga di Jalan Gong Badak dekat sini mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Dia dituduh memiliki 394 paket atau 5,016 batang rokok pelbagai jenama yang ditaksir bernilai RM686.64 yang dilarang pengimportannya, pada 30 Mac lalu.

Perbuatan itu menyalahi Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (iii)(aa) akta yang sama.

Sabit kesalahan itu pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih
tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketika merayu hukuman ringan, dia berkata dia mempunyai tanggungan termasuk dua anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kastam, Mohd Fadil Muhamad Yunus.

Sembilan lelaki dipenjara 10 tahun, lima sebatan kerana rompak arak bernilai RM1.2 juta


MAHKAMAH Sesyen Klang, Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 5 sebatan ke atas sembilan lelaki, hari ini atas kesalahan merompak arak bernilai kira-kira RM1.2 juta. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor


SHAH ALAM - Sembilan lelaki, termasuk warga Myanmar, dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini kerana merompak arak bernilai kira-kira RM1.2 juta di Pelabuhan Klang, lima tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh semasa membela diri adalah rekaan semata-mata.

"Tak perlu saya beri nasihat. Semua (tertuduh) sudah besar panjang dan semua sudah tahu akibat daripada perbuatan (mereka)," katanya.

Asmadi memerintahkan K.Murugan, 29, V.Anbalagan, 40, V.Prakas, 31, G.Ravichandran, 32, S.Mogan, 39, S.Paramasivam, 36, M.Anpalagan, 35, P.Suresh, 31, dan warga Myanmar Tin Myo Minn, 31, menjalani hukuman itu mulai hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan permohonan kesemua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi, dan menaikkan jumlah ikat jamin mereka kepada RM30,000 dengan
seorang penjamin berbanding RM15,000 sebelum ini.

Asmadi turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berdekatan pada hari Ahad pertama bagi setiap bulan.

Mereka bersama empat lagi yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan itu dengan bersenjatakan pisau dan kapak, di Gudang Jasa Kita SVC Sdn Bhd, Lot 5 Kawasan 20, Solok Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi 24 Okt 2005.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yasser Mohd Nasri telah memanggil 11 saksi untuk memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan sembilan saksi.

Kesemua tertuduh kecuali Mogan, diwakili peguam Avtar Singh Dhaliwal, S.K.Pari, dan Gerard Lazarus, kerana dia memilih untuk membela diri sendiri.-Bernama

Dua sahabat dihukum gantung edar heroin, morfin

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua sahabat kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 50.3 gram dan morfin seberat 7.4 gram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurmala Salim membuat keputusan itu selepas mendapati P Pathmanathan, 28, dan Bernard Louga Edward, 29, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Nurmala berkata pembelaan yang dikemukakan kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata.
Selain itu, beliau berkata mereka juga tampak seperti mereka-reka cerita supaya setiap keterangan yang diberikan, sama dengan apa yang terkandung dalam fakta kes.

Pathmanathan, seorang pengimpal dan Louga, seorang penternak kambing, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan rehat Juru pada 11.30 malam, 26 Februari 2007.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pathmanathan diwakili peguam Datuk Haniff Hashim dan Louga oleh peguam RSN Rayer, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan G Jaya Prem.
Selepas prosiding kes itu selesai, kedua-dua tertuduh yang memakai kemeja T putih dan berseluar jeans biru bertemu anggota keluarga masing-masing dan dilihat saling menangis sambil berpelukan.

Seorang wanita, dipercayai ibu Pathamanathan, jatuh pengsan sewaktu mengekori anaknya itu yang dibawa beberapa anggota polis untuk dihantar semula ke penjara.

Wanita itu kemudian ditenangkan beberapa anggota keluarga lain dan didudukkan di atas kerusi roda. - BERNAMA

KPDNKK Johor kesan taktik penipuan jualan langsung 'imbas dan menang'

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor mengesan taktik penipuan jualan langsung terbaru di negeri ini iaitu ''Imbas dan Menang'', yang seakan-akan menyamai taktik ''Gores dan Menang.''
Pengarah KPDNKK, Johor Che Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima beberapa laporan daripada mangsa, termasuk warga Singapura, mengenai kejadian itu yang berlaku di sekitar bandar raya ini.
"Jika dulu mangsa diminta menggores kad, tetapi dalam penipuan terbaru ini mangsa diminta mengimbas sekeping kad bagi mengeluarkan satu nombor tertentu untuk mengetahui hadiah yang dimenangi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor di sini hari ini.

Che Halim berkata, bagi menangani kegiatan itu daripada terus berleluasa, pihaknya kini menubuhkan pasukan khas yang disertai pelbagai agensi termasuk Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor, polis dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau berkata, sejak Januari sehingga 27 Sept lepas, pihaknya menerima 74 aduan membabitkan penipuan jualan langsung dengan 65 kes daripadanya sudah difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan MCA Chia Song Cheng berkata, biro berkenaan sedang menyiapkan laporan berhubung penipuan itu untuk dikemukakan kepada MCA sebelum diserahkan kepada Kabinet.

"Kita selalu dengar mengenai kegiatan seumpama ini yang bukan sahaja mangsanya membabitkan rakyat tempatan tetapi pelancong asing. Kejadian ini sudah tentunya akan menjejaskan industri pelancongan di negeri ini," katanya.

-Bernama

Polis rampas 45,000 liter minyak syabu bernilai RM4.6 juta

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah jenis syabu di negara ini yang didalangi warga Iran berikutan rampasan 45,000 liter minyak syabu yang boleh menghasilkan 27kg syabu bernilai RM4.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Megah Kepong, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, serbuan hasil maklumat pemilik rumah sewa teres dua tingkat kira-kira 9.20 pagi itu juga menemui pelbagai peralatan memproses dadah seperti dapur elektrik, mesin pengisar, penimbang digital dan cerek elektrik. "Kita (polis) kini menjejaki penyewa rumah itu iaitu seorang lelaki warga Iran berumur 30-an yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan serbuan makmal memproses dadah di sebuah rumah di Hartamas, Julai lepas.
"Kita percaya lelaki Iran itu menghuni lokasi ini (Kepong) untuk memproses dadah, selepas rumah yang disewa rakannya yang juga warga Iran, pada 22 Julai lepas di Hartamas berjaya diserbu polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kang percaya lelaki paling dikehendaki itu masih berada dalam negara ini dan gerakan mencarinya giat dijalankan.

Pada 22 Julai lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas dan menemui sembilan tong plastik berisi cecair berwarna kehitaman disyaki minyak syabu seberat 72 gelen (327.6 liter) yang boleh memproses 200kg syabu. Ekoran itu, lelaki Iran berumur 39 tahun berjaya ditahan berdekatan sebuah restoran segera di Jalan Prima Kepong, pukul 8.50 malam.

Pada jam 2.50 petang keesokan harinya, polis menahan isteri suspek itu, yang juga rakyat Iran berusia 34 tahun di rumah milik mereka di Sunway SPK Damansara.-Bernama

Dua warga India diberkas cuba seludup masuk dadah RM1.6 juta

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki warga negara India dalam operasi berasingan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk 10 kilogram dadah bernilai RM1.6 juta ke negara ini masing-masingnnya melalui KLIA dan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata dalam tangkapan pertama pada Khamis lepas, suspek yang berusia 41 tahun ditahan di LCCT bersama 4.5 kilogram dadah dipercayai ketamin bernilai RM135,000 yang disorok di bahagian belakang sembilan bingkai gambar yang dibawa dalam bagasinya.
Beliau berkata, suspek yang tiba dari Chennai, India, menggunakan taktik baru iaitu transit di KLIA sebelum ke Tawau, Sabah.

"Suspek ditahan ketika sampai dari Sabah di LCCT kira-kira ja, 1.40 tengah hari. Kita percaya mereka menggunakan modus operandi baru iaitu transit di KLIA sebelum ke negeri lain dan masuk ke negara ini melalui LCCT," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nordin berkata, lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit itu pernah masuk ke negara ini sebanyak 10 kali dan polis masih menyiasat kemungkinan dia turut menyeludup dadah ke Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

Tangkapan kedua pula membabitkan seorang suspek yang tiba dari Bangalore, India, pada 8 pagi Jumaat lepas di balai ketibaan tingkat tiga KLIA.

Nordin berkata, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan ketika sedang menolak troli bagasinya dan pemeriksaan menemui 5.8 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.45 juta.

"Dadah berkenaan dibungkus dalam 28 paket kecil dan disorok di bahagian belakang kotak barangan yang dibawa suspek," katanya.

Nordin berkata, suspek berusia 28 tahun itu bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat dan pernah memasuki negara ini sebanyak enam kali.

Beliau berkata kedua-dua suspek masing-masing direman sehingga 7 dan 9 Oktober ini.

Siasatan adalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.-Bernama

Warga emas hilang selepas terjatuh ke laut ketika ikut pelayaran kapal mewah

GEORGETOWN: Seorang warga emas hilang selepas terjatuh ke dalam laut semasa mengikuti pelayaran bersama kapal persiaran Star Pisces, ketika kapal itu berada di kedudukan kira-kira lima batu nautika utara Teluk Bahang di sini hari ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata operasi mencari Chan Chin Seng, 61, yang berasal dari Pulau Pinang yang hilang dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu sedang digiatkan.
Menurutnya, operasi mencari Chan dijalankan oleh APMM, Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang serta Jabatan Pertahanan Awam Pulau Pinang. "Sehingga kini warga emas itu masih belum ditemui dan kawasan pencarian ditumpukan di kawasan utara Teluk Bahang hingga ke Kuala Muda," katanya.

-Bernama

Remaja maut motosikal bertembung kereta

KUALA TERENGGANU - Dua pelajar maut apabila motosikal yang mereka tunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Ibai, di
sini pagi ini.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 pagi ini ketika Ahmad Asrul Hakimi Abdullah, 14, dan rakannya Muhammad Aszwan Hakim Alamin Salim, 13, kedua-dua adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman dikatakan sedang dalam perjalanan ke sekolah.
Kedua-duanya yang tingal di Kondo Rakyat Kuala Ibai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala serta badan.
Mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat. - Bernama

Syarikat pembinaan curi air didenda

SEREMBAN- Sebuah syarikat pembinaan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan mencuri air milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) pada hujung tahun lepas.
Hakim Mazilah Manap menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat Purcon (M) Sdn. Bhd. yang diwakili pengurus projeknya, Chan Chee Wai, mengaku melakukan penyambungan paip air tanpa kelulusan SAINS di Lot 3108 dan 3109, Batu 2, Port Dickson di sini pada 14 Disember 2009.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat yang dihadapkan ke mahkamah sama atas tuduhan serupa, mengaku tidak bersalah.
Syarikat memproses makanan iaitu Cream Resource Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah urusannya, Abd Rahim Hashim, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 17569, Jalan Nilai 3/29, Kawasan Perindustrian Nilai 3, pada 16 November 2009.
Mazilah menetapkan 3 November depan sebagi sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa SAINS Shariful Azman Mustapa Yahaya manakala kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam. - Bernama

Kumpulan curi motosikal lumpuh

MARANG - Polis menahan 12 lelaki dari kawasan Hulu Terengganu dipercayai anggota satu kumpulan pencuri motosikal dalam operasi sejak Jumaat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ekoran penahanan mereka yang berumur dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun itu, polis telah berjaya merampas enam motosikal, dua rangka motosikal dan satu enjin motosikal yang dipercayai dicuri di sekitar Kuala Terengganu dan Marang.
"Kita masih memburu saki baki kumpulan ini yang kita percayai terlibat dengan lebih 60 kes curi motosikal di dua daerah tersebut sepanjang tahun ini," katanya di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, kumpulan sangat cekap menjalankan aktiviti itu dan dikatakan berupaya mampu menghidupkan enjin motosikal dalam masa 40 saat dengan menggunakan alat khas sebelum melarikannya. - Bernama

Pemandu maut bersama jentolak

IPOH - Seorang pemandu jentolak terbunuh selepas jentera itu tercampak ke dalam lombong semasa sedang meratakan tanah berhampiran kawasan lombong tinggal di Taman Pengkalan Timur, Pasir Puteh di sini hari ini.
Mangsa, Kow Piang Kin, 54, berasal dari Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Azisman Alias berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.45 pagi apabila Piang Kin dikatakan gagal mengawal jentolak tersebut dan dia turut tercampak ke dalam lombong.
"Beberapa orang cuba membantu mangsa tetapi dia didapati sudah mati sebaik dinaikkan ke darat. Mangsa mati dipercayai lemas selain ditimpa oleh jentolak," katanya. - Bernama

4 keluarga Kemboja tinggal sehelai sepinggang

KUANTAN - Empat keluarga warga Kemboja tinggal sehelai sepinggang selepas satu deretan tiga rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Chendering di sini, hari ini.
Satu lagi unit rumah dalam deretan itu mengalami kerosakan teruk apabila bahagian dindingnya hangus dalam kejadian pada kira-kira 8.45 pagi itu.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata, tiga jentera bomba bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 9.10 pagi.
Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran dan mengelak api daripada merebak ke 11 lagi rumah berhampiran kira-kira setengah jam kemudian.
Katanya, nilai kerugian dan punca kejadian masih disiasat. - Bernama

Polis rampas dadah RM1.5 juta cuba diseludup dari India

SHAH ALAM 4 Okt. – Polis Selangor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini yang dibawa dari India dengan nilai keseluruhan hampir mencecah RM1.5 juta, baru-baru ini.
Kejayaan itu berhasil setelah polis menahan dua lelaki, masing-masing warga India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Jumaat lalu dan di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang pada Khamis lalu. – Utusan

Sembilan lelaki rompak gudang dipenjara 10 tahun

SHAH ALAM 4 Okt.- Sembilan lelaki termasuk seorang warganegara Myanmar dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas didapati bersalah atas tuduhan merompak sebuah gudang dengan melarikan minuman keras bernilai RM1.2 juta, lima tahun lalu.
Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian selepas berpuashati bahawa kesemua tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Mereka didakwa melakukan rompakan tersebut dengan bersenjatakan pisau dan kapak sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga orang pengawal keselamatan di Gudang Jasa Kita SVC Sdn. Bhd. di Pelabuhan Klang dekat sini pada 24 Oktober 2005.-Utusan

Dua kenderaan terbakar, tiada kemalangan jiwa

SEREMBAN 4 Okt. – Dua buah kenderaan, masing-masing sebuah bas sekolah dan kereta terbakar dalam kebakaran di dua lokasi berasingan di sini hari ini.
Dalam kejadian pertama, sebuah bas sekolah mengalami kebakaran kecil ketika diletakkan di Kampung Gadong Jaya, Sendayan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Sebuah kereta jenis Proton Iswara pula terbakar berhadapan Bank Simpanan Nasional di pusat bandar ini pada pukul 11.20 pagi ini. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam dua kejadian itu. – Utusan

Wanita maut kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan

IPOH 4 Okt. - Seorang penumpang wanita terbunuh, manakala pemandu cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan terbakar di Km 196.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kerian semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt. Mat Fauzi Nayan berkata, yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu dikenali sebagai Teh Huey Ru, 29, yang berasal dari Kampar.
"Huey Ru yang mengalami cedera parah akibat terbakar 50 peratus di bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta, Lee Choo Kheng, 24, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, mengalami kecederaan parah di kepala, dan beliau sedang dirawat di hospital yang sama.
Katanya, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Choo Kheng dalam perjalanan dari Ipoh ke Pulau Pinang itu dikatakan terbabas sebelum merempuh tebing konkrit di tepi jalan menyebabkan ia terbakar.
Huey Ru bekerja di pusat kecantikan di Kampar, manakala rakannya Choo Kheng adalah seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di sini.

Penganggur dipenjara 12 tahun, 12 sebatan

KOTA BHARU 4 Okt. - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun tiga bulan dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan memiliki dadah pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Rosli Ismail, 34, dari Batu 5, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Badang di sini mengaku bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan ketika dihadapkan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Rofiah bagaimanapun memerintahkan supaya ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap. -Utusan

Lelaki maut jatuh tingkat tujuh hotel

KAMPAR – Seorang lelaki maut setelah terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Yim Yoke Meng, 45, sepatutnya mendaftar keluar semalam, tetapi ditemui mati di belakang hotel berkenaan oleh seorang pekerja hotel terbabit.

Ketua Polis Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, berdasarkan maklumat daripada keluarga lelaki berkenaan, Yoke Meng berasal dari Mambang Di Awan dan kini menetap di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun menurutnya, tiga hari lalu, lelaki itu menginap di hotel berkenaan dan mengikut tempahan bilik yang dibuat, mangsa sepatutnya mendaftar keluar hari ini.

“Siasatan pasukan forensik percaya mangsa mati akibat mengalami kecederaan parah menyebabkan ada anggota badannya patah kesan jatuh dari tempat yang tinggi.

“Kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes mati mengejut dan bedah siasat terhadap mangsa akan dibuat hari ini bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya kepada :Sinar Harian.:

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, tiga remaja yang dilaporkan hilang setelah keluar beraya sejak Hari Raya Kedua lalu telah berada semula di Kampar.

Katanya, sejak penemuan semua remaja berkenaan di sebuah rumah di Taman Green Garden, Paya Kerubung, Air Hitam, Pulau Pinang, pada 21 September lalu, polis menahan dua suspek di Pulau Pinang dan seorang di Kampar bagi membantu siasatan.

“Pihak polis akan meneruskan siasatan berhubung perkara tersebut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya

Gudang barangan plastik musnah di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL - Dua buah gudang barangan plastik dan sebuah bangunan pejabat musnah dalam kebakaran di Jalan Changkat di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 11 malam.

Tiga buah jentera bomba dari Nibong Tebal, Sungai Bakap dan Parit Buntar, Perak beserta lebih 15 anggota bomba sukarela tempatan dapat mengawal api dalam masa setengh jam daripada merebak ke rumah-rumah berhampiran.

"Api merebak dengan pantas kerana bahan plastik yang terdapat di dalam gudang berkenaan," kata Penolong Kanan Dua Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Ramlan Mohd Arif.

Gempa bumi kuat landa wilayah Kepulauan Filipina

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi kuat berukuran 5.7 pada skala Richter melanda wilayah Kepulauan Filipina pada pukul 9.38 pagi ini.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata pusat gempa itu terletak di kedudukan 406km tenggara Kaohsiung, Taiwan dan 1,501km timur laut Kudat, Sabah.

Tiada ancaman tsunami dikesan.

Gagal memotong, remaja maut

PADANG RENGAS – Seorang remaja, Amir Hakimi Mazlan, 16, maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta apabila cubaan mangsa untuk memotong kenderaan jenis Proton Wira itu gagal.

Kejadian itu berlaku pada jam 11.55 malam di Kilometer 61, Jalan Ipoh menghala ke Taiping di Pekan Padang Rengas di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa dikatakan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar (HKK) setelah mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu, tidak memakai topi kaledar ketika kemalangan itu berlaku.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel di bahagian depan sebelah kanan ketika cuba memotong.

“Mangsa dihantar ke hospital, tetapi gagal diselamatkan. Selain mangsa yang menunggang motosikal tanpa ciri-ciri keselamatan, faktor keadaan tempat kejadian yang gelap serta tiada lampu jalan turut menyumbang kepada kemalangan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, kereta Proton Wira berkenaan dipandu seorang wanita berumur 47 tahun dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku terhadapnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Padah beristeri dua

KULIM - Beristeri lebih tidak menjamin hidup semestinya indah, lebih-lebih lagi bagi yang berpoligami secara rahsia. Setidak-tidaknya, itu sudah menjadi kenyataan bagi seorang penjawat awam berusia 40-an di sini.

Dia yang berkahwin baru senyap-senyap, bertindak melulu menghalau isteri pertamanya dari rumah apabila wanita itu ‘naik angin’ selepas mengetahui dirinya dimadu.

Setelah itu, si suami membawa isteri barunya tinggal di rumah yang sama, barangkali menyangka dia akan hidup lebih bahagia bersama wanita itu.

Namun, panas yang disangka akan berterusan hingga ke petang, rupa-rupanya tidak menjadi kenyataan.

Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kecederaannya agak parah menyebabkan dia tidak lagi boleh berjalan.

“Sejak itu, kehidupannya banyak bergantung kepada isteri muda. Pada mulanya, tidak jadi masalah apa-apa namun lama kelamaan, wanita itu mungkin berasa agak terbeban dengan tanggungjawab barunya itu lalu mulai bertindak bukan-bukan terhadap suaminya,” kata sumber kepada Sinar Harian.

Menurut sumber itu, antara yang dilakukan termasuk memukul dan mendera.

“Tidak tahan dengan tindakan isteri barunya, lelaki itu menghubungi isteri pertamanya meminta bantuan,” katanya.

Isteri pertama pula dikatakan telah membuat laporan polis untuk mengambil semua barang yang ada di dalam rumah yang diduduki lelaki itu bersama isteri barunya selain berusaha untuk mendapatkan semula hak ke atas rumah itu.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkaitan perkara itu.

Kempunan ‘rumah terbuka’

KLANG - Hasrat sepasang suami isteri bersama seorang warga emas menghadiri rumah terbuka tidak kesampaian apabila kereta jenis Naza Citra yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van menyebabkan kesemua mereka cedera parah dalam kejadian di Batu 14, Jalan Kapar-Kuala Selangor, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, seorang lelaki yang juga pemandu van jenis Ford Econovan turut parah. Kesemua mangsa masing-masing dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Tanjung Karang untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila salah sebuah kenderaan berkenaan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya bagaimanapun gagal dan bertembung sebuah kereta dan bas sekolah yang sarat dengan penumpang.

Namun, kesemua penumpang bas dilaporkan terselamat manakala bas hanya kemek pada bahagian depan sebelah kanan.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Sawaruddin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.22 petang dan sebuah jentera bersama 6 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di sana, anggota kita bergegas mengeluarkan pemandu van yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Kita menggunakan beberapa peralatan menyelamat dengan memotong bahagian pintu sebelah pemandu bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit di antara stereng dan tempat duduknya.

“Operasi menyelamat mangsa mengambil masa 15 hingga 20 minit,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, penumpang kereta Naza sudah dikeluarkan orang awam dan telah dikejarkan ke HTAR sejurus anggotanya tiba di tempat kejadian.

“Kita turut mendapat bantuan daripada 6 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara (Sungai Pinang) bersama sebuah jentera.

“Kesemua anggota bekerja keras membantu mangsa kemalangan serta membersihkan tempat kemalangan yang dipenuhi tumpahan minyak dan kaca cermin kenderaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

14 pelajar dicekup




KUALA NERUS – Seramai 14 pelajar berjaya ‘dicekup’ dalam Operasi Ponteng Sekolah yang diadakan di tiga kawasan sekolah berdekatan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, di sini, semalam. 

Menurut Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Tengku Mohd Yusoff Tengku Mansor, operasi yang lebih menjurus kepada ingin memberi kesedaran dan peringatan itu turut disertai pelbagai agensi iaitu Polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kawasan Rakan Tetangga (KRT), Community Policing Balai Polis Gong Badak, Pejabat Pelajaran Daerah dan Pas. 

“Operasi ini dibuat sebagai salah satu usaha untuk mengekang gejala ponteng sekolah yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar selain memberi peringatan kepada ibu bapa agar lebih peka dengan tindakan pelajar. 

“Bagaimanapun, kesemua pelajar yang berjaya ditangkap hanya diberi khidmat nasihat, namun ibu bapa akan turut dipanggil agar mereka sedar tindakan anak di luar rumah,” katanya ketika ditemui dalam Operasi Ponteng Sekolah di sini semalam.

Pemandu hilang kawalan




TUMPAT - Sebuah kereta Wira merempuh sebuah gerai pisang goreng setelah pemandunya hilang kawalan dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Kubang Batang, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki yang belum dikenali identitinya, sebelum terbabas merempuh gerai berkenaan melanggar sebuah kereta jenis Toyota yang dipandu Low Cheing Kuen, 33. 

Cheing Kuen berkata, dia bersama kawan perempuannya, Jen, 27, dalam perjalanan dari Pengkalan Kubor ke Wakaf Bharu untuk pulang ke rumahnya di Kampung Paya Pasir. 

“Apabila sampai selekoh tajam, tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat di belakang kereta saya dirempuh sesuatu dan dalam sekelip mata kereta yang dipandu saya ini terbabas memasuki jalan bertentangan. 

“Manakala Wira tersebut terbabas ke kiri jalan dan seterusnya merempuh kuat gerai goreng pisang di tepi jalan menyebabkan gerai tersebut runtuh dan keretanya terperosok ke dalam gerai itu. 

Cheing Kuen berkata, akibat rempuhan itu, dia mengalami kecederaan ringan di kepala dan tangan manakala kawannya itu tulang pinggangnya retak dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. 

Sementara pemilik gerai tersebut, Mek Che Lah, 54, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumahnya di Kampung Menjual dan menyedari kejadian ini apabila dikejutkan penduduk kampung. 

“Makcik terus bergegas ke tempat kejadian untuk melihat sendiri gerai makcik yang runtuh dirempuh kereta. 

“Memang rosak teruk, bumbung runtuh, meja batu pecah dan semua barang perniagaan makcik, termasuk gelas, pinggan mangkuk, kuali, dapur gas musnah,” katanya. 

Menurutnya, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila stok pisang dan kelapa muda di dalam gerai ini turut rosak. 

“Nasib baik kereta tersebut tersangkut dalam runtuhan gerai makcik, kalau tidak rumah di sebelah gerai makcik ini juga dirempuhnya,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

Nici pula saman Becks

Pelacur guna alasan disekat daripada bebas bersuara

LOS ANGELES: Tindakan bekas kapten pasukan bola sepak England David Beckham menyaman pelacur Irma Nici yang didakwa cuba mencemar reputasinya sebaliknya membawa padah apabila pelacur itu menyaman semula bintang sukan terbabit.

Nici dalam satu kenyataan di majalah In Touch minggu lalu menuduh Beckham atau singkatannya Becks melanggar perlembagaan Amerika Syarikat kerana menghalang kebebasan bersuara menerusi samannya. Nici, 26, bagaimanapun, tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya.
Beckham sebelum ini bertegas bahawa dakwaan Nici yang mengatakan beliau membayar pelacur itu AS$5,000 (RM14,430) pada 2007 untuk melakukan hubungan seks dengannya dan seorang lagi wanita sama sekali tidak benar dan hanya bertujuan mencemar nama baiknya.
Beckham yang marah dengan dakwaan itu mengemukakan saman £16 juta (RM78.12 juta) terhadap Nici dan mengupah bekas komando khas Britain atau SAS untuk ‘memburu’ Nici hingga ke sebuah hotel di New York.

Bagaimanapun, Nici, enggan memohon maaf kepada Beckham sebaliknya, mengemukakan saman balas ke atas bintang bola sepak itu kerana menghalang kebebasan bersuara di Mahkamah Tinggi Los Angeles.

Peguam Nici, Paul Rolf Jenson berkata: “Undang-undang California tidak membenarkan orang ternama seperti Beckham menghalang kebebasan bersuara.

“Mungkin Beckham tidak tinggal cukup lama di Los Angeles untuk mengetahuinya betapa kami menghargai hak untuk memberitahu perkara benar di media cetak,” katanya.
Jenson juga mendakwa bahawa Nici terpaksa dimasukkan ke hospital akibat tertekan selepas diburu pasukan perundangan Beckham.

“Pasukan peguam yang mewakili Beckham dilihat muncul bersama berpuluh jurugambar paparazzi memburu Nici, sehingga pihak pengurusan memintanya meninggalkan hotel. Beliau dimasukkan ke hospital akibat tertekan” katanya.

Sementara itu wanita kedua yang dikaitkan dengan Beckham dilapor menyembunyikan diri selepas beliau dan anaknya menerima ugutan.

Suami pereka barang kemas Shery Shabani, Joseph, membuat dakwaan dalam kertas perceraian mereka mendakwa wanita itu menjalin hubungan sulit dengan Beckham. Bagaimanapun, Shery bertegas bekas suaminya menipu.

Rumah pasangan itu di Beverley Hills, terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan dengan rumah keluarga Beckham.

Seorang rakan Shery mendedahkan: “Beliau menerima beberapa ancaman fizikal yang memaksanya mengambil tindakan untuk melindungi diri dan anaknya. Anak Shery dan Beckham belajar di sekolah yang sama. – Agensi

Pemisah bunuh tiga askar

YALA: Penyerang disyaki pemisah menembak mati tiga orang askar dan mencederakan empat yang lain dalam satu pertempuran bersenjata dan serang hendap di perkampungan Bannang Sata di Yala, selatan Thailand, semalam.

Polis berkata, sekumpulan 10 militan menyerang enam orang askar yang sedang membuat rondaan pagi semalam, menyebabkan pertempuran tercetus selama kira-kira 10 minit. Dua tentera terbunuh dan empat lagi cedera dalam kejadian itu. Pemisah melarikan diri selepas serangan.
Sementara itu, di wilayah sama malam kelmarin, seorang askar yang sedang membuat rondaan dengan berjalan kaki ditembak dalam satu serang hendap dan kemudian meninggal dunia di hospital.
Lebih 4,300 orang kebanyakannya penduduk awam dan anggota keselamatan terbunuh dalam pergolakan di majoriti penduduk Muslim di selatan Thailand yang berlarutan sejak enam tahun lalu. – AFP

Indonesia siasat nahas kereta api


SEORANG remaja mententeramkan ibunya di luar bilik mayat hospital Pemalang selepas mendapat tahu suaminya seorang daripada mangsa dalam nahas kereta api, semalam. - Foto REUTERS
SEORANG remaja mententeramkan ibunya di luar bilik mayat hospital Pemalang selepas mendapat tahu suaminya seorang daripada mangsa dalam nahas kereta api, semalam. - Foto REUTERS

Penyiasat akan tentukan jika kemalangan membabitkan kecuaian manusia

PETARUKAN: Polis Indonesia semalam memulakan siasatan punca nahas kereta api yang menyebabkan 36 orang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera, insiden yang sekali lagi mendedahkan kelemahan infrastruktur dan rekod lemah perkhidmatan pengangkutan awam negara itu.

“Penyiasat akan cuba menentukan jika nahas kelmarin berpunca daripada kecuaian manusia atau masalah mekanikal,” kata ketua polis tempatan Jeneral Edward Aritonang.
Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan sabotaj sebagai salah satu punca kemalangan.
Edward berkata, sembilan orang sudah disoal siasat termasuk dua pemandu kereta api.

“Perkara utama yang kami ingin tahu ialah mengapa dan bagaimana dua kereta api berada pada landasan sama,” kata ketua Suruhan Jaya Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Tatang Kurniadi.

Pakar berkata, infrastruktur negara itu yang sudah lapuk, penguatkuasaan undang-undang lemah, rasuah dan sikap suka mengabaikan piawaian keselamatan asas adalah sebahagian perkara wajar diberi perhatian sebagai antara punca nahas.

Kemalangan sebelum subuh itu berlaku ketika kebanyakan penumpang sedang tidur. Sebuah kereta api dari Jakarta merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang berhenti di stesen Petarukan, di Pemalang di Jawa Tengah menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan.

Gegaran dan bunyi kuat rempuhan mengejutkan seorang pelajar Anwar Sumarno yang sedang tidur. Lampu di dalam kabin beliau tiba-tiba terpadam ketika Anwar mula mendengar teriakan dan jeritan.

“Saya terkejut apabila tidak boleh bergerak, tetapi saya berjaya mencapai beg galas dan merangkak keluar,” kata pemuda 24 tahun itu yang duduk di bahagian hadapan kereta api yang dilanggar.

“Mayat penumpang berlumuran darah bergelimpangan, sebahagiannya tersangkut di gerabak. Tiada apa yang dapat kami lakukan. Semua orang kebingungan,” katanya ketika menceritakan keadaan kelam-kabut ketika itu.

Sementara itu penyelamat mengambil masa lebih satu jam sebelum tiba di tempat kejadian.

Penduduk kampung, kakitangan kereta api dan penumpang terselamat terpaksa menggunakan tangan dan buluh untuk mencari mangsa, sementara menunggu mereka sampai.

Jurucakap hospital Hasyim Ashari, Tri Yuniasari, berkata, semua 36 mayat dibawa ke tiga hospital berhampiran.

Beliau berkata lebih 40 lagi cedera, sebilangannya parah turut dikejarkan ke hospital berkenaan. – AP

Wanita bawa anak ikut lelaki beristeri dua

KUANTAN: Tindakan ibu muda berusia 19 tahun menghilangkan diri hampir enam bulan lalu mula merunsingkan ibu bapanya selepas mendapat tahu anaknya itu lari bersama seorang lelaki beristeri dua.

Malah, lebih membimbangkan Muda Daud, 66 dan isterinya, Lijah Lembik, 58, anaknya, Intan Fatihah turut membawa bersama bayi lelakinya ketika meninggalkan rumah di Kampung Darat, Sungai Ular, di sini.
Muda berkata, bayi yang dilahirkan pada awal Mei itu mengidap jantung berlubang, dipercayai anak hasil hubungan Intan dengan teman lelakinya dikenali sebagai Hairy, 29, berasal dari Sabah.
Katanya, Intan Fatihah berkenalan dengan Hairy ketika lelaki itu datang ke bandar ini Julai tahun lalu untuk mencari pekerjaan sebelum menyewa bilik di rumahnya.

“Seminggu selepas tinggal dengan kami, Intan dilihat tertarik pada lelaki itu dan memaklumkan ingin bertunang dengan Hairy dan kami bersetuju dengan memilih tarikh pertunangan pada 23 Julai tahun lalu.

“Bagaimanapun, mereka melarikan diri dan Intan menghubungi kami beberapa bulan kemudian memaklumkan berada di Kuala Lumpur dan sudah berkahwin dengan Hairy,” katanya di sini, semalam.

Muda berkata, Intan pulang ke rumah awal Mei lalu dengan membawa seorang bayi lelaki yang baru sebulan dilahirkan, didakwa anaknya bersama Hairy, sebelum melarikan diri lagi.

20 lori tangki minyak NATO dibakar, 3 maut

ISLAMABAD: Tiga orang terbunuh dan lapan yang lain cedera apabila 20 lori tangki minyak NATO diserang dan dibakar berhampiran ibu negara Pakistan, insiden kedua dalam tempoh beberapa hari.

Laporan televisyen menunjukkan api menjulang dari lori tangki terbabit yang mengisi minyak di luar Islamabad dan dalam perjalanan ke Afghanistan apabila diserang dengan molotov koktel oleh beberapa lelaki bersenjata.
Ia susulan serangan sama Jumaat lalu di selatan Pakistan apabila lebih 20 trak dan lori tangki minyak yang membawa bekalan untuk 152,000 anggota pasukan tentera asing yang memerangi Taiban di Afghaistan, dibakar.
“Tiga orang mati dan lapan lagi cedera. Mereka mengalami kecederaan akibat ditembak dan sebilangan besar adalah pemandu dan kelindan," kata pegawai polis ecemasan, Mohammad Ahad.

Kumpulan lelaki bersenjata itu kemudian melarikan diri. - AFP

Belasah rakan angkara facebook

LENGGONG: “Hanya kerana salah faham selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya, anak saya dibelasah teruk hingga cedera di mata dan dahi,” kata seorang bapa, Hazizi Abdul Aziz, 46.
Dia berkata, difahamkan anaknya berkawan rapat dengan rakan sekelasnya itu sehingga mengetahui kata laluan untuk membuka akaun facebook kawannya itu dan sebelum kejadian mereka tidak bermasalah.

Bagaimanapun, katanya, difahamkan baru-baru ini, ada pihak menceroboh akuan berkenaan menyebabkan rakannya menuduh mangsa yang mencerobohnya kerana beranggapan hanya dia seorang yang mempunyai kata laluan ke laman berkenaan.

“Selepas bertengkar, mangsa yang mendakwa tidak menceroboh akaun rakannya dibelasah dipercayai kerana ada rakan lain mengapi-apikan pemilik akaun facebook itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Hazizi mendakwa anaknya, Aiman Asyraf, 17, pelajar tingkatan lima sebuah sekolah berasrama di sini, dibelasah teruk.

Berikutan kejadian itu, Hazizi yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur, bergegas pulang ke Kampung Luat, dekat sini, awal pagi Jumaat lalu, selepas menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi.
Dia terkilan kerana pihak sekolah tidak memaklumkan kepadanya mengenai kejadian menimpa anaknya itu dan hanya mengetahui insiden terbabit daripada pihak lain.

“Pihak sekolah sepatutnya beritahu saya mengenai kejadian itu.
“Malah, lebih mengejutkan, ketika saya menemui pihak sekolah kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat lalu, mereka mengatakan tidak tahu kejadian menimpa anak saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hazizi berkata, dia diberitahu anaknya yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik dihantar warden asrama ke Klinik Kesihatan Lenggong dan ditinggalkan di klinik berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Menyedihkan, tiada seorang wakil sekolah mengiringi anak saya sepanjang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Saya tak mahu membesarkan perkara ini, tapi sikap pihak sekolah yang lepas tangan sangat dikesali dan tidak mahu ia berulang,” katanya.

Menurutnya, Aiman antara pelajar cemerlang di sekolah itu, tetapi kejadian yang menimpanya akan menjejaskan persediaannya menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Justeru, saya berharap pihak sekolah memandang serius perkara seperti ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan anak saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lenggong.

'Cerita Joey hanya dusta'

KUALA LUMPUR: “Apa yang diceritakan dan segala kenyataannya adalah dusta. Terhenti jantung saya berdegup, kering jadinya darah bila melihat yang dia berani bersumpah berkali-kali. Hakikatnya saya saja yang telan,” kata Noraini Nasir, 44, isteri kepada penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey), 37, selepas kecewa melihat kenyataan suaminya itu dalam sebuah akhbar semalam.


SEDIH...Norani tidak dapat menahan kesedihannya mengenai kenyataan Joey mengenai rumah tangga mereka.
SEDIH...Norani tidak dapat menahan kesedihannya mengenai kenyataan Joey mengenai rumah tangga mereka.

Noraini atau Amy yang mengenali Joey sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin dengannya pada 4 Mei 2005 dikurniakan seorang anak lelaki berusia empat tahun, Zidani Zulkifli kecewa dan sedih kerana pelakon dan penyanyi itu mendakwa sudah menceraikannya.

“Mana dokumennya. Kenapa tidak terus failkan di mahkamah dan membiarkan saya dan anak sehelai sepinggang. Kalau betul dia sudah tidak mahu lagi perkahwinan ini, tampil ke depan, gunakan prosedur yang betul dan bukannya senyap seribu bahasa.

“Tindakannya mengatakan yang dia sudah menceraikan saya serta tidak segan silu mengaku hubungannya dengan Watie adalah tidak wajar dan langsung tidak menghormati saya yang masih belum diputuskan mahkamah tidak lagi isterinya. Sanggup dia membuat pengakuan tanpa memikirkan soal keluarga saya dan anaknya.

“Hingga kini, sudah berbulan-bulan dia meninggalkan rumah dan tidak menjenguk anak. Dia hanya memberi wang sebelum Ramadan lalu dan sekali lagi pada malam raya. Itu pun dia meminta seorang temannya datang ke rumah menyampaikan duit RM1,000 kepada saya untuk belanja raya,” katanya.

Memetik kata Joey dalam laporan akhbar semalam, dia turut menafikan segala gambar mesra antaranya dengan Watie dalam akaun Facebook miliknya dan mendakwa ada pihak cuba menggunakan namanya untuk membuat satu akaun lama tersebut.
“Bohong jika ada pihak yang menggunakan namanya untuk membuat satu akaun Facebook kerana seingat saya itu memang akaunnya dan sebelum ini dia sering menunjukkan pada saya jika ada kawannya menghantar mesej ataupun gambar di akaun tersebut. Itu memang akaunnya dan setiap gambar yang ada di dalamnya memang dia sendiri yang meletakkannya.

“Usah menafikan perkara itu apabila ada pihak mula mempersoalkannya. Memang dia meletakkan gambar itu. Namun, saya sendiri tidak mahu melihatnya cuma teman yang memberitahu kononnya Joey meletakkan gambar mesranya dengan Watie serta gambar ketika mereka menyambut Aidilfitri bersama di kampungnya di Masai, Johor.
“Memang saya terkilan kerana ketika saya dan anak duduk bersendiri di pagi raya, rupa-rupanya dia membawa Watie dan anaknya pergi beraya hingga ke kampungnya di Johor. Tergamak dia melakukannya dan meninggalkan anaknya sendiri beraya sendirian,” katanya.

Amy berkata, Joey berubah sejak pulang penggambaran drama bersiri, Blues Pasar Tani di Muar, Johor pada penghujung Mac lalu. Selain banyak mendiamkan diri dan bersikap dingin.

Ketika Joey sibuk di lokasi drama Ejen 2x5 sekitar bulan Jun, pelakon yang juga penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Beradu Suratan itu tidak pulang ke rumah selama dua minggu sebelum muncul di depan pintu rumah untuk menceraikan isterinya di ruang meletak kenderaan di depan rumahnya di Ampang.

Tiga hari kemudian, pelakon yang sinonim dengan watak komedi itu pulang semula ke rumah untuk merujuk semula dan kembali tidur di rumah selama 10 hari. Selain menjunjung Al-Quran dan berjanji berubah di depan Noraini, Joey dikatakan menukar nombor telefon bimbitnya dan tidak langsung keluar rumah sepanjang 10 hari itu.

Namun, beberapa minggu sebelum menjelang Ramadan, dia terus meninggalkan rumah sehelai sepinggang hingga ke saat ini. Selain menafikan tindakannya merujuk kembali, Joey turut dikatakan lupa tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

“Jika benar dia bertanggungjawab dan tidak lupa nafkah anak seperti mana dikatakan dalam laporan semalam, kenapa hingga ke hari ini, saya yang mengikat perut bagi menghantar anak ke sekolah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya berhenti bekerja sebagai penerbit produksi kerana Joey yang meminta memberi tumpuan pada keluarga dan anak. Kononnya dia mampu menyara kami sekeluarga.

“Justeru apabila dia pergi meninggalkan kami begini, saya kembali mencari kerja dan meminta bantuan teman sekeliling. Memang perit dan jika tiada kesabaran, sudah lama saya bunuh diri. Mana tidaknya, saya dan anak duduk merintih di pagi raya dan hingga kini saya berdepan dengan pelbagai tanggungan. Rumah, kereta, perbelanjaan harian dan persekolahan anak semuanya menjadi beban kerana perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun Amy enggan mengulas lanjut mengenai hubungan Joey dan Watie, sebaliknya mengharapkan Joey berlaku adil dan ingat tanggungjawabnya terhadap anak, selain menghentikan segala kenyataan yang masih belum ada kesahihan.

Beckham dituduh hantar SMS asmara

LOS ANGELES: David Beckham dikatakan bertukar e-mel dan mesej pesanan ringkas (SMS) dengan seorang pereka jelita barang kemas hingga menyebabkan suami wanita berkenaan naik berang dan menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan Beckham.


BECKHAM memakai gelang manik rekaan Shery ketika menghadiri konsert Jonas Brothers bersama tiga anaknya.
BECKHAM memakai gelang manik rekaan Shery ketika menghadiri konsert Jonas Brothers bersama tiga anaknya.


sebelum  -  selepas

VICTORIA rakan Shery.







VICTORIA rakan Shery.
Shery Shabani memberitahu temannya, Beckham yang pernah memakai gelang rekaannya adalah seorang lelaki yang baik hati dan mereka memang saling berhubung.

Suami Shery, Joseph Kambiz, 42, mendakwa mesej pesanan ringkas yang diterima isterinya berbaur asmara.

Bagaimanapun, Shery, 32, mendakwa hubungan mereka sekadar teman perniagaan kerana dia juga saling menghubungi Victoria, isteri Beckham.

Jurucakap Shery berkata: “Shery mereka gelang marmar sebagai hadiah ulang tahun yang ditempah Beckham untuk Victoria beberapa bulan lalu. Shery adalah kawan rapat Beckham dan Victoria.”

Beckham, 35, pernah dilihat memakai gelang rekaan Shery ketika menghadiri konsert Jonas Brothers di Los Angeles bersama anaknya.

Anak Beckham menuntut di sekolah yang sama dengan anak Shery. Beckham dikhabarkan membayar gelang manik yang direka Shery dengan harga £630 (RM3,150) hingga £4,000 (RM20,000).

Sementara itu, Kambiz seorang peguam jutawan mendakwa Beckham adalah punca kepada keretakan hubungan perkahwinannya selama 12 tahun.
Dalam dokumen yang difailkan di mahkamah, Kambiz mendakwa Beckham menjalinkan hubungan seks dengan isterinya, namun bintang bola sepak itu menafikannya.

Shery pula yang mendakwa Kambiz cuba menyalahkan Beckham di atas keruntuhan rumah tangga mereka berkata, Beckham seorang lelaki yang baik dan mereka tidak pernah menjalin sebarang hubungan intimewa.

Sementara itu, pelacur, Irma Nici, 26, yang disaman £16million (RM80 juta) oleh Beckham dilaporkan memfailkan saman balas terhadapnya.

Irma menuntut kos rawatan selepas mendakwa diserang pengawal peribadi Beckham, namun Beckham menafikan dakwaannya. - Agensi

Pegawai pilihan raya Filipina dibunuh

MANILA: Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati pegawai pilihan raya peringkat daerah yang akan diadakan bulan ini di selatan Filipina, lapor sumber polis, semalam.
Kejadian itu berlaku di Pulau Basilan walaupun pihak berkuasa melakukan kawalan keselamatan yang ketat, termasuk melarang membawa senjata api di seluruh negara, kata Ketua Penguasa Polis Pulau Basilan, Superintenden Bienvenido Latag.
“Entong Musa, pegawai pilihan raya di bandar Tuburan, Basilan ditembak mati oleh seorang lelaki bermotosikal yang tidak dikenali,” kata Latag dalam satu kenyataan. Latag berkata, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian pembunuhan itu tetapi tidak menyatakan sama ada serangan mempunyai kaitan dengan pilihan raya daerah yang akan diadakan pada 25 Oktober ini. - AFP

Kereta terbabas langgar gerai

TUMPAT: Bagaikan aksi lagak ngeri, seorang pemuda berusia 20-an nyaris maut apabila Proton Wira yang dipercayai dipandu laju merempuh sebuah kereta di depannya lalu terbabas sebelum merempuh sebuah gerai pisang goreng, dekat Jalan Kubang Batang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa parah di kepala dan badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta berusia 20-an yang terbabas di jalan bertentangan parah dan mereka dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan ambulans.

Saksi kejadian, Wan Mohd Aiman Zawawi, 25, berkata dia menonton televisyen apabila terdengar dentuman kuat dan mendapati sebuah kereta terperosok ke dalam sebuah gerai.

“Saya bergegas keluar dan mendapati sebuah Proton Wira terperosok ke dalam gerai manakala sebuah kereta Toyota terbabas ke seberang jalan.

“Saya dan tiga lagi rakan berusaha mengeluarkan pemandunya yang parah dan tersepit di dalam kereta, namun gagal lalu menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya.

Pemilik gerai, Mek Che Lah, 57, berkata kemalangan itu mengakibatkan dia kerugian kira-kira RM10,000 kerana gerainya runtuh manakala peralatan seperti pinggan mangkuk dan cawan rosak.

Parah dirempuh kereta ketua polis

CHANGLUN: Seorang penunggang motosikal warga emas parah selepas dirempuh kenderaan rasmi Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md Amin, dalam kemalangan di Kilometer 21.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran Kampung Bemban, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, mangsa, Salleh Abdullah, 73, parah di kepala dan luka di badan selepas terpelanting ke atas cermin depan kereta Proton Perdana terbabit yang merempuh motosikalnya.
Kereta terbabit yang dinaiki dua anggota polis berusia 40-an dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dalam perjalanan untuk menjemput Ghazali di Shah Alam, Selangor.

Ketika ditemui, anggota polis yang memandu kereta dan enggan dikenali itu mendakwa, dia sudah berkali-kali membunyikan hon selepas mendapati mangsa melintas tiba-tiba, tetapi tidak sempat berbuat apa-apa dan merempuh mangsa.

“Selain itu, saya cuba mengelak merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan di situ dan tidak menyangka pula melanggar mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bemban, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dari bandar ini selepas membeli racun rumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata siasatan awal mendapati, motosikal Honda EX-5 yang ditunggang Salleh itu berada di tepi jalan dan mangsa melintas secara tiba-tiba sebelum dirempuh kereta terbabit yang datang dari arah sama.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa terpelanting dan terjatuh ke atas cermin kereta terbabit sebelum jatuh di jalan raya.

“Mangsa yang parah di kepala dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua anggota polis yang menaiki kereta terbabit tidak cedera dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, sejurus selepas kejadian,” katanya di sini, semalam.

Maut tangan tersepit mesin


INILAH mesin memproses batu kuari Kawasan Perindustrian Ringan Keramat Pulai yang mengorbankan nyawa seorang pekerja setelah tangannya tersepit semalam.

IPOH – Seorang pekerja rakyat Bangladesh maut selepas kedua-dua tangannya tersepit di celah mesin ketika bekerja di sebuah kilang memproses batu kuari di kawasan Perindustrian Ringan Keramat Pulai, Jalan Ipoh-Cameron Highlands di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian ngeri pada pukul 4.58 petang itu, mangsa Alamgir Kabir, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tangan kirinya putus manakala tangan kanannya cedera.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian mangsa dikatakan sedang mengendalikan sebuah mesin sebelum kedua-dua belah tangannya tersepit di celah mesin yang sedang bergerak itu.
Menurut beliau, para pekerja yang berada di situ bertindak menutup suis mesin berkenaan apabila terdengar mangsa menjerit kesakitan.
“Pekerja kuari itu kemudian memanggil pasukan bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit,” kata beliau.

Britain bimbang Putera Harry dibunuh



GAMBAR fail menunjukkan Putera Harry (dalam bulatan) menghadiri konsert kebajikan untuk askar Britain di Stadium Twickenham, London pada 12 September lalu.



LONDON - Anggota-anggota keselamatan bersenjata meningkatkan kawalan terhadap pewaris ketiga takhta Britain, Putera Harry kerana dia mungkin menjadi sasaran serangan pelampau Muslim dan pengganas Ireland, lapor sebuah akhbar semalam.
Enam anggota Perkhidmatan Khas Udara (SAS) Britain telah mengekori setiap langkah Putera Harry selepas perkhidmatan keselamatan meningkatkan amaran ancaman terhadap anggota-anggota keluarga diraja Britain.
Kawalan ke atas pewaris kedua takhta Britain Putera Charles yang merupakan bapa Putera Harry turut dipertingkatkan.
Putera Charles dan isterinya, Camilla akan menghadiri majlis pembukaan Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.
Putera Harry, 27, dianggap sebagai sasaran kerana dia pernah berkhidmat di Afghanistan dan disebabkan oleh gaya hidupnya yang suka berfoya-foya.
"Harry dilihat sebagai berada dalam risiko tinggi kerana dia berkhidmat di Afghanistan," kata satu sumber.
Dia turut diminta supaya mengelak daripada mengunjungi kelab malam sebagai usaha mengagalkan percubaan pengganas yang mungkin tahu rutin kehidupan hariannya.
Pada kebiasaannya, tiga anggota polis Scotland Yard akan menemani Putera Harry apabila dia pergi berparti. - Agensi

Helikopter PBB terhempas


ASKAR-ASKAR Pakistan menaiki sebuah bot getah menghampiri sebuah helikopter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terhempas di kampung Lakha, selatan negara itu kelmarin.

ISLAMABAD – Sebuah helikopter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhempas ke dalam air bah di selatan Pakistan semasa menghantar bekalan makanan untuk mangsa-mangsa banjir, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebanyak tiga daripada 13 orang yang menaiki helikopter itu mengalami kecederaan kecil.
Helikopter yang membawa biskut daripada Program Makanan Sedunia (WPF) itu terhempas selepas ia cuba mendarat di sebuah kawasan di Dadu, wilayah Sindh kelmarin.
Askar-askar dari tentera Pakistan menyelamatkan krew dan penumpang helikopter itu yang terhempas di kampung Lakha.
Jurucakap WPF, Amjad Jamal berkata, antara yang menaiki helikopter itu ialah warga Pakistan dan asing.
Mangsa-mangsa yang cedera dihantar ke bandar Karachi dengan sebuah helikopter penyelamat.
Pihak PBB telah meningkatkan program penghantaran makanan di Pakistan ekoran banjir yang melanda Pakistan sehingga mengakibatkan 1.8 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. – Agensi

Gadis bisu dikhuatiri jadi pengemis





KUALA KANGSAR – Kehilangan seorang gadis dari kalangan orang kurang upaya (OKU) Nor Yuniza Mohd. Yunus, 22, (gambar) lebih sebulan setengah lalu meresahkan keluarganya kerana dia dikhuatiri dipaksa menjadi pengemis.
Kakaknya, Nor Asrina, 24, berkata, adiknya yang cacat pendengaran dan pertuturan itu didakwa kali terakhir ditemui mengemis di Sungai Udang, Melaka.
Katanya, dia dimaklumkan oleh seseorang yang mendakwa melihat adiknya meminta sedekah di kawasan tersebut sambil dipantau seorang wanita berpurdah dan seorang lelaki pada pukul 1.30 petang, 27 Ogos lalu.
“Nor Yuniza juga didakwa ditemui berada di dalam sebuah van yang turut dinaiki dua individu terbabit pada sebelah malam di Alor Gajah, Melaka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Perumahan Awam 4, Kenas di sini semalam.
Bercerita lanjut, Nor Asrina berkata, adiknya keluar ke bandar Kuala Kangsar yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya seorang diri tanpa membawa pakaian pada 21 Ogos lalu.
Katanya, adiknya memberitahu keluarga ingin bertemu seorang rakannya di situ.
Bagaimanapun katanya, selepas tidak pulang menjelang malam dan telefon bimbitnya gagal dihubungi, keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya.