Search This Blog

Sunday, October 3, 2010

Gempa bumi sederhana di Selat Sunda





2010/10/03

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter dikesan berlaku di Selat Sunda, Indonesia, 181 kilometer (km) barat daya Bandar Lampung, Indonesia, 950 km tenggara Johor Baharu, hari ini. 

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, gempa bumi itu berlaku pada 4.21 petang di kedudukan 7.0 darjah selatan dan 104.9 Timur.
Tiada ancaman tsunami dikesan. - BERNAMA

Empat lagi mangsa lombong meletup di Kemerovo ditemui



03/10/2010 11:39am

MOSCOW 3 Okt. - Pihak berkuasa barat Siberia menemui empat lagi mayat daripada kira-kira 23 orang pelombong yang hilang dan dikhuatiri mati dalam letupan lombong pada Mei lalu.
Sebanyak 67 mayat telah ditemui pada hari berlaku dua letupan metana di lombong Raspadskaya yang terbesar Rusia, di Kemerovo kira-kira 3,000 kilometer ke timur Moscow.
Sehingga semalam, seramai 19 orang masih lagi hilang. Pihak berkuasa menghadapi ancaman api dan bahaya metana dalam gerakan mencari dan memulihkan keadaan.
Perdana Menteri, Valdimir Putin pada Mei lalu berkata, tahap keselamatan kebanyakan industri perlombongan Rusia nazak dengan anggaran 100 kematian setahun, tetapi tahun lalu jumlah melonjak kepada 217 kematian.
Beliau mengesa agar memberi upah yang tinggi bagi mengelak kerja lebih masa dan melakukan pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat dan mengharamkan dadah serta alkohol. - AP

Gempa bumi di tengah Jepun, tiada ancaman tsunami



03/10/2010 11:53am

TOKYO 3 Okt. - Gempa bumi dengan kekuatan 5.0 pada skala Richter melanda tengah Jepun iaitu 200km di utara Tokyo awal pagi ini.
Kejadian itu tidak menyebabkan berlaku tsunami dan tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima setakat ini, lapor Agensi Meteorlogi dan pihak polis.
Gempa berlaku berhampiran bandar raya Joetsu di Niigata pada pukul 8.26 pagi ini di kedalaman 24jm, kata Kajian Geologi AS. Gegarannya dirasai di kawasan pantai barat pulau Honshu. - AFP

Dua pegawai imigresen terlibat seludup PATI ditahan SPRM



03/10/2010 4:28pm

SEREMBAN 3 Okt. - Dua pegawai imigresen dan seorang orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah bagi menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Kedua-dua pegawai yang berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu bersama seorang orang awam itu ditahan kira-kira pukul 7 malam pada Rabu lalu di Jeti Port Dickson, dekat sini.
Kesemua yang ditahan itu dipercayai menjadi pengantara dengan ‘tekong’ dari negara jiran untuk membawa masuk PATI dari negara tersebut. - Utusan

Empat cedera apabila lif terhempas




PETALING JAYA: Sepasang suami isteri dan dua pelajar mengalami detik-detik mencemaskan apabila lif yang mereka naiki rosak dan tiba-tiba terhempas ke bawah dari tingkat enam, Blok A, Pangsapuri Impian Baiduri, di sini kelmarin.
Berikutan kejadian sekitar 2 petang itu, Encik Rahim Yunus patah ibu jari kaki kanan manakala isterinya, Cik Zarinah Jaafar, seorang guru, cedera di pinggang dan siku kiri.Pelajar S. Kugahan, 14 tahun, patah kaki kanan manakala Azizah Ermonchatib, 13 tahun, cedera di punggung.Kesemua mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.Encik Rahim berkata kejadian berlaku semasa beliau dan isterinya, kedua-duanya 30-an tahun, ingin ke tingkat 10 untuk mengambil anak mereka yang dijaga seorang pengasuh.Azizah dan Kugahan pula baru pulang dari sekolah.'Saya, isteri dan Azizah ingin ke tingkat 10 manakala Kugahan tingkat lima. Namun lif tidak berhenti di aras lima hingga menyebabkan Kugahan menekan berulang kali nombor lima agar lif itu berhenti.'Bagaimanapun tiba-tiba lif itu rosak dan terputus bekalan elektrik di tingkat enam lalu terhempas,' kata Encik Rahim.Seorang lagi pelajar, Mohd Taqiuddin Ali, 15 tahun, yang menunggu di depan pintu lif untuk pulang ke rumah, berkata seluruh bangunan pangsapuri itu bergegar kuat sejurus lif terhempas terhempas.'Beberapa penghuni pangsapuri yang terkejut oleh bunyi dentuman itu segera turun dan kemudian berusaha mengumpil pintu lif.'Sebaik pintu lif dibuka saya lihat beberapa mangsa bergelimpangan kesakitan dalam lif dan seorang pelajar perempuan terbaring tidak sedarkan diri,' katanya.Pengerusi persatuan penduduk pangsapuri itu, Encik Thambi Chik Hassan, berkata beliau kesal kerana pihak pengurusan tidak menyenggara dengan baik lif di situ.Mujur kejadian itu tidak meragut nyawa penduduk, katanya.'Setiap bulan penduduk membuat bayaran penyenggaraan antara RM45 ($19) dan RM50, namun pihak pengurusan gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk. Sebelum ini pun hanya dua daripada tiga lif di pangsapuri ini dapat digunakan.'Sekarang penduduk akan mengalami kesusahan kerana satu lif saja boleh digunakan,' katanya. -- Utusan Malaysia, Harian Metro.

Pelantar patah, seorang pekerja binaan maut



GEORGETOWN - Seorang pekerja dipercayai sedang membancuh simen di sebuah bangunan pasar raya enam tingkat yang masih dalam pembinaan maut apabila pelantarnya runtuh di Jalan Tanjung Tokong, malam kelmarin. 

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Sardi, 47, maut manakala rakannya warga Bangladesh, Mohd Rubell, 30, cedera parah di leher, bahu dan kaki manakala seorang lelaki juga warganegara Bangladesh, Mohd Kholid, 23, hanya cedera ringan. 

Mohd Kholid berkata, ketika kejadian, dia dan dua lagi rakan sedang membancuh simen di pelantar tingkat tiga bangunan itu. 

“Kejadian berlaku sangat pantas yang mana ketika hendak mengangkat simen, tiba-tiba pelantar bergoyang kuat dan saya tidak pasti apa yang berlaku, cuma difahamkan seorang daripada kami bertiga sudah mati,” katanya ketika ditemui, kelmarin.: 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat manakala dua lagi yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama. 

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia yang sedang minum di kedai berhampiran terdengar bunyi runtuhan kuat dari pasar raya itu kira-kira jam 9.45 malam. 

“Saya dan beberapa rakan kemudian bergegas ke tempat kejadian dan kami lihat kerangka yang menempatkan pelantar sudah bertaburan serta melihat pekerja di situ panik menyelamatkan rakan mereka,” 

“Saya kurang pasti sama ada mereka mengenakan alat keselamatan semasa bertugas dan kerja lebih masa atau tidak kerana aktiviti kerja mereka tidak didengari, kami hanya beroperasi selepas bunyi deruman itu,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubung mengesahkan kejadian itu.

Lelaki ditemui mati tertiarap




SHAH ALAM – Seorang lelaki ditemui mati tertiarap di tepi jalan besar menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. 

Ketika kejadian, seorang lelaki tempatan yang kebetulan melalui kawasan itu terkejut apabila menemui mayat berkenaan, kira-kira jam 8 pagi. 

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan telefon daripada saksi berkenaan. 

Katanya, setiba di lokasi kejadian , polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa, mahupun barangan peribadi miliknya. 

“Kita (polis) tidak dapat mengenal pasti individu berkenaan dan dipercayai dia warga tempatan. 

“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berpakaian lengkap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Zahedi berkata, siasatan awal mendapati, kematian mangsa berkemungkinan tidak mempunyai unsur jenayah berdasarkan keadaan mayat yang tidak menunjukkan kesan ke arah itu. 

”Mayat yang belum dikenal pasti itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan buat masa ini, polis mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut,” katanya.

Angkara babi



KUALA TERENGGANU – Dua beranak terbunuh apabila Perodua Kancil yang dinaiki terbabas akibat dirempuh seekor babi dalam satu kemalangan di Kilometer 54, Kampung Jambu Bongkok, Marang, semalam. 

Nor Aslina Izan, 25, yang memandu kenderaan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala manakala anak tunggalnya, Nur Ain Nabila Zulkifli. 6, mati sebaik tiba di hospital kerana cedera pada dada. 

Dua lagi mangsa yang turut berada dalam Perodua Kancil tersebut iaitu ibu dan anak saudara lelaki Nor Aslina pula dilaporkan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi ketika keempat-empat mangsa dalam perjalanan dari Dungun menuju ke arah Kuala Terengganu. 

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat keja-dian, seekor babi hutan secara tiba-tiba meluru keluar dari semak sebelah kanan jalan lalu bertindak melanggar Perodua Kancil yang dipandu oleh Nor Aslina.

“Akibat dilanggar babi tersebut, kenderaan mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci pejabat dan tinggal di Kampung Padang Nenas gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok hingga remuk.

“Mangsa yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah pada kepala manakala anaknya mati ketika sampai di hospital disebabkan parah pada bahagian dada,” katanya, semalam.

Ahmad Mazlan berkata, kejadian malang menimpa Nor Aslina dan anaknya diceritakan oleh seorang saksi iaitu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memandu di belakang kenderaan mangsa.

Pemandu melecur disambar api




TUMPAT - Akibat kereta kehabisan minyak, seorang pemandu melecur disambar api apabila kereta yang dinaiki meletup dan terbakar selepas dia mengisi petrol di dalam tangki kereta itu di hadapan Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi dekat Pasir Pekan di sini, pagi semalam. 

Pemandu tersebut, Amiruddin Musa, 35, dari Kampung Kelaboran melecur di lengan dan di kepala ketika cuba menyelamatkan dokumen penting dalam kereta jenis Proton Saga miliknya itu. 

Turut terbakar, telefon bimbit serta beg duitnya yang diletakkan di atas kerusi hadapan dan juga geran kereta yang disimpan di bawah kerusi dengan anggaran kerugian RM6,000. 

Amirudin berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi, dia dalam perjalanan ke Kampung Kutan untuk mengambil kawannya, Azhar untuk tampal tayar motosikal di Kota Bharu. 

“Tiba-tiba kereta saya mati kehabisan minyak di hadapan sekolah ini lalu memberhentikan kereta di bahu jalan. 

“Kebetulan saya ada simpan sebotol petrol untuk minyak motosikal saya di bonet belakang, lalu saya mengambilnya untuk mengisi ke dalam tangki kereta ini. 

“Tidak sampai dua minit selepas mengisi minyak, tiba-tiba kelihatan api keluar di bahagian depan, sebelum meletup dan terbakar. Dalam keadaan api marak itu, saya cuba keluarkan dokumen penting dalam kereta tetapi gagal apabila tangan saya disambar api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Menurutnya, dia percaya ada lintar pintas berlaku pada keretanya itu. 

“Nasib baik saya belum masuk ke dalam kereta lagi, kalau tidak dengan saya sekali ia meletup dan terbakar,” katanya yang bersyukur kerana tidak rentung dan hanya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu. 

Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Tumpat, Ridhuan Harun berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim dan Tumpat dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 9.17 pagi.

6 terbunuh pesawat pelancong terhempas dekat Nazca Lines





2010/10/03

LIMA, Peru: Sebuah pesawat ringan membawa pelancong British terhempas berhampiran Nazca Lines di Peru semalam, membunuh semua enam penumpang dan juruterbang. 

Mangsa disenaraikan sebagai empat rakyat Britain - tiga lelaki dan seorang wanita - dan juruterbang serta pembantu juruterbang rakyat Peru.
Pesawat Cessna itu mengalami masalah enjin yang menjurus kepada nahas itu.
Ketua polis tempatan, Alfredo Coronel, berkata pihaknya sedang berusaha mengeluarkan mayat. 

Nazca Lines, garisan geologi misteri yang dilakarkan di padang pasir berkurun lalu oleh penduduk peribumi, adalah Kawasan Warisan UNESCO dan tarikan utama pelancongan di Peru. 

Terletak 385 kilometer ke tenggara Lima, lakaran itu hanya boleh dilihat dari udara dan penerbangan selama 30 minit itu popular di kalangan pelancong. - AP

Polis Indonesia tembak mati 5 suspek militan





2010/10/03

DOLOK SAGALA, Indonesia: Polis Indonesia menembak mati lima suspek militan dan menahan empat yang lain dalam serbuan ke atas tempat persembunyian mereka di Sumatera.

Ketua Polis Provinsi, Oegroseno, berkata kelima-lima suspek itu terbunuh manakala seorang anggota polis cedera dalam kejadian tembak menembak di ladang kelapa sawit di Kampung Dolok Sagala di utara Sumatera semalam.
“Semalam kami menemui tempat persembunyian kumpulan bersenjata itu. Semasa serbuan, mereka melawan. Kami melepaskan tembakan amaran tetapi mereka terus menentang.
"Empat suspek terbunuh semasa tembak menembak semalam. Seorang lagi meninggal dunia hari ini," katanya.

Oegroseno berkata, tiga suspek ditahan malam tadi dan seorang lagi menyerah diri kepada penduduk sebelum diserahkan kepada polis hari ini dan polis masih memburu lapan lagi suspek yang melarikan diri.

Katanya, mereka dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan yang disyaki membunuh seorang anggota polis dalam rompakan bank di Medan pada Ogos lalu bagi membiayai serangan pengganas. - AFP

Majistret dipenjara 6 tahun, denda RM40,000 kerana rasuah


MOHD Firdaus Ramlan, 28, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah. Tertuduh baru bertugas selama dua tahun sebagai majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang. - Foto Zaman Huri Isa


2010/10/03

KOTA BHARU: Seorang Majistret dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah.

Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperoleh rasuah berupa wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.
Wang suapan itu dikatakan diperoleh sebagai dorongan baginya melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan jenayah yang dilakukan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, pada 6 Oktober tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, dan Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Shukri Mohammed.

Bagi tuduhan pertama Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000, dan jika tidak dibayar denda, beliau boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua beliau dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM25,000, dan jika denda tidak dibayar beliau boleh dihukum penjara 18 bulan.

Hakim Sabariah Othman mengarahkan agar perintah penjara ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan.

Hukuman denda pula ditangguh tiga bulan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

Sambung reman

SEPANG: Tempoh tahanan reman terhadap dua peguam adik beradik dan seorang lagi rakan mereka yang menjadi suspek kes kehilangan jutawan India, Muthuraja Allal Kathan, disambung selama enam hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.
Ia tahanan reman kedua terhadap tiga suspek berkenaan bagi membantu polis meneruskan siasatan kehilangan Muthuraja, 34, sejak Januari lalu.

Difahamkan pada asalnya, polis membuat permohonan untuk melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari, tetapi ditolak majistret atas alasan tempoh enam hari sudah mencukupi.

Dua beradik terbabit disertai empat peguam, Datuk Ng See Teong, Amer Hamzah, Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam, manakala seorang lagi suspek tidak diwakili peguam.

Suspek yang dibawa menaiki Proton Waja dan dikawal ketat anggota polis sambil diiringi lima kereta polis dan dua polis trafik tiba di balai terbabit kira-kira jam 9.30 pagi.

Mereka kemudian dibawa masuk melalui pintu belakang balai terbabit untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Peguam dua beradik yang memakai baju lokap berwarna ungu dan seorang lagi suspek berbaju lokap warna jingga dan bergari kemudian dilihat meninggalkan mahkamah, kira-kira jam 10.30 pagi.

Muthuraja, 34 dilaporkan hilang sebaik tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu dua beradik peguam terbabit.

Khamis lalu, polis mengesahkan ahli perniagaan dari India itu turut dibunuh dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguam suspek, Ravi Nekoo berkata, anak guamnya turut memohon kebenaran daripada majistret untuk membuat laporan polis mendakwa dia tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam yang mewakilinya.

Katanya, beliau menulis surat kepada Ketua Polis Negara dan Timbalannya, serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) untuk memaklumkan perkara itu, namun pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka.

“Jadi, anak guam kami yang juga suspek utama memberitahu majistret, dia tidak diberi peluang untuk berjumpa kami. Kami memandang serius isu ini kerana akses untuk peguam adalah hak asasi yang termaktub Artikel Lima Klausa Satu, Perlembagaan Perlembagaan.

“Memandangkan mereka ditahan sejak 11 September lalu tanpa sebarang khidmat guaman, suspek utama memberitahu majistret mengenai perkara ini dan majistret membenarkan dia membuat laporan polis,” katanya.

Bagaimanapun, beliau belum tahu bila dan di mana laporan berkenaan akan dibuat.

Warga Bangladesh maut tangan putus tersepit mesin

IPOH: Seorang warganegara Bangladesh maut selepas kedua-dua tangannya cedera parah selepas tersepit di celah mesin ketika sedang bekerja di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Keramat Pulai di sini semalam.
Alamgir, 35, yang putus tangan kiri dan cedera parah di tangan kanan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan tangan mangsa daripada mesin berkenaan.

Beliau berkata, majikan pekerja itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan jenazahnya akan dihantar pulang ke negaranya.-Bernama

Seorang lelaki Vietnam mati, dua cedera parah dalam pergaduhan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Vietnam mati, manakala dua lagi rakannya cedera parah dalam satu pergaduhan di kawasan Perindustrian Ehsan Jaya, Kepong di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, dua rakan mangsa dikenali sebagai Tran Trung Phuc, 19, dan Loung Quang Truong Vu, 26, mengalami cedera parah akibat dipukul di badan dengan objek tumpul.

Katanya, ketiga-tiga mereka dikatakan mabuk sebelum terbabit dengan pertengkaran dan pergaduhan dengan suspek yang dipercayai lebih daripada seorang dan juga dipercayai warga Vietnam.

"Dipercayai berlaku selisih faham antara mereka dengan suspek beberapa hari yang lalu dan polis tidak menolak kemungkinan pertengkaran dan pergaduhan itu bermotifkan dendam," katanya.

Abdul Rahim berkata, polis turut menemui pisau berukuran enam inci di dalam longkang di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan manakala yang mati dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan daripada kedua-dua mangsa yang cedera selepas mereka sedar dan menurutnya polis sedang menjejaki suspek.

Pelajar langgar anggota polis didakwa di mahkamah Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap tuduhan melanggar seorang anggota polis pada bulan lalu.
Prosiding pendakwaan terhadap pelajar itu dijalankan secara tertutup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Aznika Mohd Anas membenarkan pelajar itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Insp Miky Dunstan Muda.

Dalam kejadian berkenaan, anggota polis itu patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri selain menerima 10 jahitan di kepala.-Bernama

Lagi skandal curang babit Beckham

LOS ANGELES: Hanya seminggu selepas seorang bekas pelacur mendakwa mengadakan hubungan seks beberapa kali dengan David Beckham, bintang bola sepak itu sekali lagi menjadi tumpuan skandal rumah tangga.


BECKHAM.
BECKHAM.

SHERRY.
SHERRY.
Shery Shabani, yang dilapor akrab dengan Beckham dan isterinya, Victoria, kini dalam proses bercerai dengan suaminya yang menuduhnya mengadakan hubungan intim dengan bekas kapten pasukan England itu.

Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Agung Los Angeles County, bulan lalu, suami Shery, Kambiz Joseph Shabani percaya isterinya dan Beckham mempunyai hubungan intim.

Shery dilapor berkata dalam dokumen itu: “Dia menuduh saya curang, khususnya dengan David Beckham. Ia tidak benar sama sekali.” Shery juga mendedahkan Joseph pernah memarahinya di depan anak mereka dengan menjerit: “Saya tahu kenapa anda kecewa. Hari ini ialah hari jadi anda dan David Beckham tidak mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada anda! “Mengapa anda tidak telefon dia, suruh dia hantar gambar kemaluannya!” Dokumen itu juga mendakwa Joseph cuba melanggar kereta Beckham Mei lalu ketika di luar sekolah anak mereka.

Sementara itu, wakil bintang bola sepak itu ketika mengulas kes berkenaan berkata: “Sama seperti cerita baru-baru ini, dakwaan kali ini adalah khayalan semata-mata.” - Agensi

Lelaki pasang kabel kena kejutan elektrik

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang melakukan kerja pemasangan kabel di tapak bangunan kilang yang dalam pembinaan di Rembia, dekat sini, maut apabila dipercayai terkena kejutan elektrik, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana terkena kejutan elektrik berikutan ada kesan terbakar di bahagian ibu jari tangan kiri.

Katanya, sebaik menerima laporan, polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu dan pada masa ini mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Kereta isi petrol botol meletup

TUMPAT: Seorang tukang rumah nyaris maut apabila keretanya meletup dan terbakar ketika mengisi petrol ke dalam tangki minyak kenderaannya dekat Pasir Pekan, di sini, pagi semalam.


MELECUR... Amirudin menunjukkan lengan yang melecur akibat disambar api daripada keretanya yang terbakar.
MELECUR... Amirudin menunjukkan lengan yang melecur akibat disambar api daripada keretanya yang terbakar.

Menceritakan kejadian itu, Amirudin berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke Kutan, di sini, untuk mengambil rakannya dikenali sebagai Azhar, 37.

Katanya, dalam perjalanan ke tempat itu enjin kenderaannya tiba-tiba mati akibat kehabisan minyak.

“Saya mahu ke rumah rakan di sana untuk mengambilnya sebelum menghantar tayar motosikal untuk ditampal di Kota Bharu.

“Bagaimanapun, enjin kenderaan mati di tengah jalan kerana kehabisan minyak. Secara kebetulan, sebotol minyak petrol disimpan di dalam bonet sebelum digunakan untuk diisi ke dalam tangki minyak kereta,” katanya.

Amirudin berkata, tidak sampai dua minit dia mengisi petrol itu, secara tiba-tiba kelihatan api keluar dari bahagian depan kenderaannya sebelum ia meletup dan terbakar.

Katanya, dia yang terkejut kemudian berusaha mengeluarkan barang dari kenderaannya namun gagal akibat bahang kebakaran.

“Kejadian berlaku begitu pantas apabila api marak membakar kereta saya. Usaha orang ramai untuk memadam kebakaran juga gagal.

“Walaupun mengalami kerugian, saya bersyukur kerana terselamat,” katanya.

Berikutan itu, Amirudin mengalami kerugian kira-kira RM6,000 apabila telefon bimbit, geran kereta dan wang turut hangus.

Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Darul Naim, Ghazimi Abdul Ghani berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim dan Tumpat bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mereka menerima panggilan pada jam 9.17 pagi dan berjaya mengawal api 15 minit kemudian.

“Sebaik tiba, kami dapati kenderaan masih terbakar sebelum berusaha memadamnya.

“Api berjaya dikawal 15 minit kemudian, namun kita masih menyiasat punca kebakaran,” katanya.

Buru perompak

SERI KEMBANGAN: Polis mengesahkan memburu dua suspek yang disyaki terbabit dalam kes rompakan di Alliance Bank, Taman Sungai Besi Indah hingga menyebabkan seorang pengawal keselamatan maut ditembak pada 28 September lalu.


DIKEHENDAKI... Razak (kanan) dan timbalannya, Asisten Superintendan Lam Chien Fei (kiri) menunjukkan gambar suspek terbabit rompakan.
DIKEHENDAKI... Razak (kanan) dan timbalannya, Asisten Superintendan Lam Chien Fei (kiri) menunjukkan gambar suspek terbabit rompakan.

Ketua Polis IPDS, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, seorang daripada suspek berkulit sawo matang dan tinggi sekitar 1.7 meter atau 5 kaki 7 inci, manakala tiada gambaran terperinci untuk suspek kedua.

“Namun, saya percaya lakaran foto yang diperoleh hasil siasatan polis dapat menyelesaikan kes ini.

“Saya minta suspek tampil membantu siasatan dan berharap orang ramai yang mengenali mereka membuat laporan serta memberi kerjasama kepada balai polis terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Rabu lalu, akhbar ini melaporkan, dua perompak melarikan wang tunai RM50,000 selepas menembak leher seorang pengawal keselamatan dalam rompakan nekad di bank itu.

Pengawal keselamatan berkenaan, Mohd Yusoff Abdul Mutalib, 49, dilaporkan kritikal sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang berikutan kecederaan parah dialami.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, Yusoff membantu seorang pelanggan mengeluarkan wang dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank berkenaan sebelum didatangi dua perompak yang melepaskan tembakan dari belakangnya.

Orang ramai yang mengenali suspek diminta menghubungi polis di IPDS, Lorong LP 2A/1 Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor atau hubungi talian 03-89484822 dan Hotline Pusat Kawalan IPD Serdang 03-89424901 atau e-mel ke serdangsatu@yahoo.com.my.

Lagi ahli perniagaan hilang

KLANG: Menggemparkan apabila seorang lagi isteri ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu mengesyaki kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.


SEDIH... Jayanthy  menunjukkan gambar suaminya  serta laporan polis mengenai kehilangan.
SEDIH... Jayanthy menunjukkan gambar suaminya serta laporan polis mengenai kehilangan.

S Jayanthi, 34, berkata suaminya, S Anpalagan, 43, hilang sejak 4 Ogos tahun lalu dan dipercayai kali terakhir dilihat berada di Banting, Selangor untuk berjumpa rakannya.

Katanya, suaminya pergi ke Banting sehari sebelumnya untuk berjumpa seorang lagi rakan mereka, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini.

“Pada hari sama kehilangan suami, saya cuba menelefonnya namun gagal dan hanya dapat menjejaki lokasi kereta suami melalui sistem GPS yang dipasang pada kereta model Mercedes Benz milik suami.

“Kereta dijumpai di Nur Lembah Pangsun Eko Resort, Hulu Langat itu kosong dan suami saya juga tidak mendaftar masuk ke pusat peranginan berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di sini, semalam.

Bimbang dengan keselamatan suaminya, Jayanthi membuat laporan polis di Balai Bolis Bukit Sentosa, Rawang.
Dakwaan segelintir kenalannya yang mengaitkan kehilangan suaminya dengan suspek utama pembunuhan kejam itu semakin diyakini berikutan suaminya berasal dari Teluk Bunut, Banting.

“Saya tak kenal suspek tapi menurut beberapa kenalan, suami saya berkawan dengannya sejak zaman sekolah dan beberapa kali pernah dilihat berjumpa dengannya.

“Cara kehilangan suami saya yang mirip dengan semua mangsa pembunuhan itu juga menguatkan lagi sebab munasabah dia hilang,” katanya.

Menurutnya, Anpalagan mempunyai empat hektar tanah di Banting, 174 hektar ladang kelapa sawit di Rawang dan beberapa hektar tanah lagi di sekitar Ipoh, Perak dan Sungai Petani, Kedah selain sebuah syarikat kewangan dan penternakan.

“Selepas kehilangannya, saya ditipu pula oleh seorang pekerja syarikat suami saya yang memberi beberapa dokumen dipercayai dokumen tukar hak milik syarikat.

“Saya tak tahu isi kandungan dokumen itu sebab tak tahu membaca tapi selepas diyakinkan olehnya dokumen itu untuk kebaikan syarikat, saya tandatangan saja.

“Ketika dia datang menemui saya, tiada peguam bersamanya dan dia hanya memberitahu peguam yang bertanggungjawab mewakilkan dirinya untuk berjumpa saya,” katanya.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya dan Jayanthi akan menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi mereka melakukan siasatan lanjut.

“Tujuan saya hanya untuk menolong keluarga Jayanthi supaya dia mendapat semula haknya yang kini dilarang mendekati pejabat suaminya.

“Saya juga berharap polis akan menyiasat siapa peguam yang menyiapkan dokumen itu dan lihat jika ia suspek utama atau tidak, selain melakukan serbuan ke dalam pejabat itu jika perlu,” katanya.

Difahamkan, pihaknya akan menghantar memorandum itu Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi dihubungi mengesahkan laporan kes berkenaan.


KAITAN SUSPEK DENGAN KES LAIN

1) Kes kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya, 47 dan tiga yang lain.

2) Kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja Allal Kanthan dari Chennai, India.

3) Kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah dan seorang rakannya.

3) Turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan membabitkan seorang wanita yang mati ditetak di hadapan rumahnya di Banting, tahun lalu.

4) Disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang pekerja di Unit Perancangan Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), K Celladuran, 50, yang ditembak dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru, pada 8 Mac lalu.

Konvoi maut

JASIN: Perjalanan sekumpulan 40 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara berkonvoi dengan menunggang motosikal untuk menghadiri rumah terbuka rakan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan, semalam.


REMUK... motosikal  ditunggangi mangsa. Mohd Nazrin (gambar kecil)
REMUK... motosikal ditunggangi mangsa. Mohd Nazrin (gambar kecil)

Akibat rempuhan itu, mangsa yang juga pelajar Tahun Dua Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Struktur Binaan) dikatakan terjatuh sebelum badannya dipercayai digilis tayar sebuah lori treler yang kebetulan bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau.

Rakan sebilik mangsa, Mohd Aisamudin Suhaimi, 20, berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda sebelum itu tertinggal di belakang apabila kumpulan pelajar terbabit berkumpul di kediaman mereka di Bukit Beruang untuk berkonvoi bersama dua kereta lain ke Parit Bakar, Muar, Johor.

Menurutnya, seminggu sebelum itu mereka merancang untuk pergi ke rumah seorang rakan sempena Aidilfitri kerana turut menghadiri rumah terbuka rakan lain di Jasin pada minggu lalu.

“Kami bergerak dari kolej kediaman kira-kira jam 12.15 tengah hari, tetapi tiba-tiba seorang rakan menyedari mangsa tertinggal di belakang lalu berhenti berhampiran sebuah hotel di Ayer Keroh untuk menunggu ketibaannya.

“Konvoi kami bergerak berpecah dalam tiga kumpulan, dan tanpa disedari mangsa berada dalam kumpulan paling depan lalu kami meneruskan perjalanan ke Muar.

“Namun, saya kemudian mendapat makluman daripada rakan memberitahu motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh lalu digilis lori,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Jasin, di sini.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Tawau, Sabah tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi pagi semalam bangun awal dari kebiasaan berbanding sebelum ini.

Katanya, dia juga tidak menyangka sesuatu yang pelik kerana mereka memang berjanji akan menyertai konvoi membabitkan 20 motosikal untuk menghadiri rumah terbuka berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa di laluan kiri persimpangan lampu isyarat terlanggar pembahagi jalan lalu terjatuh di atas jalan.

Katanya, pada masa sama, lampu isyarat bertukar hijau menyebabkan mangsa digilis tayar lori terbabit dan mati di tempat kejadian.

“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan ini bagi mengenal pasti punca kejadian,” katany

Kanak-kanak dilanggar van berundur

SEREMBAN: Menyayat hati apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terkorban selepas dilanggar sebuah van sekolah yang berundur dalam insiden di sekitar Taman Thivy Jaya, di sini, kelmarin.
Jurucakap polis berkata, sejurus berhenti di kawasan berbukit itu, mangsa dikatakan keluar bersendirian dan berjalan kaki di belakang van terbabit untuk menuju ke rumahnya.

“Bagaimanapun, van dipandu wanita berusia 39 tahun itu tiba-tiba berundur ke belakang dan terus melanggar mangsa.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa cedera teruk di kepala dan mati di tempat kejadian,” katanya

JBA tanggung hutang RM1.7 bilion



ALOR SETAR - Pelaksanaan kadar tarif baru air di Kedah yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu didakwa terpaksa dilakukan ekoran penyusunan semula hutang sebanyak RM1.7 bilion yang ditanggung Jabatan Bekalan Air (JBA) Negeri Kedah.
Ia juga selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang diluluskan di Parlimen pada tahun 2006.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, menerusi penubuhan SPAN, kerajaan negeri perlu menyusun semula pengurusan air menerusi pengkorporatan manakala PAAB bertindak mengambil alih aset dan hutang yang ditanggung JBA.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiga maut nahas langgar babi hutan




LAKARAN kemalangan yang meragut nyawa dua beranak selepas terbabit dalam kemalangan dengan seekor babi hutan di Kampung Jambu Bongkok, Merchang, Marang, Terengganu semalam.


MARANG - Seorang ibu bersama anak tunggalnya terbunuh apabila kenderaan yang dinaiki terbabas selepas dirempuh seekor babi hutan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi di Kilometer 54, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Jambu Bongkok, Merchang dekat sini.
Dalam kejadian itu, Nor Aslina Izan, 25, gagal mengawal kereta Perodua Kancil yang dipandu selepas terperanjat dengan haiwan berkenaan yang tiba-tiba melintas jalan dan merempuh keretanya.
Nor Aslina


Berikutan kejadian itu, kereta mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok menyebabkan mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala anak tunggalnya, Nur Ain Nabila Zulkifli, 6, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Sekolah Harapan sudah terima 10 remaja



MELAKA - Bilangan pelajar Sekolah Harapan, institusi khas untuk remaja hamil luar nikah di sini, bertambah apabila lima lagi pelajar mendaftar masuk semalam.
Jumlah itu menjadikan setakat ini 10 pelajar sudah berada di sekolah itu sejak dibuka 17 September lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, lima pelajar baru itu masing-masing dari Selangor, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor.
Kesemua pelajar itu hamil enam bulan ke atas.
"Empat daripada mereka berusia 17 tahun dan menuntut di tingkatan lima manakala seorang lagi di tingkatan empat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Melaka Maju 2010 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil semalam.
Sekolah Harapan yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islan Negeri Melaka (MAINS) menerima kumpulan pertama lima pelajarnya pada 20 September lalu.

'Tolonglah, saya nak jumpa anak'




WAN NORESAH bermain bersama anaknya, Danish Rayyan Izuwan Rafiwel di HTAA, Kuantan semalam.


KUANTAN - Seorang kerani cedera di bahagian mata dan tengkuk selepas dilanggar sebelum kepalanya dipukul dengan topi keledar oleh peragut semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Padang di sini Khamis lalu.
Akibat kejadian itu, Wan Noresah Mat Isa, 24, yang trauma terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi mendapatkan rawatan.
Menceritakan kejadian itu, Wan Noresah berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Jaya Gading di sini dengan menaiki motosikal.
"Apabila sampai di satu simpang gelap berdekatan rumah saya, tiba-tiba sebuah motosikal meluru dan melanggar saya menyebabkan saya terjatuh.

Seorang lagi ahli perniagaan hilang




JAYANTHY menunjukkan gambar Anpalagan pada sidang akhbar di Klang semalam. anpalagan yang hilang sejak setahun lalu dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan Allal di Banting.


KLANG – Selepas dua ahli perniagaan dilaporkan hilang secara misteri ketika menjalankan urusan perniagaan di Banting, seorang lagi mangsa yang juga ahli perniagaan dikatakan turut menerima nasib sama apabila dia gagal dikesan sejak lebih setahun lalu.
S. Anpalagan, 43, dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu selepas menemui seorang pegawai polis bernama ‘Maniam’ di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini sebelum berjumpa dengan seorang lagi rakannya di Banting.
Difahamkan, Anpalagan yang berasal dari Telok Bunut, Banting dekat sini turut berkawan rapat dengan peguam yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki.
Isteri Anpalagan, S. Jayanthy, 33, memberitahu, pada hari kejadian, dia cuba menghubungi suaminya tetapi gagal kerana telefon bimbit dimatikan.

Teo Nie Ching beri keterangan kes ‘tazkirah’



Teo Nie Ching


KUALA LUMPUR 2 Okt. – Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dekat sini, berhubung ceramahnya di ruang solat surau Al-Huda di Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.
Nie Ching yang ditemani Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hadir di IPD itu pukul 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood ketika dihubungi hari ini berkata, Nie Ching memberi kerjasama dengan polis sepanjang tempoh mengambil keterangan yang berakhir pukul 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, selain Nie Ching, beberapa ahli jemaah surau dijangka turut dipanggil untuk diambil keterangan.
Sebelum ini, Nie Ching memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, dalam keadaan yang tidak sopan pada 22 Ogos lalu sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Selain memasuki ruang solat, Nie Ching daripada DAP turut berucap kepada hadirin di ruang solat surau terbabit sehingga diberikan amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 27 Ogos lalu supaya menghormati agama dan institusi Islam di negeri ini serta tidak mengulanginya.

'Bomba Yee' maut ketika padam kebakaran



KUCHING 2 Okt. - Meskipun bersara daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, seorang bekas anggota pasukan itu tetap bersemangat memadamkan kebakaran.
Namun malang buat dirinya apabila meninggal dunia akibat diserang sakit jantung semasa cuba membantu rakan-rakan memadamkan kebakaran enam kedai tiga tingkat dekat bandar Sarikei, malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 9.30 malam ketika mangsa, Yii Yuk Seng, 50-an, atau dipanggil penduduk sebagai 'Bomba Yee' dari Kampung Seberang cuba membantu anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan api yang sedang marak.
Yuk Seng yang mengawal pili bomba bagaimanapun secara tiba-tiba rebah lalu dikejarkan ke Hospital Sarikei di sini, sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

36 maut dirempuh



POLIS dan penduduk setempat mencari mangsa yang terperangkap di celah gerabak dalam insiden kereta api berlanggar di Petarukan Pemalang, Jawa Tengah, semalam. – REUTERS


JAKARTA 2 Okt. – Sekurang-kurangnya 36 terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas kereta api berlanggar di Petarukan Pemalang, Jawa Tengah awal pagi ini, kata pegawai bertugas dan saksi di tempat kejadian.
Insiden berlaku ketika kebanyakan penumpang sedang tidur di dalam sebuah kereta api yang berhenti di Stesen Petarukan Pemalang sebelum sebuah lagi kereta api dari Jakarta tiba-tiba melanggarnya pada pukul tiga pagi waktu Indonesia (pukul empat pagi waktu Malaysia), kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ryan.
Kata Bambang, satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi menyiasat punca berlakunya kemalangan itu.
“Ia mungkin berlaku akibat kesalahan mekanikal. Kami sedang menyiasat sama ada lampu isyarat kereta api yang sedang berhenti itu berfungsi atau tidak,” katanya lagi.
Akibat perlanggaran tersebut, kereta api yang terlibat remuk dan rosak teruk dan serpihannya bertebaran merata-rata di tempat kejadian.
Sehingga tengah hari semalam, hanya tinggal satu mayat yang masih terperangkap dan gagal dikeluarkan oleh pasukan penyelamat, kata seorang anggota penyelamat, Marsono.
Kesemua mayat mangsa dibawa ke beberapa hospital berdekatan, kata jurucakap Hospital Hasyim Ashari, Tri Yuniasari.
Dalam pada itu, Bambang memberitahu kejadian kereta api penumpang berlanggar turut berlaku di Solo pukul empat pagi (pukul lima pagi waktu Malaysia) dan jumlah kemalangan jiwa masih belum diperolehi.
Seorang pegawai di hospital Kasih Ibu berkata, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam kejadian di Solo itu.
Indonesia yang mempunyai reputasi piawaian keselamatan dan penyelenggaraan yang lemah, sebelum ini telah beberapa kali ditimpa kejadian seperti kapal terbang terhempas, kemalangan kereta api dan feri yang menyebabkan beratus-ratus nyawa terkorban. – AP

Polis cari waris 3 mayat



JOHOR BAHRU 2 Okt. - Polis mencari waris kepada tiga mayat yang masih belum dituntut iaitu di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini dan Hospital Penawar, Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd. Roslan Zainuddin berkata, mayat pertama ialah Akmal Hakim Abdul Aziz, 18, yang beralamat di no 29, Jalan Panti 6, Taman Bukit Tiram, 81800, Ulu Tiram, Johor.
"Mayat mangsa kini berada di HSI dan meninggal dunia dalam satu kes kemalangan langgar lari pada pukul 9.30 malam, 25 September lalu.
"Mangsa ketika kemalangan menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran JLG 1030 dan meninggal dunia pukul 11.35 malam semasa dibawa ke HSI," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, orang ramai yang mengenali mangsa boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes tersebut iaitu Inspektor Mohd. Hafiz Mohd. Razali di talian 07-3860422/ 019-6501326.
Mayat kedua pula katanya, ialah Kong Sau Onn, 29, yang beralamat di Rumah Ujit, Batang Bayuk Tegelau, 96300, Dalat, Sarawak.
Beliau berkata, mayat Sau Onn ditemui di Sungai Plentong, di sini dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya kini berada di HSI.
Roslan berkata, ahli keluarga atau saudaranya boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes itu, Cif Inspektor Mohamaden Bujang (07-3532124/3534861/3534827).
Mayat ketiga katanya, adalah kanak-kanak iaitu Nurul Zulaikha Mohamad Rasdan, 11, terbunuh ketika dalam perjalanan pulang dari Sekolah Agama Kopok Baru, Pasir Gudang.
Alamatnya masih belum dikenal pasti dan mangsa maut setelah dilanggar sebuah motosikal pukul 5.30 petang, 21 September lalu akibat cedera parah.
Katanya, mangsa meninggal dunia di Hospital Penawar dan ahli keluarga atau saudaranya boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Nor Azlan Mokhtar (07-3860422).

Warga India ditemui mati





ANGGOTA polis mengangkat mayat M. Kaliyapan di Kampung Orang Asli Tebong, Alor Gajah, kelmarin.


ALOR GAJAH 2 Okt. - Seorang pemotong rumput terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang sudah berbau di sebuah kolam di dalam belukar di Kampung Orang Asli Tebong, di sini semalam.
Mohd. Nasir Mohd. Zainal, 45, berkata, sewaktu memotong rumput berhampiran tebing di kolam berkenaan, dia terpandang satu objek seperti patung terapung.
"Saya tidak syak apa-apa dan menjangkakan ia adalah patung. Tetapi saya rasa tidak sedap hati dan melihat dari dekat objek itu.
"Saya terkejut apabila mendapati ia adalah mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang dan sudah berbau," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sejurus menemui mayat tersebut katanya, dia terus memaklumkan mengenai perkara itu kepada ketuanya yang kemudiannya menghubungi polis.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan seorang pemotong rumput telah menemui satu mayat di sebuah kolam kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mayat yang ditemui itu dikenali sebagai M. Kaliyapan, 37, seorang warganegara India.
"Polis percaya mangsa dipercayai mati sejak lima hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah bengkak dan berulat," ujarnya.
Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
"Mangsa tinggal tidak jauh daripada tempat kejadian dan polis telah dimaklumkan oleh bapa mertua mangsa, S. Selvaraju bahawa mangsa telah didapati hilang kira-kira pukul 7.30 malam Ahad lalu," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, Selvaraju tidak melaporkan mengenai kehilangan Kaliyapan kepada polis.

Lebih 30 nyaris maut





ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam berusaha membersihkan laluan selepas sebatang pokok tumbang di Jalan Kupang-Baling dekat Pulai, semalam.


BALING 2 Okt. - Lebih 30 anak-anak yatim terselamat apabila bas dinaiki mereka nyaris dihempap sebatang pokok mempelam yang tumbang secara tiba-tiba di Jalan Kupang-Baling, dekat Pulai, di sini semalam.
Kejadian pukul 2.30 petang berlaku ketika pelajar-pelajar dari Rumah Anak-anak Yatim Al-Wadi Kupang sedang dalam perjalanan ke satu majlis sambutan Aidilfitri di Pekan Baling.
Pengetua rumah anak-anak yatim itu, Md. Daud Abdul Rahman berkata, semasa melalui jalan tersebut, pemandu berkenaan melihat sebatang pokok yang hendak tumbang.
"Namun mujurlah pemandu bas itu berjaya mengawal kenderaan dan mengelak daripada dihempap pokok besar tersebut.
"Kenderaan itu bagaimanapun hampir terjatuh ke dalam parit di kiri jalan. Ekoran insiden itu, semua anak yatim tersebut terpaksa menaiki kenderaan lain untuk ke majlis Aidilfitri berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Baling, polis dan orang ramai bertindak membersihkan jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mat Daud Mat Hassan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan.

PDRM tunggu laporan





KUALA LUMPUR 2 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan penuh siasatan kes salah laku membabitkan seorang pegawai dan sembilan anggotanya berhubung kes rampasan dadah bernilai RM254 juta di Rompin, Pahang, tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, segala keputusan termasuk menimbang untuk menggantung mereka hanya akan diambil selepas siasatan menyeluruh selesai dijalankan.
Katanya, pihaknya juga akan mengambil kira cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar tindakan di bawah peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan dikenakan ke atas mereka yang terlibat.
"Kita tidak boleh mengambil tindakan terburu-buru dan biar laporan lengkap mengenai kes itu selesai, baru kita akan tetapkan tindakan yang wajar diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka peringkat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Turut hadir, bekas Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib.

Tingkat usaha banteras ah long



BESUT 2 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah meningkatkan usaha membanteras kegiatan pinjaman wang tanpa lesen termasuk taktik terbaru ah long 'menawarkan bantuan' menjadi penjamin di mahkamah kepada mereka yang terdesak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pihaknya tidak akan berhenti membanteras kegiatan itu, malah sudah mengetahui siapa dan di mana mereka berada termasuk di luar negara.
Beliau berharap PDRM di bawah kepimpinan baru memberi penekanan terhadap gerakan membanteras gejala terbabit.
"Sekarang kita tidak dengar lagi ah long pergi ke rumah-rumah, mereka sudah ubah haluan ke kawasan lain pula termasuk ke mahkamah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Dataran Putera, Jerteh, dekat sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kegiatan ah long yang kini merebak ke mahkamah dengan mengambil kesempatan 'menghulurkan bantuan' kepada orang awam untuk menjadi penjamin.
Pinjaman itu ditawarkan oleh ah long kepada mereka yang terdesak memerlukan wang menjadi penjamin kepada kaum keluarga yang telah didakwa di mahkamah.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan sentiasa memandang serius kegiatan ah long sejak beliau menjadi Menteri Pelajaran lagi.
Beliau percaya ah long kini terdesak berikutan kejayaan pihak berkuasa mengekang kegiatan mereka yang lazimnya mendapatkan mangsa dengan berkunjung dari rumah ke rumah.