Search This Blog

Saturday, October 2, 2010

Wanita maut rempuh babi hutan



02/10/2010 5:07pm

KUALA KANGSAR - Seorang wanita terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor babi hutan yang melintas di kawasan kebun getah di Jalan Kampung Maran, Kati, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritenden Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa, Yeoh Eng Mooi, 46, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.
Kejadian berlaku pada pukul 4.20 pagi ketika mangsa bersama suaminya masing-masing menaiki motosikal berasingan dalam perjalanan dari rumah ke kebun untuk menoreh getah, katanya.
Abdul Ghaffar berkata, Eng Mooi kemudian merempuh seekor babi hutan yang tiba-tiba muncul dan melintas di hadapan menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan.
Suami mangsa yang mendengar bunyi dentuman dari belakang, berpatah balik dan mendapati isterinya terbaring dengan berlumuran darah di kepala lalu mengejarkannya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. - Bernama
Runtuhan disangka gempa bumi 

HULU LANGAT - Bagaikan gempa. Itulah yang dirasai penduduk dari dua unit Pangsapuri Taman Pinggiran Delima dekat sini kira-kira jam 5 petang kelmarin apabila lereng bukit di bahagian tepi bilik tidur mereka runtuh sepanjang 20 meter. 

Penduduk, Rahmah Uyub, 58, berkata, kejadian runtuh berlaku ketika mereka sedang solat Asar dan secara tiba-tiba rumahnya bergegar. 

Menurutnya, sejurus kemudian terdengar dentuman seperti objek terjatuh dan apabila mereka meninjau di bahagian tepi dinding itu mendapati lereng bukit tersebut runtuh sehingga menutupi longkang di situ. 

“Runtuhan di lereng bukit juga mungkin disebabkan kepadatan tanah sehingga mengakibatkan tembok pengadang dibina turut mengalami keretakan dan ia adalah kejadian pertama sepanjang sembilan bulan kami mendiami rumah ini. 

“Faktor hujan pada setiap hari lebih membimbangkan kami sekeluarga jika runtuhan di bahagian selebihnya juga berlaku akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya. 

PENGERUSI Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Pinggiran Delima, Abdul Farizal Mohamad berkata, runtuhan itu adalah kejadian kedua berlaku di sini di mana sebelum ini berlaku di bahagian lain yang mengakibatkan seorang penduduk terjatuh. 

Farizal berkata, beliau difahamkan penempatan mereka itu adalah bekas gaung yang ditambak dan difahamkan pengaliran air bukit serta air longkang punca berlakunya hakisan tanah bahagian dalam. 

“Jarak antara runtuhan itu dengan kediaman penduduk hanya 0.6 meter sahaja dan dalam masa sama lorong belakang rumah kedai bahagian atas turut runtuh sehingga berlakunya mendapan jalan. 

“Jalan di lorong belakang rumah kedai ini sepatutnya boleh dilalui tetapi mendapan setinggi 1.5 meter dan sepanjang 20 meter itu mengakibatkan laluan ini terputus dan tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya. 

MENURUTNYA, jarak antara rumah kedai dengan kediaman penduduk di pangsapuri itu hanya tiga lorong jalan dan cerunnya adalah 90 darjah maka tindakan segera pihak berkuasa perlu dilaksanakan. 

Beliau berkata, penduduk juga disarankan agar sentiasa berwaspada dan tidak melalui lorong belakang rumah kedai selepas kejadian runtuhan itu berlaku. 

Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Mohd Jan Sulong berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) perlu melakukan kerja pembaikan secepat mungkin supaya ia tidak menjadi lebih kritikal dari keadaan sekarang. 

“Sebelum sesuatu kejadian tidak diingini berlaku adalah sebaiknya jika kerja pembaikan dilaksanakan tambahan pula sekarang adalah musim hujan dan bimbang ia akan menjadi takungan air. 

“Hasil pemantauan, kami mendapati terdapat aktiviti curi air dari paip bomba dan kita harap Syabas dan MPKj dapat melakukan siasatan segera,” katanya.

Saman RM2.5 juta



SEREMBAN – Akibat melakukan kerja menanam paip air di tanah milik persendirian, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berdepan dengan tindakan saman oleh sepasang suami isteri di sini, semalam. 

Pasangan itu memfailkan saman terhadap Sains di Mahkamah Tinggi, dekat sini kerana mendakwa syarikat terbabit menceroboh tanah milik mereka. 

Ini berikutan syarikat terbabit didakwa menjalankan kerja-kerja menanam paip air di tanah milik pasangan berkenaan. 

Plaintif pertama, Syarifah Raduwan Syed Aziz, 57, dan suaminya yang merupakan plaintif kedua, Syed Aman Syed Hassan, 72, menuntut ganti rugi sebanyak RM2.5 juta. 

Saman itu difailkan melalui firma guaman Rosidi Hassan & Co. di pejabat pendaftar mahkamah tersebut, 10 pagi semalam. 

Sains dinamakan sebagai defendan pertama dan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban sebagai defendan kedua oleh plaintif.

Anak kecil saksi ibu mati tergantung



POKOK SENA - Pengunjung sebuah kedai makan di sini, gempar apabila seorang wanita ditemui mati tergantung di sebuah rumah berhampiran warung itu kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Lebih menyayat hati, anak wanita itu yang berusia tiga tahun dikatakan menjadi saksi pertama melihat ibunya tergantung sebelum memberitahu hal kejadian itu kepada bapanya. 

Sinar Harian difahamkan, sebelum kejadian itu, wanita tersebut yang berusia 34 tahun memberitahu ibunya, dia mahu keluar ke Pekan Pokok Sena. 

Ibu wanita berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan pada diri anaknya dalam pertemuan terakhir mereka. 

“Saya melihat dia berkeadaan seperti biasa, tidak ada sebarang perubahan ditunjukkan. Dia cuma beritahu, ada urusan dan mahu keluar ke Pekan Pokok Sena,” katanya. 

Seorang lagi kenalan wanita itu yang juga tidak mahu dikenali berkata, kira-kira sejam sebelum kejadian, dia melihat wanita berkenaan bertegur sapa dengan beberapa pengunjung kedai makan berhampiran rumahnya sebelum pulang. 

“Ketika itu, dia berkeadaan baik sahaja. Tidak nampak seperti dalam masalah,” katanya. 

Bagaimanapun kata lelaki itu, ketika dia bersama beberapa pengunjung lain sedang bersembang di warung, mereka dikejutkan dengan teriakan dua anak wanita tersebut memberitahu tragedi yang menimpa ibu mereka. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. 

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan tragedi berkenaan.

Uji dara karut

JAKARTA: Cadangan ahli politik Indonesia supaya kerajaan mewajibkan ujian dara dan teruna bagi pelajar terus mendapat bantahan.
Semalam, aktres Revalina S Temat, berkata isu sama ada seseorang wanita itu masih perawan atau tidak adalah masalah peribadi.
“Sepatutnya, ia tidak perlu dijadikan masalah,” katanya selepas menghadiri rakaman program Dahsyat terbitan stesen televisyen RCTI di Jakarta Barat, semalam.

Usul mewajibkan ujian dara itu dicadangkan seorang wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri wilayah Jambi, Bambang Bayu Suseno, baru-baru ini. Kata Bambang, pelajar wanita yang ingin menyambung pembelajaran ke peringkat sekolah menengah mesti masih dara dan teruna.

Katanya, cadangan itu dibuat kerana bimbang tahap pergaulan bebas di bandar besar, termasuk Jambi, terus meningkat dan membimbangkan.

Sebelum ini, aktivis hak asasi manusia turut membantah dan mempertikaikan cadangan berkenaan.

Menurut Revalina, 24, cadangan ujian itu memang tidak masuk akal.

Kata bintang siri Bawang Merah Bawang Putih itu, hubungan di antara dara atau teruna seseorang dengan pendidikan juga boleh dipertikaikan.

“Apa kaitan antara status pelajar dengan pembelajaran mereka?” katanya. - Agensi

Ibu, bapa berbalah mengenai harta Lindsay

LOS ANGELES: Ibu bapa aktres Lindsay Lohan mula bertelagah sesama sendiri untuk mendapatkan hak bagi menguruskan kewangan dan kehidupan artis itu.
Ibunya, Dina, 48, meminta hakim memberi keizinan untuk dia dan pengurus Lindsay menguruskan kehidupan pelakon itu.
Bapanya, Michael, 50, pula melancarkan kempen bagi mencari dua individu yang boleh menguruskan kewangan Lindsay dan membantu pelakon itu mengatasi masalah ketagihan dadah dihadapinya. Michael mahu orang yang boleh dipercayai dan tidak berminat dengan harta Lindsay untuk menguruskan kewangan artis terbabit.

Kedua-dua belah pihak bersedia untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada hakim di Los Angeles. - Agensi

Koma angkara peragut

KUANTAN: Seorang ibu muda anak satu koma akibat kepalanya terhantuk selepas diterajang seorang peragut ketika menunggang motosikal bersendirian di Jalan Pinang di sini, kelmarin.
Akibat kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Wan Noresah Mat Isa, 24, dari Kampung Paya Pinang, Jalan Sungai Lembing, kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kerana mengalami pendarahan beku di kepala berikutan hentakan kuat.
Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal untuk pulang ke rumah ibunya di Kampung Paya Pinang selepas singgah di rumah sewanya di Kampung Padang.

Peragut terbabit yang menunggang motosikal tiba-tiba menghampiri dan menendang mangsa hingga terjatuh sebelum merampas telefon bimbit, wang tunai serta dokumen penting dianggarkan bernilai RM1,000.

Wan Noresah yang bekerja sebagai kerani di sebuah pasar raya di Jaya Gading, Jalan Sungai Lembing, di sini, ditemui seorang penduduk kampung yang melalui tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah di kepala serta tidak sedarkan diri.

Abang mangsa, Wan Azhar, 31, berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa adiknya oleh penduduk kampung, kira-kira jam 9.35 malam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya mendapati adik saya tidak sedarkan diri dengan mukanya berlumuran darah selain terdapat kesan luka di badan,” katanya. Menurutnya, kebiasaannya, Wan Noresah pulang ke rumah jam 5 petang, namun pada hari kejadian dia pulang lewat kerana mengira stok barangan di tempat kerjanya.

“Tergamak peragut terbabit menendang adik saya hanya kerana ingin mencuri telefon bimbit dan wang tunai,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Menurutnya, suami Wan Noresah bekerja sebagai kelasi kapal dan kini berada di Mesir sudah dimaklumkan mengenai kejadian menimpa isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu tampil di IPD Kuantan bagi membantu siasatan,” katanya.

Bapa terkejut bayi jadi biru

KUALA LUMPUR: Akibat keletihan dan tertidur selama dua jam, seorang bapa hanya mampu menitis air mata apabila bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan mati akibat tersedak susu ketika dalam jagaannya, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Hadif Hameedullah Mohd Najib diberi minum susu oleh bapanya sebelum diberi pula minum air yang diisi dalam botol.
Namun, bayi itu dipercayai tidak sedarkan diri sewaktu bapanya tersedar dari tidur kira-kira jam 1 tengah hari di rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju.

Difahamkan, bapa bayi itu berusia 29 tahun mengambil alih menjaga anaknya kerana sedang bercuti. Ketika kejadian, bapa terbabit yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, cemas apabila mendapati anak bongsunya itu tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa mangsa kemudian mencabut botol susu yang berada pada mulut anaknya selepas mendapati bayi itu kebiruan, selain keluar air dari mulutnya.

“Dia menghubungi isterinya yang bertugas sebagai guru di sekolah berhampiran sebelum bergegas menghantar bayi mereka ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan.

“Doktor memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut dan dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tapi siasatan diteruskan. Polis juga mendapatkan keterangan daripada bapa mangsa yang juga saksi kejadian kerana bersama-sama mangsa ketika itu,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut bapanya selepas bedah siasat untuk dikebumikan.

Kejadian ini kali ketiga dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu. Pada 21 September lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan mati tersedak susu selepas dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya.
Dalam kejadian kedua pada Ahad lalu pula, seorang bapa dikatakan memangku bayi lelakinya, Mohamad Ayub selepas diberi susu ketika dalam perjalanan dengan kereta api dari Manik Urai, Kuala Krai ke ibu negara.

Difahamkan, kedua-duanya kemudian tertidur dan hasil pemeriksaan di HKL, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada dalam kereta api akibat tersedak susu.

'Saya menyesal'

KUALA LUMPUR: “Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku dan ia menjadi pengajaran paling berguna dalam hidup saya,” kata seorang pengacara sebuah rancangan televisyen yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita di sebuah apartmen di Ampang, dekat sini, Rabu lalu.


ADAM...kesal apa yang berlaku
ADAM...kesal apa yang berlaku

Pengacara berusia 27 tahun itu mengaku menjadi satu kesalahan apabila bersama wanita bukan mahram, tetapi mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar hukum agama.
“Saya hanya membantu rakan saya mengemas barang kerana dia perlu ke Kota Kinabalu, Sabah, tetapi terkejut apabila pihak berkuasa tiba.

“Kami tidak buat apa-apa, tetapi apa yang berlaku ini satu pengajaran buat saya dan tidak akan berulang lagi,” katanya yang dihubungi semalam.

Pengacara itu ditahan bersama wanita berusia 27 tahun yang juga isteri orang di sebuah apartmen jam 2 pagi, Rabu lalu.

Jurucakap Jais yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kedua-dua mereka dipanggil untuk diambil keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah syariah.

Sebelum itu, suami kepada wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 31, berkata, dia dan isterinya sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu kerana masalah rumah tangga.

“Walaupun kami tidak tinggal sekali namun kami masih menjaga anak perempuan yang berusia tiga tahun secara bergilir-gilir.

“Saya hantar anak saya kepada isteri setiap Jumaat dan menjemputnya semula pada Ahad sehinggalah saya terserempak dengan pengacara itu dalam kereta isteri bersama anak berhampiran kediaman saya di Kelana Jaya,” katanya.

Menurutnya, dia sudah lama mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, tetapi tidak tahu dengan siapa.

“Saya juga tidak tahu berapa lama mereka berkenalan, tetapi saya syak mereka mengenali satu sama lain menerusi facebook.
“Akhirnya perkara itu terbongkar selepas mereka ditahan. Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana lelaki itu dikenali orang kerana mengacarakan program televisyen, tetapi kenapa bersikap buruk seperti ini,” katanya.

Bayi dilekat pada dinding

LINCOLN (Nebraska): Gambar dipaparkan ini menceritakan kisah yang menyayat hati apabila seorang bayi lelaki dipercayai menjadi mangsa kekejaman ibu dan kekasihnya.


JAYLA dan Honea bergambar dengan bayi itu yang cuba melepaskan tangannya yang dibalut dengan pita pelekat.
JAYLA dan Honea bergambar dengan bayi itu yang cuba melepaskan tangannya yang dibalut dengan pita pelekat.

pix_topright
Bayi berusia 22 bulan itu dilekatkan ke dinding selepas ibu dan kekasih wanita itu seronok berparti di kediaman mereka di Lincoln, Nebraska, Amerika Syarikat. Jayla Hamm, 18, dikatakan membantu kekasihnya, Corde Honea,19, melekatkan lengan, kaki dan tubuh bayinya ke dinding menggunakan pita pelekat. Jayla dan Honea kemudian mengambil gambar bayi malang itu yang menangis kesakitan sambil mengacukan minuman kegemarannya. Perbuatan tidak berhati perut pasangan itu terdedah apabila Jayla menunjukkan gambar berkenaan kepada seorang rakan yang kemudian menghubungi polis. Polis merampas kamera digital yang digunakan pasangan itu untuk mengambil gambar bayi terbabit.
Menurut polis, bayi itu dilihat menangis kesakitan ketika dilekatkan ke dinding dengan pita pelekat.

Satu daripada gambar memaparkan bayi itu cuba melepaskan diri apabila lengan dan tangannya dilekatkan ke belakang pada dinding.

Gambar lain pula menunjukkan pita pelekat dilekatkan merentangi tubuh dan kakinya.

Polis berkata, pasangan itu yang didapati khayal selepas seronok berparti melekatkan bayi berkenaan ke dinding untuk tujuan hiburan bukan mendisiplinkannya.

Perbuatan kejam itu berlaku selepas kisah seorang budak perempuan dilekat pada dinding tersebar di Internet sebelum ini.

Hakim Paul Korslund menjatuhkan hukuman penjara 10 hari ke atas Jayla dan tempoh percubaan selama dua tahun. “Apa yang mengejutkan mengenai kes ini ialah ia menyalahi fitrah semula jadi ibu bapa yang biasanya akan melindungi anak mereka daripada penderaan dan penghinaan,” kata Korslund. Bayi berkenaan kini ditempatkan di pusat perlindungan negeri.

Honea pula dihukum 3 hingga 5 tahun penjara kerana mendera kanak-kanak dengan niat. Dia juga dipenjara 2 hingga 5 tahun atas tuduhan berasingan iaitu melakukan rompakan dan 12 ke 24 bulan kerana memiliki senjata api curi. -Agensi

Bakal pengantin hantar kad jemputan ‘ghaib’

BUTTERWORTH: Tarikh 10 Oktober ini dipilih gadis berusia 22 tahun sebagai hari akad nikah manakala majlis perkahwinan pada 16 Oktober, tetapi impian gadis berkenaan untuk bergelar isteri kepada lelaki dicintainya mungkin tidak kesampaian berikutan dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan individu tidak dikenali sejak seminggu lalu.
Sebelum dilaporkan hilang pada 25 September lalu, Siti Nor Paraf Ismail menghantar kad jemputan majlis perkahwinannya pada 16 Oktober ini kepada rakannya di Pinang Tunggal, Kepala Batas.
Siti Nor Paraf yang tinggal di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas, keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang 25 September lalu, menunggang menaiki motosikal Yamaha LC135 hitam dengan nombor pendaftaran PJE719.

Bapanya, Ismail Abdullah, 52, berkata ketika itu dia bersama isteri, Maimunah Lebai Shaari, 52, tiada di rumah kerana keluar mengundang saudara-mara serta sahabat handai ke majlis perkahwinan anaknya itu.

Katanya, Siti Nor Paraf yang juga anak ketiga daripada 10 beradik dijadual diijab kabul pada 10 Oktober ini di Masjid Lahar Kepar, Kepala Batas, dengan pasangannya yang bekerja sebagai pekerja industri dari di Kampung Paya Keladi Hujung, dekat sini.

Bagaimanapun, anak lelakinya, Syazwan, 16, memaklumkan Siti Nor Paraf tidak pulang apabila dia dan isteri pulang ke rumah kira-kira jam 8.30 malam.

Menurutnya, dia menghubungi telefon bimbit anak perempuannya itu yang bekerja sebagai pekerja industri di Bayan Lepas kira-kira jam 9 malam pada hari sama dan terdengar suara lelaki tidak dikenali menghalang Siti Nor Paraf daripada bercakap.

“Ketika menghubunginya, ada deringan dan selepas talian dijawab saya terdengar suara lelaki cuba menghalang anak saya yang seolah-olah berusaha hendak bercakap sebelum talian diputuskan.

“Saya percaya anak saya dilarikan individu tidak dikenali kerana kami sekeluarga tiada perselisihan faham dengan Siti, malah dia tidak meninggalkan pesanan ketika keluar rumah,” katanya yang mengunjungi pejabat Harian Metro di sini, semalam. Menurut Ismail, dia membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Kepala Batas pada 27 September lalu selepas gagal menghubunginya.

“Saya juga menghubungi rakannya selain keluarga terdekat bagi mengesannya, tetapi gagal. Kami kini bimbang keselamatannya selain persiapan perkahwinannya juga sudah dilakukan,” katanya.

Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai Siti Nor Paraf diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ismail menerusi talian 04-5756169 atau Abdul Razak Darus (012-4904228).

Anak gadis suka keluar malam hilang

SHAH ALAM: Seorang bapa kebingungan selepas anak perempuannya yang berusia 22 tahun menghilangkan diri sejak 27 September lalu tanpa khabar berita.
Zulkefli Mohd Yusof, 55, berkata anak perempuannya, Nur Zulaiha dipercayai keluar dari rumahnya di No 29, Jalan Relong Dua 19/44B, Seksyen 19D, di sini, tanpa memaklumkan kepadanya mahupun isteri, Latipah Patol Robaniah Abdullah, 53.
Menurutnya, dia menyedari Nur Zulaiha hilang selepas anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas jam 11 malam hari sama.

Katanya, Nur Zulaiha dipercayai keluar dari rumah pada jam 2 petang tanpa alasan.

“Isteri saya keluar rumah untuk berniaga kuih-muih pada jam 1.45 tengah hari dan ketika itu Zulaiha masih berada di dalam rumah.

“Dia sempat meminta wang RM4 sebelum keluar dari rumah,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Zulkefli berkata, selepas kehilangannya disedari, beliau menelefon anak perempuan tunggalnya itu dan Zulaiha hanya memberitahu dia berada di sebuah kompleks sebelum memutuskan talian dan tidak dapat dihubungi selepas itu. Zulkefli dan keluarga sudah berusaha mencari di merata tempat termasuk di rumah saudara-mara serta pusat-beli belah sekitar Shah Alam, namun tidak menemuinya.

“Anak saya seorang yang pendiam dan tak suka bergaul dengan rakan sebayanya yang tinggal berdekatan rumah.

“Saya juga tak tahu dengan siapa dia berkawan sebab dia tak nak bagi tahu walaupun sudah banyak kali didesak.

“Sebelum ini pun dia selalu keluar malam, tapi balik walaupun kadang-kadang keluar pada jam 12 malam dan balik pada jam enam pagi keesokan harinya. Saya tak pernah pukul dia, tapi sekadar marah dengan memberi nasihat setiap kali tahu dia pulang lewat,” katanya.

Menurut Zulkefli, dia membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 untuk tindakan selanjutnya.
Zulkefli meminta anaknya pulang segera kerana ibunya yang kini kerap sakit sering bertanyakan mengenai keadaan anaknya itu.

“Saya juga sangat bimbangkan keselamatan anak gadis saya dan risau jika dia diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Zulaiha dipercayai memakai seluar hitam dan berbaju kemeja jalur kelabu serta membawa beg tangan berwarna emas ketika keluar dari rumahnya.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Nur Zulaiha diminta menghubungi Zulkefli di talian 017-6306547 atau balai polis berhampiran.

Mi segera bongkar pelacur

KUALA LUMPUR: Puluhan bungkusan mi segera dibawa seorang lelaki tempatan menjadi petunjuk kepada polis sebelum membongkar kegiatan pelacuran di sebuah hotel terkenal di Jalan Klang Lama, di sini, malam kelmarin.
Lelaki terbabit yang membawa bungkusan mi segera di dalam beberapa beg plastik besar itu memasuki hotel berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menaiki lif dan memasuki sebuah bilik.
Hasil risikan polis yang mengekori lelaki terbabit mendapati mi segera itu untuk makanan 13 wanita warga asing yang disembunyikan dalam beberapa bilik.

Wanita warga China dipercayai pelacur terbabit ditahan bersama dua penjaga mereka. Polis turut menjumpai beberapa kondom dipercayai digunakan mereka untuk aktiviti pelacuran.

Dalam operasi kira-kira jam 6.45 petang itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Bukit Aman mendapati wanita terbabit menunggu pelanggan, malah ada yang melayan pelanggan ketika itu.

Wanita terbabit disembunyikan dalam beberapa bilik di tingkat 14,15 dan 18 hotel berkenaan.

Bayi berpeluh terlebih dos

KUALA LUMPUR: Kesilapan preskripsi seorang doktor sebuah hospital pakar berhubung dos ubat yang perlu dimakan hampir meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia 20 bulan apabila ubat yang diberikan melebihi had.


KESAL...Teoh menunjukkan ubat yang diberikan kepada anaknya.
KESAL...Teoh menunjukkan ubat yang diberikan kepada anaknya.

Arahan berkenaan yang menyebabkan bayi terbabit diberikan dos ubat berlebihan mengakibatkan mangsa berpeluh sepanjang masa, selain tidak sedarkan diri sejurus diberi makan ubat berkenaan. Ibu mangsa yang juga guru, Teoh Lee Thin, 26, berkata, anaknya, Teoh Jing Teng mengalami demam panas pada 23 September lalu sebelum dihantar ke sebuah hospital pakar di ibu kota.
Menurutnya, dia yang bergegas mendapatkan rawatan untuk anaknya di klinik kecemasan hospital berkenaan dibawa bertemu doktor pakar bertugas kira-kira jam 10 malam.

“Doktor terbabit memberitahu bayi saya demam panas mencecah hampir 40 darjah celcius selain jangkitan kuman pada kerongkong.

“Sebaik selesai diperiksa, doktor mengarahkan saya memberi makan tiga ubat kepada bayi saya selama tiga hari,” katanya ketika ditemui di Biro Aduan Awam MCA, semalam.

Menurutnya, kakitangan farmasi yang bertugas memberikannya tiga ubat iaitu cecair paracatemol untuk demam, cecair Amoxyllin sebagai antibiotik dan pil dequatin bagi melegakan sakit tekak.

“Mulanya timbul rasa pelik berikutan jumlah ubat yang diberikan terlalu banyak terutama cecair antibiotik sebanyak lapan mililiter berikutan jumlah itu untuk dewasa. Bagaimanapun, kakitangan farmasi terbabit mendakwa mengikut arahan doktor tanpa mahu merujuk arahan itu sekali lagi. “Namun, selepas diberi makan ubat terbabit, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati bayi saya berpeluh melampau selain khayal tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia yang bimbang keadaan kesihatan anaknya itu segera menghubungi doktor di hospital berkenaan bagi mendapatkan kepastian.

“Hanya selepas dua jam panggilan terbabit, seorang jururawat menghubungi semula saya dan memberitahu dos diberikan berlebihan.

“Saya terkejut sebelum membawa anak saya ke hospital lain bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan ultrasound. Doktor berkenaan mendakwa pil sakit tekak yang diberikan itu untuk pesakit dewasa,” katanya.

Malah, mangsa dimaklumkan ubat demam terbabit yang diberikan berlebihan boleh mengakibatkan kesan buruk pada bahagian hati selain cecair antibiotik berlebihan pula boleh menyebabkan kerosakan pada tulang dan saraf.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, kecuaian itu akan dirujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia selain laporan akan dihantar pihaknya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lima terkorban nahas kereta api rempuh kereta api




ANGGOTA polis dan penduduk membantu mengeluarkan mayat yang terperangkap apabila kereta api penumpang melanggar belakang sebuah kereta api lain di Pemalang dekat Kepulauan Jawa, Indonesia, hari ini. - Foto Reuters
02/10/2010 10:24am



JAKARTA 2 Okt. – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh apabila sebuah kereta api merempuh belakang kereta api lain di Pemalang, Jawa Tengah pagi ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi membabitkan kereta api Senja Utama dari Jakarta ke Semarang merempuh kereta api Argo Anggrek dari Surabaya.
Sehingga pukul 6 pagi waktu Indonesia barat masih puluhan penumpang tersepit di dalam gerabak kereta api yang remuk teruk yang belum dapat dikeluarkan. - Utusan

Kes buang bayi perlu ada pelan tindakan komprehensif libatkan swasta, NGO



PUTRAJAYA - Mesyuarat Majlis Sosial Negara s:emalam memutuskan bahawa pendekatan lebih holistik perlu dalam usaha untuk menangani masalah pembuangan bayi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

:Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya pelan tindakan yang lebih komprehensif akan dilaksanakan secara bersepadu antara kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

:“Institusi penting keluarga dan masyarakat juga perlu diperkukuhkan untuk menerapkan nilai murni dan etika serta kefahaman dalam pendidikan agama supaya dapat membantu masalah itu dalam jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, semalam. 

:Muhyiddin berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai: pendidikan seks di sekolah yang dianggap sebagai satu inisiatif jangka pendek dan panjang dalam memberikan kefahaman lebih tepat di kalangan generasi muda terutama di peringkat sekolah. 

:“Projek perintis sudah dimulakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pelajaran dan hasilnya nampak amat memberangsangkan,” katanya. 

:Muhyiddin berkata, jawatankuasa teknikal mengenai pendidikan seks di sekolah sedang menilai cara terbaik sekiranya program tersebut hendak diperluaskan ke seluruh negara. 

:Selain itu katanya, mesyuarat turut memutuskan untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti bertujuan membantu golongan gelandangan. 

:Beliau berkata, pusat yang akan diwujudkan di Kuala Lumpur itu dijadual siap pada November tahun ini dan boleh menempatkan kira-kira 76 orang. 

:“Pusat itu ditubuhkan bagi menangani isu membabitkan golongan itu serta memberikan perlindungan sementara supaya selepas itu mereka boleh berdikari. 

:Buat masa ini ia hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur,” katanya 

:Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam pada itu semua kerajaan negeri diminta memantau masalah itu di peringkat negeri masing-masing terutama di kota-kota besar dan mengambil langkah perlu. - Bernama

Ibu dakwa ahli farmasi beri anak sukatan ubat salah



KUALA LUMPUR – Seorang ibu kesal apabila ahli farmasi didakwa memberi sukatan ubat-ubatan salah terhadap anaknya sehingga menyebabkannya berpeluh dan mengantuk sepanjang masa. 

Teoh Lee Thin, 26, dikatakan membawa anaknya, Teoh Jing Teng, 20 bulan, ke sebuah klinik swasta kerana demam, pada 23 September lalu. 

Lee Thin berkata, doktor di situ mengesahkan anaknya demam panas sebelum menasihatinya memberi ubat dalam tempoh empat jam sekali selama tiga hari. 

“Ketika mengambil ubat di kaunter, ahli farmasi itu sekali lagi memberikan arahan yang sama berserta sukatan ubat yang perlu diberi kepada anak saya. 

“Dia beritahu anak saya perlu diberi 4 mili meter (ml) Paracetamol (empat kali sehari), 8 ml Antibiotik (tiga kali sehari) dan satu sudu Dequatin (tiga kali sehari),” katanya ketika ditemui di Wisma MCA, di sini, semalam. 

Menurutnya, dia terkejut kerana sukatan ubat antibiotik itu dirasakan terlalu banyak bagi bayi dan bertanya sekali lagi kepada ahli farmasi itu untuk memastikan hal berkenaan. 

Katanya, pakar ubat-ubatan tersebut mengesahkannya tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu. 

“Saya percaya kata-katanya, dan memberi anak saya makan ubat itu mengikut arahannya, tetapi saya berasa ragu-ragu selepas itu. 

“Saya menelefon pakar kanak-kanak keesokan harinya untuk bertanya sukatan ubat yang betul kepada anak, dan mendapati sukatan antibiotik untuk bayi yang demam panas ialah 3 ml untuk tempoh masa empat hingga enam jam sekali,” katanya. 

Lee Thin berkata, dia juga mengesahkan perkara itu kepada klinik lain dan tetap menerima jawapan yang sama. 

Dia yang risau dengan keadaan anaknya yang sentiasa berpeluh dan mengantuk sepanjang masa itu, membawa Jing Teng ke hospital untuk memeriksa kesihatannya selepas terlebih dos memakan ubat. 

Katanya, dia akan membawa perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana kecuaian kakitangan klinik terbabit. 

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, pihaknya mahu pengamal perubatan memeriksa pesakit mereka dengan teliti dan memberi sukatan ubat-ubatan yang betul kerana perkhidmatan tersebut dibayar. 

“Buat pemeriksaan betul-betul kepada pesakit kerana mereka (pengamal perubatan) dibayar, bukan diberi percuma. 

“Pesakit juga tidak tahu apa iyang dilakukan doktor dan mereka hanya mengikut arahan yang diberikan memandangkan kepakaran yang dimiliki doktor dan ahli farmasi,” katanya. 

KDN teliti dakwa 10 polis




KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti kes salah laku 10 anggota polis berhubung kes rampasan dadah seberat 753,539 kilogram bernilai RM254 juta di dalam sebuah lori di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas, untuk didakwa mengikut Kanun Kesesakan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau bersetuju dengan cadangan Majlis Peguam Negara supaya kes itu didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

“Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) pun telah membuat kenyataan tegas untuk menyiasat kes itu secara menyeluruh. Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani juga sedang menunggu keputusan penolong pendakwa raya,” katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri kementerian itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol), semalam.

Hishammuddin berkata perkara ini perlu dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana jelas ia boleh menjejaskan integriti dan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata masyarakat, yang pastinya mengharapkan ketelusan dalam setiap siasatan.

“Perlu sesuatu tindakan diambil, walaupun terhadap pegawai kita sendiri. Ini penting. Kita mahu rakyat yakin, bukan sahaja dengan kemampuan PDRM tetapi juga dapat lihat mereka yang mungkin segelintir, yang tidak jalankan tanggungjawab mereka juga diambil tindakan tegas,” katanya.

Hishammuddin mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam atas tuduhan mengedar dadah yang bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir semasa menjatuhkan hukuman tersebut pada Rabu lepas turut berkata mahkamah dimaklumkan terdapat laporan bahawa beberapa anggota polis mengaku mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram daripada dadah yang dirampas itu.

Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan polis, dan mereka yang melakukan salah laku itu perlu dikenakan hukuman berat daripada hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka oleh PDRM, iaitu hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.

Hishammuddin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengaitkan isu kes berprofil tinggi yang berlaku di dalam negara ini dengan perkauman kerana ia boleh memecahbelahkan agama, bangsa dan negara.

Menyentuh mengenai kes jenayah berprofil tinggi seperti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, dan “Namewee yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam posting di You Tube,” Hishammuddin berkata: “jangan dipolemik sesuatu yang boleh pecah-belahkan kita.”

“Tak boleh kata dimonopoli orang Melayu, Cina dan agama-agama tertentu. Dalam hal sebegitu rupa, jangan kita polemikkan sesuatu yang boleh pecah belahkan kita.

“Dalam kes berprofil tinggi ini juga, kita cepat dalam tindakan, kita lakukannya secara profesional, (seperti) yang rakyat mahu, dan kita mahu ia disiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih, secara efisien, profesional dan adil,” katanya. - Bernama

Penuntut Malaysia didenda import ketamin di Australia



MELBOURNE - Seorang penuntut Universiti Monash yang dikatakan anak seorang peguam berprofil tinggi Malaysia, disabitkan kesalahan dan didenda A$10,000 (A$1=RM2.98) di sebuah Mahkamah Majistret, di sini, Khamis (kelmarin) kerana mengimport ketamin. 

Miki Yee, 23, dari Southbank di sini, mengaku mengimport dan mengedar ketamin yang dilarang dan memiliki marijuana, demikian dilaporkan akhbar The Age. 

Mahkamah diberitahu Yee ditahan di apartmennya pada Mac lalu selepas ketamin itu ditemui dalam satu bungkusan dari Kuala Lumpur. 

Peguam bela Tom Sawyer berkata, Yee, yang mengaku menjual ketamin kepada kawan-kawannya, menggunakan dadah itu sejak berumur 16 tahun dan membelinya di Malaysia dengan harga sehingga A$70 satu gram. 

Akhbar itu memetik Sawyer sebagai berkata, bahawa selepas Yee tiba pada 2009 untuk pengajiannya, beliau mendapati harga ketamin di Australia terlalu mahal, meningkat kepada A$1,000 bagi lima gram. 

Timbalan Ketua Majistret Jelena Popovic berkata, beliau “agak terkejut” bahawa Yee yang mengimport 332 gram dadah itu “hanya didenda”. 

Pendakwa Raya Matt Ryan berkata, ia satu “anomali” dalam Akta Kastam bahawa dakwaan itu hanya boleh diputuskan secara ringkas-- di sebuah mahkamah majistret -- dengan denda maksimum A$110,000. 

Ryan memberitahu Popovic bahawa Pengarah Pendakwaan Awam Komanwel sedar dengan keadaan itu “tetapi tiada apa yang dilakukan untuk memperbetulkannya lagi”. 

Popovic memberitahu, Yee, dalam mensabitkan dan mendendanya A$10,000 bagi kesalahan mengimport, bahawa “jika saya mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman denda yang lebih besar saya akan lakukan”. 

Mengenai dakwaan lain, Yee juga disabitkan kesalahan dan diletakkan di bawah perintah bagi menjalankan kerja kemasyarakatan selama 18 bulan. - Bernama

Empat remaja didakwa rogol gadis bawah umur



AYER KEROH - Empat remaja, tiga daripada mereka adik beradik, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, semalam, kerana merogol seorang pelajar Tingkatan Satu, minggu lalu. 

Tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Mujab Zamzam. 

Seorang lagi yang berusia 16 tahun juga mengaku tidak bersalah di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Syarina Shaarani @ Tan. 

Mohd Saiful Md Jais, 20, dari Taman Ayer Molek, didakwa merogol seorang gadis berusia 13 tahun 4 bulan di rumah kosong di Taman Air Molek antara jam 10 dan 10.30 malam, 21 September lalu. 

Rakannya, Mohd Rizam Md Isa, 20, pula didakwa merogol gadis yang sama antara 10.30 dan 10.45 malam di tempat dan tarikh yang sama. 

Sementara seorang remaja berumur 18 tahun didakwa merogol gadis berkenaan di rumah yang sama pada 22 September lalu antara jam 4.15 dan 4.30 petang. 

Adiknya yang di bawah umur didakwa merogol gadis sama antara jam 4 dan 4.15 petang, pada 22 September di rumah yang sama. 

Keempat tertuduh didakwa mengikut Sesyen 376 Kanun sama yang boleh dihukum penjara antara lima dan 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. 

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus, yang mengendalikan kes bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan RM15,000 terhadap tertuduh. 

Muhather turut memohon jaminan RM8,000 terhadap tertuduh juvana. 

Mujab kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 1 November ini sebagai tarikh sebutan terhadap Mohd Saiful dan Mohd Rizam, sementara 3 November ini bagi tertuduh berumur 18 tahun itu. 

Syarina membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 11 November ini.

Penuntut Malaysia didenda import ketamin di Australia



MELBOURNE - Seorang penuntut Universiti Monash yang dikatakan anak seorang peguam berprofil tinggi Malaysia, disabitkan kesalahan dan didenda A$10,000 (A$1=RM2.98) di sebuah Mahkamah Majistret, di sini, Khamis (kelmarin) kerana mengimport ketamin. 

Miki Yee, 23, dari Southbank di sini, mengaku mengimport dan mengedar ketamin yang dilarang dan memiliki marijuana, demikian dilaporkan akhbar The Age. 

Mahkamah diberitahu Yee ditahan di apartmennya pada Mac lalu selepas ketamin itu ditemui dalam satu bungkusan dari Kuala Lumpur. 

Peguam bela Tom Sawyer berkata, Yee, yang mengaku menjual ketamin kepada kawan-kawannya, menggunakan dadah itu sejak berumur 16 tahun dan membelinya di Malaysia dengan harga sehingga A$70 satu gram. 

Akhbar itu memetik Sawyer sebagai berkata, bahawa selepas Yee tiba pada 2009 untuk pengajiannya, beliau mendapati harga ketamin di Australia terlalu mahal, meningkat kepada A$1,000 bagi lima gram. 

Timbalan Ketua Majistret Jelena Popovic berkata, beliau “agak terkejut” bahawa Yee yang mengimport 332 gram dadah itu “hanya didenda”. 

Pendakwa Raya Matt Ryan berkata, ia satu “anomali” dalam Akta Kastam bahawa dakwaan itu hanya boleh diputuskan secara ringkas-- di sebuah mahkamah majistret -- dengan denda maksimum A$110,000. 

Ryan memberitahu Popovic bahawa Pengarah Pendakwaan Awam Komanwel sedar dengan keadaan itu “tetapi tiada apa yang dilakukan untuk memperbetulkannya lagi”. 

Popovic memberitahu, Yee, dalam mensabitkan dan mendendanya A$10,000 bagi kesalahan mengimport, bahawa “jika saya mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman denda yang lebih besar saya akan lakukan”. 

Mengenai dakwaan lain, Yee juga disabitkan kesalahan dan diletakkan di bawah perintah bagi menjalankan kerja kemasyarakatan selama 18 bulan. - Bernama

Rumah terbengkalai lebih seribu syarikat disenarai hitamkam



PORT DICKSON -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga kini telah menyenaraihitamkan 1,049 syarikat dan 3,782 ahli lembaga pengarah syarikat pemaju perumahan.

Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata tindakan itu dibuat ekoran pelbagai kesalahan membabitkan projek perumahan terbengkalai.

Sehubungan itu katanya KPKT akan mengenakan syarat yang lebih ketat sebelum lesen dikeluarkan kepada syarikat berkenaan.
"Walaupun kita lihat harga tanah dan rumah sedang melambung, namun masih ramai yang ingin menjadi pemaju perumahan. Oleh itu kita akan lebih berhati-hati dalam pengeluaran lesen kepada syarikat pemaju," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pemulihan projek perumahan Taman Anggerik, Teluk Kemang dekat sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Chor berkata walaupun pihaknya menghadapi banyak kekangan, namun dalam tempoh lebih setahun sehingga 31 Ogos lepas, KPKT berjaya menyiapkan dan menyelesaikan 49 projek perumahan di seluruh negara dari 151 projek perumahan yang telah diisytiharkan terbengkalai.

Katanya sebanyak 56 projek lagi sedang dipulihkan manakala baki 46 projek lagi dalam perancangan untuk dipulihkan. Di Negeri Sembilan, katanya mengikut rekod KPKT sehingga 31 Ogos lepas terdapat 20 projek perumahan swasta yang telah diisytiharkan terbengkalai.

Daripada jumlah itu, lima projek telah selesai dipulihkan manakala lima projek sedang dalam proses pemulihan termasuk projek Taman Anggerik dan baki sepuluh lagi masih di peringkat perancangan untuk dipulihkan.

Mengenai Taman Anggerik, beliau berkata projek taman perumahan itu telah diisytiharkan terbengkalai sejak tahun 2005 yang melibatkan 40 unit rumah teres dengan 40 pembeli.

"Dengan usaha dan kerjasama semua pihak, projek ini akan mula dipulihkan dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan. Selain daripada bantuan kewangan kerajaan, pemulihan projek ini juga bergantung kepada sumber kewangan dalaman projek melalui hasil jualan unit-unit yang dibina," katanya.

Bantah pusat pelupusan sampah




KAWASAN berhampiran Kampung Beris Lalang, Bachok yang dijadikan pusat pelupusan sampah sejak Mac lalu.


BACHOK – Lebih 500 penduduk di Kampung Beris Lalang dekat sini mengadakan piket membantah tindakan kerajaan negeri menjadikan kawasan kampung mereka pusat pelupusan sampah sejak Mac lalu.
Penduduk mendakwa, tindakan kerajaan negeri menjadikan kawasan seluas 46 hektar kira-kira 500 meter dari kampung mereka sebagai pusat pelupusan sampah telah menjejaskan kesihatan mereka selain terdedah kepada ancaman penyakit seperti demam denggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKKP), Che Hamid Che Deraman berkata, selain bantahan tersebut, pihaknya turut mengumpul lebih 1,000 tandatangan penduduk terbabit diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco berkenaan.
“Beberapa pemimpin masyarakat sudah beberapa kali mengemukakan bantahan kepada kerajaan negeri, namun tidak ada sebarang tindakan diambil bagi menanganinya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hukuman jaga kaki seks ditambah



KUALA LUMPUR – Hasrat seorang jaga untuk dibebaskan dari penjara Isnin ini kerana menyiarkan gambar bogel serta gambar hubungan sejenis dirinya di laman web tiga tahun lalu tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam mengubah perintah hukuman penjara terdahulu selama enam bulan kepada setahun.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak memutuskan hukuman tersebut setelah mendengar rayuan pihak pendakwaan yang mahukan tertuduh, Shahrom Mahadi, 45, dikenakan hukuman penjara lebih lama dan berjalan secara berasingan.
Shahrom sebelum ini mengaku salah terhadap enam pertuduhan alternatif iaitu menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet untuk membuat dan memulakan penghantaran gambar bogelnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azizah Mahamud pada 4 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan diarahkan berjalan secara serentak mulai tarikh tersebut.
Tertuduh sepatutnya dibebaskan dari Penjara Kajang Isnin ini setelah tempoh hukuman enam bulan itu berakhir 4 Oktober ini.

Jangan guna ah long jadi penjamin




Wan Abdul Bari (depan) bersama dua pegawainya menunjukkan sebuah lori yang sarat dengan pelbagai barangan dapur curi yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields semalam.


KUALA LUMPUR - Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur, Azizah Mahamud semalam mengesahkan bahawa satu notis awam mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran peminjam wang tidak berlesen bagi tujuan bayaran ikat jamin ditampal di setiap lokasi mahkamah.
Azizah berkata, penampalan notis berkenaan bertujuan memberi kesedaran dan maklumat kepada pihak-pihak terlibat dalam kes jenayah bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa peminjam wang tidak berlesen seperti ah long.
"Notis itu mula ditampal di semua lokasi mahkamah sejak minggu lalu dan notis sama turut diarahkan ditampal di seluruh mahkamah di Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini.

Kes 29 pelatih serenti merusuh ditangguh



BUTTERWORTH 1 Okt. - Perbicaraan kes 29 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat Tasek Gelugor yang didakwa merusuh dan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan tujuh bangunan di pusat tersebut musnah, Jun tahun lalu ditangguhkan ke 15 Oktober ini.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohd. Zairan Aman menetapkan demikian setelah dimaklumkan peguam Y. Anbananthan bahawa beliau bersama seorang lagi rakannya, K. Paramanathan baru dilantik oleh tertuduh-tertuduh bagi mewakili mereka.
''Kami baru dilantik. Mohon tarikh lain ditetapkan bagi membolehkan pihak kami mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan dalam kes ini terutama satu dokumen penting iaitu rakaman percakapan setiap tertuduh yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
''Dokumen ini amat penting untuk proses pembelaan kesemua tertuduh,'' katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud yang mengendalikan pendakwaan turut memohon tarikh lain ditetapkan kerana kes itu akan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya lain.
Kesemua tertuduh yang memenuhi kandang tertuduh dan ada sebahagiannya terpaksa berdiri di luar kandang dilihat bersahaja dan menggeleng kepala masing-masing setelah mendengar permohonan pendakwa raya itu.
Salah seorang daripada mereka kemudian mengangkat tangan sambil memohon tarikh perbicaraan lebih awal ditetapkan kerana kesemua mereka sudah berada dalam tahanan lebih dari setahun.
Kesemua mereka didakwa selepas hampir seminggu merusuh dan melarikan diri dari pusat berkenaan tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyertai satu perhimpunan haram dengan tujuan bersama-sama melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kerosakan tujuh blok bangunan di pusat berkenaan.
Ia meliputi blok bangunan pentadbiran, stor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai bertugas dan pos polis bantuan.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 6.40 petang, 19 Jun 2009.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 26 Jun tahun lalu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mengikut laporan akhbar, lebih 100 daripada 522 pelatih di pusat serenti berkenaan bertindak ganas dengan membakar beberapa bangunan termasuk blok pentadbiran di pusat berkenaan.
Ketika kejadian, pelatih yang merusuh turut membakar kenderaan milik kakitangan pusat itu, dipercayai akibat rasa tidak puas hati ekoran penahanan sekumpulan rakan mereka yang didapati positif dadah.
Seramai 30 pelatih pusat tersebut telah melarikan diri tetapi polis berjaya menangkap 29 daripadanya selepas menjalankan operasi bersepadu sejak hari kejadian.

Jiran tidak dengar tangisan Aaliyah pada hari dia mati didera


SHAH ALAM 1 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada sesiapa mendengar jeritan atau tangisan Aaliyah Ayman Hussin Abdullah pada hari kanak-kanak itu meninggal dunia akibat didera Oktober tahun lalu.
Pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mardina Saari, 29, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berkata, berdasarkan maklumat daripada jiran-jiran, mereka langsung tidak mengetahui siapa yang tinggal di rumah mangsa.
''Agak sukar untuk mendapatkan kerjasama jiran-jiran kerana mereka langsung tidak mengenali mangsa, ibu mangsa atau tertuduh (Mohannad Taha Ismail)
''Malah, mereka hanya buka pintu selepas saya ketuk beberapa kali. Mereka memberitahu tidak mendengar sebarang tangisan atau jeritan dari rumah mangsa,'' katanya semasa disoal balas oleh peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh.
Dalam kes ini, Mohannad Taha, 25, warganegara Sudan didakwa membunuh Aaliyah, 3, yang juga anak teman wanitanya di Kondominium Venice Hill, Cheras dekat sini antara pukul 7.30 dan 8.30 malam, 12 Oktober 2009.
Bekas penuntut institut pengajian tinggi swasta tempatan itu dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam keterangannya hari ini, Mardina juga mengesahkan Mohannad Taha telah disoal siasat secara lisan sebelum dia ditahan.
Katanya, beliau tidak begitu mengambil berat maklumat yang diambil daripada tertuduh memandangkan ia sama sahaja dengan maklumat diberikan oleh ibu Aaliyah, Ellina Maulad Mahather iaitu mangsa telah didera oleh pembantu rumah.
Jelas beliau, ia berikutan hasil siasatan awal mendapati pembantu rumah yang didakwa melakukan penderaan itu tidak wujud.
Ketika Kuldeep bertanya lanjut berhubung rakaman percakapan daripada tertuduh yang diambil oleh saksi itu, Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menegur soalan tersebut.
Katanya, soalan tersebut menggambarkan seolah-olah Kuldeep mempunyai akses terhadap dokumen tersebut.
Ia turut dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin yang menyifatkan soalan itu sebagai usaha untuk memancing maklumat berkaitan.
Perbicaraan bersambung pada 26 November ini. Hakim Abdul Alim turut menetapkan 3 Disember ini untuk hujahan di akhir kes pendakwaan.

Rekod 'paling lama tanpa kerajaan'



BAGHDAD 1 Okt. - Iraq hari ini mencatat 'rekod' sebagai negara yang paling lama masih gagal membentuk kerajaan selepas berakhirnya pilihan raya.
Rakyat Iraq mengundi pada 7 Mac lalu untuk memilih wakil ke Parlimen tetapi dua blok politik terbesar memperolehi kerusi yang hampir sama, menyebabkan kedua-dua parti tidak memiliki cukup kerusi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Keadaan itu kemudian membawa kepada kebuntuan politik yang berlarutan selama 208 hari, satu tempoh yang sama dialami Belanda pada 1977, kata Profesor Christopher J. Anderson yang mengetuai Institut bagi Pengajian Eropah di Universiti Cornell.
'Rekod' Belanda itu dipecahkan hari ini kerana tidak ada tanda-tanda kebuntuan tersebut akan dapat dileraikan.
Blok pimpinan bekas Perdana Menteri, Iyad Allawi yang memenangi kerusi terbanyak sudah berikrar tidak akan bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri sekarang, Nuri al-Maliki.
Maliki memimpin perikatan yang menduduki tempat kedua dengan ketinggalan hanya dua kerusi, dan beliau cuba membentuk perikatan lebih besar dengan blok ketiga di Parlimen, dalam usaha untuk meminggirkan blok Allawi.
Kebuntuan itu menyekat kemajuan dalam membangunkan semula negara ini dan berlaku serentak dengan melonjaknya serangan militan bertujuan untuk mengambil kesempatan daripada kekosongan politik itu.
Ketiadaan kerajaan baru menyebabkan kelulusan rang undang-undang penting tergendala, termasuk rang undang-undang hidrokarbon yang akan mengawal pengagihan kekayaan minyak Iraq dan rang undang-undang yang menetapkan peraturan penting bagi pelaburan asing yang amat diperlukan.
Tempoh berbulan-bulan tanpa kerajaan baru juga menyebabkan rakyat awam takut untuk menyalurkan maklumat perisikan tentang kegiatan pemberontak kepada pihak berkuasa, kata seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS). - AFP

4 syarikat minyak Eropah keluar dari Iran



WASHINGTON 1 Okt. – Empat syarikat minyak Eropah akan menamatkan operasi mereka di Iran secara sukarela bagi mengelakkan sekatan Amerika Syarikat (AS), yang bertujuan mengenakan tekanan ke atas Teheran supaya menghentikan program nuklearnya.
Keputusan Total dari Perancis, Statoil dari Norway, ENI dari Itali dan syarikat Inggeris-Belanda, Royal Dutch Shell itu akan membantu meningkatkan tekanan ke atas Iran, sementara kuasa Barat cuba membawa Teheran ke meja rundingan baru berhubung program nuklearnya, yang didakwa bertujuan membina senjata atom, kata Timbalan Setiausaha Negara AS, James Steinberg, semalam.
“Masyarakat antarabangsa hendaklah sama-sama berhenti mengambil pendekatan berhenti mengadakan ‘urusan seperti biasa’ dengan Iran,” kata Steinberg.
Ujar beliau, syarikat minyak utama yang lain sedang disiasat dan boleh dikenakan tindakan jika mereka tidak mengambil langkah sama.
Menurut Steinberg, AS sudah pun mengenakan sekatan baru ke atas sebuah anak syarikat National Iranian Oil Company, Naftiran Intertrade Co, berpangkaan di Switzerland yang beliau dakwa menyalurkan berjuta-juta dolar bagi membiayai sektor tenaga Iran.
Sungguhpun beliau enggan mendedahkan nama syarikat-syarikat yang disiasat, Steinberg menegaskan bahawa AS sedang meningkatkan tekanan dalam usaha untuk menyekat nadi ekonomi Iran.
“Kami sedang terlibat dalam perbincangan dengan syarikat terbabit. Kami akan terus merahsiakan identiti mereka, selagi kami anggap perbincangan itu produktif,” katanya pada sidang media, semalam.
Senarai syarikat tenaga yang sebelum ini dikenal pasti oleh Pejabat Akauntabiliti Kerajaan AS menjalankan aktiviti di Iran termasuk Lukoil dan Gazprom dari Rusia, CNOOC dan CNPC dari China, Petrobras dari Brazil dan firma lain dari Britain, Itali, Korea Selatan, India, Austria, Jerman dan negara lain.
Petronas dari Malaysia turut beroperasi di Iran.
Majlis Keselamatan PBB pada Jun lalu meluluskan sekatan baru ke atas Iran, manakala Kongres AS menyusul dengan meluluskan sekatan tambahan bertujuan menghukum sektor tenaga dan perbankan Iran secara langsung dan bertindak ke atas syarikat asing yang menjalankan urusan dengan Teheran.

Presiden Ecuador dikepung



QUITO 1 Okt. - Askar Ecuador menggempur sebuah hospital di sini lewat semalam untuk menyelamatkan Presiden Rafael Correa yang terperangkap di dalam bangunan itu setelah dikepung oleh sekumpulan polis yang memberontak kerana membantah langkah berjimat-cermat kerajaan yang menyebabkan faedah perkhidmatan mereka dipotong.
Correa selamat kembali ke Istana Presiden di ibu negara, di mana siaran televisyen merakamkan sekumpulan besar penyokongnya bersorak dan mengibarkan bendera Ecuador.
Katanya, seorang anggota polis 'terkorban' semasa pertempuran dengan askar yang setia kepada kerajaan di sekitar kawasan hospital tersebut di mana beliau terperangkap hampir sepanjang hari, semalam.
"Percayalah semasa saya diselamatkan dan mereka memberitahu saya sekurang-kurangnya seorang anggota polis 'terkorban', saya menangis bukan kerana takut tetapi kerana sedih," katanya dari beranda istana.
Palang Merah Ecuador kemudian mengesahkan dua anggota polis terbunuh manakala 88 orang lain cedera dalam insiden itu.
Siaran televisyen menunjukkan seorang anggota pasukan keselamatan terbaring di jalan, dipercayai cedera ditembak, manakala askar berperisai berkejar untuk membantunya ketika suara kedengaran menerusi pembesar suara melaungkan, 'jangan tembak, jangan tembak!'.
Polis yang memberontak sebelum itu menyerang Correa, memaksa pemimpin berusia 47 tahun itu mencari perlindungan di dalam hospital.
Beliau menuduh musuh politiknya cuba menggulingkan beliau dalam rampasan kuasa.
Correa, ahli ekonomi yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan sahabat Presiden Venezuela, Hugo Chavez mengambil alih kuasa pada 2007, menyebabkan pelabur asing menjauhkan diri tetapi menjadi popular dengan melaksanakan dasar-dasar mesra rakyat seperti kawalan kerajaan lebih ketat ke atas sumber asli.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan di seluruh benua Amerika termasuk AS menyuarakan sokongan terhadap Correa, dengan White House menggesa krisis tersebut diselesaikan secara aman. - Reuters

Festival homoseksual dikecam



JAKARTA 1 Okt. - Majlis Ulama Indonesia hari ini menyifatkan homoseksual sebagai mencabuli hak asasi manusia dan menggesa kerajaan mengharamkan festival homoseks dan lesbian yang sedang berlangsung di negara ini.
Majlis itu dalam satu kenyataan berkata, hak manusia yang diberikan oleh Allah ialah berkahwin antara lelaki dan wanita sementara berkahwin sesama jenis adalah haram.
Badan tertinggi Islam di negara ini turut mengecam pusat budaya asing kerana menayangkan filem-filem berunsur homoseksual di kawasan persendirian, tiga hari selepas berpuluh-puluh pertubuhan Islam mengadakan protes di luar kawasan festival itu diadakan.
"Kami menolak penayangan filem-filem yang mengandungi kehidupan homoseksual kerana bertentangan dengan nilai-nilai budaya Islam dan Indonesia.
"Wakil-wakil asing termasuk pusat budaya Jerman dan Perancis perlu menunjukkan rasa hormat kepada kedaulatan negara ini. Mereka tidak sepatutnya membawa budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai tempatan," kata pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Ma'ruf Amin.
Institut Goethe Jerman, Yayasan Jepun, Erasmus House of The Netherland dan Pusat Budaya Perancis sedang menayangkan filem-filem berunsur homoseksual, sementara festival itu dianjurkan oleh penduduk tempatan terbabit.
Festival Q! ini merupakan edisi keenam dan menjadi festival terbesar seumpamanya di Asia dan satu-satunya di dunia Islam, menunjukkan Indonesia sebagai negara yang secara umum mempunyai fahaman sederhana dan bertoleransi.
Bagaimanapun konservatisme semakin kuat dan lantang.
Menteri Komunikasi, Tifatul Sembiring kelmarin meletakkan komennya dalam laman web Twitter menuduh 'kegiatan seks sumbang ini' sebagai punca penyebaran penyakit AIDS dan memetik ayat al-Quran yang membaling batu kepada kaum ini.
Kira-kira 150 filem dari lebih 20 negara termasuk Perancis, Jepun dan Filipina akan ditayangkan pada festival selama sebulan ini, yang bermula Jumaat lalu. - AFP

Dua wanita disebat di Aceh



TUKANG sebat wanita melibaskan rotan terhadap Murni di luar sebuah masjid di Jantho, Aceh, semalam. - AFP


BANDA ACEH 1 Okt. - Dua wanita di wilayah Aceh menjalani hukuman sebat hari ini kerana kesalahan menjual makanan pada waktu berpuasa bulan Ramadan lalu.
Beratus-ratus penduduk berhimpun untuk menyaksikan Murni Amris, 27, dikenakan tiga sebatan dan Rukiah Abdullah, 22, menerima dua sebatan di sebuah masjid di bandar Jantho, ke tenggara ibu kota, Banda Aceh.
"Kedua-dua wanita didapati menjual nasi di sebuah gerai pada waktu tengah hari pada bulan Ramadan. Syariah melarang penjualan makanan pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan," kata ketua polis Syariah Aceh, Marzuki Abdullah.
Murni memiliki gerai tersebut dan Rukiah dipercayai pekerjanya.
Aceh di utara Sumatera adalah antara beberapa kawasan di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam. - AFP