Search This Blog

Friday, October 1, 2010

Helikopter RSAF mendarat cemas di Woodlands


TERBELAH DUA: Badan helikopter Apache AH-64 ini terbelah dengan bahagian ekornya tercampak 50 meter setelah dua juruterbangnya melakukan pendaratan cemas di padang rumput jauh dari kawasan kediaman dan bangunan di Woodlands. -- Foto ST STOMP

SINGAPURA

Tiada siapa cedera dalam kejadian semasa penerbangan rutin


SEBUAH helikopter tempur Apache AH-64 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan lapang dekat kawasan kediaman di Woodlands semalam.
Dalam satu kenyataan ringkas, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata tiada kerosakan hartanah awam atau kecederaan anggota dilaporkan dalam kejadian 3.30 petang itu.Mindef berkata siasatan sedang dijalankan mengenai insiden tersebut.Beberapa saksi berkata badan helikopter tersebut terbelah dua dan bahagian ekornya tercampak sekitar 50 meter di padang rumput antara Woodlands Avenue 12 dan Woodlands Drive 64.'Helikopter tersebut dalam penerbangan penyenggaraan rutin apabila ia menyedari ada masalah enjin.'Sebagai satu latihan kecemasan, juruterbang memilih kawasan lapang jauh dari bangunan dan kediaman untuk membuat pendaratan cemas.'Bahagian ekor helikopter itu rosak semasa mendarat,' ujar Mindef.Menurut Mindef lagi, kededua juruterbang helikopter tersebut tidak cedera.Pasukan respons RSAF yang diketuai Brigadier- Jeneral Wong Huat Sern berada di tempat kejadian bagi menangani keadaan dan menemukan pesawat itu.Seorarang pembaca, Encik Abdillah Abadi, yang menghubungi pejabat Berita Harian sekitar 3.45 petang semalam berkata beliau sedang memandu di situ apabila ternampak kejadian itu.'Pada mulanya saya fikirkan helikopter itu mendarat sebagai sebahagian pameran tentera.'Tetapi saya mendapati ekornya terbelah dua bahagian. Helikopter itu pula kelihatan senget,' katanya.Menurut Encik Abdillah, dua juruterbang itu tidak cedera dan dilihatnya berdiri dekat helikopter tersebut.'Helikopter itu tidak terbakar,' ujar Encik Abdillah lagi, sambil berkata tiada orang awam di kawasan itu.Seorang lagi saksi, Cik Zaiton Mat Piah, berkata:'Saya melihat helikopter itu berpusing-pusing di udara dan turun untuk mendarat dengan cepat sebelum terhempas.'Dua jututerbang bergegas keluar dari helikopter itu dan berdiri di tepi.'Insiden ini adalah yang kedua dalam tempoh tujuh bulan melibatkan helikopter.Pada Februari lalu, helikopter Eurocopter EC120 Colibri, yang digunakan untuk melatih juruterbang RSAF, melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang di Woodlands Avenue 10.Tiada sesiapa juga cedera dalam kejadian itu.

Menteri luar Denmark bertemu duta 17 negara Islam redakan ketegangan




COPENHAGEN: Menteri Luar Denmark kelmarin bertemu dengan duta 17 negara Islam menjelang penerbitan sebuah buku mengenai tengkarah penyiaran karikatur Nabi Muhammad saw yang menimbulkan kontroversi lima tahun lalu.
Pertemuan Cik Lene Espersen dengan para duta itu bertujuan meredakan ketegangan dengan negara-negara Islam.'Bukan satu perkara yang mengejutkan akan ada orang di Denmark dan di serata dunia yang akan terluka apabila mereka mendengar lukisan itu akan disiarkan lagi.'Berdasarkan pengalaman kami sejak lima tahun lalu, saya telah mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan konfrontasi, yang tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,' kata Cik Espersen.Buku yang dijadualkan mula dijual semalam ditulis oleh Encik Flemming Rose, editor akhbar Jylland-Posten, yang bertanggungjawab menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad saw pada 30 September 2005.Buku yang bertajuk The Tyranny of Silence itu tidak akan menyiarkan 12 karikatur itu secara berasingan tetapi akan menyiarkan satu gambar yang menggabungkan kesemua 12 karikatur.Apabila karikatur itu pertama kali disiarkan ia mencetuskan bantahan di negara Islam.Sejak itu, Denmark menjadi sasaran kumpulan pengganas dengan pihak berkuasa berkata ia telah menggagalkan beberapa serangan pengganas ke atas akhbar serta pelukis karikatur itu.Menurut Cik Espersen, beliau turut bertemu dengan ketua OIC dan Liga Arab minggu lalu.'Mesej utama saya ialah kami mempunyai kebebasan bersuara di Denmark. Justeru, sesiapa saja mempunyai hak menulis dan mencetak buku selagi kandungannya tidak melanggar undang-undang.'Pada masa yang sama, saya ingin menekankan bahawa Denmark ingin mengekalkan dan mengukuhkan hubungan baik dan mesra dengan Dunia Islam,' katanya.Cik Espersen berkata kerajaan Denmark menghormati semua agama dan masyarakat, termasuk agama Islam.Kelmarin, Encik Rose berkata beliau terkejut apabila karikatur itu membangkitkan kemarahan masyarakat Islam.'Saya tidak berniat untuk menghina atau menyinggung sesiapa,' kata Encik Rose. -- AFP, AP.

Helikopter Apache Singapura terhempas




BEBERAPA anggota tentera memeriksa sebuah helikopter Apache milik Tentera Udara Singapura yang terhempas di sebuah padang di republik itu semalam.


SINGAPURA - Pemerintah Singapura mengesahkan sebuah helikopter Apache milik tentera negara itu terhempas ketika membuat pendaratan cemas di sebuah padang dekat sebuah sekolah rendah semalam.
Kementerian Pertahanan Singapura menyatakan, juruterbang helikopter Apache AH-64 mendarat cemas selepas ia mengalami masalah enjin.
Seorang jurugambar agensi berita Associated Press yang berada di kawasan itu melihat helikopter tersebut putus dua di bahagian ekor.
Menurut kementerian itu, satu siasatan akan dilakukan berhubung insiden tersebut. - AP

Pengganas guna basikal cedera parah kena bom




BEBERAPA anggota polis forensik mengutip bukti di lokasi letupan bom basikal di pinggir Jakarta semalam.


JAKARTA – Seorang lelaki yang disyaki militan Islam cedera parah apabila sebutir bom buatan sendiri yang diletakkan di belakang basikal yang ditungganginya meletup secara tiba-tiba di pinggir bandar raya ini semalam.
Jurucakap polis, Kolonel Boy Rafli Amar berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, mereka menemui sepucuk surat di belakang poket suspek itu yang tertulis: “Pembalasan dendam terhadap orang kafir yang membunuh pejuang Islam.
“Kami akan memburu mereka, musuh-musuh Tuhan di mana-mana.”
Sasaran sebenar bom itu ialah sebuah pondok pemeriksaan polis di bandar perindustrian Bekasi dekat sini namun tiada mangsa lain yang cedera dalam kejadian tersebut.
Bahan letupan berkuasa kecil itu dilengkapi dengan galas bebola dan sejumlah paku bagi memaksimumkan kesan letupan.
Bagaimanapun, ia meletup 90 meter dari lokasi sasaran serangan.
Militan itu dihantar ke sebuah hospital dalam keadaan parah.
Indonesia yang merupakan sebuah negara sekular dengan memiliki jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia berusaha memerangi pengganas sejak 2002 yang mempunyai hubungan dengan militan Jemaah Islamiyah di Asia Tenggara. – AP

Bicara pelatih merusuh pusat serenti



01/10/2010 3:58pm

BUTTERWORTH - Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 15 Oktober ini untuk perbicaraan 29 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang membuat rusuhan di pusat berkenaan pada 19 Jun tahun lepas.
Hakim Mohd Zairan Aman menetapkan tarikh itu setelah dimaklumkan bahawa kesemua tertuduh baru melantik peguam Y. Anbananthan dan K. Paramanathan bagi mewakili mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru kerana kes itu akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya lain.
Kesemua pelatih dituduh menyertai satu perhimpunan haram dengan tujuan bersama-sama melakukan khianat dengan menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan tujuh blok bangunan meliputi blok bangunan pentadbiran, stor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai bertugas dan pos polis bantuan.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 6.40 petang, 19 Jun lepas. - Bernama

Penganggur didakwa cederakan penyelia



01/10/2010 4:19pm

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang penyelia restoran dengan menggunakan sebilah pisau cukur dan gagal menunjukkan kad pengenalan pada Selasa lepas.
Teo Swee Mu, 32, dari Kampung Baru, Selangor didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada warga Nepal, Jitman Limbu, 36, dengan menggores pisau cukur di dahi mangsa di restoran The Gurkhas Lojeena Global Sdn Bhd, No. 27, Tingkat 1, Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi di sini pada pukul 4.30 petang, 28 September lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda dengan sebatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, turut menghadapi pertuduhan lain iaitu gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan sementara kepada pegawai polis Safian Shahadan untuk pemeriksaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7 (1) dan boleh dihukum mengikut Peraturan 25 (1) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda minimum RM3,000, jika sabit kesalahan. - Bernama

Bersubahat miliki burung tanpa permit



01/10/2010 4:43pm

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan bersubahat memiliki burung spesies terancam tanpa permit, dua bulan lepas.
Eng Chi Eng, 43, didakwa bersubahat dengan penjual kain dari Pakistan, Abdul Ghaffar terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki dua ekor burung Cenderawasih dan memiliki dua helai bulu burung Kakak Tua di sebuah rumah beralamat D-4-23, Jalan Metro Perdana 2, Taman Usahawan, Kepong pada 3.30 petang, antara 12 Ogos dan 13 Ogos lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 47(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(a) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap haiwan.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Okt ini untuk sebutan kes.
Pada 22 September lepas, Abdul Ghaffar, didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah kerana memiliki burung spesies terancam tanpa permit itu pada Ogos lepas. – Bernama

Tebing runtuh lima bulan lalu

ALOR GAJAH: Penduduk serta pengusaha chalet dan resort di Kampung Padang Kemunting dan Pengkalan Balak, di sini, kebimbangan berikutan rumah dan premis mereka diancam masalah hakisan ombak Selat Melaka.
Tinjauan Metroplus baru-baru ini, mendapati kesan hakisan yang berlaku meranapkan sebahagian tembok penahan ombak sepanjang kira-kira 500 meter manakala tiga wakaf untuk kegunaan pengunjung menunggu masa untuk tumbang.
Kesan hakisan paling serius dikenal pasti berlaku berhampiran Kemunting Beach Resort iaitu pusat peranginan dua tingkat yang paling digemari pengunjung luar untuk menikmati suasana pantai dan hasil laut di situ.

Penduduk, Zainal Hassan, 48, ketika ditemui berkata, hakisan kuat yang melanda pantai Kampung Padang Kemunting itu perlu dicegah mulai sekarang kerana ia menempatkan lebih 20 chalet dan resort penduduk tempatan.

“Masalah tebing runtuh ini berlarutan sejak lima bulan lalu dan pihak terbabit sudah dimaklumkan mengenainya, namun sehingga ini belum ada perkembangan baru dilihat berlaku di situ.

“Saya berharap kerja pembaikan atau kerja naik taraf di pantai ini dilakukan dengan serius kerana kami tidak mahu ada tanah milik penduduk di situ tinggal separuh akibat dihakis ombak laut.

“Jika diamati, hakisan itu berlaku 12 jam sehari kerana hentaman ombak sentiasa mengenai tebing berkenaan sehingga meruntuhkan tembok yang hanya dipisahkan beberapa meter dari serambi rumah penduduk di situ,” katanya.

Dakwaan dan kebimbangan Zainal itu berasas kerana majoriti 1,000 penduduk termasuk pengusaha chalet dan resort di kampung berkenaan ketika ini bergantung daripada keindahan pantai itu sebagai sumber pendapatan.

Bahkan pantai di sepanjang kampung itu menempatkan Santuari Pemuliharaan Penyu milik Jabatan Perikanan khusus untuk kajian spesies penyu terancam dan pusat penetasan telur penyu.

Ketika tinjauan, beberapa pencinta alam sekitar yang ditemui menyuarakan kebimbangan dengan kesan hakisan ombak berkenaan dan meminta gerakan menyelamat pantai itu dilaksanakan.

Salehudin Omar, 33, berkata satu kajian mengukur kekuatan ombak dan arus perlu dilakukan bagi mendapatkan data mengenai perubahannya.
“Katanya, kajian itu penting bagi mengetahui pola ombak pada masa akan datang, sekali gus memudahkan agensi kerajaan terbabit meramalkan reka bentuk sesuai untuk membina struktur bagi memperlahankan kesan ombak berkenaan.

“Data dan maklumat daripada kajian yang ada sebelum ini mungkin boleh dijadikan panduan, tetapi ia mungkin tidak sesuai di kampung ini kerana ia dilakukan penyelidik yang mahu membuat kerja pembaikan di sebelah Pantai Timur membabitkan kesan ombak Laut China Selatan,” katanya.

Pelajar, Abd Rashid Abd Ghani, 16, berkata, datuknya pernah memberitahu keluarganya bahawa paras pasang surut di kampung berkenaan amat berbeza ketika ini berbanding zaman dulu.

“Kisah yang diceritakan datuk itu membuatkan saya yakin perubahan aras pasang surut itu ada kaitan dengan peningkatan aras laut akibat kesan pemanasan global yang pernah diakui saintis dunia beberapa tahun lalu.
“Datuk pernah beritahu zaman dahulu, air surut jauh ke tengah laut, tetapi ketika ini, air surut mencecah tebing. Ini bermakna jika tiada tindakan serius memperlahankan kesan hakisan ombak, mungkin pengusaha chalet dan penduduk di kampung ini perlu memindahkan rumah mereka jauh ke darat.

“Masalah ini juga pernah dialami keluarga bapa saudara saya yang tinggal di Kampung Pengkalan Balak yang mendakwa hampir separuh tanah milik mereka di tepi pantai itu lenyap sedikit demi sedikit akibat hakisan ombak sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Aktor veteran Hollywood meninggal dunia

WASHINGTON: Aktor yang terkenal sebagai pasangan Marilyn Monroe dalam filem Some Like It Hot, Tony Curtis, meninggal dunia pada usia 85 tahun, lapor media semalam.
Memetik kenyataan keluarga Curtis, kematian itu disahkan kepada program Entertainment Tonight yang diterbitkan stesen televisyen CBS.
Dilahirkan di Brooklyn, Curtis (gambar) pernah dicalonkan untuk Anugerah Academy kerana wataknya dalam filem The Defiant Ones bersama Sidney Poitier. - AFP

Tonto pendatang

PETALING JAYA: Kehadiran beberapa tonto di pasar pagi Sungai Way, di sini, yang menjaga puluhan peniaga haram warga asing terutama dari Indonesia dan Vietnam menggalakkan kumpulan peniaga itu terus berniaga hingga mengganggu peniaga tempatan di situ.


TIADA LESEN...peniaga warga asing berniaga di kaki lima Pasar Seri Setia, Sungai Way.
TIADA LESEN...peniaga warga asing berniaga di kaki lima Pasar Seri Setia, Sungai Way.

TAK PEDULI...peniaga warga asing menjual pakaian di kaki lima Pasar Sri Setia.
TAK PEDULI...peniaga warga asing menjual pakaian di kaki lima Pasar Sri Setia.
Tinjauan Metroplus di pasar berkenaan mendapati beberapa tonto akan memantau di setiap penjuru pasar pagi bagi mengelak penguat kuasa mencekup warga asing yang menjual barangan termasuk baju, buah-buahan, jamu, ubat-ubatan dan keperluan harian dengan harga lebih murah.
Peniaga, K Ramesh, 35, berkata setiap hari tonto akan menjaga warga asing terbabit dan mereka dibayar dengan upah lumayan kira-kira RM1,000 sebulan oleh peniaga terbabit.

“Kehadiran mereka mengganggu perniagaan kami kerana orang ramai lebih memilih gerai mereka yang menawarkan harga lebih murah.

“Kami terpaksa menjual dengan harga sedikit mahal kerana perlu membayar sewa lot niaga RM100 sebulan dan lesen perniagaan setiap tahun sedangkan mereka berniaga percuma,” katanya ketika ditemui di Pasar Seri Setia, di sini, baru-baru ini.

Peniaga buah-buahan, Tan Bee Chin, 43, berkata kehadiran peniaga warga asing di pasar pagi itu menjejaskan pendapatannya kerana menjadi tumpuan ramai selain mereka berniaga setiap hari dari jam 7 hingga 11 pagi.

“Setiap hari perniagaan saya teruk dengan memperoleh keuntungan kecil. Saya minta pihak berkuasa sentiasa memantau kawasan ini,” katanya.

Peniaga bunga, V Letchmi, 60, berkata warga asing perlu tahu mereka tidak boleh berniaga sesuka hati tanpa mempunyai permit kerana ia menyalahi undang-undang.

Katanya, kehadiran mereka menyusahkan peniaga tempatan yang mempunyai lesen kerana mereka menawarkan harga lebih murah.

“Kami mahu pihak berkenaan memantau kegiatan mereka yang mengganggu periuk nasi peniaga tempatan,” katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria, berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Katanya, hanya warga tempatan layak memohon lesen perniagaan dan kemungkinan peniaga asing itu berniaga selepas diberi lesen oleh peniaga tempatan yang memohon lesen, tetapi tidak menjalankan perniagaan.

“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya dengan menyoal mereka yang memberi lesen kepada warga asing sebelum kami menarik lesen berkenaan.

“Saya nasihatkan peniaga tempatan yang mendapat lesen berniaga sendiri bukan memberi kepada warga asing kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya di sini.

Tetak bekas buah hati ada lelaki lain

SUBANG JAYA: Seorang lelaki berusia awal 20-an sanggup membelasah dan menetak bekas teman wanitanya berusia 18 tahun dengan parang hingga parah hanya kerana cemburu, semalam.
Difahamkan, suspek berang apabila mengetahui bekas kekasihnya itu mula menjalinkan hubungan percintaan dengan lelaki lain walaupun baru beberapa hari menamatkan hubungan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di sebuah asrama sebuah kolej swasta, di sini, suspek pergi ke kawasan berkenaan kononnya mahu menunjukkan seorang wanita yang baru menjadi pasangannya dipercayai bertujuan membuatkan mangsa cemburu.

Menurut sumber, sebaik tiba di asrama itu, suspek dengan bersahaja meminta keizinan daripada pengawal keselamatan untuk bertemu mangsa.

“Pengawal keselamatan yang tidak curiga dengan kehadiran suspek memanggil mangsa yang tidur di biliknya,” katanya.

Sumber berkata, sebaik mangsa bertemu bekas teman lelakinya itu, suspek mula mempersoalkan perbuatan mangsa meninggalkannya kerana lelaki lain.

“Suspek mula memarahi mangsa dengan kata-kata kesat menyebabkan berlaku pertengkaran. “Keadaan mula menjadi tegang apabila suspek mula bertindak agresif dengan memukul mangsa menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

Difahamkan, wanita berusia 20-an yang dibawa suspek untuk ditunjukkan kepada mangsa pula hanya mendiamkan diri.

Katanya, akibat tidak berpuas hati kerana mangsa melawannya, suspek pergi ke keretanya mengambil sebilah parang.

“Tersentak dengan itu, mangsa cuba melarikan diri, namun gagal menyebabkan dia cedera di bahagian belakang dan kepala.

“Mangsa bernasib baik apabila kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang kemudian menenangkan suspek sebelum merampas parang dipegangnya,” katanya.
Suspek yang bimbang dicekup melarikan diri.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami pendarahan teruk akibat tetakan itu dihantar ke sebuah hospital swasta berhampiran dan keadaannya kini dilaporkan masih kritikal.

“Doktor merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, di sini, mengenai kejadian itu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, sehingga jam 4 petang semalam, suspek yang menyerang mangsa belum ditangkap polis dan usaha memburunya giat dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Serbu 180 rumah pendatang

KUALA LUMPUR: Sikap tidak bertanggungjawab majikan menyembunyikan pekerja mereka yang juga pendatang asing tanpa izin di dalam puluhan rumah kedai menyebabkan kawasan Brickfields, di sini, menjadi koloni warga asing.
Walaupun kawasan itu pernah diserbu, tetapi kehadiran pendatang asing masih ramai. Ini terbukti apabila 151 pendatang asing ditahan dalam serbuan dilakukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), lewat malam kelmarin.
Dalam Ops Sapu bermula kira-kira jam 10 malam itu, seramai empat pegawai dan 51 anggota penguat kuasa Imigresen menyerbu 180 rumah yang dipercayai menempatkan pendatang asing terbabit.

Dua pelajar tidur lokap

AMPANG: Dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini, terpaksa meringkuk dalam lokap selama dua hari selepas ditahan di rumah masing-masing di Ampang, di sini kerana mencabul dua pelajar perempuan, Selasa lalu.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu di dalam kawasan sekolah ketika kedua-dua dua mangsa menuruni tangga sebelum terserempak sekumpulan pelajar lelaki yang berada di situ.
“Dua pelajar perempuan berkenaan pada mulanya berniat ponteng kelas, bagaimanapun nasib mereka malang apabila dikepung sekumpulan pelajar lelaki yang ketika itu melepak di tangga.

“Seorang daripada pelajar lelaki terbabit meraba buah dada mangsa,” katanya.

Sumber terbabit berkata, berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan dua pelajar lelaki terbabit ditahan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas dua hari berada dalam lokap.

“Kami sudah memanggil pelajar yang menjadi mangsa untuk membuat pengecaman. Bagaimanapun, dia mendakwa dua pelajar terbabit hanya berada di situ dan tidak meraba mereka.

“Hanya seorang pelajar yang melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi dia sudah dibuang sekolah dan kami mungkin akan menahannya dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, polis memburu beberapa pelajar di sekolah sama selepas seorang lagi mangsa membuat aduan berhubung kes cabul membabitkan dirinya yang berlaku Julai lalu.

“Mangsa takut untuk membuat laporan polis kerana pelajar lelaki terbabit mengambil gambarnya ketika dicabul dan mengugut akan memasukkan foto itu dalam laman facebook.

“Malah, mangsa turut diminta membayar wang kepada pelajar terbabit jika mahu rahsianya tidak didedahkan. Bagaimanapun, dia yang sudah tidak tahan pelbagai ugutan membuat laporan,” katanya.

Dua maut berasingan kereta terbabas di lebuh raya

SEREMBAN: Dua lelaki termasuk seorang yang belum dikenal pasti identitinya terkorban apabila kenderaan dipandu terbabas dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 226, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala utara di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.30 pagi, sebuah kereta Subaru dipandu mangsa dikenali sebagai Timothy Ng, 30-an, bersama tiga rakannya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke tepi lebuh raya.
Jurucakap polis berkata, rempuhan kuat berkenaan menyebabkan kereta mangsa yang berwarna putih terbabit terbalik. “Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian manakala tiga rakannya cedera ringan,” katanya di sini, semalam.

Menurut jurucakap itu, dalam kejadian kedua kira-kira jam 9 pagi, seorang lelaki dipercayai berusia 40-an yang belum dikenal pasti identiti maut berhampiran lokasi sama.

“Mangsa yang memandu kereta Honda City hitam menggunakan nombor pendaftaran Singapura iaitu SFU 5905 A hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di tepi lebuh raya terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, polis menyiasat punca kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Ismail Aziz berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, kira-kira jam 9 pagi.

“Sepasukan pegawai dan anggota bersama tiga jentera bomba masing-masing Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Tampin dan Alor Gajah, Melaka dikejarkan ke kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati mangsa yang menaiki kereta Honda tidak tersepit dan sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Cif Inspektor polis maut ketika bertugas operasi cegah lumba haram

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Cif Inspektor maut ketika mengetuai operasi cegah lumba haram apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di simpang tiga Jalan Datuk Senu, di sini jam 10.30 malam tadi.
Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Mohd Khairul Zaini Mohd Zain, 31, sedang mengetuai pasukan operasi cegah lumba haram di situ bersama lapan orang lagi anggotanya dengan menaiki motosikal.
"Ketika sampai di simpang tiga sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 44 tahun yang sepatutnya berhenti memberi laluan tetapi tidak berhenti dan melanggar mangsa, menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan.

"Mangsa yang dipercayai cedera di kepala mati serta-merta di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan dimandikan serta dikafankan di Masjid Bukit Aman pagi ini.

Abdullah berkata, Mohd Khairul yang berkhidmat selama sembilan tahun dengan PDRM akan dikebumikan di kampungnya di Kota Baharu, Kelantan.

"Mayat mangsa akan dihantar ke sana dengan menaiki pesawat unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor-Panji Kota Baharu hari ini," katanya.

Beliau berkata, wanita itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Bernama

'Tidak musuhi sesiapa'

BUKIT MERTAJAM: “Selepas asid mengenai tubuh, pakaian saya cair seperti plastik terbakar manakala kulit bertukar kemerah-merahan sebelum menjadi keputih-putihan.


SARUDIN...harap polis teruskan siasatan.
SARUDIN...harap polis teruskan siasatan.

“Dalam keadaan sakit teramat sangat, saya memandu ke pejabat kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sebelum meminta bantuan rakan.”

Demikian kata pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Sarudin Mansor, 37, mengimbas kejadian dia disimbah asid pada Julai lalu sehingga mengakibatkan kecederaan parah di muka, kaki dan badan.

Dalam pertemuan kali pertama bersama media selepas kejadian 5 Julai itu, Sarudin berkata dia hanya terfikir menyelamatkan diri selepas disimbah asid oleh lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, dia yang memandu kereta melalui sebuah kedai di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, didatangi seorang lelaki bermotosikal mengetuk cermin tingkap keretanya sebelum menyimbah asid ke arahnya.

Dalam keadaan kelam-kabut itu dia terus memandu kereta sambil berdoa agar terselamat daripada perkara buruk.
“Saya bersyukur kerana asid dicampakkan itu tidak mengenai mata, jika tidak mata kanan saya mungkin buta,” katanya yang ditemui di rumahnya semalam, selepas menerima kunjungan rombongan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diketuai Presidennya, Omar Osman.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri.
Sarudin berkata, ketika kejadian dia baru 11 bulan bertugas di Unit Kompaun, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Wilayah Utara selepas dipinjamkan daripada JPJ Kedah.

“Sepanjang bertugas sama ada di LPKP atau JPJ, saya tiada musuh, malah tidak menerima sebarang ugutan. Sehingga hari ini, saya tak tahu mengapa menjadi sasaran,” katanya yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah, selama 51 hari.

Sehingga kini Sarudin masih mendapatkan rawatan susulan tiga hari sekali di Hospital Seberang Jaya dan sekali seminggu di HSB.

Disebabkan kejadian itu, isterinya, Junainah Abdul Kadir, 36, yang bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, terpaksa mengambil cuti separuh gaji selama tiga bulan menguruskan diri dan anak.

Bapa kepada empat anak berusia antara satu hingga sembilan tahun itu berkata, kejadian terbabit tidak mematahkan semangatnya untuk menjalankan tugas, malah tidak sabar kembali bertugas di pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya selepas permohonan pertukarannya diterima.

“Pada 4 Oktober ini saya akan melaporkan dirinya, namun tidak tahu bila boleh mula bekerja sehingga diberitahu doktor,” katanya yang berharap polis meneruskan siasatan kes itu.

Sementara itu, Omar berharap kerajaan dapat menyediakan insurans khas kepada penjawat awam khususnya yang terbabit dalam penguat kuasaan undang-undang bagi menjamin kebajikan mereka apabila terbabit dalam kejadian tidak diingini.

Angkara sabit mata tiga



Oleh Suzaini Sulaiman
bhnews@bharian.com.my
2010/07/23

  
  • Foto
    NELAYAN Pasir Penambang Kuala Selangor menunjukkan jaring yang rosak akibat terkena sabit bermata tiga di perairan Assam Jawa.
  • Foto
    SABIT bermata tiga yang merosakkan jaring nelayan.
Jaring nelayan rosak akibat perangkap dipasang di dasar laut

KUALA SELANGOR: Lebih 20 nelayan di Pasir Penambang di sini kerugian selepas jaring memukat ikan mereka rosak teruk akibat terkena ‘sabit bermata tiga’ yang sengaja dipasang di dasar laut, di perairan Assam Jawa, kelmarin, dipercayai angkara khianat.
Berikutan itu, mereka membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi membolehkan siasatan segera dilakukan berhubung kejadian berkenaan.
Nelayan tempatan, Lim Kee Yee, 27, berkata beliau seperti biasa turun ke laut bersama pekerjanya pada jam 6 pagi dan menurunkan pukat hanyut di perairan Assam Jawa, pada jarak dua batu nautika dari pantai pada jam 7 pagi sebelum menarik semula jaring setengah jam kemudian.

“Bagaimanapun, saya terperanjat apabila mendapati jaring saya habis terkoyak dan berlubang. Beberapa rakan saya yang lain turut mengalami kerosakan sama dan syak pasti ada benda asing yang merosakkan jaring kami,” katanya sambil menunjukkan jaring berlubang kepada Sentral ketika ditemui di sini, kelmarin.

Lim dan beberapa nelayan yang bersama turun ke laut pada hari itu kemudian memutuskan untuk menyelam dan menyiasat punca kerosakan pada jaring mereka.

“Saya terkejut melihat sejenis sabit bermata tiga yang diikat pada batu dan pelampung dipasang di dasar laut, menyebabkan jaring akan terkoyak apabila terkena sabit itu. 
“Pada hari itu lebih 10 bot nelayan mengalami nasib sama. Jaring kami rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Tan Chin Hock, 43, yang sudah 25 tahun menjadi nelayan bimbang untuk ke laut pada keesokannya kerana percaya ada lebih 20 perangkap seumpama itu dipasang di perairan itu.

“Saya boleh mencari jalan untuk membeli jaring baru tetapi saya fobia untuk turun ke laut selagi perangkap jaring itu masih ada,” katanya.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Selangor, Thazali Sahri dan pengerusinya Omar Abdul Rahman turut menemui nelayan terbabit bagi mendalami masalah mereka dan mencari jalan mengatasinya.

Thazali menjelaskan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu meringankan beban nelayan menerusi bantuan daripada tabung bencana.

“Kita akan mengambil maklumat semua mangsa dan akan berusaha membantu mereka kembali ke laut dalam seberapa segera,” katanya.

Omar yang simpati dengan nasib yang menimpa nelayan di situ kecewa dengan sikap hasad dengki pihak tertentu yang merosakkan mata pencarian mereka.

“Laut adalah sumber perikanan di negara kita dan semuanya boleh mencari rezeki di situ. Kejadian ini amat mendukacitakan kerana ia pertama kali berlaku dalam sejarah kawasan perairan Kuala Selangor.

“Saya berharap kegiatan tidak bermoral ini dapat dihentikan segera demi kebaikan bersama dan saya berharap tindakan undang-undang dapat dikenakan terhadap mereka yang melakukannya,” katanya.

Curi kabel elektrik 3 pagi



Oleh Nurhayati Abllah 

2010/07/30

Lebih 1,000 kediaman dan kilang bergelap enam jam, TNB kerugian RM150,000

IPOH: Lebih 1,000 kediaman dan 1,000 kilang di kawasan Pencawang Pembangunan Utama (PPU) Industri Kanthan, Chemor, dekat sini terputus bekalan elektrik hampir enam jam bermula jam 4 pagi Selasa lalu, gara-gara sekumpulan penjenayah mencuri kabel milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di situ. 

Kecurian kabel tembaga sepanjang 50 meter dengan berat mencecah 20 kilogram itu bukan saja menjejaskan penduduk dan operasi pihak industri, malah menyebabkan syarikat utiliti itu kerugian kira-kira RM150,000.
Kejadian itu menyebabkan TNB terpaksa menghentikan sementara bekalan elektrik ke kawasan sekitar sejam selepas kejadian, dan berlarutan hingga antara lima dan enam jam sehingga jam 10 pagi hari sama selepas kabel itu diganti baru.
Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor, berkata pihaknya terpaksa mengeluarkan amaran gangguan bekalan bagi membolehkan kerja baik pulih perkhidmatan dijalankan. 

Katanya, PPU itu berfungsi membekalkan bekalan elektrik kepada 54 pencawang elektrik iaitu 37 untuk pelanggan industri (kilang) dan 17 pelanggan domestik (taman perumahan). 

"Kejadian itu bukan saja merugikan pihak kami, malah memberi kesan serius kepada operasi kilang di kawasan perindustrian berkenaan. 

“Gangguan bekalan elektrik diatasi secara beransur-ansur dan hanya dapat dipulihkan sepenuhnya jam 7 pagi kelmarin,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja membaikpulih kabel berkenaan di sini, kelmarin. 
Mohd Zahir berkata, pemeriksaan menemui kesan beberapa kabel dipotong dan dilarikan. 

Selain kesan pagar dipotong di bahagian belakang PPU itu, katanya, TNB turut menemui sebilah gergaji dan seunit lampu suluh yang dipercayai digunakan kumpulan pencuri terbabit. 

"Kami percaya sekurang-kurangnya seorang daripada mereka mengalami kecederaan iaitu melecur akibat terkena percikan api ketika kabel elektrik terbabit dipotong, berdasarkan keadaan gergaji yang ditemui didapati ada kesan terbakar," katanya. 

Beliau berkata, TNB Perak menasihatkan kakitangan hospital dan klinik berhampiran yang menerima pesakit yang melecur serta berada dalam keadaan mencurigakan dalam tempoh terdekat supaya memaklumkan segera perkara itu kepada polis.

Kedai hangus, pemilik rugi RM800,00





2010/10/01

SEREMBAN: Dua unit kedai menjual peralatan sistem audio dan baja tanaman musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM800,000 di Jalan Kapitan Tam Yeong di sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, pemilik dua premis berkenaan, Chow Kok Xian, 58, yang sedang menjalankan rutin harian di kedai itu bersama dua ahli keluarga lain, sebelum itu dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dari arah stor belakang kedai yang menempatkan peralatan sistem dan muzik.
Chow berkata, dia kemudian bertindak memeriksa punca letupan itu dan kemudian mendapati api sedang mara lalu mengarahkan dua ahli keluarganya lari menyelamatkan diri.
Saya nampak api sudah marak tetapi nekad meredahnya untuk menyelamatkan dua van yang ditempatkan dalam stor serta beberapa peralatan sistem audio daripada hangus. 

Bagaimanapun, usaha saya gagal kerana api terlalu marak dan memusnahkan hampir keseluruhan harta di dua premis ini," katanya yang sudah menjalankan perniagaan turun temurun itu sejak 48 tahun lalu. 

Chow yang cedera ringan pada kedua-dua pergelangan tangan berkata, semua harta dalam dua kedainya itu musnah sama sekali termasuk lapan set sistem audio baru serta mikrofon dianggarkan bernilai RM800,000. 

Sementara itu, Pegawai Bomba II Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Jamaludin Mat Yatim, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.40 pagi. 
Bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 15 minit tetapi dua premis berkenaan musnah sama sekali dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat, katanya

Kereta Saiful Bukhari kena curi





2010/10/01

KUALA LUMPUR: Kereta Proton Waja milik Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan hilang di Lorong Medan Tuanku 2 di sini, malam kelmarin. 

Kejadian berlaku jam 8.35 malam, selepas Saiful Bukhari bersama bapanya meletakkan kereta berwarna perak itu di bahu jalan berdekatan sebuah restoran untuk makan malam.
Saiful Bukhari dalam Facebooknya, berkata kereta dengan nombor pendaftaran WLG 9170 itu banyak berjasa kepada dirinya selain adalah hadiah pemberian ibunya sebelum meninggal dunia, pada 2004.
Buat masa ini, saya tidak mahu mengesyaki atau mengaitkan kehilangan kenderaan ini dengan perbicaraan kes saya.

Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada hari sama dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan, katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Othman yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes kehilangan kereta Saiful Bukhairi dan sedang menyiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor.

Mossad ugut bunuh ketua polis Dubai





2010/10/01

DUBAI: Ketua polis Dubai menerima ancaman bunuh daripada agensi Mossad, kerana mendedahkan pembabitan perisikan negara Yahudi itu ketika menyiarkan perincian pembunuhan seorang pemimpin kanan Hamas, di sini awal tahun ini. 

Akhbar bahasa Arab Al-Ittihad memetik Dahi Khalfan sebagai berkata, beliau menerima dua ugutan bunuh berdasarkan kes pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Mahmud al-Mabhuh, di sebuah hotel Dubai, 20 Januari lalu.
Beliau menuduh Mossad menjadi dalang dua ancaman itu, semalam, tambah akhbar rasmi itu. Ancaman pertama dibuat beberapa hari selepas Khalfan mendedahkan gambar suspek pembunuh dan pada masa sama menuduh pembabitan Mossad dalam pembunuhan itu.
Lindungi diri sendiri jika anda terus celupar, kata mesej itu, menurut akhbar. Pakar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesan sumber mesej terbabit, kata Khalfan kepada akhbar tanpa memberi perincian lanjut. 

Pada pertengahan Februari lalu, beliau menyiarkan nama dan gambar 11 suspek pembunuhan yang dikatakannya memasuki Dubai menggunakan pasport Eropah, enam dari Britain, tiga dari Ireland dan masing-masing satu dari Jerman dan Perancis. 

Ancaman kedua, kata akhbar itu, adalah panggilan telefon kepada seorang saudara Khalfan, pegawai atasan bersara, daripada seorang penduduk Barat dengan pasport berkembar yang meminta saudara saya menasihat saya supaya berdiam diri. 

Dibuktikan selepas itu bahawa pemanggil terbabit adalah ejen Mossad yang sudah bersara. 
Khalfan turut mendedahkan, dua hari lalu, pihak berkuasa sebuah negara Barat menahan seorang suspek terbabit dalam pembunuhan Mabhuh. AFP

China bebaskan tiga pekerja binaan Jepun yang ditahan





2010/10/01

TOKYO: Tiga warga Jepun yang ditahan di China meninggalkan negara itu hari ini dan pulang ke negara asal mereka, di tengah-tengah suasana tegang akibat pertikaian kawasan. 

Bagaimanapun, agensi Berita Kyodo Jepun melaporkan, warga Jepun yang keempat masih kekal ditahan di China.
Tahanan keempat ditangkap pada 20 September lalu atas dakwaan merekodkan tapak lokasi tentera China, ketika Beijing dan Tokyo berada dalam situasi tegang, susulan pertikaian kepulauan di Timur China.
Agensi Berita Kyodo melaporkan, tiga pekerja binaan dibebaskan dan meninggalkan lapangan terbang Shanghai menuju ke Jepun, sehari selepas dibebaskan. - AFP

Militan cedera kena bom buatan sendiri

JAKARTA: Seorang suspek militan cedera parah apabila sebutir bom buatan sendiri yang diikat di belakang basikalnya meletup lebih awal daripada apa yang dirancang di luar ibu kota semalam, kata polis.

Tiada orang lain yang cedera. Jurucakap polis, Kolonel Boy Rafli Amar, berkata sasaran sebenar suspek militan itu juga tidak jelas.
Peralatan bom yang diisi dengan bebuli besi dan paku untuk memaksimumkan impak letupan, meletup secara tidak sengaja apabila suspek berada 100 meter dari sebuah pos kawalan polis di pinggir industri di Bekasi.
Indonesia, negara sekular dengan majoriti penduduk Islam di dunia, bertungkus lumus menentang keganasan sejak 2002 apabila militan dikaitkan dengan rangkaian Jemaah Islamiyah (JI) Asia Tenggara mula menyerang kelab malam Barat, restoran dan kedutaan.

Anggota satu unit kecil pengganas tempatan didedahkan Februari lalu di wilayah paling barat di Aceh, dilaporkan menyasarkan institusi keselamatan di negara itu.

Sejumlah besar militan ditahan atau dibunuh sejak itu. Amar berkata, suspek pengebom basikal itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan parah.

Polis berharap untuk menyoalnya mengenai sepucuk surat dalam poket belakangnya mengatakan dia mahu membalas dendam untuk rakannya. AP

5 maut banjir di Jamaica

PENDUDUK setempat memerhati jambatan yang rosak selepas dilanda banjir akibat hujan lebat susulan Ribut Tropikal Nicole yang meragut lima nyawa dan mengakibatkan 14 yang lain hilang di bandar Kintyre dan Kingston, Jamaica, semalam. - Foto AP


2010/10/01

KINGSTON: Hujan lebat susulan Ribut Tropikal Nicole yang melanda Jamaica meragut lima nyawa dan mengakibatkan 14 yang lain hilang, kata kerajaan negara itu, Khamis (waktu tempatan).

Laporan tidak rasmi menunjukkan angka kematian lebih tinggi dalam bajir besar daripada sistem tropikal yang bergerak perlahan melintasi Cuba dan bergerak ke Pantai Timur Amerika Syarikat. - AFP

Gempa sederhana dirasai di Taiwan




2010/10/01

TAIPEI: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.1 melanda utara Taiwan, hari ini, menurut Pusat Seismologi pulau terbabit, dan tiada laporan kerosakan serta amaran tsunami dikeluarkan berikutan kejadian itu.

Gempa yang melanda 11 kilometer utara bandar Iilan pada kedalaman 102 kilometer dikesan pada jam 3.56 pagi. - AFP

Anak Sosilawati mula guna khidmat pengawal peribadi




SHAH ALAM - Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dilihat menggunakan khidmat pengiring peribadi selepas insiden kematian tragis yang menimpa ibunya 30 Ogos lalu.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, yang ditemui dalam majlis rumah terbuka pengasas kosmetik De Wajah, Junaidah Kiting di sini kelmarin, masih kelihatan sugul dengan kematian ibunya itu dan cuba melayani beberapa rakan karib ibunya.

Kehadirannya kira-kira jam 9 malam itu agak mengejutkan hadirin yang sedang menikmati jamuan disediakan.

Beliau, yang nama ringkasnya Rita, memakai kebaya biru dan tudung putih itu, sempat melemparkan senyuman kepada beberapa tetamu yang berada dalam majlis itu

PKFZ: 3 individu buat tuntutan palsu dibicara 8 November



SHAH ALAM - Perbicaraan kes tiga individu didakwa membuat tuntutan palsu berhubung projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ditangguh pada 8 November ini semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Asmadi Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam, V Sithambaram mewakili arkitek perunding PKFZ, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari BTA Architect, memohon perbicaraan ditangguhkan kerana pihaknya baru saja menerima 101 dokumen tambahan pada Isnin lalu.

Menurut Sithambaram, pembelaan memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen itu bersama pihak konsultan memandang ianya bersifat teknikal.

Sementara peguam, Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Steven Abok, 51, turut memaklumkan perkara sama.

Pada prosiding itu seorang lagi tertuduh, bekas Pengurus Projek KDSB, Law Jenn Dong, 51, diwakili peguam Justin Wee hadir bagi pihak peguam Tan Hock Chuan.

Pihak pendakwaan diwakili Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad mengesahkan dokumen itu dan tidak membantah permohonan pembelaan itu.

Bernard dan Abok juga menghadapi dua tuduhan menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007

Empat suspek samun, rogol direman seminggu



PETALING JAYA – Empat suspek lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes samun dan rogol seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Rawang, Gombak, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, keempat-empat suspek ditahan di sekitar Rawang kelmarin, selepas pihaknya melancarkan gerakan mengesan sejurus menerima laporan daripada tunang mangsa pada hari yang sama.

Beliau berkata, polis berjaya mengesan lokasi keempat-empat suspek hasil soal siasat yang dijalankan terhadap mangsa yang dibebaskan sehari selepas kejadian.

“Berdasarkan maklumat daripada mangsa yang juga pekerja sebuah kilang itu, polis berjaya menjejaki semua suspek.

“Keempat-empat suspek itu direman bermula hari ini (semalam) sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan rogol,” katanya selepas Kejohanan 10 Pin Boling Piala Ketua Polis Selangor 2010 di Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Khalid berkata, siasatan lanjut ke atas mangsa, mendapati dia turut dirogol seorang daripada empat suspek yang melarikannya ke kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Choh, Kuala Kubu Baru, Rawang, lima hari lalu.

Menurutnya, semakan yang dibuat mendapati semua suspek terbabit dalam dua kes membabitkan modus operandi sama.

Katanya, dua hari sebelum kejadian itu, polis turut menerima satu laporan daripada seorang penuntut mendakwa dilarikan dan dirogol suspek yang menyamunnya ketika baru turun bas.

Beliau berkata, selain dua kes ini, polis percaya terdapat ramai lagi mangsa yang masih belum tampil membuat laporan.