Search This Blog

Wednesday, September 29, 2010

Polis jumpa tengkorak dan cebisan tulang manusia

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki menjumpai satu tengkorak dan cebisan tulang manusia di tapak pelupusan sisa pepejal Majlis Daerah Marang petang semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, lelaki itu yang sedang mencari lokan di kawasan alor sungai Marang menjumpai tengkorak dan cebisan tulang itu kira-kira jam 4.30 petang semalam.
"Polis percaya tengkorak yang ditemui itu adalah milik seorang dewasa," katanya.

Manoharan berkata tengkorak dan tulang itu sudah diambil oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk dihantar ke pasukan patologi di Kuantan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada sesiapa yang melaporkan mengenai orang hilang dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-Bernama

Jutawan bunuh kekasih terlepas hukuman mati





2010/09/29

KAHERAH: Seorang jutawan hartanah Mesir yang dituduh mengupah pembunuhan kekasihnya yang juga seorang penyanyi terkenal, terlepas dihukum mati semalam selepas perbicaraan semula memutuskan hukuman asal dikurangkan kepada penjara 15 tahun. 

Keputusan terhadap Hisham Talaat Moustafa, anggota kanan parti pemerintah Mesir diramal mencetuskan tuduhan campur tangan politik meringankan hukumannya.
Moustafa didapati bersalah terbabit dalam komplot membunuh Suzanne Tamim, 30, dan dikenakan hukuman baru itu. Keputusan pada Mei 2009 ialah hukuman mati selepas dia didapati bersalah memberi AS$2 juta (RM6.2 juta) kepada seorang bekas polis supaya membunuh Tamim di Dubai pada Julai 2008.

Indonesia tolak syor ujian dara





2010/09/29

JAKARTA: Kerajaan Indonesia semalam menolak cadangan seorang ahli dewan perundangan supaya remaja perempuan dipaksa menjalani ujian dara sebagai syarat memasuki sekolah menengah tinggi bantuan kerajaan. 

Pegawai di Kementerian Hal Ehwal Wanita, Wahyu Hartomo berkata ujian sedemikian mencabul hak asasi remaja terbabit, selain mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan.
“Ujian seperti itu mencabul hak dan akan mempunyai kesan psikologi serius kepada pelajar terbabit,” katanya kepada agensi berita.
“Adalah lebih berkesan ibu bapa memberi anak-anak mereka pendidikan moral di rumah, terutama remaja yang mudah terdedah kepada pengaruh tidak sihat internet.” 

Dewan perundangan wilayah Jambi, Sumatera bersetuju untuk tidak membincangkan cadangan itu yang dibuat oleh ahlinya Bambang Bayu Suseno, kata Hartomo. – AFP

Macam-macam: Lelaki tertidur tidak sempat bunuh diri





2010/09/29

GUANGZHOU: Cubaan seorang lelaki China untuk membunuh diri gagal selepas dia tertidur sebelum sempat terjun dari jambatan ke dalam sungai. 

Yang Jun, 30, sebelum itu menghabiskan sebotol ubat tidur dan kemudian memanjat jambatan Haiyin setinggi 50 meter di Sungai Mutiara di selatan Guangzhou untuk membunuh diri.
Bagaimanapun ubat tidur yang diambilnya memberi kesan serta-merta menyebabkan Jun tertidur di pagar jambatan dan tidak sempat melaksanakan niatnya. – Agensi

Dua pelajar ditahan khayal dadah



Oleh Zaid Salim dan Shamsudin Husin
bhkt@bharian.com.my
2010/09/29

Lima lain turut positif pil kuda 

KUALA TERENGGANU: Dua pelajar Tingkatan Tiga adalah antara tujuh remaja yang didapati positif pil khayal selepas ditahan dalam operasi membanteras penagihan dadah di Taman Permai, Batu 1, Jalan Air Putih, Kemaman, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata selain pelajar terbabit, empat remaja lain berusia 15 tahun dan dipercayai tidak bersekolah serta seorang remaja berusia 23 tahun turut didapati positif dadah berkenaan.
Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai dua pelajar terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah bersama lima rakannya bagi mendapatkan wang untuk mendapatkan bekalan pil kuda. 

Berikutan itu, satu operasi pencegahan dadah yang diketuai Ketua Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Asisten Superitendan, Hamzah Dollah bermula jam 3 pagi Ahad lalu berjaya menahan dua pelajar terbabit di tepi jalan di kawasan perumahan berkenaan. 

“Susulan penahanan dua pelajar terbabit membawa kepada penangkapan lima lagi rakannya di rumah masing-masing. Mereka dibawa ke IPD Kemaman dan ujian air kencing mengesahkan mereka positif pil kuda. 

“Kita amat kecewa kerana ada antara mereka yang positif dadah masih muda dan bersekolah. Ini menunjukkan ibu bapa kurang ambil tahu kegiatan anak mereka sehingga terbabit dengan dadah,” katanya. 
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 1 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kegiatan suspek dalam kes pecah rumah diserahkan kepada Jabatan Siastan Jenayah untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, di Setiu, graduan institusi pengajian tinggi (IPT) adalah antara 17 penagih dadah ditahan dalam serbuan di beberapa kawasan di Kampung Alor Lik, di sini, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaikh Othman Abd Hamid berkata, serbuan 11 jam diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Cif Inspektor Mohd Fahmi Mohd Zain menyerbu kampung itu dipercayai menjadi sarang penagihan dadah.

Perangkap lubang maut



Oleh Khairul Hamizy Ramlee
bhkt@bharian.com.my
2010/09/29

PENUTUP longkang dirosakkan  jentera berat   belum dibaiki.
PENUTUP longkang dirosakkan jentera berat belum dibaiki.
Pengguna bimbang longkang dalam di Kampung Paloh 

KUALA TERENGGANU: Kewujudan longkang sedalam 10 kaki yang tidak bertutup di hadapan deretan kedai di Kampung Paloh, di sini, menimbulkan kebimbangan kepada peniaga dan pengunjung di kawasan berkenaan.
Edisi Timur difahamkan, keadaan itu berlaku selepas penutup longkang di hadapan deretan kedai berkenaan dipecahkan sebuah kren yang menjalankan kerja pemasangan saluran paip, empat bulan lalu.
Lebih mengecewakan peniaga di situ, pihak terbabit didakwa bukan saja enggan mengambil sebarang tindakan menangani masalah berkenaan, malah bersikap lepas tangan dengan tidak mengendahkan beberapa aduan peniaga di kawasan berkenaan. 

Pemilik kafe siber, Mohd Sharun Yahya, 30, berkata dia kecewa dengan sikap pihak bertanggungjawab yang sering memberikan alasan untuk mengelak daripada membaiki penutup longkang dirosakkan mereka sebelum ini. 

Katanya, tiga kereta sudah tergelincir dalam longkang itu, selain kanak-kanak dan pengunjung yang datang ke kafe sibernya serta kedai lain di situ berdepan risiko terjerumus ke dalam longkang itu jika tidak berhati-hati. 

"Sudah banyak kotak kayu dan benda lain digunakan untuk menutup longkang itu, tetapi semuanya jatuh ke dalamnya. Sekiranya pihak terbabit tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menangani masalah ini, saya rasa mungkin ada orang yang terjatuh nanti,” katanya. 

Pengunjung, Ramli Ibrahim, 51, berkata, akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit, ramai peniaga dan pengunjung di deretan kedai itu berdepan masalah. 

Dia berkata, pengunjung yang tidak mengetahui kewujudan lubang berkenaan berdepan risiko terjatuh sekali gus membahayakan nyawa terutama jika melalui kawasan itu pada waktu malam. 

"Keadaan di sini gelap kerana tiada lampu jalan di deretan kedai ini. Sebab itulah saya dan peniaga lain berharap sangat pihak berkenaan segera mengambil tindakan. 

“Longkang berkenaan turut sukar mengalirkan air kerana ia tersumbat dengan pelbagai kotak dan benda yang dijadikan penutupnya yang terjatuh ke dalamnya. 

"Kami sudah lama bersabar. Kami sudah membuat aduan secara baik, tetapi mereka tidak mengendahkan langsung. Takkan hendak tunggu sudah ada nyawa melayang baru hendak baiki semula," katanya.

Bahana bah lumpur



Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/09/29

Pemaju perumahan didakwa punca penghuni Taman Allysa rugi RM100,000 

JITRA: Seramai 25 pemilik rumah di Taman Allysa, Taman Tunku Sarina, di sini kecewa dengan tindakan pemaju projek perumahan menarah Bukit Kelubi, di belakang kediaman mereka sehingga menyebabkan sering berlaku banjir lumpur kebelakangan ini dan terbaru petang Ahad lalu.
Penduduk mendakwa, banjir lumpur itu sudah berlaku tiga kali sejak mereka menduduki kediaman berkenaan dua tahun lalu, menyebabkan mereka menanggung kerugian mencecah RM100,000.
Dalam kejadian jam 7.15 malam Ahad lalu, semua penduduk terbabit terkejut apabila hujan lebat melanda kawasan itu, yang menyebabkan banjir kilat yang disertai lumpur tanah merah masuk ke dalam rumah mereka hanya dalam tempoh lima minit. 

Kejadian itu menyebabkan penduduk hanya sempat menyelamatkan barangan berharga, manakala banyak barangan lain seperti permaidani dan tikar getah rosak akibat kejadian itu. 

Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Taman Allysa, Hamdan Hamid, berkata daripada jumlah itu, lima lot rumah banglo di kawasan itu dinaiki air serta lumpur sedalam 0.5 meter. 

Katanya, dua kejadian banjir berlaku tahun lalu tetapi ia tidak disertai lumpur dan menenggelamkan peralatan perabot rumah penduduk. 
“Akibatnya, penduduk terpaksa membuang perabot dan barangan elektrik yang rosak terkena air dan menukar perabot baru. 

“Bagaimanapun, kejadian Ahad lalu menyebabkan penduduk kecewa kerana pihak pemaju tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun kami pernah mengadu masalah ini kepada mereka sebelum ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Hadir sama, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Datuk Yusoff Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man. 

Hamdan berkata, lima lot banglo itu terletak hanya kira-kira 100 meter dari bukit yang kini ditarah untuk pembinaan projek perumahan Taman Allysa Fasa 3, manakala sebahagian rumah yang lain hanya dimasuki air di bahagian depan rumah. 

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pemaju gagal menyediakan benteng dan longkang yang besar untuk menampung air hujan menyebabkan ia mengalir terus ke rumah penduduk. 

“Kami berharap supaya pihak pemaju perumahan ini mengambil tindakan sewajarnya dengan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan berlakunya masalah seperti itu,” katanya. 

Penduduk, Mohamad Kamarudin, 54, berkata, dia dan beberapa penduduk di kawasan itu terpaksa membersihkan kawasan rumah masing-masing, walaupun ketika itu dia sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa sunat. 

Katanya, dia mula mendiami rumah itu sejak 2007 tetapi sudah tiga kali kawasan itu dilanda banjir, menyebabkan dia hilang sabar dan meminta pihak pemaju mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, beliau akan meminta laporan penuh daripada pihak pemaju untuk memudahkan siasatan dilakukan sebelum mengambil sebarang tindakan. 

Katanya, beliau akan mengarahkan pihak pemaju yang juga anak syarikat kerajaan negeri supaya menanam rumput di tepi cerun bukit sebagai perlindungan atau mengalihkan saliran air dari atas bukit ke bahagian cerun. 

“Langkah berkenaan bagi mengelakkan air melimpah ke rumah penduduk berhampiran sekiranya hujan lebat,” katanya.

Pembunuhan kejam Sosilawati: Ladang suspek ada banyak bukti



Laporan Suhana Roslan, Muhamad Fairoz Azizan dan Badrul Kamal Zakaria
bhnews@bharian.com.my
2010/09/29


  • Foto
    ANTARA lokasi dipercayai tempat pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dekat Ladang Gadong, Tanjung Sepat.
  • Foto
    Usharani
Beberapa lokasi disyaki jadi tempat pembuangan barang peribadi mangsa
Foto
ANTARA lokasi dipercayai tempat pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dekat Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

KUALA LUMPUR: Polis percaya beberapa lokasi sekitar ladang persendirian milik suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menjadi tempat pembuangan banyak bukti berkaitan pembunuhan itu dan kehilangan tiga ahli perniagaan lain, termasuk seorang dari India.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang mendedahkan perkara itu, berkata polis percaya ladang berkenaan mempunyai banyak lagi bahan bukti untuk dikumpul.
“Ini petunjuk baru yang diperoleh daripada hasil siasatan. 

“Selain dua kubur yang digali, kelmarin, ada beberapa lagi lokasi yang dipercayai mempunyai bahan bukti untuk melengkapkan siasatan kes secara menyeluruh,” katanya di sini, semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tiga ahli perniagaan yang hilang itu akan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan modus operandi kehilangan mereka yang sama, selain dipercayai turut didalangi suspek sama.

Pada 22 September lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, mengesahkan ahli perniagaan dari India, Muthuraja Allal Kanthan, 34, yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu, turut dibunuh. 
Malah, dua lagi individu, Shafik Abdullah, 37, seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah dan sahabat baiknya turut disahkan hilang selepas menemui suspek utama yang juga peguam yang terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati, April lalu.

Kes pembunuhan dan orang hilang itu terbongkar susulan penahanan peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 44.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada hasil siasatan. Malah, operasi penggalian kubur kelmarin turut dilakukan kerana kita percaya ia adalah kawasan berkemungkinan mereka (suspek) menggunakan tempat itu bagi membuang bahan bukti, termasuk berkaitan kes kehilangan tiga ahli perniagaan,” katanya pada majlis sambutan hari raya anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ditanya sama ada bukti baru seperti tulang ditemui di ladang itu, Mohd Bakri enggan mengulas lanjut dan memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan berhubung kes berprofil tinggi itu secara menyeluruh.

“Kita (polis) tidak boleh terlalu memperincikan berhubung penemuan bahan bukti ini, kerana ia masih dalam siasatan,” katanya yang mengakui polis tidak berdepan dengan sebarang kesukaran dalam menjalankan siasatan. 

Bakal pengantin hilang





2010/09/29

Siti Rohani Abidin
Siti Rohani Abidin
PENDANG: Seorang bakal pengantin yang sepatutnya bernikah awal bulan depan, dipercayai hilang sejak seminggu lalu dari rumahnya di Kampung Keda Tanjung Setul, Bukit Jenun, di sini. 

Ibu mangsa, Salmah Hasan, 49, mendakwa anak perempuannya, Siti Rohani Abidin, 21, dipercayai mengikut dua lelaki yang juga kenalannya pada awal pagi 20 September lalu.
Katanya, anak ketiga daripada enam beradik itu baru bertunang pada Aidilfitri lalu dengan lelaki pilihannya yang menetap di Pulau Pinang.
Berikutan itu, Salmah dan suaminya, Abidin Othman, 56, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Salmah berkata, sesiapa yang menemui anaknya boleh menghubungi balai polis atau menghubunginya di 04-4721897.

Pembunuhan kejam Sosilawati: Siasat ke akar umbi





2010/09/29


POLIS meneruskan usaha mencari bukti kes pembunuhan Sosilawati  dan tiga rakannya dengan terus menggeledah pejabat suspek utama di Banting,  selain di   lokasi    Ladang Gadong tempat disyaki berlaku pembunuhan lain.
POLIS meneruskan usaha mencari bukti kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya dengan terus menggeledah pejabat suspek utama di Banting, selain di lokasi Ladang Gadong tempat disyaki berlaku pembunuhan lain.
Pejabat suspek utama kes bunuh Sosilawati, 3 rakan digeledah semula

KUALA LUMPUR: Polis memperhebatkan siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya serta kehilangan tiga ahli perniagaan lain bagi memastikan pembunuh terbabit tidak terlepas daripada hukuman.
Semalam, pasukan polis sekali lagi menggeledah pejabat peguam yang juga suspek utama kes di Banting dan membawa keluar lapan ikatan fail dipercayai boleh membantu siasatan.
Empat wanita dan seorang lelaki dipercayai pekerja firma guaman itu turut dilihat mengiringi empat anggota polis pada jam 11.15 pagi dan mereka dilihat keluar bersama pada jam 12.35 tengah hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, memberi jaminan, pasukannya berada pada landasan yang betul dan sentiasa bekerja kuat untuk mendapatkan hasil siasatan terbaik bagi memastikan pembunuh tidak terlepas.

“Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, semalam.

Beliau berkata, satu pertemuan akan diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara sebelum akhir minggu ini bagi menilai dan meneliti semua bukti yang dikumpul polis setakat ini. 
Dalam pertemuan itu, kertas siasatan akan dikemaskini bagi memastikan kelancaran proses pendakwaan di mahkamah.

Mohd Bakri berkata, pertemuan itu juga bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dalam proses siasatan dan bahan bukti.

“Dalam pertemuan itu, kita juga boleh menerima arahan baru daripada mereka (Jabatan Peguam Negara) jika ada yang masih belum mencukupi, terutama dalam memperkukuhkan bukti pendakwaan,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pula ketika ditanya jika beliau boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan pada akhir siasatan kes itu berkata: “Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku, iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti.” 

Mengulas kertas siasatan awal yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata, tidak ada tarikh akhir untuk penghantaran semula.

“Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam. Banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus,” katanya.

Mengenai apa yang perlu disiasat semula, beliau berkata: “Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya,” katanya.

Sementara itu, di Banting polis masih meneruskan siasatan, termasuk mengumpul bukti walaupun sudah lebih dua minggu kematian Sosilawati dan tiga rakannya disahkan.

Bagaimanapun, tinjauan di lokasi Sosilawati dan individu lain dibunuh di Ladang Gadong dekat sini, mendapati tiada kawalan polis seperti kebiasaannya.

Malah, orang awam juga dilihat keluar masuk ke ladang itu untuk melihat dengan lebih dekat ladang milik suspek utama kes berkenaan.

Di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, isteri ahli perniagaan dari India, S Usharani, 24, dilihat memasuki IPD itu bagi menyambung keterangannya.

Beliau tiba 9 pagi dengan ditemani pengawal peribadi menyambung keterangannya, iaitu hari keempat berturut-turut bagi membantu siasatan kes kehilangan suaminya, Muthuraja Allal Kathan, 34, yang hilang sejak Januari lalu. Dia keluar jam 6.45 petang.

Dua wanita Iran bebas tuduhan edar syabu





2010/09/29

SHAH ALAM: Dua wanita warga negara Iran, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 38,957 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada Februari lalu, tanpa dipanggil membela diri. 

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, memutuskan sedemikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mazieh Azimzadehtabriz, 32, dan Hajar Fakri Lasbo, 25.
Kedua-dua wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, pada 10.40 malam pada 5 Februari lalu.
Mazieh, seorang jurulatih kecergasan dan Hajar, seorang pelajar, didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Dadah itu dijumpai dalam dua buah beg yang setiap satu dibawa oleh mereka. 

Mohtarudin dalam penghakimannya berkata, satu-satunya bukti yang tidak memihak kepada pihak pembelaan ialah fakta bahawa kedua-dua wanita itu masing-masing memegang bagasi mengandungi dadah tersebut. 

Bagaimanapun, beliau berkata, tag nama di kedua-dua beg itu tidak tercatat nama kedua-dua wanita itu. 
Mohtarudin berkata, pendakwaan juga gagal mengaitkan kedua-dua wanita itu dengan barangan yang berada dalam kedua-dua beg tersebut. 

Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia hadir bagi pihak pendakwaan manakala Mazieh dan Hajar diwakili peguam Hisyam Teh Poh Poh Teik. - BERNAMA

Pengawal ditembak perompak semalam meninggal dunia





2010/09/29

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang cedera di tengkuk selepas ditembak seorang perompak di sebuah bank di Taman Sungai Besi Indah, Cheras semalam, meninggal dunia pagi ini. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias, berkata Mohd Yusoff Abdul Mutalib, 49, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 8.45 pagi tadi.
Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, dua lelaki meluru masuk ke dalam bank itu sebelum seorang daripadanya menembak Mohd Yusoff menggunakan sepucuk pistol automatik.
Seorang daripada lelaki itu kemudiannya merampas pump gun daripada Mohd Yusoff dan meluru ke kaunter lalu merampas wang berjumlah RM50,000. - BERNAMA 

Pemandu lori terlepas hukuman gantung kes edar dadah



PEMANDU lori, Lee Yong Toe, 48, (kanan) terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Kuantan melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar 753,359 gram methamphetamine atau syabu bernilai lebih daripada RM200 juta pada 2 Mei, tahun lalu. Beliau bagaimanapun ditahan semula oleh polis mengikut Akta Dadah Berbahaya 1985 ( Langkah-langkah Pencegahan Khas). - Foto Halim Mat Ali

2010/09/29

KUANTAN: Seorang pemandu lori terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar 753,359 gram methamphetamine atau syabu bernilai lebih daripada RM200 juta pada 2 Mei, tahun lalu. 

Bagaimanapun, ia hanya kebebasan sementara buat Lee Yong Toe, 48, apabila beliau ditahan polis mengikut Akta Dadah Berbahaya 1985 ( Langkah-langkah Pencegahan Khas).
Sebelum itu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.
Dalam keputusannya, Akhtar berkata, pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas adalah milik tertuduh dan kegagalan untuk memanggil dua saksi yang penting dan relevan bagi menamatkan kes itu. 

"Saya dapati pendakwa telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh berhubung dakwaan ke atasnya dan oleh itu didapati tertuduh tidak bersalah atas tuduhan terhadapnya dan memerintahkan dia dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan," katanya. 

Beliau berkata, sikap pegawai penyiasat dalam kes itu yang tidak mengendahkan salah laku anggota polis dan memilih supaya kes itu disiasat oleh orang lain. 

“Sikap pegawai penyiasat yang menutup matanya bagi mengelakkan menambah beban ke atas penyiasatan kes itu dan atas sikap itu tindakan perlu dikenakan ke atasnya terutama kerana tidak mencatat kelakuan buruk anggota polis dalam IPD," katanya. 
Akhtar berkata, persoalan paling penting ialah sama ada tertuduh tahu bahawa dia membawa dadah dalam jumlah yang agak banyak. 

"Apa yang paling mengejutkan saya ialah tertuduh cuba merasuah konstabel RM100 apabila tahu bahawa dia membawa dadah bernilai RM270 juta. 

"Sekurang-kurangnya dua orang yang lain yang juga ditangkap berhampiran tempat kejadian yang cukup murah hati bagi menawarkan rasuah setengah juta dan ini sebenarnya menimbulkan suatu kesimpulan tak bersalah daripada bersalah kerana menunjukkan ia bukan di dalam pengetahuan tertuduh dia membawa dadah dalam jumlah yang banyak," katanya. 

Lee didakwa mengedar 753,359 gram methamphetamine bernilai lebih daripada RM200 juta dengan seorang lagi lelaki, yang masih bebas, di Jalan Chenderawasih jam 6.45 pagi, 2 Mei tahun lalu. 

Tertuduh yang berasal dari Taman Iskandar, Johor Bahru, menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan. 
Pihak pendakwa telah memanggil 14 orang saksi dalam kes yang bermula bulan lalu. 

Lee diwakili sepasukan empat peguam diketuai Datuk V Sithambaram manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin dengan dibantu oleh Ahmad Fathil Mahmud. - Bernama

3 wanita seludup dadah RM5.5j ditahan

JAKARTA: Kastam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 3.9 kilogram syabu bernilai Rp 5.9 bilion (RM2 juta) dan dua kilogram heroin bernilai Rp10.1 bilion (RM3.5 juta).
Sehubungan itu, dua wanita Kemboja dan seorang wanita Thai ditangkap.
Selepas siasatan, polis turut menahan seorang lelaki Nigeria dan seorang wanita Indonesia yang bertindak sebagai pemungut dadah itu di sebuat hotel di Jakarta Pusat.

Ketua Pejabat Kastam dan Eksais Banten, Nasar Salim berkata seorang wanita Kemboja bernama Phi Thidi, 25, tiba di lapangan terbang itu dari Bangkok Sabtu lalu sementara seorang lagi yang dikenali Vin Vanna, 32 dan wanita Thai, Suchanta Pantong tiba sehari kemudian.

Menurut Nasar, penyeludupan itu terbongkar selepas pegawai kastam menahan Phi Thidi yang kelihatan cemas sejurus tiba di lapangan terbang itu. — Agensi

Irma terima writ saman RM50j

NEW YORK: Pelacur kelahiran Bosnia, Irma Nici, hanya tersengih melihat writ saman David Beckham diserahkan kepadanya oleh peguam bekas kapten pasukan England itu di pejabat peguamnya di New York, semalam.


SELAMBA...reaksi Irma ketika peguam Beckham menyerahkan saman kepadanya di pejabat peguam di New York, semalam.
SELAMBA...reaksi Irma ketika peguam Beckham menyerahkan saman kepadanya di pejabat peguam di New York, semalam.

Irma, 26, sebelum ini menyembunyikan diri di sebuah hotel di bandar raya itu bagi mengelak peguam Beckham menyerahkan writ saman bernilai RM49.5 juta itu tetapi akhirnya berjaya dikesan. Menyedari peguam Beckham menghidu kehadirannya di hotel itu, Irma pantas menaiki kenderaan pacuan empat roda hitam untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, kenderaan itu terkandas di jalan raya yang mengalami kesesakan dan peguam terbabit meletakkan salinan writ itu di bawah pengelap cermin kenderaan berkenaan.

Tidak dapat dipastikan sama ada serahan begitu dianggap sah daripada aspek perundangan.

Bagaimanapun, peguam Beckham akhirnya berjaya menyerahkan writ berkenaan kepada beliau secara peribadi ke pejabat peguam mewakili pelacur berkenaan di bandar raya itu.

Irma hanya tersengih dan tidak menunjukkan sebarang emosi ketika menerima writ itu.

Mendakwa pernah beberapa kali melayan Beckham, 35, di atas ranjang hotel di New York dan London pada 2007, pelacur yang dibesarkan di Britain itu membuat pendedahan menggemparkan dalam majalah In Touch yang diterbitkan di AS.

Irma mendakwa, dia juga pernah mengadakan hubungan seks dengan Beckham bersama seorang lagi pelacur secara serentak.

Atas layanannya ke atas Beckham itu, Irma mendakwa, dia diberi bayaran hampir RM31,000 pada malam berkenaan.

Bagaimanapun, dalam laporan diterbitkan majalah itu, Irma gagal mengemukakan sebarang bukti menyokong semua dakwaan berkenaan.

Selain Irma, Beckham turut menyaman penerbit In Touch, Bauer, serta pengarangnya, Michelle Lee, atas laporan dianggap ‘fitnah dan sengaja menyebabkan tekanan emosi’ ke atasnya.
Dalam dokumen setebal sembilan halaman diserahkan kepada Irma semalam, peguam Beckham berkata, tuduhan aktiviti seksual terlarang dikenakan ke atas bintang kelab bola sepak LA Galaxy itu fitnah semata-mata.

Dakwaan itu menjadikan Beckham seolah-olah seorang suami yang khianat, sekali gus mendedahkan isterinya, Victoria, kepada bahaya penyakit kelamin kerana meniduri pelacur. Tuduhan Irma itu juga menyebabkan Beckham berasa terhina dan dibenci masyarakat. - Agensi

Dua lelaki warga Bangladesh dicari bantu siasatan



BATU PAHAT – Pihak polis kini giat memburu dua lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung samun sehingga mencederakan mangsa akibat jenayah samun yang didakwa dilakukan mereka. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, dua suspek berkenaan bersama dua lagi rakannya menyamun dan memukul mangsa dengan batang besi. 

Menurutnya, mangsa yang juga warganegara Bangladesh kehilangan wang RM3,000 yang didakwanya untuk memasukkan wang itu ke dalam akaun keluarganya dan turut kehilangan telefon jenis Nokia. 

“Dalam kejadian itu, mangsa dipukul dengan besi sehingga cedera di kaki kanan, belakang badan dan tangan dalam kejadian di belakang Batu Pahat Mall, di sini. 

“Kejadian berkenaan berlaku dalam kereta, yang mana mangsa bersama-sama empat suspek berkenaan menaiki kereta dari Muar datang ke Batu Pahat, setelah sampai di tempat berkenaan, mangsa ditinggalkan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, semalam. 

Menurutnya, usaha mengesan suspek diteruskan bagi membantu siasatan setelah dua daripada empat suspek yang dikenali mangsa iaitu Sahazan dan Anil Das manakala, dua suspek lagi tidak dikenali. 

Ibrahim berkata, mangsa mengenali dua suspek berkenaan kerana suspek bekerja bersama-sama dengannya di sebuah kilang di daerah Muar dan suspek dikatakan melarikan diri daripada majikan atas beberapa sebab tertentu. 

“Semua suspek berumur di antara 20 dan 30 tahun yang mana dua daripadanya dikenal pasti dan usaha giat dilakukan dan kini, kedua suspek dipercayai masih lagi berada dalam negara iaitu di Shah Alam,” katanya. 

Menurutnya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun sehingga mendatangkan kecederaan, oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek ini bolehlah menghubungi pihaknya di talian 07-4341222 sambungan 5527.

Dihukum penjara sembilan bulan kerana ugut siar gambar bogel

SINGAPURA




SEORANG warga China yang mengancam akan menyiarkan gambar-gambar bogel seorang kenalan wanita jika kenalan itu tidak memberinya $5,000 dikenakan hukuman penjara sembilan bulan kelmarin.
Menurut laman web The Straits Times, Wang Bo, bekas seorang pekerja pembersihan, mengaku membuat ancaman itu untuk memalukan Cik Qiu Xia, 24 tahun, seorang atendan bilik.Dia melakukan demikian antara 28 dengan 30 Jun lalu dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas.Mahkamah diberitahu bahawa Wang, 23 tahun, menghantar beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Cik Qiu untuk menuntut $5,000, jika tidak dia akan menyiarkan gambar-gambar bogel mangsa di Internet.Wang ditangkap pada 30 Jun lalu.Siasatan menunjukkan tertuduh sebelum itu telah diminta membaiki komputer riba mangsa.Semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan itu, tertuduh menemui beberapa gambar mangsa dalam komputer tersebut.Wang kemudian memindahkan gambar-gambar itu kepada komputer ribanya sendiri dan mengancam akan mengubah suai gambar-gambar tersebut menjadikannya gambar-gambar bogel sebelum menyiarkannya di Internet.Siasatan lanjut juga menunjukkan mangsa sebenarnya merupakan kawan seorang rakan serumah Wang.Oleh kerana Wang tidak menyukai lawatan kerap mangsa ke rumahnya, dia memutuskan menghantar SMS tersebut untuk menakut-nakutkan mangsa.Wang juga didenda $4,900 atau empat minggu penjara kerana memiliki filem-filem lucah di premis sewanya di Beach Road.