Search This Blog

Tuesday, September 28, 2010

Pelajar dirompak dan dirogol dalam kereta




KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 20-an tahun bukan saja dirompak malah dirogol lelaki yang menyerbu masuk keretanya ketika beliau berhenti di lampu isyarat di Taman Putra, malam Rabu lalu.Dalam kejadian 11 malam itu, lelaki tersebut meluru masuk ikut pintu belakang sebelum memukul dan mengugut mangsa supaya diam.Lelaki itu mengacu pisau untuk menakutkan mangsa sebelum memaksanya duduk di bahagian penumpang.Dia membawa mangsa berpusing sekitar Ampang sebelum merogolnya dalam kenderaan itu.Penjenayah kemudian menghantar balik mangsa ke tempat dia ditemui, sebelum melarikan diri. -- Harian Metro.

Terkejut temui cendawan gergasi dalam kebun

TELUK INTAN: “Saya sangka ia spesies tumbuhan baru kerana pertama kali melihatnya dan terkejut kerana saiznya begitu besar. Selepas diamati, baru perasan ia adalah spesies cendawan.
“Saiznya mengejutkan saya serta beberapa jiran yang datang melihatnya di rumah kerana kami berpendapat ia mungkin spesies cendawan baru,” kata Muhammad Salleh Abdul Kadir, 54.
Menurutnya, dia menemui spesies cendawan gergasi itu ketika sedang bekerja di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Sungai Batu, Sungai Manik, dekat sini, kira-kira jam 8 pagi semalam.

“Seumur hidup saya, ini kali pertama saya menemui cendawan bersaiz gergasi. Saya biasa melihat cendawan tapi tidak pernah menemui saiz sebesar ini yang begitu unik dan ganjil.

“Tertarik dengan keunikannya dan bimbang ia dimakan binatang liar, saya memutuskan mencabut dan meletakkannya dalam satu bekas sebelum menyimpannya di rumah.

“Saya menimbangnya dan terkejut kerana ia seberat kira-kira tiga kilogram,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Batu, dekat sini, semalam.

'Selaput otak normal'

SHAH ALAM: Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, kematian kanak-kanak dipercayai mangsa dera, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3, bukan disebabkan penyakit meningitis atau radang otak.
Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Abdul Karim Tajudin berkata, ia berdasarkan pemerhatian dibuat ketika bedah siasat terhadap mangsa pada 13 Oktober, tahun lalu.
“Saya tengok (keadaan) selaput otak adalah normal. Kalau meningitis, selaput otak agak ‘keruh’, kasar dan tebal,” katanya ketika memberi keterangan pada kes Mohannad Taha Ismail, 25, yang dituduh membunuh Aaliyah di Mahkamah Tinggi, semalam.

Tertuduh, warga Sudan didakwa membunuh anak kepada teman wanitanya itu di Kondominum Venice Hill di Cheras, dekat sini, antara jam 7.30 dan 8.30 malam, pada 12 Oktober 2009.

Bagi pertuduhan, bekas penuntut institusi pengajian tinggi swasta tempatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya peguam bela J Kuldeep Kumar, Dr Abdul Karim berkata, dia tidak melihat ada keperluan untuk memberi penjelasan berhubung kemungkinan si mati menghidap meningitis.

“Saya menulis (dalam laporan bedah siasat) selaput otak berada dalam keadaan baik. Ini bermaksud tiada apa-apa. “Jika saya katakan organ tertentu berada dalam keadaan baik, maka saya tidak perlu sebut apa-apa,” katanya. Dia berkata, penyakit berkenaan boleh disebabkan oleh virus atau bakteria dan boleh dikesan apabila seseorang memiliki gejala seperti kekejangan atau sawan. Katanya, sekiranya gejala sedemikian berlaku, lazimnya ibu bapa akan membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Perbicaraan bersambung hari ini.

RM25 juta dikutip hasil bidaan nombor plat kereta

ABU DHABI: Kira-kira Dh30 juta (RM25.26 juta) bidaan dilakukan untuk mendapatkan nombor istimewa bagi plat kereta dalam satu acara lelongan dianjurkan Polis Abu Dhabi, semalam.
Acara lelongan itu menyaksikan 81 nombor istimewa plat kereta termasuklah satu, dua tiga, empat dan lima digit berjaya dijual, manakala plat dengan nombor sembilan dijual pada harga Dh10 juta (RM8.42 juta). Semua hasil jualan akan disalurkan untuk tujuan kebajikan dan projek kemanusiaan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber dan Penswastaan, Brigadier Salem Ali Al Shamsi berkata, acara lelongan amat popular di kalangan warga Emiriyah Arab Bersatu.

Rakan mulanya anggap kehilangan jutawan satu gimik



CIK ROZITA: Dua kali mimpi arwah Datuk Sosilawati mengadu pinggangnya sakit. -- Foto BHM

IPOH: Pengasas produk kecantikan dan kesihatan Sendayu Tinggi, Cik Rozita Ibrahim, pernah menganggap berita kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya sekadar gurauan dan gimik terbaru oleh jutawan kosmetik itu.
'Ketika kehilangannya terpapar di akhbar baru-baru ini, saya sangka beliau (Datuk Sosilawati) main-main (bergurau) dan menganggapnya gimik terbaru daripada Wati. (Ini) kerana sepanjang mengenalinya, beliau adalah seorang yang suka menarik perhatian ramai,' kata Cik Rozita yang ditukil akhbar Berita Harian Malaysia semalam.'Tidak logik beliau pergi ke Banting dan tidak pulang sedangkan jarak tempat itu dengan kediamannya dekat saja. Namun, ketika itu saya berdoa agar tiada perkara buruk berlaku pada Wati,' kata Cik Rozita, yang termasuk rakan baik Datuk Sosilawati.Beliau menyifatkan arwah sebagai ikon kosmetik yang bersemangat tinggi, pemurah dan baik hati.Namun selepas berita kehilangan Datuk Sosilawati tersebar dalam media dan disahkan keluarga rakannya itu, Cik Rozita bimbang ada sesuatu yang serius telah berlaku dan Datuk Sosilawati berada dalam bahaya.'Dalam tempoh kehilangan Wati, dua kali saya bermimpi arwah datang kepada saya dengan suara sayu memberitahu pinggangnya sakit. Sebaik ditanya kenapa, beliau terus menghilangkan diri,' kata Cik Rozita.'Saya tertanya-tanya (apa maksud) mimpi itu. Kebiasaannya jika (berkaitan) pinggang dan tulang belakang, kemungkinan besar orang itu berada dalam kesusahan atau kesakitan. Bagaimanapun, ia hanya mimpi kerana Allah saja yang maha mengetahui di atas semua yang berlaku.'Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu ialah pada April lalu semasa Cik Rozita menjemput arwahnya menghadiri satu majlis ilmu di kediamannya. -- BHM, Harian Metro.

Gempa di Saudi?

WASHINGTON: Proses pergerakan magma dikesan berlaku di bawah kerak bumi di wilayah terpencil di barat-laut Arab Saudi hingga menyebabkan gegaran kecil, semalam.
Penyelidik berkata, pergerakan magma juga akan menyebabkan berlaku pembentukan gunung berapi baru.
Kira-kira 30,000 gegaran dilaporkan berlaku di wilayah Harrat Lunayyir dari Mei hingga Jun tahun lalu dan mengakibatkan rekahan sepanjang lapan kilometer di kawasan itu, lapor pasukan Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS). Sepanjang tempoh itu, kerajaan Arab Saudi memindahkan 40,000 penduduk, namun membenarkan mereka pulang semula ke kediaman masing-masing selepas itu.

Bagaimanapun, penduduk diberi amaran supaya bersedia untuk meninggalkan kediaman mereka jika berlaku gegaran, lapor pasukan USGS dalam jurnal Alam Geosains.

“Penemuan ini menunjukkan wilayah terbabit menghadapi risiko akibat tindakan alam semula jadi,” lapor penyelidik USGS, John Pallister serta rakan setugas di Universiti Sains dan Teknologi Arab Saudi dalam laporan berkenaan. Kawasan di Harrat Lunayyir lebih dikenali sebagai padang lahar atau ‘harrat’ dalam bahasa Arab, selain kon kecil gunung berapi yang dipanggil tefra.

Menurut laporan itu lagi, siri gegaran yang berlaku pada 2009 di Harrat Lunayyir, di samping pembentukan lahar dan kon gunung berapi membuktikan kawasan padang harrat masih aktif dan berbahaya walaupun kejadian letupan belum berlaku. - Reuters

Aktivis Israel ke Gaza jangka ditahan tentera Zionis

BAITULMAQDIS: Penganjur misi yang membawa beberapa aktivis Yahudi dengan sebuah bot kecil ke Semenanjung Gaza berkata, mereka sudah menjangka akan dipintas oleh kapal tentera laut Israel apabila tiba di perairan wilayah Palestin itu.
Pelayaran bot sepanjang 10 meter itu dilakukan hampir empat bulan selepas komando Israel menyekat misi bantuan ke Gaza, dan menembak mati sembilan aktivis pro-Palestin.
Penganjur, Miri Weingarten berkata, bot itu, Irene, yang belayar dari Cyprus Ahad lalu bersama-sama 10 aktivis, dijangka tiba awal pagi ini.

Aktivis berkenaan berusaha menarik perhatian terhadap sekatan Israel ke atas Gaza dan berkata, mereka tidak akan melawan sekiranya ditahan.

Tentera Israel enggan mengulas sementara jurucakap Kementerian Luar, Andy David menyifatkan pelayaran itu sebagai provokasi bermotifkan politik. - AP

Hajat selamat nyawa lelaki ditikam tak sampai

KUALA LUMPUR: Usaha seorang pemandu teksi membantu menghantar seorang lelaki yang ditikam ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) gagal selepas mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang juga seorang warga Myanmar dipercayai ditikam rakannya dalam pergaduhan di Wangsa Maju, di sini, sempat melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah sebelum rebah dan ditemui pemandu teksi berkenaan.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemandu teksi terbabit yang melihat mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu terbaring di atas jalan segera memapah mangsa menaiki teksinya sebelum memecut laju untuk menghantarnya ke HKL.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital, mangsa dimasukkan ke wad kecemasan untuk menerima rawatan segera, tetapi disahkan meninggal dunia akibat mengalami pendarahan yang serius.

“Pihak hospital kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, sebaik menerima laporan itu, sepasukan polis melakukan siasatan menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an berhampiran tempat mangsa ditemui pemandu teksi itu sejam kemudian.

“Penahanan itu bagi membantu siasatan. Hasil maklumat, satu kejadian pergaduhan antara mangsa dan rakannya berlaku pada tengah malam kelmarin lagi. Namun, motif kejadian masih belum diketahui dengan jelas,” katanya.

“Polis turut menemui satu kesan luka pada jari tangan suspek dipercayai akibat pergelutan antara mangsa dan suspek,” katanya.

Difahamkan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan tiada identiti diri ditemui.

Apabila ditanya sama ada beberapa individu lain turut terbabit dalam kejadian berkenaan, beliau enggan mengulas lanjut dan memaklumkan tiada tangkapan lain dibuat dan membabitkan kes masih dalam siasatan.

Menurutnya, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Tiga sahabat nasib berbeza

KUANTAN: Nasib berbeza menimpa tiga sahabat apabila seorang daripada mereka dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki dadah, Januari lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh ketiga, Zulailay Derhaman, 31, seorang peniaga keropok dari Pasir Puteh, Kelantan apabila mengaku bersalah selepas tuduhan pilihan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud selesai dibacakan kepadanya. Bagaimanapun, dua lagi rakannya, tertuduh pertama, Ramli Kadir, 41, dari Besut, Terengganu dan tertuduh kedua, Zohari Hasan, 50 dari Jerteh, Terengganu, dilepas dan dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu sebelum pihak pendakwaan menarik semula tuduhan terhadap mereka.
Mengikut kertas pertuduhan, tiga sahabat itu didakwa dengan niat bersama memiliki satu peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan keputihan mengandungi dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine seberat 36.38 gram pada 30 Januari lalu kira-kira jam 5.30 petang di tempat letak kereta di depan kedai Nombor 18, Arked Buah Jalan Besar, di sini.

Bagi kesalahan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta A 234) (Pindaan 1998) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang lima tahun dan 10 sebatan. Terdahulu, Zulailay yang diwakili Bob Arumugam mengemukakan rayuan meminta mahkamah meringankan hukuman terhadapnya

Sempat beli selimut anak

KUALA KRAI: “Melihat keadaan arwah memuntahkan susu, saya segera membawanya ke Hospital Kuala Lipis (HKL). Kira-kira setengah jam dirawat di Unit Kecemasan, anak saya disahkan meninggal dunia,” kata Mohd Zainuddin Yusuf, 25, selepas anak bongsunya berusia lima bulan, meninggal dunia akibat tercekik susu ketika dalam perjalanan menaiki kereta api dari Kelantan ke Kuala Lumpur, dekat sini, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.
Menurutnya, dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil adiknya, Mohd Husaimi, 16, yang berada di sana sebelum pulang bersama-sama ke rumah mereka di Kampung Mesek, Manek Urai, di sini.
Katanya, dia yang bertolak kira-kira jam 9 malam dari Stesen Kereta api Kuala Krai turut membawa anaknya itu, Mohd Ayub manakala seorang lagi anak berusia dua tahun berada bersama isterinya di rumah.

“Sepanjang perjalanan itu, tidak ada sebarang masalah, malah saya sempat membelikannya selimut kerana keadaan sejuk dalam kereta api.

“Tidak lama kemudian, dia secara tiba-tiba memuntahkan susu sebelum saya segera membawanya ke hospital,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki yang dalam proses bercerai kematian anak bongsu akibat tercekik susu ketika dalam perjalanan menaiki kereta api dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu, bayi malang terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam kereta api akibat tercekik susu.

Sebelum kejadian, bapa berusia 25 tahun itu yang dalam proses bercerai dikatakan berhasrat membawa diri ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan baru sambil membawa mangsa manakala anak pertamanya berada dalam jagaan isteri.

Ibu keliru anak bersuami dua

KOTA BHARU: Seorang wanita yang didakwa bernikah lain ketika masih berstatus isteri orang menimbulkan keraguan dan kemusykilan ibunya sendiri.
Muliani Mahmud, 54, berkata dia keliru dengan tindakan anaknya, Shazlinda Che Ali, 35, yang dikatakan sudah berkahwin lain pada Februari lalu walaupun masih belum bercerai dengan suami pertama dikenali sebagai Hassim, 48.
Menurutnya, anaknya itu dikatakan tidak pernah bercerai dengan Hassim sebelum membuat keputusan berkahwin dengan seorang lelaki, kakitangan kerajaan di Kuala Lumpur.

“Saya kini keliru dengan status perkahwinan anak saya kerana dia tidak pernah bercerai dengan suami pertama sebelum berkahwin lain.

“Setahu saya, Hassim yang bekerja sebagai kontraktor tidak pernah menceraikan anak saya sejak perkahwinan mereka pada 2004 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun,” katanya.

Katanya, anaknya itu tidak pernah merahsiakan mengenai perkahwinan kedua itu, malah turut menjemputnya menghadiri majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, menurutnya, dia enggan berbuat demikian kerana keliru dan bingung dengan tindakan anaknya itu.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berkahwin kali kedua sedangkan masih lagi bergelar isteri orang yang sah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pintu Geng, di sini, semalam.

Namun, katanya, perkahwinan anaknya bersama suami kedua hanya bertahan tiga bulan apabila diceraikan dengan talak tiga di Kuala Lumpur.

Tidak cukup dengan masalah itu, Muliani berkata, dia bertambah runsing apabila hingga kini Shazlinda masih tinggal bersama bekas suaminya itu.

“Sebagai ibu, saya tidak mahu Shazlinda tersilap langkah sebaliknya perlu mengambil berat dalam hal ini kerana ia membabitkan hukum agama.

Sindiket Iran bawa dadah 280 kilogram

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Iran dikesan cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 280 kilogram dengan nilai pasaran menjangkau lebih RM70 juta sejak Januari lalu hingga kini.
Semua dadah syabu berkenaan bagaimanapun dirampas pihak berkuasa lapangan terbang dan polis yang bertindak agresif mengawal ketat pintu masuk negara.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun ketika dihubungi berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, polis sudah memberkas 135 pengedar dan ahli sindiket dadah antarabangsa berasal dari Iran.

Menurutnya, daripada itu, 99 suspek dikenal pasti sebagai ‘keldai dadah’ atau individu yang dibayar upah lumayan bagi menjalankan tugas berbahaya terbabit.

“Berdasarkan siasatan, 36 lagi baki suspek yang diberkas adalah dalang atau ahli sindiket dadah yang menguruskan kemasukan syabu berkenaan ke Malaysia. Mereka dikesan memperalatkan golongan petani, penganggur di Iran,” katanya.

Ambil keterangan murid lelaki, kakitangan sekolah

SARATOK: Selepas dikejutkan dengan kejadian cabul membabitkan empat murid perempuan sebuah sekolah asrama di daerah ini, beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok ke sekolah terbabit untuk merekod keterangan bagi menjalankan siasatan.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Len berkata, keterangan diambil termasuk beberapa murid lelaki yang menginap di asrama berkenaan selain guru besar dan beberapa kakitangan sekolah berkenaan.
“Kami turut mendapatkan keterangan daripada ibu bapa serta nenek mangsa bagi memudahkan siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan empat murid perempuan berusia antara lapan hingga sembilan tahun mendakwa dicabul murid lelaki, menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan selain perubahan sikap sejak April lalu.

Kejadian berlaku dipercayai akibat tindakan pihak sekolah yang mengarahkan keempat-empat murid berkenaan menginap di asrama lelaki buat sementara memandangkan asrama yang menempatkan murid perempuan penuh.

Jual pistol seludup

KANGAR: Seorang peniaga pasar malam menerima padah selepas beralih kerjaya sampingan menjual pistol apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di Changlun, Kedah, petang kelmarin.
Ketika ditahan, polis menemui sepucuk pistol automatik jenis Glock 26 keluaran Austria serta 40 peluru hidup pada badan suspek berusia lewat 20-an yang berasal dari Alor Setar, kira-kira jam 5.30 petang.
Mengikut harga pasaran, senjata api keluaran terbaru itu berharga RM6,000 dan dipercayai diseludup dari negara jiran dan amat digemari penjenayah.

Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md Amin, berkata suspek yang menaiki kereta Proton Waja ditahan ketika berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di pekan Changlun.

Katanya, peniaga pasar malam yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu dipercayai mula berjinak berniaga pistol di seludup masuk dari negara jiran untuk mengaut keuntungan lumayan.

“Kami merampas sepucuk pistol automatik jenis Glock 26 9x19 keluaran Austria bersama 40 butir peluru hidup hasil penahanan lelaki yang mempunyai dua anak dan berasal dari Alor Setar itu, kelmarin.

“Senjata api automatik itu dikenal pasti canggih dan digunakan pasukan keselamatan itu, ditemui pada badan suspek,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Asisten Komisioner, Zul Aznam Harun dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Superintenden Nashir Ya.

Menurutnya, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis bergegas ke lokasi kejadian selepas memperoleh maklumat wujud transaksi senjata api dan menahan peniaga pasar malam yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Siasatan awal mendapati suspek cuba menjual senjata api yang diseludup masuk dari negara jiran itu kepada kumpulan penjenayah tertentu dan ia bukan kali pertama dilakukannya,” katanya.

Nyaris maut dihempap bot jatuh dari ‘langit’

MASJID TANAH: Seorang pemuda nyaris maut apabila sebatang dahan pokok rhu dan sebuah bot fiber yang tersangkut di atas pokok berkenaan jatuh dan hampir menghempapnya dalam kejadian di sebuah gerai makan di Pantai Padang Kamunting, dekat sini, petang Jumaat lalu.
Difahamkan bot, berkenaan tersangkut di atas dahan itu sebelum ia patah selepas diterbangkan ribut, tiga minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Imran Abdullah, 26, baru tiba di gerai makan berkenaan untuk mengambil isterinya yang bekerja di gerai itu.

Bagaimanapun, beliau sempat mengelak dengan melompat ke dalam gerai berkenaan sejurus mendengar bunyi rekahan kuat dari atas.

“Mujur saya sempat mengelak, jika tidak pasti sesuatu yang buruk berlaku kepada saya kerana dihempap dahan itu.

“Lebih mengejutkan bukan saja dahan kayu jatuh, tetapi ia jatuh dengan sebuah bot yang tersangkut di atasnya,” katanya ketika ditemui.

Pemilik bot berkenaan, Tan Boon Hang, 42, berkata, dia terperanjat apabila mendapati bot yang diletakkan di tepi pantai berhampiran tercampak lalu tersangkut di atas dahan pokok itu selepas kawasan pantai di situ dilanda ribut pada malam 6 September lalu.

Beliau yang juga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyedari bot itu tersangkut di atas dahan pokok pada sebelah pagi keesokannya apabila diberitahu pemilik gerai itu.

“Sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil pihak JPAM biarpun aduan sudah saya buat selepas kejadian berlaku jadi saya membuat laporan polis untuk mendesak pihak JPAM bertanggungjawab di atas aduan saya tiga minggu lalu,” katanya.

Kekasih curi barang hotel

KUALA LUMPUR: Sebuah hotel terkemuka di sini, kerugian hampir RM7,000 apabila beberapa barangan elektrik berjenama dilarikan sepasang kekasih yang menyamar sebagai pelanggan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua suspek berusia awal 20-an itu dikatakan memuatkan dua televisyen, dapur elektrik dan radio dalam sebuah beg besar sebelum meninggalkan hotel berkenaan dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Difahamkan, kegiatan berkenaan hanya disedari pihak pengurusan hotel, semalam, kira-kira jam 8 pagi apabila mereka gagal menghubungi wanita terbabit untuk mengemas bilik berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan di bilik itu.

Menurut sumber, kegiatan pasangan itu hanya terbongkar apabila pihak pengurusan hotel terbabit meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum membuat laporan polis.

“Semuanya bermula apabila, wanita terbabit yang berseorangan pada mulanya mendakwa mahu menambahkan hari penginapan.

“Bagaimanapun, selepas dibenarkan berbuat demikian, pihak pengurusan hotel gagal menghubungi suspek pada sebelah pagi untuk mengemas biliknya menyebabkan mereka terpaksa menggeledah bilik berkenaan kerana curiga selain bimbang kejadian buruk menimpa wanita itu.

“Sebaik memasuki bilik itu, mereka mendapati beberapa barangan elektrik berjenama lesap,” katanya.

Sumber berkata, pihak pengurusan hotel terpaksa meneliti rakaman CCTV sebelum mendapati wanita terbabit dibantu seorang lelaki dipercayai rakan subahat yang juga kekasihnya mencuri barangan berkenaan.

Sehubungan itu, pihak pengurusan hotel berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Bicara kes bunuh anak jiran 1 Februari

SHAH ALAM: Kes seorang kelindan lori yang dituduh membunuh anak jirannya berusia 18 bulan di taman permainan kanak-kanak di Kampung Sungai Kayu Ara, dekat sini, empat bulan lalu, akan dibicarakan pada 1 Februari tahun depan.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menetapkan tarikh itu selepas sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Sebelum ini, pada 29 Julai lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin menyerahkan laporan bedah siasat dan laporan kimia kepada peguam bela mewakili tertuduh iaitu Amer Hamzah Arshad dan N Surendran.

Mengikut pertuduhan, M Rajamorgan, 33, didakwa membunuh K Haresvarra di taman permainan kanak-kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, dekat sini, antara jam 9.40 dan 10.10 malam, pada 3 Mac lalu.

Rompak di pam minyak

AMPANG: Pengalaman ngeri ketika mengisi minyak mungkin tidak dapat dilupakan buat seorang wanita apabila dia menjadi mangsa rompak sekumpulan lelaki yang mengugut mahu mencederakannya jika enggan menyerahkan barang berharga dalam satu kejadian di Pandan Indah, Rabu lalu.
Detik cemas itu terpaksa ditempuh wanita berusia lingkungan 30-an terbabit apabila penjenayah berkenaan menghampirinya sebelum menunjukkan pisau yang terselit di pinggang membuatkan mangsa terpaksa menyerahkan wang tunai kepada mereka.
Namun, itu belum cukup buat kumpulan terbabit apabila seorang daripadanya dengan kasar merentap gelang tangan mangsa sebelum melarikan diri.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa berhenti di stesen minyak itu sebelum mengeluarkan wang di mesin ATM dalam premis terbabit.

Songket RM15,000 ‘ghaib’

KUALA LUMPUR: Sehelai songket yang ditenun daripada benang emas putih bercorak seni tradisional Malaysia dan direka khas sewaktu kunjungan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan kompleks membeli-belah SACC Mall, Shah Alam, empat tahun lalu, hilang.


KENANGAN...Faudziah menunjukkan gambar Sultan Sharafuddin melihat songket berkenaan ketika merasmikan SACC Mall empat tahun lalu.
KENANGAN...Faudziah menunjukkan gambar Sultan Sharafuddin melihat songket berkenaan ketika merasmikan SACC Mall empat tahun lalu.

Sehubungan itu, pemilik kedai pakaian Zulfauzie Classic yang mempamerkan songket berkenaan, Faudziah Yusoff meminta mana-mana pihak yang kini memiliki songket itu memulangkannya.
Katanya, songket bernilai RM15,000 itu dipamer pada patung di dalam almari di kedainya dan disedari hilang minggu lalu.

“Saya minta mereka yang memiliki songket berkenaan tampil memberi maklumat, jika benar ia sudah dijual, saya sanggup membeli semula songket itu pada harga ia dibeli. Saya menyimpan dan mempamerkannya sejak sekian lama kerana ia direka khas untuk tatapan Sultan ketika merasmikan SACC Mall,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang memiliki songket berkenaan atau mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Faudziah di talian 012-3491052 atau 03-55111052.

Peguam Negara bimbang siasatan kes Sosilawati diperbesar-besarkan

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan.
Beliau berkata, terdapat banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak dalam kes itu, dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.
"Saya fikir ikut sahaja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami.

"Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed. Abdul Gani ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lalu, Ismail mengingatkan media agar tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis.

Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur sudah ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka ke Banting, Selangor, untuk urusan penjualan tanah.

Pada 13 September lalu polis mengesahkan kesemua mangsa dibunuh dan mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting. Polis menemui tulang serta barangan lain dari sungai berkenaan dan menahan lapan suspek, termasuk dua adik beradik peguam, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam itu.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: "Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti," katanya.

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepadapolis, beliau berkata tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya.
"Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes itu secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus.

"Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari," katanya.

Mengenai kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: "Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan kes Sosilawati dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

"Kita mempunyai kertas siasatan yang boleh dianggap sebagai mantap, tetapi terpulang kepada perbincangan kita dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Iaitu sama ada mereka memerlukan kami untuk mencari bahan-bahan tertentu lagi dalam siasatan kami terhadap kes ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. Ditanya mengenai laporan DNA kes itu, Mohd Bakri berkata, polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memberi tekanan kepada Jabatan Kimia berhubung perkara itu kerana mereka memerlukan masa bagi menjalankan tugas yang rumit.

"Kita mesti berikan mereka masa, pakar patologi, Jabatan Kimia, bagi menganalisis tulang yang kita jumpa. Untuk mendapatkan DNA, bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Mohd Bakri juga mengulangi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemberita yang salah melaporkan kes Sosilawati.

"Saya mesti memberi amaran kepada anda (pemberita) kerana saya akan mengambil tindakan sewajarnya, kami telah memberikan peluang secukupnya bagi anda mendapatkan maklumat, namun bukan untuk menulis sesuatu yang tidak benar, jika tidak, kami akan mengambil keterangan daripada anda," katanya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata polis akan melawat beberapa lokasi lagi di sekitar Ladang Gadong, Banting untuk mencari bukti terbaru berhubung kes yang melibatkan suspek kes pembunuhan Sosilawati, berdasarkan beberapa petunjuk baru yang muncul dalam siasatan mereka.

"Anda semua perlu ingat, kita menyiasat dalam dua aspek, satu kes yang kita siasat sekarang iaitu kes (pembunuhan) Sosilawati bersama tiga orang, dan satu lagi ialah berkenaan kehilangan tiga orang, dan satu kes pembunuhan yang berlaku di Banting," katanya.-Bernama

APMM Tawau tahan 14 pendatang tanpa izin di muara Sungai Serudong

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menahan 14 warga asing dipercayai pendatang tanpa izin kerana cuba meninggalkan negara ini secara tidak sah pada Ahad lalu.
Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Komander (Maritim), Amran Daud berkata, kesemua mereka termasuk tujuh wanita, berumur antara 16 dan 48 tahun ditahan di muara Sungai Serudong di sini kira-kira jam 9 malam.
"Semasa melaksanakan Ops Sejahtera, warga asing berkenaan ditahan di dalam sebuah bot jongkong yang dipercayai dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia, melalui Sungai Serudong," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Amran berkata, selepas diperiksa kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan disyaki melanggar Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.-Bernama

Tiga atlet Sukma Melaka positif dadah

KUALA LUMPUR: Tiga atlet yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Melaka pada Jun lalu didapati positif dalam ujian doping ketika temasya dwi-tahunan itu, demikian menurut Laporan Pengelolaan Sukma Melaka 2010 yang dibentangkan pada Seminar Penganjuran Sukma yang berakhir di sini, hari ini.
Tiga atlet masing-masing mewakili acara hoki, tinju dan berbasikal, adalah daripada 1,723 ahli sukan yang beraksi pada temasya itu, dan didapati menggunakan methamphetamine, diuretics dan Methobolite of Nandrolone semasa ujian dilakukan oleh Institut Sukan Negara (ISN).
ISN menguji 202 sampel sepanjang temasya itu berlangsung dari 10 hingga 19 Jun. ISN hari ini mengesahkan bahawa seorang atlet yang positif dadah itu sudah membuat permohonan kepada institut itu untuk melakukan ujian kedua.

Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, ISN akan melakukan ujian itu di India kerana semua sampel atlet beraksi di Sukma Melaka dihantar ke pusat ujian doping di negara itu.

"Ujian ke atas sampel B air kencing atlet itu akan dilakukan oleh pihak di India dan pihak persatuan boleh menghantar seorang wakil untuk menyaksikan proses itu," katanya kepada Bernama di sini.-Bernama

Pekerja memproses ayam dipenjara 3 tahun, denda RM4,000 kerana mencuri

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja memproses ayam dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM4,000, dan sekiranya gagal membayar denda dipenjara 10 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri barang kemas milik ibu saudaranya, bulan lalu.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir membuat keputusan itu terhadap Sidieq Haqim Abu Bakar, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Abdullah Siddiq turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 12 September lalu.

Sidieq dari Sentul didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah beg berwarna hijau yang mengandungi seutas rantai tangan emas berbatu permata, satu loket, sebentuk cincin emas, tiga bentuk cincin perak, seutas jam tangan jenama Citizen, dua pasang subang, dan wang tunai RM50, yang keseluruhannya bernilai RM3,500 milik Saliha@Rogayah Mohd Nasir, 69.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No 2M, Kampung Chempedak, Sentul di sini pada 7 petang, 22 Ogos tahun ini.

Sidieq didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh masuk ke dalam rumah dan mengumpil kabinet besi serta mengambil sebuah beg berwarna hijau yang mengandungi barang kemas dan wang tunai RM50 milik mangsa, yang ketika itu berada di masjid.

Tertuduh, kemudian dilihat keluar oleh suami mangsa yang ketika itu berada di reban ayam di sebelah rumah mangsa dalam keadaan tergesa-gesa dan hasil siasatan polis mendapati tertuduh mencuri sebuah beg hijau yang mengandungi barang kemas mangsa dan wang RM50.

Terdahulu, Sidieq yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman ringan dikenakan ke atasnya kerana dia menginsafi kesalahan yang dilakukan dan perlu bekerja untuk menyara ibu angkatnya.

"Saya adalah penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara ibu angkat berumur 62 tahun yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sebelum ditahan polis, saya bekerja di kedai memproses ayam dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan wang itu digunakan untuk perbelanjaan keluarga," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon hukuman yang setimpal kerana tertuduh sudah menggunakan wang yang dicurinya untuk perbelanjaan.
Tertuduh juga gagal menjelaskan denda itu.-Bernama

Pelajar IPT antara yang ditahan curi motosikal

KANGAR: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah antara lima remaja yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes curi motosikal di sini minggu lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Mohd Amin berkata, kesemua remaja itu yang berusia antara 18 hingga 21 tahun, merupakan salah satu dari tujuh kumpulan curi motosikal yang dilaporkan di Perlis.
Beliau berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada 24 September lalu dan dua daripada suspek menghadapi perbicaraan kes rogol di mahkamah.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini mahir dalam meleraikan komponen motosikal yang dicuri dan mereka akan membuang rangka motosikal yang dicuri ke dalam sungai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ghazali berkata, kesemua rangka motosikal yang dicuri telah dijumpai semula di Sungai Tambun Tulang dan Sungai Kangar dengan bantuan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, 299 kes curi motosikal dilaporkan di Perlis sehingga kini dan angka itu meningkat berbanding 287 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

-Bernama

Pengawal keselamatan bank cedera di tengkuk selepas ditembak penyamun

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan cedera di tengkuk selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian samun di sebuah bank di Taman Sungai Besi Indah, Cheras di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 11.30 pagi ketika pengawal keselamatan itu sedang membantu seorang pelanggan mengeluarkan wang di mesin ATM di dalam premis bank itu.
Beliau berkata, dua lelaki yang memakai topi besbol dan topi keledar penuh tiba-tiba meluru masuk ke dalam bank itu sebelum seorang daripadanya bertindak menembak pengawal keselamatan berkenaan menggunakan sepucuk pistol automatik.

Katanya, seorang daripada lelaki itu kemudian merampas 'pump gun' pengawal keselamatan berkenaan dan terus meluru ke kaunter lalu merampas wang berjumlah RM50,000. "Pada ketika itu, ada tiga pekerja dan seorang pelanggan sedang berurusan di kaunter bank. Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal sebelum mencampak pump gun itu di hadapan sebuah rumah kira-kira 100 meter dari bank berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Khaw berkata, pengawal keselamatan berumur 49 tahun itu dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.-Bernama

Pasangan suami isteri didakwa anjur pelaburan kutu


SABBRI Yusof, 49, dan isterinya, Rahimah Rahim, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini terhadap dakwaan menganjurkan pelaburan wang kutu yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971. - Foto Abdullah Yusof


SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dakwaan menganjurkan pelaburan wang kutu yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
Sabbri Yusof, 49, dan isterinya Rahimah Rahim, 39, dari Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.
Pasangan itu yang juga pemilik perniagaan World Heritage Resources didakwa menganjurkan wang kutu dikenali sebagai "Program Ekspres" di premis perniagaan mereka di No: 3, Jalan Keluli AM7/AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7 di sini, di antara 1 Disember 2008 dan 29 April lalu.

Mereka, yang berdiri di luar kandang tertuduh selaku orang kena saman (OKS), didakwa mengikut Seksyen 3 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 2 November depan untuk sebutan bagi membolehkan Sabbri dan Rahimah melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Steve Chin Yun Cheong.

World Heritage Resources, yang berdaftar dengan SSM sebagai agen komisen am, mempunyai kira-kira 30,000 ahli sejak memulakan operasi pada 1 Disember 2008.

-Bernama

Penganggur dihukum gantung bunuh model sambilan

ALOR STAR: Seorang penganggur hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh seorang model sambilan pada Mei 2004.
Hakim Datuk Zamani A Rahim ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.
Ismawi Ishak, 25, dituduh membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di rumah bernombor 180 Jalan Anggerik 1/7 Bandar Amanjaya, Sungai Petani antara 12.01 tengah malam hingga 7.15 pagi pada 4 Mei 2004.

Ketika membela diri, tertuduh mendakwa dia menikam si mati akibat terkejut, panik dan marah kerana mangsa cuba meliwatnya ketika sedang tidur pada malam kejadian di rumah berkenaan.

Sementara itu, dalam penghakimannya Zamani berkata: "Semasa memberi keterangan membela diri tertuduh gagal membuktikan berlaku kemarahan yang melampau atau cubaan untuk membela diri.

Oleh itu saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes ini," katanya.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 27 kesan kecederaan pada badan si mati termasuk dua kesan tikaman pisau rambo yang dalam pada dada mangsa.

Sebaik sahaja hukuman diputuskan, Ismawi yang berseluar hitam dan berkemeja-T putih terus menundukkan muka sehingga dibawa masuk ke lokap.

Tertuduh diwakili peguam CP Ang, manakala pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Pendakwaan Datuk Razali Che Ani.-Bernama.

Pemandu lori kerugian RM1.7 juta ditipu kenalan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mendakwa kerugian kira-kira RM1.7 juta selepas ditipu seorang kenalan lelakinya, yang berjanji menjadikan beliau seorang usahawan buah-buahan.
Pengerusi Biro Aduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, Lim Seik Kuang, 51, ditipu rakannya sejak 2008 selepas diminta menandatangani dua dokumen perjanjian, yang kononnya diperlukan membuat pinjaman perniagaan.
"Beliau yang tidak tahu berbahasa Inggeris, hanya menandatangani dokumen itu tanpa bertanya kandungan dokumen itu. Rakannya pula menipunya dengan mengatakan ia bagi tujuan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Chong berkata, Lim turut diminta menukar alamat dalam kad pengenalannya, kononnya bagi memudahkan proses pinjaman itu.

"Lelaki itu menyuruh Lim menukar alamat di kad pengenalan yang baru, dengan alasan setiap pinjaman bank yang ingin dibuat, mesti disertakan dengan latar belakang," katanya.

Lelaki itu juga memberikan Lim antara RM200 hingga RM300 setiap kali menandatangani dokumen di bank, dan ini menyebabkan beliau mempercayai lelaki itu.

Katanya, Lim menyedari dirinya ditipu selepas menerima satu SMS daripada sebuah bank pada 20 September lalu kerana dikatakan terlewat membayar ansuran bulanan kereta, sedangkan beliau tidak memiliki kenderaan berkenaan ketika itu.

"Selepas menerima SMS itu, beliau terus ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak status kereta itu, dan pihak JPJ memaklumkan bahawa beliau mempunyai tiga lagi kereta yang didaftarkan atas namanya, dan sebuah lagi kereta yang didaftarkan sebagai penjamin, yang keseluruhannya berjumlah RM1.1 juta," katanya.

Chong berkata, Lim yang tidak berpuas hati, terus ke Bank Negara untuk bertanyakan perihal pinjaman kesemua kereta berkenaan, sebaliknya pihak bank menyenaraikan kepadanya lapan lagi tunggakan kad kredit berjumlah RM163,800 selain 13 pinjaman peribadi di pelbagai bank berjumlah RM467,800 yang dibuat atas namanya.

Lim kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 21 September lalu.

Chong berkata, sehari selepas itu, Lim ke alamat yang tertera di kad pengenalannya untuk melihat sama ada terdapat sebarang surat berkaitan semua pinjaman itu.
"Ketika sampai di alamat itu, dilihat lelaki itu sedang mengambil kesemua surat di dalam peti surat itu, dan mereka berbincang tentang perkara itu.

"Ketika berbincang, lelaki itu mengaku hanya menjadi orang tengah yang didalangi oleh sebuah syarikat import-eksport, dan beliau bersetuju untuk pergi bersama membuat laporan polis di balai yang sama pada keesokan harinya," katanya.

Lelaki itu juga berjanji untuk membantu Lim menyelesaikan perkara itu, namun selepas laporan polis dibuat, dia telah menghilangkan diri.-Bernama

Rundingan damai TT jadi tidak menentu



PERIKSA KERETA: Seorang pegawai keselamatan Israel memeriksa sebuah kereta di Hospital Soroka di Beersheba, selatan Israel, selepas sekumpulan orang bersenjata Palestin melepaskan tembakan ke atas kereta itu di Tebing Barat, kelmarin. -- Foto AP

Tolak ansur dicari selepas pembekuan pembinaan petempatan Yahudi luput


BAITULMAKDIS: Luputnya pembekuan pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat menyebabkan rundingan damai Timur Tengah menjadi tidak menentu semalam, sewaktu Israel, Palestin dan Amerika berusaha mencari tolak ansur agar rundingan boleh diteruskan.
Seorang pegawai kanan Palestin berkata Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, akan memulaukan rundingan damai jika Israel menyambung semula pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat, selepas larangan selama 10 bulan itu ditarik balik.Encik Yasser Abed Rabbo memberitahu Radio Israel semalam bahawa pembinaan petempatan akan 'membantutkan rundingan dan membantutkan huraian politik'.Larangan pembinaan petempatan Yahudi itu berakhir tengah malam kelmarin. Namun Israel tidak menunjukkan kesediaan bagi melanjutkan larangan tersebut.Encik Abbas berkata beliau tidak dapat meneruskan rundingan damai di Washington jika Israel terus membina petempatan Yahudi.Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pemerintah Israel tidak bercadang melanjutkan pembekuan tersebut.'Saya berharap Presiden Abbas akan meneruskan rundingan dan terus bersama saya menuju jalan perdamaian yang kita mulakan tiga minggu yang lalu,' kata Encik Netanyahu dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS).Encik Abbas menangguhkan keputusan sama ada hendak memulaukan rundingan sehingga Isnin depan apabila beliau berbincang dengan 22 negara Liga Arab mengenai isu tersebut.Di Paris kelmarin, Encik Abbas berkata hanya ada satu pilihan bagi Israel - 'sama ada damai atau petempatan'.Encik Netanyahu menggesa Encik Abbas agar meneruskan rundingan dan pada masa yang sama memujuk peneroka Yahudi supaya mengawal perasaaan.Di bawah tekanan Amerika, Encik Netanyahu memujuk Kabinet agar akur membekukan pembinaan petempatan Yahudi pada November lalu supaya pemimpin Palestin kembali ke meja rundingan.Semalam, peneroka Yahudi menyambung semula pembinaan bangunan di beberapa petempatan di Tebing Barat.Para pekerja memulakan kerja membina berpuluh rumah di kejiranan Ariel, lapor jurucakap perbandaran, Cik Chen Kedem.Encik Naftali Bennett, ketua pengarah Majlis Yesha, yang mewakili 300,000 penduduk Yahudi di Tebing Barat, berkata pembinaan juga sedang berlaku di petempatan Oranit dan Adam.Perunding Palestin, Encik Nabil Shaath, berkata pihaknya akan 'menilai apa yang berlaku di lapangan'.Amerika mahu Israel melanjutkan pembekuan pembinaan petempatan, kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Philip J. Crowley.'Kami tetap fokus berhubung matlamat meningkatkan rundingan bagi mencapai huraian dua negara,' tegas beliau. -- Agensi.

Iran lancar serangan rentas sempadan




TEHERAN: Askar daripada Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyeberang masuk ke wilayah Iraq dan membunuh 30 pejuang kumpulan yang menurut Teheran terlibat dalam serangan ke atas bandar Mahabad di barat laut negara itu minggu lepas, lapor agensi berita Fars.
Jurucakap IRGC, Jeneral Abdolrasoul Mahmoudabadi, berkata pengganas itu dibunuh dalam satu pertempuran di luar sempadan Sabtu lalu.Pasukannya masih memburu dua orang yang dapat meloloskan dari daripada serangan hendap itu.'Askar kumpulan Hamzeh Seyed al-Shohada daripada ibu pejabat Pasukan Darat IRGC berhasil membunuh anasir utama yang melancarkan serangan di Mahabad,' kata panglima Pasukan Darat IRGC, Brigedier Jeneral (BG) Mohammad Pakpour.Ini kali pertama ia mengaku melancarkan serangan rentas sempadan.Bagaimanapun, BG Pakpour tidak memberi butir lanjut mengenai tempat dan tarikh operasi serta jumlah yang terkorban dalam operasi itu, lapor Fars.Pada masa lalu, para pegawai Iraq mendakwa Iran membedil dengan meriam pergunungan utara Iraq yang disyaki menjadi tempat perlindungan kaum pemisah Kurdi.Teheran menuduh kumpulan pemisah Kurdi bertanggungjawab di atas serangan bom dalam satu perbarisan tentera Iran di banadar Maahabad yang mengorbankan 12 wanita dan kanak-kanak Rabu lalu.Iran juga menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat kerana menyokong kumpulan pemisah Kurdi.Perbarisan minggu lepas di Mahabad adalah bagi memperingati ulang tahun Perang Iran-Iraq 30 tahun lalu.Bandar Mahabad mempunyai 190,000 penduduk, kebanyakannya kaum Kurdi dan Sunni.Pemerintah Iraq, Iran dan Turkey sering terlibat dalam pertempuran dengan minoriti Kurdi di kawasan sempadan masingmasing. -- AP.

Tiga askar komando Australia didakwa tembak mati orang awam di Afghanistan




SYDNEY: Tiga bekas askar komando Australia menghadapi pertuduhan serius melancar serangan yang menyebabkan kematian lima kanak-kanak di wilayah Uruzgan di Afghanistan, kata ketua pendakwa tentera semalam.
Tindakan mahkamah itu diambil menyusuli satu operasi yang dilancar tentera Australia ke atas sebuah rumah, tempat seorang pemimpin Taleban dipercayai bersembunyi tahun lepas.Pengarah Pendakwaan Tentera, Brigedier Lyn McDade, berkata ketiga-tiga askar komando, yang nama mereka tidak didedahkan, 'akan didakwa menyebabkan kematian, enggan mematuhi peraturan dan tindakan berperasangka'.Media setempat melaporkan kes itu berpunca daripada satu operasi pada waktu malam bagi misi untuk 'menangkap atau membunuh' Taleban.Sekitar 30 askar Australia berbalas tembakan dengan seorang lelaki Afghanistan. Lelaki itu, bersama lima kanak- kanak, termasuk dua bayi, mati selepas bom tangan dilempar ke arah mereka, lapor akhbar Sydney Morning Herald.Dua daripada askar komando itu berikrar akan membela diri terhadap pertuduhan itu yang dibuat menyusuli satu siasatan tentera.'Kami akan membela diri terhadap pertuduhan dan menunggu peluang bagi membersihkan nama Angkatan Tentera Australia,' kata kedua-dua askar menerusi peguam mereka.'Kata-kata tidak mencukupi buat menyatakan rasa kesal kami kerana ada wanita dan kanak-kanak yang terbunuh dan cedera semasa insiden berlaku pada 12 Februari 2009,' kata satu kenyataan askar-askar berkenaan seperti disiarkan firma guaman Kennedys.Pendakwa memanggil tertuduh sebagai 'bekas askar' tetapi tidak menyatakan bila atau kenapa mereka keluar daripada perkhidmatan tentera.Seorang jurucakap Jabatan Pertahanan berkata askar-askar berkenaan bukan lagi anggota Kumpulan Petugas Operasi Khas, tetapi masih menjadi anggota tentera. -- AP, AFP.

Peniaga disifatkan pemurah tetapi tegas



SELAMAT DISEMADI: Jenazah Allahyarham Shah Amin Shariffudin diusung ke pusara bagi upacara pengebumian petang semalam. Turut hadir di pusara ialah Cik Jasmin Abdullah, isteri Allahyarham Shariffudin. -- Foto TAUFIK A. KADER
SINGAPURA

KES KEMATIAN ANAK-BERANAK

Oleh
Linilidia Abdul Hamid
SEORANG yang cukup pemurah dan suka menderma.Itulah sifat Allahyarham Shariffudin Abdul Kader yang disebut-sebut kenalan dan sanak-saudaranya semasa Berita Harian meminta mereka menggambarkan diri arwah.Salah seorang pekerjanya, yang tidak mahu memberikan namanya, menyatakan Allahyarham adalah bos yang pemurah tetapi tegas dalam urusan kerja.Sifat pemurahnya diakui seorang lelaki yang mengakui dirinya sebagai pak cik kepada Allahyarham.'Kalau ada orang yang datang minta derma atau minta bantuan, arwahnya tanpa banyak cakap akan tolong. Arwahnya tak akan selidik atau cuba pastikan sama ada orang itu benar-benar memerlukan atau cuba menipu.'Arwahnya akan hulurkan derma tanpa banyak soal,' ujar lelaki yang tidak memberikan namanya itu.Allahyarham Shariffudin ditemui mati di kaki Blok 35, Marsiling Drive, sekitar 5.30 pagi kelmarin.Anaknya, Allahyarham Shah Amin Shariffudin, 19 tahun, pula ditemui mati di sebuah bilik di Hotel Corpthorne Orchid di Dunearn Road, dua jam kemudian.Sehari sebelum kejadian ngeri lagi menyayat hati itu, Allahyarham Shariffudin dipercayai telah menempah sebuah bilik di hotel tersebut sekitar 8 malam untuk penginapan semalam.Sekeping nota telah ditemui pada jasad Allahyarham Shariffudin memberitahu di mana jasad Allahyarham Shah Amin boleh ditemui.Leher Allahyarham Shah Amin mempunyai kesan luka dan beliau dipercayai telah dicekik.Semalam, dengan diiringi hujan, jenazah Allahyarham Shariffudin dan anaknya disemadikan bersebelahan satu sama lain selepas solat asar di Pusara Abadi.Allahyarham meninggalkan seorang balu, Cik Jasmin Abdullah, yang juga dikenali sebagai Cik Chong Guat Lean, dan seorang anak perempuan remaja yang dipercayai berusia 18 tahun.Semasa upacara pengebumian kedua-dua beranak itu semalam, Cik Jasmin dan anggota keluarga terdekatnya tidak mahu ditemu ramah.Malah, sepanjang ucapara pengebumian, anggota keluarganya sering melindungi Cik Jasmin dan anak perempuannya daripada pandangan media.Malah, Cik Jasmin dan anak perempuannya menutupi wajah mereka dengan selendang dan baju masing-masing bagi mengelak wajah mereka dirakamkan.Sebelum kematiannya, Allahyarham Shariffudin merupakan rakan kongsi sebuah pusat kesihatan, Health Spa Fitness Centre, di Grandlink Square.Namun, pusat itu telah ditutup secara mendadak baru-baru ini.Polis menyifatkan kes ini sebagai kematian luar biasa dan masih menjalankan siasatan.

'Tamu sampah'



Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my



2010/09/28

LONGGOKAN sampah dibuang di tepi tong sampah yang disediakan yang tidak mampu menampung jumlah sampah.
LONGGOKAN sampah dibuang di tepi tong sampah yang disediakan yang tidak mampu menampung jumlah sampah.

Tong tak cukup tampung sisa buangan peniaga pasar mingguan 


2010/09/28




PUTATAN: Sampah melimpah-ruah adalah pemandangan lazim setiap Sabtu dan Ahad khususnya di kawasan tamu mingguan daerah ini.
Bukan tiada tong sampah disediakan pihak berkuasa di kawasan berkenaan, namun bilangannya tidak mampu menampung kuantiti sampah dan menyebabkan persekitarannya menjadi sasaran.
Tinjauan Berita Harian mendapati ada tiga tong sampah bersaiz sederhana ditempatkan di kawasan itu sebagai kemudahan peniaga di pasar berkenaan tetapi bilangannya tidak mencukupi. 

Antara yang menyakitkan pandangan ialah longgokan kulit buah-buahan seperti durian dan rambutan serta sayuran, kotak, bekas telur dan plastik yang dibuang di tepi tong sampah disediakan. 

Bau yang timbul juga cukup meloyakan dan menjijikkan bagi mereka yang terpaksa menggunakan laluan itu ke tamu berkenaan tetapi ia terpaksa diharungi kerana barangan keperluan kerap diperoleh dari tamu. 

Seorang peniaga, Japrie Amat, 42, berkata jalan penyelesaian terbaik ialah menambah tong sampah, sesuai dengan jumlah sampah dibuang oleh peniaga dan pengunjung tamu. 
“Bilangan tong sampah yang sikit dan saiznya kecil memang tidak mencukupi menampung sampah dibuang peniaga tamu. Mahu tidak mahu, kami terpaksa membuang sampah di luar tong disediakan dengan menempatkannya dalam kotak atau plastik. 

“Kami tahu ia membuatkan ramai tidak selesa dan menimbulkan bau busuk tetapi apa lagi boleh kami lakukan? Kami berdepan masalah ini setiap minggu. 

“Selain menjejaskan nama baik Putatan, ia juga tidak elok untuk alam sekitar. Kami tahu semua itu tetapi pada masa kami tidak ada pilihan lain," katanya kepada Berita Harian. 

Japrie berkata, pihak bertanggungjawab diharap dapat menempatkan tong lebih besar di kawasan itu bagi menampung sampah-sarap dari peniaga tamu berkenaan. 

Walaupun hanya berniaga dua hari seminggu, katanya, tamu itu kerap menjadi pilihan penduduk dari luar daerah dan pemandangan sampah berlonggok adalah sesuatu yang boleh mencemar imej Putatan. 

Sementara itu, seorang penduduk kawasan perumahan berhampiran, Maslinah Rahman, 38, berkata longgokan sampah yang berlaku setiap hujung minggu itu menjadi lebih teruk apabila kumpulan anjing liar menguis sampah untuk mencari makanan. 

"Sudahlah berbau dan pandangan tidak menyelerakan, kelibat anjing berbuat demikian membuatkan kami lebih `sakit mata' di samping sakit hati. 

"Saya menggunakan laluan di lorong berhampiran untuk ke tamu dan terpaksa mengelak sampah bertaburan, di samping menahan nafas kerana bau meloyakan. 

"Sampai bila keadaan ini perlu berterusan," katanya sambil merayu pihak majlis daerah mengambil tindakan sewajarnya. 

Sekeluarga trauma dirompak





2010/09/28


 MOHAMAD NOR dan Nadzmiah  menunjukkan dawai serta wayar seterika   yang digunakan perompak untuk mengikat mereka di Kampung Gelam, Alor Setar, awal pagi kelmarin.
MOHAMAD NOR dan Nadzmiah menunjukkan dawai serta wayar seterika yang digunakan perompak untuk mengikat mereka di Kampung Gelam, Alor Setar, awal pagi kelmarin.
ALOR SETAR: Sepasang suami isteri cedera akibat dipukul, manakala dua anak mereka trauma selepas rumah mereka disamun dua lelaki bertopeng dalam kejadian di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, awal pagi kelmarin. 

Kejadian berlaku pada jam 2.45 pagi ketika pasangan suami isteri terbabit serta dua anak mereka yang sedang tidur, dikejutkan dua lelaki bertopeng yang bertindak memukul dan mengikat mereka sambil mengacukan pisau.
Mangsa ialah Mohamad Nor Omar, 47, seorang kontraktor binaan, isterinya, Nadzmiah Md Nor, 43, kakitangan Majlis Bandaraya Alor Setar, (MBAS), dan dua anak mereka Fatin Nadiah, 9, serta Mohd Fahmi Hakim, 6.
Mohamad Nor berkata, dia tidak menyedari suspek itu memasuki rumah mereka kerana sedang nyenyak tidur hinggalah pintu bilik mereka dipecah masuk menggunakan tong gas. 

Katanya, dia diterkam seorang daripada lelaki itu yang menumbuk dan mengikatnya menggunakan dawai penyangkut pakaian. 

Beliau berkata, isterinya diikat dengan wayar seterika, manakala dua anak mereka diacukan pisau sebelum dua suspek itu meng-geledah rumah dan merampas barang kemas bernilai kira-kira RM45,000, wang tunai RM2,000, empat telefon bimbit dan selaras senapang patah bersama 20 butir peluru hidup. 

“Saya tidak mampu melawan kerana bimbang anak dan isteri dicederakan lelaki terbabit. Selepas tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diperoleh, lelaki terbabit bertindak memukul saya berulang kali dan saya merayu dilepaskan kerana itu saja wang ada dalam simpanan ketika itu,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM50,000. 
Mohamad Nor berkata, berdasarkan percakapan mereka, dia mengesyaki penjenayah terbabit adalah warga Indonesia. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab yang dihubungi mengesahkan kes itu dan siasatan sedang dijalankan. 

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mereka adalah kumpulan sama yang pernah melakukan pecah rumah dan samun dalam beberapa kes sebelum ini kerana modus operandinya hampir sama.

300 rumah rosak teruk dibadai ribut



Oleh Omar Osman 
bhnews@bharian.com.my 
2010/09/28

SEBAHAGIAN bumbung Sekolah Kebangsaan Darulaman diterbangkan  angin kencang dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Kecil, Sungai Petani,   petang semalam.
SEBAHAGIAN bumbung Sekolah Kebangsaan Darulaman diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Kecil, Sungai Petani, petang semalam.
Angin kencang terbangkan bumbung sekolah 

SUNGAI PETANI: Sebanyak 300 rumah dan sebuah sekolah kebangsaan rosak teruk dalam kejadian ribut yang disusuli hujan lebat di dua kampung di Jalan Batu Lintang, di sini, petang kelmarin.
Kejadian pada jam 3.30 petang itu menyebabkan hampir semua rumah penduduk Kampung Bukit Kecil dan Pengkalan Bukit Kecil mengalami kerosakan.
Bencana itu turut menerbangkan sebahagian bumbung Sekolah Kebangsaan Darulaman (SKD) di Kampung Bukit Kecil di situ, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. 

Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Daerah Kuala Muda/Yan, Mohd Nizam Mokhtar, berkata sehingga jam 12 tengah hari semalam, hampir 300 pemilik rumah di dua perkampungan terbabit sudah membuat laporan mengenai kerosakan rumah masing-masing dan pihaknya menjangkakan lebih ramai akan tampil berbuat demikian. 

Katanya, buat masa ini pihaknya sedang menyelaraskan operasi pembersihan dengan bantuan pelbagai agensi lain, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menerima laporan daripada mangsa bencana dan akan membuat bancian kerosakan yang dialami penduduk. 
“Kita membuka pusat penempatan sementara di Dewan RISDA Kampung Pengkalan Bukit Kecil bagi memindahkan penduduk yang terjejas teruk. Seramai 36 orang daripada tujuh keluarga kini ditempatkan di tempat di pusat berkenaan berikutan rumah mereka rosak teruk. 

“Selepas selesai bancian, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Mohd Nizam berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membaiki rumah yang rosak.