Search This Blog

Monday, September 27, 2010

Pengawal paling kanan Ratu Elizabeth digantung tugas

LONDON: Seorang pengawal Ratu Elizabeth II paling kanan digantung perkhidmatannya, semalam, apabila dia melepaskan tembakan secara tidak sengaja dalam istana.
Cif Superintendan Ian Boyes dilaporkan sedang membersihkan pistolnya apabila tembakan itu dilepaskan dalam kediaman rasmi keluarga diraja Britain, Holyroodhouse di Edinburgh.
Kejadian berlaku 16 September lalu, hanya beberapa jam sebelum Pope Benedict XVI tiba untuk bertemu ratu itu di situ.

Tidak dapat dipastikan sama ada Elizabeth berada dalam istana berkenaan ketika kejadian.

Boyes yang mendapat latihan dalam pasukan elit Britain dan berpengalaman dalam pasukan pengawal diraja tidak cedera.

Dia berseorangan dan di luar waktu bertugas ketika insiden berlaku. - Agensi

Lindsay menagih heroin

LOS ANGELES: Sehari selepas dibebaskan dengan ikat jamin atas kesalahan dadah, sebuah akhbar menyiarkan gambar Lindsay Lohan menyuntik dirinya dengan bahan dipercayai heroin.


MASALAH BESAR...Lindsay (gambar atas) seolah-olah bersedia mencucuk jarum ke tangan kirinya, selain leka berkucupan dengan Paris Hilton dalam gambar dipercayai dirakam pada 2007.
MASALAH BESAR...Lindsay (gambar atas) seolah-olah bersedia mencucuk jarum ke tangan kirinya, selain leka berkucupan dengan Paris Hilton dalam gambar dipercayai dirakam pada 2007.

Melalui gambar berkenaan, pelakon Mean Girls itu dilihat mengikat pergelangan tangan kirinya dengan tali - kaedah biasa digunakan penagih dadah untuk menimbulkan urat bagi memudahkan bahan terlarang itu disuntik.
Tangan kanan pelakon bermasalah itu pula kelihatan memegang penyuntik yang diarahkan ke tangan kirinya.

Satu lagi gambar eksklusif disiar akhbar itu menunjukkan Lindsay berpelukan dengan seorang lagi selebriti bermasalah di Hollywood, Paris Hilton, sebelum kedua-dua mereka berkucupan.

Pendedahan akhbar itu menimbulkan tanda tanya terhadap tahap kemelut yang melanda Lindsay ketika dia baru saja dipenjara - untuk kali ketiga - minggu lalu.

Lindsay, 24, dibebaskan selepas ditahan dalam jel selama 15 jam dan membayar ikat jamin bernilai RM929,300.

Penahanan itu dibuat apabila Lindsay gagal dalam ujian kokain seperti diwajibkan mahkamah selepas dia disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan memiliki kokain pada 2007.

Gambar disiar akhbar itu semalam dianggap bukti pertama boleh mengaitkan Lindsay dengan pengambilan dadah berat seperti heroin.

Bercakap mengenai gambar itu - dipercayai dirakam pada 2007, sumber berkata, isu yang belum banyak diketahui mana-mana pihak adalah berapa kerap Lindsay mengambil dadah atau dadah jenis apa digunakannya.

“Lindsay tidak berahsia mengenai ketagihannya kepada dadah dan orang ramai selalu ternampak dia tidak sedarkan diri akibatnya,” katanya.

Sebelum ini, akhbar sama pernah menyiarkan gambar Lindsay beraksi di depan kamera bersama hos televisyen AS, Vanessa Minnillo bersama sebilah pisau diletakkan berhampiran lehernya.
Baru-baru ini, Lindsay menulis dalam Twitter: “Penagihan dadah bukan masalah yang boleh diatasi dalam tempoh semalaman. Saya berusaha keras mengatasinya. Memang saya gagal dalam ujian dadah baru-baru ini dan kini bersedia menghadapi kesannya.” - Agensi

Rebah sebelum mati dalam bas

KUALA LUMPUR: Seorang inspektor bas tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia ketika menaiki bas untuk menjalankan tugas rutinnya berhampiran hentian bas Jalan Setapak, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa yang dikenali sebagai Ganesan berusia 50-an dipercayai sesak nafas sebelum rebah dan meninggal dunia.
Rakan mangsa yang juga pemandu bas, A Sathiam, 60, berkata sebelum kejadian, mangsa dipercayai menikmati makan tengah hari di sebuah restoran sebelum memulakan tugas. “Apabila saya tiba, dia berlari ke arah bas dan saya menyedari dia seolah-olah tercungap-cungap dan mengalami sesak nafas. Bagaimanapun, saya tidak menyangka, apabila saya melihat melalui cermin belakang, dia tiba-tiba rebah dan seperti tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.

Difahamkan, Sathiam baru saja memulakan perjalanan dari Jalan Setapak menuju pusat bandar kira-kira 20 meter sebelum memberhentikan basnya itu untuk memeriksa keadaan mangsa.

Seramai 25 penumpang bas berkenaan terkejut dengan tindakan pemandu yang tiba-tiba memberhentikan bas menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Sepasukan polis tiba beberapa minit kemudian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Kereta terbalik di lebuh raya

SEREMBAN: Lima sekeluarga menempuh detik ngeri apabila kereta dinaiki terbabas dan terbalik hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 254.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, berdekatan susur keluar Senawang di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, perunding insurans, Azlina Nordin, 25, yang memandu Naza Forte dalam perjalanan dari Perak ke Melaka.
Kereta berkenaan ketika itu dinaiki empat ahli keluarga lain iaitu ibu dan bapa mentuanya, Zainon Husain, 62, serta Siran Mat Yusop, 62, termasuk bayi lelakinya, Mohd Adam Shafique Faizul berusia sembilan bulan dan anak saudaranya, Puteri Saaratul Bahiyyah Megat Azran, 2.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati sejurus tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Azlina hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan sebelum terbalik di tengah lebuh raya itu.

“Rempuhan dan hentakan kuat terbabit menyebabkan mangsa (Azlina), ibu dan bapa mentua serta bayi lelakinya cedera teruk pada seluruh anggota badan manakala anak saudaranya cedera ringan. “Semua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS),” katanya di sini, semalam.

Menurut jurucakap itu, sejurus tiba di hospital, ibu mentua mangsa yang berada bersebelahannya dalam kenderaan terbabit, bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

“Bapa mentua dan bayi mangsa pula masih dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJS,” katanya.

Menurutnya, jenazah ibu mentua mangsa dibawa ke Bilik Mayat HTJS untuk bedah siasat dan polis menyiasat punca kejadian.

Usaha wartawan Harian Metro untuk menemubual keluarga mangsa, bagaimanapun gagal berikutan mereka masih bersedih.

Buru drebar langgar lari

SHAH ALAM: Polis mengesan seorang pemandu lori yang melarikan diri sejurus kemalangan maut membabitkan kenderaan yang dipandunya dengan sebuah motosikal di Jalan Subang, berhampiran Brunsfield, Apartment, Seksyen 13, di sini, kelmarin.
Difahamkan pemandu lori terbabit melarikan diri selepas melihat keadaan kelam-kabut ketika orang ramai cuba memberi bantuan kepada mangsa.
Mangsa, Wan Mohd Adhwa Marwan Wan Mohd Azhar, 24, bagaimanapun mati di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.

Jurucakap polis berkata, dalam kemalangan jam 5.50 petang, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha FZ 150 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang dari tempat kerjanya di Seksyen 15, di sini.

“Ketika tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai bergesel dengan lori menyebabkan dia terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Beberapa saksi yang ditemui di sini mendakwa melihat kejadian, bagaimanapun mereka gagal mencatat nombor pendaftaran lori terbabit. Sehingga kini, pemandu lori itu belum tampil di mana-mana balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Polis meminta saksi kejadian tampil atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Fazwan Md Zain di talian 012-2469026 atau 03-55102222 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Peguam didakwa memalsukan dokumen tanah dan menipu

KUALA LUMPUR: Seorang peguam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen tanah dan menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Galian dan Tanah di sini, tiga tahun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, S Tersaim, 60, didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen-dokumen palsu iaitu satu Borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah dari seorang ahli perniagaan, Liew Weng Chee kepada sebuah syarikat pelaburan iaitu syarikat Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis taksiran duti setem pindah milik hartanah nombor 17, Seksyen 57 (nombor geran 58520), Mukim Bandar di sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 17 Mei 2007, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian untuk mempercayai bahawa satu Borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah dari Liew kepada syarikat Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis taksiran duti setem pindah milik hartanah nombor 17, Seksyen 57 (no geran 58520), Mukim Bandar di sini adalah tulen sehinggamendorong pegawai dan kakitangan itu untuk memindah milik hartanah itu daripada Liew kepada syarikat Diskusi Ariff Sdn Bhd.

Tersaim didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin terhadap Tersaim tetapi peguam, Datuk Harpal Singh yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan.

Hakim Rozana Ali Yusoff kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.-Bernama

Paha lelaki amuk ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera di paha kanan selepas ditembak ketika cuba bertindak agresif melepaskan dua das tembakan dari pistol yang dirampas daripada seorang anggota polis dalam kejadian di sebuah hotel di Sri Petaling di sini, pagi semalam.


TAHAN...rakan suspek turut ditahan, semalam.
TAHAN...rakan suspek turut ditahan, semalam.

SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Sebelum kejadian, lelaki berusia 31 tahun terbabit yang sudah dua minggu menginap di hotel berkenaan tiba-tiba mengamuk di lobi hotel itu, kira-kira jam 10 pagi.
Melihat tindakan itu, pengawal keselamatan menghalaunya keluar dari ruang lobi berkenaan menyebabkan lelaki itu cuba merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melalui kawasan itu, tetapi gagal apabila pemandunya memecut.

Suspek cuba pula merampas kunci seorang pelanggan hotel yang meletak kenderaan di kawasan itu, tetapi gagal.

Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, berkata polis yang menerima panggilan daripada orang awam bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota berkenaan cuba menahan suspek yang ketika itu menakutkan orang ramai di kawasan berkenaan.

“Ketika bergelut dengan anggota polis itu, suspek merampas sepucuk pistol milik anggota saya dan melepaskan dua das tembakan menghala ke jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Azri berkata, melihatkan keadaan suspek yang agresif dan boleh mengancam nyawa orang awam, seorang lagi anggota polis menembak paha kanan suspek bagi mengelak dia bertindak lebih agresif.

“Kami tidak dapat mengenal pasti motif suspek berkelakuan demikian. Difahamkan, suspek dan seorang lagi rakannya menginap di hotel berkenaan lebih kurang dua minggu lalu. Rakan suspek yang berusia 34 tahun turut ditahan di biliknya bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan rakannya pula memiliki lapan rekod pernah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields.

“Kini suspek dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kami tidak menolak kemungkinan ketika kejadian, suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Bomba pam air 2 lubang kubur

BANTING: Sebuah jentera bomba terpaksa digunakan untuk mengepam air yang bertakung dalam dua lubang besar di Ladang Gadong, semalam yang dipercayai kubur seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah, 37, dan rakannya.


KELUAR...jentera bomba keluar dari laluan utama kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
KELUAR...jentera bomba keluar dari laluan utama kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.

MASUK...jentolak memasuki laluan utama ke lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
MASUK...jentolak memasuki laluan utama ke lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
Dua individu itu dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Jentera bomba mula memasuki kawasan ladang terbabit kira-kira jam 10.30 pagi disusuli beberapa kenderaan polis termasuk dari Unit Forensik, selain van membawa empat suspek dipercayai pekerja ladang itu, 15 minit kemudian.

Mohd Shafik dan rakannya yang berasal dari Taiping, Perak dilaporkan hiang sejak 5 April lalu dan gagal ditemui hingga kini. Mereka sebelum itu dikatakan datang ke sini untuk bertemu dengan seorang peguam yang kini menjadi suspek utama pembunuhan Sosilawati.

Dua lubang besar itu terletak berasingan, satu di bahagian belakang ladang ternakan milik suspek dan satu lagi di kawasan penanaman kelapa sawit di luar ladang berkenaan. Lokasi kedua-duanya dipercayai dikenal pasti menerusi maklumat yang diperoleh daripada suspek sendiri.

Pada kira-kira jam 12.15 tengah hari, sebuah jengkaut dilihat memasuki kawasan ladang berkenaan dipercayai untuk menggali kedua-dua lokasi yang sudah ditanda polis.
Bagaimanapun, petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan terbabit selepas pita kuning dipasang oleh polis kira-kira 300 meter dari pintu masuk ladang milik suspek utama kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, mereka ke lokasi terbabit selepas polis meminta bantuan bagi menyedut keluar air sungai yang memenuhi lubang berkenaan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun jurucakap itu enggan mengulas lanjut dan meminta kumpulan media supaya berhubung dengan polis bagi mendapatkan maklumat terperinci.

Kerja mengorek kubur berkenaan dijangka diteruskan hingga malam tadi bagi mencari bukti kemungkinan mayat mangsa suspek ditanam dalam kubur itu.

Seorang lagi individu yang hilang dan turut dikatakan menjadi mangsa pembunuhan suspek bekerjaya peguam itu seorang ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34.

Muthuraja dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu suspek berkaitan urusan perniagaan.

Sementara itu, isteri mendiang yang membatalkan perjalanan pulang ke Ramapuram, India semalam, S Usharani, 24, dilihat sekali lagi memasuki Ibu Pejabat Daerah (IPPD) Kuala Langat kira-kira jam 10 pagi dan keluar 45 minit kemudian.

Artis dicekup di rumah janda

PUTRAJAYA: Seorang penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an dan awal 1990-an memberi alasan datang berhari raya ketika dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah janda dipercayai kekasihnya di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, kelmarin.
Artis berusia dalam lingkungan awal 50-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menyerbu premis itu pada kira-kira jam jam 11.45 malam.

Menurut sumber, artis terbabit dipercayai sudah beberapa kali mengunjungi kekasihnya yang menginap di tingkat dua kuarters 15 tingkat itu sebelum penguat kuasa Jawi menyerbu premis itu.

Sebelum itu, penguat kuasa Jawi mendapat maklumat awam berkaitan kehadiran artis itu di rumah janda beranak dua berusia lingkungan 30-an yang juga kakitangan kerajaan di sebuah kementerian, di sini, yang dikatakan berdua-duaan di dalam rumah itu, sejak jam 10.40 malam.

Sumber itu berkata, lima penguat kuasa Jawi membuat pemeriksaan dan terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum dibuka artis terbabit dan ketika itu pasangannya berpakaian kemas seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

“Seperti biasa, penguat kuasa Jawi kemudian memasuki rumah dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seorang wanita yang juga berpakaian lengkap duduk di kerusi di satu sudut di dalam rumah itu.
“Artis terbabit yang dipercayai panik cuba melepaskan diri, cuba merayu bagi mengelak dikenakan tindakan dan secara jujur mengaku bukan mahram, tetapi tidak melakukan maksiat di rumah itu,” katanya.

Sumber berkata, alasan tidak bijak artis terbabit tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi yang kemudian mengingatkannya perbuatan berduaan dengan wanita bukan mahram adalah perbuatan maksiat dan boleh menjurus kepada perbuatan tidak bermoral termasuk zina.
Katanya, walaupun artis terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk kononnya mahu menghantar barang kepada kekasihnya itu, tetapi alasan itu ditolak mentah-mentah penguat kuasa.

“Selepas rayuan tidak dipedulikan, artis terbabit dan pasangannya yang sudah beberapa bulan menjanda kemudian akur sebelum dibawa ke Pejabat Jawi cawangan Putrajaya untuk disoal siasat,” katanya.

Menurut sumber itu, pasangan terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai dilakukan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen, 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua penjara tahun atau kedua-duanya sekali.

Leher dikelar geng Mat Rempit

SHAH ALAM: Tidak ubah seperti binatang apabila sekumpulan kira-kira 10 Mat Rempit cuba merompak dan menyerang seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam sebelum mengelar leher mangsa hingga berlumuran darah.


pix_middle
leher yang dikelar Mat rempit

Dalam kejadian jam 2.30 pagi kelmarin di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, kumpulan Mat Rempit berkenaan yang bersenjatakan pisau mencederakan pelajar berkenaan yang cuba menyelamatkan dompet dan telefon bimbitnya daripada dirompak.

Difahamkan, mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terpaksa lari ke tengah lebuh raya bagi menyelamatkan diri dan meminta bantuan beberapa pemandu kenderaan selepas dikejar kumpulan Mat Rempit terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faris, 21, berkata kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak sebelum susur keluar ke Padang Jawa. Dia dan seorang rakan yang membonceng motosikalnya dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berdekatan.

Menurutnya, dia tidak menggunakan laluan motosikal lebuh raya berkenaan kerana hari sudah pagi dan bimbang disamun kerana jalan agak sunyi. Namun, malang tidak berbau apabila sekumpulan Mat Rempit menaiki tujuh motosikal mengekorinya daripada belakang.

“Sebaik saja kumpulan terbabit mendekati, mereka tiba-tiba mengepung motosikal saya dan mengarahkan berhenti, namun saya yang bimbang sesuatu buruk berlaku cuba memecut.
“Tindakan saya itu menyebabkan kumpulan remaja terbabit tambah berang sebelum menendang motosikal saya hingga jatuh,” katanya.

Faris berkata, sebaik jatuh, kumpulan berkenaan terus menerpa dan membelasah dia serta rakannya untuk merampas dompet dan telefon bimbit.
“Mereka bertindak ganas, saya disepak dan ditumbuk manakala rakan pula ditampar. Kunci motosikal juga dirampas mungkin untuk melarikannya, saya cuba mempertahankan diri dan semasa bergelut saya tidak sedar leher sudah dikelar seorang daripada lelaki berkenaan.

“Saya yang berlumuran darah bertindak menyelamatkan diri dengan berlari ke tengah lebuh raya dan cuba menahan beberapa kereta untuk bantuan,” katanya.

Menurutnya lagi, dia bernasib baik apabila ada kereta berhenti dan sudi membantu.

Katanya, pemandu kereta itu menghantar dia dan rakan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

“Luka akibat dikelar itu agak parah dan leher terpaksa dijahit dengan lapan jahitan, manakala rakan tidak mengalami kecederaan.

“Selepas selesai mendapat rawatan dan dibenarkan pulang saya terus membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam,” katanya.

Tambah Faris lagi, dia tidak dapat ke kuliah tiga hari selepas insiden itu dan terpaksa menjalani rawatan susulan serta trauma melalui lebuh raya berkenaan.

Beckham saman pelacur RM77.30 juta



Irma Nici


LOS ANGELES - Barisan peguam bintang bola sepak dari England, David Beckham akan menyerahkan saman fitnah sebanyak $25 juta (RM77.30 juta) kepada seorang pelacur kelahiran Bosnia, Irma Nici, lapor akhbarNews of the World semalam.
Sebelum ini pelacur itu membuat dakwaan di sebuah mahkamah bahawa dia dan seorang lagi wanita melakukan hubungan seks dengan Beckham.
Dokumen setebal 21 muka surat itu kini telah difailkan di sebuah mahkamah di Los Angeles.
Sebelum ini pendedahan yang dibuat oleh pelacur itu telah menyebabkan Beckham dan isterinya, Victoria berasa amat marah.
Beckham yang merupakan bekas pemain kelab bola sepakmanchester United kini bermain dengan kelab bola sepak LA Galaxy.
Irma pernah mendakwa bahawa dia tidur bersama Beckham sebanyak lima kali.
Bagaimanapun, pelacur itu gagal untuk mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut. - Agensi

Paris Hilton sayang rakyat Malaysia





LOS ANGELES - Selebriti Paris Hilton (gambar) menggunakan laman Twitter untuk memberitahu rakyat Malaysia mengenai barang jualan terbarunya di The Pavilion Mall, Kuala Lumpur lapor sebuah akhbar semalam.
Hilton sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada minggu lalu untuk melancarkan pewangi terbarunya yang diberi nama Tease dan beg tangan Paris Hilton koleksi musim gugur 2010 di The Pavilion Mall.
Namun, selebriti yang namanya melonjak popular menerusi program realiti televisyen The Simple Life itu terpaksa membatalkan lawatannya ke Asia selepas dia disoal siasat oleh beberapa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Narita di Tokyo, Jepun pada Selasa lalu.
Hilton terpaksa berlepas pulang ke Amerika Syarikat (AS) pada Rabu lalu dari lapangan terbang itu dan tidak dibenarkan memasuki Jepun.
Jepun mempunyai undang-undang yang melarang mana-mana individu yang merupakan pesalah kes dadah memasuki negara berkenaan.
Sebelum berlepas ke Jepun, Hilton mengaku bersalah di sebuah mahkamah di Las Vegas AS bahawa dia menyembunyikan kokain di dalam beg tangannya dan menipu seorang pegawai polis semasa dia ditahan di sebuah pusat peranginan di Las Vegas pada Ogos lalu.
Ekoran pengakuan itu, Hilton diletakkan di bawah tempoh percubaan selama setahun, didenda sebanyak AS$2,000 (RM6,200) dan perlu melaksanakan khidmat sosial selama 200 jam.
Di dalam Twitter, Hilton menyatakan: "Hello orang Malaysia! Pergilah ke The Pavilion Mall pada pukul 3 petang hari ini untuk melihat pertunjukan panas saya.! Ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan.! Sayang anda semua!"
Dia sebelum ini dijadualkan melawat Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. - Agensi

Jepun enggan minta maaf kepada China




ZHAN QIXIONG berjalan bersama isteri dan anaknya di sebuah lapangan terbang di Fuzhou, China kelmarin.


BEIJING - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam menolak tuntutan China bahawa Tokyo perlu meminta maaf berhubung penahanan seorang kapten kapal nelayan dari China.
"Saya tidak mempunyai hasrat untuk menerima (tuntutan) itu pada keseluruhannya," katanya.
"Adalah penting untuk kedua-dua pihak untuk bertindak dengan satu ruang lingkup pandangan yang lebih luas," tambahnya.
Jepun turut dituntut oleh pemerintah China supaya membayar ganti rugi ekoran penahanan kapten sebuah kapal nelayan China.
Kapten kapal itu kemudian dibebaskan oleh kerajaan Jepun dan dia telah tiba di wilayah Fujian, China kelmarin.
Beberapa buah akhbar utama di China semalam menyiarkan laporan mengenai desakan supaya Jepun meminta maaf dan membayar sejumlah wang ganti rugi di muka surat hadapan.
Gambar kapten itu pulang dan disambut dengan isteri dan seorang anaknya turut disiarkan oleh beberapa buah akhbar di China.
Kapten kapal nelayan China itu, Zhan Qixiong ditahan oleh anggota-anggota pasukan pengawal pantai pada 8 September lepas dekat satu rangkaian pulau yang dikenali sebagai Diaoyu.
Pulau itu terletak 190 kilometer ke timur Taiwan yang dikawal Jepun tetapi dituntut oleh Taiwan dan China.
Kapten kapal itu ditahan selepas kapalnya dilaporkan berlanggar dengan kapal peronda pengawal pantai Jepun. - Agensi

30,000 komputer Iran dijangkiti cecacing Stuxnet




Stuxnet


TEHERAN - Cecacing Stuxnet telah menjejaskan 30,000 komputer di Iran tetapi ia gagal menyebabkan kerosakan yang serius, kata beberapa pegawai negara itu semalam.
Menurut Ketua Majlis Teknologi Maklumat, Kementerian Industri, Mahmoud Liayi, kira-kira 30,000 alamat Internet Protokol komputer telah dijangkiti oleh Stuxnet setakat ini di Iran.
Cecacing itu pada awalnya telah dikenal pasti pada Jun lalu dan ia dihasilkan untuk sistem kawalan komputer Siemens yang kerap digunakan untuk menguruskan bekalan air, pelantar minyak, loji tenaga dan kemudahan industri lain.
Menurut penyelidik keselamatan komputer, Ralph Langner, Stuxnet mampu untuk mengenali satu rangkaian kawalan dan memusnahkannya.
Beliau mengesyaki, sasaran Stuxnet ialah kemudahan nuklear Busheher di Iran.
Bagaimanapun, syarikat komputer Siemens mendakwa perisiannya tidak dipasang di kemudahan nuklear tersebut. - AFP

Bekas pegawai tentera dedah UFO di AS




ROBERT HASTINGS akan menajdi hos sidang akhbar mengenai 
kehadiran UFO di lokasi-lokasi nuklear di Amerika Syarikat.


LOS ANGELES - Sekumpulan pegawai tentera udara Amerika Syarikat yang sudah bersara dijangka mendedahkan pencerobohan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) ke atas lokasi-lokasi senjata nuklear AS pada hari ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Enam pegawai tentera itu akan menamatkan sikap membisu selama beberapa dekad berhubungn pencerobohan tersebut.
Penulis buku UFOs and Nukes: Extraordinary Encounters at Nuclear Weapons Sites, Robert Hastings akan menjadi hos sidang akhbar itu.
Dia akan mengemukakan bukti manakala beberapa bekas anggota tentera AS bakal menyokong dakwaan tersebut.
Dalam satu kenyataan Hastings mengisytiharkan: "Pada akhirnya, semua saksi itu tampil ke depan untuk menyatakannya, seolah-olah ia tidak dapat dipercayai bagi sebahagian orang bahawa UFO telah lama memantau nuklear kita."
Seorang bekas anggota tentera, Kapten Robert Salas yang dijangka hadir mendakwa pernah melihat satu insiden UFO pada 1967.
Menurutnya, pada insiden itu, UFO telah menyebabkan satu gangguan di Pangkalan Tentera Malmstrom di Montana. - Agensi

12 maut kemalangan bas




BEBERAPA anggota penyelamat melakukan kerja-kerja menyelamat di lokasi kemalangan bas di pinggir Berlin semalam.


BERLIN - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera semalam apabila sebuah bas yang membawa sejumlah pelancong Poland berlanggar dengan sebuah kereta di sebuah lebuh raya di tenggara Berlin, kata polis.
Menurut Ketua Polis di Frankfurt, Arne Feuring tujuh orang cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal manakala 27 lagi mengalami kecederaan ringan.
Feuring berkata, pihak berkuasa percaya bas yang membawa 49 pelancong Poland itu dalam perjalanan pulang ke negara mereka selepas bercuti di Sepanyol.
Menurut polis, bas itu dilanggar sebuah kereta yang menyebabkan pemandu bas itu hilang kawalan dan merempuh ke tiang sokongan sebuah jejambat.
Kesemua yang terbunuh itu merupakan rakyat Poland, kata polis.
Pemandu kereta itu yang merupakan seorang wanita merupakan antara yang cedera parah.
Perdana Menteri Poland, Donald Tush dan Menteri Kesihatan Jerman, Ewa Kopacz melawat ke tempat kejadian dan mangsa yang cedera.
"Kemalangan ini bukan sahaja telah menjejaskan rakan Poland kami tetapi juga kita," kata Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle pada satu kenyataan.
"Simpati yang amat mendalam dan harapan kami bersama dengan rakan dan keluarga mangsa dalam tempoh kegelapan mereka," tambahnya.
- Agensi

Cedera ditetak akibat meludah



KUALA TERENGGANU – Gara-gara air ludah, seorang pekerja warga Myanmar cedera parah pada tangan kiri selepas ditetak seorang pekerja warga Indonesia di tapak projek Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 7 pagi itu berlaku akibat perselisihan faham kedua-dua pihak yang dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa meludah semasa mengambil air sembahyang.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, tindakan mangsa berusia 23 tahun yang meludah itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati suspek yang kemudian bertindak menegur mangsa.
Menurut beliau, teguran suspek yang berusia 20-an itu bagaimanapun telah mencetuskan suasana tegang sehingga berlaku pergaduhan.
“Kedua-dua pekerja itu bergaduh sehingga menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di bahagian tangan kiri dipercayai kerana ditetak dengan senjata tajam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

3 pelacur tak serik kena tangkap




SEORANG anggota polis (kiri) memeriksa barangan enam pelacur warga asing yang ditahan di sebuah rumah kedai di Jalan Temiang, Seremban kelmarin.


SEREMBAN - Tak serik-serik.
Itulah yang boleh dikatakan mengenai tiga wanita warga China yang ditahan bersama tiga lagi wanita di sebuah rumah kedai di Jalan Temiang di sini kelmarin atas kesalahan melacur.
Ini kerana tiga wanita berusia 21 hingga 26 tahun itu sebelum ini pernah ditahan di Flat Taman Bukit Delima di sini pada Julai lalu atas kesalahan yang sama.
Kesemua wanita tersebut ditahan dalam Ops Noda yang dilancarkan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Ketua Operasi D7 negeri, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, tiga pelanggan berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun turut ditahan.
"Ketika serbuan kesemua wanita dan pelanggan di dalam premis berkenaan cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi berjaya ditangkap.
"Berdasarkan risikan, kita mengesyaki kegiatan tidak bermoral di premis ini sudah berlanjutan sejak kira-kira tiga minggu lalu,'' katanya di sini semalam.
Katanya, pihak polis turut menemui 30 kondom dan tiga botol pelincir serta beberapa pil yang digunakan untuk kegiatan berkenaan

Lembu korban mula diseludup




BEBERAPA anggota PGM memeriksa lembu seludup yang dirampas di Tumpat semalam.


TUMPAT – Syawal belum berakhir, namun penyeludup lembu sudah ligat membawa masuk haiwan-haiwan ternakan itu untuk persiapan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut sebulan lebih lagi.
Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 22 ekor lembu daripada baka Brahma dan Kelantan-Kedah (KK) bernilai RM66,000 selepas membuat intipan di sekitar kawasan Simpangan, awal pagi semalam.
Penolong Pegawai Pemerintahnya PGM, Pengkalan Kubor, Asisten Supritendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, sepasukan anggotanya terdiri daripada dua pegawai dan lima anggota telah membuat intipan di sekitar kawasan tersebut sejak pukul 4 pagi.
Menurutnya, kira-kira sejam setengah kemudian, pihaknya mengesan dua lelaki sedang menarik tujuh ekor lembu dari tebing sungai di pangkalan haram Mek La menuju ke kawasan Kampung Atas Kok yang terletak kira-kira 500 meter dari Simpangan.

Penjenayah Geng Atab tumpas



KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah bergelar Geng Atab yang aktif melakukan samun dan peras ugut di Ampang sejak 10 tahun lalu tumpas ekoran penahanan 13 lelaki termasuk ketua kumpulan penjenayah itu semalam.
Ketua kumpulan Geng Atab berusia 28 tahun yang didakwa kerap menyamar sebagai orang kenamaan seperti menggunakan gelaran 'Datuk Paduka' ditahan pada pukul 2 pagi semalam sebaik keluar dari sebuah pusat hiburan di Cheras di sini.
"Suspek mendakwa dia menerima darjah tersebut daripada Sultan Kedah namun siasatan mendapati ia adalah palsu.
"Suspek juga hidup mewah hasil daripada kegiatan jenayah tersebut termasuk memiliki sebuah kereta mewah jenis BMW," kata seorang jurucakap polis.
Jurucakap polis berkata, susulan penahanan suspek yang merupakan seorang penganggur itu, polis kemudian menahan 12 lagi lelaki dipercayai anggota kumpulan tersebut di sekitar Ampang Jaya.

Jumpa tulang disyaki milik Shafik




Kenderaan forensik polis masuk ke ladang ternakan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting semalam.


BANTING – Pasukan polis forensik semalam menjumpai sejumlah serpihan tulang dipercayai tulang manusia selepas menggali beberapa kawasan di sekitar ladang ternakan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat semalam.
Satu sumber berkata, ada kemungkinan tulang tersebut milik Shafik Abdullah (gambar kecil), 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu.
Penemuan tersebut didakwa oleh sumber itu amat penting bagi membantu siasatan kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah itu.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, tulang-tulang itu perlu dianalisis terlebih dahulu kerana ia dikhuatiri bukan tulang manusia.
“Tidak ada apa yang boleh didedahkan kecuali penemuan itu mungkin boleh membantu kehilangan Shafik,” kata sumber itu lagi.
Selain tulang, satu sumber lain turut mendakwa menjumpai barangan lain yang akan dianalisis untuk mengetahui sama ada ia milik Shafik atau mangsa lain yang dilaporkan hilang.
Ditanya mengenai kehadiran sebuah jentera bomba ke ladang itu, sumber itu memberitahu, ia dipanggil dengan tujuan membekalkan air kepada pasukan penyiasat di situ ekoran ladang tersebut menghadapi masalah air.
Sebuah lori Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.) turut berada di situ didakwa bagi membantu membaiki paip pecah.

Ramai andartu ditipu Awang Hitam



Rohaimi


KUALA LUMPUR – Seramai 385 rakyat tempatan yang sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita terutama anak dara yang sudah lanjut usia tapi masih belum kahwin (andartu) menjadi korban sindiket penipuan yang didalangi oleh warga Afrika atau lebih dikenali sebagai Awang Hitam.
Jumlah tersebut direkodkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan kerugian dicatatkan melebihi RM7.4 juta.
Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, angka kes itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah aduan yang diterima (tahun ini) bertambah sebanyak 120 kes berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 265 kes dengan kerugian sebanyak RM7 juta.
“Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan mangsa penipuan bungkusan dan black money,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Berdasarkan rekod, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain dengan jumlah 116 kes melibatkan kerugian sebanyak RM1.6 juta dan diikuti dengan Kuala Lumpur dan Johor.
Rohaimi memberitahu, sindiket tersebut mempunyai pelbagai modus operandi bagi memperdaya mangsa tanpa mengira gender.

Bangladesh dilanda wabak antraks



DHAKA 26 Sept. - Kerajaan Bangladesh menjalankan persediaannya untuk memerangi wabak antraks yang telah menjangkiti beratus-ratus orang dan mengancam untuk mengakibatkan kemusnahan pada industri daging lembu negara itu.
Antraks tidak tersebar secara terus daripada seorang manusia yang dijangkiti atau haiwan kepada yang lain, namun tersebar melalui spora.
Manusia boleh dijangkiti antraks dengan memegang haiwan yang mempunyai penyakit itu atau memakan daging yang dijangkiti kuman.
Sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi kerajaan ditugaskan dengan membendung wabak itu sebelum hari raya Aidiladha disambut pada pertengahan November ini oleh umat Islam, yang secara tradisinya diraikan dengan penyembelihan binatang.
"Kami melancarkan serangan besar-besaran terhadap wabak itu untuk meletakkannya di bawah kawalan sebelum Aidiladha. Kami akan memberikan vaksin kepada semua lembu yang berisiko dijangkiti wabak tersebut," kata menteri penternakan, Abdul Latif Biswas yang mengetuai jawatankuasa itu.
Beliau menyeru orang ramai agar tidak cemas dengan menyatakan, memakan daging lembu adalah selamat.
Antraks merupakan bakteria yang berpotensi membawa maut, semula jadinya wujud di dalam tanah dan biasanya menjangkiti ternakan yang menelan dan menarik nafas ketika meragut rumput.
Lebih 600 orang telah dijangkiti oleh antraks ketika ia tersebar secara terus daripada sumbernya di kawasan pengeluaran tenusu Bangladesh, dengan 12 daerah mengesahkan jangkitan wabak itu ke atas manusia dan lembu.
Beratus-ratus ekor lembu telah dijangkiti dan banyak yang telah mati, namun tiada manusia yang terkorban kerana semua jangkitan yang dilaporkan ialah berhubung dengan kulit atau kulit, antraks yang menyebabkan seperti luka-luka tetapi tidak membawa maut jika dirawat dengan betul.
Bagaimanapun, minggu lalu beribu-ribu kedai yang menjual daging lembu di ibu negara ini lengang ketika pengguna yang panik memilih untuk tidak membeli daging merah, dengan jualan jatuh lebih 90 peratus sejak wabak itu mula menular pada pertengahan Ogos lalu. - AFP

Dadah: 2 sahabat dihukum mati





DUA sahabat, Rizal Sham Ahmad dan Md. Fitri Md. Saad (berbaju putih) dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 26 Sept. - Dua sahabat dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis empat tahun lalu.
Rizal Sham Ahmad, 32, dan Md. Fitri Md. Saad, 31, kelihatan tenang ketika Hakim Datuk Zamani A. Rahim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas mereka.
Zamani berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah ke atas kedua-dua tertuduh.
"Terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan tertuduh pertama dan tertuduh kedua di dalam kes ini.
"Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan seperti mana pertuduhan," kata Zamani.
Mengikut pertuduhan, Rizal Sham dan Md. Fitri didakwa dengan niat bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 2,805.0 gram di tempat letak kereta di hadapan Pasar Raya Aneka Taman Jerai Maju, Gurun pada 7 Februari 2006 kira-kira pukul 4 petang.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh pertama, Rizal Sham diwakili peguam M. Chandran manakala tertuduh kedua diwakili peguam A. Ashok. Pendakwaan pula dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syuhada Mohd.Yatim.

Kapsul penyelamat pelombong Chile





SEORANG petugas menguji kapsul yang akan diguna sebagai sebahagian daripada operasi menyelamat pelombong yang terperangkap di dalam lombong emas dan tembaga San Jose, dekat Copiapo, kira-kira 725 km ke utara Santiago, Chile, kelmarin. - REUTERS



SAN JOSE, Chile 26 Sept. - Satu daripada tiga kapsul penyelamat yang dibina khas untuk mengeluarkan 33 pelombong yang terperangkap sejak awal bulan lalu, tiba di lombong ini semalam.
Dua peralatan sokongan menyelamat yang dibina di pelabuhan kapal Chila pula dijangka dihantar ke kawasan lombong emas dan tembaga San Jose pada minggu depan.
Kapsul yang dapat memuatkan seorang lelaki dewasa itu akan digunakan untuk menarik keluar pelombong seorang demi seorang sebaik lubang yang sedang digerudi tiba di lokasi mereka terperangkap di bawah tanah, kemungkinan awal bulan depan atau lebih awal dari itu sekiranya semua berjalan lancar.
Menteri Perlombongan, Laurence Golborne buat kali pertama menunjukkan kapsul itu kepada anggota keluarga pelombong yang terperangkap semalam.
Golborne dan beberapa anggota keluarga pelombong itu mencuba sendiri kapsul tersebut, diperbuat dari tiub keluli dengan jaring besi dan seberat 420 kilogram.
Kapsul itu mempunyai ketinggian tiga meter di bahagian luar. Bahagian dalam pula setinggi 1.9 meter dengan lebar 53 sentimeter.
Bahagian bawah kapsul menyimpan tiga tangki udara mampat terdiri dari 40 peratus oksigen dan 60 peratus nitrogen. Menteri Kesihatan Jaime Manalich menyatakan ia cukup untuk pernafasan selama 90 minit, masa yang banyak berbanding 15 hingga 20 minit yang diperlukan untuk menarik keluar setiap pelombong.
Sambungan mikrofon membolehkan pelombong di dalam kapsul berinteraksi dengan pasukan penyelamat semasa ditarik keluar, kata Manalich lagi.
Tambahnya, jika berlaku keadaan cemas seperti kapsul tersekat di dalam lubang, bahagian bawah kapsul boleh dibuka supaya pelombong dapat turun semula ke bawah dengan menuruni kabel. - AP

14 maut ribut Matthew landa Amerika Tengah



SEORANG wanita mengambil barangan dari rumahnya yang rosak teruk dimasuki banjir di Antimano, Caracas, Venezuela, kelmarin. - REUTERS



GUATEMALA CITY, 26 Sept. - Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di seluruh lembah Caribbean, ketika Ribut Tropika Matthew melanda Amerika Tengah, semalam.
Amerika Tengah kini mengalami musim hujan paling buruk dalam tempoh 60 tahun. Banjir dan tanah runtuh telah mengorbankan lebih 300 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi kehilangan tempat tinggal serta mengakibatkan kerosakan berbilion-bilion dolar dalam beberapa bulan lalu.
Ribut Matthew mencetuskan kejadian tanah runtuh di utara Nicaragua kelmarin, memaksa berpuluh-puluh ribu orang dipindahkan.
Ribut itu turut menyebabkan berlaku hujan lebat di seluruh utara Honduras tetapi semakin lemah menjelang 1800 GMT (2 pagi waktu Malaysia) ketika melanda Belize, menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat.
Matthew diramal menjadi lemah dan hampir berhenti hari ini atau esok sebelum lenyap dari Amerika Tengah.
Namun, NCH memberi amaran, hujan lebat yang dibawa oleh ribut itu iaitu lebih 38 sentimeter di kawasan terpencil tetap menjadi ancaman serius kepada Amerika Tengah.
Hujan lebat boleh mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengancam nyawa di seluruh rantau ini, termasuk selatan Mexico, yang telah pun mengalami hujan lebat dan banjir paling teruk dalam sejarah tahun ini.
Ribut Matthew menyebabkan berlaku hujan lebat di Nicaragua dan Honduras awal hari ini tetapi tidak ada laporan kematian dibuat, walaupun 15 orang dilaporkan hilang setelah menaiki perahu layar di luar perairan Honduras.
Bagaimanapun ribut yang melanda Haiti kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang yang terselamat daripada kemusnahan gempa bumi Januari lalu yang tinggal di khemah-khemah di bandar Port-au-Prince.
Ribut itu turut menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera dan menumbangkan rumah-rumah khemah, pokok serta mengakibatkan bekalan elektrik terputus.
Di Venezuela, Presiden Hugo Chavez meminta rakyatnya supaya terus berhati-hati selepas tujuh sekeluarga terbunuh akibat banjir di Caracas, kelmarin. - AFP