Search This Blog

Sunday, September 26, 2010

Jumlah kes libatkan suspek kes Sosilawati tidak didedah



26/09/2010 6:18pm

KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Polis tidak akan mendedahkan angka sebenar kematian atau kes orang hilang yang melibatkan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya sebelum siasatan menyeluruh dilakukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis masih menyiasat kes pembunuhan Sosilawati serta tiga yang lain dan kemungkinan wujud kes-kes kematian lain yang melibatkan suspek berkenaan.
"Hari ini saya tidak mahu mengesahkan apa-apa. Usaha yang dijalankan itu lebih penting. Apabila sudah dapat bukti dan fakta, baru kita beritahu,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Ibupejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd. Shukri Dahlan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan jumlah kematian dan kes kehilangan individu yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan kejam itu, yang disiasat polis sehingga hari ini. - Bernama

Keganasan mat rempit terhadap polis membimbangkan



26/09/2010 6:22pm

KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Tindakan agresif sesetengah pihak terutama golongan muda yang terlibat dalam gejala rempit terhadap polis kini semakin membimbangkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kumpulan mat rempit termasuk yang disertai golongan remaja bawah umur bukan sahaja tidak menghormati peraturan malah dilihat semakin berani melanggar undang-undang.
Menurut beliau, ia kini menjadi fenomena serius dan merupakan cabaran yang perlu ditangani pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara.
"Kini anggota (polis) terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas sekumpulan masyarakat yang tidak hormat undang-undang ini. Saya telah arahkan semua kontinjen memberi perhatian serius dalam menangani perkara ini,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu melawat dua anggota polis yang terlibat dalam kemalangan yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. - Bernama

Lelaki cedera ditembak selepas rampas pistol polis



26/09/2010 4:55pm

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Seorang lelaki cedera ditembak di paha kanannya selepas merampas sepucuk pistol milik anggota polis ketika cuba melarikan sebuah kereta di hadapan hotel Sri Petaling di sini hari ini.
Lelaki berusia 31 tahun itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaya (PPUKM) manakala seorang rakannya berumur 34 tahun yang menginap di hotel itu ditahan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Azri Abdul Rahman berkata, polis melepaskan tembakan ke arah lelaki itu ketika dia bergelut dengan anggota polis dalam kereta pacuan empat roda yang cuba dilarikan lelaki terbabit.
Beliau berkata, sebelum itu lelaki terbabit cuba melarikan Mitsubishi Storm dengan pemilik kereta itu berada di dalamnya, menyebabkan berlaku pergelutan antara lelaki itu dan pemilik kereta berkenaan.
"Kejadian itu sempat dihalang oleh polis yang membuat rondaan di kawasan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan suspek. Suspek kemudian merampas pistol dari anggota polis itu dan melepaskan dua tembakan ke udara,” katanya. - Bernama

Pakar halal Jerman puji usaha Malaysia



26/09/2010 8:04pm

FRANKFURT 26 Sept. - Seorang pakar Jerman mengenai persijilan halal memuji Malaysia yang “merintis” usaha dalam bidang pemprosesan makanan halal.
Mohmoud M. Tatari, Pengurus Besar Ruesselsheim-based Halal Control e.V., yang mengesahkan produk halal dan mengeluarkan sijil halal kepada syarikat pengeluar dan pemproses makanan di Eropah, berkata agensi itu turut diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Malaysia bermula lebih awal dalam mengenakan syarat dan standard pematuhan halal. Malahan, Malaysia telah lebih awal menetapkan syarat halal yang perlu diamalkan,” kata Tatari kepada Bernama di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia di Frankfurt Mohd. Sabri Ab Rahman.
Menyatakan Malaysia sebagai “antara negara Islam paling moden, daripada segi pembangunan teknikal dan ekonomi”, Tatari, yang berasal dari Syria, menambah walaupun produk halal hanya digunakan oleh penduduk Islam di Jerman, beliau berharap ahli politik Jerman akan menyokong usaha industri halal untuk mendapatkan “suara” di kalangan masyarakat.
"Halal tiada kaitan dengan penyebaran agama Islam. Ia lebih kepada mematuhi syarat kebersihan dan ritual tertentu dalam agama Islam tetapi tiada agenda agama di belakangnya,” katanya. - Bernama

Gadis dilapor hilang

SINGAPURA





SYAHIRAH: Kali terakhir dilihat di stesen MRT Jurong East.


POLIS meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang seorang remaja perempuan Melayu, Syahirah Muliani Taharudin, 13 tahun, untuk tampil membantu.
Menurut polis, Syahirah dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat di stesen MRT Jurong East pada 6.30 pagi, Rabu 22 September lalu.Syahirah setinggi 1.45 meter, dengan rambut panjang ke paras bahu dan berbadan langsing.Kali terakhir dilihat, Syahirah membawa beg sandang berwarna merah jambu dan hitam.Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang gadis ini diminta menghubungi talian polis di nombor 1800-255-0000.

Pesawat terima ancaman bom

STOCKHOLM: Sebuah pesawat Penerbangan Pakistan membawa 273 penumpang yang berlepas dari Kanada menuju ke Pakistan melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Arlanda di Stockholm, Sweden kerana menerima ancaman terdapat bom dalam pesawat.
Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Arlanda sebelum sepasukan polis bertindak menahan penumpang terbabit.

Suspek yang ditangkap adalah lelaki rakyat Kanada yang berketurunan Pakistan. - AP

Nota terakhir wanita

Oleh RAJA NORAINA RAJA RAHIM

2010/09/25

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mahu meneruskan kehidupan. Terima kasih kerana menjadi suami saya. Kepada adik, ibu sudah tua, bawa dia jalan-jalan dan jaga dia dengan baik.”

MAUT... kanak-kanak mati bersama ibu di Gohtong Jaya, kelmarin
MAUT... kanak-kanak mati bersama ibu di Gohtong Jaya, kelmarin


Wanita itu tergamak membunuh anaknya terlebih dulu dengan mengurung dan melemaskannya menggunakan asap daripada kayu arang di bilik air sebelum dia membunuh diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, wanita dan anaknya yang berusia empat tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil dan tidak sedarkan diri oleh pekerja hotel yang kebetulan mahu mengemas bilik.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan mendapati mangsa dikenali sebagai Woo Wian Kian, 36, namun identiti anaknya belum dapat dikenal pasti.

“Dua beranak terbabit ditemui mati terbaring di atas katil bilik hotel yang didaftar masuk atas nama si ibu beberapa jam sebelum kejadian. Hasil siasatan mendapati ada kesan abu kertas dan kayu arang di bilik air selain ruangan udara bilik air berkenaan ditutup dengan surat khabar.

“Polis turut menemui kesan abu berwarna hitam pada tapak kaki kedua-dua mangsa di lantai bilik air itu. Malah, polis juga menemui dua tin minuman keras di tong sampah dan tidak menolak kemungkinan si ibu dalam keadaan mabuk sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, wanita berkenaan dipercayai minum minuman keras sebelum mengurung anaknya di bilik air.

“Si ibu kemudian mengeluarkan anaknya dan diletakkan di atas katil sebelum dia membunuh diri. Punca sebenar kematian wanita itu belum dikenal pasti sama ada dia turut lemas atau akibat minum minuman keras secara berlebihan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Keluarga mangsa yang menetap di Kepong dihubungi dan suami mangsa mengesahkan identiti isteri dan anaknya,” katanya.

Ditanya berhubung motif kejadian, Norel Azmi berkata, siasatan masih dijalankan dan kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Keputusan bedah siasat dijangka dikeluarkan esok (hari ini),” katanya.

Senapang meletup

Oleh ARIFIN SALEH

2010/09/25

MASJID TANAH: Beberapa pegawai dan petugas sebuah bank di sini gempar seketika apabila senapang ‘pump gun’ tiba-tiba meletup ketika seorang pengawal keselamatan hendak mengeluarkan peluru daripada larasnya, petang kelmarin.

CARI ... polis menjalankan siasatan berhubung tembakan dilepaskan melalui ‘pump gun’ pengawal keselamatan.
CARI ... polis menjalankan siasatan berhubung tembakan dilepaskan melalui ‘pump gun’ pengawal keselamatan.

Difahamkan, pengawal terbabit membuat tugas biasa menyelaraskan senjata terbabit sebelum menyerahkan kepada anggota lain sebelum tiba-tiba ia meletup dan menggegarkan ruang dalam bank.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Abd Rahman, 40-an, berkata ketika itu dia baru hendak memasuki sebuah kedai berdekatan bank dan terkejut mendengar satu das tembakan dari arah bank.

“Saya tersentak apabila terdengar satu bunyi tembakan yang kuat. Mulanya saya sangkakan bunyi mercun.

“Saya jengah keluar tapi tak nampak kelibat budak-budak bermain mercun sebelum melihat keadaan kelam kabut di dalam bank. Saya tak pasti apa berlaku sebab tak nampak apa-apa dari arah sisi dan masuk semula ke dalam kedai,” katanya.

Selepas beberapa ketika, katanya, dia terdengar suara riuh rendah di kawasan luar bank sebelum meninjau semula dan terkejut mengetahui bunyi letupan berpunca daripada senapang ‘pump gun’ milik pengawal keselamatan yang bertugas di situ.

“Saya bertanya seorang petugas bank dan mereka mengatakan senapang itu meletup tiba-tiba ketika seorang pengawal keselamatan membuat pelarasan senjata selepas habis bertugas,” katanya.

Beberapa petugas bank enggan mengulas lanjut kerana polis menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian dan anggota polis bergegas ke tempat dimaksudkan dan didapati tiada kemalangan jiwa. Hasil siasatan mendapati ada satu kesan lubang besar dipercayai kesan tembakan yang dilepaskan.

“Akibat tembakan itu, cermin dinding mengalami kesan retak dan polis mengambil keterangan daripada pengawal keselamatan terbabit serta beberapa saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Lindsay ditahan lebih 12 jam

LOS ANGELES: Hakim Mahkamah Agung Los Angeles, Patricia Schnegg membenarkan Lindsay Lohan dibebaskan dengan jaminan AS$300,000 (RM960,000) selepas aktres itu membuat rayuan melalui peguamnya, Shawn Chapman Holley, semalam.
Hakim Fox yang menolak rayuan Holley supaya Lindsay diberi kebenaran untuk diikat jamin mengarahkan pelakon Mean Girls itu ditahan di unit pengasingan di penjara wanita Lynwood sementara menanti perbicaraannya pada 22 Oktober depan.

Bagaimanapun, pada lewat petang Mahkamah Agung Los Angeles membatalkan keputusan Fox dan membenarkan Lindsay diikat jamin kerana mengikut undang-undang California, seseorang pesalah yang melakukan kesalahan kecil berhak untuk diikat jamin sebelum perbicaraan.

“Lindsay layak untuk mendapatkan ikat jamin sepertimana dinyatakan dalam undang-undang California,” kata Holley ketika beredar dari Mahkamah Agung Los Angeles.

Hakim Patricia membenarkan Lindsay diikat jamin RM600,000 dengan syarat pelakon itu perlu memakai teg pengawasan alkohol elektronik sepanjang 24 jam selama sebulan sebaik dibebaskan.

Selain itu, Lindsay juga dilarang mengambil sebarang ubat terkawal dan perlu menjauhi mana-mana tempat yang menyajikan alkohol.

Lindsay yang digari dan dibawa ke pusat tahanan Lynwood ditahan melebihi 12 jam sebelum peguamnya mendapat kebenaran itu. Menurut jurucakap Jabatan Syerif Los Angeles, Steve Whitmore, Lindsay dibebaskan dari penjara wanita Lynwood kira-kira jam 11.40 malam kelmarin selepas membayar ikat jamin sebanyak RM960,000. - AP

Dua pasangan ditahan

SEREMBAN: Gerak-geri mencurigakan dua pasangan yang berada dalam kereta di tempat meletak kenderaan apartmen membawa kepada penemuan sejumlah dadah dalam serbuan polis di Bandar Baru Nilai, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Ketua JSJN Negeri, Superintendan R Ravi Chandran berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kegiatan suspek pergi ke lokasi untuk melakukan intipan sebelum mengesan suspek yang menaiki sebuah Proton Waja berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan polis pada pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tahun menemui satu paket kecil disyaki dadah jenis syabu.

“Polis turut merampas satu biji pil eramin 5 daripada seorang wanita berusia 21 tahun yang berada di dalam kenderaan itu. Turut berada di dalam kenderaan itu seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an,” katanya, semalam.

JKM arah henti operasi taska

JOHOR BAHRU: Dua bayi yang maut akibat tercekik susu dalam kejadian berasingan di Putrajaya, Isnin dan Selasa lalu, disahkan dijaga pusat asuhan kanak-kanak (Taska) tidak berdaftar.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan kementerian sangat kesal dengan apa yang berlaku. Saya ingin mengingatkan ibu bapa khasnya supaya lebih peka dan menyiasat terlebih dulu sebelum menggunakan khidmat taska dengan memastikan ia mempunyai perakuan pendaftaran sah.

“Jika ragu-ragu atau pihak pengurusan gagal menunjukkan perakuan itu, laporkan terus pada JKM terdekat atau talian Nur 15999 untuk tindakan lanjut,” tegasnya.

Menurut Shahrizat, taska yang beroperasi tanpa pendaftaran melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta TASKA 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Malah bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mereka boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha taska menjadikan kesukaran mendapatkan kelulusan tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sebagai alasan, mengapa gagal memiliki lesen pendaftaran dengan JKM.

“Demi kemudahan ibu bapa, kita memerlukan lebih banyak taska. Bagaimanapun, atas faktor keselamatan, syaratnya diketatkan dan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar,” katanya.

Hingga kini, JKM hanya mendaftarkan sebanyak 413 taska berbanding lebih 2,000 taska yang dipercayai beroperasi di negara ini.

Kelmarin, media melaporkan kejadian bayi berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz yang meninggal dunia akibat tercekik susu ketika di bawah jagaan sebuah taska di Presint 9 Putrajaya.

Tahan bot bawa barang seludup

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menumpas kegiatan penyeludupan yang beroperasi sejurus bilal melaungkan azan solat Jumaat, berikutan penahanan satu bot kargo sarat dengan muatan barangan seludup di perairan Kuala Perlis, dekat sini, kelmarin.


PERIKSA... Abdul Rahim (dua dari kanan) memeriksa pelbagai barangan yang dirampas daripada sekumpulan nelayan Thai di Kuala Perlis.
PERIKSA... Abdul Rahim (dua dari kanan) memeriksa pelbagai barangan yang dirampas daripada sekumpulan nelayan Thai di Kuala Perlis.

Bagaimanapun, modus operandi kumpulan itu dipantau pihak risikan APMMM yang mendapati bot kargo sepanjang 25 meter bernilai lebih RM100,000 itu kerap berlayar ke negara jiran ketika azan Jumaat dilaungkan di masjid berdekatan.

Hasil pemeriksaan, APMM menjumpai 28 tong plastik mengandungi 520 liter petrol, 60 tin cat jenama terkenal, 144 kilogram minyak masak dan 140 kilogram gula pasir yang bernilai RM11,788.

Ketua Penguatkuasa Maritim Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota yang menaiki kilat APMM terserempak dengan bot kargo berkenaan yang sering berulang alik ke negara jiran, kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Kuala Perlis.

“Kami bertindak memintas bot kargo yang berdaftar di Thailand berhampiran perairan negara jiran sebelum menjumpai barangan kawalan yang disorok di bahagian bawah bot itu.

“Seorang tekong bersama 10 awak-awak warga Thailand cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan barangan kargo harian iaitu ikan di bahagian atas manakala bahagian bawah pula tersembunyi barangan seludup,” katanya di pejabat APMM Kuala Perlis, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, bot kargo seberat lebih 40 tan bernilai lebih RM100,000 dirampas dan ditarik ke pangkalan APMM Kuala Perlis untuk pemeriksaan lanjut.

Abdul Rahim berkata, anggotanya terpaksa berkorban masa, terutama ketika umat Islam sibuk melakukan solat, bagi memastikan perairan negara bebas daripada ancaman penyeludupan.

“Sebelum ini penyeludup melakukan operasi ketika umat Islam berbuka puasa serta pada waktu solat Subuh. Bagaimanapun, kegiatan mereka sentiasa dipantau,” katanya.

Beliau berkata, 11 warga Thailand, termasuk tekong berusia 30 hingga 51 tahun berkenaan, akan didakwa mengikut seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu cubaan menyeludup keluar barangan larangan eksport.

Katanya, bagi bahan bakar, kes terbabit adalah rampasan ke-15 membabitkan APMM di perairan Kuala Perlis dan Langkawi bagi tempoh tahun ini sehingga semalam manakala gula dan cat membabitkan kes pertama.

Kereta melambung

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik maut apabila kereta Proton Perdana V6 dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Harrier di Lebuhraya Mahameru berhampiran Muzium Negara, kelmarin.
Pegawai Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kenderaan pacuan empat roda berkenaan terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.

“Ia kemudian melambung dan terhempas pada bahagian bonet depan kereta Proton Perdana berkenaan.

“Berikutan insiden itu, Proton Perdana terbabit berpusing-pusing sebelum terkandas di pembahagi jalan manakala tiga kenderaan lain turut mengalami kerosakan kecil,” katanya.

Abdullah berkata, pemandu Proton Perdana, Syed Narul Faisal Syed Mahmud, 31, maut di tempat kejadian.

Mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tiga individu dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan hanya cedera ringan.

Lelaki tertembak rakan ketika buru babi hutan

BESUT: Seorang lelaki berumur 42 tahun cedera di perut ditembak rakan ketika kedua-duanya berburu babi hutan di sebuah kebun getah
Kampung Pak Sik, Keruak, Hulu Besut, semalam.
Mangsa dikatakan mengekori suspek dari belakang dalam keadaan gelap.

"Suspek ternampak sesuatu melintas di hadapannya yang disangkanya seekor babi hutan lalu melepaskan tembakan menggunakan senapangnya.

"Bagaimanapun beliau terdengar jeritan mangsa yang memaklumkan beliau terkena tembakan di perut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tiada unsur jenayah pada kejadian itu. Beliau turut menasihati pemilik senjata api supaya berhati-hati menggunakannya terutama ketika memburu haiwan liar bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. - Bernama

3 suspek kes Sosilawati, jutawan India direman 6 hari



PEGUAM yang juga suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini untuk direman berhubung satu lagi kes pembunuhan jutawan dari India, Muthuraja Allal Kanthan. - Foto Afendi Mohamed


2010/09/26

SEPANG: Mahkamah Majistret Sepang membenarkan tahanan reman terhadap tiga suspek termasuk peguam dua beradik dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, bermula hari ini sehingga 1 Oktober ini.

Salah seorang peguam yang mewakili dua beradik itu, Ravi Nekoo memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa tahanan reman selama enam hari itu bagi membenarkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan jutawan lelaki warga India Allal Kanthan Muthuraja sejak 18 Januari lalu.
Semalam, ketiga-tiga suspek yang tamat tahanan remannya di atas siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, ditahan semula bagi membantu siasatan kehilangan jutawan dari India itu.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan mahkamah jam 9.35 pagi dalam tiga buah kereta yang berasingan dengan kawalan rapi polis.

Mereka kemudian meninggalkan mahkamah selepas perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain pada 11.40 pagi.
Ravi berakta majistret telah meminta salah seorang anak guamnya yang mendakwa dipukul oleh pihak polis semasa di reman sebelum ini supaya membuat laporan mengenai perkara itu.

"Kita akan berjumpa dia (anak guamnya) bagi membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata laporan itu dijangka dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di Banting pada hari ini atau dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata seorang lagi suspek masih lagi tidak diwakili peguam.

Selain daripada Ravi, dua beradik peguam itu diwakili oleh Datuk Ng See Teong, R.Pushpa dan Amer Hamzah Arshad. - BERNAMA

S USHARANI (kiri) bersama seorang pengawal peribadi keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Langat, Banting jam 10 pagi tadi, selepas memberi keterangan kira-kira sejam berkaitan siasatan kehilangan suaminya, Allal Kanthan Muthuraja, jutawan dari India yang pernah berhubung dengan seorang peguam yang juga suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dekat Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - Foto Rosdan Wahid

Dua bayi sah mati di TASKA tak berlesen



Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@bharian.com.my
2010/09/26

Taman asuhan diarah hentikan operasi tiga hari

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam mengesahkan dua bayi yang mati dipercayai tersedak susu dalam kejadian berasingan di Putrajaya, Isnin dan Selasa lalu, berlaku di dua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang tidak berdaftar.
Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan operasi kedua-dua TASKA berkenaan selama tiga hari bagi membolehkan jabatan itu membuat penyelidikan manakala pihak polis melakukan siasatan.
“Kementerian kesal dengan kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga bayi berkenaan. Saya berharap ibu bapa lebih peka dengan menyiasat terlebih dulu sebelum menggunakan khidmat TASKA itu termasuk memastikannya memiliki perakuan pendaftaran. Jika tiada, laporkan kepada JKM pada masa terdekat atau menghubungi talian Nur 15999.

“TASKA yang beroperasi secara haram ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta TASKA 1984 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Johor 2010 di Teluk Danga, semalam.

Media semalam melaporkan kematian seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang dipercayai dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya, Selasa lalu manakala satu kes lagi bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat masalah sama di sebuah pusat asuhan lain, Isnin lalu. 
Shahrizat berkata, ketika ini, JKM hanya mendaftarkan sebanyak 413 TASKA berbanding lebih 2,000 TASKA yang dipercayai beroperasi di negara ini.

Katanya, pengusaha TASKA dipercayai menjadikan kesukaran mendapatkan kelulusan tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sebagai alasan gagal mereka memiliki lesen pendaftaran dengan JKM.

Dua lelaki dihukum gantung kerana edar dadah



ALOR SETAR - Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat 2,805 gram di Gurun, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh Rizal Sham Ahmad, 32, seorang pemandu van kilang dan rakannya Md Fitri Md. Saad, 31, seorang penganggur dituduh mengedar dadah di tempat letak kereta di hadapan pasaraya Aneka, Gurun kira-kira pukul 4 petang 7 Februari 2006.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Lokasi tanam mayat ditemui



SEBUAH jentolak yang masuk ke kawasan Ladang Gadong di Banting semalam.


BANTING – Dua lokasi baru dipercayai tempat mayat ditanam dikesan di sekitar Ladang Gadong di sini petang semalam, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes kehilangan seorang ahli perniagaan dan rakannya dari Sungai Petani sejak April lalu.
Sumber yang mendedahkan penemuan itu berkata, dua lokasi tersebut ditemui hasil maklumat daripada pekerja ladang milik peguam yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Beberapa pekerja ladang itu dibawa masuk semula ke ladang berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Salah satu lokasi itu adalah berhampiran kuarters pekerja yang terletak di bahagian belakang ladang itu.
“satu lagi lokasi dipercayai di luar tembok ladang tersebut,” katanya.

Ahmad Fadzillah ditukar ke Bukit Aman



AHMAD FADZILLAH


KUALA LUMPUR - Polis Bukit Aman mengesahkan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed (gambar) yang tertembak rakannya ketika berburu di Hutan Simpan Kamasul, Lanchang, Temerloh Sabtu lalu telah ditukarkan ke Bukit Aman.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata, Ahmad Fadzillah kini menjawat jawatan Penolong Pengarah Penjawatan (Audit II), Jabatan Pengurusan menggantikan tempat yang disandang oleh Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor yang menggantikan tempat Ahmad Fadzillah.
Hussin berkata, langkah itu diambil bagi memudahkan siasatan kes yang dibuat mengikut prosedur biasa polis tanpa sebarang pengecualian sekalipun melibatkan pegawai kanan polis.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, Ahmad Fadzillah yang tertembak rakan, Che Abdul Ghani Medon, 49, yang juga Penolong Pegawai RISDA Maran semasa memburu telah ditukar.

Eskalator satu tan dikebas


DENPASAR - Polis Indonesia berjaya menahan dua lelaki tempatan, Oktadianto Bi, 26, dan Nyoman Mertayasa, 32, kerana mencuri sejumlah eskalator daripada pusat beli-belah tempat mereka bekerja sebagai juruteknik di sini.
Mereka dipercayai mencuri sedikit demi sedikit bahagian kecil tangga bergerak itu sebanyak 24 kali sejak Mei sehingga Ogos lalu. Mencecah berat lebih satu tan, tangga tersebut dipunggah keluar menggunakan sebuah motosikal buruk.
Menurut akhbar Jawa Pos, letua polis tempatan, Gusti Nyoman Wintara dilaporkan berkata, pihak pengurusan Plaza Nikita mengadu kecurian eskalator terbabit pada 6 September lalu apabila menyedari banyak komponen tangga hilang secara misteri.
"Polis mengesyaki dalang kecurian itu ialah pekerja kompleks sendiri kerana kesemua anak tangga diumpil begitu sempurna tanpa meninggalkan kesan rosak yang ketara," katanya.
Dua suspek itu berjaya ditahan pada Selasa lalu. Namun, semua anak tangga tersebut gagal ditemui kerana dipercayai sudah dijual kepada sebuah bengkel besi lusuh yang kemudian didapati telah berpindah alamat. - Agensi

Dua beranak ditemui mati terbaring dalam bilik hotel



Chuan Chee


KUALA LUMPUR - Tidak diketahui apa puncanya, seorang anak dan ibunya ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel sebuah resort tanah tinggi dekat Genting Highlands petang kelmarin.
Kejadian tersebut disedari oleh seorang pekerja hotel yang melakukan pemeriksaan bilik pada pukul 4 petang selepas mangsa yang berusia 36 tahun gagal mendaftar keluar pada pukul 12 tengah hari hari yang sama.
Wanita yang mati itu ialah Woo Wian Kian, seorang pekerja kewangan bersama anak perempuannya, Chuan Chee berusia empat tahun.
Pekerja tersebut yang curiga kemudian pergi ke bilik mangsa sebelum menemui dua beranak tersebut dalam keadaan terbaring di dalam bilik tersebut.

Cecacing siber paling bahaya



Salah sebuah kawasan perindustrian di Teheran, Iran yang diserang cecacing komputer Stuxnet.


TEHERAN - Selepas berjaya menyerang tujuh buah negara, Iran kelmarin menjadi mangsa terbaru apabila pakar-pakar komputer di republik Islam itu mengesan kemunculan cecacing siber paling berbahaya, Stuxnet.
Agensi berita rasmi ISNA melaporkan, sekumpulan pakar nuklear turut menyertai mesyuarat kecemasan semalam bagi menangani virus maya itu yang dipercayai boleh mengambil alih sistem kawalan tenaga elektrik kawasan industri.
Sehingga kini, cecacing itu yang dikesan di Jerman sejak Jun lalu telah menjangkiti lebih 45,000 sistem kawalan industri di India, Pakistan, Indonesia, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) sebelum merebak ke Iran minggu lalu.

Selesai dalam tempoh terdekat - Ismail

GEORGE TOWN 25 Sept. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
"Polis masih meneruskan siasatan (kes pembunuhan Sosilawati)...kita akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.
Semalam, pasukan forensik polis dilaporkan sekali lagi melawat ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Sosilawati, 47, pemandu Kamarudin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas, polis mengesahkan mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. - BERNAMA

Penyelam tumpu di kunci air lagi untuk cari bukti pembunuhan


KUALA LANGAT 25 Sept. - Penyelam Pasukan Gerakan Marin (PGM) masih berusaha mencari bahan-bahan bukti berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya, Ogos lalu.
Tinjuan Mingguan Malaysia mendapati operasi pasukan tersebut kini tertumpu di kunci air pekan Banting, berhampiran pasar raya Econ Save di sini hari ini.
Dua hari lalu, polis menemui gelang emas dipercayai milik jutawan kosmetik di Sungai Lang, kira-kira 300 meter dari lokasi operasi hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu diberhentikan dua jam 10 minit kemudian. Setakat lewat petang difahamkan polis tidak menemui sebarang bahan bukti terbaru di lokasi operasi.
Dalam pada itu, jalan di kedua-dua arah di sekitar kunci air itu terpaksa ditutup bagi mengelakkan sebarang gangguan.
Bagaimanapun tiada sebarang kesesakan lalu lintas berlaku, kemungkinan kerana cuti hujung minggu.
Walaupun kes pembunuhan hampir mencecah sebulan, namun orang ramai dilihat menunjukkan minat yang mendalam apabila sanggup berjemur di bawah pancaran matahari untuk menyaksikan operasi terbabit.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan keempat- empat individu itu, polis telah menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.
Pada 13 September lalu, polis mengesahkan empat daripada lapan suspek yang ditahan mengaku telah memukul keempat-empat mangsa sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu mayat mangsa dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting di sini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikasavagam ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, isteri ahli perniagaan warga India yang dilaporkan hilang di Banting, awal tahun ini, S. Usharani akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, di sini esok.
Usharani hadir untuk menyambung keterangan berhubung kehilangan suaminya, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dipercayai ada kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
Semalam, Usharani, 27, yang dipanggil untuk memberi keterangan dikatakan turut menyerah telefon bimbit sebagai bahan bukti.

Lokasi dua lagi mayat ditanam ditemui


KUALA LANGAT 25 Sept. - Dua lokasi berasingan dipercayai tempat dua mayat ditanam di kawasan Ladang Gadong, iaitu lokasi ladang milik suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dikenal pasti polis hari ini.
Dua individu terbabit termasuk salah seorang daripadanya adalah dipercayai ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu.
Kedua-dua mayat itu dipercayai ada kaitan dengan suspek utama yang merupakan seorang peguam bergelar Datuk.
Salah satu daripada lokasi itu dikenal pasti berhampiran kuarters pekerja di belakang kawasan ladang manakala satu lagi dipercayai ditemui beberapa meter di luar ladang tersebut.
Kedua-dua lokasi itu terbongkar dipercayai hasil maklumat suspek yang dibawa masuk ke ladang tersebut kira-kira pukul 4 petang.
Sumber memberitahu, operasi mengorek kawasan dipercayai lokasi mayat ditanam akan dimulakan pagi esok.
"Berdasarkan keterangan suspek, polis telah menanda kedua-dua lokasi terbabit," kata sumber.
Dakwaan itu dikukuhkan lagi apabila sebuah jentolak dilihat memasuki ladang tersebut pukul 4.30 petang untuk mengorek dua lubang sebelum dilihat beredar pukul 6.10 petang.
Kira-kira 30 minit sebelum itu, 12 kenderaan polis termasuk sebuah van membawa empat suspek berbaju warna oren memasuki ladang tersebut.
Sumber polis turut mengesahkan kehadiran suspek di ladang tersebut kali ini tiada kaitan dengan pembunuhan Sosilawati sebaliknya bersabit laporan kehilangan yang baru.
Kesemua kenderaan polis dilihat meninggalkan lokasi pembunuhan pukul 6.45 petang.
Pada 22 September lalu, isteri Mohd. Shafik, Samson Nahar Mohd. Dali, 35, mengesahkan suaminya menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh kumpulan lelaki yang terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi mangsa.
Samson berkata, perkara tersebut dimaklumkan kepadanya oleh sepasukan pegawai penyiasat semasa memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Kuala Langat, sebelum itu.

Tiga suspek utama ditahan semula


KUALA LUMPUR 25 Sept. – Tiga suspek termasuk dua beradik, kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lagi yang tamat tempoh tahanan reman mereka semalam, ditahan polis semula hari ini kerana dipercayai turut terlibat membunuh ahli perniagaan dari India, Allal Kathan Muturaja.
Allal Kathan dilaporkan hilang di Banting, Selangor, 18 Januari lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, perintah tahanan reman ketiga-tiga mereka akan diminta di mahkamah esok.
“Mereka ialah seorang peguam, adiknya serta seorang lagi suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, isteri Allal Kathan, S. Usharani, 27, menyerahkan telefon bimbit menyimpan rakaman perbualan antara dia dan suspek utama kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
S. Usharani sebelum itu hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 11.30 pagi untuk mendedahkan maklumat berkenaan sebagaimana dinyatakan pada satu sidang media di Kapar, semalam.
Ketiga-tiga suspek-suspek berkenaan sebelum ini dipercayai membunuh Sosilawati, 47; pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Kesemua mereka sebelum itu dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Perhilitan Terengganu tangkap 4 gajah liar



ANGGOTA Perhilitan menggunakan gajah jinak bagi membawa keluar gajah liar yang merosakkan tanaman dan hasil kebun penduduk kampung di Kampung Durian Bador, Hulu Terengganu, semalam. - MINGGUAN/Fauzi Baharudin


HULU TERENGGANU 25 Sept. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri berjaya menangkap empat ekor gajah betina liar termasuk seekor anak gajah dalam satu operasi di Kampung Durian Bador dekat sini hari ini.
Gajah-gajah yang dipercayai sering mengganggu penempatan dan kebun penduduk itu berjaya ditangkap kira-kira pukul 12 tengah hari setelah hampir lima jam mengumpan haiwan berkenaan.
Pengarah Perhilitan negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa menggunakan seekor gajah jinak bagi memujuk dan menenangkan gajah-gajah liar berkenaan agar operasi penangkapan dan perpindahan berjalan lancar.
Katanya, kesemua gajah tersebut akan dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Santuari Gajah Sungai Ketiar, Kenyir dekat sini.
"Dalam operasi yang telah bermula sejak 19 September lalu, kita telah berjaya menangkap sebanyak lapan ekor gajah liar di seluruh negeri.
"Operasi yang dijangka berakhir pada minggu hadapan itu dijalankan bergantung kepada kepada cuaca serta keadaan muka bumi di sesebuah kawasan itu.
"Selain operasi pada hari ini, kita juga telah melakukan operasi di Hulu Besut serta Setiu dan akan meneruskan operasi yang sama di Air Putih, Kemaman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Operasi yang bermula dari pukul 7 pagi itu disertai oleh 20 anggota Unit Pengurusan Gajah Perhilitan negeri termasuk daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Jabatan Perhilitan Kuala Gandah, Temerloh, Pahang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung berkenaan, Wan Razali Wan Ismail berkata, beliau meminta pihak Perhilitan negeri memantau dan menjalankan operasi penangkapan haiwan tersebut secara berterusan agar dapat mengatasi ancaman mamalia itu.
Katanya, konflik antara gajah dengan pemilik-pemilik kebun di sini merupakan masalah yang tiada kesudahannya apabila haiwan tersebut sering menganggu penempatan penduduk.
Tambahnya, kehadiran haiwan tersebut dikesan penduduk sejak awal Ramadan lalu yang mana ketika itu merupakan musim buah-buahan.
"Bayangkan gajah-gajah ini umpama 'berpesta' di kebun kami yang bukan sahaja merosakkan buah-buahan berkenaan malah turut merosakkan tanaman kelapa sawit.
"Justeru, saya berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi kerana ia merugikan petani-petani di sini. Pihak Perhilitan perlu mengatasi masalah ini kerana walaupun empat ekor gajah ini telah ditangkap namun saya yakin banyak lagi haiwan ini akan datang ke sini untuk menimbulkan masalah," jelasnya.

Rumah pekerja musnah terbakar


KUCHING 24 Sept. - Sebuah blok rumah pekerja enam pintu di sebuah kilang di Jalan Semangat, Bintawa di sini musnah dalam satu kebakaran petang ini.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu.
Komander Operasi Balai Bomba Tabuan Jaya, Jemilan Kemis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, api marak namun bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh lima minit.
"Operasi memadam kebakaran dilakukan dari sebelah kiri ke kanan rumah pekerja yang diperbuat daripada kayu itu bagi memastikan api tidak merebak ke rumah bersebelahan.
"Kita tidak menghadapi sebarang masalah memadam kebakaran dan bomba berjaya memadam api sepenuhnya pada pukul 2.47 petang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak dua jentera terbabit dengan operasi memadam kebakaran itu iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Kuching bersama 17 pegawai serta anggota.
Selain itu, operasi memadam kebakaran turut dibantu tiga anggota daripada Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM).
Jemilan berkata, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Sementara itu, seorang mangsa, Abdul Majid, 48, yang bekerja sebagai pemandu forklift di kilang berkenaan memberitahu, ketika kejadian dia tiada di rumahnya.
"Selepas dimaklumkan, dia bergegas pulang untuk melihat keadaan, namun sebaik sahaja tiba di situ kesemuanya telah musnah.
"Semua harta benda termasuk dokumen peribadi tidak dapat diselamatkan kerana kebakaran begitu cepat merebak," katanya.

Remaja ditahan kes cabul, ragut



MOHAMAD Nasir Ramli (tengah) menunjukkan topi keledar milik remaja yang melakukan kesalahan cabul, ragut dan menunjukkan kemaluan yang ditahan oleh polis di Muar, Johor, baru-baru ini.


MUAR 25 Sept. - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bukan sahaja mencabul dan meragut mangsa malah menunjukkan kemaluannya kepada lima wanita di sekitar Parit Jawa di sini, semalam dan kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek yang menunggang motosikal melakukan semua perbuatan tersebut secara berasingan.
Katanya, kes pertama berlaku pukul 7.30 pagi kelmarin apabila suspek yang menunggang motosikal memegang payu dara seorang gadis berusia 22 tahun.
"Ketika kejadian mangsa juga sedang menunggang motosikal di kawasan berhampiran Stesen Petronas di Parit Jawa," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 7.15 pagi semalam pula, suspek telah menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita berusia 49 tahun di perhentian bas di Sungai Gersik, di sini.
Katanya, selang sejam di Parit Jamil, suspek menghimpit motosikal seorang gadis berusia 23 tahun sebelum meramas payu dara mangsa.
"Mangsa ketiga ialah seorang wanita berusia 30 tahun dan suspek yang menaiki motosikal telah menolak mangsa serta motosikalnya sehingga jatuh sebelum memegang payu dara mangsa.
"Mangsa seterusnya adalah seorang gadis berusia 18 tahun di Parit Pecah. Tidak seperti mangsa sebelumnya, suspek mengambil masa selama kira-kira sejam untuk berbual dengan mangsa sebelum meragut beg tangan mangsa," ujarnya.
Menurut Mohamad Nasir, bertindak daripada laporan mangsa-mangsa, pihak polis telah berjaya mengenal pasti nombor plat motosikal suspek dan menahannya di sebuah rumah di Parit Yusuf di sini pukul 8.30 malam kelmarin.
Katanya, suspek beralamat di Kluang dan tidak lagi bersekolah manakala motosikal digunakannya adalah milik kakaknya yang tinggal di Parit Yusuf.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cabul, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut dan Seksyen 509 kerana menunjukkan kemaluan," katanya.

Dua cedera ditembak rakan sekerja di Amerika Syarikat.


26/09/2010 2:46am

CRETE, Nebraska 26 Sept. - Para pegawai di Nebraska, Amerika Syarikat (AS) berkata, sekurang-kurangnya dua dari tiga pekerja cedera dalam kejadian tembakan di sebuah gudang simpanan dingin beku apabila mereka tidak muncul-muncul semalam.
The Omaha World-Herlad melaporkan, pendakwa negera Saline, Tad Eickman berkata, pihak berkuasa percaya beberapa orang telah menjadi sasaran dalam kejadian itu.
Menurutnya, penyerang telah melepaskan sekurang-kurangnya 15 das tembakan mengguna pistol 9 mm.
Pihak berkuasa berkata, lelaki pendatang Sudan berusia 26 tahun, Akouch Kashoual telah menembak tiga rakan sekerjanya sebelum dia bertindak membunuh diri.
Eickman berkata, mangsa yang parah dalam serangan itu, Elizabeth Canas belum dapat memberi jawapan untuk disoal siasat. - AP

Ibu, anak mati dalam kepulan asap

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Seorang ibu sempat meninggalkan sekeping nota sebelum ditemui mati lemas dalam kepulan asap bersama anak perempuannya di sebuah bilik hotel di sebuah pusat peranginan tanah tinggi, dekat sini semalam.
Mangsa berusia 36 tahun itu ditemui mati pukul 6 petang bersama-sama anaknya yang berusia empat tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika ditemui mereka dalam keadaan terlentang di atas katil.
“Hasil siasatan awal kita mendapati wanita yang berasal dari Kepong serta mengalami tekanan perasaan itu telah melemaskan diri serta anaknya dalam kepulan asap berkenaan.
“Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menemui kayu yang dibakar di dalam bilik air hotel itu. Kita juga dapati lubang angin di bilik itu telah ditutup untuk mengumpul asap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, polis menemui sekeping nota berbahasa Cina berbunyi “Saya tak nak teruskan kehidupan, terima kasih anda sebagai suami, kepada kakak ibu dah tua, bawa jalan, jaga dia baik-baik.”
“Selain itu, polis juga percayai mangsa mabuk sebelum melemaskan dirinya di dalam asap berdasarkan penemuan dua tin minuman keras di atas meja di dalam bilik hotel berkenaan.
“Kita kini sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui jika terdapat kejadian jenayah terhadap kematian mangsa,” ujarnya.

Ibu mengandung pertaruh nyawa dalam kebakaran


BESUT 25 Sept. - Hanya kerana ingin menyelamatkan surat lahir tiga anaknya, seorang ibu mengandung sanggup bertarung nyawa untuk memasuki rumahnya ketika api sedang marak dalam kebakaran di Kampung Gong Nering, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Che Haslizawati Ismail, 24, bertindak berani meskipun menyedari mungkin terperangkap dalam kebakaran tersebut.
Menurut Che Haslizawati, ketika kejadian, dia dan tiga anaknya, Norliana Asyikin, 5; Mohd. Hasrul, 4, dan Mohd. Hamzi Shakir, 3, pergi ke rumah ibunya yang terletak kira-kira 150 meter dari rumahnya.
Katanya, suaminya, Zul Hamat, 32, pula keluar untuk ke stesen minyak berhampiran.
Ujarnya, dia hanya menyedari kejadian tersebut apabila dimaklumkan oleh adik lelakinya, Zulhafizi, 12, yang ternampak kepulan asap ketika melalui rumah kakaknya.
"Saya bergegas pulang ke rumah dan terhidu bau hangit serta melihat asap tebal dari bahagian dapur.
"Saya yang terkejut terus meluru ke dalam rumah sebelum memasuki sebuah bilik untuk mengambil tiga surat lahir milik anak yang disimpan dalam beg.
"Ketika itu, saya lihat asap hitam menyelubungi ruang tamu dan api mula merebak ke seluruh rumah. Akibat api yang marak cepat, saya gagal selamatkan harta benda," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Dalam kejadian tersebut, suri rumah yang sedang mengandungkan anak keempat itu juga kehilangan semua alat persediaan bersalin dibelinya sejak beberapa bulan lalu.
Zul berkata, wang upah daripada kerja mengecat sebanyak RM1,700 yang baru diterima beberapa hari lalu dan sebuah motosikal turut musnah dalam kebakaran itu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang menziarahi mangsa telah menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga tersebut.

10 kereta polis kejar dua kereta dinaiki penjenayah


IPOH 25 Sept. - Seperti adegan mengejar penjenayah dalam drama televisyen. Itulah yang berlaku apabila 10 buah kenderaan peronda polis (MPV) terpaksa digunakan untuk mengejar dua buah kereta termasuk salah satunya baru dilarikan penjenayah di sebuah stesen minyak di Kampung Tawas, di sini semalam.
Kereta yang dilarikan adalah jenis Proton Waja manakala sebuah lagi kereta, Perodua Kelisa, milik penjenayah berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, MPV-MPV berkenaan terpaksa mengejar sejauh tujuh kilometer sebelum berjaya menahan kedua-dua kereta terbabit di sebuah lorong di Taman Rokam Indah, sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kejadian berlaku apabila seorang daripada empat penjenayah terbabit melarikan kereta milik seorang wanita di stesen minyak itu.
Ujarnya, polis yang menerima laporan daripada orang ramai kemudian berjaya mengesan mereka sebelum mengejar kereta Proton Waja dan Perodua Kelisa dinaiki tiga rakannya.
"Kedua-dua kereta itu berjaya ditahan apabila polis mengepung mereka di lorong tersebut.
"Dua daripada penjenayah terbabit dapat diberkas di dalam kereta Perodua Kelisa, manakala dua lagi sempat melarikan diri menghala ke sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Rokam," katanya di sini hari ini.
Ujar Azisman, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota MPV kemudian mengepung rumah tersebut namun penjenayah terbabit berjaya meloloskan diri di kawasan perkampungan itu.
Dua penjenayah yang ditahan katanya, dibawa ke IPD Ipoh untuk siasatan lanjut manakala gerakan memburu penjenayah tersebut masih diteruskan.
"Siasatan terhadap kedua-dua penjenayah terbabit sedang dijalankan untuk mengesan sama ada mereka terbabit dalam kegiatan mencuri kereta," katanya.

Bayi maut, van bapa terbabas

KUALA KANGSAR 25 Sept. - Seorang bayi lelaki berusia 17 bulan terbunuh setelah tercampak daripada van yang dipandu bapanya di Kilometer 20, Jalan Kuala Kangsar- Manong, di Kampung Jalan Badak, di sini semalam.
Mangsa, Muhammad Amirul Nabil Nor Hasman mati di tempat kejadian manakala bapanya, Nor Hasman Mohd. Nazir, 38, dan ibunya, Faizah Mohd Isa, 38, cedera dan dirawat di Hospital Taiping.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, kejadian pukul 5.40 petang itu berlaku apabila van tersebut terbabas setelah melanggar tiang telefon dan pondok bas.
"Siasatan polis mendapati van itu terbabas sendiri kerana keadaan jalan raya yang licin," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Nor Hasman, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak tunggalnya sedang dalam perjalanan dari Lempur ke Jeliang untuk mengunjungi rumah saudara mereka.
"Apabila sampai di tempat kejadian, van yang saya pandu hilang kawalan kerana jalan licin akibat hujan.
"Ia menyebabkan van itu terbabas lalu melanggar tiang telefon dan merempuh sebuah pondok menunggu bas.
"Saya tersedar apabila melihat isteri dan anak yang berada di pangkuan ibunya tercampak di atas tanah," katanya.