PARIT HAJI TAIB 1 - Seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Ehya Al Shariff Gunung Semanggol, Fatimah Azzahra Jaafar, 18, terlibat dalam satu kemalangan maut ketika membonceng motosikal pulang dari sekolah ke rumahnya di Parit Haji Taib Satu, Bagan Serai di sini, semalam.
Bapanya, Jaafar Saad, 47, dan ibunya Muhminah Tarmizi, 47, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka menguruskan jenazah.
Jiran, Mohd Yusof Pie, 56, atau lebih dikenali sebagai Pak Long berkata, saksi hadir dan menceritakan kepadanya bagaimana kejadian berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari sehingga menyebabkan Fatimah maut di tempat kejadian.
Menurut Pak Long, ketika membonceng motosikal, Fatimah dikatakan berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan lampu isyarat dan meletakkan kakinya di bahu jalan kemudian tergelincir sebelum di gilis sebuah lori.
“Dari sumber memberitahu, lori itu menggilis mangsa kemudian terus memecut mengerakkan lorinya dalam keadaan tanpa menyedari telah melanggar sesuatu.
“Bagaimanapun kesahihan cerita ini masih belum dapat dikenal pasti sepenuhnya,” katanya.
Guru Kelas, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Fatimah adalah seorang pelajar yang cukup pintar berbanding pelajar lain.
Menurutnya, sebelum kejadian tiada tanda-tanda pelik pada pelajar itu, cuma Fatimah terlalu banyak bertanyakan soalan bagi mata pelajaran yang di ajar kerana perasaan ingin tahu di dalam dirinya terlalu kuat.
“Banyak soalan yang ditujukan kepada saya dan saya menjawab segala persoalannya kerana sudah sinonim dengan Fatimah yang cukup cemerlang dalam pelajaran.
“Pihak sekolah juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk mendapatkan pangkat ‘muntaz’ iaitu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akan datang,” katanya.
Mohd Akmal berkata, keinginan yang kuat untuk menyambung pelajaran ke Mesir membuatkan dia tabah sebagai seorang pelajar yang begitu tekun.
“Bagi saya Ehya Al Shariff kehilangan seorang lagi tokoh pelajar yang cemerlang dan sukar dicari ganti.
“Sikapnya bukan sahaja seorang yang pencabar, namun perwatakannya yang mudah didekati oleh rakan sebaya membuatkan dia dihormati di sini,” katanya.
Seorang lagi guru, Abdullah Zawawi Abdul Latif berkata, Fatimah bukan sahaja pelajar yang ceria bahkan cerdas di dalam kelas.
Menurutnya, sifat ingin tahu itu menjadikan Fatimah agak rapat dengan kebanyakan guru di sini, maka tidak hairanlah dia di sayangi oleh ke semua guru.
“Saya sudah menganggap Fatimah sebagai anak saya sendiri dan percaya dia mampu menjadi pelajar yang cemerlang setelah menduduki peperiksaan pada bulan 11 ini.
“Kehilangannya amat dirasai, bukan sahaja ahli keluarganya bahkan seluruh warga Ehya Al Shariff dan kami sebagai pendidik mengiring kepergiannya,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Husin Din berkata, dia kebetulan berada di tempat kejadian dan mengikut sehingga ke Hospital Taiping untuk menguruskan jenazah yang disembahyangkan dan dikebumikan di Masjid Tinggi Bagan Serai.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah dan banyakkan berdoa serta menerima semua ujian Allah ini dengan sabar,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu dan menyifatkan ianya sebagai kes langgar lari.
Menurutnya, Kes itu akan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya percaya kes ini dilihat oleh ramai saksi berikutan kejadian berlaku pada waktu puncak dan ketika pelajar pulang dari sekolah serta solat Jumaat.
“Kita minta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi balai polis Simpang Empat Semanggol atau Cawangan Trafik Bagan Serai atau terus menghubungi saya untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.