Search This Blog

Friday, September 24, 2010

Amah Indonesia curi pakaian majikan dipenjara 3 bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dikenakan hukuman tiga bulan penjara atas tuduhan mencuri pakaian majikannya oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Tuti Hernalia, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Siti Shakirah memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Ogos lalu. Tuti didakwa mencuri pakaian milik majikannya, Norbik Bashah Idris, 51, di No 2, Jalan Setiawangsa 22, Taman Setiawangsa, di sini, 17 Ogos lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes pengadu mendapati barang berkenaan dimasukkan ke dalam dua beg yang dirancang tertuduh untuk dihantar ke Indonesia melalui seorang rakannya yang akan pulang ke Indonesia.

Kedua-dua beg berisi pakaian itu diserahkan kepada Balai Polis Taman Melawati.

Pemandu teksi cedera terkena tembakan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi yang sedang berehat cedera pada kedua-dua belah kakinya selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang individu tidak dikenali di Jalan Pudu kira-kira 50 meter dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pemandu warga tempatan berusia 41 tahun itu memberhentikan teksinya di bahu jalan sebelum seorang lelaki datang menghampirinya dan melepaskan tembakan di bahagian bawah pintu sebelah pemandu.
Tembakan berkenaan menembusi pintu teksinya sebelum peluru itu mengenai kedua-dua kaki mangsa.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang lelaki menunggang sebuah motosikal sebelum memberhentikan motosikalnya berhampiran tempat mangsa meletakkan teksi.

Bapa, anak macam setan

ROMPIN: Dua beranak ini layak digelar iblis bertopeng manusia apabila tergamak menjadikan lima ahli keluarga mereka sebagai pemuas nafsu sejak setahun lalu dalam kejadian di sebuah kampung di Pulau Tioman, dekat sini.
Kejadian pertama membabitkan anak perempuan sulung berusia 15 tahun dan masih bersekolah di sebuah sekolah menengah, dekat sini, yang dicabul kehormatan oleh bapanya berusia lingkungan 30-an pada 2008.
Tidak cukup dengan perbuatan terkutuk itu, bapa durjana terbabit menjadikan anak keempatnya yang masih bersekolah di tingkatan satu berusia 13 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu pada tahun lalu.

Perbuatan keji itu berlarutan apabila bapa bernafsukan haiwan terbabit merogol anak ketiganya, seorang pelajar tingkatan dua berusia 14 tahun sebelum mangsa seterusnya adalah anak kelima berusia 10 tahun.

Lebih mengejutkan lagi, abang mangsa berusia 17 tahun turut bersengkongkol dengan bapanya apabila merogol dan mencabul adiknya berusia sembilan tahun.

Difahamkan, semua kejadian terbabit berlaku di rumah mereka ketika isteri lelaki durjana itu tiada di rumah. Kejadian rogol itu juga dikatakan turut dilakukan di sebuah chalet di pulau berkenaan.

Kejadian terbabit terbongkar selepas anak perempuan mangsa berusia 15 tahun membuat laporan di Balai Polis Tioman pada jam 12 tengah hari, Selasa lalu, selepas tidak tahan dengan sikap bapa yang sering bergaduh dengan ibunya.

Selepas mangsa mendedahkan semua kejadian terbabit, polis mendapati lelaki itu bersama anaknya menghilangkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Johari Jahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua kejadian terbabit dikatakan berlaku sejak 2008 hingga 2009, malah seorang daripada lima beradik berkenaan turut mendakwa dirogol sebanyak dua kali oleh bapanya.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan serta akan mengambil keterangan lanjut daripada mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan 376 Kanun Keseksaan kerana cabul kehormatan dan rogol,” katanya.

Difahamkan, polis juga sedang mengesan kedua-dua anak beranak itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kontraktor maut kereta bertembung

SEREMBAN: Seorang kontraktor maut selepas kereta dipandu terbabas lalu bertembung dengan kenderaan lain di Jalan Mambau-Lukut, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa Gan Hia, 76, yang memandu kereta Toyota Altis, mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan mayatnya yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat.
Dua lagi mangsa iaitu pemandu dan penumpang sebuah lagi kenderaan cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan kepada siasatan awal polis, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas Gan yang memandu Toyota Altis menghala ke Lukut terbabas ke kanan jalan lalu berlanggar dengan Proton Exora dari arah bertentangan menyebabkannya maut di tempat kejadian,” katanya.

Pekerja setia dalang kehilangan 12 TV LCD

KAJANG: Kehilangan 12 televisyen skrin paparan cecair (LCD) dari stor sebuah pasar raya terkenal di sini, sejak lima tahun lalu hanya terbongkar selepas dua pekerjanya dikesan melakukan kerja haram itu, kelmarin.
Sebelum itu, penyelia stor berkenaan mula berasa hairan apabila mendapati televisyen LCD di stor berkenaan hilang satu demi satu sejak lima tahun lalu mula membuat siasatan sendiri.
Apa yang mengejutkan, walaupun berlaku kecurian televisyen itu namun tidak mengesyaki ia angkara pekerjanya sendiri. Difahamkan, dua lelaki terbabit dipercayai bijak mencuri televisyen berkenaan tanpa dicekup majikannya. Namun, penyelia terbabit yang melakukan pemeriksaan dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) dalam stor berkenaan terkejut apabila mendapati pekerja setianya membawa keluar televisyen itu dipercayai untuk dijual dengan harga murah.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, satu laporan polis dibuat penyelia terbabit sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek yang berasal dari bandar ini dipercayai mencuri televisyen terbabit apabila mendapat permintaan daripada pelanggan yang mahukan harga murah. “Kami masih menyoal siasat suspek dan kini mengesan seorang lagi rakannya untuk membantu siasatan mengenai kes kecurian itu,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Lagi hilang raya kedua

JASIN: Hanya air mata menjadi teman setia buat seorang ibu apabila mengenangkan nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak hampir dua minggu lalu.
Nurul Dinah Jamal, 23, dari Jalan Pengkalan Samak, Merlimau dilaporkan menghilangkan diri pada 11 September lalu ketika umat Islam menyambut hari raya kedua.
Menurut ibunya, Habsah Mohd Diah, 54, anaknya keluar rumah jam 10 pagi dengan memberitahu dia mahu berkunjung ke rumah rakan.

Dia yang tidak mengesyaki apa-apa hanya membenarkan anak ketiga daripada empat beradik itu keluar bersendirian.

“Dia keluar hanya membawa beg tangan serta memakai tudung berwarna krim, kemeja-T lengan panjang berwarna merah serta berseluar denim biru.

“Apabila menjelang malam, saya mula risau apabila Nurul masih belum pulang, tetapi tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi.

“Saya bertambah risau apabila tidak menerima sebarang jawapan di telefon bimbitnya, hanya peti simpanan pesanan suara,” katanya semalam.

Habsah berkata, keesokannya, mereka mencarinya di bandar Melaka, selain bertanya rakan serta saudara mara.

Namun, katanya, semua rakan dan saudara mara tidak mengetahui atau mempunyai maklumat.

“Saya terus membuat laporan pada hari kedua kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin,” katanya.

Beliau yang menghidap kencing manis kronik hingga kehilangan kaki kanan pada paras lutut tertekan dengan kehilangan anaknya.
Menurutnya, beberapa hari sebelum kehilangan anaknya, dia tidak menunjukkan perubahan dan pada Aidilfitri pertama, Nurul nampak ceria seperti biasa.

“Kami tidak pernah berselisih faham dan saya juga tidak mengetahui sama ada dia mempunyai teman lelaki,” katanya.

Wang sumbangan pengebumian RM2,600 dirompak

KUCHING: Majlis pengebumian keluarga bertukar kecoh apabila didatangi empat lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta lalu merompak sumbangan orang ramai RM2,600 di Batu 7, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, seorang suspek menyembur pemadam kebakaran ke arah anggota keluarga dan orang ramai yang mengunjungi keluarga berkenaan menyebabkan huru-hara.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kok Keong berkata, lelaki terbabit meluru ke arah seorang anggota keluarga ketika itu menghitung kutipan.

“Suspek menggunakan semburan pemadam kebakaran untuk mengalih perhatian supaya dapat melarikan wang dihitung seorang ahli keluarga terbabit.

“Sebaik mendapatkan wang berkenaan, suspek berlari masuk ke dalam kereta yang sedia menunggu di luar rumah dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, keluarga malang terbabit membuat laporan polis pada jam 3.15 petang di Balai Polis Batu 10 dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek.

“Disebabkan keadaan kecoh, keluarga dan orang ramai yang hadir pada majlis itu tidak dapat mengecam suspek dan rakannya. Sehubungan itu kami meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi polis membantu siasatan,” katanya.

Helah pergi beraya

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun menggunakan taktik pergi beraya di rumah rakannya di sekitar bandar raya ini sebelum ‘lesap’ bersama rakan lelakinya pada kira-kira jam 1 tengah hari 15 September lalu.
Melisa Natasha Mohamad Nassir dikatakan melarikan diri bersama remaja berumur 17 tahun dikenali sebagai Amirul, sehelai sepinggang dan hingga kini gagal dihubungi.
Ibu remaja perempuan itu, Hasimah Ujang, 45, dari Taman Universiti di sini, berkata pada hari kejadian, anaknya meminta izin daripada suaminya untuk keluar berhari raya bersama Amirul.

“Melisa baru pulang dari Singapura selepas beraya dengan neneknya di sana. Dia mengatakan mahu beraya ke rumah rakan dengan membonceng motosikal Amirul. “Ketika itu pula, saya di Melaka bersama lima anak. Petang hari kejadian, kami kembali dari Melaka dan menunggunya hingga ke tengah malam tetapi dia tidak pulang,” katanya, semalam.

Hasimah mengatakan Melisa yang juga anak keempat daripada enam beradik tidak mempunyai telefon bimbit dan menerusi rakan anaknya, dia berjaya menghubungi Amirul tetapi remaja lelaki terbabit enggan memberi kerjasama.

Katanya, Amirul terus mematikan telefon bimbitnya apabila ditanya berkaitan Melisa dan ia menambah kebimbangan mereka.

“Sudah sembilan hari Melisa hilang dan ini kali pertama dia keluar dan terus tidak menghubungi keluarga,” katanya. Sebelum ini, paling lewat pun dia akan pulang ke rumah sekitar jam 9 malam dan kami kenal dengan rakannya.

“Kami ada bertemu dengan keluarga Amirul dan mereka mengatakan Melisa pernah tidur di sana. Mereka turut mengatakan gagal menghubungi anak lelaki mereka hingga kini,” katanya.

Hasimah menggesa Melisa segera kembali ke pangkuan keluarga dan bersedia untuk melupakan kisah hitam terbabit demi masa depan anaknya itu.

Tambah merunsingkan beliau, Melisa bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini.

Difahamkan Amirul yang berusia 17 tahun sudah tidak bersekolah dan Hasimah mengatakan dia tidak pernah mengenali remaja terbabit.

Click Here
Satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Taman Universiti sehari selepas kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Melisa diminta menghubunginya di talian 012-2103348 atau balai polis berhampiran.

Ambil keterangan lebih lanjut

BANTING: Isteri ahli perniagaan India yang dikatakan turut menjadi mangsa ‘hilang dan bunuh’ suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain hadir sekali lagi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Langat untuk diambil keterangan berhubung kes kehilangan suaminya, di sini, semalam.
S Usharani, 24, tiba di IPPD kira-kira pada jam 2.15 petang.
Harian Metro difahamkan, Usharani diminta hadir sekali lagi ke situ bagi diambil keterangannya dengan lebih lanjut berhubung kehilangan suaminya, Alal Kathan Muthuraja,34, yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Langat, Superitendan Nordin Manan, ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Usharani ke situ untuk diambil keterangan lanjut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, di dalam soal jawab berkenaan, pihak polis mengambil keterangan dan merakamkan percakapannya.

“Saya harap S Manikawasagam (Ahli Parlimen Kapar) serah bukti yang diserahkan Usharani kepada polis secepat mungkin untuk siasatan lanjut,” katanya.

Usharani ketika ditemui selepas direkod keterangan berpuas hati dengan sesi soal siasat itu.

“Saya harap polis Malaysia dapat menyiasat kes saya ini dengan cepat,” katanya

Kes bunuh Sosilawati: Suspek minta tebusan RM1j

KLANG: Isteri saudagar permata dari Chennai, India, mendiang Allal Kathan Muthu Raja, 34, akan menyerahkan bukti perbualan telefon antaranya dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, selain seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis kepada Bukit Aman, hari ini.
Rakaman perbualan telefon antara S Usharani, 24, dengan suspek dan lelaki misteri yang mendakwa dirinya polis berpangkat Asisten Superintendan yang meminta RM1 juta bagi pembebasan suaminya dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.Usharani ketika ditemui di pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikawasagan mendakwa, perbualannya dengan suspek berlaku kira-kira dua minit sebelum panggilan terputus.

“Saya akan serahkan esok kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman. Sehingga ini, saya tidak percaya suami saya sudah mati, walaupun polis sudah sahkan,” katanya.
Pada sidang media itu, dia memperdengarkan perbualan kira-kira dua minit antaranya dengan suspek utama serta perbualan dengan seorang lelaki yang mendakwa polis yang meminta wang untuk penyelesaian kerana suaminya ditahan di balai polis atas kesalahan dadah.
Usharani mendakwa, selepas kehilangan suaminya pada Januari lalu, dia cuba menghubungi peguam dan ahli keluarganya tapi gagal, selain nombor telefon dimatikan.
“Selepas bercakap dengannya, dia mendakwa tidak pernah berjumpa dengan suami saya dan tak tahu dia di mana.
“Saya keliru dengan apa yang diberitahunya kerana pada kira-kira jam 10 malam, 18 Januari lalu, sejurus suami tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dia mengatakan dijemput lelaki itu dan adiknya serta menuju ke Banting.

“Tapi pada keesokannya, saya cuba menghubunginya tetapi gagal sebelum membuat pengaduan di Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia,” katanya menambah turut meminta bantuan daripada Interpol berhubung kehilangan suaminya.
Beliau bersama beberapa peguam sekali lagi ke Banting meninjau kawasan itu sebelum pulang ke India, Ahad ini.
Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kehilangan Allal Kathan Muthu Raja disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukan sebagai kes orang hilang.
Menurutnya, polis percaya lelaki itu menjadi mangsa pembunuhan yang kemungkinan dilakukan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya.

“Berdasarkan pengakuan isteri mangsa, saya mengesahkan mangsa dibunuh. Ia hasil daripada petunjuk dan keterangan dikumpul,” katanya.
Allal Kathan Muthu Raja mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai menjalinkan hubungan perniagaan dengan suspek serta adiknya sejak 10 tahun lalu dan suspek beberapa kali menemui mangsa di India.

Operasi menyelam cari telefon bimbit

BANTING: Operasi mencari bahan bukti berhubung pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain diteruskan pasukan Forensik dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di lokasi baru iaitu di tali air, dekat Uptown Banting, di sini, semalam.
Difahamkan, tujuan polis berada di lokasi itu bagi mengesan telefon bimbit seorang daripada mangsa bagi membantu mengukuhkan siasatan terhadap kejadian itu.
Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 12.15 tengah hari, diteruskan berikutan penemuan sebentuk gelang emas di dalam tali air di Sungai Lang, di sini, Selasa lalu. Polis yang mengiringi suspek turut meninjau kawasan sekitar tali air itu sebelum Unit Penyelam PGM menyelam di kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter daripada lokasi pasukan sama menemui gelang tangan dipercayai milik mangsa. Bagaimanapun, selepas beberapa jam menyelam tiada bahan bukti ditemui sebelum mereka bersurai berikutan hujan lebat. Kumpulan media yang membuat liputan hanya dibenarkan berada 100 meter daripada lokasi pencarian. Bagaimanapun, kira-kira jam 12.20 tengah hari, dua kenderaan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memasuki kawasan tempat Sosilawati dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, dekat Tanjung Sepat. Tujuan kenderaan itu memasuki kawasan terbabit dipercayai mencari punca air bersih yang disalurkan ke dalam ladang ternakan itu. Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som, ketika dihubungi berkata, ia pemeriksaan rutin.

Katanya, pemilik ladang itu pelanggan Syabas dan meter bekalan air terletak di luar premis berkenaan

Dua anggota polis dipenjara, denda RM10,000 kerana rasuah

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah dalam dua
kes berasingan, seorang daripadanya menerima suapan daripada seorang anggota polis lain.
Dalam kes pertama, Koperal Abdul Rahim Kiram, 47, dihukum penjara dua tahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu, selepas didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang anggota polis berpangkat Lans koperal, lima tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Abdul Rahim gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Abdul Rahim yang bertugas di Bahagian Risikan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kelihatan tenang sebaik saja mahkamah mengumumkan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Abu Bakar membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Abdul Rahim ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan mengarahkan peguam yang mewakili Abdul Rahim, Mohd Hairani Samsi memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya Isnin depan.

Abdul Rahim didakwa menerima suapan itu daripada Lans Koperal Hashim Haron sebagai dorongan iaitu kononnya untuk menyelesaikan kes Hashim dengan menutup satu fail merah yang dikatakan dibuka terhadapnya (Hashim) di Restoran Shiraj Curry House, Bandar Tasik Selatan di sini pada 10.45 pagi, 5 April 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.

Ketika merayu meminta hukuman ringan, Mohd Hairani berkata ini kesalahan pertama anak guamnya dan tertuduh juga memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan ke atasnya.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hung Heng Hong, mengemukakan 14 saksi manakala Abdul Rahim memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, seorang anggota polis berpangkat sarjan dihukum penjara setahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 daripada seorang lelaki empat tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarjan Hassim Ma''asah, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
"Setelah meneliti keterangan tertuduh dan saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dalam kes ini," katanya.

Hassim didakwa menerima suapan wang tunai RM300 daripada Muhammad Faizal Kamaluddin sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya, Osman Saifuddin Osman yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Restoran Putra, 101 Jalan Putra pada 2.30 petang, 10 Mei 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.

Terdahulu, peguam Azizul Shariman yang mewakili tertuduh memohon hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya memandangkan jumlah yang terbabit sedikit dan tiada unsur keganasan seperti ugutan dilakukan terhadap pengadu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Wong Toi Yoke memohon hukuman yang setimpal kerana rasuah satu kesalahan yang serius meskipun dalam kes ini jumlah wang yang diterima tertuduh adalah sedikit.

"Sebagai penjawat awam tertuduh tidak sepatutnya terbabit dalam kes rasuah kerana ia boleh menjejaskan imej dan reputasi kerajaan," katanya.

Seramai 16 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan kes itu. - Bernama

Empat anggota geng pecah rumah ditahan

KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah ekoran penangkapan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan ''Shah'' dalam empat serbuan berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua suspek yang berumur lingkungan 20-an itu berasal dari Cheras, Petaling Jaya dan Pahang serta kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan.
Beliau berkata suspek pertama ditangkap kira-kira jam 9.30 pagi semalam di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria di hadapan sebuah pejabat di Sepang.

"Ketika serbuan suspek bertindak keluar dari kereta, namun polis berjaya menahannya dan hasil pemeriksaan, didapati kereta yang dinaikinya menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata hasil penangkapan suspek pertama itu, polis menahan suspek kedua kira-kira pukul 11 pagi di Jalan Pandan Indah, Ampang.

"Siasatan awal mendapati suspek yang berumur 25 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai lima rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah," katanya.

Katanya, ekoran penangkapan kedua-dua suspek itu, polis menjejaki suspek ketiga di sebuah pasar raya di Jalan Tan Cheng Lock 45 minit kemudian dan berjaya menangkapnya walaupun dia cuba melarikan diri.

"Siasatan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencuri. Suspek keempat pula ditahan di Taman Desa Indah Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dua jam kemudian," katanya.

Wan Abdul Bari berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Satria, peti besi, sebuah buku akaun Public Bank, pelbagai kunci, dua utas gelang emas, satu pahat besi, satu spanar dan satu besi pembuka tayar daripada keempat-empat suspek.

"Mereka ini bergiat aktif dalam kegiatan itu pada pertengahan 2008 dan modus operandi yang mereka lakukan ialah dengan melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu malam.

"Keempat-empat mereka ditahan reman bermula hari ini sehingga 30 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.- Bernama

Mentua berdarah dibelasah menantu

AMPANG: Menantu setan! Itu gelaran layak buat seorang lelaki yang membelasah ibu mentuanya selepas berang kerana dianggap campur tangan dalam hal ehwal rumah tangganya di Taman Cahaya, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an ditumbuk di muka hingga hidungnya berdarah, selain ditendang di perut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut memecahkan cermin teksi milik ibu mentuanya selepas wanita berkenaan memberitahu mahu membuat laporan polis.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila seorang jiran menghubungi mangsa mengatakan anak perempuannya dipukul menantunya, menyebabkan wanita itu bergegas ke rumah pasangan berkenaan.

“Jiran itu menghubungi mangsa dan memaklumkan anaknya sudah tiga hari dipukul menantunya. Sejurus mengetahui hal itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi, bergegas ke rumah anak dan menantunya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, sejurus tiba, mangsa bertanyakan kepada menantunya mengapa dia sanggup berbuat demikian kepada isterinya.
“Mendengarkan soalan itu, menantunya secara tiba-tiba naik angin dan terus menendang perut ibu mentuanya tanpa belas kasihan.

“Bagaikan dirasuk, dia kemudian mengamuk dan memecahkan semua barang dalam rumahnya hinggakan mangsa turut terkena serpihan barangan yang pecah itu, selain ditumbuk hingga hidungnya berdarah,” katanya.
Menurutnya, melihat menantunya semakin menggila mangsa cuba melarikan diri dan memberitahu akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Berikutan itu, menantunya mengekori mangsa sebelum menghayunkan topi keledar ke cermin teksi mangsa. Lelaki terbabit kemudian terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersama anak perempuannya,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak memukul isterinya kerana dia gagal mendapatkan wang berjumlah kira-kira RM10,000 yang dikatakan untuk menjamin seorang saudaranya yang ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun Keseksaan.

Tergamam lihat anak diseret

Tergamam lihat anak diseret
LEDANG:Kegembiraan seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun menyertai marhaban sempena Aidilfitri di rumah sekitar Serom Dua, Bukit Gambir di sini, berakhir tragis apabila dia cedera selepas diseret sejauh kira-kira 20 meter oleh motosikal mengangkut susu getah yang ditunggang sepasang suami isteri, jam 9.30 pagi Ahad lalu.
Akibat seretan di jalan berturap itu, Ahmad Hafizulamin Abdul Jalil cedera teruk di muka selain calar di sebahagian besar anggota badan.

Ibunya, Wahana Wagiman, 44, berkata anak bongsunya itu beria-ia untuk menyertai marhaban dan tidak kisah menunggu lama di setiap destinasi dituju.

“Ketika kejadian, Ahmad menunggu saya di tepi jalan manakala saya pula mengalihkan motosikal untuk ke rumah seterusnya.

“Tiba-tiba, dia dirempuh motosikal membawa muatan getah dan diseret sejauh kira-kira 20 meter. Saya yang terkejut dengan kejadian menjerit kepada pasangan suami isteri terbabit tetapi mereka tidak berhenti,” katanya, semalam.

Pada masa sama, Wahana turut berlari mengejar motosikal terbabit dan tidak lama kemudian, barulah penunggangnya memberhentikan kenderaan terbabit.
Ketika itu, baru pasangan suami isteri terbabit menyedari Ahmad terperosok di bawah motosikal dan memberi alasan tidak perasan dengan perkara berkenaan.

“Saya hanya mampu menangis melihat keadaan Ahmad yang cedera di muka serta tubuh dan mengejarkannya ke pusat rawatan berhampiran untuk diberikan rawatan.

Tak terniat ambil kesempatan

KUALA LUMPUR: “Tak pernah terlintas langsung di hati saya untuk mengambil kesempatan terhadap harta isteri dan keluarganya seperti tohmahan yang dilemparkan. Bagi saya, tiada lebih penting selain keharmonian keluarga dan anak-anak tiri saya,” kata suami Datuk Sosilawati Lawiya.
Ahli perniagaan berusia 48 tahun itu yang masih enggan identitinya didedahkan berkata, dia kurang menonjolkan diri di sebalik kematian tragis isterinya kerana tidak mahu orang tersalah anggap dan menuduh dia ingin mengambil harta jutawan wanita itu.

“Maklumlah perkahwinan saya dengannya masih baru, jadi orang mudah berprasangka terhadap saya. Insya-Allah, wang yang saya ada cukup untuk saya,” katanya dalam temuramah dengan RTM dan Harian Metro di sini, semalam.

Lelaki itu berkata, dia bernikah dengan jutawan kosmetik berkenaan pada November tahun lalu dan jarang mencampuri urusan perniagaan isterinya yang dipanggil dengan panggilan Wati.

“Saya sudah mengenali Wati 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum berkahwin dengannya, malah perkahwinan kami atas dasar cinta dan bukan seperti digembar-gemburkan masyarakat iaitu kerana harta atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa isterinya pada 26 Ogos lalu ketika menghantar Wati menghadiri perbicaraan mahkamah pada hari berkenaan dan sepanjang Ramadan lalu hanya dua kali mereka berbuka puasa bersama.

Suami upahan makan hasil isteri

KUALA LUMPUR: Lelaki tempatan dikesan sanggup menjadi suami ‘upahan’ bagi mengahwini wanita warga asing dari China secara kontrak semata-mata untuk mendapat habuan setiap bulan hasil kegiatan tidak bermoral isteri mereka di pusat hiburan sekitar ibu negara.


MALU...GRO warga asing yang ditahan, kelmarin.
MALU...GRO warga asing yang ditahan, kelmarin.

Wanita yang menjadi pelayan pelanggan (GRO) itu dipercayai berkahwin secara sah dengan suami masing-masing sebagai lesen untuk berada lebih lama di negara ini dan tidak perlu memperbaharui visa setiap bulan selain membebaskan mereka sekiranya ditangkap ketika menjalankan kegiatan pelacuran atau aktiviti lain yang tidak bermoral.
Taktik licik ‘isteri’ itu, bagaimanapun dibongkar apabila Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala lumpur menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Taman Shamelin Perkasa di sini, kelmarin. Lebih mengejutkan, enam daripada lapan wanita GRO menggunakan status isteri kepada lelaki tempatan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 10 malam itu.

Pegawai Turus D7 IPPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya mengesan sesuatu tidak kena apabila keenam-enam wanita terbabit menggunakan surat status perkahwinan yang sama.

“Kami akan mengesan sama ada dokumen itu sah atau palsu. Bagaimanapun, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Selain mereka, tujuh pengunjung pusat hiburan terbabit ditahan untuk siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan seorang wanita warga China yang menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial.

Katanya, polis akan memanggil semua suami wanita terbabit bagi tujuan siasatan dan semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan.

Bayi tiga bulan maut tercekik botol susu di Putrajaya

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan menemui ajal dipercayai akibat tercekik botol susu yang diberikan pengasuhnya di sini Selasa lalu.
Selepas diberikan susu, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz dibiarkan bersendirian sementara pengasuhnya memasak di dapur.
Bapa bayi berkenaan Mohd Fairuz Mohamad Stap, 31, berkata pada hari itu, isterinya Haney Usmiza Abdul Hamid, 30, seperti biasa menghantar bayi mereka kepada pengasuh pada jam 8 pagi sebelum pergi kerja.

"Farisha baru saja sembuh daripada selesema dan isteri saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pengasuh berkenaan. Kemudian kira-kira 10.30 pagi, isteri saya menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan anak kami tidak sedarkan diri.

"Isteri saya bergegas ke rumah pengasuh tetapi dimaklumkan jiran pengasuh itu, bayi saya sudah dibawa ke Hospital Putrajaya. Di unit kecemasan, isteri saya dimaklumkan bayi kami sudah meninggal dunia," katanya.

Mohd Fairuz berkata Farisha adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan dihantar untuk dijaga pengasuh berkenaan sebaik isterinya habis pantang selepas bersalin.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa pengasuh berkenaan mempunyai sijil latihan dan lesen untuk mengasuh kanak-kanak serta dipantau sebulan sekali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Pusat Asuhan Malaysia.

Selain Farisha, pengasuh berkenaan yang mempunyai pengalaman selama empat tahun dalam penjagaan kanak-kanak, turut menjaga lima kanak-kanak lagi.

Fairuz berkata beliau menganggap kejadian berkenaan sebagai takdir dan belum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu.

"Pengasuh itu juga sudah memohon maaf. Namun saya berharap kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi dan semua pengasuh perlu menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh yang turut mengunjungi keluarga mangsa hari ini berkata, pihak bertanggungjawab perlu bertindak tegas dalam perkara berkenaan dengan memastikan semua pengasuh sama ada pengasuh di rumah atau Taska diberikan latihan sepatutnya untuk mengelakkan lebih banyak kejadian yang sama berlaku.- Bernama

Kes bunuh Sosilawati: Tahanan reman lima suspek dilanjut seminggu

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman lima suspek yang disyaki terbabit kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain disambung untuk seminggu lagi mulai semalam.
Ini kali ketiga tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.
Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Ahmad Shakib Ismail dan dibuat di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat semua suspek terbabit ditahan.

Lanjutan tahanan reman ke atas kelima-lima lelaki yang berusia 20-an hingga 30-an yang berakhir semalam bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu. Sementara itu, tempoh tahanan reman tiga lagi termasuk dua peguam adik-beradik yang dipercayai suspek utama pembunuhan akan berakhir hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan.

Beberapa arahan baru turut diberikan kepada polis termasuk meminta polis menyiasat lanjut kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek pembunuhan Sosilawati. Ini termasuk ahli perniagaan India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang oleh isterinya serta seorang ahli perniagaan tempatan, Mohd Shafik Abdullah, 37, yang dilaporkan hilang sejak April lalu selepas dipercayai berurusan dengan suspek utama.

Polis sebelum ini mengesahkan kedua-dua mangsa turut dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor berdasarkan pengakuan suspek.

Penyamun tendang pelajar

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bukan saja disamun, malah turut ditendang seorang daripada dua suspek yang melarikan komputer riba miliknya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kepong di sini, kelmarin.
Ketika kejadian, mangsa yang membonceng motosikal dihimpit dua lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, seorang daripada suspek mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.

Menurut sumber, mangsa terpaksa patuh arahan suspek yang mengugut menikamnya dengan pisau.

“Sebaik memberhentikan motosikalnya, seorang daripada suspek mengacukan pisau ke lehernya sebelum mengarahkannya menyerahkan wang.

“Mangsa yang mendakwa tidak mempunyai wang menyebabkan seorang daripada suspek merampas beg yang mengandungi komputer riba milik mangsa,” katanya.

Sumber berkata, sebaik merampas beg itu, mangsa ditendang sebelum suspek melarikan diri.

Mangsa pergi ke Balai Polis Kepong di sini, untuk membuat laporan kejadian itu.

Waris bayi ditemui dalam pembetung dicari

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan waris bayi perempuan yang ditinggalkan dalam pembetung longkang berair berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Klang Gate, dekat sini, pada 6 Ogos lalu.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Noor Adelin Nordin, berkata bayi berkenaan kini diberi nama Nurul Ain Amani ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur sehingga 7 Oktober ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi perempuan berkenaan boleh menghubungi talian 03- 87378007 atau 03- 87376700,” katanya.

Mayat lelaki di celah 2 bot

SEKINCHAN: Mayat seorang lelaki ditemui terlentang tanpa baju dicelah dua bot menangkap udang berhampiran pelantar ikan di Lorong 11, Bagan Sekinchan di sini, pagi semalam.
Mayat, mangsa, Marisin Yodot, 27, berasal dari Tamparuli, Sabah, ditemui beberapa nelayan jam 10.40 pagi sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Mangsa dipercayai mati dibunuh berdasarkan kesan tusukan objek tajam di dada, tangan, bahu dan kepala selain kesan tompokan darah ditemui pada satu daripada bot di situ.

Ketua Polis daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata mangsa dipercayai bekerja sebagai awak-awak dan siasatan awal tidak menolak berlaku pergaduhan sebelum dia dibunuh.

“Mayatnya ditemui beberapa nelayan yang menguruskan bot untuk keluar ke laut.

“Mangsa dipercayai baru beberapa jam mati sebelum mayatnya ditemui. Senjata yang digunakan dalam kejadian ini tidak ditemui dipercayai dibuang ke dalam sungai,” katanya di sini, semalam.

Sepasukan polis dari Unit Forensik dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti kejadian itu.

Noor Mushar berkata, susulan itu, polis kini mengesan seorang lelaki warga Thailand yang juga rakannya dipercayai boleh membantu siasatan berhubung pembunuhan itu.

Menurutnya, Myo Tino, 22, gagal dihubungi majikannya dan dia orang terakhir dikesan bersama mangsa.

Lima pelajar lepas, bebas tuduhan khianat


24/09/2010 12:03pm

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan lima penuntut Universiti Malaya (UM) daripada tuduhan melakukan khianat dan menceroboh universiti itu pada Jun tahun lepas.
Hakim Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima mahasiswa berkenaan iaitu Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahrul Denn Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle, Mohammad Saufi Jelani, masing-masing 22 tahun, dan Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23, dari Fakulti Akademi Pengajian Islam.
"Setelah meneliti dan mempertimbang keterangan daripada saksi pendakwaan, ekshibit serta hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie kepada semua tertuduh berdasarkan beberapa alasan,” katanya.
Kelima-lima mahasiswa itu didakwa melakukan kesalahan khianat dengan menyimbah petrol ke atas permaidani dan menconteng dinding dewan utama Fakulti Akademi Pengajian Islam, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pintu utama dewan fakulti itu kira-kira 4 pagi, 24 Jun 2009.
Mereka juga turut dituduh menceroboh bangunan fakulti itu pada masa, lokasi dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 447 kanun yang sama yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. – Bernama

Pendatang tanpa izin tidak mengaku salah


24/09/2010 3:11pm

BUTTERWORTH - Seorang pendatang tanpa izin warga
Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas dakwaan memberi rasuah kepada seorang anggota polis sebanyak RM2,500.
Tertuduh Radzuan Abdullah dituduh memberi rasuah kepada Lans Koperal Azemir Sidu pada 27 Julai lepas pukul 8.35 malam di bilik siasatan Balai Polis Perai supaya dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.
Dia dituduh di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.
Majistret Ikhmal Hishan Mohd Zainudin menetapkan 25 Okt ini untuk sebutan
semula kes. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Wan Lokman Samingan. - Bernama

Dua polis dipenjara kerana rasuah


24/09/2010 3:19pm

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah dalam dua
kes berasingan, seorang daripadanya menerima suapan daripada seorang anggota polis lain.
Dalam kes pertama, Koperal Abdul Rahim Kiram, 47, dihukum penjara dua tahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang anggota polis berpangkat lans koperal, lima tahun lepas.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Abdul Rahim gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Abdul Rahim yang bertugas di Bahagian Risikan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kelihatan tenang sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Hakim Abu Bakar membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Abdul Rahim ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan mengarahkan peguam yang mewakili Abdul Rahim, Mohd. Hairani Samsi memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya Isnin depan.
Abdul Rahim didakwa menerima suapan itu daripada Lans Koperal Hashim Haron sebagai dorongan iaitu kononnya untuk menyelesaikan kes Hashim dengan menutup satu fail merah yang dikatakan telah dibuka terhadapnya (Hashim) di Restoran Shiraj Curry House, Bandar Tasik Selatan di sini pada 10.45 pagi, 5 April 2005.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.
Ketika merayu meminta hukuman ringan, Mohd. Hairani berkata, ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan tertuduh juga memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan ke atasnya.
Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hung Heng Hong mengemukakan 14 saksi manakala Abdul Rahim memberi keterangan bagi pihak pembelaan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, seorang anggota polis berpangkat sarjan dihukum penjara setahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 daripada seorang lelaki empat tahun lepas.
Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarjan Hassim Ma'asah, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
"Setelah meneliti keterangan tertuduh dan saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dalam kes ini," katanya.
Hassim didakwa menerima suapan wang tunai RM300 daripada Muhammad Faizal Kamaluddin sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya, Osman Saifuddin Osman yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Restoran Putra, 101 Jalan Putra pada 2.30 petang, 10 Mei 2006.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.
Terdahulu, peguam Azizul Shariman yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman yang paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya memandangkan jumlah yang terlibat adalah sedikit dan tiada unsur-unsur keganasan seperti ugutan dilakukan terhadap pengadu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Wong Toi Yoke memohon hukuman yang setimpal kerana rasuah merupakan satu kesalahan yang serius meskipun dalam kes ini jumlah wang yang diterima tertuduh adalah sedikit. - Bernama

APMM selatan banteras 25 kes seludup pasir


24/09/2010 8:06pm

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membanteras tiga kes penyeludupan pasir di perairan wilayah selatan membabitkan rampasan bernilai jutaan ringgit tahun ini.
Ketua Pengarahnya Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata, tiga kes berkenaan ialah dua di perairan Selat Melaka dan satu di Selat Johor.
Menurutnya, sejak APMM Wilayah Selatan ditubuhkan lima tahun lepas, sebanyak 25 kes berkaitan penyeludupan pasir berjaya ditumpaskan di perairan tersebut.
Selain penyeludupan pasir, kawasan itu juga dikenalpasti sebagai kawasan panas bagi kemasukan pendatang asing tanpa izin dan aktiviti pemindahan minyak secara haram, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan daripada Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Hassan Jusoh kepada Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar di Menara Tabung Haji di sini hari ini. - Bernama

Tiga rentung, kereta bertembung van sekolah


24/09/2010 8:06pm

JOHOR BAHRU - Tiga remaja lelaki rentung apabila kereta Proton Saga yang mereka naiki terbakar selepas bertembung dengan sebuah van sekolah di Jalan Masai-Kong Kong di Pasir Gudang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Roslan Zainuddin berkata, dalam kejadian 6 pagi itu, seorang mangsa, Ashrul Hafizul Halim, 17, yang memandu kenderaan dari arah Kong Kong, dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di depannya.
Bagaimanapun, dia dipercayai gagal berbuat demikian dan bertembung dengan van sekolah dari arah bertentangan.
Akibatnya, kereta yang dinaiki Ashrul Hafizul dan rakannya, Mohd. Quril Helmy Elias, 19, serta seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti, terbakar.
"Ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta tersebut tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu van yang dalam perjalanan mengambil pelajar, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama

Pasangan Iran sorok dadah dalam sandal ditahan

24/09/2010 8:07pm

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya, kedua-duanya warga Iran, yang cuba menyeludup dadah jenis syabu ke dalam negara dengan menyembunyikannya di bahagian tapak sandal yang dipakai, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dan pasangannya, 25, yang tiba dari Doha, ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Narkotik KLIA pada pukul 10.30 malam.
Beliau berkata, pihak berkuasa gagal menemui apa-apa yang mencurigakan dalam pemeriksaan awal, namun kemudiannya sandal yang dipakai lelaki itu kelihatan agak pelik apabila satu kesan cantuman semula dikesan di bahagian tapak sandal yang dipakainya.
"Selepas diperiksa polis menemui 975 gram dadah bernilai RM250,000 itu yang disorokkan di bahagian kedua-dua tapak kasut yang dipakai lelaki berkenaan,” katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini.
Menurutnya polis percaya lelaki itu membuka lapisan tapak sandalnya untuk menyembunyikan dadah sebelum digam semula dan dipakainya, sebagai taktik baru untuk membawa masuk dadah ke dalam negara tanpa pengetahuan pihak berkuasa. - Bernama

Dua warga Vietnam mengaku salah merompak


24/09/2010 8:07pm

IPOH - Seorang warga tempatan dan dua rakyat Vietnam hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan melakukan rompakan secara berkumpulan di sebuah kedai emas di Seri Manjung, kira-kira 95 kilometer dari sini.
Tertuduh Lee Chun Hin @ Teh Chun Hin, 40, yang merupakan seorang buruh bersama-sama warga Vietnam, Nguyen Dinh Toan, 25, dan Phan Xuan Tu, 29, mengaku bersalah merompak sebuah kedai emas, MJ Jewellery, Lot 15-18, Pasaraya Econsave Seri Manjung pada 3.50 petang, 25 April 2008.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dipinda daripada Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melepaskan tembakan dalam rompakan itu yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menetapkan Khamis depan untuk menjatuhkan hukuman. - Bernama

Dua lagi aduan hilang anggota keluarga di Banting


24/09/2010 6:40pm

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mendakwa menerima dua aduan berhubung kehilangan anggota keluarga di Banting, Selangor yang dipercayai ada kaitan dengan peguam yang merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain semalam.
Manikavasagam berkata, aduan tersebut dibuat oleh keluarga mereka semalam dengan mendakwa mangsa hilang kira-kira lapan hingga sembilan bulan lepas setelah berurusan dengan suspek utama dalam urusan berkaitan penjualan tanah.
"Laporan polis juga telah dibuat oleh mereka,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Manikavasagam mendakwa satu daripada laporan itu dibuat di balai polis Rawang, Selangor bagaimanapun Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah menafikan menerima laporan seumpama itu.
Anggota Parlimen yang tidak pasti di mana satu laporan dibuat juga enggan mendedahkan identiti mangsa dan berjanji akan mendedahkannya esok. - Bernama

Polis nafi laporan akhbar katakan Sosilawati dirogol


24/09/2010 7:16pm

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Polis hari ini menafikan laporan media yang mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan mangsa pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dirogol.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dalam satu kenyataan di sini menafikan laporan itu, yang disiarkan di muka depan sebuah harian berbahasa Melayu semalam bertajuk ‘8 suspek jalani ujian sperma: Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati dirogol’.
Mohd. Bakri berkata, “Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan adalah bagi memastikan kesemua suspek dalam keadaan baik serta (untuk) mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan mahupun penyakit yang dialami semua suspek sebelum dibenarkan berjumpa dengan peguam mereka,” katanya dalam kenyataan itu.
Bakri berkata, selain itu, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon oleh PDRM kepada pihak hospital ke atas kesemua suspek berkenaan.
Laporan akhbar itu mendakwa kesemua suspek termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di HKL dua hari lepas.
Difahamkan juga sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol. - Bernama

Pelajar kolej dituduh edar pil kuda 379.59 gram


KUALA TERENGGANU 23 Sept. - Seorang pelajar kolej di Kemaman berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar pil kuda seberat 379.59 gram, minggu lalu.
Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 19, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine itu di rumah bernombor 713, Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung di sini pada pukul 8.10 pagi, 17 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh oleh Majistret Siti Faraziana Zainuddin.
Mahkamah menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam bela.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Mohammad.
Akhbar sebelum ini menyiarkan kejayaan polis melumpuhkan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di daerah ini dengan penangkapan sepasang kekasih berusia 19 tahun dalam satu serbuan di rumah tersebut.
Seorang lagi lelaki yang merupakan abang tertuduh berusia 23 tahun turut ditahan dan polis merampas 4,000 pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 dalam serbuan tersebut.
Pada prosiding hari ini, abang dan teman wanita tertuduh tidak didakwa di mahkamah.

Bekas majikan berperangai keji





NEW YORK - Bekas Presiden firma Bulletproof Enterprises, David Brooks (gambar) yang pernah disabitkan melakukan penipuan saham dan perdagangan haram telah disaman oleh seorang bekas pekerja wanitanya, Jessica Poolt kerana melakukan gangguan seks, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut dokumen Mahkamah Tinggi Manhattan di sini, wanita itu mendakwa Brooks menuntut dia memakai skirt pendek tanpa seluar dalam.
Wanita itu turut menyatakan dalam dokumen tersebut, terdapat gambar-gambar wanita bogel di apartmennya yang menjadi tempat bermesyuarat kakitangan syarikat yang terpaksa dihadirinya.
Menurut wanita itu yang sudah berkahwin, Brooks turut bertanya soalan yang menyentuh peribadi seperti hubungan asmara dengan suaminya.
Dokumen mahkamah tersebut menyatakan Brooks akan menambahkan beban kerja jika dia menentang gelagat keji majikannya di syarikat pembuat peralatan kalis peluru itu.
Saman itu tidak menyatakan jumlah pampasan yang dituntut oleh wanita tersebut. - Agensi

Dua guru ditahan anjur pesta seks


Audrey Grabarkiewicz


BOILING SPRINGS, Carolina Utara -Dua guru berumur 40-an di Amerika Syarikat (AS) berdepan dengan hukuman penjara sepuluh tahun selepas mereka menganjurkan pesta seks, dadah dan ganja pada musim panas untuk remaja, lapor sebuah akhbar semalam.
Antara remaja yang menyertai pesta seks di rumah didiami dua guru itu, Sarah Lindsay, 42, dan Audrey Grabarkiewicz, 44, berumur 11 tahun.
Kedua-dua guru itu ditahan di sebuah penjara di sini selepas ibu bapa mangsa membuat aduan kepada pihak berkuasa pada Julai lalu.
Menurut para penyiasat, Grabarkiewicz turut mempunyai hubungan seks dengan beberapa remaja pada parti itu.
Lindsay yang merupakan guru Sekolah Rendah Boiling Springs didakwa menjalin hubungan seks dengan seorang remaja berumur di bawah 14 tahun. - Agensi

Mengaku ahli gabungan Al-Qaeda


JAKARTA - Seorang pegawai polis yang meninggalkan jawatannya untuk menjadi seorang pengganas, Mohammed Sofyan Tsauri, 34, semalam menyatakan dia merupakan anggota gabungan Al-Qaeda dan telah melatih kira-kira 170 militan untuk perang jihad.
Sofyan membuat komen itu kepada pemberita semasa dia muncul di sebuah mahkamah dekat sini pada permulaan perbicaraannya mengenai beberapa dakwaan berkaitan keganasan.
"Saya bergabung dengan Al-Qaeda dan mempunyai hubungan dengan kumpulan Abu Sayyaf (di Filipina)," katanya.
"Saya menjadi seorang pengganas selepas saya berhenti daripada polis (pada 2008). Apa yang saya lakukan ini bukannya satu perbuatan pengganas tetapi satu kewajipan agama yang diarahkan oleh Tuhan," katanya. - AFP

6 lelaki ditangkap bakar al-Quran di pub Britain



GAMBAR klip video YouTube menunjukkan kumpulan lelaki yang membakar kitab al-Quran di bandar Gateshead, utara Britain.


LONDON - Satu kumpulan lelaki yang terdiri daripada enam orang ditangkap selepas satu rakaman di YouTube menunjukkan mereka membakar satu kitab al-Quran di pekarangan sebuah pub di bandar Gateshead, utara England, pada ulang tahun serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS), kata polis semalam.
Polis Northumbria menyatakan kumpulan lelaki itu dibebaskan selepas diikat jamin yang jumlahnya tidak didedahkan.
Enam lelaki itu akan dihadapkan ke sebuah mahkamah untuk dibicarakan kerana melakukan perbuatan tersebut.
Berita tangkapan itu didedahkan untuk pengetahuan orang ramai semalam.
Menurut polis, dua daripada enam lelaki itu ditangkap pada 15 September lalu manakala bakinya diberkas pada 22 September lepas.
Menurut sebuah akhbar semalam, dalam klip video YouTube itu, enam lelaki tersebut mengelilingi sebuah kitab al-Quran di pekarangan The Bugle Pun di Leam Lana, Felling di bandar Gateshead.
Klip video itu menunjukkan wajah semua lelaki itu ditutup dengan sehelai kain.
Keenam-enam lelaki itu menunjukkan kitab tersebut ke arah kamera.
Mereka kemudian mencurahkan minyak dari sebuah tin berwarna merah ke kitab berkenaan dan membakarnya.
Seorang lelaki yang memakai seluar Adidas membuat beberapa isyarat kurang ajar ke arah kitab berkenaan sebelum ia dibakar.
Semua lelaki itu ditangkap selepas satu kontroversi melanda di AS apabila seorang paderi di Florida, Terry Jones menyatakan dia akan membakar al-Quran pada ulang tahun memperingati serangan pengganas 11 September 2001 di AS yang menyebabkan lebih 3,000 orang terbunuh. - Agensi