Search This Blog

Wednesday, September 22, 2010

Wanita Indonesia ditahan seludup dadah di Bukit Kayu Hitam

JITRA: Polis menahan seorang wanita Indonesia dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.7 kg bernilai RM100,000 di hadapan pejabat Kastam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam dekat sini dua hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari itu sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan wanita berusia 25 tahun, yang dipercayai menyeludup masuk dadah itu dari Kemboja, melalui Thailand sebelum masuk ke negara ini melalui jalan darat untuk dipasarkan di negara ini.
Hasil pemeriksaan polis mendapati dua plastik lutsinar dan satu sampul yang diletakkan dadah berkenaan dalam beg wanita itu.

"Suspek seorang kaldai dadah yang dibayar oleh satu sindiket untuk menghantar dadah ini masuk ke negara ini bagi dipasarkan namun apabila sampai di pusat pemeriksaan, Kastam mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan polis untuk pemeriksaan lanjut.

"Suspek kini direman bermula semalam hingga 27 September ini bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Asri berkata berkata susulan penangkapan wanita itu di Kedah dan hasil maklumat diberikan suspek selepas disoal siasat, polis menahan seorang lelaki rakyat tempatan dan dua wanita Indonesia di Kuala Lumpur, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan di Kuala Lumpur berumur antara 24 hingga 30 tahun itu dikatakan mempunyai kaitan dengan satu sindiket kaldai dadah.

Beliau berkata dalam tempoh Januari hingga sekarang, polis berjaya menahan enam rakyat asing dan empat rakyat tempatan di sempadan atas kesalahan menyeludup dadah ke negara ini.

"Keseluruhan tangkapan ganja yang dirampas ialah 33.35 kg, heroin 30 kg dan 9,500 biji pil eramin 5," katanya. - Bernama

Jam tangan jadi petunjuk suami mungkin senasib Sosilawati



22/09/2010 7:25pm

SUNGAI PETANI 22 Sept. – Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor yang dilapor hilang April lepas, Mohd. Shafiq Abdullah, 37, menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata, dia dipanggil oleh polis untuk mengenal pasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lepas bagi membantu siasatan.
"Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini hari ini.
Samson Nahar berkata, beliau dipanggil oleh polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di balai polis Petaling, Kuala Lumpur April lepas, beliau memberitahu telah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq.
Beliau berkata, laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat pada 13 April lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd. Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor.
"Polis juga ada meminta barang-barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu sahaja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu,” katanya. – Bernama

Lapan suspek kes Sosilawati jalani ujian DNA


22/09/2010 7:43pm

KUALA LUMPUR – Lapan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dipercayai bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Kesemua mereka tiba di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu kira-kira pukul 3 petang menaiki sebuah trak polis yang diiiringi dua buah kereta peronda polis.
Mereka yang dibawa dari Pusat Tahanan Bukit Jalil itu kemudian memasuki sebuah bilik dipercayai bagi mendapatkan sampel DNA berhubung kes terbabit.
Tujuh daripada mereka dilihat memakai pakaian lokap berwarna oren, manakala seorang lagi memakai pakaian lokap berwarna ungu.
Kesemua mereka kemudian dilihat keluar dari perkarangan terbabit kira-kira pukul 5 petang dan dikawal ketat anggota polis yang mengiringi mereka sebelum meninggalkan hospital itu.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. – Bernama

Polis tumpas sindiket pengedaran syabu


22/09/2010 7:47pm

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM3.6 juta yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang dan menahan sembilan orang termasuk tujuh rakyat Iran.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Othman Harun berkata, kejayaan itu diperoleh selepas polis menyerbu sebuah makmal memproses dadah di Petaling Jaya semalam.
"Sebanyak 5.6kg ketulan serbuk dan 8.9kg cecair syabu serta peralatan dan bahan-bahan kimia untuk tujuan menghasilkan dadah, turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kesemua anggota sindiket itu berumur 19 hingga 35 tahun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, polis menyatakan, mereka berjaya menangkap 89 orang warga Iran dan merampas dadah jenis syabu sebanyak 245kg bernilai hampir RM6 juta pada tahun ini. – Bernama

Kesemua suspek kes Sosilawati jalani ujian DNA di HKL

KUALA LUMPUR: Lapan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dipercayai bagi menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Kesemua mereka tiba di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu kira-kira jam 3 petang menaiki sebuah trak polis yang diiringi dua kereta peronda polis.
Mereka yang dibawa dari Pusat Tahanan Bukit Jalil itu kemudian memasuki sebuah bilik dipercayai bagi mendapatkan sampel DNA berhubung kes terbabit.

Tujuh daripada mereka dilihat memakai pakaian lokap berwarna oren manakala seorang lagi memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Kesemua mereka kemudian dilihat keluar dari perkarangan terbabit kira-kira jam 5 petang dan dikawal ketat anggota polis yang mengiringi mereka sebelum meninggalkan hospital itu.

Media cetak dan elektronik yang berkumpul di perkarangan hospital terbabit turut ditemani ratusan orang awam termasuk doktor, jururawat dan pesakit yang tidak melepaskan peluang melihat kehadiran suspek.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menerusi laman web sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata polis sudah menerima kembali kertas siasatan kes terbabit yang dipulangkan Pejabat Peguam Negara semalam.

"Proses terbabit adalah prosedur biasa bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Nurul Izzah beri keterangan polis berhubung artikel penulisannya

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini memberi keterangan terhadap satu laporan polis yang dibuat Perkasa berhubung artikel penulisannya, 2 September lalu.
Nurul Izzah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi ditemani peguam Latheefa Koya untuk memberi keterangan berhubung artikelnya yang didakwa menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Artikel itu yang disiarkan oleh portal Malaysian Insider antara lain mendakwa, ''hak keistimewaan'' orang Melayu tidak disebut sebaliknya Perkara 153 hanya menjelaskan mengenai ''kedudukan istimewa'' masyarakat Bumiputera.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah meminta supaya mana-mana artikel dalam Perlembagaan Persekutuan negara diubah atau dimansuhkan.

"Sebaliknya, saya mencari ruang berwacana dengan Perkasa demi merungkai isu-isu utama yang berkait dengan hala tuju pembangunan serta masa depan negara," katanya selepas memberi keterangan kira-kira satu setengah jam.

Nurul Izzah menegaskan beliau menyokong penuh Perlembagaan negara termasuk artikel 153, institusi Diraja, agama Islam selaku agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut laman web Perkasa bertarikh 2 September 2010, Ketua Wirawati Perkasa Zaira Jaafar membuat laporan polis terhadap Nurul Izzah berhubung kenyataannya dalam artikel yang disiarkan dalam portal berkenaan.

Nurul Izzah juga mendakwa, hak Melayu hanyalah sekadar falsafah serta ideologi dan bukannya undang-undang atau Perlembagaan selain menegaskan agenda Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 juga bersifat sementara. - Bernama

Polis sahkan ahli perniagaan India yang hilang dibunuh


22/09/2010 8:04pm

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan warga India, Allal Kathan Muthuraja yang dilapor hilang sejak awal tahun ini telah dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis kini menyiasat kes kehilangan lelaki berusia 34 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Saya sahkan mangsa dibunuh hasil daripada petunjuk dan keterangan-keterangan yang telah dikumpul.
“Berdasarkan dari itu kita telah “upgrade” kertas siasatan daripada orang hilang kepada kes bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.
Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.
Isteri ahli perniagaan itu, S. Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lepas.
Hari ini, Usharani menemui polis di Banting berhubung kes kehilangan suaminya itu. – Bernama

Lelaki dilapor hilang dijumpai mati lemas


22/09/2010 7:32pm


PANTAI REMIS – Seorang lelaki yang dilapor hilang Isnin lepas, dijumpai mati lemas di perairan Pasir Panjang di sini semalam.
Mayat Mohd. Nawawi Mohd. Noh, 48, yang berasal dari Kampung Jelapang Simpang, Taiping dijumpai terapung oleh sebuah bot nelayan pada kira-kira 8 pagi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak, DSP Shaari Ariffin berkata, mayat lelaki itu dikenal pasti menerusi kad pengenalan yang dijumpai dalam seluarnya.
Mayat itu dipercayai terapung lebih daripada 12 jam sebelum ditemui oleh bot nelayan itu, katanya di sini hari ini.
Shaari berkata, keluarga lelaki itu telah membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada Isnin lepas di Balai Polis Taiping.
Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah akibat lemas dan tiada unsur jenayah, katanya. – Bernama

Sindiket dadah warga Iran tumpas, dadah RM3.6j dirampas


22/09/2010 4:19pm

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga Iran dan aktiviti memproses dadah syabu selain merampas dadah bernilai RM3.6 juta, semalam.
Dalam kejayaan itu, polis menahan seramai tujuh warga Iran dan dua warga India dalam serbuan yang diadakan di sekitar ibu negara dan Petaling Jaya, Selangor. – Utusan

2 rakan lelaki 3 remaja perempuan hilang ditahan reman


22/09/2010 6:20pm

GEORGETOWN 22 Sept. - Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar berusia 14 tahun serta teman sebaya mereka yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas dan ditemui dalam sebuah flat di sini semalam.
"Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.
Beliau berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. - Bernama

Pemandu teksi samun dua wanita Kemboja


22/09/2010 4:12pm

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi durjana yang bertindak menyamun sebelum membogelkan dua penumpang wanita warga Kemboja ditahan polis di Pantai Dalam pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, seorang lagi pemandu teksi yang turut dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut telah dikenal pasti dan kini diburu.
"Barang-barang hasil samun berupa pasport, beg pakaian, sejumlah matawang USD, Kemboja dan RM bersama teksi berjaya dirampas dari pemandu teksi durjana dalam serbuan pukul 3 pagi semalam,” katanya dalam laman sosial Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata, pada kejadian semalam, dua mangsa tersebut menaiki teksi jenis Proton Iswara berwarna merah yang dipandu oleh suspek di Stesen Bas Bukit Jalil untuk ke Bukit Tinggi, Klang.
Beliau berkata, kedua-dua wanita itu baru sahaja tiba dari Johor Bahru dan merancang untuk kembali ke negara asal mereka selepas bekerja di negeri itu selama dua tahun sebagai tukang jahit. – Bernama

Bantuan segera mangsa ribut - Tengku Abdullah


22/09/2010 6:26pm

TEMERLOH - Kejadian ribut yang melanda 27 buah kampung dalam kawasan Parlimen Temerloh dan Kuala Krau Isnin lepas mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu bantuan segera dihulurkan kepada mangsa terlibat.
Baginda bertitah, bantuan daripada pihak kerajaan serta pihak lain yang prihatin dapat meringankan beban mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian.
"Walaupun bantuan yang diberikan itu tidak dapat menggantikan kerugian yang ditanggung mangsa, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban dan membantu memulihkan semula penghidupan mereka," titahnya ketika menyampaikan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 237 keluarga yang terlibat.
Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah, bantuan itu merupakan tanggungjawab pihaknya dalam membantu mereka yang dalam kesusahan.
Mengikut laporan awal, lebih 60 rumah di 15 buah kampung mengalami kerosakan dalam kejadian kira-kira 6 petang itu.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 237 buah rumah di 27 kampung mengalami kerosakan dengan enam daripadanya ranap sementara 17 rosak teruk. - Bernama

Dua wanita diragut dalam tempoh sejam


22/09/2010 5:11pm

KUANTAN – Seorang warga emas yang sedang menyapu sampah di halaman rumahnya kerugian barang kemas dianggarkan bernilai RM6,000 selepas diragut dua lelaki di Bukit Piatu, Bentong semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt. Nordin Mustapha berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, salah seorang daripada lelaki terbabit menghampiri wanita yang berusia 87 tahun itu, lalu mengacu pisau sebelum meragut rantai dan gelang milik mangsa.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit berusia lingkungan 20-an telah melalui rumah mangsa dengan menaiki motosikal dipercayai untuk meninjau keadaan sekeliling sebelum bertindak melakukan ragut.
Katanya, hasil siasatan awal, mangsa menyedari kehadiran kedua-dua lelaki terbabit yang melalui hadapan rumahnya sebelum kejadian, namun menyangkakan mereka merupakan penduduk di situ.
Sejam sebelum kejadian itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang sedang berbual dengan jirannya di hadapan rumahnya di Taman Karak Indah, Bentong turut kerugian barang kemas bernilai RM4,000 selepas diragut dua lelaki dipercayai suspek yang sama.
Nordin berkata, kedua-dua lelaki itu turut berlegar-legar di hadapan rumah mangsa yang terletak kira-kira dua kilometer daripada kejadian kedua.
"Polis percaya suspek kedua-dua kes ini adalah orang yang sama berdasarkan modus operandi mereka,” katanya. – Bernama

Paris Hilton tersadai di Narita, disoal siasat imigresen

 


2010/09/22

NARITA: Pihak berkuasa Jepun terus menyekat selebriti terkenal, Paris Hilton daripada melepasi Lapangan Terbang Antarabangsa Narita buat hari kedua, hari ini sama ada membenarkan memasuki negara itu kerana dikaitkan dengan kesalahan dadah. 

Selebriti berusia 29 tahun yang didapati bersalah di Las Vegas, ditahan imigresen Jepun sebaik tiba di lapangan terbang itu, semalam, sehari selepas mengakui bersalah kerana memiliki dadah. Hilton bermalam di hotel lapangan terbang itu selepas disoal siasat pegawai keselamatan Jepun. Dia dijadual mengadakan sidang akhbar di Tokyo hari ini bagi mempromosikan fensyen dan barangan kosmetik, tapi dibatalkan. 

“Kami menyoal siasatnya semalam dan sekali lagi hari ini. 
Kami akan teruskan proses imigresen untuk menantukan dia boleh memasuki negara ini atau tidak," kata seorang pegawai imigresen di Narita. 

Beliau enggan memberi sebab kelewatan itu, tetapi mengikut undang-undang Jepun, imigresen mempunyai kuasa untuk menafikan kemasukan mereka yang didapati bersalah kerana dadah. 
Tokyo adalah negara pertama dilawati Hilton dalam Jelajah Asia dan dijadual melawat Kuala Lumpur dan membuka sebuah rangkaian kedai di Jakarta. 

Seludup minyak




2010/09/21

Guna kereta usang isi petrol 100 liter

TUMPAT: Kereta yang dipandu mereka hanya model lama dan usang, namun setiap hari pemandunya mengisi petrol sehingga lebih 100 liter. 

Persoalannya, ke mana destinasi kereta itu dipandu setiap hari, sehingga kenderaan terbabit memerlukan bahan bakar mencapai nilai RM200 sehari. Namun, itulah modus operandi kumpulan pemandu kereta usang digelar Geng Toyota KE, yang masih terbabit dengan kegiatan penyeludupan bahan bakar subsidi ke negara jiran. Berdasarkan peraturan pembelian di mana-mana stesen minyak di sempadan, pemandu kenderaan itu yang kebanyakannya penduduk tempatan berhak mengisi bahan bakar sehingga memenuhi tangki mereka. 

Persoalannya, wajarkah pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membiarkan kelemahan sistem pengawasan itu dimanipulasi pihak terbabit. 

Ini kerana, walaupun kerajaan sudah membenarkan kenderaan asing membeli petrol gred RON97 di sempadan, namun langkah itu belum cukup untuk menghalang penyeludupan yang dilakukan rakyat tempatan. 

Tinjauan Berita Harian di beberapa lokasi pam minyak di sempadan mendapati setiap hari pasti kumpulan pemandu terbabit beratur di stesen untuk mengisi bahan bakar tanpa sebarang halangan oleh mana-mana pihak berkuasa. 
Sejam berada di lokasi pam minyak, hampir 40 kenderaan dipercayai membawa muatan minyak untuk diseludup mengambil tempoh sehingga 15 minit bagi memenuhkan tangki masing-masing sebelum pemandunya memecut ke lokasi tertentu. 

Penduduk tempatan yang mahu dikenali Yaakub, 40-an, mendakwa kehadiran geng penyeludup itu juga menyebabkan penduduk yang mahu mengisi minyak bagi kenderaan masing-masing kadang kala terpaksa menunggu lama. 

“Penduduk di sini sudah tidak tahan dengan kerenah mereka (penyeludup minyak). Setiap hari pada sebelah pagi hingga tengah hari, pasti pam minyak dipenuhi dengan geng Toyota KE yang bersiap sedia beratur. 

“Malah pernah berlaku pertengkaran antara mereka sehingga memaksa pihak berkuasa datang meleraikannya,” katanya yang berasal dari Pengkalan Kubor. 

Penduduk dari Kampung Geting, Azman Hassan, 38, berkata berikutan pam minyak dikuasai penyeludup menyebabkan stesen di sempadan itu sering kehabisan bekalan bahan bakar menjelang lewat petang setiap hari. 

“Saya merayu kepada pihak berkenaan terutama kementerian lebih prihatin terhadap permasalahan ini kerana kami sebagai pengguna biasa sentiasa mengeluh dengan keadaan yang berlaku. 

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San, mengakui pelbagai taktik dan helah digunakan oleh penyeludup yang terbabit dengan penyeludupan bahan bakar ke negara jiran. 

Beliau berkata, keuntungan yang diperoleh hanya dalam masa yang singkat sudah tentu ramai individu sanggup mengambil upah atau bergerak secara persendirian bagi menambahkan pendapatan walaupun kegiatan itu menyalahi undang-undang. 

“Berdasarkan perangkaan, lebih RM12.1 juta sebulan negara mengalami kerugian hasil penyeludupan minyak ke negara jiran oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya

Pembunuhan kejam Sosilawati: Dua senasib Wati




2010/09/22

Shafik Abdullah
Shafik Abdullah
Kontraktor, rakan hilang selepas temui suspek utama kes pembunuhan 
jutawan kosmetik


KUALA LUMPUR: Dua lagi individu, Shafik Abdullah, 37, dan sahabat baiknya semalam disahkan hilang selepas menemui suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, April lalu.
Shafik seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah bersama rakannya itu dilaporkan hilang oleh keluarga mereka lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan. Sumber memberitahu Berita Harian, buat masa ini, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kaitannya dengan suspek utama kes Sosilawati. 
Kehilangan mereka sudah dirujuk kepada Ibu pejabat Polis Daerah (Brickfields) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, melihat kepada modus operandinya, besar kemungkinan kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama, katanya.

Sumber berkata, modus operandi kehilangan dua sahabat itu hampir sama dengan kes membabitkan jutawan kosmetik berkenaan sebelum dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 di sebuah ladang persendirian milik suspek di Morib, Banting.
Kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing hendak ke ibu negara bertemu seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati atas urusan perniagaan sebelum hilang. 

Malah, telefon bimbit juga gagal dihubungi, menyebabkan keluarga masing-masing diselubungi kebimbangan, lebih-lebih lagi selepas kes Sosilawati terbongkar.

Polis menemui kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis. 

Polis ketika itu menyiasatnya sebagai kes orang hilang sehinggalah pembunuhan kejam Sosilawati terbongkar kerana kedua-dua mangsa dipercayai menemui peguam yang sama, katanya.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit bukan saja sahabat baik, malah dipercayai rakan kongsi dalam perniagaan batu permata.

Sementara itu, isteri Shafik, Samson Nahar Mohd Dali berkata, dia dimaklumkan polis, 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa penjenayah kejam itu dan kini hanya menunggu pengesahan.

Katanya, berita itu dimaklumkan polis ketika berada di Banting, Selangor pada hari raya ketiga, 12 September lalu untuk membantu siasatan.

"Saya sedih bila mendapat tahu keadaan itu namun saya masih berharap agar peluang yang tipis itu akan bertukar menjadi satu keajaiban dan saya dapat bertemu kembali dengan suami," katanya. 

Selain Shafik dan rakannya itu, Berita Harian sebelum ini turut melaporkan kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India sejurus tiba di Malaysia untuk meninjau peluang perniagaan, 18 Januari lalu selepas diyakini oleh suspek dan adik lelakinya, juga seorang peguam untuk berbuat demikian.

Allal yang mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Isterinya, S Usharani, 24, dipetik berkata, kali terakhir suaminya menelefonnya pada 18 Januari sebaik tiba di KLIA dan memaklumkan sudah dijemput oleh kedua-dua beradik berkenaan, seterusnya dibawa ke Banting sebelum hilang serta gagal dikesan hingga ke hari ini.

Sumber berkata, nasib semua individu terbabit masih belum dapat dipastikan, malah usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat diperoleh daripada kedua-dua suspek utama itu, selain enam lagi pekerja ladang persendirian milik mereka yang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Usaha juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti kes-kes lain seumpamanya yang mempunyai kaitan dengan mereka, katanya. 

Kes tiga remaja simbah cat pada surau ditangguhkan ke 19 Oktober


SEREMBAN - Kes tiga remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan menyimbah cat dan melemparkan botol minuman keras di sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, bulan lepas ditangguhkan ke 19 Okt ini.

Majistret M. Mageshwary menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiapkan laporan akhlak ketiga-tiga remaja terbabit.

Ketiga-tiga remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ketika mereka dihadapkan di mahkamah yang sama pada 27 Ogos lepas.

Tertuduh pertama berumur 17 tahun, tertuduh kedua berumur 15 tahun dan tertuduh ketiga berumur 16 tahun, yang berasal dari sekitar Ulu Temiang dan Sikamat di sini didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lepas.

Dalam pertuduhan pertama, ketiga-tiga remaja didakwa melakukan khianat dengan membaling botol di surau tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kedua dan ketiga didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat di surau yang sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh pertama turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat melakukan kesalahan menyimbah cat di surau terbabit mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Datuk Lee Kong Fee manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah.-Bernama

Padah rasuah RM50

 


JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas warga Singapura dijatuhi hukuman satu hari penjara dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini gara-gara cuba memberi suapan bernilai RM50 kepada anggota trafik peronda lebuh raya. 

Tay Soon Chuan, 42, pada 30 Mei lalu kira-kira jam 6 petang telah menawarkan secara rasuah sejumlah wang itu kepada anggota berkenaan di Kilometer 18.3 Plaza Tol Lima Kedai Nusajaya. 

Tertuduh yang menggunakan kereta Honda Accord ditahan kerana memandu melebihi had laju 135km sejam dalam operasi bersama Cawa�ngan Trafik Peronda Lebuhraya Link Kedua dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Anggota bertugas pada ketika itu, Konstabel Muhammad Afizi Salleh yang juga merupakan pengadu kes ini telah ditawarkan sejumlah wang itu sebaik sahaja dia mengeluarkan saman terhadap tertuduh. 

Pengadu menolak tawaran dan telah cuba menasihatkan suspek tetapi tidak diendahkan dan anggota itu bertindak membawa Soon Chuan terus kepada pegawai SPRM yang bertugas pada ketika itu. 

Keputusan dibacakan Hakim Habibah Mohamed Yusof memerintahkan hukuman berkuat kuasa mulai hari ini terhadap tertuduh yang ditemani isterinya tidak diwakili peguam. 

Dia didakwa mengikut Akta Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. 

Terdahulu, Soon Chuan merayu hukuman diringankan kerana gajinya sebagai pemandu bas hanya SD$1,000 manakala isterinya tidak bekerja dan menanggung dua anak. 

Semasa prosiding berjalan, Timbalan Pendakwa raya, Norrfazlin Hamdan meminta mahkamah mengenakan tindakan tegas kepada tertuduh bertujuan menjaga kepentingan awam dan memberi keinsafan kepadanya supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Geng tepuk belakang untuk curi kad ATM ditahan di Terengganu

SETIU - Tiga lelaki warga Peru dan Argentina ditahan dua hari lepas di Kemaman yang menjalankan aktiviti mencuri kad ATM mangsa ketika mangsa mahu mengeluarkan wang di mesin ATM.

Mereka yang berumur antara 30 dan 60 tahun ditangkap oleh orang ramai yang menyedari perbuatan tersebut.

Polis menganggap kumpulan ini sebagai sindiket antarabangsa yang dikesan aktif di Terengganu sejak dua bulan lalu dengan kerugian yang dilaporkan dialami setakat ini bernilai kira-kira RM30,000.

"Anggota sindiket ini mempunyai kepakaran untuk menukar kad ATM mangsa dengan kad mereka sendiri.

"Taktik mereka ialah apabila mangsa sedang memasukkan kad ATM ke dalam mesin ATM, mereka akan segera menepuk belakang mangsa dan menunjukkan bahawa kononnya sesuatu benda milik mangsa telah tejatuh ke atas lantai dan pada masa yang sama
mereka dengan pantas akan menukarkan kad ATM mangsa di mesin ATM dengan kad ATM mereka," kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes sebegini berlaku di Setiu, Dungun, Kemaman dan yang terbaru di Besut.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada kumpulan ini melakukan kegiatan yang sama di negeri lain.

Mohd Shukri berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer yang boleh membawa denda RM50,000 dan penjara jika sabit kesalahan.

Dijel tiga tahun kerana tipu 30 orang lebih $95,400

SINGAPURA
Tan Boon Hua, 39 tahun, mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan menipu warga asing dan beberapa warga Singapura sebanyak $2,100 hingga $5,200 antara Mei dengan Jun lalu.Dia melakukan kesalahan-kesalahan itu dengan 11 yang lain, yang kesemuanya sudah didakwa.Timbalan Pendakwa Raya Nicholas Khoo berkata Tan dan rakan subahatnya menggunakan beberapa flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk menipu mangsa supaya mempercayai bahawa terdapat flat untuk disewa sebelum mangsa membayar deposit sewa dan komisen.Tan mengatur supaya mangsa-mangsa melihat flat-flat di Ang Mo Kio, Bukit Panjang dan Sengkang dan menandatangani perjanjian sewa flat.Malangnya, bakal-bakal penyewa itu tidak mendapat flat-flat sewa yang dijanjikan.Apabila mangsa meminta wang mereka dikembalikan, Tan dan rakannya berkata mereka telah menggunakan wang itu dan berjanji akan membayar balik secara ansuran, tetapi gagal berbuat demikian.