Search This Blog

Tuesday, September 21, 2010

3 ditahan edar dadah



BAGAN SERAI – Tiga lelaki berumur antara 18, 21, dan 28 tahun ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dan heroin secara berasingan di Kuala Kurau dan Semanggol. 

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, semua mereka ditangkap di Kampung Tebuk Haji Dollah Selinsing, Semangol dan Kampung Parit Haji Amin, Jalan Baru Parit Buntar. 

Kata beliau, dalam tangkapan pertama di Semanggol, polis menjumpai 10 paket lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 30.5 gram dalam beg pinggang yang dipakai lelaki itu. 

“Hasil siasatan, kita mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah dari pengedar di Ipoh. Dia hanya menggunakan motosikal dari Ipoh ke Selinsing untuk menjalankan kegiatan mengedar dan menjual dadah,” katanya. 

Katanya, pada hari tangkapan itu, seramai 26 penagih turut diberkas di kawasan sama dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari suspek yang menjual kepada mereka dengan harga RM80 satu paket. 

Menurut Mat Fauzi, suspek dipercayai mula bergiat aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu dan membekalkannya kepada penagih di kawasan Selinsing, Semanggol. 

“Suspek ini mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah samun dan kes dadah serta pernah dipenjarakan di Taiping sebelum ini sebelum dibebaskan Mei lalu kini ujian saringan yang dilakukan ke atas suspek mendapati positif dadah. 

“Suspek kini ditahan reman di lokap Balai Polis Bagan Serai sehingga 24 September ini dan akan disambung lagi untuk menjalankan siasatan lanjut. 

Sementara itu, Mat Fauzi berkata, dua lagi suspek iaitu yang ditahan di kawasan Kuala Kurau di perkampungan Parit Haji Amin Jalan Baru, Parit Buntar ini hasil maklumat dari orang awam. 

Menurutnya, hasil serbuan polis mendapati ada ketulan mampat yang diisi dalam dua botol plastik penutup merah dipercayai ketulan mampat ganja seberat 172 gram dan 70 gram. 

Satu lagi botol plastik yang mempunyai penutup berwarna hijau juga didapati berisi ganja seberat 292 gram, di samping alas pemotong, pisau, satu gulung plastik lutsinar dan alat penghisap dadah serta alat penimbang berjenama Tanita yang turut dirampas. 

Mat Fauzi berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah dari pengedar di Nibong Tebal, Pulau Pinang. 

Menurutnya, suspek dipercayai mula bergiat mengedar dadah sejak sebulan lalu dan membekalkan dadah untuk penagih di Parit Haji Amin, Parit Buntar. 

Katanya, hasil siasatan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan awal juga mendapati mereka positif dadah dan ditahan di lokap Balai Polis Bagan Serai sehingga 25 September ini untuk siasatan lanjut.

Rumah ibadat jadi sasaran




BANDARAYA MELAKA - Rumah ibadat sanggup dijadikan sasaran peniaga meletakkan pelbagai barangan tiruan bagi mengelak daripada diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 

Bagaimanapun, taktik itu gagal mengaburi mata anggota KPDNKK yang membuat serbuan di Jonker Walk, di sini, malam semalam. 

Dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 700 kasut tiruan jenama Crocs, jam tangan, tali pinggang dan beg tangan, semuanya jenama tiruan dirampas dengan membabitkan jumlah keseluruhan RM13,000. 

Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri, Abd Hafidz Abd Rahim berkata, tindakan peniaga yang berleluasa menjual barangan tiruan kepada pelancong sebenarnya boleh menjejaskan Melaka sebagai negeri pelancongan. 

“Mereka menjual kepada pelancong di sini kerana tahu Jonker Walk adalah tempat tumpuan pelancong terutama pelancong asing. 

“Bagaimanapun, kementerian akan terus memantau barangan tiruan di sini dengan membuat pemeriksaan secara berkala,” katanya selepas serbuan di tiga premis di Jonker Walk, malam semalam. 

Menurutnya, mereka yang bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 31 C Akta Perihal Dagangan dan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah.

Terima padah



KUANTAN - Alasan suka sama suka ketika mengadakan hubungan seks dengan seorang gadis bawah umur gagal melepaskan seorang pemasang kanopi daripada hukuman sebaliknya lelaki itu dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan merogol. 

Tertuduh, Mohd Norman Nordin, 25 dari Bandar Indera Mahkota sebelum ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan terbabit bagaimanapun dia menukar pengakuan kepada bersalah semalam ketika kesnya dipanggil untuk sambung bicara. 

Hakim Irwan Suainbon dalam keputusannya semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap tuduhan yang dihadapi tertuduh itu. 

Bagaimanapun tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan dua sebatan setelah mahkamah memutuskan hukuman tersebut berjalan serentak. 

Tertuduh yang diwakili peguamnya, Muhamad Saifuldin Abdul Rahman sebelum ini didakwa merogol seorang gadis bawah umur yang ketika itu berusia 13 tahun empat bulan di dua lokasi berasingan di sini, 30 Oktober 2008. 

Berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, tertuduh yang dipercayai mengenali gadis terbabit didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu atas Bukit Bayroute di sini kira-kira jam 3 pagi, tarikh tersebut. 

Manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan tersebut terhadap gadis yang sama ketika berada dalam sebuah bilik hotel, Jalan Stadium di sini kira-kira tiga jam selepas kejadian pertama. 

Dia yang mendakwa melakukan perbuatan tersebut atas dasar suka sama suka ditahan polis sebelum dihadapkan ke Mahkamah bagi menghadapi dua tuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat. 

Sebelum itu tertuduh melalui peguamnya merayu supaya hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan kes itu adalah kesalahan pertamanya dan berlaku atas dasar suka sama suka. 

Bagaimanapun Mahadi memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai satu pengajaran terhadapnya dan masyarakat umum ekoran banyak kes seumpama itu dilaporkan berlaku kebelakangan ini.

Sembunyi bawah tilam




DUNGUN - Hubungan sulit pasangan penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan yang menjadikan se-buah rumah teres sebagai lokasi berasmara mengundang padah. 

Ini sebab, tempat persembunyian mereka di kawasan kediaman penduduk diserbu pihak Penguat kuasa Jabatan Agama Daerah. 

Perbuatan sumbang itu terbongkar apabila serbuan dilakukan kira-kira jam 1.20 pagi di rumah bernombor PT 7098 Taman Rakyat Jaya, Gong Pasir Dungun itu membawa kepada penahanan sepasang kekasih berumur 19 tahun yang masih menuntut di IPTA tempatan. 

Berikutan itu, pasangan terbabit, Zaki Arif Ahamad, 19 dan pasangannya, Puteri Noor Faten Aroha Ibrahim @ Othman, 19, didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Dungun mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksima RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

Mengikut sebahagian ringkasan kes, kertas pertuduhan yang dibaca Pendakwa Raya Syarie, Azmi Tengah dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung pagi semalam, ketika serbuan dilakukan, pintu utama tertutup dan berkunci manakala tingkap tertutup rapat. 

Sebaik salam diberikan anggota penguat kuasa, pintu rumah kemudiannya dibuka seorang perempuan (tertuduh perempuan), keadaan dalam rumah ketika itu gelap sebelum anggota penguat kuasa mengarahkan tertuduh membuka lampu. 

Selepas pemeriksaan dilakukan mendapati, seorang lelaki (tertuduh lelaki) sedang berbaring di bawah tilam dalam sebuah bilik nombor satu. 

Hasil siasatan, pasangan terbabit yang ketika itu difahamkan masih lagi belajar di pusat pengajian tinggi didapati tidak mempunyai hubungan sah sebagai suami isteri. 

Selepas mendengar hujah yang dikemukakan Pendakwa raya yang mengambil kira pengakuan dan rayuan yang dibuat kedua-dua tertuduh, Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM2,300 atau dua bulan penjara kepada pasangan terbabit. 

Kedua-dua tertuduh, Zaki Ariff dari Telok Panglima Garang, Selangor dan pasangannya, Puteri Noor Faten Farah Aroha dari Setiu, Terengganu, masing-masing yang tidak diwakili peguam akhirnya memilih untuk membayar denda untuk membolehkan mereka dibebaskan oleh mahkamah.

Polis buru empat lelaki samun lori bawa muatan bola berjenama


SHAH ALAM - Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang pemandu lori yang membawa muatan bola jenama terkenal di Seksyen 25 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 40-an, sedang dalam perjalanan dari Seksyen 16 ke Seksyen 23 di sini untuk menghantar kira-kira 104 kotak mengandungi bola jenama Adidas.

"Dalam laporannya, pemandu lori itu mendakwa dia ditahan dan tangannya diikat sebelum diarah memasuki sebuah kereta selain matanya turut ditutup dan dibawa ke satu lokasi yang tidak di ketahui," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa disamun oleh empat lelaki bersenjatakan pisau yang melarikan diri dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil.

"Kesemua suspek juga telah memunggah bola dari lori berkenaan ke lokasi yang tidak dapat dipastikan," katanya.

Noor Azam berkata, suspek melepaskan mangsa di sebuah kawasan di Seksyen 36 di sini kira-kira tiga jam kemudian.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Lelaki parah kena tembak




2010/09/21

KULAIJAYA: Seorang lelaki parah selepas terkena tembakan dalam cubaan samun di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Sawit, Taman Sawit, di sini malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan abangnya berusia 22 tahun sedang mengemas untuk menutup kedai apabila seorang lelaki yang memakai topi keledar menutup muka penuh tiba-tiba menyerbu masuk dan mengacukan pistol. Difahamkan, lelaki terbabit melepaskan tembakan selepas mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal tanpa mengambil barang atau wang tunai. Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata mangsa cedera di leher selepas terkena satu das tembakan. 

"Suspek dipercayai berusia 30-an adalah berbahaya. Polis percaya suspek lebih daripada dua orang dan siasatan lanjut akan dijalankan, katanya, semalam. 

Dua maut hidu gas pendingin hawa bocor




2010/09/21

KOTA KINABALU: Dua lelaki ditemui mati dipercayai terhidu gas karbon monoksida akibat sistem pendingin hawa bocor dalam kabin bot pukat tunda di jeti Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) di sini, awal pagi semalam. 

Juragan bot, Malkon Jusing, 31, dan Mohd Mustakim Merika, 20, dipercayai terhidu gas itu ketika tidur akibat mabuk selepas minum minuman keras bersama awak-awak yang juga sepupunya, Mohd Mustakim terselamat kerana tidur di luar kabin. Mangsa hanya disedari sudah meninggal dunia apabila awak-awak terbabit cuba mengejutkan mereka kira-kira jam 6 pagi. Sebelum kejadian, bot dikendalikan Malkon bersama 20 awak-awak berlabuh di jeti itu jam 5 petang, Ahad lalu sebelum memunggah hasil laut ke jeti pada malam kelmarin. 

Mohd Mustakim dari Kawang, dekat Papar yang menganggur dikatakan datang ke bot itu untuk bertemu sepupunya sebelum minum arak dalam kabin. 

Bagaimanapun, sepupu Mohd Mustakim tersedar daripada tidur dan keluar dari kabin pada jam 1 pagi serta tertidur di luar kabin. 

Apabila menyedari kedua-dua meninggal dunia, awak-awak itu segera menghubungi pemilik bot yang kemudiannya datang untuk membuat pemeriksaan. 
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada pemilik bot mendapati kedua-dua mangsa mati dipercayai akibat terhidu gas karbon monoksida. 

Kes itu diklasifikasikan mati mengejut tetapi siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian atau ada unsur jenayah, katanya di sini semalam. 

Jejantas berhampiran venue Sukan Komanwel 2010 runtuh




2010/09/21

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan cedera apabila jejantas pejalan kaki yang sedang dibina berhampiran Stadium Jawaharlal, salah sebuah venue utama Sukan Komanwel 2010, runtuh petang tadi. 

Saluran berita India melaporkan kebanyakan yang cedera ialah pekerja di kawasan tapak pembinaan yang kemudiannya dihantar untuk menerima rawatan di All Indian Institute of Medical Sciences Trauma Centre. Polis Selatan Delhi mengesahkan lima pekerja cedera parah. Kejadian ini berlaku ketika tuan rumah bertungkus lumus untuk menyiapkan infrastruktur menjelang kejohanan yang dijadual dari 2 hingga 14 Oktober ini, ditambah pula dengan musim hujan ketika ini. 

Beberapa pasukan luar dijangka tiba di bandar raya ini mulai Rabu. 

Ketua Jurutera Jabatan Kerja Raya, A K Sinha berkata, jejantas tersebut dibina bagi kemudahan pengunjung ke kejohanan berkenaan. 

Ia akan menghubungkan salah satu pintu masuk ke stadium yang akan menjadi venue pembukaan kejohanan di mana kira-kira 7,000 atlet dijangka mengambil bahagian. 
Isu keselamatan sepanjang kejohanan turut mendatangkan kerisauan terutama di kalangan pasukan negara luar di mana Ahad lepas, dua lelaki bermotosikal dilaporkan melepaskan tembakan ke atas sebuah bas pelancong berhampiran sebuah masjid di kawasan lama bandar raya ini. 

Dua pelancong Taiwan cedera dalam kejadian ini. - Bernama 

Penyelam polis temui objek seperti gelang emas di kunci air




2010/09/21

BANTING: Unit penyelam Pasukan Gerakan Marin hari ini menemui satu objek seakan-akan gelang emas dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di kawasan kunci air Kampung Sungai Lang di sini, hari ini. 

Empat penyelam memulakan operasi pada 3.20 petang di kawasan kunci air itu yang terletak berhampiran pasar awam pekan tersebut dan operasi ditamatkan pada 5.05 petang tadi. Turut berada di kawasan operasi menyelam itu ialah suspek utama kes pembunuhan empat individu itu. Suspek, yang juga seorang peguam berumur 41 tahun, turut disiasat berhubung kes seorang lelaki ahli perniagaan warga India yang dikatakan hilang di Banting sejak awal tahun ini. 

Kawasan operasi menyelam itu menjadi tumpuan orang ramai petang tadi dan mereka sanggup menunggu walaupun hujan turun pada masa itu bagi melihat sendiri bagaimana pasukan polis menjalankan tugas mereka. 

Sementara itu, pada jam 3.00 petang tadi, kira-kira 15 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor tiba di ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Tanjung Sepat. 

Mereka tiba dengan tiga kenderaan pacuan empat roda dan lori satu tan di ladang itu yang dipercayai lokasi di mana Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh dan dibakar. 
Kakitangan jabatan itu menghabiskan masa hampir satu jam 45 minit untuk menangkap empat lembu dan lapan kambing termasuk biri-biri yang berada di dalam ladang itu dan memuatkan haiwan tersebut ke dalam lori sebelum beredar daripada lokasi berkenaan. 

Bagaimanapun, mereka enggan mengulas lanjut mengenai operasi tersebut ketika diminta oleh pihak media. 

- Bernama 

Buruh maut, rakan parah dirempuh kereta terbabas


21/09/2010 1:59pm

SEREMBAN 21 Sept. – Seorang buruh maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 266.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini awal pagi ini.
R. Vijentharan, 25, ketika itu sedang menyusun kon di lebuh raya berkenaan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga BLM kira-kira pukul 2.30 pagi menyebabkan dia maut di tempat kejadian.
Rakannya yang berusia lingkungan 20-an dan belum dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan. – Utusan

Dua suspek bunuh Sosilawati dibatal lesen guaman sejak 2009


21/09/2010 6:26pm

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Lesen amalan guaman dua peguam yang menjadi suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain telah digantung dan dilucutkan keahlian bermula 5 November tahun lepas, kata Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan.
Beliau berkata, pembatalan itu dibuat setelah Majlis Peguam membuat siasatan berhubung salah laku keduanya yang merupakan adik-beradik tetapi mereka telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membuat penangguhan ke atas pembatalan itu.
"Berikutan kebenaran permohonan pembatalan itu mereka masih meneruskan amalan sebagai peguam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ragunath berkata, setiap peguam yang didapati terlibat dalam penyelewengan akaun anak guam, rasuah dan lain-lain kesalahan berat akan dibatalkan lesen amalan mereka serta-merta setelah siasatan dibuat iaitu membabitkan 30 peguam sejak lima tahun lepas.
Katanya, jumlah itu adalah terlalu kecil kerana ia hanya melibatkan 0.02 peratus peguam yang menjadi ahli majlis tersebut tetapi sebagai pertubuhan profesional, beliau tetap mengambil berat dengan setiap salah laku yang dibuat oleh ahlinya. - Bernama

Kes bunuh Sosilawati: Kertas siasatan diserah kepada AG


21/09/2010 6:53pm

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan bahawa laporan lengkap kes pembunuhan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.
"Saya memang rasakan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) sudah lakukan dengan cukup baik. Kerana dalam masa singkat bukan sahaja dapat kenalpasti tetapi juga menahan suspek.
"Saya juga dimaklumkan oleh Datuk Seri Bakri Zinin (Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman) bahawa kertas siasatan sudah diserah kepada Peguam Negara hari ini,” katanya. - Bernama

Darjah kebesaran palsu: Pejabat Sultan Kelantan lapor polis


21/09/2010 6:59pm

KOTA BHARU 21 Sept. - Pejabat Sultan Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung penawaran Darjah Kebesaran Negeri Kelantan yang dipalsukan dan kononnya dikeluarkan oleh pejabat berkenaan.
Laporan itu dibuat oleh Pegawai Tadbir (Istiadat) Pejabat Sultan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pukul 12 tengah hari tadi.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Halim Hamad berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya menerima satu salinan dokumen daripada Istana Telipot berkaitan dengan surat anugerah pengurniaan darjah kebesaran negeri.
"Ahad lalu, Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar Kota Bharu telah menerima satu salinan dokumen daripada Istana Telipot, di mana ia telah difaks oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkaitan dengan surat anugerah pengurniaan kehormatan kebesaran negeri.
"Semakan telah dibuat dan didapati dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pejabat ini, justeru itu saya mengarahkan Pegawai Tadbir (Istiadat) Pejabat Sultan Kelantan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini. - Bernama

Feri penumpang tenggelam ketika disenggara


21/09/2010 5:43pm

LANGKAWI - Sebuah feri yang sebelum ini diguna membawa penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi tenggelam ketika disenggara di Jeti Kuah
di sini.
Pengarah Urusan JMV Ferry Service, Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata, insiden itu disedari berlaku kira-kira pukul 9.30 malam tadi oleh pekerja syarikat tersebut.
Feri itu tenggelam sepenuhnya pukul 7.30 pagi tadi, katanya ketika dihubungi
di sini, hari ini.
Beliau berkata, feri tersebut yang boleh memuatkan sehingga 90 penumpang
dihantar untuk penyenggaraan selepas berlaku kebocoran pada bahagian ekzos.
Kerugian ditaksir lebih RM1 juta.
Difahamkan usaha menaikkan feri seberat 25 tan dengan panjang lebih 20 meter itu sedang dijalankan menggunakan kren.
Sementara itu tinjauan di tempat kejadian mendapati, anggota Jabatan Laut sedang mengawal tumpahan minyak dari feri tersebut.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Mohamad Sayuti Sapie berkata,
pihaknya telah mengambil sampel tumpahan minyak di kawasan kejadian.
"Kita sedang bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk memantau keadaan kawasan itu," katanya. - Bernama

Bot, tekong, awak-awak warga asing ditahan


21/09/2010 6:55pm

KUANTAN - Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menahan sebuah bot nelayan bersama seorang tekong warga Thailand dan enam awak-awak warga Myanmar yang didapati menangkap ikan di perairan Malaysia, semalam.
Ketua Bahagian Risik/Operasi PGM Wilayah 3, DSP Mohd. Hassan Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, kapal ronda PX33 menemui sebuah bot nelayan berwarna merah lebih kurang 36.5 batu nautika dari Pulau Tioman ketika menjalankan Operasi Baraccuda.
Ketika kapal ronda berkenaan menghampiri bot nelayan terbabit dengan jarak lebih kurang satu batu nautika, bot itu telah memotong tali pukat dan cuba melarikan diri menuju ke kawasan perairan antarabangsa, katanya.
"Kami telah mengejar selama 30 minit dan berjaya menahan sebelum membuat pemeriksaan ke atas bot tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - Bernama

5 termasuk pelancong UK terkena tembakan


21/09/2010 8:16pm

KUALA LUMPUR – Lima orang termasuk seorang pelancong dari United Kingdom cedera apabila terkena serpihan tembakan yang dilepaskan tanpa sengaja oleh seorang pengawal keselamatan kedai emas di pusat beli-belah Leisure Mall di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Supt. Abdul Rahim Hamzah Othaman berkata, dalam kejadian pukul 12.55 tengah hari itu, pengawal keselamatan yang sedang bertugas di kedai emas secara tidak sengaja melepaskan tembakan daripada senapang patah yang digunakan.
“Tembakan itu terkena atas lantai di hadapan kedai itu dan serpihan peluru tersebut telah melantun hingga mengenai mereka yang berdekatan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata, lima yang cedera itu melibatkan tiga wanita dan dua lelaki termasuk pelancong dari United Kingdom, kesemuanya berumur antara 30 hingga 47 tahun.
“Kesemua mereka hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, pengawal keselamatan yang berumur 50 tahun kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.
“Pengawal tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana telah melepaskan tembakan di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya. – Bernama

Polis beri amaran sebelum tembak remaja

JOHOR BAHRU: Polis terpaksa melepaskan tembakan hingga menyebabkan seorang remaja cedera di kaki Sabtu lalu, kerana remaja terbabit tidak menghiraukan tembakan amaran ke udara sebaliknya melarikan diri selepas dia dan rakannya bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis bermotosikal menggunakan kereta.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata dalam kejadian 10.40 pagi itu, suspek beberapa kali cuba merempuh serta menghimpit motosikal polis untuk melepaskan diri.
“Dalam keadaan panik, mereka merempuh sebuah kereta milik awam di Jalan Dedap 24, Taman Johor Jaya, menyebabkan kenderaan yang dipandu rosak.

“Mereka bagaimanapun tidak berputus asa sebaliknya cuba meloloskan diri ke kawasan perumahan hingga memaksa anggota polis melepaskan dua das tembakan amaran ke udara,” katanya.

Menurut Jalaluddin, satu das tembakan terpaksa dilepaskan dan mengenai betis kiri suspek berusia 19 tahun itu dan dia ditahan serta dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan.

Bagaimanapun, rakannya sempat meloloskan diri dan menurut Jalaluddin, seorang remaja berusia 16 tahun menyerah diri di Balai Polis Johor Jaya keesokannya manakala remaja yang terkena tembakan itu dibenarkan keluar dari wad HSI pada hari sama.

Jalaluddin berkata, semakan mendapati remaja terbabit berasal dari Cheras manakala kenderaan dipandu kereta curi yang dilaporkan hilang tiga hari sebelum kejadian di Desa Cemerlang.

“Selain itu, polis merampas lima pil Eramin 5 yang ditemui dalam simpanan remaja terbabit. Berdasarkan ujian saringan air kencing kedua-dua remaja itu, mereka positif mengambil dadah jenis amphetamin dan methamphetamin.

“Mereka direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Akhbar ajak kartel dadah berdamai

CIUDAD JUAREZ (Mexico): Akhbar paling laris di Ciudad Juarez mencadangkan supaya kartel dadah di bandar sempadan itu berdamai, semalam selepas seorang lagi wartawannya dibunuh.
Dalam rencana pengarangnya yang disiarkan di muka depan, akhbar El Diario berharap perdamaian itu membolehkan mereka meneruskan tugas tanpa perlu bimbang lebih ramai kakitangannya terbunuh.
Akhbar itu turut mengecam kerajaan negeri Chihuahua dan Presiden Mexico, Felipe Calderon, kerana gagal melindungi orang ramai sehingga menyebabkan Ciudad Juarez menjadi satu daripada lokasi paling berbahaya di dunia.

Khamis lalu, jurugambar El Diario ditemui mati dibunuh dan rakannya cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata.

Ia adalah kematian kedua di kalangan petugas akhbar berkenaan dalam tempoh dua tahun. - AP

Pemuda dijel 10 tahun

KUANTAN: Seorang pemuda dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, dua tahun lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Mohd Norman Nordin, 25, dari Lorong 1/16 Bandar Indera Mahkota, menukar pengakuannya kepada bersalah, semalam.
Bagi setiap kesalahan itu tertuduh dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan satu sebatan. Bagaimanapun Irwan mengarahkan hukuman berkenaan berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai tukang pasang kanopi didakwa melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 13 tahun di atas Bukit Bayroute kira-kira jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh diwakili peguam Saifuldin Ab Rahman didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sama di dalam bilik nombor 19 Hotel Heng Yap, Jalan Stadium, pada 30 Oktober 2008, kira-kira jam 6 pagi.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2006) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan.

Mati ketika beratur ambil duit

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati ketika beratur untuk mengeluarkan wang di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jalan Pudu di sini, petang semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 40-an dan beratur bersama pelanggan lain tiba-tiba rebah dipercayai mengalami serangan jantung.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mangsa mati di tempat kejadian.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

Dibelasah minta surat tarik kereta

AMPANG: Sekumpulan penarik kereta membelasah seorang lelaki selepas cuba membantu rakannya yang terbabit kemalangan di Kampung Baru, Ampang, di sini, Selasa lalu.
Akibatnya, mangsa menerima beberapa jahitan di kepala kerana dipukul dengan besi pengunci stereng, walkie-talkie, rotan dan kayu.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila mangsa ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan rakannya yang mengatakan dia terbabit kemalangan.

“Mangsa bergegas ke tempat kemalangan dan mencari rakannya itu, namun agak sukar kerana terlalu ramai orang di kawasan itu.

“Dia ditegur seorang penarik kereta yang turut memberitahu kenderaan rakannya itu terpaksa ditarik ke bengkel kerana sudah dipersetujui,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa tidak berpuas hati kerana dia mahu membawa kereta rakannya itu ke bengkel lain sebelum meminta lelaki terbabit menunjukkan dokumen ditandatangani rakannya.

“Permintaan mangsa itu menimbulkan kemarahan lelaki terbabit dan dia mendakwa mangsa tidak layak melihat surat berkenaan kerana itu perjanjian antara dia dan rakan mangsa.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran sebelum beberapa lagi rakan penarik kereta terbabit masuk campur hingga berlaku kekecohan,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin buruk apabila mangsa yang berseorangan dibelasah kumpulan penarik kereta terbabit sebelum dapat melarikan diri.

“Bagaimanapun, kereta mangsa turut dipecahkan apabila kumpulan lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengannya memecahkan cermin dan menendang pintu kenderaannya.

“Mangsa yang tidak tahan kerana diserang lebih daripada 10 penarik kereta terbabit memecut kenderaannya sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Sumber terbabit berkata, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala.

“Berikutan itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit dan mangsa serta rakannya mendakwa mereka langsung tidak mengenali semua lelaki terbabit.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Hati berdetik

SEREMBAN: Persoalan menyelubungi keluarga bayi perempuan berusia tiga bulan yang meninggal dunia selepas dihantar ibu bapanya ke sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Paroi di sini, semalam.
HIBA...Zadariah yang sebak ditenangkan ahli keluarga, semalam. Gambar kecil, mangsa.
HIBA...Zadariah yang sebak ditenangkan ahli keluarga, semalam. Gambar kecil, mangsa.
Difahamkan, bayi malang yang juga cucu kepada Timbalan Pengerusi Tetap Wanita Umno Bahagian Seremban, Zadariah Ismail, 57, itu dikatakan ditemui pengasuh dalam keadaan sejuk dengan seluruh tubuhnya kebiruan dalam buaian di pusat asuhan terbabit.

Menurut Zadariah, sebelum pergi mengajar di dua sekolah berasingan sekitar daerah ini, ibu bapa bayi berkenaan, pasangan guru, Airul Anuar Abdul Aziz, 30, (anak Zadariah) dan Nurhida Md Nor, 26, menghantar bayi mereka ke pusat berkenaan, kira-kira jam 7 pagi.

“Saya yang sedang mengemas rumah tersentak apabila menerima panggilan daripada kakitangan pusat asuhan itu memaklumkan keadaan luar biasa cucu yang terlalu lemah dengan tubuhnya kebiruan, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Berikutan itu, saya dan suami, Abdul Aziz Ismail, 59, bergegas ke situ dan membawa cucu ke sebuah klinik berdekatan untuk rawatan.

“Namun, selepas doktor bertugas gagal membantu cucu melalui bantuan pernafasan selama lebih 30 minit, saya diminta segera ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,” katanya ditemui di Bilik Mayat HTJS, di sini.
Menurutnya, dia amat terkejut dengan kejadian berkenaan kerana cucunya itu dilihat riang dan ceria ketika kali terakhir bertemu pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Taman Paroi Jaya, di sini, kelmarin.

“Hati ini bagaimanapun seolah-olah sudah terdetik akan kehilangan seorang cucu disayangi ketika mendukungnya keluar dari pusat asuhan terbabit.
“Selain keadaan badan yang sejuk, beberapa kesan lebam di tangan dan hitam di kedua-dua telinga turut dilihat pada bayi berkenaan,” katanya.

Kata Zadariah, ibu bapa Nur Azwa yang menetap di sekitar Sikamat di sini, mendirikan rumah tangga Jun tahun lalu dan jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Paroi Jaya, hari ini.

Airul Anuar yang kelihatan sugul pula berkata, dia tidak pasti punca sebenar kejadian itu dan menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, seorang pengasuh pusat berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihaknya turut kecewa dengan insiden berkenaan yang pertama kali berlaku sejak 10 tahun beroperasi.

Menurutnya, kira-kira jam 10 pagi, dia menyusukan bayi berkenaan sebelum meletakkannya semula ke dalam buaian.

“Bagaimanapun, ketika mahu memandikannya dua jam kemudian, saya terkejut melihat tubuh bayi itu kebiruan dan segera menghubungi hospital serta ahli keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat, dan kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.