Search This Blog

Monday, September 20, 2010

Penagih dadah Terengganu meningkat 1,366.67%


20/09/2010 5:35pm

KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd. Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).
"Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mencatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.
Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine. - Bernama

Polis sedang kesan 2 lelaki bantu kehilangan 3 remaja



20/09/2010 7:34pm


KAMPAR 20 Sept. - Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kehilangan tiga remaja perempuan, dua daripadanya pasangan kembar yang dilaporkan hilang sejak 11 Sept lalu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt. Abdul Aziz Salleh berkata, dua lelaki itu, Shahrizan Zakaria, 20, beralamat di Sungai Nibong, Kota Setia, Kampung Gajah dan Mohamad Akmal Hakim Ismail, 19, beralamat di Kampung Hujung Rintis, Kota Setia, Kampung Gajah.
Kedua-dua lelaki berkenaan, yang bekerja sendiri, dipercayai bersama dengan tiga remaja berkenaan sejak dilaporkan hilang pada hari raya kedua, kata Abdul Aziz pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Khairul Azhar atau Roy pernah bersama-sama dengan tiga remaja itu tetapi lelaki berkenaan sudah pulang ke rumahnya di sini.
Lelaki berkenaan telah membantu polis memberi keterangan berhubung dengan kehilangan tiga remaja berkenaan, katanya. - Bernama

26 kenderaan terperangkap 2 jam dalam feri


20/09/2010 7:32pm

GEORGETOWN - Sebanyak 26 buah kenderaan dalam sebuah feri di perairan Selat Pulau Pinang terperangkap selama dua jam apabila satu ”Pin Bracket” di bahagian penyambung landasan antara feri dan terminal patah di Terminal Feri Raja Tun Uda di sini pada kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Ketua Perkhidmatan Feri, Suruhajaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Fisnol Mahmud berkata, kejadian itu berlaku selepas semua kenderaan memasuki bahagian dalam feri melalui landasan penyambung berkenaan.
Feri itu dalam perjalanan menghala ke tanah besar.
"Kita tidak membenarkan feri berkenaan bergerak kerana jika ia bergerak, landasan penyambung akan jatuh dan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pegawai bertugas bertindak segera dengan mendapatkan bantuan bengkel untuk membaiki kerosakan dan mengeluarkan kenderaan. - Bernama

Seorang lagi dakwa sebagai isteri jutawan India yang hilang


CADANG RUJUK SEMULA: Menurut Cik S. Ramalakshmi (gambar kanan), Cik S. Usharani yang bergambar bersama anak perempuannya (gambar atas), bukan isteri jutawan yang hilang, Encik A. Muthuraja. -- Foto-foto SUNDAY STAR

KLANG: Kisah kehilangan seorang ahli perniagaan warga India, Encik A. Muthuraja, yang dikaitkan dengan suspek yang disyaki membunuh Datuk Sosilawati Lawiya, mencetuskan satu lagi kejutan.
Cik S. Ramalakshmi, seorang guru berusia 36 tahun berasal dari Tirunelveli, Tamil Nadu, India kini mengaku beliau adalah isteri yang sah kepada Encik Muthuraja.Mereka berkahwin dalam satu majlis gilanggemilang pada 2002 di Chennai yang dihadiri ramai orang kenamaan dan tokoh politik.Menurutnya, Cik S. Usharani, wanita berusia 24 tahun yang datang ke Malaysia untuk melaporkan kehilangan Encik Muthuraja pada 8 September lalu, bukanlah isteri jutawan itu yang sah.Cik S. Ramalakshmi berkata meskipun beliau sudah berpisah dengan Encik Muthuraja, 37 tahun, mereka bercadang untuk rujuk semula.'Bapa mentua saya memberitahu bahawa perselisihan antara kami berdua akan diselesaikan apabila beliau (Muthuraja) kembali dari Malaysia,' katanya seperti ditukil akhbar Sunday Star semalam.Dalam laporan yang dibuat di balai polis Banting, Cik S. Usharani mendakwa Encik Muthuraja adalah suaminya.Encik Muthuraja, dipercayai seorang jutawan, hilang selepas datang ke Malaysia untuk berjumpa peguam dua beradik yang kini ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati, bersama tiga mangsa lain.Bapa Encik Muthuraja, Encik Allal Kathan, 62 tahun, percaya anak lelakinya itu masih hidup dan mungkin ditahan orangorang yang tidak bertanggungjawab.Beliau tidak fikir peguam dua beradik di Banting itu akan mengapa-apakan anaknya.'Anak saya dan (peguam) dua beradik itu kawan rapat. Tidak mung- kin mereka akan menyakitinya. Saya rasa anak saya ditahan di satu tempat oleh orang-orang yang tak bertanggungjawab,' katanya dari Tirunelveli, Tamil Nadu, seperti ditukil akhbar Sunday Star semalam.Adik Encik Muthuraja, Encik Vijay dan Dr Kasi Viswanathan, juga percaya kedua-dua peguam itu tidak mengapa-apakan abang mereka.Sementara itu, polis telah menahan reman selama tujuh hari ke atas dua suspek yang menuntut wang tebusan sebanyak RM100,000 daripada Cik S. Usharani. -- Sunday Star.

Polis lepas tembakan amaran sebelum tembak kaki pemuda 19 tahun


JOHOR BAHARU - Anggota polis telah melepaskan dua das tembakan amaran ke udara sebelum bertindak menembak kaki seorang pemuda berusia 19 tahun yang dipercayai cuba melarikan diri daripada ditangkap dalam kejadian di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya dua hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pemuda itu dan rakannya berusia 16 tahun yang menaiki sebuah kereta sebelum itu telah bertindak agresif dalam usaha untuk melepaskan diri daripada anggota polis.

"Kereta terbabit telah diarah berhenti untuk diperiksa, sebaliknya kedua-duanya bersikap agresif dengan menghimpit dan cuba merempuh anggota polis yang bermotosikal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga anggota polis yang sebelum itu sedang meronda telah mengesan kereta Proton Waja dinaiki pemuda terbabit berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Dedap 4 dan mengarahkan mereka berhenti untuk diperiksa.

Dalam usaha untuk melarikan diri, kereta suspek turut merempuh sebuah kereta milik awam di Jalan Dedap 24 menyebabkan mereka keluar daripada kereta dan cuba melarikan diri ke kawasan perumahan.

Jalaluddin berkata, anggota polis terus mengejar dan memberi amaran sebanyak empat kali supaya suspek menyerah diri sebelum melepaskan dua das tembakan amaran tetapi tidak diendahkan oleh kedua-dua pemuda terbabit.

"Satu das tembakan diarahkan ke bahagian kaki suspek dan mengenai bahagian betis kiri kaki suspek," katanya dan menyatakan pemuda itu ditangkap dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan.

Beliau berkata, pemuda yang berasal dari Cheras itu dibenar keluar dari wad pada hari yang sama dan hasil siasatan mendapati kereta Proton Waja itu dilapor dicuri pada 15 Sept lepas di Desa Cemerlang.

Polis katanya, turut merampas lima biji pil Eramin 5 daripada kedua-dua pemuda itu yang ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Jalaluddin berkata, seorang pemuda berusia 16 tahun menyerah diri di Balai Polis Johor Jaya semalam dan ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis Amphetamine dan Meth.

Jalaluddin berkata, dalam kes ini polis melepaskan tembakan bagi tujuan melaksanakan tangkapan kerana keengganan kedua-dua pemuda itu berhenti dan menyerah diri apabila diminta oleh anggota polis yang beruniform.

"Tindakan polis selari dengan peruntukan Seksyen 15 Kanun prosedur Jenayah," katanya.

Mahkamah rayuan putuskan tidak ada bidang kuasa dengar rayuan Anwar


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pertuduhan liwat beliau kerana ia tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara berkenaan.

Hakim Datuk Ahmad Maarop yang mengetuai tiga anggota panel berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu menolak permohonan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwatnya kerana ia tidak boleh dibuat rayuan disebabkan Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA).

Beliau berkata, ini kerana keputusan itu dibuat ketika perbicaraan sedang dijalankan dan bukan menafikan sepenuhnya hak Anwar. 

Panel itu yang terdiri daripada Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara menolak rayuan Anwar setelah menerima bantahan permulaan yang dibangkitkan oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden tanpa mendengar merit rayuan itu.

Dalam bantahan permulaannya, Mohamed Yusof mempertikaikan bahawa keputusan itu bukanlah satu perintah terakhir tetapi hanyalah prosedur dan tidak dimasukkan daripada makna "keputusan" mengikut Seksyen 3 CJA.

Peruntukan Seksyen 3 CJA menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan tidak ada bidang kuasa untuk melayan rayuan mengenai perkara interlokutori yang diputuskan semasa perbicaraan sedang dijalankan kerana keputusan itu dianggap bukan satu perintah terakhir dan tidak menafikan hak sepenuhnya pihak berkaitan. 

Bagaimanapun, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar memberitahu bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu boleh dibuat rayuan kerana jika Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan liwat itu, ia adalah satu perintah terakhir kerana ia merupakan berakhirnya pendakwaan.

"Merit rayuan itu hendaklah didengar," kata Karpal Singh yang merpersoalkan kenapa pendakwaan takut untuk meneliti sedalam-dalamnya merit rayuan berkenaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Ogos menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat beliau.

Ini merupakan percubaan Anwar kedua untuk membatalkan pertuduhan itu. Kali ini ia berdasarkan alasan bahawa sikap tidak berpihak keseluruhan pihak pendakwaan telah dikompromi kerana dakwaan ada hubungan sulit antara penuduh Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan seorang anggota pasukan pendakwaan, timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif.-Bernama

365 mangsa kebakaran di Kampung Titingan tinggal sehelai sepinggang


TAWAU - Seramai 365 penduduk di Blok 3, Kampung Titingan, di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Wakil Ketua Anak Negeri Kampung Titingan Majid Jamal ketika dihubungi berkata, 212 daripada penduduk terlibat ialah rakyat tempatan manakala 153 lagi rakyat asing.

Beliau berkata, kesemua mereka akan ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Tawau Anisah Kassim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan bantuan termasuk makanan kepada kesemua penduduk yang terlibat dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Albert Jiran Tanjung berkata, kebakaran dilapor pada pukul 12.04 pagi dan dua jentera bomba dengan 27 anggota serta lima kenderaan sokongan mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

Kebakaran yang melibatkan 51 rumah itu merupakan kes ketiga di kawasan berkenaan sejak tahun 1985. Kebakaran pada tahun 1989 memusnahkan lebih 100 buah rumah. 

Seorang mangsa yang ditemui di tempat kejadian, Mulpi Sappari, 38, berkata ketika kejadian, dia, isteri dan lapan anaknya sedang tidur.
"Sebaik saya sedar, api sedang marak. Saya terus bangunkan anak-anak dan isteri saya dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu adalah kali ketiga dialaminya sejak tinggal di kawasan setinggan itu. 

Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan melawat kawasan kebakaran awal pagi ini.

Keluarga suspek mahu jaga bayi yang dibuang


ALOR SETAR - Keluarga penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Lembah Klang yang ditahan Sabtu lepas kerana membuang bayi yang baru dilahirkannya, berhasrat menjaga bayi perempuan itu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jitra (JKM) Mohd Shabbri Othman berkata, hasrat itu dimaklumkan kepada pejabat JKM daerah oleh ibu dan bapa penuntut itu yang berusia dalam lingkungan 50-an semalam.

"Dalam kes ini sangat penting untuk keluarga pelajar berkenaan memberi sokongan kepada ibu serta anak itu dan kami akan terus memantau perkembangan bayi berkenaan selepas mereka keluar dari hospital," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabtu lepas, penuntut berusia 20 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam selepas disyaki membuang bayinya di belakang rumah keluarganya di Taman Rasa Sayang, Jitra di sini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu DSP Ibrahim Mohd Yusoff berkata, bayi seberat 2.8 kg yang masih bertali pusat itu ditemui pada pukul 5.30 petang dan dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan. 

Difahamkan penuntut itu pulang ke kampung sempena Hari Raya dan ibu bapanya tidak mengetahui dia mengandung. Bayi itu dipercayai dilahirkan di bilik air rumah keluarganya sebelum diletakkan di belakang rumah itu.

Suami isteri maut dalam kemalangan di jambatan Pulau Pinang, rakan jatuh ke laut


GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri muda maut selepas kenderaan MPV yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang dalam satu kemalangan di sini malam tadi, manakala seorang daripada tiga penumpang MPV itu tercampak keluar daripada kenderaan tersebut dan jatuh ke dalam laut.

Ketua Trafik Pulau Pinang DSP Abdul Rahim Md Din berkata, remaja berumur 17 tahun yang tercampak ke dalam laut itu kemudiannya berenang ke salah satu tiang jambatan sebelum diselamatkan oleh polis marin kira-kira pukul 1.30 pagi.

Beliau berkata, pemandu MPV itu Teh Boh Yi, 17, dari Sungai Rambai Bukit Mertajam dan isterinya Khor Lee Mui, 17, dari Mukim 8 Tanah Liat Bukit Mertajam, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada kira-kira pukul 1 pagi akibat kemalangan pada kira-kira pukul 11 malam itu.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa kenderaan yang dipandu Teh dalam perjalanan menghala Pulau Pinang itu hilang kawalan semasa ia cuba memotong sebuah kenderaan.

Katanya MPV itu kemudiannya terbabas ke pembahagi jalan sebelum dilanggar pula oleh sebuah lori membawa sayur, mengakibatkan ia merempuh besi selusur jambatan.

Abdul Rahim berkata, rempuhan itu mengakibatkan remaja berkenaan tercampak keluar dari kereta, dan terjatuh ke dalam laut.

Katanya ketiga-tiga penumpang MPV yang terselamat dalam kejadian itu kini menerima rawatan itu Hospital Pulau Pinang, dan salah seorang daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaan mereka baik, namun ketiga-tiganya masih dalam keadaan trauma akibat kejadian itu," katanya.

Adul Rahim berkata, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Remaja asing putus tangan ditetak dalam majlis perkahwinan


TAWAU - Seorang remaja warga negara asing putus tangan kirinya dikatakan ditetak dengan parang dalam satu majlis perkahwinan di sini malam tadi.

Mohd Rais Roslan, 16, dipercayai ditetak ketika cuba melarikan diri ekoran satu kekecohan berlaku di majlis tersebut di Jalan Haji Sundu, Batu 2, kira-kira 11.15 malam.

“Ketika diserang, dia cuba mengelak namun parang yang di gunakan penyerangnya mengenai tangan kirinya dan putus,” kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Imran Abdul Rahman.

Suspek dipercayai seorang warga Indonesia yang dikenali sabagai Hassan, 27.

Suspek terus melarikan diri selepas kejadian sementara mangsa dihantar ke Hospital Tawau.

Difahamkan, tangan Mohd Rais yang putus di bahagian pergelangan tangan itu gagal disambung semula, kata Imran.

Beliau berkata, suspek dipercayai masih berada di negara ini dan orang ramai yang mengetahui di mana suspek berada diminta menghubungi Balai Polis Tawau.

Datuk dipenjara 15 tahun



KOTA BHARU - “Kesalahan kamu serius dan amat menjijikkan, ia tidak sepatutnya berlaku kepada manusia kerana hanya haiwan tidak kenal hubungan ini (datuk dan cucu tiri),” kata Hakim Zainal L Saleh ketika menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 35 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. 

Tertuduh, Hassham Saleh yang bekerja kampung dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun mulai tarikh tangkapan pada 10 Mei 2009 dan 10 sebatan selepas didapati bersalah merogol kanak-kanak berusia tiga tahun lima bulan yang juga cucu tirinya. 

Dia berasal dari Kampung Sungai Hala, Machang didapati melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di bilik Taman Desa Arif, Machang pada jam 9 pagi, April tahun lalu. 

Hakim Zainal dalam penghakimannya menegaskan fakta kesalahan serius dan tidak berperi kemanusiaan itu penting diambil kira ketika menjatuhkan hukuman supaya dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

“Mahkamah mendapati tertuduh gagal memberikan keterangan munasabah atas pendakwaan manakala pembelaannya atas penafian semata-mata. 

“Berdasarkan alasan-alasan itu, saya putuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ini dengan keraguan munasabah,” katanya. 

Beliau turut bersetuju dengan hujah yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nooriah Osman supaya hukuman berat dan setimpal dikenakan kepada tertuduh. 

Nooriah dalam hujahnya berkata, kesalahan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan adalah serius kerana boleh di penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sebatan tidak melebihi 10 sebatan. 

Menurutnya, tertuduh didapati bersalah merogol cucu tirinya sendiri yang berusia tiga tahun lima bulan ketika kejadian. 

“Pihak pendakwaan mendapati ia bukan sahaja jenayah berat tetapi perbuatan keji yang tidak boleh diterima mana-mana masyarakat lebih-lebih lagi tertuduh seorang Muslim. 

“Kanak-kanak itu menghadapi trauma sepanjang kes ini berjalan. Ia memberikan kesan berpanjangan sehingga dia dewasa dan akan meninggalkan stigma kepadanya sebagai mangsa rogol datuk tiri,” katanya. 

Mengakhiri hujahnya Nooriah berkata, pihaknya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh demi kepentingan masyarakat supaya kesalahan sama tidak diulangi individu lain. 

Hassham diwakili peguam bela Roziman Mohd Noor.

Kira-kira 4 terbunuh kejadian tembakan dalam hospital


20/09/2010 12:05pm

BERLIN 20 Sept. - Satu kejadian tembakan di sebuah hospital di bandar Loerrach, barat daya Jerman semalam telah meragut nyawa dan mencederakan beberapa orang mangsa, kata polis di Freiburg.
Menurut polis, maklumat yang diterima sehingga kini mendapati seorang wanita yang memulakan tembakan telah mati.
Siaran berita televisyen Jerman menganggarkan jumlah mangsa yang mati dalam kejadian itu telah meningkat kepada empat orang, termasuk wanita terbabit.
“Keadaan ini sudah terkawal,” kata jurucakap polis.
Tembakan yang berlaku di hospital Saint Elizabeth, tengah Loerrach dekat sempadan Jerman, Perancis dan Switserladd itu bermula pada pukul 6 petang waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia). - AFP

Mak andam rugi


SEPANG - Seorang pengusaha pusat andaman pengantin sejak hampir 20 tahun lalu, Siti Zabedah Sulaiman, 44, mengalami kerugian berulang kali sejak pertama kali kejadian rumah mereka dinaiki air Mei lalu. 

Menurutnya, pada Mei lalu, banyak kerugian dialami, namun beliau masih lagi meneruskan perniagaan yang sememangnya menjadi punca utama rezeki. 

Apa yang menyedihkan banyak pakaian pengantin yang menjadi koleksinya sejak bergiat dalam seni andaman musnah dek kerana lumpur yang naik ke rumah. 

“Kesemua pakaian pengantin, dan aneka jenis aksesori rosak akibat rumah dinaiki air. Bukan murah kos diperlukan untuk membeli pakaian songket dan sebagainya, malah saya mengambil masa yang lama untuk mengumpul duit membeli kesemua kelengkapan andaman. 

Bagaimanapun dalam sekejap sahaja, segalanya rosak. Songket dan peralatan seperti pelamin, apabila sudah terkena air tidak boleh digunakan lagi,” katanya. 

“Kami tahu ianya satu bencana alam, bagaimanapun faktor penyebab termasuk masalah parit tidak diselenggarakan dan projek perumahan berhampiran menjadi penyebab utama menjadikan saya benar-benar kesal dengan apa yang berlaku,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke rumah mangsa mendapati, banyak perabot dan kelengkapan elektrik, buku-buku dan pelbagai jenis barangan perniagaan milik keluarga tersebut rosak dan tidak dapat diselamatkan lagi. 

Haiwan-haiwan ternakan di belakang rumah mereka termasuk ayam kampung, angsa, ternakan keli dalam tangki, dan sebagainya turut terjejas akibat banjir malam semalam.

Suami isteri mungkin didakwa


GEORGETOWN - Sepasang suami isteri disyaki mendera dan merogol pembantu rumahnya mungkin didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 sekiranya polis mempunyai bukti serta keterangan mencukupi. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya akan melihat sama ada kes itu mempunyai unsur eksploitasi terhadap mangsa yang dilakukan pasangan itu. 

Ayub berkata, walaupun polis mempunyai bukti dan keterangan yang mencukupi tetapi masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat tambahan dan pengesahan beberapa perkara mengenai mangsa dan orang yang disyaki. 

“Selain menyiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol, polis juga akan menyiasat suspek mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia. 

“Kami sedang mengkaji latar belakang kes penderaan ini seperti yang dilapor untuk mengetahui sejauh mana perkara ia berlaku dan seterusnya menyiasat latar belakang keluarga yang menggaji mangsa ini,” katanya selepas melawat mangsa di Hospital Pulau Pinang di sini, semalam. 

Turut hadir ialah Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman. 

Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan pejabat Konsul bagi menyelesaikan kes itu dengan segera. 

“Saya berharap orang ramai tidak menjadikan perkara ini sebagai satu isu. Polis akan selesaikan siasatan ini dengan segera sebelum dikemukakan kepada pihak pendakwaan. 

“Polis juga akan menyiasat sama ada pasangan itu mendapatkan pembantu rumah mengikut saluran yang betul,” katanya. 

Ayub berkata, daripada maklumat, majikan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan polis akan menyiasat mengenainya. 

Sementara itu, Chilman memuji kecekapan polis yang berjaya menahan majikan mangsa dengan cepat. 

Menurutnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan mengikut laporan perubatan, pembantu itu hanya mengalami kecederaan luaran.

Banduan akhir ditemui mati tergantung di bilik mandi




SHAH ALAM – Belum pun sempat menjalani hukuman gantung, seorang banduan akhir lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung di bilik mandi selnya, di Penjara Kajang, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada Penjara Kajang kira-kira jam 1 tengahari sebelum bergegas ke lokasi kejadian. 

Katanya, Ram Bahadur Rai, 40, yang sudah sembilan bulan mendiami penjara itu dijumpai tergantung menggunakan selimut. 

“Kejadian disedari pengawal penjara yang ketika itu sedang membuat rondaan. 

“Punca kejadian masih lagi disiasat. Kami (polis) mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Menurutnya, mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. 

Difahamkan, mangsa yang sebelum ini didapati bersalah kerana membunuh di Shah Alam pada 2008, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan sedang menunggu hukuman dijalankan.

Pelajar kolej maut terbabas di selekoh


SHAH ALAM – Seorang pelajar kolej maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang papan tanda di selekoh Jalan Pengaturcara, di sini, awal pagi semalam. 

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi apabila Cheah Jun Xuan, 22, dipercayai memandu laju kereta Toyota Vios miliknya. 

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, Cheah dikatakan dalam perjalanan dari arah susur Subang Jaya menuju ke Batu Tiga.

“Ketiba tiba di selekoh terbabit, kereta mangsa hilang kawalan sehingga terbabas dan merempuh tiang papan tanda kecil sebelum merempuh tiang papan tanda yang lebih besar di bahu jalan. 

“Berdasarkan keadaan kereta yang remuk teruk, mangsa dipercayai memandu laju,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam. 

Che Hussin berkata, pelbagai nota serta dokumen milik mangsa ditemui bertaburan di tempat kejadian. 

Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Militan Abu Sayyaf dibunuh tentera



MANILA - Tentera Filipina berjaya membunuh seorang militan Abu Sayyaf yang dikehendaki kerana terlibat dalam penculikan beberapa pelancong pada 2001. 

Abdukarim Sali mati akibat terkena tembakan semasa tentera dan polis berbalas tembakan dengan kumpulan militan itu di kampung Mangas, Lantawan di Pulau Basilan, awal pagi semalam. 

Komander Tentera, Leftenan Jeneral Benjamin Dolorfino berkata, kerajaan Filipina sebelum ini menawarkan hadiah AS$7,700 (RM23,896) kepada sesiapa yang berjaya menangkap atau membunuh Abdukarim.: 

"Militan itu terlibat dalam penculikan tiga warga Amerika Syarikat dan 17 pelancong tempatan di pusat peranginan Dos Palmas, wilayah Palawan pada Mei 2001. 

"Abdukarim yang juga dikenali dengan nama Benjamin Sali dan Ben Raffy turut terlibat dalam beberapa keganasan termasuk penculikan, pembunuhan dan pe-ngeboman," kata Dolorfino. 

Kumpulan militan itu mula aktif di Filipina pada tahun 1990-an dan dikatakan dibiayai kumpulan pengganas al-Qaeda serta mempunyai lebih 400 ahli.

Guan Eng nafi wang ihsan hasil judi



“Saya juga ingin bertanya siapa yang meluluskan lesen judi? Kerajaan Negeri atau Pusat? Jadi, janganlah menuding jari kepada orang lain kerana empat jari lagi akan terkena pada diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Khidmat Komuniti DAP Jalan Baru, dekat Taman Supreme di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P Ramasamy. 

Menurutnya, UMNO kini ketandusan idea menyebabkan mereka sentiasa mereka-reka cerita dan menyebarkan fitnah untuk merosakkan nama Kerajaan Negeri. 

“Saya percaya rakyat di negeri ini tidak akan termakan dengan kata-kata UMNO dan berharap agar mereka dapat melihat sendiri keadaan UMNO yang sebenar,” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Pemuda UMNO yang mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana untuk agihan wang ihsan RM100 kepada warga emas dan RM1,000 untuk kategori pengurusan jenazah yang dilaksanakan di negeri ini sejak beberapa bulan lalu adalah daripada sumber perjudian. 

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dakwaan yang disiarkan blog www.pisau.net itu menimbulkan keresahan terutama kepada warga emas dan waris si mati. 

"Kita bukan menuduh Kerajaan Negeri menggunakan wang daripada sumber hasil judi tetapi kita minta mereka beri penjelasan kerana perkara ini menjadi percakapan rakyat. 

"Penjelasan berkaitan sumber wang serta bukti amat dinantikan oleh rakyat dan jika didapati pendedahan itu tidak betul kita hendak lihat Kerajaan Negeri ambil tindakan terhadap penulis blog berkenaan," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis rumah terbuka anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas di Kompleks Budi Penyayang, Kepala Batas, kelmarin.:

Anwar ulangi pendirian tetap tidak bertanding




PENANTI – Ketua Umun Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, sekali lagi menegaskan tidak akan bertanding dalam merebut jawatan Presiden PKR pada pemilihan akan datang. 

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada cabang yang mencalonkan nama beliau untuk bertanding dalam jawatan tersebut, namun dalam masa sama meminta agar tiada lagi pencalonan dibuat selepas ini.

“Saya tidak akan mempertimbangkan dan tidak mahu bertanding (jawatan presiden). Keputusan ini adalah muktamad. 

“Kita perlu ingat bahawa parti ini (PKR) diasaskan oleh isteri saya (Wan Azizah) pada 1999 dan dialah yang bertungkus-lumus menaikkan parti ini hingga ia berada di landasan terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Penanti, di Dataran Rakyat, dekat sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof P Ramasamy dan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim. 

Anwar berkata, beliau akan terus berjuang dan memantapkan parti bersama pimpinan lain agar ia tidak tergelincir dari matlamat asal, selain memantapkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan Pas.

Hari jadi tukar tragedi



MENGLEMBU – Kegembiraan sekeluarga meraikan hari lahir nenek, Ng Heng Mui, 88, bertukar tragedi apabila rumah mereka yang ditinggalkan kira-kira sejam lalu terbakar di Jalan Menglembu Timur 23 di sini, semalam. 

Menurut cucu Heng Mui, Zhan Kar Lai, 32, ketika kejadian dia dan neneknya sedang menikmati makanan di sebuah restoran di bandar Ipoh, sebelum menerima panggilan daripada jirannya memaklumkan peristiwa itu. 

“Jiran menghubungi saya kira-kira jam 12 tengah hari. Kami terus bergegas pulang untuk melihat keadaan dan tidak sangka semua barang termasuk motosikal musnah dalam kebakaran itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. 

Ibu saudaranya, Char Wai Fong, 40-an berkata, dia dan ahli keluarganya bercadang meraikan hari jadi Heng Mui di rumah itu. 

“Hari ini adalah hari jadi ibu ke-88 dan memang kami sudah buat perancangan untuk meraikan di rumah ini, tetapi niat itu terpaksa dibatalkan. Emak berasa sedih dengan kejadian ini kerana sudah lebih 25 tahun tinggal di sini. 

“Sementara waktu ini, mak akan tinggal bersama anaknya di Lahat Baru dan kerugian dianggarkan RM40,000,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih, Abdul Rahman Mohd Som berkata, dua jentera dari balai berkenaan bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.39 tengah hari. 

Katanya, anggota bomba mengambil masa tujuh minit untuk mengawal kebakaran dengan hampir 80 peratus rumah itu sudah hangus. 

“Kami tiba pada jam 12.48 tengah hari dan mendapati lebih 50 peratus rumah ini sudah terbakar. Dengan kekuatan tujuh anggota, kebakaran ini dapat dikawal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian semua penghuni berada di luar. 

“Kebakaran ini bermula dari bahagian hadapan rumah ini. Bagaimanapun, punca kebakaran masih lagi disiasat. Jiran sebelah memaklumkan hanya nampak api marak sebelum melaporkannya,” katanya.

Toyol ditangkap atas bumbung



LUNAS - Seorang remaja berusia 14 tahun yang sebelum ini digelar toyol ditangkap ketika cuba memasuki sebuah rumah di Taman Lobak sekitar jam 2 petang melalui bumbung. Penjenayah itu berjaya ditangkap ahli Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang kebetulan membuat rondaan di sekitar kawasan itu. 

Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, sejak beberapa bulan lalu penduduk di sekitar taman itu sering mengadu mereka sering kehilangan barang dan rumah dicerobohi tetapi tidak berjaya menangkap penjenayah berkenaan. 

Selain Taman Lobak terdapat beberapa taman perumah lain berisiko terlibat dalam jenayah pecah rumah, ragut dan samun antaranya Taman Seroja. Menurutnya, tidak menafikan sehingga kini masih ada dalam kalangan penjenayah terlibat dalam kes seumpama itu berjaya melepaskan diri. PPKM bersama polis akan memantau permasalahan berlaku di sekitar taman perumahan untuk memastikan kejadian seumpama ini dapat dibanteras. 

Sehingga kini, PPKM berjaya menangkap beberapa penjenayah terlibat dalam kegiatan itu dan akan terus membuat rondaan selama 24 jam bagi mencegah perlakuan jenayah seumpama ini daripada terus berlaku. 

Selain itu, PPKM akan bekerjasama dengan polis membendung kegiatan ini.

Anak gadis tidak pulang ke rumah




JALAN PENGKALAN SAMAK – Seorang ibu merayu anak perempuannya pulang semula ke pangkuan keluarga selepas tidak pulang ke rumah sejak hari raya kedua lalu. 

Mohd Diah, 54, berkata, kehilangan Nurul Dinah Jamal, 23, pada 11 September lalu memang mengejutkan keluarganya, apatah lagi anaknya itu tidak mempunyai sebarang masalah bersama ahli keluarga. 

Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik itu keluar rumah untuk berhari raya bersama rakan-rakannya selepas selesai mengemas rumah kira-kira 10 pagi. 

“Ketika dia memberitahu mahu pergi beraya, saya berada di dalam bilik untuk baring seketika dan melihat dia sedang bersiap untuk keluar rumah. 

“Apabila bangun dari tidur, saya dapati topi keledar serta motosikalnya ada. Jadi saya tahu dia keluar tidak membawa motosikal bersamanya, sebaliknya Nurul Dinah dilihat berjalan kaki keluar dari rumah menghala ke Merlimau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, dekat sini. 

Habsah berkata, dia sekeluarga mulai risau apabila Nurul Dinah tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam dan pada keesokan harinya, mereka sekeluarga berusaha mencarinya sehingga ke Melaka dan Muar. 

“Sewaktu Nurul Dinah keluar, dia memakai baju-T lengan panjang berwarna merah, seluar jeans berwarna biru cair serta memakai tudung berwarna krim, di samping membawa beg kerjanya. 

“Kami berusaha mencari Nurul Dinah begitu juga cuba menghubungi kedua-dua telefon bimbitnya namun usaha itu gagal kerana taliannya tidak aktif. 

“Selain itu, kami ada cuba menghubungi rakan-rakan rapatnya dan ke tempat kerjanya di Ladang Serkam, namun rakan-rakannya tidak mengetahui ke mana menghilangnya Nurul Dinah,” katanya yang turut menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi. 

Habsah bagaimanapun percaya anak gadisnya melarikan diri bersama rakan lelakinya yang sebelum ini pernah berhajat untuk datang menghantar rombongan merisik ke rumahnya, April lalu. 

“Namun, rombongan terbabit tidak jadi datang dan saya ada menasihatkan Nurul Dinah supaya tidak lagi berkawan dengan lelaki berkenaan. Dinah juga berjanji tidak mahu berkawan dengan lelaki itu. 

“Tetapi sebaik Dinah hilang, saya ada cuba menghubungi lelaki berkenaan, tetapi talian telefonnya juga tidak aktif sejak kehilangan Dinah,”katanya. 

Selain itu, katanya, buku akaun Amanah Saham Berhad (ASB) serta Tabung Haji Dinah juga hilang sejak seminggu lalu dipercayai dibawa sama. 

Katanya, Dinah yang sepatutnya bekerja pada hari raya ketiga tidak hadir ke tempat kerjanya. 

Berikutan itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Jasin, 13 September lalu. 

“Diharap Dinah dapat segera pulang kerana semua saudara mara bimbangkan keselamatan dirinya dan berharap agar dia dapat menghubungi kami dengan segera,” katanya.