Search This Blog

Sunday, September 19, 2010

Polis siasat kematian Sarina, tentukan kaitan dengan kes Sosilawati

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar bagi memastikan sama ada kes itu berkait dengan pembunuhan rakan baiknya, Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan melihat kes yang berlaku di Pulau Pinang itu daripada semua sudut.
"Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen hari ini.

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada jam 8.30 pagi semalam, dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus polis melakukan pemeriksaan di pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan klinik milik isterinya, Ismail berkata perkara itu masih dalam siasatan.

"Siasatan masih lagi berjalan kerana kita mendapat perkembangan baru mengenai gambaran yang lain. Apa yang penting, dalam masa terdekat ini kita boleh selesaikan segalanya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tujuan pemeriksaan itu yang dipercayai dilakukan semalam.

Jumaat lalu, Murugiah membuat laporan polis berhubung satu SMS yang mengaitkan beliau dengan seorang peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Murugiah sebelum itu memberitahu media bahawa suspek adalah penyumbang utama hamper dan pelbagai barangan lain yang disampaikan beliau kepada masyarakat Orang Asli pada satu majlis di Banting pada 8 September lalu. -Bernama

Pengusaha longan dakwa rugi ekoran tragedi Sosilawati


19/09/2010 6:22pm

BANTING 19 Sept. - Seorang pengusaha longan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, iaitu lokasi pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, mendakwa kerugian hampir RM30,000 kerana terpaksa menutup ladang miliknya buat sementara waktu sejak polis menyiasat kes berprofil tinggi itu.
Pemilik syarikat Soon Beng Longan Trading, Lim Soon Beng, 40, berkata, sejak 10 hari lepas, semua pelanggan tidak dibenarkan melawat dan membeli longan secara terus dari ladangnya yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama Morib-Tanjung Sepat dekat sini.
“Saya rugi kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sehari ekoran kes pembunuhan Sosilawati sebab arahan polis yang tidak membenarkan pelancong asing memasuki Ladang Gadong. Justeru, saya terpaksa menutup ladang saya,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.
Soon Beng merupakan pemilik tunggal yang mengusahakan tanaman longan di kawasan seluas enam hektar di daerah Kuala Langat sejak 10 tahun lepas. - Bernama

Gerakan mahu rampas semula kerusi yang tewas


19/09/2010 6:30pm

MELAKA 19 Sept. - Gerakan mahu merampas kembali kerusi yang mereka tewas dalam pada pilihan raya umum lepas, kata Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Beliau berkata, usaha keras sedang dilakukan ke arah itu termasuk dengan menggiatkan lagi jentera parti yang selama ini bertapak kuat di Pulau Pinang sebelum dirampas oleh pembangkang.
"Kita sudah tetapkan, kita ada keyakinan, kita ada keazaman untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Gerakan negeri Melaka di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar Gerakan menyerahkan kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum lepas kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain jika parti itu merasakan tidak yakin untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Bapa cadang mohon pengampunan bebaskan Umi Azlim


19/09/2010 2:38pm

PASIR PUTEH 19 Sept. - Seorang mekanik bercadang memohon pengampunan bagi membebaskan anak perempuannya yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di China sejak tiga tahun lepas kerana menyeludup dadah ke republik itu.
Mohd. Lazim Jusoh, 53, berkata, sehubungan itu, beliau memerlukan kerjasama dan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak, termasuk Wisma Putra di Kuala Lumpur bagi membebaskan Umi Azlim, 26.
"Saya tidak mampu menanggung sendirian kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar, sekurang-kurangnya lebih RM10,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Lazim berkata, beliau bercadang mengemukakan permohonan itu tidak lama lagi.
Umi Azlim sebelum ini dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan menyeludup dadah ke China, bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup.
Bekas penuntut jurusan Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu didapati bersalah menyeludup 2,983 gram heroin di Lapangan Terbang Shantao empat bulan selepas menamatkan pengajiannya, dan telah dijatuhkan hukuman mati pada 15
Mei 2007. - Bernama

Sarina bunuh diri kerana masalah keluarga


19/09/2010 7:04pm

BUKIT MERTAJAM 19 Sept. - Kematian pengasas Kosmetik Aveer, Sarina Jaafar, yang ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam, tiada kaitan dengan kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh secara kejam bersama tiga individu lain baru-baru ini.
Anak saudara mangsa, Naimah Said, 32, berkata, Sarina, 45, dipercayai membunuh diri akibat tekanan perasaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lepas dan wanita itu juga pernah cuba membunuh diri dengan menggelar pergelangan tangan.
"Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak ada masalah dalam perniagaan.
Jadi, kematiannya mungkin lebih berpunca daripada masalah keluarga kerana sebelum ini, Mak Anjang (panggilan mesra Naimah kepada Sarina) juga pernah beberapa kali menceritakan masalah keluarganya, dan kami percaya tiada unsur-unsur lain dalam hal ini (kematiannya),” katanya ketika ditemui di kediaman Sarina hari ini.
Beliau berkata, Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk mengunjungi rumah Sosilawati di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan seperniagaan lain sebaik mengetahui berita kematian jutawan kosmetik itu melalui media.
"Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai kenduri tahlil dan membacakan Yasin untuk rakan baiknya itu (Sosilawati), dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakannya,” katanya. - Bernama

PGM rampas barangan lebih RM1.6 juta


19/09/2010 4:10pm

TUMPAT - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor membuat 283 rampasan membabitkan barangan bernilai RM1.608 juta sejak Januari lepas, termasuk beras Siam yang diseludup masuk dari negara jiran.
Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, DSP Tan Cheng San berkata, terdapat penurunan dalam jumlah kes sebanyak 62 atau 20 peratus, berbanding 345 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Rampasan beras sahaja sejak Januari lepas hingga hari ini ialah sebanyak 36,486 kilogram bernilai RM118,089, sedangkan tempoh yang sama tahun lepas, rampasan beras Siam ialah sebanyak 14,607 kilogram bernilai RM58,492,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini. - Bernama

Dalang sebar SMS dikesan




2010/09/19

TAIPING: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berkata, beliau dapat menelah dalang di sebalik penyebaran SMS mengaitkannya dengan suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

Namun, beliau tidak akan mendedahkan dalang itu sebaliknya membiarkan polis membuat siasatan selepas laporan dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh kelmarin. Murugiah menerima SMS itu malam Khamis lalu.Sambil mengulangi dirinya tiada kena mengena dengan suspek, Timbalan Menteri itu berkata, beliau menghadiri sesuatu majlis kerana dijemput atas kapasitinya dalam kerajaan.
“SMS dan cerita yang mengaitkan saya dengan dia adalah palsu dan fitnah pihak tertentu untuk memburuk-burukkan saya. Saya rasa saya tahu siapa membuat dakwaan palsu, fitnah dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu tetapi saya serahkan perkara ini kepada polis,” katanya. 

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan beras 1Malaysia sumbangan sebuah syarikat kepada 100 penduduk miskin di Simpang, di sini semalam, turut menafikan bahawa polis ada menyerbu pejabatnya. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Penduduk Orang Asli rasa tertipu




2010/09/19

BANTING: Ketika ramai pihak mendakwa menjadi mangsa penipuan kepada suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Cheeding, kira-kira 25 kilometer dari pekan Banting, turut rasa terkilan dan tertipu dengan imej dermawan suspek yang juga seorang peguam itu membantu mereka. 

Malah jika personaliti sebenar suspek pembunuhan kejam itu diketahui, tidak mungkin mereka sudi menerima sumbangan Datuk itu.Suri rumah, Zaimah Lebih, 41, ketika ditemuinya di Kampung Bukit Cheeding berkata, beliau berasa terkejut dengan pendedahan media itu.
“Hati rasa tak tenang,” katanya sambil meraut lidi di pangkin rumahnya sambil dikerumuni anak-anak kecil petang semalam. 

Zaimah adalah antara keluarga Orang Asli yang menerima sumbangan beg sekolah pada majlis sumbangan ditaja suspek sebelum ini. 

“Kalau tahu, tak mungkin kakak bagi anak terima beg sekolah warna biru itu,” katanya merujuk anak ketiganya, Zariah, 9, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Cheeding. 

Pengawal keselamatan di Kampung Bukit Cheeding, Isak Pahat, 34, berkata beliau tidak menyangka suspek kelihatan seperti orang baik sanggup bertindak demikian. 
“Saya terima beg dan kasut sekolah. Kalau tahu dia begitu, salam pun tak mahu,” katanya turut bersimpati dengan keluarga mangsa. 

Reman tiga suspek dilanjut seminggu



KUALA LUMPUR – “Don’t do this. I’m not involved! (Jangan buat begini. Saya tidak terlibat!)” jerit adik kepada suspek utama, peguam kononnya bergelar ‘Datuk’ yang disyaki terlibat dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting. 

Suspek berusia 38 tahun, yang juga seorang peguam, mengeluarkan kata-kata itu kepada sekumpulan jurugambar yang merakamkan wajahnya ketika anggota polis membawanya bersama seorang lagi suspek berusia 45 tahun ke dalam bilik mahkamah di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil, semalam untuk mendapatkan perintah lanjutan tahanan reman. 

Kata-kata suspek yang memakai baju reman berwarna oren dan menutup mukanya dengan baju yang dipakainya, bagaimanapun tidak mengurangkan keazaman kumpulan jurugambar dan wartawan, yang berkampung di pekarangan pusat tahanan itu sejak awal pagi, untuk menjalankan tugas. 

Suspek utama kes itu dibawa masuk ke bilik mahkamah tertutup, kira-kira jam 10.35 pagi dengan dikawal empat anggota polis. 

Dua lagi suspek, termasuk adik suspek utama itu, dibawa masuk bilik yang sama kira-kira setengah jam kemudian. 

Suspek utama yang berusia 41 tahun itu memakai baju reman berwarna ungu dan hanya menundukkan kepala ketika dibawa keluar dari bilik mahkamah pada jam 11.45 pagi, manakala dua lagi, kira-kira lima minit selepas itu. 

:Majistret Mohd Azeli Ibrahim membenarkan reman ke atas ketiga-tiga mereka dilanjutkan selama seminggu sehingga 25 September ini, selepas reman terdahulu berakhir semalam. 

Perintah reman itu disambung bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Selain itu, difahamkan, terdapat dua individu lelaki hadir ke pusat tahanan itu pada awal pagi dan seorang daripadanya yang memakai kot, mendakwa diri sebagai rakan serta peguam kepada suspek utama. 

:Kedua-duanya bagaimanapun beredar dari pekarangan pusat tahanan sebelum ketiga-tiga suspek dibawa masuk ke bilik mah�kamah. 

:Kelmarin, lima suspek lain disyaki terlibat dalam pembunuhan sama, turut disambung reman sehingga 23 September ini untuk siasatan lanjut.:

Geng pecah rumah tumpas




KLUANG - Polis Kluang berjaya menangkap enam suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah sepanjang Ops Ramadan dan Aidilfitri dilancarkan pada 11 September lalu. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad berkata, hasil maklumat orang awam pada 13 September lalu, polis Kluang berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah rumah di Taman Delima, di sini. 

“Ekoran daripada tangkapan tersebut, pada hari sama, seorang lelaki berumur 39 tahun ditangkap. Pada 15 September, polis berjaya menangkap dua lagi lelaki berusia antara 33 dan 38 tahun. 

“Dan pada awal pagi tadi (semalam), polis berjaya menangkap dua lelaki berumur antara 44 dan 45 tahun bersama-sama motosikal mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam. 

Mohd Fawzi berkata, sehingga kini polis Kluang berjaya menangkap enam orang dan kebanyakan mereka mempunyai rekod jenayah melampau kerana ada di antara mereka mempunyai rekod jenayah. 

“Kumpulan ini tidak mengira apa benda yang ada di dalam rumah, mereka akan ambil. Sebab jika dilihat daripada hasil rampasan, jarang orang yang pecah rumah mengambil mesin basuh tetapi bagi kumpulan ini mesin basuh dan peti sejuk. 

“Apa sahaja yang boleh dijual mereka akan ambil. Berdasarkan enam tangkapan, lima daripadanya adalah penagih dadah,” katanya. 

Antara barangan yang dirampas daripada kumpulan ini digelar sebagai kumpulan Ops Pintu Aidilfitri adalah seperti televisyen plasma, peti sejuk, mesin basuh, komputer riba, pemain DVD, buku akaun, peralatan pecah rumah dan barang-barang kemas yang bernilai kira-kira RM19,000. 

“Sementara itu, polis juga menahan seorang lelaki yang juga peniaga kedai kerana membeli barang-barang emas. Lelaki ini juga beroperasi secara haram serta tidak mempunyai kelulusan membuat gadaian ataupun pajakan. 

“Lelaki ini tidak mengikuti undang-undang di bawah Akta Pajak Gadai. Hanya mereka yang mempunyai lesen pajak gadai boleh menerima gadaian. Walau bagaimanapun, peniaga ini juga turut sama kita tahan bagi membantu menyelesaikan kes-kes pecah rumah,” katanya. 

Menurut Mohd Fawzi, hasil rampasan yang diperoleh tersebut adalah daripada 15 kejadian kes pecah rumah dan kumpulan ini memulakan aktiviti jenayah mereka sejak bulan Julai yang lalu. 

Beliau berkata, mereka akan di dakwa di bawah 411 Kanun Keseksaan dan peniaga tersebut didakwa di bawah Seksyen 39 Akta Pajak Gadai serta boleh dikenakan tindakan saman. 

Budak 3 tahun maut




KEPONG – Kejadian menyayat hati apabila seorang budak perempuan lingkungan usia tiga tahun jatuh dari tingkat 10 Apartmen Sri Saujana/ Saujana Ria, di sini lewat petang kelmarin. 

Ia berlaku apabila kanak-kanak malang berkenaan dikatakan bermain sekitar balkoni rumah terbabit sebelum tergelincir dan jatuh serta mati serta merta di tempat kejadian. 

Seorang saksi kejadian, Munira Sarkom, 33, berkata, insiden berkenaan berlaku sekitar 6 petang dan menurutnya ketika itu, terdapat seorang wanita dilihat di balkoni dari tingkat mangsa jatuh. 

“Sebaik kejadian itu, wanita terbabit kita sangka ibunya hendak turun melihat kanak-kanak ini, namun dia pengsan selepas melihat keadaan budak perempuan ini. 

“Saya yang terkejut dengan kejadian juga datang melihat secara dekat. Apabila sampai kanak-kanak ini memang sudah langsung tidak bergerak, manakala kedua-dua telinganya keluar darah,” katanya yang bekerja di kedai makanan berhampiran. 

Menurut Munira, hatinya juga agak tersentuh apabila mendapati, kepala dan badan mangsa dilihat tidak berdarah, biarpun terjatuh di atas jalan raya berhadapan kedai tingkat bawah pangsapuri itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya mendapat maklumat seorang kanak-kanak perempuan terjatuh dari beranda rumah sekitar 6 petang. 

Katanya, semasa kejadian berlaku di tingkat SS 10-5, apartmen itu, mangsa hanya tinggal bersama dengan nenek warga Myanmar berumur 40 tahun. 

“Semasa kejadian, ibu mangsa sedang bekerja di kilang percetakan di Taman KIP dan mangsa dijaga neneknya sejak enam bulan lalu. Tiada saksi yang nampak mangsa dicampak. 

“Keterangan dari ibu mangsa juga tidak mengesyaki perlakuan jenayah oleh penjaga atau orang lain dan tiada kesan ceroboh pintu masuk dan dalam rumah. Jiran-jiran juga memaklumkan tiada masalah dengan penghuni rumah itu,” katanya. 

Menurut Abdul Rahim, ketinggian balkoni rumah itu hanya kira-kira 1.2 meter dengan simen dan besi, manakala mangsa merupakan kanak-kanak yang aktif. 

Katanya, seorang saksi ternampak mangsa memanjat balkoni dan terjatuh. 

“Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Ziarah raya terakhir




KUANTAN - Raya ketujuh meragut kegembiraan tiga beradik apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan jalan raya di simpang Jalan Felda Bukit Kuantan-Bukit Sagu di sini petang kelmarin. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu meragut nyawa pemandu kereta Honda, Mohd Hamdan Fauzi, 30, dan adiknya yang berada di tempat duduk depan, Mohd Farid Fauzi,19, manakala penumpang belakang, Masri Fauzi, 29, hanya mengalami cedera ringan. 

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa yang datang dari arah Felda Bukit Sagu menuju ke bandar Kuantan gagal dikawal menyebabkan kereta terbabas ke kiri jalan. 

“Kereta yang dipandu Mohd Hamdan terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit sebelum terjatuh ke dalam gaung berdekatan. 

“Akibat pelanggaran kuat itu, mangsa maut di tempat kejadian dan pihak penyelamat mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya kepada media di sini, semalam. 

Ketiga-tiga beradik yang berasal dari Felda Neram itu dipercayai beraya di rumah rakan mereka sebelum kejadian malang itu. 

“Masri dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) manakala Mohd Hamdan dan Mohd Farid yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke HTAA untuk bedah siasat,” katanya. 

Sementara itu, di Lipis, seorang pekerja swasta maut apabila kereta yang dipandunya dari arah Tanah Merah, Kelantan bertembung dengan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Merapoh di Kilometer 63 Jalan Lipis-Merapoh. 

Kejadian yang berlaku pada jam 3.30 petang itu menyebabkan mangsa, Fauzi Mohd Rahim, 33, mengalami cedera parah di kepala, patah kaki dan bahu kanan menerima rawatan di Hospital Lipis bagaimana pun meninggal dunia jam 8.16 malam. 

Fauzi turut mengingatkan pengguna jalan raya yang mahu kembali ke bandar selepas cuti hari raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu selain bersabar dan lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri dan pengguna yang lain. 

Katanya, sikap yang mahu terburu-buru dan mementingkan diri sendiri akan menyebabkan pelbagai kejadian tidak diingini berlaku.

Abby tagih janji Norman demi anak

KUALA LUMPUR: “Memey tidak tahu menahu mengenai hal kami. Apa yang keluar dari mulutnya datang daripada Norman sendiri. Selama ini saya bercadang untuk selesaikan cara baik. Namun sehingga hari ini dia (Norman) tidak mengotakan katanya. Jadi, saya terpaksa mengeluarkan kenyataan kepada media supaya dia mengambil berat mengenai perkara ini,” kata Abby Abadi mengulas kenyataan yang dikeluarkan pelakon wanita itu berhubung isu hantaran, semalam.
Menurut Abby, perkara ini sudah lama tertangguh. Malah sebelum majlis pertunangan bekas suaminya dengan Memey, Abby pernah memberitahu wanita berkenaan supaya mengingatkan Norman mengenai segala hutang yang perlu diselesaikan aktor itu.

“Sebenarnya, saya tidak perlu membidas kembali apa yang dikatakan oleh Memey. Dia tidak tahu apa yang terjadi ketika saya masih bersama Norman dulu.

“Malah, apa yang saya katakan bukan untuk memburukkan sesiapa atau merosakkan majlis pertunangan mereka. Malah saya langsung tidak berasa iri hati kepada mereka kerana bertunang.

“Apa yang saya lakukan ini semuanya kerana anak. Saya perlu menyara dan menyediakan segala keperluan mereka, lebih-lebih lagi anak semakin membesar. Jadi, perbelanjaan menjadi semakin bertambah.

“Cuma, selepas isu ini dikeluarkan media, baru saya menerima respons daripadanya. Bagaimanapun, saya khuatir apa yang dijanjikan oleh Norman hanya janji kosong,” katanya.

Tambah Abby, dalam perjanjian yang diikat dengan Norman, aktor itu berjanji mahu membayar segala hutang sebelum mempunyai anak bersama pasangan barunya.

“Saya pegang janji dia. Namun jika dia masih tidak mengotakan apa yang dikata, saya akan mengambil tindakan.

“Banyak pihak menawarkan bantuan dan sudi membantu saya dalam pelbagai cara. Namun buat masa ini saya mahukan jalan terbaik untuk selesaikan perkara ini.

“Jika tidak selesai juga, saya tiada pilihan lain dan akan memikirkan untuk menerima bantuan daripada pihak berkenaan,” katanya.

Budak koma

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun koma selepas terjatuh dari tangga bergerak (escalator) di pasar raya terkemuka di bandar raya ini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Mohd Iersyad Shami Mohd Suhaimi, 2, yang ditemani bapanya Mohd Suhaimi Majid, 29, bertindak memegang pelapit getah tangga yang berputar berlainan arah ketika menuruni tangga itu.
Disebabkan putaran getah tangga terbabit terlalu deras, bapa mangsa yang berada bersebelahan mangsa gagal menyelamatkan anaknya daripada tercampak di sebelah tangga bersebelahan.

Ibu mangsa, Nurul Izatee Nawi, 25, ketika ditemui Metro Ahad semalam berkata, kejadian itu menyebabkan anaknya terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat gegaran di bahagian otak.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sibuk memilih baju untuk anak tunggalnya di tingkat atas dan panik selepas melihat suami mendukung Mohd Iersyad Shami yang menahan kesakitan.

Katanya, selepas difahamkan mengenai kejadian yang berlaku, dia dan suami bergegas mendapatkan bantuan orang awam di tempat kejadian untuk menghantar anak mereka ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan.

“Saya sebak sebaik doktor memberitahu bahagian otak dan kepala anak membengkak dan harus di tempatkan di ICU untuk rawatan susulan,” kata wakil penjual kereta itu yang tinggal di Kampung Wakaf Dua, Marang.

Sementara itu bapa mangsa, Mohd Suhaimi menyifatkan kejadian berlaku disebabkan kecuaian pasar raya yang gagal meletakkan papan tanda amaran serta tidak menempatkan besi penghadang selain menutup ruang tengah bahagian tangga berkenaan sebagai langkah keselamatan kepada pelanggan.

“Seorang kakitangan pasar raya datang melihat keadaan anak dan mereka juga memberitahu akan cuba membantu, malangnya dia tidak menjawab panggilan serta tidak membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar isteri.

“Saya dan isteri bukan meminta simpati daripada mereka, tetapi sekurang-kurangnya jawablah panggilan atau menghubungi semula selepas menerima SMS dihantar,” katanya.

Tangkap peragut

GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki menyamun beg tangan seorang wanita di perhentian bas gagal selepas dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri dalam kejadian ragut di Jalan Sungai, Jelutong, di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku jam 1.25 tengah hari ketika mangsa berusia 29 tahun yang menunggu bas untuk ke tempat kerja dihampiri seorang lelaki tidak dikenalinya.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek warga Myanmar berusia 28 tahun cuba menyalit minyak di pergelangan tangan mangsa.

Katanya, ketika itu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang cuba menarik beg tangan mangsa gagal berbuat demikian.

Menurutnya, mangsa sempat memberitahu suaminya mengenai kejadian itu dan akhirnya berjaya menahan suspek dengan bantuan orang awam sebelum menyerahkannya kepada polis.

“Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai pelayan di kedai kopi,” katanya.

Paris perlu buat rayuan jika tidak mahu dijel

LAS VEGAS: Pendakwa raya di Las Vegas berkata, selebriti Paris Hilton boleh mengelak hukuman penjara atas dakwaan memiliki dadah sekiranya dia mengemukakan rayuan dengan pihak pendakwaan.
Dalam salinan dokumen rayuannya, Paris mengaku bersalah kerana memiliki dadah dan turut menghalang pegawai polis menjalankan tugas.

Rayuan itu dijangka dapat menyelamatkan Paris daripada menghuni Penjara Tahanan Wilayah Clark selama setahun. Sebaliknya, Paris hanya perlu menjalani tempoh percubaan untuk setahun. - AP

Lembu peliharaan hilang

KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah yang sibuk menyediakan juadah sempena Hari Raya terkejut mendapati empat ekor lembu peliharaannya lesap dilarikan pencuri, awal pagi kelmarin.
Mangsa yang juga penternak lembu pada mulanya memasak di dapur sebelum keluar kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin untuk mengambil udara segar sebelum berjalan menghampiri belakang rumahnya.
Dia kemudian terkejut selepas mendapati empat lembu bernilai antara RM7,000 hingga RM8,000 yang ditambat pada sepohon pokok di belakang dapur rumahnya hilang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid berkata, mangsa yang mengesyaki lembunya dilarikan pencuri terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Setiu, jam 1.30 pagi hari sama.

Katanya, mangsa percaya lembu peliharaannya dicuri untuk disembelih dan dijual dagingnya bagi persediaan sambutan Hari Raya enam.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua, suspek boleh dipenjara dan didenda atau sebat.

Katanya, beberapa kes kecurian lembu dilaporkan oleh beberapa mangsa sebelum dan selepas sambutan Hari Raya di daerah Setiu pada tahun lalu.

“Kita tidak dapat memberi kes secara terperinci kerana ada kes masih dalam siasatan polis, namun kita tidak menolak andaian lembu dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menjual dagingnya pada musim perayaan,” katanya.

Shaik Othman turut menyeru orang ramai yang ada maklumat mengenai kegiatan mencuri binatang ternakan supaya menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.

“Kita mahu kes kecurian ternakan di daerah ini dihentikan ketika orang ramai sibuk menyambut perayaan pada musim akan datang, tetapi pemilik ternakan perlu mengambil langkah berhati-hati untuk memastikan ternakan mereka selamat dengan membina kandang bersesuaian,” katanya.

8 beranak menumpang

ALOR SETAR: “Buat sementara waktu pak cik menumpang teduh di rumah adik isteri pak cik bersama lapan beranak yang lain kerana belum ada tempat tinggal baru,” kata Khalid Rejab, 64, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran pada hari raya keempat di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus, di sini.
Katanya, setakat ini belum ada pihak datang membantu membaiki rumahnya yang musnah dalam kebakaran meskipun selepas kejadian itu ramai datang memberi sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan harian lain.
“Namun yang mengecewakan apabila menantu pak cik, Ahmad Shukri Kadir, 40, yang turut tinggal bersama kami ingin memohon bantuan daripada Koperasi Pekan Rabu tetapi jawapan diterima sungguh menghampakan.

“Menantu pak cik juga ahli koperasi itu tetapi mereka meminta membuat surat selain terlalu banyak kerenah birokrasi,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Parit Buaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 13 September lalu, sebuah keluarga membabitkan 13 penghuni di Kampung Parit Buaya, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, rumah pusaka didiami lebih 20 tahun itu dipercayai terbakar akibat sistem pendawaian elektrik yang terlalu lama dan berkemungkinan menyebabkan litar pintas.

Ketika kejadian, Khalid tidur di tingkat bawah rumah dua tingkat itu sebelum dikejutkan oleh menantunya, Mohd Zulkarnian Karman, 34, bagi memaklumkan kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Khalid berkata, dia bersama isteri, Zubaidah Ibrahim, 64; anak, Khaizurina, 38, dan suaminya, Ahmad Shukri bersama empat anak mereka terpaksa menumpang teduh di rumah saudara mara yang terletak berhampiran rumahnya.

“Semua barangan musnah sekelip mata, termasuk barangan perkahwinan anak perempuan saya yang bekerja sebagai mak andam,” katanya.

Khalid berkata, dia percaya kejadian itu berpunca daripada sistem pendawaian elektrik lama di rumah berkenaan sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian mencecah RM200,000.

“Saya akan membuat permohonan untuk mendapatkan rumah pada minggu depan,” katanya.

Tertidur di sofa

GEORGETOWN: Polis menahan seorang lelaki yang mendakwa bekerja sebagai pembantu khas kepada ahli politik di negeri ini selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Jalan Rumbia, Sungai Nibong, di sini, Khamis lalu.
Lebih mengejutkan, suspek berusia 42 tahun itu turut mempunyai 14 rekod jenayah lampau, termasuk sembilan kes jenayah dan lima kes penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, suspek dikatakan memecah masuk sebuah rumah milik seorang pensyarah maktab ketika pulang berhari raya.

Beliau berkata, mangsa berusia 53 tahun yang baru saja pulang bercuti di Selangor bersama keluarganya terkejut selepas mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak seperti dipecah masuk.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan isteri mangsa ternampak seorang lelaki tidur di atas sofa di dalam bilik anaknya dan terus memberitahu suaminya mengenai kelibat suspek.

“Mangsa kemudian menghubungi polis dan secara kebetulan dua anggota unit kereta peronda melalui lokasi kejadian terus menuju ke rumah mangsa, namun suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, cubaan suspek gagal selepas ditahan kira-kira 50 meter dari rumah mangsa bersama sebuah beg mengandungi peralatan pecah rumah serta barangan kemas milik mangsa,” katanya.

Gan berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui semula barangan kemas milik mangsa termasuk cincin, rantai dan lain-lain yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek memberitahu polis dia pembantu khas kepada ahli politik dan berdasarkan pemeriksaan rekod jenayah, suspek mempunyai 14 kes jenayah lampau.

Katanya, suspek juga positif dadah dan polis turut menemui setangkai kunci rumah pelbagai jenis daripada suspek dan mengaku datang ke rumah mangsa menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord miliknya yang diletakkan di luar rumah.

“Hasil semakan, kereta itu didaftarkan atas nama suspek dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti tempoh masa aktiviti jenayah dilakukannya,” katanya.

Lindsay gagal ujian dadah

LOS ANGELES: Bintang bermasalah Hollywood, Lindsay Lohan dikatakan gagal dalam ujian dadah dan ujian alkohol serta menghadapi kemungkinan untuk dihantar semula ke penjara.
LINDSAY akui sukar buang tabiat buruk.
LINDSAY akui sukar buang tabiat buruk.
Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Elden S Fox, sebelum ini memberi amaran kepada Lindsay yang pelakon itu akan dipenjarakan semula selama 30 hari jika dia melanggar tempoh percubaannya. Lindsay yang mengulas mengenai berita itu dalam laman blog Twitter berkata: “Amat dikesalkan kerana saya gagal dalam ujian dadah yang dijalani baru-baru ini dan sudah bersedia untuk tampil di hadapan Hakim Fox.” “Ketagihan bahan terlarang bagai wabak yang tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa sehari. Saya sedang berusaha untuk mengatasi masalah itu,” tulis Lindsay lagi. Dilaporkan satu perbicaraan akan diadakan sebelum Lindsay dipenjarakan semula. Bagaimanapun, jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Los Angeles, Sandi Gibbons pula berkata, setakat ini tiada perbicaraan dijadualkan.

Lindsay yang keluar daripada pusat pemulihan bulan lalu masih di bawah pengawasan selama dua bulan. Lindsay dihukum penjara 90 hari mulai 6 Julai lalu dan perlu menjalani pemulihan selama 90 hari lagi kerana didapati bersalah mengingkari arahan mahkamah supaya hadir ke kelas pemulihan akibat ketagihan alkohol. Bagaimanapun, Lindsay hanya menjalani hukuman dua minggu di penjara dan 23 hari di pusat pemulihan di Pusat Perubatan Universiti California Los Angeles. - AP

Pelawak serang jurugambar di lapangan terbang LA ditahan

LOS ANGELES: Pelawak British yang mula menempa nama di Hollywood, Russell Brand ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (Lax), semalam.
Pasangan itu diserbu sekumpulan jurugambar dan jurukamera yang mahu merakam gambar mereka. Brand yang berang dengan tindakan seorang daripada jurugambar berkenaan berbalah dengannya sebelum menyerang lelaki itu. - AFP

Kes bunuh Sosilawati: Dua ditahan kes ugut

SEPANG: Mahkamah Majistret Litar, semalam membenarkan permohonan polis untuk menahan reman dua suspek kes ugut isteri seorang jutawan India yang dilaporkan hilang di Banting, di sini, sejak awal tahun ini.
Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta yang kononnya bagi membebaskan suaminya, Allal Kathan Muturaja. Jutawan berumur 34 tahun itu dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke mahkamah pada kira-kira jam 9 pagi dan perintah reman itu dikeluarkan kira-kira sejam kemudian. Seorang daripada yang direman itu ditahan di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini tengah malam semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan. Tangkapan itu adalah susulan kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun di Taman Wilayah, Selayang petang semalam bagi kes yang sama.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Facebooknya berkata lelaki berusia 21 tahun berkenaan ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Ahli perniagaan yang dikenali sebagai A Muthuraja itu dilaporkan hilang sejak tiba di negara ini dari Chennai, India pada 18 Januari lalu selepas dikatakan berjumpa dengan seorang peguam yang juga rakannya di Banting.

Isterinya, S Usharani membuat laporan polis di Banting pada 8 September lalu. Kedua-dua lelaki yang ditahan itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam terbabit yang juga adalah suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. - Bernama

Remaja ditemui mati

SERENDAH: Misteri kehilangan seorang remaja lelaki yang keluar rumah sejak 14 September lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan ngeri di sebuah kelab golf di sini, semalam.
Menurutnya, ketika ditemui, mangsa masih berpakaian baju kemeja berkolar hitam dan berseluar denim biru seperti dilaporkan bapa tiri mangsa.

Gadis dirogol ketika mabuk

KOTA KINABALU: Akibat termakan ajakan, seorang gadis berusia 17 tahun bukan saja dipaksa minum minuman keras sehingga mabuk, malah dijadikan pemuas nafsu lelaki baru dikenali di dalam sebuah van di ladang kelapa sawit di Keningau, Khamis lalu.
Terdahulu, mangsa mengenali suspek dikenali sebagai Amiz, berusia 20-an, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengajak mangsa ke Kota Kinabalu untuk menyaksikan konsert di Padang Merdeka sempena sambutan Hari Malaysia.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menerima pelawaan itu dan dijemput suspek bersama dua lagi rakannya dengan menaiki sebuah van.

Bagaimanapun, dalam perjalanan ke Kota Kinabalu yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Keningau, suspek memaksa mangsa meminum minuman keras.

Sebaik melalui ladang kelapa sawit, suspek merogol mangsa dengan disaksikan dua lagi rakan suspek dan selepas memuaskan nafsu, lelaki berkenaan menghantar mangsa pulang ke rumahnya, kira-kira jam 10 malam hari sama.

Kejadian malang yang menimpa mangsa terbongkar apabila bapanya mengesyaki perkara buruk berlaku ke atas anak gadisnya yang berkurung dan menangis di dalam bilik sejak pulang daripada ‘menyaksikan konsert’.

Apabila ditanya, mangsa pada awalnya enggan menceritakan apa yang berlaku tetapi selepas didesak, gadis berkenaan mengaku dirogol teman barunya.

Berang dengan pengakuan itu, bapa mangsa membawa anak gadisnya ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan itu dan polis memburu tiga suspek berdasarkan maklumat diterima.

“Siasatan awal mendapati mangsa hanya mengenali suspek dan sering berhubung melalui SMS sebelum bertemu buat kali pertama pada petang Khamis lalu.

“Suspek menggunakan pelawaan ke Kota Kinabalu bagi menyambut Hari Malaysia sebagai alasan untuk mengambil kesempatan merogol mangsa.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 (2) (c) Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang ada maklumat supaya menghubungi polis membantu siasatan,” katanya.



13 lemas ketika lawat saudara mati



KHARTOUM - Kira-kira 13 orang lemas ketika dalam perjalanan untuk menziarahi mangsa-mangsa maut nahas bas apabila bot yang dinaiki mereka terbalik, kata seorang jurucakap pemerintah Sudan, Abdul Majid Abdul Hamid semalam.
Bot membawa 22 orang yang menyeberangi sungai Nil Putih itu tenggelam kelmarin dekat kawasan penempatan Alrader, kira-kira 60 kilometer ke selatan ibu negara Sudan di sini, namun sembilan penumpang dapat diselamatkan.
Menurut Abdul Majid, para penumpang itu merupakan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan yang pergi menghadiri majlis penghormatan terakhir untuk 37 orang mangsa maut tragedi dua buah bas yang bertembung pada Khamis lalu.
Siasatan polis trafik mendapati, nahas bas itu berlaku apabila salah sebuah bas cuba memotong sebuah trak tetapi merempuh sebuah bas mini dari arah bertentangan yang menyebabkan kedua-dua bas itu meletup dan terbakar. - AFP

Dua anggota polis parah ditikam pencuri


ABD. Razak Elias (kiri) melakonkan semula cara pencuri warga Indonesia menikam dua anggota polis yang cuba menahannya di Bandar Puteri, Serdang, semalam.


PETALING JAYA 18 Sept. - Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang parah selepas ditikam seorang pencuri yang cuba memecah sebuah kereta di Bandar Puteri di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, Konstabel Ahmad Nil Mustakim Azman, 23, ditikam di lengan kiri manakala rakan setugasnya, Konstabel Mohd. Fitri Abdul Ghani, 21, cedera di kaki kanan.
Kedua-dua anggota tersebut terpaksa menyabung nyawa menangkap suspek warga Indonesia berusia 38 tahun itu walaupun mengetahui lelaki berkenaan memiliki senjata.
Rondaan polis sering dilakukan di kawasan itu kerana sejak Januari lalu, sebanyak 60 kes pecah kereta berlaku di kawasan sama.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kejadian pecah kereta dikatakan sering berlaku di hadapan Flat Akasia kerana kebanyakan penghuni flat itu meletakkan kenderaan mereka di kaki lima jalan.
Menurutnya, berikutan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan untuk mengatasi kejadian pecah kereta di kawasan berkenaan yang turut dianggotai oleh kedua-dua mangsa.
"Ketika kedua-dua mangsa dan dua lagi anggota sedang membuat rondaan dalam pakaian preman mereka ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan sedang memecah sebuah kereta jenis Honda City.
"Sebaik sahaja melihat suspek mengetuk tingkap kereta itu dengan batu, Ahmad Nil Mustakim cuba menangkap suspek yang kemudian bertindak agresif
"Ketika bergelut, suspek bertindak menikam mangsa. Mohd. Fitri yang cuba membantu turut ditikam di kaki," katanya pada sidang akhbar di IPD Serdang dekat sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menambah, suspek berjaya ditahan oleh kedua-dua anggota yang cedera itu apabila dia juga mengalami kecederaan di kaki setelah terkena serpihan kaca tingkap kereta.
Abd. Razak memberitahu, kedua-dua anggota itu menerima rawatan Hospital Putrajaya sebagai pesakit luar manakala suspek dirawat di Hospital Serdang.
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis merampas barang-barang curi yang dilakukan oleh suspek dalam lima kejadian sebelum ini di rumah kongsi yang didiami isterinya yang juga warga Indonesia di Jalan Puchong.
Katanya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 325 dan 397 Kanun Keseksaan manakala isterinya ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.