Search This Blog

Saturday, September 18, 2010

Tahan suspek kes saudagar lesap




2010/09/18

Lelaki turut dikait dengan ugutan diterima isteri mangsa, minta RM1 juta
KUALA LUMPUR: Polis semalam menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes kehilangan saudagar permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dilaporkan hilang di Banting, lapan bulan lalu. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika mengesahkan penahanan lelaki berusia 34 tahun itu, berkata suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek ditahan petang semalam di Taman Wilayah, Selayang dekat sini tetapi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. 

“Dia kini ditahan di IPD Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian. 

Difahamkan, lelaki terbabit dibawa ke IPD Kuala Langat kira-kira jam 8.40 malam tadi turut mempunyai kaitan dengan ugutan yang diterima isteri mangsa, S Usharani, 24, bagi meminta wang pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta bagi membebaskan suaminya. 
Khalid bagaimanapun enggan mengulas sama ada penangkapan lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan seorang peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan dan bakar pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya yang lain. 

Berita Harian sebelum ini melaporkan Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai mendakwa suaminya tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati. 

Bagaimanapun pada 19 Januari lalu, beliau gagal menelefon suaminya sebelum menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang. 

Usharani mendakwa, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah dan meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu tetapi tidak dipedulikan. 

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia dan membuat laporan polis di Banting pada 8 September lalu dan turut memaklumkan suaminya pernah menyebut lama sebelum itu beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam. 

'Ambil tindakan segera setiap kes dilapor'




2010/09/18

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mahu setiap kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa itu diambil tindakan segera supaya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. 

Bagi mencapai sasaran itu, beliau meminta semua anggota dan pegawai pasukan meningkatkan kecekapan masing-masing demi memastikan pihak yang bersalah dapat dibawa ke muka pengadilan.“Tugas berkenaan mesti dilaksana dengan bersandarkan lunas undang-undang agar tidak mencemarkan imej profesyen kepolisan,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja pertamanya ke Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan, di sini semalam.
Beliau yang menggantikan Tan Sri Musa Hassan, 13 September lalu, tiba jam 8.30 pagi diiringi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dan memeriksa perbarisan sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan, antara lain bertujuan menerangkan perancangannya bagi memperkasakan pasukan keselamatan itu. 

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan kepada pembangunan sumber manusia anggotanya terutama penambahan pegawai yang pakar dalam penyiasatan jenayah komersial serta bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

“Jenayah bentuk baru itu tidak boleh diselesaikan mengguna kaedah lama, sebaliknya kepakaran baru dan tindakan pantas serta cekap perlu dilaksanakan untuk membanterasnya,” katanya sambil turut berharap dalam tempoh lima tahun, anggota polis di negara ini seimbang dengan jumlah penduduk yang dianggar 27 juta orang. 

Dalam pada itu, Ismail berkata, antara perancangan dalam penambahbaikan PDRM Sabah adalah penekanan kualiti dan sistem kerja pegawai dan anggota, termasuk bertindak inovatif menjalankan tugas dengan tidak hanya bergantung kepada perkhidmatan dan penyiasatan cara lama. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Ladang seperti resort, terjaga rapi




2010/09/18



KEBUN sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat terdapat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
KEBUN sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat terdapat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.


BANTING: Kebun sirih, chalet, kandang haiwan eksotik dan beberapa bangunan setingkat selain premis untuk berhibur seperti karaoke, bar dan spa adalah antara komponen memenuhi ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

Tinjauan Berita Harian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini semalam, mendapati ladang yang dikatakan lokasi kejadian bunuh dan bakar empat mangsa itu dikelilingi tembok konkrit setinggi kira-kira 1.5 meter dan pada pintu kayunya pula tertera pelekat ‘Dilarang Masuk’ dan ‘Awas anjing ganas.’Difahamkan, ladang yang masih dikawal anggota polis itu, belum diserahkan kepada keluarga suspek.
Berbanding dengan ladang sawit di kiri dan kanannya, ladang yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu kelihatan seperti sebuah resort dan keadaannya bersih serta terjaga rapi. 

Beberapa ekor lembu kelihatan dibiarkan merayau dalam kawasan ladang, manakala bunyi salakan anjing kedengaran apabila petugas media berkumpul di pintu masuk ke ladang itu. Kebun sirih juga kelihatan seperti baru ditanam, berdasarkan keadaan anak pokok yang baru memanjat batang pancang yang didirikan. 

Selain pintu masuk tempat petugas media berkumpul, ada satu lagi pintu pagar kayu kelihatan di hujung ladang berkenaan. Kedudukan ladang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu masuk utama di jalan besar itu agak tersorok berikutan jauh daripada penempatan penduduk dan dihubungi dengan jalan batu kerikil. 

Sementara itu, sepasukan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengambil sampel tanah di tebing Sungai Arak, berhampiran Sungai Gelanggang Buaya, Kelanang, di sini pagi semalam, tetapi tidak diketahui tujuan sampel itu diambil. 
Beberapa jam kemudian, dua kereta peronda polis jenis Mitsubishi Lancer Evo 10 dilihat memecut meninggalkan kawasan ladang persendirian milik suspek utama menghala ke arah Tanjung Sepat yang dipercayai membawa bahan bukti

Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis Pulau Pinang sedia bantu




2010/09/18

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang sedia bekerjasama membantu siasatan berhubung dakwaan bahawa urusan jual beli sebidang tanah di negeri ini menjadi punca pertelingkahan sehingga membawa kepada pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayob Yaakob, berkata setakat ini pihaknya belum mengetahui kesahihan dan kaitan tanah berkenaan dengan kes itu.“Kes itu masih dalam siasatan dan kita belum tahu kesahihan kaitan tanah dengan kes itu," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Komuniti Bersatu Memerangi Jenayah' yang disempurnakan Pemangku Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Abdul Rahman Hussin di sini, semalam.
Ayob diminta mengulas laporan akhbar bahawa pembunuhan Sosilawati dan tiga rakan dikatakan dirancang rapi oleh suspek utama kes itu selepas timbul masalah wang hasil jualan tanah di Pulau Pinang milik mereka dan dua lagi rakan kongsi. 

Tanah seluas 12 hektar bernilai RM25 juta itu dibeli secara kongsi oleh keempat-empat mereka pada 24 Mac 2008 dan dikatakan dijual kepada seorang ahli perniagaan di Selangor pada harga RM29 juta, tahun lalu. 

Empat maut dalam tiga kemalangan berasingan


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/09/18

Dua beradik terkorban kereta dinaiki langgar pokok sawit 

KUANTAN: Dua beradik antara empat yang terbunuh selepas terbabit dalam tiga kemalangan berasingan yang berlaku dalam tempoh 24 jam di Pahang, kelmarin.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 5.30 petang, dua beradik maut selepas kereta mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit lalu terjunam ke gaung, di simpang Jalan Felda Bukit Kuantan-Bukit Sagu, di sini.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata mangsa yang maut ialah pemandu, Mohd Hamdan Fauzi, 30, dan penumpang hadapan yang juga adiknya, Mohd Farid, 19, manakala seorang lagi penumpang belakang yang dikenali sebagai Masri, 29, cedera ringan. 

Beliau berkata, siasatan mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, Mohd Hamdan dipercayai hilang kawalan sebelum kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit sebelum jatuh dalam gaung. 

“Mayat dua beradik terbabit dikeluarkan orang ramai sebelum dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat,” katanya di sini, semalam. 

Dalam kejadian berasingan di Kuala Lipis dua jam sebelum itu, Mohamed Fauzi berkata, seorang lelaki terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori ikan, di Kilometer 63, Jalan Kuala Lipis-Merapoh, dekat Sungai Yu, petang kelmarin. 
“Dalam kejadian jam 3.30 petang, Fauzi Mohd Rahim, 33, dari Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis (HKL) akibat cedera di kepala serta patah kaki dan bahu kanan. 

“Mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kelantan terbabas sebelum masuk ke jalan bertentangan dan bertembung dengan lori ikan,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, seorang remaja lelaki terbunuh selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta, di Kilometer 17, Jalan Jerantut-Temerloh, dekat Temerloh, kira-kira jam 9 malam kelmarin. 

Beliau berkata, mangsa, Mohd Shukri Osman, 18, dari Kuala Krau, Temerloh dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. 

Katanya, semua kes kemalangan maut berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Tipu jual barang melalui Internet


KUALA LUMPUR - Kegiatan penipuan yang didalangi oleh warga Afrika tidak pernah berkurangan malah dari hari ke hari ia makin menjadi-jadi.
Kumpulan Awang Hitam itu dikategorikan sebagai licik apabila mereka kerap menukar modus operandi iaitu sama ada melalui Internet, panggilan telefon atau bersemuka dengan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran.
Terbaru Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dapat membongkar satu lagi bentuk penipuan yang didalangi oleh warga Afrika.
Sindiket tersebut mengiklankan perniagaan mereka yang kononnya menawarkan perkhidmatan menjual pelbagai jenis barangan di dalam sebuah laman iklan terkemuka yang boleh diakses secara global.
Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, JSJK, Asisten Komisioner Kamaruddin Md. Din (gambar) berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang menawarkan pelbagai jenis barang untuk dijual di Internet itu menggunakan dua kaedah.
"Yang pertama, sindiket itu memilih mana-mana syarikat berdaftar di negara ini dan meniru logo syarikat tersebut bagi mempromosi apa-apa barang yang kononnya untuk dijual
"Kedua, sindiket itu mewujudkan satu syarikat palsu yang didakwa beroperasi di Malaysia sebelum mereka mengiklankan pelbagai barangan untuk dijual dalam lama iklan," kata beliau kepada Kosmo!baru-baru ini.

Polis cedera ketika cuba tangkap warga Indonesia pecah cermin kereta


18/09/2010 5:49pm

KUALA LUMPUR - Pada 1 pagi tadi, seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun sedang asyik mengumpil dan memecahkan cermin sebuah
kereta di Puchong dengan menggunakan pisau tanpa menyedari perbuatan jenayahnya itu sedang diperhatikan oleh dua anggota polis.
Sebelum sempat mengambil barangan daripada kereta jenis Honda City itu,
lelaki tersebut terkejut apabila disergah oleh anggota polis yang telah lama
memerhatikan kegiatannya.
Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata kedua-dua anggota polis itu kemudian cuba menahan suspek tetapi mereka telah diserang dengan pisau sebelum berlaku pergelutan.
"Dalam pergelutan selama 10 minit itu, seorang anggota polis cedera di
tangan manakala seorang lagi cedera di kaki...namun mereka dapat menewaskan dan menahan lelaki itu yang turut cedera," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, kedua-dua anggota polis yang cedera dirawat di Hospital Putrajaya
manakala suspek ditahan di Hospital Serdang untuk menerima rawatan sebelum disoal siasat.
Beliau berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam lima
daripada 60 kes pecah kereta dan curi barang yang dilaporkan di Serdang.
Katanya suspek kemudian membawa polis ke rumah kongsinya yang terletak
kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan di situ polis menemui beberapa peralatan memecah rumah seperti pemutar skru dan barangan curi seperti telefon bimbit.
"Kami percaya suspek mempunyai rakan jenayah. Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri," katanya. - Bernama

Pembantu rumah didera fizikal, seksual-suami isteri ditahan


18/09/2010 5:57pm

GEORGETOWN 18 Sept. - Polis menahan sepasang suami isteri selepas pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan lalu dan kemudiannya ditinggalkan
di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Georgetown, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa berumur 26 tahun dikenal pasti sebagai Wifainda dari Jawa Timur turut mendakwa dipukul di kepala, tangan dan kakinya dengan tali pinggang.
Katanya, pembantu rumah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang kerana
mengalami kecederaan di tangan dan kaki serta luka melecur di belakang dan
dadanya.
Beliau berkata, laporan perubatan menunjukkan terdapat koyakan pada kemaluan pembantu rumah itu dan polis percaya dia mungkin telah dirogol oleh majikannya, seorang kontraktor memotong rumput berumur 41 tahun,
Dipercayai isteri kontraktor itu pula memukul mangsa jika dia enggan memenuhi keperluan seksual majikannya itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dan mengikut Seksyen 376 kanun yang sama iaitu rogol. - Bernama

2 suspek kes ugut isteri jutawan India direman 7 hari


SEPANG - Mahkamah Majistret Litar di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman dua suspek kes ugut
isteri seorang jutawan India yang dilaporkan hilang di Banting, di sini sejak awal tahun ini.

Majistret Hurman Hussain membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengugut isteri jutawan itu yang juga warganegara India, S.Usharani, 24. 

Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh wang RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1juta yang kononnya bagi membebaskan suamninya, Allal Kathan Muturaja.

Jutawan berumur 34 tahun itu dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi dan perintah reman itu dikeluarkan kira-kira sejam kemudian. - BERNAMA

Anggota forensik masih masuk lokasi bunuh Sosilawati


18/09/2010 4:34pm

KUALA LANGAT - Kenderaan anggota forensik polis masih kelihatan memasuki kawasan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong milik suspek utama kes itu di sini.
Tinjauan Bernama berhampiran lokasi berkenaan melihat kenderaan forensik itu memasuki kawasan terbabit seawal pukul 8.30 pagi tadi dan keluar semula beberapa jam kemudian.
Sebuah kereta peronda MPV polis turut ditempatkan di laluan utama iaitu kira-kira 600 meter dari lokasi ladang milik suspek terbabit.
Kesemua kenderaan yang melalui laluan itu ditahan dan disoal sebelum diarahkan berpatah balik dan meninggalkan kawasan ladang.
Petugas media masih terus berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi mengawasi dan memantau lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas sebelum didapati dibunuh dan dibakar di ladang berkenaan.
Selain petugas media, beberapa kenderaan yang melalui jalan utama turut memperlahankan kenderaan malah ada yang berhenti untuk melihat serta meninjau kawasan berhampiran.

Dua penuntut rayu tidak dikenakan hukuman penjara



KUALA LUMPUR- Dua penuntut sebuah universiti tempatan merayu di hadapan Mahkamah Majistret, supaya mereka tidak dikenakan hukuman penjara bagi kesalahan mencuri untuk mengelakkan daripada dibuang universiti. 

Ma Jiannan, 22, dan Yan Bing Qing, 21, yang berasal dari China dan penuntut Jurusan Ekonomi dan Pentadbiran mengemukakan rayuan itu dihadapan Majistret Siti Shakirah Mokhtarudin. 

”Saya mohon dikenakan hukuman denda kerana jika dipenjarakan, saya tidak dapat meneruskan pengajian. Saya telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan lagi,”katanya Jiannan. 

Sementara Bing Qing yang mengenakan blaus putih paras paha juga merayu dikenakan hukuman sama kerana berhasrat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 

Mereka mengaku bersalah atas tuduhan mencuri 22 jenis barangan terdiri daripada minuman dan produk penjagaan diri serta kecantikan di sebuah pasaraya pada Selasa lalu. 

Mereka mengaku mencuri barangan keseluruhannya berharga RM542.66 pada pukul 6 petang, 14 September lalu di Pasaraya Carrefour, Bangsar, Kuala Lumpur. 

Antara barangan yang dicuri ialah Loreal Revitalift, Neat Feat Gel Meta dan juga barangan Kinohimitsu. 

Mereka ditangkap selepas pengawal keselamatan pasaraya tersebut melihat mereka tidak membayar barangan yang dimasukkan ke dalam beg tangan Bing Qing. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamad Hanifa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan. 

Meskipun mengakui kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, Shashitah memohon supaya mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh yang masih menuntut. 

Siti Shakirah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 atau sebulan penjara, jika gagal membayar denda terhadap setiap tertuduh.

Pasangan kekasih ditahan


KUALA TERENGGANU – Polis menahan sepasang kekasih yang masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah, pagi semalam.

Pasangan berusia 19 tahun itu ditangkap ketika berdua-duaan dalam bilik setelah pihak polis menyerbu rumah keluarga remaja lelaki tersebut di Taman Setia, Durian Burung kira-kira jam 8 pagi.

Hasil serbuan itu, polis berjaya menemui 20 paket plastik mengandungi 4,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000 yang disembunyikan dalam sebuah kotak di bawah katil bilik itu.

Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak berkata, selain pasangan itu, turut ditahan abang kepada remaja lelaki itu yang bekerja sebagai pengusaha kedai dobi.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, pasangan kekasih itu yang menyedari kehadiran polis bertindak menyembunyikan diri bagi mengelak dicekup manakala abangnya berusia 23 tahun berada di bilik lain.

“Namun, suspek berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 4,000 biji pil kuda disorok dalam sebuah kotak di bawah katil,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sinar Harian difahamkan, ibu kepada pasangan adik beradik itu yang turut berada di rumah ketika serbuan dilakukan terkejut dengan penemuan tersebut selain tangkapan seorang gadis di bilik anaknya.

Abdul Halim berkata, suspek ialah pengedar dadah kepada penagih di kawasan Durian Burung dan Padang Midin, memandangkan jumlah pil yang banyak, mereka dipercayai sudah lama melakukan kegiatan itu.

Katanya, kegiatan remaja itu terbongkar hasil maklumat yang diperoleh daripada dua penagih dadah yang ditahan dalam satu operasi mencegah jenayah dan samseng jalanan di Wakaf Beruas jam 2.40 pagi semalam.

Dalam operasi yang diketuai Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik daerah, Asisten Superintendan Khazahari Amat itu, polis menahan seorang anggota Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) berusia 20 tahun dan rakannya, seorang peniaga jus jambu.

“Polis menemui tujuh biji pil kuda pada badan anggota APMM itu dan hasil soal siasat kedua-dua lelaki itu, sepasukan polis telah membuat serbuan ke atas rumah suspek di Taman Setia pagi ini (semalam),” katanya.

Beliau memberitahu, pasangan adik-beradik dan kekasihnya yang berasal dari Kuala Ibai itu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. 

Tiga maut dalam tiga nahas berasingan




SHAH ALAM – Hasrat seorang wanita warga Indonesia untuk menikmati roti canai yang baru dibelinya tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan di Persiaran Pulau Lumut di Taman Alam Budiman. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, Jumana Mukmin berusia lingkungan 30-an. 

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli makanan tersebut. 

“Mangsa telah terbabas dan melanggar tiang lampu dan mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas merempuh lampu isyarat di Jalan Dengkil. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika mangsa dari arah Lebuh raya LDP menuju ke Putra Perdana. 

Che Hussin berkata, mangsa yang berusia 23 tahun menunggang motosikal jenis Suzuki berwarna merah. 

Di Tanjung Karang, seorang remaja maut, sementara bapanya cedera ringan selepas van mereka naiki ketika balik selepas berhari raya merempuh belakang sebuah treler di Sungai Terap, di sini. 

Remaja itu dikenali sebagai Amirul Fahmin Asyraf Mohd Amin, 15 tahun, yang meninggal di tempat kejadian.

Geng pecah rumah tumpas




KLUANG - Polis Kluang berjaya menangkap enam suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah sepanjang Ops Ramadan dan Aidilfitri dilancarkan pada 11 September lalu. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad berkata, hasil maklumat orang awam pada 13 September lalu, polis Kluang berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah rumah di Taman Delima, di sini. 

“Ekoran daripada tangkapan tersebut, pada hari sama, seorang lelaki berumur 39 tahun ditangkap. Pada 15 September, polis berjaya menangkap dua lagi lelaki berusia antara 33 dan 38 tahun. 

“Dan pada awal pagi tadi (semalam), polis berjaya menangkap dua lelaki berumur antara 44 dan 45 tahun bersama-sama motosikal mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam. 

Mohd Fawzi berkata, sehingga kini polis Kluang berjaya menangkap enam orang dan kebanyakan mereka mempunyai rekod jenayah melampau kerana ada di antara mereka mempunyai rekod jenayah. 

“Kumpulan ini tidak mengira apa benda yang ada di dalam rumah, mereka akan ambil. Sebab jika dilihat daripada hasil rampasan, jarang orang yang pecah rumah mengambil mesin basuh tetapi bagi kumpulan ini mesin basuh dan peti sejuk. 

“Apa sahaja yang boleh dijual mereka akan ambil. Berdasarkan enam tangkapan, lima daripadanya adalah penagih dadah,” katanya. 

Antara barangan yang dirampas daripada kumpulan ini digelar sebagai kumpulan Ops Pintu Aidilfitri adalah seperti televisyen plasma, peti sejuk, mesin basuh, komputer riba, pemain DVD, buku akaun, peralatan pecah rumah dan barang-barang kemas yang bernilai kira-kira RM19,000. 

“Sementara itu, polis juga menahan seorang lelaki yang juga peniaga kedai kerana membeli barang-barang emas. Lelaki ini juga beroperasi secara haram serta tidak mempunyai kelulusan membuat gadaian ataupun pajakan. 

“Lelaki ini tidak mengikuti undang-undang di bawah Akta Pajak Gadai. Hanya mereka yang mempunyai lesen pajak gadai boleh menerima gadaian. Walau bagaimanapun, peniaga ini juga turut sama kita tahan bagi membantu menyelesaikan kes-kes pecah rumah,” katanya. 

Menurut Mohd Fawzi, hasil rampasan yang diperoleh tersebut adalah daripada 15 kejadian kes pecah rumah dan kumpulan ini memulakan aktiviti jenayah mereka sejak bulan Julai yang lalu. 

Beliau berkata, mereka akan di dakwa di bawah 411 Kanun Keseksaan dan peniaga tersebut didakwa di bawah Seksyen 39 Akta Pajak Gadai serta boleh dikenakan tindakan saman. 

Labu dilanda banjir kilat



LABU – Lebih 2,000 penduduk sekitar kawasan ini dikejutkan dengan kejadian banjir kilat, awal pagi semalam.

Berikutan kejadian itu, sebahagian besar rumah penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan terjejas teruk selepas hujan lebat selama dua jam itu.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Seri Batu 8 dan Klinik Desa Batu 9, selain kawasan kampung di Batu 9 dan Batu 10 menyebabkan kerosakan harta benda.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penduduk mendakwa, kejadian banjir setinggi kira-kira 1.2 meter itu merupakan terburuk pernah berlaku sejak mereka tinggal di situ berpuluh-puluh tahun lalu.

Timbalan Penguat kuasa Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Ismail Mohd Yusof, berkata, sebanyak tiga jentera bomba membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan Seremban 2 menyertai operasi membersihkan kediaman penduduk.

“Setakat ini, nilai kerugian masih belum dikenal pasti lagi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Sementara itu, penduduk, Yap Yun Chan, 63, yang tinggal di Batu 8, di sini berkata, kejadian banjir ini adalah yang paling buruk berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Menurutnya, hujan bermula berlaku di kawasan itu kira-kira 2 pagi sebelum hujan lebat pada kira-kira 4 pagi, semalam.

“Kira-kira pukul 6 pagi, air mula memasuki kawasan rumah dan naik begitu cepat sekali,” katanya.

Menurutnya, kedai anaknya yang berada dikawasan berdekatan juga turut dinaiki air begitu juga di kawasan-kawasan lain.

Yun Chan berkata, setakat ini, dia masih tidak mengetahui nilai kerugian yang dialami akibat banyak barangan yang rosak ditenggelami air.