Search This Blog

Friday, September 17, 2010

Remaja gaduh bakar rumah



BUKIT MERTAJAM: Lima rumah di Blok E Taman Pauh Damai dekat sini, rosak di bahagian tingkap dipercayai dibakar selepas berlaku pergaduhan membabitkan dua kumpulan remaja, awal pagi semalam.
Selain lima rumah, kesan terbakar turut dikesan di bahagian luar sebuah kedai makan berhampiran blok berkenaan.
Pergaduhan berlaku sekitar jam 12 tengah malam dan berlarutan hingga kira-kira jam 4 pagi sebelum penghuni blok berkenaan dikejutkan dengan bunyi bising mengatakan ada rumah terbakar.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dua kumpulan remaja bertengkar sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.
Berikutan itu katanya, Persatuan Penduduk serta Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama masuk campur bagi menenangkan keadaan namun kumpulan remaja terbabit tidak mempedulikan nasihat.
Menurutnya, kemuncak pergaduhan berlaku apabila seorang daripada remaja terbabit mengeluarkan senjata tajam menyebabkan penduduk terpaksa memanggil polis.
Penduduk berkenaan berkata, sebaik anggota polis beredar, kumpulan terbabit bertindak membakar kain buruk yang disangkut pada cermin tingkap di lima rumah Blok E kira-kira jam 4 pagi.
Sumber : Harian Metro

Pope tak popular di Scotland




2010/09/17

SEBUAH kenderaan melalui papan iklan yang memaparkan penolakan rakyat Scotland terhadap kunjungan Pope.
SEBUAH kenderaan melalui papan iklan yang memaparkan penolakan rakyat Scotland terhadap kunjungan Pope.
EDINBURGH: Lawatan Pope Benedict ke Britain bermula semalam di Scotland diharapkan mendapat sokongan negara paling sekular di Eropah tetapi masalah diplomatik pada saat akhir dan kemungkinan sambutan dingin dianggap mengancam kejayaan kunjungan beliau yang dianggap kurang popular. 

Cubaan Pope menyampaikan amanat ketika Gereja Katolik berhadapan skandal penderaan seks kanak-kanak di seluruh dunia menjadi semakin rumit dengan komen seorang pembantu kanan yang menyamakan status England dengan sebuah negara Dunia Ketiga.Pope juga menyatakan laluan sepanjang lawatan empat hari ke England dan Scotland dalam hubungan dengan gereja England selepas menawarkan Oktober lalu untuk memudahkan penganut Anglican, yang tidak gembira dengan pembaptisan wanita dan paderi gay, menukar mazhab.
Penganut Katolik tempatan sementara itu mengakui bahawa Pope Benedict kurang karisma berbanding Pope John Paul sebelumnya yang menarik beratus ribu orang ketika lawatan pada 1982. 

“Saya rasa beliau akan berusaha menambat hati penduduk Britain,” kata Jack Valero, koordinator kumpulan progereja Catholic Voices. 

“Itu menjadi keistimewaan beliau, beliau ingin memenangi masyarakat sekular melalui pujukan.” 

Pope berkenaan akan menerima sambutan negara dari Ratu Elizabeth selepas terbang ke ibu negara Scotland, Edinburg dan kemudian menyertai perhimpunan terbuka berhampiran Glasgow pada tengahari. 
Bagaimanapun, beribu-ribu tempat duduk belum terjual manakala polis pula memberitahu sebuah taman bagi perhimpunan Glasgow itu akan kosong satu pertiga.– REUTERS 

Tukang masak Osama kena hukum penjara




2010/08/12

GUANTANAMO: Bekas tukang masak Osama bin Laden dijatuhi hukuman penjara 14 tahun, hukuman penjara pertama dijatuhkan sebuah mahkamah di Teluk Guantanamo sejak peralihan kuasa Presiden Barack Obama. 

Ibrahim al-Qosi dilaporkan bersetuju membuat kompromi dengan pendakwa menimbulkan kemungkinan beliau menjalani tempoh hukuman lebih pendek atau dihantar ke Sudan.Sekumpulan juri dengan 10 orang memutuskan hukuman terhadap Ibrahim, 51, yang mengaku bersalah pada Julai lalu memberi bantuan material kepada pengganas.
Juri mengarahkan hukuman itu antara 12 hingga 15 tahun dan memberitahu bahawa lapan setengah tahun tempoh dihabiskan Ibrahim di Guantanamo mungkin akan diambil kira. 

Pendakwa dan pembela bersetuju tempoh hukuman antara 12 dan 15 tahun. Juri akan diarahkan hakim untuk mengenakan hukuman mengikut tempoh itu, kata David Iglesias, jurucakap tribunal kementerian kepada AFP. 

Dalam bilik mahkamah kedua semalam, pendakwa dan peguam pembela bagi tahanan kedua, Omar Khadr rakyat Kanada menghabiskan pemilihan juri menjelang perbicaraan jenayah perang. 

Tujuh pegawai tentera akan mendengar bukti kes terhadap Khadr, yang hanya berusia 15 tahun ketika beliau ditahan di Afghanistan dan didakwa melontarkan sebutir bom tangan ketika satu pertempuran senjata yang membunuh pegawai perubatan tentera Amerika Syarikat pada Julai 2002. 
Peguam beliau mengkritik prosiding terhadapnya sebagai dakwaan pertama terhadap seorang askar kanak-kanak dalam sejarah moden. AFP 

Penjenayah makanan dihukum mati




2010/09/17

China mahu pastikan skandal pencemaran susu bayi tidak berulang 

BEIJING: China semalam memberi amaran akan mengenakan hukuman mati terhadap mereka yang melanggar peraturan keselamatan makanan dalam usaha memantau industri memalukan negara itu membabitkan kematian akibat pencemaran produk makanan laut hingga susu formula bayi.Pihak berkuasa China mengenakan hukuman berat terhadap kes yang melanggar peraturan keselamatan makanan tetapi meningkatkan usaha lebih agresif mendakwa kes seumpama itu.
China membaik pulih sistem pengurusan keselamatan makanan mereka berikutan siri yang menakutkan pengguna di dalam dan luar negara termasuk masalah dua tahun lalu membabitkan pencemaran susu formula bayi yang membunuh enam kanak-kanak dan menyebabkan 300,000 lagi jatuh sakit. 

Skandal terbabit membawa kepada hukuman penjara terhadap eksekutif tenusu yang bertanggungjawab dan menjejaskan industri susu China. Dua orang dihukum bunuh dalam kes itu. 

Bagaimanapun, masalah terbabit berterusan apabila pihak berkuasa sekali lagi menemui susu tercemar dengan bahan kimia melamin yang digunakan dalam pembuatan plastik, baru-baru ini. – AP 

Pemandu teksi terbunuh nahas ngeri




2010/09/17

ANGGOTA polis melihat  keadaan teksi  yang remuk akibat kemalangan mengorbankan pemandunya, Jamaluddin  (gambar kecil) di  KM 15, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan,  kelmarin.
ANGGOTA polis melihat keadaan teksi yang remuk akibat kemalangan mengorbankan pemandunya, Jamaluddin (gambar kecil) di KM 15, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, kelmarin.
BOTA: Hasrat seorang pemandu teksi untuk melihat anak bongsunya melangsungkan perkahwinan Disember ini tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, Lambor, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Jamaluddin Harun, 70, maut manakala anak angkatnya, Mohd Fakhrul, 5, parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori minyak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 17, jalan sama selepas selesai bersarapan di kedai berhampiran.Anak mangsa, Jefri, 42, berkata selain menunjukkan perubahan dengan lebih banyak mendiamkan diri sepanjang sambutan Aidilfitri lalu, bapanya juga runsing memikirkan persiapan perkahwinan adik bongsunya, Faezel, 27.
“Bapa ada mengeluh kerana sejak akhir ini pendapatannya sebagai pemandu teksi semakin berkurangan dan beliau tidak mampu untuk menghulurkan sum-bangan seperti adik-beradik yang lain setiap kali majlis perkahwinan diadakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian berlaku selepas kereta dipandu Jamaluddin terbabas ke kanan sebelum bertembung dengan lori minyak berkenaan yang datang dari arah bertentangan. 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak angkatnya patah kaki,” katanya. 

Kumpulan raya awal turut solat Jumaat berasingan



Oleh Rashidi Karim
bhnews@bharian.com.my
2010/09/17

Jamiah Al Nadzir Awwalun berjemaah tak sampai 10 orang 

KANGAR: Selain menyambut Aidilfitri dua hari lebih awal daripada umat Islam di Malaysia, kumpulan Jamiah Al Nadzir Awwalun yang aktif di Perlis dikatakan bersolat Jumaat bersendirian sesama mereka di bangunan kedai yang dijadikan surau di sini, sejak beberapa tahun lalu.Salah seorang pengikut ahli kumpulan terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata, ketua kumpulan, Shuit Ismail, 51, yang didakwanya mempunyai ilmu tinggi dalam agama bertindak sebagai khatib serta imam bagi solat Jumaat.
“Kami solat Jumaat yang diimamkan Shuit dan jumlahnya tidak ramai, tidak sampai 10 orang. Shuit membaca khutbah yang dikarangnya sendiri yang mana kandungannya berunsur peringatan dan perkembangan kehidupan dunia Islam sekarang. 

“Semua ahli khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan Shuit di surau kami di sini. Saya secara peribadi mengakui begitu tenang selepas menyertai kumpulan terbabit sejak 2005 lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya perbuatan bersolat Jumaat di luar masjid ditetapkan dan tidak mencukupi 40 jemaah salah di sisi agama dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri. 

Pengikut berusia lewat 40-an itu berkata, pada 8 September lalu, beliau turut merayakan sambutan Aidilfitri tetapi tidak sempat bersolat sunat pada pagi itu bersama ahli kumpulan kerana sibuk dengan urusan perniagaan. 
“Saya mengakui ditegur oleh isteri yang kehairanan melihat kami menyambut Aidilfitri dua hari lebih awal. Kami berpuasa dua hari lebih awal daripada ditetapkan pemerintah,” katanya. 

Katanya, sebahagian besar pengikut kumpulan terbabit di Dumai, Indonesia turut merayakan Aidilfitri pada tarikh sama. 

Pada 8 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kangar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau empat bulan penjara terhadap Shuit selepas didapati bersalah merayakan Aidilfitri lebih awal daripada ditetapkan kerajaan. 

Bayi dibuang digigit binatang




2010/09/17

pix_gal0
TAPAH: Bayi lelaki yang ditemui dekat Sungkai petang kelmarin mempunyai kesan luka di telinga kiri dan jari tangan kiri dipercayai akibat gigitan binatang. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad, berkata bayi seberat 1.9 kilogram itu kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Sungkai dan Hospital Slim River selepas ditemui.“Bayi lelaki dipercayai berketurunan Melayu itu berada dalam keadaan stabil.
“Sampel darah bayi berkenaan sudah diambil untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan polis sudah menubuhkan pasukan untuk mengesan ibu dan waris bayi terbabit, " katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Kira-kira jam 5.40 petang kelmarin, seorang remaja perempuan menemui bayi yang masih bertali pusat yang dianggarkan berusia dua hari itu ditinggalkan di bawah jambatan Sungai Liar, berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah, Sungkai, dekat sini. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek utama turut disiasat tujuh kes jenayah komersial




2010/09/17

BANTING: Suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, turut disiasat polis berhubung tujuh kes jenayah komersial membabitkan nilai kerugian RM7.1 juta di Kuala Langat, sejak 2005. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan tujuh kes itu sudah dibuka dan ada yang sudah dihantar kepada pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.“Kes jenayah komersial bukan cepat untuk diselesaikan. Siasatan masih berjalan dan disiasat Jabatan Jenayah Komersial,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar dengan masyarakat Kuala Langat di sini, semalam.
Khalid berkata, kes jenayah komersial yang dikaitkan dengan suspek utama yang juga ahli perniagaan itu termasuk kes menipu, pecah amanah dan urusan penjualan tanah. 

Berhubung dengan kes kehilangan ahli perniagaan dari India pada 18 Januari lalu, beliau berkata, laporan polis mengenai kehilangannya hanya dibuat pada 8 September lalu, kira-kira seminggu selepas kehilangan Sosilawati. 

Katanya, polis Selangor tidak menerima sebarang permintaan atau maklumat daripada Kedutaan India mengenai kehilangan ahli perniagaan berkenaan. 

Khalid berkata, bagi kes membabitkan pembunuhan seorang wanita, T Selvi, 44, yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek utama itu, siasatan masih dijalankan dan sehingga kes membabitkan Sosilawati berlaku, polis tiada apa-apa petunjuk. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Kes boleh dibukti tanpa mayat





2010/09/17

KUALA LUMPUR: Profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan mengikut keadaan boleh menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun mayat mangsa pembunuhan tidak ditemui untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam pendakwaan. 

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, berkata pendakwaan boleh dilakukan berdasarkan bahan bukti memadai dan keterangan dikumpul polis atau pihak pendakwa mewujudkan prima facie dalam kes jenayah termasuk bunuh.“Tidak semestinya apabila mayat kes bunuh tidak ditemui seperti dibakar, suspek tidak boleh didakwa kerana ada beberapa kes sebelum ini yang mana suspek didakwa di mahkamah dan dijatuhi dihukum mati,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, polis menganggap kes pembunuhan Sosilawati, 47; dan pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, selesai. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dipetik berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap sembilan suspek yang ditahan setakat ini. 

Kuthubul Zaman berkata, antara keterangan mengikut keadaan yang boleh dijadikan bahan bukti dalam pendakwaan di mahkamah ialah senjata diguna untuk membunuh, pengecaman waris terhadap mangsa atau barang milik mangsa termasuk profil DNA mangsa. 

“Apa yang penting, pihak pendakwa perlu mempersiapkan segala bahan bukti diperoleh menerusi siasatan mereka untuk dikemukakan di mahkamah bagi dijadikan inti pati pertuduhan dan berupaya mewujudkan prima facie. 
“Jika tidak wujud prima facie, suspek akan dilepas dan dibebaskan tetapi jika wujud prima facie, suspek dalam pembelaannya perlu mengemukakan bukti yang menimbulkan keraguan munasabah terhadap dakwaannya,” katanya. 

Presiden Majlis Peguam Malaysia, K Ragunath berkata, turut mengesahkan bahawa keterangan mengikut keadaan, cebisan mayat mangsa dan DNA boleh dijadikan bahan bukti dalam menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan. 

“Apa-apa yang dijumpai dan boleh dijadikan bahan bukti atau keterangan mengikut keadaan, boleh digunakan untuk mendakwa suspek di mahkamah. Kita ada kaedah dan peraturannya,” katanya. t 

Siti tiada, Guan Eng arah batal konsert




Oleh Hanisah Selamat dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my
2010/09/17

Siti Nurhaliza Tarudin
Siti Nurhaliza Tarudin
Penyanyi tak sertai pesta atas nasihat doktor 

GEORGETOWN: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menarik diri daripada meneruskan konsert Hari Malaysia anjuran Kerajaan Pulau Pinang pada 25 September ini, atas nasihat doktor.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, keseluruhan konsert berkenaan yang dijadualkan diadakan di Stadium Bandaraya di sini, selama satu jam akan dibatalkan.
Katanya, kerajaan negeri terpaksa membatalkan seluruh konsert berkenaan kerana kesuntukan masa untuk melakukan sebarang perubahan atau pindaan pada saat-saat akhir. 

“Kami kesal dengan apa yang berlaku tetapi hormati masalah dihadapinya dan mendoakan yang terbaik untuk kesihatan Siti, ” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. 

Guan Eng berkata, beliau menerima surat daripada syarikat pengurusan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd kelmarin dengan disertakan sekali surat akuan daripada pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. 

Katanya, surat berkenaan memaklumkan Siti Nurhaliza tidak dibenar berjalan jauh atau terbabit dalam sebarang aktiviti fizikal berat termasuk mengadakan konsert pada waktu ini. 
Bagaimanapun, beliau enggan dedahkan dengan lebih lanjut mengenai butiran surat akuan berkenaan dan menyaran supaya sebarang pertanyaan diaju kepada pengurus Siti sendiri. 

Guan Eng berkata, Siti Nurhaliza Productions juga sudah memulangkan semula bayaran pendahuluan sebanyak RM60,000 kepada kerajaan negeri dan turut bertanggungjawab atas kerugian ditanggung pihak penganjur ekoran pembatalan itu. 

Sementara itu, Pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak menafikan penyanyi itu menarik diri atas alasan hamil seperti dilaporkan sebuah laman portal berita bahasa Inggeris semalam. 

Katanya, rawatan yang dijalani itu tiada kaitan dengan proses mendapatkan cahaya mata kerana ia sekadar pemeriksaan kesihatan biasa malah di dalam surat akuan sekadar menyatakan beliau tidak dibenarkan berjalan jauh atau terbabit dengan sebarang aktiviti fizikal. 

“Siti kesal sebaik saja dimaklumkan mengenai spekulasi ini kerana semuanya sudah diterangkan di dalam surat akuan doktor yang dihantar pengurusan Siti, kelmarin. Mungkin ada yang tersalah tafsir malah doktor hanya meminta Siti berehat antara dua hingga tiga minggu. 

“Siti sendiri terkilan tidak dapat menjayakan konsert berkenaan. Namun disebabkan nasihat doktor, kami terpaksa akur. Buat masa ini Siti sedang berehat di rumah tetapi seperti dijelaskan ia bukan disebabkan hamil atau rawatan untuk mengandung," katanya ketika dihubungi, semalam. 

4 maki polis tidur di lokap

TEMERLOH: Tindakan biadab dan kurang ajar tiga lelaki serta seorang gadis memaki polis dengan kata kesat membawa padah apabila bermalam di lokap selepas dicekup di Kampung Baru, Kuala Mai, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, empat individu berusia antara 19 dan 24 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati selepas ditegur pegawai polis wanita kerana bertengkar dengan sepasang warga emas berusia 70 tahun.
Sebelum itu, pegawai berpangkat Inspektor bersama anggotanya melakukan rondaan cegah jenayah di Kuala Krau terserempak dengan empat individu terbabit memarahi pasangan warga emas itu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fadzillah Mohamed berkata, pegawai terbabit kemudian berhenti dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum cuba menenangkan keadaan.

Bayi lelaki menggigil ditemui bawah jambatan

TAPAH: Perasaan curiga seorang remaja perempuan berjaya menyelamatkan nyawa bayi malang yang ditinggalkan di bawah jambatan Sungai Liar berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah (TRAPSK), Sungkai petang kelmarin.
Lebih menyedihkan, ketika ditemui kira-kira jam 5.40 petang, bayi lelaki bertali pusat itu menggigil kesejukan kerana tidak berpakaian serta mengalami luka di telinga kiri, jari tangan kiri dan hidung dipercayai gigitan binatang.
Berdasarkan keadaan fizikal dan persekitaran kawasan dia ditinggalkan, peratusan bayi dipercayai berusia dua hari itu hidup begitu tipis jika remaja berkenaan tidak menemuinya. Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, remaja perempuan berkenaan berada di kawasan kejadian kerana menunggu ibu dan adik lelakinya pulang ke rumah selepas berkelah di Sungai Tesong.

“Remaja berkenaan mendengar bunyi seperti tangisan bayi dan selepas curiga, dia memberitahu keluarganya dan mereka turut mendengarnya.

“Mereka mencari arah suara itu sebelum menemui bayi tidak berpakaian menangis di bawah jambatan merentasi Sungai Liar. Mereka melaporkan penemuan bayi itu kepada polis,” katanya.

Abdullah berkata, pemeriksaan awal polis mendapati bayi itucedera di hidung, jari tangan kiri dan telinga kiri dipercayai akibat digigit binatang.

Katanya, selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai, bayi seberat 1.9 kilogram itu kemudian dirujuk ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pakaian bukan punca wanita dirogol: WOA

KUALA LUMPUR: Masyarakat harus mengubah persepsi faktor pakaian menjadi punca utama kes rogol di kalangan wanita sebaliknya perlu melihat pemikiran pelaku jenayah terbabit, kata Pengurus Projek dan Tadbir, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), Annie Varghese.
“Jika faktor pakaian dikatakan sengaja memberi peluang untuk dirogol, bagaimanakah dengan kejadian membabitkan murid sekolah beruniform lengkap ataupun warga emas? “Ibu bapa, guru dan pentadbir negara perlu memahami konteks berkenaan, sekali gus mengambil langkah sewajarnya bagi mengikis efahaman atau pandangan terbabit,” katanya ketika ditemui dalam program Malaysiaku-Festival Raikan Hari Malaysia, di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes rogol meningkat setiap tahun iaitu 3,098 kes pada 2007 berbanding 2,454 kes tahun sebelumnya dan ia semakin membimbangkan.

Selain itu, beliau berkata, wanita tidak seharusnya dibebani perasaan bersalah atas perilaku suami apabila wujudnya segelintir isteri menganggap diri adalah punca berlakunya keganasan dalam rumah tangga.

'Depan cakap lain'

KUALA LUMPUR: “Duit hantaran dan duit untuk buat majlis kenduri kahwin kami lapan tahun lalu adalah dua perkara yang berbeza. Dia sendiri tahu mengenai hal ini. Jika hendak tahu siapa bercakap benar atau tidak, saya mahu mengajak Norman Hakim ke masjid dan angkat sumpah depan al-Quran.
“Apapun yang berlaku , saya akan tetap menuntut hak saya termasuk beberapa perkara lagi yang belum selesai. Sehingga ke lubang cacing sekalipun, saya akan terus berusaha mendapatkannya semula,” tegas Abby Abadi, 32, berkenaan tuntutan hutang duit hantaran RM11.111.11.
Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, dia terpaksa mendedahkannya di akhbar kerana tiada jalan lain lagi menuntut segala yang menjadi haknya daripada bekas suami, Norman Hakim atau pemilik nama sebenar, Mohamed Nor Hakim Zaidon, 34.

“Saya sudah sampai pada satu tahap tiada cara lagi untuk mendapatkan hak saya semula. Saya juga sudah lama beri ruang kepadanya untuk menyelesaikan apa yang tertunggak selepas dua tahun kami bercerai.

“Sudah ratusan kali saya cakap dengannya tapi dia buat tak tahu saja. Mungkin ada yang mempertikaikan saya macam seronok hendak bercerita keaiban bekas suami tapi saya tak ada cara lain. Dia selalu cakap tak serupa bikin. Dengan saya dia cakap lain tapi dalam akhbar dia kata lain. “Kenapa dia suka meletakkan kesalahan dirinya pada orang lain. Selama ini saya minta dengan baik kenapa dia tidak memberi maklum balas. Kenapa apabila sudah tersiar dalam akhbar baru hendak bagi respons,” katanya.

Tambah Abby dalam nada kecewa, dia agak ralat dengan kenyataan Norman yang disiarkan akhbar ini kelmarin. “Dia sendiri buka pekung di dada. Duit hantaran dan duit kenduri kahwin dua cerita berbeza. Dia juga sebut perbelanjaan anak. Saya tak kata dia tidak beri belanja anak langsung tapi dia bagi bila dia rasa perlu.

“Apabila kami bercerai, yang terputus hubungan suami isteri tapi tanggungjawabnya terhadap anak-anak masih seperti biasa. Saya memang mampu menyara tiga anak tapi sebagai bapa dia tak boleh lepas tangan. “Dari satu segi memang tidak elok bercakap pasal keaiban orang tapi saya kena selalu beri amaran padanya. Saya nampak dia semakin berubah setahun sebelum kami bercerai dan perangainya yang sebenar terus terserlah. “Apa yang saya boleh cakap, apa yang saya dedahkan dalam akhbar ini benar. Saya tidak bermaksud memburukkan sesiapa tetapi dalam telefon, dia cakap dengan saya lain, dia beritahu pada media lain. Saya penat hendak melayan caranya yang kononnya berdiplomasi dan berhemah itu,” katanya.

Solat Jumaat hanya 10 jemaah

KANGAR: “Kami bersolat Jumaat tidak ramai, cuma lapan atau 10 orang yang diimamkan Shuit Ismail selaku ketua kumpulan serta bertindak sebagai khatib di surau kami di sini,” kata seorang daripada pengikut Kumpulan Jamiah Al Nadzir Awwalun yang ditahan pihak berkuasa kerana bersolat Aidilfitri dua hari lebih awal, minggu lalu.
Dia yang ditemui semalam dan enggan namanya disiarkan berkata, Shuit, 51, dengan lantang menyampaikan khutbah Jumaat dikarangnya sendiri yang kandungannya penuh dengan unsur peringatan dan nasihat agama sehingga menyebabkan jemaah khusyuk mendengarnya.
Katanya, isi kandungan khutbah Jumaat disampaikan Shuit melekat dalam hati dan kelebihan itu tidak pernah diperoleh sejak mula mempelajari Islam beberapa tahun lalu.

“Saya mengakui sejak aktif menyertai kumpulan berkenaan pada 2005, jiwa tenang dan minat mempelajari Islam kian membara. Saya berpuas hati apabila menyertai kumpulan ini,” katanya.

Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, dia bersolat Jumaat bersama ahli kumpulan di bangunan kedai milik Shuit yang dijadikan surau serta pusat pergerakan di sekitar Perlis.

Pengikut berusia lewat 40-an itu berkata, Shuit didakwa mempunyai ilmu tinggi dalam agama bertindak sebagai khatib serta imam bagi setiap solat Jumaat.

“Shuit membaca khutbah yang dikarangnya sendiri dan semua makmum khusyuk mendengarnya. Apabila dia tiada, salah seorang pengikut kanannya bertindak sebagai pengganti imam,” katanya.

Bagaiamanapun, dia enggan mengulas lanjut apabila ditanya perbuatan solat Jumaat di luar masjid ditetapkan dan tidak mencukupi 40 anak kariah salah di sisi agama dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

“Yang penting, kami tidak mengganggu sesiapa serta menghormati umat Islam yang lain, termasuk mengenai pendirian dan amalan mereka dalam beragama,” katanya.

Pada 8 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kangar menjatuhkan denda RM1,000 atau empat bulan penjara kepada Shuit selaku ketua Kumpulan Jamiah Al Nadzir Awwalun selepas didapati bersalah merayakan Aidilfitri terlalu awal.

Manakala lapan lagi pengikutnya, termasuk isteri, dua anak lelaki serta menantunya dikenakan hukuman denda RM900 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan ditetapkan.
Shuit mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 28 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 kerana mengingkari atau tidak menghiraukan titah perintah Raja Pemerintah berkenaan dengan memulakan puasa Ramadan, Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Haji.

Pengikut itu berkata, pada 8 September lalu, dia turut merayakan Aidilfitri tetapi tidak sempat bersolat sunat pada pagi itu bersama ahli kumpulan kerana sibuk urusan perniagaan.

“Saya mengakui ditegur isteri yang kehairanan melihat saya menyambut Aidilfitri dua hari lebih awal. Kami berpuasa dua hari lebih awal daripada ditetapkan pemerintah,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar pengikut kumpulan terbabit di Dumai, Indonesia turut merayakan Aidilfitri pada tarikh sama. Difahamkan, kumpulan itu diasaskan guru agama yang meninggal dunia pada usia 60-an, 2006 lalu di Dumai.

Polis cemburu ugut tembak bekas isteri

AMPANG: Hanya kerana cemburu dan mengesyaki bekas isterinya mempunyai hubungan sulit dengan rakan baik sendiri, seorang pegawai kanan polis sanggup mengacukan pistol dan mengugut akan menembak wanita terbabit pada penghujung Ogos lalu.
Malah, ugutan mahu menembak itu berlaku dua kali dan bukan saja isterinya, namun lelaki yang juga rakan baiknya turut sama diugut akan ditembak pegawai polis itu.
Mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu pada mulanya enggan mendedahkan perkara terbabit kerana khuatir dengan sikap panas baran bekas suaminya itu bagaimanapun selepas mendapat nasihat, dia akhirnya melaporkan kejadian itu kepada polis, Selasa lalu.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila bekas suami mangsa yang dikatakan naik angin kerana mengesyaki isterinya itu mempunyai hubungan dengan rakannya sendiri memukul mangsa hingga mukanya lebam.

“Mangsa dan lelaki terbabit dikatakan kerap bertengkar sejak beberapa bulan lalu dan setiap kali pertengkaran berlaku mangsa pasti dipukul bekas suaminya.

“Kemuncaknya berlaku pertengahan Julai lalu apabila mangsa bukan saja dipukul hingga bibirnya berdarah, malah dilafazkan cerai oleh suaminya itu,” katanya.

Sumber terbabit berkata, bagaimanapun mangsa masih lagi tinggal bersama bekas suaminya kerana menunggu keputusan mahkamah selepas dia memfailkan perceraian berkenaan. “Sepanjang tempoh tinggal bersama, mangsa turut dipukul hingga mengalami kecederaan di tangan membuatkan dia sudah tidak tahan dengan perangai bekas suaminya itu.

“Mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah dan mangsa hanya mengikut arahan itu bagi mengelak dicederakan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa cuba mendapatkan bantuan daripada seorang lelaki yang juga rakan bekas suaminya namun tindakan itu menimbulkan rasa cemburu bekas suami mangsa dan menuduh wanita terbabit mempunyai hubungan sulit.

SMS si gila bayang

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menolak cinta, seorang gadis kini tertekan selepas menerima puluhan khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah daripada ‘peminat’ gila yang berulang kali memujuk dan mengajak mangsa melakukan hubungan seks.
Lebih mengejutkan apabila SMS berbaur pelbagai perkataan seks itu termasuk ayat-ayat bertujuan menaikkan rasa ghairah terhadap mangsa dihantar sendiri peminat berkenaan yang juga dikatakan pengurus di tempatnya bekerja. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 29, berkata, dia mula mengenali lelaki berkenaan sejak bekerja di syarikat sama lima tahun lalu dan lelaki terbabit banyak membantunya dalam melicinkan urusan tugas.
Menurutnya, lelaki itu dipercayai menaruh hati terhadapnya dan pernah cuba memikatnya berulang kali, namun dia enggan menerima cinta daripada lelaki berkenaan atas pelbagai faktor termasuk usia. “Bagaimanapun lelaki terbabit tidak putus asa dan cuba untuk mendekati saya selain menggoda.

“Namun, saya terkejut apabila dia sanggup mengirimkan SMS berbaur lucah dan rangsangan seks ke telefon bimbit saya. Dia mungkin berharap saya akan memberi tindak balas terhadap SMS dihantarnya itu,” katanya. Terbaru, dia menerima tiga SMS dihantar ke telefon bimbitnya antara jam 10.50 hingga 11.30 malam daripada lelaki terbabit yang bersungguh-sungguh mengajaknya melakukan seks termasuk menggunakan perkataan merujuk kepada bahagian alat sulit wanita. “Lelaki berkenaan yang ketika itu sedang bercuti daripada tugas bukan hanya menghantar SMS lucah yang sukar diterima akal, malah turut menghantar SMS ugutan dipercayai akibat kecewa dengan cintanya ditolak. “Siri gangguan terbaru itu benar-benar membuatkan jiwa saya tertekan apatah lagi lelaki yang juga bekerja di tempat sama pernah meluahkan hajat nakal dengan mempelawa saya melakukan seks ketika dia sedang bertugas di pejabat,” katanya.

Menurutnya, gangguan seksual yang dialaminya itu menyebabkan dia malu dan seolah-olah harga maruah dirinya terlalu murah. Susulan itu, mangsa yang berasal dari Setapak, di sini, membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi bagi menghentikan gangguan seksual dialaminya itu.

“Tindakannya itu menyebabkan saya menjadi takut tidak keruan dan mengalami tekanan perasaan akibat gangguan berterusan dilakukan itu.

“Berikutan itu, pegawai polis menyiasat kes itu mengambil telefon bimbit saya untuk dijadikan bukti. Malah, polis turut datang ke pejabat saya untuk melakukan siasatan,” katanya. Bagaimanapun, difahamkan lelaki berusia 40-an yang kini sedang bercuti panjang mengambil keputusan berhenti kerja. Difahamkan, polis kini sedang melakukan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang ditemui berkata, polis memandang serius laporan gangguan seksual diterima mangsa dan siasatan rapi akan dilakukan. Menurutnya, polis terlebih dahulu akan mengenal pasti bentuk gangguan seksual yang dialami mangsa sama ada ia hanya dalam bentuk SMS atau turut membabitkan sentuhan fizikal. “Jika ia membabitkan penghantaran gambar lucah atau sebagainya, suspek boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.