Search This Blog

Thursday, September 16, 2010

2 juruteknik Russia tenat

MAKASSAR: Dua juruteknik Russia yang ditugaskan menyelenggara jet pejuang Sukhoi yang dibeli kerajaan Indonesia dikejarkan ke hospital semalam.
Kedua-duanya dimasukkan ke Hospital Wahidin Sudirohusodo selepas pening dan loya seperti yang dialami ketiga-tiga juruteknik yang mati Isnin lalu.
Pemerintah Pangkalan Udara Sultan Hasanuddin di Makassar, Agus Supriatna berkata, dua juruteknik berkenaan dihantar ke hospital kerana bimbang kesihatan mereka semakin buruk.

Sementara itu, sepasukan doktor Russia tiba di Makassar semalam dan dibawa terus ke hospital itu.

Juruteknik terbabit, Andre Zaykay dan Andre Spalov menjalani pemeriksaan, termasuk ujian air kencing, darah serta jantung, kata Ketua Bahagian Perkhidmatan Perubatan hospital itu, Khalik Saleh.

“Ketika dimasukkan, keadaan mereka tidak begitu teruk. “Bagaimanapun, kedua- duanya mengadu pening dan loya. Mereka mengadu sukar tidur selepas kematian tiga rakan mereka,” kata Khalik.

Mayat ketiga-tiga warga Russia yang mati sebelum ini masih disimpan di bilik mayat Hospital Bhayangkara di Sulawesi Selatan.

Ketua Polis wilayah itu, Inspektor Jeneral Jhony Waenal Usman berkata, ketiga-tiga mangsa mengadu berdepan dengan masalah sama, pening, loya dan sukar bernafas.

Bagaimanapun, katanya, polis belum dapat mengesahkan punca sebenar kematian.

Kelima-lima juruteknik itu adalah anggota pasukan seramai 37 orang yang terdiri daripada juruteknik, mekanik, penyelia dan inspektor yang ditugaskan menyelenggara program jet pejuang Indonesia.

Mereka tiba pada 5 September lalu sementara jet Sukhoi yang dibeli kerajaan Indonesia tiba lima hari kemudian.
“Kami masih menunggu keputusan bedah siasat daripada pasukan perubatan polis dan Universiti Hasanuddin di Makassar di samping hasil ujian daripada makmal forensik terhadap beberapa bukti yang ditemui di tempat mangsa mati.

Bukti itu, termasuk ubat yang dibawa mangsa dari Russia dan saki baki minuman serta contoh cecair yang diambil daripada perut mangsa. - Agensi

Majlis Peguam diminta bersih imej profesion

MELAKA: Majlis Peguam Malaysia perlu menjalankan pemeriksaan terhadap semua peguam dan pengamal undang-undang di negara ini terutama mereka yang pernah dikaitkan dengan jenayah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, selain polis, majlis yang menjadi badan tertinggi peguam di negara ini perlu bertindak segera bagi membersihkan imej institusi guaman yang ketika ini mula tercemar.

“Bagi saya, amat malang sekali apabila seseorang peguam boleh terbabit kes jenayah,” katanya.

Keluarga Ampatuan cuba rasuah penasihat Gloria

MANILA: Satu kumpulan suku kaum Ampatuan menyediakan sejumlah besar wang rasuah rasuah untuk menutup kes pembunuhan 57 orang, termasuk 30 wartawan, kata seorang saksi kepada mahkamah, semalam.
Andal Ampatuan Jnr, defendan utama dan lebih 100 pengikutnya, didakwa menembak mangsa November lalu dalam usaha menghalang seorang pencabar bertanding menentangnya untuk jawatan gabenor. Bekas pekerja keluarga Ampatuan, Lakmudin Saliao berkata, keluarga itu menyediakan 50 juta peso (RM3.5 juta), seperlima daripadanya untuk merasuah seorang anggota Kabinet presiden ketika itu, Gloria Arroyo bagi memastikan tuduhan terhadap mereka digugurkan.
“Andal Ampatuan Snr dikatakan memberi wang kepada Dureza sebanyak 10 juta peso (RM700,000).

Lakmudin memberitahu mahkamah, dia merujuk kepada Jesus Dureza, penasihat kanan yang dihantar oleh Gloria ke kawasan kediaman keluarga Ampatuan selepas pembunuhan beramai-ramai itu.

Dureza dihantar ke sana untuk meyakinkan keluarga itu supaya menyerahkan suspek utama kejadian berkenaan. - AFP

Wanita bogel larikan teksi selepas pemandu tolak permintaan

COVINGTON, La (Amerika Syarikat): Polis Louisiana melaporkan seorang wanita melucutkan pakaiannya di tempat duduk penumpang belakang dalam sebuah teksi, semalam.
Wanita terbabit yang meminta pemandu teksi itu membawanya pulang mencuri teksi berkenaan apabila permintaannya ditolak pemandu teksi itu.
Menurut sumber polis, Kapten Jack West, pemandu teksi itu mengambil Jennifer Gille, 29, dari St. Clair Shores di Michigan kira-kira jam 1 pagi. West berkata, Jennifer enggan turun sebaik tiba di rumahnya sebaliknya dia melucutkan pakaian dan meminta pemandu teksi itu membawanya pulang ke kediaman pemandu teksi berkenaan. Pemandu teksi itu lalu memecut ke balai polis berhampiran dan sebaik dia memasuki balai polis, Jennifer melarikan diri bersama teksinya. - Agensi

Kes bunuh Sosilawati: 'Kami sangat rapat'

KUANTAN: Bekas suami jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, Nasharudin Elias atau Nash menyifatkan pemandu peribadi bekas isterinya, Kamaruddin Shamsudin, 44, seperti adik kandung kerana hubungan yang terjalin rapat antara mereka sejak 25 tahun lalu.
Katanya, hubungan itu terjalin sebelum Kamaruddin mendirikan rumah tangga lagi ketika bekerja sebagai jurutera bunyi di King Studio di Kuala Lumpur.
Menurutnya, Kamaruddin banyak membantunya melakukan kerja muzik terutama sistem bunyi sama ada dalam studio mahu pun konsert ketika dia bersama kumpulan Lefthanded.

“Malah, ketika dia mengadakan majlis perkahwinannya di sini, saya turut sama memasak makanan untuk hidangan majlis itu.

“Hubungan kami terlalu rapat dan keluarganya juga sudah seperti keluarga saya, malah saya pernah menjaga dua anak Kamaruddin ketika mereka tinggal di Shah Alam dan menghantar seorang anaknya ke sekolah di situ selama setahun,” katanya selepas melawat ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad, 73, dan ahli keluarga lain di Indera Mahkota 2 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Mohd Hazmi Yusof dan Skuad Sayang Wanita Umno Indera Mahkota dan rakan artis, Mohd Ali Ismail atau Ali Terra Rossa.

Katanya, berita mengenai penemuan mayat keempat-empat mangsa termasuk bekas isterinya dan Kamaruddin diketahui pada Aidilfitri lalu ketika berada di Sabah atas urusan peribadi.

“Bayangkan hubungan kami terlalu akrab dan anak-anaknya seperti anak saya sendiri dan saya dikejutkan dengan berita buruk ini.

“Saya berharap anak-anak Kamaruddin sentiasa menghadiahkan doa kepada bapa mereka supaya rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang soleh,” katanya.

Ali yang juga bekas penyanyi utama kumpulan XPDC, menyifatkan Kamaruddin seorang yang suka bergurau dan disenangi rakan-rakannya.

Katanya, Kamaruddin sentiasa membantu persembahan kumpulannya khususnya penyusunan sistem muzik jika mereka terbabit dalam sebarang konsert.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada tahun lalu dan tidak menyangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya

George Michael dijel 8 bulan

LONDON: George Michael meratap kesedihan apabila seorang hakim mendakwa penyanyi itu seorang penagih dadah dan dihukum penjara kerana merempuh sebuah kedai dengan keretanya, semalam.


MICHAEL tiada inisiatif henti ketagihan.
MICHAEL tiada inisiatif henti ketagihan.

Michael dihukum penjara lapan bulan selepas didapati memandu di bawah pengaruh ganja dan ubat anti-kemurungan.Hakim memerintahkan penyanyi berusia 47 tahun itu dipenjara kerana kegagalannya berhenti menagih dadah walaupun pernah didakwa beberapa kali atas kesalahan sama sebelum ini.

Michael dianggap berbahaya kepada masyarakat kerana penyanyi itu tidak pernah mengambil inisiatif untuk menghentikan ketagihannya terhadap ganja.

Michael yang mempersalahkan kematian ibunya akibat barah pada 1997 menjadi punca kejatuhan kariernya meratap kesedihan ketika dibawa ke sel tahanan. Teman gay beliau, Kenny Goss turut bersedih di atas nasib yang menimpa Michael.
Michael dibawa ke Penjara Pentonville di utara London yang turut memuatkan tahanan yang bersalah kerana menyamun, pesalah seksual dan pengedar dadah. Boy George dan Pete Doherty dikatakan pernah menjadi penghuni penjara ini.

Populariti Michael menerusi kumpulan duet Wham pudar sejak dia menghadapi tuduhan melakukan aksi lucah di sebuah tandas awam di Los Angeles pada 1998.

Sejak itu, Michael mula menghadapi masalah ketagihan ganja dan kokain. Dia juga pernah didakwa beberapa kali kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Michael membuat onar lagi apabila Range Rover dipandunya merempuh sebuah kedai gambar di Hampstead di utara London pada 4 Julai lalu. - Agensi

'Saya tak hutang Abby'

KUALA LUMPUR: “Tidak timbul langsung soal hutang wang hantaran kerana saya dan Abby sudah berbincang dan bersetuju bersama membelanjakan wang terbabit untuk majlis perkahwinan,” kata aktor Norman Hakim, 34, mengenai dakwaan bekas isterinya yang juga pelakon, Abby Abadi, 32, yang disiarkan Harian Metro semalam bertajuk ‘Norman hutang hantaran RM11,111.11’.
Menurut Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nor Hakim Zaidon, wang berkenaan dipersetujui bersama untuk kos majlis persandingan pada 31 Ogos 2002 di Perdana Grand Ballroom, Dewan Felda, Jalan Semarak, di sini, selepas mereka selamat bernikah pada 8 Januari tahun yang sama.
“Kami (merujuk kepada dia dan Abby) sudah belanjakan wang itu atas persetujuan bersama untuk membuat majlis perkahwinan besar. Apabila terjadi perselisihan faham tiba-tiba dah jadi hutang. Kami saja yang tahu masa mula-mula nak kahwin dulu.

“Apapun saya sebenarnya tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan kami dengan mengeluarkan macam-macam kenyataan. Cuma saya sedih sebab isu ini timbul ketika saya masih belum masuk kerja kerana dalam mood raya dan bertunang,” katanya.

Ditanya adakah dia akan melayani tuntutan hutang hantaran didakwa bekas isterinya itu, Norman yang kesal, kecewa dan sedih dengan dakwaan berkenaan menyatakan dia tidak berhutang apa-apa pun dengan Abby.

“Keperluan ada dua iaitu material dan kasih sayang. Janganlah segala kasih sayang tak nampak langsung hingga saya seolah-olah kejam, tak pernah memberi sumbangan dan tak berfungsi kepada keluarga.

“Selama ini apa jua kenyataan (Abby), saya cuma tunggu dan lihat sebab nak jaga hubungan baik dengan bekas isteri. Bagaimanapun jika terus tunggu dan lihat, orang akan memperkatakan ia betul walaupun hakikatnya jelas bias (berat sebelah).

“Anak-anak telefon saya tanya saya ok ke? Bagaimana dengan maruah dan hati keluarga dan saudara mara apabila keluar dakwaan sebegini,” katanya.

Norman berkata, selama ini dia mengandaikan Abby takkan terlalu berkira dengannya kerana dia juga bersikap sama terhadap bekas isterinya itu.

Tiba-tiba, katanya, dia langsung tidak menyangka dan sungguh terkejut apabila membaca laporan semalam apabila Abby meminta dia menjelaskan hutang hantaran kahwin RM11,111.11 yang realitinya sudah dibelanjakan bersama.

Seperkara lagi dikesalkan Norman ialah apabila Abby mengungkit jumlah sen perbelanjaan untuk tiga cahaya mata mereka iaitu Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5 dan Maria Danisha Hakim, 2. “Takkanlah saya nak beritahu secara tepat segala jumlah nafkah anak dalam media. Janganlah jadikan anak-anak umpama perisai dijaja aib merata tempat.
“Benar, perbelanjaan anak ada orang serah duit bulat-bulat kepada isteri. Tetapi saya beri ikut tahap kemampuan dan saya rekodkan supaya ia mencukupi untuk keperluan. Dalam hal ini perlulah lebih fleksibel serta bersama tunai tanggungjawab.

“Selepas itu dakwa pula saya tak meluangkan masa untuk anak umpama saya macam dah meninggal dunia dan tak wujud...padahal saya beraya dengan mereka,” katanya.

Apapun, Norman berkata dia memberikan kenyataan kali ini adalah untuk menjernihkan status bahagian dirinya yang digambarkan seolah-olah sangat kejam, bersifat tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

Kes bunuh Sosilawati: Segera dakwa mereka!

KUALA LUMPUR: Beberapa pihak meminta siasatan terhadap kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya diberi keutamaan supaya semua tertuduh dapat dihadapkan ke mahkamah dengan segera.
Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang ditemui di ketika menziarahi keluarga Noorhisham Mohammad berkata, Jabatan Peguam Negara diharap dapat menyegerakan pendakwaan terhadap suspek sebaik saja siasatan polis selesai.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Sebelum itu, Noh turut menziarah keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak. Katanya, Sosilawati yang dikenalinya adalah seorang usahawan Bumiputera yang berjaya serta dermawan. “Saya secara peribadi memang mengenali beliau sejak menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memandangkan beliau seorang usahawan Bumiputera yang berjaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataannya berkata, bukan saja jenayah yang dilakukan tertuduh ke atas semua mangsa itu begitu kejam, malah suspek sebelum ini dipercayai pernah terbabit beberapa kes bunuh membabitkan mangsa lain.

Kes bunuh Sosilawati: >Suspek seorang panas baran

KUALA LUMPUR: Suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga individu lain yang juga seorang peguam berstatus Datuk disifatkan sebagai seorang yang panas baran.
Ini terbukti apabila seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Taman Kinrara, Puchong yang dihuni isteri dan dua anak suspek pernah membuat satu laporan polis terhadapnya.
Pengawal keselamatan terbabit dikatakan menjadi mangsa ugutan Datuk berkenaan selain dia turut dimarah dan dikasari lelaki itu sebelum dia melaporkan kejadian terbabit kepada polis.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku setahun lalu dan ketika itu, peguam terbabit membawa beberapa rakan ke kondominium itu sebelum pengawal terbabit menahannya di pondok pengawal.

“Pengawal keselamatan terbabit memberitahu orang luar tidak dibenarkan masuk kerana sudah melebihi masa ditetapkan, namun Datuk berkenaan berang dan memberitahu yang dia membawa ‘barang’ untuk berpindah.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum Datuk itu mengugut dan mengasari pengawal keselamatan itu,” katanya.

Harian Metro difahamkan, kondominium itu dibeli peguam terbabit dan hanya isteri bersama dua anaknya yang menetap di situ.

“Tiga beranak itu menetap di situ sejak setahun lalu dan mereka akan pulang ke Banting hujung minggu berikutan anak suspek bersekolah di Puchong,” katanya.

Kes bunuh Sosilawati: Nafi dapat khidmat bekas polis

BANTING: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin menafikan kononnya pihaknya kini mendapatkan khidmat pakar forensik iaitu seorang bekas polis Superintendan Amidon Anan yang pernah terbabit dalam kes berprofil tinggi seperti pembunuhan Canny Ong dan Altantuya Shaariibuu.
Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci dan pasukan sedia ada kini sedang berusaha mendapatkan bukti terbaru berhubung kes itu.
“Pihak media jangan cuba membuat spekulasi dan ketika ini polis sedang membuat siasatan,” katanya.

Harian Metro difahamkan Amidon ada dihubungi pihak terbabit bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai kes pembunuhan ini namun beliau dikatakan sedang mempertimbangkan perkara berkenaan.

Amidon Anan sebelum ini disebut-sebut akan dipanggil bagi membantu siasatan forensik di kawasan berkenaan apabila dia pernah mengendalikan kes berprofil tinggi sebelum ini.

Kes bunuh Sosilawati: Pelupus bukti mahir jalan ladang

BANTING: Seorang daripada lapan suspek yang ditahan dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga rakannya ditugaskan untuk melupuskan bahan bukti dengan membuang kepingan zink yang digunakan membakar mayat semua mangsa ke dalam sungai berhampiran rumahnya di Kampung Gelanggang Buaya, di sini sebaik semua mangsa dibunuh.
Menurut sumber, suspek terbabit mungkin beranggapan lokasi pembuangan bahan bukti itu tidak akan ditemui tambahan pula ia dihanyutkan arus selain tertanam dalam lumpur.
“Selain itu, suspek dikatakan turut mengetahui selok belok kawasan terbabit berikutan dia memang sudah biasa dengan jalan di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, segala rahsia terbongkar apabila suspek menunjukkan lokasi tempat pembuangan zink berkenaan yang dipercayai digunakan untuk tujuan membakar mangsa sebaik ditahan,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Harian Metro di lokasi penemuan barangan yang mungkin boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan terbabit, ia jelas menunjukkan individu yang terbabit berkemungkinan berasal dari kawasan sama dan mahir dengan selok-belok jalan ladang kelapa sawit berkenaan.

Bagaimanapun, sumber tidak memaklumkan sama ada suspek berkenaan adalah remaja berusia 19 tahun yang turut ditahan bersama lapan suspek lain atau sebaliknya.

Jabatan Forensik kelmarin menemui beberapa kepingan zink yang dipercayai turut digunakan dalam insiden terbabit malah turut terdapat kesan hitam dipercayai terbakar.

Penemuan berkenaan antara beberapa petunjuk penting yang dipercayai mampu melancarkan proses penyiasatan kes berprofil tinggi terbabit selain beberapa telefon bimbit pintar termasuk jam tangan mewah dipercayai milik Sosilawati yang dibuang suspek di Sungai Kanchung Laut.

Tinjauan lanjut mendapati keadaan sungai berkenaan agak keruh dan sungai berkenaan agak dalam berikutan keadaannya yang berteluk di samping turut diselaputi lumpur.

Kes bunuh Sosilawati: 4 diarah hubungi keluarga

KUALA LUMPUR: Semua keluarga mangsa pembunuhan kejam bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati diarah menghubungi keluarga masing-masing pada malam 30 Ogos lalu memaklumkan mereka hanya akan pulang selepas tiga hari atas urusan kerja.
Seorang ahli keluarga perunding kewangan, Noorhisham Mohammad yang juga rakan kepada Ahmad Kamil Abd Karim, 32, berkata dia difahamkan keluarga Ahmad Kamil turut mendapat panggilan sama memberitahu tidak pulang tiga hari.
“Saya mendapat tahu, keluarga Ahmad Kamil juga dihubungi mengenai perkara sama pada malam itu seperti diterima isteri Noorhisham, Suzana Radim Pangat.

“Disebabkan itu semua keluarga terbabit dalam kes ini tidak membuat laporan polis pada hari kehilangan mereka,” katanya yang ditemui semalam.

Menurutnya, pada hari itu, Noorhisham memberitahu isteri yang dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan kerja dan sebelum bertolak ke sana, dia juga menelefon memberitahu akan menumpang kereta Ahmad Kamil manakala keretanya ditinggalkan di Shah Alam.

Katanya, pada malam itu kira-kira jam 8 malam, Suzana mendapat panggilan Noorhisham dalam keadaan tergesa-gesa memberitahu tidak akan balik rumah tiga hari serta meminta maaf sebelum memutuskan panggilan telefon.

Kes bunuh Sosilawati: Objek baru

BANTING: Unit Forensik menemui beberapa lagi objek yang dipercayai bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki lain di Sungai Panchau, di sini, petang semalam.
Polis yang memulakan operasi pada jam 3.30 petang ini dilihat membawa beberapa objek termasuk satu bungkusan yang kelihatan seperti tulang di dalamnya.

Usaha pihak media menghampiri kawasan itu bagi melihat dengan lebih jelas operasi itu gagal berikutan kawalan ketat dan hanya dibenar berada kira-kira 100 meter dari kawasan itu. Operasi itu berakhir pada jam 5.30 petang.

Kes bunuh Sosilawati: Sepakat jaga anak saudara

BATU PAHAT: Meskipun Datuk Sosilwati Lawiya telah kembali ke Rahmatullah, nasib anaknya bakal terbela berikutan adik-beradik jutawan kosmetik itu sepakat bergilir-gilir ke ibu kota bagi menjaga kebajikan dan memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka.
Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, perkara berkenaan diputuskan hasil muafakat adik-beradik mereka bersama anak ahli perniagaan berkenaan baru-baru ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Di saat sukar seperti ini, sudah tentulah sokongan dan semangat berterusan daripada ahli keluarga diperlukan bagi mereka menghadapi tragedi yang menimpa.

“Walaupun, mereka nampak tenang pada zahirnya, kita tidak tahu apa yang terpaksa batin mereka tanggung terutama apabila kes ini terungkai satu demi satu di dada akhbar dan media elektronik.

“Saya dan adik-beradik Kak Wati yang lain sendiri tidak sanggup lagi menatap mahupun mendengar laporan berita mengenai kes ini yang didedahkan, bayangkan apa yang terpaksa dilalui anak Kak Wati ketika ini.

“Hancur luluh hati ini melihatkan mereka terpaksa menanggung keperitan ini dalam usia yang masih muda,” katanya sebak.

Misjan berkata, adik-beradik Sosilawati juga berjanji memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka selagi anak ahli perniagaan itu mahukan serta perlukan.

“Jasa Kak Wati kepada kami semua amat besar dan ini antara yang termampu kami lakukan bagi membalas budinya dan sebagai tanda kasih sayang kami yang tulus ikhlas.

“Selagi anak Kak Wati memerlukan kehadiran kami, selagi itu kami rela berkorban apatah lagi sehingga kini hasil ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum diperoleh,” katanya.

Tak sempat jamah

HULU BERNAM: “Saya sedih mengenangkan mangsa tidak sempat menjamah ketupat palas dari kampung bersama rakan di ibu negara apabila mereka maut dalam kemalangan ini,” kata Mohd Najib Hussin, 34, sepupu Sunita Abu Bakar, 25 yang ditemui rentung bersama suaminya, Azri Ismail, 27, dalam kemalangan yang mengorbankan empat nyawa di Kilometer 394 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, jam 8.05 pagi, semalam.
Katanya, lebih menyedihkan apabila Sunita hangus bersama anak lelakinya, Muhammad Amar Haikal Azri, 13 bulan, dan pekerja suaminya, Mohd Hanizam Abdul Mutalib, 20, yang berasal dari Air Hitam, Alor Setar.

Menurutnya, mangsa memandu Proton Persona dalam perjalanan pulang dari Kedah ke Kota Damansara selepas pulang menyambut Aidilfitri di kampung minggu lalu.

Anak cium pipi berkali-kali

LANGKAWI: Ibu Mohd Hanizam Abdul Mutalib, 20, seorang mangsa kemalangan maut di Kilometer 394, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, Perak, pagi semalam, tidak menyangka keghairahan anaknya untuk bekerja di Kuala Lumpur berakhir tragedi ngeri.
Malah, perubahan sikap Mohd Hanizam yang memohon maaf dan mencium pipinya berkali-kali sebelum keluar dari rumah mereka di Kampung Kelubi, Mukim Ayer Hangat di sini, menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Raziyah Osman, 38, ketika ditemui berkata, dia masih terbayang-bayang saat anaknya, Allahyarham Mohd Hanizam yang gembira memberitahu dia dan rakan akan ke ibu negara untuk bekerja di sebuah spa.

Mohd Hanizam yang juga anak sulung daripada empat beradik memberitahu Raziyah sudah tiba masanya dia berdikari dan tidak mahu menyusahkan ibunya yang juga suri rumah sepenuh masa.

“Selepas bersalam dan mencium pipi saya berkali-kali, Mohd Hanizam bertolak dari rumah pada petang Ahad dan dia tidur di rumah kawannya di Alor Setar sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 10.30 pagi hari ini (semalam) saya dikejutkan dengan kedatangan anggota polis trafik dan memaklumkan Mohd Hanizam antara empat mangsa kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.

Pendatang 'serang' waktu raya

SEPANG: “Tiada istilah raya apabila membabitkan pemantauan pintu masuk negara. Malah, imigresen menggiatkan kawalan terutama di dua pintu masuk menerusi udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman.
Menurutnya, kawasan terbabit biasanya menjadi lambakan kemasukan warga Bangladesh yang mengambil kesempatan cuti Aidilfitri kerana menganggap kononnya pihak berkuasa mengurangkan kawalan kerana beraya.
“Adakalanya dalam satu penerbangan terdapat 200 warga Bangladesh memasuki negara ini. Boleh dikatakan waktu perayaan sebegini menjadi ‘serangan’ kedatangan bertalu-talu dari sana kerana merasakan kami sibuk beraya hingga mengurangkan kawalan masuk.

“Ketika ini anggota imigresen sibuk memeriksa urusan ketibaan mereka. Kami membenarkan mereka berlegar-legar di terminal lapangan terbang KLIA hanya 12 jam dan jika tiada majikan yang mengambil, kami akan hantar mereka ke depoh tahanan,” katanya.

Bagi pendatang dari Indonesia, kata Abdul Rahman, biasanya mereka akan berpusu-pusu masuk ke negara ini selepas sebulan beraya di kampung halaman.

Sementara itu Ketua Imigresen KLIA, Mohd Zulfikar Ahmad, ketika ditemui dalam operasi di LCCT malam tadi, berkata seramai 8,346 warga asing dihantar pulang serta-merta kerana tidak dibenarkan masuk (NTL) termasuk 5,051 warga Bangladesh bagi tempoh sepanjang tahun ini.

Menurutnya, kebanyakan kes membabitkan warga Bangladesh adalah penipuan pasport, memiliki dua pasport, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan cuba masuk dalam negara ini menggunakan permit lama.

“Ada juga yang sangat meragukan kononnya mempunyai ijazah sarjana kejuruteraan, tetapi bila tanya ‘what is your name?’ (siapa nama kamu) pun tak tahu jawab kerana tidak pandai berbahasa Inggeris langsung.

“Selain itu, kami mengesan taktik ejen di sini menyamar teman wanita atau teman lelaki warga Bangladesh yang tiba di lapangan terbang,” katanya.

Ibu beri izin tahan lebih lama

KUALA LUMPUR: “Saya menafikan dakwaan bekas suami. Selaku ibu yang bertanggungjawab menghantar anak ke Pusat Jagaan Raudhatus Sakinah (RS), saya sudah melanjutkan tempoh penjagaan kerana yakin ia akan memberi manfaat kepada anak saya.


KESAL...Norzaimah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan bekas suaminya.
KESAL...Norzaimah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan bekas suaminya.

“Anak saya masih memerlukan bimbingan sempurna,” kata Norazimah Mohamad Nor, 35, ketika mengulas dakwaan bekas suaminya.
Harian Metro kelmarin melaporkan, bekas suaminya Norzairi Jantan, 41, mendakwa pengurusan pusat jagaan itu enggan membebaskan anaknya yang menjadi penghuni di sana biarpun tempoh jagaan di pusat berkenaan tamat Ogos lalu.

Dalam laporan itu, Norzairi turut mendakwa dilarang melawat anaknya oleh pengurusan RS dengan alasan mereka bertindak atas arahan Norazimah biarpun perkara itu dinafikan bekas isterinya.

Katanya, Norzairi tidak dibenarkan bertemu anaknya kerana gagal mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak pengurusan mengenai masa depan kanak-kanak itu.

“Dia enggan hadir berbincang biarpun sudah dimaklumkan oleh RS. Seharusnya bekas suami sedar anak kami dimasukkan ke pusat itu kerana masalah moral ketika di bawah jagaannya.

“Seolah-olah lupa perkara itu, dia mendesak RS membebaskan anak kami selepas tempoh satu tahun tamat, tetapi saya melanjutkan tempoh itu kerana khuatir sekiranya bekas suami menjaga semula anak itu perkara sama berulang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, Norzairi juga sudah dimaklumkan dia boleh melawat anaknya pada 1 dan 2 Syawal, namun bekas suaminya itu hanya datang pada hari ketiga Syawal menyebabkan dia tidak diberi kebenaran melawat.

Sementara itu, Pengarah RS, Rosmawati Zainal, berkata sudah termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) pusat jagaan itu bahawa ibu bapa perlu hadir berbincang bersama pengurusan RS tiga kali sepanjang tempoh jagaan anak mereka sebelum penghuni dibebaskan.

Katanya, pertemuan dengan ibu bapa dilakukan bagi membincangkan mengenai masa depan penghuni khususnya berhubung aspek pendidikan dan persekolahan.

'Biar keadilan dilaksana'

SEREMBAN: “Saya cuma mahu proses keadilan berjalan sewajarnya dan tertuduh akan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukannya.”


DIDAKWA...Ali dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban, semalam.
DIDAKWA...Ali dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

Begitu kata Mohd Yusof Awang Besar, 37, suami kepada seorang ustazah, Norliza Ishak, 35, yang ditemui mati bersama anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, di Port Dickson, dekat sini, awal bulan ini.

Semalam, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, terhadap dua tuduhan berasingan membunuh dua beranak itu di sebuah flat di bandar peranginan terbabit.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ali Tan Abdullah, 34, yang memakai baju lokap berwarna jingga.

Mengikut tuduhan pertama, tertuduh yang juga jiran mangsa didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Norliza di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson, antara jam 3.15 petang, 2 September lalu hingga jam 10.15 pagi keesokan hari.

Bagi tuduhan kedua, Ali Tan yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dan gas didakwa turut melakukan perbuatan sama terhadap Amirul Ayman di tempat tarikh dan masa sama.
Berikutan itu, bagi kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret M Mageshwary menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Oktober depan di mahkamah sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala tertuduh diwakili John Fernandez.

Mohd Yusof ketika ditemui Harian Metro berkata, dia yang bermalam seketika di Senawang, di sini, untuk menghadiri prosiding berkenaan sememangnya tidak mengenali tertuduh.

“Saya akan pulang ke Kelantan hari ini (semalam) dan akan hadir semula ke mahkamah pada 18 Oktober depan,” katanya yang turut ditemani beberapa ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kedua-dua tangan dan kaki mangsa diikat dengan tali serta pita pelekat manakala mulut ditutup dengan kain sarung ketika mayat mereka ditemui.

Mayat Norliza dan Amirul Ayman ditemui jam 10 pagi oleh rakan dan pihak pengurusan bangunan yang melakukan pemeriksaan selepas mangsa dilaporkan tidak hadir mengajar di sekolah rendah di bandar peranginan itu.

Suspek kemudian diberkas polis di rumah neneknya sehari selepas penemuan mayat berkenaan.

Patah balik ambil ketupat

ALOR SETAR: “Kami sekeluarga terkejut dan marah melihat arwah dan keluarganya berpatah balik ke rumah semata-mata mahu mengambil ketupat palas yang tertinggal. Ketika itu, mereka sudah sampai di Kulim kira-kpix_middleira 150 kilometer dari sini.

“Orang tua-tua pesan jika sudah keluar rumah, tidak baik berpatah balik bimbang sesuatu buruk berlaku,” kata Suhaimi Abu Bakar, 27, abang Sunita, 25, yang maut bersama suami, anak serta rakannya dalam kemalangan di Kilometer (KM) 394 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Hulu Bernam, pada jam 8.05 pagi semalam.

Kereta Proton Persona dipandu suami mangsa, Azri Ismail, 27, terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lori yang berhenti di tepi jalan sebelum terbakar dan menyebabkan semua mangsa rentung.

Suhaimi berkata, arwah adiknya keluar rumah di Kampung Permatang Bonggor, Air Hitam, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, untuk pulang ke Kota Damansara, Selangor.

Turut berada dalam kenderaan, anak pasangan itu, Muhammad Amar Haikal Azri, 13 bulan dan pekerja suaminya, Mohd Hanizam Abdul Mutalib, 20.

“Kami tidak sangka mereka boleh berpatah balik walaupun sudah menempuh perjalanan yang jauh di Kulim kira-kira 150 kilometer.
“Saya dan keluarga terkejut dan marah kerana melihat mereka berpatah balik semata-mata mahu mengambil ketupat palas yang tertinggal di rumah kami.

“Arwah sempat bersembang dengan ahli keluarga lain kerana dia terlalu berat untuk meninggalkan kami memandangkan ketika itu ramai saudara-mara berkumpul di rumah kami.
“Mereka mula bertolak pulang kira-kira jam 10.30 malam kelmarin selepas puas melepaskan rindu bersama ahli keluarga lain,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Bonggor di sini, semalam.

Sementara itu, Suhaimi berkata, Sunita anak ketujuh daripada lapan beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebaliknya sentiasa ceria bersama ahli keluarga dan saudara-mara.

“Arwah pulang ke sini pada Rabu lalu, dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Dia kelihatan sungguh gembira dapat berjumpa ibu, Natrah Omar, 60, serta adik-beradik lain.

“Arwah dan suaminya sudah beberapa bulan membuka pusat kecantikan dan spa di Kuala Lumpur. Kami tidak sangka arwah berpatah balik ke rumah petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Ketika ditemui semalam, Suhaimi berkata, ibunya belum mengetahui kejadian itu kerana dia keluar rumah manakala ahli keluarga lain sedih selepas mendapat tahu mengenainya.

16 anjing ganas

BANTING: Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain membela 16 anjing rottweiler bagi mengawal ladangnya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini selain digunakan untuk menakutkan mangsa jika enggan mengikut arahan.


PERSINGGAHAN TERAKHIR...Sosilawati dilihat kali terakhir di restoran makanan laut berdekatan tempat pembunuhan jutawan kosmetik bersama tiga rakannya.
PERSINGGAHAN TERAKHIR...Sosilawati dilihat kali terakhir di restoran makanan laut berdekatan tempat pembunuhan jutawan kosmetik bersama tiga rakannya.

Semua mangsa suspek dikatakan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan sekiranya tidak mahu bekerjasama atau enggan mematuhi arahan.
Difahamkan, ladang berkenaan juga mempunyai beberapa unit rumah seakan chalet menempatkan sebuah rumah yang eksklusif dan kolam renang.

Sosilawati dan rakannya juga dipercayai ditakutkan dan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan. Malah, semua mereka dipercayai dibunuh selepas suspek berpendapat sukar mengawal mereka.

Semua mangsa dibelasah dengan kayu kriket sebelum dibunuh seorang demi seorang. Mayat mangsa dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan melupuskan bukti.

Menurut sumber, sebelum ini pernah seorang lelaki dicampak suspek ke dalam kandang anjing berkenaan selepas ingkar arahan membabitkan satu urus niaga.

Suspek yang juga seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun ditahan serta adiknya berusia 38 tahun pada 11 September lalu bersama enam lain termasuk dua wanita sebelum kes pembunuhan kejam dilakukannya terbongkar.

Berdasarkan maklumat, suspek memiliki kekayaan melampau dalam akaun berjumlah jutaan ringgit di dalam dan luar negara, selain hartanah antaranya dua unit rumah semi-D di Banting, unit apartmen di Taman Kinrara, ladang ternakan ayam, lembu dan kambing di Batu Laut, Morib dan rumah sewa di Taman Cempaka.

Malah, kes pembunuhan Sosilawati juga ada kaitan dengan suspek kerana sebelum kejadian, berlaku transaksi bernilai jutaan ringgit daripada akaun jutawan itu ke dalam akaun milik suspek.

Sumber polis berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku kes peras ugut berikutan penemuan bukti transaksi wang ke dalam akaun bank milik suspek yang ditahan polis berkenaan sepanjang tempoh kehilangan Sosilawati bersama tiga lain.

“Susulan penemuan wang terbabit, semua aset dan wang milik suspek utama terbabit akan dibekukan. Polis akan menggunakan Akta Anti Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dalam usaha mengesan sumber wang terbabit diperoleh,” katanya.

Berdasarkan maklumat, peguam terbabit sebelum ini dipercayai pernah beberapa kali berurusan dengan Sosilawati, 47, berhubung urusan jual beli hartanah termasuk terbaru membabitkan tanah di Pulau Pinang.

Difahamkan, tanah berkenaan sebelum ini dibeli Sosilawati anggaran RM25 juta sebelum mahu dijual RM200 juta berikutan harga pasaran semasa meningkat.

Helikopter bomba terhempas di Lanchang, Temerloh

TEMERLOH: Sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat terhempas di kawasan ladang getah Bukit Lada, Felcra Kuala Kaung, dekat Lanchang kira-kira 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, ketika kejadian terdapat tiga anggota bomba di dalam helikopter jenis Augusta A109E dari unit bomba yang berpengkalan di Subang itu.

Mereka ialah juruterbang, Kapten Roslan Aziz, 30, yang mengalami kecederaan
parah; Kuartermaster Udara Asrul Mohd Nordin, 33 dan pembantu juruterbang,
Khairil Azuan Jamaluddin, 30, kedua-duanya hanya mengalami cedera ringan.

Ahmad Fadzillah berkata, Roslan dilaporkan mengalami kecederaan di leher dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad
Shah (HOSHAS), Temerloh.
Katanya, dua lagi anggota turut mendapat rawatan di hospital sama.

"Kemalangan terbabit dipercayai berlaku ketika keadaan kabus tebal," katanya.
Katanya, pihak polis dan bomba kini berada di lokasi kejadian bagi menyiasat
punca kejadian.

Helikopter berkenaan dipercayai sedang memantau laluan trafik Lebuhraya
Pantai Timur (LPT) dari udara.-Bernama

Suspek utama kes bunuh Sosilawati disyaki terbabit kes-kes lain

BANTING: Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek utama siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya turut mempunyai kaitan dengan kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersil di daerah Kuala Langat.
Beliau berkata suspek utama itu yang juga seorang peguam turut disiasat berkaitan kes kehilangan seorang lelaki warga India di sini yang didakwa hilang sejak awal tahun ini. Bagaimanapun, Khalid berkata laporan polis mengenai ahli perniagaan warga India itu baru dibuat pada 8 September lalu. "Jadi macam mana kita tahu jika tidak ada laporan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Polis Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalannya, Datuk Hussin Ismail, di sini hari ini.
Khalid berkata, peguam tersebut juga didapati mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lalu.

Laporan akhbar menyatakan bahawa wanita itu T Selvi, 44 isteri kepada seorang pemilik bengkel kenderaaan dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.

"Walaupun suami mangsa ada membuat pelbagai ulasan mengenai kes itu, saya tidak bercadang beri apa-apa komen kerana kes itu sedang disiasat," kata Khalid.

Beliau berkata, polis mendapat petunjuk-petunjuk baru mengenai kes pembunuhan wanita itu selepas siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38.

"Kes ini tidak pernah ditutup dan kita akan lakukan risikan bagi mendapatkan lagi maklumat," kata Khalid.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak tahun 2005 yang membabitkan kerugian RM7.1 juta. Ditanya sama ada peguam itu "membeli" polis-polis di Kuala Langat, katanya jika sesiapa mempunyai maklumat sedemikian mereka boleh melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tidak akan lindungi orang kita yang menyeleweng," tegas Khalid.-Bernama

Polis tahan 50 GRO, selamatkan dua gadis bawah umur

GEORGETOWN: Lima Puluh wanita rakyat asing termasuk dua gadis bawah umur yang berkerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah restoran dan KTV Lounge di Tanjung Tokong, malam tadi.
Dalam serbuan pada jam 8 malam itu, polis turut menyelamatkan dua gadis rakyat Vietnam berusia di bawah 18 tahun yang dipercayai mangsa kegiatan pemerdagangan orang.
Operasi oleh Unit Anti Permerdagangan Orang Bukit Aman, Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu diketuai Asisten Superintendan Nordin Ibrahim.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 28 wanita rakyat China dan 17 rakyat Vietnam yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an dan menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai GRO," kata Nordin.

Beliau berkata, seorang daripada wanita China yang ditahan itu tidak mempunyai pasport.

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang berkerja sebagai kapten, seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai juruwang dan seorang rakyat China yang menjadi ibu ayam," katanya.

Nordin berkata, hasil pemeriksaan mendapati lesen perniagaan premis itu sudah tamat tempoh pada 8 Jun 2010.

"Polis merampas beberapa peralatan hiburan dari premis berkenaan dan enam pelanggan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.-Bernama

Siasatan pembunuhan Sosilawati tanpa unsur perkauman - Ismail Omar

BANTING: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.
"Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa," katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini sempena lawatan pertama beliau ke Selangor sebagai Ketua Polis Negara.
Pada sesi dialog itu beliau berkata, siasatan terhadap kes-kes yang ada unsur perkauman seperti kes pembakaran gereja di Petaling Jaya dan surau di Johor dijalankan berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara bukannya polis.

Ismail berkata demikian selepas seorang daripada pemimpin masyarakat setempat membangkitkan isu mengapa kes surau di Negeri Sembilan yang dibaling cat dan botol arak tidak dibawa ke mahkamah sedangkan kes pembakaran gereja ada yang dihadapkan ke mahkamah.

Ismail turut mengarahkan polis Selangor termasuk daerah Kuala Langat supaya memantau peningkatan pembabitan golongan belia di daerah itu dalam kegiatan jenayah.

Sementara itu, Ismail berkata beliau akan melihat keperluan menambah anggota dan sokongan logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah itu dan keperluan meletakkan seorang Asisten Komisioner Polis bagi mengetuai polis di sana berbanding hanya seorang Superitendan ketika ini.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Bahagian MCA Kuala Langat, Datuk Eii Kim Hock yang menyatakan bahawa kekuatan polis di daerah itu perlu ditingkat memandangkan pembangunan pesat di daerah itu yang dikelilingi oleh Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan kawasan pesisiran pantainya yang panjang.

Beliau berkata, penduduk di daerah itu juga kini berjumlah 200,000 orang.

Eii berkata, beliau berharap kereta peronda polis di daerah ini ditingkatkan kerana kehadiran mereka dijalan raya melegakan hati penduduk dan mereka kini merasa yakin dan selamat dengan kehadiran polis.

Beliau turut berterima kasih dengan tindakan polis di Kuala Langat kerana berjaya membanteras kegiatan mesin judi di daerah itu dan memuji tindakan pantas polis dalam menyiasat kes pembunuhan Sosilawati walaupun semasa sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
Ismail dalam pada itu berkata, polis berjaya menurunkan kadar indeks jenayah di daerah itu sebanyak 14 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

-Bernama

Anggota polis cedera parah dirempuh motosikal di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis mengalami kecederaan parah selepas dirempuh oleh sebuah motosikal semasa dia sedang menjalankan operasi pencegahan jenayah dan lumba haram berhampiran Jalan Masjid Abidin di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abd Halim Ishak berkata, Konstabel Arizan Mohamad, 24, berasal dari Sarawak, patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri, di samping menerima 10 jahitan di kepala akibat rempuhan itu.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 11.30 malam ketika Arizan bersama 15 anggota dan pegawai polis sedang membuat sekatan jalan raya, apabila sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki yang sampai ke kawasan itu secara tiba-tiba berpatah balik dan memecut dengan laju selepas melihat kehadiran polis.

"Dalam usaha melarikan diri, motosikal itu merempuh konstabel Arizan menyebabkan di tercampak ke jalan raya. Penunggang dan pembonceng motosikal itu turut terjatuh," katanya ketika melawat Arizan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Katanya, motosikal itu didapati ditunggang oleh seorang pelajar sekolah berumur 15 tahun, dan remaja itu cuma mengalami cedera ringan, manakala pemboncengnya, seorang pemuda berumur 24 tahun yang bekerja di sebuah hotel mengalami kecederaan di hidung serta mata, dan dirawat di HSNZ.

Abd Halim berkata, kedua-dua mereka akan direman esok dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 7 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara bahaya, dan menurutnya ini adalah kejadian ketiga membabitkan anggota polis di daerah Kuala Terengganu dilanggar semasa bertugas tahun ini.

-Bernama

Lelaki hilang sehari sebelum raya di Baling ditemui hari ini

BALING: Seorang lelaki berusia 59 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Becah Sawa, Siong di sini sejak seminggu lalu ditemui tidak jauh dari rumahnya dalam keadaan selamat hari ini.
Wateh Abdullah ditemui dalam keadaan keletihan oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 1.45 tengah hari. Mangsa disedari hilang dari rumahnya pada petang hari Khamis, sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
Kehilangan Wateh disedari salah seorang anaknya yang datang menghantar makanan kepadanya pada hari berkenaan.

Dia yang tinggal seorang diri di sebuah rumah berdekatan dengan Masjid Kampung Becah Sawa dikatakan tidak begitu gemar menemui orang ramai dan sering bersikap mengasingkan diri sejak beberapa tahun ini.

Abang mangsa, Mat Piah Abdullah, 62, berkata dia dan keluarga bersyukur dengan penemuan semula Wateh.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Wateh sejak tiga hari lalu," katanya.

Sejak kehilangan adiknya itu, usaha mencari secara besar-besaran dilancar membabitan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk unit anjing pengesan (K9) dan 18 anggota daripada unit mencari dan menyelamat selain anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk tempatan.

Sementara itu, Wateh enggan ditemui orang ramai dan berada di dalam rumahnya seorang diri sejak dibawa pulang sebaik ditemui.-Bernama

Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek utama tidak pernah terima pingat Sultan Kelantan




2010/09/16

KOTA BHARU: Peguam yang menjadi suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, tidak pernah menerima sebarang pingat kebesaran membawa gelaran Datuk daripada Istana Kelantan. 

Sumber berkata, semakan mendapati lelaki berusia 41 tahun (kanan) terbabit tidak pernah tersenarai sebagai penerima pingat kebesaran Sultan Kelantan selama ini.Katanya, dakwaan lelaki itu pernah menerima pingat dari Istana Kelantan adalah pembohongan dan tindakannya itu sesuai dengan latar belakangnya yang terbabit pelbagai penipuan.
"Kita menyedari ada pihak mendakwa wujud surat anugerah pingat kepada lelaki terbabit yang dikaitkan dengan Istana Kelantan, tetapi semakan mendapati dia tidak pernah tersenarai pada mana-mana majlis penganugerahan darjah kebesaran. 

"Saya percaya surat terbabit adalah palsu dikeluarkan pihak tertentu yang menjalankan penipuan anugerah pingat kebesaran," katanya ketika dihubungi, semalam. 

Sumber berkata, seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan penipuan anugerah pingat kebesaran itu sudah terbunuh dalam satu kemalangan di Lembah Klang beberapa bulan lalu.

Isteri kurung suami yang hilang ingatan



WU HAN dikurung oleh isterinya di rumah mereka di Taizhou, China.


TAIZHOU, China - Seorang isteri terpaksa 'memenjarakan' suaminya di dalam sebuah kurungan selepas doktor-doktor enggan meneruskan pemberian ubat kepada lelaki berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki tersebut, Wu Han, 43, terpaksa dikurung selepas dia hilang ingatan dan kerap merayau dari rumah selepas terbabit dalam satu kemalangan kereta.
Sebuah hospital tempatan di sini, timur China menyekat pemberian ubat-ubatan bagi membantu lelaki itu selepas isterinya, Mingmei tiada wang untuk membayar kos ubat-ubatan.
"Sejak kemalangan itu, dia mudah menjadi bingung dan gemar marayau-rayau," kata wanita itu.
"Ubat-ubatan tersebut banyak membantu kerana ia boleh menenangkan suami saya," tambahnya.
Menurut wanita tersebut, dia berharap pihak pengurusan hospital berkenaan akan menyambung rawatan suaminya selepas berita bahawa dia terpaksa mengurung lelaki itu tersiar di media tempatan. - Agensi

Lima lelaki mengaku bersalah miliki mercun



MOHD. SHAHIDAN (bercermin mata) dan Muhammad Syahidan (kanan) semasa dibawa ke Mahkamah Majistret
di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Lima lelaki berusia antara 19 sehingga 26 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memiliki mercun.
Tiga daripada mereka didakwa kerana memiliki mercun ketika ditahan dalam pemeriksaan polis di pintu E, Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini sebelum perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan kelmarin.
Sementara dua lagi lelaki ditahan di Restoran Sarina, Jalan Sultan Yahya Petra dekat sini dan di depan Kedai Makan Mentari, Jalan Sultan Yahya Petra pada 10 September lalu.
Kelima-lima tertuduh, Muhammad Syahidan Rosli, 19, Mohd. Shahidan Mohamad Fauzi, 25, Ahmad Muzzammil Azmi, 19, Mohd. Firdaus Mohd. Zaidi, 23, dan Mohd. Hafiz Ismail, 26, mengaku bersalah di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Noridah Mohd. Husin.

Mualaf bunuh ustazah, anak didakwa



ALI TAN


SEREMBAN - Jiran kepada seorang ustazah dan anaknya yang ditemui mati di rumah sewa mereka di Port Dickson dekat sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh dua beranak itu pada 2 September lalu.
Tertuduh, Ali Tan Abdullah, 34, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret M. Mageshwary.
Mengikut pertuduhan, Ali Tan didakwa membunuh Norliza Ishak, 35, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson antara pukul 3.15 petang pada 2 September 2010 hingga pukul 10.15 pagi pada keesokan harinya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga jiran mangsa didakwa turut melakukan perbuatan sama terhadap anak mangsa, Amirul Ayman Yusoff, 10, di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Tiada pembunuh upahan terlibat



Anggota polis forensik mencari bahan bukti lain di Sungai Panchau, Ladang Gadong semalam tempat dipercayai suspek membuang abu mayat Sosilawati dan tiga rakannya.


KUALA LUMPUR - Pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain tiada kaitan dengan kumpulan pembunuh upahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, pihaknya setakat ini percaya pekerja-pekerja kepada seorang lelaki bergelar Datuk terlibat secara langsung dalam pembunuhan empat mangsa itu.
"Kita percaya mereka (pembunuh) adalah pekerja seorang lelaki bergelar Datuk yang ditahan," kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Keempat-empat individu tersebut dipercayai telah dibunuh di dalam stor milik peguam Datuk K. Patmanaban yang juga ditahan bagi membantu siasatan kes itu.
Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan jual beli tanah.
Satu sumber Kosmo! memberitahu, keempat-empat mangsa itu dipercayai dibunuh bermula pada pukul 10 malam pada 30 Ogos lalu selepas Sosilawati dan rakan-rakannya berjumpa dengan Patmanaban.

2 warga Afrika bawa 12 ketul ganja dicekup


JITRA 15 Sept. - Pada mulanya, dua lelaki warga Afrika mungkin berasa lega selepas berjaya menyeludup masuk 12 ketul ganja ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam dekat sini semalam, tanpa ditahan.
Namun, kegembiraan kedua-dua penyeludup itu tidak bertahan lama kerana mereka akhirnya berjaya dicekup polis ketika menunggu bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur di Stesen Bas Changlun, kira-kira 10 kilometer dari CIQ tersebut.
Kedua-dua suspek itu, seorang berusia 28 tahun dan berasal dari Guinea, manakala seorang lagi berusia 33 tahun dari Nigeria ditahan kira-kira pukul 2.30 petang oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah.
Ketua Polis negeri, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata, suspek dari Nigeria mempunyai visa pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, manakala rakannya tidak mempunyai pekerjaan.
Kedua-dua mereka, kata beliau, memasuki negara ini dari negara jiran melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam selepas memasuki Thailand pada Julai lalu.
"Setelah ditahan, pemeriksaan polis mendapati sebanyak 12 ketul daun kering dipercayai ganja mampat disimpan dalam beg pakaian yang dibawa.
"Setiap satu ketulan bahan itu seberat 1 kilogram dengan nilai pasaran kesemuanya kira-kira RM33,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua JSJN Kedah, Deputi Supritendan Zainuddin Saad.
Ganja tersebut dibalut dengan pembalut aluminium dipercayai bagi mengelak ia daripada dikesan mesin pengimbas di pusat pemeriksaan sempadan.
Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Syed Ismail percaya, kegiatan menyeludup dadah itu kini dilakukan melalui pintu masuk sempadan darat berikutan kawalan yang semakin ketat terhadap pintu masuk melalui udara sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa peka dengan situasi itu bagi mengelakkan ia menjadi satu trend di kalangan pengedar dadah antarabangsa.

Ops Sikap catat 14 lagi kematian


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Ops Sikap Ke-22 yang memasuki hari ke-12 semalam mencatatkan 14 lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban setakat ini seramai 201 orang.
Daripada jumlah kematian itu, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang tertinggi apabila merekodkan sembilan kematian.
Menurut laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima lagi kematian dicatatkan oleh pemandu dan penumpang kereta iaitu tiga orang, manakala masing-masing satu kematian melibatkan pejalan kaki dan penunggang basikal.
Daripada sejumlah 1,062 kemalangan yang berlaku sepanjang tempoh 24 jam semalam, jalan bandaran mencatat jumlah tertinggi iaitu 433 kes, diikuti 268 di jalan Persekutuan, jalan negeri (196), lebuh raya (104) dan jalan-jalan lain (61).
"Kemalangan maut paling tinggi dilaporkan berlaku di jalan negeri iaitu lapan kes, tiga kes di jalan Persekutuan diikuti masing-masing satu kes di jalan bandaran dan jalan-jalan lain," katanya.
Sehingga semalam, sebanyak 12,516 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik.
Ops Sikap Ke-22 yang bermula pada 3 September lalu akan berakhir pada Jumaat ini dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Syabu RM254j: Nasib pemandu lori ditentukan 29 September


KUANTAN 15 Sept. - Nasib seorang pemandu lori sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan mengedar syabu seberat 753,359 gram bernilai RM254 juta, akan ditentukan pada 29 September ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penggulungan hujah pendakwa raya dan pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan.
Lee Yong Toe, 48, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah tersebut di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, dekat sini pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lalu.
Lelaki dari Taman Iskandar, Johor Bahru itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan sejak Ogos lepas melibatkan seramai 14 saksi pendakwaan.
Terdahulu, peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Yong Toe dalam hujahannya mempersoalkan kredibiliti dan integriti beberapa anggota polis yang merupakan saksi kes itu.
Menurutnya, saksi-saksi tersebut mengaku mengambil empat bungkusan mengandungi syabu terbabit sebagai habuan di atas penat lelah mereka.
Seorang lagi peguam bela tertuduh, Hisham Teh Poh Teik pula berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil dua saksi penting yang turut ditahan berhubung kes itu bagi memberi keterangan di mahkamah.
''Dua saksi penting itu termasuk abang tertuduh sepatutnya dipanggil bagi merungkaikan lebih lanjut mengenai kes berkenaan,'' jelasnya sambil memberitahu abang tertuduh kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin pula menghujahkan bahawa bungkusan yang diambil oleh anggota-anggota polis terbabit tidak mengganggu dan menjejaskan sifat, kualiti dan identiti keseluruhan dadah yang dirampas itu.
''Soal kredibiliti saksi merupakan hak mahkamah untuk menentukannya. Bagaimanapun tidak bermakna kesemua keterangan mereka harus ditolak,'' katanya.
Mengenai dua lagi lelaki yang tidak dipanggil memberikan keterangan, Jamil berkata, pihaknya melihat mereka tidak membantu naratif pendakwaan kerana kedua-duanya ditahan di tempat dan waktu yang berlainan.
''Mahkamah seharusnya mengambil kira faktor kawalan dan pengetahuan tertuduh terhadap dadah berkenaan iaitu tertuduh merupakan pemilik lori yang menyimpan dadah berkenaan.
''Malah, tindakan tertuduh menyembur sejenis semburan terhadap anggota polis sebelum cuba melarikan diri juga menunjukkan dia mengetahui terdapat barangan salah di dalam lori tersebut,'' hujahnya.
Ujar beliau lagi, mustahil tertuduh dianiaya kerana tidak mungkin terdapat individu yang sanggup meninggalkan dadah bernilai ratusan juta dalam lori berkenaan.
''Selain itu, tertuduh menyimpan kunci belakang lori berkenaan dan cuba membuangnya apabila diminta oleh pihak polis,'' katanya.

Awas kumpulan penyamun pura-pura beli kad prabayar


SUNGAI PETANI 15 Sept. - Mereka berpura-pura untuk membeli kad prabayar telefon bimbit tapi sebenarnya kumpulan itu adalah penyamun.
Taktik itu digunakan sekumpulan lima lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira hijau dengan menjadikan kedai telefon bimbit dan kafe siber sebagai sasaran.
Dalam tempoh tiga hari sahaja, kumpulan itu dikesan melakukan jenayah tersebut sekurang-kurangnya di tiga buah premis di daerah ini iaitu pada 10 September lalu dan yang terbaru kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, suspek dikatakan bertindak ganas dengan menikam mangsa dengan senjata tajam setiap kali menyamun.
Seorang pemilik kedai telefon bimbit yang dikenali sebagai Ah Hong, 34, memberitahu, kejadian berlaku pada 11 September lalu semasa dia sedang menjalankan urus niaga di kedainya di Tikam Batu.
"Tiba-tiba tiga lelaki memasuki kedai dan berpura-pura mahu beli kad prabayar. Semasa saya ambil kad, salah seorang daripada mereka mengeluarkan senjata tajam dan minta saya serahkan wang.
"Selepas dapat duit, lelaki itu menikam saya dan terus melarikan diri. Saya sempat lihat dua lagi menunggu dalam kereta," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Turut diedarkan, gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tindakan suspek yang memasuki kafe siber dan kedai telefon bimbit di sekitar Taman Sejati Indah.
Peniaga itu mendakwa, dia dimaklumkan beberapa rakannya yang menjual telefon bimbit sekitar Taman Sejati Indah di sini turut menjadi mangsa dipercayai kumpulan penyamun sama.
"Saya tidak pasti mereka rugi berapa. Saya sendiri kerugian sebanyak RM12,000," dakwanya.
Berikutan itu, katanya beberapa peniaga telah melaporkan kejadian tersebut kepada polis baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian seumpama itu.
Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada suspek terdiri daripada kumpulan sama atau sebaliknya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kum pulan lelaki berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 bagi membantu siasatan.

Islamofobia untungkan al-Qaeda


PARIS 15 Sept. – Tunjuk perasaan anti-masjid di New York dan ancaman pembakaran naskhah al-Quran akan hanya memberi keuntungan kepada ketua al- Qaeda, Osama bin Laden, selain memarakkan Islamofobia, menurut pakar hubungan antarabangsa.
Profesor hubungan antarabangsa dan politik Asia Barat di Fakulti Ekonomi dan Sains Politik di London, Fawaz Gerges berkata, peningkatan Islamofobia di Barat akan menguatkan kedudukan rangkaian al- Qaeda.
“Apa yang berlaku, baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS) secara langsung memberi kelebihan kepada Osama.
“Keseluruhan konsep ‘memerangi keganasan’ akan menyemarakkan lagi teologi dan ideologi al-Qaeda untuk meyakinkan lebih ramai pihak di dunia Islam dengan menyatakan kepada mereka: ‘‘Lihat, kami adalah pelindung Islam, pihak Barat sedang melancarkan perang ke atas golongan Islam,” kata Fawaz.

Mayat lelaki ditemui di Sungai Miri



BEBERAPA anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengangkat mayat seorang lelaki ditemui mati di Sungai Miri berhampiran Kampung Piasau Utara di Miri, Sarawak, kelmarin.


MIRI 15 Sept. - Hasrat seorang lelaki warga emas menangkap udang di Sungai Miri terbantut setelah dia menemui mayat seorang lelaki terapung kira-kira 300 meter dari jeti nelayan di Kampung Piasau Utara di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui dalam keadaan hanya memakai seluar dalam berwarna gelap.
Sebelum kejadian, warga emas terbabit yang menaiki sebuah perahu sedang memancing udang bersendirian di sungai terbabit sebelum dia ternampak satu objek terapung tidak jauh dari tempatnya memancing.
Setelah dihampiri, warga emas itu terkejut apabila mendapati objek terapung itu merupakan mayat seorang lelaki.
Berikutan itu, warga emas tersebut memaklumkan penemuan mayat itu kepada penduduk di Kampung Piasau Utara serta menghubungi polis.
Sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Pusat Miri, Cif Inspektor Nagulan Manikam bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Mayat berkenaan kemudian dibawa ke tebing oleh polis dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi hari ini, mengesahkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan pada mayat lelaki terbabit yang dipercayai warga tempatan.
"Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes itu sebagai mati lemas. Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 72 jam lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang busuk dan kembung," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai ahli keluarga hilang supaya tampil membantu polis membuat pengecaman memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat tersebut.

Rumah kosong musnah dalam kebakaran


BESUT 15 Sept. - Sebuah rumah tanpa penghuni bersama sebuah kereta dan sebuah motosikal musnah dalam satu kebakaran di Kampung Alor Lintang dekat sini pagi ini.
Kebakaran kira-kira pukul 6.15 pagi itu yang dipercayai berpunca daripada litar pintas disedari oleh seorang jiran yang kemudian segera memaklumkan kepada pemilik rumah itu.
Pemiliknya, Fatimah Mat Ali, 70, berkata, ketika kejadian, dia bersama empat anaknya, empat orang cucu serta seorang pembantu rumah sedang tidur di sebuah lagi rumahnya yang terletak bersebelahan.
"Saya terjaga setelah terdengar jeritan jiran sambil mengetuk dinding rumah kami untuk memberitahu kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Katanya, api marak begitu pantas sehingga menyebabkan anaknya, Sabri Hussin, 29, yang pulang beraya dari Perlis tidak dapat menyelamatkan keretanya yang diletakkan di laman rumah berkenaan.
Menurutnya, pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bagaimanapun sempat mengawal api daripada merebak.
Fatimah bersyukur kerana tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa atau cedera walaupun menganggarkan kerugian kira-kira RM70,000

Polis sahkan lelaki bogel ditemui mati akibat lemas


KOTA BHARU 15 Sept. - Polis mengesahkan punca kematian seorang lelaki Melayu yang dijumpai dalam keadaan bogel di sebatang sungai di Kampung Bertam Lama, Gua Musang semalam akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahari Abdullah ketika dihubungi berkata, laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Hospital Kuala Krai mengesahkan kematian mangsa bukan disebabkan unsur jenayah.
Beliau berkata, mangsa dipercayai berusia lingkungan 40-an dikatakan telah meninggal dunia dua atau tiga hari lalu sebelum mayatnya dijumpai oleh dua beradik kira-kira pukul 8 pagi semalam.
"Polis akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau diminta mengulas penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan bogel oleh dua beradik di sebatang sungai di Kampung Bertam Lama, Gua Musang semalam.
Mayat lelaki tersebut dijumpai di tebing sungai oleh Zarina Mat Yaman, 20, dan adiknya, Zarini, 17, ketika mereka pergi ke sungai berkenaan untuk mengambil buluh bagi dijadikan stor menyimpan motosikal.
Saiful Bahari berkata, berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung berkenaan, mangsa berkemungkinan berasal dari kampung berhampiran dan dipercayai mengalami masalah mental.
Beliau berkata, polis setakat ini belum menerima laporan daripada mana-mana pihak mengenai kehilangan anggota keluarga mereka.

15 kes jangkitan AIDS sehingga Jun


SEREMBAN 15 Sept. - Sebanyak 15 kes jangkitan AIDS dicatatkan di negeri ini sehingga Jun tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, seramai 11 orang pula meninggal dunia akibat jangkitan AIDS di negeri ini bagi tempoh yang sama.
"Walaupun angka dilaporkan itu tidak banyak, kerajaan melalui Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memastikan wabak dan gejala penyakit itu dapat dikawal," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kaedah pengawalan dilakukan mengikut program yang dianjurkan Kementerian Kesihatan iaitu menyediakan perkhidmatan Program Pencegahan Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction).
"Ini termasuklah Program Terapi Gantian Dengan Metadon (MMT) dan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) yang dimulakan sejak tahun 2008," katanya.
Menurutnya, kedua-dua program itu menunjukkan keberhasilan yang memberansangkan, malah program MMT sahaja mencatatkan jumlah pelanggan berdaftar ialah seramai 1,107 orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
"Bagi pelanggan yang aktif pula dicatatkan seramai 782 orang bagi tempoh yang sama," katanya.
Program NSEP pula, katanya, jumlah pelanggan berdaftar ialah seramai 86 orang bagi tempoh sama, berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu seramai 390 orang yang terlibat.

Pemuda maut rempuh motosikal


JEMPOL 15 Sept. - Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lagi motosikal berhampiran simpang masuk ke Felda Palong 7 dan 8 dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 5.30 petang, Azahar Abdul Mutalib, 21, meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Rompin, Pahang ke Tampin sebelum terlibat dalam nahas berkenaan.
"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC itu dikatakan bertembung dengan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dikatakan keluar dari simpang berkenaan secara tiba-tiba.
"Mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital selepas cedera dalam badan," katanya.
Pada masa sama, pihaknya juga kesal dengan sikap segelintir orang ramai yang dipercayai mengambil kesempatan kemalangan itu untuk mengambil barangan milik mangsa.
Apa yang dikesalkan, katanya, polis tidak menemui dokumen penting iaitu kad pengenalan dan dompet mangsa turut hilang dipercayai dilarikan orang ramai.
"Polis berharap sesiapa menjumpai dokumen mangsa supaya memulangkannya kepada balai polis berhampiran," katanya.

Rumah ibu tunggal musnah



Anggota bomba menyiasat punca kebakaran rumah Norma Yahya di Padang Besar, semalam.


PADANG BESAR 15 Sept. - Seorang ibu tunggal dan tiga anaknya yang baru pulang dari membaiki kereta di pekan Kangar, tergamam apabila melihat rumah mereka di Kampung Guar Medang Gatal, Chuping di sini hangus sama sekali dalam kebakaran petang semalam.
Norma Yahya, 48, berkata, dia bersama tiga anaknya pergi ke pekan Kangar pada pukul 1 petang namun kira-kira tiga jam kemudian, dia menerima panggilan telefon mengenai kejadian berkenaan.
"Kami bergegas pulang ke rumah untuk menyelamatkan barangan penting namun sudah terlambat kerana semuanya sudah hangus," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Norma yang kematian suami sejak setahun lalu terkilan kerana semua gambar kenangan keluarga bersama arwah suaminya turut hangus dalam kejadian tersebut.
"Gambar-gambar itu amat berharga buat kami sekeluarga kerana itu sahajalah kenangan kami bersama arwah sejak dia meninggal akibat terjatuh dari jentolak balak di Kedah tahun lalu," ujarnya.
Dia yang kini menyara keluarganya dengan menjual ikan dari rumah ke rumah melahirkan rasa syukur kerana ketika kejadian, tiada ahli keluarganya berada dalam rumah berkenaan.
Norma berkata, buat masa ini dia sekeluarga akan menumpang di rumah kawannya di kampung yang sama sementara menanti tempat kediamannya diperbaiki.
Katanya, dia masih belum mengetahui punca kebakaran namun menganggarkan kerugian berjumlah kira-kira RM40,000.
Sementara itu anak Norma, Noorizana Ideris, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut sedih kerana semua buku-buku pelajaran musnah dalam kebakaran itu.
"Mungkin saya akan minta bantuan kawan-kawan dan guru di sekolah untuk meminjamkan buku mereka sebagai persediaan menghadapi SPM nanti," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan, di sini.
Dalam pada itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Padang Besar, Razak Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.05 petang.
"Dua jentera iaitu sebuah dari Padang Besar dan sebuah lagi dari Kangar dengan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh lima minit," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran tersebut.

Warga emas dipenjara 10 hari


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Seorang warga emas yang berusia 64 tahun dihukum penjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri 15 jenis makanan dan minuman dari sebuah pasar raya semalam.
Majistret Mohd. Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap I. Arokiasamy yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.
Hukuman penjara diperintah berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap.
Mengikut pertuduhan, datuk kepada dua cucu itu didakwa mencuri pelbagai jenis makanan dan minuman dalam tin atau bungkusan plastik bernilai RM99.29 di The Store Pudu Plaza, Jalan Davis di sini pada pukul 3.15 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat.
Terdahulu, Arokiasamy yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja dan mempunyai cucu untuk dipelihara.
''Saya mohon maaf dan berjanji tidak akan buat lagi,'' katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Zamran yang mengendalikan pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Peragut dipenjara 6 tahun


SHAH ALAM 15 Sept. - Seorang kakitangan hospital dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meragut seorang ustazah yang sedang menunggang motosikal pada tahun lalu.
Hakim Hasbi Hasan memerintahkan hukuman terhadap Mohd. Shahrizal Madianuddin, 26, berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 5 Oktober 2009.
Sebelum menjatuhkan hukuman, beliau turut mengambil masa beberapa minit untuk menasihatkan tertuduh supaya memikirkan masa depan isteri dan dua anaknya yang masih kecil serta berusaha berubah menjadi baik.
Tertuduh yang berbaju T hitam dan berseluar jean biru hanya menundukkan kepala dan sesekali dilihat mengangguk.
Mohd. Shahrizal mengaku meragut beg galas milik Rahimah Hassan, 41, yang mengandungi wang tunai RM350 dan lesen memandu di Jalan Taman Harmonis berhampiran Masjid As-Sharif, Simpang Tiga, Gombak dekat sini pada pukul 12 tengah hari.
Dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda serta sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa sedang menunggang motosikal apabila dihampiri tertuduh yang juga menunggang motosikal sebelum lelaki itu bertindak merampas beg galas di dalam raga kenderaan wanita itu.
Tertuduh yang berjaya melarikan diri bagaimanapun ditangkap oleh orang ramai apabila dia cuba meragut seorang mangsa lain pada hari yang sama.
Terdahulu, peguam Mohd. Hisham Mohd. Nen yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman terhadap Mohd. Shahrizal diringankan dengan alasan dia telah insaf dan kesal atas perbuatannya.
Katanya, anak guamnya juga memohon agar diberi peluang sekali lagi dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nooranisa Ngadirin pula memohon hukuman setimpal dengan alasan perbuatan tertuduh bukan sahaja mengancam nyawa mangsa tetapi juga anaknya yang sedang membonceng motosikal semasa dia diragut.
Menurut beliau, ia juga bukan kesalahan pertama kerana tertuduh mempunyai dua rekod jenayah lampau bagi kesalahan memiliki ganja dan mencuri pada 2006 dan 2007.

Jumpa peragut di balai polis


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Awal bulan lalu, seorang jurujual wanita dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki menyamun beg tangannya ketika teksi yang dinaiki mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat sebatang jalan.
Teman lelaki wanita tersebut yang ada bersamanya cuba mengejar penyamun terbabit tetapi gagal memberkasnya apabila penjenayah itu bertindak membaling sebatang kayu ke arahnya.
Mangsa bersama teman lelakinya kemudian pergi ke Balai Polis Sentul untuk membuat laporan namun tanpa disangka-sangka mereka menemui penyamun terbabit di situ.
Rupa-rupanya, lelaki itu terlebih dahulu telah dibawa ke balai polis berkenaan selepas ditangkap atas kesalahan lain.
Hari ini, lelaki itu, Norhisham Yaakob, 28, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencuri beg tangan Arifah Ramizah Zulkifli, 25.
Dia mengaku mencuri beg tersebut yang mengandungi wang tunai RM600, telefon bimbit jenama Nokia, kamera digital Canon, kad pengenalan dan kad mesin juruwang automatik (ATM) di Jalan Pekeliling di sini pada pukul 7.09 malam, 1 Ogos lalu.
Norhisham didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat.
Majistret Aizatul Akmal Maharani menjatuhkan hukuman tersebut berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Abu Hassan Ramli manakala Norhisham tidak diwakili peguam bela.

Polis ambil sampel DNA ibu Sosilawati


BATU PAHAT 15 Sept. - Polis hari ini mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) milik ibu Datuk Sosilawati Lawiya bagi membantu siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik itu bersama tiga individu lain lebih dua minggu lalu.
Menurut adik jutawan itu, Rosnani Lawiya, 45, sepasukan tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur bersama seorang doktor mengunjungi ibunya, Yatimi Abdul Rahman, 80, di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, polis mengambil masa kira-kira sejam untuk mengambil sampel DNA termasuk rambut milik warga emas itu di rumahnya.
"Kami tidak berkesempatan untuk bertanya mengapa DNA ibu perlu diambil kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka.
"Bagaimanapun, kami berharap agar sampel DNA yang diambil dapat merungkai kes kehilangan Kak Wati kerana kami tidak mahu terus dibelenggu kesedihan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosnani berkata, dia hanya dimaklumkan secara mengejut berhubung kehadiran rombongan polis tersebut ke rumahnya.
Polis sebelum ini mengesahkan, hasil siasatan, empat daripada lapan suspek yang ditahan telah mengaku memukul Sosilawati dan tiga individu lain sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong di Tanjung Sepat, Selangor.
Polis turut menemui serpihan tulang dipercayai milik mangsa dan ujian DNA diperlukan untuk mengesahkan siapakah pemilik tulang itu.

Jiran didakwa bunuh ustazah dan anak



Mohd. Yusof Awang Besar bersama ibu mertuanya, Zainab Mahmud hadir di Mahkamah Majistret di Port Dickson, semalam.


RASAH 15 Sept. - Selepas 12 hari mayat seorang ustazah bersama anak lelakinya ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah flat, seorang jiran mereka hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, dekat sini atas tuduhan membunuh dua beranak tersebut.
Ali Tan Abdullah, 34, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Norliza Ishak, 35, dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, di rumah bernombor B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru, Port Dickson, dekat sini.
Kejadian didakwa berlaku antara pukul 3.15 petang, 2 September lalu dan pukul 10.15 pagi, keesokan harinya.
Dakwaan terhadap Ali Tan yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki tersebut.
Majistret M. Mageshwary menetapkan 18 Oktober ini sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Port Dickson.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela John Fernandez.
Sementara itu, Mohd. Yusof Awang Besar, 37, iaitu suami kepada Norliza ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, melahirkan harapan agar pengadilan kes pembunuhan itu akan dilakukan dengan sewajarnya.
"Jika terbukti bersalah oleh mahkamah, saya harap pembunuh kes ini dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
"Perasaan saya masih lagi tersentuh apabila mengenang kejadian malang menimpa isteri dan anak saya. Undang-undang yang sedia ada akan menegakkan keadilan di atas pemergian mereka,'' katanya.
Dia tiba di Seremban, semalam untuk mengikuti perjalanan kes tersebut di mahkamah sebelum bertolak pulang ke Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Memetik laporan akhbar, pada 3 September lalu, ustazah tersebut dan anak lelakinya ditemui mati dalam bilik air dengan kaki dan tangannya terikat, selain kepala kedua-dua mangsa dibalut dengan kain sarung.
Norliza yang berasal dari Kampung Pulau Kerbau merupakan ustazah di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, manakala Amirul Ayman belajar di sekolah yang sama.
Mereka tinggal berdua di flat tersebut kerana Mohd. Yusof menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.

Lagi tulang mangsa ditemui



Anggota forensik mencari bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Selangor, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah


KUALA LANGAT 15 Sept. - Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang diper.cayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.
Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.
Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.
Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.
Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.
Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan.

Bayi lelaki cukup sifat maut



PASUKAN polis memeriksa mayat bayi yang dipercayai dicampak daripada sebuah kenderaan bergerak di sebuah lorong kawasan perumahan Taman Rajang di Sibu, Sarawak, kelmarin.


SIBU 15 Sept. - Kejam dan tidak berperikemanusiaan! Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat dicampak keluar daripada sebuah kenderaan yang sedang bergerak sehingga menyebabkan kepalanya pecah.
Perbuatan kejam itu berlaku di sebuah lorong di kawasan Perumahan Taman Rajang di sini malam tadi.
Mayat bayi yang dibungkus dengan kertas surat khabar dan dimasukkan ke dalam beg plastik hitam itu ditemui seorang peniaga wanita yang kebetulan lalu di lorong berkenaan antara pukul 9 hingga 10 malam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi itu dan bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap bayi itu mendapati, anggota badannya sempurna serta masih mempunyai tali pusat namun ditemui dalam keadaan berlumuran darah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu meninggal dunia dipercayai setelah kepalanya pecah. Berkemungkinan kecederaan itu akibat hentakan setelah dicampak keluar daripada dalam kenderaan yang sedang bergerak.
"Polis percaya mereka yang terlibat melalui lorong yang gelap itu dan membuang bungkusan tersebut dengan tergesa-gesa berdasarkan kepada keadaan beg plastik itu yang koyak rabak serta mendedahkan kandungannya yang kelihatan berlumuran darah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shafie berkata, pihaknya menghantar mayat bayi berkenaan ke Hospital Umum Sibu untuk bedah siasat.
Katanya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis berharap orang awam yang mempunyai maklumat kejadian supaya menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

'Mangsa berpatah balik tertinggal ketupat palas'


KUBANG PASU 15 Sept. - Gerak hati seorang abang bahawa sesuatu yang tidak baik akan menimpa adiknya ternyata benar apabila saudara perempuannya itu maut dalam kemalangan di Kilometer 394, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Behrang, Perak, pagi ini.
Suhaimi Abu Bakar, 27, berkata, adiknya, Suzita, 25, bersama suaminya, Azri Ismail, 27, anak lelaki mereka, Mohd. Amar Haikal, 2, serta Mohd. Haznizam Abdul Mutalib, 20, sepatutnya sampai di Kuala Lumpur semalam, namun mereka berpatah balik setelah sampai di Kulim.
"Dia (Suzita) bertolak dari kampung tengah hari semalam namun berpatah balik kerana tertinggal ketupat palas dan mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam tadi.
"Saya memang rasa tak sedap hati kerana orang tua-tua cakap tidak elok berpatah balik dalam perjalanan namun saya diamkan sahaja sehinggalah saya mendapat berita mereka maut dalam kemalangan tengah hari tadi," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Matang Bongor, Ayer Hitam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi ini, kesemua mangsa rentung selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang treler yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya kerana mengalami masalah tayar.
Menurut Suhaimi, adiknya juga seolah-olah berat hati untuk meninggalkan kampung setelah seminggu pulang berhari raya bersama keluarga.
"Suzita merupakan seorang yang peramah dan amat rapat dengan ibu kami, Natrah Omar.
"Sehingga kini ibu masih belum mengetahui kejadian ini dan kami risau untuk memberitahunya kerana dia kurang sihat," katanya.
Tambahnya, Suzita serta suaminya baru membuka spa di Kuala Lumpur dan Mohd. Haznizam yang merupakan kenalan suaminya mengikut mereka untuk bekerja di kedainya.
Jelasnya, sebelum ini adiknya bekerja dalam bidang yang sama sebelum membuka spa sendiri.
Jenazah kesemua mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang Bongor malam in

Tiga beranak antara empat rentung





TANJUNG MALIM 15 Sept. - Empat termasuk tiga beranak rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 394, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Behrang dekat sini pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi ketika keempat-empat mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 25 bulan dalam perjalanan pulang ke Kota Damansara, Selangor selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman tiga beranak itu di Jerlun, Kedah.
Mereka yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu kereta Proton Persona terbabit, Azri Ismail, 27; isterinya, Suzita Abu Bakar, 25, anak lelaki mereka, Mohd. Amar Haikal dan Mohd. Haznizam Abdul Mutalib, 20.
Mohd. Haznizam yang berasal dari Langkawi turut bersama keluarga itu kerana bakal diambil bekerja di pusat rawatan spa milik pasangan suami isteri tersebut.
Ketua Trafik Hulu Selangor, Supritendan Mohd. Taib Songoh berkata, siasatan awal polis mendapati kereta yang dipandu Azri itu merempuh bahagian kiri belakang treler membawa muatan pasir yang diletakkan di laluan kecemasan lebuh raya kerana mengalami kerosakan tayar.
"Siasatan awal polis mendapati, kereta tersebut gagal dikawal lalu merempuh belakang treler terbabit sehingga menyebabkan ia terbakar," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kubu Bahru hari ini.
Mohd. Taib berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengantuk sewaktu nahas berkenaan.
Ketika kemalangan, keadaan cuaca baik dan trafik agak lengang.
Beliau berkata, jenazah keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat.
"Jenazah mangsa kemudian dituntut waris untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing," katanya.
Sementara itu, pemandu treler tersebut, T. Ramathas, 37, berkata, tidak lama selepas dia memberhentikan kenderaannya, sebuah kereta tiba-tiba merempuh belakang treler tersebut.
"Ketika itu saya dalam perjalanan dari Sungkai menghala ke Sungai Buloh untuk menghantar muatan pasir. Saya terpaksa berhenti di lorong kecemasan setelah rim tayar mengalami masalah.
"Sebaik turun dari lori saya terus letak kon dan penanda segi tiga kecemasan serta menghubungi pihak lebuh raya untuk mendapatkan bantuan namun tidak sampai 3 minit, saya nampak sebuah kereta merempuh belakang treler," katanya.
Dalam pada itu, bapa saudara kepada Mohd. Haznizam, Mad Saad Ahmad, 56, berkata, anak saudaranya itu sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur kelmarin menaiki bas bersama tiga kawannya setelah berhari raya di Langkawi.
Bagaimanapun, dia memberitahu, Mohd. Haznizam kemudian telah mengubah fikiran dan menumpang Azri sekeluarga setelah ditawarkan bekerja di pusat rawatan spa yang dikendalikan Suzita.
Utusan Malaysia difahamkan, pusat rawatan tersebut baru dibuka beberapa bulan lalu.
"Jenazah Mohd. Haznizam akan dibawa pulang ke Kampung Ewa, Langkawi untuk dikebumikan pagi esok," katanya.