Search This Blog

Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Kesan dua telefon bimbit dalam sungai



BANTING: Polis menemui petunjuk terbaru apabila dua daripada tiga telefon bimbit milik mangsa bunuh dan bakar yang dipercayai dibuang di Sungai Kanchung Laut, ditemui kelmarin.
Menurut sumber, telefon berkenaan diperoleh ketika operasi mencari bukti yang dilakukan selepas penemuan jam tangan berjenama milik Datuk Sosilawati Lawiya.
Usaha mencari senjata digunakan bagi membunuh mangsa digiatkan pasukan forensik polis di kawasan itu dan dibantu unit gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Kanchung Laut di sini, semalam Dalam operasi bermula jam 12 tengah hari itu, forensik menemui satu lagi jam tangan turut mempunyai nombor siri menjadikan dua jam tangan ditemui sehingga semalam.
Tiga suspek juga dilihat dikawal rapi Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Kuala Lumpur yang dibawa bagi mengecam barangan ditemui.
Seorang daripada suspek dibawa ke lokasi itu selepas polis menggeledah pejabat firma guaman suspek utama kira-kira jam 2 petang.
Suspek dibawa kembali ke lokasi sungai berkenaan kira-kira jam 3.15 petang sebelum dilihat mencangkung di tepi jambatan mengecam barang ditemui.
Menurut sumber, polis sedang mencari besi tajam mencantas tandan kelapa sawit termasuk pencangkuk besi yang digunakan ketika menyembelih mangsa, namun masih belum ditemui sehingga petang semalam.
Bagaimanapun, satu pisau ditemui pasukan penyelam forensik kira-kira jam 4.20 petang di sungai terbabit namun dipercayai tidak digunakan suspek apabila mereka tidak mengaku senjata berkenaan milik mereka.
Sumber : Harian Metro

200 kes denggi di Sabah


Oleh Suzianah Jiffar 
suzianah@bharian.com.my
2010/09/15

PAPAR: Kes denggi di Sabah masih terkawal berbanding di negeri lain walaupun jumlah penghidap denggi di negeri ini menunjukkan peningkatan 200 kes dengan menjadikan jumlah keseluruhan 1,640 kes sejak Januari hingga September ini, berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata bagaimanapun keadaan masih terkawal dan jumlah kematian akibat denggi yang dilaporkan di negeri ini masih kekal satu kes berbanding tiga kes tahun lalu.


Bumbung rumah tercabut dilanda angin kencang





2010/09/15

KEDAI makan Rohaimi  yang rosak teruk dipukul ribut.
KEDAI makan Rohaimi yang rosak teruk dipukul ribut.
KUALA SELANGOR: Bagi penduduk, Siti Zaharah Sanudin, 73, dari Kampung Teluk Piah, di sini, pengalaman bumbung rumah tercabut akibat angin kencang dan ribut petir semalam pasti sukar dilupakan walaupun kejadian itu hanya berlaku dalam masa sejam. 

Ketika menceritakan kejadian pada jam 6.30 pagi itu, Siti Zaharah berkata, beliau amat terkejut dengan deruan angin kuat yang tiba-tiba menggegar dinding dan bumbung rumah yang didiami bersama tujuh ahli keluarga yang lain.Cucu Siti Zaharah, Mohd Hafiz Azalan, 26, pula berkata beliau terdengar angin kuat dan bumbung seakan-akan mahu tercabut lalu mengejutkan semua penghuni rumah yang masih lena kerana bimbang rumah roboh.
“Saya mengejutkan nenek dan membawanya keluar dari bilik untuk mencari lokasi lebih selamat. Beberapa minit kemudian, angin kencang mula mencabut beberapa keping zink dari bumbung rumah kami tetapi mujur ia tidak jatuh menimpa kami,” katanya ketika ditemui Sentral. 

Ketika menceritakan suasana cemas itu, beliau berkata dinding rumah berdentum kuat akibat pukulan angin kencang dan suasana mula bertukar menjadi kelam kabut menyebabkan adik-adiknya mula menangis ketakutan. 

“Mujurlah keadaan reda kembali pada jam 7.30 pagi ini (semalam),” katanya. 

Jiran Siti Zaharah, Dollah Hashim, 68, seorang pesara JKR lega kejadian itu tidak meragut nyawa 11 ahli keluarganya walaupun anjung rumahnya roboh ditiup angin kencang. 
“Kami panik tetapi mujurlah kami sempat berteduh di tempat selamat kerana bimbang rumah terbang dipukul angin. 

“Kerosakan pada anjung rumah ini berlaku di luar jangkaan kerana binaannya kukuh. Angin yang melanda kali ini amat kuat kerana mampu merobohkan pokok besar,” katanya yang kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. 

Sementara itu, di Kampung Pasir Penambang, seorang penduduk, Rohaimi Idris, 39, terkejut kerana angin kencang memusnahkan gerai makannya yang terletak di jeti nelayan. 

“Saya gagal menyelamatkan barang dan lebih malang, kedai saya roboh,” katanya. 

Remaja maut motosikal terbabas


Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my
2010/09/15

Tiga pembonceng lagi cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan 

MELAKA: Seorang daripada empat remaja yang menaiki sebuah motosikal, maut apabila motosikal berkenaan terbabas hampir memasuki sebuah longkang di Jalan Bukit Beruang, malam tadi.Dalam kemalangan pada jam 10 malam itu, mangsa yang terbunuh ialah Khairul Anuar Shahrir, (kanan) 14, manakala adiknya, Khairul Areff, 9, bersama dua rakannya, Iffwandi Atan, 12, dan Muhammad Shidi Rashid, 14, kedua-duanya dari Taman Bukit Katil yang datang ke rumah mangsa untuk berhari raya, patah tangan kiri.
Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poonam E Kling, berkata ketika kejadian, mangsa bersama adik dan dua rakannya menaiki sebuah motosikal dari arah Taman Kerjasama, Bukit Beruang sebelum terbabas ke kiri jalan berhampiran Taman Bunga Raya iaitu kira-kira satu kilometer dari rumah mereka di Kampung Bukit Beruang, dekat sini. 

“Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki empat remaja itu terbabas ke kiri jalan berhampiran selekoh berhampiran Taman Bunga Raya. 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi. 

Jenazah mangsa dikebumikan di tanah waqaf karyah Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang sebelum solat zohor. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menziarahui keluarga mangsa di tanah waqaf itu. 
Sementara itu, ayah mangsa, Shahrir Salim, 46, berkata beliau sudah melarang anaknya itu menggunakan motosikal, tetapi mangsa tetap mengambil kunci motosikal dan menolak kenderaan itu sebelum menuju ke jalan raya itu. 

Seorang saksi kejadian, Mohd Idris Daud, 17, berkata ketika berada di sebuah pusat cuci kereta berhampiran tempat kejadian, beliau terkejut mendengar bunyi motosikal terjatuh diikuti jeritan meminta tolong. 

“Semua mangsa tidak memakai topi keledar dan terjatuh hampir memasuki longkang,” katanya.

Pembunuhan kejam Sosilawati: Keluarga tak mahu keluar kenyataan




2010/09/15

SEREMBAN: Keluarga peguam peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, meminta semua pihak menghormati keputusan mereka yang tidak mahu memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung isu itu. 

Jurucakap keluarga berkenaan yang enggan dikenali, berkata mana-mana ahli keluarga pun tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan.“Kami sekeluarga sudah membuat keputusan mengenai perkara ini dan meminta semua pihak menghormatinya,” katanya yang juga abang kepada Ahmad Kamil, ketika ditemui di sini, semalam.
Ahmad Kamil dipercayai dibunuh bersama Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, serta pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, 30 Ogos lalu. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek pernah dibicara kes pecah amanah




2010/09/15

KUALA LUMPUR: Seorang daripada suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, bulan lalu atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah milik seorang wanita, akhir tahun lalu. 

Beliau yang juga seorang peguam berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 September ini dan suspek dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000.
Sementara itu, dia dan abangnya yang juga seorang peguam bergelar Datuk pernah digantung selama setahun sebagai pengamal undang-undang oleh Majlis Peguam selepas siasatan salah laku dibuat badan itu terhadap kedua-dua mereka. 

Berikutan itu, suspek bersama abangnya yang berusia 41 tahun digantung daripada mengamalkan amalan guaman daripada 9 Mac 2007 hingga 30 Mac 2008. 

Mereka dikenakan tindakan itu mengikut Akta Undang-Undang Profesyen 1976. 

Sumber Majlis Peguam yang mengesahkan perkara itu memberitahu Berita Harian yang badan berkenaan pada 2009 membuat keputusan untuk melucutkan keahlian kedua-dua mereka. 
“Bagaimanapun, kedua-dua mereka membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Majlis Peguam itu dan sehingga kini rayuan masih belum didengar lagi,” katanya. 

Berikutan itu, kedua-dua suspek masih boleh meneruskan khidmat guaman sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi diperoleh. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Rakan sukar percaya suspek pembunuh




2010/09/15

BANTING: Bekas rakan sekelas suspek yang juga adik kepada suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya tidak percaya rakannya yang dikenalinya sebagai pendiam dan kuat agama itu dikaitkan dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik dan tiga individu lain di sini. 

Nik Shila Kamaruzzaman, 38, berkata beliau terkejut apabila mendapat tahu yang rakan sekelasnya dari Sekolah Seri Langat dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad adalah suspek dalam kes pembunuhan kejam Sosilawati, 47, dan tiga individu lain yang mendapat liputan meluas pihak media.“Masa zaman sekolah dia seorang yang baik, pendiam selain memilih kawan. Lagipun dia lebih banyak kawan Cina dan Melayu dari kawan India serta tidak berkawan dengan pelajar samseng,” katanya ketika dihubungi di Subang semalam.
Nik Shila berkata beliau mengikuti perkembangan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu sejak berita mengenainya disiarkan televisyen dan mendapat tahu dua suspek yang juga peguam terbabit adalah rakan sekelas dan juga senior beliau semasa di dua sekolah itu. 

“Saya tak kenal sangat dengan suspek pertama sebab dia senior saya. Tapi suspek kedua yang juga memakai cermin mata (ketika masih sekolah) seorang rakan yang baik, memilih kawan dan tidak pernah kacau saya macam rakan-rakan lain yang nakal,” katanya yang kini bekerja sebagai ketua pramugari di sebuah syarikat penerbangan. 

Tinjauan Berita Harian di kawasan perumahan itu tengahari semalam mendapati kawasan itu dipenuhi dengan wakil media dan juga jiran-jiran yang ingin mengikuti perkembangan suspek. Tidak kurang juga kenderaan lalu lalang yang bertanyakan kepada wakil media bila rumah suspek utama akan digeledah pihak polis. 

Beberapa jiran yang ditemui berkata suspek utama dan keluarganya tidak bergaul dengan penduduk setempat tetapi dikenali sebagai seorang yang baik dan selalu menegur jirannya jika berjumpa. 

Kehilangan saudagar disiasat




2010/09/15

KUALA LUMPUR: Polis Selangor semalam memulakan siasatan berhubung kes saudagar permata dari Chennai, India yang dilaporkan hilang sejak lapan bulan lalu. 

Difahamkan, kehilangan jutawan, Allal Kathan Muturaja, 34, dipercayai mempunyai kaitan dengan dua beradik peguam berusia 38 dan 41 tahun yang juga suspek utama kes pembunuhan dan bakar pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya yang lain.Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika mengesahkan perkara itu, berkata siasatan akan dijalankan dengan mengambil kira semua aspek, termasuk hubungan antara jutawan terbabit dengan kedua-dua suspek utama berkenaan.
“Polis tidak menolak kemungkinan semua kes orang hilang ini mempunyai kaitan antara satu dengan lain, dipercayai didalangi dua suspek yang sama,” katanya. 

“Selain kes Sosilawati, ada empat kes orang hilang lain yang dilaporkan, masing-masing dua di Selangor, manakala selebihnya di Kuala Lumpur. Ini termasuk kes Allal,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Seorang lagi diburu bantu siasatan






2010/09/15

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lagi lelaki, dipercayai bekas pengawal peribadi dua suspek utama kes bunuh dan bakar jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya bagi membantu siasatan kes itu. 

Difahamkan, suspek terbabit yang dipercayai mempunyai banyak maklumat berhubung kes berkenaan melarikan diri selepas menyedari diburu sebaik

kes pembunuhan itu terbongkar. Sumber memberitahu Berita Harian, polis sudah menyerbu rumah lelaki terbabit dan beberapa lokasi termasuk pejabatnya di Banting, namun gagal menemuinya.

"Suspek dipercayai melarikan diri selepas dua beradik peguam berkenaan ditahan bersama enam suspek lain, termasuk pekerja ladang mereka sebelum ini. 

"Polis percaya suspek masih berada di kawasan berhampiran. Identitinya sudah dikenal pasti dan gerakan memburunya sedang dijalankan," katanya. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: ‘Wati lega agih syarikat pada anak’




2010/09/15

Luahan Sosilawati pada pertemuan 26 Ogos 

KUALA LUMPUR: ‘Wati lega, anak-anak sudah habis belajar dan tanggungjawab lima syarikat sudah diagihkan kepada anak,’ luah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, kepada peguamnya, Datuk Zaidi Zain ketika pertemuan terakhir mereka pada 26 Ogos lalu.Zaidi berkata, ketika memaklumkan perkara itu, Sosilawati seolah-olah mahu berhenti daripada menguruskan perniagaan dan menyerahkan semuanya kepada lima anaknya yang sudah menamatkan pelajaran.
“Ia seperti petanda. Dalam perbualan itu, saya tidak mengesyaki sesuatu dan hanya menganggap dia sudah letih menguruskan lima syarikatnya di Kuala Lumpur dan Selangor sehingga mahu melepaskan tanggungjawab itu kepada anaknya,” katanya semalam. 

Beliau berkata, selain bercerita mengenai perniagaannya, Sosilawati memaklumkan beliau banyak ditipu oleh individu di sekelilingnya termasuk orang kanannya yang selama ini diberi kepercayaan penuh menguruskan kewangan syarikat. 

“Wati hanya meluahkan perasaannya dan meminta nasihat saya untuk terus bangkit dan tidak mudah berputus asa mengenai masalah itu. Saya tidak sangka, itu kali terakhir saya bercakap dan berjumpa dengan Wati yang dikenali sejak 13 tahun lalu,” katanya. 

Zaidi menyifatkan Sosilawati yang dikenali sepanjang tempoh itu sangat baik dan seorang yang bekerja kuat tanpa bergantung kepada individu lain. 
“Wati seorang yang kuat semangat dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memperoleh apa yang diimpikan. Semua yang berlaku sudah tersurat dan berharap anaknya kuat menghadapi ujian itu,” katanya. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis temui 6 keping zink dipercayai alas pembakaran




2010/09/15

SEBILAH pisau ditemui  ketika  operasi menyelam di tebing sungai Kanchong Laut, Kampung Endah, semalam.
SEBILAH pisau ditemui ketika operasi menyelam di tebing sungai Kanchong Laut, Kampung Endah, semalam.
Tiga jam tangan berjenama, kunci kereta Sosilawati dijumpai 

BANTING: Enam keping atap zink yang mempunyai kesan terbakar, dipercayai digunakan suspek sebagai alas ketika membakar mangsa kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditemui penyelam Pasukan Gerakan Marin, di Sungai Gelanggang Buaya, di Kampung Kelanang, dekat sini, petang semalam.Penemuan atap zink itu hasil soal siasat dua suspek yang turut dibawa oleh polis ke kawasan pencarian pada jam 5.20 petang semalam.
Polis juga menemui dua jam tangan termasuk jenama mewah Rolex dan Longines serta seutas jam tangan Seiko, dipercayai milik mangsa dalam Sungai Kanchong Laut, di sini. 

Jam lelaki berjenama mewah yang mempunyai nombor siri dipercayai milik seorang daripada tiga lelaki yang dibunuh, manakala Rolex dipercayai milik Sosilawati. Turut ditemui ketika operasi mencari ialah sebilah pisau dan sebatang besi, tetapi tiada kaitan dalam kes berkenaan. 

Difahamkan, polis sedang mencari besi cangkuk sawit yang dikatakan digunakan untuk membunuh keempat-empat mangsa berkenaan. Penyelam dilihat menggunakan alat pengesan besi bagi mengesan senjata dan barang peribadi yang dipercayai dibuang di kawasan berkenaan. 

Ketika operasi, polis turut membawa tiga suspek bagi memudahkan pengecaman barang yang dijumpai dan mereka hanya menggeleng atau menganggukkan kepala apabila ditunjukkan barang yang ditemui. 
Selain anggota polis dan petugas media, penduduk kampung dan orang awam turut berkumpul di tepi jalan berhampiran lokasi pencarian untuk melihat lebih dekat operasi, manakala anggota Trafik mengawal lalu lintas dan menghalang orang ramai daripada berkerumun lebih dekat di kawasan operasi. 

Sementara itu, tiga kenderaan Pasukan Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat memasuki kawasan Ladang Gadong dekat sini, kira-kira jam 5.50 petang bagi membantu polis menyiasat kes bunuh dan bakar itu. 

Dalam pada itu, seorang suspek dibawa ke dalam semak berhampiran Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di Subang Jaya iaitu tempat kereta BMW milik Sosilawati ditemui, bagi mencari barang kes dipercayai kunci kereta mewah berkenaan. 

Selepas hampir setengah jam berada di kawasan semak itu, polis menemui barang kes yang mungkin boleh dijadikan bukti. 

Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek broker tanah RM100j




2010/09/15

SUSPEK dibawa ke pejabatnya di Banting untuk siasatan pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
SUSPEK dibawa ke pejabatnya di Banting untuk siasatan pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
Sosilawati ke Banting urusan beri komisen Datuk berjaya cari pembeli 

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya sudah menerima cek RM1 juta pada 2 Ogos lalu, kira-kira tiga minggu sebelum mangsa dan tiga individu lain dilaporkan hilang sebagai wang pendahuluan bagi penjualan tanahnya di Pulau Pinang yang bernilai RM100 juta.Difahamkan, cek berkenaan diserahkan ketika Sosilawati dan pemandu peribadinya menemui suspek bergelar Datuk di firma guaman milik suspek dekat Banting, Peguam Syarie, Datuk Zaidi Zain yang mewakili Sosilawati membabitkan kes tuntutan RM1.38 juta terhadap bekas suaminya, Nash mendakwa pada pertemuan terakhir dengan mangsa pada 26 Ogos lalu, jutawan itu menceritakan mengenai tanahnya di Pulau Pinang yang dibeli pada harga RM20 juta dan sudah menemui pembeli hasil bantuan suspek.

“Wati (Sosilawati) memaklumkan sudah terima cek RM1 juta yang berstatus cek tertunda dan hanya boleh ditunaikan pada 2 September bersama draf perjanjian yang membolehkan suspek menerima komisen seperti dipersetujui. 

“Beliau begitu gembira menceritakan perkara itu kerana bakal menjual tanahnya RM100 juta dan memperoleh keuntungan RM80 juta. Bagaimanapun, Wati tidak memaklumkan siapa pembeli itu,” katanya, semalam. 

Zaidi berkata, pada hari jutawan kosmetik dan tiga individu dilaporkan hilang, beliau dimaklumkan tujuan pemergian mereka ke Banting bertemu suspek untuk memberinya komisen kerana berjaya mencari pembeli. 
“Bagaimanapun, Wati tidak membawa wang tunai, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa peguam dan perunding kewangan peribadinya bagi membolehkan transaksi wang dilakukan. 

“Wati dijanjikan suspek pada pertemuan itu pembeli akan membayar 10 peratus iaitu RM10 juta daripada harga tanah yang dijual,” katanya. 

Bayi lelaki ditinggalkan di bawah jambatan


15/09/2010 9:12pm

IPOH 15 Sept. – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di atas beberapa batang paip di bawah sebuah jambatan di Kampung Cegar, Bidor di sini petang ini.
Bayi malang itu ditinggalkan kira-kira 1.5 kilometer dari Taman Rekreasi Air Panas Sungai Kelah dan ditemui seorang wanita pada pukul 5.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, bayi yang masih bertali pusat itu dalam keadaan sihat dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai untuk pemeriksaan lanjut. – Utusan

Keluarga sambut raya terkejut dengan penemuan bayi


15/09/2010 9:10pm

KOTA BHARU 15 Sept. – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salor dekat sini terbantut apabila mereka dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang masih hidup dan ditinggalkan di beranda rumah keluarga itu, hari ini.
Bayi seberat 2.5 kilogram itu ditemui oleh Mohssin Sheikh Mohammad, 50, selepas diberitahu oleh anak saudaranya berusia 19 tahun yang terdengar tangisan bayi itu kira-kira pukul 8 pagi.
Mohssin yang pulang bercuti di rumah keluarganya di kampung berkata, sebaik sahaja dimaklumkan, dia terus membuka pintu dan mendapati bayi perempuan yang diselimut dengan kain lampin serta tuala itu diletakkan di atas beranda rumahnya. – Utusan.

Bayi maut dicampak dari kenderaan bergerak


15/09/2010 9:11pm

SIBU 15 Sept. – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat dicampak keluar dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak sehingga menyebabkan kepalanya pecah.
Perbuatan kejam itu berlaku di sebuah lorong di kawasan Perumahan Taman Rajang di sini malam tadi.
Mayat bayi yang dibungkus dengan kertas suratkhabar dan dimasukkan ke dalam beg plastik hitam itu ditemui seorang peniaga wanita yang kebetulan lalu di lorong berkenaan antara pukul 9 hingga 10 malam. – Utusan