Search This Blog

Tuesday, September 14, 2010

12 penunjuk perasaan terbunuh

SRINAGAR: Dua belas orang terbunuh semalam apabila polis melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan yang membantah tindakan mengoyak dan membakar kitab suci al-Quran di Amerika Syarikat.
Beribu-ribu penunjuk perasaan sebelum itu berarak di barat Kashmir sambil melaungkan slogan anti-Amerika Syarikat.

Tindakan biadap dua paderi di Amerika Syarikat yang mengoyak dan membakar kitab suci itu di Amerika Syarikat turut mencetuskan tunjuk perasaan di Afghanistan yang menyebabkan dua orang terbunuh Ahad lalu. - Agensi

18 maut hari ke-11 Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Lapan belas kematian dicatat pada hari ke-11 Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 3 September lalu ialah 187 orang.
Laman web Polis Diraja Malaysia berkata mereka yang terkorban membabitkan 12 penunggang motosikal, empat pengguna kereta, seorang pemandu lori dan seorang pejalan kaki.
Selain itu, sebanyak 1,219 kemalangan dilapor berlaku semalam dengan 138 di lebuh raya, 335 di jalan persekutuan, 196 jalan negeri, 473 jalan bandaran dan 77 lagi di jalan-jalan lain.

Sebanyak 11,072 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ops Sikap ke-22 akan berakhir Jumaat ini.-Bernama

Kes bunuh Sosilawati : Polis geledah firma guaman milik peguam bergelar Datuk

BANTING: Polis hari ini menggeledah pejabat firma guaman milik peguam bergelar Datuk di sini bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan hingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Sepasukan polis dilihat tiba di pekarangan firma guaman, yang terletak di Jalan Kemboja 33, Off Jalan Sultan Alam Shah di sini kira-kira 10.45 pagi, namun beredar lima minit kemudian apabila gagal membuka pintu pejabat berikutan kunci yang tidak sesuai.
Polis kemudian dilihat kembali ke firma itu kira-kira 30 minit kemudian bersama seorang lelaki, yang berpakaian lokap warna ungu, dipercayai peguam bergelar Datuk itu.

Peguam berumur 41 tahun itu adalah seorang daripada lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Selepas lebih satu jam berada di firma milik suspek, polis dilihat membawa keluar peralatan seperti CPU dan beberapa dokumen sebelum membawa keluar suspek dari pejabat itu kira-kira 12.30 tengah hari.

Laporan sebelum ini menyebut, firma guaman berkenaan adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek, dan abunya dibuang ke sungai berhampiran.

Firma itu difahamkan menjadi lokasi urus niaga suspek dan mangsa.-Bernama

Lelaki warga Myanmar mati dibunuh

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Myanmar mati selepas dikatakan terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki Pakistan di sebuah kilang di Balakong awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei berkata, pergaduhan pada jam 3.30 pagi itu berlaku apabila mangsa, Kyaw Htike Aung, 21, dikatakan menegur suspek yang kerap pergi menunaikan solat ketika bertugas. "Kyaw adalah pengawal keselamatan di kilang itu, manakala suspek pekerja kebun di kilang yang sama.
"Akibat teguran itu pergaduhan berlaku. Siasatan awal polis mendapati mangsa dipukul di bahagian rusuk kiri menggunakan sebatang besi dan dia mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang berusia 24 itu ditangkap oleh pengurus sekuriti kilang berkenaan 20 minit selepas kejadian dan diserah kepada polis untuk siasatan.

Suspek yang ditahan reman bermula hari ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, katanya. -Bernama

Empat juga disembelih

BANTING: Pendedahan terbaru berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik terkenal, Sosilawati Lawiya, 47, lebih menyentap perasaan apabila hasil siasatan tidak menolak kemungkinan mangsa bersama tiga lelaki lain disembelih menggunakan senjata tajam.


CARI...anggota pasukan penyelam polis mencari bukti di Sungai Kanchong Laut, semalam.
CARI...anggota pasukan penyelam polis mencari bukti di Sungai Kanchong Laut, semalam.

Sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, mangsa dikelar di leher sebelum dibakar oleh kumpulan penjenayah terbabit hingga menjadi debu.

“Hasil maklumat dikumpul setakat ini, polis mendapati pembunuhan itu adalah tindakan jenayah sadis yang dirancang dengan begitu rapi. Lebih mengerikan apabila semua mangsa seolah-olah dilayan seperti binatang tanpa perikemanusiaan.

“Polis turut percaya, abu dan sisa tulang semua mangsa yang dibakar terbabit bukan hanya dibuang di dalam Sungai Panchau, malah turut dibuang ke dalam beberapa parit kecil berhampiran yang arusnya mengalir ke laut,” katanya.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Sosilawati bersama tiga mangsa lain disahkan dibunuh kejam di ladang persendirian milik suspek utama yang terletak di Sungai Gadung, Tanjung Sepat.

“Bagaimanapun, polis berjaya mengesan suspek utama bergelar Datuk berusia 41 terbabit dan adiknya berusia 38 tahun sebelum kedua-dua mereka ditahan di rumah mereka yang terletak di Taman Cempaka, kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu.
“Setakat ini, polis menemui pisau yang digunakan untuk tujuan pembunuhan terbabit selepas melakukan pemeriksaan rapi di kawasan sungai dan parit berhampiran tapak ladang berkenaan malam Ahad lalu,” kata sumber itu.

Berdasarkan maklumat dikumpul, pisau terbabit dibuang ke dalam sungai bersama abu mayat mangsa bagi menghilangkan bukti jenayah kejam dilakukan.
“Pisau milik kumpulan pembunuh itu ditemui selepas salah seorang suspek yang ditahan memberikan maklumat kepada polis. Setakat ini, polis percaya, pisau itu digunakan untuk membunuh semua mangsa berkenaan” katanya.

Menurutnya, dalam operasi kelmarin, polis Unit Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan di kawasan Sungai Panchau di sini.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran antaranya tulang dan tisu tubuh yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis meneruskan usaha menyelam di dasar Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah bagi mencari objek yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan berkenaan, semalam.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin memberitahu empat mangsa berkenaan dipercayai diseksa, dibelasah, selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.

Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Susulan kes itu, polis memberkas lapan suspek termasuk dua wanita antara Jumaat hingga Ahad lalu membabitkan suspek berusia 19 hingga 45 tahun.

Kes bunuh Sosilawati: Kebumi walau secebis tulang

BATU PAHAT: “Tak kisahlah apa saja yang ditemui pihak berkuasa, walaupun hanya secebis tulang kami akan tetap membawa pulang jenazah (Datuk Sosilawati Lawiya) ke kampung untuk dikebumikan,” kata adik ipar arwah, Misjan Jamikun, 48, ketika ditemui semalam.
Menurutnya, perbincangan dengan semua anak kakak iparnya itu sebulat suara mencapai persetujuan, jenazah akan disemadikan di tempat kelahirannya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini.

“Bagaimanapun, semua urusan itu hanya akan dilakukan selepas segala urusan membabitkan pihak berkuasa termasuk pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas dilakukan.

“Anak-anak Kak Wati (Sosilawati) menyerahkan segala urusan menguruskan jenazah termasuk membawa pulang jenazah kepada saya.

“Kami sependapat, tidak kira apa saja yang ditemui dan walaupun hanya secebis tulangnya, kami tetap akan membawanya pulang ke sini bagi memberi penghormatan terakhir dan tanda kasih kami kepadanya yang banyak berjasa kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini, lewat petang semalam.

Misjan antara ahli keluarga paling rapat dengan kakak iparnya itu selain isterinya, Rosnani Lawiya, 45, kerana mempunyai tarikh lahir sama dengan arwah iaitu 12 Julai, selain usianya hanya setahun lebih tua.
Ketika ditanya mengenai ibu Sosilawati, Misjan berkata, ibu mentuanya itu belum bersedia menemui saudara-mara serta jiran yang bertali arus mengunjungi rumah selepas mereka pulang daripada ibu kota awal pagi semalam.

Menurutnya, ibu mentuanya, Yatmah Abdul Rahman, 80, perlu berehat dan menenangkan diri kerana baru saja kehilangan anak sulung serta menantunya, April lalu, selain tragedi kehilangan Sosilawati.
“Ibu lebih banyak memendam perasaan dan mendiamkan diri, sejak awal tahun dia ditimpa kesedihan menyebabkannya tertekan.

“Kak Wati sangat prihatin dan biasanya akan menghubungi saya untuk bertanyakan khabar ibunya,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang yang ceria dan tidak suka berahsia serta mengambil berat urusan keluarga.

Katanya, keluarga reda dengan pemergian Sosilawati, namun cara dia meninggal dunia sukar diterima ahli keluarga serta anak-anak kakaknya itu.

“Kami sekeluarga berharap mereka yang bertanggungjawab menerima balasan setimpal,” katanya.

Bapa dilarang jumpa anak

KUALA LUMPUR: Seorang bapa kepada penghuni Pusat Jagaan Remaja Raudhatus Sakinah mendakwa dilarang melawat anaknya oleh pihak pengurusan pusat jagaan itu dengan alasan tidak munasabah.


KESAL...Norzairi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Norzairi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

Norzairi Jantan, 41, berkata, tambah memilukan kunjungannya bersama ibu dan anak perempuannya kelmarin dengan membawa ketupat dan lemang sempena Aidilfitri mendapat layanan sama.
“Saya tidak dibenarkan melawat atas alasan, saya bukan pihak menghantar dan menyerahkan anak saya berusia 15 tahun kepada pihak berkenaan, sebaliknya dilakukan bekas isteri.

“Sejak dimasukkan ke pusat berkenaan Ogos tahun lalu, saya tidak dibenarkan berjumpa anak biarpun beberapa kali berjumpa pengetua yang juga Pengerusi Raudhatus Sakinah Negeri Selangor, Yusnani Abd Hamid,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan pihak pengurusan berkenaan menyebabkan dia tidak mendapat sebarang akses berhubung dengan anaknya.

Memburukkan lagi keadaan, dakwanya pusat pengurusan berkenaan juga enggan membebaskan anaknya biarpun tempoh jagaan di pusat berkenaan sepatutnya tamat pada Ogos lalu.

“Bukan hanya di Sungai Buloh, bahkan saya pernah bertemu Yusnani di Ibu Pejabat Raudhatus Sakinah di Melawati bagi berbincang mengenai nasib anak saya, tetapi masih dilarang bertemu anak atas alasan ia atas arahan bekas isteri.

“Namun, perkara itu dinafikan bekas isteri saya kerana dia sendiri mahu anak kami dibebaskan daripada pusat jagaan itu. Sepatutnya kini kami sekeluarga boleh menyambut Aidilfitri bersama,” katanya.

Menurutnya, tertekan dengan masalah berkenaan dia membuat dua laporan polis pertama pada 17 Ogos lalu di Balai Polis Taman Melawati dan kedua pada 12 September lalu di Balai Polis Sungai Palong kerana keengganan pihak pengurusan membenarkan dia bertemu anaknya.

Malah, dia turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam.

“Tindakan pihak pengurusan menafikan hak saya melawat dan membebaskan anak saya daripada pusat jagaan itu salah dan tidak sah. Ia bertentangan dengan undang-undang dan pelanggaran hak asasi manusia.
“Oleh itu, saya memohon Suhakam membuat siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Akta 1999) supaya saya diberi akses melawat dan membebaskan anak saya dari jagaan pusat itu,” katanya.

Sementara itu, Yusnani ketika dihubungi menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan Norzairi gagal mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihaknya.

“Di Raudhatus Sakinah, kami mempunyai polisi perlu dipatuhi, sebelum membawa anak keluar, ibu bapa perlu bertemu pihak kami dan berbincang mengenai masa depan penghuni berkenaan, tetapi Norzairi gagal berbuat demikian.

“Malah, kelmarin saya menunggu dia sehingga jam 12 tengah hari, tetapi dia gagal hadir. Norzairi suka menyerang dan membuat kacau dan hanya berhenti jika dimaklumkan bahawa kami menghubungi polis,” katanya yang sehingga kini tidak membuat laporan polis berhubung tindakan berkenaan.

Rangka manusia ditemui dalam belukar dekat Bukit Mantin

SEREMBAN: Satu rangka manusia ditemui oleh seorang lelaki yang sedang mencari buluh di dalam belukar berdekatan dengan Bukit Mantin, Batu 7, jalan Seremban-Mantin di sini pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, ia dipercayai rangka seorang lelaki berumur 25 tahun ke atas yang ditempatkan di kawasan belukar itu sejak 2 minggu lalu.
Beliau berkata, rangka itu ditemui pada kira-kira 8 pagi dalam keadaan mengiring dengan mulutnya disumbat kain dan ditutup dengan pita pelekat berwarna merah.

Menurutnya, turut dijumpai pada rangka itu ialah sebuah jam tangan berjenama Tag Heuer dan sekotak rokok Marlboro.

"Ada cebisan kulit pada betis kanan rangka itu dan ada tatu yang pudar. Bangsanya tidak dapat dipastikan dan tingginya antara 175 dan 180sm," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Yusoff seterusnya meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga di kawasan berhampiran supaya menghubungi ibupejabat Polis Daerah Seremban dengan menelefon 06-6033222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu seorang saksi, Mohd Japri Che Mustafa yang menemui rangka itu ketika dihubungi Bernama berkata, beliau ke kawasan belukar itu untuk mencari buluh.

"Bila sampai, saya terbau bau busuk yang amat sangat. Selepas mencari punca bau, saya ternampak rangka itu," kata beliau yang merupakan pekerja sebuah pusat pemeliharaan pokok.-Bernama

Tiga anggota Geng Kali ditahan di Bukit Mertajam

NIBONG TEBAL: Tiga anggota Geng Kali yang dipercayai terbabit dengan kes samun di sekitar Seberang Perai ditahan di sebuah rumah teres di Bukit Mertajam pada Jumaat lalu.
Dengan tertangkapnya tiga lelaki terbabit yang berumur antara 25 hingga 26 tahun, polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira 30 kes samun yang membabitkan kerugian lebih RM30,000.
"Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menyamun daripada suspek.

"Siasatan polis mendapati suspek merupakan anggota kumpulan Geng Kali yang aktif melakukan jenayah samun di sekitar Seberang Perai," kata Shafien.

Dalam satu kes berasingan, polis menahan tiga lelaki warga asing yang berumur antara 32 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan.

Shafien berkata, kumpulan itu yang terdiri daripada dua warga Iran dan seorang warga Turki ditahan dalam sebuah kereta ketika sedang menuju ke Jalan Jetty Bagan juga pada Jumaat lalu.

"Polis merampas mata wang Amerika, Iran dan Dubai sementara kereta yang disewa oleh suspek turut dirampas," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek didapati masuk ke negara ini sebagai pelancong dan menginap di sebuah hotel mewah di Batu Feringghi.

"Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menimbulkan provokasi dengan mangsa sebelum mereka mencuri wang milik mangsa tanpa mangsa menyedarinya," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda.-Bernama

Pemuda mati lemas ketika berenang ke sangkar ikan di Sungai Dinding

SITIAWA: Seorang pemuda berusia 19 tahun mati lemas di Sungai Dinding ketika berenang menuju ke sebuah sangkar ikan untuk memancing bersama tiga rakannya di Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dekat sini, semalam.
KeTika kejadian, mangsa Mohd Amirul Hakimi Huzaini dari Banting, Selangor, sedang bercuti di rumah neneknya di Kampung Telaga Nenas.
Seorang saksi, Zainal Abidin Baharum, 50, berkata kejadian berlaku pada 5.45 petang ketika dia sedang berehat di rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

"Ketika kejadian, bapa saudara dan dua orang lagi rakan mangsa menaiki sampan menuju ke sebuah sangkar ikan kira-kira 50 meter dari pantai ketika air pasang.

"Mangsa ketika itu enggan menaiki sampan, sebaliknya berenang menuju ke sangkar ikan tersebut walaupun dilarang oleh bapa saudaranya," katanya hari ini.

Zainal Abidin berkata, beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum tenggelam dibawa arus ketika berada beberapa meter dari sangkar ikan tersebut, namun tidak dihiraukan bapa saudara dan rakannya kerana dia dikatakan memang suka bergurau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, selepas menyedari Mohd Amirul tidak timbul-timbul, rakan mangsa cuba membantu namun gagal ekoran arus deras serta keadaaan sungai yang dalam iaitu kira-kira 8 meter di tempat kejadian.

Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat serta Pasukan Gerakan Marin dikejarkan ke tempat kejadian, namun operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa dihentikan ekoran cuaca gelap, dan disambung jam 7 pagi hari ini.

Shaharuddin berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian pukul 10 pagi tadi oleh pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat berkenaan.

Mayat Mohd Amirul kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga Nenas petang ini.-Bernama

Suspek bergelar Datuk dibawa ke pejabat guamannya


14/09/2010 3:37pm

KUALA LANGAT 14 Sept. - Peguam bergelar Datuk yang dinamakan sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki, pagi ini dibawa polis ke pejabat guamannya di Jalan Banting di sini.
Suspek berusia 41 tahun itu dibawa ke situ bagi membantu polis untuk mengesan bahan-bahan bukti untuk membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Dia dilihat tiba di pejabat tersebut pada pukul 11 pagi bersama sekumpulan pegawai dan anggota polis termasuk daripada Unit Forensik. – Utusan

Kemalangan akibat leka di hadapan pejabat suspek utama


14/09/2010 6:37pm

KUALA LANGAT 14 Sept. – Akibat terlalu leka melihat ramai orang berkumpul, seorang lelaki yang memandu sebuah Proton Iswara warna putih terlanggar sebuah van keselamatan di hadapan pintu masuk ke pejabat firma guaman milik suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Banting dekat sini.
Kemalangan pukul 11.35 pagi itu mengakibatkan kereta Proton Iswara tersebut remuk teruk di bahagian hadapan manakala van keselamatan berkenaan turut mengalami kerosakan di bahagian belakang.
Kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ahmad Shah menghala ke Pantai Morib itu berlaku apabila ramai pemandu memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat orang ramai yang berhimpun di situ.
Ketika itu, suspek utama dibawa oleh sepasukan polis untuk mencari bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati. – Utusan

Tiga ahli Geng Kali ditahan di Bukit Mertajam


14/09/2010 6:57pm

NIBONG TEBAL 14 Sept — Tiga anggota Geng Kali yang dipercayai terlibat dengan kes samun di sekitar Seberang Perai ditahan di sebuah rumah teres di Bukit Mertajam pada Jumaat lepas.
Dengan tertangkapnya tiga lelaki terbabit yang berumur antara 25 hingga 26 tahun, polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira 30 kes samun yang melibatkan kerugian lebih RM30,000.
Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat.
Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menyamun daripada suspek.
"Siasatan polis mendapati suspek merupakan anggota kumpulan Geng Kali yang aktif melakukan jenayah samun di sekitar Seberang Perai,” kata Shafien. — Bernama

Padah gagal bayar RM4,000


Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/09/14

Lelaki cedera dikurung, dibelasah sekumpulan ceti haram 

KUANTAN: Seorang lelaki menempuh pengalaman menyeksakan apabila dipukul, disebat dan dikurung sekumpulan lelaki dipercayai ceti haram atau along di sebuah pangsapuri tidak berpenghuni di Genting Highlands, dekat Bentong, 4 September lalu.Mangsa berusia 24 tahun ditahan along terbabit selepas gagal melunaskan pinjaman RM4,000 dengan faedah RM1,000 selepas diberi tempoh perjanjian pembayaran selama tiga hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata mangsa ditahan ceti haram berkenaan kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian sebelum dibawa ke pangsapuri di Genting Highlands dengan diikat dan dikurung di sebuah bilik. 

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Bentong meminjam RM4,000 dengan along berkenaan tetapi gagal membayarnya menyebabkan fae-dah pinjaman bertambah. 

“Selepas gagal menyediakan wang seperti dijanjikan, kumpulan lelaki itu memukul dan menyebat mangsa menggunakan rotan menyebabkannya mengalami cedera di seluruh badan. 

“Seorang daripada along terbabit turut menghubungi keluarga mangsa meminta RM10,000, tetapi mereka dikatakan tidak mampu menjelaskan hutang itu termasuk faedahnya menyebabkan mangsa dibelasah sekali lagi,” kata beliau di pejabatnya di sini, semalam. 
Narenasagaran berkata, mangsa berjaya melepaskan diri ketika ditinggalkan berseorangan dalam pangsapuri berkenaan dan segera melaporkan kejadian itu di Balai Polis Genting Highlands. 

Beliau berkata, mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong (HB) kerana cedera di tubuh dan kaki akibat dipukul. 

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai terbabit dengan sindiket ceti haram beberapa hari kemudian di sekitar bandar Bentong. 

“Lelaki yang berasal dari Rawang, Selangor itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan lanjut dan gerakan memburu baki kumpulan along yang terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan,” katanya. 

Pejabat Kamil masih ditutup




2010/09/14

PUTRAJAYA: Kamarudin & Partner, pejabat peguam sivil, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, di Presint 15 di sini, masih ditutup sempena cuti perayaan Aidilfitri. 
Tinjauan mendapati pintu pejabat itu bermangga. Beliau bersama Sosilawati dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Misteri kehilangan mereka terjawab selepas polis menahan lapan suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam mereka yang ditahan, dipukul sehingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai di Kampung Kanchong Laut, Banting.

Budak hancur dua jari main mercun




2010/09/14

 IRMAN terlantar di hospital kerana dua jari kirinya  putus akibat bermain mercun bola pada hari raya pertama, Jumaat lalu.
IRMAN terlantar di hospital kerana dua jari kirinya putus akibat bermain mercun bola pada hari raya pertama, Jumaat lalu.
GUA MUSANG: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi Gua Musang, putus dua jari kirinya apabila mercun bola yang dipasang dalam botol kaca tiba-tiba meletup, di Kampung Kundur, dekat sini, Jumaat lalu. 

Dalam kejadian pada hari pertama Aidilfitri itu, Irman Mohamad, 8, berkata beliau bermain mercun bola di halaman rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari.Katanya, beliau memasukkan mercun bola ke dalam botol untuk mendapatkan bunyi kuat dan selepas dicucuh sumbu mercun , ia tidak meletup menyebabkannya memegang botol itu untuk melihat puncanya.
“Tiba-tiba, mercun meletup dan saya menjerit kesakitan apabila melihat dua jari tangan kiri hancur,” katanya katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), semalam. 

Hanya 2 kes Datuk tipu dilapor




2010/09/14

SEORANG penduduk kampung  tidak dapat menahan kesedihan  ketika meninjau lokasi  pembunuhan Sosilawati, semalam.
SEORANG penduduk kampung tidak dapat menahan kesedihan ketika meninjau lokasi pembunuhan Sosilawati, semalam.
SHAH ALAM: Hanya ada dua kes penipuan membabitkan seorang peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk yang kini menjadi suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, dilaporkan kepada polis Selangor, walaupun suspek dipercayai terbabit dengan kehilangan empat individu sejak setahun lalu. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi, berkata dua lagi kes membabitkan kehilangan dua individu tidak dilaporkan di negeri itu.Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan empat kes kehilangan berkenaan, Khalid meminta pemberita menghubunginya esok (hari ini) berikutan beliau perlu meneliti laporan yang disediakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Setakat ini ada dua saja. Dua lagi mungkin dilaporkan di tempat lain,” katanya. 

Difahamkan, selain satu kes membabitkan seorang jutawan warga India dari Chennai yang hilang sejak tiba di negara ini pada 18 Januari lalu, satu lagi kes membabitkan pembunuhan seorang wanita di Taman Cempaka di Banting, tahun lalu dikatakan mempunyai kaitan dengan peguam itu. 

Minggu lalu, peguam berkenaan, adiknya serta enam pekerja mereka termasuk dua wanita ditahan reman sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka dipercayai ke Banting untuk berurusan dengan suspek. 

Ladang maut lengkap kemudahan mewah




2010/09/14

BANTING: Ladang persendirian milik suspek utama kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain di Teluk Gadong, Tanjung Sepat di sini, dipercayai dilengkapi pelbagai kemudahan mewah. 

Ia bukan sekadar dijadikan pusat penternakan ayam dan kambing, selain kebun buah-buahan, malah mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih, termasuk bilik karaoke.Difahamkan, suspek utama bergelar Datuk yang memiliki kekayaan luar biasa termasuk aset hartanah dan kereta mewah itu, dipercayai menjadikan ladang berkenaan sebagai tempat percutian hujung minggunya.
Sumber memberitahu Berita Harian, suspek terbabit turut menjadikan kemudahan di ladang miliknya itu untuk menghiburkan pelanggannya sebelum memperdayakan mereka. 

“Keseluruhan kawasan ini berkeluasan 3.6 hektar, tetapi baru 1.6 hektar dibangunkan sejak suspek membeli hartanah ini setahun lalu. 

“Selain kandang ternakan dan dusun buah-buahan termasuk kebun sirih, turut dibina rumah pekerja, pejabat, chalet dan sebuah tempat hiburan khusus untuk suspek, kenalan rapat dan pelanggannya,” katanya. 

Katanya, dengan kedudukan yang terpencil dan jauh dari jalan utama, ladang persendirian itu memang sukar dikesan.
“Ini ditambah lagi dengan tindakan suspek membina tembok setinggi dua meter di keliling ladangnya, menyebabkan sebarang aktiviti yang berlaku di dalamnya tidak dapat dilihat orang luar. 

“Beberapa pekerja estet berhampiran, tidak menyedari berlaku kes pembunuhan di situ sehingga dilaporkan media,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Sumber berkata, pekerja terbabit juga mendakwa tidak mendengar sebarang jeritan atau sebarang pergerakan mencurigakan sepanjang laluan masuk ke ladang persendirian itu sebelum kejadian menggemparkan itu. 

Sosilawati rancang jual tanah di Bukit Jambul





2010/09/14

KAWASAN lapang dipercayai tanah yang ingin dijual  Sosilawati di Bukit Jambul, Pulau Pinang.
KAWASAN lapang dipercayai tanah yang ingin dijual Sosilawati di Bukit Jambul, Pulau Pinang.
Jutawan kosmetik rancang senarai syarikat di Bursa Malaysia 

GOMBAK: Datuk Sosilawati Lawiya sebenarnya bercadang menjual tanah seluas 4 hektar miliknya di Bukit Jambul, Pulau Pinang sebelum beliau hilang dan bukan mahu membeli tanah di negeri berkenaan seperti dilaporkan sebelum ini.Pendedahan itu dibuat sahabat karib jutawan kosmetik terbabit, Datuk Suhaimi Ibrahim yang kali terakhir berbual dengan Sosilawati melalui telefon pada 29 Ogos lalu, iaitu sehari sebelum dia dilaporkan hilang.
“Sebelum puasa, Sosilawati berjumpa saya untuk berbincang mengenai penjualan tanahnya di Bukit Jambul, selain mendapatkan nasihat mengenai cadangan mahu menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia. 

“Pada perjumpaan itu di Hotel Sheraton dan Hotel Park Royal di Kuala Lumpur, Sosilawati menceritakan cadangan penyenaraian itu dan juga mengenai penjualan tanahnya bernilai RM12 juta di Bukit Jambul dan meminta nasihat saya. 

“Malah, dalam perbualan pada 29 Ogos itu, Sosilawati turut mengajak saya ke Banting untuk urusan penjualan hartanah berkenaan, tetapi saya tidak dapat ikut berikutan ada urusan lain. Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan siapa yang akan ditemuinya di Banting,” katanya. 

Beliau berkata, tanah terbabit dibeli Sosilawati kira-kira enam tahun lalu dengan harga RM2 juta, dan memutuskan untuk menjualnya pada harga RM12 juta bagi mengumpul aset untuk membolehkan penyenaraian syarikatnya. 
Mengulas lanjut, Suhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pertemuan lanjut dirancang pada 31 Ogos, tetapi usaha untuk menghubungi Sosilawati gagal. 

“Berikutan itu, saya membuat laporan polis dan memaklumkan kepada media atas nasihat Shahrizat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini, semalam. 

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, tanah milik Sosilawati terletak di kawasan bukit di belakang Universiti Sains Malaysia (USM). 

Sumber itu berkata, pada mulanya seorang pemaju dari Negeri Sembilan berminat membelinya, bagaimanapun urusan jual beli gagal kerana tanah berkenaan dikategorikan sebagai kawasan hijau dan mempunyai syarat terhad iaitu pokok di sekitarnya tidak boleh ditebang. 

“Apabila tanah terbabit gagal dijual, Sosilawati meminta peguamnya membantu mencari pembeli baru, tetapi saya dimaklumkan peguamnya tidak dapat mencari pembeli sesuai,” kata sumber ketika dihubungi, semalam. 

Isteri percaya Noorhisham masih hidup







2010/09/14




SUZANA tidak dapat menahan kesedihan ketika ditanya wartawan mengenai suaminya di Ampang, semalam.
SUZANA tidak dapat menahan kesedihan ketika ditanya wartawan mengenai suaminya di Ampang, semalam.
AMPANG: “Perasaan saya kuat mengatakan suami masih hidup dan akan kembali ke pangkuan keluarga,” kata Suzana Radin Pangat, 38, isteri Noorhisham Mohamad, 38, Perunding Kewangan Peribadi CIMB cawangan Kampung Baru yang dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya. 

Katanya, besar harapan mereka sekeluarga mahu suami selamat, bukan berita beliau dibunuh dengan kejam serta mayatnya dibakar.“Saya tidak dimaklumkan keputusan forensik tulang yang dijumpai itu milik suami, jadi saya beranggapan beliau masih hidup dan akan kembali.
“Masih ada harapan buat kami sekeluarga, mungkin serpihan tulang itu milik empat individu lain yang hilang selepas berurusan dengan peguam berkenaan setahun lalu,” kata beliau di rumahnya di sini, semalam. 

Katanya, polis hanya memaklumkan penemuan tulang itu dan belum mengesahkan ia milik suaminya serta akan memberi laporan rasmi pada masa terdekat. 

“Kami tidak akan mengadakan solat jenazah dan hanya membuat tahlil dengan harapan semua yang hilang kembali dengan selamat. 

“Harapan untuk mengadakan sambutan hari lahir suami hari ini (semalam) dengan meriah seperti dipinta Noorhisham diganti dengan majlis tahlil,” katanya. 
Suzana yang dikurniakan tiga cahaya mata berusia lima hingga 15 tahun turut menyifatkan tindakan individu yang membakar empat mayat sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

“Saya boleh terima jika mendapat tahu suami dibunuh kerana boleh melihat mayatnya untuk disemadikan, namun sebaik mendengar mayat dibakar dan dibuang, sukar untuk terima,” katanya. 

“Bagaimanapun, saya reda jika ia betul walaupun terlalu berat untuk menanggungnya terutama menggalas tanggungjawab membesarkan tiga anak yang masih kecil,” katanya yang turut menceritakan perkara sebenar kepada tiga anaknya. 

Beliau berkata, sejak berita kejadian menimpa suaminya, beliau tidak mampu membaca surat khabar dan menonton televisyen, sebaliknya hanya dimaklumkan ahli keluarga. 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Shukry Hussin ketika menziarah keluarga Noorhisham turut melahirkan perasaan simpati terhadap apa yang berlaku. 

“Saya harap keluarganya tabah menerima apa yang berlaku dan saya juga terkejut mengenai perkara ini dan masih menunggu laporan rasmi daripada polis,” katanya. 

Suspek utama tawar diri jadi ahli MIC




2010/09/14

GOMBAK: Suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bergelar ‘Datuk’ ada menawarkan diri untuk menyertai MIC tiga hari sebelum dia ditahan pihak polis. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata suspek menyatakan hasrat untuk menyertai parti politik kaum India terbesar di negara ini ketika bersama-sama menghadiri program sumbangan kepada Orang Asli di Bukit Cheding, Banting 8 September lalu.“Sebenarnya saya tidak bercakap lama dengan suspek. Cuma saya minta suspek melengkapkan borang keahlian sebelum hasratnya akan dimaklumkan kepada Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
“Walaupun suspek terlepas daripada hukuman sekali pun, MIC tidak akan mempertimbangkan hasratnya untuk menyertai parti. Ia hanya akan merosakkan parti. Kita hanya mahu ahli yang bersih,” katanya yang ditemui di pekarangan kediaman pengasas Nouvelles Visages di sini, semalam. 

Beliau berkata, pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain dianggap kejam dan di luar batas kemanusiaan, selain berharap penjenayah terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. 

“Jika benar suspek disabitkan kesalahan, saya sifatkan apa yang dilakukannya sebagai tidak mempunyai otak dan tidak waras. Saya tidak mahu penjenayah kes ini terlepas daripada hukuman, ” katanya.