Search This Blog

Monday, September 13, 2010

Operasi cari bahan bukti pembunuhan Sosilawati diteruskan


13/09/2010 8:45pm

BANTING 13 Sept. – Pasukan penyelam Polis Marin hari ini meneruskan operasi mencari bahan-bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut di sini.
Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong, Tanjung Sepat di mana Sosilawati dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar di ladang ternakan ayam di situ.
Operasi mencari bahan bukti itu bermula kira-kira 4.30 petang tadi dan berakhir pada pukul 7 malam ini.
Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyertai operasi itu.
Seorang suspek lelaki dilihat dibawa ke atas jambatan sungai itu bagi menunjukkan di mana dia mencampakkan sesuatu dari atas jambatan berkenaan.
Apabila operasi itu dihentikan pada 7 malam ini, kelihatan beberapa anggota Unit Forensik sedang membelek satu bungkusan plastik yang berisi seutas jam tangan.
Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Semalam, polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. – Bernama

Anggota polis, anak perempuan maut kereta rempuh lori rosak





2010/09/13

PEDAS: Seorang anggota polis dan anak perempuannya berusia 15 tahun maut, manakala isteri dan dua anaknya yang lain cedera apabila kereta mereka merempuh lori rosak di tengah jalan di KM237 Lebuhraya PLUS di pedas, jam 6 pagi tadi. 

Keluarga Kamaruddin adakan solat sunat ghaib

KUANTAN: Keluarga Kamaruddin Shansuddin, pemandu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, malam tadi mengadakan solat sunat ghaib di rumah mereka di Bandar Indera Mahkota 2, di sini, selepas dimaklumkan penemuan tragis keempat-empat mangsa bunuh yang dibakar dan dibuang abunya ke dalam sungai.
Abang ipar mangsa, Ismail Ibrahim, 56, berkata, anggota keluarga mereka yang berada di Mekah bagi menunaikan umrah ketika ini turut mendirikan solat sunat ghaib di Tanah Suci itu sebaik menerima berita berkenaan.
"Solat sunat ghaib dibuat malam tadi selepas semua ahli keluarga yakin berdasar hasil siasatan awal pihak polis dan mula menerima bahawa sisa mayat yang dibakar itu adalah Kamaruddin bersama majikan serta dua rakan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Polis semalam mengesahkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Dua lagi mangsa adalah pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Ismail berkata, keluarga dan sanak-saudaranya turut mengadakan majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula semalam.

"Kami mendoakan rohnya tenang. Semua keluarga bersedih dan masih belum memahami apa yang sebenarnya terjadi kepada arwah," katanya sebak.-Bernama

Hasrat tunai haji tidak kesampaian



SHAH ALAM – Hasrat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, untuk membawa ibu dan adik-beradiknya menunaikan fardu haji tidak kesampaian berikutan kematiannya dalam keadaan yang sangat menyayat hati itu.

Menurut abang Allahyarham, Maskor Lawiya, adiknya itu pernah meluahkan hasrat murninya itu kepada salah seorang daripada adiknya tidak lama dahulu.

“Saya terima dan reda dengan kematiannya, biarpun sedih dengan kejadian itu. Ibu (kami) juga reda, walaupun menangis apabila mendapat berita tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurut Maskor, beliau sudah lama tidak berjumpa dengan Sosilawati, anak keenam daripada 12 adik-beradik.

“Kali terakhir saya ingin bertemu dengannya ialah pada 30 Ogos lalu, tetapi tidak kesampaian kerana beliau ada urusan di Banting,” katanya.

Maskor, yang tiba di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, jam 3 pagi kelmarin berkata, bekas suami pertama Sosilawati, dikenali sebagi Bukhari, datang menziarahi keluarga Sosilawati di situ jam 12 tengah hari semalam.

Bukhari tiba, dengan menaiki sebuah kereta Hyundai Tuckson hitam, bersama seorang lelaki dan seorang perempuan.

Noorhisham sepatutnya beraya di Muar


AMPANG - “Sepatutnya Noorhisham Mohammad, bersama isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, beraya di kampungnya di Muar, Johor, namun setelah mendapat berita kehilangan Noorhisham, saya bersama saudara mara yang lain mengambil keputusan beraya di sini,” kata bapa mentua Noorhisam, Radin Pangat Ishak, 66. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumah keluarga itu di Taman Seraya, di sini, semalam. 

Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 4.30 petang mendapati keadaan rumah itu suram dan keluarga berkenaan masih menanti berita terkini melalui televisyen. Manakala sambutan raya pula hanya sederhana. 

Katanya lagi, beliau tidak dapat memberi kerjasama memandangkan keadaan yang menimpa keluarga itu. Difahamkan maklumat yang diterima polis disampaikan kepada Suzana. 

“Pada pandangan saya, Noorhisham orangnya biasa saja seperti orang lain jua. Dia ada tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan. 

“Pada waktu ini kami sekeluarga masih menunggu perkembangan terkini melalui berita televisyen, saya tidak pasti ada ahli keluarga yang lain pergi ke Banting atau tidak untuk mengetahui maklumat terkini,” katanya.

Isteri mangsa bunuh dan bakar tidak mampu baca akhbar atau tonton TV


KUALA LUMPUR - Isteri kepada salah seorang mangsa yang dipukul, dibunuh dan dibakar di Banting Selangor, Suzana Radim Pangat, tidak mampu lagi membaca surat khabar atau melihat berita televisyen untuk mengetahui perkembangan kes tersebut.

Isteri kepada Noorhisham Mohammad, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di sini yang dipercayai mati dipukul, dibunuh dan dibakar dengan kejam itu berkata, kesedihan dan tekanan yang dialami menyebabkan Suzana hanya mampu mendengar perkembangan terkini melalui anggota keluarga terdekat.

"Selepas kejadian, minta maaf saya tak boleh tengok tv atau surat khabar.

Segala perkembangan terkini hanya ahli keluarga saya yang akan maklumkan. Saya tak boleh nak tempuh keadaan ini," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di rumah beliau di Taman Seraya, Ampang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Suzana, 38 masih melahirkan harapan tinggi untuk melihat Noorhisham masih hidup selagi masih belum ada pengesahan dari Unit Forensik.

"Sehingga kini tiada sebarang pengesahan dari Forensik, mayat suami saya, jadi sehingga itu, saya percaya suami saya masih hidup," katanya.

Noorhisham dikatakan sepatutnya membawa Suzana dan keluarga pulang berhari raya di Muar, Johor serta menyambut hari jadinya pada hari ini, tetapi segalanya menjadi hambar apabila beliau hilang bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pada 30 Ogos lepas. 

Bagaimanapun polis semalam mengesahkan kes tersebut semakin hampir kepada penyelesaian berikutan penemuan lokasi tempat mangsa-mangsa dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam orang termasuk pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di Banting bagi membantu siasatan.

Suzana menegaskan pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara ini sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya boleh terima kalau mereka setakat bunuh suami saya, jika ada mayatnya saya masih boleh lihat saya terima, tetapi cara pembunuhan ini menyebabkan mayatnya tidak sempurna, dan tidak ada kubur untuk saya ziarah.

Ibu kepada tiga orang anak, Mohamad Azri Shahzan,14, Mohamad Faiz Ridzmi, 5, dan Nur Aneesa Salbiah, 11, itu berkata, jika benar suaminya dibunuh begitu kejam, beliau berharap polis dapat membawa kesemua yang terlibat ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya.

Kebakaran akhiri keriangan sambutan Syawal keluarga pengusaha beras organik


ALOR SETAR - Keriangan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tiga keluarga berakhir dengan tragedi apabila rumah mereka hangus dijilat api di Kampung Parit Buaya di sini, awal pagi ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi Isnin itu disedari seorang anggota keluarga yang terjaga dari tidur kerana terasa bahang panas dari tingkat atas rumah.

Mohd Zulkarnain Karman, 34, yang berada di bilik bawah rumah tersebut berkata, beliau bergegas keluar dan mengejutkan bapa mertuanya, Khalid Rejab, 64, yang tidur di bilik sebelah bagi memaklumkan bahawa rumah mereka terbakar.

"Bapa mertua saya naik ke rumah atas dan memanggil ahli keluarga yang lain manakala saya meyelamatkan kereta dan motosikal yang berada di luar rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, Khalid yang merupakan pemilik rumah tersebut berkata, selepas dikejutkan menantunya, beliau bergegas mengejutkan anak dan cucu lain yang tidur di tingkat atas rumah tersebut.

"Semasa naik ke atas, api sudah mula marak. Saya mengejutkan semua anak dan cucu yang tidur di atas. Saya cuba menutup suis utama tetapi saya terkena kejutan elektrik menyebabkan saya kebas di bahagian kanan badan.

"Semasa cuba berjalan, saya terpijak api yang sedang membakar tikar getah di lantai menyebabkan kedua-dua belah tapak kaki saya melecur," katanya yang mengusahakan beras organik.

Satu daripada tiga tan beras organik yang berada di rumah Khalid juga turut musnah. 

Selain itu, beliau berkata, barangan pengantin yang dimiliki seorang daripada anaknya juga hangus.

"Anak saya menjalankan perniagaan barangan pengantin. Semua kelengkapan bilik pengantin dan pelamin habis musnah," katanya.

Beliau berkata, tahun ini semua anak, menantu dan cucunya pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumahnya.

"Kemeriahan raya yang disambut baru-baru ini semuanya hanya tinggal kenangan. Semua barang musnah dalam sekelip mata. 

"Yang dapat diselamatkan hanyalah kereta dan motosikal sahaja, tetapi saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat," katanya yang memberitahu semasa kejadian, terdapat 12 anggota keluarganya di dalam rumah tersebut.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Tun Razak Md Noor Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.09 pagi dan sebanyak 3 jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Seramai 16 anggota bertungkus-lumus memadamkan api dan api dapat dikawal dalam masa kira-kira 10 minit," katanya.

Penyewa terkejut tuan rumahnya suspek kes bunuh Sosilawati


BANTING - Penyewa rumah peguam berpangkat Datuk yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya terkejut dengan penahanan "tuan rumahnya" itu selepas gambarnya disiarkan media hari ini.

Seorang peniaga yang juga menguruskan perniagaan katering dan hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana, 45, terkejut dan seolah tidak percaya dengan penangkapan peguam itu kerana menyifatkan tuan rumahnya itu seorang lelaki yang baik, peramah dan sentiasa bertegur sapa.

"Akak terkejut tengok gambar dia (peguam) dalam akhbar hari ini. Memanglah tahu kes ini libatkan seorang peguam berpangkat Datuk di Banting, tapi tak sangka pula dia...Akak memang tak percaya dia buat semua tu sebab dia baik sangat," katanya.

Ketika ditemui di rumah sewanya, iaitu bersebelahan rumah peguam berusia 41 tahun itu di sebuah taman di sini, beliau berkata, peguam itu menginap di rumah semi-D berkembar di situ seorang diri manakala anak-anak dan isterinya tinggal di Puchong untuk menemani salah seorang anak mereka yang bersekolah (sekolah swasta) di sana.

"Masa akak pindah sejak April tahun ini, dia (peguam) ada beritahu anak-anak dan isterinya hanya akan datang serta melawatnya di rumah itu seminggu sekali sahaja," katanya.

Isteri seorang pesara polis itu berkata, sepanjang menyewa di rumah itu, beliau tidak melihat sebarang kecurigaan di rumah peguam itu mahupun peguam itu sendiri.

"Macam biasa, dia memang rajin bertegur sapa, tak cakap lebih-lebih. Akak tak syak apa-apa. Hanya nampak dia pergi dan balik kerja sahaja," katanya.

Semalam, polis mengesahkan penangkapan peguam berpangkat Datuk, adiknya yang juga seorang peguam dan enam lagi bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala LUmpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Semalam, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini.

Rakyat Uganda ditahan, dadah dirampas


13/09/2010 2:09pm

GEORGETOWN – Seorang wanita Uganda yang dipercayai cuba menyeludup dadah bernilai RM750,000 ke negara ini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini Khamis lepas.
Wanita berusia 56 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 11.30 malam ketika membawa bagasi berjalan keluar dari balai ketibaan lapangan terbang itu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Tun Hisan Tun Hamzah berkata, operasi polis itu dibuat berikutan maklumat yang diperoleh daripada polis di Bangkok yang menahan seorang rakyat Afrika tiga hari sebelum penahanan wanita itu dibuat.
"Hasil pemeriksaan ke atas bagasi yang berwarna hitam itu, kami menemui satu bungkusan dadah syabu seberat tiga kilogram tersorok di bahagian bawah beg yang telah diubah suai dan dilindungi dengan helaian baju,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tun Hisan berkata, siasatan polis juga mendapati wanita itu telah tiga kali memasuki negara ini.
"Kami percaya sebelum ini suspek masuk ke negara ini bagi memantau keadaan keselamatan. Wanita itu direman sehingga 16 September untuk membantu siasatan,” katanya. – Bernama

Rakyat Nepal maut dirempuh 4WD


13/09/2010 3:32pm

IPOH – Seorang lelaki rakyat Nepal terbunuh apabila dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini semalam.
Kiran Rai, 29, yang bekerja di sebuah kilang di Simpang Pulai cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, mayat Kiran di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Lelaki yang sedang melintas jalan itu dirempuh oleh kenderaan terbabit yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Cameron Higlands, katanya ketika dihubungi hari ini.
"Pemandu kenderaan terbabit dikatakan gagal memberhentikan kenderaannya apabila melihat mangsa yang tiba-tiba melintas jalan lalu merempuhnya menyebabkan lelaki itu tercampak di atas jalan raya,” katanya. – Bernama

3 remaja perempuan hilang selepas beraya di rumah rakan


13/09/2010 3:35pm

IPOH 13 Sept. – Dua beradik kembar perempuan dan seorang rakan mereka dilaporkan hilang selepas beraya di rumah kawan mereka di Kampar, kira-kira 45km dari sini, pada hari raya kedua Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt. Abdul Aziz Salleh berkata, mereka dikenal pasti sebagai Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya, Nurulain dan rakan mereka Suhaily Abdul Razak, masing-masing berusia 14 tahun berasal dari Taman Sentosa, Kampar.
Mereka bertiga dikatakan pergi beraya di rumah rakan-rakan di sekitar Kampar pada pukul 11 pagi, tetapi tidak pulang sehingga pukul 11 malam pada hari sama, katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, ibu dua beradik kembar itu, Harliza Samah, 44, membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka.
Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga remaja itu bersekolah di Sekolah Menengah Sentosa, Pekan Baru, Kampar. – Bernama

10 rumah terjejas ribut




KLEBANG – Dentuman petir yang kuat, angin kencang dan hujan lebat mengakibatkan bumbung berterbangan dan rosak membabitkan lebih 10 buah rumah di sekitar Taman Bertuah dekat sini, petang kelmarin. 

Antara kawasan yang terjejas teruk akibat bencana itu adalah di sekitar Persiaran Klebang Selatan 21, 29 dan 31. 
Difahamkan, selain Taman Bertuah, beberapa taman berhampiran seperti Taman Chepor pernah mengalami kejadian yang sama sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa buah rumah terjejas akibat angin kencang dan hujan lebat itu. 

Selain itu, Jalan Kuala Kangsar yang menjadi laluan utama sebelum memasuki kawasan perumahan terbabit turut dinaiki air setinggi 0.5 meter menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku selama setengah jam. 

Seorang penduduk, S Yanasegaran, 43, berkata, hujan lebat sejak jam 4.30 diikuti angin kencang menyebabkan beliau keluar ke laman rumah untuk melihat keadaan di luar. 

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat beberapa keping atap genting berterbangan melanggar kabel elektrik sehingga menyebabkan percikan api. 

“Akibatnya, rumah di sekitar kawasan ini mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya yang baru pertama kali mengalami situasi itu sejak 20 tahun menetap di taman berkenaan. 

Yanasegaran berkata, terdapat bumbung rumah yang tercabut dan terbang sejauh 100 meter daripada rumah terbabit impak daripada angin kencang itu.

Beliau berkata, ada di antara rumah terbabit didiami keluarga Melayu dan kebanyakan daripada mereka tiada di rumah kerana pulang ke kampung menyambut perayaan Aidilfitri. 

Seorang lagi penduduk, R Raman, 43, berkata, ketika kejadian beliau bersama isteri dan dua anaknya sedang bersiap untuk melakukan upacara keagamaan di bahagian ruang tamu. 

“Belum sempat memulakan upacara, tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat di bahagian atas rumah. 

“Saya segera ke atas dan melihat atap genting sudah tercabut berterbangan malahan siling juga bocor sehingga menyebabkan air hujan masuk membasahi seluruh rumah,” katanya. 

Menurutnya, kejadian itu adalah yang kedua menimpa mereka. Sebelum ini perkara yang sama berlaku kira-kira lima tahun lalu namun tidak seburuk petang itu. 

Raman berkata, pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan perabot rosak akibat dimasuki air. 

“Kerana bimbang keluarga terkena renjatan elektrik saya menyuruh isteri untuk menutup kotak suis utama bekalan elektrik dengan segera,” katanya. 

Katanya, tingkap jiran di bahagian dapur turut pecah kerana terkena serpihan atap genting yang berterbangan pada kejadian angin kencang itu. 

“Setakat ini, kami masih belum mendapat menilai kerugian yang dialami. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini,” katanya. 

Hujan lebat dan angin kencang mula reda kira-kira jam 6 petang.

Maut elak pejalan kaki




SENAWANG – Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1 berdekatan Taman Sri Pagi, dekat sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, Mohd Hafiz Mokhtasar, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara bersendirian dipercayai dibawa laju sebelum gagal mengelak seorang pejalan kaki. 

Jurucakap polis berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan menuju pulang ke rumahnya di Taman Tasik Jaya, di sini. 

Menurutnya, mangsa dikatakan baru saja selesai beraya di rumah saudara maranya di sekitar Kampung Bemban, Kuala Sawah, di sini. 

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan merempuh pokok hiasan yang terletak di atas pembahagi jalan,” katanya. 

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya dekat sini, semalam.

Menurut beliau, hasil maklumat ramai, mangsa dikatakan cuba mengelak daripada melanggar seorang pejalan kaki yang mahu melintas jalan di kawasan terbabit. 

“Berikutan itu, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Hafizal Zainal Abidin di talian 06-6033394 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dikatakan dituntut ahli keluarga di Bilik Mayat HTJS, pagi semalam.

20 rumah rosak dipukul ribut




KETARI – Sebanyak lebih kurang 20 rumah di Kampung Baru Ketari dan Kampung Benggali dekat sini terlibat dalam kejadian ribut yang berlaku petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKB) Ketari, Lee Moa Kong berkata, kebanyakan penduduk tidak menyangka keadaan hujan turut disusuli ribut lebih kurang 10 minit.

Menurutnya, dalam sekelip mata sahaja terdapat atap beberapa rumah di kawasan ini diterbangkan angin.

“Ini merupakan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku dan ia begitu mengejutkan penduduk.

“Namun berdasarkan tinjauan di rumah penduduk, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku kerana kerosakan yang berlaku tidak begitu teruk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye berkata, beliau berasa simpati dengan kejadian yang menimpa mangsa.

Menurutnya, mangsa ribut diminta membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku di kaunter khas disediakan di balai raya kira-kira jam 2 petang hari ini (semalam).

“Dalam masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan turut serta semasa urusan pendaftaran dibuat.

“Penduduk dinasihatkan agar membuat laporan supaya bantuan bersesuaian dapat disalurkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Keong Chye berkata, walaupun terdapat tiga atau empat rumah dilaporkan rosak teruk akibat ribut namun bernasib baik kerana tiada penduduk yang cedera.

China beri amaran keras



BEIJING - China memberi amaran keras kepada Jepun supaya membuat keputusan bijak berhubung sekumpulan nelayan dan bot milik negara itu yang ditahan polis marin Jepun, Selasa lalu. 

Penasihat kanan polisi luar di Kementerian Luar China, Dai Bingguo mengulangi peringatan dan amaran keras itu semasa bertemu Duta Jepun, Uichiro Niwa bagi kali keempat, awal pagi semalam. 

"Sekiranya nelayan dan bot mereka tidak dibebaskan segera, mungkin timbul isu politik antara Beijing dan Tokyo. 

"Tambahan pula, perairan di timur Taiwan di mana nelayan China ditahan adalah kawasan yang masih dalam pertikaian," kata Bingguo. 

Niwa memberi reaksi dengan mengatakan bahawa dia akan menyampaikan pesanan dan amaran itu kepada kerajaan Jepun di Tokyo. 

Pegawai pengawal pantai Jepun membawa bot nelayan itu ke laut berhampiran Pulau Okinawa untuk menguji kapasitinya, semalam.

Polis marin Jepun menemui ikan di dalam bot itu semasa ditahan pada Selasa lalu dan siasatan dilakukan untuk menentukan sama ada ikan itu ditangkap secara haram di perairan Jepun. 

Insiden penahanan nelayan dan kapal milik China itu berlaku di kepulauan Diaoyu atau dikenali sebagai Senkaku oleh Jepun. 

Kepulauan itu yang terletak hampir 190 kilometer dari Taiwan dikawal oleh Jepun tetapi turut dituntut oleh China dan Taiwan.

Jurutera F1 HRT cedera dirempuh pemandunya sendiri


13/09/2010 3:09am

MONZA 13 Sept. - Seorang jurutera radio bagi pasukan Formula Satu Sepanyol, pasukan HRT cedera selepas dirempuh oleh pemandunya sendiri, Sakon Yamamoto ketika perlumbaan Grand Prix Itali, semalam.
Tayar depan kereta yang dipandu Yamamoto telah menggilis kaki jurutera tersebut ketika Yamamoto mahu keluar dari hentian pit, kata seorang lagi pemandu HRT, Bruno Senna.
Sebuah ambulan telah dikejarkan ke hentian pit pada pusingan ke-53 perlumbaan bagi merawat jurutera yang tidak diketahui namanya itu sebelum membawanya ke pusat perubatan.
“Bantuan kecemasan telah diberikan serta-merta dan dia telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata prinsipal pasukan itu Colin Kolles.
“Dia telah sedar dan boleh bercakap dengan doktor.”
Berikutan insiden tersebut, Yamamoto yang merupakan pemandu baru bagi pasukan HRT itu didenda sebanyak AS$20,000 oleh FIA kerana terlalu awal keluar dari hentian pit.
Pelumba Jepun itu menduduki tempat ke-19 pada perlumbaan yang dimenangi oleh Fernando Alonso dari Ferrari. - AP

Umpan anak elak dicekup

KUALA LUMPUR: Bimbang dicekup polis, sepasang suami isteri sanggup menggunakan bayi lelaki mereka berusia sembilan bulan sebagai ‘wayang’ bagi mengelakkan tindakan menyeludup dadah syabu dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam kejadian kelmarin, pasangan warga Iran terbabit bagaimanapun gagal meraih simpati pihak berkuasa KLIA yang berjaya menghidu sesuatu tidak kena sebelum menemui dadah syabu seberat 1.2 kilogram.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, suspek dipercayai sengaja memilih Aidilfitri untuk menyeludup dadah masuk ke negara ini kerana menyangka pengawasan di pintu masuk negara sedikit longgar.

Menurutnya, pasangan terbabit yang ditahan bersama seorang rakan mereka dikesan membawa syabu disembunyikan dalam kotak mainan cakera padat (CD) sebelum dimasukkan pula ke dalam beg dibawa wanita berkenaan.

“Dadah yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM312,000. Polis yakin suspek cuba mengaburi polis dengan berpura-pura datang ke negara ini sebagai pelancong dengan membawa sekali bayi mereka berusia sembilan bulan.

“Taktik digunakan anggota sindiket terbabit bagaimanapun tidak berjaya apabila pemeriksaan pihak berkuasa berjaya mengesan dadah yang dibawa,” katanya.

Menurutnya, polis sebelum itu turut menahan seorang wanita warga Uganda berusia 30-an yang dikesan cuba menyeludup dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada hari sama.

Beliau berkata, suspek yang diperiksa kemudian ditemui menyembunyikan syabu seberat tiga kilogram bernilai RM780,000 dalam bagasi yang dibawanya.

“Suspek mungkin dijadikan ‘keldai dadah’ oleh sindiket pengedaran dadah di negaranya selepas usaha menggunakan wanita Malaysia semakin sukar berikutan wujud kesedaran di kalangan rakyat tempatan di sini,” katanya. Othman berkata, pada hari raya kedua kelmarin, seorang lagi lelaki warga Iran turut ditahan di KLIA bersama syabu seberat dua kilogram.

Beliau berkata, syabu bernilai RM520,000 disorokkan dalam bagasi yang dibawa.

“Hasil semua tangkapan itu, polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup dadah ke negara ini membabitkan lima warga asing bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.6 juta,” katanya.

Kes bunuh Sosilawati: Tak bawa wang RM4j

KUALA LUMPUR: Tiada wang tunai ditemui di tempat kejadian pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain walaupun sebelum ini khabar angin mengatakan jutawan itu membawa wang RM4 juta ketika menghilangkan diri.
Sumber polis mengesahkan tiada wang ditemui pihaknya selepas menahan lapan suspek termasuk suspek utama kes berkenaan, seorang peguam bergelar Datuk.

Setakat ini mengikut sumber, segala urusan berkaitan wang yang dijalankan mangsa dan suspek adalah melalui transaksi bank.

Menurut sumber terbabit juga, nilai transaksi yang dilakukan lebih besar daripada nilai yang tersebar sebaik berita kehilangan jutawan kosmetik berkenaan disiarkan.

Misteri Kehilangan Sosilawati: Polis Marin menyelam cari bukti




2010/09/13

BANTING: Pasukan penyelam Polis Marin semalam menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain. 

Tinjauan berhampiran sungai itu yang terletak di jalan utama menuju Banting-Tanjung Sepat mendapati polis memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.Daripada pemerhatian, ada beberapa penandaan diletakkan pada bahan itu. Berikutan tidak dibenarkan menghampiri kawasan operasi, wartawan terpaksa berpusing di sekitar kawasan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.

Polis semalam mengesahkan Sosilawati dan tiga orang lain mati dibunuh dan mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat. 

Mereka dilaporkan hilang 30 Ogos ketika di Banting untuk urusan pembelian tanah. Operasi polis itu menarik perhatian orang ramai yang memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang sedang berlaku. 

Orang ramai turut berkumpul di satu kawasan kira-kira 600 meter dari Ladang Gadong, tempat mangsa dipercayai dibakar. 
Kira-kira jam 6 petang, polis mengarahkan mereka bersurai dan hanya membenarkan wartawan berada di situ. – BERNAMA 

Misteri Kehilangan Sosilawati: 'Sosilawati pemurah, tidak sombong'





2010/09/13

BATU PAHAT: Berita kematian Datuk Sosilawati Lawiya, 47, mengejutkan penduduk tempat kelahiran jutawan kosmetik itu, Kampung Seri Menanti, Sri Medan, dekat sini. 

Kehilangan Sosilawati dianggap begitu besar kerana beliau cukup terkenal dengan sikap baik dan dermawan.“Ini satu kehilangan yang besar kerana Sosilawati membantu sesiapa saja yang perlukan pertolongan. Contohnya mangsa banjir atau sekolah yang meminta bantuan," kata ketua kampung terbabit, Omar Salleh, 63, ketika ditemui semalam.
Penduduk kampung terbabit, katanya, sudah merancang untuk membuat solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Sosilawati dan berharap beliau pulang dengan selamat. 

Beliau yang turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak sombong dan mudah didekati berkata, apa yang terjadi ke atasnya adalah kehendak Allah. 

Bazli Ibrahim, 35, yang terkejut dengan pemergian tragis Sosilawati berkata, Allahyarham biasanya akan mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya kedua di kampung itu. 

Beliau berharap ahli keluarganya tabah menghadapi ujian itu. 
Siti Aminah Md Mukri, 27, berkata kegigihan Allahyarham membina empayar perniagaan Nouvelles Visage menjadi kebanggaan penduduk. 

Beliau menyanjungi budi pekerti wanita itu yang mulia dan tidak pernah meninggi diri dengan kejayaannya. 

Tinjauan Berita Harian ke rumah ibunya Yatimi Abdul Rahman, 80, di kampung berkenaan mendapati rumah itu berkunci. 

Difahamkan ibunya dan ahli keluarga yang lain sudah bertolak ke rumah Allahyarham di Kuala Lumpur, kelmarin.