Search This Blog

Sunday, September 12, 2010

Baca ayat suci al-Quran di telinga mayat anak

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan lima hanya sempat beraya selama lapan jam dengan keluarga sebelum terbunuh apabila motosikal diboncengnya terbabas dan bergesel penghadang di kiri jalan berhampiran lampu isyarat Sungai Soi-Tanjung Lumpur, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Ahmad Fairuz Mazri, 17, dari Taman Tas, di sini, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasah, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.
Rakan mangsa yang juga penunggang motosikal, Alif Danish Mohamad, 13, dari Batu 6, Jalan Gambang, di sini, dari sekolah sama cedera ringan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Bapa mangsa hanya dikenali sebagai Mazri berusia lingkungan 40-an yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan berhubung kemalangan itu tidak dapat menahan sebak sebaik saja membuka kain putih yang menutup mayat anaknya.

Lelaki terbabit kemudian membaca surah al-Quran di telinga mayat anaknya sebelum termenung di tepi jalan kerana tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan anak sulung daripada enam beradik.

“Saya tidak tahu dia (arwah) hendak ke mana sebelum dia keluar dari rumah sebaik saja selesai beraya bersama keluarga. Saya sedih dan reda dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi Alif Danish dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bergesel dengan penghadang di kiri jalan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya, kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Zulkifli berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ayah terlantar sakit

KUALA LUMPUR: Ketika remaja lain bergembira bersama keluarga menyambut Syawal, tiga beradik diselubungi pilu apabila melihat ayah tersayang terlantar sakit dan hilang ingatan sejak lebih setahun lalu.


SAYANG... Satona melayan suami yang terlantar sakit.
SAYANG... Satona melayan suami yang terlantar sakit.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi di Jalan Enggang, Keramat, Khalid yang bertugas di Balai Polis Ampang baru menamatkan tugas pada hari berkenaan.

Akibat kemalangan itu, Khalid mengalami kecederaan dan pendarahan teruk di kepala, menyebabkan dia koma hampir 10 bulan.

Walaupun kini sudah sedar, dia masih tidak boleh berjalan dan tidak mampu menggerakkan anggota badannya.

Isterinya, Satona Pin Yin, 45, berkata dia dan anak hanya meraikan Aidilfitri secara ala kadar di rumah kediaman mereka di AU1 Taman Keramat, Keramat Permai.

“Sebagaimana tahun sudah, kami tidak ke mana-mana. Dalam keadaan suami begini, baik saya dan anak bersederhana di rumah ini menyambut lebaran.
“Bagi saya, menjaga suami lagi penting daripada beriya-iya menyambut raya. Anak juga sama, tidak mahu berlebih-lebih, sebaliknya menjaga bapa mereka lebih diutamakan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurut Satona, sejak suaminya terlantar sakit, beban mencari nafkah hidup memang memeritkan.

Dia terpaksa menanggung persekolahan tiga anaknya yang masih bersekolah dan menuntut di kolej.

Satona berkata, selain mengharapkan gaji suami yang diterimanya, dia terpaksa melakukan kerja sambilan mengambil upah menjaga anak jiran.

“Sebelum ini memang sukar bagi saya, lebih-lebih lagi kos perubatan suami cukup tinggi hingga mencecah RM2,000 sebulan.

“Mana cukup duit gaji bulanan suami yang saya terima. Anak pula bersekolah, saya perlukan duit lebih untuk membantu menyara keluarga kerana sebelum ini saya bergantung hidup pada suami,” katanya.

Setakat ini Satona menerima bantuan kekal berupa susu khas untuk suaminya setiap bulan daripada Baitulmal, selain keprihatinan banyak pihak iaitu keluarga, jiran, anggota juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi memberi sedikit bantuan.

Satona berkata, akibat kesempitan wang, anak sulungnya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar bagi membantu keluarga.

“Bagaimanapun, saya halang hasratnya kerana pelajaran sangat penting untuk masa depan. Saya menganggap semua ini sebagai dugaan. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Satona berkata, dalam keadaan suami masih terlantar, Aidilfitri ini menjadi dugaan besar dalam hidupnya.

“Isteri mana tidak sedih mengenangkan nasib suami begini. Siang malam saya mendoakan kesihatan suami.

“Sudah lebih setahun berlalu, tidak sanggup lagi saya melihat dia (suami) terlantar begini di bulan mulia ini. Setiap kali dia mengeluh sakit, hati saya turut merasa sakit,” katanya.

Satona turut mengakui sering terkenang suasana Ramadan sebelum suaminya ditimpa kemalangan, di mana mereka sekeluarga meraikan ibadat puasa bersama.

Tahun ini adalah tahun kedua dia menjaga suami dalam keadaan sedemikian dan dia berharap doanya sepanjang Ramadan dan Syawal termakbul untuk melihat perubahan pada suaminya.

“Saya rindukan suara suami memanggil nama saya. Jika dia lambat pulih seperti biasa, memulihkan ingatannya dan mendengar suaranya semula sudah memadai.

“Apapun, saya bersyukur, setidak-tidaknya kami masih bersama walaupun dalam keadaan begini. Susah senang, saya terima seadanya,” katanya.

Menurut Satona, hanya enam bulan kebelakangan ini Khalid mampu menggerakkan tangan dan tidak lagi makan menggunakan tiub.

Bagaimanapun, katanya, suaminya hilang ingatan dan tidak kenal dirinya sekalipun sedar daripada koma.

“Beberapa kali saya cuba perkenalkan diri kepada suami, dia hanya menggelengkan kepala. Anak juga masih tidak dikenalinya.

“Apapun saya percaya, suami akan pulih dan kembali seperti sedia kala. Doktor pernah memberitahu, suami akan sembuh dalam dua atau tiga tahun ini, buat masa ini saya perlu bersabar,” katanya.

Buat masa ini, kata Satona, doktor dan rakan menasihatinya supaya rajin mengajak suami membelek gambar lama mereka dan cuba bercerita mengenai kenangan hidup mereka untuk membantu memulihkan ingatan suami.

Katanya, siang dan malam dia menunjukkan gambar lama ketika mereka berkahwin 21 tahun lalu kepada suami dan kadangkala dia bercerita bagaimana mereka boleh bersama hingga kini.

“Setakat ini belum ada tanda positif terhadap ingatan suami. Tiada satu pun dalam ingatannya. Dia juga tidak kenal saya, malah ketika saya berkata adakah ibu bapanya masih hidup, dia menganggukkan kepala, sedangka orang tuanya sudah lama meninggal dunia.

“Bagaimanapun, saya sedar ini baru permulaan. Saya yakin lama-kelamaan ingatannya akan pulih, dan kami boleh hidup seperti dulu semula,” katanya.

Pilu dua beradik

TELUK INTAN: Ketika rakan sebaya menyambut Aidilfitri dalam suasana gembira bersama keluarga, dua beradik, Najihah dan Nazuwa Natri meraikannya penuh hiba selepas kehilangan keluarga apabila ibu mereka ditetak sehingga mati oleh bapa yang kemudian menemui ajal ditembak polis, awal Ramadan lalu.


TABAH... Najihah ditenteramkan Rozami  ketika kali pertama muncul di khalayak ramai.
TABAH... Najihah ditenteramkan Rozami ketika kali pertama muncul di khalayak ramai.

Kali pertama mereka bersemuka dengan orang ramai ialah pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik oleh Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah di Dewan Chikus, baru-baru ini, hinggakan ada hadirin menitiskan air mata melihat dua beradik itu menangis ketika berbaris bersama anak yatim lain menerima sumbangan.

Ketika ditemui di rumah nenek mereka kelmarin, Najihah yang masih menjalani rawatan di rumah selepas cedera akibat kejadian itu tersenyum apabila ditanya perasaan menyambut hari raya tanpa ibu bapa dan duduk sepanjang masa atas kerusi menonton televisyen.

Begitupun, tidak banyak dapat ditanya kerana ibu saudara yang kini menjadi penjaga mereka, Rozami Sakri Affandi, 39, menghalang dengan alasan mereka berdua masih terkejut dan tidak mahu dikejutkan lagi dengan soalan wartawan.

Menurut Rozami, kedua-dua anak saudaranya itu seperti biasa tetapi sesekali mereka menitiskan air mata mengenangkan kejadian itu.

“Kami sekeluarga tidak mahu mereka mengingatkan kejadian itu dan enggan bertanya bagaimana ia berlaku.
“Yang penting mereka menjalani kehidupan seperti orang lain dan kami akan menjaga mereka sedaya mungkin,” katanya.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, bapa dua beradik itu Natri Shaharuddin, 39, hilang pertimbangan apabila menetak isterinya, Khairul Bariah Mohamat Aaripin, 36, dan mencederakan Najihah sehingga putus dua jari.

Natri kemudian ditembak mati polis kerana enggan menyerah diri.

Rozami berkata, Najihah dan Najwa semakin ceria apabila dikunjungi rakan sekolah yang bertanyakan keadaan dan berkongsi cerita sesama mereka.

Katanya, semua aktiviti serta pergerakan Najihah terbatas kerana kecederaannya belum pulih sepenuhnya.

Ketika ditanya, Najihah berkata, dia semakin pulih dan gembira dengan kehadiran rakan sekolah dan guru manakala pakaian raya untuknya dan Nazuwa dibeli bapa dan ibu saudara.

Najihah sebenarnya tidak sabar untuk kembali ke sekolah kerana mahu mencapai cita-cita bergelar doktor.

Bagaimanapun, Nazuwa pula lebih banyak berdiam diri dan hanya menemani kakaknya yang belum pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, seorang lagi ibu saudara mereka, Zaharah Mat Aaripin berkata, sebelum ini menjelang raya, dia bersama Allahyarham Khairul Bariah sama-sama memasak juadah hari raya, tetapi kini tinggal kenangan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Kesedihan dan keperitan hidup dilalui dua beradik itu sedikit sebanyak diubati apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan Faedah Pencen Penakat RM530.32 sebulan kepada penjaga mereka. Selain itu, keluarga mangsa menerima RM3,000 bagi Faedah Pengurusan Mayat untuk kedua-duanya yang pernah mencarum dengan Perkeso.

Anak hilang enam tahun

MARANG: “Setiap kali membaca al-Quran, saya pasti berniat menghadiahkan kepada Rafeah dengan harapan dia kembali ke pangkuan keluarga, malah sejak enam tahun ini saya tidak pernah berhenti mengharap,” kata Mariam Debat, 56, dari Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong, ibu kepada Rafeah Ramli, 36, yang menghilangkan diri sejak 12 September 2004.
Ketika ditemui di rumahnya semalam, Mariam berkata, hari ini genap enam tahun kehilangan misteri anak kedua daripada enam beradik itu dan dia tidak pernah menerima berita mengenai anaknya sepanjang tempoh itu, namun nalurinya kuat mengatakan anaknya masih hidup dan berada dalam negara.
“Bayangkan sepanjang enam tahun, saya tidak menerima sebarang berita, laporan polis sudah dibuat, rakan dan saudara juga berusaha menjejakinya, namun tiada sebarang petunjuk sehingga sekarang.

“Pelbagai cara diusahakan untuk menjejaki Rafeah, termasuk menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan kedudukannya sekarang, tetapi gagal.

“Saya tidak tahan lagi menahan kerinduan yang membuak-buak itu, setiap hari saya melihat gambar dan barangannya untuk melepaskan rindu sehingga suami membakar semua barangan yang berkaitan dengannya untuk mengelak saya dan keluarga terus merinduinya,” katanya.

Mariam berkata, sehingga kini dia hanya mampu mendoakan keselamatan Rafeah dan berharap anaknya pulang ke pangkuan keluarga dalam apa keadaan sekalipun.

“Kami sekeluarga tidak pernah menyimpan kemarahan kepadanya, walaupun dia membuat kesilapan, kami tetap memaafkannya, yang penting dia (Rafeah) pulang,” katanya.

Sementara itu suaminya, Ramli Abd Rahman, 60, dari Kampung Wakaf Dua, berkata, sebagai ayah, dia tidak pernah berhenti mengingati anaknya.

“Paling menyedihkan, ketika saya diserang penyakit tibi sehingga terlantar di hospital selama sebulan baru-baru ini, fikiran saya asyik memikirkannya, terdetik juga apakah saya masih berkesempatan berjumpanya.

“Syukurlah, kini saya sembuh tetapi harapan saya untuk melihat Rafeah masih belum kesampaian sehingga sekarang.

“Jika diikutkan hati, ingin saja saya mencarinya di seluruh negeri, namun ia mungkin mustahil memandangkan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya.
Ramli berkata, jika dilihat dari luaran memang dia seolah-olah sudah melupakan anaknya, tetapi sebenarnya hatinya menangis mengenangkan nasib anak kesayangannya.

“Kakak (Rafeah), pulanglah ke pangkuan keluarga walaupun untuk seketika, kerana kami sangat merindukan kakak.

“Usia kami semakin senja, bimbang tidak berkesempatan berjumpa kakak, tidak kira apa keadaan kakak sekarang, kami tetap menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Harian Metro pada 11 Januari 2005 pernah melaporkan kehilangan Rafeah secara misteri selepas menaiki bas ke bandar pada jam 7.30 pagi untuk membeli peralatan menjahit pada 12 September 2004.
Selain itu, wang simpanan Rafeah di dalam bank sebanyak RM5,000 juga habis dikeluarkan selain semua barangan kemas miliknya dibawa bersama.

Kucupan terakhir

MELAKA: “Anak saya beritahu, ketika dalam perjalanan, arwah (Noorsarry Hassan) mencium pipinya tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya. Anak saya mengakui terkejut ketika menerima ciuman itu.
“Tak sangka itulah ciuman terakhir daripada arwah,” kata Rahmah Kabil, 63, ibu kepada Saed Hashim Saed Mohamed, 30-an, yang kehilangan isteri dan anak berusia enam bulan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 48.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang, Noorsarry, 29, yang bekerja sebagai kerani, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala anaknya, Saed Adam Saed Hashim meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT) ketika mendapatkan rawatan kecemasan.

Mangsa dalam perjalanan pulang ke Felda Lok Heng, Kota Tinggi selepas beraya di kampung suaminya di Merlimau, Melaka.

Menurut Rahmah, dia juga mendapat tahu daripada keluarga Noorsarry bahawa menantunya beberapa kali menghubungi keluarga memberitahu supaya menunggu kepulangannya.

“Banyak kali dia (Noorsarry) telefon supaya menunggu kepulangannya. Akhirnya kami mendapat panggilan daripada polis memberitahu bahawa Noorsarry maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, semalam.

Rahmah berkata, kehilangan Noorsarry sangat dirasai kerana hubungan mereka sungguh rapat.

“Sebelum kejadian, suami saya (Saed Mohamad Saed Hashim, 67) sempat membelikan cincin untuk cucunya. Dia (Syed Mohamad) sungguh sedih dengan tragedi yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Mohamed Sebot berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan apabila sebuah Toyota Harrier dalam perjalanan ke Kota Tinggi terbabas laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu tiba-tiba gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta Proton Satria dinaiki mangsa sekeluarga.

“Akibatnya, suami mangsa yang memandu kereta dan pemandu Toyota Harrier berkenaan berusia 24 tahun cedera ringan, manakala Norsarry meninggal dunia di tempat kejadian dan bayinya cedera parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat jalan licin selepas hujan lebat di kawasan itu pada pagi sebelum kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Cuba rasuah sultan

MUAR: Seorang lelaki bertaraf penduduk tetap (PR) yang juga ahli perniagaan dari Singapura direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail, kerana disyaki cuba mendapatkan gelaran datuk serta projek pembangunan di negeri ini, malam Aidilfitri lalu.
Lelaki berusia awal 1950-an itu dikatakan cuba memberi suapan berjumlah RM1 juta kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail, di Istana Tanjung di Muar, malam Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, lelaki berkenaan yang dipercayai menjalankan perniagaan di sini sejak kira-kira 10 tahun lalu datang mengadap Sultan Johor sempena Aidilfitri.

Difahamkan, tiba-tiba lelaki berkenaan menyerahkan sebuah beg berisi wang tunai dipercayai berjumlah RM1 juta kepada baginda di perkarangan Istana.

Baginda yang murka dengan perbuatan itu kerana dilihat cuba menghina institusi diraja negeri ini tidak menerima wang berkenaan sebelum lelaki terbabit ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Hingga kini belum dapat dipastikan sama ada wang itu bertujuan membeli gelaran Datuk mahupun mendapatkan projek pembangunan di negeri ini.

Difahamkan, lelaki berkenaan dikatakan mahu menaja kos Rumah Terbuka di Istana Tanjung di sini, kelmarin, dengan menawarkan wang dipercayai berjumlah RM1 juta.

Bagaimanapun, lelaki itu disyaki ingin mendapatkan balasan iaitu sama ada dikurniakan gelaran Datuk mahupun kelulusan projek di negeri ini.

Sementara itu, seorang pegawai kanan polis negeri yang enggan dikenali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun kes diserahkan kepada SPRM untuk tindakan susulan.

“Kita sudah menerima laporan mengenai kes ini namun ia diserahkan kepada SPRM sebagai mana diperuntukkan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani ketika dihubungi Harian Metro semalam, enggan mengesahkan atau menidakkan tangkapan berkenaan.
Ketika ditanya, Simi menjawab ‘no komen’ dan mengatakan dia kini bercuti di luar Johor.

Suami isteri maut, tiga cedera dalam nahas kereta dan bas ekspres

RAUB: Sepasang suami isteri maut, manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta Proton Wira yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspress di Kilometer 358 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsuddin Wan Osman berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Adnan Ahmad, 43, dan isterinya, Adira Akhlak Ahmad, 36.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang. Proton Wira yang dinaiki lima beranak itu dikatakan terbabas sebelum bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur.

"Bas ekspres berkenaan tidak berpenumpang, pemandu bas berkenaan hanya cedera ringan," katanya.

Wan Mohd Samsuddin berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala, tengkuk dan badan.

Dua anak lelaki mangsa berumur 13 dan 14 tahun serta seorang anak perempuan mangsa berusia tujuh tahun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Raub.

"Mangsa berasal dari Ketereh, Kelantan dan dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga di Kelantan," katanya.- Bernama

Anggota keselamatan nyaris rentung selepas rempuh empat kenderaan

ALOR SETAR: Tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan seorang anggota keselamatan daripada rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas merempuh empat kenderaan lain dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Alor Setar - Sungai Petani, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun itu parah di kepala dan kaki selepas kereta Perodua Kancil dipandunya menuju ke bandar raya ini merempuh empat lagi kereta iaitu dua jenis Honda Civic dan dua Proton Wira dari arah bertentangan.
Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata rempuhan itu menyebabkan kereta Perodua Kancil berkenaan dan sebuah kereta Honda Civic terbakar.

"Mangsa diselamatkan orang ramai manakala pemandu dan penumpang empat lagi kereta tidak cedera," katanya.

Mangsa yang bertugas di Kangar, Perlis dipercayai mengantuk ketika memandu sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Pelancong wanita Jepun mati lemas

KUALA TERENGGANU: Kegembiraan seorang pelancong wanita warga Jepun yang bercuti bersama keluarganya di Pulau Redang, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati lemas, kira-kira jam 12.15 tengah hari kelmarin.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, Tatakuma Chinko, 88, yang baru tiba di sini pada 9 September lalu dikatakan mandi di pantai peranginan itu bersama empat ahli keluarga dan seorang pembantu rumah.
Menurutnya, ketika leka mandi, mangsa tiba-tiba mengalami kesukaran untuk berenang apabila ditarik arus sebelum ahli keluarga yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkannya.

Bagaimanapun, katanya, usaha ahli keluarga terbabit tidak membuahkan hasil apabila mangsa tidak bernyawa lagi apabila dibawa ke darat.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Redang sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan disahkan mati lemas.

Beliau berkata, Kedutaan Jepun di Malaysia dimaklumkan mengenai kejadian itu dan ahli keluarga mangsa dalam proses menguruskan penghantaran pulang mayat wanita berkenaan.

Tak sempat solat raya

LAHAD DATU: Tiga beranak dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri maut selepas kereta jenis Proton Saga yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan kiri sebelum masuk ke dalam parit di kilometer empat Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, kelmarin.


REMUK... kereta dinaiki empat beranak remuk teruk, menyebabkan tiga daripada mereka terbunuh.
REMUK... kereta dinaiki empat beranak remuk teruk, menyebabkan tiga daripada mereka terbunuh.

Ibu mereka, Saidah Misji, 26, pula patah tulang paha kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu dan mayat dituntut ahli keluarga mereka.

Mangsa sebelum itu berada di kampung isterinya di daerah Beaufort dan dalam perjalanan pulang ke kampung di Lahad Datu. Mereka bertolak kira-kira jam 5.30 pagi untuk solat sunat Aidilfitri dengan ahli keluarga.

Namun tiba di lokasi berkenaan, kereta jenis Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke dalam parit.

Pemangku Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superitendan Bong Kuet Khiun ketika dihubungi berkata, kejadian itu dipercayai disebabkan kereta dipandu mangsa terbabas lalu terjunam ke dalam parit di bahu kiri jalan.
“Dipercayai mereka dalam perjalanan dari Beaufort ke Lahad Datu, namun sebaik tiba di lokasi berkenaan kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas,’’ katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Bong berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat, manakala isterinya yang cedera kini menerima rawatan di hospital sama dan kejadian ini sudah dimaklumkan kepada keluarga masing-masing.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi polis di talian 089-881527 untuk membantu siasatan,’’ katanya.

Keluarga Sosilawati masih menunggu pengesahan polis

KUALA LUMPUR: Sehingga kini keluarga Datuk Sosilawati Lawiya, 47, belum menerima sebarang pengesahan daripada pihak polis berikutan penemuan empat mayat di senuah ladang ternakan di Teluk Gadong, dekat Tanjung Sepat, Morib.
Anak sulung jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari berkata, keluarganya masih menunggu pengesahan daripada forensik dan pada masa sama keluarga memerlukan kekuatan menghadapi sebarang kemungkinan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan ibu saya, jika kemungkinan itu benar (mayat Sosilawati), kami sekeluarga reda dengan ujian itu," katanya ketika mengadakan sidang media di rumahnya di Taman Harmonis, sebentar tadi.

yMetro Mutakhir Polis sahkan Sosilawati serta tiga lagi mati dibunuh dan mayat mereka dibakar

BANTING: Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara itu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.

Tiga lagi ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.-Bernama

Pembunuhan Sosilawati: Peguam bergelar Datuk, adik dan enam pekerja ditahan

BANTING: Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terbabit membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September membabitkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Beliau berkata hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit seluas 1.6 hektar itu, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urusniaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati.


Pada sidang akhbar itu, Mohd Bakri juga mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis Kuala Lumpur menyiasat kes itu kerana kesemua mereka dilihat pada kali terakhir meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.
Mengenai keluarga mangsa, beliau berkata mereka sudah dimaklumkan dan polis menjelaskan kepada mereka bahawa pengesahan lanjut daripada pihak forensik
dan Jabatan Kimia diperlukan untuk mengesahkan sepenuhnya kematian kesemua mangsa.

"Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah
itu," katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata pihaknya tidak dapat menyatakan
daripada segi peratusan namun kesemua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan selepas polis menerima laporan forensik dan kimia.

"Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik sahaja kami menerima kesemua laporan lanjut mengenai perkara ini," jelas beliau.

Mohd Bakri meminta semua pihak agar bersabar kerana pasukan forensik masih di peringkat awal mengumpul bukti di tempat kejadian dan hanya mengesahkan sudah menjumpai sebilah pisau di tempat kejadian.

Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat tulang ditemui di tempat kejadian.

Ditanya bagaimana mereka dibunuh, beliau berkata perkara itu masih di peringkat awal dan tidak boleh mengulas lanjut kerana boleh menganggu siasatan.

Dalam sidang media itu, Mohd Bakri berkata, suspek juga membuat pengakuan bahawa mereka terbabit dalam beberapa kejadian sama.

"Mereka mengaku ada menggunakan modus operandi yang sama dan kami kini menyiasat sekurang-kurangnya kehilangan empat orang yang dilaporkan sejak
setahun yang lalu," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada mereka terbabit dalam kejadian itu tanpa bukti forensik yang kukuh.

Beliau berkata, kesemua suspek berumur antara 19 dan 41 tahun, dua daripada
mereka adalah wanita dan mereka kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala
Lumpur.

Difahamkan polis sudah memperoleh kebenaran untuk menahan reman selama
tujuh hari untuk membantu siasatan kes itu.

Ketika diminta menjelaskan keadaan di tempat kejadian, Mohd Bakri berkata ia
dikelilingi tembok, terdapat pokok kelapa sawit, serta beberapa kandang kambing
serta bangsal lembu.

"Orang luar tidak akan dapat lihat sekiranya apa-apa berlaku di sebalik
tembok itu," jelas beliau.

Mohd Bakri juga mengesahkan polis turut menyiasat 'Datuk' itu mengikut Akta
Pengubahan Wang Haram.

"Kita ada mendapat beberapa maklumat bahawa beliau memiliki beberapa hartanah secara tidah sah dan kita mahu menyiasat perkara itu," tegas beliau.-Bernama

Anak perempuan Kamaruddin jatuh sakit selepas dapat tahu bapanya dibunuh

SEREMBAN: Anak perempuan sulung kepada Kamaruddin Shamsudin, pemandu jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya, jatuh sakit sebaik mendapat tahu hari ini bahawa ayahnya dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.

Noorfazilah, 33, berkata Kamaruddin sudah berjanji untuk menjemput anaknya itu menyambut lebaran di kampung Kamaruddin di Kuantan kali ini.

"Balqis dengan bekas suami memang rapat dan manja. Bila saya beritahu ayahnya sudah tiada, dia terus menangis, tidak mahu makan dan mengalami sakit kepala sehingga demam," katanya.

Semasa Kamaruddin dilaporkan hilang, Balqis sering memikirkan nasib ayahnya malah selalu bertanya apa juadah berbuka puasa ayahnya.

Perkahwinan Noorfazilah dengan Kamaruddin berakhir dengan perceraian pada 2006, selepas mendapat tiga cahaya mata iaitu Balqis Dayana; Izran Akmal, 9; dan Irfan Aiman, 8.

"Izran masih keliru. Pada hari pertama ketika bekas suami dilapor hilang, dia menjerit-jerit menyatakan itu bukan ayah dia sehinggalah gambar Kamaruddin keluar dalam surat khabar, barulah dia terdiam," kata Noorfazilah.
Anak ketiga mereka, Irfan Aiman tinggal bersama kakak Kamaruddin di Kuantan sejak kecil lagi.

Noorfazilah tinggal di Rembau bersama dua lagi anaknya itu.

Mereka berkahwin ketika Kamaruddin bekerja di King Studio dan Noorfazilah ketika itu baru saja bertapak untuk menjadi artis rakaman dengan kelahiran sebuah album dangdut.

Pasangan suami isteri itu sangat rapat dengan penyanyi dan juga bekas suami Sosilawati iaitu Nash dan Noorfazilah percaya, bekas suaminya menjadi pemandu Sosilawati selepas diperkenalkan oleh Nash.

Noorfazilah banyak bertanya mengenai kejadian sebenar kerana hanya tahu perkembangan tragedi pembunuhan itu melalui akhbar hari ini.

"Saya sebak mengenangkan anak-anak saya. Balqis Dayana akan mengambil peperiksaan UPSR pada 22 dan 23 September ini, fikiran dia pula sudah pasti terganggu," katanya.

Noorfazilah berkata, beliau sedang berusaha memberi semangat kepada Balqis untuk belajar dengan rajin: "Kalau betul sayang ayah. Berdoa dan bacalah Yassin untuk ayah. Belajarlah rajin, jadi anak yang baik supaya ayah suka".

Menurut wanita itu, bekas suaminya itu dikenali sebagai "Kamal King" oleh kawan-kawan lama dan tidak ramai yang mengecam kehilangan beliau di dada akhbar kerana mereka tidak mengetahui nama sebenar Kamaruddin. -Bernama

Anggota keluarga reda dengan pemergian Sosilawati

KUALA LUMPUR: Anggota keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya reda dengan pemergian beliau sekiranya mangsa yang dilaporkan ditemui di Ladang Gadong, Tanjong Sepat hari ini disahkan sebagai Sosilawati.
Anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, berkata mereka sekeluarga berharap mangsa yang ditemui itu bukanlah ibu mereka, namun akan terus melakukan solat sunat ghaib.

"Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan untuk mak saya dan tiga orang yang lain," katanya kepada pemberita di kediamannya di Taman Harmonis Gombak di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyatakan beliau berkemungkinan mengeluarkan kenyataan esok.

Anak keempat Sosilawati yang mahu dikenali sebagai Rina berkata dia ingin melihat sendiri sekiranya yang dijumpai itu adalah mayat ibunya.

"Kalau betul mak tak ada lagi bawa dia tunjuk depan Rina. Abah... cari mak abah," katanya sejurus menonton sidang media mengenai kematian ibunya yang disiarkan menerusi televisyen hari ini.

Tinjauan ke kediamannya mendapati anggota keluarga Sosilawati dari Johor sudah berkumpul sejak malam semalam dan bekas suami pertamanya yang dikenali sebagai Buhari dilihat memasuki perkarangan kediaman itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sosilawati dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Sementara itu, bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nashrudin Elyas atau Nash yang juga bekas suami Sosilawati, berkata jika berita mengenai pemergian Sosilawati itu benar, ternyata ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Saya tidak tahu kenapa ada manusia yang kejam sampai sebegitu, sanggup membunuh... sepatutnya benda ini tidak boleh berlaku dalam negara kita yang aman ini," katanya ketika dihubungi.

Nash berkata, beliau juga ada menghubungi anak-anak Sosilawati sejak berita kehilangannya dilaporkan media, namun panggilannya itu tidak berjawab.

"Hari pertama berita mengenai dia dilaporkan hilang, saya ada call anak-anak dia, tetapi tidak berangkat. Pagi tadi juga selepas dengar berita dia dipercayai mati dibunuh, saya ada juga call lagi anak-anak dia, tetapi masih juga tidak berjawab," katanya sebak.

Ketika, ditanya sama ada beliau akan melawat anggota keluarga Sosilawati, Nash berkata beliau tidak berkesempatan berbuat demikian kerana kini berada di Sabah atas urusan kerja.

Katanya, walaupun jodoh beliau dengan jutawan kosmetik itu tidak mampu bertahan, namun mereka tidak pernah berdendam dan beliau masih rapat dengan anak-anak bekas isterinya itu.

"Saya memang berniat untuk melawat anak-anaknya dalam masa terdekat selepas urusan kerja saya di sini selesai. Saya memang baik dengan anak-anak dia terutamanya Fatimah (Siti Nur Fatimah) dan anggap anak-anak dia seperti anak-anak saya sendiri, tiada bezanya," kata Nash yang tidak dapat menahan kesedihan.

Katanya, beliau begitu sedih dan bersimpati bukan sahaja dengan anggota keluarga bekas isterinya itu malahan juga kepada anggota keluarga tiga lelaki yang turut hilang.

"Saya amat sedih mendengar berita ini. Apalah nasib anak-anak dia (Sosilawati) dan ahli keluarga tiga (rakan Sosilawati) yang lain. Saya ucapkan takziah kepada mereka," katanya.

Sementara itu, kaum keluarga Noorhisham pula percaya bahawa pegawai bank itu masih hidup.

"Saya masih menunggu panggilan untuk pengesahan forensik, selagi itu saya masih percaya menantu saya masih hidup," kata Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua mangsa di rumah mangsa di Ampang hari ini.

Radin berkata, menantunya seorang yang komited terhadap kerjayanya dan sangat berdedikasi dalam segala urusan kerja.

Isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 38, yang juga seorang pegawai bank CIMB di ibu pejabat bank berkenaan, enggan mengulas perkembangan kes itu ketika ditemui pemberita.-Bernama

Kematian Sosilawati kehilangan besar kepada Kampung Seri Menanti

BATU PAHAT: Berita kematian Datuk Sosilawati Lawiya, 47, mengejutkan penduduk tempat kelahiran jutawan kosmetik itu, Kampung Seri Menanti, Sri Medan, dekat sini.
Beliau berharap ahli keluarganya tabah menghadapi ujian itu.

Siti Aminah Md Mukri, 27, berkata kegigihan Allahyarham membina empayar perniagaan Nouvelles Visage menjadi kebanggaan penduduk. Beliau menyanjungi budi pekerti wanita itu yang mulia dan tidak pernah meninggi diri dengan kejayaannya. Tinjauan pemberita ke rumah ibunya, Yatimi Abdul Rahman, 80, di kampung itu mendapati rumah itu berkunci.

Difahamkan ibunya dan ahli keluarga yang lain sudah bertolak ke rumah Allahyarham di Kuala Lumpur semalam. -Bernama

Penyelam Polis Marin cari bahan bukti pembunuhan Sosilawati

BANTING: Pasukan penyelam Polis Marin hari ini menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.

Ibu Kamaruddin harap penemuan tragis tidak babitkan anaknya

KUANTAN: Ibu Kamaruddin Shamsuddin, pemandu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, masih mengharapkan penemuan tragis keempat-empat mangsa bunuh yang dibakar dan dibuang abunya ke dalam sungai, tidak membabitkan anaknya.
"Saya berharap itu bukan dia (Kamaruddin), tapi kalau dia, saya reda," katanya sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini.

Polis hari ini mengesahkan Sosilawati, 47, dan tiga yang lain termasuk Kamaruddin, 44, mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting, Selangor.

Dua lagi ialah pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Sosilawati iaitu Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Sementara itu, anak saudara Kamaruddin, Khairul Izwan Ismail, 29, berkata, dia ada menghubungi mangsa pada hari kejadian.

Katanya, dia menghubungi bapa saudaranya itu pada sebelah petang 30 Ogos lalu kerana ingin bermalam di rumah Kamaruddin pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, Kamaruddin memaklumkan bahawa dia tidak berada di Kuala Lumpur sebaliknya di Banting bersama majikannya.

"Saya mengambil keputusan bermalam di rumah rakan di Kuala Lumpur dan menunggu panggilan balas daripada bapa saudara saya, tetapi tiada jawapan," katanya.

Abang ipar Kamaruddin, Ismail Ibrahim, 59, pula berkata dia menerima panggilan daripada polis Bukit Aman kira-kira 2 petang tadi yang memaklumkan mengenai penemuan tragis itu.

Beliau berkata, adik iparnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang ke Kuantan baru-baru ini, malah sikapnya adalah seperti biasa.

"Dia kerap pulang ke Kuantan kerana mempunyai perniagaan studio muzik yang mana, sebulan sekali dia akan pulang ke sini," katanya.

Ismail berkata, Kamaruddin sebelum ini pernah bertugas sebagai jurutera bunyi di sebuah syarikat rakaman di Kuala Lumpur, sebelum bekerja dengan Sosilawati sejak empat tahun lalu.

"Dia seorang yang begitu mengambil berat tentang keluarga," katanya.-Bernama

Bomoh melampau ditahan



SEGAMAT – Lelaki menyamar bomoh berjaya ditahan apabila kanak-kanak berumur 10 tahun yang menjadi mangsa nafsu seksnya membuat laporan polis di Kampung Abdullah Segamat, Oktober 2007. 

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, satu risikan telah dijalankan di beberapa negeri dan negara jiran selama hampir tiga tahun sebelum berjaya menahan lelaki terbabit berikutan jenayah yang dilakukannya. 

Menurutnya, lelaki terbabit berjaya ditahan ketika berada di Melaka pada 8 September lalu dan dia telah direman selama empat hari bermula 9 September. 

Sekiranya sabit kesalahan, lelaki terbabit dikenakan hukuman penjara lima tahun dan sebatan. 

“Pihak kami telah lihat rekod yang ada dan kita percaya ramai telah menjadi mangsa lelaki terbabit yang masih belum membuat laporan polis melainkan mangsa yang berada di Segamat,” katanya. 

Abdul Majid berkata, lelaki terbabit mengumpan mangsa dengan memanggilnya dan memberikan makanan seperti buah-buahan dan barang-barang lain. 

“Apabila mangsa telah berjaya diumpan, dia akan memaksa mangsa melakukan seks di biliknya,” katanya. 

Selain itu, lelaki terbabit memiliki 16 rekod lampau dari pelbagai jenis kesalahan sejak tahun 1974 sehingga 2001. 

“Antara jenayah yang dilakukan termasuk lucah melampau, mencuri dan beberapa kes lain. Lelaki terbabit juga pernah ditahan di Penjara Simpang Renggam sebelum ini,” katanya.

Terjun bangunan kerana dadah



KOTA DAMANSARA – Seorang remaja maut setelah terjun dari tingkat 20 sebuah kondominum dekat sini malam kelmarin. 

Mangsa dikenali sebagai Chai Sook Mai, 22, yang hanya memakai baju t dan seluar dalam itu ditemui mati di atas bumbung koridor tingkat 1, blok C, kondominium berkenaan kira-kira jam 10.30 malam oleh pengawal keselamatan bertugas. 

Ketua Polis Daerah Petaling, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat patah pinggang dan hentakkan kuat pada bahagian dada. 

Menurut Arjunaidi, mangsa dipercayai jatuh atas pokok sebelum jatuh ke bumbung koridor berkenaan. 

“Hasil siasatan mendapati remaja ini merupakan penagih dadah jenis ketamin dan syabu dan mula menagih sejak dua tahun yang lalu," katanya. 

Jelasnya, keluarga remaja itu berhasrat untuk menghantarnya ke pusat pemulihan namun sebaik perkara itu diketahui, remaja itu melarikan diri dari rumahnya di Bandar Utama. 

“Hasil bedah siasat tidak menunjukkan sebarang undur-unsur berkaitan jenayah ke atas mangsa,” katanya. 

Arjunaidi berkata, setakat ini polis hanya menemui beg tangan yang mengandungi ubat-ubatan, kad ahli syarikat jualan langsung dan selipar jepun milik mangsa yang ditinggalkan di tingkat 20. 

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kabel TNB terbakar punca sesak




GEORGETOWN - Ribuan kenderaan terkandas lebih empat jam di atas Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kilometer 1.5 menghala ke pulau . 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.02 pagi itu turut menyebabkan aliran trafik menghala keluar dan masuk ke pulau, sesak sepanjang lebih 10 kilometer, selain lorong kanan di kedua-dua arah ditutup. 

Naib Presiden Bahagian Pembekalan TNB, Rozaimi Remeli berkata, kebakaran itu melibatkan tiga litar berkuasa 132 kilowatt di bawah jambatan berkenaan. 

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Gelugor, Bayan Lepas dan sebahagian kawasan di Georgetown mengalami gangguan elektrik selama dua minit. 

“Penduduk Pulau Pinang bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana kebakaran kabel ini tidak akan menjejaskan penyaluran tenaga elektrik ke kawasan pulau. 

“Kita mempunyai sumber penjanaan elektrik di tiga saluran jana kuasa lain yang mampu membekalkan tenaga elektrik secukupnya. Saya berharap rakyat Pulau Pinang dapat meraikan Aidilfitri dengan tenang dan selesa,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam. 

Rozaimi berkata, selain sumber tenaga dari Seberang Perai, negeri itu turut menerima bekalan dari stesen jana kuasa di Gelugor dan di Juru. 

Menurutnya, kebakaran kabel elektrik itu adalah kejadian kedua selepas ia berlaku pada Jun 1995. 

“Pada kejadian pertama, kita terpaksa mengambil selama 10 hari untuk memperbaiki kabel-kabel yang rosak namun dalam kejadian ini, saya berharap orang ramai tidak bimbang kerana kita mempunyai kelengkapan yang canggih untuk menangani masalah ini. 

“Pihak TNB akan bekerjasama dengan Jambatan Pulau Pinang dan Polis Trafik untuk mendapatkan masa yang sesuai bagi memperbaiki kabel-kabel yang rosak itu dan ia tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa kerana kejadian ini tidak memberi kesan terhadap penyaluran elektrik ke kawasan pulau,” katanya.

Rumah hangus Syawal kedua




MALIM NAWAR - Seorang pemilik kedai panik apabila melihat api marak dengan pantas di rumah yang didiami jirannya di Kampung Tersusun, di sini, petang semalam. 

Saksi terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Lau berkata, rumah itu didiami sebuah keluarga Melayu yang pulang berhari raya di Negeri Sembilan. 

“Ketika saya sibuk membuat kerja kira-kira jam 1 petang, di kedai kelihatan kepulan asap keluar dan kemudian api dengan tiba-tiba marak memusnahkan rumah berkenaan,” katanya di sini, semalam. 

Beliau segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kampar namun anggota bertugas seolah-olah tidak percaya dengan kejadian kebakaran yang diberikannya. 

“Saya menghubungi balai terbabit sebanyak tiga kali dan memberikan butiran berhubung kebakaran itu termasuk nombor telefon bimbit namun mereka menyangka saya saja membuat ‘cerita palsu’ mengenai kebakaran itu. 

“Bagaimanapun, apabila bomba tiba satu jam kemudian, tidak ada harta benda yang dapat diselamatkan kerana semuanya musnah dijilat api hanya dalam sekelip mata,” katanya. 

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Aminah Mazlan, 34, berkata, penyewa rumah terbabit kini dalam perjalanan pulang ke rumah sewa berkenaan selepas mendapat panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu. 

Penyewa rumah yang menjalankan perniagaan ikan air tawar dikatakan terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarganya. 

Difahamkan, pemilik rumah itu turut dimaklumkan mengenai kebakaran rumah yang berlaku pada hari kedua umat Islam menyambut Syawal. 

Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba Kampar, Mustapa Kamal Midi, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 1.51 petang dan tiba di lokasi 19 minit kemudiannya. 

“Semasa bomba tiba di rumah kedai separuh papan terbabit, ia sudah terbakar lebih 90 peratus dan kita hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk mengawalnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Katanya, keluarga yang mendiami kediaman terbabit sehingga petang semalam gagal dikesan bahkan menurutnya, penduduk tempatan sendiri tidak mengetahui nama penghuni rumah berkenaan. 

“Pemilik rumah berkenaan perlu membuat laporan di Balai Polis Malim Nawar di sini sebelum melaporkan jumlah kerugian dan sebagainya di Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dekat sini,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malin Nawar, Khairul Azhaar Mokhtar ketika ditemui di tempat kejadian menyatakan kekecewaan dan kesedihan dengan tragedi kebakaran yang berlaku apatah lagi ketika umat Islam menyambut Aidilfitri. 

Beliau berharap keluarga mangsa bersabar dengan tragedi ini dan amat berterima kasih kepada orang ramai yang sama-sama membantu menyelamatkan harta benda serta membantu memadamkan kebakaran dari terus merebak. 

“Masyarakat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak leka jika meninggalkan rumah dari sudut keselamatan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang. 

“Kejadian ini sudah dimaklumkan kepada YB dan beliau akan melawat keluarga mangsa dalam masa terdekat memandangkan beliau berada di Kuala Lumpur ketika ini,” katanya.

Kanak-kanak maut diheret kereta api



SHAH ALAM – Keseronokan lima kanak-kanak lelaki bermain di landasan kereta api Sungai Chuah, Kajang, semalam berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya maut dipercayai diheret kenderaan awam berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, mangsa dikenali sebagai Afif Syaufi, 11, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. 

“Ketika kejadian, mangsa bersama empat rakannya yang berusia dalam lingkungan 11 dan 12 tahun sedang bermain sebelum Afif diheret kereta api yang melalui landasan terbabit. 

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Menurut saksi yang enggan dikenali, dia melihat dua kanak-kanak melintasi landasan itu, tetapi tiga lagi rakannya termasuk Afif tidak sempat untuk berbuat demikian sebelum mangsa diheret kenderaan berkenaan. 

“Mereka bertiga terperangkap di tengah antara dua landasan sebelum dua kereta api dari kedua-dua arah tiba dan mengheret mangsa. 

“Dua lagi rakan mangsa selamat, namun kelihatan menangis dan trauma selepas kejadian,” katanya.

Tahanan reman penganggur dilanjut



PORT DICKSON - Polis memperoleh kebenaran melanjutkan tempoh reman seorang penganggur bagi membantu siasatan kes seorang ustazah yang mati dibunuh bersama anak lelakinya berumur 10 tahun di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama berhampiran pasar Port Dickson, dekat sini. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, tempoh reman lelaki berumur 34 tahun itu yang berakhir kelmarin dilanjutkan sehingga Khamis depan. 

“Polis mendapat kebenaran mengenai perkara itu daripada Mahkamah Majistret Seremban pagi semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan kes terbabit,” katanya. 

Difahamkan, lelaki berkenaan diberkas polis di rumahnya di sekitar bandar peranginan itu sehari selepas kejadian. 

Mayat Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh rakan serumah serta pihak pengurusan bangunan yang melakukan pemeriksaan selepas mangsa tidak hadir mengajar di sekolah rendah, di sini. 

Sinar Harian: sebelum ini melaporkan kedua-dua tangan dan kaki mangsa diikat dengan tali serta pita pelekat, sementara mulut ditutup kain sarung. 

Norliza berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, Tumpat, Kelantan, tinggal di apartmen terbabit bersama anak lelakinya kerana suaminya menjalankan perniagaan di Mesir.

Wanita maut terjatuh kondominium



PETALING JAYA – Seorang wanita ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Palm Spring, Kota Damansara, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 itu, mangsa Chai Sook Mei, 22, dipercayai terjatuh dari kondominium itu dan kejadian itu disedari penghuni yang ingin mandi di kolam renang. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, penghuni itu terdengar bunyi dentuman yang kuat dan setelah diselidiki dia mendapati mangsa terjatuh di atas bumbung pejalan kaki.

“Ketika kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan memakai kardigan (jaket) dan berseluar dalam warna hitam,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Menurutnya, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Bagaimanapun, beliau berkata, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada ia mempunyai sebarang unsur jenayah atau pun bunuh diri. 

Mayat mangsa, katanya, dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. 

“ Pihak polis meminta sesiapa mempunyai maklumat berhubung kejadian ini agar segera melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Ramai budak China gigi rongak


BEIJING - Kementerian Kesihatan China merancang siri kempen kesedaran kesihatan gigi secara besar-besaran termasuk melantik seorang penyanyi seksi terkenal, Tan Jing sebagai duta Hari Penjagaan Gigi Kebangsaan pada 20 September.
Jurucakap kementerian itu, Deng Haihua pada sidang akhbar di sini kelmarin berkata, ia susulan kajian terbaru yang mendapati 66 peratus daripada keseluruhan kanak-kanak berusia lima tahun di China mengalami kerosakan gigi serius.
Ia amat tinggi sehingga mengatasi purata 30 peratus bagi standard Kesatuan Eropah manakala lebih 97 peratus kanak-kanak China tidak pernah menjaga gigi ekoran negara itu menghadapi masalah kekurangan 70,000 doktor gigi.
Kerajaan pusat ujar Haihua yang dipetik akhbar China Daily, menyediakan dana khas sebanyak 52 juta yuan (RM24 juta) sejak 2008 bagi menambah baik fasiliti perkhidmatan pergigian di wilayah kurang membangun. - Agensi

Maut beratur rumah terbuka Presiden


JAKARTA - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sedih dengan insiden menyayat hati seorang lelaki cacat penglihatan, Jhony Malela maut ketika beratur untuk memasuki Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Jalan Majapahit di sini kelmarin.
Jurucakap presiden, Julia Aldrin Pasha berkata, Susilo prihatin dengan kejadian itu apabila ribuan rakyat cuba berasak-asak di pekarangan Istana Negara selepas solat Jumaat dan hampir 20 orang, kebanyakan wanita pengsan akibat sesak nafas.
Namun, Julia menafikan khabar angin kononnya Susilo akan memberi 'duit raya' sebanyak 300,000 rupiah (RM103) kepada setiap pengunjung yang menjadi punca ramai sanggup membanjiri kediaman presiden sejak awal pagi lagi.
Dalam pada itu, balu Jhony, Euis Rusmiyati, 38, dilaporkan akhbarKompas menerima wang ihsan khas pemerintah sebanyak 40 juta rupiah (RM13,700) manakala jenazah Jhony, 45, dibawa pihak polis ke kampungnya di Garut, Jawa Barat. - Agensi