Search This Blog

Saturday, September 11, 2010

23 terkorban pada hari ketujuh Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Hari ketujuh Ops Sikap ke-22 mencatatkan 23 lagi korban jalan raya menjadikan jumlah mereka yang maut sejak operasi dilancarkan pada Jumaat lalu meningkat kepada 118 orang.
Pegawai Perhubungan Ops Sikap Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Bakri Jainal Abidin berkata, pemandu dan penumpang kereta mencatatkan korban tertinggi dengan 12 kematian diikuti sembilan penunggang dan pembonceng motosikal, serta masing-masing satu pengguna lori dan pejalan kaki.
"Sebanyak 1,269 kemalangan dilaporkan berlaku semalam, iaitu 578 di jalan persekutuan, 314 jalan bandaran, 192 jalan negeri, 99 di lebuh raya dan 86 di lain-lain jalan," katanya.

Sebanyak 10,827 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya membabitkan 6,609 dan 4,218.

Ops Sikap ke-22 sempena Hari Raya Aidilfitri ini akan berakhir pada 17 September.

-Bernama

Remaja lelaki yang ingin beraya bersama rakan mati lemas selepas motosikal terhumban ke dalam sungai

PENDANG: Hasrat seorang remaja lelaki yang ingin beraya bersama rakannya tidak tercapai apabila dia mati lemas selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu terhumban ke dalam sungai Titi Haji Ideris, dekat sini.
Mayat Mohd Firdaus Mohd Saad, 17, dari Kampung Alor Melintang dekat sini dijumpai tersangkut di tiang jambatan di sungai itu pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari selepas terjatuh ke dalam sungai itu pada kira-kira 11 pagi ini.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Jalan Tun Razak, Alor Setar, Kamis Idris berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang ingin beraya di rumah rakannya di Langgar dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terhumban ke dalam sungai berkenaan.

Sebelum itu, mangsa, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tajar di sini, berkonvoi dengan beberapa rakannya dari Pendang tetapi beliau meneruskan perjalanan seorang diri selepas konvoi itu berhenti untuk mengisi petrol di stesen minyak berdekatan.

Abang mangsa, Ayub Saad, 35, berkata selepas beliau menerima panggilan dari adik perempuannya Siti Habibah mengenai kejadian itu, beliau bergegas ke tempat kejadian.

Ayub memberitahu pemberita, beliau bersama anggota Bomba dan Penyelamat mencari Mohd Firdaus dan setelah menyelam beberapa kali, mangsa ditemui tersangkut pada tiang jambatan tidak jauh dari tempat beliau terjatuh di sungai itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.-Bernama

Lelaki disyaki curi kabel mati dipercayai selepas dibelasah

KOTA BAHARU: Polis menemui mayat seorang lelaki selepas dipercayai dipukul oleh penduduk kampung kerana disyaki cuba mencuri kabel telefon di Kampung Limbat, Chekeli, dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 41 tahun berasal dari Kampung Baung, dekat sini, ditangkap ketika dia cuba melarikan diri untuk bersembunyi di sebuah rumah selepas dikejar oleh penduduk yang sedang membuat rondaan, kira-kira jam 4 pagi.
Bagaimanapun, rakan mangsa sempat melarikan diri dalam kekecohan itu.

Seorang saksi, yang juga pemilik rumah terbabit, Mohamad Abdul Rahman, 69, berkata dia terkejut daripada tidur apabila mendengar suara orang ramai bising seperti mengejar sesuatu di hadapan rumahnya. "Selepas membuka pintu, saya nampak orang ramai berada di depan tangga rumahnya bersama seorang lelaki diikat tangannya ke belakang.

"Saya cepat-cepat menutup pintu kerana takut terjadi apa-apa sambil menghalau mereka pergi," katanya.

Katanya, sejak kebelakangan ini kejadian pecah rumah sering berlaku di kampung itu dan ini menyebabkan penduduk terpaksa mengadakan rondaan keselamatan setiap malam.

Penduduk kampung terbabit menghubungi polis untuk membawa mangsa tetapi dia dipercaya meninggal dunia sebelum polis tiba di kampung berkenaan.

Menurut sumber polis, lelaki itu memang dikehendaki polis kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Asisten Komisioner Zaharuddin Abdullah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan.

"Kita akan menyiasat dari beberapa aspek, termasuk punca kematian lelaki itu dan kes-kes jenayah yang membabitkannya," katanya-Bernama

Imigresen akan percepat tukar kakitangan ‘panas’



Langkah drastik banteras pegawai rasuah di pintu masuk sempadan
KUALA LUMPUR: Rombakan besar-besaran memindahkan anggota dan pegawai imigresen yang dikenal pasti terbabit dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa akan dipercepatkan bagi mengukuhkan keselamatan pintu keluar masuk negara yang dikategorikan sebagai lokasi panas.
Sumber memberitahu Berita Harian, semua kakitangan jabatan yang disyaki terbabit dalam perlakuan negatif itu akan dikenakan tindakan selepas mendapat persetujuan pengurusan imigresen.
Keputusan itu hasil pemantauan dan pemeriksaan rapi oleh pasukan bertindak khas yang ditubuhkan antara jabatan berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dua minggu lalu.
Laporan berkaitan kelemahan tugas yang dijalankan kakitangan imigresen, sistem serta prosedur kerja yang hampir siap itu akan dibentangkan untuk pertimbangan pengurusan jabatan, diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, minggu ini, katanya semalam.
Sebelum ini, laporan eksklusif Berita Harian mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Setiap anggota penguat kuasa dipercayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.
Mengulas isu sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan SPRM menyiasat segera pendedahan itu dan mengambil tindakan susulan terhadap kakitangan awam yang terbabit dalam rasuah.
Sumber itu juga berkata, tindakan memindahkan kakitangan imigresen yang juga dianggap panas adalah langkah jangka pendek bagi menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa hingga menjejaskan keselamatan negara.
Kakitangan panas ini dilihat sudah terlalu selesa bertugas di tempat sedia ada hingga mempunyai kepentingan peribadi. Malah, mereka mempunyai jaringan dengan ejen tiket di jeti berkenaan yang turut disyaki terbabit dengan kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan cop imigresen untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang asing tanpa izin, katanya.
Sumber : Bharian.com.my

Tak sabar beraya di luar penjara






TEMUBUAL penulis bersama banduan yang dibebaskan di Penjara Kajang, semalam.
TEMUBUAL penulis bersama banduan yang dibebaskan di Penjara Kajang, semalam.

Lebih 100 banduan Penjara Kajang dibebaskan sempena sambutan Aidilfitri
KAJANG: Ketika enjin bas yang mengangkut lebih 100 banduan Penjara Kajang yang dibebaskan sempena Aidilfitri dihidupkan, tiga bekas tahanan lelaki tampak resah dan berjalan mundar-mandir di sebuah bilik di Pejabat Rekod dan Penerimaan pusat tahanan itu.
Kegelisahan mereka bukan kerana cuaca panas atau bilik tidak berhawa dingin tetapi kerana terpaksa menunggu giliran ditemubual penulis dan jurugambar yang tiba di Penjara Kajang, kira-kira jam 11 tengah hari, semalam.
Seorang daripada mereka ialah Anuar, bukan nama sebenar, dari Masjid Tanah, Melaka, yang dibebaskan selepas lapan tahun merengkok di penjara itu akibat kesalahan mengedar najis dadah.
Bersyukur dengan pembebasannya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Anuar, 40, yang mempunyai dua anak, Hidayah, 12, dan Shafiq, 10, berasa amat menyesal dengan perbuatan lampaunya serta berjanji untuk pulang ke pangkal jalan.
Syukur, raya tahun ini saya dapat pulang ke pangkuan keluarga, katanya.
Anuar ditahan mengikut Seksyen 39(B), tetapi menerima hukuman menurut pindaan Seksyen 39(A)(2) iaitu penjara 12 tahun termasuk 10 sebatan.
Ketika temubual, Anuar tidak boleh duduk kerana beliau baru menjalani hukuman sebat beberapa hari lalu.
Walaupun raya tahun ini terpaksa makan berpantang, ia lebih baik daripada raya di dalam penjara, katanya kelihatan tidak sabar untuk bertemu kedua-dua anaknya yang menunggu di luar penjara itu bersama ibu mereka.
Sekalipun tidak menitiskan air mata, ternyata Anuar yang hanya memakai kemeja-T dan seluar putih berselipar itu berasa amat menyesal dengan perbuatannya yang menyebabkan beliau kehilangan lapan tahun berharga melihat anak-anak membesar.
Masa saya masuk ke dalam (Penjara Kajang) anak sulung saya baru berumur empat tahun, katanya.
Bagi tahanan, Mohd Kamal, 35, dari Damansara, pengalaman merengkok 15 bulan dalam penjara mengajarnya untuk berdikari dan meninggalkan heroin dengan mengikuti kelas keagamaan dan latihan disiplin melalui Program Pembinaan Insan (PPI) Penjara Kajang.
Anak keempat daripada enam adik beradik yang masih bujang itu berkata beliau insaf dan bersedia kembali ke pangkuan keluarga di Damansara selain mengharapkan sokongan masyarakat untuk menerima beliau dengan seadanya.
Saya berhasrat untuk menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Mujahiddin, Damansara, katanya.
Bagi tahanan warga emas yang mahu dikenali sebagai Rosman, 53, beliau berharap sambutan Aidilfitri tahun ini akan membuka sinar baru dalam hidupnya yang kini tinggal sebatang kara selepas kematian isterinya, Asmah, tujuh tahun lalu.
Saya berjanji pada diri untuk menjadi orang baik dan tidak menyusahkan masyarakat, kata Rosman, ditangkap dua tahun lalu kerana kesalahan mencuri sebuah motosikal di Bandar Melaka.
Selepas dua tahun ditahan di sebalik tirai besi, Rosman berikrar untuk menjaga ibunya, Che Ka Abdul Rahman, 83, yang kini menghabiskan usia tuanya di rumah mereka di Taman Bunga Raya dekat Bandar Melaka dengan penuh aman dan tenteram.
Apa yang pasti, sambutan Aidilfitri tahun ini tentunya amat bermakna buat ketiga-tiga bekas tahanan Penjara Kajang itu. Seramai 111 tahanan dibebaskan bermula semalam hingga Ahad ini.
Sumber : Bharian.com.my

Peniaga bergelar Datuk sorok Sosilawati





YATMAH  dan  salah seorang adik Sosilawati, Mohd Hazim Lawiya, 38, menyusun kuih kegemaran Sosilawati di dalam balang sebagai persediaan menyambut anaknya pulang berhari raya di rumahnya, di Kampung Sri Menanti, Batu Pahat, semalam.
YATMAH dan salah seorang adik Sosilawati, Mohd Hazim Lawiya, 38, menyusun kuih kegemaran Sosilawati di dalam balang sebagai persediaan menyambut anaknya pulang berhari raya di rumahnya, di Kampung Sri Menanti, Batu Pahat, semalam.
KUALA LUMPUR: Kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.
Difahamkan, ahli perniagaan terbabit yang dikatakan mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan, dipercayai berperanan sebagai broker dalam urus niaga tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang itu.
Sumber memberitahu Berita Harian, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.
Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.
Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir menghilangkan pelanggannya.
Difahamkan, dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun beliau menafikan semua dakwaan itu.
Maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan, katanya sambil menyatakan kemungkinan Sosilawati dan tiga individu itu menjadi mangsa sindiket terbabit.
Difahamkan, dia sudah dipanggil polis bagi membantu siasatan pada Selasa lalu, termasuk mengenal pasti bentuk pembabitannya dalam urus niaga berkenaan dan hubungannya dengan keempat-empat mangsa, manakala pergerakannya sedang dipantau.
Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu ketika menghadiri urus niaga tanah di Banting. Turut hilang, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB Bank, Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.
DiGEORGETOWN, lima Pejabat Daerah dan Tanah di Pulau Pinang sehingga kini tidak menerima permohonan jual beli tanah di negeri itu atas nama Sosilawati.
Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Prai Utara (SPU), Seberang Prai Tengah (SPT), Seberang Prai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya juga memaklumkan tidak pernah melihat kelibat Sosilawati di situ.
Seorang kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah SPS berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima permohonan jual beli tanah atau pernah berurusan dengan Sosilawati.
Kami tidak pernah melihat atau menerima permohonan daripada Sosilawati. Di Pulau Pinang ada lima pejabat Tanah mengikut daerah masing-masing, bagaimanapun kami tidak pernah bertemunya, katanya ketika dihubungi semalam.
Sumber : Bharian.com.my