MELAKA: Enam kiriman SMS yang tidak dibalas menjadi petanda awal kepada Lans Koperal Mohd Farid Nayan, 28, bahawa Aidilfitri kali ini bakal disambut penuh hiba apabila isteri tersayang, Nuriliana Naib, 22, terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini, semalam.
REMUK...kereta mangsa yang terbabit kemalangan.

PILU...Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam (kiri) menenangkan Mohd Farid, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, Nuriliana maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Kancil dipandunya terbabas lalu melanggar pokok.
Adiknya, Amirul Adzim Naib, 17, yang turut menaiki kereta berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM) kerana parah di kepala.
“Saya ada menghantar enam SMS bertanyakan dirinya, tetapi langsung tidak berjawab menyebabkan saya tidak sedap hati kerana kebiasaannya dia akan membalasnya segera,” kata Mohd Farid.
Bapa dua anak itu berkata, dia terkilan kerana tidak sempat membeli baju raya untuk arwah isterinya seperti dijanjikan.
“Pakaian untuk dua anak kami sudah dibeli. Disebabkan isteri saya ada masalah kesihatan dan terpaksa ke Hospital Jasin tiga hari lalu, saya berjanji membawanya membeli pakaian kami petang ini (semalam).
“Lagi pun saya baru mendapat cuti hari ini (semalam). Tetapi, kini dia sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Ketika kejadian, Nurilian dan Amirul dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga mereka di Taman Bemban Utama, Jasin, selepas melawat bapa mereka, Naib Adzim, 49, yang dimasukkan ke HM akibat serangan sakit jantung, kira-kira jam 4.30 pagi.
Mohd Farid, anggota polis peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, berkata sebelum kejadian itu, arwah isterinya ada menghubunginya ketika bertugas memaklumkan mahu pergi ke HM melawat bapanya.
Menurutnya, dia menghubungi isteri kira-kira jam 7.30 pagi dan arwah memaklumkan sudah mahu pulang ke rumah dan menasihatkannya memandu berhati-hati.
Katanya, berikutan itu, dia pulang ke rumah mereka di Kuarters Polis Bemban, Jasin, selepas selesai bertugas kira-kira jam 8 pagi sebelum dimaklumkan rakan kereta dinaiki isterinya mungkin terbabit kemalangan tidak lama selepas itu.
“Rakan saya bertanyakan mengenai kereta (Perodua) Kancil itu siapa yang memandunya kerana berlaku kemalangan di Jalan Tun Kudu (Bukit Katil) menyebabkan saya yang tidak sedap hati bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui semalam.
Arwah meninggalkan suami serta dua anak yang masih kecil, Mohamad Adam Izwan, 3, dan Nor Erina Shahirah, 2.
Sementara itu, abang mangsa, Marzwan Nizam, 28, yang menetap di Ujung Pasir, berkata sebelum kejadian, adiknya yang juga anak kedua daripada tiga beradik pergi ke HM melawat bapa mereka yang mengalami sakit jantung, awal pagi semalam.
“Selepas itu, kami pulang berasingan dengan Nuriliana dan Amirul Adzim menuju Bemban melalui Jalan Tun Kudu sebelum saya mendapat khabar kedua adik saya itu terbabit kemalangan di lokasi berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Duyung, dekat sini.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poonam E Kling, berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu melanggar sebatang pokok di kanan bahu jalan.
Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Katil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menuju Tehel sebelum terbabit kemalangan yang menyebabkan kenderaan itu remuk teruk di bahagian depan.
“Mangsa dipercayai mati di tempat di kejadian manakala adiknya dikejarkan ke HM akibat parah. Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.