Search This Blog

Thursday, September 9, 2010

Disembunyikan kenalan rapat?

KUALA LUMPUR: Kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, difahamkan ada hubung kait dengan faktor kewangan dan sehingga kini dipercayai disembunyikan pihak tertentu.
Harian Metro difahamkan, pihak yang dipercayai terbabit dalam 'agenda' berkenaan terdiri daripada beberapa individu yang dikatakan turut mempunyai hubungan rapat dengan jutawan wanita berkenaan.
Sumber berkata, seorang daripada individu yang masih menghilangkan diri sehingga kini itu dipercayai menjadi perancang di sebalik kehilangannya.

“Bagaimanapun, motif lain di sebalik kehilangan berkenaan masih belum dapat dipastikan dan polis sudah mengambil keterangan daripada beberapa individu yang rapat dengan ahli perniagaan terbabit bagi mengenal pasti rangkaian konspirasi berkenaan.

“Desas-desus sebelum ini mengenai dia (Sosilawati) keluar dan membawa wang hingga mencecah jutaan ringgit juga tidak masuk akal. Mungkin dia ada membawa wang dalam jumlah yang besar namun tidaklah hingga jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata, motif dan susun galur proses jual beli tanah di Banting kononnya bagi tujuan penanaman herba untuk bahan kandungan produknya turut samar.

“Apa yang diketahui, Sosilawati ada menemui seseorang di Banting bagi membincangkan urus niaga tanah namun, tanah berkenaan sebenarnya adalah di Pulau Pinang,” katanya.

Usahawan terbabit yang juga bekas isteri penyanyi rock Lefhanded, Nash hilang sejak 10 hari lalu bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dari Tetuan Kamaruddin & Partners di Putrajaya; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang didakwa pemandu peribadi pakar kecantikan itu.

Difahamkan, mereka menggunakan dua kereta berasingan iaitu BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 ditemui Isnin lalu ditinggalkan di tempat letak kereta pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah dan di hadapan Hotel Dorsett, Subang Jaya.

Sementara itu, adik kepada ahli perniagaan wanita berkenaan Masturi, 42, berkata mereka sekeluarga akan mengadakan kenduri kesyukuran jika Sosilawati dan tiga lagi lelaki berkenaan selamat pulang.

“Setakat ini, ahli keluarga belum menerima panggilan dan SMS individu tertentu sejak kehilangan kakak dan tiga lagi lelaki terbabit.

Enam warga asing ditahan dipercayai terbabit kes samun RM14,250

JOHOR BAHRU: Enam warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah di kawasan setingga di Majidee semalam, dipercayai terbabit dalam kes samun ke atas tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana pada 3 September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Shariff berkata, hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah terbabit petang semalam dan menemui pelbagai peralatan termasuk pemain DVD, telefon bimbit, pelbagai beg duit serta sejumlah mata wang asing.
"Kesemua suspek yang berusia antara 21 dan 56 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang pada 3 September lalu, sekumpulan lelaki Indonesia bersenjatakan pisau menyamun tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana dan melarikan wang tunai RM14,250 serta komputer riba, telefon bimbit, dokumen bank dan dokumen diri mangsa. Mengulas kes lain, Mokhtar berkata polis di Yong Peng menahan empat lelaki tempatan pada 3 pagi Jumaat lalu dipercayai sedang bersedia untuk melakukan samun berkumpulan.

Kumpulan lelaki itu yang menaiki sebuah kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan di Parit Yaani dan apabila dihampiri kereta peronda polis mereka bertindak memecut melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, kereta tersebut berjaya dipintas di lampu isyarat di Taman Kota dan kesemua mereka yang berusia antara 23 dan 36 tahun ditahan.

"Polis menjumpai sebilah pedang samurai, sebilah parang, tiga playar, sebilah pisau lipat dan empat topeng ski dari kereta tersebut," katanya.

Dua daripada lelaki berkenaan juga didapati mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan jenayah kekerasan melibatkan kes samun dan pernah ditahan di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan.-Bernama

Tiga beranak maut dalam kemalangan jalan raya di Tawau

TAWAU: Tiga beranak maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan jenis Ninja King di kilometer 20, Jalan Tawau–Merotai, dekat sini, hari ini.
Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Tawau, Asisten Superitnendan Sabri Zainol Abidin, berkata mangsa itu dikenali sebagai Agnes Gau Bole, 36, dan sepasang anaknya, Immanuel Bole, lapan tahun dan Fredercia Indriani Bole, 14. "Seorang mati serta-merta di tempat kejadian dan dua lagi meninggal semasa dalam perjalanan ke Hospital Tawau," katanya kepada pemberita di sini.
Sabri berkata, keluarga itu adalah pemegang pasport Indonesia yang hendak ke bandar Tawau untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri. Sabri berkata, keluarga berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan dari Merotai ke Tawau sebelum kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 7 pagi.

"Kita percaya kenderaan itu dipandu laju sehingga menyebabkan ia terbabas dan masuk gaung di sebelah kiri jalan," katanya.

Sabri meminta saksi kejadian agar tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Joseph Jelian atau pembantunya Sarjan David di talian 089-752222 sambungan 258. -Bernama

Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.
"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).

"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama

Kurang muafakat punca pecah rumah di musim perayaan



09/09/2010 4:53pm

KUALA LUMPUR — Konsep kejiranan yang lemah merupakan antara punca kejadian jenayah pecah rumah terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Kebiasaannya pada hari itu, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan rumah untuk satu jangka masa yang agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.
Oleh itu kecenderungan untuk berlaku jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar, demikian menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah.
Katanya walaupun kegiatan pecah rumah terutama pada musim perayaan masih ada tetapi kegiatan mencuri kenderaan jarang berlaku kerana kepekaan oleh jiran-jiran tetangga.
"Seorang penyamun memerlukan dua atau tiga minit untuk memecahkan pintu kereta dan tempoh waktu itu jiran-jiran terdekat dan peka sempat untuk menahan penyamun tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. — Bernama

Kemalangan: Trafik di laluan Bidor-Tapah sesak lebih 10 km



09/09/2010 3:24pm

KUALA LUMPUR 9 Sept — Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Km 334 arah utara dari Bidor ke Tapah mengalami kesesakan lalu lintas sepanjang 10 km pagi ini berikutan kemalangan membabitkan dua buah lori.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kemalangan di lorong kanan di laluan itu pada pukul 4.30 pagi tadi menyebabkan trafik bergerak perlahan selama hampir lima jam.
"Kemalangan ini melibatkan sebuah treler membawa sayur dengan lori kelas A berdekatan dengan Ladang Bikam. Ia menyebabkan treler terbabas dan melintang ke arah selatan menyebabkan berlaku kesesakan.
"Namun begitu ia tidak menjejaskan aliran trafik menghala ke selatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata walaupun kepala treler itu dialihkan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh pihak PLUS, keadaan trafik masih perlahan kerana jumlah kenderaan yang banyak.
"Selain itu trafik juga turut bergerak perlahan arah Nilai ke Seremban dan Bidor ke Tapah. Bagaimanapun keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di persimpangan Bentong Barat pagi ini masih terkawal,” katanya.
Pengguna yang ingin mengetahui maklumat trafik sebelum merancang perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri esok boleh menghubungi LLM di talian 1800-88-7752.
Plus Ekspressways Bhd sebelum ini berkata jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan semalam dan hari ini dijangka meningkat kepada 1.4 juta berbanding 1.1 juta pada hari biasa. — Bernama

Masalah teknikal punca gangguan elektrik seluruh Sabah



09/09/2010 4:27pm

KOTA KINABALU 9 Sept — Sabah Gas Terminal (SGT), milik Petronas, di Gayang, Sepanggar, menghentikan bekalan gas ke tiga buah stesen janakuasa bebas (IPP) selepas mengalami masalah teknikal pada jam 7.25 petang semalam.
Tiga IPP berkenaan ialah Ranhill Powerton I, yang mempunyai kapasiti 190 megawatt (MW), Ranhill Powerton II (130MW) dan Sepanggar Bay Power Corporation (SBPC) dengan 100MW.
Menurut kenyataan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) hari ini, gangguan bekalan elektrik berlaku di seluruh Sabah mulai jam 7.28 malam tadi selepas stesen Ranhill Powerton II dan SBPC terpelantik.
IPP Ranhill Powerton I pula telah ditukar kepada diesel untuk terus beroperasi.
Kejadian itu turut mengakibatkan kapasiti janaan sedia ada mengalami kekurangan janaan sebanyak 230MW dan sistem pertahanan Grid diaktifkan seperti catuan bekalan kecemasan di beberapa kawasan di seluruh negeri bagi memastikan serta mengekalkan kestabilan sistem Grid Sabah.
Kenyataan itu menyebut antara kawasan yang terlibat dengan gangguan itu ialah Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Kota Belud, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagaimanapun, bekalan telah berjaya dipulihkan secara berperingkat bermula pada jam 7.35 petang pada hari yang sama, kata kenyataan itu. — Bernama

Peromak larikan RM80,000 dari bank di Bandar Baru Nilai



09/09/2010 4:36pm

NILAI 9 Sept — Seorang perompak berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira hampir RM80,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah bank CIMB cawangan Bandar Baru Nilai, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban,. ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek terbabit yang dipercayai seorang lelaki memasuki bank berkenaan dengan memakai topeng mulut, cermin mata gelap dan bertopi sebelum melakukan rompakan itu.
"Difahamkan, sebaik memasuki premis tersebut, lelaki itu yang dipercayai membawa satu objek berbentuk pistol telah bertindak melompat ke belakang kaunter bank sebelum menakutkan kakitangan bank berkenaan dan melarikan diri dengan wang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya ketika kejadian, terdapat empat pekerja bersama seorang pengurus termasuk dua pengawal keselamatan turut berada dalam bank tersebut, namun tiada pelanggan berada di dalamnya.
"Siasatan awal mendapati, kami mempercayai objek yang dibawa oleh suspek itu bukannya senjata api atau pistol, sebaliknya lelaki terbabit telah menggunakan objek tersebut untuk menakutkan kakitangan bank sebelum mengambil wang tunai dari tiga kaunter bank berkenaan,” katanya.
Katanya, ini kerana salah seorang pengawal keselamatan cuba mengejar suspek yang melarikan diri ke arah lorong di bangunan berhampiran, namun perompak itu tidak melepaskan tembakan.
"Kalau suspek itu mempunyai pistol sudah pasti dia sudah melepaskan tembakan ke arah pengawal itu ketika dia dikejar,” katanya.
Katanya polis kini sedang meneliti rakaman kamera Litar Tertutup (CCTV) selain menahan salah seorang pengawal tersebut bagi membantu siasatan. — Bernama

Bapa Khairul Arif mengaku salah miliki bahan letupan



09/09/2010 4:40pm

KUALA TERENGGANU 9 Sept — Bapa kepada Khairul Arif Ayub, 6, kanak-kanak yang terbunuh dalam kejadian letupan mercun di sini baru-baru ini mengaku salah atas dakwaan memiliki bahan letupan terdiri dari mercun dan bunga api.
Ayub Abd Rahman, 29, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Mohd Erman Che Mat, di sini, hari ini.
Ayub, seorang buruh, didakwa memiliki mercun dan bunga api di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Seri Nilam, Kampung Makam Lama, Chabang Tiga, di sini, pada pukul 3 petang 22 Ogos lepas.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ketika merayu jaminan dikurangkan, Ayub berkata beliau memiliki wang yang banyak kerana hanya bekerja sebagai buruh dan kes letupan itu turut melibatkan anak tunggalnya. — Bernama

18 terkorban hari keenam Ops Sikap ke-22



09/09/2010 4:45pm

KUALA LUMPUR 9 Sept — Sebanyak 18 kematian dicatat pada hari keenam Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula Jumaat lepas meningkat kepada 95 orang setakat ini.
Laporan menerusi laman web Polis Diraja Malaysia mencatatkan mereka yang terkorban ialah tujuh masing-masing penunggang motosikal dan pengguna kereta, lori (2), dan masing-masing seorang penumpang bas dan pejalan kaki.
Selain itu sebanyak 1,336 kemalangan dilaporkan berlaku semalam dengan 177 di lebuh raya, 340 di jalan persekutuan, 222 di jalan negeri, 517 jalan bandaran dan 80 lagi di jalan-jalan lain.
Sebanyak 8,772 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya setakat ini.
Ops Sikap ke-22 sempena Hari Raya Aidilfitri ini akan berakhir pada 17 Sept. — Bernama

Jenayah kad kredit: Dua rakyat Malaysia dipenjara Vietnam



09/09/2010 4:49pm

KUALA LUMPUR 9 Sept — Sebuah mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman penjara kepada dua rakyat Malaysia kerana menggunakan kad kredit dan pasport palsu untuk mencuri wang.
Vietnam News Agency (VNA) melaporkan mahkamah umum di Ba Ria Vung Tau menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kepada Pan Buang Seng, 24, dan 24 bulan penjara kepada Tan Yong Soon, 30.
Kedua-dua mereka dibicarakan pada Isnin di daerah itu yang terletak di kawasan pantai di tengara negara tersebut. VNA melaporkan Pan dan Tan menerima kad kredit dan pasport palsu tersebut daripada seorang lagi rakyat Malaysia yang tinggal di Bandar Raya Ho Chi Minh selepas mereka memasuki Vietnam menerusi Lapangan Terbang Tan Son Nhat pada 24 Ogos lepas.
Mereka dilapor bersetuju menggunakan dokumen terbabit untuk penipuan pengeluaran wang dengan balasan 10 peratus daripada pengeluaran tersebut.
Sehari kemudian, pada 25 Ogos, kedua-dua mereka ke Vung Tau dan menggunakan kad kredit palsu untuk mengeluarkan US$10,275 daripada mesin ATM di hotel tempat mereka menginap dan menyerahkan US$8,000 kepada pemberi dokumen itu.
VNA melaporkan polis Ba Ria Vung Tau hanya mengambil masa sehari untuk mengesan dan menangkap kedua-dua mereka. — Bernama

Sibu berdepan kemungkinan banjir ketika raya



09/09/2010 5:00pm


SIBU 9 Sept — Bandar Sibu berdepan dengan kemungkinan dilanda banjir sekali lagi berikutan keadaan hujan lebat di hulu sungai kawasan Belaga dan Kapit sejak beberapa hari lepas.
Residen Sibu Sim Kok Kee berkata pihaknya kini memantau keadaan memandangkan kawasan tersebut juga mengalami air pasang tinggi yang akan berterusan sehingga Isnin ini.
"Kami sedang memantau paras air di Sungai Rajang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sim berkata buat masa ini paras air di sungai-sungai di Belaga, Kapit dan Julau berada di antara dua dan tiga meter di bawah paras amaran.
"Walaupun dianggap sederhana, kita masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana apabila ia mencapai paras melebihi tebing, kawasan rendah dan jalan akan dilanda banjir sekali gus merosakkan suasana perayaan,” katanya.
Tambahan pula katanya, ramalan cuaca menunjukkan kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak bermula esok selama enam hari.
"Kami akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan perkembangan terkini dan kita akan maklumkan kepada masyarakat daripada semasa ke semasa,” katanya.
Tiga minggu lepas bandar Sibu dilanda banjir selam empat hari ekoran hujan lebat dan air pasang tinggi, yang menyaksikan kira-kira 20 buah sekolah terpaksa ditutup kerana ditenggelami air. — Bernama Sibu berdepan kemungkinan banjir ketika raya

SIBU 9 Sept — Bandar Sibu berdepan dengan kemungkinan dilanda banjir sekali lagi berikutan keadaan hujan lebat di hulu sungai kawasan Belaga dan Kapit sejak beberapa hari lepas.
Residen Sibu Sim Kok Kee berkata pihaknya kini memantau keadaan memandangkan kawasan tersebut juga mengalami air pasang tinggi yang akan berterusan sehingga Isnin ini.
"Kami sedang memantau paras air di Sungai Rajang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sim berkata buat masa ini paras air di sungai-sungai di Belaga, Kapit dan Julau berada di antara dua dan tiga meter di bawah paras amaran.
"Walaupun dianggap sederhana, kita masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana apabila ia mencapai paras melebihi tebing, kawasan rendah dan jalan akan dilanda banjir sekali gus merosakkan suasana perayaan,” katanya.
Tambahan pula katanya, ramalan cuaca menunjukkan kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak bermula esok selama enam hari.
"Kami akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan perkembangan terkini dan kita akan maklumkan kepada masyarakat daripada semasa ke semasa,” katanya.
Tiga minggu lepas bandar Sibu dilanda banjir selam empat hari ekoran hujan lebat dan air pasang tinggi, yang menyaksikan kira-kira 20 buah sekolah terpaksa ditutup kerana ditenggelami air. — Bernama

Penolong pegawai tanah bebas tuduhan rasuah



09/09/2010 4:37pm

SUNGAI PETANI — Sambutan Hari Raya Aidilfitri esok lebih bermakna bagi Penolong Pegawai Tanah Mohamad Omar apabila dia dilepas dan dibebaskan hari ini dari dua tuduhan rasuah pada 2005.
Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani Zainol Saad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad, 50, yang kini bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi.
Keterangan saksi juga menunjukkan bahawa pengadu tidak yakin sama ada akan memperoleh geran selepas mendapatkan kerjasama daripada Mohamad untuk mengukur tanah, kata Zainol.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad ketika itu Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda didakwa memperolehi suapan berjumlah RM4,000 daripada K. Rajah di Lot 1100, Mukim Semeling, Sungai Petani pada 2.30 petang 23 Oktober 2005.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memperoleh wang suapan dalam jumlah yang sama daripada K. Rajah di lokasi sama pada pukul 2.30 petang, antara 24 Okt hingga 30 Okt 2005.
Mohamad didakwa meminta suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan kerja-kerja pengukuran tanah dan memproses permohonan bagi mendapatkan geran tanah lot terbabit. — Bernama

Perompak cedarakan dua peniaga di Ipoh



09/09/2010 4:47pm

IPOH — Dua peniaga pasar borong cedera di kepala selepas dihentak dengan senjata dipercayai pistol oleh sekumpulan lelaki yang merompak mereka di pasar borong Menglembu di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian berlaku pada pukul 8 malam ketika lima peniaga pasar borong di Menglembu sedang makan dan minum apabila dihampiri empat perompak, dua daripadanya bersenjatakan pistol manakala dua lagi parang.
Seorang daripada perompak itu melepaskan satu das tembakan ke udara menyebabkan tiga peniaga terbabit melarikan diri, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ibrahim berkata, dua peniaga terbabit yang tidak sempat melarikan diri telah dicederakan oleh suspek dengan menghentakkan senjata itu di kepala mereka.
Empat perompak kemudian melarikan beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM3,000 serta sebuah beg lagi yang juga mengandung wanga tunai tetapi tidak diketahui jumlahnya, katanya.
Katanya, keempat-empat perompak kemudian melarikan diri dengan mengunakan sebuah kereta jenis Nisan.
Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. — Bernama

18 rumah kedai musnah dalam kebakaran di Langkawi



09/09/2010 4:59pm

LANGKAWI 9 Sept — Jeritan rakan-rakan dari kedai bersebelahan telah menyelamatkan seorang pemilik bengkel motosikal yang sedang nyenyak tidur, dalam satu kebakaran yang memusnahkan 18 buah rumah kedai termasuk bengkelnya di Kelibang, Kuah di sini awal hari ini.
Chen Kean Lam, 42, berkata beliau terus bingkas bangun dan menyelamatkan diri apabila mendengar jeritan rakan-rakannya itu.
"Walaupun saya sedih semua barang dalam kedai tidak dapat diselamatkan tetapi jeritan kawan-kawan telah menyelamatkan saya,” katanya kepada Bernama di sini.
Sementara itu, Ketua bomba Zon Langkawi, Yaakob Hassan berkata, pihaknya mengambil masa dua jam mengawal kebakaran berikutan pili bomba yang tidak berfungsi dan terdapat bahan binaan termasuk cat yang sukar dipadamkan.
Sebaik tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 1.54 pagi, api sedang marak menjilat rumah kedai itu yang merupakan bangunan lama separuh papan yang antaranya termasuk dua rumah kediaman, kedai buku, bengkel motor dan kedai menjual bahan-bahan binaan.
Katanya empat jentera termasuk dua dari balai bomba Jalan Persiaran Putra dan Jalan Air Hangat dengan 42 anggota diketuai beliau sendiri dapat dapat menyelamatkan 15 rumah dan dua kedai di kawasan berdekatan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya ketika dihubungi. — Bernama

AS tak dapat halang gereja bakar Quran





2010/09/09


CARDINAL Theodore McCarrick (tengah) dan presiden Persatuan Islam Amerika Utara Dr Ingrid Mattson (kanan) serta beberapa pemimpin agama lain mengutuk meningkatnya sikap tidak tolerans terhadap Islam di sidang akhbar di Washington, semalam.
CARDINAL Theodore McCarrick (tengah) dan presiden Persatuan Islam Amerika Utara Dr Ingrid Mattson (kanan) serta beberapa pemimpin agama lain mengutuk meningkatnya sikap tidak tolerans terhadap Islam di sidang akhbar di Washington, semalam.



Tindakan boleh timbul kemarahan global
 

GAINESVILLE: Amerika Syarikat mendakwa tidak mempunyai kuasa menghalang sebuah gereja di Florida daripada membakar beratus-ratus al-Quran sempena ulang tahun 11 September walaupun bimbang ia boleh mencetuskan kemarahan masyarakat Muslim seluruh dunia.
Rumah Putih berkata ia berkongsi kebimbangan pemimpin tentera bahawa langkah oleh sebuah kumpulan pelampau Amerika Syarikat itu boleh mencetuskan kemarahan dari seluruh dunia Islam dan membahayakan nyawa tentera Amerika Syarikat.
“Ia meletakkan tentera kita dalam bahaya. Jelas sekali sebarang aktiviti serupa yang akan membahayakan tentera kita menjadi kebimbangan pentadbiran,” kata jurucakap Rumah Putih, Robert Gibbs. 

Beliau mengulangi kenyataan oleh komander NATO dan pegawai tertinggi Amerika Syarikat di Afghanistan, Jeneral David Petraeus yang memberi amaran bahawa membakar kitab suci Islam itu akan membantu propaganda pemberontak di negara bergolak itu. 

“Ia akan membahayakan tentera dan boleh membahayakan usaha kita secara keseluruhan,” kata Petraeus kepada akhbar The Wall Street Journal dalam komen yang disokong oleh ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen. 

Diplomat tertinggi Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengutuk rancangan gereja itu yang disifatkan beliau sebagai perbuatan yang tidak menghormati dan memalukan. 
Namun sebilangan kecil gereja Florida berikrar untuk menandakan ulang tahun kesembilan 11 September Sabtu ini dengan membakar al-Quran sebagai cara memperingati hampir 3,000 yang terbunuh akibat serangan al-Qaeda. 

Walaupun pihak bomba menolak permohonan beberapa minggu lalu daripada seorang paderi, Terry Jones bagi mengadakan majlis pembakaran secara terbuka, polis tidak boleh campur tangan sehingga mereka betul-betul membakar Quran terbabit. 

Malah penangkapan juga tidak boleh dibuat kerana ia bertentangan dengan ordinan tempatan di mana kes seperti itu hanya akan dikeluarkan denda dan amaran. 

Jones berkata membakar al-Quran bertujuan memperingati mereka yang dibunuh dengan kejam pada 11 September dan untuk memberi amaran kepada kumpulan radikal Islam. 

Langkah berkenaan menyusul tercetusnya sentimen Islamofobia berikutan rancangan membina sebuah pusat kebudayaan Islam di New York yang berhampiran dengan Ground Zero, tapak di mana pernah menyaksikan berdirinya Pusat Dagangan Dunia sebelum ia musnah dalam serangan 2001 berkenaan. – AFP

Saya akan teman Zaini




JOHOR BAHRU - Suasana pilu dan sedih menyelubungi wad kebakaran Hospital Sultan Ismail di sini, sebaik waktu melawat dibuka.

Ahli keluarga, jiran dan kenalan rapat Kapten Zaini Ramli, 38, dilihat mengunjungi wad berkenaan untuk memberi kata-kata semangat kepada beliau yang melecur 70 peratus di badan setelah terlibat dalam tragedi pesawat ringan jenis Liberty 9MHKI terhempas di kawasan Ladang Sri Pulai, kelmarin.

Bapa kepada Zaini, Ramli Saad berkata, sepatutnya anak beliau pulang ke Jitra, Kedah hari ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
“Sepatutnya Zaini pulang ke Jitra pada hari ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di sini,” katanya.

Menurutnya, anaknya tidak menghubu ngi untuk pulang tetapi seperti kebiasaan Zaini akan pulang seminggu sekali untuk bersama keluarga.

“Zaini akan pulang ke kampung untuk bersama keluarga pada setiap minggu dan beliau tidak menghubungi saya untuk balik, mungkin beliau menganggap saya sudah tahu yang dia akan pulang,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli berkata, beliau menerima panggilan daripada Jabatan Penerba ngan Awam kira-kira jam 10 pagi yang memberitahu bahawa pesawat yang dinaiki anaknya terhempas di Kulaijaya.

“Sebaik dimaklumkan hal itu, saya agak terkejut menerima panggilan tersebut, pihak JPA ingin mengambil kami sekeluarga di rumah tetapi cuaca tidak mengizinkan, kami menaiki van untuk ke Johor Bahru,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Ramli berkata, beliau sekeluarga akan beraya di hospital untuk menemani Zaini.

“Buat sementara ini, kami sekeluarga tinggal di hotel yang agak jauh, hari raya ini saya akan berada di hospital untuk menemani Zaini. 
Memang sangat sedih dengan apa yang berlaku tetapi saya redha dengan kejadian menimpa beliau,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail.

Semasa kejadian, Kapten Zaini Ramli, 38, daripada Jabatan Penerbangan Awam (JPA) yang bertugas sebagai penguji dilaporkan melecur separuh badan. 

Dia yang parah dikejarkan ke Hospital Kulaijaya sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.

Beraya tanpa rumah




LENGGONG – Dua kebakaran dilaporkan berlaku di sini kelmarin, membabitkan dua rumah di daerah kecil Lenggong, pada waktu hampir berbuka puasa.

Dalam satu kejadian di Batu 62, Kampung Raja, dekat sini, sebuah rumah Projek Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) rentung dalam kebakaran 6.30 petang kelmarin.

Rafeah Ghani, 55, berkata, kejadian berlaku sewaktu dia sedang menyediakan juadah berbuka puasa.

Kata Rafeah yang juga ibu tunggal, kejadian mungkin berpunca dari kebocoran getah saluran gas memasak kerana dia terlihat percikan api keluar.

“Pancutan api itu kemudiannya menyambar rak perkakas dapur dan peti sejuk sebelum menyambar mesin penapis air serta singki, kemudian menyambar dinding dapur dan seluruh rumah.

“Saya terus berlari keluar dan menjerit meminta tolong, malangnya tidak ada yang datang menolong kerana takut,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Rafeah berkata, dia kemudiannya masuk kembali ke rumah walaupun ditegah seorang jiran, dan sempat menyambar selonggok pakaian berhampiran pintu masuk.

Menurutnya, dia berseorangan pada waktu kejadian kerana anak anak bongsunya, Ruzaimi Mat Isa, 18, berada di kedai makan bapa saudaranya.

“Saya tidak pasti siapa yang memanggil Pasukan Bomba dan Penyelamat Lenggong, yang pasti mereka datang sekitar jam 7.20 petang iaitu hampir waktu berbuka puasa.

“Semasa mereka tiba, rumah saya telah pun hangus. Duit simpanan Ruzaimi sebanyak RM250 hasil bekerja sambilan di kedai makan juga musnah,” katanya.

Rafeah berkata, anggaran kerugian sebanyak RM80,000 termasuk peralatan elektrik yang baru dibeli.

Rafeah menduduki rumah PPRT itu sejak sembilan tahun selepas bercerai dan kini bekerja sebagai tukang sapu di Mahkamah Majistret Lenggong dengan pendapatan RM400 sebulan.

“Kami dan dua anak saya yang baru pulang semalam terpaksa menumpang di rumah bapa saudara, Mohamad Chik dan mungkin tinggal di situ sementara waktu.

“Selepas kejadian ini, saya merasa takut untuk menggunakan dapur gas lagi. Melihat keadaan rumah, terasa sayu serta sebak,” katanya.

Sementara itu dalam satu kejadian lain di Kampung Bor, Banggol Belimbing, sebuah rumah hangus bahagian depan pada jam 5 petang.
Kejadian dikatakan berpunca daripada anak bongsu keluarga itu yang berusia lima tahun bermain bermain api.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasara melawat kedua-dua mangsa dan menyampaikan sumbangan serta menguruskan bantuan terutama Rafeah yang tiada tempat tinggal.

Ceroboh kubur lama



BAHAU - Lebih 700 kubur di tanah perkuburan India di Ladang Gaddes di sini, dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.

Berikutan kejadian itu, penduduk telah membuat laporan polis kerana menimbulkan kemarahan mereka.

Penduduk, K Ponisan berkata, dia menyedari kejadian itu jam 11 pagi apabila melalui kawasan terbabit dan terkejut melihat tanah perkuburan telah diratakan.

“Malah bukan itu sahaja, semua batu tanda perkuburan juga telah dilonggokkan di satu tempat.

“Kubur lama berusia lebih 100 hingga 130 tahun ini tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dicerobohi. Siapa yang tidak marah jika ia membabitkan tanah perkuburan nenek moyang kita bersemadi,” katanya.

Menurutnya, negara ini mempunyai peraturan dan undang-undang, justeru jika mahu melakukan sesuatu harus dibuat menggunakan saluran yang betul.

Sinar Harian difahamkan, kawasan berkenaan ditanam dengan pokok limau, sementara kubur lama pula telah ditolak dan dibersihkan.

"Keadaan ini menyebabkan penduduk sukar mengenal pasti tapak asal perkuburan, malah tidak dapat melakukan upacara sembahyang ketika perayaan Deepavali.

“Ini isu yang sangat sensitif dan saya sangat kecewa dengan tinda kan dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Saya serahkan semuanya kepada polis dan diharap menjadi pe ngajaran bagi pihak lain kerana tanah perkuburan ini adalah satu-satunya tanah perkuburan India untuk kawasan di sini,” katanya.

Kontena seludup ketamin dirampas



NILAI - Strategi membawa masuk dadah ke negara ini ketika pegawai dan anggota keselamatan bercuti serta sibuk dengan persiapan Aidilfitri tidak berjaya apabila sebuah kontena berisi dadah ketamin dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di Pelabuhan Klang, Selangor. 

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Ismail Ibrahim berkata, cubaan seludup dadah antarabangsa melalui kontena di Pelabuhan Klang berjaya dikesan Cawangan Narkotik KDRM, Isnin lalu. 

“Sebanyak 50 paket dadah jenis ketamin seberat 51.2 kilogram, bernilai RM565,530 ditemui dalam sebuah kotak yang disembunyikan dalam bungkusan berisi pakaian tradisional India. 

“Terdapat 285 bungkusan pakaian tradisional India bersama empat bungkusan mesin pengisar ditemui dalam kontena bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Narkotik Nilai, dekat sini, semalam. 

Menurutnya, kontena terbabit dipercayai dari Cheenai, India dan beralamatkan kepada pengimport tempatan. 

“Setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam sindiket dadah antarabangsa ini,” katanya. 

Ismail berkata, setakat ini, pihaknya berjaya menumpaskan 49 kes penyeludupan dadah di negara ini dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM34.2 juta. 

“Daripada jumlah semua kes terbabit, seramai 38 individu dengan 35 daripadanya adalah warga asing, sementara selebihnya warga tempatan diberkas. 

"Justeru, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan dadah dan narkotik kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam menerusi talian bebas tol 1-800-88-8855 ataupun melaporkannya kepada pejabat penguatkuasaan yang terdekat," katanya.

Puluhan ribu terjejas



VILLAHERMOSA - Puluhan ribu penduduk di bahagian selatan Mexico terpaksa diarah berpindah berikutan banjir besar disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak beberapa minggu lalu. 

Situasi menjadi lebih buruk apabila pihak berkuasa terpaksa melepaskan 2,000 meter padu air sesaat dari empat empangan yang mula melimpah kerana terlalu penuh. 

Kawasan yang paling buruk terjejas adalah Tabasco, Veracruz, Chiapas dan Oaxaca tetapi masih ada penduduk yang berkeras tidak mahu meninggalkan rumah mereka. 

Hujan lebat dijangka berterusan sehingga November nanti.

Raya kaki judi



PETALING JAYA – Bagi menarik pelanggan, sebuah pusat judi yang berselindung di sebalik sebuah hotel bajet dikesan menawarkan cabutan bertuah sempena hari raya. 

Kegiatan menawarkan hadiah wang tunai dari RM2,000 hingga RM5,000 serta pelbagai hadiah lumayan lain termasuk televisyen skrin leper LCD, dan telefon canggih merupakan taktik terbaru pengusaha pusat haram ini. 

Mendedahkan perkara itu, Penga rah Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Fauzi Maarop berkata, setiap pelanggan akan diberikan nombor yang akan dicabut mengi kut jumlah pertaruhan pemain. 

"Ini salah satu cara pengusaha untuk menambah keseronokan bermain di samping menggelapkan duit pengunjung tanpa disedari,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, hadiah lain ditawarkan termasuklah hamper dan hadiah lumayan yang lain. 

Dalam serbuan itu sebanyak 46 set komputer dirampas.

Menurut Fauzi tindakan Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MBPJ 2007 yang boleh didenda maksimun RM1,000 hingga RM2,000 jika sabit kesalahan. 

"Kita terus mengadakan operasi membanteras pusat judi haram ini dari masa ke semasa,’ katanya.

Maut selepas bantu mangsa nahas



RAUB – Tanpa diduga, tindakan penduduk Kampung Felda Lembah Klau menggali lahad untuk mengebumikan seorang warga Indonesia kira-kira dua minggu lalu diganti dengan jenazah seorang remaja maut akibat kemalangan petang kelmarin.

Allahyarham Azizul Abdullah, 17, yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga dikebumikan dalam liang lahad yang disediakan sejak dua minggu lalu buat seorang warga Indonesia tetapi tidak terlaksana kerana keluarganya menuntut untuk dikebumikan di Johor.

Ibu Allahyarham, Rosnah Zakaria, 40-an, berkata, sebelum ini penduduk bercakap sesama sendiri tentang lahad yang digali sejak dua minggu lalu dibiarkan terbuka seolah-olah menanti penghuni baru sebagai ganti.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka Allahyarham Azizul yang menyahut panggilan Ilahi menjadi penghuni liang lahad itu sekali gus mematikan persoalan penduduk setempat.

“Arwah seorang anak yang baik dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada keluarga, malah ia turut disenangi rakan sebaya dan semua lapisan masyarakat.

“Kurang sejam dari waktu kejadian, arwah sempat menyelamatkan dua remaja yang terlibat kemalangan apabila motosikal ditunggang terbabas lalu terjunam ke dalam longkang besar di kiri jalan,” katanya ketika ditemui di sini.

Rosnah berkata, Azizul sendiri menghulurkan bantuan mengangkat motosikal dari dalam longkang dan membawa mangsa ke dalam ambulan untuk dihantar ke hospital.

Menurutnya, lebih kurang jam 6 petang Azizul dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi menemui ajal apabila motosikal yang ditunggangnya pula terbabas lalu melanggar batu hias di tepi jalan dekat gerbang masuk ke Kampung Felda Lembah Klau.

“Tengah hari semalam (kelmarin), arwah sempat bersama adik-adiknya membantu saya membuat kuih raya.

“Semua yang berlaku sudah tersurat, saya reda dengan pemergian Allahyarham dan kini hanya tinggal dua anak perempuan yang masih kecil,” kata Rosnah.

Padah simpan minyak tanpa lesen



MARANG – Sebanyak 33,000 liter minyak petrol dan diesel telah disita Pejabat Perdaga-ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu di sebuah stesen minyak di Wakaf Tapai, di sini, semalam, kerana didapati menyimpan bekalan tanpa lesen.

Bertindak daripada maklumat orang ramai, anggota PPDNKK Terengganu diketuai Pemangku Pengarahnya, Abdul Ghani Harun melakukan serbuan di stesen minyak tersebut sebelum menyita petrol dan diesel yang bernilai RM63,650.

Minyak yang disita itu membabitkan 14,000 liter petrol RON95 bernilai RM25,900 dan 12,000 liter petrol RON97 bernilai RM25,200 serta 7,000 liter minyak diesel bernilai RM12,250.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya memandang serius perkara itu apatah lagi permintaan terhadap bahan bakar tersebut meningkat menjelang hari raya Aidilfiti.

“Mengikut siasatan awal, penyimpanan minyak itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan pengusaha stesen minyak terbabit masih belum mendapat lesen daripada pihak kami untuk dijual kepada orang ramai.

“Walaupun masih belum beroperasi, tindakan menyimpan minyak dalam kuantiti yang banyak dan masih belum mendapat lesen daripada pihak KPDNKK merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita.

Pengusaha stesen minyak itu kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan kesalahan. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama. 

Bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Pihak pembekalnya pula kini disia-sat di bawah Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana membekal barang berjadual kepada seseorang yang tidak memiliki kuasa. 

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM250,000 akan dikenakan bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Menurut Abdul Ghani, pengusaha stesen minyak itu telah memohon lesen dengan pihaknya tetapi masih belum diluluskan kerana syarat mesti belum dipenuhi.

Sementara itu, pengusaha stesen minyak berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Shamsul Hanafiah berkata, pihaknya memasukkan minyak kedalam tangki di stesen minyak itu adalah bagi tujuan ujian pam sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Sebenarnya sebelum beroperasi, kita kena keluarkan air dari dalam tangki bagi tujuan pengosongan dan minyak yang dimasukkan hanyalah sebagai ujian pam sebelum kita beroperasi sepenuhnya. Kita mula memasukkan minyak kedalam tangki pada 4 September lalu.

“Bagaimanapun saya akur dengan pihak KPDNKK dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana kita memang tiada niat untuk jualan lagi, sebaliknya hanya untuk ujian. Pihak pembekal kami mempunyai syarat yang ketat dan tidak akan membenarkan jualan sekiranya kita tidak memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, sehingga kini pihaknya telah mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan, termasuk daripada bomba, hanya menunggu keputusan daripada IWK bagi mendapatkan kelulusan CF sebagai syarat dalam mendapatkan lesen daripada KPDNKK.

Persiapan raya musnah



MACHANG – Segala persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tinggal sehari dua lagi oleh sebuah keluarga di Kampung Sungai Hala, dekat sini berkecai apabila rumah yang mereka diami, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, segala dokumen penting dan harta benda milik keluarga tersebut musnah.

Lebih menyedihkan apabila pemiliknya kini berada di Tanah Suci Makkah dan dijangka tiba di tanah air pada hari raya ketiga nanti.

Salah seorang anak mangsa, Norasyikin Abdul Kadir, 23 berkata, ketika kejadian dia dan keluarga yang lain sedang tidur.

“Saya tersedar apabila ada orang meminta tolong dan melihat api sedang marak di bahagian dapur. Keadaan agak kelam kabut dan kami mengambil keputusan terjun melalui jendela memandangkan terpaksa melalui ruang dapur jika mahu ke pintu utama.

“Ketika itu saya bersama suami dan anak yang berusia dua tahun. Biasanya kami berenam bersama adik beradik saya yang lain cuma ketika kejadian hanya empat yang ada di rumah. Dalam keadaan kelam kabut tersebut juga kami berusaha menyelamatkan salah seorang adik saya, Shahril yang dikatakan berada di dalam bilik namun sebenarnya telah keluar menghantar sepupu kami pulang ke rumahnya,’’ katanya.

Norasyikin berkata tiada harta benda yang dapat diselamatkan dalam kejadian tersebut kecuali barangan yang berada di bilik kedua orang tuanya yang sempat diselamatkan bomba.

Katanya, kejadian itu begitu mengejutkan, terutama pada saat akhir menyambut kedatangan 1 Syawal.

“Syukurlah kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kami juga tertanya-tanya punca kejadian kerana kami tidak memasak atau menggunakan sebarang peralatan elektrik ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.37 pagi dan kerugian dianggarkan RM200,000. Punca kebakaran sedang disiasat.

Dendam' guna MMS

PUTRAJAYA: Pengguna jalan raya tidak perlu ‘panas hati’, sebaliknya dicadangkan merakam gambar pemandu yang tidak berhemah termasuk menggunakan lorong kecemasan atau memotong barisan bagi memastikan mereka dikenakan tindakan sewajarnya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, kesesakan jalan raya sepanjang cuti Aidilfitiri mungkin menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengguna jalan raya.
“Sebenarnya, tidak ada guna memarahi atau mengejar kereta terbabit dan bertekak di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan yang boleh menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya lain.

“Pemandu berhemah boleh ‘membalas dendam’ terhadap pencemar undang-undang di jalan raya itu dengan merakam gambar kesalahan dilakukan mereka dan e-mel atau hantarkan kepada JPJ bagi membolehkan tindakan dikenakan,” katanya, semalam.

Bagi menyakinkan penghantar aduan bergambar, Solah mengakui bukti yang dihantar pengguna terbabit memang membantu JPJ mengambil tindakan terhadap pencemar undang-undang jalan raya yang tidak menyangka bukti jelas itu diperoleh JPJ.

Menurutnya, kebanyakan pesalah terbabit terkejut apabila dipanggil ke pejabat JPJ dan terpaksa mengakui kesalahan dilakukan selepas soal siasat sebelum bukti bergambar ditunjukkan kepada mereka.

“Sehubungan itu, saya meminta pengguna jalan raya melakukan khidmat mulia itu bagi membantu JPJ menangani sikap tidak bijak pengguna jalan raya yang gemar mencabar undang-undang jalan raya untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Selain kerjasama pengguna jalan raya, Solah berkata, bagi mencekup pencemar terbabit, JPJ juga menggerakkan anggota pemantau bagi menahan pemandu yang tidak berhemah.

Menurutnya, pemantau berkenaan akan bergerak di jalan raya atau lebuh raya bagi mengenal pasti sasaran sebelum memaklumkan anggota lain yang akan menanti di depan bagi menahan pemandu terbabit.

Banjir air mata: Dadu, Tattha derita bantuan tak sampai

HAIRAN bin ajaib....kemanakah hilangnya pelbagai bantuan yang sudah di hantar ke negara ini? Itulah persoalan bermain di fikiranku mengenai kehilangan ribuan tan bahan makanan, ubat-ubatan yang dihantar pelbagai negara seluruh dunia antaranya China, Iran dan Amerika Syarikat yang dianggarkan mencecah RM10 bilion.
Ini kerana, banyak daerah seperti Dadu dan Tattha iaitu kawasan penempatan yang cukup teruk terjejas akibat bencana banjir dilaporkan masih belum menerima sebarang bentuk bantuan walaupun hakikatnya barang yang tiba lebih dari mencukupi membantu mangsa banjir untuk jangka pendek.
Adakah sistem pengagihan yang berat sebelah atau kealpaan pihak kerajaan tempatan negara ini sendiri sehinggakan nasib ratusan ribu mangsa banjir bagi dua daerah ini terabai.

Mungkinkah kerana kawasan terbabit agak jauh memakan masa hampir lima jam perjalanan dari pusat bandar menyebabkan pihak kerajaan seperti lepas tangan kepada mereka yang menderita ketiadaan prasarana.

Bagiku, sekiranya situasi ini masih berterusan, lebih baik penduduk yang ‘merempat’ di dua kawasan penempatan banjir iaitu Dadu dan Tattha mati daripada meneruskan hidup dalam kesengsaraan.

Itulah satu perkara membelenggu benakku malah kadang kala hatiku ingin mengatakan sememangnya suatu yang tidak betul berlaku di sini namun adakah suara kecilku ini akan didengari ataupun sekadar mencurahkan air di daun keladi.

Namun, semua itu bukanlah persoalannya, yang penting dalam kegentingan ini sebaliknya siapakah yang bakal menjadi wira sebenar membetulkan situasi tenat yang sedang berlaku.

Mana tidaknya, beberapa kem penempatan banjir dilawati Kelab Putera 1Malaysia menunjukkan situasi sememangnya cukup tenat.

Ada beberapa penempatan terutama berhampiran bandar mempunyai lambakan bahan makanan dan perubatan manakala di lokasi lain pula penduduk cukup terseksa untuk mendapat walaupun hanya sekilogram tepung atta yang menjadi makanan ruji masyarakat negara ini.

Perkara ini menyebabkan mereka sanggup menyerbu mana-mana lori atau kenderaan dilihat membawa bahan makanan malah bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkannya.

Mungkin segelintir individu, ia perbuatan tidak bermoral namun selepas merasai penderitaan mereka selama beberapa hari di sini, untuk mendapatkan sesuap makanan manusia boleh bertukar menjadi haiwan.
Mana tidaknya, ada yang berparang dan ada yang bergelut sesama sendiri.

Apa menghairankan ketika sukarelawan melakukan lawatan di sebuah pusat pengumpulan barangan di Sindh, terlalu banyak barangan yang masih belum diagihkan kepada mangsa banjir. - Mohd Firdaus Ibrahim

Nino bakal hilang gelaran lelaki paling kerdil

BOGOTA: Warga Colombia, Edward Nino baru saja diiktiraf sebagai orang paling kerdil dalam buku rekod Guinness pada minggu ini.
Bagaimanapun, seorang remaja dari Nepal dikatakan bakal merampas gelaran itu daripada Nino.
Nino, 24, yang mempunyai ketinggian 70.21 sentimeter (27 inci) tinggal bersama ibunya di selatan Bogota. Nino menyimpan pelbagai impian yang mahu dikecapinya dalam hidup. Dia mengimpikan untuk melancong ke Jepun, China, Amerika Syarikat, India dan Sepanyol. Nino juga berhasrat untuk menjadi seorang pelakon suatu hari nanti. Presiden Juan Manuel Santos dikhabarkan mengundang Nino ke istana presiden hari ini untuk bertemu dengannya. Pertemuan itu dijangka dapat menjulang nama Nino menjadi masyhur walaupun perjumpaan hanya memakan masa 15 minit.

Gelaran disandang Nino mungkin dirampas Khagendra Thapa Magar dari Nepal yang akan mencecah usia 18 tahun bulan hadapan. Magar yang berketinggian 56 sentimeter (22 inci) lebih kecil 14 sentimeter (5 inci) daripada Nino. - AFP

'Dedahkan hasil siasatan Panel Khas'

PUTRAJAYA: “Saya berharap kes adik saya mendapat pembelaan sepatutnya sebab kami tahu dia bukan di pihak yang salah. Biar kes ini dihakimi seadil-adilnya,” kata Nor Azura Hamzah, 40, kakak kepada Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis di Shah Alam, 26 April lalu.
Katanya, keluarga juga inginkan penjelasan lanjut berhubung siasatan Panel Khas berikutan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang mengetuai panel itu menyatakan siasatan polis dilakukan dengan telus, adil, tanpa wujud unsur menyembunyikan fakta.
“Berdasarkan laporan akhbar minggu lalu, panel menyatakan tiada apa yang ingin dirahsiakan. “Jika betul tiada rahsia kenapa tidak beritahu kami, memang kami nak tahu, tapi setakat ini tak ada apa yang kami perolehi.

“Saya juga mahu hasil siasatan dihebahkan supaya kita sebagai masyarakat tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di lobi Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Sebastian Onn.

Tujuan utama penyerahan memorandum itu bagi meminta Hishammuddin mengambil tindakan lebih tegas terhadap polis yang menyebabkan kematian dan kemalangan kepada beberapa keluarga sejak tahun lalu akibat kecuaian pihak polis ketika menjalankan tugas.

Kira-kira 30 individu termasuk wakil badan bukan kerajaan Lawyers For Liberty dan keluarga mangsa hadir.

336 saman ke atas pemandu

BANTING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sehingga semalam sudah merekodkan 336 saman ke atas pemandu yang dikesan melakukan kesalahan dalam operasi yang dilakukan penguat kuasa itu di sekitar negeri ini sempena menyambut Aidilfitri.
Pengarah JPJ Selangor, Yusoff Ayob, berkata sebanyak 269 kemalangan yang mengorbankan 41 nyawa dikenal pasti berlaku di enam lokasi berisiko tinggi di kawasan berkenaan pada tahun lalu.
“Jalan terbabit ialah Jalan Kilometer (KM) 415-452 Lebuhraya Tanjung Malim-Shah Alam; KM1-4 Lebuhraya Elite; KM 12-KM 45 Jalan Klang-Banting; KM 16-24 dan KM 70-77 Jalan Kuala Kubu, Rawang; KM 24-69 Jalan Kuala Selangor Sabak Bernam dan KM 1.9-2.7 Jalan Banting-Salak Tinggi.

“Semua kesalahan pemandu itu dicatatkan oleh 93 penguat kuasa kami yang bertugas dalam Skuad Operasi Penyamaran,” katanya selepas melakukan tinjauan di Jalan Klang-Banting, di sini, semalam.

Yusoff berkata, pegawai penguat kuasanya akan menyamar sebagai orang awam dan memantau di tepi jalan sambil mengambil gambar dan mencatatkan kesalahan pemandu kenderaan.

“Gambar ini akan dijadikan barang kes dan kami akan mengeluarkan notis 114 temu siasat kepada pemandu jika mereka didapati bersalah selepas siasatan terperinci dilakukan.

“Mereka wajib datang ke pejabat JPJ sekiranya sudah menerima notis berkenaan dan bagi yang bersalah akan dikenakan kompaun RM300 dengan mata kejara 10,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh pemandu adalah memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu secara berbahaya (menggunakan telefon bimbit) dan memotong barisan.

Sementara itu, melalui sistem rondaan 24 jam yang dilakukan JPJ, anggota penguat kuasa akan meronda di kawasan tertentu untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak melanggar peraturan jalan raya.

Upah RM6,200

SEPANG: Gelap duit selepas dijanjikan habuan RM6,200 menyebabkan dua wanita warga Uzbekistan sanggup diupah menjadi ‘keldai’ dadah bagi menyeludup masuk syabu bernilai kira-kira RM3.35 juta ke negara ini, kelmarin.
Suspek masing-masing berusia 51 dan 55 tahun berkenaan didakwa menyamar sebagai pelancong bagi memudahkan mereka menyeludup masuk dadah seberat 13.4 kilogram itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun (gambar) berkata, suspek bagaimanapun berjaya diberkas sebaik tiba di negara ini bersama seorang lagi lelaki warga Uzbekistan berusia 36 tahun.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, polis menjumpai serbuk putih disyaki dadah syabu yang disembunyikan di ruangan rahsia dalam beg dibawa mereka.

“Dadah berkenaan ditemui di dalam ketiga-tiga beg dibawa mereka,” katanya.

Katanya, mereka yang baru pertama kali datang ke negara ini dipercayai tiba di KLIA pada jam 9 pagi kelmarin dari Timur Tengah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua dadah berkenaan adalah bagi pasaran tempatan.

Beliau berkata, tiga suspek terbabit juga direkrut sindiket dadah Iran yang menukar modus operandi mereka agar gagal dikesan pihak berkuasa.

1,322 saman dikeluar

PERMAISURI: Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) sudah mengeluarkan 1,322 saman kerana pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang Ops Sikap ke-22 sehingga semalam sejak dilancarkan 4 September lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, purata saman dikeluarkan sehari sebanyak 260 membabitkan pelbagai kesalahan dan dalam tempoh itu, empat pemandu bas awam didapati positif dadah ketika pemeriksaan yang dijalankan di dua stesen bas di Johor dan masing-masing satu di Kota Bharu dan Alor Setar.
Katanya, antara kesalahan yang banyak dilakukan adalah tiada lesen memandu sah dan cukai jalan tamat tempoh.

Katanya, setakat semalam, hanya tujuh aduan bergambar diterima pihaknya menerusi emel dan MMS sekali gus menunjukkan pengurangan dan kurang sambutan berbanding lebih 26,000 rakaman bergambar diterima tahun lalu.

“Bantuan serta kerjasama orang awam diperlukan bagi membantu JPJ merakam dan melaporkan kesalahan lalu lintas.

“Bagi musim perayaan ini, JPJ tidak akan mengadakan sekatan jalan raya, sebaliknya menggunakan pendekatan lebih berkesan melalui aduan orang awam menggunakan MMS atau emel,” katanya.

Umpan telekung sebelum cabul

AMPANG: Gelaran dajal layak diberikan buat seorang lelaki apabila sanggup mengumpan membelikan baju dan kain telekung untuk seorang kanak-kanak sebelum membawa mangsa ke sebuah hotel untuk dicabul, Sabtu lalu.
Lebih menjijikkan apabila lelaki itu yang juga penjaga surau sanggup mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang hanya berusia sembilan tahun itu.
Difahamkan, kejadian hanya disedari ibu mangsa beberapa hari kemudian apabila kanak-kanak berkenaan mengadu sakit di bahagian kemaluan sebelum menceritakan apa yang berlaku.

Mangsa pada mulanya dikatakan berkunjung ke surau itu untuk berbuka puasa bersama jemaah dan ahli surau lain, namun kemudian dibawa seorang penjaga surau menaiki motosikal kira-kira jam 8 malam.

Menurut sumber polis, penjaga surau berusia lingkungan 50-an itu bijak memujuk mangsa dengan memberitahu yang dia mahu membawa kanak-kanak itu ke sebuah pasar raya.

“Lelaki itu kemudian membawa mangsa ke pasar raya seperti dijanjikan dan ini cuba mengumpan pula kanak-kanak itu dengan membelikannya baju, kain telekung serta ayam goreng. “Bagaimanapun, selepas membeli semua barang berkenaan, lelaki itu tidak menghantar mangsa ke surau atau pulang, sebaliknya melencong dan membawanya ke sebuah hotel murah,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang langsung tidak mengerti apa-apa dan tidak mengetahui niat buruk lelaki berkenaan yang sebaya dengan bapanya hanya mengikut segala apa yang disuruh.

Katanya, sejurus tiba di hotel itu, kanak-kanak itu diarahkan berbogel sebelum lelaki itu juga menanggalkan bajunya dan membawa mangsa ke bilik air.

“Mangsa kemudian bersama lelaki itu mandi dalam keadaan berbogel dan ketika itu kanak-kanak terbabit mendakwa lelaki berkenaan cuba memegang kemaluannya.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu enggan menceritakan lanjut perbuatan lelaki berkenaan kepada ibunya dan dia hanya mendakwa mengalami kesakitan di kemaluan.

“Polis masih menunggu laporan daripada hospital untuk memastikan sama ada mangsa turut dirogol,” katanya.mkan, lelaki itu melarikan diri sejurus mengetahui ibu mangsa membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa.

“Polis juga sedang mengesan seorang lelaki yang juga penjaga surau berusia lingkungan 50-an itu bagi membantu siasatan,” katanya. Difahamkan, lelaki itu melarikan diri sejurus mengetahui ibu mangsa membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa.

Dirobek 3 peluru

BUTTERWORTH: Seorang lelaki berusia 50-an yang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya cedera parah ditembak dari jarak dekat di hadapan Wisma Telaga Air, di sini, kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa diekori motosikal lain sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa yang merupakan penganggur. Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata suspek yang melepaskan tiga tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat itu melarikan diri selepas kejadian, namun mangsa yang terkena tiga das tembakan itu rebah ke tanah.
Katanya, mangsa yang terkena dua tembakan di bahu kanan dan satu lagi di pinggang dapat diselamatkan selepas dikejar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh orang ramai beberapa minit selepas kejadian. “Suspek yang menunggang motosikal Yamaha tidak mempedulikan kehadiran orang ramai dan bertindak melepaskan tiga das tembakan terhadap mangsa,” katanya di tempat kejadian, malam kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi di tempat kejadian, mangsa diekori dua lelaki yang menaiki motosikal dan menunggu sehingga mangsa memasuki pekarangan Wisma Telaga Air sebelum seorang daripadanya mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tiga das tembakan.

Katanya, pihaknya mengesyaki mangsa mengenali suspek, tetapi motif kejadian masih dalam siasatan dan mangsa masih menerima rawatan di HSJ.

Menurutnya, peluru jenis 9 milimeter berjaya dikeluarkan dan keadaan mangsa kini dilaporkan stabil. “Sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Pelajar rempuh pasu hiasan terbunuh

KUANTAN: Gara-gara tidak mematuhi peraturan dengan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh pasu bunga hiasan di tepi jalan di Kilometer 28, Jalan Raub-Lembah Klau, Raub, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Azizul Abdullah, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin, Raub, terbunuh serta-merta di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata mangsa yang menetap di Felda Lembah Klau menunggang seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahnya untuk berbuka puasa.
Katanya, mangsa yang dipercayai menunggang laju gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di tempat kejadian sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh pasu hiasan di situ.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian berasingan, seorang tukang mandi jenazah terbunuh akibat digilis lori selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan berat itu di Kilometer 356 Jalan Raub-Cheroh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.25 pagi itu, mangsa, Mohd Zihan Mat Yeet, 77, dari Kampung Semopan Baru, Raub dikatakan dalam perjalanan ke Cheroh dan diekori lori berkenaan yang menghala ke bandar Raub.

“Ketika tiba di satu jambatan sempit, lori itu dipercayai cuba memotong motosikal mangsa, namun ada kereta datang dari arah depan menyebabkan pemandu lori berkenaan masuk semula ke sebelah kiri lalu bergesel dengan motosikal mangsa.

“Akibat pergeseran itu, mangsa yang terperosok di bawah lori dan digilis kenderaan berat itu maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Raub sudah dituntut ahli keluarga selepas dibedah siasat, semalam.

“Polis mengambil keterangan pemandu lori berusia 34 tahun itu bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.