Search This Blog

Wednesday, September 8, 2010

Dugaan perit menjelang raya



Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2010/09/08


YUNUS Ahmad (kiri) menunjukkan dapur rumahnya yang tidak berbumbung selepas ribut di Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar.
YUNUS Ahmad (kiri) menunjukkan dapur rumahnya yang tidak berbumbung selepas ribut di Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar.

Tiga rumah rosak dipukul ribut di Batu 4, Kampung Tengah 


MUAR: Ketika umat Islam bakal menyambut hari raya dalam tempoh hanya beberapa hari lagi, sebuah keluarga berdepan dengan dugaan perit apabila rumah mereka rosak teruk akibat dilanda ribut dalam kejadian di Batu 4, Kampung Tengah, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, lima penghuni rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi hampir keseluruhan bumbung rumah berkenaan rosak teruk menyebabkan air melimpah di ruang tamu, bilik dan dapur rumah.
Rahimah Rahmat, 68, berkata kejadian berlaku ketika beliau sedang membaca al-Quran bersendirian dalam biliknya, manakala anak lelakinya dan menantu serta dua cucunya sedang berehat di ruang hadapan, apabila secara tiba-tiba beliau mendengar bunyi kuat sebelum bumbung rumahnya tercabut. 

“Angin yang kuat itu menyebabkan saya langsung tidak boleh bangun atau berbuat apa-apa sehinggalah anak saya membantu membawa saya keluar, saya juga hampir pengsan kerana terlalu terkejut dengan kejadian ribut yang kali pertama berlaku. 

“Saya terkejut apabila menghadapi ribut kuat itu sehingga saya tidak mampu berdiri untuk menyelamatkan diri dengan keluar daripada bilik, " katanya. 

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun rumah mereka rosak teruk dan dibanjiri dengan air hujan sehingga menyebabkan banyak kelengkapan rumah rosak. 
Menantu Rahimah, Liza Mohamad, 27, berkata kejadian ribut itu berlaku beberapa minit saja ketika beliau bersama suaminya Mohd said Zapilus Rasul, 36, dan anak mereka, Nur Batrisya, 3, berada di ruang hadapan rumah, manakala seorang lagi anak mereka, Mohamad Amin Haziq, 6, sedang menonton televisyen di ruang tamu. 

Katanya, ribut yang kuat itu menyebabkan beliau berlari mendapatkan Mohamad Amin Haziq, manakala suaminya menyelamatkan Nur Batrisya dan ibu mentuanya yang ketika itu berada dalam bilik. 

Sementara itu Ketua Kampung Tengah, Rashid Elias, berkata selain rumah Rahimah, dua lagi rumah turut mengalami kerosakan kecil dengan sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin akibat kejadian ribut itu. 

Katanya, setakat ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah turun padang untuk melawat dan meninjau kerosakan yang dialami penduduk sebelum bantuan sewajarnya diberikan, manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut mendirikan khemah sebagai langkah sementara bagi rumah keluarga yang mengalami kerosakan teruk.

2 rumah jadi stor mercun



Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/09/08


AHMAD  Sofi (dua dari kiri) memeriksa  ratusan kotak mercun yang dirampas di Kota Kinabalu.
AHMAD Sofi (dua dari kiri) memeriksa ratusan kotak mercun yang dirampas di Kota Kinabalu.

Suami, isteri ditahan bantu siasatan kes dua premis
 

KOTA KINABALU: Polis menahan pasangan suami isteri yang dipercayai menjadikan dua rumah teres di Taman BDC, Kolombong, di sini sebagai tempat penyimpanan mercun yang membawa kepada rampasan bahan letupan itu bernilai RM300,000, kelmarin.
Kegiatan suami isteri masing-masing berusia 55 tahun itu terbongkar selepas orang ramai bosan dengar letupan mercun di kawasan taman itu dan membuat laporan polis.
Ini membawa kepada penyiasatan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang kemudian mengesan dua rumah berkenaan dijadikan tempat penyimpanan mercun. 

Difahamkan dalam serbuan pertama kira-kira jam 11 pagi itu, polis berjaya merampas sejumlah 32 kotak pelbagai jenis mercun yang disimpan di rumah terbabit dan menahan dua pengedar yang dipercayai pasangan suami isteri. 

Selain itu, dalam serbuan pertama itu juga pihak polis turut menahan dua lelaki berusia 36 dan 46 yang dipercayai pembeli mercun berkenaan. 

Siasatan polis terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di taman perumahan sama pada hari sama yang membawa kepada rampasan sejumlah 690 kotak mercun pelbagai jenama. 
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Sofi Zakaria, berkata hasil siasatan polis mendapati rumah pertama yang diserbu dipercayai pusat urus niaga mercun antara pengedar dan pembeli. 

''Pihak polis percaya suami isteri ini menjadikan rumah pertama sebagai tempat urus niaga dan rumah kedua yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah pertama pula dijadikan sebagai stor. 

''Polis menganggarkan nilai rampasan berjumlah RM200,000 hingga RM300,000 dan siasatan masih dijalankan sama ada kediaman itu milik pasangan suami isteri berkenaan atau sebaliknya. 

"Pasangan suami isteri terbabit disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya pada sidang media, di sini.

Timur: Waspada 31 laluan maut



Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/09/08

Pengguna dinasihat berhati-hati melalui jalan sering ragut nyawa 

KUANTAN: Sebanyak 31 laluan di Pahang kerap berlaku kemalangan maut berikutan faktor geografi, struktur jalan dan pertambahan bilangan kenderaan apabila orang ramai mula pulang ke kampung masing-masing menjelang Aidilfitri yang dijangka bermula Jumaat ini.
Mereka yang bekerja di Lembah Klang pastinya akan melalui sebahagian daripada laluan berkenaan jika mahu pulang ke Kelantan, Terengganu begitu juga dengan mereka dari selatan Semenanjung jika mahu berhari raya ke negeri di Pantai Timur, turut merentasi beberapa laluan ‘panas’ di negeri ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Datuk Baharuddin Mohd Yusop, menasihatkan pengguna jalan raya yang mula balik ke kampung halaman masing-masing berhati-hati ketika melalui 31 laluan maut itu berikutan pertambahan bilangan kenderaan. 

“Kita menjangkakan bilangan pengguna jalan raya akan meningkat mendadak dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum Hari Raya. 

“Oleh demikian, mereka perlu merancang perjalanan sebaik mungkin dengan memeriksa enjin kenderaan dan tayar sentiasa dalam keadaan baik dan memandu secara berhemah dan bertanggungjawab serta peka dengan persekitaran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Katanya, kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati sebanyak 67 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada faktor manusia, iaitu lalai atau tidak sabar ketika memandu, manakala 28 peratus berpunca daripada keadaan jalan dan hanya lima peratus akibat masalah mekanikal kenderaan. 
Sehubungan itu, katanya, kempen keselamatan yang dijalankan JKJR memberi tumpuan kepada pemandu dan penunggang motosikal. 

“Bagi pemandu kereta, mereka dinasihatkan membuat perancangan teliti sebelum memulakan perjalanan, selain memakai tali pinggang keledar, memberi isyarat sebelum menukar lorong dan berhenti jika mengantuk. 

“Mereka juga dinasihatkan tidak membawa lebih muatan atau melebihi had penumpang,” katanya. 

Baharuddin berkata, bagi penunggang motosikal, mereka dinasihatkan mengikat topi keledar dengan betul serta memasang lampu sepanjang masa dan mengenakan pakaian yang cerah jika menunggang pada waktu malam.

Dua terbunuh, 11 cedera dalam letupan bom di Kohat



08/09/2010 2:50am

PESHAWAR 8 Sept. - Dua orang terbunuh manakala 11 yang lain cedera apabila satu letupan meledak dekat markas ibu pejabat polis di bandar raya Kohat, barat laut Pakistan semalam, kata polis.
“Dua orang terbunuh dan 11 orang termasuk wanita dan kanak-kanak cedera dalam kejadian itu,” kata pegawai kanan polis, Dilawar Bangash kepada AFP.
“Letupan itu sangat kuat. Saya ada di situ dan nampak kepulan asap dengan beberapa orang yang cedera,” katanya.
Menurut polis, kompleks perumahan berhampiran turut mengalami rosak. - AFP

Mangsa banjir Pakistan sambut Syawal penuh kedaifan



08/09/2010 11:42am

KARACHI 8 Sept. - Kehadiran Syawal kali ini bagi mangsa bencana banjir Pakistan pastinya tidak semeriah seperti dahulu apabila mereka terpaksa menyambut Aidilfitri di pusat-pusat pemindahan dalam keadaan serba kekurangan.
Lupakan sahaja baju baru, juadah raya, mahupun hiasan harta benda, kerana makanan untuk hari esok sekalipun masih belum dapat dipastikan lagi buat mangsa banjir yang semakin bertambah daif ini.
Sambutan perayaan kali ini cukup memeritkan bagi sesetengah mereka apabila buat pertama kalinya terpaksa menyambut hari lebaran di khemah-khemah penempatan sementara yang panas dan berdebu selain kekurangan kemudahan asas seperti air, makanan dan elektrik.
Malah ada juga di kalangan mereka yang tidak mempunyai tempat berlindung dan hanya beralaskan tikar untuk duduk dan tidur selain mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk memberikan sedikit sumbangan.
Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Pakistan sejak 22 Julai lepas yang berlarutan sehingga lebih sebulan di beberapa tempat itu adalah yang terburuk pernah dialami negara berkenaan dalam tempoh 80 tahun, dan setakat ini ia meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Ahmad Dwali Mohamed, 40, yang kini ditempatkan di pusat penempatan sementara mangsa banjir di Ten Villay Hawksvay berkata, impian menyambut kemeriahan sambutan Syawal seperti kebiasaan berkecai.
"Saya memang sedih. Terlalu sedih. Kalau selalu, seperti hari ini, saya akan ke bandar untuk mencari pakaian baru untuk saya, isteri dan anak-anak. Sekarang ia hanya tinggal impian sahaja,” katanya dalam bahasa Urdu yang diterjemahkan melalui seorang jurubahasa.
Mengimbau kenangan berhari raya tahun sebelumnya, pengusaha ternakan lembu itu berkata kalau dahulunya beliau mampu menyediakan juadah berhari raya dengan banyak dan membelikan pakaian baru kepada anak-anak dan isteri.
"Dahulu di hari raya saya mampu menyediakan nasi beriani, ayam goreng, capati, kuah dal dan manisan, namun kali ini semuanya tinggal kenangan. Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda saya kerana air naik begitu cepat. Saya hanya fikir menyelamatkan isteri dan anak-anak sahaja ketika itu,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika menceritakan detik-detik cemas itu.
Beliau berkata, rumahnya pada ketika itu dinaiki air sehingga mencecah 1.3 meter. - Bernama

Keluarga mangsa tanah runtuh fail saman kecuaian



08/09/2010 12:43pm

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Ampang pada 6 Disember 2008, masing-masing memfailkan tiga saman akibat kecuaian untuk menuntut ganti rugi antara RM1.5 dan RM2.2 juta daripada dua defendan.
Mereka ialah Datuk Amanullah Mohamed Yusoof, Harveen Kaur Balbhir Singh dan K. Thanarajah memfailkan saman tersebut secara berasingan melalui firma guaman Affendi Zahari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.15 pagi.
Plaintif menamakan syarikat pemaju perumahan, Superview Development Sdn. Bhd. dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) masing-masing selaku defendan pertama dan kedua.
Menurut pernyataan tuntutan tersebut, plaintif memperincikan butiran kecuaian defendan pertama sebagai pemilik tanah antaranya kegagalan mereka membina landai yang selamat, melantik orang yang berkelayakan, membina dan menyelenggara perparitan yang sempurna dan mengalihkan rumah-rumah yang terbengkalai.
Manakala kecuaian defendan kedua pula antaranya, gagal menyelenggara paip air aktif di dalam dan sekeliling landai rumah yang terbengkalai, gagal memastikan paip air aktif tidak bocor dan gagal mengambil langkah berjaga-jaga.
Plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi khas dan am, faedah, kos dan relif yang difikirkan perlu. - Utusan

Pengawal tembak rakan dihadapkan ke mahkamah



08/09/2010 12:19pm

KLANG 8 Sept - Pengawal keselamatan, Abdul Aziz Miew Yong, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh dua rakan sekerjanya di tempat letak kenderaan Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada 27 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh P. Mailvanagam , 47, dari Kuala Lumpur dan S. Gunasilan, 22, dari Taman Sentosa di sini.
Tiada pengakuan direkodkan.
Dalam kejadian 27 Ogos lalu, kedua-dua mangsa terkena satu das tembakan di dada dan mati di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5.30 pagi itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati pengawal keselamatan berumur 37 tahun itu terhadap seorang daripada mangsa yang menegurnya kerana tidur semasa bertugas. - Utusan

Pelakon saman Tayangan Unggul, Astro





2010/09/08

KUALA LUMPUR: Pelakon Shah Hassan mengemukakan saman terhadap Tayangan Unggul Sdn Bhd, Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan dua pihak lain atas dakwaan memfitnahnya melalui salah satu episod dalam drama bersiri superhero komedi Kapoww. 

Shah Hassan atau Mohd Syahini Hassan, 37, memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Aru & Co di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, semalam.
Melalui writ saman itu, beliau menamakan Tayangan Unggul sebagai defendan pertama, Astro sebagai defendan kedua dan Anamorphic Studio Sdn Bhd serta pengarah drama itu Azizi Adnan sebagai defendan ketiga dan keempat.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa dalam episod empat drama itu yang ditayangkan di saluran 104 di Astro, ada babak yang dilakonkan di lokasi yang berlatar belakang tulisan dengan semburan cat hitam memaparkan namanya dengan perkataan berunsur hasutan atau cacian. 

Sehubungan itu, beliau menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi untuk niat jahat, ganti rugi melampau, ganti rugi kehilangan pendapatan selepas penerbitan dan penyiaran serta penayangan episod empat drama itu.

'Tak tahu rakan kongsi ada urusan di Banting'



Oleh Wan Faizal Ismayatim, Suhana Roslan, Nor Fazlina Abdul Rahim dan Sukhairi Abd Thani
bhnews@bharian.com.my
2010/09/08

KUALA LUMPUR: Pengasas Kamarudin & Partners, Kamarudin Ahmad, berkata beliau tidak tahu rakan kongsinya, Ahmad Kamil Abd Karim, yang hilang bersama Datuk Sosilawati Lawiya serta dua yang lain sejak sembilan hari lalu, ke Banting untuk urusan jual beli tanah. 

Kamarudin berkata, ia kerana beliau mengendalikan ibu pejabat syarikat guaman itu di Kuala Lumpur, manakala Ahmad Kamil pula adalah pengurus cawangan Kamarudin & Partners di Putrajaya.
“Saya tidak tahu (Ahmad Kamil ke Banting) kerana saya di ibu pejabat... itu (ke Banting) urusan cawangan Putrajaya dan Ahmad Kamil tentunya mempunyai tugasan di luar bersama anak guamnya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Selain Ahmad Kamil dan Sosilawati, turut hilang sejak 30 Ogos lalu ialah pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38 dan pemandu peribadi jutawan kosmetik itu, Kamaruddin Shansuddin, 44. 

Kamarudin berkata, Ahmad Kamil mula berkhidmat di syarikat guaman itu sebagai pembantu undang-undang pada 2002 sebelum menjadi rakan kongsinya pada 2006 dan dilantik sebagai pengurus cawangan Putrajaya. 

“Kami di Kamarudin & Partners menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dan saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya. 

Ahmad Kamil, 32, yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta tinggal di Taman Desa, di sini. 
Kamarudin yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berkata, sepanjang mengenali Ahmad Kamil, peguam muda itu adalah seorang yang peramah, mudah bergaul serta sangat disenangi oleh rakan sepejabat dan kenalan. 

“Sebagai peguam pula, beliau seorang yang bekerja kuat dan sangat bermotivasi. Sebagai rakan, saya berdoa agar Ahmad Kamil berada dalam keadaan selamat dan ditemui segera,” katanya.

Juruterbang China tipu identiti





2010/09/08

BEIJING: Badan penerbangan awam China sedang melakukan siasatan berhubung latar belakang juruterbang di negara itu berikutan nahas udara yang mengorbankan 42 orang dua minggu lalu di Yichun, wilayah Heilongjang, Timur Laut China. 

Pihak itu menyatakan siasatan dilakukan tahun lalu menunjukkan 200 juruterbang mempunyai biodata palsu, lapor BBC.
Siasatan dilakukan pada 2008 dan 2009 menunjukkan lebih daripada 200 juruterbang memalsukan latar belakang mereka.
Pemalsuan ini dilakukan bekas juruterbang tentera mahupun juruterbang komersial yang sering bertukar kerja. 

Lebih daripada 100 adalah juruterbang penerbangan swasta. 

Badan penerbangan awam China sekarang mahu satu lagi siasatan dilakukan berhubung isu kelulusan itu. – Agensi

Keluarga nafi terima ugutan wang tebusan





2010/09/08

KUALA LUMPUR: Keluarga pengasas Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya menafikan menerima sebarang ugutan atau panggilan meminta wang tebusan bagi membebaskan mangsa. 

Adik Sosilawati, Masturi, 42, berkata sejak diberi tanggungjawab untuk menjaga anak-anak mangsa seminggu lalu, beliau dan keseluruhan ahli keluarga masih menunggu perkembangan semasa daripada pihak polis.
“Sehingga kini kami belum menerima sebarang panggilan ugutan dan masih menunggu perkembangan,” katanya ketika ditemui di hadapan rumah Sosilawati, di sini semalam.
Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kakaknya itu tidak hilang tetapi berada di kampung halaman. 

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan sehingga kini kami masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kehilangan beliau,” katanya. 

Beliau berkata, semua anak mangsa kini adalah di bawah jagaannya sejak kehilangan kakaknya itu sejak 30 Ogos lalu.

Sosilawati dilihat kunjungi kedai perusahaan kerepek



Oleh Wan Faizal Ismayatim, Suhana Roslan, Sukhairi Abdul Thani dan Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2010/09/08

KEDAI perusahaan kerepek yang dikunjungi Sosilawati di Kampung Sungai Lang, Banting, kira-kira jam 4 petang 4 Ogos lalu.
KEDAI perusahaan kerepek yang dikunjungi Sosilawati di Kampung Sungai Lang, Banting, kira-kira jam 4 petang 4 Ogos lalu.


Jutawan kosmetik belanja RM200 beli pelbagai jenis kuih raya
 

BANTING: Seorang pekerja Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung Sungai Lang di sini mengesahkan melayan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, ketika jutawan kosmetik itu mengunjungi kedai kerepek berkenaan kira-kira jam 4 petang, 30 Ogos lalu.
Pekerja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 26, berkata Sosilawati datang bersama seorang lelaki yang dipanggil sebagai `Kamal' dipercayai pemandu peribadi jutawan kosmetik itu, Kamarudin Shansuddin, 44.
Difahamkan, pengasas Nouvelle Visages itu mengunjungi kedai berkenaan untuk membeli pelbagai jenis kuih raya dan kerepek yang hendak dihadiahkan kepada kakitangannya sempena Aidilfitri. 

"Saya melihat Sosilawati menaiki kereta BMW X5 berwarna hitam bersama seorang lelaki yang dipanggil Kamal dan kenderaan itu diletakkan betul-betul di hadapan kedai. 

"Sepanjang lebih sejam berada di dalam kedai, saya ditugaskan melayannya untuk memilih beberapa jenis kerepek dan biskut raya," katanya yang bertugas secara kontrak selama sebulan di kedai itu. 

Ina berkata, antara kerepek dan biskut dibeli jutawan kosmetik itu ialah kerepek jejari bilis, pisang, bawang, biskut Almond London, Dam dan sanggul Mak Dara. 
"Beliau (Sosilawati) berbelanja lebih RM200 dengan membeli semua jenis kerepek dan biskut. Sebelum beredar, beliau sempat membeli 10 cawan jeli kelapa yang turut dijual di sini," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam. 

Ina turut dimaklumkan oleh Sosilawati yang pada Aidilfitri kali ini beliau tidak mahu memberikan duit raya sebaliknya mahu menghadiahkan kerepek dan kuih raya kepada semua pekerjanya. 

"Sepanjang berada di kedai ini, Sosilawati ada meminta pendapat saya mengenai kerepek dan biskut mana yang sedap dan patut dibeli dan beliau juga ada meminta pendapat Kamal. 

"Selepas selesai membuat pembayaran di kaunter, saya menolong beliau (Sosilawati) mengangkat semua barangan yang dibeli hingga ke hadapan kedai dan Kamal memunggahnya ke dalam kereta," katanya yang melihat Sosilawati memakai baju blaus berwarna merah jambu dan pic, kasut sukan berwarna hitam dengan jahitan kuning serta memakai seluar 'legging' hitam. 

Lelaki bernama Kamal itu pula dikatakan memakai kemeja lengan pendek dengan warna seakan-akan warna blaus Sosilawati dan berseluar gelap. 

"Saya juga sempat melihat mereka beredar meninggalkan kawasan kedai dan tiada kenderaan lain beredar bersama kenderaan dinaiki mereka,” katanya. 

Sementara itu, pemilik Fazz Enterprise Kerepek House, Mahmudin Abas, 55, berkata ketika Sosilawati datang ke kedainya, beliau berada di kediamannya yang terletak kira-kira 20 meter dari kedai. 

"Bila dimaklumkan Sosilawati datang, saya terus datang ke kedai untuk melihat dan memastikan beliau dilayan sewajarnya. Saya juga nampak kereta BMW X5 bernombor WTL 11 diletakkan di hadapan kedai,” katanya.

Bapa tunggal 86 tahun rentung dalam kebakaran



Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2010/09/08


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa rumah warga emas yang terbakar di Kampung Tembak A, Kuala Ketil, semalam.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa rumah warga emas yang terbakar di Kampung Tembak A, Kuala Ketil, semalam.

Warga emas lumpuh ditemui tertiarap tepi bilik air
 

KUALA KETIL: Hasrat seorang bapa tunggal berusia 86 tahun untuk menyambut kepulangan serta beraya bersama tujuh anak dan lebih 20 cucunya pada Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila dia rentung dalam kebakaran di Kampung Tembak A, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mayat Wahab Mat Isa, yang lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu, ditemui penduduk kampung dalam keadaan tertiarap dengan kesan melecur hampir 80 peratus.
Mayat Allahyarham ditemui berhampiran pintu bilik air rumahnya, dipercayai cuba mencari pintu keluar dengan mengensot untuk menyelamatkan diri. 

Anak ketiga mangsa, Kasim Wahab, 54, berkata bapanya tinggal sendirian di rumah berkenaan sejak kematian isteri, Aishah Ahmad lima tahun lalu, tidak menunjukkan perubahan sikap, cuma menyatakan rasa tidak sabar menanti kepulangan tujuh anak dan lebih 20 cucunya untuk sama-sama menyambut Aidilfitri. 

Kasim yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata, setiap malam dia akan menemani bapanya tidur kerana keadaannya yang terlalu uzur, selain memerlukan bantuan untuk bergerak. 

“Seperti biasa saya akan pulang ke rumah untuk bersahur jam 4.30 pagi dan akan kembali semula menemani bapa jam 5.30 pagi. Saya keluar dari rumah bapa untuk ke kebun jam 7.30 pagi, ketika itu bapa nyenyak tidur dan saya tidak sampai hati untuk mengejutkannya. 
“Sebelum meninggalkan rumah saya sudah pastikan semua berada dalam keadaan baik dan selamat termasuk menutup semua lampu yang dipasang, kecuali lampu di bilik mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam. 

Kasim berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian itu ketika berada di kebun di belakang rumahnya sebelum bergegas pulang untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah berkenaan. 

Katanya, kejadian berlaku begitu pantas dan kurang 10 minit sebahagian besar rumah dua tingkat separuh papan itu hangus dijilat api, sekali gus menggagalkan usaha untuk membawa keluar mangsa. 

“Mayat mangsa ditemui orang kampung yang turut membantu memadamkan api dengan air paip kira-kira jam 9 pagi berdekatan pintu bilik air rumahnya,” katanya. 

Menceritakan mengenai persiapan Aidilfitri, Kasim berkata, sejak kematian ibunya, mangsa tidak pernah membuat persediaan dan menyerahkan semua urusan kelengkapan kepada anaknya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abd Kudus Abd Malik, berkata bomba menerima panggilan pada jam 8.37 pagi dan tiba di lokasi bersama sebuah jentera dan tujuh anggota pada jam 9.09 pagi. 

Katanya, bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa tempoh 15 minit dan masih menyiasat punca kebakaran. 

“Berdasarkan maklumat awal, kita anggarkan kerugian RM20,000,” katanya. 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembak A, petang semalam.

Polis ada maklumat semua mereka dalam selamat



SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai maklumat mengatakan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dilaporkan hilang lebih seminggu lalu, berada dalam keadaan selamat dan masih hidup. 

Penjelasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan itu, melegakan hati enam anak Sosilawati tatkala umat Islam dua hari lagi akan menyambut Aidilfitri. 

Namun, sambutan raya kali ini tidak bermakna jika bonda kesayangan masih tidak muncul. 

Musa berkata, polis yakin dapat menjumpai keempat-empat mereka berdasarkan maklumat yang diperoleh. 

“InsyaAllah kami akan jumpa mereka, ada maklumat yang dapat membantu. 

“Maklumat itu tidak boleh dedahkan, nanti nyawa orang dalam bahaya,” katanya selepas perjumpaan sempena persaraan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam. 

Mengenai peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 37, pemandu peribadi, Kamarudin Shansudin, 40, dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38, sama ada diculik, katanya, polis tidak boleh mengklasifikasikan. 

14 kematian hari keempat Ops Sikap



SHAH ALAM - Sebanyak 14 lagi kematian: direkodkan pada hari keempatOps Sikap ke-22, menjadikan jumlah keseluruhan, 58 kematian. 

Kemalangan maut meningkat dari 12 kes kepada 48 kes keseluruhannya. 

Menurut kenyataan media Bukit Aman, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah kematian sebanyak 10 kematian dan diikuti kereta dengan empat kematian. 

Jalan Persekutuan mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi dengan enam kes diikuti Jalan Negeri sebanyak tiga kes, Jalan Bandaran sebanyak dua kes dan lain-lain jalan, satu kes. 

Jalan Bandaran pula mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 469 kes diikuti 270 kes di Jalan Persekutuan, 171 kes di Jalan Negeri, 128 kes di lebuh raya dan lain-lain jalan sebayak 71 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,525 kes. 

Sebanyak 10,639 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 37,978.

Remaja ditemui dalam kereta disahkan dibunuh



SHAH ALAM – Laporan bedah siasat terhadap seorang remaja lelaki yang ditemui maut dalam kereta di hadapan bengkel di Bandar Manjalara, Kepong, Sabtu lalu, mendapati ada kesan tembak di kepala mangsa. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pada peringkat awal siasatan mendapati tiada kesan kecederaan yang mencurigakan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Katanya, hasil laporan penuh bedah siasat di Hospital Selayang, semalam mendapati ada kesan lubang pada cuping telinga kiri menembusi ke dalam kepala. 

“Laporan forensik mengesahkan kematian berpunca daripada tembakan di kepala dan satu butir peluru dipercayai .38 dijumpai dalam kepala mangsa. 

“Siasatan mempercayai mangsa ditembak dari jarak dekat dari tempat duduk penumpang hadapan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Katanya, kes kini di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Sehubungan ini, beliau meminta orang ramai yang mempunyai agar tampil di balai berdekatan bagi membantu siasatan. 

Dalam kejadian tersebut, Lai Yi How, 20, ditemui maut dalam keadaan terduduk di bahagian pemandu sebuah kereta Proton Wira, kira-kira jam 9 pagi. 

Mayat mangsa ditemui pemilik bengkel yang ketika itu ingin memulakan perniagaannya. 

Dia kemudiannya cuba mengejutkan mangsa supaya mengalihkan kenderaannya tetapi tiada tindak balas. 

Sangsi dengan kejadian itu, dia terus membuat laporan polis. 

Padah mercun meledak



KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki melecur hampir separuh mukanya akibat disambar api daripada mercun yang dipegangnya dalam satu kejadian di Kampung Beris Alor Pisang, Kuala Besut Terengganu. 

Ketika kejadian, mangsa, Mohd Nor Hisham Mohd Mazuki, 11, dikatakan sedang bermain dengan saudara sepupu dan jiran di pekarangan rumahnya. 

Ibu saudaranya, Saliza Mohamed, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahad lalu. 

“Semasa kejadian Hisham membuka bungkusan mercun untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Dia buka sebab kawan-kawan kata di dalamnya ada Aladin. Jadi dia buka untuk melihatnya. 

“Ketika membuka bungkusan tersebut tiba-tiba ada di antara mereka yang memasang pemetik api lalu menyambar belerang yang berada di tangan Hisham dan terus menyambar sebahagian mukanya,” katanya ketika ditemui di Wad kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Program Bersama: Sayang Disayang anjuran Pergerakan Wanita UMNO negeri di sini, semalam. 

Saliza berkata, selepas kejadian Hisham terus ke rumah neneknya dan dibawa ke Klinik kesihatan Kuala Besut oleh bapa saudaranya sebelum dibawa ke HUSM untuk rawatan lanjut. 

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang lagi mangsa cedera bahagian mata akibat terkena percikan mercun yang dibakarnya. 

Mangsa, Mohd Izzat Hakimi Azman, 8 dari Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh dikatakan terkena percikan mercun ketika bermain bersama kawan-kawannya. 

Menurut Mohd Izzat, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu dia dan rakan-rakannya bermain mercun bola dengan menimbus mercun tersebut ke dalam tanah. 

“Mercun tu kawan-kawan timbus dalam tanah, kemudian mereka nyalakan tetapi ia tidak meletup. Disebabkan tidak meletup mereka cuba gali semula dan tiba-tiba ia meletup. 

“Percikannya terkena pada mata saya. Ketika itu saya berada tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya yang kini mendapat rawatan di HUSM. 

Akibat kejadian itu, mata kiri Mohd Izzat cedera ringan.

Rugi lebih RM100,000



BENTONG – Seorang pengusaha kedai gambar di Jalan Ah Peng dekat sini, berdepan kejadian tidak diduga apabila kedainya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, kelmarin. 

Pemilik kedai, Low Ken Lor, 49, berkata, perniagaan kedai gambar itu diusahakan keluarganya sejak 50 tahun lalu dan ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. 

Menurutnya, semasa kejadian, dia sudah berada di rumah dan hanya dimaklumkan rakan-rakannya sebelum dia bergegas ke tempat kejadian. 

“Ketika sampai, saya lihat api sudah berjaya dipadamkan dan saya cuba untuk masuk ke dalam kedai untuk menyelamatkan barang-barang, tetapi tidak berjaya kerana asap tebal. 

“Kerugian dianggarkan hampir RM100,000, melibatkan mesin pemproses gambar, peralatan elektrik dan pelbagai barangan lain. Saya sudah pun membuat laporan berhubung kejadian ini,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, penghuni bilik sewa di tingkat atas kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Batumalai, 40-an berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap-siap untuk masuk tidur, tetapi berasa tidak selesa kerana terhidu bau asap yang kuat. 

Menurutnya, menyedari kebakaran berlaku, dia bertindak mengejutkan penghuni di bilik sewa berhampiran dengannya supaya menyelamatkan diri masing-masing. 

“Selepas turun ke tingkat bawah, saya bersama orang awam yang lain berusaha memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api yang diambil dari kedai berhampiran. 

“Kami terpaksa memecah masuk pintu kaca di hadapan kedai untuk memadamkan api sebelum ketibaan anggota bomba dan penyelamat dari balai bomba berhampiran,” katanya.

Penganjur nafi tipu




SHAH ALAM – Pengarah Urusan SZ Image, Shamsul Zairee Mokhtar semalam menafikan dakwaan 80 peniaga bahawa syarikatnya gagal mempromosikan Karnival Jualan Mega Ramadan di Stadium Melawati seperti yang dijanjikan.

Beliau yang menyifatkan tuduhan itu sengaja menjatuhkan krediniliti, berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dakwaan tersebut.

Menurutnya, dakwaan mereka ’megeluarkan janji kosong’ kepada peniaga di bazar berkenaan sama sekali tidak berasas.

Katanya, dia sendiri tidak mengetahui motif utama penyebaran kenyataan palsu ini kerana dia tidak menawarkan sebarang janji kepada peniaga.

“Saya memperuntukkan tiga iklan gergasi di sekitar Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan, ratusan banting dan kain rentang.

“Setiap hari, artis-artis yang diundang akan menghiburkan pengunjung yang hadir seperti Kumpulan Diwani, bekas anggota Wings, Mel, Irfan dan Kumpulan Teater Kuala Lumpur dari jam 6.30 petang dan 8.30 malam (dua kali sehari),” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, perkhidmatan bas perantaraan untuk ke tapak karnival juga disediakan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Katanya, bas tersebut akan berulang-alik dari pusat bandar ke tapak bazar dengan membawa pengunjung membeli-belah di sana.

“Bas tersebut beroperasi dari jam 12 tengahari sehingga 8 malam setiap hari.

“Saya amat terkilan apabila ada pihak yang cuba menafikan kebenaran dengan mencari kelemahan dalam pelaksanaan kerja saya,” katanya lagi.

Menurutnya, ada juga segelintir peniaga yang datang berjumpanya dan mengucapkan terima kasih kerana membantu melariskan barang jualan mereka.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah mengalami sebarang masalah dalam menganjurkan bazar berkenaan dan sewa yang dikenakan dipersetujui bersama ketika perbincangan diadakan tanpa dikenakan caj lebih.

“Untung rugi seseorang bukan bergantung pada saya kerana rezeki yang Allah SWT berikan, tidak semuanya sama.

“Saya hanya membantu untuk memberi mereka pendapatan di bulan Ramadan. Tetapi jika mereka mendakwa saya ‘menipu’ mereka, saya serah semuanya kepada orang lain untuk menilainya,” katanya.

Penari, polis bantuan didakwa culik, kurung pelancong




ELIL (kiri) dan Francis didakwa di Mahkamah Majistret Selayang semalam kerana menculik dan mengurung tiga warga Sri Lanka.


SELAYANG – Kematian seorang pelancong warga Sri Lanka akhir bulan lalu membawa kepada penangkapan seorang penari kebudayaan dan seorang anggota polis bantuan atas dakwaan terlibat dalam sindiket penculikan tiga warga asing bagi mendapatkan wang tebusan.
Dua lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas sembilan pertuduhan termasuk memaksa mangsa melakukan kelucahan melampau dengan orang lain.
Penari, M. Elil Valavan, 30, dan polis bantuan, A. Francis Xavler, 32, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Samsudeen Seiyadu Ana Mohamadu, Mohammad Mihilar Noor Mohamed Thashin dan Sehu Mohidden Sharifdeen Sahid dengan senjata berupa batang paip, wayar kabel dan alat pembakar.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mereka juga didakwa bagi tiga pertuduhan lain iaitu dengan niat jahat melakukan pengurungan secara salah terhadap kesemua mangsa bagi mendapatkan sejumlah wang daripada keluarga mangsa.

Gadis bakal juruterbang rentung




PASUKAN penyiasat memeriksa bangkai pesawat ringan yang terhempas di Ladang Seri Pulai, Kulaijaya semalam.


KULAIJAYA – Impian Dione Wong Yong Chin, 19, untuk menjadi juruterbang profesional terkubur akhirnya apabila dia terbunuh selepas pesawat No. 9 MHKI Liberty yang dinaikinya semasa ujian latihan penerbangan terhempas di Ladang Seri Pulai di sini pukul 9.20 pagi semalam.
Yong Chin yang merupakan jurulatih juruterbang dari KL International Flying Academy Sdn. Bhd., Senai ditemui dalam keadaan rentung setelah pesawat ringan dua tempat duduk itu terbakar sejurus terhempas.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, seorang lagi mangsa, Kapten Zaini Ramli, 38, dari Jabatan Penerbangan Awam yang melakukan ujian penerbangan Practice Pilot Licence bagaimanapun terselamat apabila berjaya merangkak keluar daripada pesawat.