Search This Blog

Tuesday, September 7, 2010

Maut ditimpa dahan pokok semasa berkelah




KUALA TERENGGANU – Seorang buruh maut selepas ditimpa dahan pokok semasa sedang berkelah di kawasan perkelahan Jeram Tanduk, Air Putih, Kemaman petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Abdullah Sani Salat berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7 petang semasa Ahmad Tarmizi Mohamad, 26, yang berasal dari Merchang, Marang, berada di kawasan perkelahan bersama rakannya.
“Ia berlaku semasa hujan ribut melanda kawasan itu, apabila tiba-tiba satu dahan pokok jatuh dan menimpa Ahmad, katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, isteri Ahmad kemudiannya menghantar suaminya yang tidak sedarkan diri ke Hospital Kemaman, dan doktor mengesahkan Ahmad meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala. – Bernama
kredit : kosmo.com.my

Lelaki Aceh dihukum penjara, sebatan




SHAH ALAM – Seorang buruh dari Aceh, Indonesia, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis ganja, empat tahun lepas.

Hakim Mohd. Yazid Mustafa memerintahkan tertuduh Ismadi Muhammad, 29, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 27 Julai 2006.
Tertuduh didakwa memiliki ganja seberat 2,401 gram di sebuah rumah di Jalan Sentosa 49 KU3, Off Jalan Meru, Klang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadhli Mat Sutris mengendalikan pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh. – Bernama
kredit : kosmo.com.my

Isytihar Abu Sayyaf pengganas: Manila





2010/09/07

MANILA: Kerajaan Filipina mahukan sebuah mahkamah mengisytiharkan Abu Sayyaf sebagai sebuah kumpulan pengganas dan menyenarai hitam lebih 200 pejuang pemisah yang disalahkan dalam pengeboman, penculikan dan pembunuhan sejak dua dekad lalu. 

Jabatan Kehakiman baru-baru ini menghantar petisyen terhadap kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda dengan perbicaraan mahkamah di wilayah selatan Basilan, tempat kelahiran Abu Sayyaf, dalam cubaan pertama kerajaan untuk mengharamkan sebuah kumpulan pemisah di bawah undang-undang antikeganasan 2007.
Ahli Abu Sayyaf pada masa ini tidak dapat ditahan kecuali mereka terbukti melakukan jenayah.

Jika berjaya, langkah berkenaan akan menjadikan keahlian Abu Sayyaf sebagai perbuatan jenayah dan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan membekukan aset kewangan militan dan membataskan perjalanan mereka. 

Ia akan menjadi sebagai satu senjata perundangan baru menentang kumpulan itu, kata pendakwa, Nestor Lazaro. 

Lebih 200 nama yang ditambah dalam senarai hitam adalah ahli kumpulan yang setakat ini dikenal pasti daripada seramai 400 ahli yang menyertai kumpulan terbabit. 
Pendakwa lain, Al Calica, berkata pihak berkuasa mampu untuk mendapatkan kebenaran mahkamah lebih cepat bagi memantau perbualan telefon dan memeriksa akaun bank pengganas yang disenarai hitam terbabit. 

Ini akan membantu melumpuhkan kumpulan berkenaan, kata Lazaro kepada Associated Press. 

Abu Sayyaf yang diasaskan pada 1991 bukan hanya menjalankan serangan tempatan tetapi turut menjalankan kerjasama dengan militan asing merancang dan melakukan serangan di luar negara, kata petisyen terbabit. 

Ia dilaporkan memberikan perlindungan kepada suspek pengganas Indonesia termasuk Dulmatin, suspek utama dalam kejadian pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang dibunuh pihak polis pada Mac lalu di Indonesia. AP

Mangsa culik 8 tahun terbit autobiografi





2010/09/06

VIENNA: Mangsa culik, Natascha Kampusch, yang dikurung di bilik bawah tanah di sebuah rumah di Austria selama lapan tahun mendedahkan penderaan dialaminya di tangan penculiknya. 

Dalam autobiografi yang akan diterbitkan minggu ini, Kampusch berkata dia dipukul 200 kali seminggu, dirantai dan dipaksa tidur bersama penculiknya, selain dikerah sebagai hamba membuat kerja rumah dalam keadaan separuh bogel.
Kampusch, kini 22 tahun, diculik ketika berusia 10 tahun oleh Wolfgang Priklopil dan dikurung di dalam bilik di bawah garaj lelaki itu di Austria.
Buku autobiografi itu bertajuk 3,096 hari merujuk kepada tempoh kurungan dilalui Kampusch, akan diterbitkan esok dalam urus niaga yang dilaporkan akan menghasilkan pendapat 1 juta (RM4.8 juta) 

Saya sekarang sudah bersedia menceritakan segala yang dialami ketika diculik, katanya. 

Kampusch berkata dia dipaksa memanggil penculiknya itu My Lord atau Maestro, dan diberitahu dia bukan lagi Natascha tetapi menjadi milik lelaki itu. 

Dia mendakwa dipukul begitu kuat oleh Priklopil sehingga tulangnya patah. Dia memarahi saya apabila saya menangis. Dia akan cekup saya di leher dan mengheret saya ke sinki membenam kepala saya dalam air sehingga saya hampir lemas. 

Kampusch berjaya melarikan diri pada usia 18 tahun pada 23 Ogos, 2006. Selepas mendapati polis memburunya, Priklopil, 44, membunuh dengan melompat di depan kereta api yang bergerak. Agensi

14 terbunuh pengebom rempuh balai polis





2010/09/07

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 34 yang lain cedera apabila seorang pengebom bunuh diri merempuh kereta yang sarat dengan bahan letupan ke arah sebuah balai polis di barat laut Pakistan. 

Sembilan daripada yang maut adalah anggota polis, kata pegawai kanan polis, Iftikhar Ahmad kepada AFP melalui telefon selepas serangan terhadap Lakki Marwat di Khyber Pakhtunkhwa, tidak jauh dari kawasan yang menjadi kubu kuat Taliban.
Shahid Hameed, seorang jurucakap bagi polis Lakki Marwat mengesahkan angka kematian terbabit. Polis berkata seramai 20 anggota polis adalah antara yang cedera.
Polis berkata letupan memusnahkan bangunan balai polis dan memusnahkan bangunan pentadbiran berhampiran. 

Seorang doktor di hospital utama Lakki Marwat berkata lapan mayat dan 13 
mangsa yang cedera dibawa ke hospital yang turut musnah dalam kejadian yang sama. 

Ada enam anggota polis yang maut. Dua mayat mereka tidak dapat dikenali, kata doktor, Abdul Majid Marwat kepada AFP. 
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman terbabit tetapi Taliban Pakistan disalahkan terhadap serangan yang sama. 

Kumpulan terbabit Jumaat lalu berikrar untuk melakukan serangan di Pakistan dan terhadap Amerika Syarikat serta Eropah selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan kumpulan terbabit dalam senarai pengganas antarabangsa. 

Militan melancarkan satu siri serangan ketika umat Islam menyambut hari-hari terakhir Ramadan walaupun ketika negara terbabit berhadapan dengan banjir besar yang membunuh hampir 1,800 orang dan menyebabkan berjuta-juta memerlukan bantuan. 

Jumaat lalu, seorang pengebom bunuh diri membunuh sekurang-kurangnya 59 orang di sebuah perhimpunan Islam Syiah di Quetta, ibu kota wilayah Baluchistan. 

Serangan berlaku beberapa hari selepas tiga pengebom bunuh diri membunuh 31 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain ketika majlis Syiah di Lahore. Serangan didakwa dilakukan Taliban Pakistan. AFP

Mangsa banjir tiada makanan


 
2010/09/07


KANAK-KANAK mangsa banjir dihurungi lalat di kem pelarian di Pakistan.
KANAK-KANAK mangsa banjir dihurungi lalat di kem pelarian di Pakistan.

PESHAWAR: Ia adalah sekeping gambar yang menceritakan penderitaan mangsa bencana banjir Pakistan: Empat kanak-kanak kecil terbaring di atas tikar dihurungi lalat, dengan seorang daripadanya menghisap botol susu kosong. 

Gambar oleh jurugambar Associated Press, Mohammad Sajjad itu dirakamkan di sebuah kem mangsa banjir di Azakhel, kira-kira 30 kilometer dari Peshawar.
Kanak-kanak yang menghisap botol susu itu dikenal pasti oleh the Guardian sebagai Reza Khan, dua tahun. Akhbar Britain itu yang terharu dengan gambar berkenaan berusaha mencari Reza dan menemuinya di kem pelarian terbabit.

Sebanyak 19 keluarga berada di kem itu semuanya pelarian warga Afghanistan yang sebelum ini lari ke Pakistan akibat perang di negara sendiri dan kini terpaksa pula melarikan diri dari banjir yang melanda sejak lebih sebulan lalu.

Reza ditemui di dalam khemah bersama ibunya, Fatima, serta enam daripada tujuh adik beradiknya yang berhimpit di dalam khemah berlantaikan lumpur itu. 
Reza masih lagi memegang botol susunya yang kosong. 

Fatima cuba menenangkan anaknya itu yang kerap menangis kerana dahagakan susu. Kembarnya Mahmoud juga menangis tidak berhenti-henti. 
"Mereka belum makan apa-apa lagi hari ini. Saya tidak ada makanan untuk diberi kepada mereka, kata Fatima. 

"Anak ini menangis kerana kelaparan, kata Fatima menunjuk kepada Reza dan kembarnya. 

Sudah sebulan mereka ini tidak dapat minum susu. 

Bapa Reza, Aslam, berada di sebuah hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan bagi anak perempuannya berusia tujuh tahun yang menghidap penyakit kulit berikutan persekitaran yang amat kotor. 

"Kami sudah berada di sini sebulan, sebulan lamanya! Kami sudah penat dihurungi lalat dan tanpa bekalan makanan.

Sebelum bencana banjir ini suami saya mempunyai pekerjaan. Kami miskin tetapi perut kami tetap dapat diisi, kata Fatima. 

Fatima berkata keluarganya bernasib baik sempena Ramadan kerana ramai yang mengadakan majlis berbuka puasa untuk orang miskin. 

Anak saya pergi ke majlis itu untuk mendapatkan makanan tetapi saya risau apabila Ramadan berakhir minggu ini di manakah mereka akan dapat makanan, kata Fatima. AFP

Ibu harap temui anak di Aidilfitri



Oleh Haika Khazi

2010/09/07

SEPANG: Sebagai ibu, saya tetap berharap dapat bertemu anak-anak di Aidilfitri ini, walaupun kami sekarang menganut agama berbeza. 

"Saya juga sudah lama memaafkan segala kesalahan mereka termasuk tidak menziarahi saya ketika terlantar selama lebih setahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kemalangan jalan raya," demikian rintihan seorang ibu, Khatijah Mageshwari Abdullah, 53, yang terpisah dengan anak dan keluarganya selepas memeluk agama Islam, sejak lebih dua tahun lalu.
Beliau adalah seorang daripada 30 penghuni Pusat Rawatan dan Jagaan Orang Tua al-Ikhlas, Pulau Meranti di sini, yang diuruskan jururawat Hospital Serdang, Muji Sulaiman, 50, secara sukarela.
Khatijah berkata, beliau juga berdoa kepada Allah supaya dipertemukan dengan 
anak-anaknya walaupun tidak berdaya untuk bergerak kerana lumpuh daripada paras pinggang ke bawah dan terpaksa dipapah untuk mengambil wuduk.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Allah membuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam selepas membantu kakaknya Saleha, 55, membaca terjemahan al-Quran.

Malah, Khatijah berkata beliau bersyukur kerana diambil Muji untuk menjadi penghuni rumah kebajikan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun tiada keluarga di situ, 
hatinya bertambah tenang dan berasa lebih dekat dengan Allah selepas berpindah ke pusat itu, awal tahun ini.

Ditanya pesanannya untuk anak-anak sempena Aidilfitri ini, Khatijah berkata:

"Mak tidak kisah jika kamu tak nak ajak mak tinggal bersama asal kita dapat bertemu pada hari raya ini." 

Naluri ibu tidak pernah lekang daripadanya kerana doa untuk kesejahteraan anak-anak tidak pernah dilupakan setiap kali selepas solat.

"Walaupun mereka tidak pernah menjenguk saya di sini, saya tetap mendoakan kesejahteraan dan berharap mereka sentiasa bahagia bersama keluarga masing-masing," katanya mengubat rindu terhadap anak-anaknya dengan menumpang kasih ahli keluarga Muji dan penghuni rumah kebajikan lain yang sering ke situ. 

Malah, Khatijah berkata, beliau tidak mengharapkan apa-apa bantuan, tetapi sekadar mahu berjumpa anak-anaknya pada hari lebaran ini.

Seorang lagi ibu tua, Rahmah Abdullah, 70, berkata beliau berharap dapat bertemu dengan anak lelakinya dikenali sebagai Mohd Ali Bakhtiar yang dipercayai kini menetap di Danau Kota, Kuala Lumpur.

"Saya berharap Mohd Ali Bakhtiar sudi memaafkan jika saya ada melakukan kesalahan dan kesilapan terhadapnya suatu ketika dulu. Tolong datang jemput, mak tidak mahu mati di sini seorang diri," katanya.

Suami isteri maut



Oleh Suriana Halim Tan dan Faizul Azlan Razak

2010/09/07

Pemandu hilang kawalan tayar van meletup

DUNGUN: Sepasang suami isteri maut, manakala seorang lagi parah, selepas van dinaiki mereka bersama tiga penumpang lain terbabas sebelum melanggar tebing dan terjunam ke longkang di Kilometer 22.5, Jalan Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS) menghala ke Pasir Raja, di sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa, Ghazali Dollah, 52, yang duduk di kerusi belakang pemandu, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Dungun akibat parah di dada, manakala isterinya, Ramlah Mat Yassin, 49, meninggal dunia sebaik tiba di Pusat Kesihatan AMBS akibat parah di kepala.
Mangsa yang parah, Mat Jali Dollah, 45, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Bagaimanapun, pemandu van itu, Adnan Sapil, 56, serta tiga lagi penumpang termasuk anak angkat mangsa, Amirul Othman, 4, hanya cedera ringan. 

Saudara mangsa, Razak Saad, 43, berkata kemalangan berlaku ketika Ghazali bersama keluarganya ke HSNZ untuk rawatan susulan bahu kanannya yang patah akibat jatuh pokok baru-baru ini. 

Saya terkejut selepas menerima panggilan ibu mentua memaklumkan Ghazali terbabit dalam kemalangan selepas umat Islam baru selesai berbuka puasa dan sebaik tiba di hospital, saya diberitahu mangsa sudah meninggal dunia, katanya. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi berkata, tayar van dinaiki mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Raja, meletup menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu terlanggar tebing bukit di kanan jalan sebelum van terhumban ke longkang.

BMW milik peguam turut ditemui





2010/09/07

SUBANG JAYA: Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, sejak seminggu lalu semakin terungkai berikutan penemuan dua kereta mewah, masing-masing miliknya dan milik peguam sivilnya di sini, malam tadi. 

Kereta jenis BMW X5 warna hitam bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati ditemui seorang penduduk di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di sini, kira-kira jam 8.30 malam sebaik butiran kenderaan terbabit disiar Buletin Utama TV3.
Ia ditemui diletakkan di tempat letak kereta apartmen berkenaan dengan pintu tidak berkunci tetapi bahagian dalamnya tidak berusik.
Kereta jenis BMW 525i warna biru bernombor pendaftaran AAJ 5 milik peguam sivil Sosilawati, Ahmad Kamil Abd Karim pula ditemui diletak di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya kira-kira jam 9 malam hasil maklumat awam. 

Difahamkan, kereta Ahmad Kamil ditemui dalam keadaan baik tetapi terdapat kesan lumpur. 

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika dihubungi mengesahkan penemuan kedua-dua kereta berkenaan. 

Sementara itu, pengusaha warung, Norizal Othman, 31, yang menemui kereta mewah milik Sosilawati, berkata beliau mengesyaki sesuatu selepas kenderaan mewah berkenaan diletakkan di situ sejak seminggu lalu. 
Di kawasan ini memang banyak kereta mewah disimpan. Jadi, kehadirannya menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi agak lama ia diletakkan di situ tanpa diambil sesiapa. 

Bila TV3 menyiarkan nombor pendaftarannya dalam Buletin Utama malam tadi, saya terus teringatkan kereta itu lalu memberitahu Jawatankuasa Penduduk Apartmen Angsana yang kemudian menghubungi polis, katanya kepada pemberita di sini, malam tadi. 

Bagaimanapun, Norizal tidak dapat mengenalpasti mana-mana individu meletak kereta itu di tempat letak kereta berkenaan. 

Kereta itu memang ditemui dalam keadaan sudah diletakkan di situ. Siapa yang memandunya memang saya tidak perasan tapi memang sudah lama ia di sini," katanya. 

Seorang lagi saksi, Roslan Abd Rahman, 46, berkata beliau nampak seorang lelaki Melayu dalam lingkungan 30-an meletakkan kereta itu di situ. 

Keadaannya mencurigakan... tengok keadaan sekeliling kalau gerak-gerinya diperhatikan. Saya tidak tahu kereta itu milik Datuk Sosilawati sehinggalah keluar dalam berita, katanya.

Polis panggil suami, anak sulung beri keterangan




2010/09/07

KUALA LUMPUR: Polis semalam memanggil suami serta anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bagi memberi keterangan berhubung kehilangan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages itu bersama tiga lagi individu yang dilaporkan gagal dikesan sejak 30 Ogos lalu. 

Difahamkan, suami Sosilawati yang juga ahli perniagaan warga Indonesia berusia lingkungan 40-an itu dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang bagi membantu siasatan kehilangan jutawan kosmetik itu.
Anak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, memberi keterangan lebih awal bagi membantu siasatan berhubung kehilangan misteri Sosilawati dan tiga yang lain itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, yang mengesahkan perkara itu berkata, suami pakar kecantikan itu dipercayai mempunyai maklumat diperlukan dalam usaha menjejaki isterinya, termasuk SMS terakhir yang dikirimkan mangsa sebelum dilaporkan hilang. 

Beliau dan anaknya hanya dipanggil untuk diambil keterangan. Ini memang prosedur biasa dalam siasatan sesuatu kes jenayah. Kita berharap keterangannya dapat memberi petunjuk baru dalam merungkai misteri kehilangan ini, katanya. 

Beliau turut meminta semua pihak, termasuk anggota keluarga semua mangsa bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu hingga mengganggu proses siasatan.

Sosilawati sempat SMS suami



Oleh Hardi Effendi Yaacob, Wan Faizal Ismayatim, Suhana Roslan, Nor Fazlina Abd Rahim dan Sukhairi Abd Thani 

2010/09/07

Jutawan kosmetik gagal dihubungi selepas ke Banting untuk urusan beli tanah

KUALA LUMPUR: Pengasas Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit suaminya beberapa jam sebelum dilaporkan hilang ketika ke Banting, Selangor untuk menguruskan pembelian tanahnya pada 30 Ogos lalu. 

Tanpa mendedahkan butiran SMS itu, sumber memberitahu Berita Harian, ia adalah komunikasi terakhir antara jutawan kosmetik berkenaan dengan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan berasal dari Indonesia.
Sosilawati dan suaminya jarang bertemu, sebaliknya lebih banyak berhubung melalui telefon dan SMS kerana masing-masing sibuk menguruskan perniagaan. Tidak pasti apa kandungan SMS itu, namun Sosilawati dipercayai memaklumkan suaminya bahawa beliau mahu ke Banting selama tiga hari meninjau projek terbarunya.
Itulah komunikasi terakhir Sosilawati dengan suaminya sebelum dilaporkan hilang. Difahamkan, suaminya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dimatikan. Kehilangan Sosilawati juga hanya diketahui suaminya selepas dihubungi oleh anak-anak mangsa, katanya. 

Semalam, Berita Harian melaporkan kehilangan Sosilawati yang juga bekas isteri penyanyi Nash sejak seminggu lalu bersama tiga lagi individu ketika terbabit dalam pembelian tanah di sebuah lokasi di Banting, dipercayai mahu dibangunkan sebagai ladang herbanya. 

Turut hilang peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dari Tetuan Kamaruddin & Partners; pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu peribadinya, Kamaru- 
din Shansuddin, 44, yang baru bekerja dengan jutawan itu. 
Difahamkan, mereka ke Banting menaiki dua kereta mewah berlainan, masing-masing jenis BMW X5 warna hitam bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 dipercayai Ahmad Kamil. 

Selain Sosilawati, ahli keluarga Ahmad Kamil, Noor-hisham dan Kamaruddin turut membuat laporan polis semalam berhubung kehilangan mereka. 

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang media di Bukit Aman, berkata pihaknya akan meneliti semua panggilan terakhir dan SMS yang dibuat oleh keempat-empat mangsa bagi mendapatkan petunjuk misteri kehilangan mereka. 

Tumpuan siasatan kini lebih kepada semakan rekod panggilan dan SMS terakhir dibuat Sosilawati dan tiga individu yang menemaninya itu. Polis juga akan mengambil keterangan ahli keluarga mereka bagi memperoleh maklumat terperinci berhubung individu terakhir yang bercakap, bertemu atau berbual dengan mereka, katanya. 

Ditanya sama ada keempat-empat individu itu diculik penjenayah, beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kerana siasatan sedang dijalankan dan belum ada sebarang bukti sahih yang boleh dikaitkan dengan motif itu.

Lelaki pekak rogol gadis kena 15 tahun




2010/09/07

MUAR: Mahkamah Sesyen semalam, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap seorang lelaki pekak, selepas mengaku bersalah merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dapur rumah mangsa di sini, ketika baru lima hari umat Islam menunaikan ibadat puasa. 

Norazlan Mustafa, 29, berasal dari Sungai Mati, Ledang, dekat sini, membuat pengakuan bersalah melalui bahasa isyarat selepas tuduhan dibaca-
kan oleh seorang guru sekolah pendidikan khas dengan bantuan juruba- hasa mahkamah di depan Hakim Kamaruddin Kamsun.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh mengetuk pintu dapur mangsa ketika gadis itu bersendirian di rumah sebelum terus memasuki rumah berkenaan. 

Tertuduh kemudian menunjukkan gambar lucah kepada mangsa sebelum bertindak memukul mangsa dan merogolnya di lantai dapur rumah berkenaan. 

Sebelum melarikan diri, tertuduh turut merampas wang tunai berjumlah RM30 milik mangsa. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 4.15 petang pada 16 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

3 kapal nelayan kita ditahan Indonesia





2010/09/07

KOTA KINABALU: Tiga kapal nelayan Malaysia bersama 30 nelayan meliputi juragan dan awak-awak semuanya warga Indonesia yang mempunyai permit kerja di negara ini ditahan Tentera Laut Indonesia dipercayai di perairan Tawau di Pantai Timur, negeri ini, minggu lalu. 

Sumber berkata, Tentera Laut Indonesia dipercayai menahan tiga kapal berkenaan kerana didakwa menceroboh perairan Indonesia pada jam 8 malam itu dan tekong serta awak-awak mempertahankan mereka bukan penceroboh sebaliknya menangkap ikan di perairan Malaysia.
Sebaik ditahan, mereka memaklumkan penahanan kapal itu kepada majikan dan kemudian pemilik kapal terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Polis meminta kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang meronda di perairan Tawau supaya ke tempat kejadian untuk menyiasat tetapi sebaik tiba, semua tahanan terbabit dan tiga kapal nelayan berkenaan sudah dibawa ke Kalimantan, Indonesia. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang berunding untuk membebaskan kapal dan juragan serta awak-awak terbabit.

Mangsa terkejut, menjerit



SEREMBAN - Sekumpulan lima penjenayah bertindak kejam menetak kepala seorang kanak-kanak dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Ujong, dekat sini, jam 4.30 pagi semalam. 

Berikutan kejadian itu, mangsa yang berumur 11 tahun mengalami pendarahan dalaman dan koma menyebabkannya terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar dekat sini untuk dirawat. 

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa ditemani ibunya berumur 46 tahun dan abangnya berumur 15 tahun. 

"Lima penjenayah terbabit dipercayai warga asing, memakai topeng dan bersenjatakan parang memecah masuk rumah teres dua tingkat didiami keluarga mangsa melalui pintu belakang. 

"Kemudian, mereka naik ke tingkat atas rumah dan mengejutkan mangsa, ibu dan abangnya daripada tidur,” katanya. 

Bagaimanapun menurutnya, kanak-kanak berkenaan tiba-tiba menjerit kerana terkejut dengan kemunculan penjenayah terbabit. 

"Salah seorang penjenayah naik berang dan menetak kepala mangsa dengan sebilah parang. 

"Ibu mangsa menjerit untuk meminta pertolongan tetapi seorang lagi penjenayah menutup mulutnya dengan tangan," katanya. 

Sementara itu, menurutnya, seorang penjenayah lain meletakkan parang pada bahagian leher abang mangsa sambil mengugut akan mencederakan remaja itu jika ibunya enggan diam. 

"Lima penjenayah terbabit mengikat kaki dan tangan serta menutup mulut dua mangsa berkenaan sebelum menyelongkar rumah. 

"Semua penjenayah melarikan diri kira-kira setengah jam kemudian dipercayai membawa bersama barangan berharga,” katanya. 

Menurutnya, siasatan awal polis di tempat kejadian menemui dua bilah parang di tingkat atas rumah dan tiga bilah parang di sekitar lokasi kejadian. 

"Polis juga menemui satu sarung tangan dengan kesan darah padanya, dan sehelai kemeja-T berwarna hijau dipercayai digunakan untuk menutup muka. 

"Kami masih mengenal pasti barangan dilarikan suspek dan jumlah kerugian belum dapat dianggarkan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, polis giat melancarkan gerakan memburu lima penjenayah terbabit. 

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya. 

Dalam pada itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Toh, 46, berkata, anaknya dijadualkan menjalani pembedahan, semalam. 

"Saya tiada di rumah ketika kejadian kerana menguruskan perniagaan di Rembau,” katanya.

JPJ terima 26,880 gambar kesalahan trafik



KOTA BAHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima 26,880 aduan bergambar melalui Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) daripada orang awam yang merakamkan kesalahan trafik dari Januari hingga Ogos lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, daripada jumlah aduan itu, 16,349 sudah selesai, 4,659 kes disenarai hitam dan 5,872 lagi masih dalam siasatan.

Antara kesalahan kes aduan MMS itu ialah melanggar lampu isyarat (7,890 kes); memotong garisan berkembar (2,012); memotong barisan (3,190) dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu (850) selain tidak memakai topi keledar (5,597 kes), katanya kepada pemberita ketika membuat pemeriksaan di terminal bas ekspres Lembah Kampung Sireh, dekat sini, hari ini.

Dua beradik Bulgaria ditahan bawa syabu



SHAH ALAM – Sepasang adik beradik warga Bulgaria ditahan bersama 4.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu, dianggarkan bernilai RM1.1 juta, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini, Rabu lalu. 

Pasangan itu ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)KLIA, kira-kira jam 10.30 malam, ketika mereka baru tiba dari Doha. 

Suspek lelaki berumur 26 tahun manakala adik perempuannya berusia 19 tahun merupakan pelajar di sebuah sekolah tinggi di Turki.

Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, polis menahan suspek selepas curiga dengan tingkah laku dan dua buah beg yang dibawa bersama. 

“Pada mulanya mesin pengimbas tidak memaparkan imej yang mera:gukan dan hanya terdapat timbunan lipatan pakaian. 

:“Sangsi dengan kandungan beg, pemeriksaan lanjut menemui dua paket dadah syabu, masing-masing seberat 2.2 kg dan 2.4 kg, disembunyikan di bawah timbunan pakaian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKK) Selangor, semalam. 

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek baru pertama kali masuk ke dalam negara sebagi pelancong. 

Beliau berkata, polis masih menyiasat kemungkinan suspek terlibat secara langsung dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa atau hanya menjadi keldai dadah. 

Dalam perkembanagn sama, terdahulu kira-kira jam 10 pagi, seorang lelaki warga India yang baru tiba menaiki pesawat dari Chennai, ditahan bersama 1.9 kg dadah ketamin, bernilai hampir RM57,000.

Aaliyah mati dibunuh




SHAH ALAM – Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kanak-kanak yang mati dipercayai akibat dibunuh teman lelaki ibunya, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah tidak dibawa ke hospital kerana takut rahsia terbongkar mangsa diperlakukan dengan kejam. 

Ibu arwah Aaliyah Ayman, Ellina Maulad Mahather, 25, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa dia bukan tidak mahu membawa Aaliyah ke hospital tetapi dihalang teman lelakinya berbangsa Sudan, Mohannad Taha Ismail, 25. 

Ellina memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah. 

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin mengenai kejadian sebelum itu, Ellina berkata, teman lelakinya itu menghubunginya kira-kira jam 11.30 pagi sambil marah kerana Aaliyah membuang air kecil merata tempat dalam rumah. 

“Dia marah saya tak ajar anak tetapi saya kata biarkan saja dan balik nanti saya akan cuci. 

“Kira-kira jam 2.30 petang pula dia telefon saya beritahu Aaliyah tidak nampak kerana terlanggar pintu dan 4.30 petang dia telefon lagi dengan suara risau beritahu Aaliyah koma,” kata Ellina. 

Dia memberitahu, teman lelakinya itu kemudian meninggalkan Aaliyah yang koma sendirian dan keluar mengambilnya di pejabat dengan menaiki teksi kira-kira jam 5.30 petang. 

“Tiada siapa jaga Aaliyah. Dia juga tak beritahu keadaan anak saya dan kami ke pasaraya Giant untuk membeli lampin bayi serta ubat dan sampai ke rumah pada jam 7.30 malam,” 

Menurutnya, ketika membuka pintu rumah telah melihat Aaliyah terbaring atas sofa dalam keadaan serius kerana mengalami masalah pernafasan serta terdapat lebam dan bengkak. 

Ketika ditanya Alfred mengenai tindakannya selepas itu, Ellina mendakwa kerana melihat Aaliyah tidak dapat bernafas, dia panik lalu menangis bersama teman lelakinya antara 15 hingga 20 minit. 

Kemudian apabila melihat Aaliyah tidak lagi bernafas, dia memeriksa keadaan anaknya dan Mohannad melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut di samping menekan dada Aaliyah. 

Bagaimanapun setelah melihat darah keluar telinga Aaliyah dia terus merancang membawanya ke hospital tetapi tidak diizinkan Mohannad Taha. 

“Dia takut polis tangkap dan pihak hospital tahu dia pukul anak saya.Dia kata ‘our life will be over’ (kehidupan kita akan hancur) sekiranya Aaliyah dibawa ke pusat rawatan,” kata Ellina. 

Katanya, dalam keadaan Aaliyah kritikal dia tekad mahu ke hospital dan memujuk Mohannad memberi idea bahawa Aaliyah cedera akibat dipukul pembantu rumah. 

Perihal kesanggupannya mencipta helah itu Ellina berkata, dalam keadaan panik dia menjadi keliru dan kebetulan begitu menyayangi Mohannad.

200 lagi dikhuatiri terkorban dalam kejadian berbeza di Afrika Selatan




KINSHASA - Sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan maut dan 200 lagi dikhuatiri terkorban akibat bot karam dalam dua kejadian berbeza di sungai Congo, kelmarin. 

Dalam kejadian pertama, sebuah bot yang berlayar di barat laut wilayah Equateur dipercayai terlanggar batu dan karam, malam kelmarin. 

Lebih 70 daripada 100 orang dilaporkan maut dan siasatan mendapati bot itu berlayar tanpa lampu pada malam itu. 

Sementara itu, 200 orang lagi dikhuatiri terkorban selepas bot yang sarat dengan penumpang dan tong minyak terbakar serta karam di selatan Congo. 

Seorang saksi yang terselamat melaporkan nelayan tempatan enggan membantu mangsa lemas yang lompat daripada bot. 

Kemalangan bot di Selatan Congo itu dipercayai yang paling dahsyat di Afrika Tengah dan yang paling buruk di negara itu pada tahun ini.

Warga emas maut dalam kebakaran



BALING - Seorang warga emas yang lumpuh sebelah badan maut dalam kebakaran memusnahkan rumahnya di Kampung Tembak A, Kuala Ketil dekat sini, pagi ini.

Mayat Wahab Mat Isa, 83, yang separuh rentung ditemui dekat pintu bilik air rumahnya dalam kebakaran pada 8.30 pagi.

Menantu beliau, Basariah Karim, 40, berkata, beliau tidak berani masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan bapa mentuanya itu kerana api terlalu besar walaupun ketika itu dia berdiri di depan pintu rumah yang sedang terbakar.

"Saya melihat papan lantai dan bumbung jatuh di kawasan katil bapa dan cuba untuk masuk tetapi tak dapat kerana api terlalu kuat," katanya.