Search This Blog

Sunday, September 5, 2010

Pelayan kelab malam wanita ditemui mati ditetak



05/09/2010 2:55am

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Seorang pelayan kelab malam wanita ditemui maut berlumuran darah dengan kesan tetakan di seluruh anggota badan, di rumah sewanya di flat Perdana Villa Dua, di sini malam tadi.
Mangsa berusia 32 tahun, ditemui terlentang di ruang dapur rumah berkenaan kira-kira pukul 9.15 malam, iaitu 30 minit selepas rakan wanita serumahnya menghubungi pihak polis. - Utusan

Hakim beri tempoh 40 hari siasat penjenayah dadah AS



05/09/2010 2:33am

MEXICO CITY 5 Sept. - Seorang hakim Mexico memberi tempoh 40 hari bagi menyelesaikan siasatan ke atas suspek pengedar dadah kelahiran Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai `La Barbie’ berhubung jenayah terancang dan pertuduhan lain yang yang dikenakan ke atasnya.
Pejabat pendakwaraya agung berkata, Edgar Valdez Villarreal perlu berada di ibu pejabat polis persekutuan sementara pihak pendakwa memutuskan sama ada dia akan dituduh secara formal.
Pihak berkuasa Mexico juga berusaha menentukan sama ada mendakwa Villarreal di Mexico atau mengusirnya ke AS, yang mana pertuduhan mengenai kes dadah berbeza bagi sesebuah negara.
Pejabat Pendakwaraya mengumumkan keputusan hakim itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Villarreal ditangkap Isnin lalu setelah melalui tempoh siasatan yang panjang. - AP

243 anggota JPJ di 11 laluan utama P. Pinang



MUHAMMAD Yusoff Wazir (kiri) membantu seorang penunggang motosikal mengikat topi keledar selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di Perai, kelmarin.


PERAI 4 Sept. - Seramai 243 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditempatkan di 11 laluan utama di seluruh negeri ini sempena Ops Sikap Ke-22 yang bermula 3 hingga 17 September ini.
Penolong Pengarah JPJ negeri, Jamaludin Shariff berkata, laluan-laluan yang dikenal pasti itu termasuk di Bagan Ajam, Permatang Tiga Ringgit, Bumbung Lima, Sungai Bakap, Nibong Tebal dan Jelutong.
"Selain pemantauan di jalan-jalan berisiko tinggi berlaku kemalangan, pihak kami juga memeriksa kenderaan pengangkutan awam.
"Sejak semalam, sebanyak 60 buah bas ekspres diperiksa bagi memastikan pemandunya mengambil berat tentang aspek keselamatan seperti tayar dan brek sentiasa berkeadaan baik," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang, R.S. Jegan dan Pegawai Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Supritendan Abdul Ghani Mohd. Ali.
Pada majlis berkenaan, pelbagai risalah, kuih-muih dan topi keledar diedarkan secara percuma kepada penunggang motosikal.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir menasihatkan pemandu supaya mengamalkan 'petua' tertentu bagi mengelak berlaku kemalangan khususnya pada musim perayaan.
"Petua ini adalah tidak memandu laju secara melulu sebab kelajuan tanpa had boleh membunuh.
"Sekiranya disiplin diri sudah tidak ada ketika memandu, pelbagai insiden tidak diingini boleh berlaku," ujarnya.
Beliau berkata, sepatutnya pemandu kenderaan mengambil iktibar daripada kes-kes kemalangan maut yang kerap berlaku di seluruh negara pada setiap kali musim perayaan.

Sinabung terus keluar asap tebal



ASAP tebal kelihatan menyelubungi muncung gunung berapi Sinabung selepas ia terus memuntahkan debu lahar, semalam. - AFP


SUMATERA 4 Sept. - Gunung Sinabung terus mengeluarkan asap tebal dan debu setelah berlaku letusan kuat awal pagi semalam mengakibatkan pemantauan visual semakin sukar dilakukan.
Gunung berapi di Karo, Sumatera Utara itu telah mengeluarkan abu panas yang tinggi ke udara ketika berlaku letupan kuat awal pagi semalam.
Agensi berita Antara melaporkan, Pusat kajian gunung berapi dan bencana geologi (PVMBG) bercadang menempatkan peranti pengesan di lereng gunung berapi itu untuk memantau perkembangannya.
Gunung Sinabung meletus buat pertama kalinya dalam tempoh empat abad pada Ahad lalu memaksa 30,000 penduduk sekitar gunung itu dipindahkan.
Dalam beberapa hari selepas itu gunung tersebut kelihatan tenang dan ramai penduduk kembali semula ke kediaman mereka dan mengusahakan tanaman dan perniagaan mereka, walaupun amaran pengkaji gunung berapi bahawa tahap siap sedia masih tinggi. - AGENSI

Kontraktor terkejut jumpa tengkorak



MELAKA 4 Sept. - Seorang kontraktor terkejut apabila menemui tengkorak dan tulang lengan manusia ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak perumahan Taman Paya Rumput Permai, Tanjung Minyak di sini kelmarin.
Tengkorak dan rangka itu ditemui pada pukul 2.30 petang ketika lelaki berkenaan melakukan kerja-kerja menolak tanah di tapak perumahan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sebaik sahaja menemui tengkorak dan tulang lengan itu, kontraktor terbabit segera menghubungi pihak polis.
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu tengkorak dan tulang lengan manusia yang sudah berlumut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Mohd. Adnan berkata, berdasarkan keadaan tengkorak berkenaan, polis percaya ia telah berada di situ untuk satu tempoh yang agak lama.
Beliau berkata, polis masih menyiasat punca kematian mangsa bagi mengetahui sama ada dia dibunuh atau sebaliknya.
"Setakat ini, umur dan jantina mangsa juga masih belum diketahui," katanya.
Menurutnya, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Taliban mengaku



QUETTA, Pakistan 4 Sept. - Polis antikeganasan Pakistan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap tinggi hari ini ketika upacara pengkebumian mangsa yang terbunuh dalam serangan bom berani mati ke atas perhimpunan puak Syiah di sini, semalam.
Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu dan menegaskan akan melancarkan serangan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak lama lagi, mengulangi ancaman yang menjadikan Barat sebagai sasaran sebagai tindak balas berikutan serangan peluru berpandu ke atas pemimpin mereka.
"Angka kematian akibat serangan berani mati itu kini meningkat kepada 65 orang manakala 150 lagi cedera," kata ketua polis wilayah, Malik Mohammad Iqbal.
Bandar itu ditutup hari ini ekoran berlaku tunjuk perasaan anjuran pertubuhan peniaga-peniaga tempatan.
"Pasukan keselamatan dan tentera antikeganasan kini mengadakan rondaan di beberapa kawasan," kata Malik.
Ini merupakan siri serangan terbaru sengketa berhubung perbezaan fahaman.
Menurut polis, pengebom adalah di kalangan 450 orang yang menyertai perhimpunan itu yang bertindak meletupkan dirinya apabila tiba di medan utama perarakan di bandar raya ini. - AFP

Tujuh penunggang antara 10 korban hari pertama



Oleh Suhana Roslan, Haika Khazi, Mohd Amin Jalil dan Nojie Nadzirah 

2010/09/05

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kematian dicatatkan membabitkan 1,121 kemalangan pada hari pertama Ops Sikap ke-22, bermula kelmarin sempena perayaan Aidilfitri. 

Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kematian tertinggi membabitkan di Jalan Persekutuan sebanyak lima kes manakala Jalan Bandaran dan Jalan Negeri masing-masing mencatatkan dua kematian.
Sebanyak 475 jumlah kemalangan dicatatkan di Jalan Bandaran diikuti Jalan Persekutuan (281), Jalan Negeri (183), Lebuh Raya (115) dan lain-lain jalan (67).
Statistik juga menunjukkan penunggang motosikal menyumbang jumlah terbesar membabitkan tujuh kematian, diikuti kereta dan lori masing-masing mencatatkan 
dua dan satu kematian. 

Ops Sikap ke-22 yang akan berakhir 17 September ini bertujuan mengurangkan 
kes kemalangan jalan raya sempena Aidilfitri. 

Di SEREMBAN, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 laluan berisiko tinggi berikutan kekerapan berlaku kemalangan maut di laluan terbabit. 
Pengarah JKJR negeri, Mohd Rusdi Ismail, berkata antara laluan terbabit ialah kilometer (KM) 244 dan KM245 Lebuh Raya Utara Selatan, laluan baru Bukit Putus dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS). 

Beliau berkata, laluan lain termasuk KM15 Jalan Seremban-Kuala Lumpur, KM4 dan 8 Jalan Seremban-Johor Bahru, KM3 hingga KM5 Jalan Seremban-Port Dickson, KM25 Jalan Port Dickson-Melaka, KM18 dan KM81 Jalan Seremban-Kuala Pilah, KM43 Jalan Seremban-Johor Bahru, KM32 Jalan Gemas-Temerloh, KM67, KM77 dan KM100 Jalan Seremban-Johor Bahru. 

Di KUALA TERENGGANU, dalam tempoh hanya sejam, anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar sebagai penumpang dalam bas ekspres ke beberapa destinasi di Utara, semalam mengesan dan mengeluarkan sembilan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas. 

Anggota penguatkuasa JPJ yang menyamar sebagai penumpang biasa menaiki empat bas ekspres yang dipilih secara rawak di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala 
Terengganu (MBKT) bagi perjalanan menuju Utara. 

Sepanjang perjalanan kira-kira 73 kilometer dari Kuala Terengganu ke Stesen Penguatkuasa JPJ Air Sejuk Setiu, anggota JPJ yang berada di dalam bas berjaya mengesan dan mencatat beberapa kesalahan yang dilakukan pemandu. 

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata menerusi Operasi 3P (Penyamaran, Pengintipan dan Penahanan) itu, anggota penguatkuasa yang menyamar sebagai penumpang dapat mengesan beberapa jenis kesalahan termasuk memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit. 

Di PUTRAJAYA, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kini melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya bagi memberi peringkat dan kesedaran kepada orang ramai terutama warga Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan supaya sentiasa bersabar dan berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri, pada minggu depan. 

Berikutan itu, Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, berkata beliau sudah mengarah lebih 3,000 pegawai dan kakitangannya supaya mengedarkan risalah dan pelekat kenderaan berhubungan kempen keselamatan jalan raya kepada lebih 30,000 penduduk Putrajaya, Labuan dan Kuala Lumpur, dalam tempoh terdekat.

Uzbekistan haram buka puasa 'tunjuk kaya'





2010/09/05

TASHKENT: Uzbekistan mengharamkan majlis berbuka puasa secara terbuka selepas pihak berkuasa agama mendapati ia menjadi cara golongan kaya menunjukkan kemewahan mereka. 

Acara berbuka puasa secara besar-besaran itu sudah menjadi cara orang kaya bermegah dengan kekayaan mereka, kata jurucakap Lembaga Islam Uzbekistan.
Sejak beberapa tahun lalu, kami dapati majlis iftar terlalu besar umpama mahu menunjuk-nunjuk kemewahan seperti majlis perkahwinan yang diadakan golongan kaya untuk rakan mereka yang juga kaya. Kami sudah haramkan majlis buka puasa di restoran selain majlis perkahwinan di dewan besar tahun ini pada permulaan Ramadan dan setakat ini menerima reaksi positif, kata Abdulaziz Mansur, timbalan pengerusi badan berkenaan.

Pada masa sama, Abdulaziz menafikan tuduhan bahawa kerajaan Uzbekistan mahu menyekat perhimpunan keagamaan ketika Ramadan. 

Saya sendiri meninjau majlis berbuka puasa setiap hari. Penduduk yang menganjurkan iftar gembira jika imam atau tokoh agama menjadi tetamu di rumah daripada di restoran, katanya. AFP

Tony Blair kena baling kasut, telur di Ireland





2010/09/05

DUBLIN: Sekumpulan penunjuk perasaan anti perang membaling kasut dan telur ke arah bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair semalam ketika beliau menghadiri majlis menandatangani buku kisah hidupnya kali pertama di khalayak ramai. 

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan menjerit Blair turut bertanggungjawab menumpahkan darah atas kempen tentera Britain di Iraq dan Afghanistan, ketika beliau tiba di luar sebuah kedai buku di sini.
Kasut, telur dan benda lain turut dibaling ke arah Blair ketika beliau keluar dari kereta tetapi tersasar. Satu kasut boleh dilihat di bawah kenderaan BMW.
Kawalan keselamatan agak ketat untuk majlis menandatangani berkenaan dengan pembeli buku dikatakan lebih ramai daripada kira-kira 200 penunjuk perasaan, dan mereka diminta menyerahkan beg dan telefon bimbit sebelum masuk ke kedai buku Easons. 

Ada beberapa penunjuk perasaan yang berada di luar hadangan, bergelut dengan polis dan dua daripada mereka ditahan. 

Blair menghabiskan masa dua jam di kedai itu sebelum keluar dengan laungan terhadapnya kedengaran lagi dan telur dibaling lagi ke arahnya sebelum beliau segera dibawa dari situ. 

Blair dibayar 4 juta (RM33.6 juta) untuk menghasilkan buku bertajuk A Journey. AP

Warga Itali curi berhala Bali




SEBAHAGIAN daripada ratusan pretima Hindu Bali yang ditemui di rumah Gamba minggu lalu.


DENPASAR - Misteri kehilangan ratusan pretima atau patung suci penganut Hindu di Pulau Bali sejak 2008 lalu akhirnya terungkai dengan tertangkapnya seorang warga Itali, Roberto Gamba, lapor akhbar Kompas semalam.
Suspek diberkas hasil serbuan polis Indonesia di rumahnya di Kuta Utara, Magunpura, Badung dekat sini pada petang Khamis lalu dan dia mengakui telah mencuri lebih 150 patung dari 34 buah kuil di pulau itu dua tahun lalu.
Ketua polis tempatan, Dwi Suseno menyatakan, Gamba ditangkap berdasarkan maklumat risikan dan suspek mendakwa membeli berhala itu daripada lima lelaki tempatan sebelum dijual semula ke pasaran gelap antarabangsa.
Setiap pretima itu dibeli pada harga serendah 500,000 rupiah (RM173) untuk berhala yang kecil sehingga sejuta rupiah (RM346) bagi yang bersaiz besar. - Agensi

Lebuh raya Beijing sesak lagi lebih teruk



BEIJING - Selepas bergerak lancar sejak awal bulan ini, pemandu kenderaan berat di Beijing sekali lagi menempuh kesesakan untuk kali ketiga dalam tempoh dua bulan dan kali ini lebih teruk sehingga menjangkau sejauh 130 kilometer.
Pihak berkuasa China menganggarkan lebih 10,000 buah trak, sebahagian besarnya ialah lori pengangkut arang batu dari wilayah Inner Mongolia dekat sini, langsung tidak dapat bergerak di lebuh raya Beijing-Tibet sejak kelmarin.
Ia sekali lagi dikesan berpunca akibat daripada kerja penyelenggaraan di lebuh raya baru yang dibina selari dengan laluan sedia ada dan memaksa pihak polis segera membina lorong lencongan alternatif untuk menyuraikan kesesakan itu.
Kali pertama kesesakan terburuk berlaku pada 14 Ogos lalu melibatkan jarak 100 kilometer yang berakhir 10 hari kemudian dan disusuli kesesakan kedua pada 27 Ogos sejauh 30 kilometer yang berakhir awal September lalu. - Agensi

Polis guna CCTV kawal jenayah, kesesakan



05/09/2010 4:15pm

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan menggunakan pelbagai pendekatan berkesan termasuk menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawal kesesakan lalu lintas dan jenayah jalanan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Kota Baharu DSP Che Noh Che Pa berkata, pihaknya telah mengenalpasti 16 lokasi strategik terutama di pusat bandar ini yang akan mengalami kesesakan berikutan orang ramai pulang untuk menyambut Hari Raya.
"Kita akan sedaya upaya berusaha mengatur strategi dalam usaha membendung masalah kesesakan dan kemungkinan kejadian jenayah jalanan sepanjang musim perayaan ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan pemandu agar mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti tidak meletak kenderaan di merata tempat yang boleh menghalang pergerakan kenderaan dan menyebabkan kesesakan. - Bernama

Polis tahan 21 warga asing salah guna pas lawatan sosial



05/09/2010 3:47pm

KUALA TERENGGANU - Polis menahan 21 warga asing kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini dalam Ops Noda yang dilakukan sepanjang Ramadan ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt. Zamri Shamsuddin berkata, dalam tempoh tersebut 17 serbuan dilakukan dan daripada 21 warga asing yang ditahan itu masing-masing 18 wanita warga Thailand, dua wanita dari Laos dan seorang lelaki dari Myanmar.
"Mereka ditahan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini dan disyaki bekerja sebagai pelayan di pusat-pusat hiburan di bandar raya ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zamri berkata, serbuan dibuat ke atas lima pusat hiburan itu adalah hasil maklumat daripada orang awam serta risikan. - Bernama

Pusat jualan perabot musnah dalam kebakaran



05/09/2010 1:37pm

GEORGETOWN - Sebuah pusat jualan perabot di Jalan Paya Terubong, di sini musnah dalam kebakaran awal hari ini.
Kebakaran pada pukul 3 pagi itu turut mencetuskan suasana panik penduduk berhampiran kerana jarak tempat kejadian dengan kawasan kediaman kurang dari 10 meter.
Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Goh Thean Lai berkata, 11 jentera dengan 50 anggota mengambil masa 30 minit untuk mengawal kebakaran.
"Ketika kami sampai, hampir 90 peratus kedai itu telah musnah dan telah menghampiri kedai ekzos kereta. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.15 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama

Indonesia negara bodoh - Dide




DIDE (hadapan) meminta agar pemerintah negaranya bersikap lebih tegas.


KONFLIK antara Indonesia dan Malaysia dipandang berat oleh pemuzik Indonesia. Salah seorang daripadanya ialah Dide, vokalis grup Hijau Daun yang menyatakan Indonesia tidak bersalah dalam situasi ini tetapi negara kelahirannya itu terlalu lemah untuk mengatasi masalah tersebut
"Indonesia tidak salah, tapi kita yang terlalu lemah. Kita cintakan kedamaian tapi terlalu memberi kelonggaran kepada negara tetangga," ujarnya kepada laman web kapanlagi.com.
Dide mengungkapkan kekesalannya seraya meminta pemerintah bersikap tegas dalam mengambil keputusan.
"Saya mahu pemerintah lebih tegas kerana kita sudah banyak kehilangan pulau. Kita tidur di tanah yang kaya tetapi masyarakatnya mencari pekerjaan di negara lain. Akhirnya kita harus lihat rakyat kita diperlecehkan tetapi negara diam sahaja.
"Itu kebodohan negara sendiri," ujarnya yang pernah datang dua kali ke Malaysia dengan Hijau Daun.
Sewaktu ditanya adakah dia akan membuat persembahan di Malaysia lagi, ujarnya: "Saya mahu agar muzik itu membawa perdamaian dan jika diundang saya setuju. Sebenarnya kita jauh lebih berkembang daripada Malaysia terutama dari segi muzik."

Anak Exco Kedah maut kemalangan



SYAZMIN HAMDAN


SUNGAI PETANI - Anak kedua Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan Kedah, Dr. Hamdan Mohamed Khalib meninggal dunia kelmarin selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bukit Selambau dekat sini Khamis lalu.
Syazmin Hamdan, 16, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira pukul 10.45 malam setelah tidak sedarkan diri lebih 24 jam.
"Dua orang anak saya terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Bukit Selambau kira-kira pukul 3 petang Khamis lepas," kata Hamdan ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.

Hanya jasad Norliza, Amirul yang pulang




ZAINAB bersama suaminya, Ishak melihat gambar Norliza dan Amirul Ayman di rumah mereka di Kampung Pulau Kerbau, Tumpat semalam. Gambar kecil, Mohd. Yusof terlalu sedih ketika menyaksikan jenazah Norliza dan Amirul Ayman dikebumikan.


TUMPAT - Suami Norliza Ishak yang ditemui mati dibunuh bersama anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof di flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson kelmarin sempat pulang bagi menyaksikan jenazah kedua-dua insan yang disayanginya itu buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
Mohd. Yusof Awang Besar, 37, yang bergegas pulang dari Kaherah, Mesir tiba di Kota Bharu kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.
Bagaimanapun dia yang masih terkejut dan sedih dengan insiden kematian dua beranak itu kelihatan tidak dapat menahan sebak di atas tragedi yang berlaku enggan ditemu bual.
Difahamkan Mohd. Yusof berniaga kedai makan di bandar raya Kaherah selepas menuntut di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin dan berkahwin dengan Allahyarham ketika belajar di sana.
Sementara itu, jenazah Norliza dan Amirul Ayman yang tiba dari Hospital Port Dickson di Hospital Tumpat pada pukul 6 pagi semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang di sini petang ini.
Ibu Allahyarham Norliza, Zainab Mahmud, 53, berkata, anak sulungnya itu merupakan tempat keluarga bergantung hidup kerana banyak membantu adik-adiknya yang seramai 14 orang.
"Setiap tahun, dia yang akan membeli pakaian raya untuk adik-adiknya di kampung yang masih bersekolah," katanya.
Menurut Zainab, kebiasaannya adik-adik Norliza tidak sabar-sabar menunggu kepulangan kakaknya untuk melihat pakaian baru mereka yang akan dipakai pada Hari Raya Aidilfitri.

Tarik lesen pemandu 'pembunuh'






KUALA LUMPUR - Insiden seorang pemandu bas ekspres yang melakukan lima kesalahan dalam masa sejam pemanduan ternyata merisaukan banyak pihak.
Rata-rata agensi penguatkuasaan berpendapat, sekiranya sudah ada kes pemandu bas melanggar pelbagai kesalahan semasa Ops Sikap ke-22 baru sahaja bermula, mereka bimbang tragedi lebih buruk bakal berlaku jika ia tidak dibendung segera.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan (gambar) berkata, pemandu tersebut telah 'direhatkan' sementara kes itu disiasat.
"Saya akan meminta JPJ Terengganu untuk bertemu dengan pihak pengurusan bas berkenaan. Keputusan 'merehatkan' pemandu itu perlu dibuat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Mengenai cadangan mewajibkan kakitangan JPJ ditempatkan di setiap bas, Solah berkata, ia perlu dibincangkan terlebih dahulu kerana ia melibatkan banyak aspek dan tenaga kerja.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh negara untuk memastikan langkah keselamatan menjelang musim perayaan Aidilfitri terjamin.

Anak anjing kelaparan didera telan 12 coli



LONDON - Sepasukan doktor haiwan terpaksa membedah seekor anak anjing di Grimsby, England bagi menyelamatkan nyawanya selepas pemeriksaan sinar-X mendapati ia telah memakan 12 helai coli, lapor sebuah akhbar semalam.
Anak anjing jenis Rotweiler yang bernama Molly itu dirampas daripada pemiliknya setelah mereka menghantarnya ke sebuah klinik haiwan dalam keadaan kurus kering akibat didera dan tidak pernah diberi makanan selama tiga bulan.
Salah seorang doktor haiwan, Michael Jefferson berkata, dia mengeluarkan sedozen pakaian dalam wanita termasuk coli dan seluar dalam seberat lima kilogram dari dalam perut anjing tersebut yang kebuluran dan hanya tinggal rangka.
Pemilik Molly, Rebecca Danville, 26, dan pasangannya Stuart Lane, 28, didenda £100 (RM482) oleh sebuah mahkamah kelmarin kerana cuai menjaga peliharaan serta dilarang membela haiwan selama lima tahun. - Agensi

Dapat lima saman dalam sejam




ANGGOTA JPJ menyaksikan pemandu bas yang dikenakan saman (kanan) menulis maklumat peribadi di Setiu semalam.


SETIU - Sikap memandang mudah seorang pemandu bas ekspres terhadap undang-undang jalan raya memakan diri sendiri apabila dia dikenakan lima saman hanya dalam tempoh sejam dalam satu operasi penyamaran oleh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini semalam.
Saman atas pelbagai kesalahan itu dikeluarkan menerusi operasi khas yang dilakukan sempena Ops Sikap ke-22 bermula dari terminal bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat sini sehingga ke Stesen Penguat kuasa JPJ Air Sejuk di sini.
Pemandu berusia 62 tahun itu didapati memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta melanggar lampu isyarat.
Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, ketika lelaki itu ditahan, dia dengan selamba mendakwa tidak menyedari melakukan kesemua kesalahan tersebut.

Lelaki gantung diri di hadapan rumah




SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai membunuh diri dengan menggantung diri di hadapan rumah kayunya di Kampung Bagan Tochew, Pulau Ketam, Klang dekat sini, semalam. 

Mangsa yang dikenali Ah Cun, 39, dikatakan menggantung diri selepas berpisah dengan isteri dan empat anaknya. 

Difahamkan, semenjak itu, mangsa hanya tinggal di rumah itu seorang diri. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mayat mangsa ditemui tergantung oleh adiknya ketika datang ke rumah berkenaan kira-kira jam 8 pagi. 

“Mangsa ditemui tergantung dengan tali jenis nilon yang diikat pada sebatang kayu bumbung di depan rumah. 

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa bertindak menggantung dirinya beberapa jam sebelum ditemui kerana tiada sebarang senjata dan kesan pergelutan ditemui di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah itu tidak menemui sebarang nota yang menjadi punca sebenar kematiannya. 

“Kami percaya mangsa mengalami tekanan perasaan sejak dia berpisah dengan isteri dan anak-anaknya,” katanya. 

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.

Menteri Korea Selatan saran letak jawatan

SEOUL: Menteri Luar Korea Selatan, Yu Myung-hwan menawarkan diri untuk meletakkan jawatan ekoran kontroversi mengenai tindakan mengambil anak perempuannya untuk bekerja di kementeriannya, kata satu sumber, semalam.
Jurucakap presiden, Kim Hee-jung mengesahkan menerima cadangan peletakan jawatan Yu tetapi tidak mengesahkan sama ada Presiden Lee menerima usul dikemukakan Yu.

Lee yang mengarahkan pemeriksaan audit yang teliti dilakukan terhadap pelantikan itu dikatakan mungkin akan menerima peletakan jawatan Yu, lapor agensi berita Yonhap. Peletakan jawatan Yu mungkin menimbulkan kesukaran bagi kerajaan Korea Selatan yang sibuk melakukan persediaan sebagai tuan rumah Persidangan Kumpulan 20 Negara Maju dan Membangun yang dijadualkan November ini. - AP

Pelajar takut

KUALA LUMPUR: “Memang menakutkan. Kesan gempa bumi itu membuatkan ada pelajar meluahkan hasrat mahu pulang ke Malaysia serta-merta.


ROSAK... keadaan jalan terbongkah di pusat bandar Christchurch selepas gempa.
ROSAK... keadaan jalan terbongkah di pusat bandar Christchurch selepas gempa.

“Sekurang-kurangnya 20 gegaran berlaku secara berterusan membuatkan kami ketakutan,” kata pelajar jurusan Geologi di University of Canterbury, Christchurch, South Island, New Zealand, Nazmi Aizat Azizan, 21, yang dihubungi Metro Ahad, semalam.

Menceritakan kembali kejadian gempa bumi pada jam 4.35 pagi (waktu tempatan) itu, Nazmi berkata, kebanyakan pelajar sedang bersahur dan kejadian gempa bumi itu nyata mengejutkan mereka.

“Gegaran kali pertama memang kuat. Ada yang bersembunyi di bawah meja dan katil. Suasananya memang mencemaskan.

“Selepas reda sedikit, kami ke luar rumah. Pelajar wanita dilihat menangis dan berpelukan antara satu sama lain,” katanya yang menetap di kawasan yang menempatkan tiga rumah penuntut dari Malaysia.

Menurut Nazmi, dia bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini seperti kecederaan atau binaan runtuh di kawasan kediamannya.
“Yang teruk dilanda gempa bumi adalah di kawasan bandar. Kami di sini hanya merasai gegaran.

“Akibat kejadian itu, pihak berkuasa tidak membenarkan penduduk keluar rumah dari jam 7 malam (semalam) hingga 7 pagi hari ini (waktu tempatan). Kuliah kami yang sepatutnya bermula Isnin (esok) ditangguhkan kerana pihak universiti menambah cuti seminggu lagi akibat gempa bumi,” katanya.

Ladang guna najis babi sebagai baja, 800 penduduk tidak selesa hidu bau busuk

KUALA NERANG: Kira-kira 800 penduduk Kampung Baru Padang Sanai, dekat ini berhadapan dengan bau busuk dan risiko kesihatan berikutan tindakan sebuah ladang berhampiran rumah mereka menggunakan najis babi sebagai baja untuk projek tanaman tembikai.
Penduduk kampung mendakwa bau busuk dan masalah lalat akibat penggunaan najis babi sebagai baja telah berlarutan selama seminggu dan mereka terpaksa menanggung masalah itu.
Seorang penduduk kampung, Sulaiman Che Endut, 44, berkata projek penanaman tembikai itu baru hendak diusahakan oleh sebuah syarikat yang memajak tanah seluas 80 hektar itu daripada pemilik tanah itu tetapi ia mula menyusahkan penduduk kampung.

Katanya, bau busuk itu semakin kuat apabila hari hujan dan bilangan lalat semakin banyak yang ditakuti boleh memberi kesan kepada kesihatan penduduk kampung terutama kanak-kanak.

"Paling membimbangkan berhampiran kawasan itu terdapat Loji Air Padang Sanai yang membekalkan air kepada 85 peratus penduduk di daerah Padang Terap.

Apabila hujan, air najis itu akan mengalir ke Sungai Padang Terap sedangkan loji itu mendapat air daripada sungai itu. Najis itu juga menjejaskan alam sekitar," katanya ketika ditemui di ladang itu.

Seorang lagi penduduk kampung, Mahmud Samaun, 65, berkata kesihatan penduduk kampung mula terjejas berikutan masalah bau busuk dan lalat dengan ramai yang mula merasa loya selain demam kerana tidak tahan dengan bau memualkan itu.

"Walaupun baru seminggu tetapi kesannya sudah mulai dirasai oleh orang kampung. Jadi saya berharap pihak-pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini daripada berlarutan," katanya.

Zaharah Ramli, 26, berkata anak lelakinya yang berusia enam bulan sudah mula tidak sihat dan mengalami demam serta selesema berikutan kedudukan rumahnya yang kira-kira 200 meter dari ladang itu.

"Memang bau busuk sangat. Kalau hujan atau angin kuat lagi teruk. Lalat memang tak boleh katalah. Masa masak kena tutup selalu. Sekarang ini bulan puasa lagilah teruk," katanya.

Siti Aishah Mat Diah, 57, berkata dia sudah seminggu sakit kepala sejak bau busuk dan masalah lalat itu bermula sehingga menyebabkan dia tidak mampu berdiri berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
"Bau memang busuk. Lalat penuh sampaikan tutup pintu pun boleh masuk. Harap pihak yang bertanggungjawab datanglah tengok masalah kami," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Padang Sanai mengenai perkara itu.

Katanya, selain itu laporan juga akan dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana ladang itu melakukan aktiviti yang boleh mencemar alam sekitar sedangkan ramai penduduk tinggal berhampiran ladang itu.

Beliau berkata, masalah itu membabitkan kira-kira 200 keluarga yang 99 peratus adalah Melayu yang sedang menyambut bulan puasa dan akan menyambut Hari Raya tidak lama lagi. "Lagi satu, loji air yang ada itu ditakuti akan tercemar sedangkan ramai penduduk sekitar mendapat bekalan air daripada loji itu. Ini yang kita bimbangkan dan mahu tindakan segera," katanya.-Bernama

Isteri lapor suami cabul adik

BESUT: Seorang lelaki yang nyenyak tidur di rumahnya terkejut apabila ditahan polis selepas didakwa mencabul adik iparnya di Kuala Besut, di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek berusia 20-an itu dilaporkan mencabul adik iparnya pada 19 Ogos lalu dan dia dibawa dari rumahnya ke Balai Polis Kampung Raja untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 kerana mencabul.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, suspek direman di balai sama bermula kelmarin hingga hari ini.

Kes itu dilaporkan sendiri oleh isteri suspek yang berusia 23 tahun di Balai Polis Kuala Besut pada 31 Ogos lalu, selepas adiknya yang berusia 12 tahun mendakwa dia dicabul di rumah suspek pada 19 Ogos lalu.

Mengikut laporan kakak mangsa, suspek bertindak meraba badan adiknya beberapa kali pada hari kejadian.

Taktik JPJ menyamar penumpang berjaya

PERMAISURI: Taktik anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyamar sebagai penumpang berjaya memerangkap beberapa pemandu bas ekspres yang melanggar peraturan jalan raya, malam kelmarin.


TELITI... Abdul Rahman memeriksa peti ubat dalam Ops Sikap di Setiu, semalam.
TELITI... Abdul Rahman memeriksa peti ubat dalam Ops Sikap di Setiu, semalam.

Dalam Ops Sikap dijalankan, anggota JPJ menaiki empat bas ekspres yang dipilih secara rawak dari Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menuju ke utara.
Dengan jarak perjalanan kira-kira 73 kilometer dari Kuala Terengganu ke Stesen Penguatkuasa JPJ Air Sejuk Setiu, anggota JPJ mengesan beberapa kesalahan dilakukan pemandu bas, antaranya memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sebanyak sembilan saman dikeluarkan terhadap pemandu bas berkenaan dalam Operasi 3P membabitkan penyamaran, pengintipan dan penahanan bermula jam 8 malam.

“Bayangkan, dengan jarak 73 Kilometer iaitu kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Setiu, mereka melanggar banyak peraturan jalan raya,” katanya.

Rajin kerja tak berbaloi

JOHOR BAHRU: Kesungguhan sekumpulan pekerja asing tanpa izin bekerja lebih masa di sebuah kilang memproses plastik di Megah Ria, Masai, di sini, bagi mengumpul duit raya hanya sia-sia apabila diperangkap sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Johor, malam kelmarin.


TANGKAP... antara pekerja asing yang ditahan penguat kuasa Imigresen, kelmarin.
TANGKAP... antara pekerja asing yang ditahan penguat kuasa Imigresen, kelmarin.

Difahamkan, ketika serbuan dijalankan di kilang itu kira-kira jam 8.30 malam, kumpulan pekerja asing yang kebanyakan mereka berasal dari Bangladesh, leka bekerja hingga tidak menyedari premis itu dikepung kumpulan penguat kuasa.
Mereka yang menyambung kerja syif malam selepas selesai berbuka puasa bagaimanapun menjadi panik dengan kehadiran penguat kuasa bertindak menyerbu kilang berkenaan.

Ketua Operasi, Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Rajendran Bahadur berkata, dalam serbuan itu, seramai 34 pekerja asing tanpa izin dari Bangladesh dan dua pekerja Nepal ditahan di premis berkenaan.

Menurutnya, kumpulan pekerja berkenaan memberi kerjasama dan menyerah diri ketika pemeriksaan dijalankan.

“Kebanyakan pekerja lelaki itu didapati tidak mempunyai dokumen sah, melanggar syarat permit bekerja selain melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

“Operasi itu dilakukan ekoran aduan penduduk setempat mengenai tindakan pengusaha kilang itu mengupah pekerja asing tanpa izin sejak beberapa bulan lalu.

“Kami juga akan berusaha bagi mengesan majikan yang gagal mematuhi peraturan menggaji pekerja asing dan cuba melindungi kumpulan pekerja itu di negara ini,” katanya. Semua warga asing yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama.

Tiga sahabat terjerat

JOHOR BAHRU: Hebatnya ayat ‘power’ seorang kasanova apabila menjerat tiga sahabat baik sekali gus sebelum mengikis barang kemas dan wang simpanan mereka untuk berjoli dan hidup selesa tanpa perlu bekerja.


ADUAN... Hana dan rakan menunjukkan laporan polis berhubung diperdaya oleh seorang kasanova.
ADUAN... Hana dan rakan menunjukkan laporan polis berhubung diperdaya oleh seorang kasanova.

Lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan memburu sama ada isteri yang menghadapi masalah rumah tangga atau ibu tunggal yang dahagakan belaian dan kasih sayang suami.

Secara kebetulan, tiga sahabat berkenaan menepati kriteria ditetapkan sebelum lelaki itu menggunakan pelbagai ayat manis untuk meyakinkan mangsa dia mencintai mereka dan berhasrat mendirikan rumah tangga.

Seorang mangsa dikenali sebagai Hana, 35, berkata dia mengenali lelaki itu di Ulu Tiram pada November lalu, di mana kehadirannya mengisi kesunyian ketika mengalami krisis rumah tangga dan nyaris berpisah dengan suami.

“Lelaki itu yang berpura-pura seperti dalam kesusahan turut berkongsi kisah hidupnya yang pilu kononnya dipulau ahli keluarga dan tiada pekerjaan bagi menyara hidup.

“Dia pandai bermain kata-kata dan bersifat romantik bagi memenangi hati saya supaya percaya janji manisnya, di mana dalam tempoh beberapa bulan perkenalan itu dia pernah menyatakan hasrat mengahwini saya,” katanya.
Bagaimanapun, Hana berkata, perkara sebaliknya berlaku apabila lelaki itu mempengaruhinya untuk menyerahkan wang lebih RM2,000 secara berperingkat, termasuk barang kemas, bagi membantu setiap kali menghadapi masalah.

Katanya, pada masa sama lelaki itu memasang jerat terhadap dua rakannya iaitu ibu tunggal berusia 32 tahun dan isteri berusia 41 tahun yang ada masalah rumah tangga.
Menurutnya, lebih mengejutkan, lelaki itu juga menjerat mangsa lain yang dahagakan belaian lelaki sebelum mengikis wang mereka untuk berseronok tanpa perlu bekerja.

“Selepas kami bertiga mengetahui muslihat lelaki itu, saya pergi ke kampung halamannya dan terkejut mendengar cerita penduduk lelaki itu terkenal dengan sikap gemar menggoda wanita kesepian serta memperdaya mereka.

“Saya terkejut apabila difahamkan lelaki itu mampu memiliki dua kereta. Dia kini dikatakan menjalin hubungan dengan seorang janda anak dua di Batu Pahat. Bagi menampakkan kesegakan, dia gemar memakai cermin mata gelap serta bertopi.

“Lelaki itu sepatutnya dikenakan tindakan bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Ulu Tiram, di sini, semalam.

Hana berkata, dia tidak menyangka lelaki itu yang menjalin hubungan percintaan dengannya turut menggoda dua rakan baik sehingga mereka berhabis ribuan wang demi lelaki hidung belang itu.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, helah lelaki digelar Man itu terbongkar apabila dia terlihat SMS menggunakan ‘ayat power’ dihantar ke telefon rakannya yang juga bekerja sebagai operator di kilang sama.

Kelicikan Man memerangkap wanita bermasalah turut diakui seorang lagi rakan Hana, Ida, 32.

“Dalam tempoh sebulan bekerja di kilang, saya mengenali Abang Man menerusi rakan dan selesa dengan perwatakannya yang peramah serta penyayang. Dia kerap menelefon dan bertanya khabar anak,” katanya yang juga ibu tunggal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga pernah beberapa kali keluar bersama lelaki itu yang kelihatan ikhlas ketika meluahkan hasratnya mahu mengahwininya jika anaknya bersetuju.

Katanya, lelaki itu juga pernah tinggal beberapa hari bersama keluarganya dengan alasan mahu menambat hati anak supaya memudahkannya melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa pada masa depan.

“Saya mula yakin terhadapnya selain sanggup mengeluarkan wang hasil simpanan arwah suami bagi membantunya.

“Perancangan kami untuk membuka perniagaan sendiri, di mana Abang Man menyatakan mahu membantu saya sepenuh masa,” katanya.

Ida berkata, dia juga pernah menyerahkan sejumlah wang kepada lelaki itu yang kononnya mahu mendaftar perniagaan, selain membeli beberapa peralatan bagi membolehkan mereka beroperasi dari rumah.

Bagaimanapun, katanya, impian itu hanya hangat-hangat tahi ayam apabila lelaki berkenaan enggan menjawab panggilan setiap kali dia cuba menghubunginya.
“Ratusan kali saya cuba menghubunginya tetapi gagal dan difahamkan dia mempunyai teman wanita baru.

“Mungkin silap saya kerana mudah percaya Abang Man dan saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Seperti Ida, kasonova itu juga memerangkap Kasmah, 41, dengan modal sama iaitu berhajat memperisterikannya.

“Saya masih tidak dapat melupakan janjinya untuk mendirikan rumah tangga akhir tahun ini namun selepas kami bertiga menyedari helahnya, dia menghilangkan diri,” katanya yang masih bersuami.

Kasmah berkata, dia tidak menyangka boleh menjadi kekasih gelap kasanova itu hingga hanyut ke lembah dosa.

Menurutnya, menyedari dia menghadapi masalah rumah tangga dan suaminya bekerja di luar daerah, kasanova itu berpura-pura mengambil berat sebelum menunjukkan belang.

“Walaupun pada awalnya hubungan itu biasa saja namun lama-kelamaan saya mula jatuh hati terhadapnya.

“Saya kurang pasti sama ada dia menggunakan ilmu bagi menggoda saya dan dua rakan, namun sikap penyayangnya membuatkan saya cair sama seperti mereka,” katanya.

Kasmah berkata, dia insaf terhadap perbuatannya selepas menyedari helah kasanova itu yang mengambil kesempatan, termasuk memuaskan nafsu dan mengikis wangnya.

Dia juga terkejut apabila difahamkan kasanova itu memiliki dua kereta di mana ansuran bulanan kenderaan didakwa dibayar beberapa kekasihnya.

“Rupa-rupanya lelaki itu hidup secara mudah dengan hanya mengumpan ayat cinta pada wanita seperti kami. Saya berharap dia mendapat balasan secepat mungkin dan sedar kesilapannya,” katanya.

Aquino tegas tak lepaskan pesalah

MANILA: Tindakan Presiden Filipina, Benigno Aquino yang mahu bertanggungjawab terhadap kematian lapan tebusan warga Hong Kong tidak boleh dipandang ringan pihak berkuasa, kata jurucakap presiden, semalam.
Pada Jumaat lalu, Benigno berkata, beliau akan bertanggungjawab terhadap insiden yang mengeruhkan hubungan negaranya dengan bandar raya di selatan China itu dan menjejaskan imej pelancongan Filipina. Tindakan Benigno itu tidak bermakna beliau akan melepaskan pegawai yang didapati bersalah kerana menyebabkan tragedi itu berlaku.
“Beliau tidak akan membiarkan pegawai yang bersalah bebas begitu saja. Presiden hanya mahu memikul tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara,” kata Herminio Coloma. Benigno membentuk satu jawatankuasa kanan untuk menyiasat kejadian drama tebusan yang mengorbankan nyawa lapan pelancong Hong Kong itu.

Menurut Coloma, presiden juga tidak bercadang untuk meletakkan jawatan ekoran kejadian itu. Beliau akan menyempurnakan tempoh enam tahun sebagai Presiden Filipina.

Ketika ditanya mengenai tuntutan kerajaan Hong Kong yang mahukan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi daripada kerajaan Filipina, Coloma berkata, Benigno sudah memohon maaf kepada kerajaan Hong Kong berhubung isu itu dan akan mempertimbangkan untuk membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa. - AFP

FBI tawar RM64,000 cari individu bakar binaan masjid

MURFREESBORO (AS): Penyiasat Biro Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) berkata, kebakaran yang memusnahkan bangunan masjid yang sedang dibina di selatan Tennessee angkara perbuatan khianat.
FBI juga menawarkan ganjaran AS$20,000 (RM64,000) kepada sesiapa yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya individu yang terbabit dalam kejadian itu.
Kejadian kebakaran bangunan masjid itu mencetuskan kebimbangan penduduk Islam di Murfreesboro.

Menurut pihak berkuasa, mereka menemui bekas diesel di tempat pembuangan sampah berhampiran.

Sebelum ini rancangan pembinaan masjid di Tennessee itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. - Agensi

Mak nyah terdesak

KUALA LUMPUR: Terdesak mendapat wang menjelang Aidilfitri, golongan mak nyah atau pondan terpaksa menggunakan laman sembang atau sosial untuk mendapatkan pelanggan pada bulan puasa berbanding kebiasaannya di lorong tertentu sekitar ibu kota.


TERDESAK... Elis (kiri) dan Liz terpaksa melakukan aktiviti haram demi menyara hidup.
TERDESAK... Elis (kiri) dan Liz terpaksa melakukan aktiviti haram demi menyara hidup.

Tindakan itu terpaksa dilakukan kerana mereka khuatir dicekup penguat kuasa yang meningkatkan operasi pada bulan mulia ini bagi mencegah kegiatan tidak bermoral.
Seorang pondan yang ditemui Metro Ahad, Liz atau nama lelakinya, Rizduan berkata, aktiviti mereka pada bulan mulia ini lebih tersorok dan dilakukan secara senyap bagi menghormati Ramadan, tidak seperti hari-hari biasa di mana aktiviti seks mereka dilakukan secara terang-terangan.

“Kebiasaannya kami mencari pelanggan di lorong tertentu. Namun pada bulan ini pelanggan lebih mudah diperoleh menerusi ‘online’ sama ada laman sembang atau sosial.

“Bagaimanapun, aktiviti itu terhad pada malam hari saja. Pada siangnya, kami berpuasa seperti umat Islam lain dan enggan melakukan perkara itu. Namun, kadangkala ada juga pelanggan mahu melakukannya pada siang hari. Akhirnya, semua itu terpulang kepada kami.

“Kalau dihitung, pada hari biasa kami boleh memperoleh sekitar RM3,000 sebulan tetapi pada bulan puasa kami hanya mampu mendapat kutipan RM1,800. Cukuplah untuk kami menampung hidup membayar segala bil,” katanya.

Menurut Liz, dia terdorong melakukan perkara keji itu kerana desakan ekonomi dan sukar mendapatkan pekerjaan tetap apabila kebanyakan institusi pekerjaan di negara ini tidak menggaji golongan pondan.

“Itu antara diskriminasi yang perlu kami lalui. Hakikatnya, apa yang kami lakukan bukan berdasar nafsu tetapi lebih kepada pekerjaan untuk menyara hidup.

“Secara jujurnya, saya tidak meminta berada dalam keadaan ini (pondan). Malah saya beberapa kali cuba menjadi lelaki sejati dan meninggalkan dunia pondan, tetapi tidak berjaya.

“Jadi bila dalam keadaan begini, lebih-lebih lagi kami yang berpakaian wanita, pekerjaan halal itu susah diperoleh. Mahu atau tidak, ini saja caranya untuk kami menampung kehidupan seharian walaupun pada bulan puasa,” katanya.

Rakannya, Elis pula berkata, kebanyakan pelanggannya adalah pelancong, namun tidak kurang juga yang beragama Islam dan dahagakan seks luar tabii.


Badrul ingin bertemu anak di Aidilfitri

KUALA LUMPUR: “Sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, semestinya saya akan menjenguk anak. Saya tidak menghilangkan diri, sebaliknya mencari kekuatan untuk menempuh pelbagai dugaan yang menimpa sebelum ini.
Beliau sekali lagi diulit kontroversi apabila isterinya, Julia Daud, 29, mendakwa pelakon itu merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan, Julia berkata, suaminya tidak pulang selepas kejadian itu dan dia tidak kisah kerana anaknya tidak pernah menyebut nama Badrul.

Malah, anak sulung Badrul, Siti Nor Batrisyia, 3, pernah menganggap bapanya sudah mati setiap kali ditanya rakan.

Badrul menyifatkan apa didedahkan isterinya umpama menceritakan keburukan diri sendiri kepada orang lain.

“Anak saya tidak begitu (menganggap bapa sudah mati). Saya malas nak membalas kenyataan Julia. Saya tak nak dedahkan aib dia (Julia),” katanya yang turut menafikan pelbagai dakwaan dilemparkan Julia.
Badrul juga mengakui berdepan penderitaan teruk dan tertekan.

“Sudah lima bulan saya ‘terkangkang’ tak ada job (peluang berlakon). Masyarakat pula memandang sinis. Berat untuk saya menanggung beban ini. Saya bukan sekejam disangka sebab saya menjadi mangsa fitnah,” katanya.
Badrul turut menyatakan perasaan kesal terhadap persatuan membabitkan artis.

“Ketika saya dalam keadaan susah, tak ada persatuan tampil untuk membantu. Saya umpama semut dan mereka (persatuan) umpama gajah. Takkan semut nak mencari gajah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tuntutan cerai Julia pula, Badrul akur dengan keputusan dibuat isterinya.

“Tak perlu saya pertahankan lagi rumah tangga kami sebab dia (Julia) yang menuntut cerai,” katanya.

Julia nekad berpisah dengan suaminya selepas memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 16 Ogos lalu.

Julia berkata, Badrul hadir bersamanya ketika memfail permohonan itu dan berjanji menceraikannya dengan baik.

Katanya, keputusan itu diambil bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka selama ini dan ia penyelesaian terbaik mereka berdua dan keluarga.

Nama Badrul menjadi sebutan selepas isterinya beberapa kali membuat laporan polis, mendakwa diugut dan dicederakan suaminya.

Bagaimanapun, Julia tetap bersabar dan masih menerima Badrul.