KUALA TERENGGANU – Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Terengganu, Datuk Azis Yacub tidak menolak kemungkinan kawasan Chabang Tiga dan Losong dijadikan pusat pengumpulan bekalan mercun dan bunga api.
Menurut Azis, kemungkinan itu berdasarkan banyaknya rampasan mercun dan bunga api dilakukan pihak berkuasa di kawasan tersebut berbanding di lokasi lain di negeri ini.
Beliau berkata, dalam kes terbaru, pihaknya berjaya merampas 203 kilogram pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM3,974 di Kampung Losong Haji Mat Shafie dalam satu serbuan jam 10.48 malam kelmarin.
Katanya, mercun itu ditemui tersembunyi dalam reban ayam tinggal di kampung tersebut yang terletak hanya 500 meter dari lokasi kes letupan sebuah rumah dipercayai stor simpanan mercun yang mengorbankan seorang kanak-kanak, bulan lalu.
“Kalau dulu rampa-san banyak dilakukan di kawasan Batu 6, tapi sekarang di Losong dan Chabang Tiga pula, mungkin kawasan itu dijadikan pusat pengumpulan mercun dan bunga api,” katanya kepada pemberita, semalam.
Dalam usaha mengelak dikenakan tindakan Azis berkata, penyeludup guna modus operandi baru iaitu menyimpan stok mercun dan bunga api di rumah kosong atau reban ayam sudah tidak digunakan, bukan di rumah sendiri.
Berikutan taktik terbaru itu katanya, pihaknya gagal memberkas pemilik mercun dan bunga api yang disorok dalam reban ayam tinggal di Losong Haji Mat Shafie walaupun lebih sejam menunggu suspek di lokasi itu.
Sementara itu, Azis memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mematahkan tiga cubaan menyeludup bunga api, mercun dan rokok bernilai RM13,439 membabitkan pengelakan cukai sebanyak RM29,700 dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, tiga kes tersebut adalah di reban ayam tinggal Kampung Losong Haji Mat Shafie, kedai runcit di Bukit Swee, Bandar Permaisuri, Setiu dan sebuah rumah di Kampung Binjai Berambu, Kepong.
“Kita turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes iaitu pemilik rumah berusia 44 tahun dan lelaki, 41,” katanya.
Tiga kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan yang boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Azis memberitahu, sepanjang Ramadan ini pihaknya mengendalikan 10 kes rampasan bunga api dan mercun seberat 583.95 kilogram bernilai kira-kira RM16,412 dengan tangkapan lima suspek.
Antara jenis mercun yang banyak dirampas adalah mercun bola, ‘perfect final cake’, ‘gold dragon pili’, ‘artillery shell’, ‘glow of sun’, mercun naga, ‘spurter fireworks’, mercun jarum, ‘fantastic journey’, ‘spring thunder’ dan ‘sky thunder’.
“Bekalan mercun dan bunga api dikesan dibawa masuk lebih awal ke Terengganu iaitu kira-kira enam bulan sebelum Ramadan melalui bas atau lori sayur, bila bulan puasa bermula, mereka akan jual bahan api ini.
“Kita akan sentiasa berusaha membanteras kegiatan ini dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Kas-tam melalui talian 09-6228477/09-6204242, kita akan rahsiakan identiti mereka,” katanya.