Search This Blog

Friday, September 3, 2010

Pegawai JPJ berpakaian preman rakam kesalahan trafik di Pulau Pinang



BUTTERWORTH: Awas pengguna jalan raya di Pulau Pinang! Jika anda terlihat jurukamera bebas merakam gambar di sekitar jalan raya di negeri ini, mereka adalah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berpakaian preman, merakam kesalahan trafik.
Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ negeri Jamaludin Syarif berkata 243 anggota JPJ akan melakukan rondaan di kawasan berbahaya bagi memantau kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya sempena musim Hari Raya Aidilfitri ini.
"Anggota JPJ juga akan menyamar dengan berpakaian biasa bagi mengambil gambar pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat serta memandu secara berbahaya", katanya.


JPJ mengadakan pemantauan dan rondaan di 11 laluan yang dianggap sebagai 'sakaratul maut' di Pulau Pinang mulai esok sehingga 19 Sept ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini hari ini.


Laluan itu adalah Jalan Chain Ferry, Jalan Bagan Ajam, Jalan Permatang Tiga Ringgit, Jalan Bumbung Lima, Jalan Baru Perai, Jalan Permatang Tinggi, Jalan Sungai Bakap, Jalan Nibong Tebal, Jalan Permatang Tinggi, Jalan Permatang Keling dan Lebuhraya Jelutong.


Jamaludin berkata JPJ turut menempatkan anggota di Hentian Bas Sungai Nibong dan Butterworth bagi membuat pemeriksaan terhadap bas-bas ekspres untuk memastikan ia dalam keadaan baik. Sementara itu, Pegawai Cawangan Trafik Pulau Pinang ASP Abdul Ghani Mohd Ali berkata polis negeri akan menumpukan penguatkuasaan di 14 jalan utama sepanjang Ops Sikap ke-22 yang bermula hari ini hingga 17 Sept ini.


Katanya, jalan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan ialah empat di Timur Laut, masing-masing tiga di Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan serta satu di Seberang Perai Tengah.


"Seramai 124 anggota trafik akan ditempatkan 24 jam sehari di 14 laluan berkenaan bagi memastikan kadar kemalangan terutama kemalangan maut dapat dikurangkan," katanya.-Bernama

Ahli perniagaan dituduh ugut bunuh bekas isteri

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mengugut bekas isterinya empat bulan lalu.
Suhaimi Abdul Rahman, 35, dari Cheras didakwa mengugut Marsitah Ahmad, 35, mahu membunuhnya dengan menggunakan pisau dan mengacukan senjata itu ke arahnya dengan niat untuk mendatangkan ketakutan di rumah beralamat Blok D-15-8, Flat Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, Cheras pada 10.30 pagi 24 Mei 2010.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam M K Thas, yang mewakili Suhaimi, memohon agar wang jaminan itu dikurangkan dengan alasan ibu kepada tertuduh yang merupakan penjamin hanya berpendapatan RM500 sebulan hasil daripada wang pencen arwah suaminya.

"Walaupun tertuduh ahli perniagaan dengan berpendapatan RM10,000 sebulan tetapi dia memperuntukkan RM4,000 sebulan untuk kos perbelanjaan anaknya.

Tertuduh juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dilakukan," katanya.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Okt ini untuk sebutan.

Ibu kepada tertuduh membayar wang jaminan itu.-Bernama

Lelaki bersenjata ke Discovery Channel ditumpas


SILVER SPRING, Maryland 2 Sept. - Seorang lelaki yang mengutuk program alam sekitar Discovery Channel selama bertahun-tahun, memecah masuk ke dalam ibu pejabat syarikat itu dengan sekurang-kurangnya satu alat letupan diikat pada badannya semalam dan mengacukan senjata kepada tiga tebusan, sebelum polis membunuhnya.
Tebusan berkenaan, dua pekerja Discovery Communications dan seorang pengawal keselamatan tidak cedera setelah ditahan selama empat jam.
Ketua Polis, Thomas Manger berkata, pegawai taktikal bertindak masuk selepas polis yang memantau lelaki itu melalui kamera keselamatan melihatnya mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya pada tebusan.
Alat letupan yang berada pada badan lelaki tersebut meletup apabila polis menembaknya, kata Manger.
Polis sedang cuba menentukan sama ada dua kotak dan dua beg galas milik penjenayah berkenaan mengandungi bahan letupan.
Seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang berkata, pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai James J. Lee.
Polis County dan anggota bomba malam semalam melihat skrin komputer riba yang menunjukkan imej sekujur tubuh tertiarap berlumuran darah.
Pihak berkuasa juga menghantar sebuah robot untuk melucutkan bahan letupan yang berada pada tubuh penjenayah bersenjata itu.
Kapten Polis, Paul Starks berkata, suspek telah melepaskan sekurang-kurangnya satu das tembakan dan polis percaya dia bertindak bersendirian, namun sedang menyiasat semua kemungkinan.
NBC News melaporkan, selepas penerbitnya menghubungi talian umum Discovery, seorang lelaki mengangkat telefon lalu memperkenalkan dirinya sebagai James J. Lee dan berkata mempunyai senjata api dan beberapa buah bom. - AP

Bantuan hampir tergendala



MANGSA-MANGSA banjir berdiri di hadapan kem-kem pemindahan sementara menanti bantuan makanan dibekalkan di Thatta, utara Pakistan, semalam. – AP


THATTA, Pakistan 2 Sept. – Usaha bantuan di kawasan yang ditenggelami banjir di Pakistan terjejas akibat skala bencana yang terlalu besar, dengan aliran bantuan antarabangsa hampir tidak bergerak, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Banjir selama sebulan yang telah meragut 1,760 nyawa dan menjejaskan lebih 18 juta penduduk, termasuk lapan juta yang bergantung kepada sumbangan bantuan untuk hidup.
Walaupun pada awalnya aliran bantuan yang perlahan semakin baik sejak lawatan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada pertengahan bulan lalu, kini ia ‘hampir berhenti’ sejak awal minggu lalu, meningkat dari AS$274 juta (RM857 juta) kepada AS$291 juta (RM910 juta).
“Berdasarkan bilangan yang memerlukan, operasi kemanusiaan dijalankan pada skala yang besar.
“Kita perlu membantu sekurang-kurangnya lapan juta orang dari Kawasan Pergunungan Karakoram di utara sehingga Laut Arab di selatan,” kata ketua agensi koordinasi PBB, OCHA, Manuel Bessler.
Beribu-ribu penduduk terperangkap akibat banjir di wilayah Sindh, selatan negara ini manakala beberapa kawasan lain tidak mempunyai bekalan makanan atau air minuman selama beberapa hari, dengan sebilangan terpaksa tinggal di celah runtuhan rumah masing-masing.
Bank Dunia meningkatkan dana kecemasan untuk Pakistan kepada AS1$ bilion (RM3.1 bilion) ketika timbul amaran bahaya berhubung bekalan makanan negara ini.
Banjir telah memusnahkan tanah pertanian seluas 3.6 juta hektar dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menyatakan petani sangat memerlukan biji benih untuk ditanam bagi hasil tahun depan.
“Jika mereka tidak mendapat benih dalam masa beberapa minggu, gandum tidak akan dapat ditanam selama setahun.
“Bantuan makanan saja tidak cukup. Jika tuaian gandum tidak diselamatkan, keselamatan makanan berjuta-juta penduduk berada dalam bahaya,” kata pengarah operasi kecemasan FAO di Asia, Daniele Donati. – AFP

35 maut keganasan di Lahore





2010/09/03


PENDUDUK membantu seorang mangsa letupan di Lahore yang berlaku  ketika satu perarakan penganut Syiah, kelmarin.
PENDUDUK membantu seorang mangsa letupan di Lahore yang berlaku ketika satu perarakan penganut Syiah, kelmarin.

LAHORE: Pakistan mengetatkan kawalan keselamatan di bandar timur di sini kelmarin selepas tiga butir bom mengorbankan 35 orang dan mencederakan 250 lain serta memberi tekanan ke atas kerajaan disokong Amerika Syarikat yang sudah sedia terbeban akibat banjir. 

Letupan yang menggegarkan kawasan Syiah Selasa lalu, memberi tanda perbuatan pemberontak pro-Taliban, yang melakukan keganasan mazhab bertujuan mengkucar kacirkan kerajaan.
“Kawalan keselamatan diketatkan di bandar untuk menghalang apa-apa insiden seperti itu. Kami memanggil renjer separa tentera selepas letupan malam tadi dan mereka dalam keadaan berjaga-jaga semakin dipertingkatkan dan boleh dipanggil bila-bila masa jika diperlukan,” kata Sajjad Bhutta, pegawai pentadbir kanan Lahore.
Kerajaan Pakistan mungkin berdepan keganasan militan yang baru ketika cuba menguruskan banjir terburuk negara dan kesengsaraan yang mungkin terjejas dalam tempoh panjang terutama dari segi ekonomi disebabkan musibah itu, kata penganalisis keselamatan. – REUTERS

Penyanyi rap antarabangsa ditahan kerana dadah



03/09/2010 3:06am

LOS ANGELES 3 Sept. - Penyanyi rap terkenal yang pernah memenangi anugerah Grammy, T.I dan isterinya, Tameka Cottle ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamin selepas polis terhidu bau ganja ketika menahan kereta yang dinaiki pasangan itu di West Hollywood.
Jurucakap polis, Diane Hecht berkata, selebriti berusia 29 tahun dan isterinya itu ditahan di Penjara Los Angeles sejak malam Rabu lalu.
Mereka bagaimanapun dibebaskan lewat malam semalam selepas membayar wang jaminan sebanyak AS$10,000 (RM31,215).
T.I yang nama sebenarnya ialah Clifford Harris Jr. sebelum ini mempunyai beberapa rekod jenayah, malah dia baru sahaja dibebaskan dari penjara Mac lalu selepas didapati bersalah memiliki senjata api secara haram. - AP

Ustazah, anak lelaki 10 tahun mati selepas disamun



03/09/2010 12:58pm

TELUK KEMANG 3 Sept. – Seorang ustazah dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun ditemui mati selepas disamun dan dibunuh di kediamannya di Flat Shahbandar, Port Dickson dekat sini awal pagi ini.
Ustazah berkenaan difahamkan mengajar di sebuah sekolah di Port Dickson dan tinggal berdua di rumah tersebut kerana suaminya bekerja di Kaherah, Mesir.
Ketika ini, mayat kedua-dua beranak itu masih di lokasi kejadian dan pihak polis termasuk unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan. – Utusan

Ibu dua anak bebas tuduhan subahat bunuh suami



03/09/2010 4:49pm

SHAH ALAM 3 Sept. – Seorang wanita yang terpaksa merengkok di dalam penjara sejak tiga tahun lepas dan berdepan dengan hukuman mati kerana dituduh bersubahat membunuh suaminya, hari ini dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Apa yang lebih bermakna, Jubaitha Theen Mohamed, 35, bukan sahaja dapat melepaskan rindu kepada dua orang anaknya berumur lapan dan 11 tahun, malah bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama mereka minggu depan.
Wanita itu didakwa bersubahat dengan abang kandungnya, Mohamed Ismail Theen Mohamed, 39, melakukan bunuh ke atas Hamsah Hussein, 34, di hadapan rumah bapa mangsa di Kampung Datok Abu Bakar Baginda, Dengkil, Sepang, antara pukul 11 malam hingga 11.30 malam, 23 April 2007.
Jubaitha didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 114 Kanun yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd. Jeffery Ong.
Selain Jubaitha, abangnya Mohamed Ismail turut terselamat dari tali gantung apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atasnya atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian Hamsah di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mohamed Ismail sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh Hamsah mengikut Seksyen 302 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang dibicarakan bersama Jubaitha menukar pengakuannya kepada bersalah apabila ditawarkan tuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan selepas 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – Bernama

Kes PKFZ: Liong Sik mohon kes ke Mahkamah Tinggi



03/09/2010 12:05pm

PUTRAJAYA 3 Sept. – Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hari ini memohon agar kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Selain itu, beliau juga memohon untuk mendapatkan tiga dokumen bawah Akta Rahsia Rasmi.
Peguam beliau, Wong Kian Kheong, memberitahu Mahkamah Sesyen Putrajaya bahawa pihaknya telah membuat permohonan pemindahan itu pada 1 September lalu mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah dan memohon pihak pendakwaan mempertimbangkannya.
Tiga dokumen yang dipohonnya pula adalah dokumen mesyuarat jemaah menteri, mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan dan mesyuarat jawatankuasa jemaah menteri.
"Merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, kami perlukan penjelasan takrif ”rahsia rasmi” dengan merujuk kepada tiga dokumen ini yang tergolong sebagai ”rahsia rasmi”.
“Saya perlu dokumen ini diklasifikasi untuk membolehkan pembelaan sewajarnya dibuat.
"Untuk sediakan pembelaan, saya juga telah memberitahu pendakwaan bahawa saya perlu menemu bual saksi-saksi berkenaan dengan tuduhan utama dan tuduhan alternatif dengan kehadiran pegawai penyiasat,” kata Kian Kheong sambil memohon satu tarikh sebutan awal dan singkat demi kepentingan awam memandangkan Liong Sik pernah menjadi menteri.
Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 30 November untuk sebutan kes.
Pada 29 Julai lalu, Liong Sik, 67, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu, di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002. – Bernama

Lelaki diperintah ke Hospital Bahagia

KLANG: Seorang penganggur yang menikam anggota polis di sebuah kedai makan, dekat sini, Mac lalu, diperintahkan Mahkamah Sesyen, semalam, untuk dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Hakim Yong Zarida Sazali membuat perintah itu terhadap Tan Liok Chong selepas berpuas hati tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika melakukan perbuatan itu. Yong Zarida berkata, mahkamah juga memerintahkan Tan ditahan di hospital berkenaan sehingga mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk dibebaskan. “Adalah tidak wajar tertuduh disabitkan dengan pertuduhan itu kerana dia menghidap penyakit mental,” kata Yong Zarida selepas meneliti laporan perbuatan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Tan didakwa menikam Koperal Hasnor Hadi Zainal dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah terhadap mangsa. Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, 27 Mac lalu di sebuah kedai makan di Batu 15, Jalan Klang-Banting, dekat sini.

Tan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil da Aimi Syazwani Sarmin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nafi palsu dokumen

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pengarah daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Putrajaya, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua tuduhan terbabit dalam pemalsuan butiran dalam dokumen dan satu lagi tuduhan menipu, tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd Nadzri Mohd Radzi, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Nadzri didakwa dengan niat memperdayakan butiran dalam dokumen iaitu inbois M Suites Hotel bagi pakej Penginapan Makan dan Minum Bagi Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Pengurusan Zon Selatan & Putrajaya antara 13 hingga 15 Mei 2009 di hotel itu yang berjumlah RM20,010. Jumlah sebenar pakej penginapan itu RM10,810. Kesalahan didakwa di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, No 25 Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya, pada Mei 2009. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000. Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nadzri didakwa dengan niat mengesahkan butiran palsu dalam dokumen iaitu Pesanan Kerajaan bertarikh 17 April 2009 berjumlah RM18,360 bagi Pakej Penginapan Makan dan Minum Bagi Kursus Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Sokongan Zon Utara dan Zon Timur pada 22 hingga 24 April 2009 di The Regency Hotel, Alor Setar, yang jumlah sebenar dikenakan hotel itu adalah RM10,462.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 ASPRM 2009 boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000, jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Nadzri didakwa menipu Kerajaan Malaysia dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), Putrajaya dengan memperdayakan mereka mempercayai kos penganjuran seminar Kursus Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Sokongan Zon Utara dan Zon Timur pada 22 hingga 24 April 2009 adalah RM18,360, di mana kos penganjuran seminar yang sebenar adalah RM10,462, sehingga mendorong mereka membuat pembayaran lebihan.

2 perogol bersiri dijel

SHAH ALAM: Dua perogol bersiri yang dikatakan `mengganas' di sekitar Petaling Jaya dan Gombak pada 2006, masing-masing dipenjara 10 dan 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku salah atas lima pertuduhan membabitkan peras ugut, rompak, culik dan rogol, empat tahun lalu.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu terhadap S Kalidas, 23 dan R Shasidaran, 26 dan memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan masing-masing 20 April 2006 dan 19 Oktober 2006. Tertuduh sebelum itu mengaku salah merompak seorang pemandu lori, menculik, mencabul dan merogol dua remaja yang dalam perjalanan ke sekolah sebelum meminta wang tebusan daripada ahli keluarga kanak-kanak itu. Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Kalidas dan Shasidaran masing-masing dihukum penjara 10 tahun dan 11 tahun berserta dua sebatan selepas mengaku salah merogol remaja berusia 17 tahun dalam kereta Kancil, di kawasan bukit pencawang elektrik, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh di Gombak. Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga dihukum penjara masing-masing lapan dan sembilan tahun untuk pertuduhan kedua iaitu melakukan rompakan menggunakan parang terhadap bapa mangsa yang juga pemandu Kancil itu dan merompak wang tunai RM140. Untuk kesalahan menculik dan melarikan dua remaja perempuan berusia 12 tahun dan 17 tahun yang berada dalam Kancil berkenaan, mereka masing-masing dikenakan hukuman penjara empat dan lima tahun. Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh.

Sementara, pertuduhan keempat, Shasidaran dihukum empat tahun kerana mengaku salah mencabul kehormatan kanak-kanak berusia 12 tahun.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Che Rohana Ismail.

Kelar leher

AMPANG: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak mengelar leher dan tangannya di sebuah kedai makan di Jalan Watan 8, di sini, selepas marah ditegur isterinya agar pergi ke hospital mental untuk mendapatkan rawatan, petang kelmarin.
Mangsa yang berusia 40-an itu kini dirawat di Hospital Ampang kerana mengalami kecederaan di lehernya, perut dan tangan akibat kejadian itu.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu selepas lelaki kurang siuman itu tidak dapat menerima nasihat isterinya agar ke hospital mental bagi membuat rawatan susulan.

Malah, lelaki itu naik angin apabila pekerja Indonesia kedai makan itu turut menegurnya agar menerima nasihat isterinya itu. “Pertengkaran antara mereka terjadi apabila lelaki yang tidak suka ditegur pekerja itu mengamuk dengan mengambil pisau dan dua bilah parang di dapur sebelum menghiris lehernya sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ahli keluarga dan pelanggan kedai makan yang cuba mengawal keadaan, kemudian terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan apabila melihat suspek mula mengacukan parang ke arah orang ramai. “Tindakan mengejutkan lelaki berkenaan yang mengkelar leher dan tangan menggunakan pisau dan dua parang itu menakutkan orang ramai sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.

Abdul Jalil berkata, polis terpaksa memujuk lelaki terbabit selama dua jam agar menyerah diri.

“Kira-kira jam 7 petang, polis berjaya memujuknya untuk menyerah diri selepas lelaki itu melihat dirinya berlumuran darah,” katanya.

Bagaimanapun, ketika anggota polis cuba merapatinya, lelaki itu bertindak mengkelar perut, tangan dan dan lehernya hingga orang ramai panik kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

“Anggota saya cuba memujuknya supaya bertenang dan meletakkan parang itu, namun dia enggan dan terus berdegil. Nasib baik isteri lelaki itu berjaya memujuknya untuk dihantar ke hospital,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal, lelaki berkenaan mempunyai rekod pesakit mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Belum sampai ajal

NEW YORK: Seorang lelaki hanya patah kaki apabila dia jatuh di atas sebuah kereta selepas terjun dari tingkat 39 rumah pangsa ketika cuba bunuh diri.


Kereta tempat Magill jatuh.
Kereta tempat Magill jatuh.

Thomas Magill, 22, ditemui terperusuk di tempat belakang kereta berkenaan.

Keadaannya dilapor stabil selepas hanya patah kaki dalam kejadian itu.

Magill yang bercita-cita menjadi pelakon, terjun dari tingkat 39 blok rumah pangsa yang didiaminya.

Dia yang menulis ‘Saya benci kehidupan saya’ dalam Facebooknya, jatuh dengan kelajuan 202 kilometer sejam sebelum jatuh di atas kereta Dodge Charger.

Dia dilapor sedar sepanjang kejadian itu.
Saksi, Andrew Petrocelli berkata: “Ia kejadian menakjubkan pernah saya lihat. Dia sepatutnya sudah mati. Dia jatuh kaki dulu dengan tangannya diangkat.” - Agensi

Racun kupas kulit

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat kosmetik terkemuka yang beroperasi sejak 10 tahun lalu diserbu penguat kuasa Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam kerana membawa masuk secara pukal produk kecantikan beracun berkonsepkan ‘kupas kulit.’


RAMPAS...pegawai farmasi KKM merampas losen terbabit.
RAMPAS...pegawai farmasi KKM merampas losen terbabit.

Berdasarkan siasatan, produk kosmetik yang diimport itu dibuat menggunakan bahan kimia berbahaya iaitu hidroquinone dan tretinoin yang diharamkan di negara ini selepas ia didapati boleh merosakkan kulit wajah selain menjadi punca kanser jika dipakai berterusan.

Sumber KKM berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dan serbuan kira-kira jam 11 pagi di semua cawangan di seluruh negara termasuk ibu pejabat syarikat kosmetik terbabit di sini.

“Berdasarkan ujian makmal, produk terbabit mengandungi hidroquinone dan tretinoin dalam kadar peratusan tinggi. Kesannya, pengguna akan mengalami kesan kulit mengelupas dan menjadi kemerah-merahan yang melampau.

“Hasil serbuan, KKM merampas losen yang mengandungi kimia berbahaya terbabit dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.

Menurutnya, hidroquinone dan tretinoin boleh mengakibatkan gatal, perubahan warna kulit dan kulit menjadi terlalu sensitif.
“Bahan kimia itu menyerap ke saluran darah dalam jumlah besar sehingga mendatangkan pelbagai kesan seperti pertuturan yang sukar difahami, muntah, sentakan otot, sakit kepala, sawan dan koma akibat kegagalan sistem pernafasan. Ia juga boleh menyebabkan kesan keradangan dan barah kulit,” katanya.

Sumber itu berkata, kebanyakan pengguna yang memakai kosmetik mengandungi kimia itu biasanya akan terpedaya apabila merasai perubahan pada tona wajah mereka yang semakin cerah selepas beberapa hari memakai krim kosmetik itu.
“Tona kulit mereka akan berubah seolah-olah menjadi putih dan bersih, tapi ia tidak akan kekal lama kerana keadaan itu akibat hakisan lapisan kulit yang belum sempat matang. Dalam tempoh singkat apabila didedahkan kepada cahaya matahari, kulit itu akan menjadi buruk dan terbakar,” katanya.

Menurutnya, pengedar cuba mengelirukan pengguna dengan mendakwa losyen wajah itu dihasilkan daripada bahan semula jadi terpilih.

“Berdasarkan maklumat pada botol produk itu, ia didakwa berupaya menghilangkan kesan jeragat dan jerawat pada wajah pengguna tanpa mudarat.

“Jadi, pengeluar produk itu melakukan kesalahan dan boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25,000 bagi kesalahan pertama atau RM50,000 bagi kesalahan kedua,” katanya.

Sumber itu berkata, pejabat pengeluar produk terbabit pernah diserbu beberapa kali, namun mereka berdegil.

Tumbuk jaga

AMPANG: Seorang pengawal keselamatan ditumbuk seorang penduduk yang bengang selepas ditanya pelbagai soalan sebelum dibenarkan memasuki kawasan rumahnya di Pandan Indah, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an pada mulanya menahan sebuah kereta yang memasuki kawasan perumahan berkenaan.
Menurut sumber polis, ketika itu ada tiga lelaki dalam kereta berkenaan dan pengawal keselamatan itu seperti biasa menjalankan tugasnya dan menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan rutin.

“Pada mulanya, mangsa meminta pemandu memberhentikan kereta dan bertanyakan ke mana mereka mahu pergi kerana khuatir mungkin mereka penduduk luar.

“Seorang daripada penumpang kereta itu kemudian memberitahu yang dia mahu pulang ke rumah dan sekali lagi mangsa bertanyakan pula alamat rumahnya bagi memastikan mereka benar-benar penduduk kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, pertanyaan itu membuatkan penumpang kereta berkenaan naik berang dan meminta pengawal keselamatan terbabit membuka palang dan membenarkan mereka masuk.

“Selepas palang dibuka, mereka kemudian masuk sebelum memberhentikan kereta di hadapan pondok pengawal dan seorang daripadanya keluar dari kenderaan dan menuju kepada pengawal keselamatan terbabit.

“Lelaki terbabit terus mencekak leher baju mangsa sambil memberi ugutan mahu memukulnya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, mangsa yang ketakutan cuba meminta lelaki itu bersabar dan memberitahu yang dia hanya menjalankan tugas bagi memastikan kawasan itu benar-benar selamat daripada diceroboh orang luar.

“Namun, ketika berbincang, seorang lagi penumpang keluar dan meluru sebelum dia melepaskan tumbukan tepat mengena muka mangsa.

“Selepas itu, mereka turut mengugut dan menakutkan mangsa dengan memberitahu yang dia akan dilanggar hingga mati jika mereka ternampak kelibatnya di atas jalan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Suami mangsa langgar peragut

AMPANG: Akibat geram selepas isterinya diragut, seorang suami bertindak mengejar peragut terbabit sejauh hampir satu kilometer sebelum melanggarnya yang ketika itu cuba melarikan diri.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi kelmarin, peragut berusia 24 tahun itu terpelanting sejurus motosikal ditunggangnya dilanggar suami mangsa yang mengejarnya dari Kampung Pandan menghala jalan F, berhampiran kawasan sama.
Sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya yang berusia lingkungan 30-an dikatakan dalam perjalanan mahu mengeluarkan wang dari sebuah bank di Kampung Pandan dan sejurus tiba di bank berkenaan, mangsa baru turun dari motosikalnya sebelum tiba-tiba suspek yang datang dari arah bertentangan terus menarik beg tangannya.

Akibat berang, suami mangsa terus bertindak mengejar suspek, tanpa menghiraukan keselamatannya.

Sebaik suami mangsa melanggar motosikal suspek, lelaki itu terpelanting dan cuba melarikan diri tetapi kerjasama orang ramai berjaya menahan suspek.

Suspek yang cedera di kaki dan tangan kemudian dibawa ke Balai Polis Ampang Jaya.

Mayat terapung di sungai

KLANG: Mayat seorang lelaki tanpa identiti dipercayai mangsa bunuh ditemui terapung dalam sungai, di Jalan Pandamaran, Sungai Aur, berdekatan kawasan perumahan, semalam.
Ia ditemui kira-kira jam 9.15 pagi oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis.
Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan polis turut menemui batu yang diikat pada mangsa dipercayai untuk menenggelamkannya selain kesan cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata berdasarkan keadaan mayat, ia dipercayai sudah meninggal dunia sejak empat hari lalu sebelum ditemui orang awam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian, 03-33712222.

Orang tua 'gay' menyamar polis

AMPANG: Kerana kemaruk seks sejenis, seorang lelaki warga emas bukan saja tidak menghormati Ramadan malah turut menyamar sebagai polis sebelum dia menggertak seorang remaja supaya mengikutnya dengan tujuan mahu melempiaskan nafsu songsangnya itu, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa seorang remaja berusia 15 tahun pada mulanya berada di sebuah kedai Internet sebelum dia didatangi seorang lelaki dan memperkenalkan diri sebagai polis.
Lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 50-an kemudian turut menunjukkan gari yang dibawanya membuatkan mangsa menjadi takut sebelum dia mengajak remaja terbabit keluar dari premis berkenaan dengan tujuan untuk menyoal siasat dengan lebih lanjut.

Menurut sumber polis, remaja itu yang takut dan mempercayai lelaki berkenaan adalah polis kemudian hanya menuruti segala arahan yang diberikan dan dia kemudian dibawa menaiki motosikal oleh ‘polis’ terbabit.

“Mangsa pada mulanya dibawa berlegar di sekitar kawasan Ampang sebelum lelaki terbabit memberhentikan motosikalnya di sebuah kawasan flat.

“Remaja terbabit kemudian dibawa ke tingkat dua flet berkenaan dan sejurus tiba di kawasan tangga, lelaki itu menggertak dan bertanya sama ada dia ada menghisap dadah atau tidak.

Menurutnya, remaja itu yang ketakutan memberitahu yang dia langsung tidak pernah mengambil sebarang barang terlarang sebelum lelaki berkenaan secara tiba-tiba bertindak agresif dengan meraba seluruh badan mangsa.

“Lelaki itu tidak dapat menahan nafsu turut meraba kemaluan mangsa dan cuba mencabulnya membuatkan remaja terbabit menjadi lebih takut sebelum dia dilepaskan.

Sumber berkata, ketika menghantar remaja itu, lelaki itu turut berpesan kepada remaja berkenaan agar merahsiakan segala yang berlaku daripada pengetahuan sesiapa.

Menurutnya, berikutan laporan itu polis sedang mengesan seorang lelaki yang berusia antara 55 hingga 60 tahun selepas dia didapati mencabul dan juga menyamar sebagai anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat remaja terbabit.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Taufan landa Korea Selatan, China





2010/09/03


POKOK tumbang mengenai bas selepas Taufan Kompasu melanda bandar Incheo, Korea Selatan.
POKOK tumbang mengenai bas selepas Taufan Kompasu melanda bandar Incheo, Korea Selatan.

SEOUL: Taufan Kompasu menyerang Korea Selatan semalam, mengorbankan tiga orang dalam apa yang dikatakan ribut tropika paling dahsyat melanda ibu kota ini dalam tempoh 15 tahun.

Laporan dari Beijing pula menyatakan, taufan Lionrock melanda pantai timur China, membawa hujan lebat dan mengganggu perkapalan di sepanjang pantai sibuk. Ia mula melanda Fujian, wilayah China berdepan pulau Taiwan, lapor agensi berita Xinhua.
Pengkaji cuaca China memberi amaran kepada penduduk supaya berlindung daripada angin kencang dan hujan lebat ketika Lionrock menuju ke Xiamen, Quanzhou dan bandar tepi pantai lain.
“Berjaga-jaga dengan kemungkinan banjir lumpur, runtuhan tanah dan bahaya lain dicetuskan akibat hujan lebat,” kata perkhidmatan kaji cuaca Fujian.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Korea Selatan menyatakan, angin kencang menumbangkan pokok, tiang elektrik dan lampu jalan, memutuskan bekalan kepada puluhan ribu rumah dan memaksa lapangan terbang membatalkan atau menangguhkan berpuluh penerbangan antarabangsa.

Lebih 60 penerbangan antarabangsa dilewatkan atau dibatalkan, kebanyakan dari dan ke China, kata pihak berkuasa di lapangan terbang Incheon dan Gimpo. Perkhidmatan dua kereta api bawah tanah di sini dan lima laluan kereta api turut ditunda.

Seorang lelaki berusia 80 tahun maut selepas dilanggar atap jubin dan ahli perniagaan 37 tahun terbunuh dalam perjalanan ke tempat kerja kerana ditimpa dahan pokok, kata agensi pengurusan kecemasan. – AP/REUTERS

Dakwa mati dipanah petir

CHUKAI: Gara-gara memasuki negara ini secara haram, beberapa pekerja asing dari Indonesia mengambil jalan singkat mengebumikan dua rakan senegara yang maut dipercayai akibat dipanah petir empat hari lalu tanpa mendapatkan permit pengebumian daripada pihak polis.
Namun, misteri kewujudan kubur dua buruh yang bekerja di ladang kelapa sawit di Bandar Cheneh Baru, di sini, yang menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk setempat itu kemudiannya dilaporkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, pihaknya mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula dua kubur berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Felda Neram Satu, untuk siasatan kes pengebumian tanpa permit dan mengenal pasti punca kematian.

“Kita menggali semula dua kubur berkenaan untuk bedah siasat bagi mengetahui apakah punca sebenar kematian dua pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berkenaan yang bekerja dan tinggal di rumah kongsi pekerja Ladang Felda Neram Satu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Menurutnya, siasatan merangkumi pelbagai aspek terutama mengenal pasti pihak yang terbabit dengan pengebumian itu hingga membolehkan dua pendatang berkenaan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam komuniti Felda di situ.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan tanah perkuburan itu mendapati kerja menggali dua kubur berkenaan dimulakan sejak jam 3 petang kelmarin oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan kedua-dua mayat dikeluarkan kira-kira dua jam kemudian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan mangsa memberitahu, kematian dan pengebumian berkenaan tidak dilaporkan kepada polis kerana Parman Yuhaidi, 28, dan adik iparnya dikenali sebagai Sumarni, 17, masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan serta permit kerja sah.

Kedua-dua mereka dikatakan meninggal dunia selepas dipanah petir jam 12 tengah malam pada 30 Ogos lalu ketika berehat di rumah kongsi mereka di tengah ladang sawit berkenaan.

Ketika kejadian itu juga, seorang lagi mangsa dipercayai suami kepada Sumarni dikenali sebagai Supardi, 20, turut berada di tempat kejadian mengalami kecederaan serta melecur.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang ditemui mati itu tidak mempunyai sebarang kesan terbakar.

Bapa kepada Parman, Yuhaidi Abdul Wahab, 42, ketika ditemui berkata, pada malam kejadian, kilat sabung menyabung dan mereka dikejutkan dengan jeritan mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah kongsi itu, mereka terkejut melihat Parman dan Sumarni bergelimpangan kerana melecur teruk dan sudah tidak bernyawa.
Katanya, pekerja Indonesia dengan kerjasama penduduk kampung mengebumikan kedua-dua mangsa kira-kira jam 12 tengah hari keesokannya.

Bertongkat cari ketum

GERIK: Walaupun uzur dan terpaksa berjalan menggunakan bantuan tongkat, seorang lelaki berusia 55 tahun sanggup menaiki kereta dipandu cucunya dari Kampung Raja, Besut, Terengganu semata-mata mahu mendapatkan bekalan daun ketum dari Kuala Ketil, Kedah.


RAMPAS...Mahad Nor (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
RAMPAS...Mahad Nor (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas.

Bagaimanapun, hasrat lelaki berkenaan bersama cucu lelakinya berusia 17 tahun untuk membawa pulang bekalan daun ketum itu ke kampungnya tidak kesampaian apabila ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya kira-kira jam 2.10 pagi, Isnin lalu.
Dalam sekatan jalan raya di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) itu, polis berjaya menemui 80 kilogram daun ketum diisi dalam lapan guni di dalam but kereta dipandu cucu lelaki berkenaan.

Ketua Polis Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata pihaknya terpaksa menahan kereta berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan sebelum memintas kenderaan itu dan menahannya di tepi jalan raya.

Beliau berkata, sebaik diperiksa, pihaknya mendapati pemandunya tidak mempunyai lesen memandu dan but kereta penuh berisi beberapa guni daun ketum.

“Selepas disoal siasat, lelaki berkenaan mendakwa baru balik dari mengubati kakinya secara tradisional di Kuala Ketil, Kedah manakala cucunya masih bersekolah dalam tingkatan lima di Besut.

“Lelaki berkenaan turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum basah dari Kuala Ketil, Kedah dan membawanya untuk dijual di pasaran tempatan selepas mendapat sambutan menggalakkan sepanjang Ramadan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, kedua-dua lelaki itu dibebaskan selepas dijamin polis sebanyak RM2,000 setiap seorang dan akan dibicarakan selepas menerima laporan daripada Jabatan Kimia.

“Kes disiasat didakwa di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda RM10,000,” katanya.

Mahad Nor berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Gerik dan Lenggong dengan tertangkapnya seramai 708 orang.

“Daripada jumlah itu, lapan daripadanya didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) Tahun 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati dan lapan lagi didakwa di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952 yang dikenakan hukuman buang daerah.

“Dalam tempoh itu, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM9,085 dengan paling banyak ialah jenis heroin sebanyak 256 gram,” katanya. Katanya, pihaknya akan terus membanteras pengedaran dadah ini dan sentiasa membuat pemantauan mengenai kegiatan itu selain berharap mendapat kerjasama daripada orang ramai.

Lima polis terbunuh terkena letupan bom di Bogota



03/09/2010 3:06am

BOGOTA 3 Sept. - Lima anggota polis terbunuh manakala empat yang lain cedera selepas terkena letupan bom ketika sedang melakukan kawalan keselamatan di kawasan kubu kuat kumpulan pemberontak lewat malam semalam.
Pengarah Operasi Polis Kebangsaan, Orlando Paez berkata, seramai 17 anggota polis sedang menaiki trak apabila letupan itu berlaku di selatan daerah Doncello. - AP

Bimbang dihalau sebelum raya

KUALA TERENGGANU: “Menyambut Aidilfitri dengan meriah memang tidak pernah terlintas di fikiran kerana setiap saat, saya hanya memikirkan kemungkinan dihalau dari pondok yang dibina di atas tanah tumpangan ini,” kata Mohd Riffin Hassan, 47, dari Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, di sini.
Menurutnya, pendapatan sebagai pemandu bot penambang sebanyak RM16 hingga RM18 sehari tidak mampu menampung perbelanjaan isteri dan enam anaknya berusia enam bulan hingga 18 tahun yang masih di bawah tanggungannya.
Katanya, lebih memeritkan mereka sekeluarga, rumah yang dibina di atas tanah milik orang sejak 20 tahun lalu, berukuran lapan meter panjang dan enam meter lebar itu tidak mempunyai tandas dan bilik tidur.

“Sekiranya ingin membuang air, anak lelaki akan ke masjid berhampiran atau ke tepi pantai manakala bagi wanita, mereka ke rumah saudara atau jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mohd Riffin berkata, lebih menggusarkannya apabila dia tiga kali dimaklumkan oleh tuan tanah supaya keluar dari tanah tumpangan berkenaan.

Malah katanya, untuk mendapatkan bekalan elektrik, dia terpaksa menyambung punca bekalan itu daripada rumah kakak iparnya yang terletak di hadapan pondoknya dan berkongsi membayar bil.

Katanya, telur dan nasi juadah utama mereka sekeluarga berbuka puasa, namun mujur anak-anaknya memahami kesempitan hidup serta pendapatannya yang tidak seberapa sebagai pemandu bot penambang.

Mohd Riffin berkata, Aidilfitri tidak ubah seperti hari-hari biasa kerana dia sendiri tidak mampu melakukan persiapan untuk menyambutnya kerana kesempitan hidup meskipun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyrakat RM400 sebulan dan sekiranya ada sedikit lebihan wang pun, ia akan digunakan untuk perbelanjaan keluarga.

“Bagi anak-anak saya yang kecil, ibu saudara mereka ada membelikan mereka baju raya berikutan saya tidak mampu membelikan untuk semua anak-anak saya,” katanya.

Menurut Riffin, isterinya Che Kembang Mamat, 37, seorang suri rumah dan selain menyara enam anak, dia turut menyara seorang adik isterinya yang bisu.

Bapa sembelih anak hanya mengangguk


Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2010/09/03


MUHAIMI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan membunuh anaknya Mohamad Adam  di Kampung Sungai Budor 24 Ogos, lalu.
MUHAIMI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan membunuh anaknya Mohamad Adam di Kampung Sungai Budor 24 Ogos, lalu.
Mahkamah arah jalani pemeriksaan psikiatrik
 

KOTA BHARU: Seorang bekas pengawal keselamatan yang dituduh menyembelih anaknya sendiri pada Selasa lalu, diperintah menjalani pemeriksaan psikiatrik selepas dihadapkan atas tuduhan melakukan pembunuhan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

7 parah, 18 cedera bas persiaran terbalik





2010/09/03


   PENUMPANG bas dari Genting Highlands ke Batu Pahat terbaring  tepi bas yang terbalik di kilometer 31.1 Lebuh Raya Karak,  semalam.
PENUMPANG bas dari Genting Highlands ke Batu Pahat terbaring tepi bas yang terbalik di kilometer 31.1 Lebuh Raya Karak, semalam.

KARAK: Seramai 18 penumpang cedera termasuk tujuh parah apabila bas persiaran yang mereka naiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum terbalik di Kilometer 31.1 Lebuh Raya Karak, dekat sini, petang semalam. 

Dalam kemalangan ketika hujan lebat jam 4.30 petang itu, bas persiaran yang turut membawa pelancong asing itu dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur.

Polis Indonesia didakwa jual senjata kepada al-Qaeda Aceh



JAKARTA 2 Sept. - Dua pegawai polis Indonesia dibicarakan hari ini atas tuduhan menjual senjata api kepada militan daripada kumpulan 'al-Qaeda di Aceh' yang berkomplot untuk melancarkan beberapa serangan di ibu negara ini.
Pendakwa berkata, Tatang Mulyadi dan Abdi Tunggal bin Adam menjual senjata api kepada militan menerusi seorang orang tengah dalam 26 urus niaga berasingan.
Mereka berdua adalah pegawai logistik yang mengawal gudang polis Indonesia.
"Tatang Mulyadi dan Abdi Tunggal menjual sejumlah 28 senjata api termasuk raifal AK-47, beberapa pucuk revolver dan 19,999 butir peluru," kata pendakwa M. Nasir di mahkamah daerah Jakarta timur.
Kedua-duanya menerima kira-kira 191 juta rupiah (RM67,200) daripada penjualan senjata itu, katanya.
Tertuduh didakwa membawa keluar senjata api dan peluru dari gudang polis kebangsaan dan menjualnya kepada pihak lain secara haram dan tanpa permit rasmi.
"Senjata tersebut kemudian digunakan untuk latihan militan di Aceh. Kumpulan itu mencari senjata untuk digunakan dalam rompakan bagi membiayai kem latihan mereka," kata Nasir.
Dua pegawai polis itu adalah antara lebih 100 orang yang ditangkap selepas penemuan sebuah kem latihan di Aceh pada Februari lepas. Kira-kira 66 suspek masih ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Sementara itu, lima suspek pengganas dibicarakan di mahkamah daerah Jakarta Barat hari ini atas tuduhan berkomplot untuk membunuh warga Barat, termasuk pekerja bantuan dan pelancong Amerika Syarikat (AS) dan menyertai kem latihan militan.
Empat daripada mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan. - AFP

35 maut dalam 3 serangan bom di Pakistan



LAHORE 2 Sept. - Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dalam tiga serangan bom semasa perarakan Syiah di Pakistan malam tadi.
Kejadian itu pastinya menambahkan lagi beban kepada kerajaan yang sudah pun bergelut dengan banjir teruk yang memusnahkan Pakistan dan memperlihatkan kumpulan militan kembali beroperasi walaupun berlakunya bencana alam.
Menurut pegawai kerajaan, Sajjad Bhutta, angka kematian dalam letupan itu meningkat kepada 35 hari ini, dengan kira-kira 250 cedera.
Pengeboman lewat malam tadi memusnahkan perarakan jalanan Syiah di Lahore yang sesak dan sering menjadi sasaran pelampau Sunah sepanjang dua tahun lalu, di mana fahaman minoriti itu kerap kali diserang.
Kumpulan Sunah telah melancarkan berpuluh-puluh serangan bagi menentang puak Syiah dan mazhab serta agama lain di Pakistan dalam beberapa tahun ini.
Turut bersekutu dengan al-Qaeda dan Taliban, kumpulan itu juga berusaha untuk menyahstabilkan kerajaan Pakistan yang disokong Amerika Syarikat melalui serangan-serangan sedemikian.
Mereka telah membina tempat-tempat perlindungan di kawasan barat laut yang hampir dengan sempadan Afghanistan, di mana mereka menyediakan perancangan dan latihan.
Pengeboman itu merupakan serangan besar pertama di Pakistan sejak banjir buruk memusnahkan negara ini lebih sebulan lalu, menyebabkan lapan juta penduduk memerlukan bantuan kecemasan dan menggerakkan usaha bantuan besar antarabangsa yang masih berterusan.
"Ketika seluruh negara menderita dengan kesengsaraan terjejas akibat banjir, kumpulan pengganas ini terlibat dalam menggerakkan agenda tersendiri mereka," kata Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani dalam satu kenyataan yang mengutuk serangan itu.
Pengeboman itu menggegarkan tiga kawasan berasingan ketika 35,000 puak Syiah berarak melalui jalan-jalan raya Lahore dalam satu perarakan perkabungan tradisional untuk memperingati Sayidina Ali, imam yang paling dihormati Syiah. - AP

Bapa sembelih anak diperintah jalani pemeriksaan mental



MUHAIMI Sautar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam .


KOTA BHARU 2 Sept. - Seorang bekas pengawal keselamatan yang didakwa menyembelih hingga mati anak lelakinya berumur tiga tahun pada bulan lalu, diperintah oleh Mahkamah Majistret di sini menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.
Majistret Mohd. Yusoff Yunus mengarahkan Muhaimi Sautar menjalani pemeriksaan tersebut selama sebulan semasa membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali ketika lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Muhaimi, 33, didakwa atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian anak lelakinya, Mohd. Adam Muzaffar di No. 133, Jalan Atas Paloh, Kampung Sungai Budor, di sini antara pukul 11.45 pagi dan 12.30 tengah hari, 24 Ogos lalu.
Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Muhaimi yang memakai pakaian penjara berwarna jingga dan berkaki ayam, mengangguk kepala tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu yang mempunyai rekod pesakit mental bagaimanapun hanya mendiamkan diri apabila majistret menawarkan jika dia mahu berkata sesuatu di mahkamah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mohd. Yusoff kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 September ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang bapa dipercayai menghadapi masalah mental, menyembelih hingga mati anak lelakinya yang berusia tiga tahun dalam kejadian menyayat hati di Kampung Sungai Budor di sini.
Lelaki terbabit menyembelih anak lelaki tunggalnya itu daripada tiga orang adik-beradik dengan menggunakan sebilah pisau dalam bilik air rumah mereka.
Dia kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya tetapi hanya mengalami kecederaan sebelum ditahan anggota polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk diberikan rawatan.
Mayat kanak-kanak malang itu ditemui terbaring berlumuran darah oleh ibunya, Nik Suzila Nik Hashim, 32, yang menyedari kejadian selepas mendengar jeritan kuat anak lelakinya itu.

Dua perogol bersiri dihukum penjara dan dua sebatan



SHAH ALAM 2 Sept. - Seorang juruelektrik dan pencuci kereta yang digelar perogol bersiri masing-masing dihukum penjara 10 dan 11 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah merogol seorang pelajar berusia 17 tahun, empat tahun lalu.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob juga memerintahkan S. Kalidas, 23, dan R. Shasidaran, 26, dihukum penjara lapan dan sembilan tahun bagi kesalahan merompak bapa kepada seorang lagi mangsa berusia 12 tahun.
Mereka turut dikenakan hukuman penjara lapan dan 10 tahun bagi dua tuduhan menculik kedua-dua mangsa tersebut.
Bagi kesalahan memeras ugut RM1,000 daripada bapa kepada mangsa yang berusia 17 tahun, kedua-dua tertuduh dihukum penjara empat dan lima tahun.
Sementara, Shasidaran turut dihukum penjara empat tahun bagi kesalahan mencabul kehormatan mangsa yang berusia 12 tahun.
Wan Mohd. Norisham bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh kedua-duanya ditangkap iaitu pada 20 April dan 19 Oktober 2006.
Beliau semasa menjatuhkan hukuman berkata, kesalahan yang dilakukan oleh Kalidas dan Shasidaran amat serius kerana masyarakat perlu dilindungi daripada orang seperti mereka.
Walaupun mereka mengaku bersalah bagi semua pertuduhan dan menjimatkan masa serta kos mahkamah, katanya, hukuman seperti itu perlu sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga orang awam.
Beliau turut menasihati kedua-dua tertuduh agar mengambil peluang semasa berada di penjara untuk berubah dengan menjadi insan yang lebih baik apabila selesai menjalani hukuman kelak.
Kalidas dan Shasidaran mengaku merogol pelajar berusia 17 tahun di dalam kereta di kawasan Bukit Pencawang Elektrik, Batu 11, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Gombak dekat sini antara pukul 5.40 dan 6.40 pagi, 12 Februari 2006.
Shasidaran turut dituduh mencabul kehormatan mangsa berusia 12 tahun pada masa dan tempat yang sama.
Mereka juga didakwa menculik kedua-dua gadis itu, merompak wang tunai RM140 dan beg duit milik ayah mangsa berusia 12 tahun dengan bersenjatakan sebilah parang serta memeras ugut bapa seorang lagi mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Che Rahana Ismail dan Siti Salwa Asmary Abdul Rahim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S.S. Dev.
Mengikut fakta kes, ayah salah seorang mangsa yang berusia 49 tahun telah memandu kereta Perodua Kancil untuk menghantar kedua-dua mangsa menaiki bas ke sekolah pada pagi hari kejadian.
Perjalanan mereka bagaimanapun terhenti apabila kereta tersebut tiba-tiba dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh kedua-dua tertuduh.
Tertuduh-tertuduh bertindak merampas kunci kereta dan merompak barangan milik ayah mangsa serta membawa mereka pergi sebelum meninggalkan lelaki itu berhampiran sebuah surau.
Kedua-dua mangsa pula dibawa ke sebuah kawasan pencawang elektrik untuk dirogol dan dicabul.
Selepas diperas ugut, bapa kepada mangsa berusia 17 tahun telah menyerahkan wang RM1,000 kepada tertuduh sebagai pertukaran dengan kedua-dua mangsa.
Mereka kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Lepas, bebas 24 pertuduhan rasuah





SHAH ALAM 2 Sept. – Selepas tujuh tahun, bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad (gambar) akhirnya berpeluang meraikan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan lebih bermakna apabila dibebaskan daripada 24 pertuduhan rasuah.
Abdul Kudus, 47, terlepas daripada hukuman penjara 10 tahun 11 bulan dan denda RM370,000 bagi kesalahan itu setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerima rayuannya untuk mengetepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Ampang tahun lalu.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa semasa membacakan penghakiman berkata, keterangan saksi utama pendakwaan, Steven @ S. Sathiasilan tidak boleh dipercayai kerana dia mempunyai kepentingan secara langsung dalam kes itu.
Beliau berpendapat, Steven adalah rakan sejenayah Abdul Kudus kerana dia terlibat secara aktif dan secara langsung dalam kesemua 24 transaksi yang melibatkan tertuduh.
Katanya, keterangan saksi itu juga tidak disokong oleh sebarang keterangan bebas yang mengesahkan berlakunya permintaan dan penerimaan rasuah oleh tertuduh.
‘‘Saya dapati Steven adalah pihak yang memulakan percubaan untuk merasuah tertuduh sebagai Pengarah Penguat Kuasa MPAJ dan bukan sebaliknya.
‘‘Steven mempunyai kepentingan untuk melindungi restorannya, dia bukan mangsa tetapi seorang yang memainkan peranan aktif dalam semua transaksi,’’ katanya.
Hakim Mohd. Yazid juga merumuskan tidak munasabah sekiranya tertuduh meminta dan menerima wang rasuah daripada Steven sedangkan restorannya masih berterusan diserbu dan disaman oleh MPAJ.
Jelasnya, keterangan antara Steven dan seorang saksi juga bercanggah yang sekali gus menunjukkan bayaran-bayaran yang dikatakan dibuat tidak wujud serta hanya rekaan.
Tegas beliau lagi, pihak pendakwaan juga gagal memanggil ibu Steven bagi mengesahkan anaknya ada meminta duit RM8,000 untuk diberikan kepada tertuduh.
‘‘Saya menerima pembelaan tertuduh sebagai munasabah. Ini adalah kerana pihak pendakwaan tidak membuktikan tuduhan-tuduhan permintaan dan penerimaan wang rasuah melibatkan tertuduh sebagaimana pertuduhan.
‘‘Hakim Mahkamah Sesyen telah gagal membuat penilaian maksimum di peringkat kes pendakwaan. Tertuduh tidak sepatutnya dipanggil membela diri. Rayuan dibenarkan. Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada 24 pertuduhan,’’ katanya.
Abdul Kudus diwakili peguam M. Manoharan dan Afifuddin Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fariza Hamzah mewakili pihak pendakwaan.
Sebaik sahaja mahkamah bersurai, Abdul Kudus dilihat dipeluk oleh kakaknya yang turut hadir mengikuti prosiding sambil menangis.
Semasa ditemui di luar mahkamah, Abdul Kudus yang dilihat bergenang air mata melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada barisan peguamnya.
Walaupun berkeyakinan akan dibebaskan sejak dari awal, namun Abdul Kudus menganggap ia tidak lagi bermakna selepas kehilangan keluarga dan ibunya.
‘‘Tidak ada apa-apa boleh diraikan kerana hidup saya dan keluarga saya telah musnah disebabkan kes ini. Ibu saya meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung disebabkan peluru yang dihantar ke rumah. Sejak itu, sudah empat tahun saya beraya di kubur ibu saya,’’ katanya.
Abdul Kudus yang kini menjadi pemandu teksi dan lori secara sambilan berkata, dia akan berbincang dengan peguamnya berhubung tindakan lanjut termasuk menyaman pihak pendakwaan.
Pada 30 Jun tahun lalu, Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun 11 bulan dan denda RM370,000 ke atas Abdul Kudus selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah RM59,000 antara 2001 dan 2003.
Pada 27 Ogos lalu, Abdul Kudus gagal dalam tuntutan samannya terhadap MPAJ setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati surat pemberhentian kerja terhadap Abdul Kudus adalah sah dan MPAJ berhak memecatnya.

Polis temui 24 warga India dikurung



IPOH 2 Sept. - Polis menemui seramai 24 lelaki warga India yang dikurung dalam sebuah rumah dipercayai mangsa pemerdagangan orang dalam satu serbuan di Sungai Siput, dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki rakyat Pakistan dipercayai terlibat menguruskan kegiatan haram itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua warga India berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu ditemui hasil maklumat awam.
"Dalam serbuan pukul 12.45 tengah hari Selasa lalu, rumah itu didapati berkunci. Sebaik sahaja kita membukanya, polis menemui 24 lelaki yang berasal dari Uttar Pradesh, India, terkurung dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki Pakistan yang ditahan masing-masing berusia 34 dan 25 tahun.
Kata Mohd. Dzuraidi, siasatan mendapati, kesemua lelaki India itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak empat bulan lalu.
Polis percaya kesemua lelaki itu dikurung di rumah berkenaan buat sementara waktu sebelum dihantar ke Pulau Pinang untuk bekerja di sebuah kilang yang dijanjikan gaji lebih lumayan.
"Sebaik tiba, mereka dibawa oleh dua lelaki Pakistan ke Johor untuk bekerja di sebuah kilang.
"Mereka kemudiannya diminta membayar sebanyak RM300 seorang untuk membolehkan mereka bekerja di Pulau Pinang dengan gaji lebih lumayan," jelas beliau.
Katanya, kedua-dua lelaki warga Pakistan itu direman selama seminggu mulai semalam dan salah seorang daripadanya sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007.
Sementara itu, kesemua lelaki India terbabit dihantar ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Amah diburu kes kematian bayi berjaya ditangkap



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang diburu polis bagi membantu siasatan kes dera bayi berusia 15 bulan di Puchong, berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Permata 1, Taman Permata, Ampang, hari ini.
Polis berjaya menjejaki dan menahan suspek, Rita Rohayati, 25, pada pukul 12.54 tengah hari, selepas menerima maklumat orang ramai yang mengatakan suspek sedang berkeliaran di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, penduduk di kawasan itu yang kebetulan baru saja menonton berita tengah hari di televisyen, mengecam wajah wanita itu lalu memaklumkan kepada polis.
"Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian itu dan sama ada pembantu rumah tersebut terlibat dalam kematian bayi itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Pada 27 Ogos lalu, bayi malang itu, Tan Jin Yong dikejarkan ke Pusat Perubatan Colombia Asia di Bandar Putri Puchong setelah tidak sedarkan diri namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Rita sendiri sempat memaklumkan kepada Meng Kiang mengenai kejadian yang menimpa anak tunggal majikannya itu, sebelum dia menghilangkan diri.
Ahli patologi Hospital Serdang mengesahkan kematian Jin Yong mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan-kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dicekik.
Turut ditemui adalah kesan keretakan di tulang kaki kanan mangsa yang menunjukkan mangsa mungkin pernah didera sebelum ini.
Berikutan perkembangan itu, polis yang pada mulanya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, menukar kertas siasatan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Cabaran baru untuk selamatkan pelombong Chile



CAPIAPO - Pakar keselamatan pelombongan mengeluarkan kenyataan bahawa usaha untuk menyelamatkan 33 pelombong yang terperangkap jauh di dalam lombong Chile adalah satu cabaran yang belum pernah berlaku. 

Pengarah sebuah syarikat perunding keselamatan lombong New Zealand, Dave Feickert berkata, mereka berhadapan dengan operasi menyelamat yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. 

"Operasi menyelamatkan 33 pelombong itu adalah sangat mencabar dan unik," katanya. 

Jurutera perlu menggunakan penggerudi untuk membuat lubang panduan sedalam 700 meter ke dalam lombong San Jose tersebut.

Sebuah sangkar khas akan dibina untuk membawa pelombong ke permukaan dan proses itu akan mengambil masa selama tiga jam untuk mengeluarkan setiap seorang pelombong.

Jenayah penculikan berleluasa di Mexico



SAN SALVADOR - Jumlah sebenar pendatang yang terbunuh di Mexico sejak beberapa tahun kebelakangan ini mungkin tidak akan diketahui, tetapi jumlah itu dilaporkan jauh lebih besar daripada 72 mangsa yang ditemui mati dibunuh, minggu lalu.

Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia Mexico melaporkan, terdapat kenyataan saksi bagi 198 penculikan secara besar-besaran membabitkan 9,758 mangsa sepanjang tempoh enam bulan pada 2009.

Menurut aktivis kemanusiaan, kumpulan sindiket dadah di Mexico sering membunuh satu atau dua orang daripada setiap kumpulan yang diculik bagi menakut-nakutkan mangsa lain supaya meminta bayaran pampasan daripada keluarga masing-masing.

Ratusan orang menyerbu pejabat kerajaan di beberapa negara di Amerika Tengah bagi mencari keluarga masing-masing selepas berita mengenai pembunuhan secara besar-besaran itu tersebar.

Kebanyakan mangsa culik yang terbunuh merupakan pendatang dari negara Amerika Latin yang melalui Mexico dalam usaha untuk memasuki Amerika Syarikat.

Misteri kawah panjang 322km di Marikh




IMEJ yang dirakamkan menerusi sebuah kamera beresolusi tinggi menunjukkan kawah aneh di Planet Marikh.

PARIS – Saintis di Eropah bingung apabila menemui imej rakaman terbaru yang menunjukkan satu kawah aneh sepanjang 322 kilometer (km) dan selebar 145km di permukaan planet Marikh, lapor sebuah akhbar semalam.
Kawah tersebut dikenali sebagai Orcus Patera berada di antara dua buah gunung berapi iaitu Elysium Mons dan Olympus Mons.
Istilah patera biasanya digunakan untuk merujuk jurang dalam atau kawah gunung berapi. Namun, para saintis Agensi Angkasa Eropah (ESA) masih gagal mengenal pasti punca kawah berkenaan.
Saintis-saintis itu percaya, penjelasan paling munasabah mengenai misteri kawah itu adalah ia disebabkan kesan hentaman kuat oleh sebuah tahi bintang kecil yang mungkin merempuh permukaan Marikh.
Imej-imej itu dirakamkan menerusi kamera digital resolusi tinggi oleh kapal angkasa Mars Express. – Agensi
kredit : kosmo.com.my