Search This Blog

Thursday, September 2, 2010

Amah terjun bangunan dengan payung ditemui maut

MADINAH: Cubaan seorang pembantu rumah melarikan diri daripada majikannya dengan melompat menggunakan payung berakhir dengan tragedi, semalam.
Menurut saksi, wanita itu terbunuh selepas melompat keluar dari tingkat tujuh bangunan kediaman di Jalan Sultana itu.
Katanya, payung berkenaan digunakan sebagai alat untuk melambatkan pergerakannya tetapi ia gagal terbuka seperti diharapkan.

“Wanita itu terhempas ke atas laluan di bawah dan mati serta-merta,” katanya.

Sebelum melompat, pembantu rumah itu melontar beg pakaiannya.

Sementara itu, majikan wanita terbabit berkata, dia dimaklumkan mengenai insiden itu oleh pengawal keselamatan.

Sebilah pisau dipercayai digunakan untuk mengumpil tingkap rumah itu turut ditemui. - Agensi

Lelaki perdaya gadis kaya dipenjara

MADINAH: Lembaga Siasatan dan Pendakwaan Awam Madinah mengarahkan seorang lelaki Turki dipenjara selepas menipu seorang gadis jutawan membabitkan kerugian bernilai RM11.7 juta, semalam.
Lelaki terbabit - berusia 30-an - ditahan dan disoal siasat selepas didakwa membawa mangsa yang baru menerima wang pusaka ke Jeddah.
Di Jeddah, lelaki terbabit memujuk mangsa yang berusia 18 tahun mengeluarkan RM209,700 dari bank dan diserahkan kepadanya.

Selepas keluarga wanita membuat laporan polis, mereka dikesan dan dibawa pulang ke Madinah.

Lelaki itu kemudian ditahan pihak berkuasa, manakala gadis terbabit diserahkan semula kepada keluarganya. - Agensi

92 tahanan imigresen larikan diri

SYDNEY: Seramai 92 pencari suaka politik melarikan diri dari sebuah pusat tahanan imigresen di Darwin semalam selepas dua hari merusuh dan mengadakan tunjuk perasaan di luar.
Jurucakap Jabatan Imigresen berkata, tahanan itu melarikan diri awal pagi.
Menurut laporan media, penunjuk perasaan itu, warga Afghanistan, turut mengibarkan sepanduk berbunyi ‘Kami perlukan perlindungan, bukan tahanan.’ Tindakan tahanan melarikan diri secara beramai-ramai berlaku selepas kira-kira 100 penyeludup manusia terdiri daripada warga Indonesia, menunjuk perasaan dengan membakar tilam di bumbung pusat itu pada Ahad dan Isnin lalu. - Reuters

Murid 9 tahun mangsa pelajar samseng

BANGKOK: Sekumpulan samseng terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang melepaskan tembakan terhadap sebuah bas awam, menyebabkan seorang murid berusia sembilan tahun mati.
Keganasan antara pelajar sekolah vokasional sudah sekian lama menjadi masalah di Thailand dan sengketa antara mereka sering merebak di dalam bas dan pusat beli-belah yang menjadi tumpuan pelajar.
Pelajar darjah tiga, Jatuporn Ponpaka dilapor menaiki bas untuk ke sekolah bersendirian di timur Bangkok dengan berpakaian senaman.

Dia turun dari bas itu berhampiran sekolahnya apabila kira-kira 20 pelajar Sekolah Teknologi Bangkapi muncul dari sebuah lorong dan melepaskan tiga das tembakan, kata jurucakap polis, Lt Kol Prasit Taprasitjit.

Jatuporn ditembak di kepala dan dada, Dia dikejarkan ke hospital tetapi mati sejam selepas itu. - Agensi

5 perusuh ditembak mati

PALU: Polis melepaskan tembakan dan menembak mati lima orang apabila sekumpulan perusuh menyerang balai mereka dengan bom api kerana membantah kematian seorang lelaki dalam tahanan.
Lebih 20 orang, termasuk beberapa anggota polis cedera dalam keganasan yang berlaku di bandar Buol, Sulawesi Tengah, kata Timbalan Ketua Polis daerah, Dewa Parsana.
“Sejumlah besar penduduk mengepung balai polis dan melontar bom api.

“Kami tidak ada pilihan lain kecuali menembak ke arah penunjuk perasaan kerana mereka kelihatan sudah tidak terkawal lagi dan bertindak membakar motosikal yang diletakkan di luar balai.

“Lima orang mati akibat tindakan itu. Kemarahan terhadap kematian seorang lelaki dalam tahanan menyebabkan rusuhan itu,” kata Dewa.

Kira-kira 300 anggota tambahan polis dikerah ke daerah berkenaan, lapor agensi berita Antara. Menurutnya, beribu-ribu orang terbabit menyerang balai itu tetapi jumlah itu tidak dapat disahkan.

Ketua Polis Sulawesi Tengah, Amin Saleh berkata, pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan.

“Kami sudah mula menyiasat kejadian itu,” katanya. - Reuters

Ibu, 4 anak rentung

MAKKAH: Seorang wanita dan empat anaknya terbunuh, semalam, dalam kebakaran awal pagi di rumah mereka di kawasan setinggan di daerah al-Misfalah.
Menurut jurucakap Pertahanan Awam Makkah, Ali al-Muntashiri, api dipercayai bermula di sebuah bangunan di laluan masuk kawasan berkenaan.
Katanya, keluarga malang itu terperangkap selepas api membakar bumbung bangunan itu.

“Siasatan menunjukkan, cara bangunan itu dibina dan bahan yang digunakan menyebabkan api mudah marak,” katanya.

Setakat ini pihak berkuasa tidak menganggap kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Awal bulan ini, empat jemaah umrah cedera dalam kebakaran di sebuah hotel 10 tingkat di daerah Ajyad, berhampiran Makkah.

Akibat bencana itu, anggota Pertahanan Awam Makkah terpaksa memindahkan kira-kira 300 jemaah umrah yang menginap di hotel berkenaan.

Bulan lalu pula, dua budak dilaporkan terbunuh dalam kebakaran di rumah pangsa mereka di daerah al-Shishah, manakala dua lagi saudara dan ibu mereka cedera.

Laporan bedah siasat menunjukkan, kedua-dua budak terbabit meninggal dunia kerana lemas disebabkan asap tebal yang menyelubungi kediaman itu ketika mereka tidur. - Agensi

Ganja dalam but teksi

JITRA: Seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Nigeria selamba meletakkan 24 ketulan mampat ganja bernilai RM72,000 di dalam but teksi yang mereka naiki dan memasuki negara ini dari negara jiran sebelum ditahan di pekan Napoh dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, warga Nigeria berusia 34 tahun dan lelaki tempatan yang juga pemandu teksi berusia 49 tahun itu ditahan pada jam 6.45 pagi dipercayai mahu membawa dadah berkenaan ke Kuala Lumpur.
“Berdasarkan maklumat awal, lelaki asing itu tiada kerja tetap dan tinggal di Kuala Lumpur menggunakan dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR). “Bagaimanapun kami masih menyiasat sama ada dokumen dikemukakannya adalah sah kerana terdapat beberapa keraguan,” katanya.

Van DVD ciplak

KUALA LUMPUR: Bahagian luar van tertera perkataan perniagaan alat ganti, namun apabila diperiksa van misteri bercermin gelap terbabit sebaliknya stor bergerak yang digunakan sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) cetak rompak untuk membawa dan menyimpan beribu keping bahan haram berkenaan, di Taman Tun Dr Ismail, di sini petang kelmarin.
Taktik terbabit digunakan satu sindiket selepas tidak tahan dengan tindakan pihak kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang kerap kali menyerbu dan merampas DVD cetak rompak yang disimpan dalam stor statik.
Lebih menarik apabila sindiket terbabit turut menggunakan khidmat ‘budak penghantar’ yang menaiki motosikal untuk mengambil DVD cetak rompak dari van itu sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, sindiket berkenaan ditumpaskan selepas sepasukan pegawai KPDNKK melakukan penyamaran sebelum mengekori van berkenaan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, berkata, sindiket pengedaran DVD cetak rompak terbabit yang berpusat di Taman Tun Dr Ismail di sini, pernah beberapa kali diserbu namun masih tidak serik.

“Hasil siasatan mendapati peniaga berkenaan yang juga seorang lelaki tempatan hanya mempamerkan katalog berisi judul filem cetak rompak yang ditawarkan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Badan dikelar

AMPANG: Malang buat seorang lelaki apabila menerima 12 jahitan di kepala, selain beberapa kecederaan di tangan dan badan selepas diserang dengan pisau Rambo ketika berada di sebuah flat di Ampang Hilir, awal pagi, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor berusia lingkungan 30-an pada mulanya pergi ke flet berkenaan untuk bertemu seorang wanita yang dikenalinya melalui laman sembang facebook.
Menurut sumber polis, sebelum itu, mangsa bersama wanita yang digelar ‘Mummy’ itu berkunjung ke sebuah pusat hiburan, namun wanita terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengannya mengenai soal pembayaran ketika mereka berhibur.

“Wanita terbabit menghubungi mangsa dan memintanya datang ke flat tempat tinggalnya untuk berbincang mengenai pembayaran berkenaan.

“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa pergi berjumpa suspek dan ketika tiba di tempat letak kereta flat itu, lima lelaki tidak dikenali menghampirinya,” katanya.

Menurutnya, mangsa pada mulanya tidak menghiraukan mereka kerana menganggap mereka penduduk di kawasan itu.

“Bagaimanapun, sejurus keluar dari kereta, lima lelaki terbabit memukul mangsa dan seorang daripadanya bersenjatakan pisau Rambo mengelar badan dan kepala mangsa.

“Mangsa cuba melawan, namun tidak berdaya dan ketika itu sekumpulan lagi lelaki lain datang menyerangnya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, takut melihat kumpulan lelaki yang ramai itu, mangsa berlumuran darah melarikan diri sebelum menghubungi polis.

“Bertindak daripada maklumat itu, anggota polis peronda bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa yang menahan sakit tidak jauh dari flat itu.

“Mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Geng mabuk perangkap diri

KUALA LUMPUR: Tindakan berani tujuh ‘geng mabuk’ menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan kediaman mereka di Liga Mas, Batang Kali, dekat sini, semalam, tanpa memakai topeng muka menjerat diri sendiri apabila ditahan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, suspek bersenjatakan parang dan dalam keadaan mabuk menyamun kedai serbaneka berkenaan.
Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian terdapat dua pekerja wanita berada di dalam kedai itu tetapi bernasib baik kerana tidak dicederakan.

Menurutnya, semua suspek cuba melarikan diri, namun kelibatnya dilihat beberapa penduduk setempat yang kebetulan berhampiran tempat kejadian.

“Penduduk yang melihat kelibat mereka mula mengesyaki sesuatu berlaku memandangkan suspek memang dikenali penduduk di kawasan perumahan itu sebagai samseng.

“Saya difahamkan, semua suspek sering menimbulkan kekecohan seperti memecah botol, kerusi dan meja di beberapa kedai makan ketika mereka dalam keadaan mabuk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hasil maklumat penduduk, polis menahan suspek di rumah seorang daripada mereka dalam tempoh kurang tiga jam.

“Ketika serbuan, ketujuh-tujuh suspek sedang tidur menyebabkan mereka tidak menyedari kehadiran polis di rumah itu.

“Selepas menahan semua suspek itu, polis turut memeriksa keseluruhan rumah dan ketika memeriksa kereta Perodua Viva, polis menemui sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika menyamun mangsa,” katanya.

Polis turut merampas kereta terbabit dan sebuah motosikal Honda EX5, sehelai kemeja T merah dan lapan botol minuman keras.

Norel berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan tetap kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Pekerja kilang bebas tali gantung

GEORGETOWN: Seorang pekerja kilang terlepas hukuman gantung sampai mati selepas mengakui kesalahannya memiliki kanabis seberat 293.61 gram di Mahkamah Tinggi Georgetown, semalam.
Pada mulanya, tertuduh, Mustaffa Ismail, didakwa mengedar dadah berkenaan di rumahnya di 7295-M, Jalan Permatang Indah, Tasek Gelugor, pada jam 11.15 malam pada 5 Disember 2007 oleh Timbalan Pendakwa Raya, L Umma Devi.
Mustaffa didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut akta sama dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Bagaimanapun, pada sesi pembelaan diri semalam, hukuman mati diketepikan dan Pesuruhjaya Kehakiman Nurmala Salim menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh penahanannya.

Peguam bela, RSN Rayer yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan Mustafa mempunyai dua anak berusia dua dan lima tahun serta memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan.

“Tertuduh sudah diberikan hukuman yang setimpal,” kata Nurmala ketika membacakan keputusannya, semalam.

Bawa dadah kunyah

JITRA: Daun ketum yang selama ini menjadi pilihan penagih mungkin tidak lagi popular berikutan kemunculan daun khat iaitu dadah jenis kunyah yang dipercayai mampu mendatangkan kesan khayal seperti pengambilan pil Ecstacy.


BAHAN BUKTI...Syed Ismail menunjukkan daun khat segar yang dibungkus dalam kertas lutsinar.
BAHAN BUKTI...Syed Ismail menunjukkan daun khat segar yang dibungkus dalam kertas lutsinar.

Daun berkenaan dikesan apabila polis menahan seorang lelaki warga Yaman dan merampas 199 bungkus daun khat seberat 30 kilogram bernilai kira-kira RM1,500 di Changlun, dekat sini, Isnin lalu. Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah yang bertindak atas maklumat awam menahan seorang lelaki asing berusia 21 tahun, juga pelajar tahun dua bidang perakaunan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur kerana didapati membawa 199 bungkusan timah mengandungi daun khat segar di dalam dua beg di stesen teksi Changlun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ketika ditahan suspek membawa dua beg pakaian untuk mendapatkan khidmat teksi, namun hasil pemeriksaan polis mendapati beg berkenaan mengandungi 69 dan 130 bungkus daun khat. “Kami percaya dadah itu untuk diedar di sekitar Kuala Lumpur tempat suspek belajar dan dibawa masuk melalui sempadan Thailand. “Ini juga juga kes pertama membabitkan dadah itu di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata, daun khat atau nama saintifiknya Catha Edulis adalah dadah kunyah yang kesalahannya termaktub dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dan banyak terdapat di Afrika Timur serta Dataran Arab. “Daun khat mengandungi dadah cathinone iaitu jenis yang sama seperti amphertamine, bahan utama membuat pil Ecstacy yang jika digunakan akan mengalami kesan sama seperti pengambilan Ecstacy selain boleh menyebabkan perlakuan ganas jika diambil pada kadar tertentu. “Menurut konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1965, daun khat diklasifikasikan sebagai dadah, namun hukumannya terserah kepada negara masing-masing. “Ia juga dadah murah dan boleh didapati pada harga RM40 hingga RM50 sekilogram,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Suspek direman sehingga Isnin depan.

Wanita Indonesia buang bayi dijel 18 bulan

SEREMBAN: “Perbuatan kamu dianggap tidak berperikemanusiaan dan perlu dijadikan pengajaran kepada orang lain.”
Begitu kata Majistret Marsilawati Mohamad Shah ketika menjatuhi hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang wanita warga Indonesia kerana membuang bayi lelakinya yang baru lahir dan masih hidup di atas tong sampah pada hujung Jun lalu, semalam.
Rusmiyah, 22, yang memakai baju lokap oren nampak tenang ketika keputusan itu dibacakan.

Dia didakwa sengaja membuang bayinya di atas tong sampah depan sebuah rumah di No 705, Jalan Sri Pulai 46/3, Taman Sri Pulai 3, Sikamat, kira-kira jam 4 petang pada 29 Jun lalu.

Berikutan itu, Rusmiyah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Marsilawati dalam penghakimannya berkata, masalah pembuangan bayi dianggap serius dan memutuskan hukuman penjara 18 bulan terhadapnya bermula dari tarikh dia ditangkap.

Dua lagi maut akibat denggi minggu lepas

KUALA LUMPUR: Dua lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan berlaku, masing-masing satu di Melaka dan Sarawak, dalam tempoh 22 hingga 28 Ogos lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
"Kes pertama membabitkan seorang suri rumah berumur 63 tahun dari Sri Aman, Sarawak, manakala kes kedua membabitkan seorang anggota polis berumur 42 tahun dari Melaka," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, jumlah kes kematian akibat denggi juga meningkat 51 peratus atau 35 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 103 kematian dari bulan Januari hingga 28 Ogos 2010 berbanding 68 dalam dalam tempoh yang sama tahun lalu. Menurutnya, dalam tempoh seminggu bermula 22 Ogos lepas, 1,159 kes demam denggi dilaporkan, yang merupakan peningkatan 85 kes atau lapan peratus berbanding 1,074 kes pada minggu sebelumnya. Sepuluh negeri menunjukkan peningkatan kes pada minggu lepas iaitu Kelantan meningkat 57 kes, Johor 34 kes, Sabah 15 kes, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan/Putrajaya masing-masing 11 kes, Sarawak lapan kes, Perlis lima kes, Terengganu empat kes, manakala Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing meningkat sebanyak satu kes. "Dalam tempoh yang sama 10 kes penyakit Chikungunya dilaporkan, iaitu peningkatan lima kes berbanding minggu sebelumnya," katanya. Dr Mohd Ismail berkata, daripada jumlah itu, lapan kes berlaku di Sabah dan dua kes di Sarawak. Katanya, setakat ini jumlah terkumpul kes Chikungunya ialah 751 kes, iaitu penurunan 76 peratus atau 2,364 kes, berbanding 3,115 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.-Bernama

Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Galian dituduh menipu

KUALA LUMPUR: Seorang Penolong Pengarah dari Jabatan Tanah dan Galian di Putrajaya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan terlibat dalam pemalsuan butiran dalam dokumen dan satu tuduhan menipu tahun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nadzri Mohd Radzi, 27, didakwa dengan niat memperdayakan butiran dalam dokumen iaitu invois M Suites Hotel bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan pengurusan Zon Selatan dan Putrajaya bertarikh 13 hingga 15 Mei 2009 di hotel itu berjumlah RM20,010 sedangkan jumlah sebenar pakej itu adalah RM10,810.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Putrajaya, pada Mei 2009.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nadzri didakwa dengan niat mengesahkan butiran palsu dalam dokumen iaitu pesanan kerajaan bertarikh 17 April 2009 berjumlah RM18,360 bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan sokongan Zon Utara dan Zon Timur dari 22 hingga 24 April 2009 di The Regency Hotel, Alor Setar, yang mana jumlah sebenar bayaran yang dikenakan oleh hotel itu adalah RM10,462.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 18 ASPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nadzri didakwa menipu kerajaan Malaysia dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), Putrajaya, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa kos penganjuran seminar Kursus Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Sokongan Zon Utara dan Zon Timur pada 22 hingga 24 April 2009 adalah RM18,360, di mana kos penganjuran seminar yang sebenar adalah RM10,462, sehingga mendorong mereka membuat pembayaran lebihan berjumlah RM7,898 kepada PKNK Hotel Sdn Bhd, pemilik kepada The Regency Hotel, Alor Setar.

Pertuduhan kedua dan ketiga didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Presint 4, Putrajaya, pada April 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun, atau denda, atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Hung Heng Hong, menawarkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mohd Nadzri, yang tidak diwakili peguam, kemudiannya memohon agar jaminan itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan mempunyai ibu bapa yang sudah tua.

UPP Bukit Bunga rampas beras seludup

KOTA BAHARU: Unit Pencegahan Penyeludupan Bukit Bunga berjaya merampas 244 kampit beras seludup, membabitkan anggaran rampasan berjumlah RM43,100 dalam tiga serbuan sepanjang bulan Ramadan ini.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, beras seberat 12,200 kilogram itu dirampas hasil maklumat orang awam.
Katanya, serbuan pertama dan ketiga di Kampung Padang Luas, Terengganu pada 24 Ogos dan hari ini manakala serbuan kedua di Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah pada 25 Ogos lepas. "Kesemua beras berkenaan dipercayai untuk diseludup bagi pasaran tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, beras berkenaan diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan lanjut.-Bernama

Polis tahan dua lelaki Pakistan, temui 24 lelaki India yang dikurung

IPOH: Polis menemui 24 lelaki warganegara India yang dikurung dalam sebuah rumah dan menahan dua lelaki Pakistan yang disyaki terbabit dengan kegiatan pemerdagangan orang, dalam satu serbuan di Sungai Siput, kira-kira 40 km dari sini dua hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua mereka yang berumur 20 hingga 30-an ditemui di dalam rumah itu dalam serbuan pada 12.45 tengah hari Khamis lalu, hasil maklumat orang awam.
"Ketika polis membuat serbuan, rumah itu didapati berkunci dan apabila dibuka, polis menemui 24 lelaki yang berasal dari Uttar Pradesh, India, yang dikurung dalam rumah itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki warga negara Pakistan berusia 34 dan 25 tahun di rumah itu, yang dipercayai bertanggungjawab menguruskan kesemua warganegara India itu.

Katanya, polis percaya kesemua lelaki itu dikurung di rumah berkenaan buat sementara waktu sebelum dihantar ke Pulau Pinang untuk bekerja di sebuah kilang yang dijanjikan dengan bayaran gaji yang lumayan.

Dzuraidi berkata, siasatan mendapati semua lelaki India itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) empat bulan lepas, dan sebaik tiba mereka dibawa oleh dua lelaki Pakistan berkenaan ke Johor untuk bekerja di sebuah kilang.

Beliau berkata, mereka kemudiannya diminta membayar RM300 seorang untuk dibawa bekerja di Pulau Pinang pula, dan buat sementara waktu mereka dikurung di sebuah rumah di Sungai Siput.

Katanya, kedua-dua lelaki warga Pakistan itu direman seminggu sejak semalam, dan salah seorang daripadanya sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Sementara itu, menurutnya kesemua lelaki India itu dihantar ke Depoh Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal.

-Bernama

Dua rakan dipenjara 30 dan 38 tahun bagi kesalahan rogol, culik, samun

SHAH ALAM: Dua juruelektrik, masing-masing dihukum penjara 30 tahun dan 38 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan rogol, rompak, culik, samun dan peras ugut, empat tahun yang lalu.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memerintahkan hukuman terhadap Kalidas Subramaniam, 23, dari Sungai Buloh dan R Shasidaran, 26, dari Seri Kembangan berjalan serentak dari tarikh tangkap, masing-masing pada 29 April dan 10 Oktober, 2006.
Oleh yang demikian Kalidas hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan, manakala Shasidaram perlu menjalani hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan.

Kedua-dua tertuduh yang juga sahabat mengaku salah merogol seorang gadis berumur 17 tahun di dalam kereta Kancil, di Kawasan Bukit Pencawang Lektrik, Batu 11, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di antara 5.40 pagi hingga 6.40 pagi, pada 17 Februari, 2006.

Untuk kesalahan itu, Kalidas dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan manakala Shasidaran penjara 11 tahun dan dua sebatan.

Kalidas dihukum penjara lapan tahun manakala Shasidaran dihukum penjara sembilan tahun bagi pertuduhan kedua iaitu merompak seorang pemandu lori, Lo Kwan Peng, 49, menggunakan sebilah parang, di Simpang Tiga, Perusahaan Rahman Putra di hadapan Kompleks Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh di antara 5.30 pagi hingga 7 pagi pada tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat iaitu menculik anak Lo berumur 12 tahun dan menculik seorang lagi pelajar perempuan 17 tahun, di tempat dan masa yang sama, Kalidas dan Shasidaran masing-masing dihukum penjara lapan tahun dan 10 tahun.

Shasidaran turut dihukum penjara empat tahun bagi pertuduhan mencabul kehormatan anak Lo, di tempat dan masa yang sama.

Kalidas dan Shasidaran juga masing-masing dihukum penjara empat tahun dan lima tahun bagi pertuduhan merompak seorang peniaga kedai kopi Chap How Min, 51, di tepi jalan sebelah kolam pancing ikan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh di antara 5.20 pagi hingga 7 pagi pada 17 Feb, 2006.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. S. Dev manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail.-Bernama

3 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah hangus terbakar

BESUT: Tiga keluarga di Kampung Balik Bukit dekat sini bakal menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi dalam keadaan duka selepas rumah masing-masing musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Lebih memilukan dalam kejadian kira-kira 2.10 pagi itu semua peralatan rumah termasuk pakaian baru dan kuih-muih persediaan mereka untuk beraya, turut hangus dimamah api.
Api dipercayai bermula dari rumah Mohd Zani Jusoh, 34, pembantu kedai, sebelum merebak ke dua rumah jirannya yang lain termasuk milik seorang ibu tunggal.

Mohd Zani, ketika ditemui pemberita, berkata ketika kejadian dia baru saja terlena di ruang tamu rumah apabila dikejutkan oleh rasa bahang panas dari arah bilik tidur utama.

Dia mengejutkan isterinya Mariam Ali, 30, dan anak perempuannya Nurul Syafikah, 4, sebelum membawa anaknya keluar rumah menerusi pintu depan rumah dengan diekori isterinya. Katanya, semua harta benda tidak dapat diselamatkan termasuk persiapan raya yang dibeli sebelum ini serta wang simpanan RM300 musnah dalam kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Zainora Azliani Mohd Zawawi, 23, berkata dia bersama suami, Fauzi Ibrahim, 30, serta anak mereka, Farah Alzia, 16 bulan, tidur di ruang tamu baru saja terlelap apabila dikejutkan oleh bunyi bising dari arah rumah jiran sebelahnya.

"Semua peralatan rumah dan wang tunai sebanyak RM200 yang disimpan untuk perbelanjaan harian juga gagal diselamatkan kerana api marak begitu cepat membakar rumah papan itu," katanya.

Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Ketiga-tiga rumah kayu yang terletak berhampiran antara satu sama lain itu tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) melawat keluarga malang itu dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga terbabit.

-Bernama

Seorang tahanan ISA dibebaskan

KUALA LUMPUR: Seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI) Malaysia, dibebaskan hari ini selepas dianggap tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Shamsuddin Sulaiman, 40, berasal dari Masai, Johor, ditahan di bawah akta itu sejak 13 Jun 2002, kata Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan di sini hari ini. Katanya, pembebasan itu dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. "Tahanan berkenaan adalah anggota JI yang ditangkap pada 17 April 2002," katanya. -Bernama

'Saya tidak pernah serik'

HULU KLANG: “Saya reda dan terima ini sebagai takdir. Setiap perkara ada hikmahnya. Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Saya memang mengharapkan perkahwinan ini kekal tetapi ia tidak terjadi. Tidak, saya tidak pernah serik,” kata bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim.
Dia berkata demikian ketika selepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam, mengesahkan talak satu dijatuhkannya terhadap bekas isteri, Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Norhayati Othman.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam keputusannya berpuas hati bahawa lafaz talak ‘I cerai youlah’ yang dilafazkan Roslin, 35, terhadap Norhayati, 38, adalah sah dan sabit, selepas mendengar keterangan secara lisan daripada kedua-dua pihak terbabit, sebelum ini.

Roslin yang diwakil peguam syarie, Roslizam Rahim kelihatan tenang sebaik keputusan itu dibacakan dan keadaan sama pada Norhayati yang diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman.

Ketika Roslin mengadakan sidang media, seorang lelaki meletakkan dua beg di kaunter mahkamah sementara Norhayati yang ketika itu berada di pintu masuk mahkamah didengar berkata, “You can have your bag,” (kamu boleh ambil beg kamu).

Pada prosiding semalam, Wan Mahyuddin dalam keputusannya berkata lafaz talak pemain badminton itu jelas ditujukan kepada Norhayati dan jatuh talak satu walaupun ketika melafazkan talak itu, Roslin tidak menyatakan jumlah talak.

70 pelajar dirasuk

MARANG: “Sepanjang lapan bulan lalu, lebih 50 kali saya mengalami histeria ketika berada di sekolah. Paling teruk berlaku kira-kira tiga minggu lalu,” kata pelajar berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Su dari Kampung Darat Pak Chang di sini.
Katanya, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu, berlaku kekecohan apabila pelajar menjerit secara tiba-tiba di kelasnya menyebabkan bising sehingga ada antara mereka pengsan termasuk dirinya.

“Ketika dalam perjalanan untuk dibawa ke surau, saya melihat satu lembaga besar berwarna hitam dipercayai menjadi punca 70 pelajar di sekolah ini dirasuk,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang itu, semalam.

Selain Su, gangguan histeria dialami kira-kira 70 pelajar perempuan sekolah itu sejak Januari lalu dan berterusan sehingga sekarang.

Su mendakwa, hampir setiap minggu dia mengalami histeria dan antara tanda awal sebelum diserang gejala itu badannya menjadi lemah, meremang bulu roma dan pening sebelum pengsan.

Malah, akibat sering diganggu dipercayai oleh makhluk halus, dia terpaksa mendapatkan rawatan di unit kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, bulan lalu berikutan keadaan fizikalnya terlalu lemah.

Putus jari dua geng bergasak

KUALA LUMPUR: Dua kumpulan samseng dikenali sebagai Group Sentul dan Geng Selayang bergaduh di tengah pusat ibu kota hingga menyebabkan dua lelaki parah termasuk seorang remaja putus jari tangan kanan akibat ditetak, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kira-kira 30 lelaki yang bersenjatakan parang dan cota terbabit bergaduh berhampiran Perhentian Bas Wisma Cosway, Jalan Raja Chulan, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pergaduhan itu kemungkinan disebabkan salah faham kedua-dua kumpulan samseng terbabit.

Sebelum itu, ahli Geng Selayang menyamun seorang pejalan kaki di tempat kejadian dan tidak dapat dipastikan sama ada kejadian itu menyebabkan berlaku pergaduhan terbabit.

“Dalam pergaduhan itu, seorang remaja berusia 15 tahun putus jari telunjuk kanan dan luka teruk akibat tiga tetakan di kepala manakala seorang lagi rakannya berusia 19 tahun cedera di kepala akibat ditetak dengan parang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kedua-dua yang parah daripada Group Sentul itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan kini stabil.

Beliau berkata, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu menyuraikan pergaduhan terbabit sebelum menahan tujuh lelaki daripada ahli Geng Selayang.

Katanya, polis merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek ketika pergaduhan.

“Kami menyiasat motif pergaduhan terbabit sama ada berpunca salah faham, dendam atau sebab lain,” katanya. Beliau berkata, ketujuh-tujuh suspek yang ditangkap kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pelayan restoran patah tangan kanan dan cedera di kepala selepas dipukul menggunakan batu-bata oleh seorang perompak yang menyamunnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 49 tahun berjalan berhampiran flet Jalan Tong Shin, di sini, sebelum diserang seorang lelaki menggunakan batu-bata.

Dijual kenalan suami

LEDANG: Padah minyak dagu wanita mati dibunuh, seorang wanita dilarikan kenalan suaminya dan dilacurkan kepada pemandu lori selama hampir sebulan sebelum ditemui dalam keadaan kebingungan di Stesen Bas Maharani di Muar.


LEMAH...Nori hanya mampu terbaring ketika menerima rawatan di HPSF.
LEMAH...Nori hanya mampu terbaring ketika menerima rawatan di HPSF.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik berusia 26 tahun itu ditemui dalam keadaan serba tidak terurus dan terdapat kesan kecederaan pada badan wanita terbabit pada Sabtu lalu.

Kejadian bermula 7 Ogos lalu itu apabila mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nori, 26, keluar dari rumah dekat Sungai Mati di sini, untuk ke Melaka kononnya ditugaskan mengikuti kursus di sebuah hospital swasta di Melaka sebelum menghilangkan diri.

Namun, suaminya, Shamsul, (bukan nama sebenar), 30, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku ke atas isterinya apabila panggilan telefonnya tidak dijawab.

Malah, isterinya itu seakan hilang pertimbangan selepas seminggu menghilangkan diri sebelum mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon diceraikan serta-merta.

Shamsul dan ibu mentuanya Zainab, 58, percaya perilaku anaknya itu berubah sejak dia mengenali seorang pemandu lori ‘buaya darat’ terbabit yang sering berkunjung ke gerai makan milik keluarga berhampiran tempat tinggal mereka.

Berdasarkan perubatan tradisional, keluarga Shamsul percaya mangsa terkena ilmu hitam paling kuat iaitu minyak dagu wanita mati dibunuh menyebabkan Nori seakan hilang pertimbangan serta berubah sikap.

Ketika menceritakan semula kejadian itu, Nori yang ditemui di Hospital Pakar Sulatanah Fatimah (HPSF) berkata, sepanjang beberapa minggu bersama lelaki terbabit dia diperlakukan seperti hamba abdi dan diarahkan melakukan pelbagai kerja termasuk melayan lelaki.

“Saya diserahkan di bawah jagaan seorang wanita berasal dari Sabah yang menjaga keperluan dan sepanjang tempoh itu saya dipaksa melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja di kilang selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui.

Nori dimasukkan ke sebuah wad di HPSF kerana muntah darah secara tiba-tiba, malah sering meracau ketika dibawa pulang ke rumah.

Sementara itu, Shamsul berkata, isterinya juga pernah dipukul lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori terbabit ketika cuba melarikan diri.

“Nori sempat menceritakan dia pernah ditumbuk, ditampar, malah disepak di perut kerana cuba melarikan diri dan sejak itu lelaki terbabit merancang menjualnya kepada orang lain.

“Saya percaya lelaki setan itu memaksa isteri melakukan pelbagai kerja sampingan termasuk kerja di kilang beberapa hari selain dipaksa melayan nafsu pemandu lori lain,” katanya.

Katanya, dia pernah membuat laporan polis dan beberapa anggota polis juga pernah hadir ke HPSF untuk mengambil keterangan daripadanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu sia-sia kerana Nori berubah sikap secara tiba-tiba dan berkelakuan aneh termasuk enggan bercakap dengan sesiapa selain berbisik pada suaminya selain mengugut menikam dirinya.

“Perkara itu membuktikan Nori tertekan dan saya percaya dia mungkin menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan kami sekeluarga.

“Kami akan cuba merawat sakit misteri Nori dan jika dia beransur pulih, perkara ini akan diajukan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Shamsul berkata dia juga berbelah bagi kerana sekiranya bertindak bersendirian melaporkan kejadian itu kepada polis mungkin akan mengakibatkan rumah tangganya hancur.

Nori juga mendakwa lelaki setan itu akan membalas dendam sekiranya kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Difahamkan, lelaki terbabit juga mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes pecah rumah dan jenayah ragut di sekitar Melaka.

Abdul Kudus bebas, hukuman diketepi



02/09/2010 3:04pm

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapt. (B) Abdul Kudus Ahmad setelah mengetepikan hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Ampang berhubung tuduhan rasuah lapan tahun lalu.
Hakim Mohd. Yazid Mustafa semasa menerima rayuan Abdul Kudus, berkata, pihak pendakwaan terlalu bergantung kepada keterangan pemilik restoran Sri Steven’s Corner yang Abdul Kudus didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, setelah meneliti keterangan saksi utama kes berkenaan, mahkamah mendapati saksi berkenaan bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai kerana beliau mempunyai kepentingan secara langsung di dalam kes itu.
Abdul Kudus, 47, didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik Restoran Sri Steven’s Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.
Pada 30 Jun tahun lalu, Abdul Kudus dipenjara selama enam bulan bagi 16 pertuduhan, 12 bulan (tujuh pertuduhan) dan 24 bulan bagi satu pertuduhan.
Kesemua hukuman diperintah berjalan secara berasingan.
Mohd. Yazid berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah gagal untuk membuat penilaian yang maksimum di peringkat kes pendakwaan.
"Tertuduh tidak seharusnya dipanggil untuk membela diri,” kata beliau. – Bernama

Penolong pengarah dituduh menipu



02/09/2010 3:08pm

KUALA LUMPUR – Seorang penolong pengarah dari Jabatan Tanah dan Galian di Putrajaya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap dua tuduhan terlibat dalam pemalsuan butiran dalam dokumen dan satu tuduhan menipu tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Nadzri Mohd. Radzi, 27, didakwa dengan niat memperdayakan butiran dalam dokumen iaitu invois M Suites Hotel bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan pengurusan Zon Selatan dan Putrajaya bertarikh 13 hingga 15 Mei 2009 di hotel itu berjumlah RM20,010 sedangkan jumlah sebenar pakej itu adalah RM10,810.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Putrajaya, pada Mei 2009.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Nadzri didakwa dengan niat mengesahkan butiran palsu dalam dokumen iaitu pesanan kerajaan bertarikh 17 April 2009 berjumlah RM18,360 bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan sokongan Zon Utara dan Zon Timur dari 22 hingga 24 April 2009 di The Regency Hotel, Alor Setar, yang mana jumlah sebenar bayaran yang dikenakan oleh hotel itu adalah RM10,462.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Nadzri didakwa menipu kerajaan Malaysia dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), Putrajaya, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa kos penganjuran seminar Kursus Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Sokongan Zon Utara dan Zon Timur pada 22 hingga 24 April 2009 adalah RM18,360, di mana kos penganjuran seminar yang sebenar adalah RM10,462, sehingga mendorong mereka membuat pembayaran lebihan berjumlah RM7,898 kepada PKNK Hotel Sdn. Bhd., pemilik kepada The Regency Hotel, Alor Setar.
Pertuduhan kedua dan ketiga didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Presint 4, Putrajaya, pada April 2009.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes. – Bernama

Bunuh remaja: Rayuan pendakwaan ditolak



02/09/2010 4:32pm

PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan ahli perniagaan Koh Kim Teck daripada pertuduhan membunuh seorang remaja warga China enam tahun lepas.
Penolakan tersebut ekoran pihak pendakwaan gagal memastikan Kim Teck hadir di mahkamah semasa rayuan ditetapkan untuk didengar.
Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Ahmad Maarop turut membatalkan waran tangkap ke atas Kim Teck yang dikeluarkan pada 24 Ogos tahun lepas oleh Mahkamah Rayuan berdasarkan permohonan pihak pendakwaan.
Pihak pendakwaan gagal menyerahkan waran tangkap itu kerana gagal mengesan di mana Kim Teck berada.
Sebelum menolak rayuan itu, Hakim Suriyadi bertanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof tentang berapa kali waran tangkap tidak dapat diserahkan kepada Kim Teck dan dimaklumkan lebih tiga kali.
"Ini keputusan mahkamah, waran tangkap terhadap responden kedua (Kim Teck) dibatalkan dan rayuan terhadap Kim Teck dibatalkan. Kes ini berlarutan terlalu lama dan berpanjangan. Sama ada awak (pihak pendakwaan) tidak buat apa-apa atau tidak boleh buat apa-apa,” katanya. — Bernama

Kematian bayi: Pembantu rumah ditahan



02/09/2010 4:37pm

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri selepas dipercayai mendera sehingga mati bayi lelaki 15 bulan di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata, polis menahan wanita berumur 25 tahun itu di sebuah rumah di Taman Melawati, Ampang kira-kira pukul 12 tengah hari tadi ketika meminta bantuan daripada seorang penghuni rumah tersebut.
"Penghuni rumah tersebut yang didatangi wanita Indonesia itu terus menghubungi polis selepas membaca akhbar tempatan yang menyiarkan pencarian wanita itu berserta gambarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jalil berkata, wanita yang berasal dari Majalengka, Jawa Barat itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Serdang untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian Jumaat lepas, bayi malang itu, Tan Jin Yong didapati mati dipercayai akibat dicekik pembantu rumah tersebut kira-kira pukul 4 petang pada hari kejadian.
Pembantu rumah itu yang turut mengikut bapa saudara mangsa menghantar bayi itu ke hospital, menghilangkan diri sejurus mengetahui bayi itu sudah meninggal dunia.
Jalil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. – Bernama

Peniaga besi Myanmar dicekup




ABDUL JALIL (dua dari kiri) dan beberapa pegawai polis melihat motosikal roda tiga yang disita di Ampang semalam.


KUALA LUMPUR – Seramai 46 warga Myanmar yang menjalankan perniagaan besi buruk secara haram dengan menggunakan motosikal roda tiga ditahan polis di sini semalam.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan atas beberapa kesalahan termasuk kesalahan jalan raya dan menyalahgunakan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, pemeriksaan air kencing terhadap warga Myanmar itu juga mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis heroin.
“Operasi bersepadu pelbagai anggota penguat kuasa dijalankan berikutan aduan penduduk mengenai penunggang motosikal warga Myanmar yang menyalahi undang-undang.
“Kesalahan itu termasuklah membawa lebih muatan, tiada lesen memandu, keadaan motosikal yang sudah uzur dan menunggang dalam keadaan khayal,” katanya ketika ditemui di Ampang, dekat sini semalam.
Abdul Jali berkata, mereka dipercayai menyewa motosikal roda tiga daripada pemilik warga tempatan untuk mengangkut barang lusuh dengan kadar sewa RM30 sehari.

Isteri dikebas lelaki Afrika




DI pangsapuri inilah seorang suami mengamuk selepas mengetahui isterinya bersekedudukan dengan pelajar Nigeria di Bandar Baru Ampang Sabtu lalu.


AMPANG - Kesabaran seorang suami terhadap sikap jelik isterinya yang bersekedudukan dengan seorang pelajar Nigeria sejak lima bulan lalu sampai ke kemuncaknya apabila dia bersama sembilan lelaki bertindak menyerang pasangan tersebut di sebuah pangsapuri dekat Bandar Baru Ampang di sini Sabtu lalu.
Kejadian yang berlaku setengah jam selepas sambutan ambang merdeka itu mengakibatkan wanita 44 tahun itu patah lengan kanan selain lebam di muka manakala pelajar Nigeria berusia 35 tahun tersebut patah hidung dan jari kiri selepas diserang oleh suspek.
Difahamkan, salah seorang suspek yang menyerang pasangan yang sedang beristirehat ketika kejadian itu merupakan suami wanita tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, suami wanita tersebut mungkin geram dan marah dengan tindakan isterinya yang bukan sahaja bersekedudukan dengan pelajar asing itu malah bertindak menghantar lima anak mereka pulang ke kampung.
"Lelaki dan wanita itu tidak lagi tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu. Sepanjang tempoh itu, wanita tersebut dikatakan telah tinggal di rumah yang didiami oleh pelajar Nigeria terbabit.
"Sebaik mengetahui lokasi rumah mereka, lelaki tersebut telah mengajak sembilan rakannya untuk menyerang pasangan itu menggunakan tangan dan objek keras. Ketika diserang, pasangan berkenaan dikatakan lengkap berpakaian," katanya ketika ditemui di sini semalam

Perompak larikan tiga kepala lori



KUANTAN 1 Sept. - Ketika orang ramai menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53, sekumpulan perompak mengambil peluang melarikan tiga kepala lori dari sebuah bengkel di Kampung Seberang Balok, Beserah di sini tengah malam semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 malam itu, perompak terbabit turut melarikan sebuah set komputer, televisyen, telefon bimbit, kamera digital dan pemukul tayar dengan nilai keseluruhan sebanyak RM300,000.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan warga Myanmar berusia lingkungan 30-an tiba-tiba didatangi lima lelaki tidak dikenali.
"Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an bersenjatakan kayu dan besi memukul mangsa dan mengikat kaki serta tangan mangsa dengan dawai," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Menurut Noor Asyikin, kesemua suspek yang tidak memakai penutup muka tersebut melarikan tiga kepala lori jenis Scania dan Volvo yang diletakkan di bengkel tersebut.
"Dua daripada tiga kepala lori itu adalah dari jenis Scania dengan nombor pendaftaran BGD 1043 dan BGD 1016. Sebuah lagi jenis Volvo itu bernombor pendaftaran BHU 7935," katanya.
Tambahnya, pihaknya kini sedang memburu kesemua suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Nota misteri terakhir tulisan Beng Hock akan dikemukakan 20 September



SHAH ALAM 1 Sept. - Nota terakhir yang dikatakan ditulis oleh Teoh Beng Hock sebelum Setiausaha Politik Exco Selangor itu ditemui mati pada Julai tahun lalu akan dikemukakan dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini pada 20 September ini.
Nota berserta beberapa 'buku latihan' yang dipercayai milik Beng Hock akan dikemukakan melalui pegawai penyiasat kes tersebut, Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal yang akan memberi keterangan pada tarikh itu.
Pada prosiding sebutan kes berkenaan hari ini, Koroner Azmil Muntapha Abas turut menetapkan 22 Oktober ini untuk saksi-saksi termasuk pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia, Wong Kong Yau menyambung keterangan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas memohon agar prosiding inkues disambung pada 20 September dan 22 Oktober ini selepas berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat dalam inkues tersebut.
Selain Ahmad Nazri dan Kong Yau akan dipanggil memberi keterangan, katanya, nota terakhir yang dikatakan ditulis oleh Beng Hock dan beberapa buku latihan juga akan dikemukakan pada tarikh tersebut.
Berikutan itu, peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo memohon agar salinan nota dan buku-buku latihan itu diserahkan kepada semua pihak sebelum prosiding disambung pada 20 September ini.
Sementara peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar pula memohon agar nota-nota tersebut diterjemahkan bagi memudahkan semua pihak.
Mohamad Abazafree kemudiannya memaklumkan, pihaknya akan membuat permohonan rasmi kepada mahkamah agar nota tersebut diterjemahkan secara bertulis sebelum ia diserahkan kepada semua pihak yang terbabit.
Bagaimanapun jelas beliau, salinan buku latihan tidak dapat diserahkan kerana ia disimpan di dalam sampul yang tertutup serta hanya akan dibuka di mahkamah semasa saksi yang berkenaan memberi keterangan.
Pada 9 Ogos lalu, prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Beng Hock dikejutkan oleh kemunculan bukti baru yang tidak didedahkan intipatinya secara terperinci.
Azmil menangguhkan prosiding dalam suasana yang menimbulkan teka-teki selepas permohonan untuk mengemukakan bukti itu dibantah oleh para peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, kerajaan Selangor dan Majlis Peguam.
Bantahan terhadap bukti baru itu timbul kerana ia cuba dikemukakan pada tahap inkues hampir berakhir walhal ia dikatakan berada dalam milik pihak pendakwa raya sejak Oktober tahun lalu.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di koridor tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Tiada pesakit mental dalam keluarga Rasidi - saksi



RASAH 1 Sept. - Ibu kepada Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya, memberitahu Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini bahawa tiada anggota keluarganya yang mengalami masalah sakit mental.
Zaharah Atan, 59, yang dipanggil semula sebagai saksi pembelaan memberikan keterangan tersebut semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes bunuh tersebut.
WAN SHAHARUDDIN : Ada atau tidak dalam keturunan keluarga puan atau suami yang mengalami masalah mental?
ZAHARAH: Tiada.
Ketika ditanya adakah Rasidi membesar dalam persekitaran keluarga yang aman atau porak peranda, kata saksi pembelaan keempat itu, anak lelakinya itu membesar dalam keadaan aman.
Zaharah turut menjelaskan, sebelum kejadian, Rasidi tidak pernah mengatakan bahawa dia pernah mendengar sebarang bisikan suara atau melihat tulisan di dinding.
''Tiada sejak kecil atau dewasa,'' kata Zaharah.
Sementara itu, adik Rasidi, Siti Mariam Ismail, 19, yang juga dipanggil semula pada peringkat pembelaan abangnya turut memberikan keterangan yang sama ketika diajukan soalan tersebut.
Kata Siti Mariam, berdasarkan pengetahuannya, tidak ada di kalangan keturunan keluarganya yang menghidap penyakit mental.
Rasidi, 32, dibicarakan atas tuduhan membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuk, Atan Daud, 87; dan nenek, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Tertuduh yang merupakan penganggur juga dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada waktu dan tarikh yang sama.
Rasidi yang diwakili peguam bela Hanif Hassan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin pula memberitahu, Rasidi menunjukkan reaksi berbeza semasa menjawab soalan ketika disoal siasat oleh pihak polis.
WAN SHAHARUDDIN: Ketika menyoal tertuduh, adakah jawapan yang diberikannya daripada seseorang yang kurang siuman?
KHAIRIL: Adakalanya ya, adakalanya tidak. Contoh ketika ditanya kenapa tertuduh membunuh, katanya dia mendengar suara atau lihat tulisan tetapi apabila ditanya di mana dia belajar katanya di Universiti Teknologi Malaysia, Johor dan sekolah agama. Kalau tidak normal tentu dia kata di Australia atau tempat lain.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang bersambung esok dijangka mendengar keterangan pakar psikiatri dari Hospital Permai Tampoi, Johor iaitu tempat Rasidi menjalani pemeriksaan mental.

Drama tebusan di ibu pejabat Discovery Channel



02/09/2010 3:21am

WASHINGTON 2 Sept. – Seorang lelaki bersenjata melepaskan beberapa das tembakan dan mengambil seorang sebagai orang tebusan di ibu pejabat Discovery Channel di bandar raya ini, semalam.
Rakaman televisyen secara langsung menunjukkan pasukan polis mengepung bangunan itu dan mengosongkan kawasan di Silver Spring itu, yang terletak di pinggir bandar raya Washington.
Media tempatan yang memetik polis sebagai berkata, lelaki itu memasuki lobi bangunan tersebut dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum menyatakan: “Tiada siapa yang dibenarkan keluar”.
Polis kini berusan berhubung dengan lelaki bersenjata itu, yang dilaporkan memiliki bahan letupan. – AFP

25 terbunuh letupan di perarakan Syiah



02/09/2010 3:21am

LAHORE 2 Sept. – Seramai 25 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 150 lagi cedera apabila tiga letupan menggegarkan perarakan keagamaan Syiah di timur Pakistan bandar raya ini, semalam.
Letupan itu merupakan serangan terbaru oleh pelampau Sunah ke atas puak majoriti Syiah yang disifatkan mereka sebagai kafir.
Letupan berlaku di tiga tempat berasingan petang semalam ketika 35,000 puak Syiah berarak di sepanjang jalan di Lahore sempena memperingati Khalifah Saidina Ali.
Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani dalam satu kenyataan turut mengecam serangan itu dan menegaskan mereka yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada pengadilan. – AP

Mahkamah sahkan Roslin-Nurhayati cerai talak satu



KUALA LUMPUR 1 Sept. - "Apa yang menyedihkan, perceraian berlaku dalam tempoh kurang sebulan berkahwin. Kahwin di hotel, bercerai pun di hotel.''
Itu merupakan sebahagian penghakiman lisan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad sebelum mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh pemain badminton, Roslin Hashim terhadap isterinya, Nurhayati Othman awal Ogos lalu adalah sah.
Beliau turut menyatakan, walaupun tiada jumlah talak dinyatakan oleh pemain badminton negara itu, mahkamah memutuskan jatuh talak satu disebabkan lafaz yang dibuat pada pukul 8.32 malam, 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang dekat sini adalah lafaz yang sorih (jelas).
Roslin juga mengucapkan talak itu tanpa sebarang paksaan yang boleh memudarat atau membahayakan dirinya, ujar hakim itu.
Pada masa, tarikh dan tempat tersebut, bekas pemain badminton No. 1 negara itu telah melafazkan cerai yang berbunyi 'I cerai u lah' kepada Nurhayati yang baru dikahwininya pada 9 Julai lalu di Hotel Flamingo, Ampang dekat sini.
Pasangan itu dijangka mengadakan majlis resepsi perkahwinan selepas kedua-dua ibu bapa Roslin pulang dari Mekah selepas Hari Raya Aidilfitri.
Hakim syarie itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini dan meneliti keterangan Roslin, 34, dan Nurhayati, 39, pada prosiding terdahulu.
Roslin yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam syarie, Roslizam Rahim manakala Nurhayati yang merupakan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku plaintif diwakili peguam syarie, Zulqarnain Lukman.
Terdahulu, Roslizam selepas diberi peluang untuk membalas hujah plaintif, hanya memaklumkan bahawa anak guamnya tidak memfailkan sebarang afidavit pembelaan sebaliknya bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh plaintif dalam hujah bertulisnya.
Selesai prosiding, Roslin pada sidang akhbar ringkasnya menyatakan, dia reda dengan perceraian tersebut walaupun dia berharap agar perkahwinan kali ini berkekalan hingga akhir hayat.
Dia juga memberitahu, apa yang berlaku adalah masalah dalaman rumah tangga dan sempat mendakwa apa yang dinyatakan oleh bekas isterinya mengenai kejadian di bilik hotel berkenaan adalah fitnah.
Menjawab pertanyaan adakah dia serik untuk bernikah lagi, ujar Roslin yang kini jurulatih badminton kebangsaan, dia tidak serik tetapi mungkin kaum wanita yang serik terhadapnya.
Roslin juga sempat menyampaikan 'pesanan' kakak angkatnya, Raja Azmi Raja Sulaiman yang akan mengambil tindakan undang-undang atas mana-mana pihak yang mensensasikan nama penerbit filem '... Dalam Botol' itu dengan perceraian tersebut.
Pada prosiding terdahulu, Nurhayati dalam keterangannya menyatakan, dia bersama-sama keluarganya telah ke Hotel Corus selepas mendapati Roslin dan Raja Azmi juga berada di hotel itu.
Sementara itu, ketika Roslin sedang membuat sidang media itu, terdapat seorang lelaki yang membawa dua buah beg bersaiz besar cuba memberikan barang-barang tersebut yang telah diletakkan di kaunter mahkamah kepada Nurhayati.
Wanita itu kemudian dengan nada suara yang lantang dan tegas menyatakan: You can have your bag! (Kau boleh ambil beg kau!).
Roslin yang mendengar perkataan tersebut hanya tersenyum.

2 rakyat Turki seludup 13.8kg syabu diberkas



Abd. Razak Md. Zin menunjukkan bahagian dalam bagasi yang dipercayai tempat menyembunyikan syabu di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 1 Sept. - Kisah warga Iran, India dan Bangladesh yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana cuba menyeludup dadah ke negara ini telah kerap kali dilaporkan.
Kali ini, dua lelaki rakyat Turki pula dikesan cuba menyeludup 13.8 kilogram (kg.) dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta, kelmarin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Supritendan Abd. Razak Md. Zin berkata, kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun itu ditahan di ruang ketibaan KLIA, pukul 10.30 pagi.
Menurut beliau, mereka yang dipercayai pertama kali memasuki negara ini ditahan selepas dilihat oleh pihak berkuasa berkelakuan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan ke atas tiga bagasi dibawa mereka menemui bungkusan disyaki syabu yang disorokkan di dalam tempat rahsia.
"Siasatan awal mendapati mereka singgah di dua negara lain sebelum sampai di Malaysia. Kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan ujian air kencing mendapati mereka negatif mengambil dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abd. Razak memberitahu, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 7 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, katanya, polis berjaya menahan seorang lelaki Iran yang cuba menyeludup masuk 2 kg. syabu bernilai RM500,000 dalam bagasi miliknya, di KLIA, pada pukul 9.30 pagi semalam.
Katanya, suspek direman sehingga 6 September ini untuk disiasat di bawah akta yang sama.
"Suspek menggunakan modus operandi sama dengan menyorokkan syabu di bahagian rahsia yang direka khas dalam bagasi miliknya," ujar beliau.

Polis buru pembantu rumah





PETALING JAYA 1 Sept. - Polis memburu seorang pembantu rumah warga Indonesia untuk membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia 15 bulan yang dipercayai didera di kediamannya di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong dekat sini minggu lalu.
Wanita yang dikehendaki polis itu dikenali sebagai Rita Rohayati, 25, berasal dari Majalengka, Jawa Barat. Dia berkhidmat dengan keluarga mangsa selama setahun tujuh bulan.
Pada 27 Ogos lalu, bayi malang itu, Tan Jin Yong dikejarkan ke Pusat Perubatan Colombia Asia di Bandar Putri Puchong setelah tidak sedarkan diri, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Mangsa dihantar ke hospital tersebut oleh bapa saudaranya kira-kira pukul 4 petang hari kejadian kerana ketika itu bapanya, Tan Meng Kiang, 42, seorang peniaga, sedang bekerja di Taman OUG di ibu negara.
Rita sendiri sempat memaklumkan kepada Meng Kiang mengenai kejadian yang menimpa anak tunggal majikannya itu, sebelum dia menghilangkan diri.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, bedah siasat ke atas mayat Jin Yong di Hospital Serdang sehari kemudian mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan dalam otak dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
"Ahli patologi Hospital Serdang, Dr. Lee Jiun Yih mengesahkan kematian Jin Yong mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan-kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dicekik.
"Doktor turut menemui kesan keretakan di tulang kaki mangsa yang menunjukkan mangsa mungkin pernah didera sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Serdang di sini hari ini.
Berikutan perkembangan itu, Abd. Razak memberitahu, polis yang pada mulanya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut akan menyiasatnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Rita supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-89484222 bagi membantu siasatan