Search This Blog

Wednesday, September 1, 2010

75 rumah rosak dilanda ribut





KEADAAN sebuah rumah yang rosak akibat ribut kencang yang melanda Teluk Intan, Perak kelmarin.

TELUK INTAN – Sebanyak 75 buah kediaman di sekitar Rumah Awam Padang Tembak, City Mewah dan Kampung Banjar di sini rosak teruk dalam kejadian ribut pada petang kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu turut menggemparkan pengunjung bazar Ramadan di ketiga-tiga kawasan tersebut yang sedang membeli juadah berbuka puasa apabila sembilan gerai makanan di situ diterbangkan angin.
Ekoran ribut tersebut, penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta-benda termasuk barangan elektrik dan atap rumah namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
kredit : kosmo.com.my

Pencuri motosikal kena belasah




SEORANG remaja (dua dari kiri) yang cuba mencuri sebuah motosikal cedera dibelasah orang ramai di Lundang, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki berumur 20-an cedera teruk dibelasah orang ramai akibat tindakannya cuba mencuri sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Lundang di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang ini, remaja terbabit dikatakan telah menghidupkan enjin motosikal itu bagaimanapun disedari oleh pemiliknya yang segera menjerit meminta pertolongan orang ramai.
Beberapa remaja bermotosikal yang melalui kawasan tersebut segera meluru ke arah suspek terbabit dan membelasahnya menggunakan topi keledar.
Pemilik motosikal berkenaan, Wan Razali Wan Yusof, 40, berkata, dia meletakkan motosikalnya di situ untuk melihat satu kemalangan kecil yang kebetulan berlaku di jalan berhampiran.
kredit : kosmo.com.my

Buruh warga Bangladesh liwat budak





KUANTAN: Polis menahan seorang pekerja ladang warga Bangladesh, kelmarin selepas disyaki meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di belakang sebuah surau, di ladang kelapa sawit Bukit Putri, Sungai Koyan, dekat Kuala Lipis, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, lelaki berusia 27 tahun yang sudah dua tahun bekerja di ladang berkenaan dikatakan datang ke rumah kanak-kanak terbabit dan mengajak mangsa berjalan-jalan.
Difahamkan, tanpa mengesyaki niat buruk, ibu mangsa berusia lingkungan 40-an mengizinkan anaknya itu mengikut lelaki terbabit sebelum mangsa pulang semula ke rumahnya kira-kira setengah jam kemudian dalam keadaan menangis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata ibu mangsa yang mengesyaki sesuatu berlaku kemudian mendesak anaknya menceritakan kejadian sebenar.
Siasatan awal mendapati, ketika meliwat mangsa, kanak-kanak terbabit secara tiba-tiba meraung dan menangis kerana kesakitan sebelum lelaki berkenaan menghantar mangsa pulang ke rumah setengah jam kemudian, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Sumber : Bharian.com.my

Pendidikan seks perlu atasi kes buang bayi



SHAH ALAM - Masalah pembuangan bayi perlu ditangani menerusi pendidikan dan bukan semata-mata melalui pendekatan berbentuk hukuman, kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Katanya, kaedah terbaik ialah mendidik remaja yang dimulakan dari rumah sebelum dikembangkan di sekolah, agar tidak terjerumus dalam kancah maksiat sehingga membawa pelbagai masalah sosial, termasuk membuang bayi. 

“Saya sokong jika pendekatan pendidikan seks diperkenal di sekolah dengan lebih baik. Kalau sensitif, boleh gunakan pendekatan lain seperti kesihatan reproduktif. 

“Apa sahaja yang berlaku, seorang anak adalah suci. Ibu bapalah yang mencorakkannya, justeru itu, aspek kekeluargaan juga harus diberikan penekanan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 30 penerima asnaf di Bangunan UMNO Selangor di sini, semalam. 

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian ketika mengulas kejadian pembuangan bayi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. 

Terbaru, seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan, ditemui dalam sebuah beg kertas yang digantung pada sebatang tiang papan tanda di persimpangan lampu isyarat berhampiran kondominium Brunsfield, Seksyen 13 di sini, Ahad lalu. 

Katanya, pelbagai pihak, termasuk swasta, dialu-alukan untuk tampil membantu bukan sahaja melalui kempen, malah menyediakan prasarana yang sesuai untuk menangani gejala buang bayi. 

Beliau berkata, penggabungan tenaga semua pihak perlu dilakukan dan tanggungjawab berkenaan tidak sepatutnya dibebankan kepada kerajaan saja. - Bernama

Penduduk Kashmir lancar tunjuk perasaan




SRINAGAR - Penduduk Kashmir mengadakan tunjuk perasaan berhubung dengan insiden seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang terbunuh dan seorang saudara pengikut kumpulan pemisah cedera parah akibat ditembak polis, semalam. 

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun itu ditembak mati oleh seorang anggota polis di bandar selatan Anantnag semasa demonstrasi keganasan menentang pemerintah di wilayah New Delhi yang majoritinya adalah penduduk Islam, kelmarin. 

Saksi mengatakan polis mula menembak secara rambang apabila penunjuk perasaan mula membaling batu. 

Seorang polis berpangkat konstabel yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian itu digantung sementara perkhidmatannya sehingga siasatan selesai. 

Polis turut mengenakan perintah berkurung di Srinagar tetapi mereka tetap melanggar arahan itu untuk mengadakan tunjuk perasaan.

Lunyai dipukul gara-gara samun RM200



KLANG – Hanya disebabkan RM200, seorang penjenayah lunyai dipukul orang awam sebelum dia sempat melarikan diri selepas menyamun sebuah kedai di Lorong Batu Nilam 1, Bukit Tinggi, dekat sini, baru-baru ini.

Namun, belum sempat untuk menikmati hasil titik peluhnya, lelaki berusia 24 tahun itu diberkas polis selepas dua jam kejadian samun.

Suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau sebelum itu meninjau sebuah premis di situ, kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, suspek mengambil kesempatan masuk ke dalam premis ketika tiada pelanggan.

“Ketika itu suspek berpura-pura sebagai pelanggan dan bila terlihat pemilik kedai runcit, dia terus mengacukan sebilah pisau agar mangsa tidak melawan.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan barang berharga, tetapi mangsa hanya menyerahkan wang tunai RM200 yang berada dalam laci meja,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun, kejadian itu disedari orang awam yang terus mengejar suspek sehingga dia terjatuh dan kemudiannya dipukul.

Katanya, suspek cedera pada muka dan tangan, namun dapat melarikan diri.

“Kira-kira jam 12 malam, suspek pergi mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan kita terus memberkasnya selepas mendapat maklumat,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Nyaris terkorban



REMBAU - Sepasang suami isteri dan dua anak mereka nyaris maut apabila treler dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28.5 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Kampung Batu dekat sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pemandu treler, Hamali Nasir, 44, dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh besi pengadang jalan dan tiang lampu di lokasi kejadian. 

Susulan rempuhan, treler berkenaan yang sarat dengan muatan santan tepung dalam perjalanan dari Seremban ke Batu Pahat, Johor, rebah ke sebelah kiri. 

Jurucakap polis berkata, kemalangan itu mengakibatkan dua anak perempuan Hamali masing-masing berumur sembilan dan lapan tahun mengalami kecederaan. 

Menurutnya, kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun berkenaan tersepit pada bahagian tempat duduk penumpang. 

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. 

“Dua kanak-kanak yang cedera seterusnya dihantar ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, Hamali dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

NAFSU AMBANG MERDEKA



PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia awal 30an bergadai nyawa bergayut pada balkoni tingkat dua hotel tempat dia dan kekasihnya menginap sebelum terjun bagi mengelak dari dicekup sepasukan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). 

Siasatan mendapati pasangan perempuannya baru berusia 17 tahun masih menuntut di sebuah sekolah menengah dekat sini. 

Ketika ditahan dia baru balik dari bersiar-siar dan berehat sebentar di hotel terbabit sebelum dihantar pulang. 

Dalam pemeriksaan di lima hotel bajet di PJS 8, Desa Mentari semalam, sebanyak 10 pasangan beragama Islam ditahan kerana disyakki berkhalwat. 

Sementara itu dalam serbuan lain dua lagi pasangan remaja masing-masing berusia 18 tahun berasal dari Johor yang merupakan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) turut ditahan. 

Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui kondom dipercayai baru sahaja digunakan di dalam tong sampah. 

Serbuan turut menahan seorang pegawai bank dan pegawai sumber manusia berusia 25 tahun. 

Pasangan yang sudah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada bulan 12 tahun ini memberi alasan tidak berbuat apa-apa dan merayu kepada pegawai penguatkuasa untuk dilepaskan berikutan bimbang keluarga masing-masing tahu mengenai hal itu. 

Manakala sepasang kekasih berusia 29 dan 25 tahun memberi alasan menungggu sahur. 

Ketika diserbu pasangan wanita mengurungkan diri dalam tandas kerana tidak berbaju. 

Ketua Unit Tindakan Khas Jais Mohd Hafizi Mohd Roslan berkata, 10 pasangan di tahan akan dibawa Jais untuk siasatan lanjut 

”Kesemua ditahan di bawah Seksyen 29 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/95 kerana berdua-duaaan tanpa ikatan sah. Jika sabit kesalahan boleh di denda RM3,000 penjara dua tahun atau kedua-keduanya sekali,” katanya. 

Tambahnya, 17 pasangan yang ditahan di sekitar Taman Tasik Bandaran, Tasik Jaya dan kawasan taman awam di PJS 8 turut diminta hadir ke pejabat Jais untuk sesi kaunseling.

Warga asing ditahan, dadah syabu bernilai RM4 juta dirampas



SHAH ALAM - Tiga lelaki warga asing, dipercayai cuba menyeludup dadah ke negara ini ditahan dalam pemeriksaan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada Isnin dan semalam, membabitkan rampasan 15.8kg dadah bernilai kira-kira RM4 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Supt Abdul Razak Md Zin berkata, dalam operasi kira-kira pukul 10 pagi Isnin lepas, polis menahan dua lelaki warga Turki selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di ruang ketibaan antarabangsa KLIA, dan merampas tiga bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 13.8kg daripada suspek.

"Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit melalui dua negara yang masih belum dikenal pasti sebelum tangkapan dibuat di KLIA. Mengikut rekod pasport, suspek tidak mempunyai pekerjaan dan pertama kali memasuki negara ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Beliau berkata, dadah syabu dirampas itu dianggarkan bernilai RM3.5 juta, manakala suspek berumur 18 dan 26 tahun ditahan reman sehingga 7 Sept ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Abdul Razak berkata, pihaknya turut merampas wang tunai Amerika Syarikat berjumlah USD$570 daripada suspek. 

Kes penahanan warga Turki melibatkan rampasan dadah adalah yang pertama di Selangor tahun ini, katanya.

Dalam operasi semalam, polis menahan seorang lelaki warga Iran berusia 26 tahun serta merampas satu bungkusan plastik mengandungi 2kg dadah jenis syabu bernilai RM500,000 ketika melakukan pemeriksaan di ruang ketibaan antarabangsa KLIA, kira-kira pukul 9.30 pagi.

"Polis juga sedang mengenal pasti hubungan lelaki ini dengan suspek Turki yang ditahan," katanya dan menambah kata bahawa suspek kini ditahan reman sehingga 6 Sept dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ditahan sorok dadah dalam kain pembalut

DUBAI: Polis Dubai menahan seorang pengedar dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai yang cuba membawa masuk heroin ke Emiriah Arab Bersatu, semalam.
Suspek cuba menyembunyikan heroin dalam kain pembalut di kakinya. Dia dipercayai cuba menyeludup heroin itu dari Faisalabad, Pakistan ke Bangkok, Thailand.
Seorang pegawai polis bahagian anti-dadah yang curiga dengan kelakuan suspek yang kelihatan gelisah mengarahkan suspek menyerahkan begnya untuk diperiksa.

Polis kemudian memeriksa tubuh suspek dan menemui 3.24 kilogram heroin dalam dua plastik disorokkan di sebalik kain pembalut di kakinya.

Suspek yang mengaku cuba menyeludup dadah memberitahu dia menerima paket itu daripada seorang rakan yang berjanji akan membayarnya 30,000 rupee Pakistan (RM1,102) jika dia membawa dadah itu ke Bangkok. - Agensi

Ribuan penduduk kembali semula ke kediaman masing-masing

BRASTAGI (Indonesia) : Ribuan penduduk yang berpindah selepas Gunung Sinabung di Sumatera Utara meletup pada Ahad lalu, kembali ke kediaman masing-masing, semalam.
Gunung Sinabung meletup buat kali pertama sejak 400 tahun pada Ahad lalu dan meletup untuk kali kedua keesokan hari menyebabkan kawasan berhampiran diselubungi asap tebal dan debu sejauh dua kilometer.
Menurut Ketua Agensi Bantuan Bencana Alam Kebangsaan, Syamsul Maarif, kebanyakan penduduk dari kampung berdekatan yang berpindah sudah kembali semula ke kediaman mereka. “Sehingga hari ini, kira-kira 7,000 penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing. Terlalu awal untuk memastikan keadaan benar-benar selamat kerana kami masih memantau keadaan di sini,” kata Syamsul.

Beberapa petugas media daripada Reuters berkata, mereka melihat beratus-ratus penduduk kampung kembali ke rumah mereka menaiki trak sambil memakai topeng muka. Penduduk, Ainun Nasution yang tinggal di sebuah kampung di kaki Gunung Sinabung berkata, dia mahu kembali bekerja di kebun sayur kobis dan cili miliknya. “Saya bimbang sayuran saya rosak akibat terkena debu, jadi saya mahu mengusahakan kebun saya,” ujar Ainun.

Ketua Pusat Bencana Gunung Berapi, Surano berkata, asap yang menyelubungi kawasan berhampiran Gunung Sinabung semakin berkurangan. - Reuters

Terlatih buat bahan letupan

KUALA LUMPUR: “Suspek adalah individu yang terlatih dan mempunyai kepakaran untuk membuat bahan letupan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes sebutir bom buatan sendiri meletup di Pangsapuri Bandar Tun Razak, di sini, Ahad lalu.
Menurut Ku, berdasarkan siasatan awal, pihak polis sudah mengenal pasti latar belakang suspek dan ia menunjukkan lelaki terbabit sememangnya memiliki kebolehan untuk menghasilkan bahan letupan seperti bom.
“Di mana dan siapa yang mengajarnya untuk menghasilkan bahan letupan seumpama itu masih menjadi tanda tanya, namun kami akan menggunakan semua pendekatan untuk memburunya.

“Walaupun, masih belum mendapat sebarang petunjuk mengenai lokasi persembunyian suspek biarpun sudah merakamkan percakapan isteri suspek, kami (polis) yakin dia masih berada sekitar Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ku berkata, isteri suspek mendakwa suaminya itu tidak pulang ke rumah sejak kejadian itu dan memberitahu dia langsung tidak mengetahui mengenai pembabitan suaminya itu.

“Kami (polis) akan menggunakan semua pendekatan yang ada bagi memburu suspek dan yakin dia (suspek) akan dapat diberkas dalam masa terdekat,” katanya.

Ku berkata, seorang lagi mangsa, Goh Weng Sing, 38, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 5 pagi, semalam selepas dirawat sejak dua hari lalu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga kedua mangsa dan berjanji akan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Difahamkan, pihak berkuasa akan mengeluarkan fotofit suspek untuk diedarkan kepada orang ramai dalam masa terdekat.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Goh, 60, berkata Weng Sing adalah anak ketiga daripada empat beradik dan sudah berkahwin.

“Saya tidak tahu pekerjaan anak saya selama ini, tetapi saya percaya anak saya telah dianiaya. Saya minta polis siasat perkara ini kerana suspek sudah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita di luar bilik mayat HKL di sini, semalam.

Tiga hari habuan nafsu lapan pekerja kilang

HULU SELANGOR : Seorang gadis diberi pil khayal dirogol bergilir-gilir lapan pekerja kilang selama tiga hari berturut-turut.
Mangsa dilaporkan hilang keluarganya Jumaat lalu dan dikatakan mengikut teman lelakinya sebelum diberi pil khayal dan disembunyikan di kedai di Jalan Melor 2A, di sini sebelum dirogol teman lelaki dan rakannya.
Bagaimanapun, mangsa ditemui rakan bapanya yang menyertai gerakan mencari mangsa di kawasan berkenaan bersama penduduk berhampiran. Mereka menahan lelaki terbabit sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya berkata, mangsa yang berusia 17 tahun dan tidak lagi bersekolah sebelum itu dikatakan baru berkenalan dengan lelaki berasal dari Sabah sebelum mangsa diajak minum di warung berhampiran Desa Melur.

“Mangsa bersetuju keluar minum bersama teman lelakinya yang turut membawa seorang lagi rakan lain. Difahamkan, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri, sejurus diberi minuman suspek.

“Mangsa dalam keadaan separuh sedar dibawa ke rumah kedai berhampiran sebelum dirogol bergilir-gilir teman lelakinya dan rakan suspek yang lain,” katanya.

Guna MyKad ibu untuk berkhalwat

GEORGETOWN: Seorang gadis 19 tahun yang dicekup kerana berkhalwat, bukan mengaku hilang dara pada malam sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-53 di sebuah hotel di Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan (SPS) di sini awal pagi semalam, malah menggunakan kad pengenalan ibunya bagi mendaftar masuk hotel berkenaan.
Gadis itu membuat pengakuan berkenaan selepas dicekup berkhalwat dalam satu operasi cegah maksiat ‘Ops Gegar dan Sahur’ membabitkan sepasukan 15 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 3 pagi.
Lebih mengejutkan, ketika ditahan dia hanya memakai blaus dan seluar ketat paras paha tanpa coli dan seluar dalam, manakala pasangannya berusia 20-an, lengkap berpakaian.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya menemui coli serta singlet di atas katil milik wanita berkenaan dan ketika disoal siasat, wanita itu mengakui kedua-dua barangan itu miliknya, malah pihak berkuasa menemui kesan tompokan darah pada cadar di bawah coli dan singlet terbabit.

“Siasatan mendapati suspek wanita mengaku mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya buat pertama kali dan mendakwa hilang dara pada malam merdeka ketika menginap di hotel itu.

“Dia mengaku sudah berkenalan dengan pasangannya sejak empat tahun lalu dan baru pertama kali menyewa di hotel,” katanya.

Khairul Azman berkata, pemeriksaan mendapati bilik berkenaan didaftarkan atas nama seorang wanita, ibu kandung gadis itu dan siasatan mendapati dia menggunakan kad pengenalan ibunya tanpa kebenaran.

Menurutnya, kedua-duanya gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan yang sah ketika diminta dan ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk laporan tangkapan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam Ops Gegar dan Sahur itu enam pasangan kekasih ditahan atas kesalahan sama di beberapa hotel sekitar Simpang Ampat, SPS dan Butterworth.

Turut ditahan, tiga pasangan kekasih atas kesalahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam sekitar Sungai Pinang, Jelutong, Pantai Seagate dan Pantai Queensbay.

12 samseng jalan raya buat aksi ‘zig-zag’ dicekup polis

KUALA LUMPUR: Seramai 12 samseng jalan raya dicekup pihak berkuasa ketika warga kota sedang sibuk meraikan sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka, malam kelmarin.
Sebelum berjaya ditahan, semua mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya malah melakukan ‘zig zag’ di tengah kesesakan jalan raya tanpa menyedari tindakan mereka diperhatikan pegawai dan anggota dari Unit Kuat Kuasa Khas (3K) Trafik Kuala Lumpur yang berpakaian preman.
Ketua U3K Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, seorang daripada mereka yang ditahan ketika pemeriksaan mengaku menunggang motosikal curi.

“Remaja itu mengaku mencuri motosikal berkenaan tiga hari lalu,” katanya.

Azmi berkata, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Katanya, semua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

“Hasil pemeriksaan identiti, rata-rata yang ditahan bekerja sebagai anggota tentera, swasta, kilang, pelajar sekolah dan penganggur,” katanya.

Isteri cemburu belasah rakan setaman

GOMBAK: Hanya kerana cemburu, seorang wanita sanggup menyerang dan membelasah rakan wanita jirannya menggunakan besi pembuka tayar hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di muka dan kepala dalam satu kejadian di Batu 5, Jalan Gombak, di sini, 24 Ogos lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an pada mulanya pergi ke rumah wanita berkenaan yang juga kenalannya di kawasan perumahan itu.
Menurut sumber polis, ketika mangsa sedang menjamu selera di rumah rakannya itu tiba-tiba datang seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang tinggal berjiran dengan rakan mangsa.

“Wanita terbabit secara tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki- hamun mangsa dan juga rakannya itu sambil memegang besi pembuka tayar.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu kemudian keluar ke pekarangan rumah dengan tujuan menasihatkan wanita itu supaya bersabar,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, wanita itu semakin menggila apabila dia mengamuk sebelum menolak mangsa yang cuba menenangkannya.

“Sebaik mangsa terjatuh, wanita itu terus menghayunkan besi pembuka tayar yang tepat mengena muka dan kepala membuatkannya menjerit meminta pertolongan.

“Wanita itu yang ketakutan selepas melihat kecederaan mangsa terus melarikan diri meninggalkan mangsa sebelum rakannya yang berada dalam rumah keluar selepas mendengar kekecohan itu,” katanya.

Sumber terbabit berkata, rakan mangsa cuba mengejar wanita terbabit namun gagal sebelum dia membawa mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan cemburu dan mengesyaki suaminya mempunyai hubungan dengan mangsa dan juga rakannya

Ibu maut depan mata

KOTA BHARU: Menyayat hati bagi seorang kanak-kanak berusia 12 tahun apabila melihat ibunya maut di depan mata selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan dekat Balai Islam, Lundang, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Siti Mariam Arifin, 55, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai dirempuh kereta Proton Wira Aeroback dari arah Lundang ke Kota Bharu.
Anaknya, Mohd Fikran Abd Wahab berkata, dia bersama ibunya mahu singgah ke sebuah pasar raya terletak di seberang jalan.

Katanya, dia yang sudah di seberang jalan melihat ibunya cuba melintas sebelum dirempuh kenderaan terbabit.

“Kami nak singgah di kedai itu untuk membeli selipar. Saya sudah jalan di depan, ibu pula ada di seberang jalan untuk melintas.

“Tidak lama kemudian, saya melihat ibu dilanggar kereta yang laju itu,” katanya.

Mangsa yang berasal dari Kampung Selising, Pasir Puteh adalah ibu tunggal yang mempunyai empat anak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Azlie Md Noor ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan terbabit.

Warga emas nyaris maut kereta terbalik dirempuh

KOTA BHARU: Seorang warga emas yang baru pulang membeli juadah berbuka nyaris maut apabila kereta dipandu terbalik beberapa kali selepas dilanggar sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan dalam kejadian di Kampung Parit, di sini, semalam.
Khalijah Harun, 55, berkata ketika kejadian dia sedang memandu dari arah Pasir Tumboh ke Wakaf Che Yeh sebelum terkejut dengan kehadiran kereta terbabit yang secara tiba-tiba hilang kawalan.
Katanya, dia yang panik cuba mengelak namun bergesel bahagian sisi kenderaan berkenaan menyebabkan ia terbalik beberapa kali.

“Sebaik kejadian, saya hanya menyedari berada dalam kereta yang terbalik. Mujur tidak cedera teruk cuma sakit badan kerana terhantuk ketika kereta berpusing,” katanya di tempat kejadian, di sini, semalam.

Seorang saksi, Nik Hazam Nik Wok, 36, berkata dia terdengar beberapa dentuman dari rumah sebelum keluar melihat tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba dia mendapati terdapat tiga kenderaan jenis Proton Saga Aeroback, Proton Saga Sedan dan sebuah Perodua Viva terbabit dalam kemalangan.

“Tiada siapa di situ ketika itu menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan pengguna jalan raya lain supaya menghubungi ambulans dan membawa keluar mangsa tercedera,” katanya.

“Seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan seorang pemandu kereta di situ dengan memecahkan cermin tingkap keretanya kerana bimbang berlaku kebakaran,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu juga enam mangsa tercedera termasuk lima sekeluarga yang berada di dalam Proton Saga manakala pemandu kereta Proton Saga Aeroback yang berusia 50-an patah kaki dan kesemuanya dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ludin Che Will berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan terbabit pada jam 4.16 petang sebelum bergegas bersama lima anggota dan satu jentera.

Beliau berkata maklumat awal diperoleh mengatakan kemalangan berlaku selepas sebuah kereta dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar secara bertentangan dengan kenderaan lain.

Menangis teresak-esak elak ditahan

SHAH ALAM: Helah sepasang kekasih menempah dua bilik bersebelahan menggunakan nama masing-masing di hotel bajet di Bandar Sunway, Petaling Jaya, semalam, gagal mengaburi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pasangan kekasih berusia 22 dan 24 tahun dari pantai timur menangis teresak-sesak supaya dibebaskan sejurus ditahan pegawai penguat kuasa Jais. Difahamkan, pasangan muda terbabit sanggup berpanas dengan mematikan operasi pendingin hawa dan lampu bilik sebelum membuat maksiat.
Itu antara taktik licik beberapa pasangan yang ditahan dalam ‘Ops Sayang’ sempena sambutan ambang Merdeka Ke-53 yang turut membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ahli jawatankuasa masjid.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 1 pagi dan berakhir empat jam kemudian itu, 22 pasangan membabitkan daerah Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya ditahan kerana disyaki berkhalwat. Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jais, Mohamad Rais Rasid berkata, antara kawasan yang digempur pihak berkuasa adalah hotel bajet di sekitar Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Petaling Jaya, Sabak Bernam dan Hulu Langat.

“Anggota kami dipecahkan kepada lapan kumpulan yang masing-masing ke destinasi tumpuan. “Ops pada malam ini bertujuan menyelamatkan remaja Melayu daripada terjebak ke lembah maksiat dan gejala sosial yang tak bermoral,” katanya.

Beliau berkata, pusat hiburan dan hotel bajet dijadikan tempat utama serbuan berikutan cara lapuk berdua-duaan di tempat awam tidak menjadi kegemaran mereka lagi.

“Kami fokuskan lebih kepada hotel bajet sebab ia lebih murah dan dipercayai ramai pergi ke situ.

“Ops Sayang ini kami lakukan dua tahun sekali dan diperhebatkan pada sambutan hari kekasih, kemerdekaan dan tahun baru,” katanya. Menurutnya, bagi pasangan yang tidak didakwa pada malam itu, mereka perlu mengikuti ‘Kursus Masih Ada Yang Sayang’ kelolaan Jais selama sehari pada waktu ditetapkan.

“Bagi mereka yang didakwa selepas didapati bersalah pula perlu menghadirkan diri ke Kursus Bimbingan Rohani yang diadakan tiga hari dua malam,” katanya.

Semua pasangan dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun ditahan dibawa balik ke ibu pejabat Jais untuk diambil keterangan dan diikat jamin sebelum dibebaskan. Katanya, pasangan disyaki berkhalwat didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kecuali seorang lelaki bukan Muslim dan jika sabit kesalahan.

Dicabul abang ipar

KUALA TERENGGANU: Demi menjaga hubungan keluarganya, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa merahsiakan peristiwa dia dicabul abang iparnya pada 19 Ogos lalu.
Namun, selepas bimbang kejadian sama berulang, dia memberanikan diri menceritakan detik hitam dilaluinya kepada kakaknya, Isnin lalu.
Suri rumah berusia 23 tahun itu kemudian membawa adiknya ke Balai Polis Kuala Besut untuk membuat laporan pada jam 8 malam hari sama.

Mengikut laporan, kakak mangsa mendakwa suaminya meraba badan adiknya ketika dia tinggal bersendirian di rumah pada hari kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor, ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Lelaki dakwa ditendang guru kaunseling

GEORGETOWN: Seorang lelaki mendakwa ditendang guru kaunseling di sebuah sekolah rendah di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, dekat sini, sehingga menyebabkan jari tengah kaki kanannya retak, mengakibatkannya tidak dapat menjalankan perniagaan membuat peralatan besi, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1 petang itu, Mohd Nazri Abdul Wahab, 43, yang berada di sekolah anaknya untuk menemui guru besar bersama isteri dan dua anak lelakinya, disepak di dada oleh guru kaunseling sekolah itu.
Mereka ke sekolah untuk mengambil beg anaknya, Muhamad Nuramin, 11, yang dirampas guru disiplin selepas murid itu pulang ke rumah kerana tidak berpuas hati dikenakan denda selepas berselisih faham dengan pelajar perempuan.

Selain itu, mereka juga ingin mendapatkan penjelasan guru kaunseling berusia 20-an menampar belakang badan serta mencekik Muhamad Nuramin.

Mohd Nazri berkata, dia keluar dari bilik guru besar bersama seorang anaknya untuk mengenal pasti guru memukul anaknya dan selepas guru kaunseling terbabit mengaku, dia cuba mendekatinya sambil menunding jari ke arah guru itu.

Mohd Nazri yang terkejut dengan tindakan guru kaunseling itu turut membuat laporan di balai polis sama selepas menerima nasihat peguam serta saudara terdekat selain melihat cedera di kakinya.

Pagi murung, malam mati

PASIR PUTEH: “Ketika hampir waktu berbuka, semua ahli keluarga masih menunggunya balik namun sehingga selepas berbuka saya rasa tidak sedap hati lalu terus mencarinya dan menemuinya dalam keadaan tergantung di rumah bapa saudaranya,” kata Mustafa Hamat, 73, bapa kepada Rosdi Hardi Mustapa, 31, yang ditemui tergantung dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Belah dekat Gaal, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, pemuda terbabit ditemui bapanya dalam keadaan tergantung dengan tali pengikat lembu diikat pada alang rumah dalam sebuah bilik rumah bapa saudaranya terletak bersebelahan rumah keluarga di kampung terbabit.
Menurut Mustafa, sebelum kejadian, anaknya ceria dan sempat membantunya di ladang serai pada sebelah petang. Bagaimanapun katanya, pagi sebelum itu anaknya dilihat murung dan berbaring di beranda rumah bapa saudaranya itu.

“Pagi tadi (kelmarin) saya ada tanya dia kenapa tidak balik ke rumah, sebab kebiasaannya setiap pagi dan petang dia mesti balik untuk mandi dan kadang-kadang menolong ibunya di rumah.

“Arwah sangat ceria sebelum ini, tetapi saya pelik pagi tadi dia murung dan sebelah petangnya pula dia ke ladang membantu saya memunggah serai untuk dipasarkan di pasar tani,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Mustafa berkata, selepas menolong di ladang serai, dia sempat berpesan kepada anaknya supaya pulang awal membantu ibunya.

Katanya, anaknya itu tidak kelihatan apabila mereka sedang bersiap untuk berbuka puasa sehingga selepas itu dia mula berasa tidak sedap hati.

“Selalunya apabila tiba masa untuk berbuka puasa dia akan balik, namun semalam saya pelik kerana tidak balik sehinggalah dia dijumpai mati tergantung,” katanya.

Mustafa berkata, beberapa hari sebelum itu arwah sempat meminta duit dengannya untuk beli baju serta peralatan lain sebagai persiapan awal menyambut raya.

“Saya memintanya bersabar kerana masih belum mendapat kutipan hasil serai daripada peraih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

'Hari raya paling sedih'

KOTA TINGGI: “Inilah Aidilfitri paling menyedihkan dalam hidup saya tetapi saya reda dengan ketentuan Tuhan,” kata Amira Akila Md Nor, 16, anak kepada Saemah Hashim, 49, yang maut dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di Kilometer 55, Jalan Kota Tinggi-Kluang, tengah hari semalam.
Dua lagi yang terbunuh dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu ialah pasangan suami isteri, Mohd Salleh Said, 54, dan Jamilah Kahanan, 51, manakala anak mereka, yang dikenali sebagai Shahira, 12, cedera ringan dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa menaiki kereta Perodua Kancil dipandu Mohd Salleh dengan Jamilah duduk di sebelahnya, manakala Saemah yang juga jiran mereka bersama Shahira duduk di tempat duduk belakang.

Mereka yang dalam perjalanan ke Kota Tinggi bertembung sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dari arah Kluang.

Amira Akila berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan membabitkan ibunya selepas mendapat panggilan telefon daripada saudaranya.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan rasa hendak pengsan apabila melihat keadaan kereta dinaiki emak,” katanya ditemui di HKT.

'Ya Allah, anakku sudah tiada lagi'

PELABUHAN KLANG: “Ya Allah...anak saya...anak saya sudah tak ada lagi.” Itulah rintihan seorang ibu, Noriah Ishak, 26, yang kehilangan anak sulung tersayang dalam kejadian kemalangan maut di Persiaran Raja Muda Musa, berhadapan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, di sini, semalam.


MALANG...anggota polis mengangkat jenazah Muhamad Yusop  yang meninggal dunia dilanggar  van.
MALANG...anggota polis mengangkat jenazah Muhamad Yusop yang meninggal dunia dilanggar van.

SEDIH...Noriah (kiri) ditenteram  rakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
SEDIH...Noriah (kiri) ditenteram rakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Lebih memilukan apabila kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Yusop Adnan, 7, bersama ibu dan beberapa rakannya dalam perjalanan ke pusat bandar Klang untuk membeli songkok sempena menyambut Syawal.

Difahamkan ketika kejadian, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Raja Zarina terlepas pegangan tangan dengan beberapa kawannya dan cuba berlari menyeberang jalan manakala ibunya mengekori dari belakang, sebelum sebuah van dipandu laju seorang lelaki gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Kesan daripada rempuhan kuat itu, mangsa dikatakan melambung beberapa meter sebelum tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala.

Noriah ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini tidak dapat menahan kesedihan sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga dan rakan.

Noriah berkata, anaknya itu pada mulanya mahu duduk rumah tetapi dia berkeras mahu anaknya itu mengikutinya selepas melihat rakannya turut membawa anak masing-masing bersama untuk membeli-belah.
“Along (panggilan untuk Muhamad Yusop) pada mulanya tidak mahu ikut, tetapi selepas saya lihat anak-anak rakan saya turut sama, saya mengajaknya ikut bersama.

“Dia pada mulanya berat hati nak ikut, tapi selepas saya yakinkan dia dan beritahu takut songkok yang akan dibeli nanti tak sesuai dengan kepalanya menyebabkan dia akur,” katanya yang bekerja di kantin Sekolah Menengah Raja Lumu.

Noriah yang tinggal di Flat Bunga Raya, Pandamaran berkata, ketika kejadian dia bersama kira-kira 11 orang cuba melintas jalan ke seberang untuk menunggu bas ke pusat bandar.

“Masih saya ingat, ketika itu saya dan yang lain berdiri di atas garisan berkembar dan anak saya berlari ke seberang sebelum dirempuh.

“Saya hanya mampu meraung sekuat hati selepas dia melambung dengan darah memenuhi pakaian. Saya tak boleh bayangkan hilang semuanya dalam sekelip mata,” katanya sebak.

Noriah berpisah dengan suaminya dan bekerja kantin sejak setahun lalu juga mempunyai seorang lagi anak, Muhamad Putera Yusnadi Adnan, 4, tinggal bersama keluarganya di Mersing, Johor.

Katanya, malam kelmarin arwah menghubungi adiknya di Johor dan dia berjanji akan pulang berhari raya dan membeli baju baru serta bunga api untuk adiknya itu.

“Macam mana saya nak beritahu anak saya nanti, along sudah tak ada. Adiknya sedang tunggu kepulangan abangnya,” katanya sambil memeluk beberapa sahabatnya.

Ditanya perubahan pelik anaknya, Noriah berkata, ketika mandi pada pagi sebelum mereka ke bandar, anaknya meminta dia sabunkan badannya dan ketika bersahur awal pagi semalam arwah memintanya disuapkan makanan untuknya.

“Wajah along juga agak pucat sejak kebelakangan ini tetapi dia tetap bersemangat untuk berhari raya dan meminta saya beli pakaian mahal untuk balik kampung,” katanya menambah mangsa seorang budak baik dan tidak pernah membantah cakapnya dan setiap malam dia akan mengikutinya ke surau untuk solat Tarawih.

Mayat mangsa dibawa ke Mersing, Johor untuk urusan pengkebumian.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan pejalan kaki melintas jalan berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Raja Zarina berhadapan balai bomba menggunakan laluan bomba yang berpalang.

Remaja parah leher dirodok

AMPANG: Tidak puas hati barangan yang disamun terlalu sedikit, seorang lelaki sanggup merodok leher remaja yang menjaga kedai keluarganya di Jalan Bunga Tanjung 9, Taman Muda, dekat sini sehingga cedera parah, kelmarin.
Difahamkan, suspek mahu merampas wang di kaunter kedai, walaupun sebelum itu mangsa memberikan sejumlah wang kepadanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berada seorang diri di dalam kedai keluarganya sebelum suspek yang bersenjatakan senjata tajam muncul dan mengarahkan mangsa menyerahkan wang serta barang berharga kepadanya.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, operasi memburu suspek dijalankan di kawasan berkenaan dan polis berusaha mendapatkan gambaran suspek memandangkan kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Katanya, mangsa tidak sedarkan diri selepas kejadian itu apabila kehilangan banyak darah akibat kecederaan dialaminya.

“Mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan polis meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai kes tampil memberikan maklumat.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.

Polis tahan suami wanita mangsa bunuh

KLANG: Ekoran keterangan meragukan, polis menahan suami wanita yang mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di tempat pembuangan sampah di Jalan Sungai Cendong 12, Pulau Indah, Ahad lalu, bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki terbabit ditahan di bandar ini kira-kira jam 5 petang semalam dan kini direman seminggu.
“Kami menahannya berikutan banyak keterangan yang diberikan meragukan dan siasatan menjurus kemungkinan ia berpunca daripada perasaan tidak puas hati suami mangsa.

“Siasatan masih berjalan dan polis masih menyiasat sama ada dia sengaja mereka cerita atau sebaliknya,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan sebelum ditahan, lelaki berusia 40-an itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menguruskan jenazah isterinya dihantar pulang ke Banting bagi urusan pengebumian.

Mayat Mariam Osman, 39, ditemui seorang pengawal keselamatan dalam keadaan perut terburai dan terdapat kesan tikaman di muka, tangan dan belakang badan dipercayai menggunakan senjata tajam, Ahad lalu.

Polis turut menemui sebilah pisau di tempat kejadian dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Diserang ketika tuntut hadiah

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang wanita berusia lewat 40-an untuk memiliki sebuah rumah selepas memenangi peraduan koyak dan menang ketika membeli-belah di sebuah pasar raya lebur apabila ejen terbabit mengamuk sebelum menyerangnya ketika menuntut hadiah berkenaan di sebuah pejabat di Laman Rimbunan, Kepong, di sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, seorang daripada empat ejen berusia 30-an yang berada dalam pejabat terbabit mengamuk dan menyerang mangsa selepas dia enggan membayar RM50,000 kononnya wang deposit kepada hadiah yang dimenanginya itu.
Malah, keengganan suspek menunjukkan geran tanah rumah kononnya dimenangi mangsa yang ditemani adik iparnya berusia lewat 30-an mempertikaikan suspek sebelum berlaku pertengkaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek yang gagal mengawal perasaannya itu melontarkan topi keledar ke arah mangsa.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana adik iparnya menghalang topi keledar itu daripada terkenanya.

“Suspek menyerang mangsa dan adik iparnya, namun serangan itu berjaya ditepis.

“Tersentak dengan kebolehan adik ipar mangsa, suspek mengarahkan mereka meninggalkan pejabat terbabit,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ditemani adik iparnya itu bergegas ke Balai Polis Jinjang, di sini, membuat laporan kejadian terbabit kerana mengesyaki mereka sindiket penipuan.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Pelacur asing separuh bogel sembunyi dalam stor

KUALA LUMPUR: Terkejut ketika diserbu, beberapa pelacur warga asing cuba melarikan diri dalam keadaan separuh bogel dengan tubuh mereka hanya ditutupi tuala kecil sebelum bersembunyi di bilik stor di sebuah rumah kedai di Jalan Kuchai Lama, di sini, kelmarin.


TAHAN...pelacur warga China yang dicekup, kelmarin.
TAHAN...pelacur warga China yang dicekup, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman susulan maklumat orang ramai.
Sindiket itu beroperasi di premis di tingkat tiga itu berselindung di sebalik pusat spa dan penjagaan kesihatan, namun tidak menyediakan sebarang perkhidmatan itu.

Sebaliknya, premis yang tidak mempunyai lesen itu diubah suai dengan menjadikannya sebagai pusat urutan batin yang turut menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM155 sejam.

Turut ditemui pil perangsang yang digunakan bagi melayani pelanggan serta pil pencegah kehamilan.

Dalam Ops Noda selama dua jam itu, polis menahan tujuh wanita warga China berusia 20 hingga 30-an termasuk enam pelanggan.

Semua wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 11(7) Peraturan Imigresen 1969 kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja sebagai pelacur selain Seksyen 6(1)(c) kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Manakala, pelanggan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk direkod keterangan.

Ibu rayu anak pulang



SARIMAH Abdullah buntu apabila memikirkan nasib Mohd Fazwan Azmi yang tidak pulang ke rumah sejak 9 Ogos lalu.


KUANTAN 31 Ogos - Seorang ibu menemui jalan buntu apabila memikirkan nasib anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak 9 Ogos lalu.
Kehilangan Mohd. Fazwan Azmi, 21, dari Jaya Gading di sini menimbulkan tanda tanya ahli keluarganya kerana pemuda terbabit tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham dengan mereka.
Menurut Sarimah Abdullah, 44, sebelum kejadian, anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur menghubungi dan memaklumkan kepadanya untuk pergi ke Kampung Kor Beta di Kota Bharu, Kelantan.
"Dia memaklumkan kepada saya tujuannya ke sana adalah untuk meninjau keadaan rumah yang ditinggalkan selepas kami berpindah ke Kuantan beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Katanya, Mohd. Fazwan yang memandu Proton Waja berwarna kelabu bernombor pendaftaran MBC 8272 turut memberitahu akan pulang segera ke Kuantan pada hari sama iaitu pada 9 Ogos lalu.
Katanya, sehingga kini anak ketiga daripada empat beradik yang masih belum pulang ke Kuantan itu gagal dihubungi dan menyebabkan dia sekeluarga bimbang dengan keadaan Mohd. Fazwan.
Berikutan itu, dia kemudian cuba menghubungi rakan anaknya namun panggilannya itu tiada jawapan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan semalam.
"Kami turut membuat pemeriksaan di IPD Kuantan sama ada Mohd. Fazwan terbabit dalam kemalangan namun selepas pemeriksaan dijalankan ke atas nombor pendaftaran kereta itu, pihak polis juga gagal mengesannya," jelasnya.
Lebih membimbangkan, apabila dia turut menerima panggilan telefon daripada majikan tempat anaknya bekerja memaklumkan Mohd. Fazwan sudah tiga hari tidak bekerja sejak dari tarikh kehilangannya.
Sarimah berkata, dia tidak tahu bagaimana lagi hendak mencari anaknya selain terus mencuba menghubungi nombor telefon Mohd. Fazwan dan mengharapkan bantuan daripada ahli keluarga terdekat.
"Saya yakin Mohd Fazwan akan pulang ke pangkuan kami, cuma tidak tahu di mana dia berada sekarang dan saya tidak akan berputus asa untuk mencarinya walaupun sibuk dengan perniagaan," ujarnya.
Sarimah menambah, mereka sekeluarga amat merindui Mohd. Fazwan, apatah lagi ketika Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Mohd. Fazwan menghubungi Sarimah di talian 019-9024046/017-9110612 dan 013-9520420

75 rumah rosak dipukul ribut



TELUK INTAN 31 Ogos - Sebanyak 75 buah rumah rosak dengan kebanyakan bumbungnya diterbangkan angin dalam satu kejadian hujan lebat disertai ribut di beberapa kawasan perumahan di sini petang semalam.
Antara kawasan yang terbabit dengan kejadian itu ialah Perumahan Awam Padang Tembak, Perumahan Awam Gertina dan Pekan Baru.
Kejadian pukul 3.45 petang itu menyebabkan lima daripada 75 rumah tersebut mengalami kerosakan teruk manakala tujuh buah gerai Bazar Ramadan di City Mewah dan dua gerai di Kampung Banjar dekat sini musnah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, A. Ravi ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan memaklumkan perkara tersebut.
"Pihak kami mengambil masa kira-kira 12 jam untuk melakukan kerja-kerja pembersihan akibat banyak pokok tumbang selain rumah-rumah penduduk yang rosak akibat ribut," katanya.

19 motosikal, sebuah kereta terbakar



NIBONG TEBAL 31 Ogos - Sebanyak 19 buah motosikal milik pelanggan sebuah syarikat kereta sewa di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini. Turut terbakar sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di hadapan premis syarikat terbabit.
Pemilik premis, Solahhudin Salleh, 37, berkata, ketika kejadian pada pukul 4.30 pagi, dia berada di Alor Setar, Kedah, untuk menguruskan hal keluarganya.
"Saya kemudian bergegas pulang ke sini dan terkejut melihat semua motosikal milik pelanggan yang menyewa kereta saya hangus terbakar.
"Saya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat memaklumkan, kejadian tersebut disedari oleh orang ramai yang melalui jalan terbabit.
Jelasnya, kesemua motosikal itu adalah cagaran daripada pelanggan yang menyewa kereta jika gagal melunaskan bayaran sewa kereta.
"Pihak polis masih belum dapat memastikan sama ada kejadian itu berlaku akibat perbuatan khianat atau sebaliknya.
"Beberapa sampel dari tempat kejadian telah diambil pihak pasukan bomba dan penyelamat manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," ujarnya.
Shafien meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.

Gadis dirogol 8 lelaki



KUALA LUMPUR 31 Ogos - Akibat terlalu mudah mempercayai individu baru dikenali, seorang remaja berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol bergilir-gilir lapan lelaki di sebuah rumah di Jalan Melor 2A, Desa Melor di Serendah, dekat sini, Jumaat lalu.
Mangsa yang sudah tidak bersekolah pada mulanya berkenalan dengan dua daripada suspek dan bersetuju mengikut mereka minum di sebuah kedai makan.
Semasa minum, suspek dipercayai telah memasukkan sesuatu ke dalam minuman mangsa menyebabkan gadis itu tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah terletak di tingkat atas lot kedai di Jalan Melor 2A dan dirogol bergilir-gilir oleh dua suspek bersama empat lagi rakan serumah yang lain.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, apabila mangsa tidak pulang ke rumah selama sehari, bapanya telah membuat laporan di Balai Polis Serendah.
Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai, seorang rakan kepada bapa mangsa berjaya menemui dan menyelamatkan gadis terbabit di rumah tersebut.
"Mangsa yang diikat tangannya berjaya diselamatkan oleh rakan bapanya pada Sabtu lalu.
"Dengan bantuan orang awam, kelapan-lapan suspek berusia 20 hingga 30 tahun berjaya ditangkap pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Norel Azmi berkata, kelapan-lapan suspek merupakan pekerja kilang dan berasal dari Sabah.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan mangsa telah dirogol.
Katanya, polis juga sudah menghantar barang-barang bukti di tempat kejadian untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 dan 342 Kanun Keseksaan," katanya.

23 pasangan berkhalwat di hotel





PETALING JAYA 31 Ogos - Sambutan malam ambang Hari Kemerdekaan pada di bulan Ramadan malam tadi yang sepatutnya diraikan dengan semangat patriotik dan keinsafan berlaku sebaliknya apabila 23 pasangan kekasih Islam ditahan melakukan maksiat di bilik-bilik hotel.
Lebih memalukan 12 daripada pasangan yang ditahan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan utama tidak lama lagi.
Ops Sayang oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira pukul 2 pagi itu dibuat di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam untuk membanteras perbuatan maksiat sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53.
Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Nurhamizah Othman berkata, sebaik sahaja pintu bilik hotel itu diketuk penguat kuasa JAIS, pelbagai tindakan terdesak dilakukan pesalah yang mahu melarikan diri.
"Terdapat antara mereka yang terjun melalui tingkap hotel meninggalkan pasangan.
"Bagaimanapun, lelaki yang bertindak terjun daripada bilik hotel dalam serbuan itu berjaya ditahan serta tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, terdapat juga yang enggan membuka pintu bilik sekali gus memaksa penguat kuasa JAIS memecahkan pintu bilik tersebut.
Dalam pemeriksaan itu, katanya, terdapat juga pasangan yang mendakwa telah berkahwin namun gagal mengemukakan bukti.
Nurhamizah memberitahu, tidak ketinggalan juga pasangan menunjukkan cincin tunang sebagai 'lesen' untuk mereka berdua-duaan di bilik hotel selain yang berkhalwat dengan pasangan bukan Islam.
Menurut beliau, daripada 23 yang ditahan, 15 pasangan akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala selebihnya akan diberi kaunseling.

Lubang baru digerudi bagi selamatkan pelombong Chile



COPIAPO, Chile 31 Ogos - Sekumpulan jurutera memulakan penggerudian sebuah lubang bagi menyelamatkan 33 pelombong Chile yang terperangkap di bawah tanah hari ini, namun pihak berkuasa mengingatkan ia mungkin selesai pada Krismas ini sebelum pengalaman pahit mereka berakhir.
Sumber kerajaan memberitahu AFP, mesin pengorek gergasi buatan Australia, "Strata 950" memulakan kerja-kerja menggerudi pada pukul 10.25 malam (10.25 pagi waktu tempatan).
Pada awalnya penggerudian itu mengorek lubang seluas 33 sentimeter. Ia kemudiaannya perlu digandakan menggunakan gerudi khas bagi mencapai keluasan 66 sentimeter, cukup luas untuk menurunkan kapsul penyelamat bagi membawa naik pelombong seorang demi seorang.
Proses itu akan dilakukan dengan cermat dan teliti serta operasi di lombong yang terletak 800 kilometer dari utara Santiago itu akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan, kata kerajaan Chile.
Selepas 25 hari menderita kepanasan dan berada di dalam keadaan udara lembap di lombong emas dan tembaga San Jose, beberapa pelombong telah mula dijangkiti kulat dan mengalami bengkak-bengkak pada bahagian tubuh serta yang lain menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
Semasa proses penggerudian lubang yang lama, para pekerja akan bekerja secara giliran sepanjang waktu untuk membersihkan batu-batu dan serpihan yang jatuh dari atas serta setiap masa berharap operasi berbahaya itu tidak mengakibatkan runtuhan baru.
"Mereka akan membantu kami. Mereka akan memberi kami maklumat lengkap mengenai keadaan lombong itu," kata ketua jurutera, Jorge Sanhueza.
Usaha menyelamat terakhir akan dilakukan pada waktu malam untuk melindungi pelombong daripada cahaya matahari.
Ia akan mengambil masa tiga hingga empat hari kerana setiap pekerja perlu dibawa naik ke atas dengan cermat dan teliti yang memakan masa satu atau dua jam dari kedalaman 702 meter.
Menteri Perlombongan Chile, Laurence Golborne telah menolak laporan awal sebelum ini yang menyatakan kononnya kerajaan mempunyai kaedah lain untuk menyelamatkan mangsa dalam tempoh sesingkat sebulan. - AFP

Lapan terbunuh dalam letupan bom di Mogadishu



01/09/2010 2:38am

MOGHADISHU 1 Sept. - Lapan orang dilaporkan terbunuh manakala 12 lagi cedera parah setelah sebutir bom meletup di bandar Mogadishu semalam.
Tiada pihak yang tampil bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut namun pihak kerajaan berpendapat kejadian tersebut dilakukan oleh kumpulan pemberontakan Islam, al-Shababb yang juga mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.
Minggu lalu, seramai 100 orang terbunuh dalam satu serangan di sebuah hotel yang turut menyaksikan empat penggubal undang-undang terbunuh.
Serangan tersebut juga dijangka didalangi oleh kumpulan al-Shababb. - DPA

Helikopter terhempas korbankan tiga orang di Arkansas



01/09/2010 2:37am

LITTLE ROCK, Arkansas 1 Sept. - Tiga krew penerbangan terbunuh awal pagi semalam setelah sebuah helikopter perubatan terhempas di kawasan bandar Arkansas ketika dalam perjalanan untuk mengambil mangsa kemalangan jalan raya.
Menurut jurucakap Persekutuan pentadbiran penerbangan, Lynn Lunsford berkata, helikopter dari pasukan penyelamat The Air Evac itu telah terhempas berhampiran perkampungan Scotland, Van Buren pada pukul 4.30 pagi waktu tempatan.
“Pesawat tersebut terbang terlalu rendah. Krew pesawat itu juga tidak berhubung dengan pengawal trafik udara ketika itu,” kata Lunford. - AP

Pesawat Qantas berpatah balik ke San Francisco kerana rosak



01/09/2010 2:37am

SAN FRANCISCO 1 Sept. - Pesawat penerbangan Qantas yang dalam perjalanan dari lapangan terbang San Francisco ke Sydney, Australia terpaksa berpatah balik akibat mengalami masalah enjin.
Pegawai bertugas lapangan terbang San Francisco, Carol Spear berkata, pesawat tersebut telah mendarat dengan selamat dan tiada kecederaan yang dilaporkan.
Pesawat tersebut berlepas dari San Francisco pada pukul 11.05 malam waktu tempatan dan berpatah balik pada pukul 12.45 pagi dengan keadaan enjin yang rosak.
Spear berkata, terdapat 212 penumpang dalam pesawat tersebut.
Katanya, pihak Qantas menyediakan perkhidmatan hotel tempatan kepada penumpang terkandas untuk bermalam. - AP

15 NGO Pahang buat laporan





KUANTAN 31 Ogos - Permuafakatan NGO Melayu Pahang Bersatu (Muafakat) yang terdiri 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negeri, hari ini membuat laporan polis terhadap Wee Meng Chee atau lebih dikenali 'Namewee'.
Laporan dibuat ekoran tindakan pemuda dari Muar, Johor, mengulangi perbuatan biadapnya dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.
Antara 15 NGO terbabit adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wira Perkasa Pahang dan Alumni Graduan Muda Pahang.
Selain itu, Majlis Belia Daerah, Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Majlis Guru Pahang dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Pengerusi GPMS Negeri, Wan Emril Nizam Wan Embong yang mewakili 15 NGO terbabit berkata, klip video Namewee itu menyentuh isu perkauman.
"Ia juga telah mendatangkan keresahan di kalangan rakyat berbilang kaum," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Klip video terbaru berjudul Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!! itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya, Johor, yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.
Tegas Wan Emril, apa yang dilakukan Namewee merupakan provokasi selain menunjukkan pemuda itu tidak insaf meskipun pernah memohon maaf atas kesalahannya mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku suatu ketika dahulu.
Oleh itu, Wan Emril mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyiasat perkara itu di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, jika kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee, pihaknya bercadang menyaman pemuda itu supaya menjadi pengajaran kepadanya.
Di PUTRAJAYA, satu lagi laporan polis berhubung klip video berbaur perkauman terhadap Namewee dibuat di IPD Putrajaya hari ini.
Laporan dibuat oleh Pergerakan Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dibuat setelah mendapati lirik lagu Negarakuku dalam laman web Youtube itu mempunyai unsur hasutan dan fitnah.
Ketuanya, Raihan Suleiman Pelastin berkata, perkara itu disedari dua hari yang lepas ketika beliau melayari laman web itu di rumahnya.
"Apabila saya mengamati lirik lagu itu, saya dapati ada unsur fitnah yang bercanggah dengan fakta sejarah, provokasi, dan mempertikaikan perkara-perkara dalam Perlembagaan.
"Antaranya mempersoalkan Perlembagaan yang menjadi teras kewarganegaraan ke atas kedudukan bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu selain menaburkan fitnah kepada kerajaan," katanya.
Sementara itu di MELAKA kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap Meng Chee atau termasuk melucutkan kerakyatan pemuda itu atau didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan tegas seperti itu perlu diambil segera terhadap Namewee tanpa perlu memberi amaran lagi kepadanya.
Menurutnya, pemuda itu tidak seharusnya diberi peluang kemaafan di atas tindakannya itu memandangkan ia kini mewujudkan rasa kurang selesa dalam kalangan kaum lain.

Mangsa kedua letupan kotak mercun meninggal



KUALA LUMPUR 31 Ogos - Setelah bertarung nyawa hampir 48 jam, mangsa yang cedera parah akibat letupan kotak berisi mercun di hadapan rumah di Pangsapuri Desa Tun Razak, Cheras di sini kelmarin, meninggal dunia awal pagi ini.
Goh Weng Sing, 38, yang melecur hampir 90 peratus anggota badannya menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi hari ini mengesahkan kematian mangsa tersebut.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di HKL hari ini enggan menemui wartawan kerana masih dalam kesedihan.
Dalam kejadian itu, Weng Sing parah manakala rakannya, Ng Siew Hong, 51, maut sejurus mereka membuka sebuah kotak misteri mengandungi mercun yang kemudian meletup di Tingkat 12 Pangsapuri Desa Tun Razak.
Weng Sing dan Siew Hong dikatakan tercampak sebaik sahaja membuka kotak tersebut pada pukul 8.30 pagi.
Letupan mercun yang kuat itu turut memecahkan cermin tingkap lima unit rumah di tingkat sama.
Sehubungan itu, polis kini mencari kontraktor, Mohd. Khairil Ismail, 45, yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kotak berisi mercun yang diletakkan di hadapan rumah tersebut.

Michael Soosai ditahan polis India



CHENNAI,31 Ogos - Michael Soosai, penjenayah Malaysia yang melarikan diri ke selatan India sejak beberapa tahun lalu, ditahan di sebuah hotel di sini Khamis lepas setelah polis India menjejakinya dengan menggunakan teknologi canggih.
Pesuruhjaya Polis Bandaraya Coimbatore, C. Sylendra Babu memberitahu Bernama hari ini, satu unit khas jenayah siber memantau pergerakan Soosai dengan mengesan nombor telefon bimbitnya kepada kenderaan yang dia naiki.
"Dia tidak menyedari kami sedang menjejakinya. Dia terkejut apabila kami menahannya di hotel tersebut. Dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Dia berada di Nepal, Bhopal dan Goa," katanya.
Polis turut menahan isteri dan tiga orang anaknya dan merampas satu kilogram emas, dua buah komputer riba dan beberapa buah telefon bimbit dalam operasi mengesan selama tiga bulan.
Soosai bersembunyi daripada polis Malaysia hampir 10 tahun lalu. Dia dikehendaki kerana beberapa siri penipuan yang membabitkan hampir RM1 juta serta satu pembunuhan di selatan India.
Dia didakwa membunuh seorang rakyat Malaysia, N. Subramaniam di Cheyyur, daerah Kancipuram pada 2002.
Soosai, 47, pernah memalsukan kematiannya sendiri di Malaysia dan kemudian menghilangkan diri dari polis untuk beberapa tahun, namun terus mencabar polis Malaysia untuk menahannya.
Menurut polis India, Soosai berpangkalan di negeri Andra Pradesh, selatan India dan menyelinap masuk untuk melakukan jenayah di negeri lain dengan berpura-pura menjanjikan kerja lumayan di luar India kepada mangsanya.
"Dia tinggal di hotel mewah untuk mengelak daripada pihak polis dan sering memujuk pelanggannya dengan menjanjikan mereka pekerjaan di luar negara tetapi kemudiannya hilang bersama wang mereka.
"Selepas selesai menjalankan tugasnya, dia akan membuang sim kad telefon bimbitnya dan kembali semula ke Andra Pradesh," kata Sylendra mengenai modus operandi Soosai.
Polis India merancang untuk menghantar cap jari suspek yang ditahan itu kepada polis Bukit Aman bagi memastikan sama ada suspek tersebut adalah Soosai.
Dua anak Soosai iaitu dua anak lelaki berumur 7 dan 3 tahun dan seorang anak perempuan berumur 15 tahun sedang ditahan di sebuah pusat tahanan remaja di Coimbatore. - Bernama

Intai balak, jumpa lombong haram





Tiga pegawai SPRM melihat kesan kayu balak yang diproses oleh seorang lelaki (dua dari kanan) di tempat pembalakan haram di Hutan Simpan Tersang dekat Raub, semalam.


RAUB 31 Ogos - Lain dicari lain yang dijumpai.
Begitulah berlaku terhadap sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menemui tapak perlombongan emas haram di Hutan Simpan Tersang dekat sini, selepas menyerbu lokasi sama untuk membanteras aktiviti pembalakan haram.
Operasi disertai 10 pegawai penguat kuasa SPRM dari Putrajaya itu memasuki hutan simpan tersebut pada pukul 8 pagi ini selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti haram di kawasan berkenaan.
Menurut sumber SPRM, bagaimanapun apa yang mengejutkan, pasukan itu menjumpai kapal korek mini dianggarkan bernilai RM200,000 bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
Katanya, aktiviti melombong emas tidak berlesen itu terletak kira-kira 15 kilometer dari kawasan pembalakan haram yang menjadi sasaran serbuan pasukan SPRM.
Bagaimanapun, katanya, tiada sesiapa yang ditahan di kawasan lombong emas itu kerana dipercayai tidak beroperasi pada hari cuti umum.
Sementara itu, kata sumber SPRM itu, kegiatan pembalakan haram dan pencerobohan tersebut dipercayai telah bermula sejak empat tahun lalu dengan membabitkan 30 peratus keluasan di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan negeri.
"Semasa serbuan itu dilakukan, kita menemui tiga lelaki sekeluarga yang sedang memotong kayu balak berkenaan berumur antara 18 dan 53 tahun.
"Mereka yang ditahan itu berusia 53 tahun dan merupakan bapa kepada dua lagi lelaki. Mereka ditahan untuk diambil keterangan dan membantu siasatan.
"Lelaki itu mendakwa dia mula menceroboh hutan itu sejak sebulan lepas dan kayu tersebut dijual kepada seorang pengusaha di ibu negara mengikut permintaan dan saiz kayu yang dikehendaki," katanya kepada pemberita selepas serbuan berakhir pada pukul 4 petang dekat sini, hari ini.
Menurut sumber itu, siasatan awal mendapati terdapat tiga kumpulan utama yang terlibat kegiatan pembalakan haram tersebut dengan setiap kumpulan dianggotai tiga hingga empat orang.
Tambahnya, setiap kumpulan itu pakar dalam cara pemotongan kayu yang dikehendaki pemborong kayu.
Hasil serbuan itu, kata beliau, pasukan SPRM menemui dua tan kayu cengal yang telah dipotong kepada saiz yang lebih kecil di kawasan ketiga-tiga suspek tersebut ditahan.
"Manakala lima hingga enam tan lagi ditemui bertaburan di kawasan tidak jauh dari situ dan harga bagi setiap metrik tan kayu berkenaan sekitar RM2,500," ujarnya.
Tambah sumber itu, berdasarkan siasatan terdapat kira-kira 300 batang pokok cengal ditebang oleh kumpulan pembalakan haram tersebut dalam tempoh beberapa minggu ini.
Beliau turut kesal dengan pihak berkuasa yang seolah-olah 'menutup mata' terhadap aktiviti pembalakan haram yang telah bermula sejak empat tahun lalu.
"Mereka sepatutnya memantau, membanteras dan melaporkan aktiviti yang tidak bermoral itu.
"Adalah mustahil pihak berkenaan tidak mengetahui mengenai aktiviti itu memandangkan tugasnya adalah menjalankan pemantauan di dalam hutan simpan sekurang-kurangnya dua kali sebulan," kata beliau.

Namewee dipanggil polis beri keterangan



KUALA LUMPUR 31 Ogos - Wee Meng Chee atau Namewee malam ini hadir ke Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail di sini, dipercayai untuk memberikan keterangan berhubung video muzik kontroversi terbarunya.
Dia tiba bersama peguamnya, Raveen Singh pada pukul 9.20 malam, sebelum memasuki balai dia sempat menegaskan kepada wartawan bahawa dirinya bukan rasis sebaliknya anti rasis serta menyokong gagasan 1Malaysia.
"Saya seorang pengarah filem, artis dan ahli muzik tetapi tidak semestinya kalau ada sesuatu yang tidak betul berlaku di negara saya, saya akan berdiam diri kerana saya rakyat Malaysia.
"Saya menyokong anti rasis dan 1Malaysia, jadi saya datang untuk memberi kerjasama kepada pihak polis.
"Saya percaya polis akan menyokong saya, begitu juga seluruh negara. Saya cintakan Malaysia," katanya.
Seramai empat pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengendalikan proses memberi keterangan tersebut.
Sehingga 10.30 malam, dia masih berada di dalam balai untuk memberikan keterangan.

Lelaki Perancis pancar laser ke kokpit dipenjara



01/09/2010 2:38am

PARIS 1 Sept. - Seorang lelaki Perancis berusia 20 tahun semalam dikenakan hukuman penjara enam bulan kerana memancarkan sinar laser ke arah kokpit kapal terbang yang sedang mendarat di lapangan terbang Orly Paris minggu lalu.
Tertuduh memberitahu mahkamah Creteil di sub-bandar Paris bahawa dia hanya mahu berseronok dengan permainan yang baru dibeli ketika melawat Thailand dan dia “tidak berniat untuk membuatkan nyawa orang ramai dalam bahaya.”
Bagaimanapun penguam kepada EasyJet, milik Air France yang bertindak sebagai plantif awam dalam kes ini berkata, “pendaratan ialah tahap penting dan ada kes-kes kemalangan berlaku ketika mendarat.”
Lelaki itu ditahan Ahad lalu di tempat letak kereta berhampiran lapangan terbang antarabangsa yang sibut di selatan Paris.
Seramai 21 juruterbang Air France mengadu menerima pancaran laser ke dalam kokpit di lapangan terbang di Perancis dari September 2009 hingga April tahun ini, mahkamah Creteil diberitahu. - AFP