Search This Blog

Monday, August 30, 2010

Empat anak Mahadi terima pakaian raya



Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my
2010/08/30


AMIRUL Rizal (kiri) membantu adiknya Aris Hafiz  (kanan) mencuba kasut raya sambil diperhatikan Afiq Ashraff   (dua kanan) dan Natasha Emilia Mahadi ketika dibawa membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.
AMIRUL Rizal (kiri) membantu adiknya Aris Hafiz (kanan) mencuba kasut raya sambil diperhatikan Afiq Ashraff (dua kanan) dan Natasha Emilia Mahadi ketika dibawa membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.

Kelab News Desk, Meja Hiburan BH beri sumbangan sambut Aidilfitri


KUALA LUMPUR: Selepas dipertemukan dengan ibu bapa dalam suasana cukup mengharukan di Balai Berita di sini, kelmarin, empat daripada 10 anak pasangan Mahadi Che Mansor, 31 dan Kasmaliza Kassim, 29, teruja apabila menerima sumbangan pakaian raya daripada Kelab News Desk dan Meja Hiburan, Berita Harian Sdn Bhd, semalam.
Mereka dibawa membeli-belah kelengkapan hari raya di pusat beli belah SOGO dan kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, manakala enam lagi anak pasangan itu walaupun tidak turut serta juga menerima pakaian raya dan kasut masing-masing.
Amirul Rizal, 11, Afiq Asyraf, 10, Natasha Emilia, 9, dan Arif Hafizi, 7, yang ditemui semalam ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu mereka apabila di bawa membeli-belah dan pada masa yang sama berpeluang memilih baju raya serta kasut yang mereka suka.

Selama kira-kira tiga jam mereka dibawa membeli-belah di pusat beli- belah SOGO dan Bata di Jalan Tuanku Abdul Rahman oleh Ketua Biro Berita Harian Kelantan, Ismail Mat dan wartawan sambilan, Mohd Fakri Awang Lah selain datuk serta nenek mereka, Kassim Mat Diah dan Rokiah Majib.

Tiga lagi termasuk pasangan kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4; serta Naqiuddin, 3, tidak turut serta kerana dibawa pulang oleh ayah dan ibu mereka selepas sesi pertemuan itu, kelmarin.

Dua lagi adik beradik mereka iaitu Nor Hidayah, 13, dipelihara ibu saudara mereka di Seremban dan Nia Khalisa, 2, di Kota Bharu manakala seorang lagi masih bayi, Mohd Rizal, 45 hari, mengikut ibu mereka. 
Sementara itu, Amirul Rizal berkata, dia bukan saja gembira kerana dapat membeli baju dan kasut baru, malah tidak sabar untuk menanti kepulangan ibu dan ayah ke kampung selepas tidak bertemu sejak setahun lalu pada bulan yang mulia ini.

“Terima kasih kerana membeli baju raya untuk saya dan adik beradik lain. Gembira sangat kerana kami boleh memilih baju dan kasut kesukaan kami. Nampaknya, jumlah baju raya saya sudah bertambah kerana sebelum ini sudah ada sepasang. 

“Bukan saja tidak sabar nak sambut hari raya tetapi tidak sabar nak berhari raya bersama mama dan papa.

“Papa dan mama kata mereka akan pulang bersama adik kecil untuk berhari raya bersama kami adik beradik di kampung. Seronok sangat... saya pun tidak sabar juga untuk berkumpul semula dengan kakak dan adik yang tinggal bersama mak saudara di Seremban dan Kota Bharu,” katanya ketika ditemui selepas membeli-belah keperluan hari raya di sini, semalam.

Natasya Emilia berkata, dia tidak sabar untuk berhari raya bersama ayah dan ibu selepas setahun mereka sembilan beradik ditinggalkan bersama datuk dan nenek tirinya di kampung.

“Saya nak minta mama dan papa pulang dan berhari raya bersama kami adik beradik... rindu sangat pada mereka sebab sudah lama 
saya tidak jumpa mereka. Kami tidak tahu lagi bila boleh jumpa papa 
dan mama jika mereka tidak jadi balik berhari raya di kampung,” katanya.

Pesara tentera ditahan miliki dua rifal angin

JOHOR BAHARU: Seorang pesara tentera ditahan Jumaat lalu kerana didakwa memiliki dua raifal angin.
Lelaki berusia 50 tahun itu, yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, ditahan pada 11.30 malam selepas anggota polis menyerbu rumahnya di Jalan Gunung Ledang, Kampung Relau di Tangkak berikutan maklumat awam.
"Pesara tentera ini ditahan reman sehingga 2 September untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kepada pemberita di sini hari ini.

Mokhtar berkata, pesara itu menyimpan raifal itu sebagai perhiasan sahaja namun ia adalah satu kesalahan jika tidak mempunyai sebarang permit.

Dalam kes lain, polis menjumpai sepucuk pistol Colt Super Automatic .22 di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Panchor, Bukit Pasir, Muar, pada Sabtu lalu.-Bernama

Polis tahan lelaki warga Nigeria dan rampas 28kg ganja

GEORGETOWN: Polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas 29 paket ganja seberat 28 kilogram yang dianggarkan berharga RM100,000 yang dibawa dalam sebuah bas ekspres di Butterworth dekat sini semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, hasil maklumat awam dan operasi bersama Kastam negeri, polis menahan sebuah bas ekspres untuk pemeriksaan di Plaza Tol Sungai Dua di Butterworth pada jam 10.45 malam.
"Bas itu dalam perjalanan dari Alor Star ke Johor Bahru dan polis sudah meminta kesemua 12 orang penumpang turun dari bas untuk mengambil bagasi masing-masing bagi tujuan pemeriksaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas 11 orang penumpang mengambil bagasi masing-masing, terdapat dua beg yang tidak diambil oleh sesiapa dalam bahagian bawah bas itu dan hasil pemerhatian mendapati seorang penumpang lelaki warga Nigeria dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas membuat pemeriksaan terhadap lelaki Afrika ini, kita mendapati dia memiliki kunci beg yang tidak diambil itu dan setelah memintanya membuka beg berkenaan, polis menemui paket-paket plastik yang mengandungi dadah jenis ganja," katanya. Ayub berkata, lelaki berusia 31 tahun itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika disabit kesalahan.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menggunakan pas lawatan sosial sejak kira-kira lima bulan lalu.

"Lelaki itu menaiki bas ekspres dari Alor Setar dan kita tidak tahu destinasinya dan dia dipercayai telah berada di kawasan utara semenanjung selama beberapa bulan bagi menjalankan kegiatan jenayah manakala pas lawatan sosialnya juga telah tamat tempoh," katanya.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada lelaki itu terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa atau menjadi pengantara.

"Kita percaya pengedaran dadah kita menggunakan taktik jalan darat pula setelah polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran menerusi jalan udara di lapangan terbang," kata beliau.

Beliau berkata, polis telah menahan 190 warga asing yang terbabit dengan jenayah pengedaran dadah di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ayub berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 77 orang adalah warga Myanmar, 74 orang warga Indonesia, Thailand (19), China (12), Vietnam (5), Bangladesh (2) dan seorang dari Afrika tidak termasuk lelaki yang baru ditahan. -Bernama

Individu menyamar, Pengarah JPJ ingatkan orang ramai jangan terpedaya

KUALA TERENGGANU: Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie membuat laporan di Balai Polis Cabang Tiga di sini hari ini berhubung individu menyamar sebagai pengarah JPJ negeri semalam untuk mendapatkan wang RM10,000 daripada mangsa.
"Seorang lelaki mengaku sebagai Pengarah JPJ Terengganu menghubungi beberapa pengarah institut memandu untuk meminta tolong dengan memasukkan wang tunai berjumlah RM10,000 dalam akaunnya," kata Abdul Rahman. Beliau berkata, daripada perbincangan telefon dengan pengarah institut memandu itu semalam, lelaki itu mengaku sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar anaknya melanjutkan pelajaran ke England. "Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada Pengarah Pusat Sekolah Memandu yang mahu mengesahkan mengenai hajat saya itu...sedangkan anak saya yang sulung masih belajar di tadika," katanya. Abdul Rahman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati agar tidak terpedaya oleh penyamar seumpama itu. -Bernama

"Saya bukan calon pilihan Anwar"




SHAH ALAM - Calon yang pernah meletak jawatan sebagai anggota Majlis pimpinan pusat (MPP) dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 2004, Rafizi Ramli kembali menawarkan diri bertanding jawatan Ketua AMK Pusat. 

Penawaran diri Rafizi itu bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya, Shamsul Iskandar Md Akin dan anggota MPP, Badrul Hisam Shaharin. 

Tindakan beliau bertanding ini dilihat oleh beberapa pihak sebagai calon yang berpotensi untuk menang kerana dikatakan antara calon yang direstui oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Namun Rafizi yang dihubungi Sinar Harian menafikan dakwaan tersebut dan hanya beranggapan bahawa dakwaan tersebut timbul disebabkan beliau kini bekerja sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. 

Menurutnya, beliau kurang senang sekiranya banyak pihak menganggap beliau kerana hakikatnya beliau mahu bertanding atas kemampuan diri sendiri. 

“Saya bukanlah calon yang direstui Anwar, bukan begitu maksudnya. Orang salah anggap kerana saya kini merupakan staf bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. 

Rafizi berkata, beliau menawarkan diri bertanding bagi memperkenalkan “model pendekatan baru” anak muda dan bukan bersandarkan ghairah dan semangat. 

Rafizi berpendapat, AMK perlu pendekatan baru bagi menarik lebih banyak sokongan golongan anak .

32 GRO ditahan dalam Ops Noda




GEORGETOWN - Polis berjaya menahan 32 wanita warga asing yang dipercayai berkhidmat sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga kepada GRO di dua pusat hiburan di Pulau Tikus awal pagi, semalam. 

Jurucakap polis berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 30 tahun dalam operasi yang dilakukan pada jam 11.45 malam dan tamat 1.30 pagi. 

Menurutnya, kedua-dua premis itu pernah diserbu tidak kurang daripada 15 kali oleh pelbagai pihak sepanjang tahun ini. 

“Pusat hiburan di tingkat lima di bangunan berkenaan pernah diserbu oleh polis lebih 10 kali sejak awal tahun lalu manakala di tingkat empat kita sudah serbu lebih lima kali namun pemilik premis masih lagi berdegil dengan menjalankan aktiviti tidak bermoral. 

“Dalam serbuan pertama yang dilakukan semalam, kita berjaya menahan 22 wanita yang dipercayai pelayan pelanggan dan 20 minit kemudian kita melakukan pemeriksaan di sebuah lagi pusat hiburan di tingkat empat walaupun tidak menjumpai GRO warga asing," katanya. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan tangga dan tempat letak kereta, dengan tindakan pantas polis, 10 wanita warga China yang cuba melarikan diri berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Pemeriksaan awal mendapati kesemua wanita warga asing yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial selain ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bom buatan meletup



KUALA LUMPUR - Bom buatan sendiri yang meledak di depan sebuah unit rumah di tingkat bawah Apartmen Desa Tun Razak, Cheras, di sini semalam membunuh seorang wanita dan mencederakan seorang lelaki. 

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, kedua-duanya, pekerja sebuah kafe siber diminta majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, sebelum itu, isteri kepada majikan tersebut menemui sebuah kotak yang di atasnya diletakkan dua biji limau bali, ketika membuka pintu rumah. 

Wanita itu kemudiannya bertanya kepada suaminya tentang kotak tersebut namun suaminya berkata tidak tahu apa-apa mengenainya. 

“Wanita itu kemudiannya memanggil dua pekerjanya untuk mengangkat kotak berkenaan,” kata Abdul Rahim kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau berkata, dua pekerja itu kemudiannya membuka kotak tersebut sebelum ia meletup dan mengenai kedua-dua mangsa. 

Katanya, kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). 

Ng Siew Hong, 51, yang melecur 90 peratus badannya mati pada jam 5.15 petang, sementara seorang lagi mangsa, lelaki, Goh Yong Seng, berusia 38 tahun, berada dalam keadaan kritikal. 

“Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut, polis menemui beberapa biji mercun bola dan minyak tanah... wanita tersebut bersama suami dan tiga anaknya tidak cedera kerana berada di dalam rumah," katanya.

Wanita dua suami dicekup Jaim


MASJID TANAH - Akibat terlalu lama digantung tidak bertali, seorang wanita sanggup membelakangi statusnya sebagai isteri orang untuk berkahwin seorang lagi. 

Wanita berusia 32 tahun yang mempunyai dua anak itu ketika dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana bersekedudukan dalam sebuah rumah di satu Taman Pengkalan Balak, dekat sini, kelmarin, mengakui dirinya masih mempunyai suami, namun dengan berani bertindak menikahi lelaki lain. 

Dia dan ‘suami’nya yang dikenali sejak tiga tahun lalu sudah empat bulan ‘bernikah’ sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada bapanya sendiri. 

Ketika serbuan dilakukan kira-kira 11 malam itu, pasangan terbabit hanya membuka pintu rumah selepas 10 minit diketuk pihak jabatan agama dan penduduk, mendapati lelaki terbabit hanya memakai seluar pendek tidak berbaju. 

Manakala wanita terbabit memakai baju-T dan berseluar pendek paras lutut. 

Bagaimanapun, wanita terbabit tanpa teragak-agak menunjukkan surat nikah bersama suami pertamanya dan mengakui dirinya masih belum berpisah dengan suaminya yang dikahwini pada tahun 1997 disebabkan suaminya enggan menandatangani surat penceraian. 

“Dah lebih 10 tahun dia tinggalkan saya, tetapi bila saya minta tandatangan surat penceraian dia tak mahu. Dia biarkan saya macam ni tergantung tanpa sebarang keputusan muktamad dan ayah mengizinkan saya berkahwin lain, tetapi di selatan Thailand 

Menurut wanita terbabit, beliau dan ‘suaminya' itu baru sahaja berbincang berkenaan surat pernikahan yang perlu dibuat melalui Jabatan Agama Islam Melaka dan merancang untuk menyelesaikannya selepas Aidilfitri ini. 

“Kami baru saja berbincang tentang surat nikah yang nak diuruskan selepas hari raya nanti dan kami dah agak perkara ini (ditangkap bersekedudukan) pasti akan berlaku dan ternyata ia berlaku pada malam ini (kelmarin),” katanya. 

Wanita berasal dari Lubuk China itu kelihatan bersahaja ketika dicekup tanpa perasaan bersalah dan akur dengan hukuman yang menanti mereka 

Sementara itu, jurucakap Jaim berkata, pasangan terbabit boleh didakwa di bawah seksyen (53) Enakmen kesalahan Syariah negeri Melaka (1991) kerana bersekediaman tanpa muhrim dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua (2) tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota Rukun Tetangga yang menerima maklumat awam mengatakan terdapat satu pasangan yang bersekediaman di kawasan perumahan itu sebelum menghubungi pegawai syarak dan dua anggota polis untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Kaki lalok dicekup




SUBANG JAYA – Sengaja melengah-lengahkan masa untuk melakukan pemeriksaan air kencing gagal menjadi helah seorang pekerja kelab malam di Bandar Sunway dekat sini bagi melepaskan diri apabila dia didapati positif dadah jenis morfin dalam satu serbuan bersepadu awal pagi semalam. 

Difahamkan, lelaki itu terus menjalankan tugasnya sebagai pelayan di kelab malam itu sebelum dia diarahkan membuat pemeriksaan air kencing beberapa minit sebelum operasi berakhir 3 pagi. 

Remaja berusia 28 tahun itu antara enam yang ditahan termasuk lima pengunjung yang masing-masing positif dadah jenis ketamin, syabu dan morfin. 

Serbuan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Islam Selangor (Jais) turut menahan individu pelbagai kesalahan lain termasuk remaja bawah umur, pengunjung beragama Islam meneguk minuman keras dan berpakaian menjolok mata. 

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikshan yang mengetuai serbuan berkata, menyedihkan apabila masih ada umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan melakukan perkara terlarang. 

“Dalam operasi pagi ini (semalam) 1,200 pengunjung dari dua premis masing-masing terletak di Bandar Sunway diperiksa anggota daripada tiga agensi. 

“Enam daripadanya didapati masih di bawah umur dan sepatutnya berada di rumah mengulang kaji pelajaran untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),”katanya dalam operasi turut disertai Penolong Pegawai Anti Dadah Bahagian Penguatkuasaan AADK, Mohd Fauzan Mohd Arif dan Ketua Seksyen Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa Jais, Mohd Haffizi Mohd Roslan. 

Hasil pemeriksaan AADK kata beliau, lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an didapati positif dadah termasuk seorang pekerja kelab itu. 

“Manakala pemeriksaan dijalankan Jais mendapati ada pengunjung yang meminum minuman keras selain selebihnya berpakaian seksi di khalayak ramai. 

“Pihak MPSJ mengenakan tindakan kompaun kepada pemilik premis kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis dan masing-masing dikenakan denda RM5,000,”katanya yang memaklumkan tindakan diambil di bawah Seksyen 11 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan negeri Selangor 1995 (pindaan 2001). 

Bagi kesalahan meminum minuman keras, pengunjung bakal berdepan tindakan di bawah Seksyen 18, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan boleh dikenakan denda RM3,000. 

Manakala mereka yang positif dadah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 dan bakal ditahan dua tahun di pusat serenti sekiranya sabit kesalahan.

Cubaan seludup ketika berbuka



RANTAU PANJANG – Operasi kejar-mengejar penyeludup yang cuba melarikan diri daripada diberkas pihak Pasukan Gerakan Am Batalion 8 (PGA) menjelang waktu berbuka puasa, semalam. 

Dua pemandu kereta Proton Wira berwarna biru gelap cuba melarikan diri dengan membawa muatan kain batik sebanyak 17 guni yang dipercayai untuk pasaran tempatan, bagi keperluan pengguna menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. 

Pegawai pemerintah Batalion 8 (PGA), Superitendan Rooslan Radzi berkata, pasukannya melakukan risikan pada jam 2 petang di pengkalan haram Bukit Lata kemudian mengerang hendap suspek pada jam 6.30 petang. 

“Mereka kini menggunakan taktik lain mengelak daripada ditangkap, dengan menggunakan jalan pintas di Jejawi menuju ke Lubok Setol. 

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati mereka cuba untuk menyeludup kain batik cap ‘Super Gold AIE’ sebanyak 10 guni dan tujuh guni cap Tiga Serangkai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Rooslan berkata, kesemua 17 guni kain yang berisi sebanyak 4,000 helai, menjangkau nilai rampasan sebanyak RM140,000. 

Menurutnya, kesemua 200 kodi kain tersebut dipercayai barangan dari sempadan memandangkan jenama tersebut hanya dikeluarkan di sana untuk pasaran di seluruh negara. 

“Barangan rampasan tersebut akan dihantar kepada pihak Kastam bagi tindakan selanjutnya. 

“Pihak PGA 8 bersiap sedia mengawal sempadan daripada semua unsur penyeludupan memandangkan suasana Aidilfitri kian terasa meskipun menjelang waktu berbuka puasa,” katanya.

Seminggu jadi pelarian



KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas, berusia 75 tahun dari Gua Musang, Kelantan tidak menyangka niat murninya datang ke bandar raya ini semata-mata untuk menziarahi anak saudara bertukar pengalaman pahit setelah hampir seminggu terpaksa melalui kehidupan ibarat seorang ‘pelarian’. 

Dia bukan sahaja terpaksa merempat, tidur di bahu-bahu jalan, wakaf dan kawasan rehat awam tetapi turut ‘dicop’ orang kurang siuman dan pernah beberapa kali dihalau masyarakat yang tidak senang dengan kehadirannya. 

Warga emas malang yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Hasan itu berkata, dia terpaksa menempuh kehidupan perit itu kerana tidak ada wang untuk membeli tiket balik ke kampung halamannya, setelah gagal menemui anak saudaranya yang menyewa di sini. 

“Pakcik datang ke bandar raya ini dengan membawa wang ‘cukup-cukup’ untuk menampung tambang pergi sahaja kerana yakin, setelah berjumpa dengan anak saudara nanti, pak cik boleh meminta wang daripadanya untuk membeli tiket pulang kelak. 

“Tetapi, sebaik sahaja tiba di rumah yang disewanya di sekitar bandar raya ini, pakcik dimaklumkan oleh jiran tetangganya yang dia sudah berpindah ke Mersing, Johor dan dari situlah, bermula episod kehidupan hitam pakcik,” katanya. 

Dia berkata sedemikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di sebuah wakaf di Pasar Besar Kedai Payang, selepas diselamatkan kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat dalam Operasi Bersepadu Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau sekitar Bandar raya Kuala Terengganu. 

Pakcik Hasan berkata, pada waktu malam, dia menumpang tidur di kawasan masjid dan pada sebelah siang pula, dia berehat di wakaf-wakaf yang disediakan di lokasi awam, manakala apabila tiba waktu berbuka, dia akan berbuka di masjid yang menyediakan juadah berbuka setiap petang. 

“Jika tidak, pakcik akan mengambil bubur lambuk yang diagihkan setiap petang secara percuma di Masjid Sultan Zainal Abidin dan akan berbuka di tempat yang dirasakan selesa,” katanya. 

Menurutnya, walaupun hatinya sering memberontak dan merindui kampung halaman, tetapi dia tidak sanggup untuk meminta-minta kepada orang ramai kerana dikhuatiri akan disalah erti, dan mungkin ada yang menganggap dia sengaja mereka-reka cerita untuk mendapatkan simpati. 

“Pakcik seorang yang normal, disebabkan itu, pelbagai perkara negatif pakcik fikirkan jika berbuat sedemikian. Jadi, mahu tak mahu, pakcik terpaksa teruskan kehidupan sebegini tetapi dalam masa sama, pakcik tekad akan mencari wang sendiri untuk membeli tiket balik,” katanya. 

Sementara itu, Penyelaras Operasi Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau yang dijalankan Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Kuala Terengganu, Monira Sulaiman berkata, setelah disoal siasat, pihaknya mendapati warga emas itu normal dan sememangnya dia tidak mempunyai wang untuk pulang ke Gua Musang. 

“Jadi, kami telah membantu memberikan waran tiket agar dia dapat balik ke Gua Musang pada hari berkenaan. Kami telah membelikan tiket dan menunggu sehingga dipastikan dia benar-benar selamat menaiki bas,” katanya. 

Monira berkata, selain warga emas itu, sempena Operasi Bersepadu melibatkan kakitangan Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) bertujuan menangani masalah kegiatan mengemis dan memungut derma yang dilihat semakin berleluasa terutama pada musim gaji, pihaknya juga berjaya menemui dua pesakit mental sedang tidur di bangku yang disediakan untuk orang awam menunggu bas di terminal bas MBKT. 

Sempena operasi kali ini, lokasi yang diberi tumpuan adalah di sekitar kawasan perbankan di Jalan Sultan Ismail, Pasar Besar Kedai Payang, terminal bas MBKT, sekitar Dataran Shahbandar, sekitar Taman Awam Pantai Batu Burok dan sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai.

Seorang maut gunung berapi meletus di Indonesia





SUMATERA - Seorang lelaki berumur 54 tahun maut akibat masalah pernafasan semasa meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri selepas gunung berapi Sinabung meletus di Sumatera Utara, semalam. 

Beberapa saksi melaporkan asap dan debu meletus setinggi 1,500 meter ke udara, dan larva daripada gunung berapi itu turut kelihatan tidak lama selepas jam 12 tengah malam. 

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melaporkan gunung berapi Sinabung sudah tidak aktif sejak 400 tahun lalu. 

Sebuah agensi berita tempatan melaporkan gunung berapi itu mula mengeluarkan asap sejak kelmarin tetapi paras amaran masih pada tahap rendah kerana keadaan pada masa itu tidak merbahaya. 

Pusat amaran bencana kebangsaan mengarahkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan enam kilometer di sekeliling gunung berapi itu supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Pengawal keselamatan dipenjara sehari, denda RM9,000 kerana terima RM4,700



SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima wang tunai RM4,700 untuk mendorong seorang pegawai kastam melepaskan empat unit radiator water cooler yang diimport dari India, enam tahun lepas. 

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memerintahkan tertuduh S.Vetrivelu, 48, dipenjarakan enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No: 59, Tingkat 1, Jalan 5/10B, Spring Crest Industrial Park, Batu Caves, Gombak, kira-kira pukul 5 petang pada 24 Sept 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, Vetrivelu yang bertindak sebagai orang tengah, telah diminta oleh seorang peniaga, M.Veerapan untuk mengeluarkan empat unit radiator water cooler dari Pelabuhan Klang.

Tertuduh kemudian meminta seorang pengarah urusan sebuah syarikat, M.Mani Segar untuk berurusan dengan pejabat kastam Pelabuhan Klang bagi mengeluarkan barangan itu.

Selepas dua kali berurusan, Mani Segar berjaya membawa keluar radiator tersebut tanpa dikenakan bayaran cukai oleh Kastam. 

Vetrivelu kemudian meminta RM4,700 daripada Veerapan kononnya sebagai bayaran kepada pihak Kastam kerana mengeluarkan radiator itu.

Veerapan seterusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tertuduh telah ditahan semasa wang itu diserahkan kepadanya pada hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee sementara tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Mahkamah: Doktor bebas tuduhan bunuh isteri



SHAH ALAM - Sehari sebelum rakyat Malaysia meraikan hari kemerdekaan negara yang ke-53, seorang doktor hari ini mengecapi erti kemerdekaan yang sebenarnya apabila Mahkamah Tinggi di sini, melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh isterinya, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr Jitweer Singh Ojagar Singh, 56.

Doktor itu didakwa membunuh isterinya Shento Kaur Jaswant Singh, 46, di rumah mereka di Bandar Country Homes, Rawang, antara pukul 5 pagi dan 8.30 pagi pada 22 Okt, 2007.

Dr Jitweer yang dibebaskan dengan jaminan RM400,000 sejak 15 Sept 2008, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan sementara Dr Jitweer Singh diwakili peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo, T.Santhakumari dan Jaspal Singh Mann.

Dalam penghakimannya, Asmabi merumuskan bahawa tiada bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa kecederaan yang dialami oleh mangsa dan punca kematiannya adalah disebabkan oleh Dr Jitweer Singh.

Beliau berkata, kekurangan data berkaitan kes itu juga menyukarkan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa walaupun laporan bedah siasat menunjukkan bahawa punca kematian mangsa berkemungkinan akibat kesukaran bernafas disebabkan tekanan di bahagian leher.

Asmabi juga berkata, terdapat banyak kelompangan dalam kes pihak pendakwaan apabila mereka gagal memanggil pemandu dan pembantu rumah pasangan suami isteri itu untuk memberi keterangan.

"Berdasarkan penilaian yang maksimum, saya mendapati pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat salah). Tertuduh dengan itu dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Dr Jitweer Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata keputusan mahkamah itu merupakan hadiah kemerdekaan untuk beliau.

"Selepas ini saya akan terus menguruskan klinik saya di Rawang dan menyara seorang anak lelaki berumur 20 tahun serta anak kembar berusia 10 tahun," katanya.

Karpal Singh pula berkata, pihaknya akan memfailkan saman terhadap Peguam Negara dan kerajaan dalam masa terdekat bagi menuntut ganti rugi berhubung tuduhan bunuh ke atas anak guamnya itu.

Tertekan jadi mangsa seks sejak usia 10 tahun



JASIN - Tidak tahan menanggung tekanan perasaan, seorang remaja yang menjadi mangsa seks bapa tirinya sejak empat tahun lalu nekad menceritakan perbuatan sumbang itu kepada ibunya.

Remaja berusia 14 tahun itu membongkar rahsia menjadi mangsa kerakusan bapa tirinya selepas tertekan dengan kejadian yang menimpa.

Bapa tirinya berusia 65 tahun itu merupakan pemandu lori dan dikatakan jarang berada di rumah.

Bagaimanapun, dia akan melakukan perbuatan tersebut ketika isterinya keluar bekerja dan perbuatan itu berlaku sejak mangsa berumur 10 tahun lagi.

Sebaik sahaja perbuatan itu terbongkar, ibu remaja berkenaan terus membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rambai dan suspek telah pun ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, perintah tahanan reman akan dibuat di Mahkamah Jasin hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, usaha mendapatkan ibu mangsa gagal selepas kedua beranak itu dikatakan sudah meninggalkan rumah berkenaan.
Menurut sumber, mangsa dan ahli keluarganya sudah berpindah ke rumah saudaranya di Muar, Johor buat sementara waktu.

Warga Filipina ketakutan di Hong Kong

HONG KONG: Joy Fajardo gemar menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan senegaranya di Chater Garden yang terletak di tengah bandaraya Hong Kong.
Bagaimanapun, dia tidak berbuat demikian, semalam.
Wanita berusia 30 tahun itu diberitahu supaya menjauhkan diri daripada khalayak Cina ekoran drama tebusan yang menyebabkan lapan pelancong Hong Kong terbunuh di Manila minggu lalu.
“Kami takut untuk berada di kalangan masyarakat Cina ketika ini,” kata Joy.

Masyarakat Hong Kong berang dan bersedih selepas insiden pelancong Hong Kong diculik dan dibunuh di Manila minggu lalu.

Beberapa laman blog Facebook menggesa supaya kerajaan Hong Kong menghentikan pengambilan tenaga kerja dari Filipina berikutan insiden itu. Khabar angin tersebar di kalangan pembantu rumah warga Filipina kononnya beberapa majikan di wilayah China itu memecat atau menyerang pembantu rumah masing-masing. - AFP

Dengar bunyi letupan

MELAKA: “Sebaik terjaga dan terhidu bau asap kuat, saya terus berkejar ke balkoni dan melihat sebuah rumah bersebelahan pangsapuri ini terbakar,” kata seorang saksi, Chan Cheng Kian, 56, mengenai kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan seorang murid tahun lima.
Chan yang menghuni rumah di tingkat tiga pangsapuri tujuh tingkat bersebelahan berkata, dia dapat melihat dengan jelas api marak dalam suasana kelam-kabut dan mendengar orang menjerit api! api! dan meminta tolong.
“Mula-mula saya lihat api tidak begitu besar sebelum merebak dan marak dengan cepat. Selain itu saya juga mendengar satu bunyi letupan,” katanya.

Bapa nekad redah api

MELAKA: Seorang bapa nekad mempertaruhkan nyawa meredah api yang marak membakar rumahnya di Jalan Laksamana Cheng Ho 2, Bukit Cina, dekat sini, awal pagi semalam dalam usaha menyelamatkan anak sulungnya yang terperangkap di bilik tidur.
Bagaimanapun, usahanya gagal apabila murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Fong 2 itu gagal diselamatkan akibat api terlalu marak dan asap tebal memenuhi rumah lot setingkat yang strukturnya diperbuat daripada batu-bata dan kayu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa, Tan Ho Meng, 11, ditemui rentung dihempap kayu bumbung yang runtuh dalam kebakaran.

ketika dipercayai cuba menyelamatkan diri oleh anggota Bomba dan penyelamat yang melakukan operasi di sebuah bilik lain dalam bilik tidur utama.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa tidur di bilik tidur utama bersama bapa dan ibunya, Tan Tian Seong, 44, dan Lee Saelee, 41, serta adik perempuannya, Tan Poh Ling yang berusia sembilan tahun.

Turut berada di rumah itu bapa saudaranya, Tan Kian Lai, 40, yang tidur di bilik belakang, namun dia tidak mengalami kecederaan.

Tian Seong yang melecur di muka selain tangan, kaki dan belakang badan dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Melaka, manakala isterinya yang melecur di tangan bersama anak perempuan serta abangnya dirawat di wad biasa hospital sama.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, R Ezhumalai berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.52 pagi sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba jam 6 pagi.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar rumah, namun dapat dikawal selepas tiga minit.

“Api dipadamkan sepenuhnya dalam masa 40 minit dengan tenaga kerja seramai 13 orang termasuk seorang pegawai.

“Siasatan awal mendapati lima orang mendiami rumah itu dengan seorang mangsa maut dan seorang lagi cedera di muka,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan disebabkan faktor pendawaian.

“Keseluruhan rumah hangus terbakar dan kerugian dianggarkan RM200,000. Siasatan akan menjurus mengenai pendawaian di rumah ini,” katanya.

Gadis dinoda dalam bilik pusat karaoke

MELAKA: Akibat terlalu mudah mempercayai ajakan lelaki baru dikenali di sebuah pusat karaoke di Hentian Bas Pulau Sebang, Alor Gajah, dekat sini, seorang pelajar sekolah dari Tampin, Negeri Sembilan sanggup ponteng untuk bertemu lelaki itu, Isnin lalu.
Bagaimanapun, pertemuan itu berakhir apabila mangsa dirogol suspek dalam sebuah bilik pusat karaoke berkenaan.
Difahamkan, mangsa dikatakan ada berkunjung ke pusat karaoke berkenaan bersama teman lelakinya sehari sebelum kejadian.

Dia kemudian dihubungi seorang lelaki, rakan kepada seorang pekerja lelaki pusat karaoke itu yang mengajaknya datang ke situ.

Mangsa kemudian datang untuk bertemu lelaki terbabit bersama rakan wanitanya, namun ketika kejadian rakannya itu berada di bilik lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis berjaya menahan dua lelaki 20-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. kerana merogol,” katanya

Mungkin jatuh

KOTA BHARU: Polis menafikan dakwaan anggotanya memukul kepala seorang remaja, Muhammad Raimie Riduan, 15, hingga terlantar koma di hospital, selepas cuba melarikan diri bersama rakan dalam satu sekatan jalan raya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar) berkata, remaja terbabit berkemungkinan terjatuh motosikal yang dibonceng bersama rakannya pada hari kejadian.
Katanya, pihaknya membuat pengesahan itu selepas mengambil keterangan daripada 10 penduduk kampung berdekatan untuk siasatan. “Polis turut mengesahkan menerima laporan daripada bapa mangsa, Riduan Zawawi, 43, pada 20 Ogos lalu dan segera membuat siasatan lanjut.

“Sebaik menerima laporan, kita terus menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

“Siasatan awal mendapati mangsa kemungkinan terlampau takut dan terjatuh daripada motosikalnya.

“Saya dimaklumkan pada malam berkenaan, tiada anggota polis menjalankan operasi seperti didakwa,” katanya ketika diminta mengulas berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang bapa selepas mendakwa anaknya cedera dipukul anggota polis.

Metro Ahad semalam melaporkan remaja terbabit koma selepas kepalanya didakwa diketuk menggunakan cota oleh seorang anggota polis dalam kejadian di Jalan Machang-Kota Bharu, kira-kira jam 2.45 pagi, pada 20 Ogos lalu.

Kejadian itu menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali akibat pendarahan otak selain mengalami kecederaan luka pada bahagian mukanya.

Mangsa kini menerima rawatan di Wad Intan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan difahamkan keadaannya dilaporkan stabil.

Abdul Rahim berkata, setiap anggota polis yang mengikuti operasi sekatan jalan raya tidak dibenar membawa kayu.

“Bagaimanapun, kita sedang menunggu laporan perubatan daripada doktor untuk mengesahkan punca sebenar kecederaan yang dialami mangsa,” katanya.

Tak dapat wang cabul pun jadi

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja disamun malah turut dicabul seorang lelaki yang berang selepas gagal mendapatkan wang ketika mangsa berada dalam kereta di sebuah bank di Pandan Indah, Khamis lalu.
Sumber memberitahu, mangsa berusia 20-an itu bernasib malang apabila sebelumnya sudah disamun seorang lelaki sebelum dihampiri dua lelaki yang memaksanya masuk kereta.
“Sejurus tiba di satu lorong sunyi, suspek memberhentikan kereta dan memaksa mangsa menyerahkan wang.

“Mangsa memberitahu yang dia baru disamun seorang lelaki menyebabkan suspek marah dan meraba seluruh badan mangsa menyebabkan mangsa nekad melarikan diri,” katanya.

Lindungi ibu tunggal, usah peralat

KUALA LUMPUR: “Janganlah anggap janda sebagai barang permainan yang boleh diperkotak-katikkan. Sebagai lelaki sepatutnya bertanggungjawab melindungi wanita, bukannya menjadikan kami sebagai alat umpama bank yang boleh dikikis sesuka hati,” kata Pengurus Besar Yayasan Bakti Masyarakat Malaysia yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Tunggal Taman Muda Ampang Datuk Halimahton Saadiah.
Menurutnya, janda mempunyai kedudukan kerjaya yang baik sering menjadi sasaran golongan lelaki hidung belang malas bekerja sebab mengambil kesempatan atas kesunyian golongan itu.
Halimahton berkata, tanpa memikirkan implikasi terhadap kejiwaan terhadap janda, golongan lelaki ego sanggup memperalatkan naluri wanita janda sebagai tempat persinggahan mendapatkan habuan material.

“Kami ibu tunggal dan janda sewajarnya dilayan sebagai insan. Perbuatan mendekati kami untuk menyara lelaki pemalas tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan mengakibatkan jiwa kami kacau.

“Sebenarnya golongan lelaki seperti ini tak terfikir langsung perhubungan untuk mencari kebahagiaan mutlak. Apa yang mahu ialah menjadikan golongan kami sebagai tempat persinggahan supaya senang...memang perbuatan mementingkan diri sendiri.

“Ingat perbuatan sebegini pasti ada balasannya. Tak terfikirkah ibu sendiri atau kakak atau saudara-mara terdiri kaum Hawa? Bagaimana jika lelaki melakukan perkara sama terhadap saudara perempuan rapat dengan mereka?,” katanya.

Beliau yang dihubungi semalam mengulas kekecewaannya seorang lelaki didakwa memburu janda sebelum dijadikan isteri kemudian joli wang isterinya itu seperti dipaparkan Metro Ahad, semalam.

Bayi dalam beg kertas

SHAH ALAM: Lagi bayi dibuang, kali ini seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang ramai dalam sebuah beg kertas yang digantung pada tiang papan tanda berhampiran persimpangan lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield, Seksyen 13, di sini, petang semalam.


MALANG...anggota polis memeriksa seorang bayi lelaki yang cukup sifat yang ditemui dibuang dalam sebuah beg, petang semalam.
MALANG...anggota polis memeriksa seorang bayi lelaki yang cukup sifat yang ditemui dibuang dalam sebuah beg, petang semalam.

Bayi cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui dibungkus dengan sehelai kain sebelum diletakkan dalam sebuah beg kertas.

Seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan terdengar tangisan bayi sebelum menemui bayi berkenaan dalam sebuah beg kertas yang digantung pada satu papan tanda berhampiran pangsapuri berkenaan, kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata bayi dipercayai berbangsa Melayu atau Indonesia itu masih bertali pusat dan uri belum tanggal ketika ditemui.

Katanya, polis yang menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada seorang lelaki bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Kami percaya bayi ini baru dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam lalu,” katanya di sini, semalam.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ribuan berpindah

JAKARTA: Beribu-ribu penduduk kawasan sekitar Gunung Sinabung di Sumatera berpindah semalam apabila gunung berapi itu meletus buat kali pertama sejak 400 tahun lalu.
Pihak berkuasa memberi amaran kecemasan selepas kejadian itu menyebabkan asap hitam menyelubungi seluruh kawasan berkenaan.
Seorang lelaki tua yang menghadapi masalah jantung dilapor mati akibat sesak nafas. “Kami memberi amaran kecemasan kepada penduduk kerana keadaan benar-benar berbahaya,” kata Surono, Ketua Pusat Kecemasan Gunung Berapi. “Debu dan asap meledak dari kawah Gunung Sinabung setinggi 1,500 meter ke udara.

“Pada awalnya kami menyangka debu dan asap berlaku kerana hujan tetapi kemudian kami menyedari ia terjadi akibat tekanan magma daripada gunung itu,” kata Surano.

Gunung Sinabung yang setinggi 2,460 meter di utara Sumatera itu tidak meletup lebih 400 tahun. Namun, ia mula aktif sejak Jumaat lalu. Menurut pegawai penyelamat Pusat Bencana Alam, Mohammad Agus Wibisono, kira-kira 9,300 penduduk dari beberapa kampung dipindahkan ke bandar termasuk Berastagi dan Kabanjahe yang terletak enam kilometer dari kawasan itu.

“Debu Gunung Sinabung tersebar sejauh 30 kilometer. Kebanyakan penduduk yang dipindahkan ialah petani.

“Mereka berkata, ladang sayur mereka musnah akibat kejadian itu,” kata Mohammad Agus. Keadaan itu tidak menjejaskan jadual penerbangan di daerah itu. - Agensi

Paris ditahan polis kerana miliki kokain

LOS ANGELES: Paris Hilton ditahan polis, kerana memiliki kokain sebelum dibebaskan semula selepas butiran mengenainya diambil, kata polis, semalam.
Jurucakap polis Las Vegas, Marcus Martin, berkata pihak berkuasa menahan kereta Cadillac Escalade hitam dinaiki Paris di Hotel Wynn kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.
“Polis mengesyaki ada seseorang dalam kenderaan itu menghisap dadah dan selepas diperiksa, pihak berkuasa menemui sejumlah kokain dalam dompet Paris,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Paris, Dawn Miller, tidak memberikan sebarang komen mengenai insiden itu.

Peguamnya, David Chernoff, mengesahkan Paris dibebaskan awal pagi semalam.

“Perkara ini akan diuruskan di mahkamah, bukan media.

“Saya berharap orang ramai tidak menghukum Paris sehingga semua fakta dibentangkan,” katanya.

Sementara itu, laman sesawang hiburan memetik sumber yang rapat dengan Paris sebagai berkata, selebriti itu bercadang mencabar laporan polis itu.

“Dompet itu bukan milik Paris,” katanya. - Agensi

5 rumah sederet turut rosak

KUALA LUMPUR: Letupan kuat terhasil daripada bungkusan mengandungi mercun bola diletakkan di depan rumah di tingkat 12, Pangsapuri Desa Tun Razak, pagi semalam turut menyebabkan kerosakan lima unit rumah lain terletak sederet dengan rumah itu.
Bagaimanapun, letupan itu tidak mencetuskan kebakaran besar kerana tiada bahan mudah terbakar terletak berhampiran. Penolong Pengarah (operasi) Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 8.35 pagi dan tiga jentera dengan 20 anggota tiba di lokasi kejadian kurang lima minit kemudian.
“Sebaik tiba, sebahagian anggota pantas membawa mangsa turun ke bawah bangunan manakala bakinya memadamkan api,” katanya.

10 pelacur restoran ditahan

PETALING JAYA: Tidak serik! Walaupun baru diserbu lima bulan lalu kerana dipercayai terbabit aktiviti pemerdagangan orang, sindiket sama terus menjalankan kegiatan pelacuran dengan berselindung di sebalik perniagaan restoran di sebuah bangunan di Taman Bukit Mayang, di sini.
Difahamkan, dalang sindiket terbabit memperoleh lesen bagi menjalankan perniagaan makan dan minum di tingkat dua bangunan itu manakala kegiatan tidak bermoral terbabit dilakukan di tingkat tiga yang dilengkapi asrama untuk menempatkan pelacur warga asing terbabit.
Serbuan diketuai Asisten Komisioner Lim Chee Wah dari Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama dua pegawai dan 10 anggota kira-kira jam 9.30 malam Khamis lalu menahan 10 wanita warga asing yang melayan pelanggan masing-masing.

Semua mereka berusia 20 hingga 38 tahun itu membabitkan lima warga Indonesia, empat warga Vietnam dan seorang warga China.

Mereka mengenakan bayaran perkhidmatan RM100 hingga RM150 sejam Siasatan awal mendapati urusan tawar-menawar akan dilakukan di restoran itu sebelum berakhir dengan penawaran seks di tingkat tiga bangunan yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Turut ditahan ialah dua lelaki tempatan berusia 20 dan 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga restoran terbabit manakala lima pelanggan di dalam premis itu dibebaskan selepas diambil keterangan.

Semua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 61 (c) dan Seksyen 39 b Akta Imigresen kerana tiada dokumen serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Manakala pengusaha dan penjaga premis itu ditahan mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana terbabit menguruskan rumah persundalan.

Untung atas angin jual 1,000 tapak bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Bukan 10, malah lebih 1,000 tapak bazar Ramadan di sekitar ibu kota didakwa dijadikan sumber pendapatan bagi individu tertentu yang dipercayai mampu memperoleh keuntungan hingga RM15,000 bagi satu tapak.
Malah, perkara itu didakwa turut didalangi ahli majlis tertinggi sebuah pertubuhan yang kononnya menjaga kebajikan peniaga dan penjaja di sini, selain turut menggunakan pengaruhnya dalam pertubuhan terbabit bagi meraih kepercayaan beberapa tokoh politik terkemuka.
Perkara itu didedahkan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia dalam sidang media di sini, semalam.

Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Norashikin Abd Ghani, berkata pihaknya sebelum ini sudah mengadakan pertemuan bersama beberapa orang kanan pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) lain berhubung isu itu.

“Kegiatan seumpama ini dipercayai berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun seakan dipandang sepi pihak tertentu.

“Malah, kami (Pekida) difahamkan lelaki yang didakwa memiliki pengaruh yang cukup besar itu juga menggunakan pelbagai cara bagi mendapatkan tapak bazar Ramadan dalam kuantiti besar,” katanya.

Beliau berkata, beberapa penjaja kecil mengadu gagal mendapatkan ruang bagi menjalankan perniagaan di bazar Ramadan berikutan harga sewa tapak yang melambung mendadak.

Bom bersuis limau bali

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut manakala rakannya melecur hampir 90 peratus selepas satu bom buatan manusia meletup sebaik mereka cuba mengalihkan dua limau bali yang dijadikan ‘suis’ kepada bom berkenaan yang diletakkan di atas kotak di depan rumah majikan mereka, pagi semalam.


MELECUR...Koh yang melecur 90 peratus.
MELECUR...Koh yang melecur 90 peratus.




PERIKSA...sekumpulan anggota forensik memeriksa kesan letupan.



PERIKSA...sekumpulan anggota forensik memeriksa kesan letupan.
Wanita dikenali Ng Siew Hong, 51, meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira jam 5.30 petang manakala rakannya, Koh Yong Sheng, 38, yang melecur dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Ng yang tinggal bersama majikannya, H K Lim, 51, menerima satu kotak yang di atasnya terdapat dua limau bali yang diletakkan di depan pintu rumah majikannya di tingkat 12, Pangsapuri Desa Tun Razak.

Ng yang kebetulan membuka pintu sebaik terdengar bunyi pintu diketuk mendapati ada dua limau bali dan kotak ditinggalkan di depan pintu.

Dia memaklumkannya kepada Lim yang kemudian bertanya jiran sama ada menghantar buah dan kotak berkenaan untuknya. Bagaimanapun, jiran mereka menafikan menghantar buah dan kotak itu.

Berikutan itu, Lim mengarahkan Ng memanggil Koh yang berada di tingkat bawah untuk naik dan membuka kotak berkenaan bagi mengetahui isi kandungannya.
Menurut sumber, dua limau bali yang diletakkan atas kotak itu dipercayai berfungsi sebagai ‘suis’ kepada bom berkenaan diperbuat daripada beberapa mercun bola sebelum direndam bersama minyak tanah.

Katanya, letupan itu dipercayai tercetus apabila seorang daripada mangsa cuba mengalihkan buah limau berkenaan bagi melihat isi kandungan kotak itu.
“Walaupun bom itu dipercayai berasaskan minyak tanah dan mercun bola, letusan akibat letupan itu dianggarkan berlaku pada jarak enam meter dari rumah majikan mangsa. Letupan itu menyebabkan lima rumah lain dalam deretan sama rosak.

“Malah, letupan itu menyebabkan tercetusnya api besar yang menyambar pakaian serta tubuh kedua-dua mangsa sehinggakan mereka hampir 90 peratus terbakar,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, majikan mangsa, Lim cuba membantu memadamkan api berkenaan, namun gagal. Jiran yang terkejut dengan letupan berkenaan bergegas keluar membantu.

Menurutnya, beberapa penduduk menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian berkenaan.

“Polis tiba di lokasi kejadian 10 minit berselang sebelum kedua mangsa dibawa ke PPUKM untuk rawatan susulan. Berdasarkan siasatan awal, polis menemui mercun bola dan minyak tanah dipercayai dijadikan bahan asas kepada bom berkenaan. Hanya mereka terlatih mampu menghasilkan bom seumpama ini.

“Siasatan awal juga mendapati terdapat unsur khianat dalam insiden ini,” katanya.

Guru disiplin promosi ubat seks

JOHOR BAHRU: ‘Cikgu Power.’ Itu gelaran untuk seorang ketua guru disiplin yang didakwa bukan saja memiliki laman web menjual ubat perangsang seks, malah sanggup mempromosikan produk terbabit kepada pelajar sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.


PROMOSI...laman web milik guru terbabit.
PROMOSI...laman web milik guru terbabit.

Guru lelaki berusia 30-an itu menjadi pengedar ubat kuat menerusi laman web di Internet dan turut cuba mempengaruhi pelajar sekolah itu menjadi pelanggannya menerusi pengedaran risalah secara berleluasa.

Dia juga didakwa berkongsi pengalaman penggunaan produk perangsang seks itu bersama pelajar sekolah sebelum perbuatannya terbongkar.

Bapa pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Min berkata, dia terkilan apabila mengetahui ketua guru disiplin itu penjual ubat kuat seks dan memiliki laman web sendiri bagi mempromosikan barangan berkenaan.

“Lebih mengejutkan, guru itu sanggup memaparkan gambarnya di laman web itu tanpa memikirkan kesan negatifnya terhadap profesion perguruan dan mencalarkan imej serta nama baik sekolah.

“Dia sepatutnya menjadi contoh baik dan bukan memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual produk seumpama itu,” katanya di sini, semalam.
Min mula menyedari perbuatan tidak bertanggungjawab guru itu selepas mendapati anaknya yang belajar di sekolah itu membawa pulang beberapa risalah bertajuk ‘Abang Best’.

“Saya terkejut kerana laman web produk itu yang tercatat pada risalah memang wujud dan ia bertujuan mempromosikan sejenis gel bagi mengatasi masalah ejakulasi pramatang.
“Laman web itu amat tidak sesuai bagi tatapan pelajar kerana ia boleh membawa pengaruh buruk dan penularan gejala sosial,” katanya yang berharap guru terbabit dikenakan tindakan bagi mengelak perbuatannya berterusan.

“Saya berharap Jabatan Pelajaran Johor memandang serius perkara itu,” katanya.

Ibu bapa pelajar sekolah itu juga ada membuat laporan di Balai Polis Skudai di sini, pada 16 Ogos lalu selain mengemukakan aduan kepada pihak pengurusan sekolah.

Aduan turut dikemukakan di Jabatan Pelajaran Johor selain Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin, berkata pihaknya menerima aduan ibu bapa pelajar berkaitan dakwaan terhadap guru terbabit dan siasatan terhadap guru itu dijalankan.

“Kami perlu meneliti pekeliling pelantikan jawatan sebagai guru sama ada membenarkan seseorang untuk berniaga di luar. Kami juga akan menyiasat dakwaan yang menyatakan guru terbabit cuba mempengaruhi pelajar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pukul penduduk selepas ditegur

AMPANG: Berlagak samseng. Itu tindakan seorang lelaki yang bukan saja cuba membuat bising dengan sengaja membunyikan enjin motosikalnya dengan kuat tanpa tujuan, malah dia turut membelasah seorang penduduk yang menegur perbuatannya itu dalam kejadian di Bandar Baru Ampang, di sini, Rabu lalu.
Lebih kurang ajar apabila dia yang tidak berpuas hati kerana perbuatannya ditegur memanggil beberapa rakan membelasah mangsa hingga cedera di muka dan tangan.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa bersama bapa saudaranya berbual berhampiran rumahnya sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal dan cuba mengganggu dengan membuat bising melalui ekzos motosikalnya dengan kuat.

“Mangsa cuba menegur perbuatan lelaki terbabit kerana ketika itu sudah awal pagi dan perbuatannya itu mengganggu ketenteraman orang lain yang mahu tidur.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak berpuas hati dan dia menolak mangsa membuatkan mangsa mula naik angin dan melepaskan tumbukan,” katanya.

Menurutnya, kerana tidak berpuas hati lelaki terbabit membalas tumbukan dan berlaku pergelutan sebelum ia dileraikan beberapa saudara mangsa.

“Lelaki terbabit beredar manakala mangsa masuk ke rumah dan meneruskan perbualan bersama bapa saudaranya.

“Bagaimanapun, kerancakan mereka berbual terganggu sekali lagi apabila lelaki terbabit datang ke rumah mangsa dengan membawa tiga rakannya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, sejurus terlihat kelibat mangsa, lelaki itu bersama rakannya secara membabi buta menyerang mangsa dengan membelasahnya menggunakan topi keledar.

“Bagaimanapun, bapa saudara mangsa sekali lagi masuk campur dan mententeramkan keadaan sebelum mangsa berlari masuk ke rumahnya.

“Ketika itu, mangsa menghubungi polis dan semua suspek masih berada di kawasan rumah berkenaan,” katanya.
Menurut sumber itu, susulan aduan terbabit anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan tiga suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan semua suspek.

CEO kolej swasta saman Celcom RM20j



KOTA BHARU 29 Ogos - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif hari ini memfailkan saman RM20 juta terhadap Celcom Axiata Berhad kerana mendedahkan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan rakaman perbualan telefon beliau dengan individu lain.
CEO sebuah kolej swasta, Noor Haslina Abdullah, 39, diwakili peguam dari firma Tetuan Rafizi Zubairi & Co memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, kira-kira pukul 2 petang ini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Haslina menuntut RM10 juta bagi pendedahan SMS dan RM10 juta lagi bagi pendedahan perbualannya.
Ia merangkumi ganti rugi teladan, masing-masing RM8 juta dan ganti rugi mengalami trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta.
Plaintif mendakwa kecuaian defendan menyebabkan beliau menghadapi fitnah yang teruk oleh masyarakat.
Beliau juga mendakwa terpaksa meminta rakan-rakan untuk menemaninya ke mana-mana kerana takut selain fobia dan ketakutan melampau untuk menggunakan talian telefon kerana bimbang maklumat peribadi dan rahsia akan dikeluarkan.
Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi am, faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh 30 Mei lalu sehingga penyelesaian selesai, kos dan apa-apa relief yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Plaintif dalam pernyataan itu menyebut, sewaktu tiba di pejabatnya pada 11 Mac lalu, beliau telah menerima satu sampul surat yang mana kandungannya telah dibuka oleh pekerjanya sebagaimana rutin kerja.
Beliau mendapati di dalam sampul surat tersebut terdapat sembilan helai surat bersaiz A4 dipercayai dokumen Celcom dan 'pendrive' berjenama Kingston Data Traveller 4GB berwarna biru.
Plaintif mendapati keseluruhan kandungan dalam kesemua sembilan helai dokumen tersebut mengandungi maklumat SMS yang dihantar dan diterima daripada telefon bimbitnya yang berdaftar dengan syarikat defendan atas kontrak "family package".
Selain itu, plaintif juga telah membuka data yang terkandung dalam 'pendrive' terbabit dan mendapati terdapat rakaman percakapan telefon antara plaintif melalui nombor telefon terbabit.
Berikutan itu plaintif telah membuat satu laporan polis terhadap defendan pada 14 Mac lalu yang mana akibat daripada pendedahan itu beliau telah mengalami trauma, ketakutan, malu, kehilangan reputasi dan dipandang serong oleh masyarakat dan keluarga.
Beliau berkata, defendan melakukan satu kesalahan pecah kontrak terhadap dirinya kerana mengeluarkan maklumat sulit dan persendirian miliknya kepada orang lain tanpa mendapat persetujuan dan kebenaran serta juga melakukan pencerobohan ke atas hak peribadi dan persendirian plaintif itu.
Defendan, menurutnya, telah gagal untuk menjelaskan tuntutan plaintif melalui notis tuntutan bertulis bertarikh 30 Mei lalu.

Penyokong Hindraf maki polis ditahan



IPOH 29 Ogos - Padah maki polis. Seorang penyokong Hindraf ditahan kerana mengeluarkan kata-kata lucah terhadap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab.
Kejadian pukul 11.40 pagi itu berlaku apabila polis mengarahkan lelaki berusia 50-an itu supaya memberhentikan kenderaannya di Jalan Dr. Nazrin Shah di sini.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, bagaimanapun lelaki itu enggan berbuat demikian sebaliknya memaki hamun pegawai polis berkenaan.
"Berikutan itu, polis terpaksa menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut kerana mengeluarkan kata-kata lucah kepada penjawat awam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, lelaki itu dipercayai antara ahli kumpulan yang mahu menyerahkan memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kinta di sini.
"Polis tidak membenarkan sebarang perarakan kerana bimbang ia boleh mencetuskan keadaan tidak tenteram," katanya.
Jelas beliau, polis dimaklumkan oleh pihak istana sebelum ini untuk membenarkan hanya empat orang sahaja tampil bagi membolehkan mereka menyerahkan memorandum yang dimaksudkan.
"Pihak istana telah memberi syarat supaya membenarkan sebuah kenderaan dengan empat orang sahaja untuk menghantar memorandum berkenaan.
"Kita menunggu sehingga pukul 12 tengah hari ini, tetapi memorandum itu masih tidak diserahkan. Ini menunjukkan kumpulan terbabit hanya mahu mendapatkan publisiti media semata-mata," katanya.
Terdahulu, kira-kira 20 orang yang mendakwa mereka sebagai penyokong Hindraf dan Human Right Party (HRP) berhimpun di kawasan tempat letak kenderaan Hotel Impiana di sini sejak awal pagi ini.
Ketua kumpulan itu, P. Uthayakumar berkata, pihaknya berhimpun untuk menyerahkan memorandum mengandungi lebih 5,000 tandatangan mengenai kebebasan beragama dalam Perlembagaan negara kepada Sultan Perak.
"Kita sudah mendapat kebenaran daripada istana pada 24 Ogos lalu untuk serah memorandum tersebut kepada Sultan Perak, tetapi tidak dibenarkan polis," katanya.
Jurucakap Istana Kinta ketika dihubungi mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang memorandum sehingga kini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa anggota polis berkawal di hadapan Istana Kinta dan mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Nekad terjun bangunan





KUALA LUMPUR 29 Ogos - Dua lelaki mangsa culik warga Sri Lanka yang ingin melarikan diri daripada penculik, nekad terjun dalam keadaan berbogel dan tangan bergari dari tingkat dua sebuah rumah flat di Batu Caves dekat sini, semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 7 petang di Kampung Seri Temenggong, kedua-dua mangsa culik itu tidak bernasib baik.
Ini kerana, salah seorang daripadanya mati setelah tersangkut pada palang balkoni, manakala seorang lagi patah kaki kanan.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mangsa juga warga Sri Lanka berjaya menyelamatkan diri dan menemui pasukan polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Dia tidak mengikut jejak dua rakannya yang terjun bangunan itu kerana difahamkan keluarganya bersetuju membayar wang tebusan esok.
Difahamkan, suspek iaitu dua lelaki tempatan termasuk seorang anggota polis sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields meminta wang tebusan RM500,000 daripada setiap keluarga mangsa.
Ketiga-tiga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu sebelum diculik dan dikurung dalam sebuah bilik yang dicat dengan warna hitam di rumah tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, seorang penduduk yang tinggal berhampiran ternampak insiden tersebut semalam lalu segera memaklumkan kepada polis.
Sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan anggota polis ke tempat kejadian dan berjaya menahan dua suspek berusia 30 dan 32 tahun.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, seorang lelaki warga Sri Lanka yang patah kaki dilihat terbaring berhampiran sebuah van manakala mayat seorang rakannya ditemui dalam kenderaan tersebut.
"Kedua-dua mangsa dalam keadaan bogel dan tangan bergari. Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan dipercayai suspek yang menculik mangsa dan merampas dua gari dan sebuah telefon bimbit daripada mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Rosly berkata, pada masa sama, seorang rakan mangsa yang dikurung dalam bilik di tingkat atas, berjaya melepaskan diri dan turun menemui anggota polis dalam keadaan bogel dan tangan masih bergari.
Katanya, pemeriksaan pada telefon bimbit suspek menunjukkan terdapat rekod panggilan antara mereka dengan keluarga mangsa meminta wang tebusan.
"Mangsa yang cedera parah ialah Mohammad Mihiler, 32, kini dirawat di Hospital Selayang manakala identiti dua lagi rakannya sedang dikenal pasti.
"Dua suspek yang ditangkap akan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 dan 342 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, seorang saksi kejadian, Harun Mat Hajar, 50, berkata, dia baru pulang dari kerja terkejut mendapati sepasukan anggota polis bersama mangsa yang mati dan cedera parah di flat kediamannya.
Harun berkata, dia tidak pernah mendengar mangsa meminta tolong atau melihat perkara mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu.
"Saya sempat tanya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu tentang apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertemu dengan suspek di KLIA, tiga hari lalu.
"Dia memberitahu mereka telah dibawa ke sebuah hotel dan dilayan baik pada hari pertama namun mula didera dan tidak diberi makan setelah dikurung di rumah tersebut," katanya sambil memberitahu mangsa turut mendakwa penculik meminta wang tebusan RM500,000.