Search This Blog

Friday, August 27, 2010

Paderi Kristian anggap Amerika khianati Iraq



2010/08/27


Hoshyar Zebari


Hoshyar Zebari

Pemimpin Chaldean dedah kesan penjajahan 






BAGHDAD: Pemimpin Kristian Chaldean Iraq menyifatkan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negaranya sebagai pembelotan kerana meninggalkan mereka dalam keadaan lebih teruk selepas menggulingkan Presiden Saddam Hussein, tujuh tahun lalu.“Amerika mengkhianati tugasnya untuk membawa keamanan dan keselamatan di Iraq. Mereka meninggalkan Iraq dalam keadaan lebih teruk sebelum masuk ke sini,” kata Ketua Paderi Kristian Chaldean, Shlemon Warduni kepada akhbar Itali, La Stampa. Warduni berkata, Amerika hanya memikirkan kepentingan sendiri dan tidak bimbang dengan kebajikan penduduk Iraq khususnya ketika kerajaan baru belum dibentuk.“Kami dianggap pusat keganasan. Kumpulan pembunuh bergerak bebas di dalam dan luar sempadan Iraq. Tiada langsung komitmen mengajar demokrasi sebenar. 

“Sebelum ini, pemerintah kami seorang diktator tetapi rakyat hidup selesa. Sekarang, tiada keselamatan langsung. Tiada siapa yakin boleh pulang dengan selamat ke rumah,” kata Warduni. 

Mengulas keganasan terbaru, Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari, berkata pemberontak cuba menghalang proses demokrasi dengan melakukan keganasan sebanyak mungkin ketika ahli perundangan cuba membentuk kerajaan dan menjelang pengunduran askar Amerika. 
“Kerajaan lumpuh, wujud kekosongan politik dan askar Amerika pula berundur. Dalam keadaan ini, keganasan mudah berkembang,” katanya. – Agensi 

Lelaki rotan isteri guna Blackberry




2010/08/27

MANAMA: Seorang wanita Arab Saudi meminta cerai selepas dirotan suaminya yang marah dia terlalu lama berbual menggunakan telefon Blackberry. 

Wanita itu membuat aduan kepada polis di utara wilayah Dammam bahawa suaminya sering memukulnya dan terbaru merotannya, lapor akhbar Madinah, kelmarin.Wanita itu dirawat di hospital dan memberitahu dia sudah meninggalkan rumah untuk tinggal bersama seorang saudara kerana membuat keputusan untuk bercerai.Suaminya memberitahu polis, isterinya terlalu lama berbual dengan Blackberry hingga tidak menghiraukannya. – Agensi 

Pemandu teksi Muslim kena tikam




2010/08/27


FOTO persatuan teksi menunjukkan keadaan Ahmed Sharif di hospital Bellevue selepas ditikam.
FOTO persatuan teksi menunjukkan keadaan Ahmed Sharif di hospital Bellevue selepas ditikam.

Lelaki jerit Assalamualaikum, serang selepas tanya jika Islam
 

NEW YORK: Seorang pemandu teksi di kota ini diserang petang kelmarin oleh seorang penumpang yang bertanya terlebih dulu sama ada mangsa seorang Muslim, kata polis.Jurucakap persatuan teksi New York menyalahkan isu pembinaan masjid dekat lokasi 9/11 sebagai punca kejadian meskipun polis menafikannya.Penyerang, Michael Enright, 21, dari Brewster, New York, menahan teksi di 24th Street di Second Avenue, Manhattan yang dipandu Ahmed Sharif, warga Queens. 

Ketika teksi melintasi Third Avenue, Enright bertanya Ahmed yang berketurunan Asia Selatan dengan soalan ‘Are you Muslim?’ (Adakah kamu Muslim?). 

Enright kemudian menjerit ‘Assalamualaikum’ sebelum menikam Ahmed berkali-kali di muka, leher dan bahunya, menurut kenyataan Perikatan Pekerja Teksi New York. 
Mangsa juga cedera di lengan dan tangannya. 
Polis berkata, Ahmed, 43, sempat berhenti dan mengunci Enright yang duduk di belakang sebelum meminta bantuan. 

Enright yang kelihatan mabuk kemudian ditahan seorang anggota polis. 

Ahmed dan Enright kemudian dihantar ke Hospital Bellevue Hospital. Enright kemudian menjalani penilaian psikiatrik. 

Lelaki itu kemudian diberi status EDP atau individu yang mengalami gangguan emosi oleh pihak hospital. – Agensi 

Jururawat maut, anak parah




2010/08/27

SEGAMAT: Seorang jururawat maut manakala bayi lelakinya berusia lima bulan parah, apabila Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler, dalam kejadian di Kilometer 162, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Labis, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin itu, Hanasiah Mat Diah, 27, yang bertugas di Muazzam Shah, Pahang, bersama anaknya, Mohamad Aiman Hafiz Baharom, dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Paya Merah, Labis.Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata kemalangan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa remuk teruk, manakala treler berkenaan turut terjunam ke dalam gaung di tepi jalan dipercayai cuba mengelak daripada merempuh Perodua Viva berkenaan.Katanya, Hanasiah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala anaknya yang turut cedera parah dengan patah kaki, tangan dan rusuk dihantar ke Hospital Segamat sebelum mendapat rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Beliau berkata, pemandu treler itu yang dikenali sebagai Bala Mohan, 47, yang turut cedera di kepala serta tangan dirawat di Hospital Segamat dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah Segamat gagal mengawal keretanya menyebabkan memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang dalam perjalanan dari arah Labis ke Segamat.

“Rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan Perodua Viva itu remuk teruk, manakala treler itu yang dipercayai cuba menekan brek dan mengelak daripada merempuh kereta berkenaan turut terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan berkenaan, " katanya. 
Katanya, pasukan Bomba dan Penyelamat turut dihantar ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa dan mangsa yang cedera.

Mayat mangsa dihantar ke hospital yang sama sebelum dituntut oleh anggota keluarganya.

Remaja hilangkan diri mahu cari kebebasan, ketenangan




2010/08/27


NOR HALIMAH menunjukkan gambar anaknya, Nur Atiqah   yang menghilangkan diri sejak  kelmarin.
NOR HALIMAH menunjukkan gambar anaknya, Nur Atiqah yang menghilangkan diri sejak kelmarin.

KUALA LUMPUR: "Mama jangan bimbang, Iqah di rumah kawan untuk mencari ketenangan dan kebebasan." Demikian SMS dihantar seorang remaja istimewa atau lembam, Nur Atiqah Rosli, 17, kepada ibunya selepas menghilangkan diri dari sekolah, kelmarin. 

Ibunya, Nor Halimah Ismail, 55, berkata beliau menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Jalan Cochrane, dekat Cheras jam 8 pagi itu tidak melihat sebarang perubahan dan menunggu di luar pagar sehingga anaknya memasuki sekolah.Bagaimanapun, suaminya, Rosli Abdul Hamid, 65, ke sekolah berkenaan untuk mengambil anaknya jam 12 tengah hari terkejut dimaklumkan pihak sekolah anaknya tidak memasuki kelas sepanjang hari.“Beberapa jam kemudian, dia menghantar SMS mengatakan berada di rumah kawannya. SMS terbaru malam tadi pula meminta maaf dan menyuruh saya tidak bimbang. Hati ibu mana tidak risau kerana sebelum ini dia tidak pernah keluar rumah sendirian. Ke mana saja dia pergi saya akan mengikutnya kerana bimbang keadaan dirinya diambil kesempatan individu lain,” katanya semalam. 

Nor Halimah berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan bantuan saudara mara mencari anaknya di sekitar sekolah selain cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, tetapi gagal. 

Justeru, beliau meminta orang ramai menghubunginya di talian 012-3176508 jika ada maklumat. Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa dan gerakan mencari sedang dilakukan. 

Mendiang nasihat anak jangan lawan peragut




2010/08/27

SHAH ALAM: "Mendiang selalu menasihatkan dua anaknya supaya jangan melawan apabila berdepan peragut tetapi mendiang berbuat perkara sebaliknya," kata Michael Loke, 57, suami kepada mangsa yang ditikam peragut dalam satu pergelutan di atas jejantas berhampiran Sunway Pyramid, Petaling Jaya di sini, pagi kelmarin. 

Michael berkata, mendiang isterinya, Leong Lai Yong, 57, sangat gembira sejak bekerja di sebuah tadika di Bandar Sunway bermula dua minggu lalu dan tidak menduga tragedi itu menimpanya.Katanya, mendiang seorang isteri yang sangat bertanggungjawab dan sangat berdedikasi dengan kerjayanya.“Penyakit kanser yang dihidapinya baru saja mula menunjukkan tanda sembuh, sebaliknya isteri saya mati dibunuh peragut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Muda, di sini, semalam. 

Anak bungsu mendiang, Catherine Loke, 18, pula berkata beliau sangat terkejut dengan kejadian yang menimpa ibu kesayangannya. 

“Ketika menerima panggilan, saya menganggap ia hanya panggilan gurauan tetapi selepas ayah saya mengesahkannya baru saya dapat menerima kejadian yang menimpa ibu saya,” katanya. 

Lai Yong turut meninggalkan seorang lagi anak, Christina Loke, 28. Sementara itu, di Banting, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata saksi gagal membantu polis menyediakan fotofit kerana hanya nampak suspek dari belakang ketika mengejarnya. 

Bagaimanapun, katanya, polis akan cuba mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup yang dipasang pada bangunan di sekitar tempat kejadian. 

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Lai Yong, diserang di atas jejantas berkenaan ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Sri Muda, Shah Alam ke tempat kerjanya. 

Dua sahabat jual ganja dan heroin dicekup



MAT FAUZI menunjukkan bungkusan dadah jenis ganja dan heroin yang dirampas daripada dua lelaki di Bagan Serai semalam.


BAGAN SERAI - Hasrat dua sahabat untuk mencari wang lebih pada bulan Ramadan dengan menjual ganja dan heroin kepada penduduk di beberapa kampung di sini tidak kesampaian selepas dicekup polis malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, mereka yang berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan dan dadah bernilai lebih RM140,000 dirampas.
Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Sungai Kepak, Simpang 4 Semanggol di sini sebanyak tiga ketulan ganja mampat seberat 300 gram setiap satu dijumpai.
"Selepas lelaki yang hanya bekerja kampung itu ditahan pada pukul 6.30 petang, dia kemudian membawa polis ke kediaman rakannya di Simpang, Taiping dua jam selepas itu.
"Hasil serbuan di lokasi kedua, polis memberkas seorang peniaga dan menemui 2,440 gram ganja mampat dan 1,300 gram heroin yang sedang diproses untuk dipek dan dipasarkan," katanya.

APMM musnah rokok seludup





ALOR GAJAH - Bagi mengelak salah tanggapan masyarakat mengenai ke mana hasil rampasan rokok dibawa, Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan memusnahkan sebanyak 52,783 karton rokok yang bernilai RM3.5 juta semalam.
Kesemua rokok seberat 3.5 tan dengan jumlah 6.7 juta batang yang dimusnahkan itu adalah hasil rampasan rokok-rokok yang tidak sah dari tahun 2008 hingga semalam.
Ia dirampas di kawasan perairan Pelabuhan Klang, Selangor, Kuala Linggi dan Johor Bahru.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd. Amdan Kurish memberitahu, kebanyakan masyarakat menganggap rokok yang dirampas itu kononnya diedarkan semula ke pasaran tempatan.

Dua mati selepas merompak



Anggota polis memeriksa mayat seorang penjenayah yang ditembak mati di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat semalam.


KUALA LANGAT – Keseronokan tiga lelaki yang berjaya merompak wang berjumlah RM6,000 di pejabat syarikat pengangkutan bas Cityliner di pekan Banting dekat sini semalam berakhir dengan dua daripada mereka ditembak mati setengah jam selepas mereka melakukan jenayah itu.
Semasa rompakan pada pukul 12 tengah malam, dua pekerja syarikat Cityliner tersebut sedang menutup pejabat mereka sebelum didatangi tiga penjenayah itu.
Salah seorang penjenayah itu melepaskan dua das tembakan amaran sebelum mereka melarikan wang tunai berjumlah RM6,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian rompakan itu pada pukul 12.20 berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek di Kampung Sungai Lang Dalam iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi rompakan.
“Suspek memecut laju kereta itu menyebabkan ia terbabas ke kawasan tali air.
“Salah seorang suspek keluar dari kereta dan melepaskan dua das tembakan ke arah polis,” kata beliau di sini semalam.
Ekoran tindakan agresif itu, polis terpaksa membalas tembakan penjenayah itu menyebabkan dua daripada tiga suspek yang menaiki kereta tersebut mati.

Pelajar diculik lelaki bertelekung



Inilah rumah sewa pelajar perempuan di Taman Chempaka, Ipoh yang diceroboh lelaki bertelekung putih semalam.


IPOH – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) semalam trauma selepas menjadi mangsa culik selama sejam oleh seorang lelaki bertelekung putih dalam satu kejadian di Taman Chempaka di sini.
Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan terpaksa mengikut kehendak lelaki terbabit selepas rumah teres dua tingkat yang didiaminya bersama tujuh rakan perempuan diceroboh oleh lelaki bertelekung itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, sebelum kejadian tersebut tiga pelajar berada di tingkat bawah mengulangkaji pelajaran manakala lima lagi pelajar berada di dua bilik lain di tingkat atas.
“Tiba-tiba lelaki berseluar dan bertelekung putih yang hanya nampak mata masuk ke ruang tamu lalu mengambil sebilah pisau di dapur.
“Lelaki itu kemudian mengacu-acukan pisau sambil meminta tiga pelajar di tingkat bawah rumah itu mengumpulkan semua komputer riba dan telefon bimbit masing-masing di satu tempat di dalam rumah itu,” kata Ibrahim ketika dihubungi di sini semalam.
Selepas hajatnya ditunaikan, lelaki bertelekung itu menyuruh tiga pelajar terbabit menyorok di dalam bilik air sebelum suspek naik ke tingkat atas dan masuk ke dalam sebuah bilik.
“Di salah sebuah bilik itu suspek menjerit menyuruh lima pelajar yang berada di situ berdiri sambil memberitahu dia membawa asid.
“Salah seorang daripada pelajar itu kemudian diugut supaya mengikutinya jika tidak mahu dicederakan,” kata Ibrahim.
Mangsa didakwa terus mengikuti suspek itu masuk ke dalam kereta Perodua Myvi warna kelabu.

Beribadat jangan ikut musim


Membantu individu serta kelompok yang memerlukan seperti anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak harus terhad pada bulan Ramadan sahaja. - Gambar hiasan


SEANDAINYA mahu melihat masjid, surau dan madrasah penuh dengan jemaah, maka bulan puasalah masanya. Malah sesetengah tempat terpaksa didirikan khemah-khemah khusus untuk berterawih.
Lazimnya, yang mengimamkan sembahyang fardu dan sunat terawih sepanjang Ramadan adalah imam-imam import.
Malah rata-ratanya terdiri dari kalangan para hafiz yang mempunyai suara yang baik dan gaya bacaan yang menarik.
Masjid, surau dan madrasah yang imamnya dianggap 'sedap' dan 'berjelira' akan penuh sesaklah dengan para jemaah.
Memilih imam yang betul bacaan dan sempurna tajwidnya memang wajar kerana bukan sahaja membaca dan membaiki bacaan, termasuk membetulkan bacaan al-Quran dengan golongan yang pakar, tetapi mendengar bacaan al-Quran, terutama yang betul bacaannya adalah juga suatu ibadah.
Bagaimanapun kalau pun imam itu seorang tahfiz yang sedap suaranya, ditambah pula dengan pandai berlagu tetapi bacaannya kurang tepat dan tajwidnya tidak betul, apatah lagi kalau bacaan al-Fatihah tidak mengikut cara Rasulullah SAW baca, maka makmum kena menegur. Bacaan al-Fatihah adalah fardu dalam sembahyang.
Yang kena dipilih bukan kerana sedap imam mengalunkan bacaan dengan macam-macam lagu tetapi ketepatan sebutan dan tajwidnya serta niat berterawih itu sendiri atas dasar apa kena diutamakan, kerana tujuan ibadah kepada-Nya atau kerana 'sedap' dan berjelira dengan imam.
Harus diingat bahawa sembahyang fardu atau sunat yang diterima oleh Allah adalah hanya sembahyang kerana Allah, bukan kerana imam yang memiliki ciri-ciri di atas semata-mata.
Kalau sembahyang kerana imam, ia lari daripada tujuan dan konsep sembahyang itu sendiri yang tidak ada kerana lain selain daripada kerana Allah. Niat adalah kunci utama dalam ibadah. Punah niat, punah ibadah. Bila beribadat dalam keadaan punah, layakkah kita mengharapkan pahala?
Dalam pada itu beribadat tidak boleh bermusim, sebaliknya ia kena berterusan dan berkesinambungan mengikut keupayaan kita. Allah dan Rasul-Nya tidak memberatkan kita dalam beribadat. Kita digalakkan beribadat mengikut kemampuan.
Kalau rasa larat dan tidak sampai menyiksakan diri, berterawihlah sehingga 20 rakaat. Tetapi kalau sekadar mampu setakat lapan rakaat, maka buat lapanlah. Kuantiti tidak penting, yang perlu ditekankan adalah kualiti ibadah.
Kalau kerana waktu-waktu masa lalu, menyebabkan kita sekadar hanya hafal surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, maka berusahalah supaya kita betul-betul hafal surah-surah berkenaan sehingga benar-benar tepat bacaannya.
Paling penting kena dipastikan bacaan al-Fatihah kena betul dan tepat. Ia adalah rukun dalam sembahyang. Tidak betul bacaan al-Fatihah, sembahyang tidak sah.
Tetapi kalau setelah belajar habis-habisan namun sebutan tetap tidak tepat kerana masalah lidah kita, maka jangan berdukacita kerana Allah akan tetap menerimanya sebagai betul asalkan kita tidak berhenti belajar untuk membetulkannya.
Bacalah ayat-ayat yang kita hafal itu sepanjang masa, kecuali pada tempat dan dalam keadaan kita diharamkan membaca ayat al-Quran, kita tetap akan dapat ganjaran pahala yang besar kerana membaca al-Quran. Jangan hanya bersungguh-sungguh sekadar sepanjang bulan Ramadan sahaja.
Kalau sekadar sepanjang bulan puasa sahaja kita tidak lekang daripada membaca al-Quran dan berjemaah di masjid tetapi selepas itu hilang dan sembahyang waktu pun sudah tidak berjemaah lagi dan kita mula isi masa dengan menyanyi dan bersiul, ia akan bersifat seperti mahu menipu Allah.
Mengapa pada bulan puasa kita menjadi pengibadah yang tegar, kita sanggup beriktikaf di masjid dan berqiamullail? Jawapannya, kerana mahu mencari satu malam serba berkat, yakni malam Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1,001 bulan.
Bila habis Ramadan, maka harapan untuk bertemu Lailatul-Qadar sudah tidak ada, kena tunggu Ramadan akan datang pula. Soalnya apakah masih ada usia kita untuk bertemu dengan Ramadan akan datang?
Lagi pun dari segi logiknya, apakah hanya dengan tegar beribadat sepanjang bulan puasa sahaja maka Allah akan mempertemukan dengan malam yang sangat istimewa itu? Apatah lagi kalau sebaik sahaja habis bulan puasa kita kembali pada tabiat asal, tidak lagi ke masjid melakukan solat berjemaah.
Bagaimanapun daripada tidak buat langsung, lebih baik buat jugalah kerana Allah itu Maha Pemurah. Tetapi sebaik-baiknya kalau mahu jadi pengibadah tegar yang dimulakan pada Ramadan kali ini biarlah ia statik dan berkesinambungan dengan kualiti ibadah yang dipastikan meningkat saat demi saat.