Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Dua perompak mati ditembak selepas samun syarikat bas di Banting

BANTING: Dua perompak warga tempatan ditembak mati oleh polis di Kampung Sungai Lang Dalam di sini tengah malam tadi selepas menyamun pejabat sebuah syarikat bas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar lelaki yang ditembak mati itu berusia 41 dan 43 tahun dan berasal dari utara tanah air serta mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri, merompak dan mencederakan orang.
Seorang daripada mereka pernah ditahan di pusat tahanan di Simpang Renggam, Johor, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka melarikan diri selepas kereta Proton Waja yang dinaiki mereka terbabas di kawasan tali air Kampung Sungai Lang Dalam selepas dikejar oleh anggota polis.

"Usaha memburu suspek itu sedang dijalankan," katanya.

Khalid berkata, polis yang mendapat maklumat mengenai rompakan itu pada jam 12.20 tengah malam mengesan kereta yang dinaiki suspek-suspek dan cuba memintasnya.

Selepas kereta itu terbabas, ketiga-tiga mereka keluar dari kenderaan itu dan seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan ini memaksa polis membalas tembakan.

Khalid berkata, polis kemudian menemui dua pucuk pistol dan sebilah parang yang digunakan dalam rompakan itu dan wang tunai berjumlah RM6,000.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki itu merompak pejabat syarikat bas itu di pekan Banting pada jam 12 tengah malam tadi semasa dua pekerja sedang menutup pejabat.

"Dalam rompakan itu, seorang daripada penjenayah itu melepaskan satu das tembakan ke siling dan satu lagi ke lantai," katanya.

Khalid berkata, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam beberapa rompakan sebelum ini termasuk satu rompakan di Klang tahun lepas.
Beliau berkata, kereta yang digunakan oleh perompak itu dilaporkan dicuri di Klang pada Mei lalu.

Mengenai siasatan berhubung kematian seorang wanita guru tadika yang ditikam selepas cuba diragut di Bandar Sunway semalam, Abdul Khalid berkata, saksi yang melihat kejadian itu tidak dapat membantu polis menyediakan fotofit kerana hanya nampak suspek dari belakang semasa mengejarnya.

Bagaimanapun, polis akan cuba mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup yang dipasang pada bangunan-bangunan di sekitar tempat kejadian.

Leong Lai Yoong, 57, mati ditikam selepas dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompaknya di jejantas Subang Utama berhampiran Sunway Pyramid.

Dua sahabat dibebas daripada tuduhan merogol

SHAH ALAM: Seorang penghantar surat dan rakannya yang bekerja kerani dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pagi ini daripada tuduhan merogol pelajar matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dekat satu kuari di Rawang, tujuh tahun lalu.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu terhadap Mohd Zuhairi Mahat,26 dan Mohd Fairul Helmi, 34, selepas berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Joe Radzwil, Aida Rahim cerai talak satu

PETALING JAYA: Joe Radzwil menceraikan bekas isterinya Aida Rahim dengan talak satu di Mahkamah Syariah di sini, pagi ini.
Lafaz itu dibuat dihadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad selepas kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik.

Wanita antara empat ditahan edar syabu

KUALA LUMPUR: Polis merampas 2.6kg dadah jenis syabu bernilai RM650,000 dan menahan seorang wanita warga China bersama tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah tempat letak kereta di sebuah pusat membeli belah di Damansara, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammad berkata, dalam serbuan pada jam 5 petang itu, polis pada mulanya menahan seorang daripada tiga lelaki itu, yang merupakan warga asing, dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk urusniaga dadah. "Lelaki warganegara Indonesia berumur 41 tahun ini sedang menjalankan urusan jual beli dadah syabu di tempat letak kereta itu. "Selepas itu, beberapa minit kemudian polis berjaya menahan lagi dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berumur antara 31 hingga 41 tahun di kawasan sama," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata, polis yang memeriksa sebuah kereta jenis Kia Carens, dipercayai milik suspek, menjumpai syabu yang diletakkan di dalam kotak kasut. Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati syabu yang dirampas adalah daripada gred berkualiti tinggi dan dipercayai dibawa masuk dari negara luar untuk edaran di sekitar Lembah Klang.
"Ini adalah rampasan terbesar daripada segi nilai di daerah Petaling Jaya. "Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian dengan sindiket luar negara yang didalangi oleh warga asing. Bagaimanapun identiti dalang sindiket tersebut belum dapat dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki rakyat Indonesia itu kerap keluar masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Dua rakyat tempatan berkenaan didapati tidak mempunyai pekerjaan dan tiada rekod jenayah.

"Kesemua yang ditahan positif dadah jenis methaphetamine dan ditahan reman sehingga 29 Ogos ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya.-Bernama

Keputusan kes untuk penjarakan AC Mizal pada 28 Oktober

KAJANG: Mahkamah Rendah Syariah Kajang hari ini menetapkan 28 Oktober ini untuk keputusan berhubung kes komital atau perintah memenjarakan penyanyi dan pengacara AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini kerana menghina mahkamah setelah gagal membayar nafkah anaknya seperti yang diperintahkan.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Ridhwan Husin yang mewakili Shafnie Zainuddin, 34, bekas isteri Mizal, 38, dan peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili penyanyi itu memfailkan hujahan masing-masing setelah tiada jalan penyelesaian oleh Mizal dan Shafnie.
Abdul Halim berkata, beliau akan menilai hujahan daripada kedua-dua pihak serta menimbang sedalam-dalamnya keterangan yang diberikan serta mewajibkan Mizal dan Shafnie, model dan pengurus pemasaran syarikat Casa Impian Holdings Berhad, untuk hadir pada tarikh berkenaan.

Di luar mahkamah, Ridhwan memberitahu pemberita bahawa Shafnie enggan menerima tawaran daripada Mizal untuk penyelesaian luar mahkamah berhubung kes komital itu kerana menanggap ia tidak munasabah.

"Tawaran itu tidak munasabah kerana duit itu tidak sampai kepada anak dan prosiding ini perlu diteruskan, dalam hujahan saya, penyanyi itu wajar dipenjara kerana tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan tidak mengikut perintah mahkamah, " katanya.

Shafnie tidak hadir di mahkamah pada prosiding hari ini kerana mempunyai urusan penting di Putrajaya, manakala Mizal hadir ditemani seorang rakan.

Pada 29 Julai lalu, Shafnie menafikan dakwaan pelakon dan pengacara itu membayar tunggakan nafkah dua anak mereka, Muhammad Shafiq Iman, 14, dan Muhammad Shabil Iman, 11, sebanyak RM50,000 kerana beliau mempunyai bukti bagi menyangkal dakwaan tersebut.

Pasangan itu berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada 17 Oktober 2001.

Mengikut perjanjian asal, Mizal diperintah membayar nafkah dua orang anaknya sebanyak RM2,000 sebulan sehingga kanak-kanak terbabit berusia 18 tahun.

Bekas pengacara rancangan Akademi Fantasia itu bagaimanapun gagal membayar nafkah anak sehingga mencecah RM50,000.

Pada 22 Disember 2004, mahkamah mengeluarkan perintah agar jumlah tunggakan itu dibayar secara ansuran sebanyak RM200 sebulan dan bakinya akan dibayar melalui potongan gaji daripada akaun bank milik artis itu.

Polis tahan lelaki bersama mercun bernilai RM15,000 di Kuantan

KUANTAN: Polis Pahang menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpannya di dua lokasi berasingan di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruddin Jaafar berkata, tangkapan itu dijalankan hasil intipan pihak polis terhadap suspek yang berusia 52 tahun itu.
Katanya, suspek ditahan di dalam sebuah kereta jenis Honda yang dinaikinya bersendirian pada jam 1 tengah hari semalam di sebuah lokasi di sini yang enggan didedahkan Kamaruddin.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek polis menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM5,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu polis telah memeriksa rumah sewa suspek di Taman Datuk Rashid di sini kira-kira pukul 10.50 malam tadi yang menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM10,000.

-Bernama

Bekas Adun disamun

SEREMBAN: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sejumlah wang tunai milik seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarikan tiga penjenayah dalam kejadian samun berhampiran Taman Dusun Nyiur di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi mangsa yang memandu SUV jenis Nissan X-Trail dikatakan disamun selepas menghantar anaknya ke sebuah sekolah menengah di sekitar Ampangan di sini.
"Sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki dipercayai berumur sekitar 30-an menghalang kenderaan mangsa di lokasi kejadian.

"Dua suspek kemudian meluru keluar ke arah kenderaan mangsa, sebelum bekas ADUN itu dilarikan bersama kenderaannya menuju ke arah Kuala Pilah," kata Mohd Yusoff ketika mengesahkan kejadian itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dicampak keluar dari kenderaan di satu lokasi sekitar Paroi dan semua penjenayah terbabit dipercayai meneruskan perjalanan menghala ke Kuala Pilah.

Selain SUV berkenaan, ketiga-tiga suspek turut melarikan wang tunai dianggarkan RM6,000 dan dokumen pengenalan diri milik mangsa.

Katanya, pihak polis melancarkan gerakan memburu tiga penjenayah berkenaan.

-Bernama

Suspek bunuh guru tadika masih berada di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Polis percaya suspek lelaki yang dipercayai menikam rusuk kiri seorang guru tadika sehingga maut dalam satu cubaan samun di jejantas Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini semalam, masih berada di Lembah Klang.
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, usaha memburu suspek tempatan berusia lingkungan 20-an itu sedang giat dilakukan di seluruh kawasan tumpuan bagi memberkas suspek yang dikategorikan sebagai merbahaya itu.
"Kita percaya suspek tidak boleh melarikan diri dengan lebih jauh memandangkan maklumat yang kita perolehi suspek masih berada di sekitar bandar raya ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Media melaporkan seorang guru tadika Leong Lai Yeong, 57, maut akibat ditikam di bahagian rusuk kiri dalam satu cubaan samun di jejantas Sungai Way, Petaling Jaya, pada 7 pagi semalam, sebelum melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran.

Pemeriksaan forensik menemui sebilah pisau, dipercayai digunakan suspek yang kemudian dibuang di tepi longkang berhampiran kawasan kejadian ini.

Beliau berkata, petunjuk polis ketika ini adalah mendapatkan lakaran wajah suspek dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian selain mengesan identiti suspek melalui cap jari yang diperolehi dari pisau itu.

"Rakaman CCTV juga digunakan bagi mendapatkan lakaran dan wajah sebenar suspek," katanya.

Jika kedua-dua laporan ini diperolehi, lakaran foto fit suspek akan diedarkan bagi mengesannya selain bantuan orang ramai yang mungkin mengetahui lokasi dia berada, katanya lagi.-Bernama

Wanita antara empat ditahan edar syabu

KUALA LUMPUR: Polis merampas 2.6kg dadah jenis syabu bernilai RM650,000 dan menahan seorang wanita warga China bersama tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah tempat letak kereta di sebuah pusat membeli belah di Damansara, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammad berkata, dalam serbuan pada jam 5 petang itu, polis pada mulanya menahan seorang daripada tiga lelaki itu, yang merupakan warga asing, dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk urusniaga dadah. "Lelaki warganegara Indonesia berumur 41 tahun ini sedang menjalankan urusan jual beli dadah syabu di tempat letak kereta itu. "Selepas itu, beberapa minit kemudian polis berjaya menahan lagi dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berumur antara 31 hingga 41 tahun di kawasan sama," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata, polis yang memeriksa sebuah kereta jenis Kia Carens, dipercayai milik suspek, menjumpai syabu yang diletakkan di dalam kotak kasut. Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati syabu yang dirampas adalah daripada gred berkualiti tinggi dan dipercayai dibawa masuk dari negara luar untuk edaran di sekitar Lembah Klang.
"Ini adalah rampasan terbesar daripada segi nilai di daerah Petaling Jaya. "Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian dengan sindiket luar negara yang didalangi oleh warga asing. Bagaimanapun identiti dalang sindiket tersebut belum dapat dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki rakyat Indonesia itu kerap keluar masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Dua rakyat tempatan berkenaan didapati tidak mempunyai pekerjaan dan tiada rekod jenayah.

"Kesemua yang ditahan positif dadah jenis methaphetamine dan ditahan reman sehingga 29 Ogos ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya.-Bernama

Lindsay tinggalkan pusat pemulihan

LOS ANGELES: Hanya selepas 22 hari menjalani program pemulihan di Pusat Perubatan UCLA, aktres bermasalah, Lindsay Lohan, dibenarkan keluar dan kembali menjalani hidup normal, semalam.
Lindsay memang selalu bernasib baik.
Selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk, dia disabitkan kesalahan melanggar perintah mahkamah.

Hakim kemudian mengarahkan dia dipenjara 90 hari, diikuti 90 hari lagi menjalani program pemulihan di luar tahanan.

Namun, Lindsay, 24, hanya dikurung selama 13 hari dan dibawa ke pusat perubatan itu untuk proses pemulihan.

Semalam, dia dilihat keluar dari pintu belakang pusat perubatan itu - hanya selepas 22 hari menjalani pemulihan - dan masuk ke kereta mewah yang menunggunya.

Sumber berkata, Lindsay menggunakan detik awal pembebasannya itu dengan menghubungi ibunya, Dina.

Dia kini dibenarkan menerima rawatan pemulihan itu sebagai pesakit luar. - Agensi

Ibra ditahan kali keempat

JAKARTA: Bintang filem Ibra Azhari ditahan untuk kali keempat kerana kes dadah. Ibra kini direman di balai polis di Jakarta Barat.
Khabarnya belum ada lagi saudara Ibra yang menziarahinya kerana kedua-dua adiknya, Sarah dan Rahma Azhari dikatakan berada di Amerika.
“Rahma dan Sarah ke Amerika Syarikat kira-kira sebulan lalu sebelum Ramadan,” ujar Ani, pengurus tiga bintang adik-beradik itu kepada laman detikhot, semalam.

Ani juga tidak tahu sama ada kedua-duanya sudah mengetahui mengenai penahanan abang mereka dan dia akan segera memaklumkan perkara itu.

“Saya hairan mengapa Ibra ditahan lagi kerana dia belum lama dibebaskan,” kata Ani. Sebelum itu, Rahma melalui laman blog Twitter mengatakan dia tidak tahu-menahu jika abangnya kini ditahan lagi. “Terima kasih kerana sokongan anda semua, saya sendiri belum tahu sekiranya Ibra ditangkap.’ tulis Rahma. - Agensi

Hubungan Katrina-Salman berakhir

MUMBAI: Aktres Bollywood, Katrina Kaif semalam mengesahkan kini dia kembali solo selepas hubungannya dengan pelakon Salman Khan berakhir. Pengakuan Katrina itu menamatkan spekulasi mengenai kehidupan peribadinya.
“Ya, saya kini solo dan tidak mahu berbicara lanjut mengenainya,” kata Katrina dalam satu sidang akhbar di Mumbai, semalam. Beberapa hari sebelum itu, Salman membuat pengakuan dalam satu temu bual yang hubungannya dengan Katrina sudah berakhir, namun mereka kekal sebagai kawan. Sebelum ini, Katrina hanya mendiamkan diri ketika ditanya perkembangan hubungannya dengan Salman.
“Sekiranya Salman mengatakan dia kini solo dan saya juga solo...selebihnya tentu mudah untuk anda simpulkan,” kata Katrina.

Hubungan antara kedua-dua pelakon itu terjalin sejak beberapa tahun. Salman juga pernah menjadi guru lakonan kepada Katrina. Bagaimanapun, gosip mengenai keretakan hubungan mereka muncul apabila keakraban hubungan antara Katrina dengan Ranbir Kapoor menjadi perbualan dunia Bollywood. Menurut Katrina, kini karier adalah perkara paling utama dalam hidupnya.

“Saya kini sibuk dengan penggambaran filem Tees Maar Khan terbitan Farah Khan dan saya ingin menumpukan 100 peratus kehidupan saya untuk kerjaya lakonan,” kata Katrina. - Agensi

Tujuh terbunuh, 6 cedera selepas van rempuh trak

MADINAH: Tujuh maut dan enam lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira 170 kilometer dari Madinah, semalam.
Nahas membabitkan 13 sekeluarga warga Yaman yang menaiki sebuah van GMC merempuh belakang sebuah trak.
Rempuhan kuat menyebabkan beberapa penumpang van tercampak keluar ke jalan raya. Petugas kecemasan yang tiba di tempat kejadian segera membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. Sementara itu, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Al-Himna untuk rawatan, manakala mangsa yang kritikal dirujuk ke Hospital Raja Fahd.

Arab Saudi adalah antara negara yang mempunyai kadar kemalangan paling tinggi di dunia. - Agensi

Tubuh amah dipaku

RIYADH: Doktor di Sri Lanka menemui 23 paku dalam tubuh seorang pembantu rumah mangsa dera yang pulang ke Colombo dari Riyadh, semalam.
“Kami menerima aduan daripada Kementerian Luar di Colombo yang melaporkan pembantu rumah terbabit mendakwa didera majikannya,” kata diplomat kanan Kedutaan Sri Lanka di Riyadh kepada Arab News.
“Kami akan mengenal pasti majikan itu. Kami sudah mengenal pasti ejen pembantu rumah itu di Riyadh dan seterusnya akan menyaman majikan berkenaan,” kata diplomat itu lagi.

Doktor di Hospital Kamburipitya di daerah Matara, 140 kilometer dari Colombo berkata, paku berkenaan ditukul ke dalam tubuh amah terbabit. Dr Kamal Weeratunge yang memeriksa amah itu mendakwa semua paku berkenaan dipanaskan terlebih dulu sebelum dicucuk ke tubuh pembantu rumah itu. Amah yang dikenali sebagai Ariyawathie, 50, berkata terdapat ramai orang perlu dilayan di rumah majikannya. Dia turut menunjukkan kesan di mana paku dicucuk ke badannya.

“Saya terpaksa melakukan semua kerja rumah tanpa henti. Bila saya penat dan igin berehat mereka mencucuk paku itu ke dalam tubuh saya sebagai hukuman,” kata Ariyawathie. Menurut rekod di Kedutaan Sri Lanka, Ariyawathie datang ke Arab Saudi pada 25 Mac lalu. Dia dihantar pulang ke Sri Lanka selepas tempoh kontraknya tamat. “Kami hanya boleh mengendalikan kes jika Ariyawathie masih bekerja di Saudi tetapi tempoh khidmatnya sudah tamat,” kata sumber kedutaan.

Bagaimanapun, tindakan akan diambil berikutan laporan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa di Colombo. - Agensi

Tentera Taiwan diharamkan pejam mata di tempat awam

TAIPEI: Tentera Taiwan mengharamkan anggotanya terlelap atau memejamkan mata ketika mengenakan pakaian seragam di tempat awam, kata Kementerian Pertahanan negara itu, semalam.
Bagaimanapun, sebaik saja arahan berkenaan dikeluarkan, ia mendapat kecaman pelbagai pihak, termasuk daripada tentera yang menganggap mereka dilayan seperti robot. - AFP

Hadapi lima pertuduhan

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, menetapkan 2 November depan untuk sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat Abdul Rajab Ahmad.
Ini bagi membolehkan pihak pendakwa melakukan pindaan pada pertuduhan dengan memasukkan perkataan ‘dituduh bersama’. Hakim Syarie, Datuk Mohamad Abdullah menetapkan tarikh itu selepas pendakwa raya dan peguam bela bersetuju berhubung pindaan itu. Abdul Rajab Ahmad, 50, yang menghadapi lima pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997. Enam lagi pengikutnya iaitu Abdul Hamid Lateh, 43; Hakimah Abu Samah, 45; Fazilah Md Saleh, 37; Rodiah Yahya, 66; Rohayu Abdul Hamid, 37, dan Amirul Syafiq Rushdan Abdul Hamid, 17, dituduh mengikut Seksyen 4(1) dan Subseksyen 43(b) akta yang sama. Mereka dituduh mengamalkan zikir yang bercanggah dengan hukum syarak apabila menambah nama ‘Syeikh Qadir al-Jailani Waliallahu’ di akhir lafaz selawat dan bersubahat dengan Abdul Rajab membuat pernyataan palsu yang berlawanan dengan ajaran Islam. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membongkar kegiatan penyebaran ajaran sesat yang berselindung di sebalik perkhidmatan rawatan alternatif berikutan serbuan di sebuah pangsapuri di Presint 17, di sini. Kegiatan ajaran sesat itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis menyerbu sebuah rumah di Presint 17, pada 10 Februari lalu. Serbuan dilancarkan selepas Jawi dan polis menerima maklumat kegiatan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai penyampai risalah Allah dan menerima terus ajaran Islam daripada Nabi Muhammad dan Wali Allah. Lelaki terbabit juga mendakwa mengetahui pelbagai perkara yang berlaku pada masa depan, termasuk tarikh kiamat dan meminta pengikutnya membuat persiapan awal. Dia juga mendakwa kumpulannya mempunyai kekayaan di alam ghaib dan harta bernilai lebih RM35 trilion untuk diagihkan kepada umat Islam di seluruh dunia, termasuk RM6 juta kepada penduduk Putrajaya. Difahamkan, mereka yang mahu menyertai kumpulan itu dikehendaki membayar RM6,666 iaitu angka sempena jumlah ayat al-Quran, manakala bayaran bagi rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kemampuan pesakit.

Kerani nafi guna kad kredit orang lain

KUALA LUMPUR: Seorang kerani sebuah syarikat telekomunikasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menggunakan kad kredit orang lain untuk membuat pembayaran bilik hotel membabitkan RM3,650, Julai lalu.
Bagaimanapun, Ling Chean Kee, 31, mengaku tidak salah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jagjit Singh Bant Singh. Mengikut pertuduhan, Ling didakwa secara tidak jujur menggunakan kad kredit American Express untuk membuat bayaran RM900 bagi bil hotel Boulevard Midvalley. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Hotel Boulevard Midvalley dekat sini jam 8 pagi pada 13 Julai 2010. Bagi pertuduhan kedua, di tempat yang sama tertuduh didakwa menggunakan kad itu atas penama Dennis CK Ling untuk membuat bayaran sebanyak RM900, kira-kira jam 4.30 petang pada 14 Julai 2010. Bagi pertuduhan ketiga, Ling didakwa menggunakan kad kredit TBS Bank Visa kad atas nama Dennis CK Ling untuk membuat pembayaran RM1,850, kira-kira jam 7.30 pagi pada 24 Julai 2010.

Penjual bunga api diserbu ketika sibuk layan pelanggan

POKOK SENA: Seorang penjual mercun tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa apabila tiba-tiba diserbu empat pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) ketika menjual mercun di pasar Ramadan Tualang, dekat sini, kelmarin.
Ketika diserbu, lelaki berusia 30-an itu sibuk melayan pelanggan tanpa menyedari empat pegawai berkenaan menjalankan operasi.
Seorang lagi penjual mercun dan bunga api tidak jauh dari situ sempat melarikan diri bersama mercun dijual sebaik melihat rakannya ditahan pegawai terbabit.

Empat pegawai KDRM diketuai Pegawai Kastam Kanan Heng Hua Aik merampas semua mercun dan bunga api berjumlah kira-kira RM1,000 itu untuk dibawa ke ibu pejabat kastam bagi siasatan lanjut.

Pegawai terbabit juga mengambil keterangan ringkas daripada lelaki berkenaan sebelum meninggalkan pasar Ramadan itu.

Sementara itu, Pengarah KDRM Kedah, Saadon Mohd Dros ketika dihubungi berkata, operasi itu ialah Ops Raya bertujuan membanteras kegiatan menjual, menyimpan dan bermain mercun dan bunga api sepanjang perayaan ini.

“Operasi ini kita laksanakan di seluruh negeri sejak 22 Ogos lalu dan dijangka berakhir pada Aidilfitri ini,” katanya.

Katanya, anggotanya akan membuat rondaan di semua pasar Ramadan, pasar malam dan kedai runcit bagi mengesan penjual mercun dan bunga api.

Bapa lega hukuman mati anak tangguh

SINGAPURA: “Saya lega, tetapi dalam masa sama tetap bimbang dengan nasib anak,” kata Yong Kwong Keong, 57, bapa kepada Vui Kong, 22, rakyat Malaysia yang sepatutnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Republik Singapura, hari ini.
Hukuman terhadap Vui Kong dilanjutkan ke satu tarikh lain dan tempoh berkenaan dipercayai sebulan.
Yong, berasal dari Sabah dan bekerja sebagai pemandu dimaklumkan berkaitan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung itu oleh peguam anaknya jam 3 petang semalam.

“Kami sudah berusaha pelbagai cara selain menghantar petisyen kepada kerajaan negara berkenaan demi Vui Kong. Apa yang mampu kami buat ketika ini ialah berdoa.

“Bagaimanapun, saya lega dengan perlanjutan tempoh hukuman kerana ia bermakna ada lebih masa untuk terus berusaha selain memberi sedikit sinar kepada anak,” katanya.

Sebelum ini, Yong merayu kepada Presiden Singapura, SR Nathan supaya memberikan peluang kedua untuk hidup kepada anaknya.

Semalam, dia bersama ahli keluarga yang lain memakai baju-T tertulis ‘Give Life A Second Chance’ di Penjara Changi, Singapura.

Kelmarin pula, Yong dibenarkan bertemu dengan Vui Kong selama sejam. Pertemuan terbabit turut disertai tiga lagi anak Yong iaitu Nyuk Yin, 33, Nyuk Chu, 29, Vui Fung, 20, dan bapa saudara, Kwong Chun, 58.

Mereka menitiskan air mata selepas bergilir-gilir melawat Vui Kong dan Yong pula kelihatan letih selepas menunggu seharian di luar istana dengan harapan untuk bertemu Nathan.

Bagaimanapun, permintaannya untuk bertemu Nathan tidak kesampaian walaupun dia serta ahli keluarga dapat menyerahkan petisyen yang ditandatangani 111,331 orang ketika kempen ‘Save Vui Kong’ sehingga jam 5 petang, kelmarin.

Sebanyak 33,501 tandatangan diperoleh menerusi internet, 43,466 dari Sabah, 33,644 dari Semenanjung dan 312 orang awam.
“Dalam pertemuan di dalam penjara, Vui Kong kelihatan tenang. Dia juga maklumkan kepada saya bahawa dia sudah memeluk agama Buddha di dalam penjara dan banyak menghabiskan masa membaca kitab agama berkenaan.

“Saya dapat lihat banyak perubahan pada dirinya dan Vui Kong tidak henti memaklumkan kepada saya bahawa nasibnya itu berpunca daripada penganiayaan. Dia juga mengatakan amat menyesal dan pengalamannya itu patut dijadikan pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Yong turut merayu kepada Nathan supaya Vui Kong diberikan pengampunan serta peluang kedua.

Abang Vui Kong, Yun Leong, 25, yang bekerja sebagai chef di republik itu berdoa supaya hukuman gantung ke atas adiknya dikurangkan kepada hukuman penjara seumur hidup.
“Saya percaya peluang kedua patut diberikan kepada mereka yang berhak. Saya lihat banyak perubahan dalam diri adik saya,” katanya.

Maut motor dirempuh lori tanah

NIBONG TEBAL: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh penghadang jalan sebelum digilis lori dalam kemalangan di Jalan Besar Simpang Ampat, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.10 pagi itu, mangsa, K Mazraviran, 55, yang menunggang motosikal Suzuki dari arah Permatang Tinggi menghala Sungai Bakap dikatakan melanggar penghadang di kiri jalan sebelum terbabas lalu dirempuh sebuah lori membawa tanah merah yang gagal mengelak dari belakang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, mangsa dari Taman Jentayu, Simpang Ampat di sini, mati serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa melanggar penghadang jalan sebelum terjatuh lalu dilanggar sebuah lori.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.

Menyamar Tunku Mahkota Johor dalam Facebook

JOHOR BAHRU: Sebelum ini Pingat Ibrahim Sultan II (PIS II) dijadikan modal penjenayah memperdaya orang ramai dan kini ada individu tidak bertanggungjawab menyamar serta menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan penggunaan nama Tunku Ismail, kelmarin.
“Kelmarin, satu laporan polis berkaitan penyalahgunaan nama Tunku Ismail dalam laman sosial Facebook dibuat dan siasatan terus dijalankan.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bukit Aman. Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948,” katanya pada sidang media di perhimpunan bulanan IPK) Johor di sini, semalam.

Menurut Mohd Mokhtar, laman sosial mahupun Internet walaupun dianggap sesuatu yang bebas, namun ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya apatah lagi disalahgunakan.

“Jangan tulis apa yang kita suka kerana ia masih tertakluk kepada undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, menerusi Facebook satu akaun atas nama ‘Diari Harian Tunku Mahkota Johor’ diwujudkan dan pengendalinya yang menggunakan nama CikMiky mengaku dia penasihat peribadi Tunku Mahkota Johor.

CikMiky mendakwa dia bakal menjadi isteri Tunku Ismail tetapi akaun berkenaan dikatakan sudah tidak beroperasi sejak beberapa hari lalu dan mempunyai ribuan peminat sebelum dinyahaktifkan.

Difahamkan, laman sosial terbabit turut mewujudkan profil palsu Tunku Ismail selain menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor.

Awal bulan ini pula, dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun ditahan di Seri Alam di sini, apabila seorang mangsa berusia 37 tahun membuat laporan polis pada 5 Ogos lalu selepas meragui kesahihan sijil pengurniaan PIS II diterimanya.

Mangsa mendakwa suspek meminta bayaran RM5,000 untuk mendapatkan sijil tetapi dia hanya membayar RM3,000.

Dipukul enggan sertai geng samseng

GEORGETOWN: Gara-gara enggan menyertai kumpulan samseng, tiga lelaki dilaporkan cedera akibat dipukul dalam pergaduhan di kedai makan Pasar Air Itam, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila sekumpulan 14 lelaki berusia lingkungan 20-an dipercayai terbabit dalam serangan itu mengakibatkan tiga lelaki cedera parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abdul Halim Bulat berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kecederaan ketiga-tiga lelaki itu disebabkan mereka enggan menyertai kumpulan samseng.

Katanya, sejurus selepas kejadian, polis menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 20-an di beberapa lokasi.

Menurutnya, ketujuh-tujuh lelaki itu dibebaskan selepas keterangan diambil.

“Polis meminta saksi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui menafikan anak mereka terbabit dalam kumpulan samseng, sebaliknya mereka menjadi mangsa keadaan ketika makan di kedai itu.

Dia yang enggan dikenali berkata, anak mereka mendakwa didatangi sekumpulan samseng dan mendakwa meja yang mereka duduki adalah meja sering digunakan kumpulan berkenaan.

Berlauk garam

MELAKA: Kepayahan hidup seorang ibu tunggal demi menjaga empat anak lelakinya yang bersekolah akhirnya mendapat perhatian apabila menerima sumbangan Titipan Kasih Harian Metro 2010 di Bukit Katil, di sini, Sabtu lalu.
Siti Hasnita Buang, 39, antara 20 ibu tunggal terpilih menerima barangan bagi membolehkan mereka menyambut kedatangan Aidilfitri dengan lebih meriah. Siti Hasnita dari Taman Bukit Katil Permai berkata, dia tidak pernah menerima sumbangan seumpama itu dan bersyukur kerana dilimpahi rezeki bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.
“Sebelum ini, insan kurang bernasib baik seperti kami sering disisihkan, malah payah untuk mendapat perhatian daripada pihak lain terutama agensi berkaitan.

“Kesempitan kami pernah mencapai tahap saya dan anak berusia antara 13 hingga 17 tahun terpaksa menjamah nasi dan garam saja.

“Mujur, anak memahami kepayahan hidup yang kami tanggung dan tidak pernah merungut,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, sempena Titipan Kasih Harian Metro 2010 di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Bayan, Kampung Bukit Katil. Program tahun ketiga ini turut mendapat sokongan Kerajaan Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Sani Ekspres Sdn Bhd, Tesco, Kumpulan Am Bank, Giant, Orang Kampung Corpora tion, Takaful Ikhlas, Federal Malay Holdings, Tenaga Na sional Ber had, Shell, Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Padi Beras Nasional Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Iltizam Perkasa, Kentucky Fried Chicken, Fel la Designs, Firefly, Milo, Fol low Me, Islamic Relief Ma laysia, Nurbeautyline dan Maggi.

4 disambar api

PETALING JAYA: Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melecur hampir 90 peratus manakala tiga lagi rakannya melecur kurang 50 peratus selepas pencawang pembahagian utama di sebuah kilang tayar di Jalan Tandang, di sini meletup hingga menghasilkan pancaran arca ketika sedang menaik taraf pencawang itu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, keempat-empat mereka berada di dalam pencawang berkenaan apabila salah satu peralatan di dalamnya meletup dan menghasilkan pancaran arca.
Akibatnya, pancaran itu menyambar keempat-empat mereka menyebabkan kulit serta baju mereka terbakar.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian itu berlaku apabila salah satu peralatan di dalam pencawang berkenaan meletup sebelum api menyambar mangsa.

Katanya, walaupun pakaian mereka terbakar tetapi mereka bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri.

“Seorang daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal apabila 90 peratus badannya terbakar manakala tiga rakannya hanya melecur kurang 50 peratus,” katanya.

Menurutnya, semua mereka kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara itu, jurucakap TNB berkata, ketika kejadian, keempat-empat pekerja itu sedang menaik taraf sistem di pencawang itu.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya kesalahan teknikal dan kesilapan manusia dalam kemalangan itu.

Pihak PPUM ketika dihubungi juga berkata, keempat-empat mangsa akan dihantar ke Hospital Prince Court bagi mendapatkan rawatan susulan

'Enggan ambil ubat'

KOTA BHARU: Seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental dan menyembelih mati anak lelakinya berusia tiga tahun, Mohamad Adam Muszahffar, kelmarin, dikatakan sudah berhenti mengambil ubat penyakitnya itu sejak tiga bulan lalu.
Isterinya, Nik Suzila Nik Hashim, 32, berkata suaminya enggan mengambil ubat itu kerana mengadu sakit kepala selepas memakannya.
Katanya, dia memang menyedari penyakit suaminya itu sejak mula berkahwin namun tidak menyangka lelaki berkenaan akan bertindak ganas sehingga sanggup membunuh anak sendiri.

“Saya tidak pasti sama ada ingin meneruskan hidup bersamanya lagi selepas ini kerana bimbang keselamatan dua anak perempuan berusia lapan dan dua tahun.

“Memang saya akui dia enggan mengambil ubat sejak tiga bulan lalu dan mungkin ia menjadi punca kepada berlakunya kejadian ini “Saya tahu dia mempunyai penyakit berkenaan sejak kami mula berkahwin lapan tahun lalu namun tidak sangka dia boleh bertindak ganas seperti itu,” katanya.

Terdahulu, keluarga Nik Suzila menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudian menyampaikan sumbangan bagi pihak kerajaan negeri.

Nik Abdul Aziz ketika ditemui menyeru kepada setiap keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental serius supaya berhubung segera dengan doktor agar penyakit itu dapat dirawat.

Dalam kejadian kelmarin, suspek yang berusia 33 tahun dan menghadapi masalah mental bertindak menyembelih anak lelakinya menggunakan sebilah pisau di dapur rumahnya.

Jurujual dijel 7 tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang jurujual yang menyebabkan kematian seorang ahli perniagaan, tiga tahun lalu
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap Soh Kee Hui, 31, dan memerintahkan ia berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya iaitu 7 Oktober 2008.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Soh Pa Lee, 59, di Jalan Rengas, Taman Selatan, Klang, kira-kira jam 11.30 malam pada 7 September 2007. Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa pergi ke pejabat mangsa untuk mengajarnya bagaimana menggunakan kerusi urut yang dibeli oleh mangsa tetapi Soh tidak selesa dan meminta tertuduh mengurutnya. Apabila mangsa meniarap atas lantai, tertuduh mengambil tuala mandi dan menjerut leher mangsa daripada belakang serta menghentak kepala mangsa ke lantai beberapa kali.

Suami isteri kebas barang kemas majikan dicari

KUALA LUMPUR: Tidak kenang budi. Itu ungkapan buat pasangan suami isteri yang sanggup mencuri barang kemas majikannya bernilai kira-kira RM7,000 selepas diberikan pekerjaan dan makan minum, malah tinggal di rumah majikan itu di Flat Sri Sarawak, di sini secara percuma.
Mangsa, J Lindawathi berkata suaminya mengambil pasangan berkenaan bekerja dengannya kerana berasa simpati nasib mereka yang tiada pekerjaan.
Malah, disebabkan mereka datang dari Seremban, Negeri Sembilan dan tiada tempat tinggal, mereka dibenarkan tinggal di rumah mangsa tanpa meminta bayaran.

Katanya, suaminya mempercayai pasangan berkenaan kerana mengenali mereka sejak enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kepercayaan itu tercalar apabila pelbagai barangan kemas miliknya dianggarkan bernilai RM7,000 disimpan di dalam bilik di rumahnya hilang dipercayai dilarikan pasangan berkenaan, tengah hari kelmarin.

“Saya cuba menghubungi mereka tetapi telefon bimbit dimatikan dan dipercayai melarikan diri,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari sama kira-kira jam 5.35 petang.

Tak mati gantung diri

KUALA LUMPUR: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan situasi seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang tergantung hampir sejam dalam bilik rumahnya, di Damansara Damai, di sini, sebelum diselamatkan kakaknya, semalam.
Difahamkan, pelajar terbabit nekad untuk membunuh diri selepas terbabit dalam pertengkaran dengan kakaknya berusia lewat 20-an yang menghalangnya daripada bersekedudukan dengan teman lelaki berusia awal 20-an dalam sebuah rumah.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pelajar terbabit dikatakan menggantung dirinya di siling rumah berkenaan menggunakan tali dibuatnya sendiri menggunakan kain.

Bagaimanapun, selepas tidak tahan dengan kesakitan ditanggung selain tindakannya itu gagal meragut nyawanya, pelajar terbabit yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan bertindak menjerit meminta tolong.

Menurut sumber, kakak mangsa yang terdengar suara adiknya itu segera bergegas ke bilik berkenaan sebelum mendapati adiknya berada dalam keadaan tergantung.

“Sebaik menurunkan adiknya itu, wanita berkenaan bergegas membawanya ke Hospital Sungai Buloh (HSB), untuk rawatan susulan,” katanya.

Kejadian itu bermula apabila kakak kepada pelajar itu pergi ke rumah teman lelaki adiknya di Damansara, di sini, sebelum memaksanya yang sedang bersekedudukan pulang ke rumah kira-kira jam 11 malam.

Difahamkan, pasangan itu sudah tinggal bersama sejak seminggu lalu dan pelajar itu tidak bersekolah sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber berkata, disebabkan marah tindakan kakaknya, menyebabkan berlaku pertengkaran. “Sebaik tiba di rumah, kakak mangsa dan ahli keluarga yang lain mendakwa mahu mengurungnya dalam rumah sekiranya pelajar terbabit masih berkeras bersekedudukan dengan kekasihnya.

“Bagaimanapun, pelajar terbabit tidak bersetuju keputusan itu sebelum berlari dalam biliknya,” katanya.

Sumber berkata, pelajar perempuan itu mengambil kain dan menggunting sebelum menjadikannya sebagai tali untuk menggantung diri.
“Bagaimanapun, dia gagal membunuh diri selepas hampir sejam menggantung diri sebelum menjerit meminta pertolongan.

“Pelajar itu dikejarkan ke HSB untuk rawatan susulan selepas diselamatkan kakaknya yang terdengar jeritannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

4 penyamun Kedah tersungkur di Dengkil

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin mengumpul duit belanja raya, sekumpulan empat lelaki sanggup berhijrah lebih 400 kilometer dari Kedah ke ibu kota untuk menyamun sebuah kedai menjual alat pembinaan di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, penjenayah yang menaiki kereta dikesan cuba menyamun sebuah kedai menjual alat pembinaan di Kampung Batu 2 1/2, Jalan Air Hitam, Dengkil di sini.
Menurutnya, beberapa orang awam yang terdengar bunyi bising dari kedai berkenaan menghubungi polis sebelum sebuah kereta peronda polis dihantar ke tempat kejadian.

“Anggota pasukan polis peronda dari Balai Polis Dengkil yang tiba di tempat kejadian terserempak empat lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan kapak menyerang seorang lelaki yang juga pengawal kedai berkenaan.

“Keempat-empat mereka yang memakai topeng memukul mangsa beramai-ramai sebelum menyedari kereta peronda polis tiba,” katanya.

Khalid berkata, mereka cuba melarikan diri sebelum dikejar anggota polis. “Bagaimanapun, seorang daripada mereka diberkas manakala tiga lagi melarikan diri. Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit baru tiba dari Kedah untuk melakukan rompakan di Dengkil,” katanya.

Maafkan papa mama

KUALA LUMPUR: “Maafkan papa dan mama. Harap anak-anak bersabar menunggu kami yang akan pulang menyambut Aidilfitri bersama-sama,” kata Mahadi Che Mansor, 31, yang meninggalkan sembilan anak kerana berselisih faham dengan bapa mentuanya di Kuala Krai sejak tahun lalu.
Menurutnya, sebagai bapa dia memang sentiasa teringatkan anaknya sepanjang masa namun kerana masalah dihadapi dia terpaksa meninggalkan mereka.
“Bapa mana yang tak sayangkan anak, namun mungkin ramai yang tidak mengetahui dan memahami masalah yang saya hadapi hingga terpaksa meninggalkan anak-anak.

“Saya sangat rindukan semua anak dan menyesal kerana meninggalkan mereka disebabkan terlalu mengikut kata hati selepas berselisih faham dengan keluarga mentua,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia bagaimanapun sanggup melupakan persengketaan yang berlaku dan ingin mengambil kesempatan sempena bulan mulia ini untuk saling bermaafan dengan mentua yang turut berjanji berbuat demikian demi kebaikan bersama mereka sekeluarga.

“Terlalu peribadi untuk saya ceritakan apa perselisihan faham yang berlaku antara kami dan saya hanya mengetahui cerita mengenai saya selepas terpapar berita dalam akhbar.

“Jika diikutkan memang saya rasa terlalu bersalah dan malu namun ramai yang mungkin tidak tahu dan tidak faham masalah yang timbul hingga membuatkan saya terpaksa meninggalkan anak-anak,” katanya. Mahadi kini bekerja di sebuah bengkel di Bukit Angkasa sejak sebulan lalu dan dia tinggal menumpang di bilik rumah majikan bersama isterinya, Kasmaliza Kassim, 29, dan sudah dikurniakan anak ke-10 yang dilahirkan 17 Julai lalu iaitu seorang bayi lelaki.

Pasangan itu yang berselisih faham dengan keluarga meninggalkan rumah dan sejak itu mereka langsung tidak menghubungi anak mereka iaitu Nor Hidayah Mahadi, 13; Amirul Rizal, 11; Afiq Asyraf, 10; Natasha Emilia, 9; kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4; Naqiuddin, 3, dan Nia Khalisa, 2.

Tujuh daripada sembilan beradik terbabit hanya menumpang kasih datuk mereka dan moyang kerana dua lagi saudara mereka dijaga ibu saudara di Seremban dan Kota Bharu.

Bufet Ramadan haram

KUALA LUMPUR: Masih ada hotel terkenal di ibu kota yang dikesan menggunakan arak masakan dan cuka pemanis mengandungi alkohol di dalam masakan untuk bufet Ramadan.


SOAL..Amri (kanan) menyoal siasat seorang chef berhubung penemuan wain masakan dan cuka alkohol di dalam stor hotel terbabit, semalam.
SOAL..Amri (kanan) menyoal siasat seorang chef berhubung penemuan wain masakan dan cuka alkohol di dalam stor hotel terbabit, semalam.

Tindakan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibantu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, semalam.
Dalam serbuan mengejut kira-kira jam 11 pagi semalam, pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah melakukan pemeriksaan terperinci di dapur hotel terbabit yang didapati turut digunakan untuk memasak bufet Ramadan.

Amri berkata, pemeriksaan tidak hanya menilai tahap kebersihan dan penyajian makanan, malah paling utama bahan mentah yang digunakan di dalam masakan.

Menurutnya, pihaknya yang melakukan pemeriksaan di dalam stor barang kering bersebelahan dapur memasak di hotel itu menemui beberapa botol wain masakan dan cuka manisan yang mengandungi alkohol serta haram untuk dicampur ke dalam masakan.

“Berdasarkan soal siasat, chef di hotel terbabit mengaku mencampurkan wain dan cuka alkohol itu ke dalam masakan atau hidangan yang dipesan secara berasingan melalui menu.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan hotel menafikan wain terbabit dicampurkan ke dalam masakan khusus untuk bufet Ramadan. Namun, menjadi sesuatu yang boleh menimbulkan curiga apabila bahan masakan haram itu dicampur-adukkan dengan bahan mentah halal,” katanya.

Kastam rampas mercun, bunga api RM9j

PUTRAJAYA: Sebanyak 141 kes rampasan mercun dan bunga api membabitkan nilai lebih RM9 juta ditumpaskan Kastam Diraja Malaysia sepanjang Januari hingga 24 Ogos tahun ini.
Penolong Ketua Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Ismail Ibrahim, berkata ia membabitkan rampasan mercun dan bunga api seberat lebih 229,762 kilogram berbanding 125,284 kilogram bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, rampasan itu membabitkan nilai lebih RM9 juta berbanding lebih RM3.1 juta pada tahun lalu yang menyaksikan peningkatan 188.2 peratus.

“Peningkatan jumlah rampasan itu berikutan penguatkuasaan berterusan dan ketat yang dilakukan KDRM bagi memastikan penyeludupan bahan berbahaya itu berjaya ditangani secara berterusan. “Rampasan itu membabitkan cukai kastam lebih RM5 juta berbanding lebih RM2 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Apa yang pasti, penguatkuasaan yang dilakukan sudah bermula sejak Januari lagi dan tidak hanya dilakukan apabila wujud musim perayaan tertentu saja,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Ops Raya 2010 Kastam Diraja Malaysia, di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan mendapati ada beberapa modus operandi yang digunakan penyeludup bagi membawa bahan berbahaya itu ke negara ini bagi mengaut keuntungan lumayan.

Bedilan mercun

ALOR SETAR: “Saya terduduk apabila melihat darah tidak henti-henti keluar dari mata kanan anak, manakala bajunya habis basah dipenuhi darah,” kata Norasiah Md Saad, 47, ibu Nor Syafiqah Abd Halim, 10, yang parah mata kanan akibat terkena mercun roket dimain anak jiran di Taman Sri Abadi, Jalan Kuala Kedah, dekat sini, Isnin lalu.


MALANG... Nor Syafiqah hadapi risiko hilang penglihatan.
MALANG... Nor Syafiqah hadapi risiko hilang penglihatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Nor Syafiqah berdiri di bawah pokok di depan rumahnya menunggu rakan dan jiran untuk ke surau berdekatan menunaikan solat Tarawih.

Norasiah berkata, pada masa sama, beberapa remaja lelaki yang juga anak jiran bermain mercun roket kira-kira tiga meter dari tempat anaknya berdiri.

“Saya difahamkan mercun itu dihalakan ke arah anak saya dan sebaik dinyalakan, ia terbang tepat ke mata kanannya sebelum meletup atas tanah,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Nor Syafiqah yang meraung kesakitan kemudian dibawa jirannya masuk dalam rumah sebelum dibawa ke HSB oleh bapanya, Abd Halim Abdullah, 51. Difahamkan, remaja yang bermain mercun itu melarikan diri ketakutan.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Peremba, Jalan Kuala Kedah itu terpaksa menjalani pembedahan empat jam awal pagi kelmarin berikutan kecederaan pada mata hitamnya.
Malah, Nor Syafiqah, anak bongsu daripada lima beradik itu berdepan risiko hilang penglihatan mata kanan apabila penglihatannya kabur walaupun stabil.

Sementara itu, Abd Halim yang kecewa dengan kejadian itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, di sini, malam Isnin lalu.
“Saya kecewa dengan remaja itu yang sudah dinasihatkan tidak bermain mercun tetapi berdegil.

“Sehingga hari ini (semalam) tiada seorang pun datang melawat atau meminta maaf,” katanya.

Bomoh durjana dijel 69 tahun

KUCHING: Seorang bomoh yang mendakwa mampu memulihkan dara gadis terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Sesyen Kuching di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara 69 tahun serta 12 sebatan selepas dia mengaku salah merogol tiga beradik pada Februari lalu.
Hakim Timothy Finlayson Joel menjatuhi hukuman ke atas Jamir@Jamang Samah, 63, selepas dia mengaku salah atas semua empat pertuduhan merogol tiga beradik berusia 13, 14 dan 16 tahun yang dikenakan terhadapnya.

Ketika penghakiman, Timothy turut menegur Jamir selepas dia dilihat ketawa selepas mahkamah mempamerkan seluar tidur milik mangsa yang dirampas untuk dijadikan bahan bukti bagi mensabitkannya dengan kesalahan itu.

Lelaki itu bagaimanapun mengangguk selepas jurubahasa membacakan hukuman. Hakim mengarahkan hukuman dijalankan berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan.

Mahkamah turut menjelaskan, hukuman itu setimpal dikenakan terhadap tertuduh selepas mengambil kira beberapa hujah dikemukakan pihak pendakwa selain melihat perbuatan dilakukan begitu serius.

Jamir tidak diwakili peguam bela, manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Carl Patrick Ramesh.
Lelaki itu mengemukakan rayuan meringankan hukuman dengan memberi alasan dia sudah tua serta mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Menurut kertas pertuduhan pertama, Jamir dituduh melakukan perbuatan itu pada Februari 2010 dalam bilik di sebuah rumah bernombor 71, Jalan Kulas Utara 2 dan kejadian berlaku antara 12 hingga 1 tengah hari.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki terbabit dituduh melakukan perbuatan itu pada 6 Mac 2010 antara 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Bagi pertuduhan keempat, dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 7 Mac 2010 dan kejadian lebih kurang jam 9.30 pagi. Semua kejadian berlaku di tempat sama dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 7 Mac lalu mangsa berusia 16 tahun membuat laporan selepas mengadu dirogol bomoh itu dan kejadian berlaku sejak Februari tahun sama.

Jamir yang dipanggil ‘datuk’ dan ketika kejadian mangsa memasuki biliknya bersama ibu saudaranya bagi mendapatkan rawatan sebelum menjalankan pemeriksaan mendapati mangsa terkena ilmu hitam dan tertuduh mendakwa dia mampu mengubatinya.

Bermula dari situlah mangsa diarahkan menanggalkan pakaian satu persatu sebelum lelaki itu mengambil kesempatan merogol kononnya cara itu mampu mengubati ilmu hitam pada tubuh mangsa.

Fakta itu turut mendedahkan, Jamir memaklumkan kepada mangsa, dia perlu menjalani enam lagi rawatan susulan bagi membolehkan penyakitnya diubati.

Beberapa hari kemudian, mangsa ke rumah seperti diarahkan sebelum lelaki itu melakukan perbuatan sama. Sebaik sesi rawatan berakhir, mangsa diberi air jampi.

Pada hari sama, kakaknya diarahkan membawa adiknya berusia 13 tahun kerana memberitahu dia mampu menjadikan suara gadis berkenaan lebih nyaring dan merdu.

Tindakan sama dilakukan apabila Jamir mengarahkannya menanggalkan pakaian satu persatu sebelum merogolnya. Sehari selepas kejadian itu, mangsa membawa adiknya berusia 14 tahun selepas memperdaya kononnya adik mangsa sudah kehilangan dara.

Lelaki itu mencadangkan adik mangsa ke rumah menjalani rawatan memulih dara sebelum merogolnya.

Indonesia pusat cetak rompak

SINGAPURA: Indonesia mencatat rekod paling buruk dalam aspek melindungi hak milik intelektual (IPR) di Asia, manakala Singapura berada di kedudukan terbaik dalam kajian di kalangan komuniti bisnes.
Agensi Perundingan Risiko Ekonomi dan Politik (PERC) melaporkan, Indonesia kelihatan kehilangan momentum memerangi salah guna IPR dan gagal mematuhi standard antarabangsa.
“Indonesia meluluskan undang-undang baru yang sepatutnya meningkatkan perlindungan hak milik intelektual, tetapi ia tidak dikuatkuasakan sama sekali dan tahap cetak rompak di negara itu kekal menjadi antara tertinggi di dunia,” kata agensi berpangkalan di Hong Kong itu, semalam.

Di kalangan 11 negara Asia disenaraikan, Indonesia diberi 8.5 daripada mata maksimum 10 hasil penilaian 1,285 komuniti bisnes asing di antara Jun dan pertengahan Ogos lalu.

Kosong adalah mata terbaik yang boleh diberi bagi penyenaraian itu.

Singapura berada di kedudukan paling atas dengan 1.5 mata, diikuti Jepun (2.1), Hong Kong (2.8), Taiwan (3.8) dan Korea Selatan (4.1).

Kelompok terbawah diisi Vietnam (8.4), China (7.9), Filipina (6.84), India (6.5), Thailand (6.17) dan Malaysia 5.8. - AFP

4,500 anggota JPJ awasi 202 jalan maut



KAJANG - Seramai 4,500 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikerah mengawasi 202 'jalan-jalan maut' yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan di seluruh negara semasa musim cuti sempena sambutan Aidilfitri tahun ini. 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, tumpuan diberikan kepada jalan-jalan itu kerana selain faktor pemandu dan kenderaan, keadaan jalan adalah salah satu faktor utama berlaku kemalangan maut. 

“Memang tidak dinafikan faktor jalan turut menyumbang kepada kemalangan, namun jika pemandu berhati-hati mengikut peraturan kelajuan yang ditetapkan, bersopan di jalan raya selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik, risiko kemalangan dapat dikurangkan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Depoh Bas Transnasional Sempena Operasi Musim Perayaan Aidilfitri 2010 di sini, semalam, 

Solah berkata, kajian menunjukkan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya ialah kejuruteraan, pendidikan dan penguatkuasaan. 

Katanya, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan bas yang menjadi salah satu pengangkutan utama untuk orang ramai pulang ke kampung halaman pada musim perayaan ini. 

Beliau berkata, JPJ akan berusaha memastikan semua bas di jalan raya berada dalam keadaan baik dan selamat. 

Solah berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 79 depoh atau bengkel bas yang akan digunakan bagi menjalankan operasi pemeriksaan bas-bas untuk memastikan kenderaan itu berada dalam keadaan baik, dan operasi itu sudah bermula sejak 20 Ogos lalu. 

“Pemeriksaan di depoh atau bengkel dibuat bagi mengurangkan kesesakan di terminal. Bas-bas yang sudah menjalani pemeriksaan di depoh itu akan diberikan slip pemeriksaan, dan ia tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan di terminal,” katanya. 

Solah berkata, pada Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina yang lalu, 629 bas dan 1,740 pemandu diperiksa di depoh dan bengkel yang ditetapkan seluruh negara, dan kini dianggarkan 1,100 bas akan diperiksa di depoh-depoh atau bengkel dalam Ops Sikap kali ini. 

Katanya, bagi musim perayaan ini, 181 bas dan 362 pemandu sudah diperiksa sehingga kini dan menjelang operasi musim perayaan nanti, JPJ juga akan menempatkan anggota penguatkuasaannya untuk mengadakan pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres di 34 terminal bas utama seluruh negara. - Bernama

Lelaki ditemui mati terikat pada pokok



SHAH ALAM – Seorang penoreh getah tergamam apabila menemui satu mayat lelaki dalam keadaan terikat pada sebatang pokok dalam kebun getah di Sungai Kandis, di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, penoreh terbabit dikatakan melalui kawasan terbabit untuk memulakan kerjanya di ladang itu sebelum memaklumkan penemuan mayat itu kepada polis. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam dan terus bergegas ke lokasi kejadian. 

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berpakaian lengkap serta kesan luka di tangan dipercayai mati dalam tempoh 48 jam. 

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam. 

Noor Azam berkata, polis sedang menyiasat sama ada mangsa yang ditemui mati itu sama dengan mangsa yang dilaporkan hilang di Alam Impian semasa memancing. 

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul sehingga mati di dalam ladang getah itu,” katanya.

Suspek kes 1999 ditahan




LONDON - Seorang bekas pramugara Penerbangan Kuwait ditahan di Bahrain berhubung kes pembunuhan seorang wanita Kanada, sebelas tahun lalu. 

Polis Britain mengesahkan Youseff Ahmed Wahid berjaya ditangkap di Bahrain, kelmarin, berikutan operasi terancang yang diatur pihak berkuasa. 

Youseff dipercayai membunuh Fatima Kama, warganegara Kanada kelahiran Maghribi, dengan menikamnya beberapa kali dan mengerat leher mangsa.

Mayat 72 sindiket dadah dicampakkan ke laut



MEXICO CITY - Polis marin Mexico menemui 72 mayat ahli sindiket dadah yang dipercayai dibunuh dan dicampakkan ke dalam laut di bahagian utara negara itu, kelmarin. 

Mayat 58 lelaki dan 14 wanita itu ditemui berhampiran Matamoros, tidak jauh dari sempadan dengan Amerika Syarikat dan dipercayai dibunuh dalam perbalahan antara beberapa sindiket dadah di Mexico. 

Penemuan jumlah mayat yang begitu banyak ini adalah yang pertama sejak Presiden Felipe Calderon melancarkan kempen besar-besaran membanteras penyeludupan, pengedaran dan aktiviti sindiket dadah pada akhir 2006. 

Menurut kenyataan polis marin, petugas di Tamaulipas didatangi seorang lelaki yang cedera dan melaporkan bahawa dia telah ditembak sindiket dadah di sebuah ladang berhampiran.

Krisis tebusan: 4 pegawai polis Filipina digantung tugas




2010/08/25

MANILA: Filipina hari ini menggantung empat pegawai polisnya susulan kejadian serangan bagi menamatkan krisis tebusan yang mengakibatkan lapan pelancong warga Hong Kong terbunuh. 

“Bagi menunggu keputusan siasatan yang masih belum selesai, mereka digantung daripada tugas,” kata Jurucakap polis kebangsaan, Superintendan Kanan Agrimero Cruz. - AFP

Tiga lelaki menyamar polis ditahan ketika menyamun



2010/08/25

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang yang dikehendaki polis ditahan kerana menyamar sebagai polis ketika menyamun seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Muda, Ampang malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mereka bersama seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri, dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di sekitar daerah itu sejak tiga bulan lalu.Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, kumpulan terbabit menahan seorang lelaki dan mengaku mereka polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL)."Mereka mendakwa mangsa adalah pengedar dadah sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta Perodua MyVi. Seorang suspek memakai vest polis, seorang memakai T-shirt polis dan dua lagi berpakaian biasa serta mengaku mereka detektif dari IPKKL," katanya. 

Bagaimanapun, gelagat kumpulan lelaki itu diperhati oleh jiran mangsa yang kemudian menghubungi polis dan pihaknya tiba lima minit kemudian, kata Abdul Jalil. 

Katanya, ketika diperiksa kumpulan terbabit gagal menunjukkan kad kuasa dan menyebabkan mereka ditahan. 

"Ketika ditahan, berlaku pergelutan antara suspek dan polis menyebabkan seorang daripada mereka berjaya melarikan diri," katanya. 
Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta Perodua MyVi itu, polis menemui antaranya pisau Rambo, gari, dua komputer riba dan 10 telefon bimbit, kata beliau. 

"Dipercayai kereta itu juga adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang awal tahun ini," katanya. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 34 dan 42 tahun itu mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya berada dalam senarai dikehendaki. 

Polis kini giat memburu seorang lagi lelaki, selain percaya penahanan kumpulan tersebut menyelesaikan 23 kes samun di Ampang, katanya. - Bernama 

Polis Selangor tembak mati dua penjenayah paling dikehendaki




2010/08/26

SHAH ALAM: Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menembak mati dua lelaki dipercayai penjenayah paling dikehendaki di depan Pasar Besar Banting, awal pagi tadi. 

Difahamkan, identiti kedua-dua penjenayah sedang dikenalpasti, namun mereka dipercayai warga asing berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua mayat.

Kesan pengintip MB




2010/08/26

SHAH ALAM: Dalang di sebalik pemasangan kamera dipercayai untuk pengintipan di pejabat Menteri Besar Selangor, akan diketahui tidak lama lagi berikutan pasukan siasatan dalaman yang ditugaskan menyiasat insiden itu berjaya mengesan kedai yang menjual peralatan itu. 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata siasatan dalaman itu juga hampir selesai dan penemuan serta bukti yang dikumpulkan akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.Katanya, beliau tidak membuat laporan polis membabitkan perkara berkenaan, tetapi akan berhubung dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sendiri membabitkan penemuan kamera pengintipan berkenaan.Beliau berkata, Khalid sepatutnya bertemu dengannya semalam, tetapi tidak dapat berbuat demikian berikutan terpaksa menghadiri kes mahkamah. 
Kita pergi lebih tinggi dari membuat laporan polis, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam. 

Kelmarin, ramai pemimpin termasuk pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak supaya Abdul Khalid membuat laporan polis berhubung penemuan kamera yang tersembunyi di sebalik langsir di pejabatnya, dua minggu lalu. 

Difahamkan, hasil siasatan dalaman yang dijalankan mendapati, kamera berkenaan diletakkan di situ seminggu sebelum ia ditemui. 

Keluarga perlu peka perubahan




2010/08/26

KUALA LUMPUR: Tindakan ganas pesakit mental termasuk menetak, menyembelih dan mencederakan mangsa menggunakan senjata boleh dielak jika ahli keluarganya peka terhadap perubahan ditunjukkan pesakit. 

Pakar psikiatri, Dr Nik Shazila Hussin, berkata tanda perubahan sikap yang biasaditunjukkan pesakit mental ialah berperangai pelik, gelisah, tidak dapat tidur, bercakap sendiri atau menjadi pendiam. Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, keluarga yang mempunyai ahli menghidap penyakit mental atau skizofrenia perlu peka dan memantau perubahan sikap mereka.

Stesen TV tak sensitif




2010/08/26

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mendapati 11 rancangan televisyen disiarkan sepanjang 10 hari pertama Ramadan sebagai tidak bersesuaian dengan bulan suci umat Islam berkenaan. 

Daripada pemantauan kita masih ada beberapa tayangan televisyen yang tidak seharusnya ditayangkan pada bulan ini.Kami mencatatkan ada 11 tayangan, kata Wakil Ketua Pasukan Pemantauan TV Ramadan MUI Pusat, Imam Suhardjo. Suhardjo berkata, pemantauan MUI bertujuan mengawal kandungan program yang ditayangkan di televisyen, terutama sepanjang Ramadan. Pemantauan dilakukan sejak 11 hingga 21 Ogos.
Masih banyak tayangan TV memperlihatkan kekerasan fizikal dan psikologi sepanjang Ramadan ini, katanya. 

Kekerasan fizikal terbabit antara lain menampilkan tayangan adegan memukul atau menghempas kepala seseorang. Biasanya perkara itu berlaku dalam program rancangan komedi. 

Kekerasan psikologi ini biasa dilihat menerusi tayangan komedi yang memuatkan perbuatan saling mengejek, menghina dan mencaci. Ini mungkin akan ditiru, terutama oleh kanak-kanak, kata Imam. 
Sekurang-kurangnya 11 tayangan yang dinilai tidak sesuai oleh MUI termasuk Wayang on Stage (AnTV), Fiesta Buka Puasa (AnTV), Layar Kemilau, episod Warok Ponorogo (TPI), Cerita Pagi (TPI), Layar Pagi (TPI), Mister Olga (RCTI), InBox (SCTV), Sinetron Ustad Jaka dan Surga Untukmu (Indosiar), Saatnya Kita Sahur (TransTV), Berita Pagi dan Selebrita Pagi serta iklannya (Trans7) dan Shalat Tarawih dari Masjidil Haram (TVRI). 

Tayangan solat Tarawih sepatutnya amat positif. Tetapi teknik pemotongannya ketika imam sedang membaca surah tidak sesuai, katanya. 

Bukan setakat program biasa, beberapa iklan turut dipantau MUI yang didapati tidak bersesuaian. Agensi