Search This Blog

Wednesday, August 25, 2010

Kedai emas dirompak


SEREMBAN 24 Ogos - Seorang pemilik kedai emas kerugian hampir RM9,000 apabila premis miliknya di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini dirompak dua penjenayah lelaki malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam ketika mangsa yang berusia 54 tahun hendak menutup kedainya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, mangsa ketika itu sedang menutup bahagian belakang kedai emasnya sebelum dia didatangi dua lelaki yang tidak dikenali.
"Mangsa mendakwa suspek menggunakan senjata api namun dia tidak tahu jenis senjata api yang digunakan.
"Berdasarkan laporannya, suspek kemudian melarikan barang kemas miliknya bernilai kira-kira RM8,000 termasuk wang tunai RM1,000," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zaki, polis masih menyiasat kes tersebut namun mungkin mengalami kesukaran kerana kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu hanya dipasang di depan kedai dan bukannya di belakang premis.
Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis masih menyiasat insiden dua bilik hakim Mahkamah Tinggi dan dua bilik majistret di Kompleks Mahkamah Seremban, Seremban 2 di sini yang dipecah masuk pada hujung minggu lalu.
Polis belum mempunyai suspek yang boleh membantu siasatan kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya.
Tambahnya lagi, polis juga masih menyiasat dan memburu suspek yang meninggalkan mayat seorang bayi lelaki berusia setahun di sebuah pondok menunggu bas di Kilometer 14, Jalan Pedas-Linggi di Kampung Kundur Hilir, Rembau dekat sini pada 20 Ogos lalu.

Taktik jual mercun guna bungkusan terbongkar


HASHIM Ali (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan di pasar tani Kota Kuala Muda, dekat Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 24 Ogos - Taktik seorang nelayan menjual mercun menggunakan bungkusan bunga api Pop Pop di pasar tani Kota Kuala Muda dekat sini, tidak berhasil apabila berjaya dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, Khamis lalu, sepasukan anggota yang diketuai Ketua Polis Balai Kota Kuala Muda, Sarjan Mejar Abd. Rahim Othman berjaya mengesan lelaki berusia 22 tahun itu menjual mercun secara terbuka di pasar berkenaan.
Katanya, pada mulanya, lelaki berkenaan dikatakan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengatakan dia hanya menjual bunga api Pop Pop dan Happy Boom.
"Bagaimanapun, pemeriksaan polis kemudian mendapati isi kandungan kotak berkenaan adalah mercun jenis 15 ball roman dan sputer.
"Dia kemudian ditahan bersama sebuah van sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hashim memberitahu, soal siasat kemudian mendedahkan bahawa nelayan berkenaan ada menyimpan lebih banyak mercun dalam stor khas di rumahnya di Kampung Paya, Kota Kuala Muda.
"Sepasukan polis yang diketuai pegawai penyiasat, Inspektor Aslina Anas kemudian melakukan serbuan di rumah terbabit pada pukul 12.30 tengah hari," katanya.
Beliau berkata, apabila tiba di stor berkenaan, polis menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api termasuk jenis mercun bola yang dipercayai untuk diedarkan sekitar pasar malam sempena Hari Raya Aidilfitri di kawasan berkenaan.
"Jumlah rampasan keseluruhan adalah sebanyak 243 bungkus meliputi bunga api sputer, roman candle, gold sparkles, mercun bola dan lain-lain. Nilai rampasan pula adalah sekitar RM10,000," katanya.
Tambah Hashim, nelayan berkenaan kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan Berbahaya 1957.
"Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya," jelasnya.
Hashim berkata, pihaknya juga akan meningkatkan pemantauan dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi mengesan kegiatan penjualan mercun terutamanya di pasar malam dan bazar Ramadan.
"Pada masa sama kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki mercun kerana ia adalah satu kesalahan jenayah.
"Selain itu, para peniaga diingatkan supaya hanya menjual bunga api yang dibenarkan kerajaan iaitu jenis Pop Pop dan Happy Boom," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kegiatan penjualan mercun secara terbuka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 untuk tindakan lanjut.

Penganggur ulangi kesalahan


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Tidak serik-serik.
Itulah gambaran ringkas yang boleh diberikan terhadap seorang penganggur apabila dia mengulangi kesalahan mencuri buat kali kedua tahun ini.
Lebih menarik lagi ialah apabila dia dihadapkan ke mahkamah dan di hadapan Majistret yang sama dalam tempoh tiga bulan.
Kali ini, Rodzaimi Sajimin, 37, mengaku bersalah mencuri dua bilah pisau bernilai RM1,980 dan akibatnya dia dihukum penjara empat bulan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 5.40 petang semalam di Pasar raya Isetan di tingkat tiga, persimpangan Jalan Jepun di sini.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh dihukum penjara dua bulan setelah gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh polis.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM20,000.
Zaki Asyraf memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap.
Sebelum itu, Zaki Asyraf bertanya apakah alasan tertuduh mengulangi kesalahan yang sama.
Dalam nada bersahaja, Rodzaimi mendakwa, dia terpaksa mencuri demi menampung hidup dan untuk membiayai caj bayaran membuat kad pengenalan yang baru setelah Mykad miliknya hilang.

Mahasiswa ditemui mati terjatuh


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditemui mati setelah terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama Kolej Pendeta Za'ba di kampus itu di Bangi, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa, San Zhong Jai, 21, ditemui mati di tingkat bawah bangunan terbabit oleh rakan-rakannya sebelum dimaklumkan kepada pihak pengurusan dan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian sebenar.
"Hasil siasatan awal, kami mendapati mangsa terjatuh dari tingkat empat bangunan tersebut tengah malam tadi tanpa disedari sesiapa.
"Bagaimanapun siasatan masih lagi dijalankan dan kami masih menunggu laporan bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Shakaruddin, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
Menurutnya lagi, pelajar yang berasal dari Perlis itu merupakan pelajar tahun pertama jurusan Sains Sekitaran Sumber Alam di universiti berkenaan.

Syarikat saman UMNO RM218 juta gagal rayuan




2010/08/25

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pembekal, Elegant Advisory Sdn Bhd, hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengenakan kembali saman RM218 juta terhadap UMNO yang didakwanya tidak membuat pembayaran bagi pembekalan bahan-bahan pilihan raya semasa pilihan raya umum 2004. 

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan syarikat itu yang mengemukakan permohonan untuk merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 September tahun lalu, membenarkan permohonan Umno mengetepikan saman itu kerana ia tidak mematuhi Akta Kontrak 1950.Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, berkata tiada persoalan undang-undang untuk dihujah bagi mahkamah itu putuskan sebagaimana peruntukan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, iaitu untuk mahkamah itu memberi kebenaran merayu.Bagaimanapun, beliau menasihatkan syarikat itu sebagai ''orang tengah'' dengan subkontraktor untuk melaksanakan perjanjian kontrak dengan betul melalui perjanjian sebelum meneruskan sebarang projek. 

Hakim berkata syarikat itu bernasib baik kerana ia tidak disaman oleh subkontraktor, di mana peguam syarikat, Yusfarizal Yusof, berkata ''belum lagi''. 

Malanjum, yang bersidang bersama Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Datuk Seri Md Raus Sharif, memerintahkan syarikat itu membayar kos RM2,500 kepada UMNO. 

Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada mulanya dinamakan sebagai defendan dalam kes itu, namun namanya kemudian diganti dengan bekas setiausaha pentadbiran dan kewangan UMNO, Datuk Ishak Abdul Rahman selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan syarikat itu untuk meminda nama defendan dalam saman itu tahun lalu. 
Dalam writ samannya syarikat itu berkata ia terbabit dengan kegiatan membekal peralatan pilihan raya, pengangkutan serta penerbitan, dan pada pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004, ia membekalkan UMNO dengan pelbagai peralatan pilihan raya yang diperlukan. 

Syarikat itu berkata ia menghantar invois RM218,013,475 untuk mendapatkan pembayaran, namun defendan gagal membayarnya. 

Terdahulu, Yusfarizal berhujah terdapat kontrak lisan antara syarikat itu dan Umno, dan barangan itu telah dihantar dan digunakan oleh parti itu. 

Beliau memberitahu mahkamah responden juga mengaku telah menerima empat penghantaran tempahan. 

Katanya syarikat itu dan UMNO telah berbincang untuk menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah, dan alasannya, jika kontrak tidak wujud, kenapa responden cuba menyelesaikan kes itu. 

Yusfarizal berhujah UMNO telah membayar RM8 juta kepada empat subkontraktor yang dilantik oleh Elegant Advisory, kerana projek itu berdasarkan penghantaran tempahan tetapi enggan membayar jumlah wang yang diminta oleh syarikat itu. 

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili UMNO dalam hujah balasnya, berkata tiada persoalan undang-undang baru yang dibangkitkan oleh syarikat itu bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran merayu. 

Katanya syarikat itu juga gagal memberikan terma kontrak lisan antara kedua-dua pihak dalam pernyataan tuntutan atau afidavit. - BERNAMA 

10 maut lori tercampak ke arah penduduk kampung




2010/08/25

BEIJING: 10 penduduk kampung terbunuh manakala dua yang lain cedera apabila sebuah trak tercampak ke arah mereka yang ketika itu sedang berbual di sepanjang jalan timur China. 

Agensi berita Xinhua yang memetik jurucakap pegawai daerah kerajaan, berkata kemalangan lewat Selasa lalu di wilayah Fujian bagi daerah Shouning mengakibatkan lapan mangsa terbunuh di tempat kejadian dan dua yang lain maut di hospital akibat kecederaan.Katanya, penyiasat sedang menyiasat punca kemalangan dan masih belum jelas pemandu lori terbabit terbunuh. - AFP

42 maut, 54 terselamat pesawat China terhempas




2010/08/25

BEIJING: Sebuah pesawat China berkecai dua ketika cuba mendarat dalam keadaan kabus tebal, menyebabkan sekurang-kurangnya 42 mangsa maut dalam kemalangan terburuk pertama di negara itu sejak enam tahun lalu. 

Penerbangan domestik, Penerbangan Henan, membawa 96 penumpang termasuk lima anak kapal ketika ia terhempas ke tanah, lewat Selasa (waktu tempatan), berdekatan lapangan terbang di timur laut bandar Yichun, iaitu kawasan pedalaman wilayah Heilongjiang.Menurut pihak berkuasa penerbangan China (CAAC), 54 mangsa terselamat dan punca kemalangan adalah masalah teknikal lampau yang pernah dihadapi pesawat bagi model ERJ-190 itu, iaitu jet buatan syarikat Brazil Embraer.Agensi berita Xinhua berkata, kapten pesawat itu antara yang terselamat tetapi menghadapi kecederaan muka dan tidak dapat bercakap ketika ini. - AFP 

Tiga lelaki menyamar polis ditahan ketika menyamun



2010/08/25

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang yang dikehendaki polis ditahan kerana menyamar sebagai polis ketika menyamun seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Muda, Ampang malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mereka bersama seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri, dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di sekitar daerah itu sejak tiga bulan lalu.Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, kumpulan terbabit menahan seorang lelaki dan mengaku mereka polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL)."Mereka mendakwa mangsa adalah pengedar dadah sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta Perodua MyVi. Seorang suspek memakai vest polis, seorang memakai T-shirt polis dan dua lagi berpakaian biasa serta mengaku mereka detektif dari IPKKL," katanya. 

Bagaimanapun, gelagat kumpulan lelaki itu diperhati oleh jiran mangsa yang kemudian menghubungi polis dan pihaknya tiba lima minit kemudian, kata Abdul Jalil. 

Katanya, ketika diperiksa kumpulan terbabit gagal menunjukkan kad kuasa dan menyebabkan mereka ditahan. 

"Ketika ditahan, berlaku pergelutan antara suspek dan polis menyebabkan seorang daripada mereka berjaya melarikan diri," katanya. 
Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta Perodua MyVi itu, polis menemui antaranya pisau Rambo, gari, dua komputer riba dan 10 telefon bimbit, kata beliau. 

"Dipercayai kereta itu juga adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang awal tahun ini," katanya. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 34 dan 42 tahun itu mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya berada dalam senarai dikehendaki. 

Polis kini giat memburu seorang lagi lelaki, selain percaya penahanan kumpulan tersebut menyelesaikan 23 kes samun di Ampang, katanya. - Bernama 

Kerajaan negeri serah siasatan kepada polis minggu ini


25/08/2010 7:03pm

SHAH ALAM 25 Ogos — Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyerahkan hasil siasatan dalaman yang dijalankan oleh kerajaan negeri kepada polis dalam minggu ini, susulan penemuan perakam video di pejabatnya.
Hasil siasatan itu, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti kedai yang menjual perakam video itu.
Selain itu, pihaknya juga mengenal pasti kilang yang membuat perakam video itu dan individu-individu yang telah dirakamkan oleh alat itu semasa mereka bertemu dengan beliau di pejabatnya, kata Abdul Khalid mengulas mengenai kes itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Khalid berkata, beliau bercadang untuk bertemu dengan Ketua Polis Negeri, Datuk Khalid Abu Bakar dalam minggu ini juga untuk menyerahkan hasil siasatan tersebut.
Mengulas pandangan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman bahawa tindakan beliau melengah-lengahkan membuat laporan polis mengenai perkara itu sebagai muslihat politik, Abdul Khalid berkata, apa yang dilakukan beliau lebih daripada membuat laporan polis kerana beliau berbincang dengan Ketua Polis Negeri mengenainya. — Bernama

Pekerja restoran makanan segera dituduh rogol dan liwat kanak-kanak perempuan

IPOH: Seorang pekerja sambilan restoran makanan segera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu merogol dan meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada awal bulan ini.
Bagi pertuduhan pertama, Haris Iskandar Abdullah, 38, berasal dari Tambun di sini, didakwa merogol mangsa di tepi pagar Wisma OAB, Jalan Gopeng di Kampar antara 8.15 dan 10.30 malam 4 Ogos lepas.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa meliwat budak perempuan itu di sebuah kawasan semak samun di Gopeng dekat sini antara waktu dan tarikh yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat.

Haris Iskandar mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Tan Hooi Leng dan memohon dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar memohon supaya perbicaraan bagi kedua-dua pertuduhan itu dijalankan secara bersama-sama dengan satu pertuduhan lain iaitu culik yang terlebih dahulu disebut di Mahkamah Majistret kerana ia melibatkan mangsa dan saksi yang sama.

Mohd Farid turut memohon supaya mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak yang hanya berumur 11 tahun dan tertuduh telah melakukan tiga kesalahan terhadap mangsa.

"Mangsa mengalami kesan trauma yang sangat mendalam dan jika tertuduh dibebaskan dengan jaminan ia akan menambahkan kesan trauma kepada mangsa," katanya.

Hakim kemudiaan meminta tertuduh untuk berkata sesuatu berkenaan jaminan selepas mendapati tertuduh hanya mendiamkan diri.

Selepas itu, penterjemah memberitahu tertuduh dalam bahasa Tamil dan tertuduh hanya berkata dia akan mendapat khidmat peguam.

13 kes keracunan makanan dilapor di bulan Ramadan

KUALA LUMPUR: Tiga belas kes keracunan makanan dilapor sejak Ramadan bermula berpunca daripada makanan yang basi atau rosak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, antara sumber yang menyebabkan keracunan ialah makanan yang disediakan di dapur sekolah, kolej, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan pasar Ramadan.
"Satu kes membabitkan makanan yang disedia di dapur sekolah, tiga kes di kemudahan institusi seperti PLKN dan kolej, manakala tujuh kes membabitkan makanan yang dibeli di pasar Ramadan.

"Selebihnya berpunca daripada sumber lain seperti makanan yang dimasak sendiri untuk majlis berbuka puasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan makanan tercemar ialah penyediaan makanan terlalu awal, cara penyimpanan yang tidak sesuai dan tidak dimasak dengan sempurna.

"Pihak kami merasa kecewa dengan sikap pengendali makanan yang masih menghidang atau menjual makanan basi tanpa mengambil kira kesan terhadap kesihatan pelanggan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Ismail menasihatkan pengendali makanan supaya memastikan bahan mentah makanan yang diguna adalah segar dan selamat serta disimpan pada suhu di bawah empat darjah celcius.

Makanan yang telah dimasak perlu disimpan pada suhu melebihi 60 darjah celcius dan dihidang dalam tempoh tidak melebihi empat jam selain disediakan menggunakan peralatan yang bersih, tempat yang bersih dan bekalan air yang selamat, katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak memakan makanan yang telah berubah bau dan rasa serta keadaan fizikal dan sentiasa memilih makanan yang baru dimasak serta premis yang bersih.

"Pengusaha makanan pula perlu memastikan pengendali makanan telah menjalani latihan pengendali makanan dan mempunyai sijil latihan, memastikan semua pengendali makanan sentiasa dalam keadaan bersih dan sihat serta memastikan makanan yang disediakan sentiasa dipanaskan dan selamat untuk dimakan," katanya.

-Bernama

Pelanggan peti simpanan gagal saman Public Bank

KUALA LUMPUR: Seorang pelanggan peti simpanan keselamatan hari ini gagal dalam tuntutan samannya terhadap Public Bank Berhad berhubung peti simpanannya yang dipecah masuk dalam satu kecurian di cawangan bank itu di Seri Kembangan pada 2006.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Balia Yusoff Wahi menolak saman itu dan memerintahkan Wong Lee Hal, 46, membayar kos guaman kepada Public Bank Berhad. Dalam penghakimannya, Hakim Balia berkata, tiada elemen kecuaian dalam kes itu dan dakwaan bahawa bank gagal melindungi cawangannya daripada dipecah masuk pada 24 Okt 2006 tidak dapat dibuktikan kerana mengikut keterangan pembantu pengurus cawangan bank itu, beliau mengaktifkan sistem penggera sebelum beliau meninggalkan bank.
Katanya, lagi pihak bank juga ternyata menyediakan sistem keselamatan yang terbaik dengan memasang beberapa alat penggera keselamatan dan ia dapat dikesan, sekiranya dipecah masuk, di ibu pejabat syarikat keselamatan.

"Pihak plaintif tidak sediakan secara spesifik apa yang dikatakan kecuaian.

Mengikut butir (pernyataan) plaintif, beliau mendakwa pihak defendan gagal buktikan ada pengawal keselamatan bertugas.

"Memang defendan tidak menggaji pengawal keselamatan kerana mereka berpendapat penggunaan sistem penggera jauh lebih baik dan lebih efektif daripada pengawal keselamatan. Ini kerana, menurut pengurus syarikat keselamatan, ada kajian yang menunjukkan penggunaan sekuriti keselamatan tidak efektif sebab selalu tidur dan letih," katanya.

Sepanjang perbicaraan pihak plaintif memanggil dua saksi dan defendan tujuh saksi.

Pada 20 November 2006, dalam pernyataan tuntutannya, Wong menjelaskan beliau mula menyewa peti simpanan keselamatan di bank itu pada 12 Januari dengan bayaran sewa sebanyak RM145 setahun.

Wanita itu mendakwa pada 26 Oktober 2006, semasa beliau bersama keluarga bercuti ke Australia dan New Zealand, seorang pegawai bank itu menelefonnya dan memberitahu bahawa peti simpanan keselamatannya dipecah berikutan satu kejadian kecurian di cawangan bank itu di bangunan MCA, Seri Kembangan, iaitu pada hari cuti Hari Deepavali dan Hari Raya.

Wong berkata, dia sangat terkejut, bimbang dan risau dengan berita itu kerana banyak barang-barang berharga seperti barang kemas, wang tunai dan dokumen-dokumen pentingnya disimpan dalam peti itu.

Katanya, antara barang kemas itu ialah cincin dan rantai tangan perkahwinannya, rantai, gelang jed, batu permata, anting-anting dan wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM200,000.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada Januari 2007, Public Bank Berhad mendakwa mereka memasang sistem keselamatan yang lebih daripada mencukupi di cawangan bank itu.

Menurut bank itu, rompakan itu dilakukan oleh profesional yang sangat mahir.

Ia menafikan bahawa kerugian itu akibat daripada tindakan, peninggalan dan kelalaiannya sendiri seperti yang didakwa oleh Wong.

Public Bank berkata, Wong terikat kepada terma dan syarat seperti yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatanganinya dengan bank pada 12 Jan 2005 kerana menyewa peti simpanan keselamatan itu.
Perjanjian itu menyatakan bahawa Wong memikul tanggungjawab untuk mendapatkan pelindungan insurans dan menjaga sendiri daripada sebarang kehilangan memandangkan bank tidak mengetahui kandungan serta nilai barangan yang disimpan dalam peti itu.

Bank itu berkata, ia hanya menyewakan peti berkenaan sebagai khidmat kepada pelanggan dan meminta mahkamah menolak saman itu.

Dalam kejadian pecah masuk itu, sebanyak 92 daripada 708 peti keselamatan telah dipecahkan.-Bernama

Lelaki Iran lepas tali gantung kes edar dadah

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga negara Iran terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 8.84 kilogram di KLIA Jun tahun lalu.
Hakim Mohd Yazid Mustafa memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mohammad Iziarani Mehdi Naser, 27.
Mohd Yazid dalam penghakimannya berkata, beliau menerima keterangan bahawa bagasi yang mengandungi dadah sebenarnya diberikan oleh seorang lelaki bernama Hassan Kazami kepada Mohammad Iziarani untuk diserahkan kepada adiknya, Hussin Kazami yang berada di Malaysia.

Hakim itu juga mendapati pegawai penyiasat kes bukan sahaja tidak menyiasat mengenai kewujudan Hassan tetapi juga tidak merekodkan butiran lelaki terbabit yang dinyatakan oleh Mohamad Iziarani semasa soal siasat. Sejurus mahkamah membuat keputusan, Mohammad Iziarani yang berdiri di kandang tertuduh, terus menadah tangan mengucapkan kesyukuran. Lelaki itu, yang bekerja sebagai penjual telefon bimbit di negaranya, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan Antarabangsa, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, KLIA, pada 3.40 pagi 26 Jun tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dadah itu ditemui dalam lima biji tin makanan yang diletakkan dalam bagasi yang dibawa leh Mohammad Iziarani ketika dia baru tiba di negara ini untuk bercuti.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Azamuddin Abdul Aziz, memanggil enam orang saksi memberi keterangan, manakala pembelaan yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan dua orang saksi.-Bernama

Kanak-kanak cedera di mata terkena mercun mainan Jiran

ALOR STAR: Seorang kanak-kanak perempuan cedera mata kanan terkena mercun roket yang dimain oleh jirannya dalam kejadian berhampiran rumahnya di Taman Seri Abadi, dekat sini dua malam lalu.
Dalam kejadian pada 8.30 malam itu, Nor Syafiqah Abdul Halim, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Peremba dekat sini, cedera mata kanannya dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini. Ketika ditemui di hospital itu hari ini, ibu Nor Syafiqah, Noraishah Mohd Saad, 47, berkata kejadian itu berlaku selepas anaknya keluar rumah untuk pergi solat tarawih.
"Anak saya menunggu kawannya di bawah pokok berhampiran dan saya diberitahu remaja itu (yang bermain mercun) menghalakan mercun roket ke arah anak saya," katanya.

Noraishah berkata, beberapa kanak-kanak cuba melarang remaja itu tetapi dia terus menyalakan mercun itu yang kemudiannya terkena mata kanan Nor Syafiqah menyebabkan darah mengalir dengan banyak.

Selepas kejadian, mereka (kanak-kanak di situ) membawa Nur Syafiqah ke rumah jiran sebelum jiran saya membawanya balik ke rumah saya," kata Noraishah.

Beliau berkata, seorang anaknya telah menelefon suaminya untuk memaklumkan kejadian itu dan apabila suaminya pulang, dia telah membawa anaknya ke hospital.

"Anak saya menjalani pembedahan malam itu juga selama empat jam. Keadaan anak saya stabil tetapi penglihatannya kabur," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi berkata, polis sedang mengesan remaja berusia 17 tahun itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda dan boleh juga disebat," katanya.-Bernama

Penjawat awam ditahan simpan meercun dan bunga api

MELAKA: Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki menyimpan pelbagai jenis bunga api dan mercun bernilai RM10,000 di rumahnya di Cheng di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam dan pemeriksaan di rumahnya menemui sepuluh kotak besar mengandungi bunga api dan mercun.
"Ketika ditahan, isteri dan dua anaknya turut berada di rumah itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, hari ini.

Salehhudin berkata, polis tidak menolak kemungkinan bunga api dan mercun itu untuk dijual dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dari mana lelaki terbabit memperoleh bahan larangan itu.

Beliau berkata, antara jenis bunga api dan mercun yang ditemui ialah mercun ketupat, mercun bola, twin tower, thunder clap, saturn missiles, happy boom, thunder king firework dan whistling moon travellers.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Salehhudin menasihati orang ramai agar tidak membeli bunga api dan mercun kerana mereka juga boleh didakwa seperti penjual bahan larangan itu.

-Bernama

Guru tadika maut akibat ditikam dalam kejadian samun


PETALING JAYA - Seorang guru tadika wanita maut akibat ditikam di bahagian rusuk kiri dalam satu cubaan samun di jejantas Sungai Way di sini kira-kira pukul 7 pukul pagi ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah berkata, mangsa dikenali sebagai Lee Lai Yeong, 57, dari Sungai Way cedera parah di bahagian rusuk kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki.

"Kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyeberangi jalan menggunakan jejantas ketika mahu pergi ke tempat kerja," katanya ketika ditemui pemberita ditempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian itu disaksikan oleh orang awam yang sedang menunggu bas berhampiran lokasi kejadian. 

"Suspek yang berusia lingkungan awal 20-an itu dipercayai menikam rusuk kiri mangsa sebelum melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran.

"Dalam kejadian ini kita percaya motif adalah cubaan samun, tetapi suspek tidak berjaya (melakukan samun ke atas mangsa) kerana ada orang awam yang melihat (kejadian itu)," katanya.

Omar berkata, orang awam cuba membantu Lee, bagaimanapun mangsa rebah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

"Pemeriksaan forensik menemui sebilah pisau, dipercayai digunakan suspek yang kemudian dibuang di tepi longkang berhampiran kawasan kejadian ini dan kita akan kesan cap jari pada pisau untuk mengetahui identiti penjenayah," katanya.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian bagi menjejaki suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kafe tawar khidmat seks di Petaling Jaya diserbu, 10 pelacur asing ditahan


PETALING JAYA - Dengan berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran, tetapi satu sindiket pelacuran ligat menjalankan kegiatan urut seks dan servis pelacur di sebuah bangunan berdekatan Taman Bukit Mayang di sini, sejak tiga bulan lepas.

Difahamkan pemilik restoran terbabit memperoleh lesen bagi menjalankan perniagaan makan dan minum di tingkat dua bangunan itu, tetapi telah menyalahgunakan lesen itu dengan menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di tingkat tiga bangunan tersebut yang turut dilengkapi dengan asrama untuk para pelacur terbabit.

Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 9.30 malam tadi yang diketuai Pegawai Operasi, ACP Lim Chee Wah dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, seramai 10 orang pelacur warga asing ditahan.

Mereka yang berumur antara 20 hingga 38 tahun membabitkan lima orang warga Indonesia, empat orang warga Vietnam dan seorang warga China.

Yang turut ditahan ialah dua lelaki tempatan berumur 20 dan 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga restoran berkenaan, kata Lim.

Katanya, ketika diserbu terdapat lima orang pelanggan di dalam premis tersebut, bagaimanapun mereka dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

"Sebelum ini serbuan yang sama telah dilakukan pada Mac lepas di restoran berkenaan namun kegiatan pelacuran masih lagi berlaku dan kita sedang memburu pemilik restoran bagi membantu siasatan," kata beliau.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran.

Jurujual dipenjara tujuh tahun sebabkan kematian ahli perniagaan wanita


SHAH ALAM - Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang ahli perniagaan wanita berumur 59 tahun, tiga tahun lepas.,

Hakim, Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan tertuduh, Soh Kee Hui, 31, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Okt 2008.

Kee Hui didakwa menyebabkan kematian Soh Pa Lee di No: 29A, Jalan Rengas, Taman Selatan, Klang, kira-kira pukul 11.30 malam pada 7 Sept 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menyebut tertuduh telah ke pejabat Pa Lee untuk mengajarnya tentang cara untuk menggunakan kerusi urut yang dibeli oleh mangsa.
Bagaimanapun Pa Lee berasa tidak selesa dan telah meminta tertuduh untuk mengurutnya dan apabila tertuduh bersetuju mangsa meniarap di atas lantai.

Semasa sedang mengurut belakang Pa Lee, tertuduh telah mengambil sehelai tuala mandi dan menjerut leher mangsa dari belakang serta bertindak menghentak kepala mangsa ke atas lantai beberapa kali sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Apabila Pa Lee tidak sedarkan diri, tertuduh masuk ke biliknya dan mengambil barangan berharga milik mangsa sebelum keluar dari pejabat itu dan melarikan diri menaiki kereta mangsa.

Menurut fakta kes lagi, akibat menanggung banyak hutang dengan "Ah Long" tertuduh menyerahkan kereta milik Pa Lee kepada "Ah Long" untuk mendapatkan wang RM800 manakala dua keping kad kredit mangsa digunakan oleh tertuduh untuk berbelanja.

Mayat mangsa dijumpai tertiarap di atas lantai oleh adik lelakinya, tiga hari selepas kejadian, dalam keadaan separuh reput dan laporan bedah siasat ke atas mayatnya mengesahkan bahawa punca kematian mangsa disebabkan tekanan di leher.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Roslan sementara Kee Hui diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Kanak-kanak lima tahun mati dilanggar van sekolah di Kuantan


KUANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah van sekolah ketika melintas jalan berhampiran Pejabat Perhutanan Negeri Pahang di Bukit Sekilau di sini, semalam.

Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Najid Jusoh berkata, dalam kejadian 6.10 petang itu, Mohamad Hafiz Mohd Jun dipercayai cuba berlari melintas jalan. 

Dia cedera parah di dada dan kepala dan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Dalam kejadian lain, seorang wanita warga negara Indonesia, Rosmani Jamain, 45 meninggal dunia setelah mengalami cedera parah di muka dan kepala akibat terhantuk di kerusi depan tempat duduk penumpang dalam bas yang dinaikinya di Kilometer 52 Jalan Temerloh-Kemasul dekat Temerloh semalam.

Mohd Najid berkata, dalam kejadian pada 3.15 petang itu, bas henti-henti dalam perjalanan dari Temerloh ke Kemasul telah bergesel dengan sebuah lori membawa muatan batu yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat dari pergeselan itu, dinding bas tersebut telah terkopak menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat terhantuk dengan kuat manakala pemandu dan dua penumpang mengalami cedera parah," katanya.

Menurutnya mereka yang cedera sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Polis siasat individu menyamar TMJ dalam Facebook


JOHOR BAHARU - Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang dipercayai menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada laman sesawang Facebook, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung penyamaran itu semalam dan siasatan mengenainya sedang dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948.

"Siasatan terperinci sedang dibuat oleh Polis Kontinjen Johor bersama Bukit Aman untuk mengesan individu yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, penyalahgunaan laman sosial itu merupakan perbuatan serius lebih-lebih lagi melibatkan institusi diraja.

"Keterbukaan di laman sosial kena ada batasan. Kalau kita tulis sesuka hati, ini boleh mengundang masalah. Jadi, kita kena patuh kepada undang-undang," tegasnya.

Laman sosial Facebook itu dipercayai dikendalikan oleh seorang individu bergelar "Miky" mempunyai "Diari Harian Tunku Mahkota Johor", "Tengku Ismail" dan "Tunku Mahkota Johore (Penasihat Utama TMJ)" dan dikatakan mempunyai kira-kira 10,000 peminat ketika akaun itu masih aktif beberapa hari lepas.

Selain memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail, individu itu juga melayan komen-komen peminat yang menyangkakannya dirinya ialah TMJ.

Akaun berkenaan kini telah dinyahaktifkan dan beberapa kumpulan yang menentang tindakan individu terbabit ditubuhkan bagi menggesa tindakan undang-undang segera diambil terhadap individu berkenaan.

Penyamaran sebagai TMJ itu merupakan kejadian terbaru yang mencemar institusi diraja Johor selepas penggunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada kain rentang sebuah parti politik di negeri ini, awal bulan ini.

Suspek kes sembelih budak direman lima hari di hospital


KOTA BAHARU - Seorang lelaki berusia 33 tahun yang sedang menerima rawatan di hospital di sini, dikenakan perintah reman berhubung kematian seorang kanak-kanak berumur tiga tahun semalam akibat disembelih.

Pendaftar Kanan Mahkamah di sini, Rashid Mustafa, memaklumkan bahawa mahkamah telah mengeluarkan reman selama lima hari bermula hari ini.

Rashid yang hadir bersama seorang jurubahasa dan seorang kerani jenayah di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 11.05 pagi tadi turut dilihat menemui doktor yang merawat suspek sebelum mengajukan beberapa soalan kepada lelaki itu.

Bagaimanapun suspek yang kelihatan lemah kerana turut cedera di leher akibat tindakannya cuba menyembelih lehernya sendiri, dilihat lebih banyak menggelengg kepala tanpa bercakap.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor dekat sini semalam, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih dirinya sendiri.

Lelaki terbabit yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu itu dipercayai pernah mendapat rawatan mental.

Lagi tragedi Ramadan




  • Mohd. Adam Muszhaffar, 3, temui ajal di dalam bilik air rumahnya semalam angkara perbuatan bapanya.

  • Suspek berusia 33 tahun yang dipercayai menghidap sakit mental, kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya.

  • KOTA BHARU 24 Ogos – Selang dua minggu kejadian seorang lelaki yang dikatakan menghidap tekanan mental mengamuk dan menetak isterinya sehingga mati di Langkap, Perak, satu lagi kejadian ngeri berlaku ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa hari ini.
    Kali ini, seorang lelaki yang dipercayai menghidap penyakit yang sama bertindak menyembelih sehingga mati anak lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan di dalam bilik air rumah mereka di Kampung Sungai Budor, di sini hari ini.
    Dalam kejadian menyayat hati kira-kira pukul 12 tengah hari itu, suspek yang berusia 33 tahun dikatakan hilang kewarasannya bertindak menyembelih Mohd. Adam Muszhaffar dengan kejam menggunakan sebilah pisau.
    Suspek kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya, bagaimanapun dia yang turut mengalami kecederaan ditahan anggota polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.
    Mayat Mohd. Adam Muszhaffar ditemui terbaring berlumuran darah oleh ibunya, Nik Suzila Nik Hashim, 32, yang menyedari kejadian selepas mendengar jeritan kuat daripada anak lelakinya itu.
    Selain Mohd. Adam Muszhaffar, pasangan itu mempunyai dua lagi anak perempuan iaitu Siti Aishah, 2, dan Shafiqah, 8.
    Nik Suzila ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, suaminya mengadu berasa panas sebelum duduk di bahagian bawah rumah berhampiran bilik air rumah mereka.
    “Selepas mendengar anak saya menjerit saya berlari ke tandas kerana bimbang dia terjatuh, tetapi bila saya sampai saya lihat dia (suami) sedang menyembelih Adam, saya tidak boleh buat apa lagi, Adam sudah meninggal dunia.
    “Saya kemudian berlari ke rumah emak untuk meminta tolong dan orang ramai mula datang ke rumah bagi memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian di sini hari ini.
    Pada 14 Ogos lalu, ketika umat Islam menikmati juadah sahur, seorang lelaki yang dipercayai kehabisan ubat bertindak di luar kewarasan, mengamuk dan menetak isterinya sehingga mati sebelum dia maut ditembak polis tiga jam kemudian.
    Kejadian berlaku pukul 5.15 pagi di Taman Mawar, Langkap dekat Teluk Intan, Perak. Lelaki itu, Mohd. Natri Shaharudin, 39, turut mencederakan dua anak perempuannya menyebabkan salah seorang daripadanya putus jari tangan.
    Lelaki itu yang dipercayai menghidap masalah mental bertindak mengikat isterinya dengan tali sebelum menetak mangsa bertubi-tubi menggunakan sebilah parang.
    Sementara itu, Nik Suzila yang masih dalam keadaan terkejut berkata, sebelum kejadian, dia telah meninggalkan Mohd. Adam Muszhaffar serta Siti Aishah di rumah ibu dan bapanya yang terletak kira-kira 50 meter kerana keluar bekerja berhampiran rumah mereka.
    Katanya, ketika dalam perjalanan pulang dia telah mengambil Mohd. Adam Muszhaffar, manakala Siti Aishah ditinggalkan di rumah nenek mereka kerana dia sedang tidur.
    Sementara itu, bapa Nik Suzila, Nik Hashim Nik Abdullah, 64, berkata, menantunya itu menunjukkan perubahan sejak kelmarin dan disebabkan itu ketiga-tiga cucunya tidak ditinggalkan di rumah bersama menantunya itu semasa isterinya keluar bekerja.
    “Sejak kebelakangan ini, menantu saya tidak lagi makan ubat, bila saya tanya kenapa tidak makan ubat, dia menjawab sudah sihat, kalau makan ubat pun akan buat mengantuk sahaja.
    “Sudah lama dia tidak hadapi masalah mental, kalau datang penyakitnya pun, dia tidak ganggu orang, hanya duduk diam dan keluar dari rumah balik esok pagi atau lewat malam.
    “Hanya hari ini dia bertindak di luar batasan, tidak pernah saya tengok dia marah anak-anak, dia amat sayang anak-anak,” katanya.
    Menurutnya, menantunya sebelum ini bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya dan telah berhenti kira-kira sebulan lalu.
    Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
    “Kita percaya dia ada masalah mental tetapi siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, suspek telah ditangkap ketika cuba melukakan dirinya dan dibawa ke HRPZ II kerana cedera di leher.
    “Kita juga telah menemui pisau yang digunakan oleh suspek untuk menyembelih anaknya sendiri manakala mayat mangsa telah di bawa ke hospital berkenaan untuk bedah siasat,” katanya.

    65 pekerja asing tanpa permit ditahan


    25/08/2010 5:39pm

    IPOH — Jabatan Imigresen Perak menahan 65 orang pekerja asing yang bekerja di projek pembinaan terowong kereta api berkembar di Bukit Berapit, Kuala Kangsar, hari ini.
    Timbalan Penolong Pengarah Operasi Imigresen, Rosli Abu Seman berkata, pekerja asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau menggunakan permit yang tamat tempoh.
    Mereka yang ditahan terdiri daripada 42 rakyat Bangladesh, 19 India, dua Myanmar dan dua Nepal.
    Mereka yang ditahan itu adalah antara 210 warga asing yang diperiksa dalam operasi pada 7 pagi tadi.
    Rosli berkata, kesemua pekerja asing yang ditahan itu berumur 24 dan 45 tahun dan mereka dibawa depot tahanan Langkap sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing. — Bernama