Search This Blog

Tuesday, August 24, 2010

Ganja dan pil khayal dadah dirampas


24/08/2010 10:03pm


ALOR SETAR – Polis menahan empat lelaki yang disyaki mengedar dadah jenis ganja dan Eramin 5 dalam dua operasi berasingan di Kulim dan Sungai Petani pada Ahad dan pagi ini.
Dalam tangkapan pertama pada 8.30 malam Ahad lepas, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah menahan tiga lelaki di sebuah restoran di Jalan Kelang Lama, Kulim, manakala dalam kes kedua, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Muda menahan seorang lelaki di hadapan sebuah hotel di Sungai Petani pagi ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, hasil daripada penemuan 1.5g ganja pada seorang daripada tiga lelaki itu, polis kemudian merampas sembilan ketul daun kering mampat dadah jenis ganja dalam kenderaan yang dinaiki mereka.
Beliau berkata, polis seterusnya membuat pemeriksaan di rumah ketiga-tiga suspek di Jelutong, Pulau Pinang dan menjumpai dua lagi ketulan mampat ganja.
Dalam kes kedua, Syed Ismail berkata, seorang lelaki berumur 30 tahun ditahan setelah polis menemui dadah jenis Eramin 5 padanya.
Beliau berkata, selepas pemeriksaan dibuat, suspek, seorang tukang masak, telah membawa polis ke sebuah rumah di Taman Kampung Raja, Sungai Petani di mana polis 900 biji pil khayal itu yang dipercayai untuk edaran di pusat hiburan di sekitar Kuala Muda. – Bernama

Rokok kretek seludup lebih RM1 juta dirampas



ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama para pegawai Kastam menunjukkan sebahagian rokok kretek yang dirampas dari sebuah lori di Seremban semalam.


SEREMBAN - Taktik menggunakan daun pandan bagi menutup bau rokok kretek yang diseludup dalam sebuah lori gagal apabila Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri berjaya menahan lori tersebut.
Lori itu ditahan pada pukul 11.20 pagi 20 Ogos lalu di Kilometer 21, Jalan Tampin-Seremban dekat Chembong di sini.
Pengarah KDRM negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, sebanyak 13,560 karton rokok atau 761,600 batang rokok bernilai RM1.06 juta yang disyaki belum lulus kastam ditemui di dalam lori terbabit.
"Kita juga menemui daun pandan yang digantung pada dinding lori terbabit yang dipercayai dapat menyerap bau rokok kretek.

Disuntik perompak: Pelajar bebas jangkitan


24/08/2010 10:15pm

IPOH – Seorang pelajar berusia 17 tahun yang disuntik dengan jarum suntikan oleh seorang perompak minggu lepas disahkan bebas daripada jangkitan virus berbahaya seperti hepatitis dan HIV.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pelajar berkenaan diserang pada 16 Ogos lepas dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
"Laporan perubatan mendapati dia selamat daripada sebarang penyakit berbahaya... bagaimanapun beliau perlu menjalani ujian darah sekali lagi tiga bulan akan datang bagi memastikan dia benar-benar bebas daripada virus berbahaya,” katanya.
Dalam kejadian itu, Chea Kiat Heong dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di sini diserang tidak jauh dari sekolahnya.
Dr. Hang Soon yang melawat pelajar itu di HRPB hari ini berharap polis dapat meningkatkan kawalan dengan melakukan rondaan dengan lebih kerap di sekitar kawasan yang sering berlaku jenayah. – Bernama

Dituduh tipu guna nama Agong



SEMBUNYI WAJAH. Wan Lateff (kiri) dan Tengku Nikman selepas menghadapi tuduhan memalsukan dokumen penjualan tanah pembalakan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memalsukan dokumen perjanjian menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Kesalahan itu didakwa di lakukan antara 30 September dan 5 Oktober 2009 melibatkan pemalsuan dokumen tanah pembalakan di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu dekat sini seluas 5,113 hektar (12,634 ekar) dan 568 hektar (1,403 ekar).
Tertuduh, seorang broker tanah, Wan Lateff Wan Embong, 54, dan seorang tenaga pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Tengku Nikman Tengku Mahmud, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Kes mercun di Terengganu disiasat sebabkan kematian


24/08/2010 10:22pm

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Polis akan menyiasat kes kematian kanak-kanak akibat letupan mercun di Terengganu Ahad lepas di bawah seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, kata Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin.
Beliau berkata, kesalahan itu yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan, sudah dianggap berat untuk memberi pengajaran kepada individu yang terlibat sehingga menyebabkan kematian berlaku.
"Cadangan untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian (akibat mercun) ini hanya sia-sia.
“Hukuman yang diperuntukkan dah ada, polis rasakan ia sudah memadai, buat apa rombak?” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari itu, di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, Kuala Terengganu Khairul Arif Ayob, 6, maut selepas dikatakan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah tinggal yang dipercayai dijadikan stor simpanan mercun dan bunga api.
Bapa kanak-kanak terbabit menyerah diri kepada polis dan direman tiga hari bagi membantu siasatan kes terbabit. – Bernama

Mati mengejut: Ibu dan anak ditemui mati dalam kereta


24/08/2010 10:26pm


MIRI 24 Ogos – Seorang wanita berumur 37 tahun dan seorang budak lelaki dipercayai anaknya ditemui mati dalam kereta yang enjinnya masih hidup dekat Jalan Piasau di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaludin Ibrahim berkata, wanita itu dikenal pasti sebagai Sallyroni Lahung Wan yang ditemui sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu, manakala budak lelaki itu di tempat duduk penumpang sebelahnya.
Nama kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti.
Katanya, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam pada kira-kira 10 pagi dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Semasa polis tiba di tempat kejadian, didapati semua pintu kereta itu berkunci dari dalam dan polis terpaksa memecahkan satu daripada pintu itu untuk menjalankan siasatan, katanya kepada pemberita di sini.
Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat untuk menentukan punca kematian, katanya. – Bernama

Kes dera bayi: Lapor jika kenali pasangan bermasalah


REMBAU 23 Ogos - Polis meminta orang ramai yang mengenali pasangan bermasalah khususnya dalam penjagaan anak tampil menghubungi pihaknya bagi membantu siasatan kes penderaan bayi di Kampung Kundur Hilir, Jumaat lalu.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pasangan yang menghadapi masalah berkenaan.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti suspek terlibat kerana tiada mana-mana pihak tampil menuntut atau membuat pengecaman ke atas mayat bayi lelaki berusia setahun itu.
"Kita menyiasat daripada semua aspek termasuk tidak menolak andaian melibatkan pasangan yang bergaduh terutama berhubung hak penjagaan anak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mizan meminta agar ibu bapa yang mengetahui anak mereka dilanda masalah rumah tangga serta berebut hak penjagaan anak supaya tampil segera memberi maklumat.
"Tidak kira ibu bapa, mertua, sahabat atau saudara juga diminta tampil untuk membantu siasatan sekali gus menyelesaikan kes ini.
"Kalau kita temui mayat orang dewasa, mungkin ia mudah kerana ada pengenalan dan identiti yang lebih tepat berbanding mayat seorang bayi," ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, polis percaya bahawa bayi tersebut adalah warga tempatan berdasarkan bedah siasat yang menunjukkan ia pernah mendapat suntikan vaksin demam cacar.
Dalam kejadian itu, mayat bayi lelaki tersebut ditemui oleh beberapa pelajar sekolah di bangku sebuah perhentian bas di Kilometer 17 Jalan Pedas-Linggi di Kampung Kundur Hilir, Jumaat lalu.
Bayi yang ditemui kira-kira pukul 6 pagi itu berada dalam keadaan berbalut dengan kain, dipercayai mati didera ekoran mempunyai kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6852222 atau tampil di balai polis berhampiran.

2 kereta dibakar dipercayai perbuatan khianat


BACHOK 23 Ogos - Sebuah keluarga di Kampung Jelawat di sini dikejutkan dengan bunyi letupan daripada dua buah kereta yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat pada awal pagi semalam.
Api yang marak daripada kenderaan itu turut menyebabkan dinding hadapan rumah dan garaj kereta tersebut terbakar.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika tujuh anggota keluarga berkenaan sedang tidur.
"Saya terkejut kerana tiba-tiba terdengar satu bunyi letupan yang agak kuat lalu bangun untuk melihat apa yang berlaku di luar rumah dan melihat sebuah Toyota Wish dan Perodua Myvi milik ahli keluarga saya sedang hangus terbakar," kata seorang anggota keluarga, Siti Nor Farhana Ahmad Fatani.
Siti Nor Farhana, 23, berkata, dia kemudian bergegas mengejutkan semua anggota keluarga termasuk suaminya kerana bimbang api akan merebak ke rumah mereka.
Beberapa penduduk kampung turut keluar melihat keadaan itu dan mereka menghubungi bomba, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kawasan rumah itu, keluarganya menemui bekas petrol dan satu bekas plastik.
''Kami mengesyaki kejadian itu mungkin perbuatan khianat lalu membuat laporan polis,'' katanya.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menyiasat. - BERNAMA

Letupan ketika membuat 'mercun gergasi'


KUALA TERENGGANU 23 Ogos - Letupan yang meragut nyawa seorang kanak-kanak di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini semalam, dipercayai berpunca cubaan dua pemuda membuat satu 'mercun gergasi'.
Dua pemuda yang juga cedera parah dalam kejadian itu dipercayai cuba memuatkan sebuah tabung gas peti sejuk dengan belerang sebelum tiba-tiba meletup.
Kedua-duanya merancang untuk meletupkan mercun berkenaan untuk tujuan berseronok pada malam Hari Raya Aidilfitri nanti.
Kejadian dipercayai berlaku sewaktu mereka sedang memasuk dan memampatkan belerang berkenaan di dalam tabung gas itu di hadapan beranda rumah lama tersebut dengan cara memijak.
Malangnya, tindakan itu telah menyebabkan percikan api hingga mencetus letupan kuat dan membunuh Khairil Arif Ayub, 6, yang turut berada di situ.
Sebahagian daripada rumah lama itu turut dipercayai dijadikan setor simpanan mercun dan bunga api.
Dua saksi di tempat kejadian yang merupakan penduduk kawasan sekitar pernah melihat mereka memproses belerang daripada mercun di rumah tersebut.
Seorang daripada mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim, berkata, sebelum kejadian, dia sempat melihat dari jauh aksi dua mangsa itu yang bertungkus lumus memasukkan belerang ke dalam tabung gas sebuah peti sejuk rosak.
Hashim yang berusia lewat 40-an dan tinggal di kampung bersebelahan berkata, dia melihat dua lelaki dewasa sedang memijak belerang yang diisi di dalam tabung gas berkenaan.
"Ketika mereka (mangsa) pijak belerang untuk lebih mampat dalam tabung gas, mangsa yang berumur enam tahun berdiri berhampiran," katanya ketika di tempat kejadian di sini hari ini.
Seorang lagi saksi yang enggan namanya disiarkan turut menyokong apa didedahkan Hashim malah dia difahamkan, tindakan mereka itu dipercayai untuk menyiapkan 'projek raya' mereka.
Menurutnya, berbanding sambutan Aidilfitri tahun lalu, mereka dikatakan menyiapkan 'projek raya' untuk tahun ini dengan persiapan lebih hebat dan besar.
"Tahun lalu, mereka buat 'projek raya' dengan mengisi belerang daripada mercun ke dalam paip ekzos motosikal tapi untuk 'projek raya' tahun ini agak berbeza dan mereka cuba buat lebih canggih.
"Kita nampak mereka masukkan belerang ke dalam tabung gas daripada peti sejuk lama yang sudah rosak," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci di tempat kejadian dengan dibantu pegawai dan anggota Unit Forensik dan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih belum mengetahui punca sebenar letupan itu namun hasil siasatan awal mendapati ia berlaku di bahagian depan rumah sewaktu mangsa sedang membalut dan mengasingkan mercun untuk dijual.
"Kita belum pasti punca sebenar kejadian atau letupan itu berlaku, kita akan teruskan jalankan siasatan mengenainya," ujarnya.
Dalam kejadian menggemparkan itu semalam, mayat Khairil Arif ditemui tersangkut di atas pokok pada ketinggian kira-kira 15 meter.

Budak tadika nyaris buta akibat mercun


Raja Afzan Raja Zakaria cedera di bahagian muka dan mata kirinya akibat bermain mercun, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, semalam.


KOTA BHARU 23 Ogos - Tidak sampai 24 jam selepas kejadian letupan mercun mengorbankan seorang budak berusia enam tahun di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di Kuala Terengganu, semalam, seorang budak tadika pula nyaris buta kedua-dua belah mata gara-gara mercun di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu berlaku semasa mangsa, Raja Afzan Raja Zakaria, 6, bermain sebiji mercun bola yang dijumpainya di Kampung Banggu Binjai di sini.
Raja Afzan dipercayai menemui mercun tersebut di atas tanah berhampiran rumahnya sebelum menyalakan sumbu bahan letupan itu tetapi malangnya ia meletup di bahagian muka.
Letupan itu menyebabkan kelopak mata, dahi dan sebahagian hidung kanak-kanak terbabit terbakar dan melecur teruk.
Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Cik Yah segera menghantar anaknya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk menerima rawatan.
Raja Afzan bernasib baik kerana doktor mengesahkan bahawa matanya tidak cedera dan hanya bahagian kelopak sahaja terbakar.
Ketika ditemui di wad hospital berkenaan, kanak-kanak itu hanya mampu menangis dan tidak dapat membuka matanya akibat kesakitan yang dialami.
Abang saudaranya, Edi Safwan Li, 21, yang menemani di hospital berkata, mangsa kemungkinan tidak mengetahui bahawa benda yang dijumpainya itu adalah mercun.
"Dia mungkin tidak tahu sebab mercun jenis ini besar. Dia jumpa, cucuh api lepas itu tengok sahaja, tidak baling sebab itulah cedera teruk.
"Sekarang ini saya terpaksa kipas dia sepanjang masa sebab kalau tidak dia akan menangis kerana kesakitan dan kepanasan," jelas Edi.
Menurutnya, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu tinggal bersama ibunya kerana bapanya sedang menunaikan umrah.
Kejadian terbaru itu merupakan yang ketiga direkodkan dalam tempoh seminggu.
Semalam, seorang murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim 2 di sini, nyaris buta akibat bermain mercun dalam kejadian pada pukul 4.30 petang di perumahan Padang Tembak.
Sementara itu, Selasa lalu, seorang kanak-kanak, Mohd. Haziq Haikal Mohd. Zukri, 4, cedera parah di tiga jari tangan kanannya selepas mercun bola yang dipegang meletup dalam genggaman.

Bekas polis tawan bas pelancong ditembak mati


MANILA 23 Ogos - Polis menembak mati bekas anggota polis yang menawan sekumpulan pelancong Hong Kong di tengah-tengah bandar raya ini hari ini.
Superitendan polis yang mengetuai skuad penggempur, Nelson Yabut berkata, lelaki bersenjata itu sudah ditewaskan.
''Dia sudah mati. Dia dipaksa berundur sehingga ke hadapan kenderaan apabila pasukan SWAT (skuad polis senjata khas dan taktik) menyerang dari belakang,'' katanya kepada AFP.
Terdahulu, lelaki yang dikenali sebagai bekas Inspektor Kanan, Rolando Mendoza, 55, bersenjatakan raifal merampas sebuah bas yang membawa lebih 20 orang pelancong Hong Kong termasuk kanak-kanak.
Polis berkata, lelaki bersenjata itu menaiki bas yang membawa 25 pelancong itu di daerah bersejarah Manila pagi ini, sebelum membebaskan lapan tebusan ketika menuntut agar diberikan kerjanya semula.
"Dia mahu menyertai semula perkhidmatan," kata ketua polis daerah Manila, Supritendan Rodolfo Magtibay ketika pasukan komando menunggu di luar bas yang tingkapnya ditutup dengan langsir.
Mendoza yang merupakan seorang anggota polis berpengalaman dengan perkhidmatan selama lebih dua dekad, dipecat pada 2008 kerana terbabit dalam jenayah berkaitan dadah dan peras ugut. - AFP

Pelombong terperangkap hantar mesej


PRESIDEN Chile, Sebastian Pinera menunjukkan sekeping nota dengan mesej "Kami selamat, 33 pelombong" di Copiapo, Chile, kelmarin. - AP


COPIAPO, Chile 23 Ogos - Seramai 33 pelombong Chile yang terperangkap jauh di bawah tanah selama 17 hari menghantar mesej ke permukaan bumi semalam untuk menyatakan mereka masih hidup dan dalam keadaan baik.
Pakar bagaimanapun berkata, tempoh berbulan-bulan akan diperlukan untuk membawa mereka keluar dari lombong emas dan tembaga yang runtuh itu.
Presiden Chile, Sebastian Pinera dengan begitu gembira menunjukkan nota yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat negara ini sejak 17 hari lalu.
"Kami semua seramai 33 orang selamat di dalam ruang perlindungan," menurut mesej yang ditulis dengan dakwat merah oleh seorang pelombong yang terperangkap itu.
Para pegawai dan ahli keluarga pelombong berpelukan, mendaki sebuah bukti berdekatan, mencacak 33 keping bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan selepas kamera video yang diturunkan sejauh 688 meter ke dalam lombong kembali dengan nota tersebut.
Sebelum ini, ramai yang sudah mula berputus asa tetapi suasana di luar lombong itu umpama satu perayaan malam tadi apabila keluarga pelombong mengadakan barbeku, pemuzik mendendangkan lagu, lilin dinyalakan dan bendera Chile dikibarkan.
Namun pengalaman getir bagi pelombong itu mungkin baru hendak bermula kerana pakar menjangka empat bulan diperlukan untuk menyelamatkan mereka iaitu sehingga sekitar Krismas ini.
Kumpulan seramai 33 orang itu sudah terperangkap di bawah tanah lebih lama berbanding kebanyakan pelombong yang diselamatkan sejak kebelakangan ini.
Tahun lepas, tiga pelombong terperangkap selama 25 hari di dalam lombong yang banjir di selatan China manakala dua pelombong di timur laut China diselamatkan selepas 23 hari terperangkap pada 1983.
Adalah sangat luar biasa pelombong Chile itu masih hidup selepas 17 hari tetapi memandangkan mereka sudah dapat bertahan sehingga kini, mereka dijangka dapat diselamatkan, kata seorang pakar keselamatan lombong dari Amerika Syarikat (AS), Davitt McAteer.
"Risiko kesihatan di dalam lombong tembaga dan emas agak kecil jika ada udara, makanan dan air," kata beliau. - AP

Pembunuhan tiada kaitan dengan kerabat diraja Brunei


SYDNEY 23 Ogos - Penulis buku paling laris The Fast Life and Sudden Death of Michael McGurk, yang pengedaran bukunya terpaksa dihentikan selepas mendapat injuksi mahkamah semalam menyatakan, dia tidak mengaitkan pembunuhan McGurk dengan kerabat diraja Brunei dalam buku tersebut.
Sebaliknya, Ritchard Vereker, bekas penjual daging dari Wollongong itu berkata, mangsa mempunyai ramai musuh dan pembunuhannya mungkin dilakukan pihak-pihak lain.
Urusan jual beli senaskah al-Quran mini bertatahkan permata kepada Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah yang gagal, pada mulanya didakwa sebagai penyebab kematian McGurk, 45, yang ditembak di hadapan rumahnya di Cremorne, utara pantai Sydney September lalu.
Mangsa dikatakan mahu menjual al-Quran berkenaan pada harga AS$8 juta (RM25.6 juta) sebagai hadiah perkahwinan kepada isteri ketiga Sultan Brunei, Azrinaz Mazhar Hakim.
Bagaimanapun, Azniraz semalam berjaya mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghentikan pengedaran buku tersebut, mendakwa ia menghina mahkamah kerana mengandungi maklumat yang dilarang daripada diterbitkan oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan pada 2005.
Beliau yang juga bekas penyampai berita berkahwin dengan Sultan Brunei pada Ogos 2005, namun bercerai Jun lalu selepas dikurniakan dua cahaya mata, seorang anak lelaki pada 2006 dan anak perempuan pada 2008.
Vereker dalam bukunya menyatakan, McGurk pernah beberapa kali berjumpa pegawai Brunei dalam pertemuan rahsia di Singapura bagi urusan penjualan al-Quran tersebut.
Apabila urusan jual beli itu gagal, McGurk dikatakan mengheret Sultan Brunei ke mahkamah kerana melanggar kontrak tetapi mahkamah Sydney memutuskan perjanjian tersebut berada di luar bidang kuasa mereka.
Dalam buku kontroversinya itu, Vereker menjelaskan, pembeli berpotensi pertama al-Quran itu pada 2004 ialah Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri.
Katanya, dia tidak boleh mengulas mengenai perintah injuksi yang dikenakan sebelum mendapat nasihat undang-undang daripada penerbitnya. - Agensi

Kekalkan keunikan Langkawi


MAHATHIR Mohamad (kanan) memerhatikan seorang kanak-kanak istimewa (kiri) bersama pengasuhnya ketika menyampaikan sumbangan wang dan coklat dari Jetty Points di pekarangan Masjid Istiqamah Kuala Teriang, Langkawi semalam sambil diperhati Pengarah Urusan DR Group Holdings, Datuk Dahlan Mohd. Rashid (tiga dari kanan). – BERNAMA


LANGKAWI 23 Ogos – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju cadangan projek pembinaan jambatan berharga RM130 bilion kerana ia akan menjejaskan kecantikan dan keunikan pulau peranginan itu.
“Pulau Langkawi perlu kekal sebagai pulau, jika pulau hendak dijadikan daratan tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berupa wang dan coklat dari Jetty Points kepada 120 anak yatim dan kanak-kanak istimewa di pekarangan Masjid Istiqamah Kuala Teriang di sini malam tadi.
Dua syarikat di Perlis telah mencadangkan untuk membina jambatan sejauh 48 kilometer menghubungkan Langkawi dan Kuala Perlis.
Jumaat lepas, Pengerusi Eksekutif Juruelit Sdn. Bhd., Kamarudin Husin berkata, pihaknya mempunyai kemampuan dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu, termasuk pembinaan jambatan monorel.
Bekas Perdana Menteri itu merupakan perancang utama yang membangunkan Langkawi iaitu dari sebuah pulau yang tidak dikenali menjadi destinasi pelancongan yang unggul di negara ini dengan pelbagai produk pelancongan seperti Kereta Kabel, Galeria Perdana, Kota Mahsuri, Underwater World, Taman Burung dan Kompleks Kraf.
Dr. Mahathir berkata, masih banyak ruang perlu dibuat dan berharap setiap program yang akan dilaksanakan perlu mendapat kebenaran dari kerajaan agar peruntukan dapat disalurkan untuk memajukan industri pelancongan Langkawi, katanya.
Beliau berkata, Langkawi diberi tumpuan dalam industri pelancongan dan berharap program ke arah itu perlu dipertingkatkan.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau sedih kerana umat Islam sesama sendiri bermusuhan antara satu dengan lain.
“Kita sesama Islam mestilah bersaudara walaupun mempunyai perbezaan pendapat, tapi tidak bermusuhan sehingga berpecah yang akan menjadi lemah dan hilang kuasa di negara sendiri,” katanya.
Dr. Mahathir dan isteriya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali bersama 500 umat Islam menghadiri majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di masjid berkenaan. – Bernama

Amah: Majikan bayar lebih rendah


JAKARTA 23 Ogos – Para majikan di Malaysia akan dikenakan bayaran yang lebih rendah untuk mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia apabila perjanjian persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap berkata, mengikut perjanjian baru itu, kos yang harus dibayar majikan lebih rendah daripada apa yang harus dibayar pada masa ini.
“Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 2006, majikan perlu membayar kira-kira RM4,000, tetapi pada hakikatnya mengikut pasaran mereka perlu membayar sekitar RM8,000 hingga RM9,000.
“Perjanjian baru ini menetapkan bayaran yang sedikit tinggi berbanding perjanjian 2006, tetapi lebih rendah berbanding bayaran ditetapkan pasaran,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil mesyuarat Kumpulan Kerja Malaysia-Indonesia mengenai MoU pengambilan pembantu rumah di Kementerian Tenaga Kerja Indonesia di sini hari ini. – UTUSAN

CAP gesa tarik balik minyak sapi QBB


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya segera menarik balik penjualan minyak sapi QBB di pasaran.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia berikutan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menarik balik status halal minyak sapi itu kerana didakwa mengandungi elemen yang meragukan.
"CAP telah berhubung dengan Jakim bagi mendapatkan kesahihan status halal minyak sapi itu sejak Julai lalu.
"Jakim menjelaskan bahawa mereka telah menarik balik status halal minyak sapi itu sehingga yakin dengan status halal produk tersebut," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, Jakim dan Jabatan Kimia telah menguji minyak sapi itu dan mendapati ia mengandungi elemen yang meragukan dan tidak boleh dimakan oleh umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan segera pengambilan minyak sapi itu sehingga kandungannya disahkan halal oleh Jakim.
Sementara itu, Jakim menerusi laman web www.halal.gov, turut mengumumkan pihaknya telah menggantung Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Syarikat QBI Packaging Sdn. Bhd. berkuat kuasa 19 Ogos lalu.
"Tindakan itu diambil sehingga Jakim berpuas hati status halal produk berkenaan. Oleh itu, QBI Packaging Sdn. Bhd. dilarang menggunakan logo halal Malaysia pada semua produk minyak sapi QBB," katanya.

Ribut: Dua keluarga cemas


Dua buah kereta yang dihempap pokok yang tumbang akibat dilanda ribut di Bukit Setongkol, Kuantan, semalam.


KUANTAN 23 Ogos - Dua keluarga melalui detik-detik mencemaskan apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam satu kejadian ribut dan angin kencang di kawasan perumahan Bukit Setongkol Jaya, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 6.45 petang itu berlaku ketika salah seorang mangsa, Shamsuddin Bakar, 53, dan lima ahli keluarganya termasuk bayi berusia empat bulan sedang menunggu waktu berbuka puasa sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di atas rumah.
Menurutnya, dia kemudian melihat bumbung rumah mereka diterbangkan angin sebelum hujan mencurah masuk ke dalam rumah dua tingkat miliknya itu.
"Keadaan itu seperti puting beliung, tengoklah keadaan pokok pisang di depan rumah saya yang tercabut," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini semalam.
Katanya, kejadian tersebut menyedihkan kerana berlaku ketika dalam bulan Ramadan dan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Detik cemas itu turut dikongsi jirannya, A. Chandrasegaran, 48, apabila bumbung rumahnya turut diterbangkan oleh angin.
Menurutnya, kejadian itu berlaku begitu pantas sehinggakan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.
"Ketika itu saya bersama dua anak sedang tengok televisyen. Tiba-tiba saya dengar bunyi kuat di atas bumbung dan kurang satu minit bumbung rumah saya diterbangkan angin.
"Ini menyebabkan perabot serta tilam dan barang-barang lain yang berada di bilik bahagian atas kesemuanya basah," katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa rumah di kawasan Bukit Setongkol Jaya mengalami kerosakan bumbung rumah akibat kejadian ribut tersebut.
Difahamkan selain di kawasan Bukit Setongkol, kawasan Indera Mahkota dan Cenderawasih turut mengalami kejadian ribut serupa.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Pengawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah, Azrol Hafizi Ahmad berkata, pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian pokok tumbang kira-kira pukul 7 petang.
"Pihak kami menerima panggilan mengenai tiga tempat yang berlaku kejadian pokok tumbang iaitu Indera Mahkota, Bukit Setongkol dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas)," katanya.
Katanya, lima buah kereta musnah akibat dihempap pokok akibat kejadian ribut tersebut.

Gajah serang Felda Umas Umas



Madri Jamin menunjukkan beberapa pokok palma yang telah dimakan pucuknya oleh dua ekor gajah liar di Felda Umas Umas,Tawau, baru-baru ini. - utusan/ Ghazali Basri


TAWAU 23 Ogos - Felda Umas Umas di sini dikenali sebagai sebuah kawasan yang begitu cantik dan aman.
Terletak kira-kira sejam dari bandar Tawau, kawasan Felda ini jarang digemparkan dengan cerita dan isu yang boleh menimbulkan keresahan warga penerokanya.
Namun ketibaan awal Ramadan kali ini disambut dengan serangan gajah liar yang menimbulkan keresahan kepada lebih 700 keluarga peneroka yang tinggal di kawasan Felda Gugusan Umas itu.
Serangan sejak 12 Ogos lalu itu melibatkan dua ekor gajah yang dipercayai mula memusnahkan tanaman pokok pinang hiasan yang terletak sepanjang laluan masuk ke kawasan penempatan peneroka di situ.
Selain itu, gajah berkenaan turut merosakkan tanaman penduduk seperti pokok pisang dan kelapa sawit.
Malah haiwan liar berkenaan juga dikatakan menjadi punca cermin rumah seorang penduduk di situ rosak dan pecah baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati hampir keseluruhan pokok hiasan di laluan masuk ke Felda berkenaan telah dipatahkan.
Sehingga kini, gajah berkenaan dikatakan masih lagi berada di kawasan tersebut dan berkeliaran sekitar ladang sawit.
Menurut Ketua Kampung Umas Umas, General Linjal, kewujudan gajah di Felda berkenaan menimbulkan keresahan kepada warga peneroka.
Katanya, gajah berkenaan bukan sahaja merosakkan harta benda dan tanaman malah mampu mengancam nyawa penduduk.
"Malam tadi ia sudah masuk ke kawasan kampung dan berada di padang awam Umas Umas yang mewujudkan keadaan berbahaya kepada orang awam khususnya kanak-kanak.
"Jadi saya berharap pihak berkenaan dapat segera menangani masalah ini kerana gajah yang tersesat itu telah pun merosakkan banyak tanaman.
"Tindakan segera amat perlu bagi mengembalikan ketenangan Felda ini dan mengelakkan perkara lebih buruk berlaku," katanya.
Seorang peneroka, Madri Jamin, 34, berkata, kewujudan gajah di kawasan itu telah mengganggu ketenteraman penduduk.
Katanya, pada masa ini penduduk tidak berasa bebas untuk berjalan terutamanya pada waktu malam kerana takut diserang gajah.
"Ia mengingatkan kembali kepada satu kejadian serangan gajah di rumah kongsi kira-kira setahun lalu yang memusnahkan rumah itu.
"Jadi ia membuatkan kami berasa takut sekiranya gajah berkenaan melakukan tindakan yang sama ke atas rumah kami dan menyerang warga peneroka," katanya.
Beliau berkata, ekoran itu juga dia dan penduduk lain kini mengehadkan keluar pada waktu malam dan membatalkan pelbagai aktiviti yang dirancang.
Bagi Amrullah Sudin, 52, kewujudan gajah di kawasan itu harus diberi perhatian serius semua pihak kerana ia boleh menyebabkan kerosakan dan tragedi.
Beliau yang merupakan penternak berjaya di Felda berkenaan berkata, kewujudan haiwan berkenaan turut mengancam lebih 700 lembu dan kerbau peliharaannya yang dilepaskan di ladang kelapa sawit.
"Pada masa ini pun telah banyak kemusnahan dilakukan termasuk banyak pokok pinang dan kelapa sawit yang baru ditanam dimusnahkan.
"Meskipun pada masa ini gajah itu belum mengganggu lembu dan kerbau saya tetapi saya risau sekiranya ia tersesat ke sana.
"Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian malah turut membahayakan nyawa pekerja saya yang berada di sana," katanya.
Sementara itu Pengurus Felda Umas Satu, Markam Loso berkata, setakat ini jumlah kerugian akibat serangan gajah berkenaan telah melebihi RM15,000.
Katanya, kerosakan ini termasuklah kemusnahan pokok hiasan landskap dan juga kemusnahan pokok kelapa sawit.
"Pada masa ini kita mengenal pasti dua ekor gajah yang mana salah seekor setinggi kira-kira 2.5 meter yang telah memusnahkan banyak tanaman.
"Kita telah menghantar surat kepada pihak Perhilitan untuk membantu memindahkan gajah itu tetapi sehingga kini masih belum ada tindakan," katanya.

Berhabisan RM15,000, akhirnya dicuri


PETALING JAYA 23 Ogos - Demi memastikan kereta kesayangannya kelihatan cantik dan berkuasa, seorang pengarah konti di TV3 sanggup menghabiskan RM15,000 untuk membeli enjin gantian dan pelbagai komponen baru bagi mengubah suai kenderaannya.
Namun, kereta Proton Satria itu hanya sempat dipandu oleh Ahmad Ridzuan Kamarul Zaini, 23, kira-kira empat bulan apabila ia dicuri semasa diletakkan di Persiaran Bandar Utama pada Jumaat lalu.
Setelah dua hari kenderaan itu dilaporkan hilang, Ahmad Ridzuan mendapat khabar gembira apabila dimaklumkan polis sudah menemui keretanya di Kilometer 446.9, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan kira-kira 100 meter selepas susur Rawang Selatan dekat sini.
Kegembiraan Ahmad Ridzuan bagaimanapun tidak berpanjangan apabila dia mendapati keretanya itu tidak boleh bergerak setelah pelbagai komponen di dalamnya termasuk stereng dan penutup radiator sudah ditanggalkan.
Kereta Proton Satria itu ditemui oleh dua anggota polis dari Unit Peronda Lebuh Raya Bukit Aman iaitu Lans Koperal Shyfudin Mohamed dan Konstabel Jamil Md. Nor semasa menjalankan tugas rondaan di lebuh raya berkenaan pada pukul 12.30 tengah malam semalam.
Namun, usaha mengesan pemiliknya gagal kerana semakan pada sistem komputer polis tidak merekodkan sebarang laporan kehilangan kereta berkenaan.
Mangsa sebelum itu membuat laporan mengenai kehilangan keretanya di Balai Polis Damansara.
Ahmad Ridzuan akhirnya dapat dikesan setelah anggota polis terbabit yang kebetulan mengenali seorang wartawan TV3, Shamsul Liani Abas meminta kerjasamanya untuk mengesan pemilik kereta tersebut.
Ahmad Ridzuan ketika ditemui berkata, dia amat gembira apabila menerima panggilan daripada Shamsul mengatakan kereta yang hilang sudah ditemui.
"Namun, saya kembali sedih dan kecewa apabila melihat keadaan kereta saya yang sudah tidak boleh bergerak dan hilang banyak komponen di dalamnya," katanya.
"Saya terpaksa menyewa trak penunda untuk menarik kereta saya balik ke rumah dan mengumpul wang untuk membaiki dan mengubah suai semula kenderaan ini," katanya yang turut kehilangan motosikal pada Mac lalu.

Budak lelaki tiga tahun mati disembelih bapa kandung


24/08/2010 5:05pm

KOTA BAHARU 24 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mati dipercayai disembelih bapa kandungnya di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 11.40 pagi tadi, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih dirinya sendiri.
Menurut datuk mangsa, Nik Hashim Nik Abdullah, 64, beliau menyedari kejadian itu setelah diberitahu oleh anaknya, Nik Suzila, 32 iaitu ibu kepada Adam Muzzaffar.
Nik Hashim, yang ketika itu sedang berehat di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa, terus menghubungi polis yang kemudian menahan lelaki itu dan merampas sebilah pisau di tempat kejadian.
Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 33 tahun dipercayai pernah mendapat rawatan mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Lelaki itu, seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu, dipercayai sudah lama tidak makan ubat bagi rawatan penyakit mentalnya itu.
Adam Muzaffar adalah anak kedua daripada tiga beradik.
Ketika kejadian, adik bongsungnya, Suhaida, 2, ditinggalkan oleh ibunya di rumah Nik Hashim kerana menolong jirannya melapah ayam.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim yang ke tempat kejadian, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh. - Bernama

Mahkamah benar Lingam, dua bekas Ketua Hakim Negara semak hasil siasatan suruhanjaya diraja

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan peguam kanan Datuk V K Lingam dan dua bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin untuk menyemak hasil siasatan Inkuiri Suruhanjaya Diraja mengenai klip video kontroversi Lingam.
Dalam keputusan majoriti 2-1 mahkamah itu memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip yang salah semasa menolak permohonan bagi semakan kehakiman terhadap hasil siasatan suruhanjaya oleh ketiga-tiga mereka.
Hakim Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, yang mengetuai panel tiga anggota bersama Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan berkenaan, manakala Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak.

Kes itu kini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit kes berkenaan.

Lingam, Ahmad Fairuz dan Mohd Eusoff mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka bagi membuat semakan kehakiman terhadap hasil siasatan suruhanjaya diraja itu.

Pada 12 Disember 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hasil siasatan suruhanjaya itu tidak boleh disemak atau dicabar kerana ia bukan satu keputusan dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasai mereka yang terbabit.

Dalam laporan siasatan mereka, panel lima anggota itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.

Suruhanjaya itu memperakukan agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, Mohd Eusoff, jutawan Tan Sri Vincent Tan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana salah saku.

Suruhanjaya itu mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang 1976. Kecuali Dr Mahathir, kelima-lima mereka mengemukakan permohanan agar mahkamah mengadakan semakan semula bagi membatalkan hasil siasatan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Vincent dan Tengku Adnan menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini.

Suruhanjaya itu yang dipengerusikan, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas peguam cara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bersidang selama 17 hari untuk menyiasat klip video 14 minit itu.
Lingam mewakili dirinya sendiri, manakala peguam Datuk Mahinder Singh Dulku mewakili Ahmad Fairuz, Datuk Hazman Ahmad bagi Mohd Eusoff dan peguam kanan persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakili suruhanjaya itu.-Bernama

Bapa Khairul Arif direman tiga hari

KUALA TERENGGANU: Polis mendapat perintah menahan reman selama tiga hari bapa kepada Khairul Arif Ayob, kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian letupan di sebuah rumah tinggal di sini Ahad lepas, bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat. Perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000. Turut kelihatan berada di kompleks mahkamah isteri kepada suspek Kamariah Sufian, 25. Suspek berumur 28 tahun itu sebelum itu ditahan ketika menyerah diri di tempat kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari semalam selepas dinasihati oleh polis dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Dia sebelum itu menghilang diri bersama isterinya sejurus selepas kejadian yang mengorbankan anak tunggalnya berusia enam tahun itu. Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, Khairul Arif maut selepas dikatakan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu. Dia cedera parah di kepala, manakala Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, turut mengalami cedera parah dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ).-Bernama

Budak lelaki tiga tahun mati disembelih di Kota Bharu

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mati dipercayai disembelih seorang saudara terdekat di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 11.40 pagi tadi, Mohd Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian, manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba menyembelih dirinya sendiri.
Menurut datuk mangsa, Nik Hashim Nik Abdullah, 64, beliau menyedari kejadian itu selepas diberitahu oleh anaknya, Nik Suzila, 32 iaitu ibu kepada Adam Muzzaffar.

Nik Hashim, yang ketika itu sedang berehat di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa, terus menghubungi polis yang kemudian menahan lelaki itu dan merampas sebilah pisau di tempat kejadian.

Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 33 tahun dipercayai pernah mendapat rawatan mental di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Lelaki itu, seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Bharu, dipercayai sudah lama tidak makan ubat bagi rawatan penyakit mentalnya itu.

Adam Muzaffar adalah anak kedua daripada tiga beradik.

Ketika kejadian, adik bongsungnya, Suhaida, 2, ditinggalkan oleh ibunya di rumah Nik Hashim kerana menolong jirannya melapah ayam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim yang ke tempat kejadian, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.-Bernama

Kastam patahkan cubaan seludup mercun, bunga api bernilai RM250,320

PETALING JAYA: Kastam Diraja Malaysia Kuala Lumpur berjaya mematahkan percubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM250,320 dengan anggaran cukai sebanyak RM162,708 di dalam sebuah lori di jalan Plaza Tol Changkat Jering, Perak, Ahad lalu.
Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kuala Lumpur, Jaafar Mat Jawi berkata, bertindak atas risikan, sepasukan pegawai dan anggota menahan lori itu kira-kira 11 malam.
"Lori itu ditahan di tepi jalan berhampiran plaza tol berkenaan. Namun pemeriksaan ke atas lori mendapati tiada individu di dalamnya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di belakang bahagian lori itu, kastam menemui sebanyak 425 karton mercun dan bunga api daripada pelbagai jenama dan jenis.

"Sisatan awal mendapati mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang sempena musim perayaan ini.

"Pihak kastam akan meneruskan siasatan berdasarkan dokumen yang dirampas di dalam lori tersebut sehingga tertangkapnya syarikat atau individu yang menjadi dalang dalam penyeludupan dan pengedaran barang terlarang ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak lebih daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan barang larangan atau belum lulus kastam supaya menghubungi talian bebas tol 1-800-8855.

"Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak membeli, mengedar dan bermain mercun atau bunga api sepanjang bulan perayaan ini demi keselamatan masing-masing," katanya.-Bernama

Penganggur dihukum tiga tahun penjara, dua sebatan kerana samun budak

KUALA LUMPUR: Hanya kerana RM20, seorang penganggur dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah menyamun duit daripada seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang juga penjual kuih, bulan lalu.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin mengarahkan Mohamad Firdaus Abdul Latip, 24, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 17 Julai lalu.
Mohamad Firdaus didakwa mencuri beg pinggang dan duit bernilai RM20 daripada kanak-kanak itu yang juga jirannya di bawah Blok 41, PPR Gombak Setia Setapak, Sentul di sini pada 3.30 petang, 14 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan. Terdahulu, Zainal Abidin sempat bertanyakan kepada tertuduh, apakah yang ingin dikatakannya sebelum hukuman dikenakan.

Mohamad Firdaus merayu kepada mahkamah dengan berkata: "Saya tidak akan buat lagi dan saya tidak akan kacau dia lagi... saya tak nak masuk penjara...

tolonglah saya tuan hakim... saya tak nak raya kat dalam penjara." Turut hadir ibu tertuduh dan kakaknya serta pengadu dan bapanya.

Sementara itu, Zainal Abidin turut bertanyakan kepada pengadu, mengapa dia menjual kuih, kanak-kanak itu memberitahu: "Saya jual kuih sebab nak tolong mak".

"Berapa mak beri, kalau tolong mak jual kuih?" soal Zainal Abidin.

Kanak-kanak itu menjawab: "Mak bagi RM3".

Zainal Abidin turut bertanyakan kepada kanak-kanak itu, duit itu digunakan untuk apa, dan kemudian dijawab oleh kanak-kanak itu yang wang upah akan disimpan dalam tabung.

"Saya simpan duit itu dalam tabung dan kalau dah banyak... saya nak belanja mak saya makan," katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli manakala Mohamad Firdaus tidak diwakili peguam.-Bernama