MANILA: Sebelas anggota polis hadir pada perbicaraan disiplin semalam berhubung video penyeksaan tahanan yang didakwa dirakam dengan menggunakan telefon bimbit di sebuah balai polis di kawasan setinggan di sini.
Rakaman itu yang mencetuskan kemarahan orang ramai sejak disiarkan menerusi televisyen negara itu Selasa lalu menunjukkan seorang lelaki berpakaian awam memukul seorang lelaki berbogel yang duduk di lantai.
Lelaki yang mendera itu juga menarik tali yang kelihatan diikat pada kemaluan mangsa.
Ketua Superintendan Roberto Rongavilla yang mengetuai siasatan terhadap kejadian itu berkata, aduan rasmi terhadap anggota polis berkenaan sudah dibacakan di perbicaraan hal ehwal dalaman polis.
“Anggota terbabit kini berada dalam tahanan polis Manila,” katanya.
Semua 11 anggota berkenaan berkhidmat di balai polis daerah Tondo, kawasan setinggan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi.
Mereka digantung tugas berikutan kemarahan orang ramai yang mendorong kerajaan melancarkan siasatan.
Menurut Rongavilla, pegawai yang berada dalam video itu adalah bekas pemerintah balai polis itu. Bagaimanapun, media tempatan melaporkan, dia menafikan dakwaan itu.
Rongavilla juga berkata, lelaki berbogel itu adalah suspek perompak yang dilapor hilang sejak Mac lalu oleh isterinya.
“Dia adalah anggota kumpulan yang terbabit merompak dan meragut,” kata Rongavilla.
“Anggota lain dipercayai terbunuh dalam pertempuran dengan polis.” Meskipun dakwaan penyeksaan dan pembunuhan dilakukan oleh polis dan tentera bukan perkara baru, video itu adalah yang pertama seumpamanya ditayangkan di televisyen.
Rongavilla berkata, pihaknya juga akan menyiasat dakwaan pegawai yang dituduh menyeksa lelaki bogel itu turut menyeksa tahanan lain. - AFP