Search This Blog

Friday, August 20, 2010

Kelindan lori maut, pemandu parah dalam kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori maut, manakala pemandunya cedera parah dalam satu kemalangan di KM 451.4 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur dekat Rawang pagi ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, Sin Kwai Chin, 57, yang berasal dari Ipoh, Perak, mati di tempat kejadian selepas lori yang dinaikinya merempuh sebuah treler.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduknya maut akibat kecederaan parah di kepala selain patah kaki manakala pemandu yang dikenali sebagai Subramaniam, 32, cedera parah.

Katanya, lori yang dipandu Subramaniam merempuh belakang treler itu yang membawa muatan cermin, tetapi pemandu treler berkenaan, S.Kartik, 22, yang berasal dari Perak tidak mengalami sebarang kecederaan.

Che Hussin memberitahu Bernama bahawa mayat Sin dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala Subramaniam dimasukkan ke hospital sama dan dilaporkan koma.-Bernama

Raja Azmi dibebas dengan jaminan RM8,000

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman, yang dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir pada perbicaraan kes saman sivil berhubung penjualan tanah berharga RM5.9 juta melibatkan dirinya dibebaskan hari ini dengan ikat jamin RM8,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Lim Yee Lian membuat keputusan itu selepas Raja Azmi hadir ke mahkamah di sini diiringi beberapa anggota polis kira-kira 9.25 pagi tadi.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah suaminya, Mohd Jalani Mohd Sidek, anak sulungnya, Puteri Suraya dan suami Mohd Shadan Hashim serta rakannya.

Raja Azmi yang memakai baju kurung moden berwarna merah dan biru, sepatutnya memberi keterangan di mahkamah pada 12 Julai lalu dan sapina untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah diserahkan kepadanya pada 9 Julai lalu, namun beliau tidak hadir ke mahkamah pada waktu yang ditetapkan sehingga menyebabkan prosiding perbicaraan kes itu tertangguh.

Terdahulu, Raja Azmi dipanggil untuk menjelaskan kepada mahkamah kenapa dia tidak hadir untuk memberi keterangan pada waktu yang ditetapkan.

Lim turut meminta penjelasan Raja Azmi kenapa gagal hadir ke mahkamah walaupun peguam menyerahkan sapina kepadanya, Raja Azmi memberitahu: "Saya tidak menerima sebarang dokumen atau sapina yang menyatakan saya sepatutnya hadir untuk memberi keterangan".

Lim bertanya kepada Raja Azmi sama ada beliau berbohong kepada mahkamah dengan menyatakan bahawa dia tidak menerima sapina itu, namun Raja Azmi menafikannya.

"Kamu memandang ringan perkara ini. Kes ini bergantung kepada keterangan dan akuan bersumpah yang diikrarkan kepada kamu. Saya akan melepaskan kamu dengan jaminan kamu perlu hadir pada prosiding seterusnya sehingga kes selesai," katanya.

Sementara itu, rakan kepada Raja Azmi, Zahrin Aris membayar jaminan sebanyak RM8,000 selepas hasrat suaminya, Mohd Jalani, untuk menjamin isterinya tidak tercapai apabila peguam Su Tiang Joo memaklumkan kepada mahkamah bahawa bekas jaguh badminton negara itu muflis.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes itu bersambung pada 29 dan 30 November dan 13 hingga 15 Disember ini.

Saman sivil itu bermula apabila seorang pemaju tanah, Hamzah Abdul Majid selaku plaintif memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Mohd Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka (Raja Azmi dan Mohd Jalani) iaitu Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

23 wanita warga asing tawar khidmat seks diberkas di spa




TIGA anggota polis termasuk seorang anggota wanita memeriksa dua wanita warga asing yang mengalami kecederaan dan hanya mampu terbaring selepas terjun dari tingkap sebuah pusat kesihatan di hotel tiga bintang di Klang, malam kelmarin.


KLANG 19 Ogos – Walaupun pernah diserbu awal tahun ini kerana menawarkan perkhidmatan seks, pemilik spa yang beroperasi di sebuah hotel tiga bintang di sini masih belum serik dan terus menjalankan aktiviti tidak bermoral itu secara sembunyi-sembunyi.
Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dihidu pihak polis dan seramai 23 wanita warga asing Indonesia dan China berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun dipercayai tukang urut yang menawarkan khidmat seks diberkas di pusat tersebut dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam tadi.
Semasa serbuan, enam daripada wanita yang cuba melarikan diri mengalami kecederaan akibat terjatuh di atas tempat letak kereta di tingkat lima hotel tersebut.
Sementara seorang lagi wanita ditemui dalam keadaan berbogel bersama seorang pelanggan di atas katil di dalam spa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, turut diberkas dalam serbuan itu ialah dua lelaki tempatan yang bertugas sebagai penjaga spa tersebut, masing-masing berusia 20 dan 46 tahun serta empat pelanggan.
“Akibat cuba melarikan diri, enam daripada wanita yang diberkas cedera di kaki dan bahagian punggung.
“Polis menemui banyak kondom yang sudah digunakan berselerak dalam beberapa bilik khas dipercayai digunakan untuk khidmat seks kepada pelanggan spa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ujar beliau, siasatan awal polis mendapati, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks di situ akan meminta pakej urut dalam bilik dan dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 untuk sesi sejam.
Tambahnya, kesemua wanita warga asing yang diberkas di spa tersebut disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Guan Eng 'diserang' semasa ke majlis buka puasa



PULAU PINANG 19 Ogos - Semalam, kenderaan yang dinaiki Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) diserang seorang lelaki dipercayai ahli pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinannya.
Dalam kejadian pada pukul 7.35 petang itu, kenderaan dinaiki beliau baru sahaja membelok masuk ke kawasan Masjid Kampung Rawa dari Jalan Patani ke Lintang Kampung Rawa untuk menghadiri majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.
Lelaki terbabit yang sebelum itu bersama seorang rakannya mengangkat kadbod tertulis Save Lot 21, 22 For Muslim Cemetery untuk menarik perhatian Guan Eng, tiba-tiba dikatakan melompat ke bonet kereta dinaiki beliau.
Dia kemudian meletakkan kadbod itu pada cermin kereta berkenaan.
Tulisan tersebut dikatakan merujuk kepada permintaan tanah di sebelah Masjid Jamek Jelutong yang dimohon kepada kerajaan negeri untuk dijadikan tanah perkuburan Islam
Semasa kejadian berlaku hanya ada pasukan daripada Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di situ dan tindakan pantas mereka menarik lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan keadaan.
Ketua Menteri kemudian menikmati jamuan di pekarangan luar masjid bersama kira-kira 60 penduduk kawasan termasuk Ahli Jawatankuasa masjid dan kakitangan pusat khidmat DAP Sungai Pinang.
Pada masa sama, seorang lelaki yang sangat dikenali rakyat negeri ini memerhatikan Guan Eng dengan reaksi yang amat marah.
Justeru, pasukan Cawangan Khas yang menyaksikan perkara itu meminta pihak pengurusan masjid menasihatkan Guan Eng supaya pulang lebih awal bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku dan beliau akur dengan permintaan itu.
Bayangkan sekiranya tiada pasukan Cawangan Khas memantau keadaan dalam kedua-dua insiden tersebut, apa akan terjadi kepada Guan Eng sekiranya perkara tidak ingini berlaku kepadanya?
Apakah akan terjadi kepada beliau atau sesiapa pun sekiranya cadangan dangkal Ketua Menteri itu sebelum ini supaya Cawangan Khas polis ditutup benar-benar dilaksanakan?
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu sekali gus meminta mana-mana pihak selepas ini tidak lagi mempertikai peranan polis dalam menjaga keamanan negara.
Menurutnya, kewujudan sesuatu bahagian itu pasti ada sebabnya dan ia bukan diadakan dengan sewenang-wenangnya.
"Apa akan berlaku kepada dia (Guan Eng) sekiranya tiada anggota Cawangan Khas semasa insiden itu berlaku semalam. Jadi walaupun tidak suka kita perlu ikut VVIP sepertinya atas aspek keselamatan dan tanggungjawab kita.
"Jadi, saya berharap selepas ini janganlah semua perkara hendak dipolitikkan semata-mata agar menjadi populis kerana keselamatan rakyat perlu diutamakan," ujarnya.
Kejadian itu merupakan kontroversi terbaru melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut kerana sebelum ini sekumpulan peniaga bazar Ramadan di Komtar mengadakan demonstrasi selepas mereka tidak dibenarkan berniaga di kawasan tersebut walaupun boleh berbuat demikian sejak dua dekad lalu.
Ekoran kejadian tersebut juga, seorang lelaki bertindak cuba membakar dirinya kerana kecewa dengan tindakan Guan Eng berhubung isu perniagaan di Komtar.
Baru-baru ini juga, seorang lelaki, Ali Ahmad Ariff, 63, terpaksa bersemuka dengan Guan Eng sendiri bagi mendapat penjelasan daripada mulut pemimpin itu sendiri mengenai beberapa isu khususnya yang melibatkan orang Melayu.
Lelaki tersebut yang juga dikenali Pak Ali sempat menepuk bahu kiri Guan Eng berikutan tidak puas hati dengan Ketua Menteri itu yang didakwa bersikap rasis dan menindas orang Melayu di negeri ini.
Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta orang kenamaan (VIP) di tingkat dua Menara Komtar.

Kereta terbakar, pemandu jatuh gaung



ANGGOTA bomba mengangkat seorang pemandu yang cedera setelah terjatuh ke dalam gaung selepas keretanya terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah lama di Bukit Putus, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam. - bernama



KUALA PILAH 19 Ogos - Sekumpulan anggota Bomba dan Penyelamat yang cuba memadamkan kebakaran sebuah kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah lama di Bukit Putus hari ini terkejut apabila mereka terdengar jeritan seorang lelaki menahan kesakitan.
Setelah diperiksa, rupa-rupanya lelaki tersebut merupakan pemandu kereta terbabit yang akhirnya ditemui dalam gaung sedalam 40 meter berdekatan tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, mangsa yang hampir 80 peratus terbakar ditemui pasukan penyelamat tersebut yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta jenis Proton Wira selepas menerima laporan daripada orang awam.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Esa berkata, ketika anggotanya sedang sibuk memadamkan kebakaran tiba-tiba mereka terdengar suara meminta tolong datang dari dalam gaung.
"Beberapa anggota itu kemudian turun ke bawah gaung untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan, mereka menemui seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mengerang kesakitan dengan kesan terbakar di badannya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Tambah beliau, lelaki itu dipercayai keluar menyelamatkan diri sejurus selepas kebakaran lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 meter.
"Mangsa ditemui terbaring di pangkal pokok dalam gaung tersebut dan anggota bomba terpaksa menggunakan alat pengusung untuk membawa mangsa naik.
"Lelaki terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk menerima rawatan," katanya.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Zaidi Aziz, 26, berkata, dia yang kebetulan melalui tempat kejadian ternampak kereta terbakar di tepi gaung lalu berhenti untuk memeriksanya.
"Melihat sahaja kereta itu terbakar, saya terus menghubungi Bomba dan Penyelamat," kata Mohd. Zaidi.
"Ketika itu, kereta tersebut meletup beberapa kali," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Gadis ikut pemuda Lombok kembali ke pangkuan keluarga


Sanayah yang lari mengikut pemuda Lombok bersama ibu bapanya di rumah mereka di Felcra Sungai Ambat, Mersing, Johor, semalam.


MERSING 19 Ogos - Tiada kata yang dapat diungkapkan oleh sepasang suami isteri melainkan rasa syukur yang teramat sangat kepada Allah SWT apabila anak gadis mereka yang lari mengikut jejaka Lombok, pulang ke pangkuan keluarga hari ini.
Suasana gembira jelas terpancar pada wajah ahli keluarga Abas Salleh, 38, dan isterinya, Asiah Yahya, 37, apabila anak ketiga daripada enam beradik itu pulang ke rumah kerana kehabisan duit untuk menaiki feri.
Sanayah Abas, 17, pelajar jurusan Tasawuf Islam dan Pendidikan Seni Visual dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenggaroh A, meninggalkan rumah lima hari lalu bersama pemuda Lombok yang dikenali sebagai Azam.
Gadis itu bagaimanapun terpaksa kembali ke pangkuan keluarga di Felcra Sungai Ambat, dekat sini kerana tidak dapat menahan rasa rindu terhadap ibu bapa selain kehabisan wang untuk membayar tambang feri ke Indonesia.
Selama lima hari Sanayah lari meninggalkan keluarganya, dia bersembunyi di sebuah rumah kongsi di Ulu Tiram, Johor Bahru sementara menunggu masa sesuai untuk berangkat ke Pulau Lombok, Indonesia.
Malangnya, wang yang mereka bawa tidak mencukupi di samping ingatan kepada keluarga menyebabkan mereka membatalkan niat tersebut.
Semasa ditemui Utusan Malaysia, Sanayah memberitahu, dia mula mengenali Azam kira-kira setahun lalu dan mula menyayangi jejaka tersebut yang tinggal berhampiran dengan rumahnya.
"Sepanjang mengenali Azam, saya hanya berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tidak pernah membuat pertemuan tanpa pengetahuan keluarga," katanya.
Tanpa berselindung, katanya, tujuan dia lari meninggalkan keluarga kerana ingin mengikut lelaki berkenaan balik ke Lombok seterusnya berkahwin di sana.
Ketika ditanya kemungkinan dia akan mengalami nasib yang sama seperti wanita lain yang mengikut kekasih ke Lombok seperti yang pernah disiarkan beberapa kali di Utusan Malaysia, Sanayah hanya tunduk mendiamkan diri.
Bagaimanapun akhirnya dia bersuara dan menyatakan rasa kesal kerana mengikut kata hati. Sanayah juga berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
"Kerana sayangkan Azam, saya menurut kehendak hati menerima ajakannya untuk berkahwin di Lombok.
"Tanpa berfikir panjang, saya lari dari rumah dengan harapan dapat hidup bahagia di sana," kata Sanayah lagi.
Menurutnya, semasa lima hari berada di Ulu Tiram, dia menerima beberapa panggilan telefon daripada bapanya tetapi tidak berani menjawab kerana bimbang kedudukannya dapat dikesan.
Sanayah memberitahu, hatinya mula berasa sedih apabila teringatkan ibu bapanya yang mungkin sedang dalam kesusahan dan memikirkan masa depannya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.
"Sekiranya wang mencukupi, mungkin hari ini saya telah berada di Lombok dan entahlah apa nasib saya di sana. Syukur kerana duit tidak cukup hari itu," katanya.
Sementara itu, Abas berkata, mereka sekeluarga sedia memaafkan kesalahan Sanayah dan dia berharap perkara tersebut tidak berulang.
Isterinya, Asiah pula hanya mampu meluahkan kesyukuran berulang kali kerana terlalu gembira dengan kepulangan anak perempuannya itu.
"Syukur Alhamdulillah kerana Sanayah kembali ke pangkuan kami sekeluarga," katanya dengan linangan air mata.

Lelaki didakwa subahat nikah tanpa tauliah di Sungai Buloh


SHAH ALAM: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini terhadap tuduhan bersubahat dengan seorang buruh untuk menikahkan satu pasangan tanpa tauliah pada 13 Ogos lalu.
Abdul Rahman Adam, 46, dituduh bersubahat dengan Asbai Rofik, 56 menikahkan Mohd Luqman Hakim Abdul Rahim, 28, dan Mazlina Abdul Majid, 29 di Lot 11A, Desa Subang Perantau, Sungai Buloh, dekat sini pada 3.30 petang.
Dia dituduh mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 Negeri Selangor dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 yang jika disabit kesalahan, didenda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Syarie Mohamad Nazri Basrawi menawarkan ikat jaminan RM1,000 tetapi peguam Bostamam Ahmad, yang mewakili Abdul Rahman, merayu supaya ia dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu hanya mendapat bayaran saguhati sahaja daripada tugasnya itu.

Katanya, jika dikenakan jaminan yang tinggi, Abdul Rahman mungkin tidak dapat membuat persiapan seperti juadah hari raya dan baju baru untuk empat anak-anaknya yang masih bersekolah.

Hakim Syarie Saharuddin Selamat kemudian membenarkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin terhadap Abdul Rahman dan menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan semula kes itu.

Hakim juga membenarkan permohonan Mohamad Nazri supaya dikeluarkan satu waran tangkap terhadap Asbai yang tidak hadir ke mahkamah pada hari ini.

Bostamam juga memohon kepada mahkamah untuk menyediakan satu representasi kepada Ketua Pendakwa Syarie Selangor supaya mengkaji semula pertuduhan terhadap guamnya kerana pasangan yang dinikahkan itu menyamar bagi memerangkap Abdul Rahman.

"Pengantin lelaki itu mengaku tidak mendapat restu ibu bapa, manakala pengantin perempuan berkata bapanya sudah meninggal dunia," katanya.

Mohamad Nazri berkata, pihaknya tiada halangan terhadap permintaan Bostamam tetapi beliau meminta mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan untuk mengetahui keputusan permohonan representasi itu.-Bernama

Wanita bebas tuduhan subahat bunuh suami

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskan seorang wanita yang dituduh bersubahat membunuh suaminya tahun lalu.
Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap R Kavita, 32, seorang ejen insurans sambilan.
Mahkamah turut melepaskan dan membebaskan pemasang kabel syarikat televisyen berbayar, L Vasanthakumar, 22, dan buruh R Rathakrishnan, 20 yang dituduh membunuh suami Kavita, S Sivananthan, 32, seorang kontraktor.

Mohd Yazid berkata, tiada saksi yang nampak Vasanthakumar dan Rathakrishnan di tempat kejadian dan tiada bukti saintifik yang mengaitkan ketiga-ketiga mereka ke tempat kejadian.

"Tidak ada senjata yang ditemui," katanya.

Kavitha dituduh bersubahat bersama Vasanthakumar dan Rathakrishnan dengan membenarkan mereka memasuki rumahnya dan mengarahkan kedua-dua lelaki itu membunuh suaminya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di rumah nombor 22, Lorong Batu Nilam 178E, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang dekat sini pada 9 pagi 22 Februari 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, manakala Kavitha diwakili peguam Dev Kumaraendran dan T Vijayandran, Vasanthakumar diwakili oleh Ramanathan Velu dan Rathankrishnan oleh V. Ayasamy.

-Bernama

Dua beranak maut, dua lagi koma kereta bertembung ketika hujan di Marang


KUALA TERENGGANU: Dua terbunuh, termasuk bapa dan anak perempuannya berumur tiga tahun manakala dua lagi koma dalam kemalangan di Kilometer 50.5 Kampung Telaga Air, Marang dalam kejadian 11.30 pagi tadi.Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, Mohd Azmani Azalan @ Zed, 31, seorang mekanik, dan anak tunggalnya, Nor Fatin Alia meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang koma, adik ipar Mohd Azmani, Norrul Hidayah Ghazali, 25 tahun dan pemandu kereta yang turut terbabit dalam kemalangan Muzaiman Mohd, 26.

Seorang lagi penumpang kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohd Azmani, iaitu anak saudaranya, Wan Mohd Hasih Wan Yahaya, 16, cedera di bahagian muka dan kedua-dua mangsa yang koma, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Mohd Azmani dari Lorong Ciku, Chabang Tiga di sini dalam perjalanan untuk menjemput isterinya, Norazlina Ghazali, 27, yang bekerja di Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kuantan dan kini hamil lapan bulan, kata Ahmad Mazlan kepada pemberita di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Muzaiman dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas memasuki laluan kenderaan yang dipandu Mohd Azmani lalu bertembung dalam keadaan jalan licin akibat hujan.

"Muzaiman dipercayai berkonvoi dengan isterinya yang memandu kereta di hadapan. "Isterinya terlihat kemalangan yang berlaku melalui cermin sisi dan berpatah balik membantu suaminya keluar dari kenderaan yang terbakar sejurus kemalangan," katanya.

Mayat dua beranak itu dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur Raja, Wakaf Mempelam.-Bernama

Wujud lebih banyak kemudahan perlindungan bayi



20/08/2010 6:12pm

KUALA LUMPUR 20 Ogos - OrphanCARE, sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab untuk kemudahan memelihara bayi yang pertama di negara ini, menggesa kerajaan mewujudkan lebih banyak kemudahaan seperti itu.
Setiausahanya, Azra Banu berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Msyarakat pada bulan lepas.
Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, pihaknya juga mengkaji untuk mewujudkan kemudahan itu di hospital, klinik bersalin dan bangunan majlis bandar raya yang dibuka 24 jam setiap hari.
Katanya, OrphanCARE menerima bayi ketujuhnya semalam sejak ia dibuka pada 29 Mei lepas dan enam bayi yang diterima sebelum itu telah dijadikan anak angkat oleh pasangan yang dipilih oleh pertubuhan tersebut. - Bernama

Kad kredit palsu: Rakyat Malaysia ditahan di India


20/08/2010 7:01pm

NEW DELHI 20 Ogos - Polis India percaya sebuah sindiket kad kredit palsu antarabangsa berjaya dibongkar, ekoran penahanan seorang rakyat Malaysia yang memiliki pasport Sepanyol, di sini Rabu lepas.
Sahubar Naina Mohd Abdullah, 43, ditahan oleh polis Daryaganj, di sini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan dengan satu kumpulan penjenayah Nigeria yang terbabit dalam kegiatan klon kad kredit yang menjadikan pedagang barang-barang elektronik dalam bandar raya sebagai mangsa.
Sahubar ditahan selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada seorang pekedai tempatan, apabila suspek mencetuskan keraguan selepas dia memperkenalkan dirinya sebagai warga Sepanyol.
"Dia membeli sebuah telefon bimbit menggunakan kad kredit, tapi selepas diperiksa kad itu didapati kad yang diklon. Kemudian difahamkan pasport Sepanyol yang dimiliknya juga adalah palsu,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Daerah Tengah Delhu, Jaspal Singh.
Menurut kertas siasatan, Sahubar, dari Lebuh Pudu, Kuala Lumpur, tiba di Delhi atas arahan seorang warga Nigeria yang dikenali dengan nama ‘Kanchail’, yang menawarkan komisyen kepada lelaki Malaysia itu untuk menggunakan kad kredit palsu.
Polis merampas lapan kad kredit klon milik pelbagai bank antarabangsa, pasport Sepanyol palsu, lapan kad sim telefon bimbit, dan beberapa barang berjenama daripada suspek.
Polis tidak mendedahkan jumlah nilai barang yang dibeli oleh sindiket itu di bandar raya menggunakan kad kredit palsu.
Difahamkan Sahubar memberitahu polis Delhi bahawa beliau adalah pekerja separuh masa di Kuala Lumpur, dan menanggung banyak hutang semasa tiba di Delhi. - Bernama

24 hotel tawar Bufet Ramadan guna bahan diragui


20/08/2010 7:03pm

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Sebanyak 24 buah hotel di Lembah Klang yang menawarkan Bufet Ramadan didapati telah menggunakan bahan yang diragui status halalnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz hari ini.
Beliau berkata, hasil pemantauan yang dibuat ke atas 34 buah hotel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang meliputi hotel lima bintang ke bawah sepanjang 10 hari berpuasa mendapati 70 peratus tidak memenuhi keperluan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
"Antara hasil penemuan ialah penggunaan bahan mentah berasaskan alkohol, bahan ramuan yang diragui, bahan mentah yang tiada pengesahan halal, ayam daripada sumber yang tidak jelas dan percampuran di antara bahan mentah halal dengan tidak halal di kawasan penerimaan dan stor penyimpanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. - Bernama

Konstabel polis maut dalam kemalangan


20/08/2010 3:12pm

KUANTAN – Seorang anggota polis terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 95 Jalan Lipis-Gua Musang dekat Merapoh semalam.
Dalam kejadian 6.30 petang itu, Konstabel Khairul Azman Ismail, 23, berasal dari Changlun, Kedah, dan bertugas di Balai Polis Merapoh, meninggal dunia di tempat kejadian, kata Ketua Turus Trafik Pahang, DSP Mohd. Najid Jusoh.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama

Lepasan SPM mohon kursus kena tipu


Oleh Suhana Roslan

2010/08/20

KUALA LUMPUR: Lebih 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerugian antara RM500 hingga RM2,000 seorang apabila ditipu sindiket perniagaan palsu yang mengendalikan sesi taklimat dan temu duga program Diploma Kemahiran Malaysia. 

Sindiket itu didalangi seorang lelaki yang mempunyai 40 pekerja bertindak menghantar surat kepada mangsa menggunakan kepala surat Kementerian Sumber Manusia untuk mengikuti sesi taklimat dan temu duga program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).Mangsa, Liew Suh Ping, 19, berkata selepas menerima surat itu beliau ke PICC bersama keluarganya mendengar taklimat berkenaan dan diminta membayar RM500 sebagai yuran pendaftaran.Taklimat itu dikendalikan 40 pekerja yang memakai kot mempunyai logo kementerian terbabit dan mereka bercerita mengenai kursus ditawarkan dan insentif diberikan kerajaan. 

Mereka menyuruh semua pelajar pulang dan menunggu surat tawaran yang akan dihantar ke alamat didaftarkan dalam tempoh sebulan, katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. 

Liew berkata, menyedari tiada surat diterima dalam tempoh berkenaan, beliau menghubungi ejen syarikat itu dan mereka memintanya memasukkan RM2,000 ke dalam akaunnya. 

Katanya, beliau yakin ditipu syarikat itu kerana gagal menghubungi mereka selepas itu selain alamat lokasi yang dinyatakan di dalam resit tidak wujud. 
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Gombak, minggu lalu. 

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menerima 400 panggilan memaklumkan berhubung kes itu tetapi mangsa enggan membuat laporan. 

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat kes itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana membabitkan ramai mangsa terutama pelajar yang baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM. 

Polis buru sub ejen judi RM1j sehari


Oleh Suhana Roslan

2010/08/20

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang ahli perniagaan, dipercayai sub ejen kepada sindiket perjudian dalam talian pelbagai sukan antarabangsa membabitkan nilai pertaruhan berjumlah RM1 bilion, dilumpuhkan polis dalam serbuan di Ampang, kelmarin. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata pihaknya kini dalam proses menjejaki lokasi suspek yang terbabit secara langsung dalam sindiket perjudian antarabangsa itu dengan nilai pertaruhan mencecah RM1 juta sehari.Beliau berkata, dalam serbuan pada jam 2.30 petang kelmarin di Pusat Perniagaan Megan Avenue, Jalan Ampang di sini, seramai 17 individu ditahan dipercayai pekerja kepada ejen kecil terbabit.Ketika serbuan dilakukan semua pekerja berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu sedang mengambil dan menerima wang pertaruhan daripada pelanggan, katanya. 

Mohd Bakri berkata, sebanyak 34 komputer dan 74 monitor LCD dirampas, sindiket itu dipercayai berpangkalan di Hong Kong dan mempunyai ejen serta sub ejen di beberapa negara Asia. 

Katanya, sindiket berjaya ditumpaskan itu diburu polis sejak dua tahun lalu kerana sering bertukar lokasi bagi mengelakkan kegiatan mereka diketahui. 

Siasatan awal juga mendapati sindiket turut menggunakan mata wang Hong Kong sebagai nilai pertaruhan dan kita percaya ia juga berpangkalan di negara itu, katanya. 
Beliau berkata, terdapat 9,000 sub ejen yang ditugaskan untuk mengawal selia dan mengurus mereka yang membuat pertaruhan di seluruh dunia, manakala kira-kira 30 sub ejen menjalankan kegiatan berkenaan di negara ini. 

Sementara itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tembakan Ketua Pemuda MIC Hulu Langat, A Kalaiarasu, 40, di Kajang, Selangor, kelmarin tampil membantu polis menjejaki suspek. 

Pemandu kereta melecur jatuh gaung 40 meter




2010/08/20


PEMANDU kereta yang  melecur teruk   dalam nahas di Kilometer 11 Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus   diselamatkan anggota bomba,   semalam.

PEMANDU kereta yang melecur teruk dalam nahas di Kilometer 11 Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus diselamatkan anggota bomba, semalam.



SEREMBAN: Jeritan meminta tolong dari gaung sedalam 40 meter mengejutkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sedang memadam kebakaran sebuah kereta di Kilometer 11 Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus, jam 1.05 petang semalam.

Berikutan itu, anggota bomba turun ke dalam gaung melakukan pemeriksaan dan terkejut melihat seorang lelaki mengerang kesakitan di pangkal sebuah pokok dengan kesan kebakaran hampir 80 peratus badannya.Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Esa, berkata usaha menyelamat lelaki itu mengambil masa kira-kira 10 minit dan membawanya naik menggunakan pengusung dan tali, sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.Lelaki berusia 30-an yang melecur teruk itu adalah pemandu kereta Proton Wira yang terbakar dan dia berjaya keluar dari keretanya tetapi terjatuh ke dalam gaung bersebelahannya. 

Dalam kecederaan dan tersangkut pada pokok, mangsa mampu menjerit meminta tolong dan berjaya diselamatkan untuk rawatan lanjut, katanya di sini, semalam.

Ariffin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera sebaik menerima panggilan memaklumkan kejadian itu dan tanpa mengetahui pemandunya terjatuh ke dalam gaung.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Zaidi Aziz, 26, yang kebetulan melalui tempat kejadian berkata, dia ternampak sebuah kereta terbakar menyebabkannya berhenti dan melakukan pemeriksaan. 
"Saya terus menghubungi bomba bagi memadam kebakaran sebelum kejadian lebih buruk berlaku, tetapi tidak menyangka pemandu kereta itu berada dalam gaung," katanya.

14 terkorban, berpuluh lagi hilang



BEIJING - Seramai 14 orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh yang melanda perkampungan di lembah terpencil bahagian barat daya China, semalam. 

Kejadian tanah runtuh terbaru yang melanda Puladi di wilayah Yunnan itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat. 

Sekurang-kurangnya 10 buah lori dan 21 buah rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh tersebut. 

Media tempatan turut melaporkan kemungkinan mangsa untuk terselamat adalah sangat tipis. 

Kawasan yang terletak di pedalaman wilayah Yunnan tersebut menyukarkan pasukan penyelamat untuk melakukan operasi mencari berpuluh-puluh mangsa yang dipercayai hilang dan terperangkap dalam timbunan batu dan lumpur sedalam 300 meter itu.

Mayat bayi ditemui diperhentian bas

REMBAU - Mayat seorang bayi lelaki dengan kesan lebam di bahagian kepala, mata, pipi kiri dan kanan serta di bahagian belakang badannya ditemui ditinggalkan di atas tempat duduk di sebuah perhentian bas di Batu 8, Jalan Pedas-Linggi dekat sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang ramai kira-kira pukul 6.05 pagi.

"Polis yang tiba di tempat kejadian menemui mayat bayi lelaki itu yang dianggarkan berumur 10 hingga 12 bulan dan diletakkan di atas tempat duduk pondok menunggu bas. Bayi itu mempunyai ketinggian 0.76 meter dan lengkap berpakaian serta dibaluti kain batik dan tuala mandi," katanya ketika dihubungi.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam di bahagian kepala, mata, pipi kiri dan kanan serta di bahagian belakang.

Katanya, bayi yang dijumpai ini dipercayai berbangsa Melayu kerana terdapat kesan cacar di lengan kirinya.

"Polis sedang menyemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyiasat berhubung kelahiran bayi itu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau melalui talian 06-6852222 atau 06-6851999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Saya juga merayu kepada klinik swasta terdekat agar segera menghubungi pihak polis jika ada memberi rawatan kepada bayi dalam lingkungan 10-12 bulan seperti demam atau pun terjatuh dalam tempoh terdekat," katanya.

Kelindan lori maut, pemandu parah dalam kemalangan


KUALA LUMPUR - Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera parah dalam satu kemalangan di KM 451.4 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur dekat Rawang, pagi ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Che Hussin Omar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, Sin Kwai Chin, 57, yang berasal dari Ipoh, Perak, mati di tempat kejadian selepas lori yang dinaikinya merempuh sebuah treler.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduknya maut akibat kecederaan parah di kepala selain patah kaki manakala pemandu yang dikenali sebagai Subramaniam, 32, cedera parah.

Katanya, lori yang dipandu Subramaniam merempuh belakang treler tersebut yang membawa muatan cermin, tetapi pemandu treler berkenaan, S.Kartik, 22, yang berasal dari Perak tidak mengalami sebarang kecederaan.

Che Hussin memberitahu Bernama bahawa mayat Sin dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala Subramaniam dimasukkan ke hospital sama dan dilaporkan koma.

Seludup kerang haram




KAMPUNG ACHEH – Sebanyak 100 guni benih kerang tanpa permit bernilai kira-kira RM90,000 dirampas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak dalam sekatan jalan raya di Sitiawan-Sungai Tinggi, Taiping kelmarin. 

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM, Deputi Superintendan Shaari Ariffin berkata, serentak itu juga anggotanya menahan dua lelaki berusia lingkungan 20an iaitu pemandu dan kelindan lori yang membawa muatan benih kerang secara tidak sah itu.

Katanya, PGM mengetahui kegiatan itu berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam mengenai aktiviti itu yang dilakukan tanpa permit dari Selangor.

“Sepasukan anggota PGM diketuai Sarjan Selamat Sartimin ini bergegas ke tempat berkenaan dan telah mengesan pergerakan sebuah lori yang mencurigakan di jalan raya Sitiawan-Sungai Tinggi.

“Daripada penahanan lori dan pemeriksaan yang dilakukan, kita dapati kedua-dua lelaki berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berkaitan muatan benih kerang dibawa mereka,” katanya kepada Sinar Harian di Markas Operasi PGM di sini, malam semalam.

Shaari berkata, kedua-dua lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PGM bagi menjalankan siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan, Peraturan-peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kaltura Kerang) 2002 tanpa sebarang dokumen atau permit.

Semua benih kerang itu katanya, dipercayai dibawa dari Selangor sebelum di seludup masuk ke negeri utara.

“Rampasan benih kerang ini adalah kejayaan kelima PGM sepanjang tahun ini. Kita mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai apa juga kegiatan menyalahi undang-undang dikesan berlaku di perairan negara,” katanya.

Diserang anggota Rela




BAKAR ARANG - Seorang pendawai elektrik ditampar anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) akibat tersalah gurau dengan salah seorang daripada lima anggota berkenaan, ketika menikmati makanan di sebuah restoran di sini, kelmarin.

Pendawai elektrik, Ng Yew Kheong, 49, berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam di Restoran Kim Choi, Taman Bersatu di sini, ketika dia sedang menikmati makanan seorang diri.

Menurutnya, pada masa sama, lima anggota Rela yang lengkap berpakaian uniform juga sedang menikmati makanan di restoran berkenaan di meja berasingan.

“Saya kemudiannya mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan bergurau dengan salah seorang daripada mereka, tanpa ada niat untuk mengganggu atau membuat kacau.

“Tiba-tiba sahaja dia menyerang dengan menampar muka dan kemudiannya mencekik leher saya. Saya juga sempat melihat nama salah seorang daripada mereka berdasarkan cetakan pada uniform yang dipakai,” katanya.

Yew Kheong berkata, berikutan itu, dia kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda jam 1.45 pagi. Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kira-kira jam 2.45 pagi.

Menurutnya, dia kecewa dengan tindakan anggota Rela berkenaan yang disifatkan sebagai pasukan untuk mengawasi keselamatan orang awam, namun melakukan keganasan terhadapnya.

“Saya berharap pihak polis dapat menyiasat perkara ini dengan terperinci dan tindakan segera harus diambil terhadap anggota Rela berkenaan agar perkara ini tidak berulang kembali kepada orang lain.

“Jika salah seorang daripada mereka berkecil hati dengan gurauan saya, tidak semestinya mereka sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri dengan menampar dan mencekik saya” katanya kepada Sinar Harian.

Tanah runtuh hempap kereta




BAHAU - Seorang penduduk di sini hanya mampu melihat tempat letak kereta rumahnya runtuh, sekali gus menghempap tiga kereta di dalamnya dan mengakibatkan semua kenderaan terbabit rosak. 

Rosan Shaari, 41, berkata, ketika kejadian itu, dia baru sahaja menghidupkan enjin lorinya untuk dialihkan ke tempat lain. 

Menurutnya, mengikut perancangannya selepas mengalihkan lori berkenaan, dia akan mengalihkan pula semua keretanya ke kawasan lebih selamat. 

“Jiran memaklumkan pagar rumah saya sudah runtuh. Justeru, saya bertindak segera mengalihkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. 

“Namun tidak sempat saya berbuat demikian, tanah runtuh berlaku dan menghempap semua kereta saya,” katanya. 

Rosan berkata, ketika kejadian semua ahli keluarganya sedang berbuka puasa dan hujan lebat beberapa minit kemudian.