Search This Blog

Thursday, August 19, 2010

Penjara sehari palsu MC

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van dihukum sehari penjara dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dua pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit (MC) untuk kakitangan kerajaan dan swasta empat tahun lalu.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Marzuki Hunsi, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan Lum Weng Cheong membuat empat set buku sijil cuti sakit palsu bagi membolehkan ia digunakan oleh mana-mana kakitangan kerajaan mendapat cuti dan gaji penuh bulanan.
Kesalahan itu dilakukan di Long Last Printing, No12, Jalan 3/5, SD5/2G, Sri Damansara, pada Februari 2006. Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa bersubahat dengan Beh Wei Chun membuat satu sijil cuti kerajaan yang dilakukan di Cass Printing & Packaging Sdn Bhd, No 7, Jalan Gangsa SD5/3D Sri Damansara, pada Februari sehingga Mac 2006.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, dia didakwa menjual buku sijil cuti palsu itu dengan harga RM160 sehingga RM650 yang mengandungi 100 helai. Dia turut membuat beberapa cop getah palsu atas nama pegawai-pegawai perubatan yang bertugas di klinik dan hospital kerajaan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) K Sevan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : Harian Metro

‘Pulanglah Ain’


TANJUNG MALIM: Pulanglah Ain, mak dan ayah serta adik-beradik rindukan Ain dan kami semua sedia memaafkan kesalahanmu, rayu Norsiah M Nur, 44, ibu kepada Nur Ain Syafiqa Mazri, 16, yang menghilangkan diri sejak lima bulan lalu, dipercayai mengikut teman lelaki.
Kali terakhir Nur Ain dilihat pagi 12 Mac lalu selepas ibunya menghantar remaja berkenaan ke sekolah pagi lengkap berpakaian sukan dan bertudung hitam.
Malah, ketika menghilangkan diri, Nur Ain yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Norsiah berkata, ketika menjemput Nur Ain di sekolah pada tengah hari, kelibat anaknya itu tidak kelihatan selepas lebih sejam menunggu.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya masuk kesekolah dan memeriksa setiap kelas di blok bangunan sekolah itu namun, gagal menemui Nur Ain.
Saya juga cuba menghubungi Nur Ain menerusi telefon bimbit namun tiada jawapan, malah rakan sekolahnya juga tidak tahu ke mana dia pergi, katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Sungai Jurong, Slim di sini, semalam.
Menurutnya, selepas gagal menemui sebarang petunjuk, dia membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Bernam dan sehingga kini, mereka sekeluarga tidak menerima sebarang maklumat mengenai anaknya itu.
Norsiah berkata, seminggu selepas kejadian itu, guru sekolah Nur Ain menemuinya dan memberikan nombor telefon terkini anaknya itu yang diperolehi daripada rakan sekolah.
Saya cuba menghubungi nombor berkenaan dan daripada nada suara Nur Ain, dia seolah berada dalam ketakutan dan diawasi seseorang membuatkan saya semakin risau, katanya.
Sumber : Harian Metro

Sanayah menangis tanpa bercakap



MERSING: Pelajar tingkatan lima, Sanayah Abas, 17, yang melarikan diri dari rumah keluarganya di Felcra Sungai Ambat di sini, kerana mengikut teman lelakinya dari Lombok, Indonesia, hanya menangis dan tidak mahu bercakap dengan ibunya apabila dihubungi sejak hilang Ahad lalu.
Ibunya, Asiah Yahya, 37, berkata dia dan ahli keluarga lain berjaya menghubungi telefon bimbit Sanayah tetapi panggilan itu dijawab teman lelakinya yang dikenali sebagai Adam.
Setiap kali dihubungi, Adam yang menjawab dan kami minta bercakap dengan Sanayah tetapi lelaki itu mengatakan Sanayah enggan berbuat demikian. Alasan diberikan Sanayah takut bercakap dengan kami. Bagaimanapun, saya terdengar Sanayah menangis, katanya.
Asiah memaklumkan kepada Adam untuk menghantar Sanayah kembali ke pangkuan keluarga tetapi lelaki Lombok terbabit buat tidak tahu saja.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Sanayah diminta menghubungi talian 019-7075736, 013-7472540 atau balai polis berhampiran.
Kami merayu bantuan orang ramai yang melihat Sanayah supaya menghubungi kami, katanya.
Sumber : Harian Metro

Amuk tendang anu penyelia

AMPANG: Akibat gagal menunjukkan sijil cuti sakit (MC), seorang pengawal keselamatan mengamuk sebelum menendang alat sulit penyelianya yang bertanyakan mengenai cuti yang diambil pekerja itu ketika berada di tempat kerja mereka di sebuah pasar raya, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, pengawal keselamatan terbabit tidak berpuas hati dengan penyelia berkenaan yang bertanya berhubung cuti yang diambil beberapa hari sebelum itu selain dia turut didapati tiba lewat ke tempat kerja pada hari kejadian.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika itu pengawal keselamatan terbabit dipanggil masuk ke dalam bilik penyelianya untuk berbincang mengenai cutinya.
Sejurus masuk, penyelianya bertanyakan MC dan mengapa dia bercuti sebelum pengawal keselamatan terbabit secara tiba-tiba naik berang dan menghayunkan kerusi dan melontar ke arah mangsa.
Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit yang hilang kawalan turut melontarkan walkie-talkie ke arah mangsa selain membuang pelbagai barang lain yang berada dalam bilik berkenaan, katanya.
Bagaimanapun, seorang lagi penyelia yang kebetulan turut berada dalam bilik terbabit cuba mententeramkan lelaki berkenaan sebelum dia akhirnya keluar dari bilik itu.
Namun, sangkaan mereka yang kemarahan lelaki berkenaan sudah reda ternyata meleset apabila dia secara tiba-tiba membawa topi keledar meluru masuk semula ke dalam bilik berkenaan.
Kali ini, lelaki terbabit cuba memukul mangsa dengan topi keledar namun gagal sebelum dia melepaskan tendangan yang terkena tepat pada alat sulit mangsa, katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di kaki akibat terkena kerusi yang dihayun selain kecederaan di alat sulitnya yang ditendang pengawal keselamatan terbabit.
Mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu kemudian terpaksa mendapatkan rawatan di klinik, manakala suspek yang berusia 30 tahun itu pula melarikan diri dan turut mengugut akan mengajak beberapa rakannya membelasah mangsa.
Sehubungan itu, polis sedang mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, katanya.
Sumber : Harian Metro

Ditembak ketika minum petang



KAJANG: Seorang lelaki cedera terkena dua das tembakan daripada orang yang tidak dikenalinya ketika sedang minum petang bersama rakan di sebuah restoran di Jalan Raja Harun, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kalaiarasu, 40-an, ditembak seorang lelaki yang secara tiba-tiba memasuki restoran sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, mangsa didatangi seorang lelaki yang memakai jaket serta topi keledar berpenutup penuh sebelum mengeluarkan pistol.
Penembak terbabit melepaskan dua das tembakan yang mengenai badan mangsa dan kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi suspek.
Mangsa yang cedera bagaimanapun berjaya keluar dari restoran berkenaan melalui pintu belakang sebelum meminta bantuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, katanya di sini, semalam.
Menurutnya, anggota polis menghantar mangsa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan sebelum merakamkan keterangannya.
Siasatan mendapati senjata yang digunakan dipercayai pistol jenis automatik dan kedua-dua suspek mungkin lelaki tempatan berusia 20-an. Tiada saksi yang dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek kerana kejadian berlaku terlalu pantas, katanya.
Beliau berkata, polis percaya motif kejadian mungkin disebabkan dendam, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Difahamkan, mangsa mempunyai sebuah syarikat kawalan keselamatan dan beberapa bengkel kenderaan.
Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Sumber : Harian Metro

Marah penjenayah tembak warga emas

SUBANG JAYA: Sukar untuk saya luahkan perasaan yang bermain di dalam fikiran saya ketika itu, kata Hosin Senawi, 29, yang menerima anugerah kenaikan pangkat secara medan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, atas jasanya menahan seorang penjenayah pada 28 Jun lalu.
Beliau berkata, dia bertindak demikian kerana timbul perasaan marah yang membuak-buak terhadap penjenayah itu kerana menembak mati seorang warga emas dan cuba melarikan diri.
Saya sudah berazam dalam diri saya sejak menjawat jawatan sebagai anggota polis kira-kira 11 tahun lalu untuk sedaya upaya membantu masyarakat, katanya selepas menerima kenaikan pangkat Koperal pada majlis berkenaan.
Menceritakan kejadian pada 28 Jun lalu itu, beliau yang sedang membeli ubat di sebuah restoran di Seri Kembangan, di sini, terkejut apabila mendengar bunyi dua das tembakan pada bahagian belakang restoran berkenaan.
Difahamkan, beliau yang berpangkat lans koperal ketika itu meluru ke arah bunyi tembakan itu dan melihat mangsa sudah rebah dan berlumuran darah berhampiran kereta mewahnya.
Kebetulan, saya melihat seorang lelaki berlari ke arah tempat letak kenderaan dan saya mengesyaki dia adalah suspek.
Saya jerit polis supaya dia berhenti, namun dia menghalakan pistol ke arah saya. Saya mengelak dan melihat dia menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara. Disebabkan perasaan marah dan geram yang membuak-buak ketika itu, saya sekuat hati mengejarnya sejauh satu kilometer, katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Menurutnya, suspek turut melepaskan dua das tembakan ke arahnya, tetapi tidak mengenainya.
Bagaimanapun, kesesakan jalan raya memaksa suspek keluar dari kereta dan terus melepaskan dua das lagi tembakan, namun kecekalan untuk menahan suspek akhirnya membuahkan hasil apabila suspek berjaya diberkas selepas bergelut beberapa minit.
Ketika pergelutan, suspek cuba menarik picu untuk menembak saya, demi keselamatan, saya menembak kaki suspek dan merampas pistolnya itu.
Saya kemudian menghubungi dua rakan sebelum mereka datang membantu menahan suspek, katanya.
Sumber : Harian Metro

Terbabas dalam parit



JERTIH: Seorang mekanik terselamat selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Kampung Bintang, dekat Setiu, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Kamaruddin Abd Rahman, 35, memandu seorang diri dalam perjalanan dari Jertih menuju Kampung Rahmat, Chalok, Setiu, untuk pulang berbuka puasa di rumahnya.
Bagaimanapun, sebaik tiba di Kampung Bintang, kereta mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban dalam parit sedalam tiga meter.
Ketika ditemui, Kamaruddin berkata, stereng kereta Mazda dipandunya itu tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkannya gagal mengawal kenderaan itu sebelum terbabas dalam parit.
Bagaimanapun, dia tidak cedera serius kecuali luka di lutut dan kaki akibat rempuhan kuat ketika kenderaan itu melanggar tebing parit.
Menurutnya, kereta dipandu itu milik pelanggan yang dihantar ke bengkel majikannya untuk dibaiki sempena Aidilfitri.
Sumber : Harian Metro

Israel lancar empat serangan udara ke Gaza




2010/08/18

BANDARAYA GAZA: Pesawat pejuang Israeli awal hari ini melancarkan empat serangan udara ke atas selatan Semenanjung Gaza tetapi belum ada laporan mengenai mereka yang cedera.

Sumber keselamatan Palestin dan saksi berkata, serangan itu mensasarkan sekitar Rafah dan utara Khan Yunis, berhampiran sempadan Mesir serta Zeitoun, timur Bandaraya Gaza dan kem pelarian Deir al-Balah.Jurucakap tentera Israel memberitahu AFP, pasukan tentera udara melancarkan empat serangan udara ke atas Semenanjung Gaza dengan mensasarkan 'kilang senjata api' dan tiga terowong yang digunakan untuk menyeludup senjata dari Mesir.Serangan itu juga katanya susulan serangan mortar yang dilepaskan ke atas kawasan Israel dari Semenanjung Gaza.

Dua askar Israel dilaporkan cedera awal semalam selepas terkena serangan mortar yang dikatakan ditembak oleh pejuang Palestin dari Semenanjung Gaza.

Pada Isnin pula, seorang anggota Jihad Islam terbunuh, manakala seorang askar Israel cedera dalam satu serangan berbalas tembakan. - AFP 

8 maut dalam letupan di Xinjiang




2010/08/19

URUMQI, China: Media kerajaan melaporkan letupan sebuah kenderaan membunuh tujuh orang dan mencederakan 12 yang lain di wilayah Xinjiang. 

Agensi Berita Xinhua melaporkan sebuah kenderaan tiga roda meletup pagi ini di atas sebuah jambatan di bandar Aksu di barat daya Xinjiang.Laporan itu tidak menyatakan butiran lanjut.Xinjiang menjadi lokasi konflik etnik sejak beberapa tahun lalu, termasuk rusuhan tahun lalu yang membunuh hampir 200 orang. - AP 

Gempa bumi sederhana landa selatan Jawa




2010/08/19

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku pada 11.31 pagi ini di selatan Jawa, kira-kira 332 kilometer (km) di barat daya Bandung di Indonesia dan 1,263km barat daya Tebedu, Sarawak. 

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan di sini, berkata pusat gempa bumi itu terletak di kedudukan 9.8 Selatan dan 106.9 Timur.

Kereta api China jatuh ke sungai selepas jambatan dihanyut banjir



2010/08/19

BEIJING: Beberapa gerabak kereta api penumpang jatuh ke sungai hari ini selepas banjir menghanyutkan jambatan di wilayah Sichuan. 

Agensi berita Xinhua melaporkan nahas berlaku di Guanghan, sebuah bandar terletak kira-kira 50 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Chengdu.Xinhua tidak menyatakan butiran lain.China dilanda banjir dan tanah runtuh dengan beberapa bandaraya di barat laut dan timur laut negara itu terjejas teruk dengan kerosakan mencecah berbilion dollar Amerika. - AP 

Bekas Timbalan Pendakwa Raya diperintah bela diri tuduhan lupus kereta mewah



KLANG - Seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri, empat tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Lukman Zainuddin, 37, yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya antara 1997 hingga 2002.

Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk tertuduh yang diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff membela diri atas tuduhan itu.

Polis rampas mercun dan bunga api



TANAH MERAH - Polis merampas 198 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM150,000 selepas menahan sebuah lori di Jalan Wan Ahmad, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, lori itu pada mulanya membolosi sekatan jalan raya oleh di Jalan Padang Siam, namun ia ditahan kira-kira dua kilometer kemudian selepas memasuki jalan mati pada kira-kira pukul 4 pagi.

"Selepas diperiksa kami menemui 198 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis di dalam lori itu yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tujuh tahun.
Abdul Aziz berkata, polis sedang berusaha mengesan pemilik lori berkenaan, dan juga pemandu yang melarikan gelap selepas meninggalkan lori itu di tepi jalan dalam gelap gelita.

Empat penjungung cedera lantai pusat beli belah runtuh



KUALA LUMPUR – Empat pengunjung cedera ringan selepas lantai sebuah pusat beli belah di Lorong Haji Taib runtuh petang tadi.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, sehingga kini empat mangsa telah berjaya diselamatkan dan mereka hanya mengalami cedera ringan.

Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar belum dapat dipastikan dan pihaknya masih lagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Mangsa asid sudah boleh melihat dan membaca



KUALA TERENGGANU - Nurul Dahyatul Fazlina Khalid yang mengalami cedera parah di bahagian muka akibat disimbah asid dalam kejadian yang turut melibatkan ibu, adik dan neneknya pagi Ahad lalu, kini beransur baik.

Ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Nurul Dahyatul yang berumur lapan tahun berkata, keadaannya semakin baik dan lebih mengembirakan dia sudah boleh melihat dan membaca.

"Lepas pembedahan di muka sebelum ini, mata saya sudah boleh nampak," katanya.

Nurul Dahyatul berkata, dia tidak pasti bila akan dibenarkan keluar daripada hospital kerana pada Sabtu ini doktor akan membuat satu lagi pembedahan di belakangnya yang turut melecur terkena asid.

Tony Pua serah sampel cap jari dan DNA untuk bantu siasatan

PETALING JAYA: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP Tony Pua akan menyerahkan sampel cap jari dan DNA (asid deoksiribonukleik) kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi membantu siasatan polis berhubung nota ugutan mati dan sebutir peluru yang diterimanya, 11 Ogos lalu.
"Saya difahamkan polis mahukan sampel itu bagi membuktikan saya tidak terbabit dalam kejadian ini," katanya selepas berjumpa dengan pegawai polis yang menyiasat kes tersebut di Balai Polis Mutiara Damansara, di sini hari ini.
Khamis lalu, Pua yang juga ketua publisiti DAP, membuat laporan polis kira-kira 4.30 petang selepas menerima nota ugutan mati dan sebutir peluru hidup yang dihantar ke pusat khidmat beliau di Damansara Utara. Keesokan harinya beliau dipanggil oleh pegawai penyiasat untuk diambil keterangan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

-Bernama

Lelaki Aceh dipenjara lapan tahun, 10 sebatan kerana miliki kanabis

SHAH ALAM: Seorang pekerja kedai runcit dari Aceh, Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 207 gram, April lalu.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan tertuduh, Yusri Muhammad Syah, 33, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 27 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Runcit Badek Maju Enterprise, Lot 2790, Bukit Naga, Seksyen 32 di sini, kira-kira pukul 4 petang pada 27 April.

Yusri didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan.

Dalam rayuan untuk peringanan hukuman, peguam Ab Kadir Ismail yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berumur dua tahun serta berpendapatan RM600 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang deterren bagi mengekang kes-kes dadah yang berleluasa di negara ini.-Bernama

Polis cari lelaki samun dua wanita di Ipoh dan Batu Gajah semalam

IPOH: Polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan berhubung kes samun dan curi kereta membabitkan dua wanita masing-masing satu kes di sini dan di Batu Gajah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abu Bakar Ibrahim berkata, dalam kejadian di Lahat, di sini semalam, seorang wanita berusia 51 menjadi mangsa samun seorang lelaki bermotosikal ketika wanita itu berhenti di satu simpang empat berlampu isyarat.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 4 petang apabila juruteknik yang memandu sendirian itu dirempuh dari belakang oleh seorang lelaki bermotosikal ketika dia berhenti di simpang tersebut.

"Semasa wanita itu memeriksa kerosakan, lelaki itu terus bertindak melarikan kereta, manakala motosikal yang ditunggangnya ditinggalkan saja di tepi jalan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kereta jenis Proton Wira itu ditemui kembali di sebuah stesen minyak di Pusing, Batu Gajah, kira-kira 35km dari tempat kejadian, lima jam kemudian.

Abu Bakar berkata, siasatan polis mendapati suspek meninggalkan kereta itu di stesen minyak berkenaan selepas merempuh sebuah kereta lain yang dipandu seorang wanita yang sedang berhenti untuk mengeluarkan wang di mesin automatik (ATM) di kawasan itu.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dipercayai melarikan kereta wanita yang berusia 35 tahun itu.

Menurutnya, polis mendapati motosikal yang ditinggalkan suspek di tepi jalan itu adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Tapah dua hari lalu.

Kes itu serdang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.-Bernama

Jumlah pesakit H1N1 naik 25 peratus minggu ini

KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit yang disahkan menghidap Influenza A (H1N1) meningkat 25 peratus minggu ini kepada 64 kes bagi tempoh 8 hingga 14 Ogos lepas berbanding 51 kes pada minggu sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 adalah sebanyak 15,584 orang dengan jumlah kematian kekal 92 orang.
Bagi tempoh yang sama, tujuh kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) baru dilaporkan dari lima kepada enam negeri, menurun daripada 13 kluster pada minggu sebelumnya.

"Selain itu, bilangan pesakit baru dengan simptom ILI yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan dalam tempoh sama mencatat penurunan sebanyak 8.9 peratus kepada 513 orang berbanding 563 pesakit pada minggu sebelumnya," katanya.

Baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara pada hari terakhir adalah sebanyak 360 kes di 60 hospital termasuk sembilan hospital swasta.

"Daripada jumlah itu, hanya 34 pesakit atau 9.4 peratus merupakan kes Influenza (A) H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal. Terdapat tiga kes H1N1 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesemuanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Mohd Ismail berkata, walaupun dunia kini berada di dalam fasa pasca pandemik H1N1, orang awam diingat supaya mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan kerana penularan jangkitan virus itu dijangka berterusan untuk beberapa tahun akan datang sebagai influenza bermusim.-Bernama

Cubaan seludup benih kerang di Lumut tumpas

LUMUT: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak menumpaskan satu lagi cubaan menyeludup keluar benih kerang apabila merampas 100 guni benih kerang seberat kira-kira 40,000 kilogram dalam satu operasi di sini.
Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PGM, Deputi Superitnendan Shaari Ariffin berkata, dua lelaki berusia dalam 20-an iaitu pemandu dan kelindan sebuah lori turut diberkas dalam operasi berkenaan yang dijalankan di kawasan Sungai Tinggi dekat sini kira-kira 5 petang semalam.
Beliau berkata, operasi itu hasil maklumat orang awam dan sepasukan anggota PGM menjalankan pemantauan sebelum mengesan pergerakan sebuah lori yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, lori berkenaan kemudian ditahan untuk pemeriksaan dan tindakan terus diambil setelah pemandu dan kelindan gagal menunjukkan permit membawa benih kerang.

"Nilai keseluruhan rampasan benih kerang dan termasuk lori tiga tan itu berjumlah RM90,000 dan ia merupakan rampasan benih kerang kedua terbesar sepanjang tahun ini," katanya.

Shaari berkata, rampasan dibuat mengikut Akta Perikanan Peraturan-peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kaltura Kerang) 2002.

Katanya, siasatan mendapati benih kerang itu dibawa dari Selangor untuk diseludup ke Thailand.

Kes berkenaan adalah rampasan yang kelima di Perak tahun ini melibatkan cubaan menyeludup keluar benih kerang yang diberi nama jolokan "permata hitam" kerana mendapat permintaan tinggi dan harga yang mahal di Thailand.

-Bernama

Peniaga hilang senapang patah


19/08/2010 6:19pm

BESUT - Seorang peniaga kehilangan selaras senapang patah dan 100 biji peluru hidup apabila rumahnya di Kampung Lipat Sanggul di Oh, Jabi dipecah masuk malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, peniaga itu juga kerugian barang kemas dan barang berharga lain bernilai lebih RM23,000 setelah pencuri memecah masuk rumahnya antara kira-kira pukul 8.30 dan 10.30 malam ketika beliau dan isterinya di masjid untuk solat Tarawih.
Beliau berkata, kejadian itu disedari selepas peniaga 39 tahun itu pulang ke rumah kira-kira pukul 10.30 malam dan mendapati rumahnya berselerak dan beberapa barang berharga telah hilang. - Bernama

Jeritan berjaya selamatkan mangsa terbakar


19/08/2010 6:20pm

SEREMBAN - Jeritan minta tolong seorang lelaki yang melecur teruk akibat terbakar berjaya mengalih tumpuan anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta di Jalan Lama Bukit Putus, dekat sini hari ini, untuk menyelamatkannya.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Esa berkata, dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, anggotanya mendengar jeritan meminta tolong dari dalam sebuah gaung berhampiran kereta yang terbakar.
"Kita hampir selesai memadam kebakaran kereta itu apabila terdengar jeritan meminta tolong dari bawah gaung. Anggota saya kemudian pergi menyiasat dan mendapati seorang lelaki melecur 80 peratus di bahagian muka, badan, kaki dan tangannya, terbaring di pangkal sebatang pokok,” katanya. - Bernama

Wanita nyaris maut siling kedai runtuh


19/08/2010 6:56pm

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja wanita sebuah kedai jam nyaris maut apabila sebahagian siling kedainya runtuh dalam satu kejadian di Lorong Haji Taib di sini kira-kira pukul 3.15 petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Azizan Ismail berkata, dalam kejadian di sebuah kompleks setinggi 19 tingkat itu, pekerja itu tidak sempat melarikan diri apabila siling tersebut tiba-tiba runtuh.
Ketika kejadian, hanya pekerja wanita itu yang berada dalam kedai, katanya ketika dihubungi.
"Bomba sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 3.25 petang dan mendapati mangsa tersepit di celah runtuhan. Bagaimanapun dia hanya cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Azizan berkata, runtuhan dipercayai akibat tindakan pemilik premis tersebut mengubah suai dan meletakkan stok barangan yang dijual di atas siling di tingkat dua kedai itu.
"Mereka ubah suai dengan menjadikan tempat tersebut sebagai stor yang menyebabkan siling itu tidak dapat menampung muatan berat lalu runtuh. Justeru saya mahu ingatkan pihak pengurusan bangunan termasuk bangunan lain agar memeriksa setiap lot kedai agar perkara sama tidak berulang,” katanya. - Bernama

Pengawal warga Bangladesh mati ditetak


19/08/2010 6:59pm


BINTULU - Seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh mati ditetak oleh dua perompak yang cuba memecah masuk sebuah gudang di tapak Projek Hidroelektrik Murum dalam daerah Belaga, kira-kira 250 kilometer dari sini.
Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Bakar Sebau yang mengesahkan kejadian itu hari ini berkata, insiden itu berlaku kira-kira 11 malam Selasa lepas dan mangsa dikenal pasti sebagai Sulfigar Ali Khan, 50.
Berdasarkan laporan yang dibuat, beliau berkata, Sulfigar sedang melakukan tugas rondaan bersama seorang lagi pengawal keselamatan apabila dua lelaki masing-masing bersenjatakan parang tiba-tiba muncul dari hutan berhampiran gudang itu dan menyerang mereka.
Dalam keadaan kecoh itu, rakan setugas Sulfigar melarikan diri dari tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan daripada pekerja lain di tapak projek itu, namun sekembalinya semula ke situ, dia melihat Sulfigar terbaring di tanah dengan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah akibat luka di perutnya.
Penyerangnya dipercayai melarikan diri ekoran bimbang tindakan balas daripada rakan setugas Sulfigar.
Sulfigar dibawa ke hospital Bintulu menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepunyaan syarikat yang mengendalikan projek itu di mana dia disahkan meninggal dunia.
Bakar mengetuai sepasukan polis ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk menjalankan siasatan.
Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat.
Pekerja asing, terutamanya dari Bangladesh, diambil bekerja oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam kerja-kerja awal pembangunan projek hidroelektrik Murum, iaitu yang kedua seumpamanya dalam daerah Belaga.
Tapak projek itu sehingga kini hanya boleh dikunjungi melalui bekas jalan balak yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bakun, iaitu tapak projek hidroelektrik pertama dalam daerah ini yang kini di peringkat akhir untuk disiapkan. - Bernama

4 anggota kumpulan ‘Yusuf Meling’ ditahan


19/08/2010 7:01pm

SHAH ALAM - Polis Selangor menahan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan ‘Yusuf Meling’ yang terbabit dalam beberapa kejadian pecah kereta di sekitar Lembah Klang, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Megah, Ampang Jaya, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah berkata, semua suspek yang berumur antara 17 dan 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dalam serbuan yang dibuat berdasarkan maklumat awam pada kira-kira pukul 3.15 pagi.
Beliau berkata, suspek yang ditahan dalam bilik pangsapuri yang disewa itu disyaki terlibat dalam 30 kes pecah kereta sekitar Pandan Indah dan Ampang.
"Hasil siasatan mendapati kesemua mereka terlibat dengan penggunaan dadah, dan salah seorang daripada mereka mempunyai enam rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor. - Bernama

Jumpa sehelai sapu tangan



KUALA TERENGGANU – Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan individu yang terlibat dalam kes pembuangan seorang bayi lelaki di Jalan Hulu Takir, Seberang Takir, di sini malam kelmarin. 

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti ibu bapa bayi malang yang ditinggalkan itu dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat. 

Menurutnya, beberapa bidan berhampiran telah disoal siasat bagi memastikan sama ada mereka pernah menyambut kelahiran bayi dalam masa terdekat namun tidak ada gadis dilaporkan melahirkan bayi dengan mereka. 

“Selepas ini kita akan menemui bidan lain pula untuk dapatkan maklumat dan lawatan ke klinik berhampiran juga gagal menemui petunjuk ada gadis yang mendapatkan rawatan kerana bersalin. 

“Setakat ini kita hanya menemui sehelai sapu ta-ngan berwarna merah jambu di tempat kejadian dan tidak ada bukti lain dijumpai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam. 

Manoharan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan bayi itu kini ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan. 

Katanya, bayi seberat tiga kilogram itu ditemui dalam keadaan sihat dan sempurna, dia dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui dalam keadaan bogel di depan rumah seorang anggota polis di Jalan Hulu Takir. 

Menurutnya, laporan polis kemudiannya dibuat kira-kira jam 11.30 malam di Balai Polis Gong Badak oleh anggota polis berkenaan. 

Dengan penemuan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu atau mengetahui mana-mana wanita bersalin tanpa anak di sisi agar segera menghubungi balai polis berhampiran. 

“Kita perlukan kerjasama orang awam bagi mengesan ibu bapa bayi ini dan setakat ini belum ada individu yang tampil memberikan maklumat,” katanya.

Warga Singapura didenda RM15,000



JOHOR BAHRU - Gara-gara cuba memberi rasuah kerana mahu terlepas daripada disaman setelah memandu melebihi had laju, seorang ahli perniagaan dari Singapura dipenjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Salawati Djambari mengenakan hukuman tersebut terhadap Ong Peoy Kuan, 62, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan. Peoy Kuan yang diwakili peguamnya, G Ksritharan, kemudiannya membayar denda berkenaan.

Beliau mengaku bersalah memberi rasuah sebagai dorongan kepadanya tidak mengambil tindakan kepadanya.

Pihak peguambela Peoy Kuan memohon agar hukuman lebih ringan memandangkan beliau mengidap penyakit buah pinggang dan diabetes, bagaimanapun pihak pendakwaraya menegaskan kes ini serius kerana melibatkan penjawat awam.

Pendakwaan kes tersebut dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Ghafar Abdul Latif. 

Mengikut pertuduhan, pada jam 5 petang, 30 Mei lalu di Km 18.3 arah selatan, Peoy Kuan, didakwa cuba merasuah anggota polis trafik, Konstabel Muhammad Hafiz Aziz, kerana memandu lebih had.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.