Search This Blog

Wednesday, August 18, 2010

Mayat bayi ditemui dibuang dalam tong sampah hospital


18/08/2010 6:38pm

MELAKA 18 Ogos - Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam tong sampah di Hospital Melaka di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd. Adnan Abdullah berkata,
sehubungan itu, polis menahan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an di hospital itu dan teman lelakinya, 20-an, di Batu Berendam di sini.
Beliau berkata, pada pukul 7 malam semalam, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka mengenai seorang pesakit wanita yang disyaki mempunyai kesan baru melahirkan anak.
Pengadu melaporkan wanita itu mendakwa melahirkan bayi di dalam tandas di hospital itu dan membuangnya ke dalam tong sampah di kawasan wad kecemasan, katanya.
"Berikutan itu, polis membuat pemeriksaan di semua tong sampah dan bayi yang dalam keadaan sempurna itu ditemui oleh anggota Unit Forensik polis dalam sebuah tong sampah besar pada pukul 1.55 petang ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mohd. Adnan berkata, sejak awal Januari lepas, sebanyak lima kes pembuangan bayi dilaporkan di negeri ini. - Bernama

Edar dadah di IPTS: Empat penuntut Nigeria ditahan


18/08/2010 6:49pm

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Polis percaya dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berikutan penahanan empat penuntut Nigeria dan merampas dadah jenis ganja bernilai RM30,000 dalam serbuan di Taman Serdang Perdana dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supt. Abdul Razak Elias berkata, kesemua penuntut itu, yang berusia dalam lingkungan 30-an, ditahan di rumah sewa mereka di sebuah rumah kedai tiga tingkat pada pukul 8.15 malam.
"Hasil pemeriksaan ke atas rumah mereka yang didiami sejak lima bulan
lepas itu, kami menemui dadah jenis ganja seberat 10.7 kilogram, beberapa
telefon bimbit dan mata wang Thailand sebanyak 2260 Bhat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Abdul Razak berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya penuntut
terbabit menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu secara kecil-kecilan di
kebanyakan IPTS di sini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ganja itu diseludup dari
Thailand dan dibawa masuk ke Malaysia untuk pengedaran di IPTS negara ini.
Kesemua mereka kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat
mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori, katanya. - Bernama

3 lelaki didakwa

ALOR SETAR: Tiga lelaki termasuk dua yang ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad 1933, didakwa di Mahkamah Majistret semalam atas kesalahan menggunakan senjata api dengan niat untuk menyebabkan kematian dalam rompakan di sebuah kedai emas di Pendang, bulan lalu.
Tertuduh, Marzuki Choo Abdullah, 36, Lim Hook Sen, 39, dan Zulkifly A Rahman, 25, didakwa melakukan kesalahan itu di Amigo Jewellery, Nombor 207, Pekan Tanah Merah di Pendang pada jam 12.30 tengah hari, 4 Julai lalu.
Marzuki dan Lim adalah tahanan di bawah Akta Kediaman Terhad di Kedah dan Negeri Sembilan.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang mana sabit kesalahan membawa hukuman mati. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkod daripada tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor, memohon memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Nor Azah Idris menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Dalam kejadian 4 Julai itu, seorang daripada empat perompak bertopeng yang menyerbu kedai emas itu maut selepas ditembak seorang pengawal keselamatan ketika cuba melarikan diri manakala seorang daripada mereka cedera akibat terkena tembakan daripada pengawal terbabit.

Pembela tutup kes 7 September

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 7 September sebagai tarikh hujahan peringkat akhir kes pembelaan pemandu teksi yang dituduh membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari, empat tahun.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas peguam bela tertuduh, Gurbachan Singh memaklumkan pembelaan menutup kesnya.
Mohd Fazli, 28, dituduh membunuh kanak-kanak itu di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom.

Sepanjang perbicaraan bermula sejak 7 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 33 saksi termasuk teman wanita tertuduh yang juga ibu mangsa, Siti Nurhanim Aziz, 25.

Mohd Fazli pula ketika membela diri kelmarin memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh, manakala ibunya, Nor Haziah Yusof, 52, pula menjadi saksi tunggal pembelaan. Kes itu mendapat liputan meluas apabila kanak-kanak itu meninggal dunia akibat parah anggota dalaman badan dankesan luka dipercayai didera teman lelaki ibunya.

Terdahulu, Gurbachan memaklumkan, pihaknya tidak berhasrat memanggil Inspektor Noorsyam Hanom Sharom yang merakam percakapan beramaran Mohd Fazli. Katanya, ini kerana pihaknya mendapat laporan polis mengesahkan keputusan ujian air kencing tertuduh pada jam 12.30 tengah malam, 27 Februari lalu, adalah positif.

Menangis depan hakim

SHAH ALAM: “Saya hanya ada RM1,000,” kata Julita Mohd Razani, 44, ibu kepada remaja yang dituduh meragut kakitangan Hospital Kuala Lumpur di Jalan Pahang pada hari ketiga Ramadan lalu.
Dia yang bekerja sebagai jurujual berkata demikian ketika Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar bertanyakan sama ada dia mampu menyediakan RM7,000 untuk menjamin anaknya. “Saya orang susah. Saya bekerja di pasar raya. Usia anak saya 19. Anak bongsu,” katanya menangis tersedu-sedan.
Anaknya, Muhamad Junaidi Alias didakwa meragut beg tangan dan buku nota, dua pen serta RM10 tunai milik pekerja Hospital Kuala Lumpur, Norazura Asmuni, 21. Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.20 petang pada 13 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Bagaimanapun, dia yang tidak bekerja tidak mengaku salah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohamed, menawarkan nilai ikat jamin RM7,000 memandangkan tertuduh ditangkap orang awam di tempat kejadian. Selain itu, katanya, mangsa juga cedera ringan.

Bagaimanapun, Latifah menetapkan jaminan RM2,000 selepas ibu tertuduh berjanji memastikan kehadiran anaknya apabila kes dibicarakan. Mahkamah juga menetapkan 23 September depan bagi sebutan semula kes itu.

Bekas pengetua asrama anak yatim dituduh cabul

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengetua asrama anak yatim dan miskin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mencabul kehormatan penghuni perempuan asrama itu, Oktober tahun lalu.
Abdul Rahman Ramani, 41, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Aidatul Akmal Maharani. Abdul Rahman didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan penghuni berusia 14 tahun itu dengan meraba kemaluan dan payudara mangsa di pejabat Asrama Baitul Ummah, Taman Setapak Indah, Sentul, di sini, pada jam 8 malam, 20 Oktober tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norasyikin Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela M Govindaraju.

Norasyikin sebelum itu menawarkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 kerana kesalahan dilakukannya jenayah seksual yang serius dan mengambil kira kepentingan awam. “Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika masih menjadi pengetua asrama itu dan mangsa pula penghuni di situ,” katanya.

Bagaimanapun, Govindaraju memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana terlalu tertingg dengan meminta mahkamah mengambil kira latar belakang anak guamnya yang tiada pekerjaan tetap. “Jaminan berperanan memastikan tertuduh hadir ke mahkamah, tambahan dia belum disabitkan dengan kesalahan.

“Mohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000,” katanya.

Aidatul Akmal membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 September untuk sebutan semula kes.

Pijak isteri hamil

AMPANG: Puncanya hanya kerana menguatkan bunyi televisyen, namun habuan diterima begitu azab apabila seorang wanita yang sedang mengandung enam bulan dipijak suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di sini, Ahad lalu.
Berikutan itu, bayi dalam kandungan wanita terbabit masih belum diketahui tahap kesihatannya dan polis menunggu laporan perubatan akan dikeluarkan hospital dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika pasangan berkenaan baru setahun mendirikan rumah tangga berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran.

“Ketika kejadian, suami mangsa memintanya memperlahankan suara televisyen dipasang dan mangsa mengikut arahan lelaki terbabit dengan memperlahankannya.

“Bagaimanapun, suaminya memberitahu dia mahu keluar bermain snuker bersama rakannya,” katanya.

Menurutnya, baru saja beberapa langkah suaminya mahu keluar, mangsa kembali meninggikan suara televisyen membuatkan lelaki berkenaan naik angin dan berpatah balik.
“Suami mangsa menghampiri dan dengan nada marah mendakwa mangsa cuba bersikap kurang ajar dan sengaja mencabarnya.

“Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak berniat mahu menyakitkan hati suaminya dan meninggikan suara televisyen kerana menyangkakan suaminya keluar,” katanya.
Sumber terbabit berkata, suaminya yang tidak puas hati jawapan diberikan terus meluru sebelum memukul tangan mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan kecederaan.

“Tidak cukup dengan itu, suami mangsa yang panas baran naik angin dan memijak perut mangsa yang mengandung enam bulan.

“Mangsa hanya mampu meraung dan menjerit meminta suaminya berhenti dari memijak perutnya sebelum lelaki berkenaan menghentikan tindakan itu dan meninggalkan mangsa menahan kesakitan,” katanya.

Menurutnya, isteri malang terbabit yang tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu membuat laporan kepada pihak berkuasa dan susulan itu, polis menahan suami mangsa yang berusia 20-an untuk membantu siasatan.

“Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya kelmarin bagi membantu siasatan kes terbabit dan setakat ini polis menunggu laporan pemeriksaan hospital untuk menentukan keadaan bayi dalam kandungan wanita itu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan bernasib baik kerana tidak keguguran dan mangsa mendakwa kandungannya sudah ada pergerakan dan mungkin dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Kepala dipatuk ular

KANGAR: Keajaiban pernah berlaku ke atas Ahmad Asri Mohd Indra Suadi apabila jantungnya berdegup semula selepas terhenti beberapa minit akibat komplikasi dipatuk ular tedung selar di kepalanya.

KASIH IBU...Nor Amali memujuk anaknya, Ahmad Asri yang terlantar.
KASIH IBU...Nor Amali memujuk anaknya, Ahmad Asri yang terlantar.

Malangnya, keajaiban ‘mati hidup semula’ itu tidak kekal lama kerana selepas kejadian pada 26 Mei lalu, kanak-kanak berusia dua tahun berkenaan mengalami kecacatan kekal apabila sebahagian besar otot tubuhnya menjadi kejang dan kaku.

Ahmad Asri yang juga anak yatim selepas kematian bapa ketika berusia empat bulan, kini terlantar di atas tilam di rumahnya di Kampung Bukit Merah, Beseri, dekat sini.

Ibunya, Nor Amali Ahmad, 27, berkata Ahmad Asri dipatuk ular ketika bermain seorang diri di sebuah bilik belakang rumah neneknya yang tidak jauh dari rumahnya.

“Saya menyedari kejadian itu selepas dia menangis dan mendapati kepalanya berdarah. Namun, ketika itu saya dan ahli keluarga tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

“Melihatkan keadaannya makin tidak bermaya, saya mendapat bantuan sepupu menghantar Ahmad Asri ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan dalam perjalanan ke hospital, degupan jantungnya berhenti beberapa minit hingga menyebabkan saya menyangka dia sudah meninggal dunia.
“Tetapi, dengan kuasa Allah, jantungnya berdenyut semula. Selepas tiba di hospital baru kami tahu dia dipatuk tedung selar, namun sejak hari itu dia koma sebulan di hospital,” katanya.

Nor Amali berkata, biarpun sudah sedar daripada koma pada penghujung Jun lalu, keadaan Ahmad Asri tidak pulih seperti sedia kala, sebaliknya dia hanya terbaring kerana sebahagian besar otot tubuhnya kejang.
Lebih memilukan, kesan patukan ular tedung itu menyebabkan sel kulit kepalanya mati hingga mewujudkan lubang bersaiz kecil dan ia perlu ditutup dengan pembalut bagi mengelak jangkitan kuman.

Kata Nor Amali, lubang pada kulit kepala anak bongsu daripada tiga beradik itu perlu dicuci setiap hari dan kanak-kanak berkenaan tidak mampu memamah makanan pejal, sebaliknya bergantung sejenis susu khas.

“Saya berhenti kerja sebagai pembantu kedai untuk memberi tumpuan sepenuhnya kerana anak saya kerap mengalami kekejangan otot dan doktor mengesahkan penyakit itu akan berkekalan sehingga dewasa,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Asri hanya boleh mengambil susu berharga RM29 setin yang disalurkan ke tubuh menggunakan tiub dan keluarganya terpaksa membelanjakan lebih RM500 sebulan untuk kelengkapan termasuk membeli tujuh tin susu jenis sebulan, lampin pakai buang susu dan ubatan lain.

“Tangan dan kaki anak saya sering kekejangan dan bergetar. Anak saya tidak mampu menjadi lelaki normal apabila dewasa. Dia akan menjalani rawatan fisioterapi tidak lama lagi,” katanya yang mengharap bantuan orang ramai untuk perbelanjaan pengurusan harian Ahmad Asri.

Nor Amali berkata, dia buntu memikirkan Aidilfitri yang bakal tiba kerana tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli baju baru bagi anak-anaknya atau membuat sebarang persiapan, biarpun ala kadar.

“Saya tidak tahu sama dia berpeluang pulih sepenuhnya dan hanya mengharap keajaiban berlaku sekali lagi untuk melihat dia kembali normal,” katanya.

Roslin mohon cerai selepas sebulan nikah

Roslin mohon cerai selepas sebulan nikah
KUALA LUMPUR: Selepas sebulan mendirikan rumah tangga, jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 35, akan memfailkan perceraian dengan isterinya, Norhayati Othman, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, hari ini.
Pasangan itu berkenalan pada awal Februari ini sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu.

Harian Metro difahamkan, permohonan berkenaan dibuat selepas berlaku masalah dalam rumah tangga dibina Roslin dengan Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Sebelum ini, Roslin pernah menggemparkan negara apabila perkahwinan pertama bersama Faizah Mohamad,32, hanya bertahan selama 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari 2009.

Pasangan itu bercerai pada 11 Februari tahun lalu selepas Roslin melafazkan cerai pada isterinya atas kerelaan sendiri di rumah ibu bapa mentuanya di Puchong, Selangor, jam 10.50 malam di hadapan mereka.

Sementara itu, produser Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Pusat hiburan ‘kebal’ diserbu

KUALA LUMPUR: Tujuh warga asing antara 39 pengunjung yang positif dadah ketika ditahan polis di sebuah pusat hiburan yang kononnya kebal dari serbuan pihak berkuasa di Kompleks Sun, Bukit Bintang, di sini, awal pagi semalam.
Warga asing bersama 31 pengunjung lain itu datang berhibur di premis terbabit kononnya mengetahui daripada pengunjung lain premis itu tidak akan diserbu polis.
Menurut sumber polis, pusat hiburan itu menjadi pilihan utama warga kota memandangkan lokasinya di ruang bawah tanah bangunan dan mempunyai jaringan hubungan dengan pihak berkuasa.

Namun, jangkaan mereka silap apabila pusat hiburan itu diserbu 18 anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) diketuai Asisten Superintendan Mohd Ashril Md Johar.

Semua pengunjung yang ditahan itu positif dadah jenis ketamin, metaphetamin dan amphetamin.

Dalam operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis mengepung ruang bawah tanah yang menjadi lokasi kelab terbabit yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Katanya, seramai 98 pengunjung diperiksa dan daripada jumlah itu, 25 lelaki dan 14 wanita termasuk seorang lelaki dan tiga wanita Hong Kong serta tiga wanita China.

Sumber berkata, wanita China itu dibawa pengunjung ke pusat hiburan terbabit dan tidak menolak mereka pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan itu.

Mereka yang ditahan dibawa ke IPKKL dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terperangkap ketika berhibur

KUALA LUMPUR: Empat penjenayah yang dikehendaki polis ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling di sini, awal pagi semalam.
Semua mereka berusia 20 hingga 40-an itu dipercayai terbabit kes penipuan, merusuh serta lari dari pengawasan polis.
Serbuan terbabit diketuai Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah bersama lima pegawai dan 21 anggota, kira-kira jam 2.40 pagi.

Dalam operasi itu, seramai 103 pengunjung yang leka berhibur tidak menyedari premis terbabit dikepung polis.

“Seramai 71 lelaki dan 32 wanita termasuk 20 warga asing diperiksa.

“Turut ditemui pil Ecstasy dan syabu bertaburan di lantai premis dipercayai dibuang pengunjung sebaik menyedari pusat hiburan itu diserbu,” katanya ketika ditemui semalam.

Pemeriksaan yang dilakukan selama tiga jam itu menahan 12 wanita warga asing termasuk dari China, Indonesia dan Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

“Semua mereka menyalah gunakan pas lawatan sosial manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan. Selain itu, dua lelaki warga Myanmar dan Bangladesh ditahan kerana tinggal melebihi tempoh.

“Pemeriksaan air kencing mendapati 42 pengunjung termasuk 11 wanita positif dadah. Daripada jumlah itu, 35 pengunjung positif ketamin dan tujuh lagi metaphetamin. Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Turut ditahan seorang lelaki penjaga pusat itu kerana membenar serta menggajikan pekerja asing tanpa permit. Semua mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut.

14 kes tipu akaun mangsa kerugian hampir RM50,000

KULIM: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Daerah Kulim menerima 14 laporan berhubung panggilan palsu daripada pihak tertentu yang menyamar sebagai wakil Bank Negara menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50,000 daripada akaun simpanan mereka sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Mohd Salleh berkata, kesemua 14 kes itu membabitkan cara yang sama menyebabkan mangsa kehilangan wang dalam akaun simpanan masing-masing.
Beliau memberitahu pemberita bahawa pada peringakat awal mangsa akan menerima satu panggilan daripada seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan Bank Negara mengatakan bahawa akaun bank mangsa dikesan telah dicerobohi.

"Mangsa yang yakin bahawa maklumat diterimanya adalah benar, akan mematuhi arahan pemanggil berkenaan dan berakhir dengan mangsa kehilangan wang simpanan daripada akaun banknya yang secara licik dimasukkan ke dalam sebuah akaun yang lain," katanya.

Ghuzlan menasihatkan orang ramai supaya menghubungi atau pergi terus ke bank tempat mereka menyimpan wang dan dapatkan kepastian daripada pegawai-pegawai bank berkenaan jika menerima panggilan sama.

Mengenai pembunuhan seorang lelaki warga Myanmmar di Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini, pada 7 Ogos lalu beliau berkata polis sedang mengesan dua lagi warga negara itu dikenali Zay Yar Soe, 25, dan Thant Zin, 23, untuk membantu siasatan. -Bernama

Dibelasah kerana jeling

KUALA LUMPUR: Berpunca dari ‘jelingan maut’ yang ditujukan kepada sekumpulan lelaki menyebabkan seorang remaja dibelasah hingga pengsan oleh empat samseng.
Samseng terbabit dipercayai menuduh adik mangsa menjeling ke arah mereka ketika menikmati hidangan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Pudu di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, sekumpulan empat lelaki berusia 20-an tiba-tiba memukul mangsa yang cuba menghalang mereka daripada memukul adiknya.

Mangsa, U Sivananthan, 19, terkejut dan hanya menahan sakit selepas dipukul kumpulan lelaki terbabit yang memarahi adiknya yang pergi ke restoran itu untuk membeli makanan.

“Mereka menengking adik saya yang masuk ke dalam restoran itu kerana mendakwa adik saya menjeling mereka. Adik saya menafikannya dan mereka tidak berpuas hati lalu menghampirinya.

“Saya meluru ke dalam restoran itu dan cuba menasihati mereka supaya tidak mengapa-apakan adik saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mereka yang tidak berpuas hati dengan teguran itu mengajaknya keluar dari restoran itu sebelum menolak dan memukul adiknya.

“Mereka memberitahu saya mereka tidak berpuas hati kerana adik saya melihat mereka. Malah, mereka juga mengakui tertekan ketika itu dan berang apabila diperhatikan.

“Saya menafikan dakwaan itu, tetapi belum sempat saya beredar, mereka beramai-ramai memukul saya dengan topi keledar dan rantai motosikal,” katanya.

Pijak isteri hamil

AMPANG: Puncanya hanya kerana menguatkan bunyi televisyen, namun habuan diterima begitu azab apabila seorang wanita yang sedang mengandung enam bulan dipijak suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di sini, Ahad lalu.
Berikutan itu, bayi dalam kandungan wanita terbabit masih belum diketahui tahap kesihatannya dan polis menunggu laporan perubatan akan dikeluarkan hospital dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika pasangan berkenaan baru setahun mendirikan rumah tangga berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran.

“Ketika kejadian, suami mangsa memintanya memperlahankan suara televisyen dipasang dan mangsa mengikut arahan lelaki terbabit dengan memperlahankannya.

“Bagaimanapun, suaminya memberitahu dia mahu keluar bermain snuker bersama rakannya,” katanya.

Menurutnya, baru saja beberapa langkah suaminya mahu keluar, mangsa kembali meninggikan suara televisyen membuatkan lelaki berkenaan naik angin dan berpatah balik.
“Suami mangsa menghampiri dan dengan nada marah mendakwa mangsa cuba bersikap kurang ajar dan sengaja mencabarnya.

“Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak berniat mahu menyakitkan hati suaminya dan meninggikan suara televisyen kerana menyangkakan suaminya keluar,” katanya.
Sumber terbabit berkata, suaminya yang tidak puas hati jawapan diberikan terus meluru sebelum memukul tangan mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan kecederaan.

“Tidak cukup dengan itu, suami mangsa yang panas baran naik angin dan memijak perut mangsa yang mengandung enam bulan.

“Mangsa hanya mampu meraung dan menjerit meminta suaminya berhenti dari memijak perutnya sebelum lelaki berkenaan menghentikan tindakan itu dan meninggalkan mangsa menahan kesakitan,” katanya.

Menurutnya, isteri malang terbabit yang tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu membuat laporan kepada pihak berkuasa dan susulan itu, polis menahan suami mangsa yang berusia 20-an untuk membantu siasatan.

“Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya kelmarin bagi membantu siasatan kes terbabit dan setakat ini polis menunggu laporan pemeriksaan hospital untuk menentukan keadaan bayi dalam kandungan wanita itu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan bernasib baik kerana tidak keguguran dan mangsa mendakwa kandungannya sudah ada pergerakan dan mungkin dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Geng Wan Tonggek dalang curi motosikal tumpas

AMPANG: Polis menumpaskan sindiket curi motosikal dikenali Geng Wan Tonggek dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ampang Indah, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisooner Abdul Jalil Hassan berkata, serbuan itu membawa penemuan 10 motosikal pelbagai jenis serta tiga rangka motosikal dan menahan 11 ahli sindiket itu berusia 18 hingga 24 tahun.

Roslin mohon cerai selepas sebulan nikah

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan mendirikan rumah tangga, jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 35, akan memfailkan perceraian dengan isterinya, Norhayati Othman, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, hari ini.
Pasangan itu berkenalan pada awal Februari ini sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu.

Harian Metro difahamkan, permohonan berkenaan dibuat selepas berlaku masalah dalam rumah tangga dibina Roslin dengan Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Sebelum ini, Roslin pernah menggemparkan negara apabila perkahwinan pertama bersama Faizah Mohamad,32, hanya bertahan selama 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari 2009.

Pasangan itu bercerai pada 11 Februari tahun lalu selepas Roslin melafazkan cerai pada isterinya atas kerelaan sendiri di rumah ibu bapa mentuanya di Puchong, Selangor, jam 10.50 malam di hadapan mereka.

Sementara itu, produser Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Pesawat Boeing 737 terputus tiga




BOGOTA - Seorang penumpang daripada 131 penumpang kapal terbang Boeing 737 terkorban selepas terhempas dan menggelongsor di atas landasan lapangan terbang Pulau Carribean sebelum terputus tiga, kelmarin. 

Gabenor San Andres, Pedro Gallardo berkata, mangsa ialah Amar Fernandez de Barreto, 68, manakala 124 penumpang lain, termasuk enam krew pesawat, terselamat. 

Siasatan awal menunjukkan kemungkinan pesawat syarikat penerbangan Aires 8520 itu terkena panahan petir sebelum terhempas. 

Pegawai Tentera Udara Colombia, David Barrero berkata, 124 mangsa yang terselamat menerima rawatan di hospital berhampiran dan lima daripada mereka mengalami kecederaan yang serius.

Tiga maut, bayi terselamat




TELUK INTAN - Tiga warga Indonesia maut, dua yang lain termasuk seorang bayi berumur enam bulan dan seorang wanita tempatan cedera parah dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil dengan sebuah lori milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kilometer 7, Jalan Maharaja Lela 1235, jam 11.20 pagi, semalam. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner, Goh Kok Liang berkata, mangsa maut adalah pemandu kereta, Edy Nor Yanto Raman Sjahjudin, 45, serta isterinya yang hanya dikenali sebagai Hozeiniye, 36, dan seorang rakan mereka, Abdullah Asnawi, 46. 

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang tinggal di Tanjung Karang, Selangor mengalami cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian serta mayat mereka dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala Siti Samsiah Imam, 44, dan Mohd Fahmi, 6, bulan cedera kini dirawat di HTI. 

“Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu oleh Edy Nor dari arah Teluk Intan menghala Hutan Melintang tiba-tiba hilang kawalan dipercayai tayar hadapan pancit dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah hadapan. 

“Akibatnya lori tersebut terus menghimpit ke kiri jalan arah Perodua kancil berkenaan yang menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Menurut saksi kejadian Latif Fadi, 40, ketika kejadian itu beliau sedang mengait buah pisang di tepi jalan kira-kira tiga meter dari tempat kejadian sebelum terdengar bunyi meletup seperti tayar kereta pecah. 

Katanya, sebaik menoleh beliau nampak kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki kelihatan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori JKR sebelum kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kiri jalan. 

“Sebaik pelanggaran itu saya nampak seorang bayi tercampak keluar dari kereta kancil itu manakala seorang wanita yang duduk di tempat duduk bersebelahan pemandu menjerit meminta pertolongan manakala yang lain saya lihat tiada sebarang reaksi ketika itu.         

“Tanpa membuang masa saya terus menghubungi polis sebelum kedua-dua mangsa yang tercedera itu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan,” katanya.

Tragedi selepas terawih




KLUANG- Hasrat sepasang suami isteri yang ingin melawat anak mereka yang sakit gastrik di Hospital Kluang bertukar tragedi apabila terlibat dalam satu kemalangan langgar lari di Kilometer (km) 15, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, kelmarin. 

Kenderaan kereta jenis Proton Saga berwarna biru yang dinaiki tiga beranak itu telah bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan kira-kira jam 10.20 malam dan telah meragut nyawa suami serta menyebabkan anak lelakinya cedera parah. 

Manakala isteri mangsa hanya cedera ringan dan terpaksa melahirkan anak tidak cukup bulan akibat terkejut dengan kemalangan yang dialami. 

Tragedi menyayat hati itu berlaku selepas arwah menunaikan solat terawih dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Hospital Kluang untuk melawat anak sulung perempuan mereka, Hairunnisa, 19, yang mengalami sakit gastrik. 

Mangsa yang meninggal dunia adalah Mohd. Koya Koya Kutty, 46, manakala isterinya, Khatijah Musa, 45, dan anak lelaki pasangan itu yang cedera parah, Abu Bakar, 17. 

Menurut sepupu arwah, Jamaluddin Kasim, 37, berkata, mangsa bekerja sebagai pemandu lori dan merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Malabbar Johor. 

“Isteri arwah adalah pekerja kilang, manakala Abu Bakar yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik belajar di tingkatan lima,” katanya ketika ditemu ramah Sinar Harian. 

Sementara itu, Hairunnisa yang bekerja sebagai pekerja pasar raya berkata, ibunya yang sarat mengandung lapan bulan terpaksa melahirkan anak perempuan tidak cukup bulan, kira-kira pukul 10 pagi. 

“Abu Bakar telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru bersama adiknya yang baru dilahirkan kerana tidak cukup bulan. 

“Kejadian ini menyedihkan kami sekeluarga dan saya mahu pemandu lori terbabit tampil memberi penjelasan bagaimana kejadian ini boleh berlaku,” katanya yang keluar dari hospital sejurus mengetahui tentang kejadian itu. 

Manakala, ibu mertua arwah, Aminah Ismail, 75, berkata, arwah yang seorang yang peramah namun beberapa hari sebelum kejadian, dia kelihatan murung dan lebih banyak mendiamkan diri. 

Beliau berkata, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Haji Manan, kira-kira 11.30 pagi. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Fawzi Arshad berkata, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu agar menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Margaret Tagum Anak Goen di talian 016-8728190 atau balai polis yang berhampiran. 

“Walau bagaimanapun, kejadian ini berlaku di laluan yang masih sibuk pada waktu itu dan tentu ada orang awam yang menyaksikannya,” katanya.

Lori ‘ceroboh’ pasar Ramadan



MERLIMAU – Pengunjung serta peniaga di Pasar Ramadan berhadapan dengan medan selera Merlimau Point, semalam gempar seketika apabila sebuah lori seberat 10 tan merempuh deretan kenderaan yang diletakkan beberapa meter dari lokasi pasar Ramadan. 

Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang sewaktu pengunjung yang kebanyakan terdiri daripada penuntut Politeknik Merlimau Melaka (PMM) sibuk membeli juadah berbuka puasa. 

Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa. 

Seorang peniaga makanan, Mariam Abu Hashim, 49, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas apabila lori berkenaan yang datang daripada arah Jasin tiba-tiba merempuh masuk ke kawasan pasar Ramadan yang menempatkan kira-kira 10 peniaga. 

“Sebelum lori itu masuk ke kawasan pasar Ramadan, ia terlebih dahulu merempuh tembok batu, tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kemudiannya terus ke kawasan parkir kereta. 

“Kami terselamat apabila pemandu sempat mengawal lori ke kawasan parkir kenderaan daripada terus merempuh pengunjung serta kami peniaga yang ada di sini,” katanya. 

Difahamkan, dalam kejadian terbabit, empat kenderaan yang berada di kawasan parkir berkenaan dilaporkan rosak.

Ditemui berbalut lampin




BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi perempuan dianggarkan berusia satu minggu ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain lampin oleh seorang pekerja kilang yang tinggal di Bukit Minyak, dekat sini, Ahad lalu. 

Bayi comel seberat 1.4 kilogram itu ditemui diletakkan di atas meja di hadapan rumah lelaki terbabit kira-kira jam 11 malam, 15 Ogos lalu ketika dia dan isterinya baru pulang dari solat terawih di masjid. 

Lelaki berusia 38 tahun itu curiga dengan isi kandungan bungkusan tersebut terkejut apabila mendapati seorang bayi yang masih bernyawa di dalamnya. 

Dia yang tidak mempunyai anak itu kemudiannya mengambil bayi tersebut dan menjaganya selama dua hari serta berhasrat untuk menjadikannya sebagai anak angkat. 

Namun, atas nasihat raka-rakan, dia akhirnya akur dengan undang-undang lalu menyerahkan bayi berkenaan kepada pihak polis, semalam. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, lelaki berkenaan datang ke Ibu Pejabat Polis (IPD) 17 Ogos 2010 (semalam) untuk membuat laporan polis mengenai penemuan bayi terbabit. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dilahirkan kira-kira tujuh hari lalu serta sihat tubuh badan. 

“Bayi itu kini berada di Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk pemeriksaan lanjut dan kita mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang mana ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berumur kurang dari 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak. 

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media yang diadakan di IPD SPT Bandar Perda, dekat sini, semalam. 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan supaya menghubungi bilik gerakan IPD SPT di talian 04-5306402 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Hazween, 012-3749616 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD SPT, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119.

Wang palsu kelirukan penduduk, peniaga



MALIM NAWAR – Peniaga serta orang ramai yang menjalankan urus niaga di sini terperdaya apabila menerima wang palsu ketika menjalankan perniagaan dan hanya menyedari keadaan itu apabila pulang ke rumah. 

Ketua Pemuda MCA Cawangan Kampung Baru Malim Nawar, Chai Min Hee berkata, seorang kawan menemuinya dan menceritakan masalah yang dihadapi iaitu ditipu menggunakan wang palsu ketika membeli barang di Pasar Awam Malim Nawar. 

Menurutnya, apabila rakannya itu pulang dari pasar awam beberapa hari lalu, dia menyedari diberikan wang palsu ketika membeli sesuatu di sana. 

"Jika dilihat, wang palsu tiada jauh beza dengan wang tulen kecuali orang ramai boleh menyedari dari saiz yang lebih kecil sedikit, permukaan seperti kertas biasa seolah-olah dicetak sendiri, warna yang luntur dan tiada garisan bertanda BNM (Bank Negara Malaysia) di bahagian depan dan belakang," katanya. 

Sementara itu, seorang penduduk, Lee Ley Yan berkata, ketika pulang dari pasar malam berdekatan, dia menyedari menerima wang palsu yang jelas kelihatan lebih tebal dari biasa. 

“Ketika itu saya ada membeli barang dari penjual lain dan wang baki yang diberikan dibawa pulang, namun ketika sampai ke rumah, baru saya sedar wang kertas bernilai RM10 itu adalah palsu,” katanya. 

Ley Yan berkata, wang berkenaan dicetak di atas dua kertas berasingan kemudiannya ditampal semula dan boleh diceraikan itu membuktikan ia adalah palsu. 

“Ramai orang dah mula sedar mengenai pengedaran wang palsu yang berleluasa di Malim Nawar ini tetapi kebanyakan mereka enggan membuat laporan polis. 

“Ini kerana mereka memikirkan hanya mengalami kerugian kecil tetapi perlu menjalani prosedur yang panjang dan merumitkan jika berurusan dengan pihak berkuasa,” katanya yang telahpun membuat laporan polis berhubung kes itu. 

Selain itu, aduan berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Ketua MCA Bahagian Kampar, Chang Gwo Chyang. 

Gwo Chyang berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan berhubung kes berkenaan iaitu wujud penggunaan wang palsu dalam beberapa urus niaga yang dijalankan di Malim Nawar sejak minggu lalu. 

“Bagaimanapun, kami tidak dapat berbuat apa-apa selain menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana penggunaan wang palsu ini berlaku tanpa disedari,” katanya.

Gara-gara penyewa larikan diri



KUALA LUMPUR – Gara-gara penyewa yang berhutang dengan ah long, pemilik kedai yang juga merupakan seorang penyelia bengkel kini bukan sahaja menanggung beban sewa tidak dijelaskan bahkan premis yang disewakan itu menjadi sasaran ah long. 

Mangsa yang berusia 28 tahun dan berasal dari Sri Sinar, Segambut mendakwa wanita yang menyewa seunit kedainya untuk dijadikan kedai jahit sejak April tahun lalu melarikan diri gara-gara tidak dapat menjelaskan hutang ah long. 

Menurut mangsa, wanita yang berusia 50 tahun itu telah meninggalkan premis tersebut kira-kira empat bulan lalu tanpa menjelaskan bayaran sewa sebanyak RM550 sebulan. 

“Malah akibat perbuatannya yang tidak menjelaskan hutang ah long menyebabkan saya turut menanggung akibatnya apabila ah long bertindak merosakkan premis itu,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam. 

Menurutnya, sehingga kini wanita itu gagal dihubungi dan dia turut mengunci premis tersebut kerana barang-barang miliknya dipercayai masih berada di dalam premis itu. 

Ekoran itu, mangsa gagal memasuki premis itu untuk membenarkan penyewa lain menyewa premis tersebut. 

“Saya tidak boleh menceroboh masuk kerana ia salah di sisi undang-undang. 

“Saya cuma berharap agar dia tampil sekaligus memudahkan saya menyewakan kepada penyewa lain,” katanya 

Katanya, ah long juga bertindak menampal wajah wanita itu bersama simbol duit di sekeliling premis itu. 

Lebih mengejutkan, wanita itu turut dikatakan membuat laporan polis palsu kononnya mangsa menaikkan sewa sebanyak RM50. 

Sehubungan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Kepong pada 19 Julai lalu. 

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong mengingatkan semua pemilik premis agar tidak sesekali memecah masuk premis yang disewa kerana tindakan tersebut menyalahi undang-undang. 

Michael berkata, tahun ini sahaja sebanyak 32 kes melibatkan masalah seumpama ini dan empat daripadanya melibatkan kes tuan rumah didapati bersalah kerana dituduh menceroboh premis. 

“Terdapat kes pemilik premis tidak tahu latar belakang penyewa yang mungkin mempunyai banyak hutang dengan ah long,” katanya.

Khalwat selepas Terawih



GEORGETOWN – Baru sahaja selesai solat Terawih kemudiannya sepasang kekasih dicekup pula Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAINPP) dalam satu serbuan pagi semalam.

Lelaki yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai operator itu bagaimanapun sudah berkahwin dan ditangkap bersama pasangannya berusia 33 tahun yang masih bujang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang.

Ketua Unit Operasi dan Penguatkuasaan JAINPP, Khairul Azman Azizan berkata, lelaki berkenaan bertindak licik ketika diserbu Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) Unit Operasi JAINPP ke dalam rumah.

Menurutnya, lelaki berkenaan menyorok di bahagian balkoni luar rumah dengan ditutupi ampaian kain.

“Mungkin pada fikirannya dia bijak dan licik, tetapi dalam masa yang sama dia juga membahayakan diri kerana kedudukan balkoni sempit dan hanya mampu memuatkan pasu bunga sahaja.

“Kedudukan tingkap dan balkoni adalah pada paras leher lelaki dewasa dan sekiranya ketika dia hendak naik ke atas rumah semula dan terlepas besi katil berkenaan, memang senang saja hendak jatuh dari tingkat sembilan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menceritakan kejadian ketika serbuan, pasangan berkenaan cuba bertindak untuk mengelirukan pihak penguat kuasa dengan melarikan diri secara merangkak ke bilik berasingan.

Kemudiannya, wanita berkenaan yang ditemui dalam sebuah bilik pada mulanya mengaku hanya tinggal bersendirian, dan ketika JAINPP meminta kunci bilik kedua, dia mengatakan tidak mempunyai kunci berkenaan.

Anggota PPA kemudiannya berjaya menjumpai kunci berkenaan di atas meja dalam rumah dan kemudiannya menemui seorang lelaki duduk dalam keadaan diam di bawah ampaian kain yang penuh.

Khairul berkata, anggotanya juga terpaksa mengambil masa 10 minit untuk masuk ke dalam rumah sebelum wanita berkenaan membuka pintu.

“Setelah dibuat pemeriksaan, lelaki dan wanita itu disahkan tidak mempunyai ikatan perkahwinan dan mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.

“Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

JAINPP juga bertindak atas aduan dan mula mengadakan operasi bermula jam 2.30 pagi sehingga ke jam 6 pagi.

Khairul juga menolak dakwaan bahawa JAINPP hanya memfokuskan serbuan dan operasi bagi pesalah dalan bulan Ramadan sahaja.

Sebaliknya, operasi pencegahan maksiat bagi Seksyen 27 atas kesalahan berkhalwat dan Seksyen 29 atas kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam juga akan dijalankan dengan giat sepanjang Ramadan kali ini.

Cubaan seludup beras tumpas




TUMPAT- Cubaan menyeludup beras dari Thailand menggunakan bot enjin galah tumpas hasil tindakan pantas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor dalam Ops Octopus di pangkalan haram Pisau Raut, Kuala Jambu, dekat sini, Ahad lepas. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari, seramai empat anggota PGM yang membuat rondaan sepanjang sungai ini terserempak dengan bot enjin galah menghampiri tebing pangkalan haram tersebut untuk membawa beras yang sarat di dalam bot. 

Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Pengkalan Kubor, Asistant Superintendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, dua lelaki dipercayai tekong dan awak-awak sempat melarikan diri dengan naik ke tebing selepas menyedari kehadiran anggota PGM. 

“Bot enjin galah yang tidak bernombor bersama beras ditinggalkan mereka dan pemeriksaan lanjut menjumpai 36 kampit beras, setiap kampitnya seberat 25 kilogram,” katanya. 

Menurutnya, beras tersebut seberat 900 kilogram bersama bot enjin galah dengan nilai rampasannya berjumlah RM5,500 dibawa ke Markas PGM untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, PGM berjaya merampas tujuh tong petrol terapung-apung dalam sungai apabila bot yang membawa tong jerikin ini karam dekat Pangkalan Haram Tualang, kelmarin apabila cuba menyeludup minyak tersebut ke Thailand. 

Wan Ismail berkata, dipercayai bot enjin galah yang membawa petrol keluar tergesa-gesa cuba melarikan diri ketika terserempak dengan anggota PGM yang membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira jam 3.30 petang. 

“Tiga lelaki yang berada di dalam bot tersebut menyelamatkan diri dan berenang ke tebing sebelah Thailand dan meninggalkan tong-tong petrol yang terapung-apung itu,” katanya. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tujuh tong tersebut mengandungi 30 liter petrol dengan nilai rampasannya berjumlah RM378.