Search This Blog

Tuesday, August 17, 2010

Warga emas mati melecur

BAGAN SERAI: Seorang lelaki warga emas yang tinggal berseorangan di rumahnya di sini, ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur teruk hampir seluruh badan dalam bilik air selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran, kelmarin.
Ketika ditemui, mangsa yang hanya berkain pelekat dipercayai terperangkap dalam bilik air selepas gagal menyelamatkan diri apabila rumah dua tingkat miliknya itu musnah dijilat api.
Dalam kejadian jam 8.50 malam di Jalan Baru, Kampung Matang Jelutung itu, mangsa, Jumli Utar, 70, maut akibat sesak nafas selain mengalami kesan melecur teruk di badan.

Anak mangsa, Jamil Jumli, 45, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh bapa saudaranya kelmarin sebelum tiba di sini semalam untuk menguruskan jenazah arwah bapanya.

Menurutnya yang kini bekerja dan menetap di Melaka, dia sedih dengan kejadian menimpa arwah bapanya dan kesal kerana ketika kejadian tiada sesiapa berada di sampingnya.

“Saya sedih dengan kejadian itu, namun reda kerana sudah ditakdirkan Allah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, abang mangsa, Sakrani Utar, 73, yang tinggal di kampung sama berkata, arwah menetap seorang diri di rumah berkenaan beberapa tahun lalu manakala isterinya sudah meninggal dunia dan anak-anak pula tinggal berjauhan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.13 malam sebaik kerja-kerja memadam selesai dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Bagan Serai.

Beliau berkata, ketika ditemui di bilik air di tingkat bawah rumah berkenaan, mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan melecur di badan.

"Difahamkan, mangsa tinggal berseorangan di rumah berkenaan dan jarak kedudukan dengan rumah jiran agak jauh.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas dan kejadian itu tidak ada kaitan dengan kes jenayah,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga untuk pengebumian.

'Bukan mangsa buat aduan terhadap menteri'

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti laporan dibuat terhadap seorang timbalan menteri yang didakwa terbabit dengan aktiviti salah laku seks dan jenayah yang dibuat seorang ahli politik di Brickfields, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, siasatan terperinci akan dibuat bagi melihat sama ada ia berbentuk tohmahan memandangkan ia bukan aduan daripada mangsa sebaliknya daripada pihak ketiga.
“Kes yang didakwa itu sudah lama berlaku sekitar tahun 2000 dan 2001. Kita akan lihat sama ada laporan itu berbentuk tohmahan atau sebaliknya. Jika ia betul-betul berlaku, kami akan buka kertas siasatan, tetapi jika sebaliknya tidak perlu kita panggil beliau (timbalan menteri).

“Setakat ini, kita belum lagi terima laporan polis daripada mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa timbalan menteri itu,” katanya di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, beliau meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung laporan itu.

Akhbar semalam melaporkan seorang timbalan menteri bakal disiasat polis selepas satu laporan dibuat berhubung salah laku seksual yang dilakukannya.

Dalam laporan polis itu, pengadu turut mendakwa timbalan menteri itu turut terbabit dengan kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis di kalangan pelajar kolej serta aktiviti pengedaran dadah.

Penumpang Asia Barat, India berisiko

PUTRAJAYA: Penyeludupan dadah jenis syabu dan ketamin yang dikesan membabitkan penumpang Asia Barat dan India mendorong pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap penumpang dari negara terbabit yang dikaitkan dengan status berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Ibrahim Jaapar, berkata penumpang dari Asia Barat dan India dikesan sebagai penumpang berisiko tinggi membabitkan penyeludupan dadah sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, status itu diletakkan berikutan kebanyakan kes penyeludupan dadah jenis syabu terbabit ke negara ini membabitkan individu dari kedua-dua negara itu.

“Dari segi profil penumpang yang masuk, mereka yang tergolong dalam kategori risiko tinggi adalah dari Asia Barat seperti Iran dan India. Ini kerana dalam kes yang kami diperoleh, kebanyakan syabu dibawa dari Asia Barat, manakala ketamin dibawa dari India.

“Oleh itu, mereka sasaran kita dan susulan itu kita akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat terhadap penumpang dari negara ini dalam usaha mengekang penyeludupan dadah ke negara ini,” katanya selepas merasmikan program Rumah Terbuka Projek T15 di Ibu Pejabat KDRM, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tindakan KDRM bagi menangani penyeludupan dadah membabitkan warga negara asing ke negara ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan negara ini menjadi pusat transit dadah di kalangan dua negara berkenaan.

Bukan itu saja, beliau berkata, pihaknya juga sudah meminta semua pegawai di pintu masuk negara supaya menggunakan sepenuhnya kelengkapan dimiliki bagi memastikan penumpang kes penyeludupan dadah dapat ditangani sebaik mungkin.

Ratusan haiwan mati di zoo Surabaya

SURABAYA: Kecuaian dan sengketa dalaman antara pengurusan zoo terbesar Indonesia menyebabkan beratus-ratus haiwan, termasuk harimau Sumatera mati.
“Kematian haiwan itu berpunca daripada kecuaian apabila pegawai asyik bersengketa mengenai siapa yang perlu menguruskan zoo itu,” kata anggota pengurusan sementara zoo Surabaya, Tony Sumampau.
Seekor harimau Sumatera berusia 20 tahun mati Sabtu lalu. Seekor singa betina mati Rabu lalu sementara dua kanggaru mati dua hari sebelum itu.

Antara Jun dan Ogos saja, 20 haiwan mati akibat sakit dan tinggal dalam kandang yang sesak, katanya.

Dia juga mendedahkan, pada Januari lalu, 13 anak biawak komodo mati kerana kesesakan dan kurang cahaya mata hari.

Tony mencatatkan 362 kematian di kalangan haiwan dalam zoo itu pada 2008 dan 327 pada tahun lalu, kebanyakannya akibat sakit, termasuk pneumonia, cirit-birit dan kekurangan zat.

Menurutnya, beribu-ribu haiwan di zoo berkenaan tinggal menderita dalam kandang yang sempit dan kotor.

Akibat sengketa dalaman, pengurusan zoo tidak mengubah suai kandang berkenaan sejak 20 tahun lalu, walaupun kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang setahun untuk kerja penyelenggaraan. - AFP

Bah diramal makin buruk

SUKKUR: Pihak berkuasa Pakistan semalam memberi amaran keadaan banjir akan bertambah buruk minggu ini ketika hujan lebat melanda kawasan perkhemahan yang menempatkan mangsa bencana itu, semalam.
Perkembangan yang berlaku meningkatkan keadaan terdesak kerajaan Pakistan untuk mendapatkan bantuan besar-besaran antarabangsa.
Banjir paling buruk pernah berlaku di Pakistan itu yang bermula lebih dua minggu lalu di kawasan pergunungan barat lautnya kini merebak ke seluruh negara.

Kira-kira 20 juta orang dan kawasan seluas 160 kilometer persegi, kira-kira satu perlima keluasan negara itu, terjejas.

Skala bencana itu meningkatkan kebimbangan kemungkinan kestabilan negara itu , yang menjadi harapan kepada Amerika Syarikat untuk menumpaskan al-Qaeda dan Taliban, terjejas. “Banjir itu seolah-olah mengekori kami ke mana saja,” kata Ali Bakhsh Bhaio, 45, ketika hujan lebat melanda kawasan penempatan sementaranya di sebelah lebuh raya utama di Sukkur, kawasan paling teruk terjejas di wilayah Sindh.

“Allah menghukum kami kerana dosa yang kami lakukan,” katanya.

Menteri Saliran Sindh, Jam Saifullah Dharejo berkata, empangan di Sukkur berdepan dengan ujian besar dari segi kekukuhannya apabila air bah dari Sungai Indus mengalir ke kawasan yang padat penduduk dan paling subur di Pakistan.

“Empat lima hari akan datang adalah paling penting,” kata Jam.

Banjir terbaru Sabtu lalu melanda kawasan miskin antara sempadan wilayah Sindh dan Baluchistan.

Pegawai kanan kerajaan di Nasirabad, Sher Khan Bazai berkata, 25,000 keluarga hilang tempat tinggal selepas daerah itu ditenggelami air setinggi dua setengah meter.

Menurutnya, kira-kira 4,000 kampung kecil lagi terputus hubungan atau musnah.

kebakaran berhampiran loji nuklear dikawal.

MOSCOW: Pihak berkuasa Russia semalam berkata, kebakaran yang berlaku di kawasan berhampiran sebuah loji nuklear rahsia sudah berjaya dikawal.
Pengumuman itu dibuat ketika Russia dituduh cuba melindungi ancaman akibat kebakaran di hutan yang tercemar akibat bencana nuklear Chernobyl.
Kebakaran hutan dan tanah gambut di kawasan luar bandar di tengah Russia yang sudah mengorbankan kira-kira 50 orang itu turut meningkatkan kebimbangan mengenai keadaan keselamatan lokasi strategik yang berbahaya yang terletak di sekitar kawasan kebakaran.

Kebimbangan paling besar ialah kebakaran di kawasan hutan simpan berhampiran pusat kajian nuklear utama Russia di Sarov, bandar yang ditutup kepada pelawat asing sejak era Soviet lagi.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, mereka sudah mengambil langkah penting untuk menangani krisis berkenaan.

“Keadaan adalah stabil dan terkawal. Tidak ada kebakaran di kawasan Sarov,” kata Ketua Cawangan Kementerian Bencana di wilayah Volga, Igor Panshin.

‘Kebakaran di kawasan tenggara yang bersempadan dengannya sudah dipadamnya,” katanya. - AFP

Loji nuklear ketiga 2011

TEHERAN: Iran akan mula membina loji pengayaan uranium ketiganya pada awal tahun depan, kata seorang pegawai kanan negara itu, semalam.
Ketua agensi tenaga atom Iran, Ali Akbar Salehi, berkata kini kerajaan sudah mengenal pasti lokasi untuk membina loji berkenaan.
Dipetik stesen televisyen Iran, Ali Akbar berkata, sebelum ini pihak berkuasa cuba mencari 10 tapak baru untuk pembinaan loji pengayaan uranium.

“Pembinaan satu daripada kemudahan itu akan bermula pada akhir tahun (mengikut kalendar Iran yang bersamaan dengan Mac 2011) atau tahun depan,” katanya.

Pengumuman itu sekali lagi menyanggah tekanan kuasa besar dunia yang sebelum ini mengenakan sekatan baru ke atas republik berkenaan kerana terus berusaha memiliki kuasa nuklear.

Ketika ini Iran memang menjalankan proses mengayakan uranium di loji utamanya di tengah bandar Natanz, manakala kemudahan kedua sedang disiapkan dalam kawasan pergunungan di Fordo, barat daya Teheran.

Ali Akbar yang juga seorang daripada 12 Naib Presiden Iran, sebelum ini menyatakan bahawa sebarang loji baru dibina di negara itu akan diletakkan di kawasan yang tidak mampu diserang musuh dari udara.

Dalam pengumuman semalam, dia tidak menyatakan secra khusus di mana loji ketiga itu akan dibina.

Sejak awal lagi, Teheran terus mempertahankan tindakannya membina loji itu untuk tujuan keamanan walaupun niat itu sentiasa diragui Barat. - AFP

Pelancaran satelit Rasad 1 Iran ditangguh

TEHERAN: Pelancaran satelit baru Iran yang sepatutnya dilakukan akhir bulan ini, ditunda apabila peralatan itu masih dalam proses penyiapan, kata Menteri Telekomunikasi Iran, Reza Taghipour, semalam.
Julai lalu, Reza berkata, satelit kedua buatan Iran, Rasad (Pemantau) 1 itu akan dilancarkan ke angkasa pada minggu terakhir Ogos.
Bagaimanapun, media melaporkan, Rasad 1 akan hanya dilancarkan pertengahan kedua kalendar Iran (bermula pada 23 September tahun ini hingga Mac 2011).

Satelit itu sepatutnya digunakan untuk menghantar imej dan ramalan cuaca.

Kata Reza, satelit itu masih disiapkan walaupun pada sesetengah tahap, ia bersedia.

“Masa pelancaran sebenar akan ditentukan sebaik saja pelancaran percubaan yang memerlukan proses panjang diselesaikan,” katanya.

Februari lalu, Iran mendedahkan perincian tiga prototaip satelit baru Toloo (Fajar), Navid (Khabar Gembira) dan Mesbah-2 (Lantera).

Satelit buatan tempatan pertama negara itu, Omid (Harapan) dilancarkan pada Februari tahun lalu sempena ulang tahun ke-30 Revolusi Islam Iran. - AFP

Israel sengaja tolak proses damai serius: Saeb

RAMALLAH: Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat, semalam mendakwa Israel menolak proses damai ‘serius’ apabila enggan menghentikan pembukaan penempatan baru di kawasan dijajahnya.
Kenyataan itu dibuat selepas media Israel melaporkan, satu forum membabitkan tujuh menteri Kabinet negara itu akan menolak kenyataan yang bakal dibuat kumpulan antarabangsa yang menggesa supaya rundingan langsung dengan Palestin disambung semula.
Kumpulan terbabit - dianggotai Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah dan Russia - juga mendesak pembukaan penempatan haram itu dibekukan.

Kata Saeb, pengumuman Israel menolak gesaan sebelum ia dikeluarkan menunjukkan rejim Zionis itu enggan menerima proses damai yang serius.

“Ini adalah bukti nyata kerajaan Israel mempunyai kepentingan lain di sebalik keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Saeb turut mengecam penghantaran 23 penempatan bergerak di lapan kawasan di Tebing Barat untuk dijadikan bilik darjah. - AFP

Susilo gesa Indonesia lebih toleransi, hormati hak orang lain

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menegaskan rakyat negara itu perlu bertoleransi dalam isu agama ketika segelintir warganya mendesak kerajaan bertindak ke atas kumpulan Islam radikal Indonesia.
Dalam ucaptamanya di Parlimen menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, semalam, Susilo berkata, warga Indonesia perlu mengamalkan falsafah sebenar dalam masyarakat majmuk.
“Untuk membina kehidupan demokratik dan adil, kita perlu mengekal dan mengukuhkan persaudaraan, keharmonian dan toleransi sebagai sebuah negara.

Dalam kehidupan seharian, kita masih menemui kes yang tidak menggambarkan situasi harmoni, toleransi dan saling menghormati berkaitan agama, etnik, suku dan wilayah.

“Kita tak boleh mengabaikan keadaan itu,” katanya.

Menurut Susilo, warga Indonesia perlu hidup dalam suasana aman dan saling menghormati hak masing-masing.

Perlembagaan Indonesia menjamin kebebasan beragama ke atas kira-kira 240 juta penduduknya.

Namun, sejak beberapa bulan lalu pertubuhan Islam radikal sering menyerang kumpulan minoriti, termasuk masjid yang dikendalikan pihak tertentu serta gereja.

Ratusan penduduk Indonesia - kebanyakannya Kristian - mengadakan perhimpunan aman Ahad lalu bagi mendesak Susilo menghentikan serangan seumpama itu dan menjamin kebebasan beragama. - AFP

Indonesia digesa bertindak terhadap Malaysia

JAKARTA: Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Priyo Budi Santoso mendesak kerajaan Indonesia bertindak terhadap Malaysia kerana menangkap tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan negara itu.
“Saya bimbang kewibawaan pemerintah Indonesia dipandang rendah sehingga polis Malaysia bertindak begitu berani.
“Sesekali kita perlu mengajar Malaysia. Saya begitu marah melihat tindakan mereka,” kata Priyo.

Beliau menganggap tindakan polis Malaysia menangkap pegawai kerajaan Indonesia sebagai provokasi.

“Jika mereka mengesyaki rakyat biasa, ia memang wajar.

“Tetapi jika petugas pakaian seragam, ia sama dengan tindakan provokasi terhadap kerajaan Indonesia.

“Kita perlu bertindak balas. Kita perlu menangkap petugas Malaysia. Kita perlu menahan mereka seperti mereka menahan pegawai kita,” katanya.

Menurut Priyo, tindakan diplomasi terhadap kerajaan Malaysia perlu dilakukan dengan tegas.

“Ia tidak boleh diatasi dengan berbincang saja. Lebih-lebih lagi peristiwa ini sudah berlaku berulang kali,” kata Priyo. - Agensi

52 individu memberi keterangan

BATU PAHAT: Seramai 52 individu termasuk Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng sudah dipanggil polis bagi direkod keterangan berhubung siasatan penggunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada kain rentang ceramah parti terbabit di sini, akhir bulan lalu.Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata polis menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan akan memanggil Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat untuk merekodkan keterangannya.

“Keterangan Anwar penting bagi kami menyelesaikan kemelut serta kontroversi penggunaan gambar baginda Sultan Johor dengan segera.

“Hingga kini, polis sudah merekodkan keterangan 52 orang membabitkan Chua dan penduduk berhampiran kawasan poster itu dipasang” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, semalam.

Mangsa pukau rugi RM5,000




KULAIJAYA – Dalam sekelip mata, barang peribadi milik dua pekerja kedai di salah sebuah pasar raya besar di sini lesap dikebas penjenayah yang menyamar sebagai pelanggan dipercayai menggunakan teknik ‘pukau’. 

Kedua-dua mangsa kerugian kira-kira RM5,000 setelah penjenayah berkenaan berjaya melarikan diri setelah mengambil telefon bimbit serta wang tunai mereka. 

Salah seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Aein, 31, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 2.30 petang sewaktu dia dan rakannya didatangi seorang pelanggan wanita yang mencari beberapa pasang pakaian. 

“Waktu itu saya dan seorang lagi rakan bertugas menjaga kedai sebelum didatangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an. 

“Dia cakap hendak beli baju 13 pasang kerana ada program di Singapura dan meminta saya dan rakan membantu dia memperagakan baju yang terdapat di kedai yang kami jaga,” katanya ketika ditemui. 

Katanya, beliau dan rakannya menurut segala kehendak pelanggan terbabit tanpa sebarang syak wasangka seolah-olah mereka dipukau supaya menurut segala permintaan wanita berkenaan. 

“Biasanya kami tidak pernah memperagakan atau mencuba baju atas permintaan pelanggan malah kami sendiri biasanya malas untuk mencuba pakaian yang kami sendiri hendak beli. 

“Tetapi pelik kerana kami berdua sanggup melayan kerenah pelanggan berkenaan yang mahu kami memperagakan pakaian yang hendak dibelinya tanpa sebarang bantahan,” katanya. 

Aien berkata, beliau menyedari barang peribadi miliknya lesap selepas mencuba pakaian yang diminta oleh pelanggan berkenaan di bilik persalinan namun gagal menjejaki penjenayah itu. 

“Pada masa itu saya salin baju tidak sampai satu minit dan baru sedar barang-barang saya seperti jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai hilang,” katanya. 

Katanya, kejadian sama turut berlaku kepada peniaga lain di pasar raya berkenaan dan disyaki dilakukan oleh individu atau kumpulan yang sama. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superitendan Mohd Kamil Sukami menasihatkan orang ramai yang menghadapi masalah sama agar segera membuat laporan polis agar tindakan susulan dapat diambil. 

“Apa-apa kes yang berlaku sama ada ragut, rompak mahupun pukau, mangsa yang terbabit perlu buat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan. 

“Sekiranya laporan dibuat, pihak polis boleh keluarkan arahan agar mana-mana pihak termasuk pihak swasta atau majikan supaya beri kerjasama untuk kami dapatkan bukti bagi mengenal pasti identiti suspek,” katanya.

Cekup di belukar: Lelaki simbah asid anak, isteri ditahan

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak tahu sama ada anak berdendam atau tidak dengan bapa kandung yang menyebabkan mukanya melecur sedemikian rupa, namun melihat reaksinya selepas perbuatan kejam suami itu, jelas sekali nama ‘abah’ sudah tiada tempat di hati mereka,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga selepas menjadi mangsa simbahan asid jenis cuka getah oleh suaminya, Mat Haizan Mat Yasin, 32.
Akhbar semalam melaporkan, dalam kejadian jam 1.45 pagi kelmarin di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu itu, suami Che Ku Zaimah yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid.

Che Ku Zaimah ketika ditemui di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia serta dua anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, akan menjalani pembedahan merawat kulit muka dan anggota badan mereka yang melecur teruk hari ini, manakala ibunya Minah Omar, 56, dibenarkan keluar hospital kelmarin.

Menurutnya, dia tergamam apabila mengingatkan pertanyaan anak keduanya, Nurul Dahyatul sama ada masih sayang atau tidak kepada suaminya selepas tragedi berkenaan kerana anaknya itu berterus-terang memberitahu sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bapanya yang sanggup bertindak tanpa perikemanusiaan itu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa semalam nyata sedih dan sebak dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan sehingga menitiskan air mata.

Katanya, beliau berharap semua mangsa terbabit akan segera sembuh dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka dalam apa saja bentuk termasuk membiayai kos pembedahan serta meminta Che Ku Zaimah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sekiranya memerlukan bantuan lanjut.
“Saya tidak dapat gambarkan perkara ini berlaku, walaupun berlaku salah faham antara suami isteri, tapi janganlah anak menjadi mangsa,” katanya.

'Tak sayang abah lagi'

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak tahu sama ada anak berdendam atau tidak dengan bapa kandung yang menyebabkan mukanya melecur sedemikian rupa, namun melihat reaksinya selepas perbuatan kejam suami itu, jelas sekali nama ‘abah’ sudah tiada tempat di hati mereka,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga selepas menjadi mangsa simbahan asid jenis cuka getah oleh suaminya, Mat Haizan Mat Yasin, 32.


PILU...Ahmad sebak ketika melihat penderitaan Nurul sambil diperhatikan Che Ku Zaimah.
PILU...Ahmad sebak ketika melihat penderitaan Nurul sambil diperhatikan Che Ku Zaimah.

Akhbar semalam melaporkan, dalam kejadian jam 1.45 pagi kelmarin di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu itu, suami Che Ku Zaimah yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid.
Che Ku Zaimah ketika ditemui di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia serta dua anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, akan menjalani pembedahan merawat kulit muka dan anggota badan mereka yang melecur teruk hari ini, manakala ibunya Minah Omar, 56, dibenarkan keluar hospital kelmarin.

Menurutnya, dia tergamam apabila mengingatkan pertanyaan anak keduanya, Nurul Dahyatul sama ada masih sayang atau tidak kepada suaminya selepas tragedi berkenaan kerana anaknya itu berterus-terang memberitahu sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bapanya yang sanggup bertindak tanpa perikemanusiaan itu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa semalam nyata sedih dan sebak dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan sehingga menitiskan air mata.

Katanya, beliau berharap semua mangsa terbabit akan segera sembuh dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka dalam apa saja bentuk termasuk membiayai kos pembedahan serta meminta Che Ku Zaimah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sekiranya memerlukan bantuan lanjut.

“Saya tidak dapat gambarkan perkara ini berlaku, walaupun berlaku salah faham antara suami isteri, tapi janganlah anak menjadi mangsa,” katanya.

Bayar ‘penculik’ anak RM15,000

KUALA LUMPUR: Seorang ibu kerugian RM15,000 selepas diperdayakan seorang lelaki yang mendakwa menculik anak gadisnya dalam perbualan menerusi telefon pagi semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata wanita berusia 40 tahun itu menerima panggilan telefon di rumahnya di Brickfields kira-kira jam 10 pagi daripada lelaki yang tidak dikenali dan mendengar suara gadis seolah-olah seperti suara anaknya meminta pertolongan. “Suspek mengugut mangsa memberikan wang RM50,000 bagi mendapatkan semula anaknya. Mangsa bagaimanapun hanya memasukkan RM15,000 ke dalam akaun bank suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Khairi berkata, selepas sejam memasukkan duit ke dalam akaun suspek, baru mangsa menghubungi anaknya yang berusia 20-an melalui telefon bimbit dan mendapati anaknya selamat dan berada di pejabatnya.

“Anak mangsa tidak diculik...mangsa hanya diperdaya individu yang tidak dikenali untuk mendapatkan wang dengan cara mudah,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebaik menyedari ditipu.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya apabila menerima panggilan individu yang tidak dikenali yang mendakwa kononnya ahli keluarga mereka diculik. Kenal pasti kedudukan ahli keluarga mereka sebelum mengambil tindakan terburu-buru,” katanya. — Bernama

Pasangan muda mengaku buang bayi dalam tong sampah

MELAKA: Sepasang kekasih yang ditahan beberapa jam selepas membuang seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi hari pertama Ramadan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.
MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.

Pada prosiding bermula kira-kira jam 3 petang itu, tertuduh lelaki yang berusia 18 tahun dan pasangannya, juvana berusia 17 tahun 10 bulan, kedua-duanya berasal dari Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus ia dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah.
Terdahulu, tertuduh lelaki yang memakai baju lokap, manakala juvana perempuan berpakaian baju kurung merah dan bertudung coklat tenang di dalam kandang pesalah serta sesekali dilihat bercakap sesuatu antara mereka.

Kedua-dua mereka yang bekerja di kilang sama tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazura Hamid dan kes didengar Majistret Mohd Fairuz Johari.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membuang seorang bayi perempuan di kawasan Kilang Daibochi, Ayer Keroh, kira-kira jam 1 pagi pada 11 Ogos lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berhubung pengakuan bersalah tertuduh, Noor Hazura memohon tarikh sebutan baru bagi mendapatkan laporan akhlak bagi kedua-dua tertuduh yang juga pesalah muda di bawah umur 21 tahun.

Beliau mencadangkan jaminan RM10,000 bagi membebaskan kedua-dua tertuduh sementara menunggu perbicaraan selesai.

Mohd Fairuz bagaimanapun membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh selepas menimbangkan rayuan bahawa mereka tidak mampu kerana berasal daripada keluarga susah.

Kes ditetapkan untuk sebutan bagi fakta dan hukuman serta laporan akhlak pada 28 September depan.

Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan kilang terkejut apabila mendengar tangisan bayi yang disangkakan nada dering telefon bimbit.
Selepas memeriksa, dia menjumpai bayi perempuan masih bertali pusat di dalam beg kain dalam tong sampah di hadapan pondok pengawal sebelum kedua-dua tertuduh ditahan polis.

Mabuk sakan di bulan puasa

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila ada wanita Islam mabuk ketika berparti di sebuah pusat hiburan di ibu kota seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan.
Perbuatan biadab wanita terbabit terbongkar dalam serbuan polis di pusat hiburan berkenaan, Sabtu lalu.
Ketika diserbu, lima wanita itu berpelukan dengan teman lelaki masing-masing sambil berjoget, malah tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Mereka yang berada di pusat hiburan terbabit sejak 10 malam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan sering berpindah dari satu kelab ke kelab lain.

Dalam operasi kira-kira jam 1.50 pagi itu, premis tingkat bawah di kawasan perniagaan Cheras di sini, diserbu polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan diketuai Asisten Superintendan Sharil Mohd Johar.

Seramai 73 pelanggan diperiksa dalam operasi membanteras penggunaan dadah di kelab malam di sekitar ibu kota.

Daripada jumlah itu, enam pelanggan ditahan kerana positif dadah jenis ketamin dan metaphetamin.

Menurut jurucakap polis, lima remaja terbabit negatif mengambil dadah, namun hanya didapati mabuk.

“Pusat hiburan itu mempunyai lesen hiburan dan tidak beroperasi lebih waktu ditetapkan,” katanya. Semua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Toreh muka, mulut isteri

KUANTAN: Cemburu melihat isterinya berbual dengan sepupu lelaki, seorang buruh bertindak kejam apabila menoreh muka, bahu dan mulut pasangannya itu sehingga mengakibatkan mangsa berlumuran darah di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis.
Dalam kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Khamis lalu, mangsa berusia 25 tahun terpaksa merangkak keluar dari rumah meminta bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk rawatan lanjut.

Turut cedera, sepupu lelaki mangsa berusia 25 tahun yang luka di tubuh akibat ditoreh ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian, mangsa bersama sepupu lelaki di rumahnya manakala suaminya keluar bekerja.

Menurutnya, mangsa berbual-bual dengan sepupunya di ruang tamu sementara menanti kepulangan suaminya untuk makan tengah hari bersama-sama.

“Suami mangsa yang pulang ke rumah secara mengejut melihat mangsa berbual mesra dengan sepupunya. Dia menengking mangsa menyebabkan dua bersaudara itu tergamam sebelum ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong ikan.
“Sejurus keluar semula ke ruang tamu, suspek menoreh muka, tangan, mulut dan bahu isterinya. Melihat mangsa cuba diselamatkan sepupunya, lelaki terbabit seperti singa kelaparan apabila melibas pisau ke arah sepupu mangsa mengakibatkan lelaki itu cedera di tubuh,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun melarikan diri selepas melihat mangsa dan sepupunya tidak bermaya serta bermandikan darah.
Katanya, mangsa bersama sepupunya mendapat bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke HKL untuk menerima rawatan akibat cedera di mulut, muka dan bahu.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sepupunya berhubung kejadian terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Nordin berkata, polis masih menjalankan gerakan memburu suami mangsa dipercayai masih berada di daerah Kuala Lipis selain meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian itu tampil membantu siasatan.

'Wan, belikan Afiq baju raya'

JELEBU: “Wan, belikan Afiq baju raya.” Ungkapan itu masih terngiang-ngiang di telinga Dahuri Md Samad, 72, membuatkan dia sedih apabila dimaklumkan tiga cucunya bersama ibu mereka terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 22, Jalan Seremban-Kuala Klawang di Bukit Tangga, dekat sini, malam kelmarin.

DOA...Khairul Affandi (terbaring) turut mengaminkan doa di pusara isteri dan anaknya.
DOA...Khairul Affandi (terbaring) turut mengaminkan doa di pusara isteri dan anaknya

Dahuri berkata, permintaan itu dituturkan cucunya, Khairul Afiq Khirul Affandi, 5, ketika berada di rumahnya di Kampung Kampai, Kuala Klawang, sebelum berbuka puasa pada hari sama.

“Pada masa itu dah dekat nak berbuka dan dia minta mak cik belikan baju-T dan seluar kerana tahun ini dia akan beraya di rumah mak cik (Kampung Kampai).

“Mak cik beritahu akan belikan pakaian yang diminta apabila dia pulang semula apabila menjelang hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Jelebu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Afiq, kakaknya, Khairunnisa Afiqah, 7, adiknya, Khairul Aiqal, 12 bulan, dan ibunya, Hazilawati Abdul Halim, 34, yang juga menantu Dahuri terbunuh selepas Proton Wira dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah van.

Pemandu kereta berkenaan yang juga bapa Afiq, Khirul Affandi Shabudin, 33, parah di dada, manakala kembar Khairul Aiqal iaitu Khairul Aziq parah di kepala.
Afiq dan Khairunnisa meninggal dunia di tempat kejadian dengan mayat mereka tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk sebelum dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat, manakala Hazilawati dan Khairul Haikal meninggal dunia di Hospital Jelebu, tidak lama selepas itu.

Dahuri berkata, cucunya pulang ke kampung bersama keluarganya pada petang Jumaat lalu untuk berbuka puasa bersama keluarganya dan mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Mak cik sedih sebab tak dapat memenuhi permintaannya membelikan baju raya.
“Sebelum bertolak balik ke Sungai Pelek, (Sepang, Selangor), petang semalam (kelmarin), kami sekeluarga sempat berbuka puasa bersama dan mereka terpaksa berpatah balik kerana anak saya (Khirul Affandi) bekerja hari ini (semalam),” katanya yang berlinangan air mata kerana kehilangan tiga cucu dan seorang menantu serentak dalam kejadian itu.

Sementara itu, bapa Hazilawati, Abdul Halim Abdullah, 64, berkata dia terkilan kerana tidak sempat bertemu Khairul Aiqal kerana dia antara cucu paling manja dan rapat dengannya.

“Boleh dikatakan setiap hari saya membawa Aiqal bersiar-siar menaiki motosikalnya sebelum dibawa pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari rumah keluarga di Kampung Batu Empat, Sungai Pelek.

“Bagaimanapun, Jumaat lalu, apabila saya pergi untuk mengambil Aiqal, saya dapati rumah itu kosong kerana anak, cucu dan menantu pulang ke rumah di Kampung Kampai, Batu 3 Kuala Klawang.

“Saya rasa rindu sangat apatah lagi mengingatkan dia baru pandai berjalan dan sering ketawa apabila bermain dengan saya,” katanya.

Sementara itu, kakak Khirul Affandi, Siti Zaleha, 55, berkata adiknya bersama isteri dan empat anak kelihatan berselera ketika menikmati hidangan berbuka puasa beberapa jam sebelum kejadian berkenaan.

“Pada sebelah petang, mereka membeli banyak makanan di bazar Ramadan dan sangat berselera makan selain gembira kerana tahun ini mereka akan beraya di sini.

“Namun, saya tak sangka kegembiraan kami nikmati semalam (kelmarin) yang terakhir kerana empat orang kesayangan saya sudah tiada,” katanya.
Menurutnya, walaupun sedih, dia menganggap itu semua suratan takdir dan tabah menghadapinya.

Jenazah tiga mangsa yang dihantar ke Bilik Mayat Hospital Jelebu dituntut ahli keluarga pagi semalam untuk dibawa ke kampung Hazilawati di Batu 4, Sungai Pelek, Sepang, menggunakan tiga kenderaan jenazah.

Tinjauan Harian Metro mendapati suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat apabila ada ahli keluarga tidak dapat menahan sedih kehilangan orang tersayang serentak.

Wook teruji lagi

HULU TERENGGANU: Kesetiaan cinta wanita tertua Terengganu, Mek Wook Kondor, 107, teruji lagi apabila suaminya, Mohd Nor Musa, 38, ditahan polis di Kampung Pasir Tinggi, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu kerana didakwa positif dadah jenis heroin.

MASIH SAYANG...Mek Wook (kanan) dan suami keluar dari balai polis selepas membayar ikat jamin.
MASIH SAYANG...Mek Wook (kanan) dan suami keluar dari balai polis selepas membayar ikat jamin.


Lebih memilukan, Wook terpaksa mengeluarkan wang simpanannya RM2,000 untuk menjamin Mohd Nor yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Tuan Rosnah Tuan Husin di hadapan Majistret Azman Mustafa.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan dan Mohd Nor dibenarkan ikat jamin sementara menunggu sebutan semula pada 11 Oktober depan bagi mendapatkan laporan penuh ujian air kencingnya.

Sebelum ini, pada 7 Julai tahun lalu Mohd Nor ditangkap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengikut Seksyen 8(3)(a) Akta Penagihan Dadah, Rawatan dan Pemulihan (Pindaan 1998) serta dimasukkan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi sebelum dipindahkan ke Puspen Besut, 31 Disember tahun lalu.

Dia kemudian dibebaskan pada 15 Julai lalu.
Wook ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia sangat terkilan dengan perangai Mohd Nor yang mengambil dadah semula sehingga merasakan ingin membunuh diri dan terjun sungai kerana tidak dapat menerima hakikat itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka suaminya sanggup mengulangi balik perangai buruknya mengambil dadah kerana lelaki berkenaan baru saja keluar dari Puspen dan berjanji tidak mahu mengulangi perbuatan itu.
“Saya harap hari raya tahun ini akan memberi sinar baru kepada kami suami isteri selepas terpaksa berpisah tahun lalu, namun tidak sangka pula jadi begini.

“Saya sudah banyak berhabis duit untuknya ingatkan dia betul-betul hendak berubah tetapi lain pula jadinya. Begitupun saya harap dia dapat kembali semula ke pangkal jalan,” katanya.

Menurutnya, Mohd Nor yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu minggu lalu dibebaskan semalam dengan ikat jamin menggunakan wang simpanannya sendiri.

Katanya, Mohd Nor akan menjalani rawatan pemulihan bermula hari ini dan akan ditempatkan di Pusat Khidmat AADK daerah yang baru dibuka semalam selama dua bulan.

Suami gantung diri



SEREMBAN – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tergantung di dalam sebuah bilik rumahnya di Taman Permai Jaya, dekat sini, pagi semalam. 

Jurucakap polis berkata, mayat mangsa, C Rengan, 32, ditemui isterinya sebaik sahaja wanita itu tiba di rumah, kira-kira jam 11.15 pagi. 

“Difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan isteri menyebabkan mereka bertengkar sehari sebelum kejadian. 

“Isteri mangsa kemudian membawa dua anak mereka ke rumah ibunya di kawasan berhampiran,” katanya, di sini, semalam. 

Jurucakap polis berkata, wanita terbabit pulang ke rumah pagi semalam untuk melihat keadaan suaminya namun tergamam melihat mayat Rengan yang tergantung.

"Kejadian dipercayai berlaku kelmarin dan siasatan awal polis mendapati mangsa menggunakan sebuah meja dalam bilik untuk menggantung diri.

"Terdapat kesan jerut pada bahagian leher mangsa, selain kecederaan pada bahagian tangannya. Kes dikategorikan sebagai mati mengejut. Siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan ada unsur jenayah,” katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Kaki kejang ketika menyelam



YAN - Hasrat seorang nelayan untuk turun ke laut mencari rezeki sempena bulan Ramadan tidak kesampaian apabila beliau ditemui mati lemas di pangkalan ikan Kuala Sungai Yan, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam. 

Mayat mangsa, Zulhizal Ahmad, 39, yang baru setahun menjadi nelayan, ditemui oleh seorang nelayan lain dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi beliau lemas berdekatan titi sungai di sini. 

Saksi, Mohd Nasir Ismail, 35, berkata, sebelum berlakunya kejadian, beliau yang ketika itu sedang berehat di pangkin berdekatan jeti, sempat bertegur sapa dengan mangsa yang sedang bersiap sedia untuk turun ke laut. 

Menurutnya, mangsa sempat bergurau dengannya dengan menyatakan akan membawa hasil ikan yang banyak pada kali ini. 

“Lebih kurang jam 12 tengah hari, mangsa pun cuba menghidupkan enjin bot untuk turun ke laut seorang diri, bagaimanapun gagal setelah mendapati kipas enjin bot rosak akibat tersangkut dengan timbunan sampah sarap. 

“Melihat keadaan itu, mangsa pun menyelam ke dalam sungai untuk mengalihkan sampah dan tidak timbul kira-kira 15 minit selepas itu,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam. 

Bimbang dengan keadaan mangsa, Mohd Nasir lantas menyelam ke dalam sungai itu untuk mencari mangsa di bahagian bawah bot, bagaimanapun kelibat tubuh mangsa gagal dijumpai. 

“Saya terkejut kerana gagal mengesan mangsa di bahagian bawah bot dan kawasan berjarak 100 meter radius daripada tempat kejadian. 

“Saya lantas memanggil rakan nelayan lain untuk membantu mencari dan akhirnya mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap kira-kira 500 meter daripada tempat kejadian pada jam 12.30 tengah hari,” katanya. 

Sementara itu, anak tunggal mangsa, Mohd Amirul Adli Zulhizal, 12, menyuarakan rasa tidak percaya setelah diberitahu oleh bapa saudaranya mengenai kejadian malang itu. 

Menurutnya, dia kini kehilangan tempat bergantung kerana mereka sebelum ini hanya tinggal berdua setelah mangsa bercerai dengan isteri lima tahun lalu. 

“Saya baru sahaja tinggal berdua dengan ayah sejak tiga tahun lalu setelah kematian nenek sebelum ini. 

“Saya berasa pilu dengan pemergian ayah dan tidak tahu dengan siapa saya hendak bergantung selepas ini,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu dan menegaskan mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat. 

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada kaki mangsa yang kejang ketika sedang menyelam dalam sungai,” katanya.

Buang bayi tepi kolam




KOTA DAMANSARA – Misteri beg sandang yang berada di tepi kolam tadahan banjir berhadapan sebuah kolej swasta dekat sini akhirnya terungkai apabila terdapat mayat bayi di dalamnya. 

Beg berisi mayat bayi perempuan masih bertali pusat dibalut dengan tuala itu dijumpai seorang penjala ikan , Badrul Abdul Rashid, 24, kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Badrul ketika ditemui berkata, pada mulanya dia takut hendak membuka beg tersebut. 

“Saya cuba usik-usik beg itu menggunakan kayu dahulu, bila buka saya nampak kaki bayi dan terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan bangunan berhampiran,” katanya. 

Difahamkan kawasan berhampiran sebuah kondominium itu popular dan sering menjadi tumpuan kaki pancing dan remaja melepak berikutan terdapat asrama pelajar di situ. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, bayi itu dipercayai sudah mati sebelum mayat dibungkus dalam beg dan ditinggalkan di situ. 

Siasatan awal polis mendapati bayi berkulit gelap tersebut baru beberapa jam dilahirkan berikutan keadaan tali pusatnya yang masih belum dipotong. 

Jelasnya, berdasarkan lokasi beg itu ditemui, pihaknya percaya suspek cuba mencampakkan beg berisi bayi itu ke dalam kolam itu namun ia tersangkut di tebing kolam itu. 

“Kita turut menemui kain pembedahan berwarna hijau yang digunakan suspek untuk membungkus mayat bayi yang lazimnya digunakan oleh klinik ataupun hospital namun perkara itu kita masih siasat lagi,” katanya. 

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat 

Kes disiasat dibawah Seksyen 318 dan 302 kanun keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membunuh. 

Orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Operator kilang maut digilis lori



RAUB – Seorang wanita berusia 34 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala apabila digilis lori treler dalam kemalangan di Kilometer Jalan Raub – Lipis, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian kira-kira jam 6.10 petang itu berlaku di hadapan Rumah Rehat Raub. 

Menurutnya, mangsa Nor Amizan Abd Halim, berasal dari Kampung Gali Tengah dan bekerja sebagai operator kilang. 

“Mangsa yang menunggang motosikal terhimpit ke kiri jalan setelah sebuah lori treler dipandu lelaki berusia 38 tahun, membelok di jalan yang berselekoh. 

“Tayar bahagian belakang lori treler menggilis mangsa menyebabkan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini. 

Wan Mohd Samsudin berkata, sampel darah mangsa dan pemandu lori treler itu diambil untuk mengesan kandungan alkohol atau dadah. 

Menurutnya, pemandu lori treler ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu menurut jiran mangsa yang tidak mahu dikenali, mangsa yang mempunyai tiga anak dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya dan mahu singgah di bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka. 

“Setiap kali lepas kerja arwah akan singgah di bazar Ramadan itu untuk beli kuih muih dan berbuka bersama keluarga di rumah, namun semalam (kelmarin) dia menemui ajal sebelum sempat sampai di bazar,” katanya.

Banjir paling buruk berlaku



BERUAS – “Perkara yang selalu saya ingatkan kepada ibu dan suami, letakkan anak saya yang baru berusia sebulan di tempat yang lebih tinggi sejak hujan lebat melanda selama empat jam,” kata Siti Azila Mihad. 

Siti Azila yang juga mangsa banjir berkata, hujan lebat tanpa henti dari jam 4 petang kelmarin menyebabkan air sungai berhampiran mulai naik dan apabila pihak bomba hadir memberi bantuan dia merasa lega. 

Menurutnya, dia masih menghabiskan masa pantang di rumah ibunya di Taman Anggerik dan ahli keluarganya membuat persiapan dengan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi. 

“Kejadian banjir seumpama ini adalah yang paling buruk pernah berlaku sepanjang lima tahun saya menetap di kawasan ini. 

“Hati ibu mana yang tidak risau, apabila anak kecil dalam keadaan bahaya dan apabila pihak bomba datang kira-kira jam 12 tengah malam, saya cukup lega kerana saya tahu anak saya ini selamat,” katanya. 

Dia ditemui :Sinar Harian: bersama-sama suaminya, Mohd Shidan Ahmad, 24, dan ibunya, Fatimah Md Isa, 46, di Dewan Inderawati awal pagi, semalam. 

Siti Azila antara 15 buah keluarga daripada enam perkampungan di sini yang terpaksa dipindahkan akibat banjir yang melanda di kawasan itu selepas hujan lebat selama empat jam tanpa henti. 

Hujan lebat itu menyebabkan paras air Sungai Beruas naik secara mendadak menenggelamkan lebih 100 rumah awal pagi semalam. 

Kejadian itu memaksa pihak bomba dan penyelamat dari Pantai Remis dengan kekuatan lapan anggota diketuai seorang pegawai membantu penduduk berpindah ke Dewan Inderawati, dekat pekan Beruas. 

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Gaduh, Jalan Pertanian, Kampung Kilang, Kampung Tersusun, Kampung Cenderung Kelubi dan Taman Perumahan Anggerik. 

Sementara itu, salah seorang mangsa, K Sukumaran, 33, yang berhajat untuk menyambut hari lahir anaknya, K Saubthi tidak kesampaian apabila banjir datang secara tiba-tiba dan memaksa dia serta keluarganya berpindah ke tempat selamat. 

Sukumaran berkata, persiapan untuk menyambut hari jadi anak sudah tersedia namun terpaksa dilupakan disebabkan sebahagian barangan itu teleh rosak akibat banjir. 

“Sepanjang tujuh tahun saya menetap di Taman Anggerik Permain, ini adalah banjir kali kedua dan paling teruk pernah dialami apabila air masuk ke dalam rumah hingga ke paras lutut,” katanya.: 

Pelbagai pihak tampil membantu mangsa 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Imran Ahmad berkata, pihaknya telah turun ke kawasan terjejas bagi operasi memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. 

Menurutnya, dengan kekuatan lapan anggota, sebuah jentera dan sebuah bot pihaknya mengadakan operasi memindahkan mangsa kira-kira jam 12 tengah malam di kawasan terjejas teruk. 

“Pasukan bomba juga memberi bantuan dengan menyelamatkan orang awam sebelum dihantar ke Dewan Inderawati. 

“Kira-kira enam pagi tadi (semalam), kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah apabila air sungai menunjukkan tanda-tanda surut,” katanya. 

Dalam kejadian banjir itu juga, 30 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Beruas turut membantu pihak bomba dalam usaha menyelamatkan orang awam ke tempat selamat. 

Ketua AMK Cabang Beruas, Abdul Jais Ashfaq Ahmad berkata, pihaknya telah membantu bomba dalam usaha menyelamatkan mangsa kejadian banjir itu. 

“Selain itu pihak kami akan memberikan sumbangan berupa wang ringgit kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya. 

Manakala, Naib Ketua UMNO Bahagian Beruas, Azman Noh berkata, pihak membantu dengan memberi makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Inderawati, Pekan Beruas di sini. 

“Kami juga turut mengadakan gotong-royong dengan memasak juadah untuk bersahur bagi masyarakat beragama Islam dan mangsa lain,” katanya.

Mayat reput tepi semak


Oleh Fazurawati Che Lah 
bhkb@bharian.com.my
2010/08/16

TUMPAT: Misteri kehilangan bekas Pegawai RELA Tanah Merah sejak Jumaat lalu, berakhir dengan penemuan mayatnya yang mulai reput berhampiran semak di tepi landasan kereta api di sini, malam kelmarin. 

Mayat mangsa, Harun Abdullah, 63, ditemui seorang petugas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bertugas di sebuah pondok berdekatan, kira-kira jam 7.15 malam.Mangsa berasal dari Kampung Jenerih, Pasir Mas itu juga bekas pesara tentera itu dipercayai hilang dari rumah pagi Jumaat lalu.Anak mangsa, Fakarudin Harun, 33, berkata kehilangan ayahnya disedari ibu, Gayah Seman, 53, ketika bangun untuk menyediakan juadah bersahur pada pagi Jumaat lalu. 

Fakarudin berkata, walaupun ayahnya yang mempunyai masalah ingatan, beliau masih mampu berjalan ke pekan Pasir Mas setiap hari untuk membeli akhbar dan akan pulang sebelum tengah hari. 

“Pada hari kejadian, kami dapati beliau tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah lewat petang. Kami sekeluarga cemas sebelum usaha mencarinya dilakukan sehingga lewat malam di sekitar Meranti. 

“Kami semua buntu apabila tidak menemuinya, lalu mengambil keputusan ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan mengenai kehilangannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 
Fakarudin berkata, sebelum ini ayahnya pernah hilang, namun ditemui orang awam di sekitar Chabang Empat sebelum menghantarnya ke balai polis berdekatan. 

Katanya, beliau tidak sempat meraikan Ramadan bersama ayahnya kerana pada hari kejadian, beliau dalam perjalanan pulang daripada Kuala Lumpur selepas mendapat cuti selama enam hari daripada majikannya. 

“Saya tidak sangka, kepulangan untuk sama-sama meraikan Ramadan bersamanya tidak kesampaian. Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa ayah, saya reda dan menerima ini sebagai ujian daripada yang Maha Esa,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit membantu mencari ayahnya. 

Petugas KTMB, Hisyam Mat Ghani, 20, berkata ketika sedang menunggu waktu berbuka, beliau dikejutkan abangnya, Hilmi, 25, mengenai penemuan mayat yang terletak kira-kira 100 meter dari pondok tempat beliau bertugas. 

“Saya dan abang terus ke lokasi berkenaan dan terkejut serta panik melihat mayat yang dalam keadaan terlentang itu sudah berulat dan berbau. 

“Saya meminta abang ke Balai Polis berdekatan untuk membuat laporan mengenai penemuan mayat itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah, Superitendan Khalid Munap, mengesahkan menerima laporan penemuan mayat mangsa yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.