Search This Blog

Monday, August 16, 2010

2 pelancong cedera kemalangan bot


16/08/2010 5:19pm

KUALA TERENGGANU - Sepasang pelancong dari Norway cedera dalam satu kemalangan bot di perairan Pulau Perhentian, petang semalam.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II Negeri Supt K. Manoharan hari ini berkata, dalam kemalangan pukul 6.15 petang itu Steiro Kelly, 29, seorang jurutera cedera ringan manakala isterinya Tina Mariann Steiro, 30 seorang guru, patah tulang selangkanya.
Wanita itu masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini manakala suaminya telah dibenar keluar dari hospital, hari ini, katanya kepada pemberita di sini.
Manoharan berkata, kejadian berlaku ketika kedua-duanya yang menaiki bot laju bersaiz kecil, yang dipandu seorang lelaki tempatan, baru balik dari aktiviti menyelam di Pulau Perhentian Besar.
"Ketika tiba di tempat kejadian, sebuah bot yang membawa barang yang agak besar bertembung dengan bot yang membawa pelancong dari Norway itu,” katanya. - Bernama

Wanita, tiga anak maut kemalangan


16/08/2010 4:18pm

KUALA KLAWANG - Seorang wanita dan tiga anaknya terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Km 22, Jalan Seremban-Simpang Pertang di Bukit Tangga dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Setapa Yusoff berkata, mangsa yang terbunuh ialah Hazilawati Abdul Halim, 34, serta tiga daripada empat anaknya iaitu Khairunnisa Afiqah, 7, Khairul Afiq, 5, dan Khairul Aiqal, 1 tahun.
Suami Hazilawati, Khairul Affandi Shabudin, 33, dan kembar Khairul Aiqal, Khairul Aziq, pula cedera parah.
"Khairunnisa Afiqah dan Khairul Afiq meninggal dunia di tempat kejadian manakala Hazilawati dan Khairul Aiqal meninggal dunia di Hospital Jelebu.
Khairul Affandi, seorang juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang patah tulang rusuk kiri dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban manakala Khairul Aziq yang cedera di kepala dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. - Bernama

Buang bayi disiasat sebagai bunuh atau cubaan bunuh


16/08/2010 6:25pm

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kes buang bayi hingga menyebabkan kematian akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala jika bayi berkenaan masih hidup, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis sedia bertindak mengikut klasifikasi berkenaan bagi kes pembuangan bayi sekiranya ia merupakan langkah terbaik dalam membendung jenayah kejam itu.
Bagaimanapun, katanya keputusan untuk menyabitkan sesuatu kes pembuangan bayi kepada bunuh atau kesalahan lain hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara.
Mohd. Bakri berkata, polis bimbang kes pembuangan bayi akan meningkat tahun ini berbanding tahun lepas, terutamanya melibatkan warga tempatan.
Setakat ini, pada tahun ini, sahaja seramai 65 bayi dilaporkan dibuang iaitu 26 bayi lelaki, 25 perempuan dan 24 janin yang tidak diketahui jantinanya, kata Mohd. Bakri kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
"Sepanjang tahun lepas sebanyak 79 kes dicatat iaitu 25 lelaki, 29 perempuan dan 25 janin yang tidak dikenal pasti jantina.
"Pada tahun ini walaupun belum sampai lapan bulan sudah nampak ada peningkatan pembuangan bayi yang amat mengecewakan,” katanya. – Bernama

Sepasang kekasih remaja mengaku salah buang bayi


16/08/2010 6:49pm

MELAKA 16 Ogos – Sepasang kekasih yang bekerja di sebuah kilang di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas tuduhan membuang bayi perempuan di kawasan Kilang Daibochi di Ayer Keroh di sini pada pagi Rabu lepas.
Mohd. Zolhalmi Khamis, 18, dari Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan dan pasangannya, seorang remaja berusia 17 tahun 10 bulan, juga beralamat yang sama, dituduh bersama-sama membuang bayi itu kira-kira 1 pagi pada 11 Ogos lepas.
Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mohd. Zolhalmi dan pasangannya berada dalam kandang tertuduh sewaktu jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Mohd. Fairuz Johari.
Kedua-dua mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. – Bernama

COO, CFO mengaku tidak bersalah pecah amanah


16/08/2010 11:42am

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Pampena Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan pecah amanah RM169,770 empat tahun lalu.
Mohammad Rosly Md. Selamat, 56, dan Lim Khing Tai, 38, didakwa melakukan jenayah itu dengan membayarnya kepada Ummi Hafilda Ali berkaitan sebuah konsert penyanyi Arab, Amr Diab, pada 15 Ogos 2006.
Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah. – Utusan

Suri rumah cari keluarga kandung

KUANTAN: Seorang suri rumah bukan saja buntu mencari keluarga kandung yang terpisah sejak berusia tiga bulan, malah terpaksa berkongsi nama dengan anak kepada keluarga angkatnya berikutan keluarga wanita itu tidak sempat memberi nama ketika diserahkan untuk jagaan keluarga angkat.
Berikutan pertindihan dua nama, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang memberi nama sementara kepada wanita terbabit iaitu Rosmini Abdullah, 32 (gambar), sebelum memintanya mencari waris keluarga kandung untuk membuat kad pengenalan dan surat beranak.
Menceritakan semula kisahnya, Rosmini berkata, dia diserahkan kepada jirannya pada waktu pagi selepas tiga hari dilahirkan di Manjung, Perak untuk jagaan sementara dan ayah kandungnya berjanji mengambilnya semula pada waktu petang.

Menurutnya, ayahnya tidak datang mengambil dia sebelum dikatakan terus menghilangkan diri bersama ibu kandung menyebabkan jirannya terpaksa menjadikannya sebagai anak angkat dan meletakkan nama panggilan sementara iaitu Rosnani.

Katanya, ketika bapa angkat, Ismail Jusoh, 69, hendak membuat kad pengenalan dan surat beranak, JPN meminta ahli keluarga yang sebenar datang bukan keluarga angkat.

Rosmini berkata, berikutan kegagalan mengesan keluarga kandung, dia sehingga kini masih tidak memiliki surat beranak serta kad pengenalan menyebabkan semua urusan peribadinya tergendala sejak berusia 20 tahun.

Katanya, dia yang kini sudah berumah tangga dengan lelaki pilihan keluarga angkat, Zainuddin Ismail, 40, dan mempunyai empat cahaya mata pergi ke rumah lamanya di Manjung, Perak untuk mencari keluarga kandung.

Rosmini berkata, sebaik tiba di Manjung, dia mendapati penghuni di rumah lamanya mendakwa tidak mengenali keluarga kandung.

Timbalan menteri bakal disiasat

KUALA LUMPUR: Seorang timbalan menteri bakal disiasat polis selepas satu laporan dibuat kelmarin berhubung salah laku seksual dilakukannya selain didakwa turut terbabit dengan kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis di kalangan pelajar kolej.
Sumber polis berkata, seorang ahli politik berusia 50-an dan berasal dari Ipoh, Perak sebelum ini tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 11.08 malam kelmarin sebelum membuat laporan polis berhubung jenayah salah laku seksual yang dilakukan oleh timbalan menteri berkenaan.

Difahamkan, laporan polis berkenaan dilakukan oleh ahli politik terbabit yang mendakwa memperolehi bukti berhubung pembabitan suspek terhadap kes salah laku seksual selain pelacuran gadis bawah umur.

Malah timbalan menteri terbabit yang memulakan khidmat selepas Pilihan Raya Umum 2008 itu turut dikaitkan dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Difahamkan pengadu sebelum ini menerima surat layang menerusi pos laju yang dihantar kepadanya pada 11 Ogos lalu.

“Melalui kandungan surat terbabit, timbalan menteri itu didakwa terbabit dengan aktiviti pelacuran termasuk membekalkan gadis-gadis kolej terutama kepada golongan VIP.

Tuntut kebebasan beragama

JAKARTA: Beratus-ratus orang menunjuk perasaan di sini semalam, menuntut Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengambil langkah melindungi dasar kebebasan beragama.


SEORANG wanita Kristian melaungkan slogan ketika menunjuk perasaan membantah serangan terhadap gereka di Jakarta, semalam.
SEORANG wanita Kristian melaungkan slogan ketika menunjuk perasaan membantah serangan terhadap gereka di Jakarta, semalam.


Mereka juga mendesak kerajaan bertindak menghukum kumpulan pelampau Islam yang didakwa menyerang penganut agama minoriti.
Tunjuk perasaan itu menggambarkan kebimbangan orang awam berhubung serangan terbaru terhadap beberapa gereja dan masjid yang digunakan oleh penganut Ahmadiyah.

Secara rasminya, Indonesia adalah negara sekular dan mengiktiraf enam agama utama, Islam, Kristian, Katolik, Buddha, Hindu dan fahaman Konfusianisme.

Beberapa serangan yang berlaku baru-baru ini membabitkan kumpulan Islam seperti Barisan Pembela Islam (FPI), kumpulan yang disyaki mempunyai hubungan dengan polis dan mengamalkan taktik peras ugut dan keganasan.

Ramai rakyat Indonesia marah apabila Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo dan Ketua Polis Jakarta menghadiri sambutan ulang tahun ke-12 FPI baru-baru ini, langkah yang dianggap mengesahkan kegiatan kumpulan itu.
Semalam, kira-kira 500 orang, ramai yang membawa bendera Indonesia dan melilit riben merah pada tangan masing-masing, melaungkan slogan ‘kebebasan beragama untuk semua’ dan menyanyi lagu keagamaan ketika berhimpun di Monumen Kebangsaan di Jakarta.

“Kami sudah cukup bersabar terhadap keganasan dan kekejaman sebelum ini, termasuk terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Kami membuat laporan polis terhadap jenayah mereka tetapi kami tidak melihat tindakan tegas terhadap penyerang,” kata Saor Siagian, jurucakap Forum Solidraiti Untuk Kebebasan Beragama.
“Jika ini tidak dikawal, ia akan mencetuskan keadaan lebih bahaya dan mengancam negara. Presiden juga tidak mengambil tindakan tegas,” katanya. - Reuters

Bunuh selepas kalah tinju Siam

PHUKET: Seorang lelaki warga Britain didakwa menikam hingga mati seorang rakyat Amerika Syarikat selepas dia tewas dalam perlawanan tinju siam di depan rakannya di sebuah bar di sini, semalam.
Polis menemui mayat lelaki Amerika itu, Dashawn Longfellow, 23, pada awal pagi di Resort Yanui Paradise dengan kecederaan di dadanya.
Polis juga menemui dua pisau 300 meter dari pintu masuk resort berkenaan.

Saksi mengenal pasti pembunuh itu lelaki Britain berusia antara 25 dan 28 tahun.

Siasatan polis mendapati suspek bermegah-megah di depan rakannya mengenai kemahirannya dalam tinju siam dan mengajak Longfellow bertarung.

Longfellow yang juga belajar tinju itu di Phuket menumbuk dan menumbang lelaki Britain itu. Lelaki Britain itu mengekori Longfellow untuk membalas dendam kerana memalukannya. Dia kemudian menikam mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal. - Agensi

Bakar diri raih simpati

ABU DHABI: Polis semalam menangkap seorang lelaki yang sengaja membakar dirinya untuk meraih simpati dan membolehkan dia mengutip lebih banyak derma.
Pengarah Direktorat Polis Abu Dhabi, Kolonel Maktoum Al Sharifi berkata, pasukan perondanya dari Balai Polis Al Khalidiyah menangkap lelaki keturunan Asia itu ketika menjalankan rondaan biasa.
Suspek jelas kelihatan keletihan dan sakit ketika mengemis daripada pekerja dan pelanggan di daerah berkenaan.

Polis Abu Dhabi meningkatkan rondaan mereka sejak Ramadan bermula untuk memerangi kegiatan mengemis.

Menurut Maktoum, selepas memeriksa identiti suspek, dia didapati datang ke negara itu menggunakan visa pelawat yang dikeluarkan oleh sebuah agensi pelancong.

Apabila diperiksa, polis menemui wang berjumlah 618 dirham (RM533) dan pasport dengan visa yang sudah tamat tempoh.

Polis turut menemui telefon bimbit dan beberapa naskah kitab suci al-Quran padanya.

“Suspek mengaku membakar tangan kirinya dengan mengguna dapur masak supaya dapat meraih simpati daripada orang ramai, sekali gus mendapat derma daripada mereka,” kata Maktoum.

Menurutnya, suspek mendakwa dia tidak tahu mengemis diharamkan di negara itu.

Beliau juga berkata, kes lelaki itu diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan perundangan seterusnya.

Menurut Maktoum, pihaknya sentiasa bertindak memburu pengemis dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka. “Kempen ini ditingkatkan lagi sepanjang Ramadan kerana ramai di kalangan mereka mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan sikap murah hati orang ramai ramai pada bulan ini,” katanya.
Kebanyakan mereka yang ditangkap mengemis ialah mereka yang memasuki negara itu dengan menggunakan visa pelawat atau visa pelancong.

Maktoum turut menegaskan, kebanyakan rompakan di Abu Dhabi dilakukan oleh pengemis berkenaan. - Agensi

Mangsa kemalangan diberi kurma

ABU DHABI: Saeed, sebuah syarikat Emiriah Arab Bersatu yang mengendalikan kemalangan kecil membabitkan kereta, mengagihkan bungkusan kurma kepada pemandu berpuasa yang terbabit dalam kemalangan.
Pengarah Eksekutifnya, Mariam Al Ahmadi berkata, ia sebahagian daripada usaha mengaktifkan peranan sosial syarikat berkenaan bagi meringankan beban pemandu yang ditimpa kecelakaan.
“Bersama kurma itu, kami juga mengedarkan risalah kesedaran yang menggalakkan pemandu mengalihkan kenderaan mereka ke tepi jalan raya sehingga pakar kami tiba,” kata Mariam. “Kami yakin dengan mengagihkan kurma itu ia dapat membantu pemandu menangani stres dan kebimbangan akibat kemalangan kecil.” katanya. - Agensi

Lelaki dipenjara kerana ketawa dalam mahkamah

FAYETTEVILLE (North Carolina): Bagi seorang hakim, mahkamah bukanlah tempat untuk ketawa atau bersenda gurau.
Ketika hakim Toni King mengendalikan kes di depannya, seorang lelaki, Johnny Montgomery, tiba-tiba ketawa.
Kelakuan Montgomery itu menyebabkan King berang dan bertanya mengapa lelaki berusia 47 tahun itu ketawa.

Bagaimanapun, Montgomery enggan menyatakan puncanya.

Akibatnya, King mengarahkan Montgomery dipenjara.

Ketika pihak berkuasa bersiap sedia membawa Montgomery ke pusat tahanan, mereka secara kebetulan menemui tiga gram kokain dalam pakaiannya.

Akibatnya, Montgomery berdepan dengan dakwaan memiliki dadah. Jurucakap mahkamah berkata, tiada tarikh ditetapkan setakat ini bagi sebutan kes berkenaan.

Katanya, Montgomery juga belum diwakili mana-mana peguam bela. - Agensi

Robek telinga

AMPANG: Gempar apabila seorang Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diberkas polis selepas didapati terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan samseng mengakibatkan seorang mangsa hampir putus telinga kanan.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan polis bersama dua lagi lelaki berhampiran Jalan Kabus, Kuala Ampang, di sini, selepas polis menerima maklumat berhubung pergaduhan menggunakan senjata tajam di kawasan berkenaan.
Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi milik ahli majlis MPAJ selepas menemui sebilah parang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin yang ditemui semalam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung pergaduhan berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Susulan itu, sepasukan anggota polis segera ke lokasi kejadian yang terletak di hadapan sebuah restoran.

“Menyedari kehadiran polis, dua kumpulan yang sedang bergaduh itu segera melarikan diri. Bagaimanapun, polis menahan tiga suspek berusia 27 hingga 36 tahun termasuk seorangnya adalah Ahli Majlis MPAJ.

“Seorang lelaki yang juga pemilik restoran itu berusia 39 tahun ditemui hampir putus cuping telinga kanan dipercayai ditetak dengan parang,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang turut cedera di muka akibat dilibas dengan parang segera dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan kecemasan. “Difahamkan, mangsa sedang menjalani pembedahan dan polis masih belum dapat mengambil keterangan daripadanya,” katanya.

Menurutnya, siasatan susulan polis di lokasi kejadian kemudian menemui sebilah pedang pendek yang diletakkan di atas tempat duduk sebuah kereta Perodua Myvi tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Pedang dan kereta itu kemudian dibawa ke Balai Polis Hulu Klang untuk siasatan lanjut manakala semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.

Ditanya motif serangan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan polis belum dapat mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak yang bergaduh. “Besar kemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan salah faham dan polis akan menyiasat kes pergaduhan itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Ribut kopak atap rumah

PETALING JAYA: Angin kencang menyebabkan bumbung Pangsapuri Desa Sepakat, di sini, berterbangan hingga menghempap 16 kenderaan milik penduduk yang diletakkan berhampiran, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, angin kencang disertai hujan lebat selama kira-kira 10 minit itu menyebabkan kerosakan teruk pada bumbung. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Setakat ini, sebanyak 10 unit rumah penduduk mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Ramli Dol, 53, berkata ketika kejadian, dia baru tiba di persimpangan masuk ke pangsapuri berkenaan sebelum melihat kepulan angin putih dari kawasan lapang berhampiran.

“Bagaimanapun, naluri saya dapat merasakan ada sesuatu yang buruk mungkin berlaku selepas kepulan angin berkenaan yang turut disertai hujan lebat kemudian menghampiri dinding pangsapuri itu.

“Dalam tempoh kurang seminit, terdengar bunyi dentuman yang cukup kuat sebelum bahagian bumbung blok bersebelahan terkopak,” katanya.

Beliau berkata, bahagian kekuda dan atap yang terkopak berkenaan kemudian menghempap beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta berhampiran.

Sementara itu, Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Desa Sepakat , Mohd Mustafa Othman menganggap kejadian itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu.

“Mujurlah ketika kejadian tiada penduduk berada di kawasan tempat letak kereta.

“Setakat ini, kami mengenal pasti 10 unit rumah mengalami kerosakan di tingkat sembilan dan satu unit di tingkat satu selain 16 kenderaan milik penduduk yang turut mengalami kerosakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Pulangkan anakku

KOTA BHARU: “Tolonglah...pulangkan anak saya,” rayu Che Esah Daud, 48, kepada pasangan suami isteri yang didakwa menyembunyikan anaknya, Che Ainun Che Anuar, 18, di rumah mereka di Terengganu.
Che Esah berkata dia yakin anaknya itu dalam jagaan pasangan suami isteri terbabit sejak mereka menghubunginya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.
Katanya, pada mulanya agak sukar baginya mempercayai dakwaan suami isteri itu yang kononnya menemui Che Ainun meminta sedekah di sekitar bandar di Terengganu sebelum dibawa pulang ke rumah.

“Saya sukar mempercayai mereka memandangkan sebelum ini banyak panggilan daripada individu tidak dikenali yang cuba mengambil kesempatan atas kehilangan anak saya. “Namun, kali ini saya yakin kerana pernah terdengar suara anak meronta-ronta ketika berhubung melalui panggilan telefon,” katanya.

Gelisah anak terjawab

YAN: “Arwah ibu sepatutnya berbuka puasa di rumah saya petang ini (semalam) dan solat Tarawih di Alor Setar, tetapi hajat arwah tidak kesampaian,” kata Hashimi Hassan, 53, anak tunggal Lian Osman, 74, yang ditemui mati terbaring dalam keadaan bogel dipercayai dirogol sebelum dibunuh perompak di ruang tamu rumahnya di Kampung Teluk Mak Acheh di sini, semalam.
Katanya, arwah ibunya yang juga bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Yan Kecil di sini, tinggal seorang diri selepas kematian suami sejak beberapa tahun lalu.
“Saya menghubungi arwah pada jam 8 pagi semalam beberapa kali, tetapi telefon rumah tidak dijawab membuatkan saya gelisah dan tertanya-tanya.

“Saya tidak mengesyaki perkara buruk berlaku kerana mungkin ibu keluar ke rumah jiran. “Bagaimanapun, kira-kira jam 2 petang semalam, saya dikejutkan dengan panggilan daripada penghulu kampung yang memaklumkan ibu saya meninggal dunia akibat kejadian pecah masuk rumah,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di sini, semalam.

Penghulu Mukim Yan yang juga sepupu mangsa, Mohd Shukri Ahmad, 56, berkata dia menyedari kejadian itu selepas seorang jiran terjumpa dompet miliknya di tepi jalan kira-kira 30 meter dari rumahnya pada kira-kira jam 1 tengah hari. “Saya ke rumahnya kerana bimbang mangsa tidak membuka pintu pagar seperti kebiasaan. “Saya memasuki kawasan rumah sambil memanggil mangsa, tetapi tiada jawapan lalu memeriksa di sekeliling rumah sebelum mendapati jeriji besi pada tingkap belakang rumah dipotong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan, Ismail Abu ketika ditemui ditempat kejadian berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada kira-kria jam 1.30 tengah hari dan masih menyiasat punca kejadian. Katanya, polis belum mengenal pasti secara terperinci mengenai fakta kes dan tidak dapat menentukan sama ada mangsa dibunuh atau meninggal dunia atas sebab lain. “Sebaik memasuki rumah berkenaan kami dapati mayat seorang wanita terbaring di ruang tamu rumahnya, namun tiada kesan darah dilihat berhampiran. “Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Maut tak sempat jamah 'rojak colek'

TINGGAL KENANGAN...Rohmah bersama suaminya, Omar Yaakob sedih dengan kematian cucunya.Kejadian jam 10.30 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Norhafizi Rosli, 19, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat.

Kemalangan itu turut mengakibatkan rakannya, Adi Mat Jad, 29, cedera di kepala dan lutut kanan serta menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang baru selesai menunaikan solat Tarawih di kampungnya pulang ke rumah seperti biasa dan dilihat keluar semula oleh ahli keluarganya tanpa diketahui hala tujunya dengan menaiki sebuah motosikal.

Bagaimanapun, selepas setengah jam bertolak, keluarganya dimaklumkan mengenai kemalangan berkenaan dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat mayatnya yang terbujur di jalan terbabit sebelum dibawa ke hospital pada jam 11 malam.

Berdasarkan kepada keterangan Adi yang juga rakan mangsa yang selamat, mereka dalam perjalanan untuk makan ‘rojak colek’ di gerai berdekatan kerana teringin merasainya dan hanya dijual pada Ramadan terutama selepas selesai solat Tarawih.
Menurut nenek mangsa, Rohmah Mahmod, 58, cucunya itu kali terakhir dilihat meninggalkan rumah dengan menaiki motosikal pada malam kejadian selepas menunaikan solat Tarawih berjemaah di surau berdekatan kampungnya.

“Malam itu saya nampak dia (Mohd Norhafizi) keluar rumah, tapi tidak bertanya lanjut ke mana arah tujunya. Benda itu (keluar rumah) sudah menjadi perkara biasa anak muda sepertinya termasuk berjumpa rakan sekampung.
“Apa yang saya tahu, cucu baru saja selesai menunaikan solat Tarawih berjemaah dan pulang ke rumah seperti biasa pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Bukit, dekat sini, semalam.

Rohmah berkata, arwah cucunya juga dilihat berperangai pelik kerana bergurau secara berlebihan dengan sepupunya sejak kebelakangan ini berbanding perwatakannya yang agak pendiam.

“Gurauan itu diperhatikan ahli keluarganya, ketika Mohd Norhafizi berada di rumah ibu saudaranya, Hasni Omar, 38. Ketika itu memang sudah nampak kelainan perwatakannya, namun tidak menyangka menjadi petanda untuk meninggalkan kami selamanya,” katanya sebak dengan kejadian menimpa cucunya itu.

“Perkara itu diberitahu Hasni pada malam sebelum dia keluar menunaikan solat Isyak dan Tarawih di sebuah surau di kawasan kampung berkenaan, pada jam 8.30 malam,” katanya sebak dengan kejadian menimpa cucunya itu.

Dia berkata, Mohd Norhafizi dipelihara ibu saudaranya itu selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika usianya mencecah lima tahun.

Katanya, kejadian hanya diketahui selepas dimaklumkan ahli keluarga terdekat yang menghubungi keluarganya menerusi telefon bimbit menyebabkan mereka bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan mangsa.

“Sejurus selepas itu, ahli keluarga ke HPM untuk menuntut mayatnya yang dihantar untuk bedah siasat di hospital itu,” katanya.

Rohmah berkata, Mohd Norhafizi juga sering datang ke rumahnya pada setiap malam sebaik pulang dari tempat kerjanya di sebuah kedai menjual anak pokok di Pasir Mas, sejak sebulan lalu.

Katanya, keluarga tidak menyangka sama sekali kemalangan itu berlaku dan reda dengan kejadian menimpa cucunya itu.

Jenazah Mohd Norhafizi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Tanjong Erat, Lubok Setol, jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Katanya, kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya dirempuh sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan dari Panglima Bayu ke Rantau Panjang selepas membuat pusingan U.

“Akibatnya, Mohd Norhafizi cedera di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala rakannya, Adi, cedera di lutut kanan dan kepala menerima rawatan lanjut di HPM,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti jenis kenderaan yang melanggar mangsa, kerana tiada laporan dibuat berhubung kemalangan itu.

Katanya, orang ramai atau saksi melihat kejadian itu diminta menghubungi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 09-7908222.

Amuk depan restoran: 4 maut

BUFFALO (New York): Satu kejadian menembak di luar sebuah restoran di tengah bandar Buffalo awal pagi semalam membunuh empat orang, termasuk seorang lelaki yang bersiap-siap meraikan ulang tahun pertama perkahwinannya.
Menurut polis, empat lagi mangsa cedera.
Semua mangsa dikatakan baru saja meninggalkan majlis keraian besar-besaran di City Grill yang terletak dalam daerah komersial Buffalo kira-kira jam 2.30 pagi.

Kata polis, mereka menyiasat dakwaan sekurang-kurangnya seorang lelaki diusir dari restoran itu sejurus sebelum kejadian.

Ketua penyiasat, Dennis Richards, berkata berlaku pertengkaran dalam premis berkenaan menyebabkan pengurusan restoran menutup operasinya dan meminta pelanggan beredar.

“Ketika mereka keluar, berlaku tembakan bertalu-talu,” katanya.

Setakat ini tidak diketahui berapa das tembakan dilepaskan.

Beberapa jam kemudian, polis mengepung sebuah rumah di bandar itu dan membawa keluar seorang lelaki dengan tangan bergari.

Polis tidak menyatakan sama ada tangkapan itu berkaitan dengan insiden sebelumnya.

Kata Richards, dua daripada korban adalah lelaki berusia 26 dan 30 tahun, manakala dua wanita lagi berusia 27 dan 32 tahun.

“Tiga disahkan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika tiba di hospital,” katanya.
Lelaki berusia 30 tahun itu tiba dari Texas untuk meraikan ulang tahun perkahwinannya yang pertama pada petang semalam.

Bagaimanapun, kata Richards, isteri lelaki itu tidak terkena sebarang tembakan.

Walaupun pihak berkuasa belum mendedahkan identiti mangsa, seorang lelaki Raymond Wilhite, berkata anak perempuannya, Tiffany, 32, adalah seorang daripada mereka.

“Ia pembunuhan rambang yang tidak berperikemanusiaan. Insiden seperti ini mesti dihentikan,” katanya.
Semua mangsa yang cedera adalah lelaki tetapi pegawai perubatan enggan menyatakan situasi semasa mereka.

Tommy Dates, 35, dari Buffalo, berkata dia berada di bar restoran berkenaan bersama rakannya apabila pertengkaran berlaku.

“Pengunjung mula beredar dari situ sebelum semuanya kelam-kabut masuk semula beberapa minit kemudian.

“Semuanya kelihatan panik,” katanya. - AP

Mengamuk ibu khalwat

JITRA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berang apabila mendapati ibunya dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu (PADKP) di rumah mereka di Taman Teja, Changlun di sini, Jumaat lalu.
Bagaimanapun dia ditenteramkan penguat kuasa yang melihatnya dalam keadaan marah.
Sebelum kejadian, remaja itu tidur dalam bilik di rumah itu sebelum dikejutkan penguat kuasa yang membuat pemeriksaan kira-kira jam 1.30 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di situ.

Ibu remaja itu, ustazah berusia 40 tahun yang mengajar di sebuah sekolah rendah di daerah itu dicekup berkhalwat dengan seorang kakitangan kerajaan yang sudah berkeluarga.

Sumber berkata, anak lelaki wanita itu langsung tidak mengetahui ibunya membawa masuk lelaki berkenaan pada hari kejadian.

Katanya, wanita itu dikatakan sudah lama menjanda dan mengenali lelaki itu yang sudah berkeluarga itu sejak beberapa bulan lalu.

“Wanita itu berasal dari Kampung Pulau Nyior, di sini juga pemilik rumah berkenaan, manakala pasangannya berusia 50 tahun berasal dari Langgar, Alor Setar.

“Kami terpaksa menunggu kira-kira 20 minit kerana pemiliknya enggan membuka pintu sehingga memaksa kami menggunakan alat pembesar suara sehingga mengejutkan jiran berhampiran,” katanya.

Tiga kali hilangkan diri

KUALA LUMPUR: “Sudah tiga kali Vinotheny menghilangkan diri, bezanya kali ini lebih lama berbanding sebelumnya,” kata A Rani, 40, ibu kepada remaja perempuan berusia 16 tahun yang hilang sejak 9 Julai lalu.
Rani yang juga bekerja sebagai pembantu dapur di restoran kek terkenal di sebuah pusat beli-belah di sini, berkata kali terakhir dia melihat Vinotheny memakai pakaian seragam kerja kira-kira jam 8 malam pada hari berkenaan selepas anaknya mengadu sakit kepala.
“Kali pertama, dia pernah hilang pada April lalu dan mendakwa dia diculik dua lelaki yang membawanya ke Pelabuhan Klang sebelum Vinotheny pulang ke rumah pada hari ketiga.

“Kemudian, dua bulan selepas kejadian pertama, dia hilang secara tiba-tiba namun kembali ke rumah pada hari keenam tetapi kali ini, dia masih belum muncul dan saya benar-benar bimbang mengenai keselamatan dirinya,” kata Rani ketika ditemui di sini, semalam.

Koma lepas bersalin

MELAKA: “Hati ibu mana tidak sedih melihat anak disayangi kini hanya terlantar atas katil sejak lebih dua bulan lalu akibat koma selepas melahirkan anak sulungnya.
“Perasaan saya semakin hiba berikutan anak pertama dilahirkannya belum dapat menikmati susu ibunya,” kata Hamidah Mohd, 50, ketika menjaga anaknya, Nazridah Saat, 21, yang koma selepas melahirkan anak sulung, kira-kira dua bulan lalu. Hamidah dari Taman Cempaka 2, Durian Tunggal, berkata ketika ini cucunya, Mohd Harith Iskandar terpaksa tinggal bersama menantunya, Razali Sulaiman, 20-an, serta nenek dan datuknya di Kampung Gangsa, Durian Tunggal sejak dilahirkan.
Katanya, anaknya itu hanya sempat menatap cucu kesayangan beberapa saat sejurus dilahirkan, namun belum dapat mendakap erat dan menyusukan bayinya.

“Selepas Nazridah koma, Mohd Harith Iskandar hanya mampu menikmati minuman susu tepung sejak dilahirkan dan kami sekeluarga bersimpati dengan nasibnya.

“Kini, saya hanya mampu berdoa semoga dia cepat pulih supaya kami dapat bersama-sama meraikan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. “Saya sedih melihat keadaan dirinya setiap hari di samping tidak mengetahui berapa lama harus terlantar sebegini,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka (HM), di sini, kelmarin.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamidah berkata, Nazridah yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Batu Berendam melahirkan anak lelakinya kira-kira jam 11 malam pada 2 Jun lalu di HM.

Menurutnya, anak perempuannya dikeluarkan dari bilik pembedahan kira-kira jam 4 pagi keesokan hari dalam keadaan sedar, namun enam jam kemudian doktor menghubungi suaminya memaklumkan isterinya perlu menjalani pembedahan segera kerana masalah dalam perut.

Katanya, selepas menjalani pembedahan kali kedua, anaknya kemudian ditempatkan lebih kurang seminggu di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan tidak sedarkan diri sekali gus mengakibatkan semua ahli keluarga risau.

“Tidak lama kemudian, kami kembali ceria apabila dia mulai sedar di samping boleh memegang telefon bimbit dan mampu menghantar SMS selain menulis sesuatu pada sekeping kertas.

“Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya sementara kerana dalam tempoh beberapa jam, dia kembali tidak sedarkan diri hingga sekarang,” katanya.

Berikutan itu, katanya, doktor menasihatkan mereka berikhtiar menggunakan kaedah perubatan Islam dan usaha berkenaan menampakkan sedikit perubahan kerana tangan, kaki serta kepala anaknya kelihatan bergerak sekali-sekala.
“Namun, fikiran saya masih tidak tenang kerana dia masih tidak mampu membuka mata serta gagal memberi sebarang reaksi apabila namanya dipanggil, namun kami tetap berikhtiar dengan memperdengarkan bacaan ayat al-Quran menerusi pemain MP3 di telinganya.

“Bagaimanapun, saya sedih dan terkilan apabila alat pemain MP3 yang baru dibeli dengan harga RM300 dan diletakkan di sisi Nazridah dicuri pula pihak tidak bertanggungjawab yang memang tidak mempunyai perasaan,” katanya.

Menurutnya, keluarganya tidak menyalahkan doktor berhubung masalah dialami Nazridah dan berharap orang ramai dapat mendoakan anak perempuannya sembuh seperti sedia kala sekali gus dapat menjaga cucu lelakinya itu.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sebarang sumbangan atau bantuan boleh menghubunginya di talian 017-6238599 atau Razali (012-2257934).

Lelaki warga emas maut dalam kebakaran

IPOH: Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di No 18 Jalan Matang Jelutong, Bagan Serai, 120 kilometer dari sini malam tadi.
Mayat Jumli Utar, 70, ditemui dalam bilik air di rumah itu selepas kebakaran dipadamkan. Mayatnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, Jumli yang tinggal seorang diri dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi terperangkap dalam bilik air rumahnya itu.

"Kematiannya dipercayai akibat lemas selepas terhidu asap tebal ketika berada dalam bilik air untuk mencari jalan keluar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kejadian pada pukul 8.52 malam itu memusnahkan sama sekali rumah papan warga emas itu dan pasukan bomba mengambil masa satu jam untuk memadamkan kebakaran.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.-Bernama

Penternak syak lembu diracun




2010/08/16

KESHWINDER (tiga dari kiri) bersama penternak melihat lembu mereka yang mati mengejut di Kampung Timah dekat Batu Gajah.
KESHWINDER (tiga dari kiri) bersama penternak melihat lembu mereka yang mati mengejut di Kampung Timah dekat Batu Gajah.
BATU GAJAH: Beberapa penternak lembu di sini kini keliru dan bimbang ekoran kematian mengejut haiwan ternakan di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini Khamis lalu sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit.

Kematian misteri haiwan ternakan itu bukan pertama kali berlaku kepada penternak terbabit, malah ia kali ketiga sejak kejadian pertama pada Januari lalu, diikuti kejadian kedua pada Mac.Dalam kejadian terbaru Khamis lalu, empat daripada 70 ekor haiwan ternakan milik tiga penternak ditemui mati mengakibatkan kerugian kira-kira RM8,000.Dalam kejadian di ladang sawit di Kampung Timah, empat lembu milik tiga penternak ditemui mati dengan kesan pendarahan pada mulut, hidung dan dubur dipercayai akibat kesan racun.

Penternak terbabit, Surjit Singh, 50, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas gagal mengesan empat lembunya yang hilang sejak dua hari lalu.

"Kami amat terkejut memandangkan empat lembu terbabit mati mengejut lebih-lebih lagi kesemuanya disahkan sihat, bahkan telah menerima vaksin berkaitan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Kesan pendarahan pada mulut, hidung dan dubur bangkai lembu ini jelas menunjukkan haiwan ini diracun secara sengaja," katanya ketika ditemui di sini. 
Surjit berkata, dalam kejadian pada 24 Mac lalu, lima haiwan ternakan mereka turut mati dan penternak terbabit langsung tidak menyangka kejadian sama akan berulang.

"Jika lembu terbabit memakan rumput yang beracun, sudah tentu yang lain akan mengalami nasib yang sama. Kebiasaannya lembu ini akan ‘kebal’ daripada racun rumpai rumput biasa dan kami yakin ada pihak yang melakukan secara sengaja," katanya.

Beliau yang juga bekas komando Tentera Udara Diraja Malaysia bersama rakannya, Manjit Singh, 41, dan Amar Singh, 46, membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tanjung Tualang di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshwinder Singh yang melawat lokasi kejadian berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dalang di sebalik kematian lembu berkenaan. 

Pengantin maut ditembak




2010/08/16

NEW YORK: Seorang pengantin lelaki yang menyambut hari perkahwinannya antara empat ditembak mati penyerang, sementara empat lain turut cedera dalam kejadian di Buffalo di sini, kelmarin. 

Penyerang bersenjata itu masih tidak dapat dikenal pasti, tetapi polis di sini melancarkan pemburuan besar-besaran di kawasan industri di pinggir New York.Insiden itu berlaku di luar City Grill di tengah-tengah bandaraya Buffalo pada kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan ketika 100 tetamu keluar dari restoran itu selepas menghadiri majlis sambutan perkahwinan berkenaan.Mangsa mati belum didedahkan namanya oleh polis. 

"Kami masih menyiasat sama ada serangan ini tercetus oleh pergaduhan di dalam restoran," kata ketua jabatan homisid polis Buffalo, Dennis Richards. – Agensi 

Budak Perempuan darjah 6 Ketagih Selepas Dirogol Bapa


TAMPIN: Mengejutkan apabila seorang murid perempuan tahun enam di sebuah sekolah daerah ini dipercayai kemaruk seks apabila sanggup merelakan diri menjadi pemuas nafsu bapa sejak hujung tahun lalu, selain mengajak beberapa teman rapat lelakinya melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.

Disebabkan tiada tentangan daripada anaknya, bapa durjana berkenaan merogol mangsa sambil berjanji tidak memecahkan rahsia kepada sesiapa, termasuk ibu.

“Ketika kejadian, ibu dan beberapa adik mangsa nyenyak tidur, manakala mangsa tidur di bilik lain,” katanya.

Menurutnya, kejadian terakhir berlaku pada 11 Ogos lalu, iaitu malam pertama Ramadan sebelum isterinya bangun untuk menyiapkan juadah bersahur.

Tidak puas dengan itu, katanya, mangsa dikatakan mengajak teman rapatnya melakukan aksi perbuatan keji itu, termasuk seorang abang angkatnya.

“Rahsia perbuatan mangsa bagaimanapun terbongkar apabila perubahan sikap murid berkenaan disedari seorang guru sekolah selepas dia dikatakan turut menceritakan perbuatan terkutuk yang dilakukannya tanpa berselindung.

“Atas rasa tanggungjawab dan demi menjaga nama baik sekolah supaya murid lain tidak terjebak dalam perkara maksiat, mangsa dan guru berkenaan membuat laporan di Balai Polis Gemas pada Khamis lalu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui, semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menahan lelaki terbabit ketika menemani mangsa untuk diambil keterangan, kelmarin.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini (semalam) bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum selama 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Katanya, polis memburu seorang remaja yang dikatakan sebagai abang angkat mangsa bagi membantu siasatan.


Pelajar perempuan maut dalam kemalangan di Ipoh

IPOH: Seorang pelajar perempuan terbunuh, manakala rakannya cedera dalam kemalangan di Jalan Jelapang-Chemur di sini semalam.
Ketua Polis Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada jam 3.55 petang itu ialah pembonceng motosikal berkenaan Nursyasirah Rosli, 15, pelajar Sekolah Menengah Amiruddin Baki, Chemur.
"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Rodzi berkata, penunggang motosikal itu Siti Norjanah Zainuri, 15, juga dari sekolah yang sama hanya mengalami cedera ringan di tangan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu.

"Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Chemur apabila motosikal berkenaan terbabas akibat jalan licin. Akibat kejadian itu, Siti Norjanah tercampak ke tepi jalan, manakala Nursyasirah tercampak ke tengah jalan dan pada masa yang sama sebuah lori yang datang dari arah belakang merempuh mangsa," katanya.

Pemandu lori terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu.-Bernama

Akhbar dedah gambar curang bintang England



PETER CROUCH dan Jo Elliott.


LONDON - Akhbar News of the Worlds semalam mendedahkan gambar-gambar yang menunjukkan bintang pasukan bola sepak England, Peter Crouch dilaporkan 'bermesra' dengan tiga wanita ketika ketiadaan tunangnya, Abbey Clancy.
Sebelum ini akhbar yang sama mendedahkan Crouch, 29, melanggani seorang pelacur remaja Sepanyol, Monica Mint, 19, ketika bercuti di Madrid minggu lalu dengan bayaran £800 (RM3,952) semalam.
Namun, kisah Crouch 'bermanja' dengan tiga wanita itu berlaku di sebuah kelab malam di Perancis pada 7 Julai lalu.
Ketika itu, tunangnya yang dikenali sebagai Abbey, 24, dan juga model pakaian dalam ternama bergegas balik ke London untuk menjadi tetamu siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 bersama pengacara popular, James Corden di stesen ITV1.
ABBEY CLANCY


Crouch dikatakan mabuk dan menyentuh tubuh seorang jururawat England, Jo Elliott, 27, sebelum mereka bergambar bersama serta berpelukan manja.
Pesta kira-kira pukul 1 pagi itu berterusan dengan Crouch mencium dua lagi wanita berpakaian seksi.
Gambar-gambar yang menunjukkan gelagat Crouch itu dirakamkan oleh seorang pengunjung kelab tersebut yang benci dengan perbuatan bintang berkenaan. - Agensi

Taun muncul selepas bah besar Pakistan



BEBERAPA mangsa banjir berlindung di bawah sebatang pokok di daerah Rajanpur, Pakistan semalam.


ISLAMABAD - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengesahkan kes pertama penyakit taun dikesan dalam banjir terburuk di Pakistan yang kini sudah mengorbankan lebih 1,600 orang, lapor sebuah akhbar semalam.
Kes tersebut dikesan di Lembah Swat dan ramai disyaki menghidapi penyakit maut bawaan air itu selepas pihak berkuasa Pakistan menganggarkan 20 juta rakyatnya hilang tempat tinggal dalam bencana terbesar itu.
Jurucakap operasi bantuan PBB, Maurizio Guiliano berkata, sekurang-kurangnya 36,000 orang dipercayai berpotensi dijangkiti cirit-birit turut menerima rawatan bagi membendung taun kerana dibimbangi berlaku penularan.
Kawasan banjir kini meliputi satu pertiga Pakistan termasuk wilayah barat laut sehingga ke Punjab dan Sindh yang menempatkan bandar raya terbesar dan pusat komersial negara itu, Karachi.
Menurut PBB, sumber air bersih amat penting terutama untuk enam juta penduduk yang terputus bekalan apabila mangsa banjir mengadu keadaan menjadi huru-hara dan ramai terpaksa merompak untuk meneruskan hidup.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon yang melakukan tinjauan di kawasan banjir lewat semalam turut merayu bantuan antarabangsa sehingga AS$460 juta (RM1.5 bilion) bagi memulihkan semula Pakistan. - Agensi

Lapan ditembak selepas bergaduh



BEBERAPA anggota bomba membersihkan kawasan kejadian tembakan di restoran City Grill di New York kelmarin.


NEW YORK - Lapan pelanggan sebuah restoran di sini ditembak awal kelmarin termasuk seorang lelaki yang pulang bagi menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya kelmarin, kata Ketua Detektif Polis, Dennis Richards.
Kejadian bermula apabila pengurus premis itu bertindak untuk menutup restoran City Grill di daerah perniagaan di Buffalo, di sini.
Ketika itu, seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Keith Johnson, 25, dipercayai melepaskan tembakan di dalam restoran menyebabkan empat daripada lapan mangsa cedera parah sebelum dia berjaya diberkas oleh anggota polis.
Namun, Pendakwa Raya Daerah Erie, Frank Sedita memberitahu, pihaknya mungkin menggugurkan tuduhan selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup dan kenyataan saksi yang menunjukkan suspek sebenar kes itu bukan Johnson.
"Kami menerima petunjuk kedua dan belum lagi menahan suspek yang melepaskan tembakan," kata Sedita kepada akhbar Buffalo News bagi merujuk laporan polis yang turut tidak mengetahui sama ada Johnson terlibat dalam kes itu.
Pesuruhjaya Polis New York, Daniel Derenda kemudian membuat kenyataan merayu supaya saksi-saksi tampil untuk membantu kerana dianggarkan 100 pelanggan berada di restoran itu bagi meraikan pasangan Danyell Mackin dan Tanisha. - AP

Penyanyi dibaling dengan batu, najis


Tila Tequila


CHICAGO, Amerika Syarikat - Penyanyi kacukan Perancis-Vietnam, Tila Tequila, 28, cedera dibaling batu, kaca gelas, najis dan mercun semasa dia berada di atas pentas pada Festival Muzik Juggalos di mukim Hardin, Illinois kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
"Mereka (penonton) membaling batu-batu besar ke arah muka saya manakala botol arak mengenai mata saya dan rambut saya hampir hangus terkena percikan api daripada mercun yang bertaburan di atas pentas," kata Tequila.
Menurut seorang saksi, batu dan botol itu semakin banyak dibaling semasa Tequila mendedahkan payu daranya.
Dia berkata, penyanyi itu gagal untuk menenteramkan sejumlah penonton yang marah kepadanya.
Penyanyi itu tetap meneruskan persembahan walaupun dia berdarah kerana luka di kepala.
Ketika dia meninggalkan pentas dengan diiringi pengawal peribadi dan petugas keselamatan, sekumpulan besar penonton mengekori Tequila sehingga ke treler penginapannya sebelum mereka mengepung dan memecah tingkap kenderaan itu.
Penyanyi itu kemudian menaiki sebuah kenderaan lain yang meninggalkan lokasi kejadian.
Polis mengesahkan beberapa anggotanya datang menyuraikan keadaan tetapi tidak memberi ulasan lanjut.
Namun, Tequila dalam reaksi menerusi laman sosial Twitter berkata, dia merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur kerana gagal menjamin keselamatan.
Model majalah Playboy kelahiran Singapura yang popular menerusi lagu I Love My DJ. - Agensi

Pemain bola Iran dibuang kerana tidak berpuasa


Ali Karimi yang turut digelar para peminatnya sebagai Maradona Asia, dibuang kelabnya, Steel Azin FC kerana dia didapati tidak berpuasa baru-baru ini.


TEHERAN - Pemain bola sepak popular Iran, Ali Karimi yang turut digelar para peminatnya sebagai Maradona Asia, semalam telah dibuang oleh pihak pengurusan kelabnya, Steel Azin FC kerana dia didapati tidak berpuasa pada bulan Ramadan tahun ini.
Dalam satu kenyataan menerusi laman web kelab itu, pihak pengurusan berkata, mereka terpaksa menyingkirkan Ali, 31, kerana dia tidak berpuasa pada Ramadan yang diwajibkan ke atas semua umat Islam kecuali golongan tertentu.
"Dia yang pernah menerima anugerah Pemain Terbaik Asia 2004 juga telah menghina pegawai-pegawai persekutuan bola sepak Iran dan penyelia pasukannya di Teheran," kata kenyataan kelab tersebut menerusi www.steelazin.com.
Penyingkiran itu dibuat selepas Ali dilaporkan mengkritik gaya pengurusan Pengarah Urusan Steel Azin, Mostafa Ajorlou, yang juga bekas pegawai pasukan elit Pengawal Revolusi Iran.
Pemain itu membuat kritikan menerusi wawancara di laman webnya.
Namun, agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan Pengerusi Kelab, Hossein Hedayati tidak mengetahui mengenai perkara itu dan membantah penyingkiran Ali yang juga penjaring ketiga terbanyak dalam pasukan kebangsaan.
Ali yang pernah mengikat kontrak selama dua tahun di dalam liga utama Jerman, Bundesliga, turut menjaringkan empat gol menerusi 50 penampilan dengan kelab ternama, Bayern Munich. - AFP