Search This Blog

Sunday, August 15, 2010

Bapa jalin hubungan seks dengan anak




TAMPIN – Seorang gadis sunti berusia 12 tahun dan bapanya berusia sekitar 30 tahun tergamak melakukan perbuatan terkutuk di kediaman mereka sendiri, malam awal Ramadan lalu. 

Kedua-dua beranak itu yang tinggal di salah sebuah tanah rancangan di daerah ini juga dikesan melakukan hubungan seks sesama sendiri sejak Disember lalu. 

Bagaimanapun, rahsia kedua-duanya terbongkar apabila guru sekolah bagi murid terbabit menyedari perubahan tingkah laku murid itu yang ‘tidak sesuai’ dengan usianya. 

Sumber berkata, atas rasa tanggungjawab bagi menggelakkan murid itu terus melakukan perbuatan terkutuk itu, guru tersebut membawa gadis sunti berkenaan ke Balai Polis Gemas untuk membuat laporan.

“Laporan dibuat Khamis lalu setelah gadis terbabit menceritakan kesemua perbuatan tidak bermoralnya kepada guru berkenaan yang kemaruk seksnya berpunca dari bapa kandungnya sendiri.

“Lebih mengejutkan, gadis itu turut mendedahkan dirinya bukan hanya rela menjadi pemuas nafsu bapa kandungnya, bahkan turut menjadi pemuas nafsu abang angkatnya yang kerap berkunjung ke rumahnya.

Sumber berkata, ketika kejadian terakhir malam Rabu lalu, ibu mangsa dan adik-adiknya sedang nyenyak tidur, manakala, mangsa tidur berasingan dalam sebuah bilik lain. 

"Kejadian terkutuk itu berlaku sebelum ibu mangsa bangun bagi menyiapkan juadah untuk bersahur," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan ada menerima laporan berkenaan dan memberitahu polis sudah bertindak menahan bapa mangsa, tengah hari kelmarin.

Menurutnya, suspek telah ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun serta sebatan.

“Polis juga sedang memburu seorang remaja yang dikatakan sebagai abang angkat murid berkenaan bag i membantu siasatan," katanya.

Banjir paling buruk berlaku


BERUAS – “Perkara yang selalu saya ingatkan kepada ibu dan suami, letakkan anak saya yang baru berusia sebulan di tempat yang lebih tinggi sejak hujan lebat melanda selama empat jam,” kata Siti Azila Mihad. 

Siti Azila yang juga mangsa banjir berkata, hujan lebat tanpa henti dari jam 4 petang kelmarin menyebabkan air sungai berhampiran mulai naik dan apabila pihak bomba hadir memberi bantuan dia merasa lega. 

Menurutnya, dia masih menghabiskan masa pantang di rumah ibunya di Taman Anggerik dan ahli keluarganya membuat persiapan dengan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi. 

“Kejadian banjir seumpama ini adalah yang paling buruk pernah berlaku sepanjang lima tahun saya menetap di kawasan ini. 

“Hati ibu mana yang tidak risau, apabila anak kecil dalam keadaan bahaya dan apabila pihak bomba datang kira-kira jam 12 tengah malam, saya cukup lega kerana saya tahu anak saya ini selamat,” katanya. 

Dia ditemui :Sinar Harian: bersama-sama suaminya, Mohd Shidan Ahmad, 24, dan ibunya, Fatimah Md Isa, 46, di Dewan Inderawati awal pagi, semalam. 

Siti Azila antara 15 buah keluarga daripada enam perkampungan di sini yang terpaksa dipindahkan akibat banjir yang melanda di kawasan itu selepas hujan lebat selama empat jam tanpa henti. 

Hujan lebat itu menyebabkan paras air Sungai Beruas naik secara mendadak menenggelamkan lebih 100 rumah awal pagi semalam. 

Kejadian itu memaksa pihak bomba dan penyelamat dari Pantai Remis dengan kekuatan lapan anggota diketuai seorang pegawai membantu penduduk berpindah ke Dewan Inderawati, dekat pekan Beruas. 

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Gaduh, Jalan Pertanian, Kampung Kilang, Kampung Tersusun, Kampung Cenderung Kelubi dan Taman Perumahan Anggerik. 

Sementara itu, salah seorang mangsa, K Sukumaran, 33, yang berhajat untuk menyambut hari lahir anaknya, K Saubthi tidak kesampaian apabila banjir datang secara tiba-tiba dan memaksa dia serta keluarganya berpindah ke tempat selamat. 

Sukumaran berkata, persiapan untuk menyambut hari jadi anak sudah tersedia namun terpaksa dilupakan disebabkan sebahagian barangan itu teleh rosak akibat banjir. 

“Sepanjang tujuh tahun saya menetap di Taman Anggerik Permain, ini adalah banjir kali kedua dan paling teruk pernah dialami apabila air masuk ke dalam rumah hingga ke paras lutut,” katanya.: 

Pelbagai pihak tampil membantu mangsa 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Imran Ahmad berkata, pihaknya telah turun ke kawasan terjejas bagi operasi memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. 

Menurutnya, dengan kekuatan lapan anggota, sebuah jentera dan sebuah bot pihaknya mengadakan operasi memindahkan mangsa kira-kira jam 12 tengah malam di kawasan terjejas teruk. 

“Pasukan bomba juga memberi bantuan dengan menyelamatkan orang awam sebelum dihantar ke Dewan Inderawati. 

“Kira-kira enam pagi tadi (semalam), kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah apabila air sungai menunjukkan tanda-tanda surut,” katanya. 

Dalam kejadian banjir itu juga, 30 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Beruas turut membantu pihak bomba dalam usaha menyelamatkan orang awam ke tempat selamat. 

Ketua AMK Cabang Beruas, Abdul Jais Ashfaq Ahmad berkata, pihaknya telah membantu bomba dalam usaha menyelamatkan mangsa kejadian banjir itu. 

“Selain itu pihak kami akan memberikan sumbangan berupa wang ringgit kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya. 

Manakala, Naib Ketua UMNO Bahagian Beruas, Azman Noh berkata, pihak membantu dengan memberi makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Inderawati, Pekan Beruas di sini. 

“Kami juga turut mengadakan gotong-royong dengan memasak juadah untuk bersahur bagi masyarakat beragama Islam dan mangsa lain,” katanya.

Rumah terbakar, lima beranak tinggal sehelai sepinggang




MUAR – Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Lorong Hj A Kadir Jelani Air Hitam Batu 18, di sini musnah dalam satu kebakaran lewat petang kelmarin. 

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dalam keadaan hujan lebat dan ribut yang melanda di kampung itu. 

Ketika kejadian tiada sesiapa yang ada di dalam rumah tersebut dan mangsa, Normaiza Ismail, 37, dan suaminya, Mohd Zahri Abd Kadir, 39, keluar bekerja. 

Normaiza berkata, dia redha dengan musibah yang menimpanya sekeluarga terutamanya pada bulan Ramadan ini. 

“Saya terima panggilan telefon jam 4.50 petang yang mengatakan rumah terbakar dan berasa terkejut dengan kejadian yang berlalu ini. 

“Hanya yang ada dalam fikiran saya ketika ini tentang keselamatan anak-anak yang mana lazimnya pada waktu petang anak sulung saya, Nurul Aziana Mohd Zahri, 15, akan berada di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Katanya, mujurlah ketika kejadian tiada seorang pun anak-anaknya yang berada di rumah. 

“Kesemua barang-barang berharga termasuk kereta dan dua motosikal hangus terbakar. 

“Saya sangat terkilan kerana 20 baju Melayu hari raya tempahan pelanggan juga hangus,” katanya. 

Saksi kejadian, Roslan Abd Majid, 56, berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas dentuman petir yang kuat dan disusuli dengan hujan yang sangat lebat.

Remaja nyaris buta




TUMPAT - Seorang remaja nyaris buta mata dipercayai terkena serpihan kaca cermin kereta yang dinaiki bersama abang dan kawannya bertembung sebuah lori di Kampung Kubang Batang, kelmarin. 

Dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohd Azam Fauzi, 19, luka teruk dipercayai tertusuk cermin antara dua keningnya yang turut mencederakan mata kanannya. 

Mohd Azam kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, selepas menerima lapan jahitan akibat kecederaannya itu dan dilaporkan stabil. 

Manakala abangnya, Mohd Hafiz, 23, hanya mendapat rawatan pesakit luar kerana cedera dahi kanan dan kawan mereka, Adnan Abdul Aziz, 26, yang memandu Wira yang dinaiki mereka bertiga itu turut cedera tangan dan dirawat sebagai pesakit luar. 

Adnan berkata, Mohd Azam cedera teruk kerana dia berada di tempat duduk belakang dan akibat bertembung lori dari arah Chabang Empat menghala ke Wakaf Bharu, cermin kereta di hadapan yang dinaiki mereka pecah serta tayarnya terpesok ke dalam. 

“Ketika kejadian saya cuba memintas sebuah kenderaan hadapan yang ketika itu kami dalam perjalanan ke Chabang Empat untuk balik ke Pasir Mas di Kampung Sena. 

“Tiba-tiba kereta yang saya pandu saya ada masalah menyebabkan saya tidak dapat mengelak lori di laluan bertentangan menyebabkan kami bertembung,” katanya yang keluar bertiga ke Kota Bharu. 

Menurutnya, akibat cermin kereta ini pecah, Mohd Azam yang berada di belakangnya cedera teruk manakala Mohd Hafiz (abang) yang duduk di bahagian depan sebelahnya hanya menerima dua jahitan akibat kecederaan di dahinya itu. 

Sementara itu, pemandu lori tersebut dan kelindannya cedera ringan serta lorinya remuk teruk bahagian sisi yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kedai barangan rumah di Kampung Belukar selepas menghantar barang.

Ibarat padang jarak padang tekukur



KUALA TERENGGANU – Keadaan pentas utama dan beberapa khemah peniaga Bazaria Larut Malam KT Uptown yang rosak akibat dipukul ribut pada petang puasa pertama menyebabkan kawasan sekitar itu ibarat padang jarak padang tekukur.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati hampir 90 peratus kerosakan berlaku di pentas utama selain besi khemah tercabut dan berselerakan sehingga menjejaskan perniagaan peniaga di situ.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mat, 20-an, berkata, kejadian itu sememangnya tidak dijangka kerana tiada sebarang tanda menunjukkan ribut akan berlaku.

“Mujur pada hari itu, tiada seorang pun individu tercedera kerana kejadian berlaku terlalu cepat.

“Walaupun kejadian itu sudah berlalu, namun masih belum ada tanda-tanda kerosakan akan dibaiki pihak berkenaan malah ia dibiarkan begitu sahaja sehingga menimbulkan banyak tanda tanya terutama bagi pengunjung yang datang dari jauh,” katanya

Menurutnya, jika kawasan itu tidak diselenggarakan secepat mungkin, dikhuatiri akan berlaku kecurian oleh indi vidu ti dak bertanggungjawab yang mungkin akan menjual barang-barang bernilai di kedai kitar semula.

“Oleh itu, diharapkan kerja pembersihan dilakukan segera supaya dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pada waktu malam,” katanya.

Peniaga berdekatan, Roslan Razak, 28, berkata, kejadian ribut pada petang puasa pertama itu adalah di luar jangkaan kerana sebelum itu cuaca agak baik, namun tiba-tiba berlaku angin kencang disusuli hujan.

“Kerosakan teruk yang berlaku mungkin disebabkan ia terletak berdekatan laut dan saya bersyukur kerana ketika itu banyak gerai belum dibuka.
“Jika kejadian ini berlaku pada waktu ma lam semasa kunjungan orang ramai, ti dak dapat dibayangkan keadaannya,” katanya.

Menurutnya, bagi menarik semula kunjungan orang ramai ke KT Uptown, diha rap kan pihak berkenaan dapat membersihkan semula persekitaran kawasan ini kerana ia adalah destinasi pilihan untuk membeli-belah bersama keluarga.

Dua penganggur terselamat daripada tali gantung


ALOR SETAR - Dua penganggur terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, meminda pertuduhan mengedar kepada pemilikan, selepas mendapati pendakwa gagal membuktikan keraguan yang munasabah bahawa mereka mengedar dadah berkenaan.

Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak berkata, pendakwa bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa ada kes di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Mohd Sofian menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh untuk memanggil kedua-dua tertuduh, Samsun Majdi Awang, 47, dan Mohd Zulkifli Abdullah, 32, membela diri. 

Sebelum ini, mereka dituduh mengedar 4,616.3 gram dadah jenis kanabis pada 28 Mei 2004 pada pukul 11.15 malam di Lorong Haji Hussien, Pantai Johor dekat sini.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rahamatullah Baharudeen, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zakhi Daud

Seorang remaja cedera dalam kes gaduh berkumpulan di Malihah


KUCHING - Seorang remaja berusia lingkungan 20-an cedera setelah terbabit dalam satu pergaduhan berkumpulan di Malihah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kok Kiong berkata, mangsa kini masih dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Berikutan kejadian itu, polis menahan lapan suspek berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
"Polis sedang mengesan beberapa lagi suspek yang terbabit dalam kes itu yang dipercayai berpunca dari masalah salah faham dan pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Katanya, polis akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin masyarakat di kawasan Malihah untuk menyelesaikan masalah tersebut dan berharap agar orang awam khususnya penduduk setempat agar tidak membuat sebarang spekulasi dalam
kejadian tersebut.

Tukang rumah mati dihempap tembok konkrit


ALOR SETAR - Seorang tukang rumah maut apabila dihempap tembok konkrit rumah yang sedang diubahsuainya di Taman Alor Janggus dekat sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 8.15 pagi itu berlaku ketika Sapollizam Omar, 43, mengalihkan tiang-tiang penyokong tembok konkrit itu.

Pemilik rumah itu, Abdul Razak Ali, 47, berkata, semasa kejadian beliau keluar ke bangsal di hadapan rumah itu.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dan apabila menoleh, saya lihat Sapollizam terlentang dihempap tembok itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Hangus dipanah petir




SUNGAI BULOH – Dua kilang perabot di Kampung Baru Sungai Buloh musnah dalam kebakaran malam semalam. 

Kejadian dipercayai berlaku akibat panahan petir ketika hujan lebat yang turut menye-babkan penduduk sekitar panik berikutan api marak dengan cepat. 

Saksi kejadian yang merupakan pemilik Kilang Kotak Gan Chee Woon, 38, berkata, ketika kejadian, dia baru selesai menutup operasi kilangnya. 

“Saya dengar bunyi petir diikuti dengan bunyi benda terpelanting dari belakang kilang, saya terus lari keluar dan lihat api sudah marak di bumbung kilang perabot,” katanya ketika ditemui di sini. 

Menurutnya dia terus menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu. 

Sementara itu Pemangku Penolong Pengarah Operasi Bomba Negeri, Anuar Harun berkata, bomba menerima panggilan jam 7.14 malam dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian. 

Empat jentera bomba masing-masing daripada Sungai Buloh, Damansara dan Kota Anggerik dikejarkan ke tempat kejadian. 

“Api dapat dikawal sepenuhnya jam 9.43 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kebakaran berlaku selepas waktu operasi kilang tersebut,” katanya. 

Tindakan pantas bomba itu berjaya mengelakkan beberapa kilang berhampiran terbakar. 

“Kita dapati sebuah kilang perabot musnah manakala sebuah lagi hanya 40 peratus bahagian terbakar,” katanya. 

Api dipercayai merebak dengan cepat berikutan terdapat barangan mudah terbakar selain struktur utama kilang yang diperbuat daripada zink dan juga kayu,” katanya. 

Pihak bomba walau bagaimanapun masih menyiasat punca kebakaran tersebut.

Guru bebas tuduhan cabul 3 pelajar pekak

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang membebaskan seorang guru lelaki daripada lima pertuduhan mencabul kehormatan tiga pelajar perempuan berusia 15 tahun yang cacat pendengaran, awal tahun lalu.
Hakim Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Klang tidak tersilap ketika memutuskan Mohd Rizal Reboo, 29, tidak bersalah atas semua pertuduhan itu. Pada 22 Februari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Datuk Anita Harun membebaskan tertuduh yang berasal dari Seksyen 18 di sini, daripada pertuduhan mencabul kehormatan pelajar kelas khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda, Klang, dekat sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua daripada mangsa di bilik komputer sekolah antara jam 12 dan 1 tengah hari, 25 Julai 2005.

Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan. Difahamkan, pelajar berkenaan mengadu dicabul tertuduh yang mengambil ukuran pakaian seragam sekolah.

Tertuduh ketika itu mengajar subjek Kemahiran Hidup.

Tiba-tiba semua hilang

KULIM: Seorang penyelia tapak pembinaan di Taman Kulim Utama Fasa Dua yang hairan apabila mendapati tiada seorang pun pekerjanya bekerja kelmarin akhirnya menemui mayat seorang lelaki di tingkat atas sebuah rumah yang sedang dibina di kawasan itu.
Dia yang terkejut dengan penemuan mayat itu kemudian menghubungi Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) sebelum PPKM membantu menghubungi polis.
Penyelia yang enggan dikenali itu, berkata dia menyelia lapan pekerja tetapi pada pagi kelmarin, semua pekerjanya tidak datang bekerja.

“Semua pekerja saya ‘hilang’ menyebabkan terpaksa memeriksa kawasan ini sebelum terkejut sebaik memasuki rumah berkenaan.

“Apabila naik ke sebuah bilik di tingkat atas, saya terkejut apabila mendapati ada orang terbaring dengan darah banyak di belakang badan,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurutnya, dia percaya lelaki yang dibunuh itu adalah pekerja di tapak pembinaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa dipercayai seorang warga Myanmar berusia lingkungan 30-an dan dipercayai meninggal dunia kurang daripada 24 jam.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras atau ditikam, selain itu polis tidak menolak kemungkinan mangsa tidur ketika diserang berdasarkan keadaan mangsa,” katanya.

Katanya, polis kini mengesan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan dan hingga kini tiada tangkapan dibuat.

Beliau berkata, kejadian itu kes kedua membabitkan warga Myanmar dibunuh dalam tempoh kurang dua minggu.

Syak isteri hutang along

KUALA LUMPUR: “Saya terpedaya dengan kecantikan dan sikapnya yang lemah lembut hingga tidak sedar sebenarnya dia wanita mata duitan,” kata Lee, 23, suami kedua kepada seorang wanita pisau cukur yang menggunakan kecantikan untuk berkahwin sebelum mengikis harta suami yang dikahwininya. Setakat ini, wanita itu sudah mempunyai enam suami.
Lee berkata, dia mengenali wanita terbabit, Michelle Lee Pei Yin, 25, menerusi sebuah laman sembang yang ketika itu agak popular di kalangan masyarakat Cina. Difahamkan, selepas berjumpa beberapa kali dan terlanjur dengan wanita berkenaan, dia diberitahu wanita itu mengandungkan anaknya. “Saya mengambil keputusan mengahwininya, tetapi dia seperti mengelak dengan memberi pelbagai alasan tidak logik. Tetapi, kami mengadakan majlis seolah-olah sudah berkahwin,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Dia tampil membuat pengakuan selepas terbaca pendedahan muka depan akhbar ini Selasa lalu. Menurutnya, Michelle memberitahu berasal dari Tangkak, Johor, tetapi dia tidak pernah berjumpa ahli keluarga wanita terbabit.
“Setiap kali saya mahu melawat bapa mentua di Johor, dia memberikan pelbagai alasan.

Katanya, apa yang menghairankan isterinya tidak pernah berenggang dengan telefon bimbitnya walaupun mahu ke tandas. “Sepanjang berkahwin dengannya selama dua tahun, tidak pernah sekali pun saya melihat kandungan dalam telefon bimbitnya. Dia yang bekerja di salun kecantikan juga sering bekerja di luar kawasan selama seminggu, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Kini, dua anak lelakinya iaitu Alfred Lee Zhon Xuan, 3, dan John Lee Zhong Wei, 2, dijaga ibu Lee. “Saya juga mengesyaki isteri banyak berhutang dengan along kerana hampir setiap hari pasti ada saja lelaki datang ke rumah meminta wang. Apabila saya bertanyakan hal itu, dia menafikan,” katanya. Lee berkata, isterinya sempat mengambil jam Rolex dan wang RM15,000 sebelum meninggalkannya dan anak-anak sejak hampir setahun lalu. Seorang lagi lelaki dikenali sebagai Chung, 25, mendakwa suami keenam wanita pisau cukur itu.

Katanya, dia mengenali isterinya itu melalui laman sembang sosial pada April lalu. “Wanita itu memberi alasan hamil kerana hubungan mereka menyebabkan saya mengahwininya. Sepanjang perkahwinan itu, dia memperdaya rakan saya untuk meminjam wang RM400,000.

“Akibatnya saya menjadi buruan rakan yang mahu wang mereka kembali,” katanya yang berasal dari Sabah.

Chung berkata, dia yang tidak tahan dengan perbuatan isterinya terpaksa menyerahkannya kepada polis 6 Ogos lalu kerana tidak mahu ramai lagi lelaki menjadi mangsa.

Pelajar perempuan maut dalam kemalangan di Ipoh

IPOH: Seorang pelajar perempuan terbunuh, manakala rakannya cedera dalam kemalangan di Jalan Jelapang-Chemur di sini semalam.
Ketua Polis Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada jam 3.55 petang itu ialah pembonceng motosikal berkenaan Nursyasirah Rosli, 15, pelajar Sekolah Menengah Amiruddin Baki, Chemur.
"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Rodzi berkata, penunggang motosikal itu Siti Norjanah Zainuri, 15, juga dari sekolah yang sama hanya mengalami cedera ringan di tangan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu.

"Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Chemur apabila motosikal berkenaan terbabas akibat jalan licin. Akibat kejadian itu, Siti Norjanah tercampak ke tepi jalan, manakala Nursyasirah tercampak ke tengah jalan dan pada masa yang sama sebuah lori yang datang dari arah belakang merempuh mangsa," katanya.

Pemandu lori terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu.-Bernama

Ustazah balik tadarus maut


Oleh Sahlina Sahkirin
bminggu@bharian.com.my
2010/08/15


Mangsa parah di kepala nahas tiga kenderaan di Jalan Mersing-Endau 
ANGGOTA polis mengusung mayat Maimunah (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1 Jalan Mersing-Endau, semalam.
ANGGOTA polis mengusung mayat Maimunah (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1 Jalan Mersing-Endau, semalam.
M ERSING: Seorang guru Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menyertai tadarus al-Quran, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 1, Jalan Mersing-Endau, di persimpangan Kampung Air Merah, dekat sini semalam.Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, Maimunah Mohamad, 45, mati serta-merta akibat cedera parah di kepala selepas van dipandu anaknya, Ahmad Logman Bukhari, 19, yang turut membawa seorang lagi anak, Nur Dilna Akilah, 6, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jalan Abdullah, di sini berlanggar dengan sebuah lori treler.Difahamkan ketika keluar dari persimpangan berkenaan, Nissan Vanette dinaiki tiga beranak terbabit dikatakan gagal berhenti lalu terus berlanggar dengan treler dari arah Endau menuju bandar Mersing itu, menyebabkan van berpusing dan Maimunah tercampak keluar. 

Saksi, Shahrul Nizam Tajudin, 38, berkata pada masa sama, sebuah lori lain sarat dengan muatan tong gas dari arah bandar tidak sempat mengelak dan turut melanggar van berkenaan. Ahmad Logman dan Nur Dilna cedera ringan, manakala pemandu treler dan pemandu lori pikap serta kelindannya tidak cedera. 

Suami mangsa, Bukhari Sulaiman, 46, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan mendapati isterinya yang keluar bertadarus di Kampung Air Merah sebelum kemalangan itu, sudah meninggal dunia. 

"Saya reda dengan kejadian ini dan menerimanya sebagai takdir,” katanya yang mempunyai enam anak berusia enam hingga 19 tahun hasil perkahwinan dengan Allahyarham. 
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Jemaluang.

Mati tertembak akibat disangka monyet


BINTULU 14 Ogos - Keghairahan dua lelaki yang mempunyai hubungan persaudaraan memburu monyet liar bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka terkena tembakan di Tubau dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Wan Laga, 39, mati di tempat kejadian setelah terkena sebutir peluru senapang patah yang dilepaskan abang iparnya, Kamaran Baling, 55, di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Sulaiman Abdul Razak berkata, kejadian berlaku ketika Kamaran dan adik iparnya itu sedang memburu monyet liar yang banyak berkeliaran di kawasan belukar di belakang Rumah Mabong.
Katanya, ketika itu, mangsa bertindak untuk menghalau monyet-monyet itu dari arah bertentangan manakala suspek bersedia dengan senapang patahnya untuk menembak monyet tersebut.
"Setelah melepaskan tembakan ke arah monyet itu, Kamaran melihat Wan terbaring dan mendapati adik iparnya tidak lagi bernyawa dengan kesan tembakan di kepala tidak jauh dari tempat dia melepaskan tembakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sulaiman memberitahu, Kamaran kemudian membuat laporan di Balai Polis Bintulu dan ditahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk pemeriksaan lanjut.

Ribut rosakkan tiga rumah


AZIZI Abdullah (kanan) yang memegang fail sambil memberi penjelasan tentang kejadian kepada mangsa ribut, (dari kanan) Zuraini Saad, Zainab Ahmad dan Ketua Kampung Kepala, Azizan Ismail.


JERLUN 14 Ogos – Ribut beserta hujan lebat melanda kawasan sawah padi di Jerlun petang semalam sehingga merosakkan tiga buah rumah dan memusnahkan puluhan hektar kawasan padi yang hampir boleh dituai.
Kejadian berlaku di Kampung Kepala 10 kira-kira 5.30 petang.
“Sebahagian bumbung rumah saya diterbang angin. Perkakas elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk dan dapur tidak boleh digunakan lagi kerana semuanya rosak,” kata salah seorang mangsa, Zuraini Saad, 28.
Katanya, ketika kejadian, dia dan keluarganya tiada di rumah kerana keluar membeli makanan untuk berbuka puasa.
Menurutnya, walaupun ribut pernah melanda kampungnya dua tahun lalu, tetapi kejadian semalam adalah paling buruk dan berlaku pula ketika bulan puasa.
“Akibat ribut ini, kami sekeluarga terpaksa berbuka dalam keadaan serba kekurangan dan bergelap kerana bekalan elektrik turut terputus,” katanya.
Ibunya, Zainab Ahmad, 61, yang baru membina rumah di sebelah rumah Zuraini turut mengalami nasib yang sama apabila bumbung rumah barunya itu turut diterbangkan angin.
“Rumah makcik dah hampir 80 peratus siap, hanya tinggal nak letak plaster dinding dan simen lantai. Tak sempat makcik nak merasa tinggal di rumah baru, bencana pula menimpa,” keluhnya.
Seorang lagi mangsa, Abdul Azizi Awang, 57, bukan sahaja ribut turut memusnahkan rumahnya, tetapi sawahnya turut rosak.
“Rasa sedih sangat kerana kira-kira 20 hari lagi padi saya sudah boleh dituai,” katanya.
Penghulu Mukim Jeram, Azizi Abdullah berkata, pihaknya akan menghantar laporan tentang kejadian itu ke Pejabat Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.
“Buat masa ini saya sampaikan dahulu barang-barang dapur daripada Pejabat Penghulu kepada mangsa-mangsa ribut,” katanya.
Bagi sawah yang rosak, pihaknya akan menyerahkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk tindakan susulan kerana sawah yang rosak terletak di bawah seliaan Mada. - BERNAMA

Mangsa serik, tekad pindah


KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melawat salah seorang mangsa ribut Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Jasin yang menerima rawatan di Hospital Jasin, Melaka, semalam. - bernama


JASIN 14 Ogos - Tiada siapa yang mahu berniaga di sini lagi. Itulah tekad 56 peniaga Bazar Ramadan Stadium Jasin yang trauma selepas melihat sendiri 'tsunami Jasin' mengganas sehingga mengorbankan dua rakan mereka dan seorang pengunjung dalam kejadian ribut petang semalam.
Mereka nekad berpindah ke tempat lain malah, ada yang hilang minat untuk berniaga gara-gara masih trauma dengan kejadian ribut yang pertama kali berlaku sepanjang lebih empat tahun berniaga di situ.
Tinjauan Mingguan Malaysia di tapak Bazar Ramadan itu hari ini mendapati, sebahagian besar peniaga sibuk mengemas peralatan perniagaan biarpun jelas kelihatan pada riak wajah mereka masih terkejut dengan insiden yang berlaku.
Ada peniaga yang ditemui mengakui sukar melupakan kejadian meragut tiga nyawa itu walaupun ribut berlaku kira-kira dua minit sahaja.
Sambil merenung persekitaran lenggang pekarangan Stadium Jasin, Mohd. Rafi Abdullah, 41, berkata, dia tidak dapat melupakan wajah mangsa yang terbunuh dalam kejadian ribut itu.
Katanya, wajah mangsa berlumuran darah selain seluruh tubuhnya disaluti bahan makanan.
"Saya sayang hendak tinggal tempat niaga ini kerana sudah tiga tahun berniaga nasi lemak bersama isteri di pekarangan Stadium Jasin ini.
"Sambutan orang ramai amat baik malah, mereka gemar berkunjung ke sini kerana kawasannya luas dan mudah untuk meletakkan kenderaan, namun saya merasakan tempat ini sudah tidak sesuai lagi untuk berniaga," katanya.
Selain itu, menurut Zamri Amran, 28, dalam suasana panik dan riuh-rendah dengan suara orang meminta pertolongan semalam, dia hanya memikirkan tentang keselamatan adik perempuannya yang membantu berniaga makanan di situ.
Kata Zamri, dia menarik adik perempuannya untuk bersama-sama memaut pada payung bagi mengelak mereka dipukul ribut.
"Saya lihat beberapa khemah di tapak bazar diterbangkan ribut yang tinggi berpusar kehitaman. Ia seolah-olah seperti payung terjun di udara.
"Ini merupakan tahun pertama kami adik-beradik berniaga di sini tetapi siapa menduga perkara seperti ini boleh berlaku malah, tempat ini belum pernah dilanda ribut," katanya.
Sementara itu, Mohd. Fairuz Abd. Karim, 38, nekad mahu meninggalkan tapak perniagaannya di situ kerana bimbang kejadian ribut yang melanda petang semalam berulang.
"Memang kemalangan boleh berlaku di mana-mana tetapi sebaik-baiknya jika sudah berlaku perkara buruk itu, lebih baik peniaga di sini pindah ke tempat lain," katanya

Dua beradik dijel 5 tahun

KUALA LUMPUR: “Jangan main dengan api,” kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S M Komathy Suppiah sebelum menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap dua beradik yang terbabit membakar gereja di Desa Melawati pada Januari lalu.
Beliau menjatuhkan hukuman itu semalam selepas mendapati kedua-duanya bersalah manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 25, dan adiknya Raja Muhammad Idzham, 23, selepas diperintah membela diri.
Bagaimanapun, Komathy membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap adik-beradik itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi dengan wang jaminan dinaikkan kepada RM20,000 seorang. Kedua-dua tertuduh tenang ketika mendengar penghakiman itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi dan Lailawati Ali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Haniff Hashim.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama beberapa orang yang masih bebas didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar gereja Metro Tabernacle di Jalan 4/4C, Jalan Desa Melawati pada jam 11.50 malam, 7 Januari lalu. Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada 30 Julai lalu, rakan mereka, Azuwan Shah Ahmad, 23, yang turut dituduh atas pertuduhan sama dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan manakala dua adik-beradik itu diperintah membela diri.

Komathy dalam penghakimannya berkata kes membakar gereja perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keamanan dalam masyarakat. Beliau berkata, walaupun kedua-dua mereka masih muda dan tidak mempunyai rekod jenayah, kepentingan awam perlu diutamakan. Terdahulu Haniff dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap kedua-dua anak guamnya memandangkan mereka masih muda selain mengambil kira kesalahan dilakukan yang pertama. Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Lailawati membantah rayuan itu kerana mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam.

Terlepas tali gantung

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Nigeria dan tukang urut tempatan terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar lebih lima kilogram (kg) kokain, di Cheras, dekat sini, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu terhadap Nnoli Chidi Rayes, 36 dan Zuhaila Abu Bakar, 29 selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua dituduh mengedar 5.186 kg dadah berbahaya itu di Apartmen nombor 2-18, Jalan Damai Perdana 5/2, Bandar Danai Perdana, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, dekat sini.

Mereka didakwa melakukannya pada jam kira-kira 6 petang, 11 Mei 2007.

Atas perbuatan itu, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati.

Guru bebas tuduhan cabul 3 pelajar pekak

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang membebaskan seorang guru lelaki daripada lima pertuduhan mencabul kehormatan tiga pelajar perempuan berusia 15 tahun yang cacat pendengaran, awal tahun lalu.
Hakim Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Klang tidak tersilap ketika memutuskan Mohd Rizal Reboo, 29, tidak bersalah atas semua pertuduhan itu. Pada 22 Februari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Datuk Anita Harun membebaskan tertuduh yang berasal dari Seksyen 18 di sini, daripada pertuduhan mencabul kehormatan pelajar kelas khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda, Klang, dekat sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua daripada mangsa di bilik komputer sekolah antara jam 12 dan 1 tengah hari, 25 Julai 2005.

Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan. Difahamkan, pelajar berkenaan mengadu dicabul tertuduh yang mengambil ukuran pakaian seragam sekolah.

Tertuduh ketika itu mengajar subjek Kemahiran Hidup.

Mayat bayi dalam bakul

JOHOR BAHRU: Sungguh menyayat hati apabila mayat seorang bayi bukan saja ditemui dalam keadaan berbogel di pinggir laut, malah ia diletakkan dalam sebuah bakul dan dipercayai ditinggalkan lebih dari 24 jam di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin di Jalan Dato’ Onn di sini, mayat bayi malang itu ditemui seorang penjala ikan yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum ternampak objek dalam bakul yang ditinggalkan di pinggir pantai berkenaan.
Penjala ikan terbabit, Mohd Noh Othman, 60, berkata, sejurus melihat mayat bayi itu, dia menjadi buntu hingga tidak tahu apa perlu dilakukan berikutan terlalu sedih dengan apa baru dilihatnya.

“Saya seakan terpanggil untuk membantu bayi malang terbabit. Jika sekali pandang bayi berkenaan cukup sifat dan dipercayai masih bertali pusat.

“Selepas ditenangkan oleh keluarga, saya bersetuju untuk membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Selatan, selepas waktu berbuka puasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam pada jam 8.35 malam kelmarin, sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mayat bayi berkenaan belum dikenal pasti jantinanya berikutan keadaannya yang kembang.

“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Sultanah Amiha, (HSA) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya serta beberapa lagi butiran lain yang boleh membantu siasatan kes ini.

“Diharapkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkannya pada kami agar individu bertanggungjawab itu dicekup dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.

Buka pintu rumah jiran jumpa mayat

SHAH ALAM: “Saya buka pintu untuk mengesahkan ada mayat. Lepas saya betul-betul lihat ada orang mati baru saya telefon polis,” kata guru tabika, Siti Aisyah Abdullah, 50, yang menemui mayat seorang lelaki warga Myanmar di sebuah rumah di Seksyen 25, Sri Muda, di sini, semalam.
Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui terbaring kira-kira jam 12.15 tengah hari, di ruang tamu rumah teres tiga tingkat dengan kesan kecederaan di belakang kepala dipercayai dihentak dengan benda tumpul dipercayai batang besi yang turut ditemui di situ.
Siti Aisyah berkata, sebaik pulang dari mengajar kira-kira jam 12 tengah hari, dia diberitahu jiran bersebelahan rumah itu yang curiga dengan penghuni rumah terbabit yang sunyi sepi sebelum dia memberanikan diri ke rumah berkenaan.

“Sebaik membuka pintu rumah yang tak dikunci, saya lihat seorang lelaki dengan kesan darah terbaring di ruang tamu.

“Manakala semua penghuni di rumah itu sudah tiada. Sebelum subuh tadi (semalam) saya terdengar bunyi pergaduhan di rumah ini bagaimanapun kami tak berani keluar,” katanya.

Siti Aisyah mendakwa rumah itu sebelum ini disewa warga Myanmar sejak awal tahun lalu, sebelum ini ia disewa warga Indonesia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata hasil siasatan polis turut menemui sebatang besi sepanjang 30 sentimeter disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

“Mayat mangsa yang berpakaian lengkap ditemui terbaring di ruang tamu dengan belakang kepalanya terdapat kesan darah mengalir.

“Berdasarkan keadaan mayat, mangsa berusia lewat 20-an dipercayai meninggal dunia kurang 24 jam lalu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti berhubung pembunuhan itu.

Noor Azam berkata, rumah itu dihuni antara 10 hingga 12 warga asing, bagaimanapun selepas kejadian semua mereka menghilangkan diri.