Search This Blog

Saturday, August 14, 2010

Pusat pelindung terima enam budak


FAUZIAH di Pusat Pelindung Bayi   yang ditubuhkan  bagi menangani kes buang bayi.
FAUZIAH di Pusat Pelindung Bayi yang
ditubuhkan bagi menangani kes buang bayi.


PETALING JAYA: Jumlah bayi yang dihantar ke Pusat Pelindung Bayi di sini sudah meningkat kepada enam sejak pusat itu diperkenalkan di negara ini 29 Mei lalu, tetapi semua bayi terbabit sudah diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing.

Ramai pasangan terutama yang tiada anak minat untuk menjadikan bayi berkenaan sebagai anak angkat.
Bayi lelaki pertama seberat 2.7 kilogram diserahkan kepada keluarga angkat selepas 11 hari dijaga pusat penjagaan itu.
Pusat itu diwujudkan sebagai tempat khas untuk ibu terdesak daripada membuang anak mereka dalam usaha menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius sejak akhir-akhir ini.

Ahli Jawatankuasa Ibu Bapa, Bahagian Kaunseling dan Pendidikan, Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE), Fauziah Mahfudz, berkata bayi terbabit dihantar ibu dan ahli keluarga atas sebab tertentu.

“OrphanCARE menerima banyak panggilan daripada mereka yang hendak menghantar anak ke sini dan juga ada yang datang membawa bayi mereka.

“Setakat ini kami sudah menemu duga 55 pasangan yang tiada anak dan 37 pasangan yang mahukan anak angkat, manakala 300 pasangan lagi berada dalam senarai menunggu,” katanya.
Semua permohonan akan disemak rapi untuk memilih pasangan yang layak melalui prosedur sah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis serta agensi berkaitan.

Katanya, OrphanCARE menekankan kelayakan mereka berdasarkan kriteria seperti kemampuan ibu bapa terbabit menjaga bayi serta penekanan nilai Islam.

Empat lagi kes buang bayi

Menteri kecewa masyarakat tak peduli hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR: Belum sampai 24 jam Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh dan percubaan membunuh, empat lagi kes pembuangan bayi dilaporkan dalam tempoh itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menerima maklumat tiga kes pembuangan bayi dilaporkan di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur. Satu lagi kes dilaporkan di Johor Bahru.
“Semua pihak mesti serius dan tidak lepas tangan berhubung kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

“Isu ini jika tidak ditangani segera mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan.

“Ini tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin. Jangan ambil kes ini sambil lewa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian di Johor Bahru, seorang penjala ikan, Mohd Moh Othman, 60, terkejut menemui mayat bayi yang tidak diketahui jantinanya dalam bakul di pinggir laut berhampiran Jalan Datuk Onn, kira-kira jam 5 petang kelmarin.
“Sekali pandang, bayi berkenaan cukup sifat dan masih bertali pusat. Saya buntu sebaik melihat mayat itu dan membuat laporan polis selepas disuruh ahli keluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan.

Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April lalu, membabitkan 312 kes.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana ia yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM.

Statistik kes pembuangan bayi dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan 396 kes dicatatkan dari 2005 hingga tahun lalu. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) yang menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009).

Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 dilakukan individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka.

Daripada jumlah 396 kes itu, 137 kes membabitkan pembuangan bayi lelaki, 102 bayi perempuan dan selebihnya tidak diketahui jantina.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008 pula, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa.

Lebih menyedihkan bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun,” katanya.bharian

Lelaki hancur digilis lori


ANGGOTA polis memeriksa mayat Abu Bakar (gambar kecil) selepas digilis lori.
ANGGOTA polis memeriksa mayat Abu Bakar
(gambar kecil) selepas digilis lori.


Rakan mangsa cacat pendengaran tunggang motosikal parah

LENGGONG: “Setiba di tempat kemalangan, saya hanya mampu meraung memanggil ayah sebaik saja melihat mayatnya hancur dari bahagian perut ke bawah, manakala topi keledar yang dipakainya masih baik.
“Tangan saya turut menggigil ketika hendak mengutip cebisan daging ayah yang bertaburan di tengah jalan raya,” kata Nafisah Abu Bakar, 59, menceritakan detik memilukan melihat jenazah bapanya, Abu Bakar Mat Piah, 77, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya petang kelmarin.
Kemalangan maut itu berlaku di Kilometer 46, Jalan Kuala Kangsar - Gerik di persimpangan masuk ke Kampung Bukit Sapi, kira-kira jam 6.40 petang kelmarin.

Mangsa yang membonceng motosikal jenis Modenas Kriss mati di tempat kejadian, manakala rakannya yang menunggang motosikal, Abdul Ghani Awang Kechik, 68, yang cacat pendengaran, parah di kepala dan dilaporkan masih koma di Hospital Taiping.

Nafisah, anak sulung Abu Bakar, dari Kampung Bukit Sapi, dekat sini ketika itu membonceng motosikal bersama suaminya, Abdul Aziz Arshad, 65, dalam perjalanan pulang daripada membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan, Lenggong.

Katanya, dia tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas bapanya digilis sebuah lori yang datang dari arah belakang.
“Saya terserempak dengan ayah ketika dia membeli buah kurma untuk juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Lenggong sebelum itu,” katanya yang tinggal berjiran dengan bapanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Sabariah Sharif, 70, berkata, sehari sebelum kejadian suaminya banyak termenung dan kurang bercakap dengannya serta anak.

Ketua Polis Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, kejadian ketika hujan itu berpunca apabila motosikal yang ditunggang rakan mangsa cuba masuk ke tengah jalan, menyebabkannya bergesel dengan tayar lori yang datang dari arah belakang.

Katanya, berdasarkan maklumat, pemandu lori telah membunyikan hon tetapi penunggang motosikal terus masuk ke bahagian tengah jalan hingga mengakibatkan ia bergesel dengan lori.

Beliau berkata, akibat bergesel dengan lori itu, mangsa yang membonceng motosikal itu tercampak ke bawah lori sebelum digilis.bharian

Duit belanja Ramadan warga emas hangus

BAGAN DATOH: Hasrat sepasang suami isteri bersama dua anak untuk berbelanja sepanjang Ramadan tidak kesampaian apabila wang yang baru dikeluarkan dari bank musnah dalam kebakaran di Jalan Bagan Sungai Burung, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan Amran Mat Sudin dan Bandiah Samsuri, masing-masing berusia 53 tahun, kerugian lebih RM60,000 apabila kebakaran itu turut memusnahkan sebuah motosikal, peti ais berharga RM3,000 yang baru dibeli tiga bulan lalu, peralatan menangkap ikan seperti jaring, pukat dan beberapa barang berharga lain.
Bandiah berkata, dia sedih kerana kebakaran itu turut mengakibatkan wang RM1,000 yang dikeluarkan dari bank seminggu lalu untuk belanja Ramadan turut hangus.
Katanya, wang tunai itu disimpan di dalam beg yang diletakkan di dalam lipatan pakaian dan ketika wang itu ditemui, sebahagian besar sudah menjadi abu.

“Mak cik bagaimanapun, bersyukur kerana kami sekeluarga selamat kerana tiada sesiapa berada di rumah ketika kejadian berlaku,” katanya.

Katanya, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas diberitahu seorang jiran yang terserempak dalam perjalanan pulang.

“Saya dan isteri keluar jam 6 pagi dan selepas pulang daripada memukat ikan jam 8.30 pagi, saya terkejut melihat rumah sudah hangus dan sehingga kini masih tidak mengetahui punca ia berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, A Ravi, berkata pihaknya mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran dengan kerjasama pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarelawan Bagan Datoh.

Katanya, 10 anggota bomba bersama enam anggota sukarelawan bomba bertungkus lumus memadam kebakaran dengan 90 peratus rumah yang musnah terdiri daripada papan yang sudah usang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shaarani Mohamad, melawat mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada pasangan suami isteri itu.

'Jutawan' Lubnan kena 77 bulan

Elie Youssef Najem
Elie Youssef Najem

Peguam minta tangguh hukuman atas alasan Elie hadapi masalah kesihatan

KUALA LUMPUR: Seorang warga Lubnan yang mendakwa dirinya jutawan, semalam dijatuhi hukuman penjara enam tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan menipu dan satu tuduhan menyalahguna pas lawatan, lima tahun lalu.
Elie Youssef Najem, 50, dihukum penjara tiga tahun bagi dua tuduhan menipu dan lima bulan bagi tuduhan menyalahguna pas lawatan selepas Majistret Mohd Azali Ibrahim mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kes terbabit.
Beliau memerintahkan hukuman berjalan berturut-turut mulai semalam.

Bagaimanapun, Mohd Azali membenarkan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan dia diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin warga negara Malaysia dan pasportnya ditahan sehingga kes selesai.

Elie yang pernah berjanji untuk menyumbang RM1 bilion kepada Majlis Kanser Nasional, didakwa menipu Tan Sim Chai, 64, dengan memperdaya Tan bahawa dia akan membayar balik hutangnya apabila memperoleh wang dari luar negara berjumlah 2.6 juta pound sterling.

Tindakan Elie itu mendorong Tan menyerahkan sembilan keping cek Maybank berjumlah RM22,000 pada kira-kira jam 10 malam, 12 September 2005. Bagi tuduhan kedua, Elie didakwa menipu Tan atas alasan yang sama hingga mendorong Tan menyerahkan RM13,000 pada jam 11 malam, 13 September 2005.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Elie turut didakwa melakukan kesalahan mengikut peraturan 11(7) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja sebagai pengarah syarikat dengan menggunakan pas lawatan. Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di B-3-14, Blok B, Megan Avenue 2, Jalan Yap Kuan Seng, di sini.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Terdahulu, peguam S Selvam yang mewakili Elie memohon agar mahkamah menangguhkan hukuman terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan termasuk diabetes dan memerlukan rawatan untuk penyakitnya itu.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran membantah penangguhan hukuman itu dengan alasan rayuan yang diberikan oleh peguam bela adalah tidak relevan. – BERNAMA

Bazar Ramadan dilanda ribut, dua peniaga maut




Keadaan bazar Ramadan di Stadium Jasin, Melaka berselerak selepas dipukul ribut semalam.

JASIN – Dua peniaga bazar Ramadan di Stadium Jasin di sini maut akibat ditimpa payung gerai yang berterbangan setinggi tiang lampu 40 meter dalam kejadian ribut semalam.
Mereka yang terkorban dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu ialah seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dan Mahadi Mohamad, pembantu kedai martabak.
Mereka terkorban akibat hentakan batang besi payung gerai yang berterbangan.
Selain dua mangsa yang terkorban, seorang lagi peniaga parah dan 18 lagi cedera ringan.
Jurucakap polis berkata, ribut selama kira-kira tiga minit itu melanda pada pukul 4.45 petang semasa 23 peniaga di bazar itu sedang menyiapkan juadah masing-masing untuk dijual.
“Ribut tanpa hujan itu terlalu kencang sehingga semua barang berterbangan dan ramai peniaga rebah,” katanya.
Jurucakap polis itu memberitahu, kejadian ribut kencang itu adalah yang pertama kali berlaku dan terburuk di daerah ini.
Sementara itu, seorang peniaga, Norhafizah Shiraj, 24, berkata, ribut itu datang secara tiba-tiba tanpa hujan.
“Saya yang sedang menjual char kuey teow tidak dapat berpaut pada apa-apa menyebabkan saya terjatuh ditolak angin,” kata Norhafizah
Jelasnya, kejadian itu sangat menakutkan kerana ramai yang menjerit-jerit apabila semua barang berterbangan.

'Jutawan Lebanon' kena hukum

ELIE dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah
Majistret Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - 'Jutawan Lebanon', Elie Youssef Najem dijatuhi hukuman penjara enam tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam bagi dua tuduhan menipu dan satu tuduhan menyalahgunakan pas lawatan lima tahun lalu.
Majistret Mohd. Azali Ibrahim membuat keputusan tersebut setelah pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah terhadap ketiga-tiga kes tersebut.
Bagaimanapun, Mohd. Azali membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan setelah pihak pembelaan yang diwakili peguam S. Selvam memohon untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mohd. Azali menetapkan Elie diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin warga tempatan sebelum menunggu proses rayuan.
Majistret juga mengarahkan pasport milik Elie diserahkan kepada mahkamah.
Bagi kesalahan pertama dan kedua, Elie dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga tahun dan lima bulan penjara bagi kesalahan ketiga.
Semua hukuman penjara itu diarahkan berjalan secara berturut-turut mulai dari semalam.
Sebelum itu, Selvam merayu agar hukuman yang akan dikenakan terhadap Elie diringankan atas alasan faktor kesihatan tertuduh yang mempunyai penyakit diabetes.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran membantah dengan memberitahu alasan yang diberikan oleh Selvam tidak kukuh.
Sepanjang perbicaraan seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil manakala saksi pembelaan hanya diwakili oleh Elie.
Selesai prosiding, Elie yang tidak dapat menerima hakikat dijatuhi hukuman penjara bertindak memaki-hamun Nor Aizam Aiza sehingga terpaksa ditenteramkan oleh polis mahkamah, Selvam dan pengawal peribadinya.
Elie yang dilihat menitiskan air mata kemudian bertanya kepada peguamnya, "Selvam, speak to me, how long must I wait before I go out." (Selvam, cakap dengan aku, berapa lama aku mesti tunggu sebelum aku dilepaskan).
Sehingga petang semalam Elie gagal membayar wang jaminan RM40,000 sementara menunggu rayuannya dibuat menyebabkan dia dibawa ke penjara.kosmo

Peguam dakwa wanita zina dipaksa buat kenyataan

GAMBAR menunjukkan Sakineh Mohammadi-Ashtiani membuat pengakuan
berzina di sebuah stesen televisyen di Iran baru-baru ini.

LONDON - Peguam seorang wanita Iran yang dihukum rejam sampai mati di negara republik Islam berkenaan memberitahu sebuah akhbar Britain bahawa anak guamnya diseksa sebelum dia membuat pengakuan terbabit dalam pembunuhan suaminya di televisyen baru-baru ini.
Peguam kepada Sakineh Mohammadi-Ashtiani memberitahu akhbarThe Guardian kelmarin bahawa anak guamnya, seorang ibu beranak dua berusia 43 tahun dipaksa muncul dalam wawancara itu yang dirakamkan di penjara Tabriz, tempat dia ditahan sejak empat tahun lalu.
"Dia dipukul dengan teruk dan disiksa sehingga bersetuju untuk muncul di depan kamera," kata peguamnya, Houtan Kian di laman web akhbar itu.
Houtan berkata, dia bimbang pihak berkuasa Iran akan segera melaksanakan hukuman gantung sampai mati setelah hukuman rejam terhadap wanita itu mendapat bantahan masyarakat antarabangsa pada bulan lalu.
Seorang lagi peguam Ashtiani, Mohammad Mostafaie, meninggalkan Iran pada bulan ini dan kini berada di Norway selepas pegawai-pegawai Iran mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu dan menahan isterinya.
Beberapa sumber di Iran menyatakan, wanita itu didapati tidak bersalah berhubung pembunuhan tersebut tetapi dijatuhi hukuman rejam kerana didakwa menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain. - AFP

Ramai remaja di ASambil suntikan botox

NEW YORK - Remaja semuda 13 tahun mula mendapatkan suntikan botox manakala doktor-doktor di Amerika Syarikat (AS) telah melakukan lebih 12,000 prosedur terhadap golongan itu pada tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang penyanyi remaja, Charice Pempengco dari Filipina yang berusia 18 tahun turut mencetuskan kontroversi apabila dia mengaku menerima suntikan botox dan menjalani prosedur antipenuaan kulit sebelum membintangan siri televisyen popular Glee yang diterbitkan oleh stesen televisyen Fox di AS. Persatuan Doktor Pembedahan Plastik Amerika memberitahu golongan remaja mendapatkan rawatan sebagai jalan pintas untuk membaiki penampilan mereka.
Ubat antikedut itu telah digunakan untuk membaiki pelbagai bentuk 'kecacatan' wajah, termasuk senyuman yang menampakkan gusi atau rahang.
Peningkatan trend penggunaan botox di kalangan remaja mendapat perhatian selepas Charice membuat pengakuan. "Saya mahu kelihatan segar di hadapan kamera," katanya yang mendapat suntikan botox.
Seorang pakar pembedahan plastik, Dr. Shoib Allan Myint menyifatkan botox sebagai toksik remaja.
"Botox adalah berbahaya jika tidak dikendalikan dengan baik. Trend toksik remaja ini berpontensi untuk mengakibatkan komplikasi jika dilakukan oleh individu yang tidak terlatih atau bukan doktor. "Kebanyakan remaja tidak mengalami masalah kedutan. Botox tidak mampu menghalang penuaan semula jadi melainkan wujud keperluan mendesak. Botox tidak sepatutnya dilakukan ke atas remaja," katanya. - Agensi

Kuman super sudah merebak ke Australia

SYDNEY - Tiga rakyat Australia yang pernah melawat India disahkan semalam dijangkiti kuman super yang kebal semua antibiotik sekali gus mencetuskan kebimbangan ia sedang merebak dengan pantas ke seluruh dunia.
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Hospital Canberra dekat sini, Profesor Peter Collignon mengesahkan penemuan menakutkan itu.
Penemuan itu turut melibatkan seorang pesakit yang pernah menjalani pembedahan plastik di Mumbai baru-baru ini.
"Kita menjangkakan lebih ramai telah dijangkiti kerana setakat ini agak sukar untuk mengesan kuman itu kecuali anda mempunyai satu peralatan penguji yang amat canggih," katanya.
Pada Rabu lalu, saintis Britain mendakwa 37 rakyat negara itu membawa kuman dikenali New Delhi Metallo-lactamase-1 selepas mereka mengunjungi India sebagai pelancong kesihatan. - AFP

Kadet lesbian letak jawatan

Katherine Miller

WASHINGTON - Seorang kadet lesbian yang merupakan salah seorang pelajar terbaik di sebuah akademi ketenteraan di Amerika Syarikat (AS), Katherine Miller telah mengambil keputusan untuk keluar dari akademi itu kerana undang-undang melarang lesbian berkhidmat secara terbuka dalam pasukan tentera, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia terpaksa menyembunyikan identitinya yang meminati wanita sepanjang dia berada di akademi tersebut.
"Saya berhenti kerana ingin menunjukkan contoh jelas mengenai kesan kegagalan undang-undang dan dasar sosial. "Pendek kata, saya terpaksa menipu kawan-kawan serta menggadaikan integriti dan identiti kerana terikat dengan dasar tentera yang sedia ada," kata Miller dalam suratnya.
Menurutnya, dia terpaksa berbohong dengan mencipta cerita mengenai hubungannya dengan lelaki kepada rakan-rakannya di akademi berkenaan.
Miller yang cemerlang dalam akademik, ketenteraan dan fizikal ketika berada di akademi itu sudah mendapat tempat di Universiti Yale dan bakal memulakan pengajiannya September depan.
Namun, jurucakap Akademi Ketenteraan West Point, Jim Fox berkata, Miller akan terus berada di akademi itu sehingga permintaannya untuk berhenti dikaji. - Agensi

Memey bawa selimut, tilam

KUALA LUMPUR - Saksi keenam kes perbicaraan khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam bahawa dia melihat wanita itu membawa selimut, tilam dan cadar hampir setiap hari selama lapan bulan sebelum ditangkap khalwat.kosmo

Penjenayah terkenal Australia ditembak mati

GAMBAR menunjukkan polis mengawal lokasi rumah penjenayah terkenal, Macchour 
Chaouk di Melbourne semalam. Gambar kecil atas kanan - MACCHOUR CHAOUK


MELBOURNE - Dua lelaki ditembak mati di kawasan sebuah bar di bandar raya ini selepas seorang penjenayah terkenal, Macchour Chaouk ditembak mati, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa perang terbaru antara kumpulan penjenayah di sini mungkin berlaku.
Kedua-dua lelaki itu dibunuh enam jam selepas Chaouk, 65, yang mengetuai sebuah keluarga penjenayah berketurunan Lebanon ditembak di dada di belakang rumahnya sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan semalam.
Polis setakat ini tidak pasti sama ada kedua-dua insiden itu saling berkaitan.
Seorang suspek kemudian ditahan dan sepucuk senjata api turut dirampas manakala lelaki bersenjata yang membunuh Chaouk pula masih bebas.
"Buat masa ini, kami tidak mempunyai bukti," kata seorang jurucakap polis.
Terdahulu, polis menyatakan, mereka akan menyiasat sama ada keluarga penjenayah Haddara yang terbabit dalam permusuhan dengan keluarga Chaouks terbabit dalam pembunuhan pertama.
Pada 2005, seorang daripada lima anak lelaki Chaouk ditembak mati dalam satu serbuan polis di rumah keluarga tersebut di sini. - AFP

Barat China terus dilanda hujan lebat

Pasukan menyelamat dan penduduk berusaha mencari mangsa yang hilang
 selepas berlaku tanah runtuh di Zhouqu, wilayah Gansu, kelmarin. - AFP

BEIJING 13 Ogos - Bahagian barat China terus dilanda hujan lebat hari ini, mengakibatkan sekurang- kurangnya 33 orang lagi terkorban.
Situasi itu memburukkan lagi keadaan penularan penyakit di bandar yang musnah akibat tanah runtuh, di mana setakat ini 1,144 dilaporkan maut.
Pihak berkuasa kesihatan melaporkan, mangsa yang terselamat dalam banjir buruk dan tanah runtuh di Zhouqu, sebuah bandar terpencil di kawasan pergunungan Gansu di barat laut China, berhadapan situasi serius selepas klinik-klinik di sana musnah dan vaksin rosak.
Cuaca buruk tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.
Sementara 32 yang lain dilaporkan masih hilang selepas banjir dan tanah runtuh melanda beberapa daerah lain di Gansu dan wilayah berjiran, Sichuan, ketika China berhadapan banjir paling buruk dalam tempoh sedekad.
Di Zhouqu, 600 mangsa masih hilang selepas tanah runtuh yang berlaku hujung minggu lalu, memusnahkan kawasan sepanjang lima kilometer dan 300 meter lebar.
"Kerja-kerja menyelamat diteruskan, namun hujan lebat menyukarkan kerja menyelamat.
"Jalan-jalan berlumpur dan kami sukar melaluinya," kata jurucakap kerajaan wilayah Zhouqu, Yan Jinxin, melalui telefon kepada AFP, hari ini.
Seorang lagi pegawai tempatan di Gannan yang hanya mahu dikenali sebagai Yu berkata, lebih banyak baju hujan, sarung tangan dan ubat-ubatan diperlukan di lokasi bencana.
Stesen televisyen negara meredakan situasi kritikal itu dengan pengumuman bekalan air telah kembali pulih di wilayah itu, hari ini.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan bagaimanapun memberitahu agensi berita Xinhua, risiko penyebaran penyakit kini semakin meningkat. - AFP, utusan

Janda muda disyaki buang bayi ditahan reman hari ini

Zainab Nasir bersama Mizan Maulud (kanan) melawat bayi malang yang
ditinggalkan di Air Kuning, Gemencheh, Selasa lalu yang kini
ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, semalam.

TAMPIN 13 Ogos - Selepas tiga hari seorang bayi perempuan dibuang di sebuah rumah kosong di Ayer Kuning Selatan Gemencheh di sini, Selasa lalu, polis hari ini menahan seorang janda berusia 26 tahun untuk membantu siasatan kes tersebut.
Menurut Ketua Polis daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheang, wanita terbabit ditahan di kawasan Gemas pada pukul 11 pagi, hasil maklumat awam.
"Wanita disyaki ibu kepada bayi itu ditahan untuk membantu siasatan. Polis akan dapatkan perintah tahanan reman ke atasnya esok," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian pada 10 Ogos itu, seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan berbalut kain oleh sepasang suami isteri di sebuah rumah kosong, pada pukul 7.45 pagi.
Bayi malang itu ditemui dalam keadaan kesejukan dan kelaparan.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir, bayi tersebut masih ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban sejak ditemui untuk rawatan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bayi seberat 2.8 kilogram itu mengalami masalah perkembangan otak dipercayai dialami sejak lahir.
"Keadaannya bagaimanapun stabil dan doktor pakar masih memantau tahap kesihatannya sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk ditempatkan di rumah perlindungan," katanya yang melawat bayi tersebut di HTJ, Seremban hari ini.
Hadir sama Pengarah JKM negeri, Mizan Maulud.
Mizan menambah, bayi itu akan ditempatkan di bawah pengawasan dan perlindungan JKM di rumah kebajikan Tunku Budriah, Cheras, mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-Kanak 2001.
"Bayi itu akan diberikan perlindungan selama 30 hari. Dalam tempoh itu, kita akan berusaha mengesan waris atau penjaganya," katanya.utusan

Wanita ditahan cuba tanam bayi

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Tindakan seorang wanita disyaki warga asing yang cuba menanam mayat bayinya dengan bantuan rakannya tidak kesampaian apabila dia ditahan polis hari ini.
Wanita berusia 40-an itu ditahan di rumah kongsi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Sebelum itu, suspek datang ke kawasan tersebut pada pukul 11.30 pagi untuk meminta bantuan seorang rakannya untuk menanam mayat bayinya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek datang dengan membawa sebuah beg yang berisi mayat bayi berkenaan.
Difahamkan, wanita itu keguguran dan tidak dapat melahirkan anaknya di hospital kerana tidak memiliki dokumen sah.
Beliau berkata, bagaimanapun, salah seorang daripada penghuni rumah kongsi tersebut yang berasa curiga segera menghubungi polis.
“Apabila tiba di kawasan rumah kongsi itu, kita dapati suspek membawa satu beg berwarna hitam yang berisi mayat bayi.
“Kita kemudian menahan suspek dan siasatan awal mendapati wanita itu telah melahirkan bayi berkenaan kira-kira pukul 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Khairi, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung status dan kewarganegaraan wanita terbabit.
Katanya, setakat ini, pihaknya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.utusan

Polis buru suspek buang mayat bayi

Anggota polis mengangkat mayat bayi lelaki yang dijumpai
terapung dalam sebuah bakul di bawah jambatan
 di Selat Tebrau berhadapan Pejabat MBJB, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Polis masih menjejaki suspek terlibat dalam kes pembuangan mayat seorang bayi lelaki yang ditemui dalam sebuah bakul di perairan Selat Tebrau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sehingga kini pihaknya masih belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.
"Kami (polis) menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian agar menghubungi talian hotline polis Johor 07-2218999 bagi membantu siasatan.
"Polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam keadaan telanjang di dalam sebuah bakul di perairan Selat Tebrau di sini oleh seorang lelaki yang sedang menjala ikan pada pukul 5.30 petang semalam.
Mohd. Noh Othman, 60, yang ketika itu sedang menjala ikan di bawah jambatan di Jalan Persiaran Tun Sri Lanang di Selat Tebrau berhadapan dengan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terkejut apabila terpandang sebuah bakul yang terapung.
Dia kemudian mengambil bakul tersebut dan menelefon keluarganya di Jalan Mahmoodiah sebelum membuat laporan di Balai Polis Central di sini, selepas berbuka puasa.
Sebaik sahaja menerima laporan sepasukan anggota polis dari Unit Forensik bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bayi lelaki tersebut telah meninggal dunia.utusan

Wanita Indonesia ditahan bersama mayat bayinya

KUALA LUMPUR 13 Ogos — Seorang wanita Indonesia ditahan ketika cuba mendapatkan pertolongan seorang untuk mengebumikan mayat bayi perempuan yang baru dilahirkannya berhampiran rumah kongsi di Wangsa Maju di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, CAP Zakaria Pagan berkata, wanita berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi selepas pihaknya menerima maklumat orang awam.
"Wanita itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Semasa ditahan dia ada membawa bersama sebuah beg yang di dalamnya mengandungi mayat bayi perempuan terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya ketika ditanya wanita itu mendakwa mayat bayi tersebut adalah anak majikannya.
"Bagaimanapun selepas disoal siasat, wanita itu akhirnya mengaku bayi itu adalah anaknya yang dilahirkan di sebuah rumah kongsi di Ampang Ulu kira-kira pukul 6 pagi semalam,” katanya.
Zakaria berkata wanita itu juga mendakwa bayi berkenaan meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. —Bernama